ARKIB : 24/10/2010
Peranan subjek sejarah di peringkat sekolah dalam memupuk
semangat patriotisme generasi muda. Bincangkan.Pengenalan
Sejarah bukanlah satu mata pelajaran yang baharu malah telah
menjadi subjek teras sejak bertahun-tahun lalu di peringkat sekolah
menengah. Cuma kini dengan transformasi pendidikan maka subjek ini
akan diterapkan dengan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan
perlembagaan bagi memastikan pelajar memahami serta menghayati
sejarah negara secara lebih mendalam di peringkat sekolah.
Pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran,
Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, tentang pengajaran mata pelajaran
Sejarah pada peringkat sekolah rendah merupakan perkembangan
pragmatik dan positif pendidikan negara dalam usaha menanam
semangat patriotisme di kalangan pelajar. Tanggal 26 Oktober 2010
menyaksikan keputusan kerajaan menetapkan mata pelajaran Sejarah
sebagai subjek wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
mulai 2013 dan menjadikannya mata pelajaran teras dalam Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014.Definisi
Menurut Wikipedia, sebuah ensiklopedia bebas, sejarah merupakan
pembelajaran mengenai masa lampau terutamanya menggunakan catatan
bertulis. Sejarah membentuk pemupukan kemahiran berfikir dan
kemahiran pemikiran sejarah dalam setiap kalangan warganegara
disamping menerapkan nilai-nilai murni dan semangat patriotik dalam
usaha mencapai aspirasi membentuk negara bangsa yang
berkualiti.
Dari segi konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan
sebagai semangat cinta akan tanah air dan sanggup berkorban nyawa
demi mempertahankan negara tercinta. Bill Totten (1998) menjelaskan
patriotisme bermaksud semangat cintakan negara. Menurut beliau
tidak ada bangsa, keluarga, pasukan dan kumpulan dalam apa bentuk
yang boleh berfungsi dengan baik melainkan semua ahli cintakan
negara. Doob (1964) beranggapan patriotisme ialah the more or less
concious convictionof the person that his own welfare and of that
signifikant group he belongs to are depended uponthe preservationn
of the power and culture of his society. Secara ringkasnya semangat
patriotisme berkait rapat dengan emosi mempertahankan kedaulatan
negara, institusi politik dan undang-undang negara daripada
dicerobohi oleh kuasa asing. Semangat patriotik dapat membentuk
rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni.yang dibina ,
berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara.
Setiap warganegara perlu dibimbing untuk menganalisis dan menilai
fakta-fakta sejarah secara rasional. Natijah daripada pemahaman dan
penghayatan sejarah negara, seluruh rakyat dapat membina kekuatan
semangat cinta akan negara.
Tidak dinafikan sistem pendidikan di negara kita mendukung
semangat patriotisme. Buktinya Buku Panduan Pemupukan Patriotisme
Di Sekolah Rendah (Kementerian Pelajaran:1994) telah menetapkan
garis panduan agar nilai-nilai patriotime perlu diterapkan melalui
kurikulum dan ko-kurikulum. Oleh itu, subjek-subjek seperti Bahasa
Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Pendidikan Moral, Kajian
Tempatan dan lain-lain subjek sekolah rendah perlu menerapkan
nilai-nilai patriotisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran
melalui kaedah penggabungjalinan. Begitu juga semasa aktiviti ko
kurikulum. Di peringkat sekolah menengah pula, penerapan
nilai-nilai patriotisme dibuat melalui subjek Sejarah, Pendidikan
Moral, Geografi ,Pendidikan Islam dan lain-lain. Walaupun demikian,
didapati bahawa tahap penghayatan generasi muda akan semangat
patriotisme agak rendah malah amat mendukacitakan.
Kebelakangan ini sejarah negara yang merupakan asas kepada
pembentukan peradaban bangsa sekaligus ecintaan yang mendalam
kepada negara semakin dilupakan. Negara pernah menyaksikan detik
pahit apabila golongan tertentu di negara kita yang pernah menjual
maruah Malaysia di persada antarabangsa dengan insiden seperti
membakar Jalur Gemilang dan pengubahsuaian lirik lagu Negaraku
suatu ketika dahulu. Malahan pernah terpapar di dada- dada akhbar
tentang perilaku anak-anak Malaysia yang berada di luar negara
tergamak melempar kata-kata berupa nista yang memburukkan nama
negara. Alpanya mereka bertutur sesuatu yang menjejaskan imej dan
nama negara ibarat mengumpat ibunda mereka sendiri, tanah tumpah
darah mereka yang banyak berjasa pada mereka. Generasi muda ini
tidak mengenang jasa ibu pertiwi, seumpama kacang lupakan kulit.
Ini membuktikan tipisnya semangat patriotisme di kalangan generasi
muda kini. Generasi muda hari ini seolah telah lupa untuk
memelihara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat
pelbagai etnik dan kaum seperti yang diwarisi di Malaysia.
Biasanya, golongan remaja yang tidak menyedari kepentingan
sejarah silam tidak memiliki semangat patriotik. Maka kerajaan
telah memutuskan untuk menekankan betapa pentingnya metodologi
subjek sejarah melalui satu transformasi besar supaya pengajaran
dan pembelajarannya menjadi lebih relevan lagi menarik sekali gus
berjaya mendorong pelajar menghayati ilmu yang begitu penting dalam
kehidupan manusia ini. Kita juga lupa tentang kesengsaraan dan
perjuangan perit generasi terdahulu kerana kita tidak pernah
mengalaminya. Jika disorot, pasti ramai di antara anak-anak kita
yang tidak mengetahui nama-nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok
Janggut, Dato' Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan
ramai lagi kerana saban hari mereka disogokkan dengan cerita-cerita
hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang lebih
menyeronokkan dan mengkhayalkan.
Bagi memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, maka pendedahan
awal di peringkat sekolah rendah kepada subjek ini amat penting.
Membina bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari
bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah serta Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu
ke arah semangat cinta negara. Usaha sebegini dapat melahirkan
warganegara Malaysia yang peka akan sejarah negara dan bangsanya
dan yang paling penting melahirkan semangat patriotik di peringkat
awal lagi kerana diperingkat ini mereka mudah menerima ilmu,
membentuk nilai diri dan perspektif. Pada masa yang sama sejarah
memberi kita peluang menghayati dan memahami kerelevenan sejarah
dalam kehidupan harian dan kehidupan masa depan. Cara memupuk
semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan
ilmu sejarah.
Justeru itu, Sejarah yang akan menjadi mata pelajaran teras
dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014 akan
menerapkan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan bagi
memastikan murid memahami serta menghayati sejarah negara secara
mendalam. Matlamat umum pelaksanaan, KSSR adalah satu transformasi
pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang
holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan
perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa,
kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.
Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi,
elemen sejarah yang diajar melalui subjek Kajian Tempatan di
sekolah rendah pada ketika ini kurang menerapkan ketiga-tiga unsur
terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya mata
pelajaran Sejarah dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan
masyarakat, terutama generasi muda.
Ketiga-tiga unsur terbabit akan diterapkan dalam pengajaran dan
pembelajaran subjek sejarah yang menggunakan konsep pendidikan itu
menyeronokkan membabitkan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke
tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama bagi
mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran
serta dapat meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.
Menerusi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah
murid-murid sekolah rendah berpeluang untuk meningkatkan semangat
patriotisme. Sejarah dapat menyemaikan bibit-bibit semangat
perpaduan dan patriotik di kalangan pelajar. Ini sekaligus bagi
mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula dari
peringkat umur rendah.
Pelbagai unsur patriotisme beleh diselitkan dalam sukatan
Sejarah agar melalui proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah
boleh memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam diri
pelajar.
Antara peranan yang dimainkan oleh subjek sejarah ialah sebagai
pemangkin kepada perpaduan. Perpaduan sangat penting dalam sesebuah
negara lebih-lebih lagi negara berbilang kaum. Hal ini demikian
kerana perpaduan merupakan asas pembentukan sebuah negara yang
progresif dan maju. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bulat air
kerana pembentung, bulan manusia kerana muafakat. Remaja, sebagai
pewaris negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk terus
memupuk semangat perpaduan. Negara pernah menyaksikan detik apabila
perpaduan antara kaum telah dicemari oleh insiden 13 Mei 1969. Oleh
yang demikian, sebagai generasi yang akan meneruskan legasi agenda
perpaduan untuk generasi akan datang maka wajarlah generasi muda
hari ini menghargai dan teruskan mengekalkan bibit perpaduan yang
telah terbina sekian lama.
Pembelajaran mata pelajaran Sejarah dapat meningkatkan
pengetahuan pelajar mengenai asal-usul negara. Sukatan Sejarah yang
cukup komprehensif izharnya dapat memberi kesedaran kepada pelajar
bahawa perjuangan ke arah kemerdekaan suatu ketika dahulu bukanlah
sesuatu yang mudah. Dengan kolaborasi dan sinergi antara kaum
Melayu, Cina dan India berkat usahasama Tunku Abdul Rahman, Tan
Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan, barulah kita dapat merasai
nikmat kemerdekaan. Perkara ini sepatutnya perlu diketahui oleh
setiap warganegara kerana sesiapa yang melupakan akar bangsanya
ibarat si Tenggang menderhakai ibunya. Sehubungan dengan itu, mata
pelajaran Sejarah berperanan sebagai satu platform yang cukup utuh
untuk mengetengahkan kembali warisan sejarah kita suatu ketika
dahulu.
Generasi muda hendaklah menghayati dan mengambil iktibar
daripada sejarah negara. Hal ini demikian kerana banyak peristiwa
yang berlaku dalam sejarah tanah air dapat dijadikan iktibar supaya
sesuatu yang buruk dapat dihindarkan. Sebagai contoh. tragedi 13
Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku
akibat semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat
pelbagai kaum. Ahli falsafah George Santayana mengatakan orang yang
melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama. Oleh itu remaja
hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara
lebih serius. Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan
mengambil iktibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi
warganegara yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan berhemah
tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti
Malaysia. Jadi, remaja mestilah mengambil iktibar daripada sejarah
sebagai pemangkin semangat perpaduan yang jitu.
Penghayatan mata pelajaran Sejarah membolehkan kita membaca
tentang masalah perkauman dan perebutan kuasa yang berlaku antara
pembesar-pembesar pada zaman Kesultanan Melayu Melaka telah membuka
pintu kepada penjejahan imperialis-imperialis Barat selama 446
tahun. Nasib rakyat peribumi tidak terbela dan mereka hidup merana.
Oleh itu,sudah tentu masyarakat pada zaman ini tidak menginginkan
peristiwa pahit tersebut berulang . Mereka akan berdiri, berfikir
dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan bukannya mengikut etnik
masing-masing.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Begitu besar harapan
bangsa pada generasi muda hari ini. Maka adalah penting bagi mereka
mempelajari nilai-nilai patriotisme kerana mereka masih dalam
proses menuju dewasa. Patriotisme mengajar remaja mendisiplinkan
diri. Generasi berdisiplin dan prodiktif adalah kemudi pembangunan
kepimpinan negra pada masa akan datang (Mahathir dan Belia; dalam
Saifuddin:2002). Jadi apabila nilai-nilai patriotisme disemai dalam
jiwa setiap rakyat Malaysia maka kita tidak mudah dipengaruhi oleh
unsur-unsur asing yang mempamerkan budaya dan acuan lain luar dari
ciri-ciri Malaysia.
Rata-rata generasi muda hari ini memiliki kehidupan yang serba
senang dan mudah di kalangan generasi muda masa kini adalah satu
faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme di
kalangan mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi,
kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran,
aneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan dan mengalpakan
generasi muda daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal
kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan tanggungjawabnya
terhadap masyarakat dan negara. Era globalisasi dan liberasi
melihatkan ledakan maklumat melalui kemajuan teknologi yang semakin
hari semakin canggih. Apabila remaja selesa menikmati kehidupan
sebegini semangat patriotisme jelas akan menipis.
Seterusnya Sejarah juga mengajar kita agar mengelakkan diri
daripada mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme. Sikap
etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri.
Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi
di negara ini. Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1
Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah
pembentukan sebuah negara yang progresif. Remaja perlu menerima
segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati
yang terbuka. Contohnya, remaja tidak harus menyentuh isu-isu
sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub
dalam perlembagaan. Natijahnya, negara akan menjadi mundur, masa
depan negara kabur jika generasi pelapis luntur semangat
patriotiknya. Mereka hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi
dipijak, di situlah langit dijunjung. Jika semangat ini dapat
diamalkan oleh setiap remaja, nescaya negara kita akan terhindar
daripada sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.
Subjek Sejarah adalah satu-satunya saluran untuk menyampaikan
warisan negara dan legasi kebudayaan kepada generasi masa kini..
Melalui subjek Sejarah, para pelajar akan didedahkan kepada
kesusahan dan kepayahan masyarakat lalu berjuang mempertahankan
negara. Contohnya, melalui sejarah, penentangan yang berlaku di
Bukit Kepong. Para anggota polis telah bersusah payah untuk
menentang pihak komunis sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan
keluarga mereka. Hal ini sedikit sebanyak akan menimbulkan perasaan
cinta yang mendalam para pelajar kepada tanah air sehingga
menyebabkan mereka bersemangat tinggi untuk mengekalkan kemerdekaan
yang telah dikecapi.
Pembelajaran Sejarah bukan setakat kita memperoleh ilmu tentang
sejarah negara kita, malah berupaya memberi ikhtibar dan pengajaran
kepada kita agar menjadikan sejarah lampau yang melanda negara
tidak berulang kembali. Saya masih ingat kata-kata dari guru
Sejarah saya yang menyatakan Sejarah ini ibarat roda, ia sentiasa
berputar. Peristiwa yang lampau boleh berulang kembali. Jika kita
mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang sejarah yang telah berlaku,
setentunya kita berupaya mengubah sejarah yang bakal berlaku.
Pengertian ini bertunjangkanhasrat untuk mencapai status negara
maju. Syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan
stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu
padu. Negara yang bersatu padu hanya dapat dicapai dengan mempunyai
rakyat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Mata pelajaran Sejarah juga membolehkan kita mengetahui
kebudayaan dan falsafah hidup rakyat majmuk. Kita mengetahui asal
usul pelbagai kaum di Malaysia. Kita juga sedar bahawa pembangunan
Malaysia hasil daripada pengorbanan tiga kaum utama. Dengan itu
persefahaman yang lebih erat dapat dipupuk. Sikap toleransi antara
kaum dapat diwujudkan. Semangat kekitaan dapat dilahirkan.
Prasangka antara kaum dapat dielakkan. Semua sikap positif ini
haruslah dimiliki oleh setiap rakyat sekiranya gagasan Satu
Malaysia mencapai matlamatnya.
Umum mengetahui bahawa subjek sejarah membolehkan kita membuat
penilaian, mengetahui sebab, akibat dan kepentingan sesuatu
peristiwa, memahami sejarah tamadun awal bangsa kita, melahirkan
perasaan jati diri yang tinggi, membentuk keperibadian bangsa,
menghargai jasa pemimpin negara yang telah berkhidmat dan berbakti
demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara serta memajukan
negara dari segi ekonomi dan sosial.
Namun tidak dinafikan juga subjek sejarah juga mengingatkan kita
agar tidak mengulangi kesilapan masa lalu, merangka wawasan masa
depan dengan penuh keyakinan, berusaha mempertahankan kedaulatan
negara dan memajukan negara dalam semua bidang malah menjadi
panduan dan iktibar dalam hidup kita pada masa kini dan masa
hadapan.
Ini seterusnya mengundang pelbagai soalan tentang kerelevanan
pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sejarah khususnya di
peringkat sekolah terutama sekolah rendah.
Antara tujuan subjek sejarah diperkenalkan di peringkat sekolah
adalah sebagai usaha menyemai kefahaman Sejarah di peringkat awal
bertujuan melahirkan generasi baharu yang mampu menilai dan
menghayati sejarah. Kandungan kurikulum yang dirangka bagi sekolah
rendah, menengah rendah dan menengah atas seharusnya memupuk
perasaan taat setia kepada bangsa dan negara. Fokus juga diberikan
kepada pemahaman menyeluruh tentang sejarah negara yang merangkumi
jangka masa lima ratus tahun dan dibuat secara kronologis iaitu
mengikut susunan tahun. Dasar mewajibkan pelajar sekolah
memepelajari subjek sejarah adalah menepati kehendak Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang inginkan perkembangan jasmani,
emosi, rohani dan intelek pelajar secara seimbang.
Walaupun demikian perlu diingat generasi muda bukan hanya
mempelajari semangat nilai-nilai patriotisme daripada subjek
sejarah yang di ajar secara fomal mengggunakan kurikulum sahaja.
Kita tidak mahu mereka hanya membaca dan menghafal untuk lulus
peperiksaan semata-mata yang akhirnya lupa dengan segera apa yang
dihafal. Selain mewajibkan kelulusan subjek Sejarah di peringkat
peperiksaan sekolah, ia juga perlu dipastikan agar dipelajari dan
dihayati sepenuhnya oleh anak-anak kita. Pembacaan sahaja tidak
membuktikan individu tersebut kenal sejarah. Pendidikan secara
tidak formal perlu dijalankan sepanjang masa tanpa henti.
Antaranya peranan ibu bapa .Ibu bapa boleh mengajak anak-anak ke
tempat bersejarah.Contoh tempat bersejarah yang boleh dilawati
ialah Kota 'A' Famosa di Melaka.Ibu bapa juga boleh menceritakan
tentang kejatuhan kerajaan Melaka dan Portugis membina 'A'
Famosa.Ibu bapa juga boleh bercerita kepada anak-anak tentang kisah
bagaimana tokoh zaman dahulu membangunkan negara. Ibu bapa boleh
membelikan anak-anak buku,DVD dan sebagainya yang mengandungi
isu-isu berkaitan patriotisme. Perkara ini sesuai dilakukan kepada
anak-anak sejak kecil kerana "melentur buluh biarlah dari
rebungnya".Jelaslah ibu bapa merupakan orang yang kuat mempengaruhi
anak-anak dengan semangat patriotisme.
Guru juga boleh mengajak pelajar-pelajar menyertai pelbagai
seperti ucapan,pidato,bahas dan sebagainya.Pada bulan
kemerdekaan,guru boleh mengajak pelajar menyertai sambutan hari
kemerdekaan.Antara acara yang boleh dijalankan termasuk nyanyian
lagu patriotik,tayangan filem berkaitan semangat patriotik dan
sebagainya.Jelaslah,pihak sekolah turut sama berperanan untuk
menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sepanjang
tahun mereka berada di sekolah.
Media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan
untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat.Dengan perkataan lain,televisyen dan radio
hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan
semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang
pejuang-pejuang kemerdekaan negara.Selain itu,media elektronik itu
juga hendaklah menyiarkan filem seperti "Bukit Kepong","Paloh"dan
drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan
negara.Jelaslah bahawa media massa juga seharusnya memainkan
peranan dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat di negara kita. Stesen televisyen juga perlu mengadakan
forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh
akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang
memperjuangkan semangat kemerdekaan suatu masa dahulu.Aktiviti
tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan
dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
Begitu juga menerusi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang
membolehkan remaja Malaysia berusia 18 tahun ditanam dengan
semangat patriotik Sementara Biro Tata Negara yang ditubuhkan pada
tahun 1974, dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan pendidikan
kenegaraan bagi memupuk semangat patriotisme secara berterusan
kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi
pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan,
serta pemimpin dan pemaju masyarakat.
Kesimpulannya, pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah di
sekolah negara penting untuk melahirkan generasi muda yang tidak
buta sejarah, yang tidak mempersoalkan fakta sejarah negara atau
generasi yang menghafal fakta sejarah semata mata untuk lulus
peperiksaan peringkat sekolah tetapi gagal menghayati, mengambil
pengajaran dan teladan apa yang tersirat daripada peristiwa yang
berlaku. Kita perlu melahirkan generasi yang memahami sejarah
tempatan berpaksikan inisiatif untuk meningkatkan semangat cintakan
negara dan perjuangan bangsa, seterusnya dapat memupuk perpaduan
dan sinergi kesinambungan semangat patriotisme generasi muda akan
datang. Kita bimbang tanpa pengetahuan sejarah, generasi muda tidak
dapat menghayati apatah lagi mendukung semangat gagasan 1Malaysia
dan pentingnya perpaduan antara kaum yang hanya dapat dibina
berlandaskan keunggulan jati diri yang dipelajari melalui ilmu
sejarah.