PENDIDIKAN SEKS UNTUK REMAJA BERMASALAH PEMBELAJARAN Oleh : Pn Shariza bt Said Jabatan Ilmu Pendidikan 1.0 Pengenalan Kriteria permulaan remaja ialah pencapaian kematangan seksual atau akil baligh iaitu masa dalam hidup individu apabila organ pembiakan mula berfungsi dan individu tersebut sudah berupaya melahirkan zuriat (Rahil Mahyuddin, Marina Chong Abdullah & Habibah Elias, (2000). Kehidupan remaja berkait rapat dengan perkembangan seksualiti di mana zaman remaja merupakan zaman eksplorasi dan eksperimentasi, fantasi dan realiti seksualiti (Santrock, 2000). Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa isu kesihatan seksualiti remaja telah menjadi isu yang diberi perhatian di Asia berdasarkan trend demografi di Asia iaitu jurang yamg makin luas antara kematangan seksual dengan umur perkahwinan dan kadar penggunaan kontraseptif yang rendah semasa remaja ( Gubhaju, 2002). Menurut Gubhaju (2002), terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah tingkah laku seksual di kalangan remaja. Faktor pertama ialah peluang mendapatkan
Pn Shariza Said Jabatan Ilmu Pendidikan IPG KBM, KL
Welcome message from author
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
PENDIDIKAN SEKS UNTUK REMAJA BERMASALAH PEMBELAJARAN
Oleh : Pn Shariza bt Said
Jabatan Ilmu Pendidikan
1.0 Pengenalan
Kriteria permulaan remaja ialah pencapaian kematangan seksual atau akil baligh iaitu
masa dalam hidup individu apabila organ pembiakan mula berfungsi dan individu tersebut
sudah berupaya melahirkan zuriat (Rahil Mahyuddin, Marina Chong Abdullah & Habibah
Elias, (2000). Kehidupan remaja berkait rapat dengan perkembangan seksualiti di mana
zaman remaja merupakan zaman eksplorasi dan eksperimentasi, fantasi dan realiti seksualiti
(Santrock, 2000). Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa isu kesihatan seksualiti remaja
telah menjadi isu yang diberi perhatian di Asia berdasarkan trend demografi di Asia iaitu
jurang yamg makin luas antara kematangan seksual dengan umur perkahwinan dan kadar
penggunaan kontraseptif yang rendah semasa remaja ( Gubhaju, 2002).
Menurut Gubhaju (2002), terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada
masalah tingkah laku seksual di kalangan remaja. Faktor pertama ialah peluang mendapatkan
maklumat berkaitan seksualiti yang terhad menyebabkan mereka kurang pengetahuan dan
tidak mengetahui sama ada maklumat yang diperolehi adalah tepat atau tidak. Maklumat
berkaitan seksualiti yang betul bagi golongan remaja amat penting untuk mengelakkan
berlakunya masalah-masalah seperti hubungan seks sebelum kahwin, kehamilan dan
penyakit kelamin. Faktor kedua ialah tekanan daripada rakan sebaya kerana rakan sebaya
memainkan peranan sebagai sumber maklumat utama berkaitan seksualiti. Walaupun ibu
bapa dilihat sebagai sumber utama dalam menyampaikan maklumat berkaitan seksualiti tetapi
mereka agak tertutup dalam membincangkan isu ini. Faktor ketiga ialah terhadnya
perkhidmatan berkaitan kesihatan seksualiti yang disediakan khas untuk golongan remaja.
Kebanyakan golongan ibubapa dan pembuat polisi bimbang dengan maklumat yang diberikan
akan menggalakkan remaja terlibat dalam hubungan seks sebelum kahwin. Tetapi menurut
Gubhaju (2002), tinjauan ke atas program pendidikan seks ke atas beberapa negara
menunjukkan pendidikan seks tidak menggalakkan aktiviti seksual bahkan dapat melewatkan
umur mula mengadakan hubungan seks dan menjurus kepada tingkah laku yang lebih
bertanggungjawab terhadap seksualiti.
Dengan maklumat yang terbatas dan perkembangan emosi yang masih belum kukuh,
remaja sudah dihadapkan pula pada berbagai godaan seperti filem-filem Barat yang
menawarkan nilai-nilai yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai budaya Timur. Akibatnya
remaja mungkin akan terjerumus dengan tingkah laku yang menyalahi nilai agama dan
budaya. Perkembangan teknologi masa kini pula secara tidak langsung memperluaskan
peluang remaja memperolehi bahan-bahan lucah di mana menurut Ahmad Rizal (2005) pada
era teknologi maklumat kini menyaksikan seks menjadi bidang yang amat popular di
kalangan pengguna internet . Mereka yang melayari internet terdiri daripada pelbagai
peringkat umur termasuk remaja. Ini kerana capaian ke laman web berkaitan seks amat
mudah dan pantas. Hal ini menjadi serius bila banyak masalah sosial wujud akibat pengaruh
laman web berunsurkan seks. Bagi memastikan anak-anak ini tidak terikut-ikut dengan gaya
hidup seks bebas seperti yang dipertontonkan, maka pendidikan seks adalah perlu untuk
memastikan anak-anak ini mendapat mesej yang positif dan maklumat yang betul tentang
seks.
Menurut Tepper (2001) remaja berkeperluan khas mempunyai perasaan, keperluan
dan naluri sama seperti remaja yang normal. Mereka turut melalui proses yang sama dalam
perkembangan seksualiti. Dalam proses mencapai akil baligh tubuh badan mengalami
beberapa perubahan yang disebabkan oleh perubahan hormon. Perubahan ini dialami oleh
remaja secara sejagat dengan kadar yang berbeza bagi setiap individu. Bagi golongan remaja
bermasalah pembelajaran keupayaan mental mereka lebih rendah dari umur kronologi di
mana walaupun fizikalnya menunjukkan ciri-ciri remaja tetapi pemikirannya masih seperti
kanak-kanak. Dalam hal ini pendidikan seks adalah perlu bagi membimbing remaja
bermasalah pembelajaran dalam menangani masalah seksualiti mereka dengan cara yang
positif dan bukan semata-mata memenuhi tuntutan naluri.
Menurut Jawatankuasa Belia International Planned Parenthood Federation, IPPF
dalam Persekutuan Persatuan- persatuan Perancangan Keluarga Malaysia (2003) semua orang
muda di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, warna kulit, orientasi seksual atau
keupayaan mental dan fizikal mempunyai hak-hak berkaitan kesejahteraan seksualiti.
Berdasarkan kepada pernyataan hak-hak tersebut menunjukkan golongan remaja sama ada
golongan normal atau golongan berkeperluan khas mempunyai hak untuk mendapat
maklumat yang sewajarnya berkaitan pendidikan seks. Walaupun mempunyai hak-hak seperti
dinyatakan dalam pernyataan tersebut sebagai seorang individu yang hidup dalam
masyarakat beberapa pernyataan hak tersebut perlu disemak dan diselaraskan mengikut
perspektif agama, budaya dan sosio politik negara Malaysia.
Walaupun golongan remaja adalah golongan yang mewakili nisbah yang besar dalam
populasi dunia, keperluan seksualiti mereka sering diabaikan (Warwick & Aggelton, 2002).
Menurut mereka lagi walaupun ada perkhidmatan kesihatan seksual yang disediakan, remaja
sukar mengakses perkhidmatan tersebut kerana tidak digalakkan oleh ibu bapa atau para
profesional yang terlibat. Sebenarnya ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami pemikiran
dan perasaan remaja dan belia dengan mengamalkan komunikasi secara terbuka, menjadi
rakan yang sanggup melayan masalah remaja, menghormati idea dan paling penting
memberikan bimbingan mengikut kepercayaan, budaya dan agama.
Pendidikan yang diterima di sekolah secara formal menjadi alat yang penting untuk
menyiapkan diri remaja menghadapi masa depan tetapi bila menyentuh hal seksualiti, remaja
didapati amat kurang atau tidak berinformasi mengenainya. Isu pendidikan seks juga masih
tidak dapat diterima sepenuhnya oleh masyarakat di mana masih timbul keraguan dalam
melaksanakannya. Ada pihak yang masih berpandangan sempit dalam hal pendidikan seks.
Bahkan ada di kalangan guru sendiri yang mempersoalkan wajarkah pendidikan seks
dimulakan seawal umur 4 tahun. Justeru itu pembentukan kurikulum dan modul pendidikan
seks perlu melibatkan semua pihak agar kefahaman mengenainya dapat disebarkan dan dapat
mengelakkan tanggapan negatif mengenainya.
2.0 Pendidikan seks
Pendidikan seks adalah proses memberi pengajaran, kesedaran dan penerangan
tentang masalah-masalah seksual kepada anak bermula dari masa anak tersebut memahami
tentang masalah berkenaan seks, naluri perkahwinan sehinggalah mereka dewasa serta dapat
memahami urusan kehidupan serta memahami persoalan-persoalan yang dihalalkan dan yang
diharamkan dalam Islam (Abdullah Nasih Ulwan, 2002). Menurut pandangan Islam manusia
yang dilahirkan di dunia ini telah dibekali dengan berbagai fitrah termasuk fitrah seks (Hanafi
Mohamed, 1994). Fitrah manusia terhadap seks adalah salah satu fitrah yang terpendam yang
ada dalam diri manusia yang dibawa sejak lahir. Seks dikenali sebagai nafsu syahwat iaitu
suatu kekuatan pendorong hidup yang dimiliki oleh manusia secara fitrah dan ianya
merupakan kekuatan naluri yang paling dominan. Ini dapat dilihat dalam Al- Quran yang
telah menjelaskan bahawa keinginan utama dan pertama seseorang manusia lelaki adalah
wanita. Kenyataan ini disokong oleh firman Allah yang bermaksud seperti berikut:
“ Dihiaskan kepada manusia mencintai syahwat(keinginan nafsu) seperti wanita-wanita, anak-anak dan harta-benda yang banyak dari emas, perak, kuda yang bagus, binatang ternakan dan tanam-tanaman. Demikian itulah kesukaan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat yang sebaik-baiknya.” ( Ali-Imran: 14 )
Secara fitrahnya naluri seks manusia berkembang dalam usia tertentu iaitu bagi lelaki
naluri seksnya timbul dalam lingkungan umur 16 tahun manakala perempuan pula dalam
lingkungan 12 tahun. Ini menunjukkan dalam hayat manusia, dorongan seksual memuncak
pada peringkat zaman remaja. Kejahilan umat manusia melestarikan keinginan dan
keperluan seksual akan menimbulkan berbagai gejala yang menyeleweng dan bertentangan
dengan ajaran Islam seperti hubungan seks sebelum kahwin, pelacuran, kehamilan luar nikah
dan lain-lain lagi. Justeru itu dalam hal ini pendidikan seks kepada golongan remaja amat
penting untuk membimbing mereka ke jalan yang betul menurut syariaat agama Islam. Islam
memandang pendidikan seks secara universal di mana pendidikan seks adalah sebahagian
daripada pendidikan akhlak iaitu mendidik manusia supaya mematuhi segala perintah dan
sebaliknya menjauhi larangan Allah. Jelas di sini Islam mementingkan pendidikan seks
kepada anak-anak agar mereka dapat membina peribadi sebagai insan yang mulia dan
mengelakkan penyelewengan dalam hal-hal berkaitan seks. Pandangan Islam ini adalah
universal di mana ia adalah sejajar dengan pandangan agama-agama lain tentang pendidikan
seks.
Pengetahuan mengenai akil baligh dan perkembangan seksualiti adalah penting untuk
kesejahteraan dan perkembangan remaja secara positif dan sihat. Menurut Winn, Roker dan
Coleman, (1998) terdapat empat kepentingan pengetahuan berkaitan seksualiti di kalangan
remaja iaitu:
i. pengetahuan amat penting untuk penyesuaian psikologikal semasa remaja kerana
mengetahui perubahan yang terjadi pada tubuh badan sendiri membolehkan remaja membuat
penyesuaian diri.
ii. Pengetahuan adalah menjadi pra-syarat untuk tingkah laku yang selamat di mana remaja
patut tahu cara melindungi diri daripada sebarang ancaman.
iii. Memahami apa yang diketahui oleh remaja tentang akil baligh dan perkembangan seksual
amat penting untuk merekabentuk dan menilai program pendidikan seks di sekolah.
iv. Pengetahuan penting kerana ia membolehkan remaja mengetahui apa yang berlaku dalam
dunia seksualiti remaja.
Pendidikan seks perlu didedahkan kepada anak atau murid bagi memperlihatkan nilai
akhlak yang terkandung di dalamnya dan institusi yang boleh menerapkan nilai ini adalah
keluarga dan sekolah (Raja Yusoff Ariffin, 2005). Justeru itu ibu bapa dan guru memainkan
peranan penting sebagai agen penyampai maklumat kepada anak atau murid. Setiap ibu bapa
dan guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan seksualiti agar mereka lebih yakin
dan bersedia dalam menjalankan tugas mendidik.
Menurut Haffner (1992), pendidikan seks telah mula wujud pada tahun 1880- an di
Amerika Syarikat . Sekitar tahun 1900-an antara aspek pendidikan seks yang diperkenalkan
ialah kepentingan kebersihan seksual dan persediaan untuk perkahwinan dan menjadi ibu
bapa. Seterusnya pada sekitar tahun 1919 pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks telah
dimulakan di sekolah-sekolah. US Public Health Services melabelkan pendidikan seks untuk
sekolah sebagai suatu keperluan yang mendesak dan pada tahun 1953 American Medical
Association dan American Education Association menerbitkan lima risalah dalam siri
pendidikan seks. Tahun 1980 an dunia dikejutkan dengan sindrom kurang daya tahan
penyakit (AIDS) menyebabkan keperluan terhadap pendidikan seks semakin meningkat.
Pada ketika ini negara-negara Barat seperti Amerika dan United Kingdom telah menjalankan
proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks secara formal bermula dari peringkat
sekolah rendah.
The Planned Parenthood Federation of America (PPFA) telah menggesa pendidikan
seks dijalankan di sekolah sejak tahun 1970. Pada tahun 1986 kenyataan dikeluarkan oleh
presiden persatuan tersebut supaya pendidikan seks dijalankan bermula dari peringkat tadika
(lizditz.typepad.com, 2006). Di Britain pula satu forum diadakan di mana hasilnya ibu bapa,
guru dan pekerja kesihatan mahu murid-murid menerima pendidikan seks yang berkesan di
sekolah dengan mencakupi aspek nilai moral dan kepercayaan (BBC News, 2006).
Pendidikan seks diwajibkan sebagai sebahagian daripada PSE iaitu Personal and Social
Education dalam kurikulum kebangsaan Britain. Subjek pendidikan seks di Singapura juga
telah dijalankan secara formal di sekolah sebagai satu subjek berasingan. Bagi murid Islam
di Singapura yang mengikuti pendidikan agama di masjid atau pusat swasta , mereka
mendapat sebuah buku teks pendidikan seks yang dikategorikan sebagai X-rated . Buku ini
digubal sebagai sebagai satu bahagian dalam kurikulum sekolah agama (www.adnki.com,
2006).
Tinjauan yang dijalankan melalui internet pada tahun 2005 ke atas 317,000 responden
daripada 41 buah negara menunjukkan kebanyakan orang mahu pendidikan seks dimulakan
pada umur 11.7 tahun dan umur purata orang mula menerima pendidikan seks ialah 13.2
tahun (Durex, 2006). Menurut tinjauan itu responden Malaysia adalah yang ke empat dari 41
negara yang paling lewat menerima pendidikan seks iaitu pada usia 14.9 tahun. Tinjauan bagi
cara-cara untuk meningkatkan kesedaran tentang seks menunjukkan responden Malaysia
mahukan kerajaan melaburkan wang untuk pendidikan seks (31 %), bahan pengajaran
disediakan di sekolah (36 %) dan perbincangan tentang seks yang selamat (22 %).
Berdasarkan tinjauan ini penulis berpendapat rakyat Malaysia mahukan pendidikan tentang
seksualiti dan pendidikan seks dijalankan di sekolah.
Kurikulum dan modul pendidikan seks yang khusus untuk murid bermasalah
pembelajaran perlu disediakan bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran
pendidikan seks. Mendidik dan berbincang tentang seksualiti anak-anak remaja yang normal
adalah sukar kerana ibu bapa mungkin kurang arif dalam aspek bahasa yang patut digunakan
atau alat bantu mengajar dan sumber yang mana sesuai digunakan. Apatah lagi bila
minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik seperti Disleksia. Kementerian Pelajaran
Malaysia bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pendidikan bagi golongan murid ini
dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Perpaduan Negara dan
Pembangunan Masyarakat. Kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran
menunjukkan masalah tingkah laku, masalah neurologikal, fizikal, psikologikal dan masalah
persekitaran.
Penekanan diberikan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya
murid khas dapat memaksimumkan pencapaian bagi membolehkan mereka mendapat
pekerjaan dan hidup berdikari. Program yang dijalankan adalah berdasarkan Akta Pendidikan
1996, Bab 8, Akta Pendidikan Pindaan (2002) dan keputusan Jawatankuasa dari
Kementerian atau Jabatan yang terlibat di Malaysia. Program PKBP di Malaysia juga
mengambilkira dasar-dasar peringkat antarabangsa meliputi :
United Nation’s World Programme of Action Concerning Disabilities Person (1983)
The World’s Declaration on Education for All (1990)
The United Nation’s Standard rules on The Equalisation of Opportunities for Person with
disabilities (1983)
The Framework for Action on Special Needs Education ( Salamanca Statement) 1994
Biwako Millennium Framework for Action towards an Inclusive Barrier Free and Rights-
Based Society for Person with Disabilities in Asia and in Pacific (2002)
( dipetik dari : Buku Maklumat Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, 2005)
Penubuhan Program Pendidikan Khas adalah selaras dengan Akta Pendidikan 1996
di mana murid-murid berkeperluan khas berhak mengikuti dan menerima pendidikan
bersesuaian dengan keperluan mereka. Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997,
mengkategorikan murid pendidikan khas Kementerian Pelajaran sebagai murid yang
mempunyai masalah deria atau kognitif atau kedua-duanya iaitu :
i. penglihatan
ii. pendengaran
iii. pembelajaran ( yang boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain)
Murid dengan masalah penglihatan dan pendengaran umumnya mempunyai
keupayaan kognitif yang normal dan boleh mengikuti Kurikulum Kebangsaan dengan
beberapa perubahan dibuat selaras dengan keadaan kecacatan yang dihadapi oleh mereka.
Bagi murid bermasalah pembelajaran pula mereka ini mempunyai keupayaan kognitif yang
jauh lebih rendah daripada murid biasa. Berasaskan model perubatan, murid bermasalah
pembelajaran KPM adalah terdiri dari Sindrom Down, Autistik ringan, kurang upaya mental
minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik dan/atau bermasalah tingkah laku.
Dalam konteks Malaysia murid bermasalah pembelajaran yang ditempatkan dalam
Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP), Kementerian Pelajaran
Malaysia adalah dari kategori Sindrom down, autisme ringan, Attention Deficit Hyperactive
Disorder, terencat akal minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik seperti disleksia.
Murid-murid ini mengikuti kurikulum alternatif yang dibentuk untuk memenuhi keperluan
golongan ini iaitu menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui melalui proses
pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi keperluan individu dengan
pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan bermakna.
Kurikulum alternatif untuk murid berkeperluan khas dibina dengan rekabentuk yang
fleksibel dan berlandaskan tiga konsep utama iaitu:
1. pendidikan menyeluruh dan bersepadu bertujuan memberi fokus kepada potensi
individu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan social
2. Pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna merujuk kepada proses
pengajaran dan pembelajaran yang meransang dan mengekalkan minat murid.
Suasana pembelajaran yang kondusif perlu diberi penekanan agar murid dapat
menguasai pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunakan untuk keperluan diri
dan kehidupan bermasyarakat. Ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan
berfikiran terbuka
3. Pendidikan sepanjang hayat merupakan pemerolehan ilmu pengetahuan dan
kemahiran di alam persekolahan yang dapat menjana peluasan ilmu secara berterusan
untuk digunakan dalam kehidupan seharian.
Prinsip-prinsip di atas perlu dilaksanakan melibatkan tiga aspek iaitu pembelajaran,
pendekatan pembelajaran dan pengajaran, dan penilaian berteraskan kepada keperluan
individu. Perhubungan antara ketiga-tiga aspek ini adalah bersifat interaktif dan dalam
keadaan fleksibel di mana bentuk pengajaran adalah tidak terikat dan boleh dibentuk
mengikut keperluan murid yang berbeza. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran boleh
dibentuk mengikut keperluan murid melalui empat bidang iaitu :
i. bidang pengurusan kehidupan, ( komponen – pengurusan diri, kemahiran manipulatif,
pengurusan tingkah laku dan kemahiran hidup)
ii. bidang akademik berfungsi, ( komponen- Bahasa Melayu, Matematik , Bahasa Inggeris,
Teknologi Maklumat dan Komunikasi)
iii.bidang kerohanian dan niali-nilai murni dan ( Komponen – pendidikan agama Islam dan
pendidikan Moral)
iv. bidang sosial, riadah dan kreativiti ( komponen- Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni,
Pendidikan Muzik, gerakan dan drama, Pendidikan sains, Sosial dan alam sekitar
Elemen pendidikan seks diterapkan dalam ke empat-empat bidang ini di mana
pelaksanaannya bergantung sepenuhnya kepada kemahiran guru dalam menyampaikan
pengajaran. Namun begitu guru-guru ini tidak menerima sebarang latihan khusus tentang
strategi pengajaran pendidikan seks semasa dalam latihan perguruan. Melalui tinjauan awal
penulis didapati sumber maklumat berkaitan pendidikan seks yang khusus kepada golongan
remaja bermasalah pembelajaran juga kurang.
Sepertimana remaja normal, remaja kurang upaya termasuk golongan bermasalah
pembelajaran tidak terkecuali daripada masalah-masalah seksualiti. Menurut Schloss, Smith
& Schloss (1995) isu berkaitan seksualiti mesti diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi
remaja kurang upaya disebabkan peluang untuk peluahan seksual terhad kerana kekurangan
kemahiran interpersonal, kekurangan sumber, dan tiada model yang bersesuaian untuk
menunjukkan tingkah laku yang dapat diterima. Beberapa kajian menunjukkan berlakunya
penderaan seksual di kalangan golongan bermasalah pembelajaran dan sebaliknya mereka
juga boleh menjadi pesalah seks di mana mereka melakukan salahlaku seksual ke atas rakan-
rakan kurang upaya yang lain .
Menurut laporan Family Planning Queensland (2005) kajian terhadap masyarakat
Australia mendapati orang kurang upaya menghadapi 3 hingga 7 kali risiko menjadi mangsa
penganiayaan seksual di mana 54 % lelaki dan 50 % perempuan cacat pendengaran
mengalami penganiayaan seksual. Sebanyak 39% orang dengan kepelbagaian ketidakupayaan
mengalami penganiayaan seksual. Kajian oleh Zuria Mahmud dan Norshidah Mohd Salleh
(2004) menunjukkan masalah tingkah laku seksual murid berlaku di kalangan murid khas .
Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran, PKBP ditubuhkan di sekolah harian
biasa dengan berkongsi bangunan serta kemudahan infrastruktur yang sama. Secara tidak
langsung tingkah laku seksual remaja PKBP akan memberi kesan bukan sahaja kepada guru
khas malah turut melibatkan warga sekolah yang lain
Pendidikan seks juga merupakan satu cabang ilmu pengetahuan yang perlu diberi
mengikut kesesuaian individu tetapi tidak ada suatu kurikulum atau modul pendidikan seks
yang disediakan khas untuk golongan remaja bermasalah pembelajaran. Tidak hairanlah
wujudnya masalah tingkah laku berkaitan seksualiti di kalangan remaja ini akibat peluang
mendapat pengetahuan yang terhad berkaitan seksualiti dan kurangnya didikan tentang
seksualiti yang tersusun sejak awal persekolahan.
Rekabentuk model kurikulum yang dibina untuk murid-murid bermasalah
pembelajaran adalah bersifat fleksibel bagi membolehkan guru mengembangkan bakat dan
potensi sedia ada murid. Namun dalam hal pendidikan seks, guru-guru ini tidak dilengkapkan
dengan teknik atau strategi pengajaran pendidikan seks apatah lagi sumber-sumber untuk
menyampaikan maklumat tentang seksualiti juga agak terhad. Keadaan ini akan menggugat
keberkesanan dalam penyampaian maklumat berkaitan seksualiti. Ini di sokong oleh dapatan
kajian Zuria Mahmud dan Norshidah Mohamad Salleh, (2004) iaitu antara cabaran yang
dihadapi oleh guru khas ialah sukar mengawal tingkah laku seksual murid, kurang
pengetahuan dan kemahiran berkaitan murid khas kerana tiada kursus atau latihan tertentu
dan kurangnya alat bantu mengajar yang sesuai dengan murid berkeperluan khas.
Guru atau pendidik bagi pendidikan seks yang berkesan mestilah seorang yang
percaya dengan program tersebut dan menerima latihan yang mencukupi. Latihan pula perlu
diberi bukan sahaja tentang program pendidikan seks tetapi turut merangkumi strategi
pengajaran (Kirby dalam WHO, 2001). Menurut Kamn dalam WHO (2001) , kajian
menunjukkan latihan guru untuk pelaksanaan kurikulum baru secara positifnya akan memberi
kesan kepada kesediaan guru untuk mengajar seterusnya memberi kesan yang positif juga
terhadap pelaksanaan kurikulum dan hasil pembelajaran murid. Namun terdapat halangan-
halangan kepada kejayaan pendidikan seks iaitu kekurangan infrastruktur untuk latihan guru
dan kurangnya bahan pengajaran yang berkualiti. Dapatan ini disokong oleh James-Traore,
Finger , Ruland dan Savariaud (2004) di mana kajian mendapati latihan guru mempengaruhi
sikap guru terhadap pendidik seks secara positif. Menurut mereka kajian ke atas 35 orang
guru di Thailand yang menerima latihan menujukkan tahap pengetahuan yang lebih baik dan
sikap yang positif terhadap pendidikan seks.
Menurut WHO (2001) penilaian terhadap pendidikan yang professional menunjukkan
latihan kepada guru mesti disusuli dengan kaedah mengajar dan sokongan dari segi teknikal
untuk memberi kesan dalam pengajaran dalam bilik darjah. Guru yang terlatih dapat
melaksanakan pendidikan seks dari segi kandungan pelajaran dengan efektif dan kaedah
pengajaran yang berkualiti. Di samping kelayakan profesional, guru juga perlu ada sifat-sifat
yang tertentu bagi menjayakan pendidikan seks kerana peranannya sebagai role-model, orang
yang berkemahiran dan cekap, boleh dipercayai dan boleh mengakses sumber serta sokongan.
Oleh itu guru perlu ada pengetahuan yang tepat dan selesa dalam membincangkan perkara-
perkara berkaitan seksualiti.
3.0 Penutup
Sejak kebelakangan ini isu pendidikan seks menjadi isu yang penting di mana
menurut Rowe dan Savage, (1987) perhatian turut diberikan kepada golongan yang
mengalami masalah ketidakupayaan mental yang diberi perakuan mempunyai hak berkaitan
seksualiti. Pendidikan seks adalah penting untuk perkembangan remaja dalam menyiapkan
diri mereka menghadapi pelbagai cabaran masa depan apatah lagi bagi golongan remaja
bermasalah pembelajaran yang memerlukan lebih bimbingan disebabkan ketidakupayaan
mereka dalam aspek kognitif atau keupayaan mental yang lebih rendah.
Aspek amalan yang baik dalam pendidikan seks menurut The Working Group of sex
education in Scottish schools (2002) ialah mengambilkira pendapat ibu bapa, guru dan
masyarakat dan pembinaan program pendidikan secara menyeluruh dengan komitmen semua
pihak. Garis panduan tentang kurikulum pendidikan seks mesti jelas dengan sumber-sumber
yang bersesuaian mengikut acuan budaya Timur serta dapat diakses oleh para guru dan ibu
bapa kerana dalam pendidikan khas kolaborasi antara ke dua pihak ini dapat menentukan
kejayaan sesuatu program. Pendidikan seks harus dimulakan dari peringkat awal kanak-kanak
mengikut topik-topik yang bersesuaian dan mesti ada kesinambungan pengajaran dan
pembelajaran antara pihak ibu bapa dan guru.
Justeru itu kedua-dua pihak ibu bapa dan guru perlu mendalami kurikulum pendidikan
seks dengan mengambilkira elemen agama dan budaya agar tidak timbul salah faham
mengenai konsep pendidikan seks. Menurut Scottish Executive, (2000) di Scotland
pendidikan seks dilihat sebagai satu elemen dalam pendidikan kesihatan dalam konteks yang
lebih luas di mana ianya menyumbang kepada perkembangan fizikal, emosi, moral dan
rohani. Mereka juga menyarankan pendidikan seks dimulakan pada peringkat awal kanak-
kanak oleh ibu bapa dan penjaga dan berterusan hingga memasuki sekolah mengikut
kesesuaian. Pendidikan seks yang diterapkan mesti berlatar belakangkan budaya dan agama
terutamanya dalam konteks Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya seiring
dengan prinsip Rukun Negara.
Pendidikan seks adalah penting untuk kesejahteraan remaja khasnya remaja
bermasalah pembelajaran. Kurikulum dan modul pendidikan seks yang khusus kepada
golongan ini perlu dibina dan dimandatkan agar semua pihak tidak ambil lewa dalam proses
penyampaian maklumat seksualiti kepada remaja. Kurikulum ini tidak semestinya dijadikan
satu matapelajaran tetapi boleh dijadikan sebagai salah satu topik dalam matapelajaran yang
sedia ada. Matapelajaran yang sesuai bagi penulis ialah pendidikan agama dan moral kerana
pendidikan seks yang dijalankan secara mengasingkan agama menunjukkan kegagalannya
mencapai matlamat seperti di Amerika Syarikat.
Dalam pembentukan kurikulum atau modul ini, pihak penggubal dasar perlu
melibatkan wakil-wakil guru, ibu bapa, pakar agama dan para professional dalam bidang
pendidikan khas. Pandangan guru dan ibu bapa amat penting kerana mereka yang terlibat
secara langsung dalam pendidikan anak-anak atau murid bermasalah pembelajaran.
Kurikulum yang dibina perlu dihebahkan kepada masyarakat agar tidak timbul lagi salah
faham tentang pendidikan seks.
RUJUKAN
http://www.adnki.com. , (2006). Singapore : Islamic Sex Education Textbook Launched. Dipetik pada 5.4.2006
www.psyking.net/id.htm , (2006). Adolescence; Overview, History, theories dipetik pada
27.1.2006
http://www.christianebooks.com/christiansexeducation.html. , (2006). Become A Chaperone ; Sex Education For Christians Kids in Public Schools. Dipetik pada 5.4.2006
http://lizditz.typepad.com , (2006). Speak Of Dreams : Making Shools Safe For Christians. Dipetik pada 5.4.2006
68,000 bayi luar nikah. Kosmo. 17.4.2006
Abdullah Nasih Ulwan (2002). Pendidikan Anak Menurut Islam. Edisi 9, Jilid 2 (Terjemahan Syed Ahmad Semait). Pustaka Nasional Pte. Ltd. : Singapura
Ahmad Rizal Mohd Yusof, (2005). Internet dan Seks . Seminar Seksual Kebangsaan 2005, 30hb Julai 2005. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya : Kuala Lumpur
BBC News ,(2006). Schools Urged To Tell Children More About Sex. UK
Durex (2005). Sex survey 2005. dipetik pada 18.4.2006 dari www.durex.com
Family Planning Queensland, (2005) Sexuality and Disability Workbook . FPQ : Australia
Gubhaju, B. B. (2002). Adolescent Reproductive Health in Asia. Asia-Pacific population Journal 17 (4) : 97-108
Haffner, D. W. (1992). Sexuality Education In Public schools. The Education Digest, September 1992
Hallahan, D. P & Kauffman, J. M. (1986). Exceptional learners. Allyn & Bacon :Boston
Hanafi Mohamad, (1994). Kefahaman Dan Pendidikan Seks Dalam Islam. Dinie Publisher : Kuala Lumpur.
James-Traore, T. A., Finger, W., Ruland, C. D. & Savariaud, S. (2004). Teacher training : essential for school-based reproductive health and HIV/AIDS education, Focus on Sub-Saharan Africa. Youth Issues : Paper 3, Family Health International, Youthnet Program, USA
Kementerian Pelajaran Malaysia, (2005). Buku Maklumat Pendidikan Khas Jabatan pendidikan Khas,
Kementerian Pendidikan Malaysia, (2003). Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah rendah dan Menengah. Jabatan Pendidikan Khas,
Persekutuan Persatuan- persatuan Perancangan Keluarga Malaysia, (2003) Modul Kesihatan Reproduktif Remaja. FFPAM: Malaysia
Rahil Mahyuddin, Marina Chong Abdullah & Habibah Elias, (2000). Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. McGraw-Hill companies (Malalaysia) Sdn. Bhd.
Raja Yusoff Ariffin, (2000). Konsep Pendidikan Seks Dalam Islam. Dipetik dari (12.2.2006) http://websekolah.bharian.com.my
Rowe, W. S. & Savage, S. (1987). Sexuality and The Developmentally Handicapped. A Guidebook for Health Care professionals. The Edwin Mellen Press: New York
Santrock, J. (2000). Adolescence 6th Edition. Mc Graw-Hill. USA
Schloss, P.J. , Smith, M.A. & Schloss, C.N. ( 1995). Instructional Methods For Adolescents With Learning & Behavior Problems. ( 2nd Edition). Allyn & Bacon : Needham Height, USA
Scottish Executive, (2000). Report On The Working group On Sex Education In Scottish School: Scotland
Siti Zubaidah Ismail & Muhamad Zahiri Awang Mat, (2005). Memahami Kesalahan Seksual dalam Konteks Undang-undang Jenayah dan Cadangan Penerapannya Ke dalam Sistem Pendidikan di Malaysia . Seminar Seksual Kebangsaan 2005, 30hb Julai 2005. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya : Kuala Lumpur
Tepper, M. S. (2001). Becoming sexually able : Education to help youth with disabilities. Sex Information and Education Council of the United State, SIECUS Report.
The World Health Organization [WHO] , ( 2001) Skills For health ; Information Series on School Health Document 9 . WHO: Geneva
Warwick, I., & Aggleton, P. (2002). The role of education in promoting young people’s sexual and reproductive health; Safe passages to adulthood. Institute of Education : University of London.
WHO (2001). Skills for health. The World Health Organization’s : Information series on school health; Document 9: Geneva
Zainuddin Hamidi Fachruddin, H.S. (1991). Tafsir Quran Widjaya . Klang Book Centre : Klang
Zuria Mahmud & Norshidah Mohamad Salleh, ( 2004). Aspirasi ibu bapa, guru dan Para professional Terhadap Perkembangan Kanak-kanak Keperluan Khas: 523-544