Tugasan Projek EDU 3083Nordina binti Razali PPG Ambilan Februari
2012 (BM 2.06)1.0 PENDAHULUAN
Menurut Trotter (1986), terdapat lima peringkat perkembangan
guru iaitu peringkat novis, peringkat novis lanjutan, peringkat
cekap, peringkat mahir dan peringkat pakar. Sebagai guru permulaan
(novis), mereka perlu menguasai bidang profesion keguruan terlebih
dahulu untuk melengkapkan diri sebagai seorang guru berkualiti
tinggi. Sehubungan itu, guru novis perlulah bersedia untuk
menghadapi cabaran dan situasi sebenar seorang guru dalam
bidangnya. Salah satu aspek yang perlu dilaksanakan ialah mematuhi
dan menghayati Kod Etika Profesion Keguruan, akauntibiliti dan
integriti guru serta Surat Pekeliling Ikhtisas.
Salah satu usaha ke arah pembangunan profesionalisme guru
permulaan, Setiap guru permulaan mesti melibatkan diri secara aktif
dalam program pementoran bagi meningkatkan dan memantapkan
penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan pengajaran
dan pembelajaran serta pengurusan sekolah. Pementoran merujuk
kepada hubungan serta komunikasi secara profesional iaitu seseorang
guru yang lebih berpengalaman atau lebih berpengetahuan membantu
guru permulaan yang baru berkhidmat di sekolah. Pementoran
melibatkan komunikasi dua hala dalam tempoh masa yang tertentu
antara seorang individu yang berpengalaman, berpengetahuan serta
mempunyai kebijaksanaan yang tinggi (mentor) dengan seorang yang
dianggap kurang berpengalaman, berpengetahuan serta kurang
berkemahiran (menti/guru permulaan).
Seorang guru seharusnya mempunyai kualiti yang khusus dan
konsisten supaya dipandang mulai oleh masyarakat. Guru yang
cemerlang seharusnya mempunyai ciri-ciri personaliti yang sesuai.
Kecemerlangan peribadi guru misalnya, perlu diamalkan bagi
merealisasikan peranan guru sebagai pemangkin wadah perjuangan
untuk pelajar membina daya pemikiran yang analitikal, kritis dan
kreatif serta membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan
diri dengan perubahan-perubahan yang berlakun di sekeliling
mereka.
Globalisasi dan perubahan dalam dasar pendidikan Malaysia yang
menuju ke arah kemajuan sosio ekonomi pula membuktikan guru perlu
meningkatkan profesionalisme diri supaya seiring dengan ledakan
maklumat terkini. Antara strategi yang membolehkan amalan refleksi
melalui penulisan reflektif/jurnal dan portfolio pengajaran,
penyelidikan tindakan, latihan profesionalisme berterusan,
perkembangan professional on-line dan aktiviti Pusat Kegiatan
Guru.
2.0 LAPORAN PEMERHATIAN TERHADAP GURU BAHARU (NOVIS).
Menurut Syed Ismail Syed Mustafa dan Ahmad Subki Miskon (2013),
kebanyakan guru permulaan dikatakan pasif, tidak kreatif,
membosankan, tidak inovatif, tidak imaginatif dan tidak dapat
merangsang pembelajaran murid. Mereka dikatakan tidak dapat
menggunakan ilmu dan idea yang dipelajari di institut perguruan di
dalam situasi bilik darjah yang sebenarnya. Mereka juga tidak boleh
menyesuaikan ilmu dan kemahiran yang didapati serta menggunakannya
di dalam pengurusan bilik darjah secara berkesan. Guru permulaan
ini boleh dikatakan hilang punca terutamanya di tahun pertama mula
mengajar.Adakah ini benar-benar berlaku? Apakah mereka gagal
dilahirkan sebagai guru yang berkualiti setelah mengikuti kursus
selama 5 hingga 6 tahun di IPG? Untuk melihat kekuatan dan
kelemahan guru permulaan atau guru novis yang baru berkhidmat di
sekolah, saya telah melakukan pemerhatian terhadap seorang guru
novis di sekolah saya yang baru dua tahun berkhidmat di Sekolah
Kebangsaan Sungai Manggis. Guru wanita yang berasal dari negeri
Kelantan ini mula berkhidmat di sekolah ini pada 7 Januari 2013
setelah menamatkan kursus Lepasan Ijazah j-Qaf di IPG selama 18
bulan.
2.1 Kekuatan dan Kelemahan Setelah melakukan pemerhatian
terhadap guru berkenaan, saya dapat melihat kesantunan guru
tersebut dalam pergaulan dan perhubungan antara guru dengan murid,
rakan sejawat, pihak pengurusan sekolah dan masyarakat setempat.
Kesantunan guru dapat dilihat dalam diri guru tersebut melalui
nilai sopan santun dalam pergaulan sehari-hari. Selain daripada
kesantunan dalam berbahasa, guru novis itu juga sentiasa menjaga
kesantunannya dalam berpakaian. Pakaian yang dikenakan amat
bersesuain dan memenuhi peraturan tatatertib dan kelakuan bagi
penjawat awam. Kesantunan tingkah lagu juga turut dijaga dalam
pelbagai situasi.Selain daripada itu, guru novis di sekolah saya
adalah seorang guru yang sangat penyayang dan mempunyai sifat
kepedulian terhadap murid. Sifat itu terserlah apabila beliau
menunjukkan sifatnya yang penyabar lebih-lebih lagi ketika
berhadapan dengan murid yang bermasalah. Beliau mampu mengawal
perasaan dan melayan kerenah murid-murid, menghormati serta
menghargai murid-murid. Sifat ambil peduli terhadap murid-murid ini
terbukti apabila beliau telah menyandang tempat kedua dalam
anugerah Guruku Sayang sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah
yang seratus peratus dipilih berdasarkan undian murid-murid.
Berdasarkan pemerhatian saya lagi, guru novis ini amat memberi
penekanan kepada penyesuaian diri mereka dengan persekitaran di
sekolah. Hubungan dengan guru besar dan guru sentiasa diberikan
perhatian utama. Dalam menjaga hubungan ini, beliau dilihat sangat
komited dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi
tanpa bantahan walaupun terdapat tugas yang difikirkan membebankan
beliau. Dapatan ini tidaklah menghairankan kerana guru novis ini
telah berusia 29 tahun, telah berkahwin dan pemah menjawat beberapa
tugas lain sebelum mengikuti latihan perguruan. Kematangan usia dan
pengalaman bertugas sedikit sebanyak meningkatkan kemahiran beliau
berkomunikasi dengan guru lain di sekolah. Bukan itu sahaja, malah
guru novis ini juga mempunyai sikap suka bergaul, rajin bertanya,
pandai berkomunikasi dan ringan tangan malah turut membantu
guru-guru yang memerlukan pertolongan bagi menjayakan sesuatu
program. Sikap positif ini secara tidak langsung dapat memudahkan
beliau meningkatkan perkembangan diri dan profesionalisme seorang
guru dalam menghadapi cabaran semasa. Namun begitu, terdapat juga
beberapa kelemahan yang dikenalpasti. Antara kelemahan guru novis
ini ialah kegagalan beliau dalam pengurusan bilik darjah seperti
mengurus dan mengawal disiplin murid. Ini mungkin disebabkan oleh
sifatnya yang lemah lembut dan tidak mudah marah sehingga terdapat
segelintir murid yang mengambil kesempatan atas kebaikan guru ini
dan membuat bising ketika P & P dijalankan. Beliau kurang
keyakinan diri untuk membentuk disiplin murid-murid.Selain daripada
itu, guru novis ini kurang menguasai isi kandungan pelajaran yang
ingin disampaikan kepada murid-murid. Beliau juga gagal merancang
aktiviti yang melibatkan murid dan membantu murid belajar di dalam
kelas. Beliau seolah-olah tidak mengaplikasikan teori pedagogi yang
telah dipelajari. Akibat daripada kelemahan tersebut, timbul
masalah kawalan kelas, masalah pelajar bersikap negatif, masalah
pelajar tidak berminat belajar, pasif dan gagal memahami pelajaran
yang diajar. Dalam erti kata lain beliau yang baru ditempatkan di
sekolah gagal menyesuaikan diri dalam persekitaran bilik darjah
sebenar. Pada pandangan saya, ini adalah kerana beliau mengalami
kejutan transisi apabila ditempatkan di sekolah kerana mendapati
latihan perguruan adalah berbeza sama sekali dengan situasi yang
beliau lalui semasa mengikuti latihan perguruan dan latihan
amali.Melalui pemerhatian saya juga, guru novis ini lemah dari segi
pengurusan masa di dalam bilik darjah khususnya semasa proses P
& P dijalankan. Pengurusan masa melibatkan penggunaan peralatan
dan kaedah atau teknik untuk merancang dan menjadualkan masa dengan
sesuai dan tepat. Peralatan dan teknik sepatutnya mampu
meningkatkan keberkesanan penggunaan masa. Namun apa yang berlaku
adalah sebaliknya. Teknik dan bahan bantu mengajar tidak dapat
diurus dengan baik sehinggakan matlamat dan objektif pengajaran
tidak dapat dicapai kerana beliau tidak dapat menamatkan sesi P
& P dalam jangka waktu yang ditetapkan. Selain daripada itu,
guru novis tersebut turut mengalami masalah dalam unit pengurusan
kokurikulum. Ini disebabkan oleh kurang pengalaman dan sikap rendah
diri yang tinggi. Saya dapati, beliau kurang signifikan dalam
membuat keputusan ketika aktiviti kokurikulum dijalankan. Beliau
juga lebih gemar diberitahu apa tindakan dan keputusan yang perlu
dilaksanakan. Namun begitu, beliau mudah bekerjasama dengan
guru-guru dalam apa jua program yang dijalankan di sekolah.
2.2 Sejauhmanakah Peranan Saya Sebagai Guru Yang Berpengalaman
Membantu Guru Baharu (Novis) Dalam Memantapkan Profesionalisme
Mereka?
Melihat kepada permasalahan ini dan berdasarkan pengalaman saya
selama 19 tahun sebagai guru, saya rasa terpanggil untuk membantu ,
memberi bimbingan, sokongan dan bantuan secara profesional bagi
pembangunan diri guru novis tersebut kerana saya percaya bahawa
setiap individu boleh berkembang. Sebagai langkah permulaan, saya
telah membimbing guru novis ini dalam penyediaan bilik darjah yang
kondusif, selesa, menarik dan persekitaran pembelajaran yang
efisien. Saya juga mengajak guru novis berkenaan membuat
pemerhatian terhadap kelas-kelas lain. Saya juga telah mengadakan
perbincangan dan bimbingan dari segi pengurusan bilik darjah
seperti pengurusan jadual waktu, buku kedatangan, organisasi kelas
dan seumpamanya. Sebagai langkah seterusnya, saya telah membantu
guru novis berkenaan membuat perancangan pengajaran dalam bilik
darjah supaya dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan
berkesan. Saya juga membimbing beliau membuat perancangan
pengajaran, pedagogi dan bahan bantu belajar yang sesuai termasuk
penggunaan ICT dalam P & P. Saya juga memberi ruang kepada guru
novis ini memerhatikan saya menjalankan sesi P & P di dalam
bilik darjah untuk dijadikan panduan selain memberikan respon
tentang kekuatan dan kelemahan selepas melakukan pemerhatian semasa
guru novis ini menjalankan sesi pengajaran dan pembelajarannya.
Dalam bidang kokurikulum pula, saya telah mengadakan perbincangan
secara formal dan tidak formal bersama guru novis ini tentang
aktiviti kokurikulum di sekolah serta prosedur perlaksanaannya di
peringkat sekolah mahupun peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Selain itu, guru novis ini juga diberikan cabaran dan tanggungjawab
untuk mengendalikan aktiiviti-aktiviti kokurikulum bagi memantapkan
kemahiran dan kebolehan guru tersebut.Sebagai guru berpengalaman,
saya telah menjadikan diri saya sebagai rakan sekerja dan teman
sosial bagi guru novis ini agar dapat mempengaruhi perkembangan
guru berkenaan. Dalam proses menyesuaikan diri ini, saya telah
menjadi rakan untuk berbual dan tempat untuk berkongsi masalah.
Saya juga cuba sedaya upaya saya memberi sokongan emosi kepada guru
novis ini sebagai menyokong emosinya agar dapat membantu guru novis
ini mengurangkan tekanan terhadap masalah-masalah yang dihadapi di
sekolah. Saya juga membantu beliau menyesuaikan diri dengan keadaan
di sekolah seperti menunjuk ajar perkara-perkara yang berkaitan
dengan perjawatan,menjadi penghubung bagi mengenali dan bekerjasama
dengan guru lain serta teman untuk mendengar atau membincangkan
masalah-masalah di sekolah dengan harapan saya dapat menimbulkan
semangat beliau untuk mendidik anak bangsa di sekolah
ini.Kesimpulannya, guru permulaan atau guru novis harus lebih
proaktif dan berusaha melonjakkan profesion keguruan ke arah yang
lebih baik lagi. Guru yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan tersebut
pasti dapat menyediakan suasana bekerja yang tenang dan berdaya
saing secara positif. Pada masa yang sama, murid dapat menimba ilmu
dengan bersemangat dan seronok. Ini adalah kerana barisan guru
mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terpuji dan mulia. Di samping
itu juga, guru janganlah memandang mudah profesion keguruan ini.
Memetik keratan artikel Perubahan Tugas Pendidik Pada Era Digital
(2009), ...kerjaya ini memerlukan mereka mempunyai kualiti,
berketerampilan, berwibawa, berkelayakan, minat, iltizam dan
berjiwa pendidik...bagi melahirkan lebih ramai tokoh guru
terbilang. Maka, guru perlulah menyahut cabaran tersebut dengan
menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk menjadi seorang tokoh
yang terbilang pada suatu hari nanti.
3.0 ANALISIS ARTIKEL PERSONALITI DAN KEMAHIRAN MENURUT PANDANGAN
MD NASIR MASRAN (2000).
Md. Nasir Marlan ( 2000 ) dalam kertas prosiding bertajuk Guru
Cemerlang : Personaliti dan Kemahiran telah memberikan pandangannya
tentang kecemerlangan peribadi yang meliputi perkara berikut iaitu
nilai kendiri yang positif, berakhlak mulia, adil , bertimbang rasa
, amanah , bertanggung jawab, kreatif, inovatif, kema , sikap sedia
berkongsi, bersikap terbuka dan berpemikiran positif . Saya telah
memilih 5 kriteria yang dinyatakan oleh beliau untuk membantu saya
dalam perkembangan profesionalisme diri saya sebagai seorang guru.
Kriteria yang menjadi pilihan saya ialah adil , amanah,
bertanggungjawab, inovatif dan kemas . Personaliti membawa maksud
satu konsep yang menggambarkan keperibadian seseorang manusia.
Manakala mengikut Dictionary of Psychology (1973), personaliti
ditakrifkan sebagai hasil paduan sifat fizikal, mental, emosi,
nilai dan perlakuan seseorang manusia dalam perhubungan sosialnya,
sebagaimana yang dilihat oleh manusia. Dalam konteks perguruan,
sifat-sifat personaliti yang positif iaitu yang baik, sesuai
berkesan dan mulia pada seseorang guru atau ahli professional
keguruan merujuk kepada personaliti seseorang guru. Seseorang guru
yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya
dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan pelajar-pelajarnya
dikatakan mempunyai personaliti yang tinggi dan melambangkan
profesionalisme dirinya.Sifat adil adalah personaliti guru yang
dapat membantu dalam perkembangan profesionalisme diri saya.
Bersikap adil dalam konteks profesionalisme seseorang guru
banyak berkait rapat dengan sesuatu keputusan yang dibuat. Guru
sentiasa diperlukan dalam membuat sesuatu keputusan khususnya
berkaitan dengan murid-muridnya dengan adil.Sama ada di dalam atau
di luar bilik darjah. Guru perlu membuat pertimbangan yang
sewajarnya berlandaskan peraturan dan prinsip yang sedia ada. untuk
mengelakkan setiap keputusan yang dibuat tidak berat sebelah atau
berpihak kepada satu pihak sahaja, contohnya, guru perlu melayani
kehendak murid secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, latar
belakang murid dan sebagainya. Ini bagi mengelakkan wujudnya
perasaan benci dan sikap ingin memberontak di kalangan murid
terhadap guru tersebut. Ketidakadilan akan menjejaskan proses
pengajaran dan pembelajaran guru dan menyebabkan murid tersebut
tiada kerjasama dalam proses pengajaran dan pembelajaran disamping
mempengaruhi murid-murid yang lain. Justeru, saya perlu mempunyai
sikap yang adil dalam apa sahaja perkara yang dilakukan agar saya
dapat memberikan hak yang sama rata kepada semua murid saya tanpa
dipengaruhi oleh apa jua sekalipun. Sikap adil ini sekiranya
diamalkan dalam kehidupan saya sebagai seorang guru sudah pasti
akan dapat memperkembangkan lagi profesionalisme dalam diri
saya.Ini bertepatan dengan pendapat Ryans (1964) bahawa guru yang
efektif ialah guru yang memiliki ciri ciri peribadi seperti
bersikap adil dan tidak memilih kasih.
Sifat amanah yang dinyatakan oleh Md. Nasir Masran juga tidak
kurang pentingnya dalam membantu perkembangan profesionalisme saya.
Amanah mempunyai berkaitan dengan kepercayaan yang diberikan kepada
seseorang individu untuk melakukan sesuatu tugas atau perkara yang
dipertanggungjawabkan. Menurut M. Ali Hassan (1978), Amanah itu
adakalanya berbentuk titipan benda, rahsia, tugas, jabatan dan
sebagainya Dalam konteks profesionalisma keguruan, seseorang guru
harus mempunyai sikap amanah. Saya sebagai seorang guru telah
dipertanggungjawabkan oleh masyarakat dan negara untuk mendidik,
mengasuh, membimbing dan membentuk anak murid menjadi insan yang
berguna, berdaya saing, berinovasi, sentiasa ingin maju dan
sebagainya kepada bangsa dan negara. Saya perlu menyampaikan ilmu
dan fakta yang benar serta melaksanakan setiap tugas yang
diamanahkan sama ada oleh pihak kementerian, jabatan, sekolah dan
masyarakat selagi ia berkaitan dengan profesion seorang guru..
Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, saya juga perlu
menerapkan nilai amanah dalam diri murid dengan tegas terhadap
tugasan yang diberikan agar ia dihantar tepat pada waktunya dan
jujur iaitu tidak meniru tugasan atau kerja rumah.. Saya juga perlu
menyiapkan tugas yang diamanahkan kepada saya tepat pada masanya
tanpa bertangguh atau menyerahkannya kepada rakan sejawat yang
lain. Ini sudah tentu akan membantu saya meningkatkan
profesionalisme saya dalam profesiaon perguruan di sekolah. Sifat
amanah yang digalas seorang guru melambangkan integriti dirinya
sendiri yang merupakan satu tanggungjawab yang amat besar dan perlu
dilunaskan sebaik mungkin.
Tanggungjawab adalah satu istilah yang mempunyai hubungan yang
sangat rapat dengan profesion perguruan.Oleh itu saya perlu
betul-betul memahami apakah yang dimaksudkan dengan tanggungjawab
seorang guru agar ianya dapat membantu saya meningkatkan
profesionalisme keguruan saya. Ridwan Halim ( 1988 ) mendefinisikan
tanggungjawab sebagai suatu akibat lebih lanjut dari pelaksanaan
peranan, baik peranan itu merupakan hak maupun kewajipan ataupun
kekuasaan. Guru mempunyai tanggungjawab terhadap pelajar, rakan
sejawat, masyarakat dan negara juga tanggungjawab terhadap ibu
bapa.Saya perlu melaksanakan tanggungjawab seorang guru terhadap
anak murid iaitu dengan mengutamakan kebajikan dan keselamatan
pelajar daripada hal-hal yang lain dan mengambil berat tentang
permasalahan pelajar tidak kira apa juga keadaan, agama, dan
bangsa. Saya perlu membimbing atau mengajar pelajar tanpa
mengharapkan ganjaran dan sentiasa memelihara dan memperbaiki
kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan kursus ikhtisas
, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran saya mencapai mutu yang
setinggi tingginya demi masa depan pelajar.
Tanggungjawab terhadap rakan sejawat pula ialah tidak membuat
sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik
seseorang guru. Amalan saling tolong-menolong, sikap toleransi dan
menghormati guru-guru yang lain adalah senario guru di sekolah yang
seharusnya saya amalkan. . Oleh itu, sikap membantu rakan sejawatan
terutamanya mereka yang baru menyertai profesion perguruan
merupakan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan di sekolah agar
profesionalisme dalam diri saya dapat ditingkatkan
lagi.Tanggungjawab guru kepada masyarakat dan negara iaitu tidak
menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh mencemarkan nama baik negara
ataupun ajaran yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun
Negara juga memupuk sikap dalam diri pelajar agar menjadi
warganegara yang taat setia, dan menghormati adanya perbezaan
kebudayaan keturunan dan agama. Nilai murni yang diamanahkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia perlu diutamakan bagi mencerminkan
keperibadian saya sebagai seorang guru yang
profesional..Tanggungjawab guru terhadap ibu bapa, saya perlu
mewujudkan hubungan yang mesra dan kerjasama yang erat serta
merahsiakan segala maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan
anak-anak mereka. Saya perlu menggunakan maklumat yang diterima
daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana. Mengelakkan diri
daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh
menjejaskan kepercayaan ibu bapa terhadap guru. Tanggungjawab yang
dilaksanakan dengan cekap dapat meningkatkan peranan profesional
keguruan saya.
Saya juga perlu memiliki akhlak mulia seperti yang dinyatakan
oleh Md. Nasir Masran dalam usaha meningkatkan profesion saya.
Seorang pendidik perlulah menjadi tauladan yang baik kepada para
pelajarnya ( Gamal, 2003 ) Mereka perlu sentiasa menunjukkan contoh
teladan kepada para pelajar, ini kerana sebagai seorang duta
ilmu,pengetahuan , kelakuan dan tindak tanduk mereka sentiasa
diperhatikan ( Ab Halim, Hamdi, Rosadah & Safani , 2013 ) .
Oleh itu saya perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan
akhlak mulia supaya ianya akan dicontohi serta memastikan
kelangsungan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Guru perlu
meningkatkan kemampuannya untuk membentuk pelajar agar memiliki
keperibadian dan berakhlak mulia. Menurut Jahangir Mahmud ( 2010 ),
guru perlu berperanan sebagai pengurus, fasilitator ,ahli
psikologi, pakar rujuk, inovator, penilai,agen perubahan dan
pemimpin. Dalam kepelbagaian peranan seorang guru, guru seharusnya
memilikisifat dan kualiti yang baik dari segi peribadi,
professional dan sosial agar dapat menjalankan tugas sebagai
pendidik dengan lebih sempurna. Guru yang berjiwa pendidik pasti
mampu membimbing pelajarnya untuk memiliki nilai keinsanan dengan
kualiti peribadi dan jalinan sosial yang baik. Menurut Rashidy
Jamil al-Rashid (2011), bagi meningkatkan kualiti peribadi seorang
pendidik, pendidik seharusnya membersihkan jiwanya terlebih dahulu
sebelum membimbing manusia. Oleh itu matlamat atau tujuan
pendidikan perlu jelas di kalangan para pendidik sebelum mereka
boleh membimbing pelajar kejalan yang lurus dan seterusnya mampu
membezakan diantara kebenaran dan kepalsuan (Wan Mohd. Noor, 2005).
Kriteria seorang guru yang kreatif juga turut disarankan oleh Md.
Nasir Masran bagi mencapai kecemerlangan peribadi. Kreatif
dimaksudkan sebagai kebolehan untuk mencipta serta menghasilkan
sesuatu idea. Seorang guru yang berkesan sentiasa memperbaiki diri
untuk menjadi seorang yang kreatif. Guru yang mengamalkan ciri-ciri
kreatif bukan sahaja perlu menghasilkan dan mencipta benda baru,
tetapi yang penting seorang guru amat penting mengkaji, menyelidik
ilmu dan kemahiran pengajaran bagi menyampaikan ilmu pengetahuan
kepada anak didiknya. Guru yang kreatif akan sentiasa mencuba
benda-benda dan idea-idea baru untuk menarik minat murid-muridnya
dalam pengajaran dan pembelajaran. Seorang guru yang berkesan
sentiasa merebut peluang yang ada untuk penambahbaikan bukan hanya
untuk dirinya tetapi juga kepada murid-murid khususnya dan pihak
sekolah amnya. Imu yang diperolehi dapat dikongsi dan diguna
bersama bagi memajukan diri dan sekolah ditambah pula dengan
kepesatan teknologi pada abad ini, jika guru-guru tidak berusaha
meningkatkan kemajuan diri dan mencuba benda-benda baru,
murid-murid akan mudah bosan dan seterusnya tidak berminat untuk
mengikuti pengajaran yang disampaikan oleh guru. Pendidikan
dianggap paling berkuasa untukmempengaruhi kreativiti seseorang
individu itu (Aaser 1993). Di samping itu,pendidikan juga dianggap
sebagai faktor yang boleh dikawal oleh masyarakatberbanding
faktor-faktor yang lain (Levine 1996). Justeru itu ramai
cendiakiawantermasuklah para pendidik, ahli psikologi, dan ahli
politik telah mempersoalkanperanan yang telah dimainkan oleh
elemen-elemen penting dalam pendidikanseperti kurikulum, sekolah
dan lebih khusus lagi para guru dalam membangunkankreativiti,
kemahiran, sikap dan kemampuan pelajar (Levine 1996).4.0 AMALAN
REFLEKTIF DALAM KEGURUANMalaysia merupakan sebuah negara yang
membangun dan sedang giat berusaha untuk mencapai taraf sebuah
negara maju. Oleh itu, pendidikan adalah bidang yang sangat penting
untuk dikukuhkan memandangkan kemajuan bagi sesebuah negara adalah
bergantung kepada kejayaan sistem pendidikan yang dijalankan.
Sistem pendidikan yang berjaya akan dapat membantu menghasilkan
rakyat yang mempunyai kepakaran dari pelbagai bidang. Profesion
perguruan adalah satu profesion yang mulia dan amat penting dalam
proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara.Guru berperanan
sebagai penyampai ilmu dan kemahiran kepada pelajar dalam mencorak
mereka.Ungkapan guru diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri
bagi menyinarkan kehidupan para pelajar adalah sangat bertepatan.
Namun, sebagai guru, kita harus peka terhadap perubahan yang
berlaku dalam pendidikan.Al-Farabi menggunakan pelbagai istilah
untuk menerangkan konsep pendidikan yang secara tak langsung
merupakan peranan seorang guru. Baginya tujuan pendidikan ialah
untuk mendisiplin (tadib), melatih (tahdhib), membimbing (tasdid),
mengajar (talim), mengasuh (tarbiya), dan menaksir (taqwim). Tugas
guru ialah untuk mendidik pelajar ke arah mencapai kebahagiaan dan
keseumpurnaan (bermoral tinggi) kerana manusia dicipta untuk tujuan
ini.Menurut Al-Farabi, pendidikan adalah penting untuk semua orang
kerana tanpa pendidikan, manusia tidak akan mencapai kebahagian dan
kesempurnaan yang diidam-idamkan. Amalan dan pemikiran refleksi
terhasil daripada cetusan idea yang dikemukakan oleh Dewey (1933)
dalam bukunya yang berjudul How We Think. Walaupun gagasan idea ini
sudah agak ketinggalan zaman namun penggunaannya dalam bidang
perguruan tidak dapat dipisahkan.Ini dibuktikan dengan wujudnya
pelbagai kajian berkenaan pemikiran dan amalan refleksi yang
dilaksanakan oleh para penyelidik pendidikan di seluruh dunia dari
semasa ke semasa (Van Manen, 1977; Schon, 1983; Boud et al., 1985;
Pollard dan Tann, 1990; Hatton dan Smith, 1995; McAlpine et al.,
1999; Corcoran dan Leahy, 2003; Nor hasniza dan Muhammad Yusof,
2005; Nor Hasniza et al., 2006; Ooi, 2006). Oleh yang demikian ,
wajarlah setiap orang guru sentiasa merefleksi proses pengajaran
dan pembelajaran yang dijalankan. Ia bagi tujuan memperbaiki
prestasi pengajarannya. Melakukan amalan refleksi dapat membolehkan
guru membuat penilaian kendiri. Dengan kata lain guru tersebut
mengamalkantindakan reflektifiaitu satu bentuk inkuri refleksi
kendiri terhadap amalan yang dilakukan, di mana guru menjadi lebih
sedar terhadap amalan mereka sendiri dan menjadi lebih kritis
terhadap amalan tersebut.Jurnal Reflektif (JF) juga dikenali
sebagai log pembelajaran adalah himpunan rekod yang didokumenkan
berasaskan pengalaman pembelajaran. Ia adalah kerangka yang
membolehkan seseorang individu merekod, mencatat dan membuat maklum
balas terhadap permasalahan yang diperhatikan serta memberikan
respons terhadap permasalahan tersebut. Setiap maklumat yang telah
dirakam boleh digunakan kembali untuk membuat penafsiran, analisis,
dan kritikan berdasarkan cara berfikir dan konteks yang dialami
oleh guru. Jurnal yang dihasilkan juga boleh sama ada dalam bentuk
penulisan, paparan imej, lakaran, dan lain-lain jenis sumber
rujukan yang berkaitan.Jurnal Reflektif dapat digunakan bagi tujuan
merekodkan pembangunan idea-idea dan wawasan guru / atau kumpulan.
Manakala konteks yang diberikan dan ia boleh melibatkan konsep,
idea, dan isi atau permasalahan yang dihadapi dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran. merenung kembali kandungan subjek dan
pengalaman peribadi sebagai satu cara untuk meningkatkan pemahaman
penyelesaian masalah. menganalisis pembelajaran kendiri yang
bersesuaian dengan diri sendiri untuk dikongsi bersama ke arah
memajukan diri orang lain. Ia dapat membina suatu kerangka
pembelajaran yang baru bersesuaian dengan keperluan semasa
berasaskan pengalaman peribadi serta persekitaran.Refleksi memberi
peluang guru menganalisis diri serta menyedari tentang kekuatan dan
kelemahan diri. Dengan ini, guru dapat membuat pengubahsuaian serta
membaiki proses pembelajaran mereka dengan efektif. Antara strategi
yang boleh dilakukan oleh guru untuk meningkatkan profesionalisme
mereka ialah penulisan jurnal/reflektif. Ia sebagai jentera untuk
mereflek secara sistematik dan merangsangkan pemikiran reflektif.
Kajian menunjukkan aktiviti ini merupakan salah satu strategi
terbaik untuk mendorong guru mengamalkan penyiasatan reflektif dan
penilaian kendiri terhadap isu-isu pengajaran dan pembelajaran
(Bolin, 1988; Richert, 1990; Zeichner & Liston, 1987).Portfolio
ialah satu koleksi dokumen pencapaian dan langkah-langkah yang
dapat diambil dan dilakukan untuk melengkapkannya. Koleksi ini
merupakan satu usaha dan kerjasama dalam kalangan guru dan
pelajaruntuk menentukan tujuan, kandungan dan kriteria penilaian ke
atas Portfolio. Penilaian portfolio dibuat berdasarkan kepada
koleksi pelajar sepanjang tahun. Ia merupakan salah asatu cara yang
terbaik untuk menunjukkan pencapaian akhir dan cara menunjukkann
apa yang pelajar benar-benar boleh lakukan.Ia menunjukkan
pencapaian pelajar dari segi kerja bertulis, seni, projek sains,
pemikiran sejarah atau matematik. Akhirnya Portfolio adalah satu
cara untuk memotivasikan pelajar ke tahap yang lebih tinggi.
Satu lagi strategi guru mampu meningkatkan profesionalisme diri
ialah menjalankan penyelidikan tindakan tentang semua aspek yang
berkaitan dengan pengajaran. Idea-idea baru tentang kaedah-kaedah
mengajar dalam pengajaran perlu diterokai. Budaya penyelidikan,
penulisan dan pembacaan wajib dipupuk di kalangan guru untuk
meningkatkan perkembangan profesionalisme diri serta bertindak
secara professional.Ia merupakan satu jenis penyelidikan yang
berbentuk renungan kendiri dan melibatkan penyelidik sendiri
mengkaji amalan yang lazim dalam bidang tugas mereka.I adalah satu
kaedah penyelidikan yang kini digunakan dengan meluas dalam
pendidikan. Kebanyakan guru menggunakannya dengan tujuan
memperbaiki pengajaran mereka. Kaedah ini juga menggalakkan guru
memikirkan dengan mendalam tentang pengajaran mereka.Guru dengan
ini mengumpulkan dan membuat pentafsiran data untuk memahami dengan
mendalam aspek-aspek tertentu pengajaran dan berlainan dengan
kaedah penyelidikan lain kerana ia bertumpu kepada penyelidik
melihat diri sendiri dan memperbaiki pengajaran. Bagi meningkatkan
profesionalisme, setiap guru perlu memperbaiki dirinya dengan
mengubah kelazimannya. Ia suatu proses di mana guru menyemak
semula, membaharui dan melanjutkan komitmen mereka sebagai agen
perubahan terhadap tujuan pengajaran; mereka menguasai dan
memperkembangkan secara kritikal pengetahuan, kemahiran serta
kecerdasan pelbagai yang diperlukan dalam pengajaran (Day, 1999).
Salah satu dimensi profesionalisme ialah kerelaan untuk melanjutkan
pemahaman mereka terhadap pengajaran dan menghalusi kesenian
mereka.
Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan
kini memasuki satu lagi era baharu. Peranan guru pada masa dahulu
hanya tertumpu sebagai penyampai ilmu. Berbanding sistem pemudah
pendidikan kini, guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara
pengetahuan yang seharusnya lebih bersedia dan peka dalam
melahirkan dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara
cekap dan berkesan. Selaras dengan perubahan peranan pendidik ,
guru harus lebih inovatif, kreatif dan efektif dalam penyampaiannya
serta sentiasa memikirkan pendekatan baharu untuk mengadaptasikan
amalan mereka dengan kehendak pelajar sebagai knowledge worker
dalam era revolusi maklumat abad ke-21.Guru yang professional juga
perlulah menguasai kemahiran untuk menggunakan teknologi maklumat.
Ini kerana bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami
perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman
teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi
dunia telah banyak membawa pelbagai cabaran kepada kerjaya
perguruan. Ilmu dan kemahiran dalam teknologi dan info komunikasi
yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemangkin kearah
menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti.
Profesionalisme perguruan seterusnya memerlukan seorang guru
berpengetahuan dan berdaya fikir serta berakhlak. Guru dalam
profesion keguruan ini perlu menjadi seorang tokoh yang serba tahu,
khususnya setiap aspek yang berkaitan dengan sistem pendidikan.
Guru diharapkan dapat membawa isu-isu semasa untuk perbincangan dan
mencari penyelesaiannya bersama-sama murid di dalam kelas.
Guru boleh meningkatkan profesionalisme diri dengan mengadakan
perjumpaan dengan guru-guru lain di Pusat Kegiatan Guru (PKG) untuk
membincangkan dan membuat refleksi sesama mereka pengalaman
mengajar topik-topik tertentu di samping mendapat input-input baru
daripada fasilitator yang pakar dalam bidang-bidang tertentu.
Guru-guru dapat menilai diri sendiri tentang pengajaran, memperoleh
maklumbalas daripada rakan-rakan, membaca penulisan reflektif
rakan-rakan dan berkongsi maklumat tentang strategi-strategi
pengajaran dan pembelajaran. Apabila mereka mereflek dan membincang
sesama rakan tentang pengalaman pengajaran, mereka akan menjadi
more thoughtful teachers. Dengan cara ini, guru akan dapat
menambahkan ilmu, ketrampilan dan berkongsi pengalaman bagaimana
hendak memilih strategi terbaik untuk menyelesai masalah pengajaran
dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran seperti yang dinyatakan
oleh Fullan dan Hargreaves (1993) bahawa guru perlukan interactive
professionalisme.
Perkembangan profesionalisme guru secara berterusan adalah aspek
yang patut ditekankan oleh pentadbiran dan Institusi Pendidikan
termasuk sekolah. Ianya perlu dijadikan sebagai aktiviti wajib
dalam usaha untuk menginstitusikan konsep pembangunan sumber
manusia. Sekiranya aspek ini tidak dititikberatkan ianya akan
menjejaskan profesion perguruan.
Seiring dengan arus perubahan dalam era teknologi dan
globalisasi guru sentiasa perlu membuat refleksi mendalam tentang
diri sendiri dan amalan pengajaran dan pembelajaran. Usaha guru
untuk meningkatkan profesionalisme diri dari segi keilmuan,
ketrampilan dan kemahiran serta pembentukan sahsiah yang berakhlak
mulia perlu dititikberatkan. Ini kerana kualiti guru adalah asas
kepada kecemerlangan pelajar dan sekolah. Manakala kewibawaan guru
adalah tunggak kepada profesionalisme guru.
Bibliografi
Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2013).Asas
Kepimpinan & Perkembangan Profesional. Selangor : Penerbitan
Multimedia sdn. Bhd
Fatimah Bunyamin (2012). Nota Cinta untuk Guru. Kuala Lumpur:
Must Read Sdn. Bhd.
Norbi Husin (2011). Memecah Masalah (Soal Jawab Guru). Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdullah Md Zain. (2007). Ulul Albab: Pendekatan Islam Hadhari
kea rah melahirkan modal insan terbilang. Kertas Kerja Seminar Ulul
Albab. Anjuran JAKIM. Kuala Terengganu, 21 September 2006.hal
40.
Boon, P. Y. (2002). Amalan Reflektif Kearah Peningkatan
Profesional Guru. Journal IPBA/Jilid 3 : Bil 2.
Dr Abd Yusof. (2007). Guru dan kepentingan amalan reflektif:
satu kajian kes. Journal Akademik, Institut Perguruan Kota Bharu.
Jilid 13.
Ishak Saat. (2009). Pendidikan Negara Bangsa Malaysia. Shah
Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.
Md. Nasir Masran (2000), Guru Cemerlang: Personaliti dan
Kemahiran (Prosiding Seminar Kebangsaan penyelidikan dan
pembangunan dalam pendidikan 2000 : Bahagian Pendidikan Guru,
KPM
https://www.scribd.com/doc/19389892/Jurnal-Sosialisasi-Guru-Permulaan-Di-Sekolah-Rendah
http://deriakacamata.blogspot.com/
14