PERMAINAN TRADISIONAL
WAU
SENARAI KANDUNGAN
TAJUK MUKA SURAT
Penghargaan 2
Objektif Kajian 2
Kaedah Kajian 2-3
Hasil Kajian 3-16
- Latar Belakang 3-5
- Tujuan Dimainkan 5
- Jenis-Jenis Wau 5-7
- Bahagian Utama Wau 7
- Pembuatan Wau 7-15
- Kaedah Permainan 15-16
Rumusan 16-17
Lampiran 17-18
Rujukan 18
1
2
PENGHARGAAN
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya
kepada guru Sejarah saya, ................ kerana memberi tunjuk ajar dan bimbingan dalam tugasan
ini. Seterusnya, saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa
saya, ......................... dan ......................... yang memberi sokongan moral dan semangat kepada
saya untuk menjalankan tugasan ini. Akhir sekali, tidak lupa juga ucapan terima kasih
diucapkan kepada rakan-rakan saya ...................., .................... dan .......................... kerana
berkongsi maklumat yang sangat berharga.
OBJEKTIF KAJIAN
Kerja Khusus Sejarah ini dijalankan untuk memenuhi beberapa objektif. Objektif am ialah
mencari dan mengumpul fakta sejarah daripada sumber yang sahih dan mempelajari cara
mengelas, menganalisis, mentafsir, mensintesis, merumus dan merekod fakta sejarah dengan
betul. Objektif khusus bertujuan mengenali warisan seni permainan tradisional masyarakat
Malaysia dengan lebih mendalam serta mengetahui tentang latar belakang permainan wau,
tujuan dimainkan dan lain-lain.Objektif lain ialah menyemai semangat patriotik dan nilai-nilai
murni di kalangan murid.
KAEDAH KAJIAN
Saya telah menggunakan beberapa kaedah kajian dalam kajian Sejarah ini.
Temu ramah
Saya telah menemu ramah .................... yang merupakan pakar dalam permainan tradisional
untuk mendapatkan maklumat. Beliau dengan sukacitanya memberikan banyak informasi
terutamanya latar belakang wau yang sangat berguna.
Melayari internet
Saya juga melayari internet untuk memperoleh maklumat tentang permainan wau. Bahan
yang terdapat dalam laman web telah saya cetakkan sebagai lampiran. Saya merujuk
sumber-sumber lain untuk memastikan kesahihannya.
Analisis dokumen untuk mendapat data
Saya menganalisis buku-buku ilmiah, majalah, dan surat khabar untuk mendapatkan data
mengenai wau. Penyelidikan itu dibuat di perpustakaan sekolah saya dan perpustakaan
Alor Gajah. Data-data telah ditafsir sebelum diolah dalam kerja khusus.
HASIL KAJIAN
LATAR BELAKANG
Wau ialah sejenis permainan tradisional masyarakat Melayu yang
memperlihatkan keunikan pembuatan dan kemahiran bermain. Permainan wau telah
digemari oleh masyarakat Melayu sejak 5 abad lalu.Wau bukan sahaja untuk hiburan,
malah juga dipertandingkan oleh petani-petani selepas musim menuai padi.Wau ialah
permainan masa lapang bagi kalangan rakyat biasa dan golongan istana. Masyarakat
Melayu mempercayai ada kaitan antara semangat angin dan langit.
Kini, wau merupakan permainan yang popular di beberapa buah negeri khususnya
Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Wau terkenal di negeri-negeri ini kerana wau
dimainkan apabila selesainya musim menuai padi. Kawasan sawah padi yang lapang
memudahkan pengedaran udara yang menjadi unsur terpenting untuk menerbangkan wau.
Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan tarikh
serta asal-usulnya. Walau bagaimanapun, menurut sejarahwan Clive Hart, wau berasal
dari negara China. Ini kerana reka bentuk wau mempunyai persamaan dengan layang-
layang tradisional di China.
Menurut suatu catatan, wau dicipta oleh seorang yang bernama Sang Jaya. Dia
juga digelar sebagai Dewa Muda, Dewa Hindu dan Masai Kelana Seri Panji. Wau
3
dikatakan dihasilkan pada sekitar tahun 711 hingga 839. Ada pihak yang mendakwa
negara asal bermulanya wau ialah Indonesia, Thailand dan Kelantan.
Pendapat ketiga mengatakan wau telah dicipta di China pada 3000 tahun dahulu,
tetapi tujuannya bukan untuk hiburan, sebaliknya digunakan untuk emnerbangkan
makanan kepada mereka yang terperangkap di bukut atau gunung semasa banjir.
Mitos Permainan Wau
Wau dikaitkan dengan mitos “semangat padi” yang berasal dari negeri Kedah.
Diceritakan bahawa ada sepasang isteri di Kedah yang bekerja sebagai petani di sebuah
kaki bukit dengan menanam huma. Mereka terjumpa seorang bayi perempuan lalu
dipeliharanya bayi tersebut sehinggalah dewasa..Oleh sebab suaminya ingin
mengucapkan syukur dan terlalu menyayangi anak gadisnya itu maka beliau selalu
membawakan makanan ke tempat anak gadisnya bermain iaitu di baluh padi.
Maka sang isteri berasa cemburu lalu dia menyiksa anak gadisnya sehingga
melarikan diri mengikut arah mata angin barat. Akibatnya pada tahun itu padi yang
dikerjakan tidak menjadi. Menurut Tok Nujum yang ditemui menyatakan bahawa anak
gadis mereka sebenarnya adalah ‘Semangat Padi’ dan menasihatkan petani tersebut
sebagai tanda meminta maaf mereka dikehendaki membuat sebuah lembaga yang
menyerupai Wau Bulan dan diterbangkan menggunakan tali jerami.
Asal-Usul Nama
Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan negeri-negeri
Melayu utara menggunakan perkataan tersebut. Di negeri Pantai Barat dan Selatan
Semenanjung seperti Melaka, Selangor, dan Johor, wau juga dikenali sebagai “layang-
4
layang”. Hal ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang mengatakan
bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat
DiRaja, dan tidak disebut pula bermain wau.
Selain itu nama “wau” juga dikaitkan dengan bunyi yang terhasil daripada busur
yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur
tersebut akan menghasilkan bunyi “wau”,”wau”,”wau” secara berirama.
TUJUAN DIMAINKAN
Pada mulanya, wau dicipta sebagai simbol kebesaran sesebuah negara. Wau turut
digunakan sebagai panduan menentukan arah mata angin. Selain itu, wau juga dikatakan
menjadi lambang kejayaan bagi setiap serangan yang berjaya dilakukan ke atas negara
lain pada zaman silam.
Apabila berjaya dalam sesuatu serangan misalnya, satu pesta akan diadakan oleh
penduduk setempat bagi meraikan kemenanagan. Caranya dengan mengadakan upacara
menaikkan wau di tempat-tempat terbuka serta disaksikan oleh orang ramai. Lama-
kelamaan wau telah dijadikan sebagai satu permainan masa lapang yang popular hingga
turut diadakan pertandingan di persada antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite
Festivals International Guests.
JENIS-JENIS WAU
Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya ialah wau burung, wau pari, wau
katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau
sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu iaitu wau bulan. Kelantan
dan Terengganu sehingga kini masih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang
5
menarik.Selain dijadikan sebagai permainan, wau juga dijadikan sebagai hasil kraftangan
dan hiasan dinding.
Wau Bulan
Antara pelbagai jenis wau yang diperagakan, wau bulan merupakan wau yang paling
popular. Wau bulan mempunyai bentuk seperti bulan sabit pada bahagian hadapan dan
separa bulatan pada bahagian ekornya. Justeru, wau tersebut kelihatan seperti bulan yang
terbit di angkasa apabila diterbangkan. Dari segi saiznya, wau bulan dibentuk dengan saiz
yang lebih besar berbanding wau lain. Hal ini untuk memastikan corak yang terdapat
pada wau tersebut kelihatan terang dan menyerlah. Pemilihan warna terang dan corak
yang lebih besar digunakan. Keindahan dan reka bentuk wau bulan yang menarik turut
menjadi lambang syarikat kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Wau Burung
Wau burung mempunyai bentuk asas seperti wau bulan, tetapi bentuk badan dan kepala
wau ini lebih kecil. Terdapat juga bentuk wau burung yang hampir menyerupai seekor
burung berterbangan ketika dilayangkan di udara.Terdapat dua jenis wau burung yang
popular iaitu Wau Burung Helang dan Wau Burung Merak.Wau Burung Helang dibentuk
seperti burung helang yang mempunyai kepala serta berparuh kecil. Pada bahagian kepala
turut dihiasi dengan ropol yang kelihatan seperti bulu. Wau Burung Merak pula dihiasi
dengan ukiran yang berbentuk corak dan warna seekor merak. Pelbagai jenis ropol
diletakkan di bahagian ekor wau untuk kelihataan lebih cantik.
Wau Ikan
Wau ikan yang dihasilkan berbentuk ikan bawal, ikan emas dan sebagainya. Berbanding
bentuk-bentuk lain, wau berbentuk ikan emas lebih menarik kerana ropol-ropol yang
6
membentuk ekor atau sirip. Meskipun begitu, wau ikan kurang diminati oleh kebanyakan
penggemar wau berbanding wau bulan.
Wau Kucing
Wau kucing ialah wau yang dihasilkan untuk mempelbagaikan corak dan bentuk wau.
Walaupun pada asalnya wau kucing sama seperti wau bulan, namun terdapat sedikit
penambahan yang dilakukan. Wau kucing mempunyai warna yang lebih gelap dan
mempunyai jurai-jurai di bahagian ekor seperti ekor kucing. Wau kucing jarang
dihasilkan kerana kurang menarik.
BAHAGIAN UTAMA WAU
Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala
wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang, dan ekor wau.
PEMBUATAN WAU
7
Kepala wauBusur atau dengung
Torek atau pinggangSayap
Ekor wau
Belalai dan jambul
Wau mempunyai daya tarikan yang tersendiri pada pandangan orang ramai sewaktu wau
melayang di udara. Justeru, wau memerlukan ketelitian, kesabaran dan ketekunan untuk
menghasilkan wau yang bermutu dan berkualiti. Pembuatan wau agak rumit, dari kerja-
kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga
melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa kira-kira dua minggu untuk
siap.
Kekuatan buluh banyak bergantung pada buluh yang menjadi rangkanya. Buluh
merupakan bahan asas untuk membuat wau. Namun, tidak semua jenis buluh sesuai
digunakan untuk membuat wau. Buluh mestilah tebal, ringan dan mudah lentur supaya
rangka yang dibuat kukuh. Buluh yang paling baik ialah buluh yang mati beragan atau
mati pada bahagian rumpun dan berusia tiga hingga lima tahun.Buluh betung dan buluh
minyak antara buluh yang paling banyak digunakan untuk membuat wau. Hal ini
disebabkan buluh jenis ini mempunyai ruas yang panjang dan tahan lebih lama.
Terdapat beberapa petua serta pantang larang yang terlibat semasa ingin
menebang buluh.
Petua Dan Pantang Semasa Mencari Dan Menebang Buluh
Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak
atau dusun.
Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai
banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.
Jangan bercakap semasa menebang buluh.
Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai
8
semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti
di waktu tengahari.
Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.
Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu
Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.
Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh yang sudah
ditebang, akan meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk iaitu, “Wahai Sang Bubuk,
hak aku tinggal ini adalah hak mu, hak aku wak kelik ni ialah hak aku, mu tok sah
ikut akulah, mu make hok sini”.
Buluh yang baru saja ditebang akan dibelah dan dijemur terlebih dahulu selama
seminggu. Hal ini kerana buluh yang dikeringkan menjadi lebih ringan dan memberi imbangan
yang diperlukan ketika wau diterbangkan ke udara. Selepas itu, buluh akan diraut, dikerat dan
diukur dengan teliti untuk membentuk sayap dan ekor wau. Antara bahagian buluh yang perlu
diraut adalah seperti :
Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1cm dengan kadar lembut dan sederhana
keras.
Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 cm dan semakin halus
di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian diraut sehingga 0.5 cm
Bagi imbangan yang baik, buluh menegak yang bertindak sebagai tulang belakang
wau mestilah tebal daripada buluh lain dalam rangka wau.
Proses Mengikat Bingkai Rangka Wau ( Wau Bulan )
9
Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang
rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong
mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping
untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang
hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah
kepingan buluh.
1.Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda.
2.Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu.
3.Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap
6. Untuk bahagian pinggang, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada
bahagian sayap dan ekor wau. Seterusnya kepingan buluh yang diraut lebih nipis
dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan
dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.
7. Proses terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada
kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang. Bagi mendapatkan
bunyi yang berdengung merdu ketika wau diterbangkan, plastik nipis atau sagu muda
digunakan dan diletakkan di bahagian kepala wau.
10
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan
lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan
kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat yang telah ditebuk.
Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan. Kertas ini akan
ditampal pada rangka wau dengan menggunakan gam.
Proses Memasang Tanah Wau
Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada
wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih
kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah :-
1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan 2cm dari rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.
Mengukur, Melukis dan Menyobek Corak
Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara
elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik
dan istimewa. Antara langkah-langkah yang
terlibat :
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap,
dan lipat dua untuk bahagian ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan
satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak
dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
11
3. Corak dipotong menggunakan pisau tajam khas.
4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain dengan menyapu gam di belakang kertas
corak. Gam dicampur dengan air terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada berkedut.
Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Selepas itu, kertas berwarna
diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudian diratakan dengan
menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
5. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas
berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam pada bahagian
tepinya sahaja. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam
menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang
wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.
Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas
yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan
dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau
hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.
Kertas yang digunakan nipis dan tahan lama supaya wau tidak mudah rosak
apabila diterbangkan. Sementara kertas yang terlalu tebal atau berat mungkin akan
mengganggu kelancaran wau untuk dinaikkan ke udara. Tarikan pada corak badan wau
akan menjadi tontonan orang ramai sewaktu wau melayang gah di udara.
Corak dan Ukiran Wau
Wau merupakan antara permainan tradisional yang paling menarik. Kebolehannya
berlegar-legar di ruang angkasa sungguh mempesonakan. Ditambah lagi dengan
12
pemilihan pelbagai corak yang menarik serta berwarna-warni. Bagi menghasilkan wau
yang menarik, pelbagai corak dilakarkan pada dada wau. Kemahiran melakar wau
bergantung kepada kreativiti seseorang. Bentuk wau tidak menarik sekiranya tidak dihiasi
dengan motif-motif di atasnya. Dalam menghasilkan motif-motif yang menarik, biasanya
motif yang berasaskan alam semula jadi menjadi panduan. Jenis-jenis motif yang terdapat
dalam wau termasuklah:
Motif Bunga-Bungaan
Motif yang paling popular ialah motif bunga-bungaan. Bunga-bungaan yang menjadi
pilihan adalah dari jenis yang mudah dilakar seperti bunga labu, bunga pecah
lapan,cemapaka dan sebagainya. Motif bunga menjadi pilihan kebanyakan pereka
disebabkan kecantikan dan keindahannya selain memang sinonim dengan kehidupan
masyarakat Melayu yang suka akan bunga.
Motif Abstrak
Corak abstrak ialah corak yang sukar untuk dtafsirkan. Namun begitu, corak abstrak terus
menjadi pilihan pembuat wau. Antara bentuk abstrak yang digemari ialah pucuk jala dan
mata berkait.Motif pucuk jala berbentuk bahagian sudut jala. Bentuk mata berkait seperti
mata bersambungan antara satu sama lain.
Motif Haiwan
Motif haiwan juga menjadi daya tarikan untuk mencorakkan wau. Pun begitu, hanya
sesuatu bahagian haiwan sahaja yang dilakarkan terutama pada sudut pandangan tertentu
namun tetap kelihatan menarik.Motif haiwan yang sering digunakan ialah siku keluang,
tapak harimau, tulang ikan dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis motif haiwan yang
dapat dicorakkan tetapi bergantung kepada kemahiran pembuatnya. Ada kalanya, lakaran
13
haiwan diselang-selikan dengan kombinasi warna abstrak yang memberikan imej yang
lebih terserlah pada wau tersebut.
Motif Geometri
Motif geometri turut menjadi daya tarikan mencorakkan sesebuah wau. Bentuk geometri
biasanya hanya berkisar pada bentuk garisan lurus, melintang dan juga menyerong.
Namun jika dipelbagaikan bentuk-bentuk ini, garisan-garisan ini akan menghasilkan
kelainan yang unik lagi mempesonakan serta lari daripada imej lakaran berbentuk biasa.
Proses Membuat Serta Memasang Jambul atau Rambu
Di bahagian kepala atau muncungnya serta di hujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi
dengan rambu-rambu atau jambul halus yang berwarna warni menambah cantik lagi
rupanya. Rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau. Diperbuat
daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk
membentuk rambu
Proses Membuat Serta Memasang Belalai
Menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau
Busur terdiri daripada empat komponen iaitu ‘bok’, daun ibus, inas dan buluh penyepit.
1. Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau.
2. Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian bunyi
yang dikehendaki.
4. Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang 2cm dan
ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur.
14
5. Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala wau
dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan benang
nilon.
Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya
mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan di udara. Busul diperbuat dari daun
rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia
berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang
belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.
KAEDAH PERMAINAN
Kelebihan permainan wau adalah wau dapat dimainkan di mana-mana sahaja tanpa perlu
adanya gelanggang khusus. Setiap kawasan lapang boleh dijadikan tempat permainan
wau. Biasanya wau dimainkan di kawasan lapang di tepi pantai, kawasan sawah, padang
dan sebagainya. Kelebihan kawasan lapang adalah mempunyai tiupan angin kencang
yang mampu menerbangkan wau lebih tinggi di samping memudahkan lagi pergerakan
seseorang pemain wau. Bagi penggemar wau, kepuasan jelas terlihat apabila wau yang
dimainkan mampu terbang tinggi.
Sebelum diterbangkan, wau perlu mempunyai keseimbangan yang baik dan tidak
berat sebelah. Faktor ini akan menentukan sama ada wau dapat terbang dengan baik atau
sebaliknya. Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan
memegang wau yang digelar “jurumain tali” akan bertindak membawa wau kira-kira 15
hingga 25 meter dari kedudukan rakannya dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang
memegang tali.
15
Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara
menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara sehingga
mampu mencecah 600 meter. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau
yang dihias berwarna-warni.Setelah wau naik tinggi, juruanjung akan menambat tali wau
pada pangkal pokok atau terus memegang tali itu. Wau hanya akan jatuh setelah tiada
angin yang bertiup.
Pada masa kini walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat
Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh
masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang
telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang
dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakan pertunjukan wau dan layang-
layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan
atau pertandingan wau antarabangsa.
RUMUSAN
Saya berasa syukur dan lega kerana telah telah selesai membuat Kerja Khusus Sejarah
dalam masa yang ditetapkan. Banyak pengetahuan dan ikhtibar yang saya peroleh semasa
membuat kajian ini.
Saya telah mendapat banyak pengetahuan tentang latar belakang wau, pembuatan
wau dan sebagainya. Saya telah memahami kepentingan pemeliharaan warisan budaya
yang merupakan identiti budaya bangsa Melayu dan mempunyai nilai estetika yang
tinggi. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menghargai warisan permainan
tradisional dan mengambil tindakan yang perlu supaya kesenian ini tidak akan ditelan
arus kemodenan. Kita patut mencontohi sikap ketelitian, kesabaran dan ketekunan
16
seorang pembuat wau semasa membuat wau. Sikap ini perlu dipraktikkan dalam apa jua
perkara yang dilakukan supaya perkara itu dapat dilaksanakan dengan berjaya.
Selain itu, saya dapat mempelajari kaedah pengkajian sejarah yang betul. Saya
mempelajari membuat penyelidikan daripada buku ilmiah atau bahan bertulis lain,
menganalisis, dan merekod fakta sejarah dengan cara yang betul. Kesimpulannya, kerja
khusus ini telah memberikan saya pengalaman yang berharga.
LAMPIRAN
Wau KucingWau Merak
Wau Bulan
17
RUJUKAN
Buku Ilmiah
Zabri Zakaria, 2005, Variasi Seni dan Budaya:Permainan Rakyat,Selangor:SEJATI
BOOKS
Laman Web
http://malaysiana.pnm.my/03/0314wau.htm
http://www.ppas.org.my/Pameran%20Maya/2004/November/Waubul~1.ppt
Televisyen
Tajuk program : Majalah 3
Tarikh : 8.3.2008 (Sabtu)
Masa : 9.00 p.m.-10.00 p.m.
Rangkaian : TV3
18
19