Asal Usul Nama Sijangkang Sijangkang diambil daripada nama pokok Sijangkang iaitu spesis pokok hutan yang habitatnya terletak di kawasan berpaya berhampiran sungai. Sesetengah tempat dipanggil Jangkang Paya (Semenanjung) manakala di Sarawak dipanggil Ako. Sijangkang berasal dari keluarga Annonaceae dan nama saintifiknya ialah Xylopia fusca Maingay ex Hook. F. & Thomson. Sejarah Kampung Sijangkang Kampung Sijangkang merupakan sebuah kampung yang terletak di Telok Panglima Garang, daerah Kuala Langat, Selangor dan mempunyai keluasan lebih 10 km persegi. Dianggarkan kampung ini mula dibuka dalam lingkungan tahun 1907 dan ia diteroka dari arah Sungai Jangkang. Sebahagian dari penduduk kampung ini adalah berasal dari Indonesia iaitu Pulau Jawa, manakala yang lainnya berasal dari kampung-kampung lain yang lebih lama dibuka seperti Kampung Benting Tengah dan Kampung Pendamar. Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang Sejarah taman ini sangat istimewa kerana di bina di atas bekas tempat pembuangan sampah pada tahun 2015. Hasil kerjasama penduduk dan sedikit bantuan dari syarikat Lebuhraya PLUS, kawasan ini telah dibangunkan sebagai kawasan rekreasi penduduk Kampung Sijangkang. Kawasan ini mempunyai nilai estetika yang terdiri daripada flora dan fauna semulajadi yang boleh dipelihara demi kelestarian alam. Kawasan paya bakau ini terdiri dari pelbagai spesis pokok antaranya pokok api-api, pokok bakau kurap, pokok nireh batu, pokok nipah dan banyak lagi. Selain itu, faktor unik taman ini adalah ia dibina dari barang terpakai atau “recycle” dari bahan pembinaan perumahan yang diberikan percuma dari pelbagai pihak. Dari bahan buangan tersebut ia dijadikan bahan aktiviti riadah, hiasan, sudut informasi, pentas persembahan dan alatan berehat seperti kerusi dan meja makan hasil kerjasama dan kreativiti sukarelawan yang kebanyakknanya berumur diantara 40-60 tahun dan ke atas. Dengan terbinanya taman ini ia telah menyediakan keperluan riadah dan tempat belajar kepada belia, remaja dan terutamnya pelajar-pelajar sekolah yang berkonsepkan “Eco-Education”. Ramai pengunjung dari pelbagai latar belakang telah berkunjung ke sini untuk menjalankan aktiviti seperti kem jati diri, kem motivasi dan juga untuk berekreasi bersama keluarga. Maklumat Mengenai Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang