MODUL 1
MODUL 1
FALSAFAH DAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
SINOPSIS
Tajuk 1 mengandungi tujuh topik. Topik ini membincangkan tentang
konsep pendidikan awal kanak-kanak dan matlamat serta objektif
pendidikan prasekolah. Di dalam tajuk ini juga diterangkan tentang
falsafah dan pandangan tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal
kanak-kanak, perkembangan pendidikan prasekolah sama ada di luar
negara dan di Malaysia. Seterusnya, tajuk ini membincangkan
mengenai hak asasi kanak-kanak dan Akta Pendidikan 1996.
OBJEKTIFPada akhir tajuk ini, para pelajar akan dapat:
1.Menghuraikan konsep pendidikan awal kanak-kanak, matlamat dan
objektif pendidikan prasekolah.
2.Menjelaskan falsafah dan pandangan tokoh-tokoh pengasas
pendidikan
awal kanak-kanak serta perkembangan pendidikan prasekolah di
luar negara dan di Malaysia.
3.Menghuraikan hak asasi kanak-kanak dan Akta Pendidikan 1996
(fasal 15, 20, 21, 22, 23 dan 24)
PANDUAN MENGGUNAKAN MODULSila jawab soalan-soalan ujian pra dan
seterusnya membaca unit serta menjawab latihan yang diberi.
Ujian Pra
1. Apakah yang anda faham dengan istilah pendidikan awal
kanak-kanak?2. Nyatakan dengan ringkas mengenai istilah pendidikan
prasekolah di Malaysia?
3. Senaraikan tiga tokoh pendidikan awal kanak-kanak dan
nyatakan secara ringkas
pandangan mereka.4. Jelaskan secara ringkas perkembangan
pendidikan prasekolah di zaman sebelum merdeka dan selepas
merdeka.5. Terangkan secara ringkas mengenai pendidikan prasekolah
yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996.
1.1.1. Konsep Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Apakah yang anda faham dengan pendidikan awal kanak-kanak?
Pendidikan prasekolah di negara kita Malaysia merupakan program
pendidikan yang memberi layanan, asuhan dan bimbingan kepada
kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun. Mengikut The
National Association for The Education of Young Chidren (NAEYC)
atau Pertubuhan Kebangsaan bagi Pendidikan Kanak-Kanak Muda,
pendidikan awal kanak-kanak adalah seperti berikut:
The term early childhood refers to the period from birth to age
eight,Early chilhood program provide services for children from
birth through age eight in part day and full day group programs in
centers, home and institution kindergartens and primary school and
recreational program. (Morrison, m.s. 24)
1.1.2. Konsep Pendidikan Prasekolah Di Malaysia
Pernahkah anda mendengar tentang pendidikan prasekolah di
Malaysia? Pendidikan Prasekolah adalah satu program yang
menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur 4
hingga 6 tahun dalam jangka masa satu tahun atau lebih sebelum
masuk ke Tahun Satu di sekolah formal.
Unit 1.2.: Matlamat Pendidikan Prasekolah
Pendidikan prasekolah bertujuan menyuburkan potensi kanak-kanak
dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan
memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke sekolah
rendah.
1.2.1. Objektif Pendidikan Prasekolah
Pendidikan Prasekolah membolehkan murid:
1. Mempunyai sifat peribadi, perwatakan dan konsep kendiri yang
positif untuk
menjadi warganegara yang patriotik.
2. Menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul dan memperkembangkan
kemahiran berbahasa untuk berkomunikasi.
3. Menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dengan betul untuk
berkomunikasi di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa
Cina dan Bahasa Tamil.
4. Menggunakan Bahasa Inggeris dalam interaksi seharian selaras
dengan
kedudukan sebagai bahasa kedua.
5. Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk
murid beragama Islam.
6. Mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
7. Mempunyai kemahiran kognitif, kemahiran berfikir dan
kemahiran
menyelesaikan masalah.
8. Mempunyai kematangan emosi dan kemahiran sosial.
9. Mempunyai kecerdasan dan kemahiran fizikal serta
mempraktikkan amalan
kesihatan dan keselamatan yang baik.10. Mempunyai daya kreatif
dan estetika untuk menghargai keindahan alam dan
warisan budaya.
Latihan 1.2:
1. Jelaskan matlamat pendidikan prasekolah di Malaysia?
2. Senaraikan lima objektif pendidikan prasekolah.
Unit 1.3.: Falsafah dan Pandangan Tokoh-Tokoh Pengasas
Pendidikan Awal Kanak- kanak
Terdapat pelbagai falsafah dan pandangan dari tokoh-tokoh bagi
mengendalikan pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pada
peringkat awal. Pada pandangan anda, adakah pandangan ahli falsafah
mempengaruhi pembentukan kurikulum untuk kanak-kanak pada peringkat
awal?Tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal kanak-kanak adalah
terdiri daripada;
1. Imam Al-Ghazali
2. Ibnu Khaldun
3. Johann Heinrich Pestalozzi
4. Friedrich Froebel
5. Maria Montessori
6. John Dewey
1.3.1 IMAM Al-GHAZALI
Dilahirkan pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masehi di sebuah
kampung bernama Ghazalah Daulayah Qursan di Negeri Parsi. Nama
sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad
Al-Ghazali. Tahun 484 hijrah beliau dilantik sebagai Naib Censelor
Universiti dan pensyarah di Universiti Pengajian Tinggi Nizamiah.
Pada tahun 489 hijrah, beliau meletak jawatan dan pergi ke Syria
dan ke Mekah. Kitab beliau yang termashur ialah Ihya Ulumuddin.
Pandangan / Idea-idea beliau Seorang kanak-kanak harus dididik
sejak lahir. Seorang bayi jangan diberikan kepada orang lain
menjaganya kecuali perempuan yang kuat agama dan mulia tingkah
lakunya.
Didik kanak-kanak dengan pelajaran agama, adab sopan, adab makan
minum, mencuci badan, berwuduk dan bersembahyang.
Didik kanak-kanak supaya memperolehi tingkah laku yang mulia,
merendah diri, tidak berbohong, bersederhana dalam perlakuan, tidak
berkawan dengan orang jahat dan tidak berbangga.
Bersikap tegas dengan kanak-kanak, jangan biasakan mereka
bersenang-senang, jangan berseronok atau bermanja-manja apabila
bergaul dengan mereka.
Tidak boleh keterlaluan bila mendenda kanak-kanak. Jangan
mencemuh dan menimbulkan kebencian mereka.
Memperelokkan fitrah dan membentuk naluri mereka.
Suruh kanak-kanak bermain kerana main pada kanak-kanak
dapat:
Membantu perkembangan fizikal serta menguatkan otok mereka.
Sifat semulajadi kanak-kanak memang suka bermain.
Dapat menggembirakan mereka serta memberi kerehatan selepas
penat belajar.
Nasihat beliau kepada guru supaya:
Mengajar mengikut kemampuan kanak-kanak.
Memperbaiki perlakuan dengan mesra bukan dengan cara menempelak
mereka.
Guru tidak perlu mengharapkan ganjaran tetapi perlu menunjukkan
model tingkah laku yang baik.
1.3.2IBNU KHALDUNBeliau banyak memperkatakan mengenai persediaan
untuk belajar, pemerhatian, motivasi, berusaha, pengukuhan,
perbezaan individu dan latihan.
Pendapat beliau pada peringkat permulaan:
Jangan diajar kanak-kanak dengan perkara-perkara yang susah.
Belajar daripada mudah kepada yang lebih susah secara:
Berperingkat-peringkat
Mengadakan latih tubi
Menggunakan benda-benda maujud
Menggunakan bahan-bahan bantu mengajar
Kanak-kanak jangan dibebankan dengan perkara-perkara yang diluar
kemampuan mereka. Ini boleh menyebabkan mereka:
-Tidak mahu belajar
-Mencerca pengajaran yang diberi
Beliau mencadangkan kanak-kanak di peringkat prasekolah
hendaklah diberi contoh-contoh yang konkrit yang boleh difahami
melalui pancaindera mereka.
Ibnu Khaldun juga menyarankan pembacaan Al-Quran harus diajar
sebelum menghafalnya. Apabila sampai umur tertentu dan sesuai
dengan daya pemikiran barulah diajar tafsir, hukum dan
lain-lain.
Jadual pembelajaran harus disusun dengan baik supaya kanak-kanak
dapat memahami apa yang disampaikan.
Kanak-kanak harus dibentuk dengan penuh kasih sayang, lemah
lembut dan bertimbang rasa bukannya dengan cara kekerasan kerana
ini boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas, pembohong, berlagak
untuk menyembunyikan yang sebenar, membuat tipu helah dan tidak
berperikemanusiaan.
Masa belajar jangan terlalu panjang kerana boleh menyebabkan
lupa, sebaliknya dalam waktu yang pendek serta cara yang betul bagi
mendapat hasil pembelajaran yang baik.
Bahasa adalah asas kepada semua kanak-kanak semasa pembelajaran.
Mulailah dengan menulis dan membaca, kemudian kaitkan dengan
makna.
Pendekatan Ibnu Khaldun merupakan contoh pendekatan yang baik
dalam membentuk peribadi kanak-kanak.
1.3.3JOHANN HEINRICH PESTALOZZI (1746 1827)
Beliau dilahirkan di Zurich, Swizerland. Beliau membuka sebuah
sekolah di ladangnya dikenali dengan nama Neohof pada tahun 1774.
Di sekolah itu diintegrasikan kehidupan di rumah, pendidikan
vokasional dan pendidikan untuk bacaan dan tulisan.
Idea-idea beliau mengenai pendidikan
Anak-anak perlu dibimbing secara perlahan-lahan berdasarkan
potensi yang ada padanya. Bimbingan itu perlu bermula daripada
pengalaman deria kepada idea yang abstrak.
Percaya bahawa pendidikan adalah diasaskan kepada
pengalaman-pengalaman deria. Melalui pengalaman itu kanak-kanak
boleh mencapai potensi mereka yang semulajadi.
Beliau percaya pengajaran boleh dibentuk berdasarkan objek. Oleh
itu, pembelajaran konsep hendaklah dengan melalui manipulatif
seperti membilang, mengukur, merasa dan menyentuh.
Guru yang baik ialah guru yang mengajar kanak-kanak bukan
mengajar mata pelajaran.
Beliau juga percaya kepada kumpulan pelbagai umur. (multiage
grouping).
Beliau yakin bahawa ibu adalah orang yang terbaik untuk mengajar
anaknya.
1.3.4 FRIEDRICH FROEBEL (1782 1852)
Seorang tokoh pendidikan dari Jerman. Beliau digelar sebagai
Bapa Tadika. Pada tahun 1837, beliau menubuh sekolah taman
kanak-kanak yang dinamakan Kindergarten. Beliau adalah seorang yang
kuat beragama dan menganggap manusia secara semulajadinya adalah
baik dan dunia adalah tempat bekerja dan manifestasi terhadap
Tuhan. Menurut beliau kanak-kanak umpama biji benih, ibu bapa dan
pendidik umpama tukang kebun, kindergarten pula ialah taman untuk
kanak-kanak. Oleh itu kanak-kanak perlu belajar dalam persekitaran
yang terancang dan kanak-kanak berkembang melalui main
Antara idea-idea Froebel ialah:
1. Taman kanak-kanak perlulah dipenuhi dengan keindahan untuk
menarik perhatian kanak-kanak. Sekurang-kurangnya ia dicat dengan
warna yang terang, mempunyai bilik yang senang dimasuki cahaya,
dipenuhi dengan taman-taman, binatang dan gambar-gambar.2.
Dilengkapi dengan kerusi meja yang sesuai untuk kanak-kanak.
Keadaan bilik janganlah sempit kerana menyusahkan perjalanan
aktiviti.3. Kelas prasekolah perlu dipenuhi dengan pemandangan,
bunyi-bunyian dan objek-objek untuk kanak-kanak yang mempunyai
bentuk yang mudah, saiz dan warna.4. Suasana di taman kanak-kanak
hendaklah dapat mengawal kanak-kanak daripada pengaruh jahat yang
terdapat dalam masyarakat dan bahaya alam semulajadi.5. Di taman
kanak-kanak perlu dipupuk dengan perkembangan mental, fizikal dan
sosial kanak-kanak.6. Taman kanak-kanak merupakan satu pendekatan
terhadap latihan kanak-kanak.7. Pendidikan adalah pembinaan watak
atau peribadi kanak-kanak. Ia hendaklah berdasarkan kepada
keperluan dan keupayaan kanak-kanak.8. Menurut beliau, kanak-kanak
mempelajari sesuatu melalui perbuatan. Ia perlu diberi kebebasan.9.
Beliau menekankan kaedah bermain kepada kanak-kanak dan belajar
melalui membuat.10. Beliau mencadangkan dalam mendidik kanak-kanak
perlu menggunakan objek supaya menimbulkan minat dalam
pembelajarannya.11. Beliau menekankan disiplin diri terhadap
kanak-kanak dan motivasi dalaman adalah penting bagi
kanak-kanak.12. Pembelajaran bukanlah sesuatu yang terpisah dan ia
saling berkaitan antara satu sama lain.
1.3.5MARIA MONTESSORI (1870 1952)
Merupakan tokoh pendidikan di Rome. Berpengalaman mendidik
kanak-kanak yang terencat akal. Pada tahun 1899, beliau menubuhkan
sekolah kanak-kanak cacat di Rome. Montessori menyokong Froebel
dalam pendapat membenarkan kanak-kanak belajar melalui aktiviti
bermain. Beliau mengutamakan latihan daya penglihatan, pendengaran
dan sentuhan yang bertujuan bagi membolehkan kanak-kanak mendapat
pengalaman dan latihan menggunakan deria dengan cekap. Beliau
berpendapat dalam mendidik kanak-kanak ia mestilah menghormati
kanak-kanak dan haknya. Oleh itu, persekitaran yang terancang,
kemahiran hidup, disiplin diri dan arahan adalah prinsip penting
dalam pendidikan kanak-kanak. Menurut beliau, pendidikan adalah
untuk menolong kanak-kanak membentuk serta membantu perkembangan
intelek, fizikal, sosial, emosi dan rohani. Montessori mengemukakan
beberapa konsep asas dalam pembentukan kurikulum kanak-kanak pada
peringkat awal. Antaranya adalh konsep berikut;
a. Minda yang mudah menyerap
Menurut Montessori, minda kanak-kanak mudah menyerap sesuatu
maklumat yang diterima melalui deria mereka, sebelum mereka
bersedia untuk diajarkan konsep tersebut. Seorang kanak-kanak mula
menyerap kejadian yang berlaku disekelilingnya dan menyusun
pengalaman ini daripada saat kelahiran lagi.
b. Persekitaran yang tersedia
Persekitaran yang menggalakkan perkembangan kanak-kanak adalah
persekitaran yang lengkap dengan pelbagai bahan yang akan menyokong
pembentukan konsep dan pengetahuan kanak-kanak apabila kanak-kanak
memerlukannya. Peranan guru adalah menunjuk ajar cara menggunakan
bahan pembelajaran tersebut pada masa yang sesuai.
c. Didikan diri
Kanak-kanak mampu menjelaskan persepsi mereka dan menyusun
pengalaman melalui aktiviti yang sesuai, apabila persekitaran
mereka disusun secara lengkap dengan pelbagai bahan pembelajaran
yang menarik. Kanak-kanak berkebolehan menyusun pengetahuan mereka
apabila mereka terlibat dalam sesuatu aktiviti pembelajaran. Guru
tidak perlu mengajar kanak-kanak secara formal. Guru hanya menunjuk
ajar perlu mengajar kanak-kanak secara formal. Guru hanya menunjuk
ajar dan membimbing mereka dalam pemilihan bahan dan aktiviti.
d. Bahan pembelajaran
Guru hanya menunjuk ajar cara yang betul bagaimana menggunakan
bahan tersebut selepas kanak-kanak memilih aktiviti pembelajarannya
secara bebas dan sukarela. Mengikut Montessori, matlamat kurikulum
pada peringkat awal adalah bagi memajukan diri kanak-kanak daripada
segi; penumpuan perhatian; kemahiran mmerhati dan meneliti;
kesedaran berkenaan susunan dan peraturan; keseimbangan pergerakan;
kesedaran persepsi dan kemahiran praktikal; konsep matematik;
kemahiran bahasa; kemahiran menulis dan membaca; kebiasaan dengan
seni kreatif; pemahaman berkenaan alam semulajadi; pengalaman dan
pemahaman berkenaan sains social; pengalaman menggunakan kemahiran
berfikir secara kritis melalui pengalaman menyelesaikan sesuatu
masalah.e. Tempoh sensitif
Tempoh sensitif adalah tempoh yang paling sesuai untuk
kanak-kanak menguasai sesuatu kemahiran. Tempoh tersebut dapat
dikesan apabila kanak-kanak menunjukkan kesediaan dan minat bagi
mempelajari sesuatu kemahiran dengan sentiasa menanya soalan dan
sentiasa tertarik bagi memerhati dan menyentuh sesuatu bahan
pembelajaran.
Menurut falsafah Montessori;
1. Ibu bapa patut diberi latihan dalam perkembangan kanak-kanak
dan cara menggunakan pengetahuan ini dalam membimbing anak
mereka.
2. Terdapat tempoh sensitif yang merupakan masa paling sesuai
bagi kanak-kanak menerima maklumat dan konsep tertentu. Tempoh
sensitive ini berbeza mengikut kadar perkembangan seseorang
kanak-kanak.
3. Kanak-kanak mampu melatih diri sendiri, dengan bimbingan yang
minimum daripada orang dewasa.
4. Kanak-kanak yang biasa berdikari dalam proses pembelajaran
akan terus belajar secara demikian apabila dewasa kelak.
5. Maklumat yang diterima melalui deria adalah maklumat asas
dalam semua jenis pembelajaran.
6. Bahan pembelajaran yang dibentukkan oleh Montessori
melatihkan kanak-kanak berdikari dalam mengurus diri dan
persekitarannya melalui pengalaman sebenar dan kegunaan bahan
manipulatif dan betul diri.
7. Guru akan meningkat pengetahuan mereka melalui pengalaman
dengan kanak-kanak.
8. Kanak-kanak memerlukan persekitaran dan alat pembelajaran
yang tersusun dan bersaiz kanak-kanak.
9. Guru perlu menyediakan persekitaran yang lengkap bagi
membantu kanak-kanak belajar secara bebas.
10. Peranan guru hanya membantu kanak-kanak, bukan memaksa
ataupun menentu arah pembelajaran mereka.
Bagi mencapai matlamat ini, terdapat beberapa prinsip dalam
kaedah Montessori iaitu berdasarkan kepercayaan beliau terhadap
pendidikan awal kanak-kanak. Antaranya ialah:
Menghormati kanak-kanak dan hak mereka.
Konsep kebebasan
Menguasai kemahiran dari mudah ke sukar
Kanak-kanak dididik secara bersepadu dan menyeluruh
Kanak-kanak melakukan aktiviti arahan kendiri.
Pentingnya disiplin diri
Terdapat tempoh sensitif yang berbeza bagi setiap
kanak-kanak
Kanak-kanak menyerap masuk pengetahuan dan menggunakanya.
Kanak-kanak mengajar diri mereka sendiri.
Kanak-kanak belajar dengan lebih baik dalam persekitaran yang
disediakan hendaklah membolehkan kanak-kanak belajar secara
sendiri.
1.3.6JOHN DEWEY
Tokoh falsafah yang terkenal di Amerika. Beliau berpendapat
bahawa pendidikan adalah penghidupan tidak semata-mata persediaan
untuk hidup tetapi pendidikan adalah satu proses sosial yang
mempunyai segala ilmu, pengalaman, teori, pemikiran dan kenyataan
kepada kanak-kanak. Beliau memperkenalkan kaedah projek kepada
kanak-kanak kerana kaedah ini berkait rapat dengan aktiviti dan
gerak kerja kanak-kanak. Menurut beliau, kanak-kanak haruslah
berusaha ke arah mencapai kejayaan. Pada pandangan beliau, dalam
menyampaikan pelajaran kepada kanak-kanak, guru perlu memulakan
dengan kumpulan kecil, kemudian seorang demi seorang. Menurut
beliau, pendidikan yang sebenar adalah satu proses yang aktif
kepada kanak-kanak berdasarkan keadaan semulajadi mereka.
Pendidikan perlu disepadukan dengan kehidupan kanak-kanak.
Kanak-kanak perlu dihormati. Pembelajaran perlu dilaksanakan
melalui pengalaman dan eksperimen.
Latihan 1.3:
1. Jelaskan perbezaan pandangan antara dua tokoh Psikologi Islam
iaitu Imam Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun mengenai pendidikan awal
kanak-kanak. 2. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep Taman
Kanak-kanak yang dinyatakan oleh Friedrich Froebel?
3. Jelaskan konsep asas dalam pembentukan kurikulum awal
kanak-kanak oleh Maria Montessori.
Unit 1.4 : Hak Asasi Kanak-Kanak
Kanak-kanak mudah dipengaruhi, memerlukan jagaan dan
perlindungan khas Ia juga meletakkan penekanan khas ke atas
penjagaan utama dan tanggungjawab perlindungan oleh keluarga. Ia
juga sekali lagi mengesahkan keperluan bagi perlindungan
undang-undang dan perlindungan yang lain kepada kanak-kanak. Ia
meliputi hak sebelum dan selepas lahir, kepentingan hormat kepada
nilai-nilai kebudayaan komuniti kanak-kanak. Merupakan satu peranan
yang amat penting bagi kerjasama antarabangsa dalam menjamin hak
asasi kanak-kanak.
Pada pendapat anda adakah Hak Asasi penting dalam menyediakan
pendidikan yang sesuai untuk kanak-kanak? Berdasarkan Konvensyen
Hak Kanak-kanak yang telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agong
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 mengandungi
Perkara 1 hingga Perkara 54. Di antara perkara yang berkaitan
dengan hak pendidikan perkembangan kanak-kanak terkandung dalam
Perkara 6, Perkara 18, Perkara 27, Perkara 28 dan Perkara 29.
1.4.1PERKARA 6
1. Negara-Negara Pihak mengiktirafkan bahawa tiap-tiap
kanak-kanak mempunyai hak sedia ada untuk hidup.
2. Negara-Negara Pihak hendaklah memastikan setakat yang
sebanyak mungkin boleh kewujudan dan perkembangan kanak-kanak.
Kewujudan dan perkembangan
Tiap-tiap kanak-kanak mempunyai hak sedia ada untuk hidup, dan
Negara mempunyai obligasi untuk memastikan kewujudan dan
perkembangan kanak-kanak itu.
1.4.2PERKARA 18
1. Negara-Negara Pihak hendaklah menggunakan usaha terbaik
mereka untuk memastikan pengiktirafan prinsip bahawa kedua-dua ibu
bapa mempunyai tanggungjawab bersama bagi didikan dan perkembangan
kanak-kanak. Ibu bapa atau, mengikut mana-mana yang berkenaan,
penjaga di sisi undang-undang, mempunyai tanggungjawab utama bagi
didikan dan perkembangan kanak-kanak. Kepentingan terbaik
kanak-kanak akan menjadi perhatian asas.
Tanggungjawab ibu bapa
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama untuk membesarkan
kanak-kanak, dan Negara hendaklah menyokong mereka dalam hal ini.
Negara hendaklah memberikan bantuan yang sewajarnya kepada ibu bapa
dalam pembesaran anak.
2. Bagi maksud menjamin dan menggalakkan hak yang dinyatakan
dalam Konvensyen ini, Negara-Negara Pihak hendaklah memberi bantuan
yang sewajarnya kepada ibu bapa dan penjaga di sisi undang-undang
dalam melaksanakan tanggungjawab pembesaran anak mereka dan
hendaklah memastikan perkembangan institusi, kemudahan dan
perkhidmatan bagi jagaan kanak-kanak.
3. Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah yang
wajar untuk memastikan bahawa kanak-kanak kepada ibu bapa yang
bekerja berhak mendapat faedah daripada perkhidmatan dan kemudahan
jagaan anak yang mereka layak.
1.4.2PERKARA 27
1. Negara-Negara Pihak mengiktiraf hak tiap-tiap kanak-kanak
kepada taraf hidup yang mencukupi bagi perkembangan fizikal,
mental, kerohanian, kemoralan dan sosial kanak-kanak itu.
Taraf hidup
Tiap-tiap kanak-kanak mempunyai hak kepada taraf hidup yang
mencukupi bagi perkembangan fizikal, mental, kerohanian, kemoralan
dan pembangunan sosial. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama
untuk memastikan bahawa kanak-kanak mempunyai taraf hidup yang
mencukupi. Kewajipan Negara ialah untuk memastikan bahawa
tanggungjawab ini boleh dilaksanakan. Tanggungjawab Negara boleh
termasuk bantuan material kepada ibu bapa dan anak-anak mereka.
2. Ibu bapa (ibu bapa-ibu bapa) atau orang lain yang
bertanggungjawab bagi kanak-kanak itu mempunyai tanggungjawab utama
untuk menjamin, mengikut kebolehan dan keupayaan kewangan mereka,
keadaan hidup yang perlu bagi perkembangan kanak-kanak itu.
3. Negara-Negara Pihak, mengikut keadaan negara dan mengikut
kemampuan mereka, hendaklah mengambil segala langkah yang
sewajarnya untuk membantu ibu bapa dan orang lain yang
bertanggungjawab bagi kanak-kanak itu untuk melaksanakan hak ini
dan hendaklah, jika diperlukan, memperuntukkan bantuan material dan
program sokongan, terutamanya berhubungan dengan pemakanan, pakaian
dan perumahan.
4. Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah yang
sewajarnya untuk menjamin supaya mendapat kembali nafkah untuk
kanak-kanak daripada ibu bapa atau orang lain yang mempunyai
tanggungjawab kewangan terhadap kanak-kanak itu, baik dalam Negara
Pihak dan dari luar negeri. Secara khususnya, jika orang yang
mempunyai tanggungjawab kewangan terhadap kanak-kanak itu tinggal
dalam Negara yang berlainan daripada negara kanak-kanak itu,
Negara-Negara Pihak hendaklah menggalakkan kesertaan dalam
perjanjian atarabangsa atau pembuatan perjanjian sedemikian, serta
membuat perkiraan lain yang sewajarnya.
1.4.4PERKARA 28
1. Negara-Negara Pihak mengiktiraf hak kanak-kanak kepada
pendidikan, dan dengan tujuan untuk mencapai hak ini secara
berperingkat-peringkat dan atas dasar peluang yang sama, mereka
hendaklah, secara khususnya:
(a) Menjadikan pendidikan rendah diwajibkan dan diadakan secara
percuma kepada semua;
(b) Menggalakkan perkembangan pendidikan menengah dalam berbagai
bentuk, termasuk pendidikan am dan vokasional, mengadakan
pendidikan itu dan terbuka kepada tiap-tiap kanak-kanak, dan
mengambil langkah yang sewajarnya seperti memperkenalkan pendidikan
percuma dan menawarkan bantuan kewangan jika diperlukan;
(c) Menjadikan pendidkkan tinggi kepada semua atas dasar
keupayaan melalui tiap-tiap cara yang sewajarnya;
(d) Menjadikan maklumat pendidikan dan vokasional dan bimbingan
diadakan dan terbuka kepada semua kanak-kanak;
(e) Mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan kehadiran
secara tetap di sekolah dan mengurangkan kadar keciciran.
Pendidikan
Kanak-kanak mempunyai hak kepada pendidikan, dan kewajipan
Negara untuk memastikan bahawa pendidikan utama percuma dan wajib,
menggalakkan pendidikan menengah dalam berbagai bentuk yang mudah
diperoleh oleh tiap-tiap kanak-kanak dan untuk menjadikan
pendidikan tinggi diadakan kepada semua atas dasar keupayaan.
Disiplin sekolah hendaklah selaras dengan hak dan kemuliaan
kanak-kanak itu. Negara hendaklah melibatkan diri dalam kerjasama
antarabangsa untuk melaksanakan hak ini.
2. Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah yang
sewajarnya untuk memastikan bahawa disiplin sekolah ditadbirkan
mengikut cara yang selaras dengan kemuliaan kanak-kanak dan dengan
menepati Konvensyen ini.
3. Negara-Negara Pihak hendaklah mempromosikan dan menggalakkan
kerjasama antarabangsa dalam perkara yang berhubungan dengan
pendidikan, khususnya dengan tujuan untuk menyumbang kepada
pembasmian kejahilan dan buta huruf di seluruh dunia dan memudahkan
akses kepada pengetahuan saintifik dan teknik dan kaedah pengajaran
yang moden. Dalam hal ini, perhatian yang khusus hendaklah
diberikan kepada keperluan negara-negara membangun.
1.4.5PERKARA 29
1. Negara-Negara Pihak bersetuju bahawa pendidikan kanak-kanak
hendaklah dihalatujukan kepada:
Perkembangan personaliti, bakat, dan kebolehan mental dan
fizikal kanak-kanak pada tahap potensi yang paling tinggi;
Perkembangan rasa hormat bagi hak asasi manusia dan kebebasan
asasi, dan bagi prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;
Perkembangan rasa hormat bagi ibu bapa kanak-kanak, identiti
kebudayaan, bahasa dan nilainya sendiri, bagi nilai kebangsaan
negara yang diduduki oleh kanak-kanak itu, negara yang daripadanya
dia berasal, dan bagi tamadun yang berbeza daripada tamadunnya
sendiri;
Penyediaan kanak-kanak bagi hidup yang bertanggungjawab dalam
masyarakat yang bebas, dalam semangat persefahaman, keamanan,
toleransi, kesamaan jantina, dan persahabatan di kalangan semua
orang, kumpulan etnik, kebangsaan dan agama dan orang yang asal
usulnya penduduk asli;
Perkembangan rasa hormat bagi alam sekitar semula jadi.
Matlamat pendidikan
Pendidikan hendaklah mempunyai matlamat untuk mengembangkan
personaliti, bakat dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak
pada tahap potensi yang paling tinggi. Pendidikan hendaklah
menyediakan kanak-kanak itu untuk kehidupan dewasa yang aktif dalam
masyarakat yang bebas dan memupuk rasa hormat bagi ibu bapa
kanak-kanak, identiti kebudayaan, bahasa dan nilainya sendiri, dan
bagi latar belakang kebudayaan dan nilai orang lain.
2. Tiada bahagian dalam perkara ini atau perkara 28 boleh
ditafsirkan sebagai mengganggu kebebasan individu dan badan untuk
mewujudkan dan mengarahkan institusi pendidikan tertakluk sentiasa
kepada pematuhan prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam perenggan 1
perkara ini dan kepada keperluan bahawa pendidikan diberikan di
institusi sedemikian hendaklah mematuhi standard minimum yang
ditetapkan oleh Negara.
Soalan latihan:
1. Apakah yang anda faham hak asasi ke atas kanak-kanak yang
terkandung dalam perkara 18?
2. Perkara 27 menitikberatkan perkembangan fizikal, mental,
kerohanian, kemoralan dan sosial kanak-kanak, huraikan apa yang
dimaksudkan?
3. Perkara 28 dan Perkara 29 mempunyai persamaan dari segi
penekanan yang lebih pada hak-hak pendidikan, apakah perbezaan
antara keduanya?
Unit 1.5 : Perkembangan Pendidikan Prasekolah
1.5.1: Perkembangan Pendidikan Prasekolah Di Luar Negara.
Pendidikan prasekolah mula berkembang di Eropah pada abad ke 19
dan di Amerika pada abad ke 20. Ahli-ahli Falsafah Eropah yang
terkenal seperti Johann Heinrich Pestalozzi, Friedrich Froebel dan
Maria Montessori.Froebel adalah orang pertama mendirikan tadika di
dunia iaitu di Negeri Jerman pada tahun 1837 dan menamakan tadika
itu Kindergarten yang bermaksud Garden of Children.Prasekolah
pertama di dirikan di United Kingdom ditubuhkan oleh Robert Own
pada tahun 1816 di Daerah Scotland dan diberi nama The Infant
School.
Di Amerika Syarikat, Prasekolah pertama didirikan pada tahun1850
oleh Carl Schruz dan seterusnya pada tahun 1860, Elizabert Peabody
membuka tadika di Boston.
Penubuhan prasekolah di Eropah dan Amerika Syarikat tertumpu
kepada kanak-kanak dari golongan yang berada sahaja. Manakala
kanak-kanak yang miskin terbiar dan tidak mendapat pendidikan
awal.
Di ASEAN, pendidikan prasekolah bermula selepas peperangan Dunia
Kedua.
Pada tahun 1900an, prasekolah mula ditubuhkan di Filipina,
Singapura dan Thailand sahaja. Manakala di Malaysia, perkembangan
pendidikan prasekolah bermula pada tahun 1940 an.
1.5.2: Perkembangan Pendidikan Prasekolah di Malaysia
1.5.2.1. Zaman Sebelum Merdeka Pada tahun 1940 an prasekolah
mula dibuka oleh missionari Kristian dengan pendidikan
berpengaruhkan British dengan mengenakan yuran yang sangat mahal
dan anak-anak orang berada sahaja belajar di prasekolah itu.
Guru-guru prasekolah pula terdiri daripada bekas guru sekolah
rendah yang tidak ada latihan dan pengalaman mengajar di
prasekolah.
Zaman Selepas Merdeka
Pada tahun 1969, Yayasan Asia telah menyumbangkan wang kepada
Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia bagi mendirikan prasekolah yang
mirip kepada projek Head Start di Amerika Sharikat. Tadika ini
telah ditubuhkan di Negeri Selangor iaitu di Kampung Muniady, Kg.
Manggis dan Kg. Sentosa. Kumpulan sasaran terdiri daripada
kanak-kanak yang kurang beruntung dari keturunan Melayu, Cina dan
India.
Pada tahun 1970, KEMAS membuka 10 buah prasekolah contoh di
kawasan luar bandar yang dikenali Tabika untuk membantu rakyat yang
miskin di luar bandar .Diikuti dengan penubuhan prasekolah oleh
FELDA, Risda (1980) dan Majlis Perhubungan Masyarakat (1976). Pada
tahun 1972, Pusat Perkembangan Kurikulum telah menerbitkan Buku
Panduan Pendidikan Prasekolah dan telah membuka 12 buah prasekolah
percubaan di seluruh Malaysia.Tahun 1972 Maktab Perguruan Ilmu
Khas, Ceras telah melatih seramai 137 orang guru-guru sekolah
rendah dan guru-guru KEMAS dalam pendidikan prasekolah untuk
mengajar di prasekolah.
KEMAS telah membuka Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) adalah
selaras dengan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar. Program ini
memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan
pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.
Tahun 1981, Yayasan Sabah telah menubuhkan Institut Guru-Guru
Tadika di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak dan mendapatkan khidmat
nasihat daripada Universiti Malaya. Pada 18 Disember 1991, Jemaah
Menteri telah bermesyuarat untuk membincangkan mengenai program
prasekolah di Malaysia dan pada 27 Januari 1992, Kementerian
Pelajaran Malaysia telah mula bermesyuarat untuk membincangkan
mengenai peluasan prasekolah. Kesan daripada mesyuarat di atas,
maka Akta Pendidikan 1996, telah menyuarakan mengenai pendidikan
prasekolah dalam sistem Pendidikan Kebangsaan. Kesan daripada akta
pendidikan prasekolah, maka pada 6 Jun 2001, Jemaah Menteri
bermesyuarat khusus untuk program peluasan prasekolah.Di bawah ini
disertakan bilangan kelas perluasan prasekolah Kementerian
Pendidikan bermula tahun 2002 hingga 2007.
TAHUN
BILANGAN KELAS
2001
1131 ( sedia ada )
2002
100
2003
1500
2004
1500
2005
1500
2006
1500
2007
1600
Selain daripada pertambahan bilangan prasekolah dari tahun ke
tahun, bilangan peluasan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan
Malaysia mengikut negeri juga bertambah dari setahun ke setahun. Di
bawah ini disertakan pertambahan tersebut.
Bilangan Kelas Prasekolah Peluasan 2004 Berdasarkan Negeri:
NEGERI
BILANGAN KELAS
Kedah
97
Pulau Pinang
46
Perak
196
Selangor
171
W.P. Labuan
3
W.P. Kuala Lumpur
20
Negeri Sembilan
79
Melaka
60
Perlis
15
Johor
196
Pahang
128
Sarawak
146
Terengganu
101
Kelantan
67
Sabah
148
Pendidikan Khas
28
UNIT 1.6: TRANSISI RUMAH KE PRASEKOLAH
Konsep:
Transisi merupakan satu proses perubahan yang berlaku dari satu
keadaan
kepada satu keadaan yang lain.
Transisi kanak-kanak prasekolah dapat dibahagikan kepada 2:
* Transisi rumah ke prasekolah
* Transisi prasekolah ke sekolah rendah (ke Tahun Satu)
Transisi rumah ke prasekolah adalah bertujuan untuk membantu
kanak-kanak
menghadapi perubahan dari rumah dengan sistem pendidikan yang
tidak formal dari keluarga ke tadika atau prasekolah.
Tujuan program Transisi:
Kanak-kanak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran,
guru-guru dan kawan baru serta pendekatan yang lebih formal di
Tahun Satu.
Guru-guru dapat menyelaraskan keperluan kognitif, emosi,
kerohanian dan jasmani kanak-kanak secara menyeluruh sebelum
memulakan proses pengajaran dan pembelajaran secara formal di Tahun
Satu.
Meningkatkan minat dan semangat kanak-kanak untuk datang ke
prasekolah tanpa banyak masalah.Peranan guru prasekolah
a) Mewujudkan hubungan yang baik dengan ibu bapa dan
kanak-kanak. Ibu bapa akan merasa yakin untuk meninggalkan
anak-anak mereka di prasekolah.
b) Guru prasekolah berperanan sebagai pendidik,pembimbing dan
pengasuh kanak-kanak .Guru prasekolah juga memainkan peranan
pengganti ibu bapa dan sebagai model yang baik kepada
kanak-kanak.Dengan ini, kanak-kanak merasa suasana di prasekolah
seperti di rumah mereka.
c) Guru prasekolah berperanan membantu kanak-kanak menyesuaikan
diri dengan rakan dan persekitaran yang baru di prasekolah.
d) Guru perlu menangani perbezaan murid yang datang dari latar
belakang dan pengalaman yang berbeza dengan memberi layanan yang
sesuai.
e) Guru perlu memberitahu peraturan dan disiplin di prasekolah
yang berbeza dengan amalan yang berlaku di rumah mereka.
Peranan pembantu prasekolah
a) Melayan kanak-kanak dengan mesra supaya kanak-kanak merasa
mereka tidak berada di tempat yang asing. Contoh membawa
kanak-kanak ke tandas.
b) Membantu kanak-kanak menguruskan diri di prasekolah seperti
sewaktu makan, rehat dan bermain.
c) Mengawasi keselamatan kanak-kanak semasa mereka berada di
prasekolah.
d) Membantu guru dalam pengurusan kanak-kanak di prasekolah.
Soalan Latihan
1. Jelaskan konsep transisi dari rumah ke sekolah.
2. Pada pendapat anda, mengapakah program transisi perlu.
3. Bincangkan peranan guru dan pembantu prasekolah bagi
menjayakan
program transisi dari rumah ke prasekolah.
UNIT 1.7: AKTA PENDIDIKAN 1996
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) merupakan suatu Akta yang
digubal bagi mengadakan peruntukan pendidikan dan perkara-perkara
yang berkaitan dengannya.
Sejauhmanakah Akta Pendidikan 1996, mempengaruhi penubuhan dan
perlaksanaan prasekolah di Malaysia?
Pendidikan Prasekolah ertinya program pendidikan bagi murid yang
berumur dari empat hingga enam tahun.
1.7.1 FASA 15 SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Sistem pendidikan kebangsaan hendaklah terdiri daripada;
(a) Pendidikan prasekolah
(b) Pendidikan rendah
(c) Pendidikan menengah
(d) Pendidikan lepas menengah
(e) Pendidikan tinggi
Tetapi tidak termasuk pendidikan di sekolah ekspatriat atau
sekolah antarabangsa.
1.7.2 FASA 20 LARANGAN TERHADAP PENUBUHAN, PENGENDALIAN ATAU
PENGURUSAN TADIKA
(1) Tiada tadika boleh ditubuhkan, dikendalikan atau diuruskan
melainkan jika tadika itu didaftarkan di bawah akta ini.
(2) Seseorang yang melanggar subsekyen (1) adalah melakukan
suatu kesalahan.
1.7.3 FASA 21 KUASA MENTERI UNTUK MENUBUHKAN TADIKA.
Menteri boleh, tertakluk kepada peruntukan akta ini, menubuhkan
dan
menyenggarakan tadika.
1.7.4 FASA 22 KURIKULUM PRASEKOLAH KEBANGSAAN HENDAKLAH
DIGUNAKAN OLEH SEMUA TADIKA
(1) Menteri hendaklah menetapkan suatu kurikulum yang dikenali
sebagai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang hendaklah digunakan
oleh semua tadika dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.
(2) Kurikulum Prasekolah yang ditetapkan di bawah subseksyen (1)
hendaklah menyatakan pengetahuan kemahiran dan nilai yang dijangka
akan diperolehi oleh murid-murid pada akhir tempoh Pendidikan
Prasekolah masing-masing.
(3) Mana-mana tadika yang bermaksud untuk melaksanakan apa-apa
kurikulum sebagai tambahan kepada Kurikulum Prasekolah Kebangsaan
hendaklah, sebelum melaksanakan kurikulum tambahan sedemikian,
memaklumkan Ketua Pendaftar tentang maksud itu mengikut cara yang
ditetapkan.
(4) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) atau (3) adalah
melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda
tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
1.7.5 FASA 23 BAHASA PENGANTAR DI TADIKA
Walau apa pun subseksyen 17 (1), bahasa-bahasa lain selain
daripada bahasa kebangsaan boleh digunakan sebagai bahasa pengantar
di tadika, tetapi jika sesuatu tadika menggunakan bahasa selain
daripada bahasa kebangsaan, bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan
sebagai mata pelajaran wajib.
1.7.6 FASA 24 KUASA UNTUK MEMBUAT PERATURAN BERHUBUNGAN DENGAN
PENDIDIKAN PRASEKOLAH
Menteri boleh membuat peraturan-peraturan untuk melaksanakan
peruntukan bab ini.
Soalan latihan
1. Apakah yang terkandung dalam fasa 20, iaitu larangan terhadap
penubuhan, pengendalian atau pengurusan tadika?
2. Siapakah yang berhak menetapkan suatu kurikulum yang dikenali
sebagai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan? Apakah denda yang patut
dikenakan apabila melanggar kurikulum yang ditetapkan?
Rujukan:
1.Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) & Peraturan Terpilih dan
Education Act 1996 (Act 550) & Selected Regulations. Lembaga
Penyelidikan Undang-undang, International Law Book Services, Kuala
Lumpur 1998.
Arahan
Anda dikehendaki menjawab soalan-soalan ujian post
Ujian Post
1. Apakah yang anda faham dengan istilah pendidikan awal
kanak-kanak?
2. Nyatakan dengan ringkas mengenai istilah pendidikan
prasekolah di Malaysia?
3. Senaraikan tiga tokoh pendidikan awal kanak-kanak dan
nyatakan secara ringkas pandangan mereka.
4. Jelaskan secara ringkas perkembangan pendidikan prasekolah di
zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka.
5. Terangkan secara ringkas mengenai pendidikan prasekolah yang
terkandung dalam Akta Pendidikan 1996.
BIBLIOGRAFIBarbara J.Taylor ( 2004 ), A Child Goes Forth, A
curriculum Guide For Preschool Children, New Jersey : Pearson
Parentice Hall.
Morrison G.S ( 2001 ), Early Childhood Education Today ( 8th
Edition ), New Jersey :
Merill Printice Hall.
Brewer, J.A ( 1992 ) Introduction to Early Childhood Education
Preschool Through Primary Grade, Boston : Ally and Bacon.
Essa,E (2002 ), Introduction to Early Childhood Education ( 3rd
Education ), AlbanyDelmar Publishers. Mohamad Bin Aman dan Kasim
Bin Abd. Majid (2003). Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak,
Kajang; Aras Mega (M) Sdn. Bhd. Mohd. Sharani Ahmad (2004).
Psikologi Kanak-Kanak. Bentong; PTS Publications & Distributors
Sdn. Bhd.
Nor Hashimah Hashim dan Yahya Che Lah (2003). Panduan Pendidikan
Prasekolah,
Bentong; PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Spodek B & Sarach O.N, ( 1994 ), Right From The Start,
Teaching Children Ages Threeto Eight, Massachessetts : Ally and
Bacon.
PANEL1. Pn. Normah binti Mat Daut Maktab Perguruan Batu
Pahat
2. Pn. Haslina binti Hanafi
Maktab Perguruan Tuanku Bainun
3. Pn. Hjh. Fatimah binti Adam
Maktab Perguruan Batu Rakit
4. Pn. Norizam binti Shariat
Institut LAtihan KEMAS Seri Iskandar
5. Pn. Hjh Hasnah binti Abu Hassan
KEMAS Negeri Pahang