10 Penjenayah Terkemuka Malaysia
Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang undang
kerajaan sesuatu tempat. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini
dinamakan penjenayah. Antara kes kes jenayah yang pernah berlaku
dalam negara kita yang aman ini adalah seperti rompakan, rogol,
penyeludupan senjata api, kegiatan kongsi gelap dan pembunuhan yang
mengerunkan. Pasti korang tahu pasal kes kes jenayah dan penjenayah
yang tersebar luas dalam media massa. Sejak zaman dulu pun dah ada
penjenayah. Tak tahu la sama ada korang kenal atau tidak (penting
ke kenal diaorang? ada masuk dalam SPM subjek "Sejarah" ke?) Yang
pasti, hari ni aku nak kongsikan cerita pasal penjenayah penjenayah
yang pernah fofular sewaktu ketika dulu.
1. Botak Chin
Wong Swee Chin adalah nama sebenarnya. Botak Chin tidaklah
berkepala botak sebaliknya nama itu adalah gabungan perkataan BO
TAK CHIN dalam bahasa hokkien membawa maksud Tiada (BO) Kerja (TAK)
CHINA (Chin) atau 'jobless chinese'. Pada tahun 1967, Botak Chin
mula terbabit dalam kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan
jenayah seperti merompak dengan menggunakan senjata api yang
dirampas oleh kumpulannya atau dibeli di Thailand dengan
menggunakan wang hasil dari rompakkannya. Pada September 1969, dia
mula menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan rompakan pada bulan
itu tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.
November 1974 selepas dibebaskan dari penjara dia memulakan
kehidupan baru sebagai sebagai penjual sayur tidak ianya langsung
tidak memuaskan hatinya. Oleh itu, Botak Chin kembali aktif dengan
menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh
Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai). Kegiatan
rompakan oleh mereka semakin aktif seperti di pusat perjudian haram
di Sentul, sebuah bank di Jalan Imbi Kuala Lumpur, kuil Cina di
Jalan Kolam Ayer Kuala Lumpur, sebuah bar di Sentul, di Kelab
Kereta api Sentul dan juga di Kelab Lumba Kuda sekitar Kuala
Lumpur. Segala hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan senjata
api dan peluru di Thailand. Kedudukannya sebagai ketua mula
terancam oleh anggotanya sendiri, Ah Wong, dan Ketua Geng Lima Jari
Gunung, Tua Pui Lek. Kedua dua mereka ditemui mati ditembak di
kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, pula
mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor. Awal 1976
Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan
wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh
orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga
berjaya merampas senjata api, peluru dan bom. Pada 22 November
1975, kejadian berlaku di malam hari. Sebuah kereta Datsun hijau
yang dinaiki oleh Botak Chin dan ahli gengnya yang lain mengekori
rapat sebuah kereta yang dinaiki oleh pegawai kanan polis, Timbalan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Superintendan
(DSP) S Kulasingam. Pegawai berkenaan adalah sasaran mereka. Setiba
di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun
berkenaan bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka ekori.
18 tembakan dilepaskan bagi menghapuskan DSP S Kulasingam. Dentuman
demi dentuman dilepaskan hingga mengejutkan orang ramai di sekitar
kawasan berkenaan. Matlamat kumpulan lelaki itu hanya satu iaitu
membunuh seorang pegawai kanan polis di tempat terbuka.
Bagaimanapun, tindakan gila penjenayah itu gagal berikutan hanya
satu das tembakan mengenai Kulasingam. Sebaliknya pegawai polis itu
masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari
lokasi itu. Keesokannya, terpampang pada dada akhbar bahawa cubaan
membunuh itu gagal. Serangan mengejut terhadap Kulasingam
menyebabkan pihak polis bertekad untuk menahan dan membasmi jenayah
pemuda itu. Satu pasukan khas ditubuhkan polis. Beberapa pegawai
polis yang pakar memburu penjenayah daripada beberapa ibu pejabat
polis daerah dipanggil menganggotai pasukan itu dan tugas mereka
adalah menjejak pergerakan geng Botak Chin. 16 Februari 1976,
episod akhir pemburuan polis membawa mereka ke sebuah kilang papan
di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Polis mula mengepung kilang berkenaan
dan menunggu kemunculan Botak Chin. Sebuah kereta Mazda putih masuk
ke kawasan kilang. Sebaik berhenti, tiga lelaki keluar daripada
kereta itu dan seorang daripada mereka ialah suspek buruan, Botak
Chin. Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata selain memiliki dua
bom tangan. Langkah dan perlakuan seperti biasa meyakinkan pihak
polis bahawa kumpulan penjenayah terbabit tidak menyedari kehadiran
mereka. Dengan pantas pihak polis bertindak, empat pasukan
menggempur masuk ke kawasan kilang dan berlakulah pertempuran
antara penjenayah dan polis, masing masing melepaskan tembakan.
Botak Chin ditembak pada kaki dan tangan kanan. Manakala pengikut
pengikutnya yang lain telah mati ditembak. Babak keganasan
penjenayah itu berakhir apabila Botak Chin yang berada dalam
keadaan tersepit menyerah diri dalam operasi penuh bahaya itu.
Botak Chin ditahan selama setahun sebelum mengaku bersalah apabila
dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan mengikut Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori.
Ketika menunggu dihukum gantung, Botak Chin terus menunjukkan sikap
ganasnya apabila menyerang dan mencederakan pegawai penjara
termasuk menggunakan senjata tajam sebanyak dua kali. Botak Chin
dihukum gantung sampai mati pada 11 Jun 1981 di Penjara Pudu, Kuala
Lumpur.
2. Bentong Kali
Penjenayah yang amat dikehendaki sekitar awal tahun 1990 an. P.
Kalimuthu atau digelar Bentong Kali (tempat asalnya) terkenal
dengan sikap barannya yang suka membunuh orang ramai secara sesuka
hati. Puluhan orang awam tidak bersalah menjadi mangsa tanpa
sebarang sebab disamping turut terlibat dengan aktiviti dadah dan
rompakan. Keganasannya amat melampau hingga beliau masih membunuh
orang awam walau ketika polis telah melancarkan operasi seluruh
negara untuk menangkapnya yang dikenali sebagai 'Ops Buncit'.
Rekodnya adalah 16 kes pembunuhan sehingga polis menawarkan
ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat
sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu. Penjenayah mula
terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun iaitu selepas
dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu. P.
Kalimuthu menyertai Kumpulan kongsi gelap Cina 04. Pernah dipenjara
ketika usia 19 tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu.
Namun ianya tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya kira-kira empat
tahun selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan dunia
jenayah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap India 08. Bersama
kumpulan haram dan rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar
undang undang sekitar ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut,
Sungei Way dan Ampang. Ditahan semula pada Julai 1985 mengikut
Ordinan Darurat serta pernah di tempatkan di Pulau Jerjak, Pulau
Pinang tetapi dibebaskan pada tahun 1987. Peluan kedua yang
diberikan langsung tidak dihiraukannya. Kali ini dia menubuhkan
kumpulan kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala
Lumpur. Kegiatan yang mereka lakukan adalah seperti mengedar dadah.
dan untuk kesalahan itu, Kalimuthu ditahan lagi pada April 1990 dan
didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, dia terlepas
daripada hukuman apabila bukti tidak cukup untuk mensabitkan
kesalahannya. Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula mengganas kembali
dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga menyebabkan
polis mula melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk menghentikan
keganasan lelaki itu. Polis mengklasifikasikan profil lelaki itu
sebagai bukan pembunuh upahan sebaliknya Bentong Kali yang bergerak
bersama pengikutnya sekadar melakukan pembunuhan demi pembunuhan
mengikut kehendak nafsu mereka. Antara pembunuhan yang dilakukan
adalah dengan melepaskan tembakan rambang dalam satu majlis
sambutan hari lahir menyebabkan 2 orang maut di tempat kejadian.
Juga melepaskan sedas tembakan ke atas seorang penjual roti canai
kerana menegur tindakan kurang ajar Bentong Kali yang kencing
berhampiran rumahnya. Semua jenayah berlaku di kawasan perumahan
Taman Tanming Jaya. Ini dikaitkan dengan Bentong Kali kerana
penjenayah itu turut menyewa selama tiga bulan di Taman Tanming
Jaya sebelum melarikan diri. Tindakan P. Kalimuthu menyebabkan
penduduk di taman itu hidup dalam ketakutan. Ada antara mereka yang
berpindah buat sementara waktu ke kawasan lain kerana khuatir
menjadi mangsa seterusnya. Terbabit juga dalam kejadian pembunuhan
seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di Kampung
Sungai Tepi, Jalan Klang Lama. Penemuan bukti kelongsong peluru 9mm
dari pistol Sig Sauer menyebabkan polis mengesyaki pembabitan P.
Kalimuthu atau Bentong Kali dalam kejadian siri pembunuhan
berkenaan. Pencarian pihak berkuasa kemudian berhasil apabila
Bentong Kali dikatakan keluar dari persembunyiannya dipercayai
untuk mencari seorang bekas konconya di Jalan Klang Lama. Intipan
polis kemudian membawa kepada serbuan di markas persembunyian
lelaki itu di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara,
Kuala Lumpur pada 29 Jun 1993. Drama tembak menembak berlaku dan
akhirnya penjenayah dan tiga lagi rakannya berjaya ditembak mati
oleh polis.
3. Mona Fandey
Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey, adalah
seorang penyanyi pop, dukun, dan pembunuh dari Malaysia. Dia
disabitkan melakukan jenayah berat dengan terbabit dalam kes
pembunuhan seorang ahli politik, Mazlan Idris, pada tahun 1993.
Kerjayanya sebagai penyanyi pop tidak bertahan lama, namun ia masih
berjaya menghasilkan satu album. Selepas itu, Mona mula terlibat
dalam kegiatan sihir spiritual yang dikenali sebagai bomoh atau
dukun tempatan. Dia menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan dan
sebahagian besarnya daripada masyarakat kelas atasan termasuk ahli
ahli politik. Dikhabarkan bahawa Mazlan Idris, seorang ahli politik
Adun Batu Talam, Pahang, telah berjumpa dengan Mona untuk
mendapatkan perkhidmatan darinya. Mazlan Idris pernah menuntut di
Amerika Syarikat dan merupakan seorang ahli politik hebat dan
berkuasa dari United Malays National Organisation (UMNO) parti.
Pada saat itu, Mona bekerja dengan suaminya Mohamad Nor Affandi
Abdul Rahman dan pembantu mereka Juraimi Hassan. Mona dan suaminya
berjanji untuk membantu Mazlan dengan memberinya beberapa "benda"
yang sama dimiliki oleh bekas Presiden Sukarno demi meningkatkan
dan mengekalkan kekuasaannya. Mona menuntut RM 2.5 juta daripada
Mazlan sebagai bayarannya. Oleh itu Mazlan telah membayar kepada
pasangan tersebut dengan sejumlah wang RM 500,000 sebagai deposit
dan memberi mereka 10 sijil tanah sebagai jaminan untuk sisa RM 2
juta. Satu perjanjian telah dibuat diantara mereka untuk melakukan
pembersihan ritual yang akan dilakukan di rumah Mona. Mazlan
disuruh berbaring di lantai sementara Mona menaburkan kelopak
kelopak bunga kepadanya. Dia kemudian menyuruh Mazlan untuk menutup
mata dan menunggu wang untuk "jatuh dari langit". Dengan sepantas
kilat, Juraimi menghayun sebilah kapak menghentak Mazlan dan
dicincangkan nya seluruh anggota badan Mazlan. Mayat Mazlan ditemui
oleh polis pada 22 Julai 1993 dimana anggota tubuhnya dipisahkan
dalam 18 bahagian yang dikebumikan di sebuah gudang dekat rumah
Mona di Pahang. Mazlan dilaporkan hilang pada tarikh 2 Julai 1993
selepas menarik RM 300,000 dari bank. Setelah pembunuhan itu, Mona
dilaporkan telah membelanjakan wang yang diterimanya dengan membeli
sebuah Mercedes-Benz. Namun demikian, sepandai pandai tupai
melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Mona, suaminya, dan Juraimi
akhirnya ditangkap dan diadili di Mahkamah Tinggi Temerloh.
Sepanjang persidangan, Mona memperlihatkan perilaku aneh termasuk
muncul ceria, terus tersenyum dan berpose untuk photographer
wartawan. Dia berpakaian mewah dengan design yang cerah dan
berwarna warni pada gaun. Dia juga berkata, "saya seperti mempunyai
ramai peminat". Mona juga dilaporkan pernah mengucapkan kata kata
"Aku Takkan mati" dan masih tenang dan tersenyum. Mahkamah Tinggi
mendapati mereka bertiga bersalah dan menghukum mereka gantung
sampai mati. Mona, Affandy, dan Juraimi akhirnya digantung pada
tarikh 2 November 2001 di Penjara Kajang.
4. Hanafi Mat Hassan
Hanafi Mat Hassan, 38 tahun, seorang pemandu bas ekspres Kiara
telah melakukan dua jenayah besar, rogol dan bunuh, di dalam basnya
sendiri yang bercermin gelap. Mangsa, Noor Suzaily Mukhtar, seorang
jurutera komputer dirogol oleh Hanafi pada 7 Oktober 2000 antara
waktu 8.50 pagi di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15
pagi di sebatang jalan di kawasan projek pembinaan Taman Bukit
Tinggi, Klang. Selepas dirogol, mangsa dibunuh kejam. Hanafi yang
berasal dari Bachok, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 376 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan
sebatan jika disabitkan kesalahan. Perogol telah menjalani hukuman
gantung sampai mati di Penjara Kajang selepas subuh dan mayatnya
dibawa ke Hospital Kajang sebelum dituntut keluarganya untuk dibawa
pulang ke Binjai, Kelantan. Jenazahnya kemudian dikebumikan di
tanah perkuburan Kampung Kubur Datu, Binjai.
5. Geng AzharGeng Azhar Kastam merupakan kumpulan penjenayah
yang beroperasi di Malaysia. Pada 3 Januari 2009, 10 suspek
menyamar sebagai pegawai kastam dan polis lalu menyerbu sebuah
bengkel kereta di Selat Selatan, Pandamaran, Pelabuhan Klang ,
Selangor. Kononnya mahu melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan
yang terdapat di situ. Suspek membawa keluar dua buah kereta iaitu
Subaru Impreza dan BMW dengan alasan kedua dua buah kenderaan
tersebut perlu menjalani pemeriksaan rekod oleh kastam. Pemilik
bengkel dikatakan diminta membayar wang sejumlah RM50,000 untuk dua
kereta itu sekiranya mahu menyelesaikannya di luar. Pada 7 Januari
2009 jam 4.00 petang, seorang suspek lelaki berjaya ditangkap di
Plaza Tol Batu 11, Kajang yang membawa kepada tangkapan 10 lagi
ahli kumpulan berkenaan di Cheras dan Ampang pada 8 Januari 2009.
Semua suspek berusia dalam lingkungan antara 27 hingga 48 tahun. 8
lelaki dan 3 wanita.
6. Prebet Adam
Prebet Adam merupakan seorang askar melayu pada sesuatu masa
yang lalu. Peristiwa amukan Prebet Adam pada tahun 1987 sebenarnya
berpunca daripada kematian adik kesayangannya. Adik Prebet Adam
merupakan seorang Caddy atau penolong pemain golf (individu yang
bertanggungjawab mengangkat segala batang golf) kepada Sultan Johor
pada ketika itu. Dikhabarkan, pada suatu hari, ketika sultan Johor
sedang bermain golf, adik Prebet Adam ini telah tertawa kecil
melihat bola golf Sultan Johor ini yang tidak masuk lubang pada
jarak sejangkal. Terkenal dengan sifat panas baran beliau, Sultan
Johor ini lantas bertindak balas dengan menghayunkan kayu golfnya
yang keras itu kepada adik Prebet Adam tersebut. Dan secara tidak
diduga, adik Prebet Adam mati ditempat kejadian. Disebabkan pada
ketika itu raja raja Melayu masih mempunyai kuasa kekebalan, maka
pembesar tersebut telah terlepas begitu sahaja tanpa ada sebarang
tindakan undang undang. Sampai sahaja ke pengetahuan Prebet Adam,
maka mengamuklah dia. Pada malam 18 oktober 1987, Prebet Adam telah
mengamuk di jalan Chow Kit dengan membawa bersama senjata M-16 nya.
Prebet Adam telah menembak secara melulu ke arah orang ramai kerana
berang dengan kezaliman terhadapnya dan bagi menarik perhatian
seluruh negara. Dia lari sambil menembak membuta tuli dan telah
terkena seorang cina di hadapan Hankyu dan seorang melayu di
hadapan Batu Road Supermarket. Esoknya, sejarah tercipta apabila
Chow Kit sunyi dan lenggang apabila seorang pun tidak dibenarkan
masuk ke Chow Kit kerana keadaan tegang tersebut. Penembak tepat
polis telah ditempatkan di merata bangunan di situ bagi mengesan
Prebet Adam namun gagal. Prebet adam dikatakan telah menyorok
disebuah reban ayam milik salah seorang penduduk Kampung Baru. Tuan
punya reban ayam tersebut yang menyedari kehadiran Prebet Adam
tersebut telah melaporkan kepada polis. Namun, setelah dikepung
oleh polis, Prebet Adam tetap enggan menyerahkan diri. Dengan
kehadiran bos Prebet Adam yang berpangkat kolonel atau jeneral,
akhirnya telah berjaya memujuk Prebet Adam untuk menyerah diri.
Bagi mententeramkan situasi negara pada ketika itu, Prebet Adam
telah dicaj tidak siuman dan telah dimasukkan ke hospital bahagia
di sebuah wad khas di Tanjung Rambutan. Sultan Johor tersebut pula
terlepas dari hukuman setelah ayahandanya memohon maaf bagi pihak
anaknya.
7. Ahmad Najib
Ahmad Najib Aris, 33 tahun, bekas pencuci kabin kapal terbang
pasrah dan reda setelah hakim mengekalkan keputusan hukuman gantung
sampai mati ke atasnya. Walaupun Ahmad Najib masih boleh merayu
kepada Lembaga Jemaah Pengampunan Selangor sebagai usaha terakhir,
namun ianya jarang dapat menyelamatkan pesalah daripada hukuman
tali gantung. Kisah bermula dari sebuah parti keraian. Canny Ong
Lay Kian, 28 tahun, menghadiri majlis makan malam bersama kawan
kawannya dan ahli keluarga yang lain pada hari Jumaat 13 Jun 2003.
Ibu Canny, Pearley Viswanathan dan kakaknya Elsie juga turut hadir
ke majlis itu. Kereta mereka diparkir di tempat letak kereta dalam
pusat beli belah Bangsar yang menempatkan Restoran Monte, lokasi
parti tersebut. Pada 10.30 malam, Canny bersama kakak dan ibunya
hendak pulang ke rumah. Ketika hendak membayar tiker parking di
mesin tiket, mereka baru perasan yang tiket tersebut tertinggal
dalam kereta. Jadi Canny pergi bersendirian mendapatkan tiket
kereta itu. Dari situlah permulaan kisah yang membawa kepada
kematian Canny. Kamera litar tertutup di bangunan tersebut
menunjukkan bahawa kereta Proton Tiara milik ibu Canny dipandu laju
dan merempuh penghadang laluan keluar. Sebelum Canny dirogol, Ahmad
Najib mengakui mengacu pisau kepada mangsa. Tertuduh dalam
pengakuannya menganggap hubungan seks dengan Canny adalah atas
kerelaan mangsa. Bagaimanapun, perbuatan Ahmad Najib mengeluarkan
sebilah pisau ditafsir mahkamah sebagai tindakan mengugut bagi
membolehkan Ahmad Najib merogol mangsa. Bukti paling kukuh yang
menuduh Ahmad Najib sebagi pesalah adalah apabila ujian DNA
terhadap sepasang seluar jeans yang dipakai Ahmad Najib akhirnya
didapati mengandungi percikan darah Canny dan ianya cukup kuat bagi
membuktikan dia bertanggungjawab membunuh mangsa.
8. Mat Komando
Mat Komando atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Arshad, 37 tahun,
mengetuai satu kumpulan jenayah yang dikenali sebagai Kumpulan 13.
Kumpulan yang diketuainya telah melakukan lebih 40 rompakan
bersenjata di seluruh negara sebelum ditumpaskan. Mat Komando kekal
menjadi satu satunya penjenayah yang telah merompak Bank BSN dan
Pejabat Pos. Anak kedua daripada lapan beradik dari Kampung
Selengkoh, Yan ini bukanlah anggota komando yang cukup terlatih dan
berpengalaman luas kerana kerjayanya di dalam perkhidmatan tentera
hanya selama dua tahun. Selepas berhenti daripada perkhidmatan
tentera, Mat Komando bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur.
Tugas barunya itu pun tidak bertahan lama dan selepas itu dia
sering bertukar kerja lain seperti menjadi pemandu teksi dan
pemandu bas. Mat Komando dikatakan bukan seorang yang bersifat
bengis, keras hati walaupun terlibat dalam kegiatan jenayah. Ramai
rakannya juga tidak percaya dia terlibat dalam perbuatan itu kerana
dia jarang bercakap tentang apa yang dilakukannya dan tidak
menunjukkan reaksi keras jika tidak menyetujui sesuatu perkara.
Satu sifat yang terdapat pada diri Mat Komando ialah dia sering
membantu orang lain dan kerap membawa balik buah tangan untuk
saudara maranya walaupun nilainya tidak seberapa. Sebelum dia
menjadi buruan polis, Mat Komando sempat menyiapkan rumah baru itu
untuk kediaman isterinya dan seorang anak tunggal berusia 10 tahun
yang cacat pendengaran. Mat Komando dikatakan mempunyai ilmu kebal
dan mampu menghilangkan diri walaupun telah dikepung oleh pihak
polis beberapa kali walaupun rakan rakanya yang lain mati ditembak
polis. Mat Komando pernah terlepas daripada kepungan polis ketika
anggota kumpulan itu pulang daripada bercuti bersama keluarga dan
teman di sebuah pusat peranginan di Tasik Pedu. Mat Komando muncul
semula enam bulan kemudian di Gemas, Negeri Sembilan pada 28 Julai
lalu apabila sekali lagi dia bolos daripada kepungan polis. Rakan
sepelariannya, Shukri Husain yang terlepas daripada buruan polis
ketika bersembunyi di sebuah rumah di Gemas, Negeri Sembilan
akhirnya menjadi musuhnya. Menurut pihak polis, Mat Komando
dikatakan cuba membunuh Shukri di sebuah kampung di Baling baru
baru ini. Shukri yang dibelasah dengan teruk sempat menyelamatkan
diri tetapi akhirnya ditahan oleh polis. Mat Komando telah mati
ditembak menembusi kepalanya dalam satu ops yang dinamakan Ops Api
Sawit di Pendang Kedah.
9. Al Ma'unah
Al Ma'unah adalah sebuah organisasi pengganas militan di
Malaysia yang terkenal dengan keberaniannya melakukan pencerobohan
nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada subuh 2 Julai
2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor
persenjataan. Kumpulan tersebut kemudiannya mendirikan pangkalan
rahsianya di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Sauk, Perak
dan terlibat dalam pertempuran di antara Angkatan Tentera Malaysia
dan Polis Diraja Malaysia. Mohamed Amin bin Mohamed Razali yang
merupakan pemimpin kepada 29 ahli kumpulan Al Ma'unah mengetuai
misinya untuk menggulingkan kerajaan Malaysia. Mohamed Amin turut
menghantar rakannya untuk meletupkan kilang minuman keras Anchor
dan Carlsberg di Petaling Jaya berhampiran Kuala Lumpur dan kuil
Hindu di Batu Caves. Serangan itu menyebabkan hanya kerosakan kecil
sahaja. Ahli kumpulan tersebut, Shahidi dan Khairul Anuar,
kemudiannya diarahkan untuk meletupkan kilang Carlsberg di pinggir
kota Kuala Lumpur dengan senjata pelancar bom tangan yang dirampas
daripada kem tentera. Mereka memaklumkan bahawa mereka akan
menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri
Malaysia ketika itu, Dato Seri Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan
jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi. Pada awal pagi 2 Julai
2000, 20 ahli kumpulan Al-Maunah menaiki tiga kenderaan Pajero dan
bergerak ke Pos 2 Kem Kuala Rhui pada jam 2.50 pagi dan kemudian ke
Kem 304 Rejimen Askar Wataniah pada jam 4.15 pagi. Mereka
berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan
mengejut. Mereka menyatakan ingin mengadakan pemeriksaan mengejut
ke atas jumlah semua peluru yang disimpan di dalam kem tersebut.
Mereka berjaya melarikan sejumlah besar senjata api dan imunisasi,
iaitu 97 laras raifal M16, dua laras raifal Steyr AUG, empat
senjata Mesingan Kegunaan Am (GPMG), enam laras mesingan ringan,
lima pelancar bom tangan M203, 182 kelopak M16, lapan laras
tambahan mesingan kegunaan am, tiga laras tambahan mesingan ringan,
26 bilah pisau benet, 9,095 butir peluru berkaliber 5.56mm dan 60
butir kartus peluru bom tangan berkaliber 40mm. Anggota geng
tersebut kemudiannya menyembunyikan diri di dalam hutan Bukit
Jenalik, Sauk, Perak. Amin mengagih agihkan semua senjata yang
dilarikan tersebut kepada orang orangnya untuk dilatih. Bunyi
tembakan yang jarang di dengar oleh penduduk kampung telah menarik
perhatian polis. Kumpulan tersebut membuat persediaan untuk
menjayakan rancangan mereka, termasuk mengumpul bekalan makanan dan
membawanya ke dalam pengkalan mereka di Bukit Jenalik. Sepasukan
polis dihantar mengepung Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan
mereka. Walaubagaimanapun, dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah
Ahmad dan Koperal Detektif Sanghadevan, serta penduduk kampung
Jaafar Puteh dan seorang anggota komando ATM, Truper Matthews anak
Medan, telah dijadikan tebusan oleh Al-Ma'unah. Sepanjang 4 hari
menjadi tawanan, anggota pasukan keselamatan telah diseksa dan
dianiaya. Mereka dipaksa menggali parit di kawasan Bukit Jenalik
untuk dijadikan sebagai kubu pertahanan sekiranya pangkalan mereka
diserang. Pada sebelah malam, mereka telah diikat pada pohon
durian. Amin mengetahui identiti Truper Matthews, Amin menyeksa
Matthews dengan menembak kakinya. Amin kemudiannya menyuruh Jemari
Jusoh menembak Truper Matthews. Pada pagi 5 Julai 2000, seorang
anggota Al Ma'unah, Abu Bakar bin Ismail telah ditembak oleh
pasukan keselamatan. Sebagai tindak balas, Amin dan rakan-rakannya
bertindak membalas tembakan. Semasa tembak-menembak tersebut,
Koperal Detektif Sanghadevan telah ditembak mati. Mayat Sanghadevan
kemudiannya dikebumikan bersebelahan Truper Matthews oleh Mohd Shah
dan Jaafar. Kumpulan Al-Ma'unah kemudiannya menyerah diri, dan
Kerajaan Malaysia bertindak memerangi ahli kumpulan Al-Ma'unah
selepas memberi peluang untuk kumpulan tersebut menyerah diri dan
menghentikan sebarang percubaan untuk mendapatkan sokongan awam
kepada ahli kumpulan Al-Ma'unah dan menyatupadukan mereka kembali
kepada masyarakat. Mohamed Amin kemudiannya menyerah diri. Sebelum
itu, beliau yang bersenjatakan raifal M16/M203 telah menarik kolar
pakaian Leftenan Jeneral Zaini Mohd Said, komander Tentera Darat
Malaysia dan cuba untuk menembaknya dari jarak dekat. Tetapi
Jeneral Zaini bertindak menepis laras senjata Amin dan telah
tertembak salah seorang anggota militan. Jeneral Zaini kemudiannya
dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) atas
keberaniannya dan sumbangannya menamatkan keganasan tersebut tanpa
mempedulikan nyawa beliau. Dua jam sebelum insiden tersebut, ASP
Abd Razak Mohd Yusoff terlebih dahulu bergerak ke markas tersebut
bersama dengan 20 orang anggota pasukan elitnya 69 Komando PGK PDRM
menaiki bukit ke arah di Kumpulan Al Ma'unah berkhemah. Setelah
mendapat perlindungan yang sesuai untuk ahli kumpulannya, Abdul
Razak bergerak bersendirian menyelinap masuk ke kubu. Beliau
menemui sendiri Ketua Kumpulan Al Ma'unah iaitu Amin. Berlakulah
perdebatan antara Abdul Razak dan Amin yang mengambil masa selama 2
jam dan akhirnya, ketua kemupulan Al Ma'unah tersebut bersetuju
untuk menyerah diri. Maka, setelah Amin setuju untuk menyerah diri
barulah ASP Abdul Razak memanggil Pasukan Leftenan Jeneral Zaini
untuk proses perletakkan senjata. Di atas keberanian dan
kebijaksanaan berbincang ASP Abdul Razak telah dianugerahi pingat
Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) atas jasanya.
10. Rasidi Ismail
Tanggal 5 Januari 2010, empat sekeluarga ditemui mati dibunuh
dengan kejam dalam dua rumah berasingan di sebuah kawasan ladang
terpencil di Kampung Batang Rokan, Gemencheh. Dalam kejadian,
mangsa, Atan Daud, 90 tahun, bekas imam Masjid Kampung Batang Rokan
ditemui terbaring berlumuran darah berhampiran mayat isterinya,
Sufiah Keatas, 80 tahun. Mayat Atan ketika ditemui putus tangan
kanannya dipercayai ditetak. Mayat isterinya, Sufiah pula putus
tangan kiri. Turut ditemui berhampiran ialah mayat menantu mereka,
Ismail Awang, 76 tahun, dalam keadaan tidak berkepala. Mayat
seorang lagi mangsa iaitu anak Ismail, Siti Khadijah, 22 tahun,
ditemui dengan pisau tercacak di bahagian dada di rumah
bersebelahan. Kejadian itu disedari seorang lagi anak Ismail, Siti
Mariam, 19 tahun, yang pulang dari sekolah pada pukul 2 petang. Di
lokasi kejadian, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin,
unit anjing pengesan dan Unit Forensik berada di kawasan ini sejak
petang tadi mencari petunjuk mengenai kejadian tersebut. Polis
menemui senjata yang digunakan dalam kejadian bunuh itu. Sementara
itu, polis sedang mengesan seorang lelaki, Rashidi Ismail berusia
34 tahun yang dipercayai boleh membantu siasatan kes bunuh empat
sekeluarga ini. Polis menolak sama sekali motif pembunuhan itu
sebagai kes samun kerana barang kemas dan wang tunai didapati tidak
hilang daripada mangsa yang dibunuh. Akhirnya pembunuh kejam yang
merupakan ahli keluarga mangsa berjaya di tangkap di ibu negara di
Stesen LRT Masjid Jamek KL. Semasa penangkapan itu, suspek
bertindak ganas dan cuba menyerang anggota polis yang ingin menahan
dia dengan menggunakan sebilah pisau yang dibawanya. Suspek
dikatakan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan masalah
penagihan dadah mengikut data polis. Mengikut maklumat dari
keluarga suspek, dia adalah seorang anak yang baik tetapi telah
putus tunang sebanyak 2 kali dan kebelakangan ini, suspek sering
ketawa, menangis dan bercakap sendiri. Sebelum itu, kepala seorang
mangsa yang dipenggal gagal ditemui oleh pihak polis sehingga
suspek memberikan hasil maklumat. Kepala bapa kandung yang
dipenggalnya telah ditanam 200 meter dari pintu masuk utama ke
tanah perkuburan Islam di Seksyen 21 Shah Alam. Berikutan dengan
kenyataan dari Rasidi Ismail yang masih mengekalkan pengakuan
bersalahnya atas tuduhan tersebut kerana mendakwa dia mendapat
arahan untuk bunuh keluarganya itu dari langit. Oleh yang demikian,
mahkamah Tinggi mengarahkan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan
di Hospital Permai, Tampoi, Johor selama sebulan. Pada 7 September
2010, Rasidi Ismail dibebaskan dari pertuduhan membunuh empat orang
ahli keluarganya pada 5 Januari lalu oleh Mahkamah Tinggi setelah
didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan tersebut. Rasidi
Ismail disahkan menghidap penyakit skizofrenia iaitu mengalami
halusinasi, ilusi, paranoid dan kepercayaan palsu oleh pakar dari
Hospital Permai, Johor. Doktor pakar berkenaan turut merumuskan
tertuduh tidak sedar ketika kejadian berlaku ekoran terpengaruh
kepercayaan palsu selepas mendapat arahan tulisan di dinding dan
bisikan suara halus. Dengan keputusan itu Rasidi Ismail terlepas
dari hukuman gantung namun dia diperintahkan ditahan di Penjara
Kajang, Selangor sehingga diperkenankan Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.