Page 1
1
MM Lwn AA
[Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. Kes Mal No. 10000-023-0095-2016, YAA Dato’ Hj
Mukhyuddin bin Ibrahim (Pengerusi), YA Tuan Hj Saarani bin Ismail (Panel), YA Prof.
Adjung Dato’ Dr Hj Mohd Na’im bin Hj Mokhtar (Panel)]
[2 Muharam 1440H bersamaan 12 September 2018M]
Fakta kes
[1] Perayu adalah MM beralamat di XXX, 43000 Kajang Selangor Darul Ehsan.
[2] Responden adalah AA beralamat di XXX, 58000 Ampang, Selangor.
[3] Perayu dan Responden telah bernikah pada 14 Januari 1988 dan kemudiannya telah
disahkan bercerai pada 27 Mac 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat,
Selangor melalui Saman no. 10005-055-0626 tahun 2006. Pasangan ini tidak
dikurniakan cahaya mata.
[4] Responden telah membuat tuntutan tunggakan nafkah di bawah Seksyen 70 Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 pada 3 September 2008.
[5] Responden menuntut tunggakan nafkah diri berjumlah RM3000.00 sebulan selama
tempoh perkahwinan 240 bulan berjumlah keseluruhan RM720,000.00.
[6] Perayu tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut dan telah memfailkan pembelaan.
[7] Perbicaraan telah dijalankan dan pada 3 November 2016 YA Hakim bicara telah
memutuskan seperti berikut:-
i. Mahkamah meluluskan permohonan tunggakan nafkah isteri berdasarkan
Seksyen 70 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003;
ii. Mahkamah memerintah Defendan membayar RM347,015.86 sebagai
tunggakan nafkah isteri.
Page 2
2
[8] Perayu tidak berpuashati dengan keputusan tersebut dan pada 6 November 2016 melalui
Peguam Syarienya, Perayu telah memfailkan Notis Rayuan.
[9] Perayu telah memfailkan Alasan Rayuan pada 21 Februari 2017 dan seterusnya
memfailkan Rekod Rayuan pada 21 Mac 2017. Perayu menyatakan Responden tidak
berkelayakan sama sekali menuntut nafkah tertunggak sepanjang tempoh perkahwinan.
[10] Perayu telah memberikan 6 Alasan Rayuan seperti berikut:
1. YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila
mensabitkan jumlah nafkah tertunggak pada kadar yang tinggi berbanding
keperluan sebenar dan keperluan asasi Responden serta taraf kehidupan pihak-
pihak semasa selama tempoh perkahwinan tanpa sebarang pembuktian yang
dikemukakan oleh Responden dan bukti-bukti yang kukuh bagi menyokong
tuntutan nafkah tertunggak tersebut sebelum Mahkamah menentukan kadar
yang bersesuaian berdasarkan kemampuan Perayu.
2. YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam
menentukan kiraan nafkah tertunggak Responden tanpa mengambil kira
keadaan Perayu sebagai kakitangan kerajaan di IPTA yang berpendapatan
sederhana antara RM1000.00 sehinggalah pendapatan RM12,000.00 bermula
sebagai tutor sehinggalah sebagai pensyarah semasa perceraian berlaku.
3. YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila tidak
menimbangkan taraf hidup Perayu dan Responden dalam tempoh perkahwinan
mereka di mana perbelanjaan kehidupan harian adalah melalui perbincangan
serta persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak.
4. YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila tidak
menimbangkan tanggungan hutang dan komitmen Perayu dalam tempoh
perkahwinan serta Perayu masih menjalankan tanggungjawab beliau
memperuntukkan nafkah tempat tinggal yang didiami Responden sehingga
selepas perceraian.
5. YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila tidak
mengambil kira peruntukan nafkah yang telah disediakan Perayu dalam tempoh
perkahwinan mereka berdasarkan kemampuan Perayu dan keperluan semasa
Page 3
3
Responden tanpa mengabaikan nafkah yang wajib ditunaikan dan dilaksanakan
oleh Perayu.
6. YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila tidak
mengambil kira tindakan nusyuz Responden yang telah menghalau Perayu
keluar dari rumah kelamin mereka dan bertindak mengunci pintu rumah kelamin
mereka sehingga menyebabkan Perayu tidak mempunyai akses untuk memasuki
rumah kelamin mereka dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami
sejak daripada 1/4/2003.
Peguam Syarie
Perayu : Diwakili oleh Zainul Akmawati binti Ahmad Zakuan dari Tetuan Akmawati &
Associates.
Responden : Diwakili oleh Hj Abdul Razak bin Muhidin dari Tetuan Abdul Razak Muhidin
& Associates.
Kitab-Kitab yang dirujuk
1. Abi Bakar Othman bin Muhammad Syatha Al-Damyati Al-Bakr, 1995, I’anat At
Talibin juzu 4, Beirut, Lubnan : Dar Kutub al-‘Ilmiyah.
2. Abdul Wahab Qallaf, Al-Asbah Wa Al-Nadhair Fi Qawaid Wa Furu’ie Al-Syafie,
Juzu’ 1.
Undang-Undang yang dirujuk
1. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 – s. 44, 48, 49, 64, 65 dan
72.
Kes-kes yang dirujuk
1. Rita Rudaini binti Mohamad@Mokhtar lwn Mohamad Aidil Zafuan bin Abd
Radzak.
2. Siti Hasnah Jantan lwn Saharum Shariff (2013) 1CLJ (Sya) ms 187.
3. kes Norizam binti Mohd Lazim lwn Halim Azman Sulaiman JH 10(1) ms65.
Page 4
4
4. Rooselawati binti Hussein lwn Syed Farouk Azlan bin Syed Abdul Aziz JH 36
Bhg 1 100.
Penghakiman oleh YAA Dato’ Hj Mukhyuddin bin Ibrahim (Pengerusi), YA
Tuan Hj Saarani bin Ismail (Panel), YA Prof. Adjung Dato’ Dr Hj Mohd Na’im
bin Hj Mokhtar (Panel), HMRYS.
ALASAN RAYUAN PERTAMA
[11] YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mensabitkan
jumlah nafkah tertunggak pada kadar yang tinggi berbanding keperluan sebenar dan
keperluan asasi Responden serta taraf kehidupan pihak-pihak semasa salam tempoh
perkahwinan tanpa sebarang pembuktian yang dikemukakan oleh Responden dan bukti-
bukti yang kukuh bagi menyokong tuntutan nafkah tertunggak tersebut sebelum
Mahkamah menentukan kadar yang bersesuaian berdasarkan kemampuan Perayu.
[12] Perayu menghujahkan bahawa kadar keperluan dan perbelanjaan harian dalam tempoh
perkahwinan pihak-pihak tidaklah terlalu tinggi berdasarkan taraf ekonomi pada masa
tersebut. Taraf kehidupan adalah sederhana dan tidak termasuk dalam kategori mewah.
Kedua-dua pihak adalah golongan orang kebanyakan yang bekerja sebagai penjawat
awam dan mempunyai taraf sosial yang biasa. Mahkamah telah tidak mengambil kira
jumlah asas perbelanjaan bagi makan minum yang mana kosnya adalah melebihi
jumlah yang diperlukan disebabkan Responden lebih gemar makan di luar berbanding
menyediakan makanan sendiri untuk keluarga.
[13] Mahkamah juga memutuskan jumlah yang tidak munasabah bagi perbelanjaan pakaian
Responden dan melebihi apa yang diperlukan.
[14] Perayu menyatakan bahawa Responden ada memberitahu Perayu agar tidak perlu
memberikan wang bulanan kepada Responden tetapi Perayu tetap memperuntukkan
nafkah bulanan mengikut kemampuan Perayu pada ketika itu. Pendapatan Perayu pada
ketika itu adalah cukup cukup untuk menampung keperluan, tanggungan hutang,
komitmen dan perbelanjaan harian.
Page 5
5
[15] Mahkamah juga telah menilai kos bil air dan elektrik sebagai tunggakan hutang
memandangkan kos tersebut adalah dibayar oleh kedua-dua pihak.
[16] Maka Perayu menghujahkan kadar nafkah tertunggak Responden dalam tempoh
perkahwinan yang diputuskan oleh Mahkamah bicara adalah tidak relevan dengan
kemampuan dan keupayaan Perayu. Perayu menghujahkan sebenarnya tidak timbul
sama sekali isu tunggakan nafkah terhadap Responden.
[17] Menjawab hujahan Perayu, Responden menyatakan semasa pemeriksaan balas dan
semasa menjawab soalan Mahkamah bicara, Perayu telah membuat pengakuan bahawa
Responden adalah sentiasa berhak kepada nafkah dalam tempoh perkahwinan. Cuma
hanya mempertikaikan kuantum yang patut dan wajar diberikan kepada Responden.
Responden menghujahkan berdasarkan pengakuan Perayu tersebut terhadap nafkah
makan minum dan pakaian maka tidak perlu lagi dibuktikan oleh Responden.
Berdasarkan jawapan-jawapan ini, ianya dijadikan asas oleh Mahkamah bicara dalam
menentukan kuantum makan minum, pakaian dan tempat tinggal.
[18] Mahkamah tidak membuat keputusan berdasarkan tuntutan Responden sebanyak
RM3000.00 sebulan. Maka tidak timbul langsung isu bahawa Mahkamah telah
memutuskan nafkah tertunggak pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan
keperluan Responden. Responden menghujahkan keputusan Hakim Bicara mengenai
jumlah nafkah tertunggak adalah jauh lebih rendah daripada gaya hidup mewah dan
kedudukan Perayu dan Responden semasa dalam perkahwinan. Gaya kehidupan mewah
dan keperluan nafkah Responden ini telah diberikan keterangan oleh Responden dan
dua orang saksi Responden. Saksi menyatakan taraf kehidupan pihak-pihak adalah di
dalam kategori mewah dan menjadi gaya hidup dan budaya kebiasaan mereka. Mereka
mempunyai kereta Honda Accord dan Honda Prelude sejak awal perkahwinan, makan
di hotel dengan kekerapan 2 atau 3 kali sebulan, Perayu bermain golf dan bermain di
UKM dan lain-lain padang golf. Juga disokong oleh fakta bahawa pihak-pihak tidak
ada apa-apa obligasi kewangan untuk penyediaan keperluan anak.
[19] Bagi isu kemampuan suami pada ketika perkahwinan, Responden menghujahkan
Perayu telah membuat pengakuan ikrar semasa disoal balas, Perayu adalah pensyarah
UKM di awal pernikahan, Profesor Madya bermula 1996 sehingga 2004 dan
kemudiannya Jusa C dan menjadi Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan
Page 6
6
Antarabangsa UKM. Responden menghujahkan Mahkamah Bicara telah bertindak
betul apabila membuat pengiktirafan kehakiman mengenai tangga gaji Perayu di bawah
pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam selaras peruntukan seksyen 44, 48, 49, 64 dan
65 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Selangor) 2003.
[20] Oleh itu, Responden menegaskan Mahkamah Bicara tidak melakukan apa-apa
kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang dalam membuat keputusan berkaitan
kadar nafkah tersebut.
[21] Menjawab hujahan Responden di atas, Perayu menyatakan penetapan nafkah
tertunggak Responden adalah pada kadar maksima berbanding keperluan sebenar dan
keperluan asasi Responden serta taraf kehidupan pihak-pihak semasa tempoh
perkahwinan. Semasa memberi keterangan, Perayu menafikan beliau cuai ke atas
tunggakan nafkah terhadap Responden atas alasan telah ada persepakatan lisan pihak-
pihak dan Responden reda untuk tidak menerima nafkah tetap dari Perayu
memandangkan pendapatan Responden semasa tempoh perkahwinan jauh lebih banyak
berbanding Perayu. Adalah suatu penganiayaan kepada Perayu apabila dibebankan
dengan suatu tunggakan nafkah selepas perceraian bila mana telah dipersetujui oleh
pihak-pihak dan menjadi kelaziman dikongsi bersama suami isteri atas kapasiti dan
kondisi pihak-pihak.
[22] Nafkah yang sewajarnya oleh seorang suami adalah berbentuk daruriyyat iaitu
keperluan untuk hidup seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal tetapi tidak
melampaui batas kemampuan Perayu sebagai suami. Suami tidak sewajarnya
dibebankan dengan perkara-perkara tahsiniyyat dan hajiyyat. Perayu tidak sewajarnya
dibebankan dengan jumlah yang di luar kemampuannya yang mana perbelanjaan yang
dituntut tersebut semata-mata kemahuan Responden tanpa mengambil kira keupayaan
Perayu sebagai suami semasa tempoh perkahwinan mereka.
[23] Maka tidak sewajarnya ditimbulkan tuntutan tunggakan nafkah yang melampaui kadar
keperluan isteri memandangkan nafkah yang diperuntukkan oleh Perayu dalam tempoh
perkahwinan adalah mencukupi.
Page 7
7
[24] Gaya hidup Responden merupakan kehendak Responden semata-mata yang jauh dari
kemampuan sebenar Perayu yang berpendapatan lebih rendah berbanding pendapatan
Responden dalam tempoh perkahwinan.
[25] Berdasarkan hujahan-hujahan di atas bagi Alasan Rayuan Pertama, kami menyatakan
terdapat beberapa isu untuk dilihat sama ada Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta
dan undang-undang semasa membuat alasan penghakimannya.
[26] Persoalan sama ada Responden berhak atau tidak terhadap tunggakan nafkah. Dari fakta
kes, kami bersetuju dengan hujahan Responden bahawa semasa pemeriksaan balas dan
semasa menjawab soalan Mahkamah bicara, Perayu telah membuat pengakuan bahawa
Responden adalah sentiasa berhak kepada nafkah dalam tempoh perkahwinan.
[27] Kami merujuk kepada kes Rita Rudaini binti Mohamad@Mokhtar lwn Mohamad
Aidil Zafuan bin Abd Radzak (Kes Saman No : 10300-023-0598-2013), Mahkamah
di dalam kes tersebut telah merujuk kepada kitab I’anat At Talibin, karangan Abi Bakar
Othman bin Muhammad Syatha Al-Damyati Al-Bakr, juzu 4, ms 60-61:
“Diterima dakwaan isteri di dalam situasi kedua-dua suami isteri tinggal
bersama dan suami mendakwa ia memberi nafkah tetapi dinafikan oleh
isteri kerana pada asalnya nafkah tidak diberi.”
[28] Seterusnya kami merujuk kepada kes Siti Hasnah Jantan lwn Saharum Shariff
(2013) 1CLJ (Sya) ms 187, Mahkamah di dalam kes tersebut telah merujuk kepada
kitab Al-Asbah Wa al-Nazair karangan Imam as-Suyuti:
“Sepasang suami isteri yang telah lama hidup bersama, kemudian isteri
mendakwa suaminya tidak memberinya pakaian dan nafkah, maka dakwaan
isteri diterima. Ini kerana pada asalnya, kedua-dua pakaian dan nafkah
masih dalam tanggungan suami, dakwaan tidak memberi nafkah dan pakaian
adalah diyakini.”
[29] Berdasarkan kedua-dua kes dirujuk, jika Perayu mendakwa telah memberi nafkah
kepada Responden, maka Perayu perlu mengemukakan bukti-bukti pembayaran nafkah
telah diberikan. Di dalam soal sama ada nafkah terhadap Responden telah diberikan
oleh Perayu, maka Perayu menanggung beban pembuktian kerana mengatakan sesuatu
yang berlawanan dengan asal atau zahir iaitu pada asalnya nafkah tersebut tidak diberi.
Page 8
8
Responden termasuk dalam takrif mudda’a alaih dalam isu ini, manakala Perayu adalah
mudda’i. Oleh itu, berdasarkan rujukan yang dikemukakan, Perayu di dalam kes ini
adalah orang yang memegang beban pembuktian bagi membuktikan bahawa nafkah
terhadap isterinya telah diberikan. Ini adalah mengikut kaedah fiqh adalah seperti yang
dinyatakan oleh Al-Zarqa’ dalam kitabnya Sharh Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, hlm. 117
dan Abdul Wahab Qallaf dalam kitabnya Al-Asbah Wa Al-Nadhair Fi Qawaid Wa
Furu’ie Al-Syafie, Juzu’ 1, hlm. 51 menyatakan bahawa ;
األصل العدم أو األصل في األمور العارضة العدم
Maksudnya : “Asal itu tidak ada atau asal pada perkara yang baru muncul atau
yang mendatang itu tidak ada”
العدم األصل
Maksudnya : ”Asal sesuatu itu tiada”
ألصل بقاء ما كان على ما كانا
Maksudnya : Asal sesuatu itu kekal keadaannya sebagaimana yang asal.
[30] Oleh kerana asal kepada sesuatu atau yang mendatang itu tiada maka secara zahirnya
Perayu pada asalnya tidak memberi nafkah kepada isterinya dan Perayu hendaklah
membuktikan bahawa dia telah menunaikan tanggungjawabnya dengan memberi
nafkah kepada isterinya berdasarkan kepada salah satu daripada kaedah fiqh telah
disepakati oleh ulama tersebut.
[31] Di dalam kes ini, kami bersetuju dengan hujah Responden bahawa satu-satunya
keterangan dalam prosiding perbicaraan pembayaran nafkah adalah semasa Perayu
disoal balas. Beliau menyatakan ada membuat bayaran nafkah RM400.00 sebulan untuk
tiga bulan pada tahun 1996. Tiada keterangan lain yang diberikan Perayu yang
dikemukakan kepada Mahkamah bicara untuk menunjukkan Perayu telah memberi,
membayar nafkah kepada Responden dalam tempoh perkahwinan.
[32] Maka kami menyatakan YA Hakim Bicara telah tidak terkhilaf di dalam dapatan beliau
bahawa Responden berhak terhadap tunggakan nafkah dari Perayu.
Page 9
9
[33] Berkenaan persoalan taraf kehidupan pihak pihak sama ada sederhana atau mewah, asas
perbelanjaan makan minum, nafkah pakaian, kami dapati YA Hakim bicara telah
menilai dan meneliti keterangan dan fakta-fakta serta telah membuat rujukan undang-
undang dan hukum syarak sebelum membuat keputusannya. Beliau seterusnya telah
memutuskan di dalam tuntutan tunggakan nafkah Responden, hanya berbentuk
daruriyyat iaitu keperluan untuk hidup seperti makan minum, pakaian dan tempat
tinggal sahaja yang dibenarkan dituntut. Tunggakan nafkah bagi perkara-perkara
tahsiniyyat dan hajiyyat telah ditolak. Maka sememangnya YA Hakim Bicara telah
tidak membebankan Perayu dengan perkara-perkara tahsiniyyat dan hajiyyat. YA
Hakim Bicara tidak membuat keputusan berdasarkan tuntutan Responden sebanyak
RM3000.00 sebulan. Maka tidak timbul langsung isu bahawa Mahkamah telah
memutuskan nafkah tertunggak pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan
keperluan Responden.
ALASAN RAYUAN KEDUA
YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menentukan kiraan
nafkah tertunggak Responden tanpa mengambil kira keadaan Perayu sebagai kakitangan
kerajaan di IPTA yang berpendapatan sederhana antara RM1000.00 sehinggalah pendapatan
RM12,000.00 bermula sebagai tutor sehinggalah sebagai pensyarah semasa perceraian
berlaku.
[34] Perayu menghujahkan Hakim bicara tidak menimbangkan taraf hidup pihak-pihak
dalam tempoh perkahwinan mereka di mana perbelanjaan harian adalah melalui
perbincangan serta persetujuan bersama kedua-dua pihak.
[35] Perayu merujuk kepada kes Norizam binti Mohd Lazim lwn Halim Azman
Sulaiman JH 10(1) ms65. Panel rayuan telah menyatakan:
“perbelanjaan atau nafkah yang tidak ditunaikan oleh Defendan adalah menjadi
hutang ke atasnya. Sebaliknya kalau segala perbelanjaan makan minum dan
lain-lainnya dibelanjakan suami dan isteri makan bersama-sama dengan suami
seperti adat kebiasaan dan isteri redha dengan keadaan itu maka gugurlah
nafkahnya. Fathu al Wahhab Bisyarhi Manhaj at Tullab, juzu 2 ms 116
Page 10
10
menyatakan: dan gugur nafkahnya dengan ia makan bersamanya (suami)
dengan redhanya (isteri) seperti adat biasa dan ia telah matang...”.
Maka Perayu menghujahkan tiada isu nafkah tertunggak memandangkan Perayu telah
memperuntukkan nafkah kepada Responden berdasarkan kemampuannya selama
tempoh perkahwinan. Juga Responden pernah menyatakan kepada Perayu bahawa
beliau tidak memerlukan sebarang nafkah bulanan memandangkan pendapatan
Responden jauh lebih tinggi daripada Perayu. Perayu tidak cuai dalam menyediakan
makan minum dan tempat tinggal apabila Perayu dan Responden bersetuju dalam
berbelanja secara bersama bagi membeli keperluan-keperluan masing-masing
sepanjang tempoh perkahwinan. Persetujuan bersama ini juga adalah termasuk segala
utiliti dan kos tempat tinggal dan sepanjang tempoh perkahwinan tidak pernah timbul
isu berkaitan tempat tinggal.
[36] Perayu menyatakan bahawa beliau masih membuat bayaran RM639.72 sebulan
menyumbang tempat tinggal Responden sejak April 1995 sehingga Ogos 2019 serta
berkongsi menjelaskan kos-kos utiliti termasuk elektrik, air, bayaran penyelenggaraan
dan cukai pintu rumah kelamin semasa tempoh perkahwinan.
[37] Menjawab hujahan Perayu, Responden menyatakan Perayu telah gagal membuat
sebarang rujukan tentang Alasan Rayuan Kedua ini di dalam Alasan Penghakiman
Hakim Bicara serta gagal memberikan rujukan undang-undang yang dijadikan sandaran
kepada Alasan Rayuan Kedua ini.
[38] Mengenai pendapatan Perayu, Responden menghujahkan Perayu tidak mengemukakan
apa-apa bukti mengenai pendapatan Perayu sepanjang perbicaraan kes. Perayu di dalam
Afidavit Keterangan beliau hanya memberikan jumlah pendapatannya sekadar
anggaran semata mata. Beliau tidak mengemukakan apa-apa butiran terperinci
pendapatan beliau seperti gaji dan elaun, potongan-potongan yang dikenakan dan
jumlah gaji bersih yang diterima untuk dinilai oleh Hakim Bicara. Saksi-saksi Perayu
juga langsung tidak memberikan sebarang keterangan mengenai pendapatan dan
kedudukan kewangan Perayu.
Page 11
11
[39] Kegagalan dan keengganan Perayu mengemukakan bukti pendapatan beliau untuk
dinilai oleh Hakim Bicara adalah satu kesilapan yang tidak boleh diperbaiki kerana ia
bukan kekhilafan YA Hakim bicara tetapi adalah kesalahan Perayu sendiri.
[40] Responden menghujahkan YA Hakim Bicara telah bertindak betul apabila membuat
pengiktirafan kehakiman mengenai tangga gaji Perayu di bawah pekeliling Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) sepertimana yang dihujahkan di perenggan 18 di atas.
[41] Bagi menjawab hujahan Responden, Perayu menyatakan Hakim bicara terkhilaf
berpandukan kepada pekeliling JPA tersebut semata-mata. Beban pembuktian ke atas
pendapatan Perayu hendaklah dibuktikan oleh Responden yang merupakan pihak yang
mendakwa. Perayu tidak seharusnya dibebankan untuk mengemukakan pendapatannya.
[42] Berdasarkan hujahan-hujahan bagi Alasan Rayuan kedua ini, sekali lagi kami bersetuju
dengan hujahan Responden bahawa Perayu gagal membuat sebarang rujukan tentang
Alasan Rayuan Kedua ini di dalam Alasan Penghakiman Hakim Bicara serta gagal
memberikan rujukan undang-undang yang dijadikan sandaran kepada Alasan Rayuan
Kedua ini.
[43] Kami seterusnya merujuk kepada nota keterangan perbicaraan dan kami bersetuju
dengan hujahan Responden bahawa Perayu tidak mengemukakan apa-apa butiran
terperinci pendapatan beliau seperti gaji dan elaun, potongan-potongan yang dikenakan
dan jumlah gaji bersih yang diterima untuk dinilai oleh Hakim Bicara. Saksi-saksi
Perayu juga langsung tidak memberikan sebarang keterangan mengenai pendapatan dan
kedudukan kewangan Perayu. Tiada timbul isu mengenai beban pembuktian ke atas
pendapatan Perayu terletak kepada Responden kerana bukti kemampuan Perayu adalah
terletak kepada Perayu sendiri. Beban pembuktian ini terletak ke atas pihak-pihak yang
inginkan Mahkamah memberi penghakiman ke atas apa-apa hak atau liabiliti
sepertimana mengikut fakta-fakta yang ditegaskan olehnya. Kami merujuk kepada
Seksyen 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 [EKMS
2003] dan boleh dibaca bersama dengan seksyen 73, 74 dan 75 EKMS 2003.
[44] Kami menyatakan YA Hakim Bicara telah bertindak betul apabila membuat
pengiktirafan kehakiman mengenai tangga gaji Perayu di bawah pekeliling Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan keterangan Perayu dari segi jawatan yang
Page 12
12
disandangnya semasa disoal balas bagi penentuan kemampuan Perayu selama tempoh
perkahwinan.
[45] Bagi isu bahawa telah ada persepakatan lisan bahawa Responden pernah menyatakan
kepada Perayu bahawa beliau tidak memerlukan sebarang nafkah bulanan
memandangkan pendapatan Responden jauh lebih tinggi daripada Perayu dan
Responden bersetuju dalam berbelanja secara bersama bagi membeli keperluan-
keperluan masing-masing sepanjang tempoh perkahwinan. Persetujuan bersama ini
juga adalah termasuk segala utiliti dan kos tempat tinggal dan sepanjang tempoh
perkahwinan tidak pernah timbul isu berkaitan tempat tinggal. Merujuk kepada Rekod
Rayuan, kami dapati dakwaan persetujuan pihak-pihak ini tidak pernah dibuktikan oleh
Perayu semasa perbicaraan untuk YA Hakim Bicara pertimbangkan sebagai
keterangan. Kami berpendapat bahawa dengan pemfailan kes tuntutan tunggakan
nafkah ini jelas menunjukkan bahawa Responden tidak meredhai nafkahnya diabaikan
dan atau dicuaikan oleh Perayu.
[46] Bagi isu Perayu masih membuat bayaran RM639.72 sebulan sebagai ansuran bulanan
rumah tempat tinggal Responden sejak April 1995 sehingga Ogos 2019, kami
menyatakan pembayaran tersebut bukan bayaran nafkah kepada Responden tetapi
adalah berkaitan tanggungan hutang Perayu kepada Perbendaharaan Malaysia berkaitan
pinjaman perumahan.
ALASAN RAYUAN KETIGA
YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila tidak menimbangkan
taraf hidup Perayu dan Responden dalam tempoh perkahwinan mereka di mana perbelanjaan
kehidupan harian adalah melalui perbincangan serta persetujuan bersama antara kedua-dua
belah pihak.
[47] Perayu menghujahkan beliau tidak pernah cuai dalam pemberian nafkah terhadap
Responden sepanjang tempoh perkahwinan. Jika benar Responden tidak memperolehi
apa-apa nafkah dari Perayu semasa perkahwinan mereka, Responden tidak pernah pun
bertindak mendapatkan sebarang perintah berkaitan dengannya sehinggalah perceraian
berlaku antara mereka. Ini adalah tindakan berbentuk ‘after thought’ yang tidak
Page 13
13
sepatutnya dipertimbangkan oleh Mahkamah. Kadar tunggakan nafkah yang
diputuskan oleh Mahkamah sebanyak RM347,015.86 adalah tidak munasabah dan di
luar kemampuan Perayu dalam tempoh perkahwinan pihak-pihak.
[48] Responden menyatakan YA Hakim Bicara telah membuat pertimbangan ke atas taraf
kehidupan Perayu dan Responden. YA Hakim Bicara telah menyatakan bahawa
penentuan kadar nafkah Responden adalah sentiasa dipandu oleh kemampuan suami.
[49] Semasa di Mahkamah Bicara, Responden telah mengemukakan keterangan mengenai
taraf kehidupan sepertimana perenggan 17 di atas. Sebaliknya Perayu tidak
mengemukakan sebarang keterangan tentang taraf hidup atau gaya hidup pihak-pihak
semasa di Mahkamah Bicara sama ada yang lebih rendah atau yang lebih tinggi dari
apa yang dikemukakan Responden. Mahkamah bicara tidak diberikan dua set
keterangan yang berbeza dalam menunjukkan taraf kehidupan atau gaya hidup
pasangan dalam tempoh perkahwinan. Oleh itu Responden menghujahkan Mahkamah
bicara tidak terkhilaf apabila hanya menimbangkan fakta taraf kehidupan yang telah
dibentangkan di hadapannya sahaja iaitu oleh Responden.
[50] Berdasarkan hujahan-hujahan di atas, kami telah merujuk kepada Alasan Penghakiman
YA Hakim Bicara. Kami dapati beliau telah membuat perincian mengenai setiap
dapatan faktanya sebelum membuat penaksiran nafkah yang terakru serta mengapa
jumlah tersebut dihukumkan. Malangnya Perayu tidak menunjukkan kepada kami
dapatan fakta yang manakah yang dibuat oleh YA Hakim Bicara yang dikatakan tidak
munasabah tersebut untuk rujukan kami.
[51] Seterusnya, adakah Hakim Bicara telah terkhilaf dalam membuat pertimbangan ke atas
taraf kehidupan Perayu dan Responden di dalam Alasan Penghakimannya? Bagi
menjawab isu ini, kami merujuk kepada nota keterangan perbicaraan. Kami bersetuju
dengan hujahan Responden bahawa pihak Responden dan saksi-saksinya telah memberi
keterangan berhubung taraf kehidupan. Manakala Perayu tidak mengemukakan
sebarang keterangan tentang taraf hidup atau gaya hidup pihak-pihak. Maka kami
menyatakan YA Hakim Bicara adalah betul dalam menimbangkan fakta taraf
kehidupan pihak-pihak yang telah dibentangkan di hadapannya sahaja.
Page 14
14
ALASAN RAYUAN KEEMPAT
YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila tidak menimbangkan
tanggungan hutang dan komitmen Perayu dalam tempoh perkahwinan serta Perayu masih
menjalankan tanggungjawab beliau memperuntukkan nafkah tempat tinggal yang didiami
Responden sehingga selepas perceraian.
[52] Tiada sebarang hujahan dibuat oleh Perayu bagi Alasan Rayuan ini.
[53] Kami mendapati Perayu tidak mengemukakan di Mahkamah bicara tentang sebarang
keterangan tanggungan hutang dan komitmen Perayu. Ianya tidak pernah dikemukakan
semasa perbicaraan. Oleh yang demikian kami menyatakan Mahkamah bicara tidak
terkhilaf apabia tidak menimbangkan kedua-dua perkara tersebut kerana ia tidak pernah
dibangkitkan dalam perbicaraan.
ALASAN RAYUAN KELIMA
YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila tidak mengambil kira
peruntukan nafkah yang telah disediakan Perayu dalam tempoh perkahwinan mereka
berdasarkan kemampuan Perayu dan keperluan semasa Responden tanpa mengabaikan nafkah
yang wajib ditunaikan dan dilaksanakan oleh Perayu.
[54] Tiada sebarang hujahan dibuat Perayu bagi Alasan Rayuan ini.
ALASAN RAYUAN KEENAM
YA Hakim Bicara telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila tidak mengambil kira
tindakan nusyuz Responden yang telah menghalau Perayu keluar dari rumah kelamin mereka
dan bertindak mengunci pintu rumah kelamin mereka sehingga menyebabkan Perayu tidak
mempunyai akses untuk memasuki rumah kelamin mereka dan menjalankan tanggungjawab
sebagai seorang suami sejak daripada 1 April 2003.
Page 15
15
[55] Perayu menghujahkan Mahkamah bicara tidak mengambil kira tindakan nusyuz
Responden yang telah menghalau keluar Perayu dari rumah kelamin mereka dan
bertindak mengunci pintu rumah menyebabkan Perayu tidak mempunyai akses untuk
masuk rumah tersebut dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami sejak 1/4/2003.
Meskipun Responden tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah
Syariah namun Perayu menghujahkan bahawa Responden menunjukkan sikap sebagai
seorang isteri yang nusyuz. Walaupun tindakan Responden boleh disabitkan nusyuz
oleh Mahkamah Syariah namun Perayu masih berusaha memulihkan hubungan dan
menyelamatkan rumahtangga mereka ketika itu.
[56] Perayu menghujahkan Responden tidak layak menerima kadar tunggakan nafkah
tersebut sebab Responden tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Responden sendiri yang hendak berpisah dan mengasingkan diri dari Perayu. Tindakan
nusyuz oleh Responden menyebabkan dharar kepada Perayu di mana hak-hak ke atas
suami diabaikan oleh Responden dan Perayu menanggung kesengsaraan emosi dan
mental serta menjejaskan kehidupan harian Perayu.
[57] Kewajipan memberi nafkah ke atas isteri adalah bersyaratkan isteri masih taat dan tidak
nusyuz. Perayu berhujah Responden adalah seorang isteri yang tidak taat dan tidak
berhak mengambil belanjanya.
[58] Bagi menjawab hujahan Perayu, Responden menyatakan Perayu tidak memberi
sebarang keterangan bahawa Responden adalah seorang isteri yang telah disabitkan
nusyuz dalam tempoh perkahwinan. Tiada sebarang perintah atau penghakiman
daripada mana-mana Mahkamah Syariah yang telah mensabitkan Responden nusyuz.
Adalah tidak memadai semata-mata Perayu mendakwa Responden nusyuz. Perayu juga
telah membuat pengakuan bahawa beliau tidak pernah mendapat apa-apa perintah yang
mensabitkan Responden sebagai nusyuz sepanjang tempoh perkahwinan. Responden
menghujahkan Responden adalah seorang isteri yang taat dan tidak nusyuz dan adalah
sentiasa layak dan berhak untuk diberikan nafkah oleh Perayu.
[59] Responden menghujahkan Hakim Bicara tidak terkhilaf dengan tidak menyentuh isu
nusyuz di dalam Alasan Penghakimannya kerana isu tersebut tidak pernah dituntut
secara khusus dalam pliding.
Page 16
16
[60] Berdasarkan hujahan-hujahan di atas, kami merujuk kepada kes Rooselawati binti
Hussein lwn Syed Farouk Azlan bin Syed Abdul Aziz JH 36 Bhg 1 100:
“Anggapan seseorang suami bahawa isterinya telah nusyuz boleh dipatahkan
sekiranya tidak ada sebarang pengisytiharan dibuat oleh mana-mana
Mahkamah Syariah di Malaysia. ...pengisytiharan Mahkamah Syariah
bahawa seseorang isteri telah nusyuz diperlukan untuk mensabitkan isteri
tersebut nusyuz... . Oleh yang demikian, para suami tidak boleh melabelkan
isteri sebagai nusyuz sebelum mana-mana Mahkamah Syariah yang
berbidangkuasa mengeluarkan pengisytiharan nusyuz.”
[61] Merujuk kepada Rekod Rayuan serta Hujahan Bertulis Perayu, kami dapati Perayu
menyatakan memang tidak pernah mendapat apa-apa perintah yang mensabitkan
Responden sebagai nusyuz dari mana-mana Mahkamah Syariah sepanjang tempoh
perkahwinan mereka. Alasan ini yang tinggal sebagai dakwaan semata-mata yang tiada
asas undang-undang untuk kami pertimbangkan.
[62] Kami berpuashati bahawa tiada sebarang sabitan nusyuz yang dikenakan ke atas
Responden oleh mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia. Oleh itu, Responden
kekal sebagai isteri yang tidak pernah disabitkan dengan nusyuz dan dengan itu ia telah
menyebabkan Responden layak serta berhak untuk menerima nafkah isteri daripada
Perayu di dalam tempoh perkahwinan mereka.
[63] Oleh yang demikian, kami menyatakan YA Hakim Bicara tidak terkhilaf dari segi fakta
dan undang-undang apabila tidak menyentuh isu nusyuz di dalam Alasan
Penghakimannya kerana tiada sebarang pembuktian dari Perayu.
[64] Berdasarkan keenam-enam alasan rayuan di atas, kami berpuashati bahawa kami tidak
ditunjukkan sebarang kekhilafan yang dilakukan oleh Hakim Bicara di dalam Alasan
Penghakimannya sama ada dari segi fakta, undang-undang atau hukum syarak oleh
pihak Perayu. Oleh yang demikian, kami tidak mempunyai apa-apa alasan wajar untuk
kami campurtangan mengenai Penghakiman tersebut.
Page 17
17
KEPUTUSAN
SETELAH Kami membaca dan meneliti permohonan dan afidavit sokongan Pemohon, KAMI
SEBULAT SUARA MEMUTUSKAN:-
1. Rayuan Perayu ditolak dengan kos.
2. Kos hendaklah ditaksir di hadapan Pendaftar.