Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah
kurnia-Nya, kita berjaya melangkah ke tahun 2021 dengan penuh tanggungjawab,
amanah dan harapan untuk menjadikan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM)
sebuah organisasi yang cekap, moden dan berdikari serta dapat menyediakan
program yang berkualiti untuk Muda Remaja.
Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua Ahli Majlis,
Pesuruhjaya-Pesuruhjaya, Pemimpin-Pemimpin dan ahli-ahli Pengakap sekalian.
Semoga tahun ini, PPM akan terus maju untuk menjadi sebuah pertubuhan Muda
Remaja yang terunggul di rantau ini.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih
kepada semua ahli yang sentiasa bertungkus-lumus menyumbangkan tenaga dan
bakti kepada Persekutuan Pengakap Malaysia tanpa mengharapkan apa-apa
balasan.
Saya juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada rakan-rakan strategik
PPM, khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan,
Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Planetarium Negara,
Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Taman Laut Malaysia, Putrajaya Holdings, World
Wildlife Fund, Tourism Malaysia, KIND Malaysia, Bernama dan lain-lain lagi yang
turut menghulurkan bantuan dari segi logistik, kepakaran dan tenaga manusia
dalam usaha menjayakan program-program PPM. Syabas, tahniah dan terima
kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, dunia sedang dilanda pandemik
Covid’19 dan telah menjejaskan kehidupan seharian masyarakat. Oleh yang
demikian, PPM telah mengambil langkah inisiatif melalui pelaksanaan aktiviti
secara maya. Tahniah diucapkan kepada para pemimpin yang telah berjaya
menjalankan program-program mengikut norma baharu sepanjang fasa Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.
Saudara-saudari sekalian,
PPM telah berdiri dengan gagah sejak tahun 1908 lagi, dan masih kekal relevan
selepas 112 tahun organisasi ini ditubuhkan. Kini, PPM sudah mempunyai keahlian
lebih 300,000. PPM akan terus meningkatkan jumlah keahlian agar menjadi
sebuah organisasi Muda Remaja terbesar di Malaysia yang dianggotai oleh
pelbagai kaum, bersifat insklusif serta mempunyai daya impak yang maksima.
Sejak beberapa tahun yang lepas, PPM telah banyak membuat penambahbaikan
dan telah melancarkan Plan Strategik PPM 2018-2023. Namun demikian, kejayaan
yang telah dicapai perlu ditambah baik. Kepengakapan masa kini harus
berkembang mengikut peredaran zaman agar terus relevan sebagai wadah
penggerak utama pembangunan insan.
Saudara-saudari sekalian,
Sejak dua tahun yang lepas, saya telah melancarkan Halatuju Kepengakapan
Negara, di mana kita telah merancang 10 fokus utama. Pada tahun ini pula, kita
telah mengenalpasti lima fokus utama yang perlu diberi perhatian khusus.
PERTAMA, MEMBANGUN ORGANISASI YANG MAMPAN
Seperti mana yang saudara-saudari sedia maklum,
PPM harus beroperasi dengan efisien dan sistematik serta mempunyai identiti
yang hebat. PPM harus bersedia dengan perancangan yang komprehensif untuk
melakukan transformasi bagi memastikan organisasi terus relevan dan berdaya
saing.
Sistem pentadbiran di peringkat Ibu Pejabat Persekutuan, Negeri dan Daerah
perlu diperkasakan. PPM akan menggunakan kaedah Global Support Assessment
Tool (GSAT) yang diperkenalkan oleh WOSM untuk menilai tahap kecekapan dan
keberkesanan pentadbiran di semua peringkat.
GSAT merupakan Standard Kualiti bagi menilai kepatuhan Organisasi terhadap
amalan terbaik antarabangsa dalam tadbir urus dan kepengakapan yang
berkualiti.
KEDUA, MEMPERKASA PROGRAM MUDA REMAJA
Semua program dari peringkat Pengakap Kanak-Kanak hingga peringkat Remaja
dan Kelana akan terus diperkasakan. PPM akan mengkaji dan mengemaskini
keperluan lencana-lencana kemajuan dan kepandaian supaya relevan dengan
keperluan dan minat pemegang taruh masa kini. Melalui strategi ini, PPM dapat
melahirkan ahli Pengakap yang holistik, berfikiran tinggi, berinovasi serta berdaya
saing.
Pelbagai skim lencana berasaskan Sustainable Development Goals (SDGs),
Technical and Vocational Education and Training (TVET) dan Science, Technology,
Engineering and Mathematics (STEM) akan digubal.
Kepesatan pembangunan teknologi dan maklumat pada masa kini amat
memerlukan tenaga kerja mahir, khususnya dalam bidang berkaitan STEM.
Melalui STEM, ahli Pengakap boleh berfikir secara logik, merekacipta,
menggunakan teknologi dan menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif.
Melalui Skim Better World Framework pula, ahli-ahli Pengakap akan berpeluang
mendapat pelbagai anugerah berprestij dan bertaraf dunia seperti Scouts of the
World Award (SWA), Messengers of Peace Award dan World Scouts Environment
Badge. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk mencapai Anugerah Pengakap
Raja, B-P Award, The Duke of Edinburgh’s International Award dan Anugerah
Remaja Perdana Negara.
Bagi memperkasakan lagi jati diri Muda Remaja Negara, PPM telah merancang
untuk menerapkan kurikulum Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM)
dalam setiap aktiviti kepengakapan. Anugerah ini telah diadaptasikan daripada
The Duke of Edinburgh's Award yang mula diperkenalkan pada tahun 1956.
The Duke of Edinburgh's Award merupakan satu program yang telah berjaya
menerima pengiktirafan antarabangsa setelah melalui proses perancangan dan
penambahbaikan yang sangat teliti. Program ini dilaksanakan untuk mendorong
anak-anak muda mengasah bakat-bakat mereka, seterusnya menggalakkan
mereka untuk menjalani gaya hidup yang lebih optimis melalui elemen-elemen
cabaran yang telah diterapkan dalam skim lencana tersebut.
Setakat ini, sebanyak 126 buah negara di seluruh dunia telah berusaha untuk
mendapatkan The Duke of Edinburgh's Award. Anugerah ini bukanlah satu
pertandingan, tetapi ianya lebih memberi penekanan kepada cabaran bagi
seseorang individu, selain daripada menjalani gaya hidup yang seimbang, fleksibel
serta melibatkan diri secara sukarela. Ianya juga merupakan satu wadah bagi
memberi sokongan dan semangat kepada golongan Muda Remaja dalam
menanam nilai-nilai yang berkualiti seperti sentiasa bersemangat, berupaya untuk
bekerjasama, dan bersikap patriotik menjurus ke arah pencapaian personaliti
unggul.
KETIGA, MENGURUS SUMBER DEWASA KEPENGAKAPAN (ADULTS IN
SCOUTING - AIS)
Bagi menguruskan sumber dewasa kepengakapan, PPM telah menggubal struktur
kepimpinan tersusun yang dianggotai oleh mereka yang berkelayakan, jujur,
rajin, bijak, dan berdedikasi serta sanggup memberi komitmen yang luar biasa
dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.
PPM akan menggunakan pendekatan yang sistematik untuk meningkatkan
keberkesanan, komitmen, dan motivasi pemimpin. Sistem Pengurusan Sumber
Manusia yang sistematik akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan
pemimpin bagi menjana program yang berkualiti, relevan dan menarik untuk
golongan Muda Remaja. Akademi Pengakap Malaysia akan dilancarkan bagi
melaksanakan latihan pendidikan berterusan untuk pemimpin.
Pemimpin perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai
sikap yang baik untuk melatih Muda Remaja mengembangkan potensi dalam
aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. PPM akan melantik pemimpin yang
kompeten, berketrampilan dan multitasking untuk memberi impak yang tinggi dan
berupaya memberi nilai tambah kepada organisasi.
KEEMPAT, MENJANA SUMBER KEWANGAN SECARA BERTERUSAN
PPM perlu mengurus aset-aset di seluruh negara agar dapat menjana sumber
kewangan yang berterusan. Jawatankuasa Aset dan Enterprise telah ditubuhkan
untuk mengoptimumkan sumber pendapatan. Aktiviti Yayasan Pengakap Malaysia
akan dipergiatkan. Pengurusan kewangan yang berhemah dan telus akan
diimplementasikan agar PPM dapat beroperasi dengan lebih sempurna dan
cemerlang. Pada masa ini, PPM sedang giat meneroka peluang-peluang untuk
menjana hasil daripada lot-lot tanah yang kita miliki agar dapat menjana sumber
kewangan. Beberapa projek telah dikenalpasti bagi meningkatkan aktiviti
penjanaan sumber kewangan berterusan.
KELIMA, MEMPERKASA JENAMA DAN PROFIL
PPM hendaklah memperkasa keunikan Jenama Pengakap. Kita perlu mencipta
suatu persepsi di mana Pengakap dilihat sebagai sebuah organisasi yang hebat,
berkualiti, unik dan istimewa.
PPM akan memperbaiki Sistem Komunikasi dan Perhubungan Awam secara
berterusan agar mendapat penjenamaan yang tinggi di kalangan masyarakat.
Liputan media berkenaan aktiviti kepengakapan akan diperkayakan. Majalah, buku
dan risalah akan diterbitkan secara konvensional dan digital. Penggunaan media
sosial akan diperluaskan. Beberapa tindakan akan diambil bagi memperkasa imej
dan kebolehlihatan PPM di kalangan pemegang taruh.
Selain daripada lima fokus utama ini, PPM akan meneruskan lain-lain agenda
seperti menambah jumlah keahlian, menjalinkan kerjasama strategik dan
mempromosikan kepelbagaian dan kebersamaan.
PENUTUP
Saudara-saudari sekalian,
Kita hendaklah sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada
masyarakat dan negara supaya dapat menaikkan lagi nama baik PPM di seluruh
dunia. Saya berharap kita semua akan bersama-sama mengorak langkah yang
dinamik dalam usaha menyumbang perkhidmatan serta komited dalam
pembangunan kepengakapan negara.
Dalam keadaan persekitaran yang kompetitif, PPM perlu mengharungi masa depan
yang mencabar dengan langkah yang proaktif agar terus menjadi relevan, unggul
dan dihormati. Semoga strategi yang dirancang ini akan memacu PPM ke arah
sebuah organisasi yang mapan dalam senario global yang mencabar.
Semoga Persekutuan Pengakap Malaysia akan terus menerajui kecemerlangan.
Sekian,
Wabillahhitaufik, walhidayah, wassalamualaikum,warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
Salam Pengakap!
(Siaran Amanat Tahun Baharu 2021 Persekutuan Pengakap Malaysia telah disiar-kan dan disampaikan oleh YBhg. Mej. Jen. Prof. Dato' Dr. Mohd Zin Bidin (B), Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Persekutuan Pengakap Malaysia pada jam 9.30 pagi 1 Januari 2021.). Sila layari:-
You Tube: https://youtu.be/Sl3Ao9lrwAg
Disunting oleh:
Siti Aishah binti Nazlan
Penolong Setiausaha Eksekutif (Pentadbiran)
Merangkap Pegawai Khas
kepada Pemangku Ketua Pengakap Negara/
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara
Ibu Pejabat Pengakap Kebangsaan, PPM
Dengan kerjasama;
Jawatankuasa Profil Kepengakapan Negara
Persekutuan Pengakap Malaysia