©aidahsmkbm2016 Munsyi (Husna Nazri) Sinopsis Mel bercita-cita untuk menetap di kota. Namun demikian, bondanya melarang selagi ilmu agamanya masih cetek dan penguasaan bahasa ibundanya masih lemah. Bonda sering mengingatkan Mel tentang gejala sosial yang menular di bandar, permasalahan bahasa dan agama. Selain itu, bonda turut bercerita kepada Mel tentang rusuhan kaum yang pernah melanda negara pada 13 Mei 1969. Mel nekad untuk mendalami bahasa ibunda. Pesanan bonda kepada Mel ialah agama merupakan baju peribadi bangsa, manakala bahasa ibunda ialah warisan kita. Akhirnya, Mel menjejakkan kaki di kota. Mel bertemu dengan Munsyi yang menerima pesanan kitab-kitab lama daripada bonda Mel yang memaklumkan bahawa hanya Munsyi yang layak menerima khazanah nenek moyangnya. Di kota, Mel menyaksikan kepincangan akhlak dan penggunaan bahasa ibunda yang dicampuradukkan dengan bahasa asing dan loghat daerah. Setelah sekian lama di kota, Mel mendapat khabar tentang perkampungan Melayu di pinggir bandar yang juga merupakan tempat tinggal Munsyi akan diroboh untuk pembangunan mewah oleh saudagar-saudagar asing. Mel telah menyaksikan rumah Munsyi diroboh. Buku-bukunya turut musnah.Munsyi gagal dikesan selepas peristiwa tersebut. Tema Semangat cinta akan negara, bangsa, bahasa dan budaya yang masih tersemai kukuh dalam jiwa segelintir golongan masyarakat. Persoalan 1. Ketegasan seorang ibu dalam menasihati anaknya tentang kepentingan bahasa dan agama. Bonda sering menegaskan bahawa bahasa tidak boleh diabaikan kerana bahasa merupakan maruah bangsa yang diwariskan oleh nenek moyang. 2. Dasar pecah dan perintah penjajah yang membawa kepada ketidakseimbangan ekonomi sehingga membawa kepada rusuhan kaum Peristiwa 13 Mei 1969 yang bermula di kota besar dan mewah. 3. Semangat untuk membela dan mengekalkan warisan budaya yang ditinggalkan oleh nenek moyang Mel sanggup menyampaikan buku berkaitan dengan bahasa yang merupakan khazanah nenek moyang kepada Munsyi. 4. Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya dengan cara sering menitip pesan tentang kehidupan Bonda sering mengingatkan Mel agar memelihara agama dan bahasa ibunda agar dihormati. 5. Sikap muda mudi yang mengabaikan penggunaan bahasa ibunda yang betul dan meminggirkan ajaran agama. Penggunaan bahasa rojak dan loghat rekaan serta pergaulan bebas di kota mewah yang disaksikan oleh Mel. 6. Keazaman yang kental dalam jiwa anak muda untuk menghayati sesuatu ilmu yang bermanfaat Mel membelek-belek kitab lama tulisan Jawi yang padat ilmunya.