Page 1
1
Faridah binti Ahmad
Lwn.
Hairunajib bin Mohd Mansor
[Dalam Mahkamah Rendah Syariah Selangor di Klang, Selangor Darul Ehsan (Tuan Mohd
Hairuddin bin Ab Rahim, HMRS) 24 Februari 2016M]
[Kes Saman No: 10003-014-1587-2015]
Undang-Undang Keluarga Islam – Tuntutan Cerai Fasakh – Gagal atau Cuai Memberi Nafkah
– Lazim menyakiti – Berkawan dengan Perempuan Jahat atau Berperangai Keji Mengikut
Hukum Syarak –Seksyen 53 (1) (b), 53 (1) (h) (i) dan 53 (h) (ii) Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Undang-Undang Tatacara Mal – Perbicaraan Sebelah Pihak – Seksyen 121(1) (b) dan 121 (2)
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor 2003.
Undang-Undang Keterangan – Keterangan Seorang Saksi dan Sumpah Plaintif – Seksyen 88
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Fakta Kes
[1] Plaintif (P) Faridah binti Ahmad telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh terhadap
Defendan (D) Hairunajib bin Mohd Mansor pada 3 September 2015 berdasarkan kepada
Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
[2] Saman dan pernyataan tuntutan pertama telah diserahkan kepada D secara serahan Kediri
pada 7 september 2015 dan D hadir pada tarikh sebutan pertama kes dan menyatakan
pendirian tidak bersetuju dengan tuntutan P. Berikutan itu Mahkamah telah mengarahkan D
memfailkan pembelaan. Selanjutnya P melalui Peguam Syarienya Tuan Hasrul Fahmi bin
Jamaluddin daripada Tetuan Hasrul Fahmi & Associates telah memfailkan pindaan kepada
Pernyataan Tuntutan pada 17 November 2015 dan telah disampaikan kepada D secara
Page 2
2
serahan Kediri pada 25 November 2015. Namun demikian, D tidak hadir pada tarikh sebutan
pada 28 Oktober 2015 dan 25 November 2015. Berikutan itu, Mahkamah telah membenarkan
permohonan Peguam P untuk kes diteruskan dengan perbicaraan secara sebelah pihak
berdasarkan kepada seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri
Selangor) 2003.
[3] P melalui Pernyataan Tuntutan terpindanya telah mendakwa bahawa D telah gagal atau cuai
memberi nafkah kepadanya selama tempoh melebihi tiga (3) bulan, D lazim menyakiti P atau
menjadikan kehidupan P menderita disebabkan kelakuan aniaya dan D berkawan dengan
perempuan jahat atau berperangai keji menurut hukum syarak bagi mendapat perceraian
secara fasakh daripada Mahkamah ini berdasarkan kepada Seksyen 53 (1) (b), 53 (1) (h) (i)
dan 53 (h) (ii) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
[4] Bagi membuktikan dakwaannya, P telah mengemukakan seorang saksi di hadapan
Mahkamah iaitu Amirudin bin Ahmad iaitu adik kandung P. P juga mengemukakan beberapa
dokumen yang ditandakan sebagai ekshibit seperti kad pengenalan yang ditandakan sebagai
P1, surat perakuan nikah sebagai P2, sijil kelahiran anak-anak sebagai P3 (a) dan P3 (b) dan
laporan polis yang bertarikh 2 September 2015 sebagai P5.
[5] Mahkamah mengucapkan terima kasih kepada Peguam Syarie P yang telah membantu
Mahkamah dalam kes ini.
Diputuskan
Kes ini telah didengar dan diputuskan hari ini di bawah seksyen 53 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dengan dihadiri oleh P bersama Peguam Syarienya,
manakala D tidak hadir. Setelah Mahkamah meneliti dokumen yang difailkan, mendengar
keterangan P dan saksi P, maka dengan ini Mahkamah telah berpuas hati dan memerintahkan
seperti berikut:
1) Mahkamah menolak tuntutan P untuk mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan
secara fasakh kerana P telah gagal membuktikan kesnya mengikut kehendak hukum
syarak dan undang-undang.
Page 3
3
2) Mahkamah mensabit telah berlaku syiqaq yang berterusan antara P dan D.
3) Mahkamah memerintahkan kes ini dirujuk kepada Jawatankuasa Hakam di bawah
seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Peguam Syarie
Plaintif : diwakili oleh Encik Tuan Hasrul Fahmi bin Jamaluddin dari
Tetuan Hasrul Fahmi & Associates
Defendan : diwakili oleh mana - mana Peguam Syarie
Surah al-Quran yang dirujuk
1. Surah Al-Nisa’ Ayat 135
Kitab - kitab yang dirujuk
1. Nizam al-Qadha’ Fi al-Islam karangan Dr Abdul Karim Zaidan (terjemahan Mohd Saleh
Hj Amad).
2. Kitab Fiqh dan Perundangan Islam jilid 6 hlm. 670
3. Fiqh dan Perundangan Islam karangan Dr Wahbah al-Zuhaili jilid 6 hlm. 663 – 664
Undang - undang yang dirujuk
1. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 - s. 61 (3) (b) (i).
2. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 - s. Seksyen 53 (1) (b),
53 (1) (h) (i) dan 53 (h) (ii)
3. Undang-Undang Tatacara Mal – Perbicaraan Sebelah Pihak – s. 121(1) (b) dan 121 (2)
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor 2003
4. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 – s. 88
Page 4
4
Kes - kes yang dirujuk
1. Kes PP v. KK [2007] 6 CLJ
2. Kes Norfadzillah Binti Hashim lwn.Najmul Basri Binti Najimudin, JH 32 (2)
3. Kes Adi Asri Bin Baharom Lwn. Andini Nidia Putri Kes Rayuan Mal No: 10500-055-
0004-2012
4. Kes Abd. Hanif Abdullah Lwn Rabiah Bibi Labhu [2004] CLJ
5. kes Nurul Huda bt Ismail lwn Nurrizal b. Ahmad Imran, Saman No.: 10008-014-0052-
2005
Penghakiman Tuan Hakim Mohd Hairuddin Bin Ab Rahim, HMRS
[6] Berdasarkan kepada keterangan P secara affidavit dan keterangan tambahan secara lisan di
hadapan Mahkamah ini, keterangan saksi Plaintif (SP), serta berdasarkan kepada hujahan
Peguam Syarie P, Mahkamah ini mendapati terdapat dua (2) isu yang perlu Mahkamah ini
berikan pertimbangan sebelum Mahkamah ini memberikan penghakiman, iaitu:
6.1 Sama ada Mahkamah ini berbidangkuasa mendengar dan memutuskan kes ini;
6.2 Sama ada P telah berjaya membuktikan dakwaannya terhadap D mengikut hukum syarak
dan undang-undang.
A. Bidangkuasa Mahkamah.
[7] Mahkamah ini tidak berhasrat untuk mengulas panjang berhubung isu bidangkuasa ini.
Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan Peguam Syarie P berhubung bidangkuasa
Mahkamah ini mendengar dan memutuskan kes ini berdasarkan kepada Seksyen 4, 45 dan 53
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (selepas ini disebut
EUUKIS 2003).
[8] Mahkamah ini juga berpuas hati bahawa kes ini dibicarakan secara sebelah berdasarkan
kepada Seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor)
Page 5
5
2003 setelah Mahkamah berpuas hati bahawa penyampaian saman secara kediri terhadap D
telah disempurnakan oleh P dan D tidak hadir tanpa sebarang alasan.
Isu Pertama : Sama ada Plaintif telah berjaya membuktikan dakwaannya terhadap
Defendan mengikut hukum syarak dan undang-undang
[9] P di dalam pernyataan tuntutan terpindanya dan di dalam keterangannya secara affidavit di
Mahkamah telah mendakwa bahawa:
9.1 D telah cuai atau tidak memberuntukkan nafkah zahir yang sewajarnya kepada P
melebihi 3 bulan iaitu sejak tahun 12 Disember 2008 sehingga kes ini difailkan pada 3
September 2015.
9.2 D lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan P menderita disebabkan oleh kelakuan
aniaya; dan
9.3 D berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan
hukum syarak.
[10] Bagi membuat pertimbangan sama ada P telah mencapai beban pembuktian dakwaannya
bagi mensabitkan kes ini, Mahkamah terlebih dahulu merujuk kepada firman Allah SWT
dalam surah al-Maidah ayat 49 yang bermaksud:
“Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka Dengan apa Yang telah
diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan
berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum Yang telah
diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum
Allah itu), maka ketahuilah, Hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka Dengan sebab
setengah dari dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu
adalah orang-orang Yang fasik.
Page 6
6
[11] Allah SWT selanjutnya berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 135 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa
menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah,
sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang
(yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi
saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah
lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu
supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan
ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui
Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.
[12] Berdasarkan kepada ayat-ayat al-quran yang disebutkan di atas, dapat difahami bahawa
Allah SWT memerintahkan kita menghukum berdasarkan apa yang telah diturunkan dan
diperintahkanNya disamping melarang kita daripada menyeleweng atau mengikut hawa
nafsu. Ayat tersebut juga menyatakan bahawa tanpa keterangan yang benar dan jelas,
sudah pasti keadilan tidak dapat ditegakkan. Selain itu ayat tersebut juga menerangkan
kepentingan keterangan dan kesaksian hendaklah dilaksanakan dengan seadil yang
mungkin dan mana-mana saksi yang dipanggil ke Mahkamah adalah saksi mahkamah
kerana Allah dan bukan saksi pihak-pihak yag terlibat.
[13] Mahkamah juga merujuk kepada hadis Rasulullah SAW daripada Sahih Muslim, Syarh
al-Nawawi jilid 12 hlm. 4:
“Terjemahan: Umi Salamah berkata, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, ‘kamu telah
bertikai di hadapanku, mungkin ada di antara kamu yang lebih petah berhujah (memberikan
keterangan) daripada yang lain, lalu aku menghukum berdasarkan apa yang aku dengar
daripadanya: sesiapa yang telah aku hukumkan (berikan) baginya hak saudaranya sesuatu
(yang tidak berhak lantaran hujahnya yang petah) jangan ia mengambilnya, kerana aku
telah memotong baginya sekeping api neraka.”
[14] Hadis tersebut telah memberikan panduan kepada seseorang hakim berhubung peri
pentingnya keterangan dan hujah dalam sesuatu perbicaraan dan tanpa keterangan dan
Page 7
7
hujah, hukuman tidak dapat dijatuhkan dan keputusan tidak dapat diberikan. Hakim juga
hendaklah membuat penghakiman terhadap apa yang didengarnya (dikemukakan
kepadanya) oleh pihak-pihak dalam Mahkamah sahaja.
[15] Selanjutnya Mahkamah merujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh
al-Baihaqiy dan Ahmad:
لي المدعي والیمین علي من أنكرلو یعطي الناس بدعواھم الدعي رجال أموال قوم ودماءھم , لكن البینة ع
“Terjemahan: Jika manusia diberi segala apa yang didakwanya nescaya ada di antara
manusia yang mendakwa harta sesuatu kaum dan menuntut hutang darah mereka. Tetapi
pembuktian adalah ditanggung oleh orang yang mendakwa dan sumpah dikenakan ke
atas orang yang ingkar.”
[16] Matan hadis tersebut telah dikanunkan menjadi matan perundangan sebagaimana
peruntukan seksyen 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003
(selepas ini disebut EKMS) seperti berikut:
“Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang
mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’ii) dan orang yang mengangkat
sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-Muda’a ‘alaih).”
[17] Manakala dalam seksyen 73 (1) dan (2) EKMS pula memperuntukkan:
(1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman
tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada
kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu
wujud.
(2) Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka
dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.
[18] Berdasarkan kepada hadis dan peruntukan undang-undang tersebut, jelaslah dalam kes ini
oleh kerana P yang menegaskan untuk Mahkamah memberikan penghakiman kepadanya
menurut apa yang didakwa / dituntut P, maka beban membukti atau tanggungjawab
Page 8
8
mengemukakan keterangan di dalam kes ini terletak kepada P. Sekiranya P gagal
membuktikan dakwaannya mengikut hukum syarak dan undang-undang, Mahkamah akan
menolak tuntutannya.
[19] Persoalannya apakah keterangan (bayyinah) yang boleh dikemukakan oleh P untuk
membuktikan kesnya memenuhi beban pembuktian yang telah ditetapkan oleh hukum
syarak? Bagi perkara ini Mahkamah merujuk kepada seksyen 3 EKMS yang membuat
tafsiran terhadap perkataan keterangan seperti berikut:
“keterangan” termasuklah—
(a) bayyinah dan syahadah;
(b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di
hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat:
pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;
(c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah: dokumen sedemikian
disebut keterangan dokumentar.
“Bayyinah” ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan
termasuklah qarinah;
[20] Berdasarkan kepada tafsiran tersebut apa-apa keterangan yang membuktikan sesuatu hak
yang diakui oleh hukum syarak termasuklah keterangan melalui kesaksian, iqrar,
sumpah, qarinah dan dokumentar adalah merupakan keterangan dan bayyinah yang boleh
digunapakai oleh Mahkamah untuk membuat pertimbangan terhadap dakwaan P.
[21] Namun demikian perlu diingatkan bahawa walaupun P ada juga memberikan
‘keterangan’ secara bertulis melalui afidavit dan sedikit ‘keterangan’ lisan dalam
Mahkamah, tetapi ‘keterangan’ P tersebut hanyalah merupakan perician kepada
tuntutannya (dakwaannya) sahaja dan P tidak diiktiraf sebagai saksi oleh hukum syarak
dan undang-undang sebagaimana peruntukan seksyen 3 EKMS yang
mentafsirkan“saksi” tidak termasuk plaintif, defendan dan orang tertuduh;
Page 9
9
[22] Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, P dalam kes ini telah mengemukakan seorang
saksi dan beberapa dokumen sebagai keterangan yang menyokong dakwaannya.
Persoalannya adakah keterangan yang dibawa oleh P di hadapan Mahkamah telah
memenuhi beban pembuktian sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak dan
undang-undang?
[23] Terlebih dahulu Mahkamah akan mengulas berhubung dakwaan pertama P iaitu
berkenaan D telah cuai atau tidak memberi nafkah zahir yang sewajarnya
kepadanya selama tempoh melebihi 3 bulan.
[24] Dalam keterangan P di perenggan 8 sehingga perenggan 15 Afidavit P, P menyatakan
bahawa D telah cuai memberi nafkah kepada P selama tempoh melebihi tiga (3) bulan
iaitu sejak tahun pihak-pihak bernikah pada 12 Disember 2008 sehingga kes ini didengar.
Sepanjang tempoh tersebut P menanggung sendiri keperluan dirinya mrangkumi pakaian,
makanan, perubatan, ansuran pinjaman kereta dan segala perbelanjaan seharian di tempat
kerja. P juga turut menanggung perbelanjaan bil-bil utiiti, keperluan anak-anaknya dan
dua orang anak D dengan bekas isterinya terdahulu dengan pendapatannya yang bekerja
di kilang Panasonic di Shah Alam Selangor.
[25] P juga memberitahu Mahkamah bahawa D tidak mempunyai penyakit atau apa-apa
penghalang untuknya menyediakan nafkah kepada P. Bahkan P menyatakan bahawa D
adalah berkemampuan untuk memperuntukkan nafkah yang sepatutnya kepada P.
Sepanjang tempoh tersebut, tiada wakil P menberikan nafkah kepada P dan tiada
sebarang harta ditinggalkan oleh P. Namun demikian, P tinggal di rumah yang disediakan
oleh D yang merupakan pemberian bapa D. P juga mendakwa bahawa beliau tidak pernah
disabitkan sebagai isteri yang nusyuz oleh mana-mana Mahkamah.
[26] Keterangan P disokong oleh keterangan SP melalui perenggan 11 hingga 21 afidavit SP.
Namun demikian, SP menyatakan D telah gagal memberikan nafkah kepada P sejak anak
pertama dilahirkan iaitu pada tahun 2010 sehingga kes ini didengar oleh Mahkamah ini.
SP memaklumkan kepada Mahkamah bahawa beliau mengetahui perkara tersebut
daripada cerita dan aduan P kepadanya. SP juga memaklumkan bahawa beliau ada
memberi pinjam duit sebanyak RM200.00 hingga RM300.00 kepada P apabila wang P
tidak mencukupi.
Page 10
10
[27] Selanjutnya Mahkamah merujuk kepada perengan 21 hingga 23 penghujahan Peguam
Syarie P dan bersetuju dengan hujahan tersebut. Namun demikian Mahkamah ini
berhasrat untuk mengulas berhubung hujahan PSP pada perenggan 24 sehingga 38.
[28] Berhubung perkara tersebut, Mahkamah sekali lagi merujuk kepada kepada hadis
Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqiy dan Ahmad:
لو یعطي الناس بدعواھم الدعي رجال أموال قوم ودماءھم , لكن البینة علي المدعي والیمین علي من أنكر
“Terjemahan: Jika manusia diberi segala apa yang didakwanya nescaya ada di antara
manusia yang mendakwa harta sesuatu kaum dan menuntut hutang darah mereka. Tetapi
pembuktian adalah ditanggung oleh orang yang mendakwa dan sumpah dikenakan ke
atas orang yang ingkar.”
[29] Matan hadis tersebut telah dikanunkan menjadi matan perundangan sebagaimana
peruntukan seksyen 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003
(selepas ini disebut EKMS) seperti berikut:
“Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang
mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’ii) dan orang yang mengangkat
sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-Muda’a ‘alaih).”
[30] Manakala dalam seksyen 73 (1) dan (2) EKMS pula memperuntukkan:
(3) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman
tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada
kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu
wujud.
(4) Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka
dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.
[31] Oleh yang demikian, Mahkamah ini berpandangan, dalam kes dakwaan di Mahkamah
yang melibatkan kaedah pembuktian, kaedah fiqhiyyah hendaklah digunapakai selari
Page 11
11
dengan situasi kaedah isbat dalam bab qadhaiyyah (kehakiman) dan bukanlah dengan
cara yang mudah (simple) dan secara umum. Mahkamah ini tidak boleh membuat
kesimpulan mudah sebagaimana yang dihujahkan oleh Peguam Syarie P tersebut. Oleh
yang demikian, Mahkamah hendaklah meneliti keterangan SP dan dokumen-dokumen
yang ditender ke Mahkamah ini terlebih dahulu sama ada telah mencukupi menyokong
keterangan P berhubung dakwaannya ini.
[32] Berdasarkan kepada keterangan SP, dapat diringkaskan seperti berikut:
1.1. SP menyatakan bahawa D telah gagal menyediakan nafkah kepada P sewajarnya sejak
tahun 2010 dan bukannya sejak dari P berkahwin dengan D pada 12 Disember 2008
sebagaimana keterangan (dakwaan) P.
1.2. SP mengetahui bahawa D gagal menyediakan nafkah kepada P sewajarnya daripada
cerita P kepada SP dan perlakuan P yang meminjam duit daripada SP sebanyak
RM200.00 sehingga RM300.00 apabila P tidak cukup duit. Tetapi tidak dinyatakan
kekerapannya.
[33] Daripada keterangan SP tersebut dapat disimpulkan bahawa SP tidak mengetahui secara
langsung berhubung dengan D telah gagal menyediakan nafkah yang sewajarnya kepada
P. Namun demikian, keterangan SP yang menyatakan bahawa P ada meminjam wang
daripadanya kerana tidak cukup duit adalah merupakan fakta yang mungkin adalah akibat
daripada kecuaian D menyediakan nafkah terhadap dirinya.
[34] Selanjutnya berdasarkan keterangan SP tersebut, jelas SP tidak menyokong keterangan P
berhubung tarikh permulaan kegagalan D menyediakan nafkah kepada P. P mendakwa
sejak dari awal perkahwinan manakala SP menyatakan sejak tahun 2010 berdasarkan
cerita yang diberitahu oleh P sendiri. Oleh yang demikian, bilakah tarikh sebenar yang
boleh Mahkamah ini ambil kira sebagai tarikh dakwaan kegagalan D membayar nafkah
kepada D sewajarnya tersebut?
[35] Sebagaimana yang Mahkamah telah sebutkan di awal tadi, keterangan P hanyalah suatu
perincian kepada dakwaan P di dalam pernyataan tuntutan. Sekiranya tidak disokong
Page 12
12
dengan apa-apa keterangan, dakwaan tersebut akan kekal sebagai dakwaan yang tidak
dibuktikan. Oleh yang demikian, Mahkamah ini berpas hati bahawa tarikh dakwaan
kegagalan D membayar nafkah tersebut adalah bermula daripada tahun 2010.
[36] Berikutan daripada kesimpulan tersebut, Mahkamah ini berpendapat bahawa hujahan PSP
di perenggan 24, 25 dan 26 hujahan PSP tidak lagi sesuai diaplikasikan. Ini berikutan,
secara mafhum muwafaqahnya apabila terdapat keterangan mengatakan bahawa
kegagalan membayar nafkah bermula tahun 2010, sedangkan pihak-pihak berkahwin
pada Disember 2008, maka dapat difahamkan selepas Disember 2008 sehingga sebelu
tahun 2010, D tidak cuai menanggung nafkah P.
[37] Sehubungan dengan itu, Mahkamah ini berpandanga bahawa kaedah fiqhiyyah yang
sesuai bagi fakta kes ini adalah: األصل بقاء ما كان علي ما كان yang bermaksud “sesuatu
perkara akan kekal sebagaimana sebelumnya (sehingga ada fakta yang membuktikan
perkara tersebut telah berubah). Asalnya ialah D memberikan nafkah sejak dari awal
perkahwinan sehingga akhir tahun 2009 sehingga didakwa telah gagal memberikan
nafkah sejak tahun 2010. Oleh yang demikian fakta tersebut akan dianggap berterusan
sehingalah dibuktikan telah berubah sebagaimana dakwaan P dengan beban pembuktian
diletakkan ke atas bahu P sebagaimana peruntukan seksyen 73 EKMS 2003:
(1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman
tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada
kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.
(2) Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka dikatakan
bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.
[38] Selain itu, Mahkamah ini juga mendapati bahawa P dan SP dalam keterangan masing-
masing tidak menyentuh berhubung pekerjaan dan pendapatan D. Namun demikian, P
dalam keterangannya di peranggan 12 afidavit keteranga P menyatakan bahawa P yakin
bahawa D sebenarnya mampu untuk memperuntukkan nafkah yang sepatutnya kepada P.
Berdasarkan kepada keterangan tersebut, Mahkamah dapat membuat kefahaman bahawa
D mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang mencukupi untuk menampung nafkah P
sewajarnya.
Page 13
13
[39] Namun demikian, Mahkamah bersetuju bahawa keterangan SP yang menyatakan bahawa
bahawa P ada meminjam wang daripada SP antara RM200.00 sehingga RM300.00 adalah
merupakan keterangan qarinah yang boleh Mahkamah ini terima berhubung dengan
dakwaan P tersebut. Namun demikian, tiada sebarang keterangan berhubung kekerapan
SP membantu P tersebut. Selain itu, keterangan P yang mendakwa bahawa beliau telah
tidak tinggal bersama sejak 2 setember 2015 sehingga sekarang juga tidak disokong
dengan keterangan SP.
[40] Bagi perkara ini Mahkamah merujuk kepada seksyen 11 EKMS yang memperuntukkan:
“Fakta menjadi qarinah—
(a) jika ianya tak konsisten dengan mana-mana fakta persoalan atau fakta relevan;
(b) jika dengan sendirinya atau berkaitan dengan fakta lain, ia menjadikan kewujudan
atau ketakwujudan mana-mana fakta persoalan atau fakta relevan amat barangkali atau
amat tak barangkali.”
[41] Mahkamah juga merujuk kepada seksyen 7 EKMS yang memperuntukkan:
“Fakta yang menjadi punca, sebab atau kesan, sama ada secara langsung atau selainnya,
bagi fakta persoalan atau fakta relevan, atau fakta yang menjadi keadaan benda yang
dalamnya fakta itu berlaku, atau yang memberi peluang untuk fakta itu berlaku atau
dilakukan ialah qarinah.”
[42] Mahkamah selanjutnya mengambil panduan daripada Hakim Ahmad Maarop dalam kes
PP v. KK [2007] 6 CLJ 367 berhubung pemakaian keterangan secara qarinah
(circumtantian evidence) yang menyatakan:
“Ertinya, keterangan circumstantial hendaklah dilihat dan dinilaikan bersekali. Setiap
keterangan circumstantial saling sokong menyokong antara satu dengan lain. Kuat atau
tidaknya keterangan circumstantial itu bergantung kepada kesan keseluruhan (cumulative
effectnya). Persoalan yang mesti ditanya ialah apakah kesan keseluruhan keterangan
circumstantial itu? Adakah kesan keseluruhan (cumulative effect) keterangan circumstantial
Page 14
14
dalam sesuatu kes itu membawa kepada hanya satu kesimpulan, iaitu, orang yang kena
tuduhlah yang melakukan kesalahan yang menjadi subjek pertuduhan itu? Atau adakah
terdapat penjelasan bagi keterangan tersebut.”
[43] Mahkamah mendapati keterangan P dan SP dikemukakan secara terlalu ringkas yang
menyebabkan Mahkamah ini gagal membuat dapatan yang positif terhadap dakwaan P.
Mahkamah tidak boleh membuat sebarang inferen atau anggapan fakta hanya
berdasarkan tekaan semata atau berdasarkan keterangan tidak langsung yang lemah.
Berikutan dengan kekurangan keterangan SP tersebut menyebabkan Mahkamah ini tidak
dapat membuat kesimpulan yang kuat bahawa perlakuan tersebut adalah berkemungkinan
besar akibat daripada kegagalan D menyediakan nafkah kepada P melebihi 3 bulan
sebagaimana dakwaan P.
[44] Selanjutnya Mahkamah akan mengulas berhubung dakwaan P yang kedua iaitu D
lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan P menderita disebabkan oleh
kelakuan aniaya.
[45] P dalam keterangan kepada Mahkamah di perenggan 16 hingga 23 afidavit P menyatakan
bahawa D lazim menyakiti P dengan menampar, menyepak, melempang, memaki hamun,
menunjal kepala P dan pernah memukul P sehingga pengsan sejak awal tahun 2009
sehingga tahun 2013. Selepas 2013 D sering memarahi P, memaki hamun, menunjal
kepala dan meludah P sekiranya berlaku pergaduhan. Perbuatan D tersebut
kebanyakannya akibat daripada sikap D yang suka keluar malam dan suka berfoya-foya
dengan perempuan lain.
[46] Kejadian-kejadian tersebut disaksikan oleh anak-anak P. Walau bagaimanapun P tidak
pernah membuat apa-apa laporan polis atau mendapatkan rawatan perubatan kerana takut
dipukul lebih teruk oleh D dan dengan harapan D akan berubah. P mendakwa perlakuan
D terhadap dirinya tersebut telah menyebabkannya berasa tertekan dan emosi terganggu.
[47] Namun demikian, P telah keluar dari rumah kelamin pihak-pihak pada 30 Ogos 2015
setelah ditampar dan dimarahi D dengan kata-kata kesat. Berikutan itu, P telah membuat
laporan polis pada 2 September 2015 yang ditandaan sebagai P5.
Page 15
15
[48] Manakala SP dalam keterangannya bagi menyokong keterangan P menyatakan bahawa P
pernah dipukul sepanjang tempoh perkahwinannya. Namun demikian pengetahuan SP
hanyalah daripada cerita P sendiri dan daripada cerita anak tiri P yang bernama Nur Aris
Anisah semata-mata. Berhubung karektor D, P menyatakan bahawa D seorang yang
panas baran yang mana juga diketahui daripada rakan-rakan yang pernah bersekolah
dengan D di sekolah Menengah Agama Sungai Bertek, Klang.
[49] Hanya dokumen laporan polis yang bertarikh 2 September 2015 yang ditenderkan di
Mahkamah sebagai P5. Malangnya P hanya menandakan dokumen tersebut sahaja tanpa
memberikan penjelasan dan keterangan lanjut berhubung dokumen ekshibit P5 tersebut.
Walau bagaimanapun, setelah diteliti Mahkamah, Mahkamah mendapati laporan polis
tersebut adalah berhubung kejadian D menampar dan memarahi P dengan kata-kata kesat
pada 30 Ogos 2015.
[50] Mahkamah seterusnya merujuk kepada perenggan 46 dan 47 hujahan peguam syarie P
dan Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan tersebut. PSP telah merujuk kepada kes
Nurul Huda bt Ismail lwn Nurrizal b. Ahmad Imran, Saman No.: 10008-014-0052-
2005 kes bagi menyokong hujahannya. Mahkamah bersetuju dengan hujahan SP
berhubung perkataan ‘lazim menyakiti’ sebagaimana peruntukan seksyen 53 (1) (h) (i)
EUUKIS 2003. Namun demikian, Mahkamah berhasrat untuk memberikan sedikit ulasan
berhubung kes ini.
[51] Kes tersebut adalah suatu permohonan fasakh yang difailkan oleh P dengan antara alasan
yang dikemukakan ialah antaranya bahawa D lazim menyakiti P sehinggan menjadikan
kehidupan P teraniaya. Hakim bicara dalam kes tersebut telah merujuk kepada kes Abd.
Hanif Abdullah Lwn Rabiah Bibi Labhu [2004] CLJ (Sya) 1 yang memetik
penghakiman Pengerusi Mahkamah Rayuan WP seperti berikut:
“…tidaklah munasabah memerlukan seorang isteri yang mendakwa ia dipukul oleh
suaminya mengadakan saksi-saksi seperti itu, kerana mustahil seorang suai apabila
memukul isterinya akan memanggil dua orang saksi lelaki atau dua orang saksi perempuan
dan seorang saksi lelaki untuk menyaksikan pukulan itu. Dalam dalam perkara seperti itu
Page 16
16
tidak perlu keterangan diberikan sebagai syahadah dan memadai ia diberi sebagai
bayyinah dan qarinah”
[52] Apa yang difahami oleh Mahkamah ini ialah dalam perkara yang melibatkan dakwaan
lazim menyakiti (pukul) antara suami isteri, ianya tidaklah perlu dibuktikan dengan
syahadah atau keterangan saksi secara langsung. Tetapi mencukupi dengan apa-apa
bayyinah atau qarinah yang menunjukkan kewujudan perlakuan aniaya tersebut.
[53] Persoalannya apakah keterangan (bayyinah) yang boleh dikemukakan oleh P untuk
membuktikan kesnya memenuhi beban pembuktian yang telah ditetapkan oleh hukum
syarak? Bagi perkara ini Mahkamah merujuk kepada seksyen 3 EKMS yang membuat
tafsiran terhadap perkataan keterangan seperti berikut:
“keterangan” termasuklah—
(d) bayyinah dan syahadah;
(e) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di
hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat:
pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;
(f) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah: dokumen sedemikian
disebut keterangan dokumentar.
“Bayyinah” ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan
termasuklah qarinah;
[54] Berdasarkan kepada tafsiran tersebut apa-apa keterangan yang membuktikan sesuatu hak
yang diakui oleh hukum syarak termasuklah keterangan melalui kesaksian, iqrar,
sumpah, qarinah dan dokumentar adalah merupakan keterangan dan bayyinah yang boleh
digunapakai oleh Mahkamah untuk membuat pertimbangan terhadap dakwaan P.
[55] Namun malangnya dalam kes ini, Mahkamah mendapati semua keterangan SP yang ingin
menyokong dakwaan P tersebut adalah merupakan pengetahuan daripada cerita-cerita P
kepadanya, atau cerita anak tiri P dan kawan-kawan-kawan D semata-mata. SP tidak
langsung memberikan keterangan secara langsung walaupun secara qarinah seperti
Page 17
17
melihat kesan daripada pukulan atau kejadian-kejadian yang boleh dikatakan bahawa
kejadian pukul/lazim menyakiti tersebut adalah berkemungkinan besar benar berlaku.
[56] Walaupun PSP menghujahkan di perenggan 52 penghujahan P bahawa SP mengetahui
berkenaan kejadian D memukul P melalui sumber yang boleh dipercayai dan bukan
sekadar hanya mendegar cerita P semata-mata. Namun tidak dinyatakan dalam
keterangan P atau Sp berhubung sumber-sumber lain yang dipercayai selain keterangan
dengar cakap daripada P, anak tiri P dan kawan D secara umum sahaja.
[57] Manakala keterangan dokumentar yang ditandakan sebagai P5 tersebut hanyalah
berhubung dengan suatu kejadian D menampar pada 30 Ogos 2015 sahaja dan tidak pada
kejadian yang lain. Walaupun Mahkamah ini boleh menrima keterangan dokumen
tersebut sebagai keterangan qarinah, kepada kemungkinan wujud kejadian D menampar
dan memaki P dengan kata-kata kesat pada 30 Ogos 2015, namun dokumen tersebut tidak
boleh dijadikan sandaran kepada dakwaan lazim menyakiti yang lain sebagaimana
dakwaan P.
[58] Manakala hujahan PSP bahawa P telah berjaya membuktikan dakwaannya selari dengan
seksyen 88 EKMS 2003, Mahkamah akan ulas selepas daripada ini.
[59] Seterusnya Mahkamah juga akan mengulas berhubung dakwaan P yang ketiga iaitu D
hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak iaitu terlibat dengan
kegiatan penagihan dadah.
[60] P di dalam affidavit keterangannya di perenggan 24 mendakwa bahawa D berkawan
dengan perempuan jahat atau berperangai keji mengikut hukum syarak apabila
menjalinkan hubungan dengan bekas isteri D dan berfoya-foya dengan perempuan lain. P
juga mendakwa pada 30 Ogos 2015, telah terjumpa gambar-gambar tidak senonoh iaitu
gambar tubuh badan seorang perempuan yang diambil di dalam bilik rumah kelamin
pihak-pihak pada telefon bimbit D. Selain itu P juga mendakwa ‘mendapat tahu’ bahawa
pada 25 September 2015 D bermesraan dengan seorang perempuan dengan perempuan
tersebut menyuapkan makanan ke mulut di Restoran KFC Seksyen 13 Shah Alam.
Page 18
18
[61] Manakala SP dalam keterangannya berhubung alasan P yang ketiga ini mengatakan
bahawa tidak banyak tahu berhubung perkara tersebut namun mengetahui bahawa D ada
menjalinkan hubungan sulit dengan bekas isterinya.
[62] Merujuk kepada penghujahan Peguam Syarie P di perenggan 65, Makamah mendapati
bahawa ianya tidak terdapat dalam mana-mana keterangan P atau SP. Berhubung laporan
polis yang dikemukakan sebagai ID 4 tersebut juga tidak dijelaskan oleh P atau SP dalam
keterangan mereka di hadapan Mahkamah.
[63] Sehubungan dengan itu, Mahkamah ini mendapati bahawa dakwaan ketiga P ini adalah
suatu dakwaan yang tidak disokong oleh apa-apa keterangan yang sewajarnya.
[64] Peguam Syarie P juga menghujahkan bahawa P telah berjaya membuktikan kesnya di
hadapan Mahkamah dengan pengemukaan keterangan SP dan bersedia untuk
bersumpah di hadapan Mahkamah jika diminta berbuat demikian selari dengan
peruntukan seksyen 121 (2) ETMS.
[65] Persoalannya adakah benar P telah berjaya membuktikan kesnya mengikut kehendak
hukum syarak dan undang-undang dan adakah P boleh bersumpah istizhar bagi
melengkapkan keterangannya di hadapan Mahkamah bagi mensabitkan kesnya? Bagi
menilai hujahan tersebut, Mahkamah merujuk kepada kitab Nizom al-Qadha’ Fi al-
Islam karangan Dr Abdul Karim Zaidan (terjemahan Mohd Saleh Hj Amad) Jld 2 hlm.
98-99 yang menyebutkan:
“292. Ketiga: Bilangan Kesaksian pada selain daripada kes-kes hudud, qisas dan Mal
Pada kes-kes yang lain daripada hudud, qisas dan mal seperti nikah, talaq, ruju’,
pemerdekaan, iyla’, zihar, nasab, berwakil dan sebagainya. Maka yang pegangan mazhab
hanbali ialah dimestikan kesaksian dua orang saksi lelaki dan tidak diterima dalam
masalah-masalah ini kesaksian wanita sama sekali, inilah juga pendapat mazhab syafie.
293. Keempat: Bilangan Kesaksian dalam kes-kes mal.
Page 19
19
Dalam kes-kes mal dan hak-hak yang berkaitan dengan mal seperti hutang piutang,
pembinasaan, gantirugi, diat, jual belai, sewa menyewa, kontrak-kontrak yang berkaitan
dengan mal, pembunuhan tanpa sengaja dan setiap kecederaan luka yang tidak mewajibkan
melainkan dan yang seumpamanya, kadar kesaksian yang diperlukan dalam masalah-
masalah ini ialah dua orang saksi lelaki atau satu lelaki dua wanita. Inilah pendapat
mazhab Hanbali, Syafie, Hanafi, Maliki dan lain-lain…”
[66] Mahkamah selanjutnya merujuk kepada seksyen 86 (5) EKMS yang memperuntukkan:
(5) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam seksyen ini, keterangan
hendaklah diberikan oleh dua orang saksi lelaki atau oleh seorang saksi lelaki dan
dua orang saksi perempuan.
[67] Berdasarkan kepada pendapat ulama’ dan peruntukan seksyen 86 EKMS tersebut, dapat
disimpulkan bahawa prinsip umumnya ialah selain daripada kes-kes yang dinyatakan
secara nyata bilangan saksi yang diperlukan di dalam undang-undang, semua kes
hendaklah dibuktikan dengan keterangan dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki
dan dua orang saksi perempuan.
[68] Selanjutnya seksyen 88 EKMS pula ada memperuntukkan berhubung keterangan oleh
saksi tunggal dan sumpah plaintif seperti berikut:
“Jika dalam kes mal, plaintif hanya mengemukakan seorang saksi, keterangan saksi itu
hanya boleh diterima jika keterangannya diberikan berserta dengan sumpah plaintif itu.
MISALAN
Dalam suatu tuntutan bagi pembayaran balik hutang oleh plaintif terhadap defendan,
keterangan seorang saksi yang dikemukakan oleh plaintif yang diberikan beserta dengan
sumpah plaintif hendaklah menjadi bukti yang cukup terhadap tuntutannya.”
[69] Persoalannya dalam kes bagaimanakah dan dalam keadaan bagaimanakah pemakaian
seksyen 88 EKMS tersebut? Apakah yang dimaksudkan “dalam kes mal” dalam kes
Page 20
20
tersebut? Bagi menjawab persoalan ini, Mahkamah merujuk kepada Kitab Fiqh dan
Perundangan Islam jilid 6 hlm. 670 yang menyebutkan:
“Kes-kes yang boleh dihukum berdasarkan kesaksian seorang saksi dengan sumpah.
Ulama’ mazhab Maliki, Shafie dan Ibn Qayyim mengatakan kes-kes yang boleh dijatuhkan
hukuman berdasarkan kesaksian seorang dan sumpah ialah kes harta, kes yang
bermaksudkan harta, seperti jual beli dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya
(seprti pensyaratan sifat pada barang-barang yang dijual, atau wang yang lain daripda
wang negeri) sewa, musaqah, muzaraah, mudharabah, syarikah, hibah, wasiat bago orang
atau institusi yang tertentu ataupun wakaf untuknya.
Kes lain yang boleh dihukum berdasarkan kesaksian seorang dan sumpah ialah kes rampas,
peminjam, amanah barang, sulh, iqrar dan harta atau melibatkan harta, hiwalah, ibra’
(pelupusan), tuntutan syufaah dan penggugurannya, hutang, mas kahwin, bayaran khul’,
sebutan mahar, wakalah harta dan wasiat tentang harta…”
[70] Mahkamah juga sekali lagi merujuk kepada Kitab Nizom al-Qadha’ Fi al-Islam
karangan Dr Abdul Karim Zaidan (terjemahan Mohd Saleh Hj Amad) Jld 2 hlm. 99 yang
menyatakan:
“294. Kelima: Seorang saksi dan sumpah pendakwa.
Kebanyakan para ulama berpendapat bahawa harta / mal akan sabit bagi pendakwanya
dengan ada keterangan seorang saksi san sumpah pendakwa. Diriwayatkan pandangan itu
daripada para Khulafa’ al-Rasyidin yang empat dan juga Umar Bin Abd Aziz, Syuraih,
Malik, Ibn Abi Laila, Abi Al-Zinab, Al-Syafie dan Ahmad Ibn Hanbal…”
[71] Mahkamah seterusnya merujuk kepada ulasan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Selangor dalam kes Adi Asri Bin Baharom lwn. Andini Nidia Putri kes Rayuan Mal No:
10500-055-0004-2012 [tidak dilaporkan] seperti berikut:
Page 21
21
“Prinsip ini adalah lebih sesuai diaplikasikan memandangkan tuntutan fasakh R hanya
bersandarkan kepada keterangan seorang saksi wanita sahaja yang tidak menepati kehendak
seksyen 88 EKMS 2003. Sebagai contohnya,Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah
Persekutuan Putrajaya menggunakan peruntukan seksyen 88 EKMS 2003 ini di dalam kes
Norfadzillah Binti Hashim lwn.Najmul Basri Binti Najimudin, JH 32 (2) di mana Y.A
Hakim mensabitkan dakwaan Plaintif di dalam kes harta sepencarian dengan keterangan
seorang saksi lelaki dan tanpa kehadiran Defenden.
Melihat situasi tersebut, Mahkamah berpendirian bahawa peruntukkan seksyen 88 EKMS
2003 adalah tidak sesuai diaplikasikan di dalam kes tuntutan fasakh R dan penggunaan
Yamin An-Nafi daripada P adalah lebih sesuai berbanding Yamin At-Takmilah”
[72] Berdasarkan kepada rujukan kepada pendapat ulama’, seksyen 88 EKMS dan panduan
daripada kes Mahkamah Tinggi Syariah tersebut, Mahkamah memperolehi dapatan
bahawa maksud “dalam kes mal” dalam seksyen 88 EKMS ialah kes yang melibatkan
kehartaan (maliyyah haqiqiyyah) dan bukannya kes mal sebagaimana pemahaman
dalam istilah pembahagian undang-undang semasa bagi membezakan dengan kes-
kes jenayah syariah. Berdasarkan kepada dapatan tersebut, Mahkamah ini membuat
kesimpulan bahawa pembuktian melalui keterangan seorang saksi dan sumpah
Plaintif berdasarkan seksyen 88 EKMS sahaja tidak mencukupi untuk mensabitkan
dakwaan dalam kes-kes ‘mal’ yang melibatkan munakahat sebagaimana kes fasakh
yang difailkan oleh P di hadapan Mahkamah ini.
[73] Selanjutnya setelah Mahkamah membuat kesimpulan di atas, persoalan seterusnya ialah
adakah sebarang kekurangan tahap pembuktian atau kebolehterimaan keterangan saksi
Plaintif dalam kes ini boleh ditampung dengan sumpah istizhar berdasarkan kepada
seksyen 121 (2) ETMS? Bagi menjawab persoalan tersebut, Mahkamah merujuk kepada
seksyen 121 (2) ETMS seperti berikut:
“Seksyen 121. Ketakhadiran pihak-pihak
(1) Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran—
Page 22
22
(a) tiada satu pihak pun hadir, Mahkamah boleh membuang tindakan itu;
(b) defendan tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian
wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya; atau
(c) plaintif tidak hadir, Mahkamah boleh membuang tindakan itu dan mendengar
memutuskan apa-apa tuntutan balas.
(2) Mahkamah hendaklah, sebelum membuat apa-apa penghakiman mengenai
tuntutan plaintif di bawah perenggan (1)(b) atau tuntutan balas defendan di bawah
perenggan (1)(c), mengarahkan plaintif atau defendan, mengikut mana-mana yang
berkenaan, mengangkat sumpah istizhar.
[74] Berdasarkan kepada peruntukan di atas, adakah bermaksud semua kes yang didengar
secara sebelah pihak berdasarkan kepada seksyen 121 (1) (b) ETMS boleh disabitkan
secara otomatik dengan sumpah istizhar Plaintif sebagaimana peruntukan 121 (2) ETMS
tersebut? Bagi memahami kehendak seksyen ini Mahkamah merujuk kepada kitab Fiqh
dan Perundangan Islam karangan Dr Wahbah al-Zuhaili jilid 6 hlm. 663 – 664 seperti
berikut:
“Sumpah orang yang mendakwa
Di sisi jumhur, sumpah ini ialah sumpah yang dibuat oleh orang yang mendakwa untuk
menolak tuduhan daripadanya, atau mensabitkan haknya, atau untuk menolak sumpah yang
dikenakan ke atasnya. Ia terbahagi kepada 3 jenis:
(a) Sumpah penarikan (al-yamin al-jalibah). Iaitu sumpah yang dibuat oleh orang yang
mendakwa bagi mensabitkan haknya; sama ada sumpah itu dibuat bersama seorang
saksi, (iaitu sumpah bersama saksi)…
(b) Sumpah tohmahan (yamin al-Tuhmah). Iaitu sumpah yang ditujukan kepada orang yang
mendakwa dengan tujuan supaya dibuang dakwaan yang tidak benar dibuat ke atas
orang yang daidakwa…
(c) Sumpah istizhar atau istishaq. Iaitu sumpah yang dibuat oleh orang yang mendakwa
atas permintaan qadhi bagi menolak tohmah daripadanya, sesudah dikemukakan
bukti-bukti yang diminta di dalam pendakwaan. Ia adalah menyempurnakan bukti-bukti
Page 23
23
dimana kedudukannya adalah sama seperti kesaksian (syahadah). Qadhi dapat
mensabitkan dakwaan dengannya.
Qadhi pada kebiasaannya menggunakan sumpah ini sekiranya pendakwqaan yang
dibuat ituadalah mengenai suatu hak yang berkait dengan orang yang ghaib atau
orang yang mati…”
[75] Mahkamah selanjutnya merujuk kepada Arahan Amalan No. 1 Tahun 2003: Penggunaan
Lafaz Sumpah Istizhar dalam Kes Mal:
“…penggunaan sumpah istizhar dalam kes Mal dengan ketidakhadiran Defendan dan
Mahkamah setelah mendengar semua keterangan dan hujah Plaintif dan untuk
mengelakkan tohmah maka Mahkamah hendaklah sebelum membuat keputusan bagi Plaintif
memerlukan Plaintif mengangkat Sumpah Istizhar.”
[76] Arahan Amalan No. 2 Tahun 2006: Amalan Sumpah Mahkamah Syariah pula
memperuntukkan:
8. Pelaksanaan Sumpah
(4) Setelah mendengar semua keterangan al-muddaa’ii, dan saksi-saksi serta
berpuashati dengan keterangan yang diberikan, Hakim hendaklah memerintahkan al-
muddaa’ii bersumpah Yamin Istizhar.
[77] Berdasarkan kepada rujukan pandangan ulama’ dan panduan-panduan melalui arahan-
arahan amalan yag disebutkan di atas, dapat difahamkan bahawa lafaz sumpah istizhar
bukanlah dilaksanakan dengan semata-mata setelah Mahkamah mendengar keterangan
Plaintif secara sebelah pihak sahaja, tetapi Mahkamah hendaklah terlebih dahulu
berpuas hati dengan keterangan yang diberikan telah memenuhi kehendak
pembuktian menurut hukum syarak dan undang-undang. Sumpah istizhar yang
diminta oleh hakim hanyalah bagi mengangkat tohmah terhadap Plaintif kerana
kes didengar secara sebelah pihak.
Page 24
24
[78] Yamin istizhar ini adalah berlainan dan sama sekali bukan sumpah Plaintif sebagaimana
yang disebutkan dalam seksyen 88 EKMS. Perbezaan berkenaan dua bentuk sumpah ini
dijelaskan oleh Dr Wahbah al-Zuhaili sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Sumpah
Plaintif bersama seorang saksi ialah Yamin al-Jalibah atau yamin al-takmilah, manakala
Yamin al-Istizhar ialah sumpah Plaintif dalam kes-kes dakwaan terhadap orang yang
ghaib. Istilah-istilah ini juga diterangkan dalam Arahan Amalan No. 2 Tahun 2006:
Amalan Sumpah Mahkamah Syariah seperti berikut:
LAMPIRAN A
TAFSIRAN UNGKAPAN TERTENTU
“al-Yamin al-Istizhar” ertinya sumpah yang dibuat oleh al-muda’ii atas perintah Hakim
setelah memberikan keterangan yang mencukupi dalam kes muda’i alaih yang ghaib atau
mati atau kanak-kanak yang belum baligh, atau al-safih(bodoh), atau al-mahjur (yang
dihalang mentadbirkan hartanya), majnun (gila) atau orang yang tidak sempurna akal.
“Yamin al-Takmilah” ertinya sumpah yang dilaksanakan oleh muda’i di samping keterangan
oleh seorang saksi ‘
[79] Walaupun Mahkamah ini memperolehi dapatan-dapatan seperti di atas, namun
Mahkamah ini tidaklah bermaksud keterangan bagi kes ini hanya boleh dibuktikan
dengan dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dan dua orang saksi wanita beserta
sumpah istizhar Plaintif sahaja. Mahkamah juga mengiktiraf keterangan pembuktian
melalui keterangan qarinah dan dokumentar sebagaimana yang diulas di awal alasan
penghakiman Mahkamah. Namun demikian, malangnya keterangan-keterangan secara
qarinah serta dokumentar tersebut tidak saling sokong menyokong sehingga menjadi
corroborative evidence bagi membolehkan Mahkamah ini mensabitkan dakwaan Plaintif.
[80] Berhubung keterangan qarinah (circumstanstial evidence) ini Mahkamah sekali lagi
mengambil panduan daripada Hakim Ahmad Maarop dalam kes PP v. KK [2007] 6 CLJ
367 yang menyatakan:
Page 25
25
“Ertinya, keterangan circumstantial hendaklah dilihat dan dinilaikan bersekali. Setiap
keterangan circumstantial saling sokong menyokong antara satu dengan lain. Kuat atau
tidaknya keterangan circumstantial itu bergantung kepada kesan keseluruhan (cumulative
effectnya). Persoalan yang mesti ditanya ialah apakah kesan keseluruhan keterangan
circumstantial itu? Adakah kesan keseluruhan (cumulative effect) keterangan circumstantial
dalam sesuatu kes itu membawa kepada hanya satu kesimpulan, iaitu, orang yang kena
tuduhlah yang melakukan kesalahan yang menjadi subjek pertuduhan itu? Atau adakah
terdapat penjelasan bagi keterangan tersebut.”
[81] Mahkamah mendapati keterangan P dan SP dikemukakan secara terlalu ringkas yang
menyebabkan Mahkamah ini gagal membuat dapatan yang positif terhadap dakwaan P.
Mahkamah tidak boleh membuat sebarang inferen atau anggapan fakta hanya
berdasarkan tekaan semata atau berdasarkan keterangan tidak langsung yang lemah.
[82] Sehubungan dengan itu, berdasarkan kepada rujukan-rujukan hukum syarak, peruntukan
undang-undang, ulasan dan dapatan Mahkamah tersebut, Mahkamah berpuas hati bahawa
P telah gagal membuktikan dakwaannya dalam kes ini mengikut hukum syarak dan
undang-undang.
Pensabitan Syiqaq [83] Namun demikian, berdasarkan kepada keterangan P dan SP Mahkamah mendapati
bahawa:
1.3. P mendakwa D tidak melaksanakan tanggungjawab perkahwinan iaitu D tidak
menunaikan kewajipan nafkah yang mencukupi
1.4. P mendakwa bahawa D lazim menyakiti dirinya.
1.5. P mendakwa bahawa D mempunyai hubungan dengan perempuan lain melampaui
batasan syarak; dan
1.6. P telah tidak tinggal bersama dengan D sejak 2 September 2015 sehingga kes didengar.
[84] Berdasarkan kepada dapatan-dapatan Mahkamah tersebut dan berdasarkan kepada
panduan daripada Subkaedah 3 (4) Kaedah-Kaedah Hakam Mahkamah Syariah (Negeri
Page 26
26
Selangor) 2014, Mahkamah ini berpuas hati bahawa perkahwinan P dan D telah pecah
belah (syiqaq) yang berpanjangan dan tidak dapat diselamatkan lagi.
[85] Bagi memastikan permasalahan rumahtangga P dan D dapat diselesaikan, Mahkamah
merujuk kepada peruntukan seksyen 244 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa ;
“Tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini boleh disifatkan sebagai menghadkan
atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa
perintah yang perlu untuk mengelakkan ketakadilan atau mengelakkan
penyalahgunaan proses Mahkamah”
[86] Soal “mengelak ketakadilan” ini perlu diberi perhatian di dalam kes ini memandangkan
dengan keputusan yang telah dibuat dengan tuntutan asal P dalam kes ini dan kewujudan
syiqaq masih belum ditangani. Perkara ini sepertimana yang dirakamkan oleh Allah s.w.t
dalam surah An-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan
segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila
kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu
menghukum dengan adil”
[87] Berdasarkan kuasa yang ada tersebut dan setelah meneliti catatan prosiding serta melihat
kepada keputusan kes ini, Mahkamah mensabitkan bahawa telah berlaku syiqaq di antara
P dan D. Oleh itu, pihak-pihak akan dirujuk kepada Hakam berdasarkan peruntukan
seksyen 48 EUUKIS 2003 iaitu ;
”Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (syiqaq) sentiasa
berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh
melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam
untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-
masing”
Page 27
27
KEPUTUSAN
Kes ini telah didengar dan diputuskan hari ini di bawah seksyen 53 EUUKIS 2003 dengan
dihadiri oleh P bersama Peguam Syarienya, manakala D tidak hadir. Setelah Mahkamah meneliti
dokumen yang difailkan, mendengar keterangan P dan saksi P, maka dengan ini Mahkamah telah
berpuas hati dan memerintahkan seperti berikut:
1) Mahkamah menolak tuntutan P untuk mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan
secara fasakh kerana P telah gagal membuktikan kesnya mengikut kehendak hukum
syarak dan undang-undang.
2) Mahkamah mensabit telah berlaku syiqaq yang berterusan antara P dan D.
3) Mahkamah memerintahkan kes ini dirujuk kepada Jawatankuasa Hakam di bawah
seksyen 48 EUUKIS 2003.