41
Komuniti Minoriti Mendepani Arus Pembangunan
Dr Siti Nor Awang
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Universiti Malaya
Pengenalan
Bab ini akan mengenegahkan isu pembangunan ekonomi dan hubungkaitnya dengan
kumpulan minoriti yang merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia. Kupasan bab
ini memberi penekanan kepada peluang dan strategi yang digunapakai oleh komuniti
minoriti dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka. Bermula dengan status sebagai
pelarian di bumi Malaysia sekitar tahun 1970 an, dan akhirnya mendapat status pendudk
tetap dan kini diterima sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia. Komuniati yang
dikenali sebagai Orang Kemboja oleh masyarakat tempatan, dan mendiami Daerah
Pekan Pahang dipilih sebagai subjek kajian. Persoalan bagaimana mereka akhirnya
memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan ekonomi khususnya sektor
perikanan di negara ini menarik perhatian umum untuk dianalisa.
Semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957 berlaku perubahan pola
kependudukan dan perkembangan ekonomi yang ketara. Sektor luar bandar telah
memainkan peranan penting di peringkat awal perkembangan dan pembangunan
ekonomi, sosial dan politik negara. Sektor pertanian umpamanya telah memberi
sumbangan yang besar kepada KDNK, misalnya antara 1970 dan 1980 an didapati lebih
70 peratus penduduk Malaysia terlibat dengan kegiatan pertanian, penternakan dan
perikanan. Namun selepas 1990 an sektor pertanian mengalami penguncupan dari segi
sumbanganya kepada KDNK sehingga mencapai 14 peratus sahaja (Fatima Mohd
Arshad et.al, 1997). Perubahan struktur ekonomi ini memberi gambaran yang cukup jelas
tentang struktur ekonomi negara yang berorentasikan pertanian di peringkat awal
42
kemerdekaan kepada orentasi bercorak perindustrian menjelang 1990 an. Implikasinya
turut mempengaruhi corak kehidupan masyarakat luar bandar dan bandar, di mana
migrasi penduduk luar bandar ke bandar meningkat. Usman dan Tarmiji (2008)
menjelaskan migrasi atau pergerakan penduduk ini berlaku sebagai tindakbalas terhadap
perkembangan urbanisai dan industrilasasi. Kesannya terbukti melalui peningkatan
jumlah penduduk bandar di Malaysia meningkat daripada 28.4 peratus pada 1970 kepada
61.8 peratus pada 2000 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2001). Namun dalam masa yang
sama juga Malaysia mengukuhkan perkembangan sektor perindustrian, pembinaan dan
perladangan. Kesan langsung daripada perkembangan ketiga-tiga sektor sektor ini
membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk. Keadaan ini berterusan
sehingga tiba pada tahap di mana timbul masalah kekurangan tenaga kerja khususnya di
sektor perladangan. Justeru peluang ini di ambil oleh migran buruh asing sekitar 1980 an
dan 1990 an (McCall, 1991; Hugo, 1993).
Namun dalam kerancakkan Malaysia mendepani perkembangan ekonomi yang pesat,
negara turut dikejutkan dengan kedatangan kumpulan pelarian dari Indocina bermula dari
1975 sehingga lewat 1990 an. Mereka ini terdiri daripada warga negara Kemboja yang
terdiri daripada pelbagai kumpulan seperti; Orang Khmer, Cham, Cina, Vietnam dan
kumpulan masyarakat asal suku kaum. Mereka mencari perlindungan daripada
kekejaman komunis yang menguasai negara mereka. Mohamad Zain Musa (2003)
seorang penyelidik berbangsa Cham menjelaskan dalam tulisannya, sebahagian besar
pelarian Cham ini adalah dari Kemboja dan yang lain dari Vietnam. Akibat pergolakan
politik di Indochina, tampuk pemerintahan negara tersebut telah diambil alih oleh
komunis pada tahun 1975. Di bawah pemerintahan Regim Khmer Rouge, penduduk
Kemboja berhadapan dengan kemelut politik dan mengakibatkan rakyat hidup dalam
43
kesengsaraan. Sepanjang tempoh Regim Khmer Rouge berkuasa selama tiga tahun
sembilan bulan jumlah penduduk yang mati meningkat dengan mendadak. Namun jumlah
sebenar yang terkorban tidak dapat dipastikan dan ianya hanya berasaskan anggaran.
Misalnya Chandler, 1999; Chandler, Kiernan, Boua, 1988; dan Ysa Osman, 2006)
menganggarkan dua juta penduduk mati akibat kerja berat, kebuluran, penyakit, dan
dihukum mati.
Sementara, menurut Ysa Osman (2006) khususnya menganggarkan bilangan masyarakat
Islam Kemboja yang mati sepanjang tempoh Khmer Rouge berkuasa adalah antara
100,000 ke 500,000 orang. Anggaran ini kelihatan mempunyai julat yang besar kerana ia
berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber sebelum pra
pemerintahan Regim Khmer Rouge. Ysa Osman turut menambah bahawa kumpulam
masyarakat Cham Muslim meneriman tekanan yang lebih kuat berbading masyarakat
Khmer dan Vietnam disebabkan mereka menyuarakan penentangan terhadap Regim
Khmer Rouge secara terbuka. Di samping itu mereka juga menerima tekanan berterusan
akibat amalan beragama seperti cara berpakaian, menunaikan sembahyang, membaca
Quran, berpuasa dan lain-lain amalan keagamaan yang sememangnya bertentangan
dengan ideologi komunis.
Isu Pelarian dari Indochina ini telah menjadi satu fenomena politik dunia apabila mereka
cuba mencari perlindungan di negara-negara jiran berhampiran seperti Thailand dan
Malaysia. Jumlah pelarian ini mencecah angka ratusan ribu orang, menurut Supang dan
Reynolds (1998) melaporkan pada tahun 1976 dianggarkan Malaysia telah menerima
50,000 pelarian Indochina, dan jumlah ini telah meningkat kepada 100,000 orang
menjelang pertengahan 1979. Jumlah pelarian ini termasuk mereka yang bukan beragama
Islam. Walaubagaimanapun disebabkan faktor keselamatan dalam negara , kerajaan
44
Malaysia pada masa tersebut telah mengambil keputusan untuk menempatkan pelarian
yang beragama Islam sahaja di negara ini (Stubbs, 1983).
Pada suku ketiga tahun 1975, dianggarkan terdapat Kira-kira 700,000 umat Islam yang
melarikan diri ke arah selatan Kemboja, iaitu ke Thailand dan Malaysia, namun dari
jumlah ini dianggarkan hanya 2,000 orang ‘Pelarian Islam Kemboja’ telah berjaya
diselamatkan oleh kerajaan Malaysia (PERKIM, 2010). PERKIM dan Persatuan Bulan
Sabit Merah (Red Crescent Malaysia) adalah dua badan yang diminta oleh pihak kerajaan
untuk menyelia hal berkaitan kebajikan, keselamatan dan penempatan di kem-kem
pelarian. Kemasukan pelarian dari Indochina ini berterusan sehingga tahun 1990 an,
masih ada yang memasuki negara ini dengan tiket melancong tetapi terus mencari
pekerjaan dan menetap. Faktor keluarga dan networking menjadi penyumbang kepada
kedatangan atau kemasukan pada tahun 1990 an. Namun selepas tahun 1992 mereka yang
memasuki negara ini tidak lagi dikelaskan sebagai pelarian, sebaliknya mereka
diketogerikan sebagai pendatang tanpa izin.
Bab ini akan memberi tumpuan kepada penglibatan kumpulan Pelarian Islam Kemboja
yang akhirnya mendapat taraf rakyat Malaysia atau sekurang-kurangnya penduduk tetap
turut terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung dalam proses pembangunan
negara. Kumpulan masyarakat ini telah melalui proses penempatan semula yang panjang.
Bermula dengan penempatan awal di kem-kem pelarian seperti Kem Taman Kemumin
Pengkalan Chepa, diikuti kem Cherating, Pahang, dan seterusnya mencari penempatan
sendiri di seluruh pelusuk Malaysia. Kumpulan masyarakat minoriti ini telah berusaha
mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka dengan menceburi pelbagai kegiatan ekonomi
seperti perladangan, perniagaan dan perikanan. Kini setelah lebih tiga dekad mereka
45
berada di Malaysia sumbangan masyarakat minoriti ini kepada pembangunan negara
sememangnya tidak dapat dinafikan. Fokus perbincangan tertumpu kepada aktiviti
ternakan ikan sangkar air tawar dan sumbanganya kepada industri perikanan negara.
Masyarakat Kemboja di Malaysia
Di Malaysia, kumpulan ‘Pelarian Islam Kemboja’ ini lebih dikenali dengan panggilan
‘Orang Kemboja’. Sebahagian besar terdiri daripada mereka yang berketurunan Cham
yang beragama Islam, dan sebahagian kecil terdiri daripada Khmer dan Vietnam yang
memeluk Islam dan berkahwin dengan masyarakat Cham. Di Kemboja masyarakat Cham
mendiami beberapa kawasan seperti; Kompong Chnang, Kompong Cham, Battambang.
Sementara di kawasan-kawasan yang seperti; Pursat, Kampot, Takeo, Kratie dan
Kompong Thom juga terdapat masyarakat Cham, namun dari segi bilangan mereka
adalah lebih kecil (Nakula, 1989).
Jika disoroti sejarah kedatangan masyarakat ini ke Malaysia telah melalui dua tahap
utama; sebelum tahun 1975 dan selepasnya. Sebelum tahun 1975, bentuk perhubungan
dan tujuan kedatangan masyarakat Cham dari Kemboja adalah berlandaskan hubungan
perkahwinan dan pengajian agama Islam. Perhubungan yang terbentuk semenjak Abad ke
14 di antara Kerajaan Champa dan Kerajaan Melaka. Namun selepas tahun 1975,
kedatangan masyarakat Cham ke Malaysia adalah disebabkan paksaan ekoran dari
kekejaman yang dilakukan oleh Regime Khmer Rouge. Keadaan ini memaksa mereka
melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa dan mendapatkan perlindungan yang lebih
selamat.
46
Dalam tempoh lima tahun terawal kedatangan masyarakat ini ke Malaysia, kebanyakan
mereka ditempatkan di kem-kem pelarian di Taman Kemumin, Kelantan. Selepas tempoh
dua tahun di kem pelarian mereka dibawa untuk menyertai masyarakat umum yang lain.
Ini dilakukan menerusi satu program khas yang dinamakan sebagai program ‘keluarga
angkat’ (lihat Nik Zaharah, 1977). Menerusi program ini masyarakat Melayu Kelantan
dipelawa untuk mengambil mana-mana pelarian dari kem Taman Kemumin, dan di beri
perlindungan dan pekerjaan. Apa yang menarik bagi program ini adalah melibatkan
bukan seorang pelarian tetapi seluruh ahli keluarganya. Ini bermaksud jika masyarakat
Melayu Kelantan ingin mengambil mana-mana pelarian, mereka perlu menerima ahli
keluarga pelarian tersebut termasuk anak dan isterinya. Pada tahap ini pelarian diberi
pekerjaan oleh majikan dan mereka mendapat gaji, sementara isteri mereka akan
melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan urusan rumahtangga, di samping
membantu isteri majikan masing-masing. Di sinilah mereka mula mengenali dan
mempelajari budaya masyarakat Melayu Kelantan, di samping menguasai kemahiran
memasak, menjahit, dan melakukan kerja-kerja pertanian. Dalam tempoh ini para
pelarian ini mengumpulkan wang hasil kerja mereka di samping mengumpulkan
pengalaman yang sangat berguna untuk meneruskan kehidupan yang lebih berdikari
selepas mereka meninggalkan keluarga angkat mereka.
Menjelang tahun 1980 an, kumpulan terawal yang tiba ke negara ini telah mula masuk ke
dalam masyarakat umum sepenuhnya. Mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan
dengan menjual makanan, pakaian, dan barang keperluan rumahtangga. Teknik
perniagaan mereka adalah dengan membawa atau menjungjung barangan terebut di atas
kepala. Mereka akan memasuki kawasan perkampungan masyarakat Melayu di sekitar
47
daerah Kota Bharu. Bagi lelaki pula ada di antara mereka yang bekerja sebagai pembantu
kedai, buruh binaan, dan pernigaan kecil.
Seterusnya bagi kumpulan pelarian yang datang lebih kemudian iaitu selepas tahun 1980
an mereka tidak lagi dijadikan keluarga angkat kepada masyarakat Melayu Kelantan.
Sebaliknya mereka ini dihantar untuk bekerja di ladang-ladang bagi mengisi kekurangan
tenaga kerja di sektor perladangan khususnya kelapa sawit sebaik sahaja mereka
dibenarkan keluar dari kem pelarian di Cherating, Pahang. Antara ladang kelapa sawit
yang menjadi tempat mereka mencari rezeki adalah Ladang Keratong, dan Sawira di
Pahang. Hasil pendapatan yang diterima oleh setiap keluarga disimpan dan dijadikan
modal oleh mereka untuk memulakan kehidupan yang lebih berdikari kemudiannya.
Dalam kebanyakan kes mereka menggunakan simpanan tersebut untuk memulakan
perniagaan seperti pakaian, makanan, dan barangan keperluan rumahtangga. Menjelang
tahun 1990 an sebahagian besar daripada masyarakat ini telah ‘resettle’ di kawasan
penempatan yang kebayakkan adalah di atas tapak yang dibeli secara berkumpulan. Oleh
itu tidak hairanlah jika ditemui kawasan penempatan masyarakat ini yang berkelompok di
seluruh negara.
Justeru, setelah lebih dari 36 tahun mereka berada di negara ini, masyarakat Cham boleh
ditemui di Kota Bharu dan Pasir Mas (Kelantan), Kuala Terengganu dan Dungun
(Terengganu), Pekan dan Rompin (Pahang), Muar, Kota Tinggi dan Ulu Tiram (Johor),
Tanjung Minyak dan Bukit Rambai (Melaka), Seremban Negeri Sembilan), Banting,
Kelang, Sungai Buluh dan Kajang (Selangor), Bukit Belacan (Kuala Lumpur), Ipoh,
Kuala Kangsar, Parit Buntar (Perak), Nibong Tebal (Pulau Pinang), Alor Setar dan Kulim
(Kedah) dan Kangar (Perlis). Jumlah mereka dianggarkan lebih kurang 61,000 orang
(Mohamad Zain Musa, 2003).
48
Akuakultur dan Masyarakat Kemboja
Sektor perikanan memainkan peranan yang penting sebagai salah satu penyumbang
utama sumber makanan dan proten kepada penduduk Malaysia. Sektor ini turut
menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada nelayan dan penternak ikan secara
khusus. Di Malaysia kegiatan perikanan dibahagikan kepada dua sektor utama; tangkapan
ikan marin dan akuakultur atau juga dikenali sebagai perikanan darat. Industri aquakultur
di Malaysia boleh diketegorikan sebagai industri yang agak baru berbanding dengan
negara-negara jiran di sekitar kawasan Indo-Pacific (Leong, Hanafi dan Merican, 1988).
Namun didapati sektor industri ini berkembang pesat dalam tempoh dua dekat ini.
Menurut Leong, Hanafi dan Merican (1988) menjelaskan bahawa kegiatan aquakultur di
Malaysia hanya bermula sekitar tahun 1900 an dan ternakan ikan yang dikenali sebagai
Chinese Carp di kawasan lombong tinggal menjadi pilihan. Seterusnya menjelang 1930
an kaedah ternakan udang dalam sangkar mula dibangunkan di selatan negeri Johor.
Menjelang 1950 an dan 1960 an ternakan kepah mula giat di jalankan, diikuti tahun 1970
an kegiatan ternakan ikan sangkar air masin dan ternakan kupang mula berkembang. Kini
pelbagai jenis ikan telah diternakan di negara ini termasuk udang dan pelbagai jenis
kerang-kerangan. Justeru perkembangan sektor aquakultur dan sumbangannya kepada
negara semakin meningkat dari tahun ke tahun membuktikan kepentingan sektor ini dan
sumbanganya kepada negara (lihat Awang, 1995; Leong, Hanafi dan Merican, 1988).
Dari segi peratusan sumbangan sektor akuakultur ini hanyalah 0.02 peratus daripada
jumlah keseluruhan sektor perikanan, namun jumlah ini dijangka akan terus meningkat
ekoran perkembangan yang begitu pesat (Jabatan Perikanan, 2005). Kepesatan ini
didorong oleh usaha kerajaan untuk mengurangkan pergantungan kepada tangkapan
marin yang sememangnya telah dilakukan secara optimum. Bagi memastikan
49
penggunaan dan pengeluaran ikan pada masa hadapan tidak terjejas sektor akuakultur
menjadi pilihan.
Pada tahun 2009 sub-sektor perikanan telah menghasilkan peningkatan sebanyak 4.44
peratus atau sejumlah 1,710,301 tan metrik ikan berbanding sebanyak 1.737,660 tan
metrik pada tahun 2008. Sementara dari segi nilai menunjukkan peningkatan sebanyak
16.4% dalam tempoh yang sama, iaitu sebanyak RM 8,546 juta, berbanding RM 7,345
juta pada tahun 2008. Peningkatan dalam kuantiti pengeluaran adalah disumbangkan oleh
pertambahan dalam pengeluaran akuakultur sebanyak 37.2%. Bidang perikanan
tangkapan dan akuakultur masing-masing menyumbang sebanyak 1,376,850 tan metrik
dan 333,451 tan metrik kepada pengeluaran ikan makanan negara (Jabatan Perikanan
Malaysia, 2010).
Industri akuakultur air tawar khususnya di negeri Pahang melibatkan sistem berbeza
antaranya; sistem kolam, sistem bekas lombong, sistem sangkar air tawar, sistem tangki
simen, sistem tangki kanvas, dan sistem kandang ikan. Pengeluaran dari ternakan
sangkar air tawar semakin penting di mana ia menyumbang 5.18% dari keseluruhan
pengeluaran ternakan air tawar negara iaitu meningkat sebanyak 6.21% daripada 7,438.40
tan metrik pada tahun 2008 kepada 7,900.44 tan metrik pada tahun 2009. Nilai juga
meningkat 38.46% kepada RM73.59 juta pada tahun 2009 daripada RM53.15 juta pada
tahun 2008. Keluasan sangkar air tawar yang direkodkan pada tahun 2009 adalah
377,123.71 meter persegi meningkat 12.04% berbanding 336,594.23 meter persegi pada
tahun 2008. Tilapia Merah merupakan spesis utama yang diternak dengan pengeluaran
sebanyak 4,408.83 tan metrik bernilai RM26.06 juta dan diikuti dengan Patin sebanyak
2,124.72 tan metrik bernilai RM22.01 juta (Jabatan Perikanan Malaysia, 2010).
50
Pahang merupakan antara negeri penyumbang utama kepada bukan sahaja sektor
perikanan marin malah juga akuakultur. Sektor akuakultur yang semakin berkembang
pesat boleh didapati di daerah seperti, Temerloh, Pekan dan Rompin. Selaras dengan
usaha kerajaan untuk memajukan sektor perikanan sebagai salah satu sektor penting yang
mampu membawa pulangan yang besar kepada negara, maka pelbagai usaha telah
dilakukan. Antara usaha yang dilakukan adalah dengan memberi bantuan teknik, latihan,
kemudahan pinjaman, dan bantuan pasaran. Dari segi pengeluaran menurut data yang
dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia pada 2009 mendapati Pahang berada pada
tempat ke tiga bagi kategori negeri yang paling banyak menghasilkan ikan patin di
samping Perak dan Selangor. Di Pahang ikan patin atau n ama saintifiknya Pangasius
hypophthalmus boleh didapati di daerah-daerah seperti; Temerloh, Maran, Pekan,
Jerantut, Bera dan Lipis. Selain itu terdapat pelbagai jenis ikan seperti kelah, jelawat,
kerai, tapah, baung temoleh, tilapia, baung, lampam, tenggalan dan udang galah (Jabatan
Perikanan Negeri Pahang, 2010).
Penglibatan kumpulan masyarakat minoriti khususnya masyarakat Kemboja dalam
industri akuakultur ini lebih ketara di kalangan mereka yang membina penempatan kekal
di kampung-kampung sepanjang muara Sungai Pahang. Sebahagian besar daripada
penduduk yang mendiami kawasan tebing sungai ini iaitu kira-kira 80 peratus terlibat
dengan kegiatan ekonomi menternak ikan dalam sangkar. Antara kampung-kampung
yang didiami oleh masyarakat Kemboja yang terlibat secara khusus adalah Pulau Keladi,
Sekor, Sekukuh, Sungai Baung dan Tanjung Medang.
Rujuk Jadual 3.1 untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang jumlah penternak
mengikut kampung yang dihuni. Terdapat 13 buah kampung di daerah Pekan yang
51
terlibat secara langsung dengan aktiviti ternakan ikan dalam sangkar air tawar untuk
tempoh 2007 dan 2009. Daripada jumlah keseluruhan lima buah kampung iaitu Pulau
Keladi, Sekor, dan Sungai Baung, merupakan kampung yang dihuni oleh masyarakat
Kemboja keseluruhannya.
Kampung-kampung ini merupakan kampung yang mempunyai bilangan penternak yang
paling ramai. Sementara bagi Kampung Sekukuh, dan Tanjung Medang adalah kampung
yang terdiri daripada penduduk yang berketurunan Melayu dan Kemboja. Kampung
Pulau Keladi yang keseluruhannya dihuni oleh masyarakat Kemboja merupakan
kampung yang mempunyai paling ramai bilangan penternak ikan sangkar air tawar.
Diikuti oleh Kampung Sekor yang mempunyai 31 penternak pada tahun 2007 dan
meningkat kepada 33 orang penternak pada 2009.
Seterusnya diikuti oleh Sekukuh yang mempunyai 26 orang penternak untuk 2007 dan
2009. Dari segi bilangan jumlah penternak antara tahun 2007 dan 2009 tidak
menampakan perbezaan yang ketara. Ini dipengaruhi oleh faktor kepadatan penduduk
yang tinggi disetiap kampung membataskan pertambahan bilangan penternak baru.
Namun dari segi bilangan sangkar kemungkinan bertambah adalah masih mempunyai
kemungkinan untuk berlaku pertambahan jika modal dan tenaga buruh diperolehi.
52
Jadual 3.1 : Bilangan Penternak Ikan Sangkar Air Tawar di Daerah Pekan
Kampung
2007 2009
Pulau Keladi * 62 62
Sekor* 31 33
Sekukuh* 26 26
Sg Baung* 7 6
Tanjung Medang* 6 6
Ketapang Hilir 5 4
Ketapang Tengah 4 5
Sg Lebai Yahya 4 5
Padang Rumbia 2 2
Gancong 1 1
Kg Tebat 1 1
Pusat Komersial 1 1
Sultan Abu Bakar 1 1
Jumlah
151
153
*Kampung masyarakat Kemboja
Sumber – Jabatan Perikanan Daerah Pekan 2010
Seterusnya dari segi bilangan penternak ikan sangkar air tawar di Daerah Pekan mengikut
kumpulan etnik Jadual 3.2 memberi gambaran yang lebih jelas. Penernak yang dikelaskan
sebagai etnik Kemboja merupakan kumpulan yang paling ramai melibatkan diri dalam
industri ini. Misalnya bagi tahun 2007 sejumlah 151 orang atau 60.9 peratus daripada
jumlah keseluruhan penternak ikan sangkar adalah orang Kemboja. Bilangan ini
bertambah kepada 153 orang penternak pada tahun 2009, namun dari segi peratusan
jumlah ini didapati menurun kepada 51.3 peratus. Keadaan ini dipengaruhi oleh faktor
pertambahan bilangan perternak dari kumpulan etnik Melayu yang meningkat dengan
kadar yang cukup ketara iaitu kira-kira 10 peratus untuk tahun 2007 dan 2009. Sementara
bagi penternak berketurunan China pula bilangannya tidak berubah hanya terdapat empat
penternak sahaja, dan dari segi peratusan adalah menurun untuk kedua-dua tahun
disebabkan faktor yang sama.
53
Jadual 3.2 : Bilangan Penternak Ikan Sangkar Air Tawar mengikut Kumpulan
Etnik Bagi tahun 2007 dan 2009 (Sehingga Oktober)
Sumber – Jabatan Perikanan Daerah Pekan 2010
Keadaan ini memberi gambaran bahawa masyarakat Kemboja merupakan penternak ikan
sangkar air tawar paling ramai di Daerah Pekan. Justeru sumbangan masyarakat ini
kepada industri perikanan negara khususnya ikan air tawar dalam sangkar tidak dapat
dinafikan, walaupun dari segi bilangan mereka adalah penduduk minoriti, namun
sumbangan mereka kepada pengeluaran ikan air tawar negara mengatasi jumlah mereka.
Pengeluaran ikan yang dihasilkan oleh penternak Kemboja ini berkait rapat dengan
jumlah sangkar yang dimiliki (sila rujuk Jadual 3.3). Jumlah sangkar yang dimiliki
menentukan skala pengeluaran. Menerusi observasi di lapangan umumnya terdapat tiga
kategori penternak yang terdapat di daerah Pekan; penternak berskala besar, sederhana
dan kecil. Penternak yang memiliki jumlah sangkar sekurang-kurangnya 200 buah atau
lebih dikelaskan sebagai penternak berskala besar. Manakala penternak yang memiliki
jumlah sangkar antara 50 hingga 199 dikelaskan sebagai penternak berskala sedernaha,
Kumpulan Etnik
2007
%
2009
%
Kemboja
Melayu
China
151
93
4
60.9
37.5
1.6
153
141
4
51.3
47.3
1.3
Jumlah
248
100
298
100
54
dan yang terakhir bagi mereka yang mempunyai kurang daripada 50 buah sangkar
dikelaskan sebagai penternak berskala kecil.
Berdasarkan data yang diperolehi daripada Jabatan Perikanan Daerah Pekan untuk tahun
2010 mendapati julah sangkar ikan yang dimiliki oleh masyarakat Kemboja adalah yang
tertinggi bagi tahun 2007 dan 2009, diikuti oleh masyarakat Melayu dan Cina. Dari segi
bilangan berlaku peningkatan jumlah sangkar yang dimiliki oleh masyarakat Kemboja
iaitu 1012 buah sangkar bagi tahun 2007 dan meningkat kepada 1026 pada tahun 2009.
Namun dari segi peratusan jumlah ini menurun pada tahun 2009 disebabkan peningkatan
bilangan penternak dari kumpulan etnik Melayu yang begitu ketara.
Jadual 3.3: Jumlah Sangkar Mengikut Kumpulan Etnik di Daerah Pekan Bagi
Tahun 2007 dan 2009 (Sehingga Oktober)
Sumber – Jabatan Perikanan Daerah Pekan 2010
Secara umumnya Jadual 3.4 memberi gambaran yang lebih terperinci berhubung dengan
status pengeluaran mengikut tahap yang ditentukankan oleh Jabatan Perikanan Daerah
Pekan. Terdapat tiga kategori utama status pengeluaran iaitu; status pengeluaran kategori
tinggi, sederhana dan rendah. Bagi tahun pengeluaran 2007 dan 2009 didapati masyarakat
Kemboja yang dikategorikan sebagai pengeluaran ikan berstatus tinggi mendahului
Kumpulan Etnik
2007
%
2009
%
Kemboja
Melayu
China
1012
568
289
54.1
30.4
15.5
1026
949
302
45.1
41.6
13.3
Jumlah
1869
100
2277
100
55
masyarakat Melayu dan Cina. Bagi kaegori ini biasanya para penternak ikan mempunyai
pelanggan tetap dan mereka menjadi pembekal kepada restoran, kedai makan, dan pasar.
Sementara bagi penternak bersatus sederhana biasanya mereka akan menjual sendiri di
pasar-pasar seperti; pasar malam, pasar pagi, dan pasar tani sekitar negeri Pahang. Bagi
kategori penternak berstatus pengeluar rendah pula kebiasaannya akan menjual ikan-ikan
mereka kepada penternak berstatus tinggi dan sederhana. Ketiga-tiga kategori penternak
ini membentuk rangkaian perhubungan antara satu sama lain yang baik, di samping
strategi yang betul bagi memastikan permintaan dan penawaran sentiasa stabil. Justeru,
mereka tidak menghadapi masalah untuk menjadi pembekal kerana bekalan ikan sentiasa
ada sepanjang tahun. Di samping harga pasaran ikan juga dapat distabilkan menerusi
rangkaian perhubungan timbal balas yang baik.
Jadual 3.4 : Status Pengeluaran Mengikut Tahap bagi Tahun 2007 dan 2009
(sehingga Oktober)
Tinggi S – Sederhana R – Rendah
Sumber – Jabatan Perikanan Daerah Pekan 2010
Status Pengeluaran
2007 2009
T S R T S R
Kemboja
Melayu
Cina
14
9
1
74
43
3
63
41
-
17
14
3
69
63
1
67
64
-
Jumlah
56
Sejarah Perkembangan Ternakan Ikan Sangkar di Kalangan
Masyarakat Kemboja.
Masyarakat Kemboja di Daerah Pekan mencipta sejarah tersendiri berhubung dengan
teknik ternakan ikan dalam sangkar. Ianya bermula sekitar tahun 19841 apabila salah
seorang daripada mereka yang dikenali dengan nama Wak Zakaria berjaya menangkap
ikan Patin bersaiz sederhana yang agak banyak dari Sungai Pahang. Jumlah yang
diperolehi melebihi keperluan makanan beliau sekeluarga. Beliau mendapat idea untuk
membina sangkar yang diperbuat daripada kayu dan memasukan anak-anak ikan tersebut
ke dalamnya. Bagi mengelakan daripada sangkar tersebut hanyut beliau menggunakan
tali yang kuat dan diikat pada sebatang pokok berhampiran tebing sungai. Kebaikan
teknik ternakan ikan sangkar ini adalah lebih mudah dan fleksibel. Apabila tiba musim
hujan aras air sungai akan meningkat dan sangkar akan terapung tinggi ke permukaan
sungai. Sementara jika musim kemarau sangkar akan menghampiri dasar sungai. Pada
peringkat awal Wak Zakaria menangkap ikan yang lebih kecil untuk dijadikan makanan
kepada ikan peliharaannya. Usaha ini membuahkan hasil apabila ikan ternakan beliau
membesar dan mencapai tempoh matang setelah mencapai tempoh matang selama 12
bulan untuk dipasarkan, beliau berjaya menjual ikan peliharaannya pada jumlah yang
agak besar iaitu RM7000.00 kepada masyarakat China dan Melayu di kawasan bandar
Pekan.
Hasil jualan ikan yang lumayan ini telah mendorong beliau untuk meneruskan usaha
tersebut dan seterusnya beliau menggunakan bahan-bahan yang lebih tahan lama dan
lebih sesuai untuk membina sangkar. Antaranya paip plastik, jaring plastik dan tong
plastik, kesemua bahan-bahan ini mudah dan diperolehi dari kedai-kedai sekitar bandar
1 Maklumat ini diperolehi menerusi temubual mendalam yang dijalankan semasa penulis menjalankan
kajian lapangan pada 2006 selama Sembilan bulan disalah sebuah kawasan penempatan masyarakat Kemboja di Daerah Pekan .
57
Pekan. Ekoran kejayaan yang dicapai oleh Wak Zakaria ini telah menjadi pendorong
kepada rakan-rakannya yang lain untuk turut sama menternak ikan sangkar. Kegiatan
ekonomi ini lebih menguntungkan, mampu menghasilkan pendapatan yang lebih tetap, di
tambah lagi bleh dijadikan kegiatan ekonomi sampingan. Kegiatan ekonomi yang pada
mulanya sekadar berbentuk mengisi masa lapang telah merubah lanskap ekonomi bukan
sahaja di kalangan masyarakat Kemboja di Daerah Pekan, malah kemudiannya juga turut
melibatkan masyarakat Melayu dan Cina.
Terdapat beberapa saiz sangkar ikan yang yang sering digunakan oleh masyarakat
Kemboja antaranya; 6 x 6 x 9 kaki dan 9 x 9 x 12 kaki. Jika penternak mempunyai
bilangan sangkar lebih daripada satu, kebiasaannya mereka akan mengikat sangkar-
sangkar ini secara selari seperti dalam gambarajah 1. Bagi sangkar yang bersaiz 6 x 6 x 9
kaki lebih kurang 2000 anak benih ikan boleh dimasukan. Sementara bagi sangkar yang
bersaiz lebih besar iaitu 9 x 9 x 12 kaki antara 3000 – 3500 ekor anak ikan boleh
dimasukan ke dalam sangkar ini. Sila rujuk Rajah 3.1 untuk gambaran yang lebih jelas
tentang rupa bentuk sebenar sangkar ikan yang terapung di Sungai Pahang. Bahagian atas
sangkar ditutup untuk tujuan memudahkan kawalan ikan daripada dirosakan atau dicuri,
dan kedua untuk memudahkan pergerakan penternak semasa proses memberi makan ikan
dan membersihkan sangkar ikan. Tali pengikat antara sangkar dan tali pengikat sangkar
ke tebing perlu dipastikan tali yang berkualiti bagi memastikan sangkar-sangkar ikan
tidak dihanyutkan oleh air sungai khususnya apabila tiba musim banjir.
58
9 kaki
12 kaki
9 kaki
Tali pengikat
antara sangkar
Tali pengikat ke tebing
Gambarajah 3.1 : Ilustrasi Bentuk dan Saiz Sangkar Ikan
Sumber : Lakaran Penulis
Gambar 1 : Sangkar Ikan
Sumber: Koleksi Penulis
59
Masyarakat Minoriti dan Pembangunan Komuniti
Agenda pembagunan komuniti boleh dianggap sebagai satu usaha yang dirangka dan
direalisasikan bertujuan membawa perubahan dalam kehidupan masyarakat. Perubahan
ini bersifat progresif dan melibatkan pelbagai dimensi seperti perubahan kebendaan yang
sering dikaitkan dengan peningkatan pendapatan. Juga perubahan sosial yang merujuk
kepada perubahan cara hidup yang dikaitkan dengan traditional kepada amalan dan cara
hidup moden (Asnarulkhadi, 2005). Di Malaysia usaha ini diperhebatkan selepas 1970
bila mana Rancangan Malaysia Ke dua bermula. Strategi yang lebih responsif digunakan
dalam pembangunan dengan menggalakan penglibatan masyarakat dalam merebut
peluang-peluang pembangunan. Justeru pendekatan pembangunan komuniti di
perkenalkan untuk menggerakan penduduk luar bandar turut terlibat dalam proses
pembangunan (Asnararulkhadi, 2005).
Di negara ini pembangunan komuniti dilaksanakan dengan menggunakan beberapa
pendekatan. Pertama pendekatan atas-bawah atau lebih dikenalai sebagai direct approach
oleh Batten (1957). Pendekatan ini bersifat arahan dari pihak kerajaan yang dilasurkan
untuk dilaksanakan di peringkat komuniti. Ianya diperkukuhkan melalui penglibatan
jentera pelaksana dasar di pelbagai peringkat meliputi peringkat negeri, daerah, mukim
dan kampung. Menerusi jentera pelaksana ini dapat memastikan semua bentuk
perbekalan, dan khidmat nasihat teknikal diberikan kepada kelompok atau komuniti
sasaran.
Pendekatan ke dua dikenali sebagai pembangunan komuniti jenis jaya diri. Pembangunan
jenis ini menekankan kepada inisiatif dan usaha komuniti sendiri dalam menjayakan
kemajuan dan perubahan dalam lingkungan kejiranan atau komuniti (Cary, 1970;
60
Thomas, 1983). Pendekatan ini mampu menarik anggota komuniti untuk menjayakan
aktiviti pembangunan komuniti menerusi ikatan sosial yang dimiliki.
Pendekatan pembangunan komuniti ke tiga adalah jenis arahan kendiri atau self-directed.
Pendekatan ini tidak terbatas kepada aktiviti yang disokong oleh pihak kerajaan,
sebaliknya dijayakan sendiri oleh masyarakat. Menurut Asnarulkhadi (2005), bentuk
pembangunan jenis ini biasanya berasaskan perkumpulan kejiranan dan kumpulan
tindakan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan aktviviti yang dirancang.
Antara bentuk kumpulan kejiranan dan kumpulan tindakan adalah seperti khairat
kematian, Persatuan Ibubapa dan Guru, Perkumpulan Wanita dan lain-lain.
Ketiga-tiga pendekatan ini mampu membantu perlaksanaan pelan pembangunan
komuniti, namun masing-masing mempunyai kekuatan dan kelamahan masing-masing.
Usaha membangunkan komuniti boleh dijayakan bukan sahaja oleh pihak kerajaan malah
boleh dijayakan oleh komuniti itu sendiri. Namun yang pasti walau apapun pendekatan
yang dipilih ia seharusnya membawa kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup
komuniti terbabit. Bagi masyarakat Kemboja pendekatan ke dua dilihat lebih menepati
dengan apa yang dilakukan oleh mereka. Mereka menggunakan pengalaman dan
kekuatan yang ada pada mereka dan akhirnya berjaya melaksanakan aktiviti penternakan
ikan sangkar dengan jayanya.
Kumpulan minoriti ini secara individu atau secara kolektif memainkan peranan penting
dalam pembangunan negara khususnya pembangunan industri akukultur. Di peringkat
awal penglibatan mereka dalam industri ini lebih merupakan sebagai aktiviti ekonomi
bersifat alternatif berbanding aktiviti utama. Penglibatan kumpulan minoriti seperti
61
masyarakat Kemboja ini jelas memperlihatkan kepada kita bahawa daya usaha yang
bersungguh-sungguh untuk meneruskan kehidupan mereka di negara asing telah
membuahkan hasil. Bermula dengan usaha yang dilakukan secara tidak langsung di
peringkat awal dan akhirnya bertukar menjadi salah satu sumber ekonomi utama
keluarga. Seterusnya berjaya menjadikan kegiatan ini sebagai salah satu kegiatan
ekonomi penting kepada bukan sahaja kepada masyarakat Kemboja malah kepada
masyarakat Malaysia umumnya. Hasil usaha mereka telah menjadi pencetus kepada
masyarakat Melayu dan Cina di daerah Pekan untuk menceburi bidang yang membawa
pulangan yang baik. Maka tidak hairanlah pada hari ini daerah Pekan merupakan salah
sebuah bandar yang sinonim dengan bandar ikan patin selain dari bandar Temerloh di
Negeri Pahang.
Satu perkara yang dikira menarik untuk diteliti adalah dari segi perkembangan industri
ini, ianya dimulakan dengan daya usaha sendiri tanpa sebarang bentuk bantuan sama ada
latihan, teknik, khidmat nasihat, pasaran, atau kewangan. Sehingga ke hari ini kegiatan
ini masih diteruskan tanpa pergantungan kepada agensi kerajaan seperti Jabatan
Perikanan atau Lembaga Pertubuhan Peladang. Keadaan ini agak sedikit berbeza
berbanding dengan peternak berketurunan Melayu yang sedikit sebanyak mengharapkan
bantuan daripada agensi-agensi kerajaan yang terbabit untuk melibatkan diri dengan
kegiatan ini.
Kesimpulan
Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa sumbangan masyarakat minoriti dalam
perkembangan dan pembangunan industri akukultur di daerah Pekan sememangnya tidak
dapat dinafikan. Penglibatan masyarakat Kemboja sebagai peneraju utama industri ini
62
jelas terbukti menerusi sama ada dari segi bilangan penternak, bilangan sangkar ikan
yang dimiliki atau pun dari segi status pengeluar. Kesemuanya membuktikan bahawa
masyarakat ini menjadi pendahulu dalam industri ini, juga satu fakta yang tidak harus
dikesampingkan adalah mereka sebagai pelopor. Kejayaan ini juga sebenarnya berkait
rapat dengan semangat kerjasama, usahs gigih, dan tolenransi yang tinggi yang dimiliki
oleh mereka. Ciri-ciri khusus yang ada pada mereka boleh di lihat sebagai kunci utama
kejayaan mereka sehingga ke hari ini. Dari segi pengeluaran misalnya mereka berupaya
memastikan bekalan sentiasa ada dan mencukupi sepanjang tahun tanpa mengira musim.
Ini pastinya memerlukan strategi dan penelitian khusus oleh pembekal dan penternak dan
pastinya persefahaman di antara kedua-dua pihak ini sangat penting. Tidak kira sama ada
penternak bersaiz kecil, sederhana atau besar masing-masing mempunyai strategi
pengeluaran dan pemasaran tersendiri. Walaupun mereka ini tidak menerima sebarang
bentuk bantuan, bimbingan atau sokongan yang jelas dari pihak kerajaan, namun mereka
masih mampu membuka mata masyarakat setempat tentang peluang dan ruang yang ada
untuk memartabatkan sektor ini sebagai sumber ekonomi yang menguntungkan.
Kumpulan minoriti ini juga mampu mengekalkan status sebagai penyumbang utama
kepada perkembangan industri akuakultur di daerah Pekan sehingga ke hari ini.
63
Rujukan
Asnarulkhadi Abu Samah, 2005, Pendayaupayan Komuniti Melalui Penglibatan: Satu
Penilaian Umum Terhadap Pembangunan komuniti di Malaysia,. Kuala Lumpur : Institut
Sosial Malaysia, Malaysian Journal of Social Policy And Society, pp. 75 -91
Batten, T.R., 1957, Communities and their Development, London: Oxford University
Press.
Cary, L.J., (ed.) 1970, Community Development as a Process, Columbia: University of
Missouri Press.
David Chandler, 1999, Brother Number One: A Political Biography of Pol Pot,
Westview Press.
David Chandler, Ben Kiernan, Chanthou Boua, 1988, Pol Pot Plans the Future:
Confidential LeadershipDocuments from Democratic Kampuchea. New Haven, Conn.:
Yale University Southeast Asia Studies,Yale Center for International and Area Studies.
Farina So, 2010, An Oral History of Cham Muslim Women in Cambodia under the Khmer
Rouge Regime, MA Thesis, Ohio University, access pada 10/7/2011.
www.dccam.org/.../An_Oral_History_of_Cham_Muslim_Women.
Fatimah Mohd Arshad (et.al), 1997, Rural Development Model in Malaysia, paper
presented in a meeting with the Hon. President of Peru, Lima, PERU, 13 October 1997,
25p.
Hugo, G., 1993, Indonesian Labour Migration to Malaysia: Trends and Policy
Implications, Southeast Asian Journal of Social Scienece, 21(1) pp:36-70.
Jabatan Perangkaan Malaysia, 2001, Laporan Tahunan, Percetakan Kerajaan.
Jabatan Perikanan Negeri Pahang, 2009, Laporan Tahunan, Percetakan Keranaan.
Jabatan Perikanan Negeri Pahang, 2010, Laporan Tahunan, Percetakan Keranaan.
Jabatan Perikanan Daerah Pekan, 2010, Laporan Tahunan, Percetakan Kerajaan
Kechik I.A., 1995, Aquaculture in Malaysia, In: T.U. Bagarinao & E.E.C. Flores (eds.)
Towards Sustainable Aquaculture in Southeast Asia and Japan. (pp. 125-135). Iloilo,
Philippines: SEAFDEC Aquaculture Department.
Liong, P.C., H.B. Hanafi, Z.O. Merican and G. Nagaraj, 1988. Aquaculture development
in Malaysia. In; Perspectives in Aquaculture Development in Southeast Asia and Japan:
Contribution of the SEAFDEC Aquaculture Department. Proceedings of the Seminar on
Aquaculture Development in Southeast Asia, Iloilo City, Philippines, 8-12 September
1987 (J.B. Juario and L.B. Benitez, eds.). 73-90
64
McCall, G., 1991, The Future of Migration in the Pacific and Asia, International
Migration Review, 25 (3)pp: 620-624.
Mohamad Zain Musa, dan Nik Hassan Suhaimi Nik Abd Rahman, 2003, Masyarakat
Cham Sepanjang Zaman, Kuala Lumpur: Ikatan Ahli-ahli Arkeologi Malaysia.
Nakula, Abdullah Mohamed, 1989, Keturunan Melayu Di Kemboja dan Vietnam:
Hubungannya dengan Semenanjung dengan Tumpuan Khas Kepada Negeri Kelantan.
Dalam Nik Mohamed Nik Mohd Salleh (ed.), Warisan Kelantan VII, Perbadanan
Muzium Negeri Kelantan.
Nik Zaharah Nik Din, 1977, The Cambodian Refugees in Kelantan, BA Thesis, Jabatan
Asia Tenggara, Universiti Malaya.
Portal Rasmi Jabatan Perikanan Malaysia, 2010, Perangkaan Perikanan Tahun 2009, di
access pada 10/8/2011. www.dof.gov.my/59
Suara PERKIM, 2010, Edisi Khas 50 Tahun, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia,
Kuala Lumpur.
Saad Mohd Said, Fatimah Said, dan Sofia Ratna Sari Harahap, 2008, Migrasi
Antarabangsa: Penghijrahan Buruh Indonesia Ke Malaysia
Stubbs, 1983,Malaysia’s Rubber Smallholding Industry: Crisis and the Search for
Stability, Pacific Affairs, Vol.56, no. 1, pp 88-105.
Supang Chantavanish dan E.B., Reynolds (ed.), 1988, Indochinese Refugees: Assylum
and Resetlement, Institutes of Asian Studies, Bangkok.
Thomas, D.N., 1983, The Making of Community Work, London: George Allen & Unwin.
Usman Hj. Yaakob & Tarmiji Masron, 2008, Isu-Isu Kependudukan dan Migrasi di
Malaysia, Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia. Ysa Osman, 2006, Cham Rebellion: The Survivors’ Stories from the Villages.
Documentation Center of Cambodia.
65
Index Nama
Asnarulkhadi Abu Samah, 59, 60
Batten, T.R., 59,
Ben Kiernan, 42
Cary, L.J., 59
Chanthou Boua, 42
David Chandler, 42
E.B., Reynolds., 43
Farina So,
Fatima, Mohd Arshad., 41
G. Nagaraj.,
H.B. Hanafi, 48,
Hugo, G., 42
Jabatan Perikanan Malaysia., 49
Jabatan Perikanan Daerah Pekan., 52, 53, 54, 55,
Jabatan Perikanan Negeri Pahang., 50,
Liong, P.C., 48
McCall, G., 42
Mohamad Zain Musa., 42, 47
Nakula, Abdullah Mohamed., 45
Nik Hassan Suhaimi Nik Abd Rahman., 42
Nik Zaharah Nik Din., 46,
PERKIM, 44
Stubbs., 44
Supang Chantavanish., 44
Tarmiji Masron., 41
Thomas, D.N.,
Usman Hj. Yaakob., 41
Ysa Osman., 42, 43
Z.O. Merican., 48
Index Subjek
Akuakultur, 48, 49, 50
Cham, 42, 45, 47
Kem Pelarian, 44, 45
Kemboja, 51, 52, 53, 54, 56, 6
Khmer Rouge, 42, 45
Pelarian, 45, 47
Pembangunan Komuniti, 59, 60
Perikanan, 47, 49, 50