MEMPERKASA
KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT
DI MALAYSIA
MEMPERKASA
KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT
DI MALAYSIA
Penyunting:
Zahari Mahad Musa
Azman Ab Rahman
Adibah Abdul Wahab
Penerbit USIM
Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai
Negeri Sembilan
2017
CETAKAN PERTAMA 2017
© Hak Cipta Universiti Sains Islam Malaysia
Hak cipta terpelihara. Tiada mana-mana bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan
semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar kepada apa-apa bentuk dengan sebarang
cara sekalipun tanpa izin bertulis daripada Penerbit USIM terlebih dahulu.
Diterbitkan di Malaysia oleh:
PENERBIT USIM
Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai 71800 Nilai
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel: +06-798 8226/6081 | Faks: +06-798 6083
www.penerbit.usim.edu.my
Penerbit USIM adalah anggota
MAJLIS PENERBITAN ILMIAH MALAYSIA (MAPIM)
Dicetak di Malaysia oleh:
ZARASA ENTERPRISE
C-7-G, Jalan Jati 9,
Acacia Avenue, Putra Nilai,
71800 Nilai, Negeri Sembilan.
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
MEMPERKASA KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT DIMALAYSIA / Penyunting:
Zahari Mahad Musa, Azman Ab Rahman, Adibah Abdul Wahab
Includes index
ISBN 978-967-440-385-0
1. Zakat--Malaysia. 2. Islam--Charitie--Malaysia. 3.Islamic Giving
I. Zahari Mahad Musa. II. Azman Ab. Rahman, Prof.Madya, Dr.
III. Adibah Abdul Wahab.
297.5409595.
v
KANDUNGAN
Kandungan ................................................................................................................................. v
Kata Pengantar .......................................................................................................................... ix
Prakata ...................................................................................................................................... xi
Bab 1 Analisis Had Kifayah Semasa di Malaysia: Satu Semakan Semula
Baharuddin Sayin, Azri Bhari & Mohd Afandi Mat Rani .......................................................... 1
Bab 2 Skim Agihan Zakat Asnaf Al-Ghārimīn di Institusi-Institusi Zakat di Malaysia
Halim Ismail & Mohd Noor Daud ...................................................................................... 11
Bab 3 Perakaunan Zakat Korporat di Kota Medan, Indonesia
Zahri Hamat & Irfan ............................................................................................................... 21
Bab 4 Perakaunan Zakat Pertanian di Malaysia: Analisis dari Perspektif Cendekiawan Islam
Klasik dan Kontemporari
Mohd Shukri Hanapi & Zahri Hamat ...................................................................................... 35
Bab 5 Status Kelayakan Membayar Zakat Pendapatan Berdasarkan Had Kifayah Perbelanjaan
Fidlizan Muhammad, Azila Abdul Razak, Salwa Amirah Awang
& Mohd Yahya Mohd Hussin ................................................................................................... 59
Bab 6 Amalan Kutipan Zakat Rentas Sempadan Tanpa Tauliah: Satu Penelitian Awal
Sarip Adul, Mohamed Hadi Abd Hamid & Ibrahim Ismail ..................................................... 73
Bab 7 Isu Pemilikan dalam Amalan Pembayaran Zakat Institusi Kewangan Islam
Muhammad Ikhlas Rosele & Luqman Haji Abdullah .............................................................. 89
Bab 8 Model Taksiran Zakat Padi di Malaysia
Nor Aini Ali & Luqman Abdullah ............................................................................................ 97
Bab 9 Had Kifayah Zakat Pendapatan Berasaskan Maqasid Syariah
Azman Ab. Rahman, Tengku Mansur Tengku Zainal Abidin, Muhammad Ridhwan Ab. Aziz,
Khairil Faizal Khairi & Zulhilmi Mohamed Nor .................................................................. 115
Bab 10 Agihan Dana Zakat Melalui Mikro Kredit di Malaysia
Nurul Ilyana Muhd Adnan & Zahri Hamat ............................................................................ 131
Bab 11 Analisis Perbandingan Pembayaran Zakat Fitrah dan Ketirisan di Negeri-Negeri
Terpilih
Mohd Yahya Mohd Hussin , Azila Abdul Razak, Fidlizan Muhammad
& Fatimah Salwa Abdul Hadi ............................................................................................... 141
Bab 12 Kedudukan Zakat Sebagai Rebat Cukai Pendapatan dalam Akta Cukai Pendapatan
1967
Izlawanie Muhammad, Nur Shahira Mohamad Nor & Azman Ab Rahman .......................... 157
Bab 13 Keperluan Kerangka Syariah dalam Tadbir Urus Zakat
Mohamad Amin bin Ibrahim .................................................................................................. 165
vi
Bab 14 Pelaksanaan Konsep Maqasid Syariah dalam Agihan Zakat Fakir Miskin di Selangor
Mohd Fariz bin Abdul Razak ................................................................................................. 177
Bab 15 Pengurusan Tadbir Urus Syariah: Pengalaman Lembaga Zakat Selangor
Adibah Abdul Wahab ............................................................................................................. 189
Bab 16 Tranformasi Pemerkasaan Kutipan dan Agihan Zakat di Malaysia
Azman Ab Rahman ................................................................................................................. 201
Bab 17 Zakat Harta Individu Berasaskan Nisab Emas: Kajian Syariah dan Pelaksanaannya di
Selangor
Syaharina binti Abdullah ....................................................................................................... 217
Bab 18 Kajian Migrasi Zakat dari Selangor ke Luar Negeri Selangor oleh Pihak Tidak
Bertauliah: Analisis dari Sudut Hukum Syarak dan Perundangan
Mohammad Farid bin Mohammad Zainal ............................................................................. 229
Bab 19 Pengiraan Zakat ke Atas Unit Amanah: Satu Penilaian Semula
Ahmad Basri bin Ibrahim & Muhammad Hafiz bin Zainudin ............................................... 241
Bab 20 ‘Bizzakat’
Halidan Bin Md Daud............................................................................................................ 255
Bab 21 Usaha Penentuan Ukuran Isipadu Gantang dan Kepentingannya dalam Pemerkasaan
Kutipan Zakat Fitrah
Dg. Nooremah Ag. Said, Azman Ab Rahman & Hafidzi Hamdan ......................................... 265
Bab 22 Usaha Penentuan Ukuran Isipadu Cupak Sebagai Rujukan Pembayaran Zakat di
Malaysia
Hafidzi Hamdan, Azman Ab Rahman & Dg. Nooremah Ag. Said ......................................... 275
Bab 23 Penambahbaikan Urus Tadbir Berkenaan Uruf Zakat Emas Perhiasan di Institusi
Zakat
Tutasting@ Rawi Nordin & Noraini Saro ............................................................................. 281
Bab 24 Pendedahan Maklumat Zakat bagi Pelaporan Institusi Islam: Kajian Terhadap Majlis
Agama Islam Negeri di Malaysia
Hairunnizam Wahid, Mohd Fairuz Md Salleh, Norida Basnan, Azlina Ahmad,
Azizah Harun & Ainol Basirah Abdul Wahab ....................................................................... 287
Bab 25 Analisis Hukum Penggunaan Nilai Wang dalam Pembayaran Zakat Fitrah di Malaysia
Azri Bhari , Luqman Abdullah, Mohammad Mahyuddin Khalid, Mohd Ashrof Zaki Yaakob
& Baharuddin Sayin .............................................................................................................. 301
Bab 26 Analisis Terhadap Ijtihad Umar Bin Al-Khattab Tentang Zakat Kuda
Irwan Mohd Subri, Azman Ab Rahman, Abdul Manan Ismail, Mushaddad Hasbullah
& Nur Fatin Halil .................................................................................................................. 309
Bab 27 Keperluan Modul Intervensi Kemahiran Daya Tindak (MIDK) bagi Asnaf Mahasiswa
di Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia
Kamariah Derasol, Mohd Salleh Amat & Hairunnizam Wahid ............................................ 327
vii
Bab 28 Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Pembangunan Pendidikan Asnaf Mualaf:
Kajian Kes Kolej Dar Al-Hikmah
Muhammad Haffiz Muhamad Isa & Hairunnizam Wahid ..................................................... 339
Bab 29 Inovasi Gamifikasi Global Zakat Game (GZG) dalam Pendidikan Islam
Nurkhamimi Zainuddin, Azman Ab. Rahman, Zahari Mahad Musa, Norlina Ismail
& Siti Zulaikha Mokhtar ........................................................................................................ 355
Bab 30 Kajian Retrospektif Terhadap Perlaksanaan Agihan Asnaf Fisabilillah di Zaman Nabi
Muhammad SAW dan Implementasi di Lembaga Zakat Selangor
Hamizul bin Abdul Hamid ..................................................................................................... 371
Bab 31: Kesan Tadbir Urus yang Baik ke Atas Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat: Kerangka
Konsep Pelaksanaan Kawalan Dalaman
Nazifah Mustaffha .................................................................................................................. 385
Bab 32 Kesalahan Memungut Zakat oleh Orang yang Tidak Dilantik atau Diberikuasa oleh
Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri di Malaysia
Syed Mohd Najib Syed Omar, Azman Ab. Rahman, Zahari Mahad Musa
& Ahmad Anis Muhd Fauzi ................................................................................................... 393
Bab 33 Tadbir Urus Zakat dalam Institusi Perbankan dan Kewangan Islam
Shamsiah binti Mohamad, Silmi binti Mohamed Radzi
& Dk Syaida Mahyana binti Pg Hj Idris ............................................................................... 409
ix
KATA PENGANTAR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bersyukur saya ke hadrat Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang atas
limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS), saya mengambil kesempatan ini
untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli-ahli jawatankuasa Muzakarah
Zakat Kebangsaan 2017 yang terlibat dalam menjayakan muzakarah ini. Usaha murni
yang diambil untuk menghasilkan buku ini memperlihatkan kesungguhan dan
komitmen semua ke arah perkongsian dan pendedahan tentang isu-isu kontemporari
mengenai kutipan dan agihan zakat di Malaysia.
Zakat merupakan satu instrumen penting bagi pembangunan ekonomi Islam
dan dapat menyucikan harta dan jiwa seseorang muslim serta dapat menyumbang
kepada kemajuan ekonomi ummah. Majlis Agama Islam Negeri dan institusi zakat
mesti sentiasa proaktif dalam memperkasakan pengurusan kutipan dan agihan zakat di
Malaysia. Perkara ini amat penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang
kewajipan berzakat dan seterusnya meningkatkan kutipan zakat yang secara langsung
dapat membantu masyarakat yang memerlukan.
Saya yakin buku ini dapat dijadikan sebagai salah satu sumber rujukan oleh
institusi zakat, Majlis Agama Islam Negeri, institusi perbankan dan kewangan Islam,
ahli akademik, para ilmuan dan masyarakat dalam mengetahui secara terperinci
tentang isu-isu dan cabaran yang berkaitan dengan pemerkasaan kutipan dan agihan
zakat di Malaysia. Buku ini diharapkan dapat memberi idea dan panduan dalam
mencadangkan kaedah dan mekanisme terbaik bagi memperkasakan institusi zakat
dalam aspek kutipan dan agihan di Malaysia di samping memberi kefahaman yang
jelas kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan
pengurusan dan pentadbiran zakat di Malaysia.
Semoga usaha kecil ini akan mendapat ganjaran sebagai sebahagian daripada
amal soleh oleh Allah SWT. Jazakallahu Khairan Kathira
HAJI HUSIN BIN ALI
Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Zakat Selangor
Majlis Agama Islam Selangor
xi
PRAKATA
Alhamdulillah, segala puji dan setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kepada Allah SWT
Yang Maha Penyayang kerana dengan taufik dan inayah-Nya buku ini dapat
disempurnakan dengan jayanya.
Zakat merupakan satu elemen penting yang digariskan dalam Rukun Islam,
yang mana wajib ditunaikan oleh semua Muslim. Pengurusan institusi zakat secara
berkesan dan efisien amat penting bagi memastikan objektif zakat yang diwajibkan ke
atas setiap muslim tercapai. Pelbagai isu yang berkaitan kutipan dan agihan zakat
sentiasa timbul yang memerlukan kepada perbincangan dan diskusi secara hikmah
dan harmoni bagi memastikan keputusan dan pelaksanaan yang dilakukan menepati
kehendak syarak. Justeru, buku ini diterbitkan dengan harapan menjadi wadah untuk
memberikan manfaat dan idea dalam memperkasakan kutipan dan agihan zakat di
Malaysia.
Buku ini merupakan hasil kompilasi artikel-artikel daripada penganjuran
Muzakarah Zakat Kebangsaan 2017 anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS),
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) USIM, Sekretariat
Pusat Zakat Negeri-Negeri (SPZN), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR),
Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Persatuan Kakitangan Akademik USIM
(PKAUSIM). Penerbitan buku ini membincangkan pelbagai isu semasa yang meliputi
isu-isu kontemporari kutipan dan agihan zakat, institusi amil, hukum-hakam serta
cabaran yang berkaitan dengan pemerkasaan kutipan dan agihan zakat sama ada
secara langsung atau tidak langsung di Malaysia.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada para penyumbang
artikel dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam
menjayakan penerbitan buku ini.
Akhir kata, diharapkan buku ini dapat memberi manfaat kepada institusi-
institusi zakat, Majlis Agama Islam Negeri, ahli akademik, para pelajar dan
masyarakat awam di Malaysia.
Sekian, terima kasih.
ZAHARI MAHAD MUSA
AZMAN AB RAHMAN
ADIBAH ABDUL WAHAB
Sidang Penyunting
Muzakarah Zakat Kebangsaan 2017
Bab 28 PERANAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DALAM
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN ASNAF MUALAF: KAJIAN KES
KOLEJ DAR AL-HIKMAH
Muhammad Haffiz Muhamad Isai & Hairunnizam Wahid
ii
iSarjana Ekonomi Islam, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM. [email protected]
iiPensyarah kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM.
Abstrak Pendidikan peringkat tertier atau pendidikan tinggi adalah suatu keperluan semasa yang
penting, lebih-lebih lagi dalam dunia global dengan perkembangan pesat ilmu pengetahuan
dewasa ini. Kelayakan akademik di peringkat pendidikan tinggi bukan sahaja dapat
memenuhi keperluan keilmuan seseorang dalam bidang akademik yang ditekuninya, tetapi
juga memberikan kelebihan-kelebihan lain seperti peluang pekerjaan yang baik dan
peningkatan status sosio-ekonominya. Dalam konteks perkembangan pendidikan golongan
asnaf mualaf, penelitian pengkaji sebelum ini mendapati asnaf mualaf di Malaysia cenderung
memilih aliran pendidikan akademik berbanding aliran pendidikan kemahiran. Justeru
melanjutkan penelitian lalu, kajian ini berhasrat meninjau peranan yang dimainkan oleh
Institusi pengajian Tinggi terpilih iaitu Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Kajang dalam
pendidikan golongan asnaf mualaf di samping meninjau perkhidmatan pendidikan yang
disediakannya dan mengenalpasti aspek-aspek yang menjadikan sistem pendidikan di Institusi
Pengajian Tinggi releven bagi memenuhi keperluan golongan ini. Kajian ini dijalankan
dengan menggunapakai pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes. Teknik temu
bual mendalam dengan persampelan bertujuan digunakan bagi pengumpulan data, di samping
analisis dokumen merangkumi kajian kepustakaan serta penelitian teks dan dokumen. Data
dianalisis menggunakan teknik analisis kandungan dan analisis tematik. Kajian mendapati
Kolej Dar al-Hikmah berperanan sebagai IPT panel di bawah Majlis Agama Islam Selangor
(MAIS) dalam menampung keperluan pendidikan para asnaf mualaf yang berkelayakan di
samping menyediakan peluang kepada golongan asnaf mualaf untuk melanjutkan pengajian
peringkat diploma dalam bidang pengajian Islam dan sains kemanusiaan dengan beberapa
persyaratan. Perkhidmatan pendidikan yang disediakan di Kolej Dar al-Hikmah (KDH) juga
dianggap memuaskan kerana memenuhi kriteria minima dalam apek fasiliti, pentadbiran dan
akademik seperti yang ditetapkan badan regulator berkaitan. Di samping itu, institusi ini
membangun model pendidikan tersendiri yang dikenali sebagai ‘Pendidikan al-Hikmah’ yang
mengadun acuan pendidikan holistik yang menggabungjalinkan elemen pendidikan akademik,
pengukuhan asas agama, pembentukan watak, kesedaran dakwah serta aktivisme sosial.
Terdapat dua aspek penting menjadikan institusi pengajian tinggi releven untuk membantu
membangun pendidikan golongan mualaf iaitu struktur akademik yang terkawalselia, dan
proses pengajaran dan pembelajaran yang terancang. Beberapa cadangan dikemukakan untuk
kajian lanjutan di samping saranan kepada pihak berkepentingan khususnya pihak otoriti
keagamaan dalam merencana tindakan yang lebih pragmatik dalam memperkasa agenda
pembangunan pendidikan mualaf.
Kata Kunci: Asnaf Mualaf, Pendidikan Tinggi, Kolej Dar al-Hikmah.
340
PENGENALAN
Pendidikan merupakan keperluan asasi yang menempati hierarki keperluan yang
utama bagi seseorang manusia dalam era ini. Malah, menuntut ilmu menjadi suatu
saranan keagamaan yang penting dalam Islam sehinggakan secara jelas meletakkan
hukum wajib bagi setiap Muslim untuk menuntut ilmu: “Menuntut ilmu itu wajib atas
setiap Muslim” (Hadith riwayat Ibnu Majah, no. 224). Lebih daripada itu, Islam
menjanjikan ganjaran-ganjaran yang lumayan bagi mereka yang berusaha mencari
ilmu pengetahuan seperti yang tergambar dalam sabdaan Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mendapatkan ilmu, maka
akan dimudahkan oleh Allah SWT baginya jalan-jalan ke syurga.” (Hadith
riwayat Muslim, no. 2699).
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk meningkatkan
keupayaan diri dengan berusaha menuntut ilmu di samping para pemerintah Muslim
atau otoriti keagamaan berinisiatif menyediakan akses pendidikan kepada rakyat di
bawah pentadbirannya. Di Malaysia, undang-undang telah mewajibkan pendidikan
peringkat primer iaitu pendidikan peringkat sekolah daripada tahun satu sehingga
darjah enam sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan Pendidikan Wajib di
bawah Akta Pendidikan (Pindaan 2002). Di bawah akta ini, dalam seksyen 29A (2)
memperuntukkan setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini
perlu memastikan anak-anak mereka yang mencapai usia tertentu didaftarkan sebagai
murid sekolah rendah dan mengikuti pembelajaran sepanjang tempoh yang ditetapkan
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002). Justeru, kerajaan Malaysia di bawah
mekanisme dan jentera yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) menyediakan banyak kemudahan untuk akses pendidikan pada peringkat ini.
Walaupun begitu, tidak semua rakyat Malaysia berpeluang melanjutkan
pengajian ke peringkat seterusnya, iaitu peringkat pendidikan tertieri atau pendidikan
tinggi. Pendidikan peringkat tertier hari ini menjadi suatu keperluan semasa yang
penting, lebih-lebih lagi dalam dunia global dengan perkembangan pesat ilmu
pengetahuan. Kelayakan akademik di peringkat pendidikan tinggi bukan sahaja dapat
memenuhi keperluan keilmuan seseorang dalam bidang akademik yang ditekuninya,
tetapi juga memberikan kelebihan-kelebihan lain seperti peluang pekerjaan yang baik
dan peningkatan status sosio-ekonominya
Dalam perkembangan yang sama, salah satu golongan ‘minoriti’ dalam negara
majoriti Muslim di Malaysia iaitu golongan asnaf mualaf juga tidak terkecuali
daripada perintah keagamaan menuntut ilmu pengetahuan, khususnya ilmu-ilmu
berkaitan agama memandangkan mereka merupakan kelompok yang baharu
mengenal Islam dan memeluknya. Mualaf atau golongan yang baharu memeluk Islam
dapat dikenali juga sebagai ‘saudara baharu’. Mu’jam Lu hah al-Fuqaha’
memberikan definisi mualaf sebagai “seseorang yang diberi zakat untuk melembutkan
hati mereka supaya memeluk Islam” (Azman A.R. et al., 2015). Mualaf juga
dikategorikan sebagai salah satu kelompok yang layak menerima zakat sebagaimana
341
firman Allah: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-
orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan mualaf
yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan
dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah,
dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan...” (Surah al-Tawbah (9):
60).
Sesuai dengan perintah berzakat dalam Islam, otoriti keagamaan adalah
institusi yang mengemban amanah umat dalam membantu mengagihkan perolehan
zakat kepada golongan asnaf mualaf termasuklah menyediakan skim dan program
pendidikan bagi mereka. Dalam konteks golongan mualaf di Malaysia, adalah
menjadi keprihatinan bagi umat untuk sama-sama membantu mencari formula terbaik
dalam perkembangan pendidikan mereka. Tidak seperti pendidikan peringkat primer
dan sekunder iaitu persekolahan rendah dan menengah, pendidikan peringkat tertier
mempunyai kaedah, mekanisme dan juga sistem yang sama sekali berbeza dengan
yang dilalui dalam peringkat pendidikan sebelumnya. Malah, perbelanjaan yang besar
juga diperlukan bagi membiayai pengajian di peringkat ini, di samping syarat-syarat
kelayakan yang harus dipenuhi. Tanpa menafikan peranan kelas-kelas pengukuhan
agama dan inisiatif skim dan program pendidikan yang diinisiatifkan oleh banyak
pihak, laluan pendidikan peringkat tinggi juga wajar menjadi salah satu sasaran dalam
pembangunan pendidikan golongan ini.
Skim dan program pendidikan yang pelbagai diwujudkan dengan sokongan
dana zakat pendidikan menjadikan zakat sebagai mekanisme yang utama dalam
menyelesaikan masalah berkaitan pembiayaan pendidikan dalam kalangan golongan
ini, sepertimana dipetik daripada penelitian Azman Abdul Rahman et al. (2017).
Walaupun begitu, persoalan tentang keberkesanan dan kemapanan skim dan program
pendidikan oleh pihak-pihak terbabit wajar untuk diteliti. Selain daripada kelas-kelas
pengukuhan agama dan program-program keagamaan yang dibangunkan oleh pihak
tertentu, pengkaji berpendapat bahawa sistem pendidikan yang lebih teratur dan
bersistem seperti yang terdapat di Institusi Pengajian Tinggi adalah sesuai bagi
memenuhi keperluan semasa golongan ini.
Pengkaji sendiri sebelumnya telah mengenalpasti kecenderungan pemilihan
aliran pendidikan dalam kalangan asnaf mualaf di Malaysia melalui suatu kajian yang
khusus (Muhammad Haffiz & Hairunnizam Wahid, 2017). Kecenderungan aliran
pendidikan dalam kalangan asnaf mualaf juga merupakan salah satu aspek penting
yang perlu diambilkira. Kajian tersebut menggunakan pendekatan kuantitatif dengan
kaji selidik sebagai teknik pengumpulan data dengan strategi persampelan rawar
berstatifikasi tidak bernisbah dengan mensasarkan asnaf mualaf dalam kalangan 514
orang pelajar daripada empat buah pusat latihan mualaf di Malaysia. Daripada data
yang diperoleh, asnaf mualaf didapati cenderung memilih pendidikan aliran akademik
berbanding aliran kemahiran walaupun nisbah pemilihan antara kedua-dua aliran
hampir seimbang. Sepertimana ditunjukkan dalam Jadual 1, seramai 280 orang
mualaf (54%) berminat dengan aliran akademik berbanding seramai 234 orang mualaf
342
(45.5%) memilih aliran kemahiran justeru mengindikasikan secara jelas bahawa aliran
akademik adalah pilihan majoriti oleh asnaf mualaf. Kecenderungan terhadap aliran
pendidikan akademik oleh asnaf mualaf di Malaysia dikenalpasti didorong oleh faktor
utama motivasi dan minat. Dalam masa yang sama, minat mualaf terhadap aliran
pendidikan akademik ditentusahkan melalui kaedah ujian psikometrik minat kerjaya
model H llan ’s dan keputusannya adalah koheren (Muhammad Haffiz dan
Hairunnizam Wahid, 2017).
Diakui terdapat pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam membangun pendidikan
golongan mualaf, malah peruntukan yang besar juga dikeluarkan. Namun,
pemantauan dan kawal selia terhadap keberkesanan program pendidikan yang
dilaksanakan adalah amat minima. Malah kelemahan-kelemahan yang ketara
dikenalpasti dalam pelaksanaannya seperti kualiti isi kandungan pengajaran, kaedah
penyampaian, penilaian kefahaman peserta, pengawalseliaan kualiti program dan
konsistensi pelaksanaan. Atas sebab itu, dapat diandaikan bahawa kondisi pendidikan
yang lebih baik dan teratur mungkin dapat dimanfaatkan untuk pembangunan
pendidikan golongan mualaf. Sorotan terhadap kajian-kajian lepas juga
mengisyaratkan pentingnya untuk meneliti peranan sistem pendidikan berstruktur
yang disediakan oleh institusi pengajian tinggi dalam membantu perkembangan
pendidikan golongan mualaf agar rencana dan strategi yang dirangka dalam membela
kelompok ini akan menatijahkan hasil yang bertepatan dengan kehendak dan
keperluan mereka, sekaligus memenuhi amanah pertanggungjawaban umat terhadap
golongan ini.
Justeru, sebagai lanjutan daripada kajian Muhammad Haffiz dan Hairunnizam
Wahid (2017), pengkaji berpendapat bahawa pendidikan di institusi pengajian tinggi,
sebagai satu bentuk daripada aliran pendidikan akademik wajar untuk diteliti,
memandangkan ia mempunyai ciri dan bentuk yang tersendiri. Oleh yang demikian,
penelitian terhadap sistem pendidikan tertieri di Institusi Pengajian Tinggi dan
kesesuaiannya dalam memenuhi keperluan semasa golongan asnaf perlu dilakukan.
Kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh institusi seperti ini perlu dikenalpasti dan
dimanfaatkan untuk kejayaan agenda pembangunan pendidikan golongan mualaf.
Dalam penelitian ini, pengkaji memfokuskan tumpuan kajian ini kepada peranan yang
boleh dimainkan oleh Institusi Pengajian Tinggi dalam membangun pendidikan
mualaf. Memandangkan tidak semua institusi pengajian tinggi di Malaysia
mempunyai prosedur menyantuni golongan mualaf, maka pengkaji memilih salah
sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai pengalaman menguruskan pelajar
daripada golongan asnaf mualaf iaitu Kolej Dar al-Hikmah, Kajang sebagai kajian kes
bagi kajian ini.
Oleh yang demikian, penelitian ini meletakkan objektif-objektif berikut
sebagai tujuan kajian: (1) meninjau peranan yang dimainkan oleh Institusi Pengajian
Tinggi terpilih iaitu Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Kajang dalam pendidikan golongan
mualaf; (2) meninjau perkhidmatan pendidikan yang disediakan oleh Kolej Dar al-
Hikmah (KDH), Kajang; (3) mengenalpasti aspek yang menjadikan sistem pendidikan
343
di Institusi Pengajian Tinggi releven untuk perkembangan pendidikan golongan
mualaf.
METODOLOGI
Kajian ini dijalankan dengan menggunapakai pendekatan kaedah kualitatif dan
merangkumi dua teknik pengumpulan data iaitu temubual dan analisis dokumen.
Pengumpulan data secara temubual dikendalikan dengan kaedah temuramah
mendalam (in-depth interview) di mana pengkaji memilih strategi persampelan
bertujuan dengan bertemu sendiri dengan Ketua Eksekutif Kolej Dar al-Hikmah dan
menemuramah responden tentang subjek kajian. Teknik ini tidak memerlukan
pengkaji menemubual responden dalam bilangan tertentu melainkan mengenalpasti
individu yang selayaknya yang mempunyai pengetahuan mendalam atau pengalaman
langsung dengan subjek kajian (Jasmi, K. A., 2012). Justeru, responden ditemubual
dengan berpandukan senarai soalan yang disediakan dengan pertanyaan soalan
tambahan sebagai huraian daripada jawapan responden atau mengikut keperluan
informasi oleh pengkaji. Teknik pengesahan peserta (participant validity)
sebagaimana disarankan oleh Lincoln and Guba (1985) digunakan sebagai langkah
memastikan terdapatnya kebolehpercayaan (reliability) dan kebolehbergantungan
(dependability) data. Teknik ini memerlukan pengkaji membentangkan hasil dapatan
kajian kepada responden atau informan untuk mengesahkan sama ada dapatan
tersebut menggambarkan pandangan atau maklumat sebenar yang telah beliau
berikan.
Manakala analisis dokumen dilaksanakan merangkumi kajian kepustakaan
serta penelitian teks dan dokumen-dokumen berkaitan model, silibus, dan
perkhidmatan pendidikan oleh Kolej Dar al-Hikmah seperti Laporan Tahunan
Prestasi KDH, Pelan Strategik Resolusi Camar Laut, Himpunan Pidato Kependidikan
Presiden KDH, laman portal web KDH dan sebagainya. Menurut Bowen (2009),
teknik analisis dokumen adalah prosedur sistematik untuk menyorot dan menilai
dokumen sama ada bahan bercetak ataupun elektronik. Teknik ini adalah sesuai
dijalankan bersama teknik temu bual sebagai suatu prosedur triangulasi atau
kombinasi metodologi dalam penelitian terhadap fenomena yang serupa (Denzin,
1970). Bukan sekadar membantu pengkaji memperoleh data berkaitan, triangulasi
seperti ini juga menunjukkan usaha pengkaji menyediakan pembuktian-pembuktian
daripada pelbagai jalur sumber yang menjadikannya berkredibiliti (Eisner, 1991).
Data yang telah terkumpul dianalisis menggunakan teknik analisis kandungan
(content analysis) dan analisis tematik (thematic analysis) yang melibatkan proses
imbasan (skimming), pembacaan mendalam (thorough examination) dan pentafsiran
(Bowen, 2009).
HASIL KAJIAN
Kolej Dar al-Hikmah (KDH) terletak di Sungai Ramal Dalam, Kajang. Ditubuhkan
pada tahun 1989, ia merupakan antara institusi pendidikan Islam swasta yang terawal
di Malaysia. Ditubuhkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebuah
344
pertubuhan bukan kerajaan yang aktif dalam kegiatan dakwah dan kemasyarakatan,
KDH merupakan buah hasil daripada pemikiran kependidikan para penggiat dan
aktivis ABIM. ABIM menubuhkan rangkaian institusi pendidikannya bermula dengan
Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI), Sekolah Rendah Islam (SERI), Sekolah
Menengah Islam (SEMI) dan diperingkat pendidikan tertireri, ditubuhkan KDH
sebagai lanjutan daripada rangkaian institusi pendidikannya. (KDH, 2015).
KDH pada awalnya didirikan dengan nama Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam
(IPI). Ia dibangunkan dalam suasana masyarakat awam khususnya umat Islam yang
dahagakan ilmu khususnya yang berkaitan dengan ilmu-ilmu agama Islam. (Ghazali
Basri, 1994). Dalam masa yang sama, ketika awal penubuhannya, hanya terdapat tiga
institusi pendidikan formal di peringkat pengajian tinggi Malaysia yang menawarkan
pengajian Islam secara berstruktur iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di bawah
jabatan atau unitnya masing-masing. Kolej Islam Malaya juga merupakan institusi
yang awal namun fungsinya telah diambilalih UKM dengan penyerapan pelajar Kolej
Islam setelah penubuhan universiti ini (Mohd Halimi Abdul Hamid, 1996). Walau
bagaimanapun, institusi pendidikan yang tersebut mensyaratkan kelayakan akademik
tertentu bagi melayakkan individu menyertainya. Justeru, penubuhan IPI boleh
dikatakan tepat pada waktunya bagi mengisi kelompongan yang ditinggalkan oleh
institusi pengajian Islam formal yang lain (Mohd Halimi Abdul Hamid, 1996).
IPI mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada khalayak. Kuliah
dijalankan pada hujung minggu secara separuh masa. Sukatan pelajarannya
dibangunkan sendiri oleh para aktivis ABIM ketika itu khususnya yang terdiri
daripada para akademia dan pensyarah di universiti-universiti. Merekalah juga yang
secara sukarela menjadi tenaga pengajar di IPI walaupun imbuhan atau elaunnya
relatif kecil. Bukan sekadar institusi yang menyediakan pengajian ilmu-ilmu Islam,
IPI juga sebenarnya berfungsi sebagai medan eksperimentasi bagi pengembangan
teori-teori baharu dalam pemikiran Islam khususnya dalam wacana PengIslaman Ilmu
atau Islamisasi Ilmu (Ghazali Basri, 1994). Sesuai dengan peredaran zaman, dan
regulasi-regulasi baharu daripada otoriti, IPI juga turut mengalami perubahan. Ini
termasuklah pengambilan pelajar sepenuh masa, penubuhan kampus tetap,
pengurusan urustadbir secara sepenuh masa, dan persyaratan akreditasi untuk
program-program akademiknya. Menjelang tahun 2002, IPI ditukar nama kepada
namanya yang sekarang iaitu Kolej Dar al-Hikmah.
Kolej Dar al-Hikmah pernah dan sedang dipimpin oleh para akademia dan
golongan pendidik yang mengabdikan diri mereka dalam perjuangan kependidikan,
antaranya Profesor Emeritus Dato Dr. Osman Bakar sebagai pengarah pertama,
Profesor Dr. Nik Azis Nik Pa, Dr. Ghazali Basri, Dato’ Mokhtar Shafie, Haji Ahmad
Mohd Said, Prof Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Haji Fuad Bahari dan Haji Muhamad
Khailani Abdul Jalil. Para penggerak dan petugas di KDH menganggap kerja-kerja
mereka di KDH bukan semata-mata karier atau kerjaya, tetapi merupakan perjuangan,
kebajikan dan dakwah. (Muhamad Khailani Abdul Jalil, 2017).
345
Setelah hampir 30 tahun bertahan dalam arena pendidikan tinggi, KDH masih
lagi mengekalkan beberapa ciri unik yang tersendiri, antaranya pembudayaan ilmu
dalam kalangan warganya. Selain itu, aspek kebajikan juga menjadi prioriti KDH di
mana ia dapat dilihat pada struktur yuran pengajian yang relatif rendah, penyantunan
terhadap pelajar dalam golongan yang berpendapatan rendah, persediaan khusus
untuk golongan mualaf, dan penawaran biasiswa di bawah Dana Pendidikan al-
Hikmah bagi yang berkelayakan.
Bermula tahun 2008, Kolej Dar al-Hikmah (KDH) telah dipilih sebagai salah
satu institusi pengajian tinggi panel oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi
menampung keperluan pendidikan golongan asnaf mualaf. MAIS menghantar para
pelajar dalam kalangan asnaf mualaf yang berkelayakan (menurut kriteria MAIS)
untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma di KDH dengan penajaan oleh
pihak MAIS. Jadual 2 menunjukan keputusan peperiksaan semester 1 bagi pelajar-
pelajar baharu tajaan MAIS di Kolej Dar al-Hikmah. Daripada 46 orang pelajar
baharu golongan mualaf tajaan MAIS tersebut, majoriti mencatatkan prestasi
pencapaian sederhana iaitu pada purata nilai gred kumulatif antara 2.01 hingga 3.00
iaitu sebanyak 43.5% (20 orang), diikuti pencapaian cemerlang dengan purata nilai
gred 3.01 hingga 4.00 iaitu sebanyak 34.8% (16 orang) dan pencapaian lemah kurang
2.00 sebanyak 9.6% (9 orang). Keputusan ini dinilai sebagai prestasi yang
memuaskan.
Daripada hasil temu bual, dengan menjurus kepada permasalahan kajian,
pengkaji mengenalpasti tema-tema yang kemudiannya dikodkan secara induktif.
Pengkaji mengkategorikannya ke dalam lima tema utama iaitu “Persediaan
Pendidikan”, “Struktur Pendidikan”, “Model Pendidikan”, “Pengajaran dan
Pembelajaran” dan “Pencapaian dan Pengiktirafan”. Tema “Persediaan Pendidikan”
didapati menjawab permasalah kajian bagi objektif pertama kajian (tentang peranan
KDH dalam pendidikan mualaf), manakala tema “Model Pendidikan” dan
“Pencapaian dan Pengiktirafan” menjawab permasalahan kajian bagi objektif kedua
(perkhidmatan pendidikan KDH). Seterusnya permasalahan kajian ketiga bagi
objektif mengenalpasti aspek kerelevenan institusi pengajian tinggi terhadap
pendidikan mualaf terjawab dengan tema “Struktur Pendidikan” dan “Pengajaran dan
Pembelajaran”
Peranan Kolej Dar al-Hikmah dalam pendidikan asnaf mualaf: Jadual 3
menunjukkan tema “Persediaan Pendidikan” yang mengindikasikan peranan Kolej
Dar al-Hikmah (KDH) dalam pendidikan asnaf mualaf. KDH menerima kemasukan
pelajar mualaf khususnya daripada pihak MAIS walaupun kriteria kelayakan di
peringkat kedua-dua pihak mungkin berbeza. Justeru ujian penempatan (placament
test) dijalankan bagi menilai tahap pengetahuan pelajar dalam asas-asas agama. Selain
itu, ‘Kelas Pengukuhan Mualaf’ sebagai persediaan kepada pelajar mualaf sebelum
mengikuti subjek teras dalam program akademik peringkat diploma. Kelas ini
menempatkan para pelajar asnaf mualaf yang belum mencapai tahap memuaskan
dalam penguasaan pengetahuan-pengetahuan asas agama bagi memastikan mereka
346
tidak mengalami keciciran ketika mengikuti matapelajaran teras kelak. Tujuan kelas
ini diwujudkan adalah berdasarkan pengalaman pihak KDH mengendalikan pelajar-
pelajar asnaf mualaf sebelum ini khususnya yang mengikuti program akademik
diploma usuluddin dan diploma syariah. Dalam masa yang sama disyaratkan
penguasaan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab dengan mewajibkan kelas
bahasa sehingga beberapa tahap di samping menekankan penguasaan pembacaan al-
Quran dengan mewajibkan kelas Tilawah al-Quran dan tajwid.
Perkhidmatan pendidikan yang disediakan di Kolej Dar al-Hikmah:
Perkhidmatan pendidikan di Kolej Dar al-Hikmah dapat ditinjau melalui dua aspek
iaitu aspek fasiliti asas dan model pendidikan. Fasiliti asas di KDH dapat dianggap
memuaskan berdasarkan pengiktirafan keseluruhan 4 bintang dalam penarafan
“Sistem Penilaian Kualiti” (MyQUEST) untuk IPTS bagi dua kali penilaian berturut-
turut iaitu pada 2012/2013 dan 2014/2015. Penilaian ini merangkumi keseluruhan
pengurusan pentadbiran dan pengurusan akademik sesebuah kolej swasta. Manakala
dari aspek model pendidikan, KDH telah membangunkan model pendidikan tersendiri
dengan falsafah, nilai dan budaya yang dicerminkan dalam semua urusan melibatkan
warga institusi yang dikenali sebagai institusi ini membangun model pendidikan
tersendiri yang dikenali sebagai ‘Pendidikan al-Hikmah’. Ia mengadun acuan
pendidikan holistik yang menggabungjalinkan elemen pendidikan akademik,
pengukuhan asas agama, pembentukan watak pelajar, kesedaran dakwah serta
aktivisme sosial. Kedua-dua aspek perkhidmatan pendidikan ini dapat ditinjau dalam
Jadual 4 yang menggariskan tema “Pencapaian dan Pengiktirafan” dan “Model
Pendidikan”.
Sebagai sebuah institusi pendidikan yang berwibawa, Kolej Dar al-Hikmah
diiktiraf sebagai Institusi Pengajian Tinggi yang sah dan berdaftar di bawah
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Oleh yang demikian, kesemua program
akademik di Kolej Dar al-Hikmah iaitu Diploma Usuluddin, Diploma Syariah,
Diploma Pengajian Islam Muamalat, Diploma Kaunseling, Diploma Perakaunan,
Diploma Psikologi dan Diploma Pendidikan Pra Sekolah mendapat pengiktirafan
daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Kolej Dar al-Hikmah juga telah
memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelbagai institusi pendidikan
dalam dan luar negara untuk tujuan menghantar pelajarnya melanjutkan pengajian ke
peringkat lebih tinggi. Pemetraian MoU seperti ini hanya dapat berlaku melalui
persefahaman dan kepercayaan antara kedua-dua pihak yang memetrai memorandum.
Ternyata KDH adalah sebuah institusi yang berkredibiliti berdasarkan rekod
penglibatan para ilmuwan dan golongan pendidik yang berpengalaman di KDH
(Kolej Dar al-Hikmah, 2015)
Model ‘Pendidikan al-Hikmah’ yang dibangunkan di KDH digarap daripada
surah Luqman dengan 10 nilai yang terumus daripadanya iaitu pemurnian akidah,
kebaktian kepada ibu bapa, ketegasan bersikap, kesedaran, pelaksanaan solat, amar
makrif nahi munkar, berdaya tahan, menghindari keangkuhan, kesederhanaan, dan
kesantunan (Siddiq Fadzil, 2014). Kesemua nilai ini merupakan teras pembinaan
347
watak warga Kolej Dar al-Hikmah. Selain penekanan terhadap kecemerlangan
akademik, aktiviti ko-kurikulum adalah suatu kegiatan wajib dan aktiviti berpersatuan
adalah amat digalakkan di samping kegiatan kemasyarakatan. Suatu ciri menonjol
Kolej Dar al-Hikmah (KDH) adalah penerapan pembudayaan ilmu dalam kalangan
warganya. Walaupun saiz fizikalnya relatif kecil, namun keaktifan dalam
pembudayaan ilmu boleh dianggap memberangsangkan. KDH mempunyai unit
penyelidikan dan penerbitannya yang tersendiri, dikenali sebagai Akademi Kajian
Ketamadunan (AKK). AKK yang ditubuhkan pada tahun 2004 berperanan
menganjurkan wacana ilmiah, seminar dan konferens serta menerbitkan buletin, buku
dan jurnal ilmiah. Dalam pemerhatian penyelidik, KDH melalui AKK telah
menerbitkan jurnal JAWHAR Jurnal Kajian Ketamadunan selama lima belas tahun
berturut-turut dan sehingga kini menerbitkan 15 jilid jurnal JAWHAR, tujuh terbitan
monograf, 13 terbitan buletin Madaniyyat, enam terbitan Siri Pendidikan Tinggi
Islam, dan 15 terbitan buku ilmiah tidak berkala,
Aspek kerelevenan IPT dalam membangun pendidikan asnaf mualaf: Kajian
ini mengenalpasti dua aspek kerelevenan utama institusi pengajian tinggi bagi
membantu membangun pendidikan golongan mualaf iaitu struktur akademik yang
terkawalselia, dan proses pengajaran-pembelajaran yang terancang. Ini dapat dilihat
dalam Jadual 5 yang menunjukkan tema “Struktur Pendidikan” dan “Pengajaran dan
Pembelajaran”.
Struktur Pendidikan di institusi pengajian tinggi, melalui penelitian terhadap
Kolej Dar al-Hikmah didapati mematuhi garis panduan serta arahan daripada
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia 1996 (KPT) sesuai dengan persyaratan
Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) iaitu suatu akta yang
memperutukkan syarat dan prosedur untuk penubuhan, pendaftaran, pengurusan,
pengawalseliaan dan kawalan kualiti pendidikan yang diberikan oleh institusi
pendidikan tinggi swasta (Kementerian Pengajian Tinggi, 2016). Secara umum, setiap
matapelajaran mempunyai tiga jam kredit, dan setiap semester pengajian di Kolej Dar
al-Hikmah adalah selama 14 minggu kuliah bertatap muka. Setiap matapelajaran
mempunyai objektif, sasaran hasil pembelajaran dan jam pembelajaran yang
ditentukan secara spesifik. Manakala, penilaian pelajar dibuat dengan pentaksiran
melalui ujian dan peperiksaan, pembentangan, penyertaan dalam kuliah, artikel
ilmiah, kajian lapangan dan latihan praktikal. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai badan pengaawalselia akan
melakukan penilaian berkala bagi memastikan kesemua program akademik di Kolej
Dar al-Hikmah dikawalselia. Sekiranya didapati pihak institusi pengajian tinggi tidak
mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil
termasuklah tidak memperbaharui lesen akreditasi program akademik dan
pergantungan lesen operasi institusi.
Pengajaran dan pembelajaran terancang menjadi ciri penting sistem
pendidikan di institusi pengajian tinggi. Melalui kajian terhadap Kolej Dar al-
Hikmah, kehadiran ke kuliah adalah diwajibkan. Ini menandakan rutin kelas
348
pengajian di institusi pengajian tinggi mempunyai kekerapan dan konsistensi yang
jitu. Sesi kuliah pula mengutilisasikan alat bantu mengajar seperti komputer, projektor
LCD, nota kuliah dan lain-lain. Kemahiran interaksi antara guru-murid di peringkat
pengajian tinggi (tertieri) sudah semestinya berbeza dengan yang dialami ketika di
peringkat pendidikan rendah dan menengah. Di peringkat tertieri, pensyarah
berinteraksi dengan pelajar secara profesional dengan kemahiran andragogi (kaedah
pengajaran orang dewasa). Malah, proses penyaluran ilmu tidak lagi berifat guru-
sentrik melainkan para pelajar sendiri digalakkan untuk menyampaikan pandangan
mereka dalam sesi kuliah. Selain itu, pelajar dilatih untuk menjana pengetahuan
melalui pencarian maklumat dan pengkajian.
PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI DASAR
Berdasarkan hasil dapatan kajian, pengkaji mendapati bahawa Kolej Dar al-Hikmah
sebagai institusi terpilih untuk kajian ini memainkan peranan yang signifikan dalam
membantu membangun pendidikan golongan mualaf. Peranan KDH dalam merangka
persediaan pendidikan yang sistematik untuk golongan mualaf dapat menjadi model
asas bagi program khusus pendidikan mualaf di institusi pengajian tinggi. Ujian
penilaian bagi mengukur tahap pengetahuan asas agama golongan asnaf mualaf,
misalnya, adalah sangat penting agar tidak berlaku keciciran dalam pengajian
sekiranya pelajar tidak mencapai tahap kemampuan yang minima. Justeru, kelas
pengukuhan mualaf sebagai persediaan golongan ini sebelum mengikuti subjek teras
dilihat sangat releven dan prihatin dengan kondisi golongan ini. Perkhidmatan
pendidikan yang baik dari aspek fasiliti dan model pendidikan juga dapat dijadikan
keutamaan dalam menyediakan platform pendidikan yang sesuai untuk golongan
asnaf mualaf.
Dengan model pendidikan al-Hikmah seperti yang dibangunkan KDH ini,
golongan mualaf bukan sekadar membangun potensi mereka dalam bidang akademik
semata-mata, tetapi juga membangun watak yang terampil. Kajian juga memperoleh
dapatan penting di mana dua aspek kerelevanan institusi pengajian tinggi dikenalpasti
khusus dalam menciptakan wadah pendidikan yang berkesan untuk golongan asnaf
mualaf iaitu struktur akademik yang terkawalselia dan proses pengajaran dan
pembelajaran yang terancang. Tidak seperti keadaan pendidikan tidak-formal atau
non-formal, sistem pengajian di institusi pengajian tinggi adalah sangat
menitikberatkan pencapaian indeks-indeks tertentu dalam keberkesanannya. Oleh
yang demikian, pendisplinan pelajar khususnya golongan asnaf mualaf dapat
dikekalkan dalam proses pengajian mereka. Tambahan lagi, jika dana zakat
dibelanjakan untuk tujuan ini, sudah semestinya buah hasil yang positif dinatijahkan
agar berbaloi dengan perbelanjaan dan yang lebih penting lagi amanah umat dalam
membantu golongan ini dilunasi.
Kajian ini adalah lanjutan daripada penelitian terhadap kecenderungan aliran
pendidikan golongan mualaf yang mendapati bahwa golongan mualaf lebih meminati
aliran pendidikan akademik berbanding pendidikan kemahiran. Justeru, sebuah
349
institusi pengajian tinggi dipilih bagi meninjau kerelevenan sistem pendidikan IPT
untuk golongan mualaf. Kerangka kajian ini dapat dimanfaatkan untuk melanjutkan
penelitian bagi kajian kes di institut pengajian tinggi lain pula. Di samping itu,
pendekatan kajian bersifat kuantitatif juga dapat dijalankan untuk objektif yang sama
bagi mengesahkan dapatan kajian ini.
Di sini pengkaji mengusulkan beberapa saranan untuk kebarangkalian
tindakan oleh pihak yang berkenaan. Bagi pihak otoriti keagaamaan khususnya di
peringkat negeri wajar untuk mengenalpasti sisi-sisi pro dan kontra skim pembiayaan
pendidikan mereka yang rencam selama ini. Justeru, daripada pengenalpastian itu,
pihak otortiti agama dapat bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi yang
berwibawa dalam merangka pendekatan-pendekatan khusus, bagi membolehkan
golongan asnaf mualaf mengikuti pengajian di peringkat tertieri, dengan melalui
disiplin dan rutin yang teratur dalam sistem pembelajaran berstruktur yang
terkawalselia. Selain mampu menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang yang
ditekuni, ia juga penting dalam meminimakan keciciran pelajar dalam proses
pengajian mereka.
Selain itu, pihak institusi pengajian tinggi perlulah membuka ruang yang
fleksibel dalam ruang lingkup bidang kuasa mereka bagi menerima golongan asnaf
mualaf ini. Kemungkinan besar kriteria yang tinggi tidak mampu dicapai oleh
sesetengah individu dalam kalangan mualaf, tetapi home-grown course mampu
dibangunkan oleh pihak IPT untuk golongan seperti ini sebagai persiapan menempuh
alam pendidikan tinggi yang serba mencabar.
KESIMPULAN
Golongan mualaf wajar dibantu dalam pembangunan aspek pendidikan mereka.
Pelbagai dimensi mesti diambilkira dalam merencana agenda ini. Kelebihan yang ada
pada institusi pengajian tinggi mestilah dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk
menggarispandukan halatuju pendidikan golongan mualaf. Pihak otoriti agama yang
saban tahun membenlanjakan wang zakat untuk membiayai program berkait
pendidikan golongan mualaf wajar peduli terhadap keberkesanan perbelanjaan
mereka. Melalui kajian ini, didapati sistem pendidikan di institusi pengajian tinggi
memang releven dalam melakarkan konstruk pembangunan pendidikan mualaf
khususnya aspek struktur akademik yang terkawalselia, dan proses pengajaran-
pembelajaran yang terancang.
Daripada penelitian terhadap Kolej Dar al-Hikmah, didapati peranan yang
dimainkan IPT ini dapat dijadikan model konsep dalam merencana penambahbaikan
untuk pembangunan pendidikan mualaf. Dengan komitmen pihak IPT sendiri untuk
memberi peluang kepada asnaf mualaf dengan menyediakan peluang mengikuti
pengajian dengan syarat yang fleksibel di samping persediaan pendidikan yang
sistematik untuk golongan ini, maka cita-cita mereka untuk mengikuti pengajian
peringkat tertieri tidak lagi sekadar mimpi. Malah nilai tambah lain seperti
pembudayaan ilmu, pembinaan watak, penekanan terhadap asas agama dan galakan
350
berpersatuan akan mampu membentuk peribadi invidu mualaf yang cemerlang.
Dengan kelayakan akademik di peringkat pendidikan tinggi di samping pengalaman
alam kampus kelak bukan sahaja dapat memenuhi keperluan keilmuan mereka, tetapi
juga memberikan kelebihan-kelebihan lain seperti peluang pekerjaan yang baik dan
peningkatan status sosio-ekonominya.
RUJUKAN
A’thiroh Masyaa’il Tan Abdullah @ Tan Ai Pow. (2015). Pengajaran Pendidikan
Islam Terhadap Muallaf: Satu Tinjauan Literatur. Prosiding Seminar
Pengurusan Islam: Ke Arah Pemantapan Ummah. Jabatan Pengajian Dakwah
dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor.
Aedy Norali Samad. (1999). Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam: Organisasi dan
Metodologi Dakwahnya: Satu Kajian di IPI, Sungai Ramal Dalam, Kajang.
Kolej Islam Darul Ehsan: Tesis Diploma.
Azman, A.R, Irwan, M.S, Nuradli Ridzwan Shah, M.D, Mahazan, A.M, Wan Mohd.
Fazrul Azdi, W.R, Rose Irnawaty, Ibrahim & Norlina Ismail. (2015). Skim
Bantuan Zakat Asnaf Mualaf: Satu Analisis Kontemporari di Malaysia.
Kongres Pendidikan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (ECNA 2015), 11 Jun
2015, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM).
Azman Ab Rahman dan Siti Martiah Anwar. (2014). Zakat Pendidikan kepada
Golongan Asnaf di Malaysia: Peranan dan Cabarannya pada Masa Kini.
Proceeding of the International Conference on Masjid, Zakat and Waqaf
(IMAF 2014) Dec 2014. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.
Azman Ab Rahman dan Siti Martiah Anwar. (2014). Dana Zakat dalam Pendidikan
Asnaf dan Sumbangannya Terhadap Ekonomi Malaysia. Prosiding PERKEM
ke-9. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Azman Ab Rahman, Hasanah Abd Khafidz, Zahari Mahad Musa, Irwan Mohd Subri,
Nor Asiah Yaakub & Siti Martiah Anwar. (2017). Keperluan Kepada Skim
Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) atau Lifelong Learning untuk
Fakir Miskin Menerusi Zakat. Prosiding International Conference on Islam,
Development and Social Harmony in Southeast Asia 2017. UKM, Bangi, dan
Princess of Naradhiwat University, Thailand.
Bowen, Glenn A. (2009). Document Analysis as a Qualitative Research Method.
Qualitative Research Journal. Vol. 9, no. 2: 27-40.
Denzin, N. K. (1970). The Research Act: A Theoritical Introduction to Sociological
Methods.
New York: Aldine.
Eisner, E. W. (1991). The Enlightened Eyes: Qualitative Inquiry and the
Enhancement of Educational Practice. Toronto: Collier Macmillan Canada.
351
Fuadah Johari, Muhammad Ridhwan Ab. Aziz, Mohd Faisol Ibrahim, Ahmad Fahme
Mohd Ali. (2014). Zakat Distribution and Programme for Sustaining Muallaf
Belief and Thought. Jurnal Teknologi (Social Sciences) 66:1 (2014).
Ghazali Basri. (1994). Institute for the Studies in Islamic Sciences (IPI)-ABIM: An
Introduction dlm Jurnal Pendidikan Islam, Jil. 6, Bil. 2. Kajang: Angkatan
Belia Islam Malaysia.
Hairunnizam Wahid dan Sanep Ahmad. (2009). Pengagihan Zakat oleh Institusi
Zakat kepada Lapan Asnaf: Kajian di Malaysia. Seminar Kebangsaan
Ekonomi Islam 2008/2009, 10-11 Februari 2009 bertempat di APIUM.
Jasmi, K. A. (2012). Metodologi Pengumpulan Data dalam Penyelidikan Kualitatif,
dlm. Kursus Penyelidikan Kualitatif Siri 1 2012 di Puteri Resort Melaka pada
28-29 Mac 2012. Anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus
Temenggong Ibrahim, Johor Bharu.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2002:
Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2016). Dokumen Slaid Sesi Pendengaran
Awam Cadangan Pindaan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
Bahagian Governan IPTS.
Kolej Dar al-Hikmah. (2009). Pelan Strategik KDH 2009-2014: Kesepakatan Camar
Laut.
Kolej Dar al-Hikmah. Buletin al-Hikmah, Isu 1 (2014), Isu 2 (2015), Isu 3 (2016).
Lincoln, Y. S., & Guba, E. G. (1985). Naturalistic Inquiry. Newbury Park, California:
Sage Publications.
Mohd Halimi Abdul Hamid. (1996). Adult Learners Motivational Orientations and
Motivation Towards Programme of the Institute for the Studies in Islamic
Sciences. Univeriti Putra Malaysia: Tesis Sarjana.
Muhamad Khailani bin Abdul Jalil. Ketua Eksekutif Kolej Dar al-Hikmah. Temu bual
01 Julai 2017.
Muhammad Haffiz & Hairunnizam Wahid. (2017). Dana Zakat untuk Pembiayaan
Pendidikan: Tinjauan Kecenderungan Pemilihan Aliran Pendidikan dalam
Kalangan Asnaf Mualaf di Malaysia. Makalah bakal dibentangkan dalam
Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) ke-12 pada 12-13
september 2017 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia.
Prospektus Kolej Dar al-Hikmah 2015. Bangi: Kolej Dar al-Hikmah.
Razaleigh Muhamat@Kawangit, Marlon Pontino Guleng. (2014). Respon Muallaf
Terhadap Pendidikan dan Latihan Amali yang Dilaksanakan oleh Institut
Dakwah Islamiah PERKIM, Kota Bharu Kelantan. Prosiding Seminar
Antarabangsa Dakwah & Etnik 2014: Da'wah & Ethnicity: Multidisciplinary
Perspective. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siddiq Fadzil. (2014). Pendidikan al-Hikmah: Himpunan Pidato Kependidikan (edisi
kemasini). Kajang: Akademik Kajian Ketamadunan.
Siti Fathimatul Zahrah binti Yusri & A’thiroh Masyaa’il Tan binti Abdullah @ Tan
Ai Pow. (2015). Pengajaran Pendidikan Islam Terhadap Muallaf: Satu
352
Tinjauan Literatur. Prosiding Seminar Pengurusan Islam: Ke Arah
Pemantapan Ummah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siti Martiah Anwar, Azman Ab Rahman, Nor Asiah Yaakub, Mohd Faez Abu Bakar.
(2014). Bantuan Zakat Pendidikan kepada Golongan Asnaf: Kajian
Perbandingan antara Negeri Sembilan dan Negeri Selangor. Muktamar
Waqaf Iqlimi 2014. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.
Suhaimi Samad. (1995). Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (IPI): Peranan
Organisasi Kepimpinannya, Perkembangannya serta Keberkesanannya dalam
Dakwah Islam. Universiti Kebangsaan Malaysia: Tesis Sarjana Muda.
Lampiran
Jadual: Taburan dapatan ujian psikometri pemilihan kerjaya responden golongan asnaf mualaf
Pilihan bidang
pengajian
Pilihan bidang
pengajian3
Ujian psikometri2
pemilihan kerjaya
Perbezaan (F)1
Kekerapan
(F)
Peratus
(%)
Kekerapan
(F)
Peratus
(%)
Kekerapan
(F)
Peratus
(%)
Aliran
akademik 280 54.5 266 51.8
14 2.7
Aliran
kemahiran 234 45.5 248 48.2
-14 -2.7
Jumlah 514 100.0 514 100.0 Nota: 1 Perbezaan nilai kekerapan (F) antara nilai (F) pilihan pengajian – nilai (F) ujian psikometri
2 berdasarkan Holland Code 3 berdasarkan Jadual 7
Sumber: Muhammad Haffiz & Hairunnizam Wahid (2017)
Jadual 2: Taburan purata nilai gred kumulatif keseluruhan pelajar mualaf bagi peperiksaan
Semester 1
Program Akademik Bilangan
(orang)
<2.00 2.01-3.00 3.01-4.00
Diploma Syariah 23 2 14 7
Diploma Usuluddin 17 5 4 8
Diploma Kaunseling 2 1 1 0
Diploma Psikologi 4 2 1 1
Jumlah 46 9 20 16
Sumber: Unit Peperiksaan Kolej Dar al-Hikmah (2017)
353
Jadual 3: Peranan KDH dalam pendidikan mualaf
Kod Induktif Tema
Persediaan Pendidikan
untuk asnaf Mualaf
Meletakkan syarat (yang minima) bagi kemasukan ke program akademiknya.
Mengadakan ujian penempatan (placament test) bagi semua pelajar baharunya
(mualaf) untuk menilai tahap pengetahuan pelajar.
Menyediakan Kelas Pengukuhan Mualaf sebagai persediaan kepada pelajar
mualaf.
Mensyaratkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab dengan
mewajibkan kelas bahasa sehingga beberapa tahap.
Mensyaratkan penguasaan pembacaan al-Quran dengan mewajibkan kelas Tilawah
al-Quran dan tajwid.
Sumber: Temu Bual (2017)
Jadual 4: Model pendidikan perkhidmatan pendidikan yang disediakan di KDH
Kod Induktif Tema
Pengiktirafan
Pencapaian
KDH diiktiraf sebagai Institusi Pengajian Tinggi yang sah dan berdaftar di
bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kesemua program akademik di KDH mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA).
KDH telah memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelbagai
institusi pendidikan dalam dan luar negara untuk tujuan menghantar pelajarnya
melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
KDH telah berusia 28 tahun dan diasaskan oleh ramai sarjana terkemuka.
KDH telah diiktiraf keseluruhan 4 bintang dalam penarafan “Sistem Peniliain
Kualiti” (MyQUEST) untuk IPTS bagi dua kali penilaian berturut-turut iaitu
pada 2012/2013 dan 2014/2015.
Model Pendidikan
KDH
Menerapkan model ‘Pendidikan al-Hikmah’ yang digarap daripada surah
Luqman.
Mewajibkan aktiviti ko-kurikulum setiap minggu serta menggalakkan aktiviti
berpersatuan.
Menerapkan pembudayaan ilmu dalam kalangan warganya.
Memberi penekanan kepada pembinaan akhlak terpuji dalam pembentukan
watak pelajarnya.
Menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan kegiatan dakwah.
Sumber: Temu Bual (2017)
354
Jadual 5: Aspek kerelevenan IPT dalam membangun pendidikan asnaf mualaf
Kod Induktif Tema
Struktur Pendidikan di
IPT (KDH)
Struktur pendidikan di KDH adalah mematuhi garis panduan serta arahan daripada
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).
Secara umum, setiap matapelajaran mempunyai tiga jam kredit, dan setiap semester
pengajian di KDH adalah selama 14 minggu kuliah (lebih kurang empat bulan).
Setiap matapelajaran mempunyai objektif, sasaran hasil pembelajaran dan jam
pembelajaran yang ditentukan secara spesifik.
Penilaian pelajar dibuat dengan pentaksiran terhadap ujian dan peperiksaan,
pembentangan, penyertaan dalam kuliah, kertas kerja ilmiah, kajian lapangan dan
latihan praktikal.
Kesemua program akademik dikawalselia melalui penilaian berkala oleh
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Pengajaran dan
Pembelajaran
Kehadiran ke kuliah adalah diwajibkan.
Sesi kuliah menggunakan alat bantu mengajar seperti komputer, projektor LCD,
nota kuliah dan lain-lain.
Pensyarah berinteraksi dengan pelajar secara profesional dengan kemahiran
andragogi (kaedah pengajaran orang dewasa).
Para pelajar digalakkan untuk menyampaikan pandangan mereka dalam sesi kuliah.
Pelajar dilatih untuk menjana pengetahuan melalui pencarian maklumat dan
pengkajian.
Sumber: Temu Bual (2017).