PERKEMBANGAN, CABARAN DAN APLIKASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI MALAYSIA Johan Eddy Luaran, PhD Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA, Malaysia Abstrak Kertas kerja ini akan membincangkan perkembangan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan di malaysia bermula dengan pelaksanaan program Sekolah Bestari sehingga wujudnya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) serta cabaran yang dihadapi oleh guru-guru dalam mengintegrasikan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Cabaran ini akan dibincangkan daripada kesediaan guru meliputi tiga aspek iaitu tahap kemahiran, pengetahuan dan sikap. Seterusnya perbincangan mengupas lima perisian utama dalam penyampaian teknologi maklumat di sekolah iaitu aplikasi pemprosesan perkataan, hamparan elektronik, persembahan, pangkalan data dan Internet, perbincangan ini menjurus kepada manfaat aplikasi ini kepada guru dan pelajar.
23
Embed
PERKEMBANGAN, CABARAN DAN APLIKASI TEKNOLOGI …a-research.upi.edu/...uitm_2011_johan_perkembangan,... · Bestari sehingga wujudnya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) serta
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
PERKEMBANGAN, CABARAN DAN APLIKASI TEKNOLOGI
MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI
MALAYSIA
Johan Eddy Luaran, PhD
Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi MARA, Malaysia
Abstrak
Kertas kerja ini akan membincangkan perkembangan teknologi maklumat dalam
bidang pendidikan di malaysia bermula dengan pelaksanaan program Sekolah
Bestari sehingga wujudnya Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) serta
cabaran yang dihadapi oleh guru-guru dalam mengintegrasikan teknologi
maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Cabaran ini akan dibincangkan
daripada kesediaan guru meliputi tiga aspek iaitu tahap kemahiran, pengetahuan
dan sikap. Seterusnya perbincangan mengupas lima perisian utama dalam
penyampaian teknologi maklumat di sekolah iaitu aplikasi pemprosesan
perkataan, hamparan elektronik, persembahan, pangkalan data dan Internet,
perbincangan ini menjurus kepada manfaat aplikasi ini kepada guru dan pelajar.
1. Pengenalan
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak mempengaruhi budaya
kehidupan masa kini, dalam bidang pendidikan khususnya, pengaplikasian teknologi ini dalam
pengajaran dan pembelajaran memberikan satu anjakan baru dalam teknik pedagogi guru. Beberapa
penyelidikan lepas telah membuktikan bahawa penggunaan teknologi telah dapat merevolusikan
teknik pengajaran guru, kaedah murid belajar dan secara keseluruhannya cara pendidikan
dikendalikan sesuai dengan era masa kini.
Masanya juga telah tiba untuk budaya persekolahan berubah kepada amalan bermaklumat,
kreatif, bijak berfikir dan penyayang dengan mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT). Sejajar dengan itu, inisiatif pewujudan Sekolah Bestari pada tahun 1999 merupakan langkah
yang diharap dapat memberi tempat dan ruang seluas-luasnya kepada teknologi komputer dalam
sistem pendidikan. Langkah ini diharap dapat merapatkan jurang digital di antara golongan berada
yang berupaya menggunakan teknologi di rumah dengan golongan kurang berada. Kemudahan ini
dapat memberikan peluang kepada semua pelajar meneroka, menguasai dan memperkembangkan
pelbagai kemahiran dalam ilmu pengetahuan secara lebih berkesan dan bermakna dan seterusnya
dapat mengaitkan pengetahuan dengan realiti sebenar. Ini akhirnya akan dapat melahirkan generasi
berilmu dan bijaksana yang berdaya saing untuk merealisasikan wawasan negara 2020, seterusnya
membentuk tamadun yang lebih maju.Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir
Mohamad, menekankan bahawa Malaysia perlu membangunkan ekonomi dengan tidak
mengabaikan aspek politik, sosial, rohaniah, psikologi dan budaya. Untuk memastikan matlamat ini
tercapai, Malaysia perlu mencapai sembilan cabaran utama dalam Wawasan 2020. Salah satu
matlamat teknologi maklumat di Malaysia adalah untuk menjadi negara membangun pada tahun
2020. Cabaran keenam daripada sembilan strategi mencapai wawasan 2020 adalah menyatakan
bahawa Malaysia mesti mewujudkan
...masyarakat yang saintifik dan progresif, masyarakat yang inovatif yang bukan
sahaja menjadi pengguna kepada teknologi malah menjadi penyumbang kepada
dunia sains dan teknologi pada masa depan...
(Mahathir Mohamad, 1998)
1.1 Koridor Raya Multimedia
Perkembangan teknologi maklumat yang pesat dan kesedaran tentang pentingnya peranan
teknologi maklumat, pemimpin negara telah mengambil inisiatif untuk menjadikan industri
teknologi maklumat sebagai enjin pertumbuhan negara dengan mengumumkan Projek Koridor
Raya Multimedia (MSC) pada bulan Ogos 1996. Koridor Raya Multimedia atau singkatannya MSC
(Multimedia Super Corridor) dianggap sebagai pemacu untuk mencapai wawasan 2020 dan ia
meliputi kawasan seluas 750 km persegi. Projek ini terdiri daripada tujuh kumpulan aplikasi utama
iaitu Kerajaan Elektronik, Sekolah Bestari, Tele-Perubatan, Kad Pintar Kebangsaan, Kelompok
Penyelidikan dan Pembangunan, Pemasaran Tanpa Batasan dan Jaringan Perkilangan Sedunia.
Langkah mewujudkan sekolah bestari dianggap sebagai respons spesifik Malaysia untuk perubahan
kritikal daripada ekonomi industri kepada masyarakat berasaskan maklumat (Mahathir Mohamad,
1998). Oleh itu, sekolah bestari diharap akan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang
berkemahiran menggunakan dan menyumbang kepada penggunaan teknologi maklumat khususnya
untuk mencapai taraf masyarakat Malaysia yang “Pintar” pada tahun 2020 kelak.
1.2 Sekolah Bestari
Pelengkap kepada misi nasional untuk mencapai Wawasan 2020, konsep sekolah bestari
telah diperkenalkan pada tahun 1997. Sehubungan dengan itu, pada tahun 1999, 84 buah sekolah
telah dijadikan sekolah rintis untuk projek sekolah bestari. Sekolah bestari didefinisikan sebagai
institusi pendidikan yang mempraktikkan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah
yang menyediakan pelajar kepada era teknologi maklumat dan antara langkah yang dijalankan
untuk membestarikan sekolah termasuklah penyediaan makmal komputer, TV pendidikan dan
penyediaan kemudahan SchoolNet. Jadual 1 menunjukkan secara terperinci kemudahan teknologi
maklumat yang disediakan untuk setiap program yang dilaksanakan. Ini menunjukkan betapa
seriusnya kerajaan untuk menerapkan elemen teknologi maklumat dalam pengajaran dan
pembelajaran.
Jadual 1: Program Pembestarian Sekolah
Program Kemudahan disediakan
Sekolah Bestari i. Melibatkan 88 buah sekolah
ii. 5, 809 komputer disediakan
iii. 261 pelayan (server) disediakan
Makmal Komputer i. 4,495 makmal komputer disediakan
ii. 93,372 komputer disediakan
iii. 4,495 pelayan (server) disediakan
Pengajaran Sains
dan Matematik
dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI)
i. 97,104 komputer riba disediakan
ii. 69,009 projektor disediakan
iii. 2,286 televisyen disediakan
iv. 9,662 mesin pencetak disediakan
TV Pendidikan i. 11,709 televisyen disediakan
SchoolNet Kemudahan SchoolNet untuk sekolah luar bandar dan
pedalaman yang tidak mempunyai aksess Internet
(Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia, 2007)
Teknik pengajaran di sekolah bestari adalah berbeza dengan teknik pengajaran
konvensional. Kaedah pengajaran akan menekankan kepada pencapaian objektif spesifik yang
dicapai oleh pelajar dengan pelbagai pendekatan termasuklah secara individu, berpasangan,
kumpulan kecil, dengan kehadiran fasilitator ataupun dengan menggunakan simulasi multimedia
berasaskan komputer. Pelajar akan digalakkan untuk mengambil bahagian secara aktif yakni
mereka akan membina dan ikut serta dalam proses pembelajaran. Teknik pengajaran ini akan
melibatkan pelbagai teknik pedagogi dan kaedah pengajaran yang secara khususnya berpusatkan
pelajar. Selaras dengan matlamat ini, langkah kementerian Pelajaran Malaysia khususnya yang
memberi penekanan pada elemen teknologi maka keperluan pedagogi, kandungan dan pengetahuan
guru perlu dititik beratkan supaya seiring dengan perkembangan semasa. Pelbagai insentif dan
langkah telah dijalankan oleh kerajaan yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP). Matlamat utama sekolah bestari adalah memfokuskan kepada pembangunan
tenaga kerja untuk era teknologi maklumat dan berpaksikan pada lima objektif utama iaitu:
a. Memperkembangkan potensi individu yang seimbang (intelek, rohani, jasmaniah dan emosi)
b. Memperkembangkan potensi dan bakat individu
c. Menghasilkan tenaga kerja yang bijak berfikir dan celik teknologi maklumat
d. Pendemokrasian pendidikan
e. Meningkatkan penyertaan pemegang saham
Langkah ini sebenarnya sejajar dengan hasrat kerajaan yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Negara yang digubal dan diumumkan pada tahun 1988 yang menyatakan pedoman dan
arah tuju pendidikan negara. Oleh itu, dengan wujudnya sekolah bestari ia dapat
memperkembangkan lagi potensi atau bakat individu seterusnya akan dapat melahirkan modal insan
yang berkemahiran dan berpengetahuan khususnya dalam teknologi maklumat yang seterusnya
akan dapat menyumbang kepada negara.
1.3 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)
Agenda kerajaan untuk membina dan membangunkan modal insan pada masa depan amat
bergantung pada kualiti sistem pendidikan negara. Justeru itu, Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah dirancang dan dilaksanakan untuk merealisasikan satu sistem
pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia dan telah dilancarkan oleh mantan
Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007. PIPP ini menggariskan enam
teras utama dan salah satu teras utamanya iaitu, pembangunan modal insan yang memberikan
tumpuan untuk melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi.
Sehubungan dengan itu, penekanan dalam hal ini dapat dilihat daripada program yang dirancang
dalam Kad Laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Ia menyatakan bahawa pembestarian
sekolah merupakan proses berterusan ke arah pembudayaan penggunaan ICT dalam pendidikan
bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Program ini melibatkan usaha
melengkapkan semua sekolah dengan infrastruktur, perkakasan, perisian dan aplikasi, latihan guru
serta pengurusan perubahan yang bersesuaian dan mencukupi.
Terdapat 17 inisiatif Kad Laporan Pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-
2010 untuk membestarikan kesemua sekolah rendah dan sekolah menengah. Antara inisiatif
tersebut adalah:
a. Peruntukan RM82 juta untuk kelengkapan tele persidangan, kemudahan telefon satelit dan
faks tanpa talian di lebih 5,800 sekolah luar bandar dan pedalaman
b. Peruntukkan RM113 juta untuk penyediaan perisian kursus bagi guru dan murid
c. Perluasan akses SchoolNet kepada semua sekolah termasuk Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan
d. Sekolah kurang Murid (SKM) dan sekolah pedalaman disediakan makmal komputer
menggunakan konsep kabin
e. Mengelompokkan Sekolah Orang Asli dan Penan dengan menggunakan sidang video untuk
i) perkongsian pengetahuan berasaskan pengajaran dan pembelajaran, ii) perkongsian data
dan iii) meningkatkan pencapaian dengan berkongsi maklumat antara satu sama lain.
(Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia, 2007)
Sejajar dengan langkah pembestarian ini, adalah perlu untuk guru untuk menyahut cabaran
dan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran teknologi maklumat agar inisiatif Kementerian
Pelajaran Malaysia ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
2. Penggunaan Komputer di Sekolah
Mengikut statistik, terdapat 900,000 pengguna Internet di Malaysia, namun jumlahnya
hanya kira-kira 8% daripada keseluruhan penduduk negara ini (Daily Express, 2007). Ini disokong
oleh fakta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyatakan
bahawa pada suku pertama tahun 2007 hanya 689,800 bilangan isi rumah yang melanggan
perkhidmatan jalur lebar (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, 2007). Sementara itu,
dapatan lain menyatakan bahawa hanya 30% daripada kira-kira 300,000 guru di negara ini memiliki
komputer peribadi dan kira-kira 20% sahaja yang mempunyai akses Internet (The Star, 2007).
Jumlah ini merupakan satu jumlah yang rendah kerana guru memainkan peranan yang penting
sebagai agen perubahan kepada inovasi di dalam pendidikan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa perubahan penting telah berlaku dalam
sistem pendidikan di rantau Asia yang guru-guru khususnya dikehendaki mempertingkatkan
kemahiran teknologi maklumat mereka (Tan et al., 1999 dalam William, 2000). Sesetengah
daripada perubahan ini adalah kesan daripada perubahan polisi kerajaan yang berkaitan dengan
teknologi maklumat di sekolah manakala selebihnya disebabkan oleh perkembangan teknik
pedagogi dan perkembangan teknologi maklumat.
Di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah, komputer telah dianggap sebagai agen
yang berupaya untuk meningkatkan potensi dan kemahiran belajar dalam kalangan pelajar. Oleh itu,
langkah Malaysia mewujudkan sekolah bestari adalah langkah bijak yang seiring dengan negara-
negara lain di Asia yang mula menggerakkan aplikasi teknologi maklumat di sekolah seperti
Australia, Hong Kong, New Zealand dan Singapura (William, 2000). Langkah mengadaptasikan
komputer sebagai media pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini, dilihat oleh pakar sebagai
gabungan multimedia sebagai alat baharu yang boleh menjana era pendidikan baharu.
Dalam konteks pembelajaran berbantukan komputer di Malaysia, ia telah mula
diperkenalkan pada tahun 1992 melalui Program Komputer dalam Pendidikan. Dalam program ini
60 buah sekolah menengah di Semenanjung Malaysia telah disediakan makmal komputer yang
mempunyai 21 buah komputer yang telah dirangkaikan. Susulan daripada langkah ini, pada tahun
1994 program Computer Aided Instruction telah diperkenalkan di 15 buah sekolah rendah di
Selangor dengan setiap sekolah dibekalkan 21 buah komputer yang menggunakan perisian
Microsoft Windows 3.1, beberapa perisian koswer untuk pengajaran juga telah diedarkan untuk
digunakan oleh guru-guru. Langkah ini diteruskan lagi dengan Program Komputer dalam
Pendidikan yang dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa iaitu pada tahun 1995, 1996 dan
1997. Dalam fasa pertama, 50 buah sekolah menengah telah dibekalkan dengan empat buah
komputer yang mempunyai akses Internet. Dalam fasa kedua, 90 buah sekolah menengah dan 20
buah sekolah rendah telah dibekalkan dengan komputer multimedia dengan local area network
(LAN), manakala dalam fasa ketiga, ia diperluaskan lagi kepada 222 buah sekolah rendah dan 111
buah sekolah menengah dan seorang guru daripada setiap sekolah akan mengikuti kursus 14
minggu di maktab-maktab perguruan yang terpilih. Pelaksanaan sekolah bestari telah menyokong
usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan yang celik teknologi maklumat.
Pada tahun 2003, pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris telah
diimplementasikan di sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara. Sebanyak Ringgit
Malaysia 1.3 bilion telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk membekalkan peralatan ICT ke sekolah-
sekolah. Manakala, dalam Rancangan Malaysia ke-9, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Blue
print Pendidikan Kebangsaan memperuntukkan 123,725 buah komputer dan 3,205 pusat akses
Internet di semua sekolah seluruh negara (The Star, Julai 2007). Ini menunjukkan betapa seriusnya
kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha mengintegrasikan teknologi
maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran.
Program-program tersebut adalah langkah kerajaan untuk membangunkan modal insan yang
berilmu dan celik IT yang seiring dengan cabaran globalisasi. Oleh itu, guru merupakan medium
utama yang memainkan peranan untuk memastikan program ini berjaya mencapai matlamatnya.
Pada bulan Januari hingga Jun 2007 sahaja, sebanyak 123,725 buah komputer telah dibekalkan ke
seluruh sekolah di Malaysia dan 2,043 buah sekolah menengah telah dibekalkan dengan 8,172 unit
komputer, 2,043 buah pencetak digital untuk tujuan pihak pengurusan sekolah (Kementerian
Pelajaran Malaysia, 2007).
2.1 Komputer sebagai Tutor, Tutee dan Tool
Komputer mempunyai fungsi yang pelbagai dalam bidang pendidikan bergantung pada
operasi penggunaannya termasuklah untuk memproses data, persembahan maklumat, untuk
membantu proses pengajaran dan pembelajaran dan pelbagai lagi. Disebabkan fungsi yang pelbagai
ini, Taylor (1980) telah mengklasifikasikan aplikasi-aplikasi komputer pendidikan kepada tiga mod
utama iaitu tutor, tutee dan tool. Menurut beliau, komputer adalah dalam mod tutor apabila
komputer mengajar pelajar dengan mempersembahkan maklumat, menilai respons pelajar dan
memberi maklum balas yang sesuai. Antara jenis perisian yang memainkan peranan ini adalah latih
tubi, tutorial, simulasi dan permainan berbentuk pembelajaran dan penyelesaian masalah. Dalam
mod tutee, komputer bertindak sebagai pelajar manakala pengguna sebagai pengajar. Dalam situasi
ini, pengguna komputer akan mengajar komputer belajar atau membuat sesuatu tugasan seperti
program komputer dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan. Mod ini memerlukan pengguna
mahir dengan bahasa pengaturcaraan untuk setiap perisian. Antara jenis perisian yang memainkan
peranan ini adalah seperti TURBO C++, AUTO-CAD, MATLAB dan sebagainya. Rajah 1 dan
Rajah 2 menunjukkan contoh antara muka untuk perisian dalam mod tutor dan tutee.
Rajah 1: Contoh Antara Muka untuk Perisian Simulasi (Mod Tutor)