GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN
NEGERI PULAU PINANG DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN
PERGERAKAN (PKP) COVID-19 TAHUN 1442H / 2021M
JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM PULAU PINANG
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
2
GARIS PANDUAN
PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG
DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)
COVID-19 TAHUN 1442H / 2021M
1.0 PENDAHULUAN
Garis panduan ini disediakan untuk menjadi dokumen rujukan
kepada pegawai, jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau
di Negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan ibadah korban
semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19
bagi tahun 1442H / 2021M.
2.0 LATAR BELAKANG
2.1 Ibadah korban merupakan salah satu ibadah yang sangat
dituntut untuk dilaksanakan oleh umat Islam dan
hukumnya ialah Sunat Muakkad. Pensyariatan ibadah ini
adalah bagi memperingati peristiwa pengorbanan dan
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
3
ketaatan Nabi Ibrahim A.S yang diperintahkan oleh Allah
S.W.T melalui mimpi untuk mengorbankan anak baginda
iaitu Nabi Ismail A.S berdasarkan firman Allah S.W.T
dalam ayat 102, Surah As-Saffat yang bermaksud:
“Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam
mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah
apa pendapatmu!” Anaknya menjawab, “Wahai bapaku!
Lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu.
Insya-Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang-
orang yang sabar!”
2.2 Pandemik COVID-19 yang mula melanda dunia sejak
akhir tahun 2019 masih belum berakhir. Malaysia kini
sedang menghadapi gelombang ke-3 yang begitu
membimbangkan sehingga Kerajaan Malaysia terpaksa
melaksanakan PKP menyeluruh (Total Lockdown) mulai
01 Jun hingga 28 Jun 2021. Sejajar dengan ini juga,
Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Pelan Pemulihan
Negara yang akan dilaksanakan secara berfasa pada 15
Jun 2021 yang lalu.
2.3 Bagi membolehkan ibadah korban sempena Sambutan
Hari Raya ‘Idil Adha yang menjadi salah satu syiar Islam
di Negeri Pulau Pinang dapat diteruskan dengan
mengambil kira Pelan Pemulihan Negara tersebut di atas,
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
4
maka jabatan ini mengambil langkah positif dengan
mewujudkan satu garis panduan khusus pelaksanaan
ibadah korban kepada jawatankuasa korban, masjid dan
surau. Garis panduan ini akan memastikan pelaksanaan
ibadah korban tidak membelakangkan ketetapan atau
peraturan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian
Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar
Pulau Pinang dan agensi-agensi lain yang berkaitan.
3.0 OBJEKTIF
3.1 Mewujudkan panduan spesifik dan komprehensif kepada
pegawai, jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau
serta petugas yang dilantik bagi melaksanakan ibadah
korban dalam tempoh PKP.
3.2 Mengangkat ibadah korban yang menjadi salah satu syiar
Islam dan amalan umat Islam dapat diteruskan dengan
lebih sistematik.
3.3 Menyesuaikan peraturan dan norma baharu kehidupan
dalam pelaksanaan ibadah korban berteraskan Maqasid
Syariah dan Kaedah Fiqh sebagai langkah pencegahan
kepada penularan pandemik COVID-19.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
5
4.0 PANDUAN PELAKSANAAN DAN TINDAKAN
4.1 Prinsip Teras Kawalan
Tahap kesedaran dan kebertanggungjawaban penuh
daripada jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau
serta petugas yang dilantik amat penting bagi mencapai
tujuan teras kawalan ini. Ia meliputi keperluan memahami
skop tugas, perincian tanggungjawab serta kemahiran
petugas di samping mengekalkan sentimen kebimbangan
terhadap jangkaan risiko penularan wabak COVID-19
selain hasrat untuk memastikan kejayaan pelaksanaan
ibadah korban.
4.1.1 Kepatuhan Dan Peraturan Undang-Undang
a) Jawatankuasa ibadah korban, masjid, surau,
Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun, Agensi
Swasta, Institusi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan
(NGO) serta orang perseorangan yang akan
melaksanakan ibadah korban hendaklah
menyediakan dokumen asas yang diperlukan oleh
undang-undang dan peraturan yang
dikuatkuasakan.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
6
b) Jawatankuasa ibadah korban, masjid, surau dan
pihak-pihak lain yang dinyatakan di perenggan
4.1.1(a) tidak dibenarkan untuk melaksanakan
ibadah korban melainkan setelah mendapat
kelulusan daripada Pejabat Agama Daerah.
Permohonan untuk melaksanakan ibadah korban
tersebut hendaklah dimohon dengan menggunakan
borang permohonan yang mengandungi maklumat-
maklumat berikut: -
i. Tarikh pelaksanaan;
ii. Anggaran jenis dan jumlah haiwan
korban yang akan disembelih;
iii. Cadangan lokasi tempat
penyembelihan;
iv. Cadangan susun atur khemah / meja
berdasarkan keperluan perenggan
4.3.4(a);
v. Kaedah pengedaran/ pengagihan
daging korban; dan
vi. Langkah-langkah keselamatan yang
diambil bagi memastikan hanya
petugas yang berada di kawasan
penyembelihan.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
7
c) Semua permohonan yang diterima oleh pihak
Pejabat Agama Daerah akan dikumpulkan dan
dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)
untuk kelulusan kepada pemohon atau penternak
yang meliputi: -
i. Permit Penyembelihan Luar
(MBSP/MBPP);
ii. Sijil Kesihatan Veterinar (Pejabat
Veterinar Daerah); dan
iii. Akuan Pemindahan Ternakan (Pejabat
Veterinar Daerah)
d) Tujuan dokumen tersebut adalah untuk memastikan
ternakan yang akan disembelih berada dalam
keadaan sihat, tidak terlalu kurus, tidak tempang
dan bebas dari sebarang kecacatan dan penyakit.
Aktiviti ini bertepatan dengan maksud Hadis
Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Barra
yang bermaksud:
“Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak
sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta
sebelah mata, penyakit yang nyata, jelas tempang
dan terlalu kurus”.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
8
e) Aktiviti penyembelihan (menyembelih, melapah,
memotong dan mengedar) hanya dibenarkan
kepada warganegara Malaysia sahaja.
4.1.2 Tindakan Nyahkuman (Sanitasi)
Jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau perlu
memastikan tempat penyembelihan dan semua peralatan
yang digunakan bebas daripada sebarang bakteria melalui
proses nyahkuman mengikut tatacara yang telah
ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan
Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum dan selepas
pelaksanaan ibadah korban.
4.1.3 Syarat Kelayakan, Tanggungjawab Petugas dan
Peserta Ibadah Korban
a) Syarat Kelayakan Petugas
i. Berumur dari 21 hingga 60 tahun dan
berstatus warganegara Malaysia sahaja;
ii. Bukan warganegara Malaysia tidak
dibenarkan sama sekali;
iii. Mahir dan berkebolehan menjalankan
kerja-kerja berkaitan korban;
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
9
iv. Tidak bergejala seperti demam, batuk,
selsema, sakit tekak dan penyakit kronik
(seperti darah tinggi, kencing manis dan
sakit jantung);
v. Rekod bacaan suhu tidak melebihi 37.5℃;
dan
vi. Petugas yang masih dalam tempoh
kuarantin tidak dibenarkan hadir.
b) Tanggungjawab Petugas
i. Mengimbas kod QR MySejahtera atau
merekodkan kehadiran di dalam buku
rekod yang disediakan;
ii. Mengambil dan merekodkan bacaan suhu
badan;
iii. Memakai penutup hidung dan mulut (face
mask) dan memastikan penjarakan fizikal;
iv. Memakai peralatan kelengkapan diri yang
cukup seperti apron dan sarung tangan;
v. Menggunakan hand sanitizer yang
disediakan secara berkala;
vi. Penggunaan pisau dan peralatan
penyembelihan tidak dibenarkan berkongsi
dan perlu dibawa sendiri;
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
10
vii. Tidak dibenarkan memasuki ke dewan
solat utama melainkan kawasan luar
persekitaran masjid atau surau; dan
viii. Penggunaan tandas dan bilik air pada
tahap minima dan dihadkan.
c) Tanggungjawab Peserta
i. Tidak digalakkan mengambil keseluruhan 7
bahagian haiwan korban (lembu, kerbau atau
unta) bagi memberi peluang kepada peserta
korban yang lain;
ii. Tidak digalakkan membuat akikah dalam
tempoh ibadah korban kerana waktu
pelaksanaan akikah adalah bebas dan tiada had
pada bila-bila masa berbanding dengan ibadah
korban;
iii. Mengesahkan penyertaan, menyempurnakan
akad / wakalah dan membuat pembayaran
secara atas talian (online);
iv. Tidak dibenarkan berada di kawasan
pengurusan korban melainkan peserta
merupakan sebahagian dari petugas yang
dilantik; dan
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
11
v. Boleh hadir ke kawasan pengurusan korban
secara berperingkat untuk mengambil bahagian
daging korban peserta mengikut kaedah yang
ditetapkan oleh jawatankuasa.
4.2 Kawalan Lokal Dan Domestik
Bagi memastikan ibadah korban dapat diteruskan dengan
kawalan yang lebih tegas, ketat dan teratur, Jawatankuasa
ibadah korban, masjid dan surau perlu mematuhi kawalan
lokal dan persekitaran yang menjadi tempat Program
Ibadah Korban dilaksanakan.
4.2.1 Penetapan Akses Pintu / Laluan Keluar Masuk
i. Jawatankuasa hendaklah menetapkan pintu/ laluan
utama yang akan dijadikan laluan keluar masuk
petugas dari masjid atau surau ke tapak sembelihan
atau sebaliknya;
ii. Menetapkan zon parkir kenderaan petugas; dan
iii. Menutup pintu/ laluan utama keluar masuk jika
didapati berlaku sebarang gangguan daripada
jemaah atau pihak lain yang tidak berkaitan.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
12
4.2.2 Pengurusan Petugas Korban
i. Memastikan petugas memakai penutup hidung dan
mulut (face mask), apron dan sarung tangan;
ii. Merekod kehadiran dan suhu badan setiap petugas
sebelum memulakan tugas di dalam buku daftar/
borang yang disediakan;
iii. Memastikan petugas menggunakan hand sanitizer
yang disediakan; dan
iv. Memastikan bilangan petugas tidak melebihi had
yang ditetapkan.
4.3 Kawalan Pelaksanaan
Jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau
hendaklah mengambil inisiatif untuk memastikan
pelaksanaan ibadah korban dalam tempoh PKP ini dapat
dikawal sepenuhnya dengan penuh ketegasan. Langkah
ini amat perlu sebagai usaha bersama semua pihak dalam
memastikan penularan wabak COVID-19 dapat
dibendung.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
13
4.3.1 Kawalan Keselamatan
Pihak jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau
disyorkan untuk melantik sukarelawan atau mana-mana
badan beruniform yang difikirkan sesuai bagi membantu
mengawal keselamatan dan perlindungan di kawasan
penyembelihan khasnya bagi:
i. Mengawal dan menghalang kehadiran serta
keterlibatan bukan warganegara Malaysia;
ii. Mengawal kawasan persekitaran tapak
penyembelihan daripada dikunjungi oleh ahli kariah
yang bukan petugas;
iii. Melancarkan pergerakan petugas di tapak
penyembelihan;
iv. Mengawal proses pelaksanaan pengagihan yang
ditetapkan oleh jawatankuasa; dan
v. Mengawal kawasan parkir dan lalu lintas kenderaan.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
14
4.3.2 Lokasi Penyembelihan Korban
4.3.2.1 Penyembelihan hendaklah dilaksanakan di
kawasan / premis berikut:
i. Masjid dan surau dengan syarat setelah mendapat
kebenaran sembelih/ lesen khas penyembelihan
daripada PBT dan Sijil Kesihatan Veterinar serta
Permit Pemindahan daripada Jabatan Perkhidmatan
Veterinar Daerah. Kawasan sembelihan juga
hendaklah sesuai, bersih, selamat dan tidak terletak
berhampiran saliran awam;
ii. Rumah Sembelihan Pihak Berkuasa Tempatan atau
Jabatan Perkhidmatan Veterinar; atau
iii. Rumah Sembelihan Swasta / Persendirian yang
mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa
Tempatan.
4.3.2.2 Pelaksanaan ibadah korban di mana-mana
tempat selain daripada senarai kawasan /
premis yang dinyatakan pada para 4.3.2.1
seperti di rumah kediaman, dewan orang ramai,
kawasan lapang dan lain-lain tempat adalah tidak
dibenarkan sama sekali.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
15
4.3.3 Had Bilangan Haiwan Korban dan Jumlah Petugas
a) Jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau
hendaklah menetapkan bilangan haiwan korban dan
melantik petugas ibadah korban tidak melebihi had
yang ditetapkan seperti jadual berikut:
Bil Tempat Korban
Bil.Petugas
(Maksimum)
Bil. Haiwan
(Maksimum)
Lembu/
Kerbau/
Unta
Kambing
1. Rumah Sembelihan
25 orang
Tiada had Tiada had
2. Masjid 25 orang 10 ekor 20 ekor
3. Surau 25 orang 5 ekor 10 ekor
b) Had bilangan haiwan korban bagi setiap kategori
tempat korban seperti di jadual tersebut di atas
adalah ditetapkan untuk sepanjang tempoh hari-
hari korban (tasyrik) iaitu 10,11,12 dan 13
Zulhijjah dengan had maksimum sembelihan
sehari sebanyak lima (5) ekor sahaja kecuali bagi
Rumah Sembelihan.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
16
c) Bilangan maksimum petugas ibadah korban yang
ditetapkan seramai 25 orang adalah untuk proses
berikut:
i- Proses sembelihan: 10 orang
ii- Proses melapah: 5 orang
iii- Proses memotong dan mengagih: 10 orang
d) Aktiviti gotong-royong korban adalah tidak
dibenarkan. Hanya petugas yang dilantik sahaja
dibenarkan menjalankan kerja-kerja ibadah korban.
Petugas yang dilantik perlulah di kalangan mereka
yang mahir dan berkebolehan melaksanakan kerja-
kerja berkaitan korban.
e) Hanya petugas yang telah dilantik sahaja
dibenarkan berada di kawasan penyembelihan dan
pelaksanaan korban. Para peserta ibadah korban /
orang ramai adalah tidak dibenarkan berada di
kawasan pelaksanaan ibadah korban.
Jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau
digalakkan membuat liputan secara langsung
(live) pelaksanaan operasi penyembelihan korban
untuk disaksikan oleh peserta / orang ramai.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
17
f) Jawatankuasa ibadah korban, masjid dan surau
boleh mengambil inisiatif menyediakan pas
petugas, t-shirt khas, topi atau apa-apa perkara
yang boleh mengesahkan identiti petugas dan
mengelakkan keterlibatan mana-mana pihak yang
tidak berkenaan.
g) Peralatan Penyembelihan Korban:
i. Peralatan penyembelihan, melapah dan
memotong hendaklah dibawa sendiri oleh
petugas dan tidak dibenarkan berkongsi.
ii. Memastikan semua peralatan penyembelihan
sentiasa tajam, bersih serta dinyahkuman
sebelum dan selepas penyembelihan, melapah
dan memotong.
4.3.4 Kawalan Semasa Pelaksanaan
a) Mengekalkan Pematuhan Pencegahan
Memastikan aktiviti pengurusan ibadah korban yang
melibatkan proses menumbang dan menyembelih,
proses melapah dan memotong karkas, proses
melapah besar dan pemotongan tulang serta proses
pemotongan kecil dan penimbangan hendaklah
menekankan aspek penjarakan fizikal dan ianya
boleh dilaksanakan seperti berikut:
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
18
i. Haiwan korban hendaklah ditambat / diikat di
antara pokok atau tempat penambat dengan
jarak 15-20 kaki di antara satu sama lain;
ii. Khemah dan meja yang digunakan bagi setiap
proses melapah besar, memotong tulang,
memotong kecil, proses menimbang dan
membungkus serta pengumpulan dan
pengedaran daging korban hendaklah
mempunyai jarak 15 – 20 kaki antara satu sama
lain; dan
iii. Mengurang dan mengelakkan sebarang aktiviti
yang melibatkan sentuhan di kalangan para
petugas.
b) Menetap Dan Menjadualkan Penyembelihan
Haiwan Korban
i. Memastikan penyembelihan dilaksanakan
mengikut hari-hari korban (tasyrik) iaitu 10, 11,
12 dan 13 Zulhijjah 1442H / 2021M.
ii. Waktu penyembelihan hanya dibenarkan
antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang
sahaja bagi masjid dan surau, manakala bagi
Rumah Sembelihan akan ditentukan oleh
pengendali Rumah Sembelihan tersebut.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
19
c) Majlis Pelancaran / Acara Perasmian /
Penyediaan Jamuan / Aktiviti Memasak Daging
Haiwan Korban
i. Majlis pelancaran / acara perasmian program
korban adalah tidak dibenarkan;
ii. Aktiviti memasak daging haiwan korban /
penyediaan jamuan di tempat pelaksanaan
ibadah korban / masjid / surau adalah tidak
dibenarkan sama sekali; dan
iii. Penyediaan jamuan petugas ibadah korban
hendaklah disediakan secara bungkus / dalam
bekas sahaja.
d) Agihan Daging
Pengagihan daging korban boleh dibuat melalui
kaedah berikut:
i. Melantik petugas khas atau sukarelawan untuk
mengedar dan mengagih daging korban; atau
ii. Melantik wakil dari setiap blok kediaman, jalan,
lorong, taman atau kampung untuk mengedar
dan mengagihkan daging korban.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
20
4.3.5 Selepas Pelaksanaan
a) Membersihkan Tapak Pelaksanaan Ibadah
korban
i. Memastikan keseluruhan tapak penyembelihan,
melapah dan mengagih dibersihkan;
ii. Sisa pepejal hendaklah dibungkus dan
dilupuskan dengan cara bersesuaian
berdasarkan peraturan Pihak Berkuasa
Tempatan;
iii. Sisa cecair seperti darah haiwan sembelihan
hendaklah ditanam atau dilupuskan dengan cara
yang bersesuaian; dan
iv. Memastikan semua peralatan yang digunakan
dibersihkan, dinyahkuman, disusun dan
disimpan di tempat yang selamat.
b) Tanggungjawab Petugas
i. Membuang apron, sarung tangan, penutup
hidung dan mulut (face mask) yang digunakan;
ii. Membersihkan tangan dan anggota daripada
sebarang kotoran; dan
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
21
iii. Meninggalkan segera tempat pengurusan
penyembelihan korban, masjid dan surau sebaik
selesai ibadah korban.
5.0 PEMATUHAN
5.1 Garis panduan ini akan menjadi rujukan utama agensi dan
institusi yang terlibat dalam pelaksanaan ibadah korban di
Negeri Pulau Pinang. Justeru, pematuhan kepada
pelaksanaannya juga akan lebih menyeluruh meliputi:
i. Semua Institusi Masjid dan Surau di Negeri Pulau
Pinang;
ii. Jabatan Kerajaan, badan berkanun dan agensi
swasta;
iii. Institusi kebajikan dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO); dan
iv. Orang perseorangan yang ingin melaksanakan
ibadah korban.
5.2 Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama Garis
Panduan Pelaksanaan Ibadah korban yang dikeluarkan
oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Garis
Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang
dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri
Pulau Pinang.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
22
6.0 PELANGGARAN
6.1 Pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan
Perkhidmatan Veterinar (JPV), Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang
(JHEAIPP) akan memantau secara tegas terhadap
pelaksanaan garis panduan ini.
6.2 Mana-mana masjid dan surau serta pihak-pihak penganjur
lain yang gagal mematuhi garis panduan ini dalam
pelaksanaan ibadah korban, maka boleh diambil tindakan
oleh jabatan ini atau agensi-agensi berkuasa yang lain
seperti berikut:
i. Memberi amaran kepada pelaksana untuk
mematuhi garis panduan dan komitmen
pematuhan yang telah dikemukakan kepada
Pejabat Agama Daerah; atau
ii. Mengenakan apa-apa tindakan di bawah Enakmen
atau Akta yang dikuatkuasakan oleh agensi
berkaitan kepada mana-mana pihak yang ingkar.
GARIS PANDUAN PELAKSANAAN IBADAH KORBAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1442H/ 2021M
23
7.0 TARIKH KUATKUASA
Garis panduan ini berkuatkuasa mulai 21 Jun 2021 dan hanya
tertakluk untuk pelaksanaan ibadah korban dalam tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 pada Tahun
1442H / 2021M sahaja.
8.0 PENUTUP
Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk mengamalkan
kebiasaan atau norma baharu kehidupan dan mematuhi semua
Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh kerajaan bagi
memastikan wabak COVID-19 kekal terkawal. Diharapkan garis
panduan ini dapat membantu pegawai dan jawatankuasa ibadah
korban, masjid dan surau serta pihak-pihak lain dalam
menjayakan tanggungjawab pelaksanaan ibadah korban di
Negeri Pulau Pinang.
Pengarah
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang
21 Jun 2021M bersamaan 10 Zulkaedah 1442H