ISU SOSIAL DALAM NOVEL ALUN HIDUP MENERUSI TEORI
SOSIOLOGIDisediakan Oleh WAN MOHAMMAD FAIQ IBTISAM BIN WAN
ALIBacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa
Pertama)Jabatan Bahasa dan KemanusiaanFakulti Pengajian
PendidikanUniversiti Putra [email protected]
Makalah ini menumpukan penganalisisan karya yang bersifat
kemasyarakatan yang melihat kehidupan manusia dan lingkungan isu
sosial. Analisis bersasaskan teks novel yang berjudul Alun Hidup
karya Khadijah Hashim menerusi teori sosiologi. Pendekatan ini
adalah kaedah yang digunakan bagi melihat pengaruh masyarakat, isu
sosial dan nilai terhadap kehidupan masyarakat dalam novel Alun
Hidup. Hasil telitian mendapati isu sosial masyarakat dan pengaruh
nilai kemasyarakatan terpancar di dalam novel ini. Novel ini mampu
membentuk suatu pegangan masyarakat yang ingin berjuang kepada
kehidupan yang berjaya dalam melalui liku-liku keperitan hidup.
Kajian menumpukan juga kepada aspek sosiologi yang melibatkan
hubungan penulis, masyarakat dan kesusasteraan itu sendiri.
Kata kunci: teori sosiologi, isu sosial, nilai
kemasyarakatan.
PENGENALANPerkembangan yang dinamik dalam dunia sastera kini
memperlihatkan kehadiran penulis daripada pelbagai bidang. Penulis
yang tersedia ada dan juga kehadiran penulis baru telah menambah
rencah dan warna-warni dalam karya kreatif. Penulis mempunyai
sumbangan yang tertentu dalam masyarakat kerana setiap manusia
mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing terhadap
masyarakat. Realiti kehidupan manusia dan alam persekitaran penulis
yang diadun bersama pengalaman merupakan luahan penulis dalam
menghasilkan sesebuah karya melalui daya kreativiti dan
imaginasinya.Hasil karya tidak tercipta dalam kekosongan, ini
bermakna sastera bukan hasil seseorang penulis sahaja tetapi apa
yang lebih penting ialah hakikatnya penulis juga terikat dengan
ruang dan waktu serta bertanggung jawab terhadap masyarakatnya
(Scott,1972). Menurut Sugihasti (2002), penulis berusaha untuk
memahami lingkungan sosialnya dan mengkaji tindak balas dengan alam
persekitarannya. Kelompok pembaca juga berusaha untuk memahami dan
menyatakan makna yang dimaksudkan oleh penulis melalui
karya.Kehidupan masyarakat yang pelbagai bentuk dan ragam menjadi
ilham penulis untuk berkarya. Karya yang dicipta merupakan fenomena
sosial yang menggambarkan kehidupan dalam sesebuah masyarakat.
Pelbagai teori dan pendekatan yang diterapkan banyak memberi
manfaat kepada para pengkaji yang mahu melakukan penyelidikan
berkaitan sosial masyarakatnya. Teori sosiologi dilihat sebagai
pendekatan yang mampu mengkaji dan melihat aspek kemasyarakatan
dalam sesebuah karya.
TEORI SOSIOLOGISosiologi merupakan salah satu bidang sains
sosial. Walaupun sosiologi bersumberkan bidang sains sosial, namun
ia tetap mempunyai hubungkait dengan kesusasteraan. Sosiologi
melibatkan pelbagai perkara yang melibatkan latar sosial masyarakat
baik di dalam teks mahupun di luar teks. Aspek-aspek yang menjadi
teras kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti ekonomi, politik,
budaya dan etika sosial akan turut dilihat sebagai unsur-unsur
penting yang mempengaruhi penulisan sesebuah karya. Teori sosiologi
atau pendekatan kemasyarakatan merupakan teori bercorak kontekstual
atau ekstrinsik. Teori ini membicarakan aspek luaran teks seperti
sudut latar belakang pengarang, meneliti hubungan, peranan dan
fungsi sastera terhadap masyarakat. Menurut Mana Sikana dalam
Koleksi Teori Sastera, teori sosiologi menilai sastera dengan
meneliti aspek sosial atau kemasyarakatannya dan menganalisis
hubungan teks dengan isu politik, ekonomi, budaya dan aspek-aspek
lainnya yang membangunkan sesebuah masyarakat. Teks juga dilihat
sebagai kesan pengaruh masyarakat terhadap kehidupan manusia.
Masyarakat membentuk sistem dan pelbagai kelaziman yang kemudian
turut membentuk ideologi dan fahaman yang diikuti oleh sesebuah
komuniti, masyarakat dan negara.Pendekatan sosiologi tidak dapat
lari dari turut membicarakan tentang pengkarya. Aspek sosiologi
pengkarya akan diteliti sama. Sebelum memasuki perbicaraan
intrinsik karya, riwayat hidup pengarang termasuk tempat lahir,
sosialisasi, pendidikan, alam sekitar, status sosial, nilai-nilai
kehidupan dan sebagainya hendaklah ditinjau dahulu (Mana Sikana,
1983:110) Menggunakan teori sosiologi dalam kritikan kesusasteraan,
pengkritik perlu mendalami ilmu sosiologi. Pengkritik perlu mahir
dalam aspek-aspek sosiologi yang berkait dengan teks dan pengkarya
di samping mampu menghubungkan sosiologi itu dengan
kesusasteraan.Teori sosiologi menegaskan bahawa hasil sastera
mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat, terutama
masyarakat pembaca. Di antara satu dengan yang lain, saling
memerlukan dan bekerjasama. Dalam konteks hubungan sastera dengan
masyarakat jika dilihat dari sudut sosiologi adalah lebih intim dan
kompleks seperti antara teori dan praktis. Ini membuktikan pengaruh
masyarakat terhadap sesebuah karya sastera itu amat kuat.
Masyarakat mempunyai pengaruh terhadap penciptaan dan nilai
sastera. Walaupun kehidupan masyarakat dijadikan bahan untuk
berkarya, namun bahan tersebut telah dipilih dan disaring derta
diberi tanggapan sendiri oleh penulis. Semasa berkarya, mereka juga
masih terikat dengan ruang dan waktu. Oleh itu, seseorang penulis
perlu bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej sama ada dalam
bentuk peringatan, nasihat atau panduan kepada pembaca. Pemikiran
perlu berhubung dengan persoalan masyarakat dan kemasyarakatan
terungkap dalam aspek sosiobudaya, sosiopolitik dan
sosioekonomi.Menurut Mana Sikana (1986:106-107) pula, terdapat dua
konsep pendekatan sosiologi. Pertama adalah melihat karya sastera
sebagai cerminan sejarah, terutama mengenai sejarah perkembanagn
ekonomi, teknologi dan perhubungan kelas. Tegasnya pendekatan ini
melihat konfrantasi dan pertikaian yang berlaku dalam masyarakat
sebagai sumber inspirasi penulis dan tugas mereka ialah
mencerminkan atau menggambarkan peristiwa yang terjadi, di samping
aspek perwatakan turut di rakamkan. Watak-watak perlu mengammbarkan
sifat individu, personal dan berperibadi seperti yang telah
ditentukan dalam masyarakat. Sebuah karya sastera tidak akan
menjadi agung dan bermutu tinggi sekiranya menjelajahi masyarakat
serta kehidupan manusia sedalam-dalamnya. Keterlibatan penulis
selalunya akan menolong penciptaan sesebuah karya yang lebih
serius, kerana teori ini amat mengambil kira latar pengarangnya.
Pencipta tidak boleh terasing daripada masyarakatnya. Mereka
mestilah hidup bersama. Hal ini memperlihatkan bahawa karya sastera
dalam apa jua bentuk mempunyai pertalian yang rapat dengan
masyarakatnya.
BIODATA PENULISNama sebenar penulis novel Alun Hidup ialah
Khadijah binti Hashim yang lahir pada 20 April tahun 1942 di Batu
Pahat Johor. Beliau menerima pendidikan awalnya di Johor dan
kemudian buat beberapa waktu menjadi seorang guru agama. Selepas
itu beliau berkhidmat di Utusan Melayu kerana minatnya terhadap
kerjaya wartawan kemudiannya berpindah ke Berita Harian.Jumlah
penulis wanita amat sedikit bilangannya dan penulis-penulis wanita
amat mudah diingati. Antaranya Zurinah Hassan, Adibah Amin, Fatimah
Busu, Salmah Mohsintermasuk juga Khadijah Hashim. Khadijah Hashim
merupakan salah seorang penulis daripada penulis wanita yang paling
aktif menghasilkan berbagai bentuk sastera kreatif. Beliau juga
pernah mencipta beberapa buah drama radio sebelum menceburi bidang
penulisan cerpen dan novel.Beliau lebih dikenali sebagai penulis
novel dan telah menghasilkan 19 novel. Novel Badai Semalam
merupakan novel sulungnya yang terbit pada tahun 1968, diikuti oleh
Jalan Ke Kubur pada tahun 1969, Pelangi Pagi (1971) dan Di Tengah
Kabus (1980). Sejak 1968, Khadijah Berjaya menerbitkan novel demi
novel termasuk novel yang dikaji dalam kajian ini iaitu novel Alun
Hidup.Sebagai penulis cerpen pula, Khadijah lebih menekankan
persoalan mengenai keluarga. Khadijah memperlihatkan sikapnya
terhadap keharmonian dan kedamaian hidup di desa dan membenci
kekalutan hidup. Dalam kebanyakan cerpen Khadijah, meskipun
menggambarkan susasana biasa tentang keluarga, namun masih terasa
tujuan penulis yang menghendakkan pembacanya berfikiran jauh dan
dalam terhadap amanat yang cuba disampaikan. Di sinilah terlihatnya
keistimewaan Khadijah Hashim dalam bercerita. Kelihatan sederhana
tetapi penuh bermakna.Novel pertama dan paling terkenal hasil
karyanya iaitu novel Badai Semalam (1968) yang digunakan sebagai
buku teks di Singapore dan Malaysia. Novel ini telah diterjemah ke
bahasa Inggeris, Storms of Yesterday, oleh Mahani Abdul Hamid pada
1991 danbahasa Sepanyol, "Tormentos del ayer", oleh Alberto Balanza
dan Yahia pada 2010. Badai Semalam diterbitkan beberapa kali dan
terkini adalah pada 2006 oleh Alaf21 dalam siri novel nostalgik.
Versi Inggeris turut diterbitkan semula pada 2009 oleh Institut
Terjemahan Negara Malaysia di bawah Siri Penulisan Malaysia
(Malaysian Literature Series).Novel Merpati Putih Terbang Lagi
memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan menulis sepuluh tahun
kemerdekaan Malaysia. Novel ini turut diterjemahkan ke bahasa Jepun
oleh Tatsun Hoshino. Novel Exiled telah dicalonkan bagi Anugerah
Penulisan Dublin IMPAC Antarabangsa ("International IMPAC Dublin
Literary Award") pada 1997. Novel Langkah Pertamanya telah
memenangi Anugerah Buku Kanak-kanak Mobil-MABOPA pada tahun 1995.
Khadijah merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara pada
1999 dan menamatkan Program Penulisan Antarabangsa di Universiti
Iowa pada tahun 1994. Siri buku kanak-kanaknya, Siri Lagenda, Siri
Aura dan Fauna dan Siri Teladan dari Rimba telah diterjemah ke
dalam bahasa Inggeris oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia
(2009).Daripada sumbangan yang diberikan oleh penulis wanita yang
pemalu ini, kita melihat bahawa beliau mempunyai potensi besar
untuk memberikan karya yang lebih baik dan indah dari apa yang
pernah diberikan. Khadijah Hashi merupakan tokoh yang agung dalam
bidang penulisan dan juga sebagai seorang penulis wanita yang
matang.
SINOPSIS NOVEL ALUN HIDUPNovel Alun Hidup hasil karya Khadijah
Hashim bertemakan kehidupan manusia yang penuh cabaran. Novel ini
mengisahkan mengenai kehidupan Awang dan Milah sekeluarga yang
ingin berhijrah dari Kesang ke Sungai Berembang untuk berdikari
mencari kehidupan yang lebih baik dan selesa. Awang yang dulunya
menumpang hidup sekeluarga bersama ibu mertuanya. Dia bekerja
sebagai nelayan untuk menyara keluarga. Awang sedar bahawa sudah
sampai masanya untuk berhijrah dan hidup sendiri. Dia malu kerana
asyik menumpang tinggal dengan ibu mertuanya. Awang nekad untuk
berhijrah ke Sungai Berembang dan menjadi seorang petani.Hasrat
Awang untuk berpindah keluar dari rumah itu ditentang oleh ibu
mertuanya kerana ibun mertuanya tidak mahu berpisah dengan anak dan
cucunya. Pelbagai tentangan yang diterima oleh Awang tetapi dia
tidak menghiraukannya. Awang tetap juga ingin berdikari sebagai
seorang petani di Sungai Berembang. Isterinya Milah berat hati
untuk meninggalkan tempat asalnya dan ibunya yang tercinta tetapi
perlu juga ikut kerana taat dan kasih kepada suami. Awang sedar
bahawa penghijrahannya in akan mendapat pelbagai cabaran dan dugaan
untuk memulakan hidup baru. Banyak liku-liku yang ditempuhi untuk
menjadi petani di Sungai Berembang. Walau bagaimanapun, Awang
banyak di tolong oleh Abang Malim dan Kak Joyah. Permulaannya Awang
menumpang di tanah Abang Malim sementara dapat membina rumah baru
di tanahnya sendiri.Pelbagai suka duka Awang lalui bersama
keluarganya yang tersayang. Isterinya Milah bersama anak-anaknya
Asmah, Zaitun, Yusuf, Adam dan Husin bersama-sama berusaha untuk
mencipta kesenangan hidup di Sungai Berembang. Awang yang kuat
berusaha sedaya upaya menjadi seorang petani dan sesekali berlayar
dan menceburi dalam bidang perniagaan. Orang-orang kampong Sungai
Berembang turut membantu Awang sekeluarga walaupun ada juga ada
yang mencela. Begitu banyak keperitan, suka dan duka awang
sekeluarga menempuh cabaran untuk menyara hidup di dalam kehidupan
yang penuh pancaroba. Terpampang detik-detik kesusahan dan kesayuan
Awang sekeluarga dalam menepuhi ranjau perjalanan dan liku-liku
untuk mendapat kesenagan dalam hidup. Begitulah Alun Hidup seorang
manusia.
ISU SOSIAL DALAM NOVEL ALUN DARI SUDUT TEORI SOSIOLOGI
i) Pengaruh Latar Belakang Sosial Pengarang Terhadap Novel Alun
Hidup
Kehidupan penulis yang berasal daripada masyarakat kampung yang
sederhana di Sungai Tongkang mempengaruhi setiap penciptaan
karyanya. Khadijah banyak menulis karya berkaitan dengan
kemasyarakatan dan mempengaruhi dalam menghasilkan karya Alun
Hidup. Alun Hidup yang memaparkan masyarakat kampung yang tinggal
berdekatan dengan sungai untuk berkebun dan sungai pula yang
dijadikan sebagai sumber mencari rezeki. Awang yang dulunya
menumpang ibu mertuanya yang tinggal dilaut berpindah ke Sungai
Berembang untuk membina kehidupan baru disana. Rancangan untuk
berpindah ditentang oleh ibu mertuanya.
Awang menarik nafas panjang sambil menyedut udara malam yang
nyaman mengingatkan kata-kata ibu mentua. Tetapi matanya tegak ke
hadapan. Tangannya kejap memegang tali layar menjaga kemudi melayan
angin. Hatinya sudah bulat untuk menetap di Sungai Berembang yang
bertanah subur. Meninggalkan kampung halaman bukan kerana merajuk,
tetapi ingin mencuba penghidupan baru. Ingin memiliki sebidang
tanah untuk dijadikan tapak tempat berteduh. Hampir empat belas
tahun tinggal bersama ibu mentua sudah dirasa pahit manisnya.
(Novel Alun Hidup: 2)
Khadijah Hashim merupakan pernah manjadi guru agama. Hal ini
menyebabkan novel Alun Hidup mempamerkan masyarakat yang beragama
Islam dan hidup berlandaskan kepada agama. Kampung Sungai Berembang
mempunyai surau untuk penduduk solat berjemaah. Haji Syawal selaku
ketua kampung dan juga imam di sana.
Sebelah rumah haji Syawal tu rumah siapa? tanya Milah. Itu
surau, abang dah pernah sembahyang di surau itu sekali. (Novel Alun
Hidup: 12)
Walaupun penulis dikatakan mempunyai latar belakang agama.
Masyarakat dan watak yang ditonjolkan mempunyai perwatakan agama,
namun terdapat kelemahan pada perwatakan yang masih lagi
mempercayai perkara kurafat. Bertentangan dengan penulis yang
mempunyai latar belakang agama. Masyarakat dalam novel Alun Hidup
sepatutnya dilihat sebagai masyarakat yang patuh pada ajaran agama,
namun longgar dengan adanya adegan kurafat seperti Kak Joyah yang
menggunakan tepung tawar untuk menghalau jin daripada rumah yang
baru diduduki oleh Awang. Kak joyah sudah jauh ke
hadapan.peranannya ialah hendak menepung tawar rumah itu sebelum
dimasuki orang baru.Buang hantu syaitan, kata Pawang Busu. (Novel
Alun Hidup: 43)
Apabila sampai di halaman rumah, masing-masing menunggu Joyah
selesai menyempurnakan acara tepung tawar di sekeliling rumah.
Tepung tawar yang cair seperti tepung menggoreng pisang itu
direnjis-renjis dengan menggunakan daun ribu-ribu dan daun sepulih.
Akhirnya daun itu diletakkan di penjuru rumah. (Novel Alun Hidup:
43)
Dilihat Awang yang juga mempercayai kepada perkara kurafat
walaupun diceritakan bahawa Awang mempunyai pegangan agama. Dalam
novel ini, Awang mengambil batu daripada perut buaya yang
dipercayai buntat untuk mendatangkan rezki yang banyak. Sedangkan
kepercayaan agama Islam yang meletakkan rezeki itu hanya datang
daripada Allah jika kita berusaha.buat main-main saja, Abang Delip,
jawab Awang tersipu-sipu. Tetapi di dalam hatinya sudah terpaku
malah yakin bahawa batu itu akan jadi tangkal, mana tahu! Fikirnya
penuh harap. Lagipun bikan senang hendak dapat batu dari perut
buaya. Batu sungai pun siapa pun boleh pungut. (Novel Alun Hidup:
69)
Milah menurut saja apa kata suami. Hatinya riang tidak terkira
kerana sudah dapat buntat buaya.Ini tentu petanda baik, alamat
murah rezeki, detiknya. (Novel Alun Hidup: 70)
ii) Isu Sosial Dalam KaryaIsu sosial dalam novel Alun Hidup
dilihat melalui situasi sesebuah masyarakat yang dipaparkan dalam
mengambarkan sesuatu masyarakat. Hal ini juga diterangkan keadaan
masyarakat yang mengalami perubahan sosial dan segala anjakan
masyarakat termasuklah pengorbanan dan perjuangan untuk melahirkan
masyarakat yang berjaya. Pada permulaan novel Alun Hidup yang
berkisar tentang masyarakat yang hidup di laut iaitu Awang yang
menumpang ibu mertuanya dalam menjalani kehidupan seharian. Awang
tidak sanggup untuk hidup menumpang dan terperuk dalam situasi
sebegitu kerana sudah berkeluarga dan ingin hidup berdikari. Awang
dianggap sebagai individu dalam masyarakat yang ingin berubah dan
berjuang untuk kejayaan dalam keluarganya. Awang mengambil risiko
berpindah ke Sungai Berembang dan ingin memulakan hidup sebagai
petani kerana dia melihat masyarakat di Sungai Berembang hidup
selesa dengan hasil berkebun. Hal ini diceritakan dalam novel ini
melalui petikan berikut:Awang menarik nafas panjang sambil menyedut
udara malam yang nyaman mengingatkan kata-kata ibu mentua. Tetapi
matanya tegak ke hadapan. Tangannya kejap memegang tali layar
menjaga kemudi melayan angin. Hatinya sudah bulat untuk menetap di
Sungai Berembang yang bertanah subur. Meninggalkan kampung halaman
bukan kerana merajuk, tetapi ingin mencuba penghidupan baru. Ingin
memiliki sebidang tanah untuk dijadikan tapak tempat berteduh.
Hampir empat belas tahun tinggal bersama ibu mentua sudah dirasa
pahit manisnya. (Novel Alun Hidup: 2)
Sungai Berembanglah kampung baruku anak-beranak, detiknya riang.
Kemudian memandang ke arah Milah yang duduk di bawah kajang menjaga
anak-anak yang nyeyak tidur. Awang tidak mahu menganggu Milah yang
sedih kerana berpisah dengan ibu dan kaum keluarga. Milah membantah
pada mulanya, tetapi dapat diyakinkan oleh Awang bahawa untuk masa
depan anak-anak dia mesti cuba hidup sendiri, bukang bernaung di
bawah ketiak ibu aoalagi memikirkan keluarga empat orang
adik-beradiknya yang tinggal sama di rumah itu semakin membesar.
(Novel Alun Hidup: 4)
Petikan tersebut jelas menunjukkan kepada masyarakat yang ingin
berubah kehidupannya mejadi lebih baik. Awang berusaha dan
memberanikan diri menanggung risiko berpindah ke Sungai Berembang
untuk menjalani kehidupan yang lebih baik walaupun dia tahu
pelbagai cabaran yang akan menimpanya kelak.
Seterusnya, isu sosial masyarakat dibangkitkan dalam novel ini
berkait rapat dengan kesusahan dan kepayahan dalam menjalani
kehidupan untuk berubah kepada kehidupan yang lebih baik. Novel ini
melukiskan begitu banyak usaha dan pengorbanan yang perlu dilakukan
untuk menjalani kehidupan dalam kemiskinan. Awang digambarkan
bersusah payah mengerjakan kebun miliknya supaya mendapat hasil
seperti Abang Malim dan jiran-jiran yang lain yang sudah hidup
senang dengan hasil kebun masing-masing. Kegigihan Awang
ditonjolkan dalam petikan tersebut:Kita tebang yang ini dulu,
kemudian yang tengah. Akhir sekali, yang itu, Abang Malim
mengarahkan. Awang mengikut saja. Kapak bermata tajam selebar tapak
kaki sudah dicapai lalu dihayunkan dengan kalimah Bismillah. (Novel
Alun Hidup: 74)
Kalau dah kejap, turun. Kita mula menebang, kata Abang Malimyang
sudah bersedia dengan kapak di tangan. Setelah menakuk batang leban
yang ketiga ini separih dalamnya, abang amlim punberhenti untuk
merokok. Asap rokok daun itu sekurang-kurangnya menghalau
nyamuk,agas yang menghurung mukanya. Dia mengelap muka yang terasa
rimas dan panas dengan kain ikat kepala. Baju sudah basah dek
peluh. Muka Awang sudah merah padam. Dia duduk di tunggul melepas
lelah sementara menunggu arahan seterusnya. (Novel Alun Hidup:
77)
Petikan ini memaparkan kesungguhan dan kegigihan Awang untuk
berkebun. Semangat yang kental untuk awal kerjanya membersihkan
hutan bersama Abang Malim untuk dijadikan tapak kebun nanti. Selain
itu, Awang juga mnunjukkakn kegigihan dan usaha untuk menyara
keluarga dengan mencari pendapatan yang lain. Awang yang masih
mengerjakan kebunnya tetap juga ingin ikut belayar ke Singapura
untuk mendapatkan duit lebih dan mendapatkan keperluan untuk
sekeluarga. Awang juga keluar belayar untuk mencari modal berniaga
sementara menunggu kelapanya berbuah untuk mcncari duit lebih bagi
menampung kehidupan sekeluarga. Masyarakat Sungai Berembang
dikatakan tidak hidup dengan hasil berkebun sahaja tetapi juga
hasil daripada belayar menjual kelapa kering di Singapura.
Contohnya di dalam petikan berikut:Kata Endut dan Kemat, untung
lagi ambil upah belayar ke Singapura membawa kelapa kering Tauke
Guan di Sungai Labu. Kata Kemat sepuluh atau dua belas hari paling
lewat sudah balik. Dapat upah boleh beli beras, mancis, tepung dan
kain pelikat sehelai dua. (Novel Alun Hidup: 4)
Petikan berikut mengenai Awang yang turut mengikut Endut dan
Kemat belayar ke Singapura untuk mendapat pendapatan yang lebih.Apa
pun ramalan Milah, Awang tetap pergi mengikut Kemat Belayar ke
Singapura malam itu. Milah sibuk membungkuskan bekal apa yang ada.
(Novel Alun Hidup: 170)
Milah tidak dapat menahan Awang daripada berkawan rapat dengan
Kemat dan Endut. Mereka adalah rakan belayar yang rapat. Kalau
tidak berlayar mana nak cari duit untuk membeli beras. (Novel Alun
Hidup: 175)
Di samping itu, novel Alun Hidup juga membincangkan mengenai
falsafah dan budaya kemasyarakatan yang menggambarkan masyarakat di
Sungai Berembang yang hidup saling tolong menolong dan bekerjasama
antara satu sama lain. Kesusahan yang menimpa ahli masyarakat akan
terus dibantu oleh ahlinya. Diceritakan dalm novel ini bahawa
masyarakat Kampung Sungai Berembang bekerjasama membantu Awang
mendirikan rumah baharu. Hal ini dipaparkan dalam petikan
berikut:Selapas sembahyang jumaat minggu lepas sudah diberitahu
bahawa hari khamis ini Awang akan berpindah ke hulu dan minta
sekalian ahli jemaah datang bergotong-royong mendirikan rumah.
(Novel Alun Hidup: 320)
Selain itu, dalam novel ini juga menunjukkan sesuatu peristiwa
atau kesusahan yang menimpa ahli masyarakat akan dimaklumkan kepada
ketua kampung yang merupakan ahli yang tertinggi dalam masyarakat
Kampung Sungai Berembang. Awang yang ingin berpindah ke Sungai
Berembang juga meminta izi daripada Haji Syawal yang merupakan
ketua kampung di situ. Awang berjumpa dengan Haji Syawal sebagai
tanda hormat kepada ketua yang merupakan ahli tertinggi dalam
masyarakat. Kata Abang Malim:Adat hidup di kampung, mestilah tahu
siapa ketua, siapa imamnya, cetus Abang Malim tenang, setenang air
Sungai Berembang.Hidup sekampung ni macam aur dengan tebing. Erat.
Rapat. Bersatu.berpakat, tambahnya. (Novel Alun Hidup: 23)
Permasalahan yang menimpa kepada penduduk masyarakat juga
didahulukan kepada ketua dalam ahli masyarakat kerana tanggungjawab
seorang ketua untuk berbakti kepada ahli masyarakat. Dikisahkan
dalam novel mengenai Pak Ngah Kasah yang dibaham buaya turut diadu
kepada Haji Syawal kerana beliau merupakan ketua kampung dan juga
mahir dalam perubatan Islam. Hal ini digarap dalam petikan
berikut:Awang sama bangun ke tangga. Di kala itu nampak Munip
berlari-lari mendapatkan Haji Syawal yang sudah pun turun
tangga.Ada apa , Munip?Pak Ngah Kasah dibaham buaya.Buaya?Di mana
dia? Abang Malim Terkejut sama. (Novel Alun Hidup: 31)
Dengan kalimah Bismillah, Haji Syawal memulakankerja membuka
balutan yang basah dengan darah itu. Pak Ngah Kasah mengerang kecil
menahan sakit. Dengan berhati-hati Haji Syawal membuangkan balutan
itu hinggalah ke balutan yang akhir (Novel Alun Hidup: 35)
Isu sosial kemasyarakatan dilihat juga berdasarkan kepada
masyarakat melayu yang masih percaya kepada pantang larang yang
diwarisi sejak turun temurun. Adat dan pantang larang merupakan
kebiasaan dalam masyarakat melayu. Adat dan pantang larang ini
merupakan teguran kepada tabiat atau perkara yang tidak baik untuk
dilakukan. Oleh itu, masyarakat mencipta perkara ini disebabkan
kepada kebiasaan berlakunya kejadian disebabkan perkara-perkara
yang tidak baik. Milah merupakan ahli dalam masyarakat yang
mempercayai lagi adat dan pantang larang dalam kehidupan. Pantang
larang ini diikuti oleh anak-anaknya yang telah masak dengan
pantang-larang yang diajar oleh Milah. Teguran Milah yang menyebut
kepada pantang larang masayarakat melayu pada masa itu menjadi
pegangan dalam hidupnya dan anak-anak. Tegur Milah kepada anaknya
di dalam novel ini:Asmah mahu meragut buah berembang yang bergayut
di tepi sungai, tetapi dilarang oleh Milah.Jangan! Jangan dulu.
Kita baru di sini. Jangan buat peranagi tak tentu, tegah Milah yang
masih kuat dengan pantang larang. (Novel Alun Hidup: 10)
Siapa cakap? tengking Milah yang tidak berkenan anak dara
suntinya bercakap tentang orang lain.Kak cempaka kata,Kak Mah pun
tahu.Zainab menggosok paha yang lebam. Asmah mengetap bibir geram.
Aku pula yang dikaitnya! Asmah cemas.jangan masuk campur hal orang
tua-tua, tak baik, tegah Milah, seperti memberi amaran. (Novel Alun
Hidup: 139)
Milah yang menjaga pantang larang menegur setiap perkara yang
dilarang apabila dibuat oleh anaknya. Perkataan tak baik merupakan
suatu sumpahan atau kata keramat yang memberikan amaran yang tidak
baik menjadi pegangan dalam diri anak-anaknya. Hal ini menyebabkan
Milah juga terikut akan pantang larang yang diajarkan oleh Milah.
Kata Asmah dalam menegur soal pantang larang:Jangan menyanyi di
dapur, nanti dapat laki orang tua! Tegur Asmah apabila mendengar
cempaka menyanyi.Cempaka serta- merta berhenti menyanyi lalu
bertanya, siapa kata? Suaranya cemas dan Asmah dengan Zainab ketawa
terkekeh-kekeh seperti amat geli hati.Mak kata, sahut Asmah. (Novel
Alun Hidup: 53)
iii) Aspek Nilai Dalam KaryaTeori sosiologi menelti aspek nilai,
iaitu teks yang dihasilkan dinilai dalam konteks sosialnya. Dalam
novel ini, nilai ketabahan dalam masyarakat dibentuk melalui
penceritaan kegigihan Awang sebagai watak utama berjuang untuk
membela nasib keluarga di Sungai Berembang. Ketabahan diri Awang
diceritakan di setiap genap penceritaan dari awalnya sehingga akhir
novel ini. Kata Awang:Aku bekerja keras siang malam itu semata-mata
hendak melihat anak-nak hidup senang. Bukan macam aku merempat
sebatang kara. Kebun di hulu itu akan aku luaskan. Bukan setakat
itu saja. Kalau boleh setiap orang anak kita ada tanah untuk tapak
rumah masing-masing, kata Awang, penuh azam. (Novel Alun Hidup:
255)
Namun, ketabahan hati seorang ibu yang menerima ketiadaan
anaknya. Milah redha kepada Allah di atas pinjaman sementara
anaknya Husin yang meninggal dunia akibat demam panas. Ketabahan
dilihat daripada rasa syukurnya kerana masih memilik suami yang
bertanggungjawab dan anak-anaknya yang lain. Sedutan di dalam novel
seperti berikut:Milah termanggu pilu. Hatinya ngilu bagai dihiris
sembilu. Dan air mata tidak dapat dibendung lagi. Di kala dia
menoleh ke belakang dilihat Asmah dan Zainab terpaku
memerhatikannya dengan wajah sedih dan bingung. Dipeluknya
anak-anak itu seerat seperti tidak mahu berpisah. Asmah masih ada,
detiknya. Zainab masih sihat, Yusuf, Adam. Tidak bersyukurkah aku?
soalnya seperti mencari kekuatan baru. Sekali lagi dia melempa
pandang ke halaman. Awang dan anak-anak menjirus batas-batas terung
yang baru ditanam. Milah mengesat air mata dan turun ke halaman.
Pada saat itu dia ingin sekali bersama mereka.(Novel Alun Hidup:
339)
Nilai kasih sayang dalam masyarakat di tonjolkan melalui kasih
sayang kepada anggota masyarakat, sayang akan tempat tinggal dan
kasih sayang ibu kepada anak. Dipaparkan dalam cerita Zainab yang
sudah sayang untuk meninggalkan tempat baru dan tanamannya.
Kasihnya Milah pada Kak Joyah yang selalu menolongnya dan akhirnya
terpaksa berpindah ke tempat lain juga kasih sayang ibu kepada
anaknya.Seterusnya, nilai keagamaan yang ditonjolkan dalam
masyarakat Sungai Berembang. Masyarakat Sungai Berembang dilihat
sebagai anggota masyarakat yang beragama dan menerapkan nilai-nilai
keislaman dalam kehidupan. Mereka berkumpul untuk mendengar ceramah
agama dan setiap perkara yang ingin dilakukan pada hari-hari yang
istimewa dalam Islam supaya pekerjaan mendapat keberkatan.Bila pula
pindah?Cadangnya esok, sebelum matahari tegak, kata Awang.Esok
Jumaat. Sangat baik berpindah pada pagi Jumaat yang mulia.
Mudah-mudahan selamat kau anak beranak. (Novel Alun Hidup:
29)Beberapa orang lelaki sudah ada menunggu Pak Kiai Kudus tiba
dari rumah Haji Syawal. Malam semalam dia membaca kitab di surau
dekat rumah Haji Syawal. Petang ini diundang ke rumah Abang Malim
pula. Begitulah orang alim dari seberang ini disambut oleh ahli
kampung sehingga seminggu lamanya kemudian baru beredar ke kampung
sebelah. (Novel Alun Hidup: 105)
Dilihat pula dari sudut perubahan kepada kehidupan beragama.
Milah yang dulunya hidup di Kesang begitu leka dan melupakan
suruhan Allah. Apabila berpindah ke Sungai Berembang yang
dekelilingi oleh masyarakat yang kuat beragama dan orang alim,
Milah berubah dan lebih bagus dalam menunaikan solat. Berikut
seperti dalam petikan:Tertegun Milah mendegarnya sambil
berfikir-fikir. Betul aku sudah bekerja kuat membuat kebun, tetapi
belunlah semewah abang Malim, cukuplah makan anak-beranak
lebih-lebih lagi setelah Awang berniaga. Tetapi bekal di akhirat
itu rasanya sikit sangat, sembahyangku ambil sempat saja. Dulu
waktu di Kesang lagi dahsyat, tidak pernah kenal tikar sembahyang.
Sekarang setelah diajar, tahu juga mendirikan sembahyang,
syukurlah, detiknya. (Novel Alun Hidup: 261)
iv) Aspek Kesan Dan Pengaruh Karya Terhadap MasyarakatTeori
sosiologi sangat memberikan penekanan dalam aspek kesan dan
pengaruh. Sesebuah karya yang dibaca seharusnya memberi kesan
kepada pembaca. Aspek pengaruh berbeza dengan kesannya. Terdapat
perbezaan antara kesan dan pengaruh. Kesan menekankan reaksi atau
implikasi karya terhadap pembacanya. Pengaruh juga melihat aspek
implikasi dan reaksi, tetapi tidak sahaja kepada pembaca malah
kepada kesusasteraan itu sendiri.Kesan novel Alun Hidup kepada
pembaca iaitu Alun Hidup menerapkan sikap ketabahan dan kegigihan
sesebuah masyarakat berjuang dalam meneruskan hidup. Dari awal
hingga akhirnya diceritakan kesungguhan dan keperitan hidup Awang
sekeluarga membela nasib keluarga. Selain itu, Alun Hidup juga
menerapkan dan menceritakan masyarakat yang hidup di dalam komuniti
bersama. Kesusahan yang menimpa ahli masyarakat akan dibantu sesama
mereka. Kesenangan yang dimiliki juga dikongsi bersama. Petikan
menujukkan kerjasama yang ditunkkan dalam masyarakat Sungai
Berembang yang bersama-sama ingin membunuh buaya yang menyerang Pak
Ngah Kasah dan juga gotong royong mendirikan rumah Awang:Semua ahli
Kampung Sungai Berembang dan kampung berdekatan yang berjemaah pada
hari itu bersetuju hendak membunuh buaya yang mencakup jari Pak
Ngah Kasah. (Novel Alun Hidup: 58)
Selapas sembahyang jumaat minggu lepas sudah diberitahu bahawa
hari khamis ini Awang akan berpindah ke hulu dan minta sekalian
ahli jemaah datang bergotong-royong mendirikan rumah. (Novel Alun
Hidup: 320)
Seterusnya ialah kesan kepada masyarakat yang menunjukkan
kepentingan pendidikan dalam ahli masyarakat. Masyarakat Sungai
Berembang tidak mempunyai ahli masyarakat yang mempunyai latar
belakang pendidikan kecuali pendidikan agama. Sungai Berembang
tidak memilik sekolah untuk anak-anak warga Kampung Sungai
Berembang. Kepentingan pendidikan diterap dalam kisah Awang yang
ingin berpindah ke Sungai Labu kerana ingin menyekolahkan anak-anak
lelakinya. Diceritakan dalam petikan berikut: Mereka duduk di
tangga dengan papan batu yang dibawa sama dari Kesang. Umur sepuluh
tahun baru masuk ke sekolah maka sempatlah belajar tiga tahun untuk
mengenal huruf dan mengira. Yusuf yang berumur sepuluh tahun itu
sempat belajar beberapa bulan saja dan tidak dapat bersekolah
semula kerana Sungai Berembang tidak ada sekolah. (Novel Alun
Hidup: 94)
Cepat kita pindah ke hulu lebihlah baik. di hulu sekat dengan
jalan simen. Di hulu dekat dengan sekolah di Kampung Sungai Labu.
Anak-anak yang tiga orang itu mesti sekolah, kata Awang, seperti
mengingatkan Milah supaya tabah dan kerja keras untuk mengumpul
wang membeli papan dan zink. (Novel Alun Hidup: 266)
Aku tidak mahu anak-anakku buta huruf seperti kita. Aku tidak
mahu anak-anak Cuma setakat tahu mengaji dan mengira sampai
sepuluh. (Novel Alun Hidup: 266)
Namun begitu, pendidikan pada waktu dan di Sungai Berembang
tidak seperti mana pada masyarakat lain. Kesan yang mencacatkan
apabila perempuan tidak perlu disekolahkan dan dipinggirkan
daripada pendidikan pada ketika itu di Sungai Bembang. Di tempat
lain telah ada pendidikan bagi anak-anak perempuan. Seperti dalam
petikan:Di Singapura, Milah, anak-anak perempuan pun pergi sekolah,
jelasnya. Milah diam mendengarnya, tetapi dalam hati merungut.
Mentang-mentanglah dia selalu ke Singapura, kita yang di tepi hutan
ini hendak dibandingkan dengan orang bandar besar! (Novel Alun
Hidup: 266)
Anak-anak perempuan hanya diberi pendidikan agama dan belajar
untuk menguruskan rumahtangga dan menunggu untuk dipinang oleh
mana-mana lelaki. Seperti dalam petikan berikut:Ah, anak perempuan
buat apa disekolahkan! Sampai umur akan dipinang orang dan tinggal
di ceruk dapur juga, kata Kak Joyah. Benar juga itu, fikir Milah.
Tidak lama lagi dia akan mempunyai anak dara seperti Cempaka
dipinang orang. Anak itu perlu tahu mengaji, menjahit dan memasak.
(Novel Alun Hidup: 95)
Pengaruh novel ini diteliti dari sudut nilai keagamaan.
Penceritaan mengenai masyarakat yang hidup dalam keagamaan yang
utuh iaitu masyarakat yang beragama Islam. Diterapkan dalam novel
setiap kehidupan yang mengikut norma-norma agama. Diselitkan dengan
pesanan-pesanan agama secara terangan.Oleh itu, novel Alun Hidup
sempat menyelitkan mesej-mesej agama dimana Awang yang menasihati
Milah supaya hidup tidak hanya mengejar dunia tetapi juga akhirat.
Kata Awang:Kita hidup ni bukan setakat hendak senang di dunia.
Siang malam cari duit saja, tapi kita hendak senang di akhirat
nanti. Awang selalu bersyarah balik apa yang didengarnya di surau.
(Novel Alun Hidup: 261)
Begitu juga pesan Kak Joyah kepada Milah semasa ketiadaan Awang
di rumah. Milah dipaksa untuk balik di Kesang tanpa kebenaran. Kak
Joyah menegas Milah berbuat demikian dengan nasihat-nasihat agama.
Seperti di dalam petikan berikut:Berdosa meninggalkan rumah semasa
suami tidak ada, kata Kak Joyah yang sedikit sebanyak tahu hukum
agama kerana rajin mendengar tuk guru membaca kitab.125
Juga mengenai nasihat agama yang diterangkan oleh Pak Kiai Kudus
di dalam novel sewaktu memberi ceramah agama:Ibadat itu bukanlah
khas kepada sembahyang lima waktu sahaja. Bekerja mencari nafkah
anak isteri dikira ibadat juga. Balasan daripada Allah ialah
pahala. Tetapi yang penting mestilah ikhlas, tidak menipu orang.
Allah menyuruh umatnya mencari rezeki di muka bumi ini, di laut
atau di hutan asalkan jangan lupa mentaati hukum Allah, nasihat Pak
Kiai Kudus dengan suara besar parau. (Novel Alun Hidup: 109)
KESIMPULAN Sosiologi adalah suatu telaah yang objektif dan ilmiah
tentang manusia dalam masyarakat dan tentang sosial dan proses
sosial itu tumbuh dan berkembang. Pendekatan ini bertolak daripada
pandangan bahawa sastera merupakan pencerminan kehidupan suatu
masyarakat. Dalam analasis novel yang dilakukan oleh penulis dengan
pendekatan sosiologi lebih menitik beratkan terhadap
perkara-perkara sosial yang terdapat dalam novel ini. Dari sudut
teori sosiologi, Khadijah Hashim mencipta Alun Hidup dengan
memaparkan gaya hidup masyarakat dalam novel ini yang menggambarkan
pelbagai permasalahan dan keadaan masyarakat yang menepati dengan
keadaan masyarakat hidup pada masa itu. Penulis begitu teliti
menceritakan keadaan semasa masyarakat berkaitan dengan
kepercayaan, suasana, perasaan dan sebagainya menepati dengan alam
melayu pada masa itu.Akhir kata, penelitian novel ini dari sudut
teori sosiologi sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembaca yang
mengamati setiap yang berlaku di dalam novel ini. Semoga apa yang
dibaca dapat diamati dan dijadikan sebagai bahan dan pengajaran
dalam hidup untuk menjalani kehidupan yang sebenar bagi melalui
cabaran hidup pada waktu ini dan dalam masa yang akan datang.
Semoga novel Alun Hidup menjadi suatu pegangan masyarakat untuk
menjalani penghidupan dan perubahan kepada masyarakat yang lebih
berjaya.
RUJUKANAbdul Halim Ali, 2011. Pengantar Teori & Krtitikan
satera Barat dan Malaysia: Persatuan Penulis Budiman
Malaysia.Arbaie Sujud, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, 2006.
Sastera Melyu Suatu Pengantar. KualaLumpur: Tinta Press Sdn
Bhd.Khadijah Hashim, 2012. Alun Hidup. Selangor: K Publishing Sdn.
BhdMana Sikana, 1983. Aliran dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.Mana Sikana, 1986. kritikan Sastera :
Pendekatan dan Kaedah, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd. Mana Sikana, 2013. Koleksi Teori Sastera. Selangor: Pustaka
Karya.
RUJUKAN LAMAN
SESAWANGhttp://www.mykarya.net/2012/11/biodata-khadijah-hashim.htmlhttp://teorisastera.blogspot.com/2010/05/pendekatqan-sosiologi.htmlhttp://www.slideshare.net/momeetry/dr-nik-sem-6http://mimbarkata.blogspot.com/2013/02/perkembangan-kritikan-sastera-malaysia_28.html
21