1 SYARAHAN PERDANA TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM 24 JULAI 2016 DEWAN SULTAN ISKANDAR, UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan Salam Sehati Sejiwa. Yang Berbahagia Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia Yang Berbahagia Datuk Jalil Marzuki Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mazlan Yusoff Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara Timbalan-Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perkhidmatan Awam Pegawai-Pegawai Kanan Universiti Teknologi Malaysia
34
Embed
SYARAHAN PERDANA TRANSFORMASI PERKHIDMATAN … · Buat julung kalinya dalam sejarah peradaban dunia, dianggarkan sebanyak 56 peratus daripada populasi dunia mendiami kawasan bandar
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
1
SYARAHAN PERDANA TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM
24 JULAI 2016
DEWAN SULTAN ISKANDAR, UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam “1Malaysia: Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan Salam Sehati Sejiwa.
Yang Berbahagia Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar
Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Jalil Marzuki
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan)
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mazlan Yusoff
Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara
Timbalan-Timbalan Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia
Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perkhidmatan Awam
Pegawai-Pegawai Kanan Universiti Teknologi Malaysia
2
Yang Berbahagia Profesor, Datuk, Datin, Dr., Tuan-tuan dan Puan-puan yang
dikasihi sekalian.
2. Alhamdulillah, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah
SWT kerana atas limpah kurnia-Nya jua, dapat kita bertemu dalam majlis yang
begitu signifikan lagi bersejarah ini, bersempena Syarahan Perdana Transformasi
Perkhidmatan Awam yang pada kali ini menjelajah ke selatan tanah air, iaitu ke
Universiti Teknologi Malaysia.
3. Izinkan saya memulakan mukadimah perbicaraan saya hari ini dengan
petikan mutiara hikmah dalam sebuah kitab Minhajul Abidin (Jalan Ahli Ibadah) yang
pernah diungkapkan Imam Al-Ghazali, “Menuntut Ilmu adalah takwa; Menyampaikan
ilmu adalah ibadah; Mengulang ilmu adalah zikir; Mencari ilmu adalah jihad”. Tersirat
dalam nasihat tersebut ialah kepentingan menuntut ilmu dan menyebarluaskan ilmu
tersebut. Sesungguhnya perkongsian ilmu ini bererti menyebarkan petunjuk Allah
SWT yang merupakan cahaya dalam menerangi jalan kebenaran dan menjadi
pembuka pintu kesejahteraan alam semesta untuk dinikmati oleh segala
penghuninya.
KEAGUNGAN TRADISI KEILMUAN SAINS DAN TEKNOLOGI DUNIA ISLAM
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
4. Kegemilangan tamadun Islam dalam tempoh tidak kurang dari empat abad
menjadi sejarah dan momen teragung untuk dikenang bahawa suatu masa dahulu,
3
umat Islam sangat terkehadapan dalam bidang sains dan tradisi keilmuan. Saintis
muslim membintangi dunia kesarjanaan dengan tamadun Baghdad ditandai sebagai
puncak kegemilangannya khususnya di era pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid
dan puteranya Khalifah al-Makmum.
5. Harapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di siang hari. Teraju
keilmuan sains dan teknologi di dunia Islam gagal untuk terus bertapak kukuh. Panji
kecemerlangan ini akhirnya telah diambil alih oleh dunia barat yang begitu
mencemburui era keemasan dunia Islam yang sebelum itu telah diranapkan oleh
tentera Mongol pada abad ke-13. Era sains dan teknologi dunia Islam yang
mengalami zaman gerhana telah membuka episod baharu kepada tamadun Eropah
yang mula bangkit dari zaman kegelapan atau lebih dikenali sebagai zaman
Renaissance. Cengkaman pihak gereja yang sebelum ini begitu dominan dalam
mewarnai landskap kehidupan masyarakat eropah menjadi semakin longgar. Zaman
kebangkitan menyaksikan golongan ilmuan dan saintis mula menerajui
perkembangan ilmu dan pengetahuan menerusi kajian dan penemuan-penemuan
baharu.
6. Di dunia nusantara, konflik yang wujud di antara ahli agama dan golongan
cerdik pandai telah menimbulkan pertembungan yang dahsyat sehingga
mempengaruhi rakyat menolak pengkajian saintifik barat dan melihatnya sebagai
satu perkara yang syirik dan harus ditentang. Lebih malang pegangan seperti ini
masih lagi berlegar dalam segelintir masyarakat sehingga kini. Polemik vaksinasi
dalam kalangan masyarakat hari ini yang menjadi isu besar di media sosial dan
4
perdana adalah antara contoh pertembungan pendapat dalam kalangan rakyat yang
membenarkan hakikat ini.
7. Kegagalan melihat sains dan teknologi sebagai pemangkin dalam
meningkatkan kesejahteraan dan martabat umat memberikan kesan yang sangat
negatif dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang dibanggakan
pada suatu masa dahulu. Isu-isu yang sering membelenggu ialah bagaimana
negara-negara Islam yang mempunyai majoriti penduduk bumi dapat mempelopori
semula penemuan dan ciptaan baharu sains dan teknologi selepas beberapa abad
hanya sekadar menjadi pengguna dan pengekor kepada kemajuan teknologi barat.
Ledakan sains dan teknologi barat juga telah memunculkan globalisasi. Pada abad
ke-20 sehingga kini, dampak dari kemajuan sains dan teknologi terus berkembang
pesat meninggalkan kesan yang begitu mendalam dalam kehidupan manusia.
Dekad 80-an pula menyaksikan perkembangan sains kuantum yang membuka era
baharu dengan kemunculan teknologi perkomputeran, teknologi maklumat, kawalan
jarak jauh, teknologi angkasa, teknologi imej, teknologi elektronik dan fotonik dan
terkini nanoteknologi.
8. Maka, berdiri di atas hujahan inilah saya berkeyakinan usaha mengangkat
dan menjulang obor keilmuan dalam bidang sains dan teknologi bukan lagi menjadi
suatu keperluan, bahkan ia menjadi satu kefardhuan yang wajib digalas oleh kita
semua sebagai penjawat awam.
5
LAKARAN TRADISI KEGEMILANGAN UTM
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
9. Institusi pengajian tinggi mempunyai peranan dan sumbangan yang sangat
signifikan dalam melaksanakan Agenda Transformasi Negara. Penghasilan modal
insan yang berkualiti tinggi merupakan salah satu faktor penentu kejayaan Malaysia
ke arah status negara maju berpendapatan tinggi. Untuk itu, institusi pengajian tinggi
dituntut untuk melakukan pengislahan dengan terus menjalankan usaha-usaha
rejuvenasi dan penyuburan semula tamadun ilmu ke arah mengangkat martabat
pengajian tinggi negara. Kebitaraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobatkan
sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan atau Research University telah
memberi peluang untuk memposisikan dirinya dalam satu trajektori yang tepat
sebagai peneraju kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang
kejuruteraan teknologi. Testimoni kecemerlangan ini terzahir menerusi kejayaan
tersenarai dalam ranking ke-100 dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi
serta menempatkan dirinya di kedudukan ke-63 Asia sebagaimana penarafan yang
dikeluarkan oleh QS World Rankings 2016.
10. Namun kita amat menyedari untuk mengekalkan kelestarian dan kebitaraan,
sesebuah institusi pengajian tinggi perlu memartabatkan persekitaran universiti yang
membolehkan wujudnya kombinasi unik pembudayaan penyelidikan, pengajaran
dan pembelajaran serta profesionalisme – a unique fusion of education, research
and professional practice. Sejajar dengan itu, UTM perlulah mencabar dirinya untuk
sentiasa menerokai penyelidikan dan penemuan baharu yang bukan sahaja sekadar
6
memenuhi repositori ilmu universiti, bahkan membawa perubahan besar kepada
kehidupan rakyat selaras dengan moto keramatnya, iaitu “Kerana Tuhan Untuk
Manusia”
11. Tanpa usaha dan komitmen padu seluruh warganya, saya yakin UTM tidak
dapat berada di tahap yang membanggakan sepertimana yang ada pada hari ini.
Atas dasar ini, saya mengajak warga UTM agar terus mengekalkan momentum
kejayaan ini dan mengukir kegemilangan sebagai salah sebuah universiti
penyelidikan tersohor bertaraf dunia.
KEMUNCULAN MEGA TRENDS YANG MEMBENTUK LANDSKAP BAHARU
GLOBAL
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
12. Badan konsultasi global tersohor, Frost & Sullivan dalam kajiannya bertajuk
Global Mega Trends and Innovation Trends and Implications to Business, Society
and Culture telah mengenal pasti beberapa trend transformatif dan global forces
yang berpotensi memberi kesan yang amat ketara kepada masyarakat sedunia
menjelang tahun 2025. Kajian pada tahun 2014 tersebut telah mengenal pasti 12
mega trends yang akan memberi pengaruh hebat terhadap ekonomi, bisnes, budaya
dan kehidupan harian setiap individu. Dua belas mega trends tersebut ialah
“Urbanisation – City as a Customer”; “Bricks and Clicks”; “Future Infrastructure
Development”; “Smart is the New Green”; “Innovating to Zero”; “Health, Wellness
and Wellbeing”; “Social Trends: Gen Y, Middle Bulge, She-economy and Geo-
7
socialisation”; “Future of Energy”; “Future of Mobility”; “Connectivity and
Convergence”; “Economy: Beyond BRICS: The Next Game Changers”; dan “New
Business Models: Value for Many”.
13. Sebahagian besar daripada 12 mega trends ini yang akan menerjah ke
seluruh pelosok dunia dalam tempoh 30 tahun akan datang, bukanlah sesuatu yang
asing kepada kita. Ada di antaranya telah pun mula berakar dan kesannya juga telah
kita rasai pada masa ini. Dalam konteks syarahan ini, saya berpandangan terdapat
lima mega trends yang sesuai kita tekuni dan amati. Yang pertama adalah
“Urbanisation – City as a Customer”. Buat julung kalinya dalam sejarah peradaban
dunia, dianggarkan sebanyak 56 peratus daripada populasi dunia mendiami
kawasan bandar pada tahun 2020 atau mewakili jumlah seramai 4.3 billion orang.
Migrasi mega penduduk pula akan mentransformasikan bandar kepada hab ekonomi
yang lebih besar dan menyaksikan munculnya fenomena megacities. Pelebaran kota
ini akan membawa kepada terjelmanya “Mega Regions”, “Mega Corridors” dan
malangnya barangkali turut membiakkan “Mega Slums”.
14. Menjelang tahun 2025, Frost & Sullivan meramalkan sebanyak 35 mega
cities akan muncul di seantero dunia dengan benua Asia akan memiliki hampir 18
mega cities. Negara China sahaja akan mempunyai sebanyak 13 daripada 18 mega
cities di Asia.
15. Dalam konteks Malaysia, Kerajaan mensasarkan untuk membangunkan
empat bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu
sebagai Bandar Berdaya Saing menjelang tahun 2020. Matlamat ini adalah selaras
8
dengan pemacu perubahan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) iaitu
pelaburan bandar berdaya saing. Bandar raya terbesar di Malaysia iaitu Kuala
Lumpur sahaja telah menyumbang 14.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
pada tahun 2015.
16. Perbandaran memainkan peranan penting dalam pertumbuhan negara
dengan menyediakan peluang pelaburan dan perdagangan serta meningkatkan
keterhubungan dengan kawasan pinggir dan luar bandar. Selaras dengan matlamat
Malaysia untuk merekayasa dan merangsang pertumbuhan ekonomi, pembangunan
dan pembaharuan bandar adalah sangat penting dalam mewujudkan nadi
aglomerasi ekonomi yang kukuh. Dalam hal ini, saya melihat bahawa perkongsian
strategik di antara pentadbiran mega city, agensi swasta dan ahli akademik
merupakan model kerjasama terbaik di dalam mengurus fenomena ini.
17. Seterusnya yang kedua adalah “Smart Is The New Green”. Fenomena ini
memperlihatkan bagaimana produk dan perkhidmatan mesra alam pada masa kini
bakal digantikan dengan produk dan perkhidmatan pintar yang ditambah nilai
dengan teknologi imbasan pintar atau intelligent sensing technology. Dengan
dimobilisasikan oleh Internet of Things (IoT) dan komunikasi Mesin kepada Mesin
(M2M), teknologi pintar digital akan menjadi pemacu utama yang menentukan
kecekapan dan kemampanan pelbagai aplikasi yang digunakan secara meluas
dalam kehidupan moden hari ini dan masa hadapan. Melalui ramalan tersebut,
teknologi pintar digital ini akan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia
sejagat yang meliputi pelbagai bidang seperti smart energy, smart mobility, smart
9
healthcare, smart infrastructure, smart buildings, smart governance and of course
smart citizens.
18. Bab Keenam RMK11 menunjukkan bahawa kita telah berada di landasan
yang tepat menerusi gerakan revolusi bangunan hijau yang memfokuskan kepada
pembangunan teknologi yang mesra alam terhadap kawasan kediaman dan pejabat.
Strategi ini diambil bukan sahaja sebagai langkah meningkatkan kecekapan dan
keberkesanan penggunaan tenaga dan air, malah berdaya tahan terhadap
perubahan iklim. Dalam merealisasikan strategi ini, antara isu besar yang mungkin
menjadi persoalan kepada institusi-institusi penyelidikan seperti UTM adalah
bagaimana Tuan-tuan dan Puan-puan boleh memainkan peranan signifikan dalam
menjana ekonomi baharu berasaskan teknologi pintar?
19. Kemudiannya, yang ketiga adalah “Future Infrastructure Development”.
Sekiranya Tuan-tuan dan Puan-puan menjangkakan kos dan pelaburan untuk
menyediakan infrastruktur pada hari ini amat tinggi, then you have to think twice.
Dijangkakan pelaburan global untuk pembangunan infrastruktur akan mencecah
USD 27 trillion pada tahun 2025 dengan koridor Asia Pasific sahaja memiliki 37
peratus daripada jumlah pelaburan tersebut.
20. Hari ini, dengan komunikasi komuniti antarabangsa hanya berada di hujung
jari, dunia seolah-olah semakin mengecil. Atlas global semacam menghimpunkan
seluruh umat manusia dalam satu kota yang maha luas. Perjalanan dari benua ke
benua yang dahulunya memakan masa berbulan-bulan lamanya barangkali
memerlukan tempoh cuma sehari dua. Frost & Sullivan menjangkakan pembinaan
10
High Speed Rail atau HSR yang menghubungkan Asia Pasific dan Eropah bakal
diletakkan batu asasnya pada tahun 2025. Pada masa hadapan kelak, sebaik sahaja
gerabak pertamanya meluncur pantas di atas landasan tersebut, ungkapan bahawa
dunia ini adalah sebuah perkampongan global telah menjadi satu realiti.
21. Mega trend yang diramalkan Frost & Sullivan ini turut berlaku di negara kita
apabila pada minggu lalu, telah termerainya perjanjian persefahaman pembinaan
HSR yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dengan melibatkan
kos pelaburan sebanyak USD 11 billion. Dijangkakan sebaik sahaja ia beroperasi
pada tahun 2026, masa perjalanan yang diambil hanyalah selama 90 minit sahaja.
Kemunculan HSR yang terkenal di Jepun, China dan negara Eropah dalam
pembangunan infrastruktur negara pastinya akan membuka peluang yang besar
kepada industri baharu berteknologi tinggi seperti rolling stock, teknologi landasan
yang sofistikated dan arkitektur stesyen yang canggih.
22. Sebagai sebuah institusi penyelidikan, Tuan-tuan dan Puan-puan perlulah
melihat perkara ini sebagai ruang dan peluang untuk kita mengembangkan lagi
kepakaran dan mempertingkatkan lagi teknologi yang sedia ada sekarang. Inilah
antara lontaran cabaran saya kepada Tuan-tuan dan Puan-puan sebagai warga
ilmuan.
23. Seterusnya, yang keempat adalah “Innovation to Zero’”. Mega trends
“Innovation to Zero” menggagaskan konsep dunia yang sempurna tanpa sebarang
kesilapan – zero emissions, zero accidents, zero fatalities, zero defects dan zero
11
breaches of security. Masyarakat hari ini berkiblatkan kepada kesempurnaan.
Mereka mengekspektasikan produk dan perkhidmatan yang terbaik tanpa sebarang
cacat cela. Seboleh mungkin ruang untuk terjadinya kesilapan akan ditutupi dan
dicari penyelesaian paling berkesan untuk mengisi ruang tersebut. Fenomena ini
turut membawa kepada perdebatan ekologi tentang masa depan bumi dan alam
sekitar. Kritikan terhadap pembangunan kontemporari yang didakwa menyebabkan
berlakunya kesan terhadap pemanasan global, penipisan ozon serta gangguan
terhadap ekosistem alam semakin rancak dan kencang diutarakan oleh pelbagai
pihak. Frost & Sullivan menjangkakan pada tahun 2030, kebanyakan negara maju
bakal melaksanakan konsep pembangunan hijau di semua bangunan milik kerajaan.
24. Perbahasan tentang isu alam sekitar turut membawa bersamanya perkaitan
dengan apa yang disebut sebagai “Circular Economy” – sebuah kitaran ekonomi
yang merupakan jawapan terhadap konflik sumber alam yang semakin terhad hari
ini. Idea “Circular Economy” menampilkan kesedaran terhadap pentingnya kita
memikirkan bagaimana untuk menggerakkan pembangunan ekonomi secara holistik
tanpa mengabaikan aspek kemampanan produk atau perkhidmatan dan kelestarian
alam semulajadi.
25. Jika ditinjau perdagangan dan pembangunan ekonomi kini, kebanyakan
material dan produk yang dikeluarkan kebanyakan kilang telah menghasilkan bahan
buangan yang begitu banyak. Dianggarkan 90 peratus daripada bahan materials
yang digunakan dalam industri perkilangan bertukar menjadi bahan sisa buangan
setelah sesebuah produk itu siap. Manakala, 80 peratus produk yang telah dijual,
akan dibuang oleh pengguna selepas 6 bulan membelinya. Oleh demikian, “Circular
12
Economy” menawarkan kita sebuah gagasan ekonomi baharu dalam memantapkan
pelbagai bidang pembangunan iktisad negara dengan menggalakkan lebih banyak
inovasi dan kreativiti demi mencipta dunia baharu yang lebih mampan dan menuju
kepada kesempurnaan. Sebagai universiti yang menerajui penyelidikan teknologi,
Tuan-tuan dan Puan-puan perlulah melihat bagaimana kemajuan teknologi yang
dicapai mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dalam
konteks ini, adalah menerusi idea “Circular Economy” seperti yang saya hujahkan
tadi.
26. Seterusnya, saya ingin membawakan mega trend yang kelima iaitu “Future
of Mobility”. Pada dekad yang lalu, dunia automatif masih terperangkap dalam
kebimbangan terhadap isu penggunaan tenaga, jumlah pengeluaran kenderaan,
keperluan pembangunan infrastruktur jalan serta impaknya terhadap alam. Frost &
Sullivan menjangkakan landskap baharu dunia mobiliti masa hadapan akan berkisar
terhadap e-mobility. Dijangkakan lebih 40 juta kenderaan elektrik termasuklah
basikal, motorsikal, pacuan empat roda dan bas akan menjadi tumpuan dalam
pasaran di segenap penjuru dunia. Dalam pada itu, konsep perkongsian kereta dan
motosikal, khidmat pengangkutan pintu-ke-pintu serta pewujudan aplikasi mobiliti
dalam bandar akan menjadi sesuatu yang normal menjelang tahun 2020. Dan pada
tahun tersebut juga, dengan munculnya “sensorization of things” dan aplikasi mobil,
para pengguna boleh mengetahui sama ada ruang parkir di tempat yang hendak
dituju itu mempunyai kekosongan atau pun tidak, hanya dari rumah lagi!
27. “Future of Mobility” bakal dan mungkin telah pun meletuskan fenomena
tersendiri dalam dunia automotif. Uber, sebuah jenama baharu syarikat
13
pengangkutan global telah mencetuskan kemarahan ratusan malah ribuan pemandu
teksi seluruh negara. Syarikat yang tidak memiliki walau satu pun kenderaan
komersil ini, pintar menggunakan perkongsian komoditi dan memanfaatkan potensi
pasaran untuk mencipta gelombang masa hadapan dunia pengangkutan.
28. Jika mega trend “Innovation to Zero” telah memunculkan konsep “Circular
Economy”, maka “Future of Mobility” kelihatannya mengenengahkan konsep
“Sharing Economy”. Berbanding potensi pasaran “Circular Economy” yang
dijangkakan menyumbang sebanyak USD 1 trillion kepada ekonomi global
menjelang tahun 2025, maka “Sharing Economy” pula berpotensi menyumbang
sebanyak USD 155 billion dalam pasaran menjelang 2020.
29. Selain Uber dan GrabCar yang mendominasi perkhidmatan perkongsian
kenderaan yang begitu popular di seluruh dunia, malah di negara kita kini, antara
potensi baharu yang lain adalah perkongsian ruang atau hartanah, perkongsian
busana dan pakaian serta perkhidmatan perkongsian barangan. Inilah antara
perkara-perkara baharu yang mungkin dalam sedikit masa sahaja lagi akan menjadi
fenomena dan mendominasi ekonomi negara kita.
Para hadirin sekalian,
30. Sekarang, izinkan saya untuk membawa Tuan-tuan dan Puan-puan
menerobos realiti menyusuri selangkah sedekad ke hadapan. Pada pagi 1 Januari
2025, sebaik bangkit dari lena di waktu pagi, di saat Tuan-tuan dan Puan-puan
14
menikmati sarapan pagi di meja santapan, Tuan-tuan dan Puan-puan sempat
membelek keratan akhbar mahu pun melayari gajet di sebelah. Maka, Tuan-tuan
dan Puan-puan akan menyaksikan himpunan tajuk berita seperti “Robots Have
Entered Our Homes For Personal Use”, “Big Data Tiba Di Era Zettabyte”, “High
Speed Rail To Connect From China To Europe”, “Jualan Musim Panas:
Pelancongan Ke Angkasa”, “Peralihan Dari Pencetakan 3D ke Pencetakan 4D” dan
“There Are 6 Million Autonomous Cars In Europe And North America”.
31. Begitulah ramalan masa hadapan, meski pun sekadar jangkaan, namun
bakal mencorakkan dunia baharu yang mungkin tidak disangka oleh kita hari ini.
Mega trends yang diunjurkan ini pula memberi isyarat yang jelas kepada kita
bahawa sesuatu harus dilakukan dalam perancangan dasar dan perencanaan polisi
perkhidmatan awam negara pada masa kini. Pada hemat saya kombinasi mega
trends ini akan memberi cabaran besar kepada masyarakat secara keseluruhan
sama ada institusi kerajaan, korporat, badan bukan Kerajaan, malah lebih penting,
institusi akademik dan penyelidikan seperti UTM. Let us be ready for the challenge.
RE-THINKING GLOBALISATION: MENCABAR ALIRAN PEMIKIRAN DAN ALUR
PARADIGMA MASYARAKAT DUNIA
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
32. Pada 23 Jun 2016, dalam satu referendum penuh bersejarah, rakyat Britain
telah mempaterikan sebuah keputusan maha penting dalam sejarah dunia, iaitu undi
15
untuk memisahkan diri mereka dari Kesatuan Eropah. Tidak semena-mena dalam
beberapa jam sahaja selepas dunia digemparkan dengan berita tersebut, harga stok
dan pasaran saham dunia mengalami ketidakstabilan. Mata wang Pound Sterling
berada di hujung tanduk dan seluruh komuniti global terpinga-pinga apakah yang
bakal terjadi.
33. Umum mengetahui bahawa, dalam minggu tersebut, Britain turut melakar
sejarah yang tidak ada mana-mana negara mampu melaksanakannya. Britain
“keluar” Eropah sebanyak dua kali. Pertama semasa rakyatnya memilih untuk
meninggalkan Kesatuan Eropah dan kedua ketika disingkirkan dalam peringkat
kumpulan Kejuaraan Piala Eropah. Saya mohon maaf kepada peminat England.
Sekadar bergurau sahaja.
34. Dalam hiruk-pikuk kegemparan berita Britain keluar Eropah ini atau lebih
popular dengan akronim Brexit, terkandung padanya sebuah tindak balas yang lebih
besar dari sekadar Brexit sendiri. Ia adalah tentang reaksi dunia terhadap
globalisasi. Sebagaimana dihujahkan oleh Profesor Nouriel Roubini, profesor
ekonomi dari New York University, Brexit melambangkan satu reaksi berbeza
masyarakat terhadap globalisasi yang dahulunya dianggap sebagai fenomena hebat
yang menghubungkan dunia dari pelbagai sudut. Sarjana tersohor yang lain seperti
pemenang Hadiah Nobel ekonomi, Joseph Stiglitz dalam kritikan beliau terhadap
globalisasi, mengaitkan peristiwa Brexit dengan kegagalan democratic globalisation
berfungsi dengan sempurna. Di mana, kelompangan sifat keterbukaan dan
ketelusan menyebabkan manfaat kerjasama di antara Britain dan Kesatuan Eropah
hanya dinikmati oleh sesetengah daripada rakyatnya sahaja.
16
Para hadirin sekalian,
35. Ternyata, globalisasi juga turut membawa permasalahan-permasalahan
keganasan atau terrorisme yang dahulunya bersifat serantau menjadi satu
malapetaka besar yang menimpa hampir kebanyakan negara maju di dunia. Tragedi
rempuhan bas di Nice, pengeboman di Paris, letupan bom di Lapangan Terbang
Ataturk di Turki serta tragedi pengeboman di salah sebuah pusat hiburan di
Puchong, Selangor baru-baru ini adalah antara episod keganasan yang dikaitkan
dengan pengganas Daesh serta rangkaian pengganas global Islamic State (IS).
36. Keganasan juga tidak mengenal tempat dan masa. Di saat umat Islam
bertungkus lumus menyempurnakan 10 malam terakhir Ramadan, bandar yang
menempatkan Kota Suci Madinah yang di dalamnya terletak Masjid Nabawi - salah
sebuah masjid yang sangat dihormati oleh umat Islam seluruh dunia, telah dinodai
kesuciannya. Puluhan nyawa melayang, lantas mengundang ketakutan kepada
orang ramai. Belum pun reda kisah tragedi menyayat hati di Madinah, dunia sekali
lagi terpaku dengan kisah kegagalan kudeta merampas pemerintahan negara
demokratik Turki di bawah kepimpinan Presiden Erdohan. Cubaan rampasan kuasa
yang begitu pantas berlaku dalam tempoh tidak sampai dua hari tersebut berjaya
dipatahkan menerusi perhubungan mantap di antara Kerajaan dan rakyat menerusi
aplikasi FaceTime sahaja. Akibat kegagalan cubaan yang mengorbankan ratusan
nyawa tersebut, media melaporkan bahawa rakyat Turki telah bersatu padu untuk
mempertahankan kedaulatan negara mereka dengan ribuan tentera yang terlibat
dalam cubaan kudeta telah ditangkap.
17
37. Saya berpandangan keganasan global terjadi kerana faktor-faktor yang
bersifat rentas sempadan hari ini. Dengan maklumat dan informasi membanjiri
media sosial dan mudah diakses di mana-mana, hasutan dan suara-suara yang
menyeru kepada keganasan mampu mempengaruhi mereka yang lemah pegangan
iman dan akalnya. Hal ini seperti juga permainan Pokemon Go! yang mencetuskan
fenemona baharu dalam dunia permainan elektronik hari ini. Pokemon Go! yang
berjaya mempengaruhi jutaan manusia di seluruh dunia ini dimainkan melalui telefon
bimbit mereka untuk mengejar dan menangkap makhluk maya yang seolah-olah
muncul di sekeliling pemainnya itu sendiri. Permainan yang menggunakan teknologi
kamera dan GPS dalam telefon bimbit untuk mencipta peta digital bagi mencari
makhluk maya tersebut telah membangkitkan isu-isu keselamatan yang mampu
membahayakan pemainnya, isu perhubungan sosial serta kesannya terhadap
produktiviti kerja. Telah pun ada laporan yang menyatakan permainan ini telah
membawa kepada kematian pemainnya dek kerana kelekaan dan keasyikan mereka
sendiri.
38. Pengajaran terbesar yang boleh kita hadami dan mengambil pedoman dari
semua fenomena yang dinyatakan tadi adalah bagaimana kita harus mentakrifkan
semula globalisasi dalam acuan dan rangka negara Malaysia. Unsur-unsur
ekstremisme, hasutan yang melampau sehingga mencabar kedaulatan serta
cabaran mendidik masyarakat dan mengawal rempuhan lambakan informasi,
mampu menjadikan kita tidak relevan di mata dunia. Usaha menangani
permasalahan ini memerlukan pengurusan risiko yang komprehensif dengan
meletakkan kesiapsiagaan untuk menghadapinya sebagai keutamaan. Kaedah
menguruskan risiko yang melibatkan pengimbasan organisasi, penilaian risiko,
18
penganalisisan risiko, langkah mitigasi serta pemulihan risiko adalah antara perkara
yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap jabatan.
39. Peringatan yang saya utarakan ini amat moleklah sekiranya ia didakapi dan
diteliti oleh warga UTM dan seluruh cendekiawannya kerana tingginya akal budi
bangsa serta maju mundurnya umat ini adalah terletak kepada kita semua sebagai
golongan yang memartabatkan ilmu.
MENGGAGASKAN AGENDA TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM
Para hadirin sekalian,
40. Pengalaman lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam telah memberi
peluang kepada saya untuk mengenali dan mengamati cabaran yang dihadapi oleh
perkhidmatan awam. Kesempatan berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri
Perlis telah membuka dimensi baharu dalam memahami cabaran-cabaran
menguruskan pentadbiran negeri dan budaya kerja unik di peringkat negeri.
Kembara perkhidmatan saya seterusnya menempatkan saya di Unit Pemodenan
Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana
Menteri, sebuah agensi Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap usaha-usaha
pemodenan penyampaian perkhidmatan dan pembangunan teknologi maklumat dan
komunikasi sektor awam. Sebagai Ketua Pengarah MAMPU, saya telah berpeluang
menerokai isu-isu yang melingkari penyampaian perkhidmatan dan cabaran digital
perkhidmatan awam dari perspektif yang berbeza. Ketika inilah, agenda transformasi
19
menjadi begitu kritikal kepada saya. Agenda transformasi menjadi sebahagian dari
diri saya.
41. Saya telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)
pada 15 Mac 2013. Sebagai KPPA, saya perlu melihat dan mengamati keperluan
dan isu yang dihadapi oleh lebih 1.6 juta penjawat awam. Mendepani suasana yang
penuh cabaran sejurus memulakan tugas, menuntut saya untuk melihat sekeliling,
membaca tanda dan menafsir isyarat atau dalam istilah pengurusan strategik
dikenali sebagai analisis persekitaran. Hasilnya, saya telah merumuskan sembilan
cabaran yang dihadapi oleh perkhidmatan awam untuk melaksanakan transformasi
iaitu:
i. Pemusatan kuasa;
ii. Karenah birokrasi;
iii. Hierarki pelaporan;
iv. Kurang kompetensi strategik;
v. Kurang mentoring dan coaching;
vi. Terperangkap dalam zon selesa;
vii. Kurang kesedaran dan respons terhadap kehendak luaran;
viii. Mentaliti bersifat silo dan menjauhi perundingan; dan
ix. Ekspetasi dan harapan rakyat yang kian meningkat.
42. Mengambil sembilan cabaran ini sebagai asas memulakan agenda
transformasi, perjalanan transformasi di JPA dengan itu dimulakan dengan sesi khas
brainstorming melibatkan pegawai kanan JPA di Institut Tadbiran Awam Negara
20
(INTAN) Kampus Wilayah Utara. Asas kepada perbincangan ini ialah pendekatan
outside-in berbanding inside-out sebagaimana yang dihujahkan oleh Profesor Dave
Ulrich, seorang guru yang mendapat jolokan Father of Modern Human Resource.
43. Di sinilah detik-detik bersejarah terciptanya Kerangka Transformasi Jabatan
Perkhidmatan Awam (KTJPA), yang saya sifatkan sebagai enjin penggerak
keseluruhan inisiatif transformasi di JPA. KTJPA menggagaskan lima teras strategik
yang melakar wajah baharu perkhidmatan awam. Pertama, adalah MENDAYA
UPAYA BAKAT yang bermatlamatkan untuk melahirkan penjawat awam dengan
daya saing dan ilmu pengetahuan yang tinggi, kompetensi, bakat, dan kemahiran
dalam pelbagai bidang bagi meningkat prestasi, produktiviti dan daya inovasi.
Pendayaupayaan bakat diletakkan sebagai keutamaan tertinggi atas kesedaran
bahawa modal insan merupakan the ultimate resource. Ia adalah selaras dengan
idea yang dikemukakan oleh Birger Wernerfelt yang mencadangkan kriteria
Valuable; Rare; In-imitable; and Non-Substitutable (V-R-I-N) sebagai pra-syarat
kepada pembentukan bakat dan pembangunan modal insan terbaik dalam sesebuah
organisasi.
44. Pengenalan progam Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebagai
syarat kemasukan dalam perkhidmatan PTD sebagai contoh telah memberi peluang
kepada para kadet untuk diberi pendedahan istimewa sebagai persiapan menjadikan
mereka pemimpin sektor awam yang memiliki ciri-ciri V-R-I-N yang dimaksudkan.
Dalam hal ini juga, pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia atau MQA
terhadap program diploma pasca siswazah dalam latihan Kadet PTD menjadi
21
testimoni jelas bagaimana kerajaan benar-benar mengangkat agenda mendaya
upayakan bakat terbaik sektor awam.
45. Kedua, MEREKAYASA ORGANISASI yang menumpukan kepada
peningkatan keupayaan dan penambahbaikan struktur organisasi melalui proses
perekayasaan agar lebih dinamik, tangkas dan fleksibel serta berupaya berubah
agar dapat menyesuaikan diri untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik
mengikut kehendak dan keperluan semasa. Dalam hal ini, Nick Manning dan Neil
Parison dari World Bank pula berhujah bahawa perekayasaan organisasi mencakupi
dua dimensi utama iaitu struktur dan dasar. Perekayasaan struktur dikaitkan dengan
usaha untuk memantapkan kecekapan operasi sesebuah organisasi. Manakala,
perekayasaan dasar melihat kepada keberkesanan dan keberhasilan setiap dasar
dan program yang dilaksanakan.
46. Manning dan Parison kemudiannya mencadangkan lima langkah untuk
memantapkan kecekapan dan keberkesanan struktur dan dasar organisasi, iaitu