SOALAN 1
Pada separuh kedua abad ke-19, Johor di bawah pemerintahan
Sultan Abu Bakar lebih stabil berbanding Negeri-negeri Melayu
pantai barat seperti Selangor dan Perak. Bincangkan.
Pendahuluan (3/2) Pada separuh kedua abad ke-19, Johor yang
ketika itu ditadbir oleh Sultan Abu Bakar adalah lebih stabil
berbanding dengan negeri Perak dan Selangor. Kebijaksanaan Sultan
Abu Bakar bukan sahaja berjaya mewujudkan kestabilan dan keamanan
di Negeri Johor tetapi juga telah berjaya menghindarkan Johor
daripada dikuasai oleh Inggeris. Mengikut Rupert Emerson,
kemerdekaan Johor pada amnya disebabkan oleh kebijaksanaan dan
kematangan politik pemerintahnya (Sultan Abu Bakar) yang dapat
menyesuaikan diri dengan keadaan sosiopolitik yang kian
berubah.
Isi (20m) Terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi wujudnya
kestabilan di Negeri Johor, yang pertama ialah kebijaksanaan Sultan
Abu Bakar dan keduanya ketiadaan kekacauan dalam kalangan
orang-orang Cina di Johor. Keadaan ini tidak wujud di negeri Melayu
yang lain khususnya Perak dan Selangor.
Sultan Abu Bakar yang menaiki takhta pada tahun 1862 telah
melaksanakan satu sistem pemerintahan yang kemas dan teratur
berbanding dengan sistem yang dikuatkuasakan di Selangor dan Perak.
Jabatan-jabatan kerajaan, sistem keadilan moden, pasukan askar dan
polis telah ditubuhkan. Kebijaksanaan dalam pemerintahan
menyebabkan baginda digelar sebagai bapa pemodenan Johor. Pada
tahun 1895 Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan Undang-undang
Tubuh Negeri Johor, Undang-undang ini digubal melalui beberapa
orang pegawai British dan ia dilaksanakan mengikut nasihat British.
Melalui undang-undang ini keharmonian dapat diwujudkan di negeri
Johor.
Sikap Sultan Abu Bakar yang menjalinkan hubungan baik dengan
kuasa-kuasa barat juga mempengaruhi wujudnya kestabilan di Johor,
pada tahun 1868 baginda telah melakukan lawatan dan mengadap Ratu
Victoria di England. Tahun 1893 baginda telah melawat Itali dan
Turki. Hubungan baik dengan kuasa barat khususnya Britian telah
menyebabkan Ratu Victoria mengurniakan bintang Knight Commander Of
The Star Of India dan gelaran Maharaja.
Sultan Abu Bakar juga telah bertindak mengambil pegawai-pegawai
British sebagai penasihatnya dalam pentadbiran. Keadaan ini
menyebabkan, British merasakan diri mereka terlibat secara langsung
dalam pentadbiran di Johor. Penglibatan British dalam pentadbiran
di Johor telah dapat mewujudkan keamanan politik dan kestabilan di
Johor. Keadaan ini tidak berlaku di Perak dan Selangor yang
bertindak enggan menerima pegawai-pegawai penasihat British yang
akhirnya membawa kepada campur tangan British di negeri-negeri
berkenaan.
Disamping memodenkan bidang ekonomi, Sultan Abu Bakar juga telah
memajukan ekonomi Johor. Baginda telah mewujudkan suasana yang aman
dan membenarkan saudagar-saudagar dari negeri-negeri Selat untuk
datang berdagang di Johor tanpa gangguan. Sultan Abu Bakar juga
telah memajukan perladangan gambir dan lada hitam dengan
menggalakkan kemasukan orang-orang Cina khususnya dari Singapura di
bawah Sistem Kangcu. Sistem Kangchu yang dilaksanakan di Johor
telah menyebabkan ekonomi Johor berkembang pesat dan ini menyumbang
kepada kestabilan di Johor.
Satu lagi faktor penting yang menyumbang kepada kestabilan di
Johor ialah tiadanya kekacauan dalam kalangan orang-orang Cina.
Orang-orang Cina yang datang ke Johor di bawah Sistem Kangcu
ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai
Kangkar. Setiap kawasan atau Kangkar akan diawasi oleh seorang
ketua yang dikenali sebagai Kangcu. Kangcu dilantik dalam kalangan
orang-orang Cina yang mempunyai Surat Sungai yang dikeluarkan oleh
kerajaan Johor. Oleh kerana orang-orang Cina diberi kawasan
petempatan masing-masing maka perselisihan tidak berlaku dalam
kalangan mereka. Orang-orang Cina hanya berkuasa di kawasan atau
Kangkar masing-masing. Keadan ini tidak berlaku di negeri Perak dan
Selangor. Di kedua-dua negeri tersebut orang-orang Cina bebas
bergerak di kawasan perlombongan dan perebutan kawasan sering
berlaku dalam kalangan mereka, contohnya perbalahan kumpulan Ghee
Hin dan Hai San dalam Perang Larut di Perak.
Di samping itu kebanyakan orang-orang Cina di Johor terdiri
daripada satu suku kaum sahaja iaitu Teochew. Oleh itu permusuhan
tidak timbul dalam kalangan mereka. Keadaan ini berbeza dengan
negeri Perak dan Selangor di mana orang-orang Cina terdiri daripada
suku kaum dan berasal dari daerah yang berbeza seperti Hakka,
Hainan, Khek, Kongfu dan sebagainya. Mereka cenderong membentuk
kumpulan kongsi gelap berasaskan suku kaum dan daerah asal seperti
Ghee Hin, Hai San, Toh Pek Kong dan sebagainya.
Johor juga dapat mewujudkan kestabilan kerana tidak berlakunya
perebutan kuasa dalam kalangan anak-anak raja dan pembesar-pembesar
negeri. Pada masa pemerintahan Sultan Abu Bakar tidak timbul
perebutan dan penentangan terhadap kekuasaan baginda. Walaupun
berlaku pemindahan pemerintahan daripada keturunan Sultan kepada
Temenggung tetapi ia berlaku tanpa menimbulkan perbalahan kerana
proses pemindahan ini dilakukan bukan melalui kekerasan tetapi
melalui perjanjian apabila Sultan Ali (anak Sultan Hussien)
menandatangan satu perjanjian dengan Temenggung Daeng Ibrahim (bapa
Sultan Abu Bakar) pada tahun 1855. Keadaan ini tidak berlaku di
negeri-negeri Melayu yang lain. Di Perak dan Selangor perebutan
takhta dalam kalangan anak raja dan pembesar tempatan menyebabkan
berlakunya huru-hara yang membawa kepada campur tangan British.
Kurangnya potensi ekonomi di Johor juga mempengaruhi wujudnya
kestabilan politik di Johor. Pelaburan modal saudagar Negeri Selat
amat terhad berbanding dengan pelaburan mereka di Perak dan
Selangor. Oleh itu pihak British tidak membuat kawalan ketat ke
atas Johor kerana tidak mempunyai kepentingan ekonomi yang banyak.
Pihak British begitu berminat untuk menguasai negeri pantai barat
khususnya Perak dan Selangor yang kaya dengan bijih timah, lantaran
itu British menggunakan apa cara untuk memperkukuhkan kedudukan
mereka di negeri tersebut.
Kesimpulan (2/3m) Kebijaksanaan Sultan Abu Bakar dan keamanan
yang disumbangkan oleh orang-orang Cina di Johor telah telah
mewujudkan kestabilan di negeri Johor pada separuh kedua abad
ke-19. Kestabilan ini begitu bermakna kerana dengan kestabilan
tersebut Johor dapat mengekalkan kedaulatan negerinya agak lama
berbanding dengan negeri-negeri Melayu yang lain. Johor merupakan
negeri Melayu yang terakhir jatuh ke tangan British iaitu pada
tahun 1914 dan ia dikelompokkan oleh British dalam kumpulan
Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada tahun 1915.
SOALAN 2
Bandingkan Adat Perpatih dan Adat Temenggung yang diamalkan di
Tanah Melayu sebelum campur tangan British pada tahun
1874Pendahuluan (3/2m)
Adat Perpatih dan Adat Temenggung dipercayai berasal dari
Minangkabau, Indonesia. Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih
Nan Sebatang manakala Adat Temenggung diasaskan oleh Datuk
Ketemenggungan. Kedua-dua adat ini bermula apabila seorang pembesar
di Sumatera membahagikan pentadbiran kawasannya kepada dua orang
anak lelakinya berlainan ibu. Kedua-dua. mereka mempunyai perbezaan
daripada beberapa aspek seperti cara menjalankan pentadbiran. Adat
Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan, Naning dan kawasan sempadan
Melaka. Ia bersifat lisan diperturunkan dari generasi ke generasi.
Adat Temenggung pula diamalkan di Negeri negeri Melayu yang lain.
Adat ini banyak dipengaruhi oleh agama Hindu dan kemudiannya
unsur-unsur Islam, iaitu hukum syarak mengikut Mazhab Syafie.
Isi (20m)1. Politik (5m)
Dari segi politik adat perpatih mengamalkan sistem pemerintahan
secara demokrasi. Pemimpin dipilih melalui wakil dari setiap suku,
iaitu bermula anak buah melantik buapak, baupak melantik lembaga,
lembaga melantik undang dan undang melantik Yam Tuan Besar.
Walaupun Yam Tuan Besar bertindak seperti sultan di negeri-negeri
lain tetapi baginda tidak berhak melantik orang besar negeri yang
lain sebaliknya perlantikan tersebut dibuat oleh hierarki yang
lebih ke bawah dari Yam Tuan Besar. Selain itu setiap keputusan
yang diambil oleh Yam Tuan Muda adalah berasaskan keputusan yang
dibuat bersama dengan undang.
Adat Temenggung pula bersifat autokrat, iaitu kuasa terletak di
tangan pemerintah atau raja. Sultan merupakan tonggak sistem
pemerintahan. Ini diikuti oleh kerabat diraja, pembesar-pembesar
peringkat negeri, wilayah dan mukim. Ketua kampung menduduki
lapisan terbawah. Kedudukan raja begitu istimewa samada dari segi
politik, ekonomi mahupun sosial. Jawatan bersifat warisan, putera
sulong raja dan akan dilantik menggantikannya sekiranya kemangkatan
sultan. Sultan berkuasa melantik pembesar dengan pemberian surat
tauliah. Pembesar diberi gelaran tertentu sesuai dengan
kedudukannya. Jawatan pembesar juga bersifat warisan. Kedudukan
Raja diperkukuhkan lagi dengan konsep daulat dan penggunaan
lambang-lambang tertentu.
2. Ekonomi (5m)
Dari segi ekonomi adat perpatih bersifat matrilinear, iaitu kaum
wanita mempunyai kedudukan yang utama dalam masyarakat. Harta
pusaka diperturunkan melalui keturunan wanita, iaitu dari pihak ibu
sebagai pengasas kepada anak perempuannya. Suami tidak berhak
memiliki harta. sekiranya Si ibu tidak mempunyai anak perempuan,
hartanya diwariskan kepada adik perempuannya, atau adik-adiknya
atau cucu-cucunya. Kaum lelaki hanya berhak ke atas urusan
pentadbiran keluarga.
Berbanding dengan Adat Perpatih, Adat Temenggung mementingkan
kaum lelaki dalam pembahagian atau warisan harta kerana pengaruh
hukum Islam. Ini bermakna adat Temenggung mementingkan jurai
keturunan sebelah bapa. Jika berlaku penceraian maka pembahagian
harta suami-isteri dilakukan mengikut hukum syarak, contohnya harta
sepencarian bagi isteri yang diceraikan dibahagikan dua sama
banyak, jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja harta
hendaklah dibahagikan 1/3 kepada isteri. Bagi harta asal suami atau
isteri maka ia dibahagikan mengikut hukum adat iaitu dikembalikan
kepada suami atau isteri berkenaan.
3. Sosial (5m)Dari segi sosial adat perpatih mengamalkan hidup
secara bersuku-suku, iaitu mereka hidup secara berkeluarga di mana
ahli-ahlinya terdiri daripada satu ikatan sedarah dan sedaging.
Setiap suku menggunakan nama tertentu seperti Biduanda, Batu
Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek dan lain-lain. Dari aspek
perkahwinan masyarakat Adat Perpatih mengamalkan eksogami, iaitu
perkahwinan dengan suku yang sama tidak dibenarkan sama sekali,
perkahwinan mestilah dari suku yang berlainan. Ini kerana ahli-ahli
dalam suku dianggap bersaudara. Si suami digelar semenda. Selepas
berkahwin si suami mesti mengikut isteri . Jika berlaku penceraian
maka si suami tidak mempunyai hak ke atas anak kerana anak akan
berada dalam kelompok rumpun ibu.
Berbanding Adat Perpatih, Adat Temengung susunan kekeluargaan
sebelah ayah dan ibu sama penting. Adat ini juga membenarkan
perkahwinan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan
hukum syarak, sesuai dengan individu dan dipersetujui oleh ahli
keluarga. Untuk itu perkahwinan dengan orang yang mempunyai
pertalian darah dibenarkan seperti dibenarkan oleh syarak. Dalam
Adat Temenggung lelaki akan menjadi ketua keluarga. 4.
Undang-undang (5m)
Dari aspek pelaksanaan undang-undang, Adat Perpatih mementingkan
penyelesaian pesalah dan mangsa berpuas hati terhadap keputusan
yang dibuat. Hukuman penjara, mencacatkan atau mencederakan tidak
digalakkan. Hukuman adalah bertujuan membaiki keadaan (pemulihan)
dan tidak bertujuan menghukum pesalah. Undang-undang jenayah
bertimbang rasa dan berperikemanusiaan. Seseorang yang membuat
salah akan didenda mengikut kesalahannya yang mana mangsa akan
diberi ganti rugi. Jika berlaku pembunuhan, keluarga orang yang
terbunuh akan dibayar ganti rugi yang besar.
Adat Temenggung pula pelaksanan undang-undangnya bertujuan untuk
menghukum. Pelaksanaan hukuman dilakukan dengan tegas dengan tujuan
untuk memberi iktibar kepada orang lain dan merupakan pembalasan
kepada si pesalah. Hukuman paling berat ialah bunuh. Hukuman ini
dikenakan ke atas kesalahan berat seperti membunuh, menfitnah,
mencuri, tidak menurut perintah raja dan menderhaka. Pelaksana
undang-undang adalah raja dan pembesar. Pembesar boleh menjatuhkan
semua hukuman kecuali hukuman mati yang hanya boleh dijatuhi oleh
raja
Kesimpulan (2/3m)Adat Perpatih dan Adat Temenggung masih
berjalan sehingga British campur tangan di Tanah Melayu pada tahun
1874. Namun campurtangan British di negeri-negeri Melayu telah
menyebabkan berlaku perubahan yang besar dan memberi kesan kepada
kedua-dua adat berkenaan. Selepas campurtangan British sultan tidak
lagi berkuasa mutlak, sultan juga telah kehilangan hak melantik
pembesar. Begitu juga pembesar. Sistem undang-undang kedua-dua adat
mulai tidak penting kerana British menggantikannya dengan
undang-undang barat.
SOALAN 3Jelaskan gerakan penentangan terhadap pentadbiran
Syarikat Borneo Utara British (SBUB) dari tahun 1894 hingga
1915Pendahuluan (3/2m) Syarikat Borneo Utara British (SBUB) telah
dibentuk pada tahun 1881. Pentadbiran Sabah di bawah SBUB diketuai
oleh Gabenor iaitu Gabenor William Hood Treacher. Gabenor dibantu
oleh Majlis Penasihat dalam menguruskan pentadbirannya di Sabah.
Pada tahun 1935, SBUB telah membahagikan Sabah kepada empat
residensi, iaitu Residensi Pantai Barat. Sandakan, Tawau dan
Pendalaman. Setiap residensi diketuai oleh seorang residen
berbangsa Eropah. Perubahan-perubahan pentadbiran yang dilakukan
oleh SBUB telah mengugat peranan dan kedudukan pembesar tradisional
dan akhirnya membawa kepada tercetusnya gerakan penentangan Isi
(20m)1. Penentangan Mat Salleh (10m) Penentangan Mat Salleh telah
bermula pada tahun 1894. Mat Salleh telah mengetuai beberapa
gerakan untuk menentang pemerintahan SBUB disebabkan mereka telah
mencabar kewibawaannya sebagai seorang pembesar. Mat Salleh juga
tidak berpuas hati dengan pembaharuan yang diperkenalkan oleh SBUB
. Antaranya ialah pihak SBUB telah menyerang dan membakar kampung
Mat Salleh di Sungai Sugut untuk membalas dendam terhadap Mat
Salleh yang telah membuat aduan tentang wujudnya pergaduhan antara
pegawai Inggeris dan orang Iban. Pihak SBUB juga telah mengenakan
pelbagai jenis cukai yang berbentuk penindasan tanpa memikirkan
bebanan yang ditanggung oleh rakyat, contohnya cukai kepala, cukai
beras, dan lesen perahu.
Pada tahun 1894, pengikut-pengikut Mat Salleh telah membunuh dua
orang pedagang Dayak di Sungai Sugut. Pada tahun 1895, pihak SBUB
pula bertindak balas dengan menyerang kampung Mat Salleh di Pulau
Jambongan lalu Mat Salleh dan pengikutnya telah melarikan diri ke
Lingkabau dan mendirikan kubu pertahanan di situ. Setelah itu, pada
tahun 1897 Mat Salleh serta pengikutnya memusnahkan pusat
pentadbiran British di Pulau Gaya. Hal ini menyebabkan pihak SBUB
sekali lagi menyerang Inanam dan memusnahkannya. Manakala kubu yang
dibina Mat Salleh juga telah dimusnahkan oleh pihak SBUB.Tetapi Mat
Salleh berjaya melarikan diri. Akhirnya satu pertemuan antara pihak
SBUB dan Mat Salleh diadakan di Menggatal. Pihak SBUB bersetuju
mengampunkan pengikut Mat Salleh manakala Mat Salleh juga
dibenarkan menetap dan berkuasa di Tambunan. Namun begitu , pihak
SBUB tidak menepati janji dengan mengambil kembali Tambunan pada
tahun 1893. Hal ini telah mencetuskan pertempuran sengit antara Mat
Salleh dan juga tentera SBUB. Mat Salleh akhirnya terbunuh dalam
pertempuran itu.
2. Penentangan Antanom (10m) Pada tahun 1915, pihak SBUB sekali
lagi menghadapi tentangan yang dikenali sebagai Pemberontakan
Rundum. Penentangan ini berlaku di Rundum yang diketuai oleh
seorang pembesar Murut yang dikenali sebagai Antanom. Orang Murut
menentang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran SBUB. Antara
faktor berlakunya penentangan ialah disebabkan oleh pihak SBUB cuba
mengawal kegiatan membuat tapai dengan mengenakan cukai ke atas
beras dan ubi kayu. Pihak SBUB juga cuba menghapuskan amalan
memburu kepala yang merupakan tradisi kaum Murut. Selain itu, pihak
SBUB juga memaksa orang Murut membina jalan di kawasan pedalaman
tanpa dibayar gaji. Mengikut kepercayaan orang Murut ,pembinaan
jalan itu boleh menimbulkan kemarahan nenek moyang mereka.
Antanom serta orang Murut menyerang dan membakar Persiangan
serta Rundum. Bagaimanapun Bandar Rundum dapat diselamatkan oleh
tentera SBUB. Kemudian Antanom bersama 900 orang pengikutnya telah
membina kubu di Sungai Selangit. Hal ini menyebabkan pihak SBUB
telah menghantar tentera untuk menyerang Antanom di Selangit. Dalam
serangan itu, Antanom dan 400 orang pengikutnya telah terkorban.
Pengikutnya yang terselamat dalam pertempuran itu telah berpindah
ke Kalimantan.
Kesimpulan (2/3m) Kesimpulannya, gerakan penentangan yang
dilakukan oleh penduduk pribumi terhadap SBUB di Sabah telah
berjaya dipatahkan. Walaupun SBUB berjaya menghadapi penentangan
daripada penduduk tempatan namun ia secara langsung menjelaskan
bahawa pengenalan sistem pentadbiran Barat di Sabah tidak disenangi
oleh penduduk tempatanSOALAN 4Terangkan peranan golongan
berpendidikan agama dalam mencetuskan kesedaran sosial di Tanah
Melayu pada awal abad ke-20Pendahuluan (3/2m)Gerakan kesedaran yang
pertama digerakkan oleh mereka yang berpendidikan agama dari Timur
Tengah. Mereka menerima pengaruh dan ilham dari gerakan Reformis
Islam yang diketuai oleh Syed. Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh
Muhammad Abduh. Kaum Muda bermatlamat untuk memajukan bangsa Melayu
berasaskan perjuangan agama Islam. Lidah rasmi yang pertama bagi
Kaum Muda ialah al-Imam. Antara para pemimpin umatnya ialah Syeikh
Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi, Hj. Abbas bin Mohd
Taha dan Syeikh Mohd. Salim al-Kalali. Selain itu golongan
berpendidikan pondok yang dikenali sebagai Kaum Tua juga berperanan
dalam mencetuskan kesedaran sosial di Tanah Melayu pada awal abad
ke-20 Isi (20m) Matamat perjuangan Kaum Muda ialah memajukan kaum
Melayu berasaskan ajaran Islam yang sebenar iaitu berpandukan
al-Quran dan hadis. Mereka bermatlamat untuk membebaskan orang
Melayu dari amalan-amalan taklid buta serta amalan khurafat serta
bidaah. Semua amalan inilah yang menghalang kemajuan orang Melayu.
Pengamalan Islam yang sebenarnya merupakan jawapan kepada segala
masalah sosial, ekonomi dan politik yang dihadapi oleh orang
Melayu. Kaum Muda menekankan kepentingan sistem pendidikan bagi
kemajuan orang Melayu. Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan.
Kaum Muda melihat pendekatan pendidikan dari sudut yang lebih
liberal. Pendidikan dalam kalangan kaum perempuan juga
dipentingkan. Selain menekankan kepentingan pendidikan agama,
pendidikan bercorak moden seperti penekanan bahasa Inggeris juga
dititikberatkan. Di dalam aspek politik Kaum Muda bersikap anti
penjajah dan bersikap tidak mahu bekerjasama. Kaum Muda mengacak
penjajah Inggeris kerana gagal memberikan pendidikan yang cukup dan
seterusnya memajukan orang Melayu.
Kaum Muda juga bersifat anti birokrasi elit Melayu. Raja-raja
dan para pembesar Melayu diingatkan supaya memelihara kepentingan
orang Melayu. Mereka diseru agar melakukan sesuatu seperti
menubuhkan persatuan bagi menggalakkan pendidikan dan pembangunan
ekonomi. Kaum Muda turut menuntut orang Melayu menceburkan diri
dalam bidang perniagaan, menubuhkan koperasi dan menggunakan sistem
kemudahan di bank. Kaum Muda menjadikan akhbar dan majalah sebagai
saluran perjuangan mereka. Antaranya ialah Al-Imam. Al-Imam
diterbitkan di Singapura bulan Julai 1906. Ia satu penerbitan
bulanan dan dihentikan penerbitannya pada Disember 1908. Tujuan
al-Imam ialah untuk mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan
mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan
suara yang menyeru dengan kebajikan kepada mereka (orang Melayu ).
Selain itu tedapat juga akhbar dan majalah lain yang menjadi medan
kepada idea dan penulisan Kaum Muda, Neraca (Singapura, 1911-1915),
AI-Ikhwan (Pulau Pinang, 1926-1931), Saudara (Pulau Pinang,
1928-1941), dan Edaran Zaman (Pulau Pinang, 1925-30). Selain akhbar
dan majalah Kaum Muda juga menjadikan masjid dan surau sebagai
saluran perjuangan mereka. Antaranya ialah Madrasah Al-lkbal yang
dibuka pada 21 November 1907. Melalui madrasah ini, mata pelajaran
yang bukan bersifat keagamaan seperti bahasa Inggeris, bahasa
Melayu, Matematik, Geografi, dan Sejarah telah diperkenalkan
bersama mata pelajaran bersifat keagamaan. Madrasah-madrasah lain
yang turut diasaskan oleh Kaum Muda ialah seperti Madrasah AlHadi
(Melaka 1917), Madrasah Muhammadiah (Kota Bahru 1917), dan Madrasah
Al-Diniah (Kg Lalang Perak, 1924) Idea perjuangan Kaum Muda
mendapat tentangan daripada golongan yang berpendidikan pondok.
Golongan ini dikenali sebagai Kaum Tua. Kaum Tua kerap mengkritik
Kaum Muda melalui akhbar Lidah Benar dan Suara Benar. Kaum Muda
telah dianggap sebagai kurang ajar dan tidak bertata susila. Kaum
Tua menentang Kaum Muda kerana kegiatan dan idea-idea Kaum Muda ini
menggugat kedudukan mereka sebagai elit agama di dalam masyarakat
Melayu sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat
kampung-kampung. Para mufti telah mengeluarkan fatwa yang mengutuk
Kaum Muda sebagai kafir dan Qadiani. Kaum muda telah dilarang
untuk. berkhutbah dan memberi syarahan di masjid. Terdapat beberapa
penerbitan Kaum Muda yang diharamkan penyebarannya di beberapa
negeri.Kesimpulan (2/3m)
Kesimpulannya, Kaum Muda memainkan peranan penting dalam
mencetuskan kesedaran sosial dalam kalangan orang Melayu. Biarpun
idea dan seruan Kaum Muda kerap dikritik oleh Kaum Tua, namun
sumbangan kedua-dua golongan ini sebenarnya sangat bermakna
SOALAN 5 Bincangkan kesan-kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu
antara tahun 1942 hingga 1945Pendahuluan (3/2)
Jepun telah menawan seluruh Tanah Melayu pada 15 Februari 1942.
Kemusnahan dua buah kapal perang British iaitu H.M.S Repulse dan
Prince Of Wales dengan penggunaan tentera Kamikaze ( Berani Mati ),
telah melemahkan semangat tentera British. Leftenan Jeneral
Percival menyerah kalah secara rasmi kepada Jepun. Maka bermulalah
zaman pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Walaupun tempoh
masa pendudukan Jepun singkat sahaja iaitu tiga tahun lapan bulan,
namun pendudukan Jepun meninggalkan kesan yang sangat penting
kepada penduduk tempatan baik dari aspek politik, sosial dan
ekonomi.
Isi (20m)1. Kesan-kesan sosial (7m) Pihak Jepun telah
menjalankan dasar layanan yang berbeza terhadap kaum-kaum di Tanah
Melayu. Jepun memberi layanan yang cukup buruk terhadap orang Cina
kerana dendam orang Jepun terhadap orang-orang Cina di Tanah Melayu
yang membantu negara China ketika berlakunya Perang China-Jepun
pada tahun 1895. Akibatnya ramai orang Cina telah melarikan diri ke
pinggir-pinggir hutan dan membentuk MPAJA (Malayan People Anti
Japanese Army) untuk menentang Jepun.
Kaum Melayu dan India diberi layanan baik tetapi ramai antara
mereka juga dihantar ke Siam untuk membina Jalan Keretapi Maut.
Akibatnya ramai orang Melayu, India dan Cina telah terkorban dalam
pembinaan tersebut akibat seksaan dan wabak penyakit. Merosotnya
taraf kesihatan telah menyebabkan merebaknya penyakit-penyakit
tropika seperti beri-beri, taun dan malaria. Ubat-ubat yang dibawa
oleh Jepun hanya dikhaskan untuk askar-askar Jepun sahaja.
Perbezaan layanan kaum ini telah mewujudkan permusuhan kaum
khususnya antara Melayu dan Cina. Contohnya pihak Jepun telah
menggunakan orang Melayu yang menyertai pasukan tentera dan polis
Jepun untuk mengesan orang Cina yang anti-Jepun. Ini menimbulkan
rasa curiga dan permusuhan antara orang Melayu dengan orang Cina
setelah Jepun menyerah kalah.
Sistem pendidikan Inggeris juga turut ditukar kepada sistem
pendidikan Jepun. Bahasa Jepun iaitu Nippon-go diwajibkan sebagai
bahasa pengantar di semua sekolah dan juga sebagai lingua franca di
seluruh negara. Sistem pendidikan Jepun menekankan beberapa aspek
seperti pembentukan akhlak dan disiplin, taat setia kepada Maharaja
Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun. Kebudayaan Jepun
disebarkan melalui sistem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar
adat istiadat dan lagu kebangsaan Jepun, iaitu Kamigayo.
2. Kesan-kesan politik (7m) i. Nasionalisme orang Melayu
Pendudukan Jepun telah menamatkan tradisi kepercayaan bahawa
kuasa-kuasa Barat merupakan kuasa yang tidak boleh dikalahkan. Ini
telah menyemarakkan lagi kebangkitan dan kesedaran kebangsaan di
kalangan penduduk Tanah Melayu.
Langkah pertama pendudukan Jepun yang membangkitkan perasaan
nasionalisme dalam kalangan orang Melayu ialah dengan membebaskan
ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang telah dipenjarakan oleh
Inggeris dan memulihkan kembali KMM di bawah pimpinan Ibrahim
Yaacob.
KMM kemudiannya telah diharamkan oleh Jepun pada tahun 1942
apabila disyaki mengadakan hubungan sulit dengan MPAJA. Jepun telah
menubuhkan PETA ( Pembela Tanah Air ) bagi menarik perhatian
orang-orang Melayu. Anggotanya terdiri daripada bekas pegawai KMM.
Ibrahim Yaacob dilantik sebagai Leftenan Kolonel. PETA juga telah
mengadakan hubungan sulit dengan MPAJA dan tentera Wataniah.
Di saat-saat Jepun menyedari kekalahannya, Jepun menolong kaum
Melayu menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada
bulan Julai 1945. KRIS dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Dr
Burhanuddin Al-Helmy. Walaupun orang Melayu tidak berjaya mencapai
kemerdekaan di bawah Jepun, namun semangat nasionalisme telah
berjaya menarik orang Melayu untuk bersatu terutamanya dalam
menentang Malayan Union.
ii. Nasionalisme orang India
Perhatian kaum India telah dialihkan kepada pembebasan India
daripada penindasan oleh penjajahan Inggeris. Orang India telah
menubuhkan Liga Pembebasan India di bawah pimpinan Subhas Chandra
Bose. Beliau juga telah menubuhkan Tentera Nasional India (INA)
untuk membantu Liga Pembebasan India. Kedua-dua pertubuhan ini
telah menguasai keadaan politik orang India di Tanah Melayu.
Orang-orang India telah dikerah menyertai Tentera Nasional
India.
Orang India digalakkan supaya memberikan bantuan kewangan dan
harta untuk menyokong gerakan pembebasan India daripada penjajahan
Inggeris. Subhas Chandra Bose yang dalam buangan telah mendirikan
sebuah kerajaan yang bergelar Azad Hind di Singapura. Ia telah
menyahut slogan Chalo Delhi (Mara ke Delhi). Penggunaan slogan ini
menaikkan lagi semangat nasionalisme dalam kalangan orang India.
Bagaimanapun kekuatan INA dan Liga Pembebasan India telah merosot
apabila Jepun menyerah kalah.
iii. Nasionalisme orang Cina
Permusuhan antara orang Jepun dan Cina telah bermula sejak Jepun
telah menawan China pada tahun 1937. Apabila Jepun berjaya
menakluki Tanah Melayu dan Singapura pada bulan Febuari 1942, ramai
orang Cina telah dibunuh.
Tindakan ini telah menyebabkan orang Cina merasakan pihak Jepun
mengamalkan dasar diskriminasi. Keadaan ini mendatangkan kesan
buruk terhadap perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu, contohnya
tindakan ini merupakan titik permulaan permusuhan antara orang Cina
dan orang Melayu.
Parti Komunis Malaya (PKM) telah menggunakan sentimen anti Jepun
untuk memperoleh sokongan orang Cina untuk menentang Jepun di Tanah
Melayu. PKM telah menubuhkan Malayan Peoples Anti-Japanese Army
(MPAJA) yang dianggap sebagai gerakan mewakili semua bangsa di
Tanah Melayu. MPAJA telah diberikan latihan oleh Sekolah Latihan
Khas 101 di bawah pimpinan Kolonel Spencer Chapman serta dibekalkan
senjata, ubat-ubatan, maklumat dan bahan makanan oleh tentera
Berikat melalui Force 136 yang berpusat di Sri Lanka.
MPAJA mengadakan hubungan sulit dengan PETA dan melancarkan
perang gerila terhadap pihak Jepun. Jepun telah mengambil langkah
untuk menarik minat orang Cina berfahaman sederhana yang
kebanyakannya tinggal di bandar untuk bekerjasama dengan
pemerintahan Jepun.
Pihak Jepun telah menubuhkan beberapa kelab seperti Epposho bagi
masyarakat Cina di Pulau Pinang pada tahun 1944. Ramai orang Cina
dilantik di dalam Majlis Penasihat di peringkat bandar dan negeri
mulai tahun 1943.
3. Kesan-kesan ekonomi (6m) Dasar bumi hangus yang diamalkan
oleh British sebelum berundur dari Tanah Malayu ke Singapura telah
menyebabkan ekonomi Tanah Melayu merosot kerana banyak kemudahan
awam seperti infrastruktur telah diletupkan oleh tentera British.
Begitu juga dengan perusahaan bijih timah dan getah turut merosot
kerana kemusnahan alat-alat melombong seperti kapal korek dan
alat-alat memproses getah.
Akibat peperangan, perdagangan Tanah Melayu dengan
pasaran-pasaran luar telah terputus. Perdagangan Singapura dan
Pulau Pinang telah merosot kerana Tanah Melayu tidak dapat
mengeksport dan mengimport sebarang bahan.
Jepun mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan memaksa rakyat
menanam tanam-tanaman makanan seperti ubi kayu, keledek dan keladi
untuk mengatasi masalah kekurangan makanan.
Perusahaan-perusahaan tempatan didirikan untuk menghasilkan
barang-barang gantian seperti minyak masakan, sabun, gula, tayar,
kertas, tali dan benang. Perusahaan-perusahaan penting diambil alih
oleh syarikat-syarikat Jepun seperti Mitsui dan Mitsubishi.
Percetakan mata wang pokok pisang yang tidak terkawal serta
kekurangan bahan-bahan pengguna menyebabkan keadaan inflasi dengan
harga-harga barang melambung tinggi dan nilai matawang Jepun
menjunam jatuh.
Kesimpulan (2/3m)
Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan satu detik
penting dalam sejarah tanah air kerana telah banyak mendatangkan
kesan positif dan negatif. Pengunduran Jepun dari Tanah Melayu pada
September 1945 adalah disebabkan pengeboman dua bandar penting di
Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki. Selepas tamat Perang Dunia
Kedua British telah kembali ke Tanah Melayu dan memperkenalkan
Malayan Union.
SOALAN 6Huraikan penglibatan Malaysia dalam pertubuhan serantau,
Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari tahun 1957
hingga tahun 1963.
Pendahuluan (3/2m)Dasar luar sesebuah negara bertujuan
mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara serta menentukan
kesejahteraan sosioekonomi negara tercapai. Sebagai sebuah negara
yang baru mencapai kemerdekaan seperti Tanah Melayu, kepentingan
negara, keselamatan serantau, perpaduan antara negara-negara serta
kesejahteraan sejagat merupakan fokus utama dalam perhubungan
serantau. Dalam tempoh 1957-1963 yang begitu singkat, Tanah Melayu
telah terlibat dalam pertubuhan serantau seperti Persatuan Asia
Tenggara (ASA), MAPHILINDO, Pertubuhan Komanwel dan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu.
Isi (20m)
1. Southeast Asian Friendship and Economic Treaty (SEAFET)
(4m)Januari 1959 semasa lawatan rasmi ke Filipina, Tunku Abdul
Rahman telah mengumumkan pembentukan Perjanjian Ekonomi dan
Persahabatan Negara-Negara Asia Tenggara (SEAFET) hasil
rundingannya dengan Presiden Filipina Carlos P.Garcia. SEAFET
dianggotai oleh Tanah Melayu dan Filipina. Negara jiran seperti
Indonesia, Thailand, Kemboja, Loas, Vietnam Selatan dan Myanmar
dijemput untuk menyertai pakatan SEAFET tetapi mendapat sambutan
dingin. Walaupun Thailand dan Vietnam Selatan mengalu-alukan
penubuhan SEAFET tetapi Indonesia menolak undangan menyertai
pertubuhan itu kerana Malaysia dan Filipina dikatakan mempunyai
hubungan dengan penjajah. Filipina menjadi anggota SEATO (Southeast
Asia Treaty Organisation) dan Malaysia mempunyai perjanjian dengan
AMDA (Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaya). Indonesia berpendapat
selagi ada negara di Asia Tenggara yang menyertai pakatan
pertahanan sedemikian, negara itu tidak akan dapat berperanan
dengan bebas.
2. Persatuan Asia Tenggara ( ASA ) (4m) Selepas Perang Dunia
Kedua, rantau Asia Tenggara dijadikan kawasan tumpuan perebutan
kuasa-kuasa Barat yang terlibat dalam Perang Dingin. Ancaman
komunis turut terasa oleh kebanyakkan rakyat negara Asia Tenggara
seperti Tanah Melayu,Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Ekonomi negara rantau ini masih berbentuk kolonial. Pembentukan
satu pakatan kerjasama serantau seperti kerjasama dalam ekonomi,
kebudayaan dan sosial perlu untuk menangani masalah yang sedang
dihadapi. Dengan ini ASA yang dianggotai oleh Tanah Melayu,
Thailand, dan Filipina dibentuk pada Ogos 1961 di Bangkok. Antara
maklumat ASA seperti menggalakkan kerjasama dalam bidang ekonomi,
kebudayaan dan sosial, mewujudkan keamanan dan keselamatan
serantau, mempertingkatkan pengajian berkaitan Asia Tenggara.
Rombongan kebudayaan antara negara, pertukaran tenaga pengajaran
antara universiti, kegiatan pelancongan, perjanjian penerangan
antara anggota ASA diaturkan. ASA hanya mencapai matlamat terhad
dengan dianggotai oleh 3 buah negara. Pembentukan Malaysia pada
tahun 1963 dikecam oleh Indonesia dan Filipina sehingga hubungan
diplomatik Malaysia-Indonesia dan Filipina terputus.3. MAPHILINDO
(4m) Pakatan kerjasama serantau kedua ditubuhkan pada Ogos 1963
bertujuan mengadakan hubungan kerjasama dalam bidang ekonomi,
kebudayaan, kemasyarakatan serta mencari jalan menamatkan
persengketaan berkaitan penubuhan Malaysia. MAPHILINDO memohon
Suruhanjaya PBB ( Suruhanjaya Michealmore ) meninjau semula
pandangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap pembentukan Malaysia.
Namun begitu Indonesia dan Filipina enggan menerima hasil tinjauan
tersebut. Konfrontasi tercetus antara Malaysia dengan Indonesia
sehingga terputus hubungan diplomatik. Tuntutan Filipina ke atas
Sabah membawa kepada kegagalan hubungan diplomatik kedua-dua negara
dan membawa kepada pembubaran MAPHILINDO.4. Penglibatan Malaysia
dalam Komanwel (4m) Malaysia menyertai pertubuhan ini sebaik sahaja
mencapai kemerdekaan. Komanwel begitu bermakna kepada Malaysia
memandangkan Malaysia amat bergantung kepada bantuan Britain dalam
soal pertahanan dan keselamatan. Perjanjian Pertahanan
Britain-Tanah Melayu membolehkan bantuan tentera kepada Tanah
Melayu dalam membanteras ancaman komunis dan ancaman luar.
Rancangan Colombo yang menyediakan bantuan biasiswa membolehkan
pelajar-pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke negara Komanwel.
Bantuan kewangan dan bantuan kepakaran turut diberikan kepada Tanah
Melayu.
Tanah Melayu turut memberi sumbangan kepada Komanwel dalam
teknologi getah. Kecaman Tanah Melayu terhadap amalan Dasar
Apertheid telah mengakibatkan Afrika Selatan tersingkir dari
Komanwel pada tahun 1961.
5. Penglibatan Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsar Bersatu
(4m) Tanah Melayu diiktiraf sebagai negara berdaulat di peringkat
antarabangsa setelah diterima menjadi anggota PBB ke-82 pada 17
September 1957.
Malaysia terlibat secara aktif dalam PBB untuk tujuan keamanan
dunia, misalnya pada tahun 1957, Tanah Melayu mengecam tindakan
Republik Rakyat China kerana menakluki Tibet. Pada tahun 1961,
Malaysia menghantar pasukan tentera menyertai pasukan perdamaian
PBB ke Congo ( kini Republik Zaire ) untuk mengekalkan keamanan dan
mendamaikan perang saudara (1960 1963 ). Pelbagai faedah diterima
oleh Malaysia melalui agensi-agensi PBB seperti Bank Dunia, FAO,
UNESCO, ILO dan lain-lain.
Kesimpulan (2/3m)Malaysia telah menganggotai
pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa dan telah berjaya
memainkan peranannya secara berkesan dan sistematik. Sememangnya
Malaysia telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai
anggota pertubuhan serantau dan antarabangsa secara berkesan.
Malaysia banyak mendapat faedah dari pertubuhan serantau dan
antarabangsa untuk membangunkan ekonomi dan menstabilkan pertahanan
negara.
SOALAN 7
Huraikan sistem pembesar di China dan Jepun sebelum perluasan
pengaruh Barat.
Pendahuluan (3/2)Institusi pemerintahan kemaharajaan di China
dan Jepun turut disokong oleh golongan pembesar. Para pembesar
berperanan sebagai pembantu dan pelaksana arahan maharaja. Para
pembesar di Jepun terdiri daripada Shogun, Samurai dan Daimyo,
manakala di China pembesar terdiri daripada hulubalang dan
sarjana.
Isi: (20m)A. Pembesar di Jepun (10m) Pemerintahan sebenar berada
di tangan Shogun ( hulubalang ) yang memerintah atas nama maharaja.
Pemerintahan di Jepun ialah bersifat Bakufu, iaitu dipegang oleh
Shogun. Maharaja masih dianggap sebagai ketua negara, tetapi kuasa
sebenar kerajaan berada di bawah pengaruh pembesar, terutamanya
golongan Shogun. Shogun dibantu oleh para pembesar bergelar Daimyo
(Penguasa Agung Tanah Bebas) Semasa pemerintahan Keshogunan
Tokugawa, Jepun dibahagikan kepada beberapa daerah. Setiap daerah
akan dikurniakan kepada Daimyo oleh Shogun. Setiap Daimyo diberi
kuasa penuh untuk memerintah dan mentadbir wilayahnya. Daimyo boleh
dipecahkan kepada tiga peringkat, iaitu Daimyo Shimpan, Daimyo
Fudai dan Daimyo Tozama.
Daimyo Shimpan terdiri daripada kaum kerabat Shogun dan diberi
peranan mentadbir di peringkat pusat. Daimyo Fudai terdiri daripada
kalangan bangsawan dan sangat setia kepada Shogun. Mereka
ditempatkan di wilayah tengah. Daimyo Tozama ialah keturunan
bangsawan dan diberi wilayah selatan dan barat yang terletak jauh
dari pusat pentadbiran Shogun. Ini dilakukan bagi menjamin
kedudukan Shogun.
Setiap Daimyo mempunyai golongan pahlawan yang bergelar Samurai.
Golongan ini sanggup berjuang demi mempertahankan Daimyo
masing-masing. Golongan Samurai akan membawa dua bilah pedang
sebagai lambang ketinggian kelasnya serta mempunyai kod etika
sendiri.
B. Pembesar di China (10m) Golongan pembesar dibahagikan kepada
pembesar pusat dan wilayah.
1.Pembesar pusat
Golongan sarjana merupakan pegawai kanan kepada maharaja di
peringkat pentadbiran pusat. Mereka menjalankan tugas pentadbiran
atas arahan Maharaja. Golongan ini dipilih berdasarkan kelulusan
tertinggi dalam sistem peperiksaan awam yang berkisar tentang teks
klasik Confucius.
Mereka mempunyai tanggungjawab dalam kementerian-kementerian
penting dan terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan, misalnya,
mereka menyertai Imperial Secretariat dan bertanggungjawab
menggubal dasar negara. Dasar yang digubal akan dilaksanakan oleh
pembesar wilayah atau pegawai di Jabatan Hal-Ehwal Negara. Segala
dasar yang bersifat umum untuk kepentingan kerajaan dibentuk di
pusat, tetapi pembesar wilayah dibenarkan untuk mengubah dasar
tersebut dengan kebenaran adat istiadat dan keadaan setempat.
Terdapat enam jabatan yang dibentuk semasa pemerintahan Dinasti
Manchu.
2.Pembesar wilayah
Terdapat juga golongan tentera yang dilantik sebagai pembesar
wilayah. Ini untuk memastikan wilayah tersebut sentiasa aman dan
tenteram serta patuh terhadap kerajaan pusat.
Pembesar daripada golongan tentera atau hulubalang dikenali
sebagai Tushun atau Ketua Tentera Wilayah. Mereka berkuasa dalam
wilayah masing-masing serta sering bertindak sendirian. Mereka
berhak mewujudkan sistem pentadbiran sendiri dalam hal-hal seperti
pengutipan cukai, pertahanan dan perundangan. Mereka mempunyai
tentera sendiri yang setia dan lengkap. Mereka mampu membiayai
angkatan tentera tersebut kerana penguasaan ekonomi terhadap
wilayah yang mereka kuasai.
Selain golongan tentera, terdapat juga pembesar wilayah yang
dilantik daripada golongan bijak pandai lulusan pendidikan
Confucius. Golongan ini ialah pembesar tempatan atau gentri yang
membantu pembesar wilayah. Gentri lebih merupakan tuan tanah.
Mereka tidak dibayar gaji dan tidak memegang sebarang jawatan dalam
kerajaan. Mereka boleh bertukar wilayah dan lebih berminat
menjalankan perniagaan keluarga. Mereka juga merupakan orang
perantara antara pembesar dan rakyat kerana mereka mempunyai
pengaruh yang kuat ke atas masyarakat tempatan.
Kesimpulan (2/3m)Para pembesar merupakan aset penting dalam
sistem pemerintahan di sesebuah negara termasuklah di Jepun dan
China. . Mereka memainkan peranan penting dalam membantu maharaja
terutamanya dalam menentukan kelicinan pentadbiran. Dinasti Manchu
dan Shogun Tokugawa mewujudkan sistem pembesar untuk melicinkan
pentadbiran dan mengagihkan tugas-tugas pemerintahan.
SOALAN 8
Jelaskan kegiatan ekonomi komersial di Filipina dan Jepun
sebelum Perang Dunia Kedua.
Pendahuluan (3/2m)
Kehadiran kuasa-kuasa Barat di Asia telah membawa banyak
perubahan dalam semua aspek politik, sosial dan ekonomi. Sebelum
Perang Dunia ke-2, kegiatan ekonomi komersial memang giat
dijalankan termasuklah di Filipina dan Jepun. Di Filipina, kegiatan
ekonomi komersial yang dijalankan dapat dibahagikan kepada dua
zaman iaitu zaman pentadbiran Sepanyol dan zaman pentadbiran
Amerika Syarikat. Manakala di Jepun, kegiatan ekonomi komersial
muncul dengan aktif selepas Jepun mula membuka pintunya kepada
pihak Barat melalui Perjanjian Kanagawa dengan Amerika Syarikat
(1854).
Isi (20m)A. Kegiatan ekonomi komersil di Filipina (10m) i.
Tebu
Tebu menjadi tanaman jualan pertama yang dieksport. Semasa
pemerintahan Sepanyol, ia menjadi salah satu keluaran utama dalam
ekonomi penjajahan. Pertumbuhan perdagangan tebu di Manila berlaku
selepas pembukaan Manila kepada perdagangan dunia.
Semasa pemerintahan Amerika Syarikat (hingga tahun 1941)
pengeluaran tebu meningkat 6 kali ganda dan pada tahun 1930
kedudukannya kukuh sebagai bahan eksport utama Filipina.
Peningkatan berlaku kerana beberapa sebab seperti penggunaan
kaedah dan teknologi moden, dasar tarif Amerika Syarikat terhadap
Filipina dan pembinaan jalan kereta api baru menuju ke arah utara
Manila dan memajukan tanah Pampangan.
ii. Tembakau
Tembakau juga merupakan eksport penting Filipina terutamanya
semasa pemerintahan Sepanyol. Kawasan penanaman tembakau ialah di
Lembah Gaganpan, Ilocos, Nueva Ecija dan Marinduque.
Penanaman tembakau dimonopoli oleh kerajaan dan keuntungan
daripada monopoli ini berjaya mengatasi masalah kewangan Sepanyol.
Berlaku penindasan dan penyalahgunaan kuasa. Sistem monopoli ini
melahirkan satu amalan tanaman paksa yang kejam.
Wujud pasaran gelap, kegiatan rusuhan dan penyeludupan.
Akhirnya, pada tahun 1882 monopoli ini ditamatkan. Tanaman tembakau
mula mengalami kemerosotan ketara pada akhir tahun 1930 apabila
nilai eksportnya hanya 0.75% daripada keseluruhan nilai ekonomi.
Ini disebabkan oleh sistem tarif Amerika Syarikat, pengenalan
tembakau Virgina Amerika dan orang Filipina lebih suka tembakau
Amerika.
iii. Abaka
Muncul sebagai tanaman jualan utama di Filipina selama 40 tahun
selepas kemerosotan tembakau. Peningkatan permintaan datang dari
Amerika Syarikat sehingga abaka menjadi bahan eksport utama selepas
tahun 1830. Menjelang tahun 1850-an, abaka dihantar ke New England
untuk diproses menjadi tali sementara pada masa yang sama sebuah
kilang tali-temali yang kecil kepunyaan orang Amerika telah
didirikan di Manila
Pusat pengeluaran utama adalah di wilayah Bicol di Albay,
Sorsogon, Leyte dan Samar. Abaka mula menjadi tanaman utama apabila
Amerika Syarikat mengambil alih kuasa di Filipina. Pada tahun1941,
keluaran abaka lebih kurang 95% daripada jumlah keluaran dunia.
Filipina dapat mempertahankan kedudukannya sebagai satu-satunya
pengeluar abaka untuk pasaran dunia.
Perdagangan abaka ditentukan oleh tarif yang dikenakan. Mengikut
Akta Pyne Aldrich pada tahun 1909, abaka yang dieksport ke Amerika
Syarikat bebas daripada cukai.
iv. Kelapa
Tanaman keempat penting di Filipina ialah kelapa yang merupakan
tanaman asli Filipina. Ia digunakan sebagai sumber makanan dan
bahan bakar.
Menjelang abad ke-20, hasil kelapa menjadi eksport utama
Filipina. Kawasan penanaman kelapa ialah Luzon, Manila dan sekitar
Teluk Lagoon hingga ke pantai Tayabas. Pulau Visayas dan Mindanao
yang terletak jauh ke selatan turut menjadi pusat penanaman kelapa
yang penting.
B. Kegiatan ekonomi komersil di Jepun (10m) Jepun telah
menjalankan dasar buka pintu apabila termeterainya perjanjian
Kanagawa dengan Amerika Syarikat pada tahun1854. Mereka mula
mengambil kira sistem-sistem yang diamalkan oleh Barat sama ada
sistem ekonomi, sosial mahupun politik.
Kemunculan Meiji untuk memodenkan Jepun mengikut acuan Barat
telah menjadi faktor penting kemunculan Jepun sebagai kuasa yang
kuat kemudiannya. Sistem ekonomi Jepun mula diubah. Sektor
pertanian mula menerima kemasukan elemen-elemen baru yang diambil
dari Barat. Revolusi pertanian telah membolehkan sektor ini
mencapai kejayaan yang cemerlang.
Meskipun Jepun hanya mempunyai jumlah tanah subur yang kecil,
namun dengan bantuan teknologi ini, maka ia masih lagi dikira mampu
mengeluarkan hasil untuk keperluan penduduk.
Menyedari bahawa sektor perindustrian merupakan sektor penting,
maka ia dimajukan. Sektor industri pembinaan kapal misalnya
menerima perhatian yang besar. Kapal-kapal yang mengikut Barat
telah dibina pada tahun 1855 dan dengan bantuan kewangan daripada
Perancis, pusat pembinaan kapal di Yokosuka telah dibuka pada tahun
1865.
Adanya teknologi serta kemampuan membina kapal ini telah
menyebabkan Jepun kemudiannya muncul sebagai kuasa kelautan yang
penting di Asia Timur. Berdasarkan kepada perkembangan-perkembangan
di Jepun, sistem Barat telah diambil dan diubah suai mengikut
kepentingan negara tersebut. Malah pengubahsuaian inilah yang
banyak membantu Jepun muncul sebagai kuasa ekonomi pada abad
ke-20.
Kemampuan mereka keluar dari negara peminjam kepada negara
pemberi pinjaman pada abad ke-20 itu merupakan satu catatan sejarah
kecemerlangan yang sangat menakjubkan bagi sebuah Negara Asia.
Meskipun demikian, pengambilan sistem serta elemen-elemen
ekonomi Barat itu tidak diambil begitu sahaja, sebaliknya
dipastikan bahawa budaya tempatan seperti budaya kerja, sikap dan
sebagainya yang menjadi asas kepada masyarakat Jepun itu juga
berjalan seiringan.
Kesimpulan (2/3m)Kehadiran Barat telah memberi pengaruh yang
cukup besar dalam perkembangan sistem ekonomi bersifat komersial di
Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, khususnya Filipina yang
pernah dijajah oleh dua kuasa besar iaitu Sepanyol dan Amerika
Syarikat. Begitu juga dengan Jepun, ekonominya berkembang pesat
bila bermulanya dasar buka pintu pada 1854. Selepas era penjajahan
berakhir, negara-negara Asia Tenggara masih meneruskan polisi yang
diamalkan sejak sekian lama iaitu dengan menjadikan sektor
pertanian sebagai sektor penting. Manakala Jepun lebih tertumpu
kepada sektor perindustrian.
SOALAN 9 Terangkan langkah-langkah yang dilakukan oleh Raja
Chulalongkorn (1868-1910) di Thailand dan Raja Mindon Min (
1853-1878) di Myanmar dalam usaha memodenkan negara
masing-masing.
Pendahuluan (3/2m)Raja Chulalongkorn telah ditabalkan menjadi
Raja Thailand pada tahun 1868. Raja Chulalongkorn mendapat
pendidikan Barat dan telah banyak membuat lawatan ke beberapa buah
negara seperti India, Singapura dan Myanmar. Beliau telah
meneruskan langkah-langkah pemodenan yang dilakukan oleh Raja
Mongkut dalam pentadbiran negara, hubungan luar dan ekonomi.
Manakala Raja Mindon Min telah ditabalkan menjadi Raja Myanmar pada
bulan Februari 1853. Sebelum menjadi raja, Raja Mindon Min
merupakan seorang sami Buddha yang sangat taat dengan ajaran
Buddha. Beliau merupakan seorang raja yang berkebolehan dan
mempunyai sifat-sifat terpuji, malahan beliau dihormati oleh orang
Barat.
Isi (20m)A. Pemodenan Raja Chulalongkorn (10m) Langkah pemodenan
Raja Chulalongkorn dalam pentadbiran ialah menubuhkan sistem
pentadbiran pusat pada 1 April 1892. Beliau telah mewujudkan
kementerian yang diketuai oleh seorang menteri. Antara kementerian
yang diwujudkan ialah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian
Kewangan dan Kementerian Pertahanan. Chulalongkorn masih meneruskan
tradisi bapanya iaitu menggaji penasihat-penasihat Barat, contohnya
Rolin Jacquernins berbangsa Belgium (penasihat am) dan penasihat
Kementerian Kewangan berbangsa Inggeris. Raja Chulalongkorn telah
mewujudkan perbendaharaan moden di Thailand dengan bantuan
Penasihat Kewangan Inggeris. Sistem cukai langsung telah
diperkenalkan pada tahun 1892.
Thailand dibahagikan kepada 18 buah monthon (bulatan), changwat
(wilayah) dan amphoe (daerah). Beberapa buah jabatan telah
diwujudkan seperti Jabatan Kastam dan Jabatan Hasil Dalam Negeri.
Dalam bidang undang-undang, Kementerian Keadilan telah ditubuhkan
pada tahun 1894, bersamaan dengan penubuhan sistem mahkamah jenayah
dan awam yang berunsurkan Barat. Raja Chulalongkorn telah menyusun
sistem penjara dan memodenkan pasukan polis.
Daripada segi ekonomi antara langkah yang telah dilaksanakan
ialah menubuhkan bank-bank British di Bangkok pada tahun 1888-1894.
Chulalongkorn telah menggalakkan perluasan kawasan penanaman padi.
Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mengurangkan cukai ke atas
sawah-sawah padi, melaksanakan projek pengairan dan pembinaan jalan
kereta api. Usaha tersebut telah membuahkan hasil yang lumayan
apabila nilai eksport beras Thailand telah meningkat daripada 1.8
juta pada tahun 1870, kepada 14.7 juta pada tahun 1905.
Chulalongkorn turut menggalakkan perdagangan asing dengan menerima
pelabur Barat terutamanya Britain.
Raja Chulalongkorn telah meneruskan polisi luar negara yang
telah diamalkan oleh Raja Mongkut. Thailand telah menandatangani
perjanjian diplomatik dengan negara Belgium, Itali, Sweden, Norway
dan Jerman. Chulalongkorn telah menyerahkan wilayah-wilayah
naungannya kepada kuasa Barat untuk mengekalkan kemerdekaannya,
misalnya menyerahkan Laos, Kemboja kepada Perancis dan
negeri-negeri Melayu Utara kepada British. Raja Chulalongkorn telah
menjalin hubungan peribadi dengan raja-raja di Eropah, misalnya
dengan maharaja William 11 di Jerman, Tsar Nicholas 11 dari
Rusia.
Dalam aspek pendidikan, Raja Chulalongkorn telah membuat
beberapa pemodenan seperti pembinaan sekolah untuk kaum bangsawan
dan rakyat biasa. Untuk melahirkan golongan cerdik pandai di
Thailand, Chulalongkorn telah menghantar seramai 300 orang pelajar
ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran. Jabatan Pendidikan dan
Maktab Perguruan telah ditubuhkan. Kemajuan dalam bidang pendidikan
begitu terserlah dengan kewujudan sekolah-sekolah aliran Inggeris,
contohnya pada tahun 1890-an terdapat tiga buah sekolah Inggeris di
Thailand.
B. Pemodenan Raja Mindon Min (10m) Raja Mindon Min pula telah
berjaya mengekang penguasaan pihak Barat secara kekerasan terhadap
Myanmar. Mindon Min telah menjalankan dasar pintu terbuka kepada
British dan Perancis. Beliau berusaha untuk menjalinkan hubungan
baik dengan British, dengan harapan British akan mengembalikan
wilayah Pegu kepada Myanmar. Bagi tujuan tersebut, Mindon Min telah
menghantar perwakilan pada tahun 1853 untuk bertemu dengan kerajaan
Britain. Satu perjanjian telah dimeterai meliputi hubungan
diplomatik dan perdagangan. Melalui perjanjian tersebut, Myanmar
membenarkan British menggunakan kemudahan di Myanmar. Mindon Min
menjalin hubungan dengan Perancis untuk mengurangkan tekanan yang
diterima daripada British. Pada tahun 1873, Mindon Min telah
membuat perjanjian dengan Perancis.
Mindon Min telah memperbaiki sistem ekonomi dengan
memperkenalkan sistem cukai yang baharu. Dalam usaha tersebut,
beliau telah memperkenalkan cukai Thatemenda pada tahun 1862, iaitu
cukai yang dibayar oleh setiap keluarga kecuali yang berkhidmat
dengan raja. Beliau turut memperkenalkan sistem mata wang yang
berdasarkan nilai perak. Kilang untuk mengeluarkan wang telah
didirikan oleh kerajaan. Di samping itu, Mindon Min berusaha untuk
mempelbagaikan sumber ekonomi Myanmar supaya tidak bergantung
sepenuhnya kepada sumber pertanian. Kilang-kilang telah didirikan.
Selain itu sektor perlombongan khususnya lombong arang batu dan
bijih besi juga dimajukan. Walau bagaimanapun usaha beliau tidak
mendapat hasil yang memberansangkan kerana kekurangan kepakaran
teknikal dan pengetahuan dalam bidang tersebut. Malahan Myanmar
menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan untuk mengolah sumber
mineralnya. Mindon Min turut memajukan sektor perkapalan untuk
menjana pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki sistem perhubungan
Myanmar. Contohnya dengan penubuhan syarikat perkapalan Irawaddy,
banyak kapal telah dibeli untuk mengembangkan operasi syarikat
perkapalan tersebut.
Mindon Min turut menjaga kebajikan rakyat khususnya pendidikan
dan kemudahan infrastruktur. Beliau telah mengembangkan pendidikan
dan ajaran agama Buddha. Dalam usaha tersebut, beliau telah membina
komplek pagoda di Kuthodaw sebagai pusat pendidikan dan
pengembangan agama Buddha. Beliau telah menjadikan Mandalay sebagai
pusat pendidikan agama Buddha di Myanmar. Mindon Min telah
memajukan infrastruktur khususnya jalan perhubungan untuk
memudahkan rakyatnya bergerak ke sesuatu tempat. Ini terbukti
dengan pengwujudan syarikat perkapalan milik negara.
Kesimpulan (2/3m)Sebagai kesimpulannya, langkah pemodenan yang
telah dilakukan oleh Raja Chulalongkorn di Thailand dan Raja Mindon
Min di Myanmar telah berjaya membangunkan negara masing-masing.
Polisi berbaik-baik dengan kuasa Barat oleh kedua-dua raja berjaya
mengurangkan ketegangan dengan pihak Barat. Namun apa yang jelas
sikap toleren Raja Chulalongkorn telah berjaya menyelamatkan
negaranya daripada dijajah berbanding dengan kedegilan Raja Mindon
Min dalam mempertahankan adat tradisinya yang membawa kepada
tercetusnya Perang Inggeris-Myanmar ke-3 dan akhirnya seluruh
Myanmar dikuasai oleh British.SOALAN 10Huraikan faktor-faktor yang
mencetuskan Revolusi China 1911 dan Revolusi Siam 1932Pengenalan (
3/2 m )
Revolusi China yang berlaku pada tahun 1911 dan Revolusi Siam
pada tahun 1932 tidak bertujuan untuk mengusir penjajahan Barat;
sebaliknya merupakan peristiwa penentangan yang berpunca daripada
rasa tidak puas hati rakyat terhadap pemerintah di negara
masing-masing. Kedua-dua revolusi ini telah digerakkan oleh
golongan intelektual yang merasakan pembaharan perlu dilakukan
untuk membangunkan negara dan ianya mendapat sokongan luas daripada
golongan massa. Revolusi China dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen dan
Kang Yu Wei sementara Revolusi Siam diketuai oleh Pridi
Panomyong.
Isi (20 m)
A.Faktor-faktor Yang Mencetuskan Revolusi China 1911 (10m)
i. Kelemahan pemerintahan Manchu
Revolusi ini bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Dinasti
Manchu yang dianggap oleh rakyat sebagai lemah dan telah kehilangan
mandat dari tuhan untuk terus memerintah China. Kelemahan kerajaan
Manchu bermula dengan kekalahan China kepada Inggeris dalam Perang
China-Inggeris Pertama (Perang Candu 1) pada tahun 1839-1842, dan
kalah sekali lagi dalam Perang Inggeris-China Kedua (Perang Candu
2) pada tahun 1856.
Kekalahan China dalam kedua-dua peperangan itu yang diikuti
dengan termeterainya perjanjian-perjanjian berat sebelah
menyebabkan pintu negara China dibuka secara paksa oleh kuasa-kuasa
Barat, keadaan huru hara, masalah rasuah dan inflasi yang
meruncing. Keadaan ini menyebabkan tercetusnya beberapa gerakan
penentangan seperti Pemberontakan Taiping (1850-1864),
Pemberontakan Panthay (1885), Pemberontakan Nien (1853-1868), serta
munculnya gerakan kongsi-kongsi gelap seperti White Lotus Society
(Kumpulan Teratai Putih) dan Tried Society (Kumpulan Bertiga
Syurga). Kedaaan ini telah menelan perbelanjaan yang banyak
sehingga menyebabkan masalah kewangan. Tambahan pula, Putera Kung
yang dilantik sebagai pemangku raja selepas kemangkatan Maharaja
Kuang-Hsu pada tahun 1908 merupakan seorang raja yang tidak
berwibawa dan gagal menstabilkan keadaan politik dan ekonomi
China.
ii.Kesengsaraan hidup rakyat
Majoriti rakyat China adalah petani yang mendiami
wilayah-wilayah di selatan China terutamanya Kwangsi dan Kwantung.
Bilangan penduduk China telah meningkat dengan pesat kepada lebih
400 juta orang menjelang awal abad ke-20. Ini menimbulkan masalah
kekurangan tanah pertanian dan meningkatnya pengangguran. Kehidupan
petani tambah menderita akibat bencana alam terutamanya banjir dan
kemarau seperti yang berlaku di Ahnwei, Chiking dan Shantung yang
mengurangkan hasil pertanian. Kerajaan Manchu juga banyak berhutang
dengan negara barat seperti Rusia dan Peranchis bagi membayar
gantirugi perang. Bagi meningkatkan pendapatan kerajaan, kadar
cukai telah ditingkatkan dan ini menambahkan lagi beban rakyat.
Keadaan ini meningkatkan kemarahan rakyat kepada kerajaan Manchu.
Rakyat menyalahkan kerajaan Manchu yang dianggap penyebab
kesengsaraan hidup rakyat.
iii.Pencerobohan kuasa Barat
Kemasukan orang Barat ke China telah memberi kesan negatif
kepada aspek perdagangan dan keagamaan. Masyarakat China merasakan
untuk menjadi maju mereka perlu menerima idea-idea daripada Barat
dan disesuaikan di China. Malangnya idea ini tidak disenangi oleh
pemerintah Manchu lalu melaksanakan dasar tutup pintu. Pada waktu
yang sama, Jepun telah membenarkan Dr. Sun Yat Sen menubuhkan Tung
Meng Hui semasa di Jepun dan memberikan penerangan serta mendorong
orang Cina di seberang laut untuk menyokong gerakan
revolusioner.
iv.Penguasaan ekonomi oleh kuasa asing
Termeterainya beberapa siri perjanjian seperti Perjanjian
Nanking (1842), Perjanjian Bogue (1844) dan Perjanjian Tientsin
(1858) di antara China dan Inggeris selepas kekalahan China dalam
Perang Candu pertama dan kedua telah membuka ruang kepada
kuasa-kuasa Barat menceroboh wilayah dan menguasai ekonomi China.
Akibatnya kuasa Barat seperti British, Perancis, Rusia dan Amerika
Syarikat telah menguasai pelabuhan-pelabuhan utama di China dan
bandar utama Peking. Menerusi perjanjian ini juga, China kehilangan
punca kewangannya kerana terpaksa membayar pampasan perang kepada
kuasa Barat dan Timur. Contohnya Perjanjian Shimonoseki yang
ditandatangani bagi menamatkan Perang Jepun-China (1894-1895)
memaksa China membayar gantirugi sebanyak 450 juta tael kepada
Jepun.
v.Peranan golongan intelektual
Golongan terpelajar seperti Dr. Sun Yat Sen telah memainkan
peranan penting dalam mempengaruhi masyarakat dan meniupkan
semangat nasionalisme mengenai kelemahan pemerintahan Manchu. Usaha
ini telah menyumbang secara langsung kepada meletusnya Revolusi
China 1911.
vi.Kemudahan sistem perhubungan
Kemudahan sistem perhubungan yang terdapat di China seperti
rangkaian jalan keretapi, jalanraya, perkhidmatan pos, telegraf dan
media cetak telah mempercepatkan lagi penyebaran sentimen
anti-Manchu. Dr. Sun Yat Sen sendiri misalnya pernah menerbitkan
akhbar Min Pao atau The People untuk menyemarakkan lagi semangat
nasionalisme dan revolusi.
vii.Isu pembinaan jalan keretapi
Tindakan kerajaan Peking meminjam wang dari Britain, Jerman,
Amerika Syarikat dan Perancis untuk membina jalan keretapi yang
menghubungkan Hankow-Szechwan diprotes oleh pemerintah wilayah
Kwantung, Hunan, Hupen dan Szechwan. Mereka bimbang dan marah
kerana terpaksa menanggung beban hutang tersebut Pinjaman itu juga
dilihat sebagai bertambahnya dominasi kuasa-kuasa Barat ke atas
China. Akibatnya tercetus beberapa rusuhan di wilayah-wilayah
terbabit yang menyebabkan sentimen anti-Manchu semakin
memuncak.
B.Faktor-faktor Yang Mencetuskan Revolusi Siam 1932 (10m)
i.Kelemahan pemerintahan Raja Vajiravudh (Rama VI 1910-1925)
Zaman pemerintahan Vajiravudh (Rama VI 1910-1925) menyaksikan
pelbagai kelemahan dan masalah pentadbiran. Usaha Vajiravudh cuba
memperkukuhkan semula sistem raja berkuasa mutlak dan institusi
diraja dilihat sebagai satu langkah anakronis berbanding
pemerintahan Mongkut dan Chulalongkorn sebelumnya. Akibatnya
tercetus percubaan rampasan kuasa untuk menggulingkan baginda dalam
Pemberontakan R.S. 130 tetapi gagal.
Vajiravudh juga bersikap pilih kasih apabila baginda menubuhkan
Kong Sua Pa (Pasukan Harimau Liar / Wild Tiger Corps) yang
membangkitkan kemarahan angkatan tentera sedia ada. Sepanjang
tempoh pemerintahannya, Vajiravudh banyak menerima kecaman terhadap
pendekatan politik dan peribadinya. Rasa tidak puas hati dalam
kalangan pegawai dan rakyat timbul kerana tidak menyukai cara
baginda menggantikan pegawai-pegawai berkebolehan dan setia dengan
pegawai-pegawai berpangkat rendah dan kurang berpengalaman.
Vajiravudh juga kurang mengambil berat tentang tugas dan
tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri kabinetnya, sebaliknya
lebih suka meluangkan masa dengan kegiatan sastera, seni dan drama.
Dasar kewangan dan ekonomi yang dilaksanakan oleh Vajiravudh juga
mengakibatkan keadaan ekonomi yang hampir muflis. Sir Edward Cook
Penasihat Kewangan Siam melaporkan bahawa ketidakcekapan Vajiravudh
dalam urusan kewangan dan sikap borosnya dalam membiayai
aktiviti-aktiviti kesenian dan sastera merupakan punca utama
kemerosotan ekonomi Siam pada tahun 1925.
ii.Kelemahan pemerintahan Raja Prajadhipok (Rama VII
1925-1935)
Pada masa pemerintahan baginda, masalah ekonomi dan kewangan
Siam kian meruncing antara tahun 1913-1925 dalam mana perbelanjaan
negara meningkat sehingga 50% berbanding pendapatan hanya sekitar
25%. Dasar retrenchment (berjimat cermat) yang dilaksanakan
Prajadhipok dengan memotong gaji pegawai dan mengurangkan jumlah
kakitangan serta mengenakan cukai baru untuk memulihkan ekonomi
Siam ternyata kurang disenangi oleh pegawai kerajaan dan rakyat
amnya.
Tindakan Prajadhipok membubarkan Pasukan Harimau Liar yang telah
ditubuhkan oleh Vajiravudh telah menimbulkan kemarahan di kalangan
anggota tentera berkenaan yang kehilangan pekerjaan. Rasa tidak
puas hati golongan tentera terbukti apabila mereka melancarkan
percubaan menggulingkan Prajadhipok pada tahun 1912 dan 1917 tetapi
gagal.
iii.Dasar pilih kasih Prajadhipok
Baginda juga dituduh bersikap diskriminasi dengan melantik
golongan kerabat diraja menjawat jawatan-jawatan tinggi kerajaan
sehingga mengabaikan rakyat yang berpendidikan. Baginda cenderung
mempercayai golongan diraja sahaja dalam membantu pemerintahan
negara melalui penubuhan kementerian. Misalnya pada tahun 1925,
baginda telah menubuhkan Majlis Penasihat yang dianggotai oleh
putera-putera diraja. Ini telah membangkitkan semangat penentangan
terhadap institusi diraja.
iv.Peranan golongan berpendidikan Barat
Idea pembaharuan politik, ekonomi dan sosial Siam dicetuskan
oleh Profesor Nai Pridi Panomyong yang mendapat sokongan golongan
berpendidikan Barat seperti Mejar Phibul Songkram iaitu Ketua Turus
Angkatan Tentera Siam. Mereka terpengaruh dengan idea demokrasi
Barat dan anti kuasa mutlak raja serta sistem monarki yang dianggap
telah ketinggalan zaman dan menghalang kemajuan. Golongan ini juga
merasakan hak mereka untuk menjawat jawatan yang setaraf dengan
kelulusan mereka telah dinafikan kerana kebanyakan jawatan penting
didominasi oleh golongan aristokrat.
v.Perselisihan antara golongan pemerintah / istana
Imej golongan diraja / istana di mata rakyat mula terjejas pada
tahun 1931 akibat perselisihan di antara Putera Bovaradej (Menteri
Pertahanan) dengan Putera Purachatra (Menteri Perdagangan).
Perselisihan berkisar mengenai langkah penyelesaian masalah ekonomi
Siam. Bovaradej mencadangkan kenaikan gaji untuk golongan tentera
tetapi ditolak oleh Prajadhipok.
vi.Peranan Parti Rakyat
Pemimpin Parti Rakyat seperti Pridi Panomyong, Pya Bahul dan
Phibul Songkram telah melancarkan satu cop detat (rampasan kuasa
tanpa pertumpahan darah) pada 26 Jun 1932 ketika Prajadhipok berada
di luar negara. Sekembalinya baginda dua hari selepas
pemberontakan, baginda telah bersetuju untuk menerima perlembagaan
yang diusulkan oleh Parti Rakyat. Peristiwa ini menandakan
berakhirnya sistem pemerintahan monarki atau raja berkuasa mutlak
di Siam.
Kesimpulan ( 2/3 m )
Revolusi China dan Revolusi Siam merupakan dua peristiwa
revolusi yang tercetus akibat daripada rasa tidak puas hati rakyat
terhadap sistem pemerintahan beraja yang dianggap mengongkong
pembaharuan dan pembangunan politik, ekonomi dan sosial di negara
masing-masing. Bezanya di China, revolusi ditujukan kepada
menggulingkan pemerintahan Dinasti Manchu yang merupakan sebuah
kerajaan asing yang berasal dari Manchuria; manakala di Siam,
golongan revolusioner bertujuan menamatkan absolutisme pemerintahan
beraja Dinasti Chakri khususnya Prajadhipok. Kebangkitan golongan
terpelajar berpunca daripada kegelisahan terhadap
kelemahan-kelemahan pentadbiran pihak pemerintah yang menghakis
kepercayaan rakyat terhadap institusi diraja.
SOALAN 11Terangkan peranan golongan agama dalam gerakan
nasionalisme di Indonesia dan
Myanmar hingga awal abad ke-20.
Pendahuluan (3/2m)
Peranan golongan agama dalam gerakan nasionalisme di Indonesia
telah dapat dikesan sejak awal abad ke-20 lagi dengan munculnya
pertubuhan yang berteraskan Islam seperti Sarekat Dagang Islam,
Sarekat Islam, Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama. Perkembangan
nasionalisme Indonesia boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat
iaitu gerakan sosio ekonomi (1912-1921), gerakan politik
revolusioner (1921-1927) dan sekular sosiobudaya (1927-1942). Di
Myanmar pula, golongan agama yang berteraskan ajaran Buddha
memainkan peranan penting dalam gerakan nasionalisme di negara
berkenaan terutamanya pada peringkat awal. Gerakan ini telah
diterajui oleh Persatuan Belia Buddha ( YMBA) dan golongan
Pongyi.
Isi:
A. Indonesia (10m) Pada peringkat awal gerakan nasionalisme
Indonesia, golongan agama khususnya ulama Islam sememangnya
memainkan peranan yang penting. Sarekat Dagang Islam yang diasaskan
oleh Haji Samanhudi memperjuangkan nasib para pedagang batik Jawa
daripada persaingan dan penindasan saudagar Cina dalam perusahaan
batik. Islam dijadikan alat penyatuan rakyat Indonesia dan
melaluinya pertubuhan ini dapat memberi kesedaran kepada penduduk
tentang penindasan kapitalis Cina di Indonesia. Pada tahun 1912,
Sarekat Dagang Islam bertukar nama kepada Sarekat Islam dan
dipimpin oleh Omar Said Tjokroaminato. Pertubuhan ini mengekalkan
Islam sebagai alat penyatuan umat Islam Indonesia. Dengan
berteraskan Islam, pertubuhan ini telah mendapat sokongan penduduk
Indonesia untuk memperjuangkan nasib mereka daripada penindasan
penjajah Belanda. Penyertaan rakyat Indonesia daripada pelbagai
lapisan menjadikan Sarekat Islam sebagai organisasi politik massa
yang pertama di Indonesia. Perjuangan Sarekat Islam yang
bertunjangkan agama Islam menyebabkan gerakan ini digeruni oleh
penjajah Belanda. Sarekat Islam juga berjuang untuk meningkatkan
taraf sosioekonomi rakyat Indonesia. Sarekat Islam turut mengkritik
Kerajaan Belanda di Indonesia kerana gagal memperbaiki
sosio-ekonomi rakyat Indonesia. Pertubuhan ini turut berperanan
memperjuangkan pembaharuan dalam bidang pendidikan dengan mendesak
dihapuskan diskriminasi dalam kemasukan murid-murid ke sekolah
malah menuntut pendidikan wajib kepada anak-anak yang berumur di
bawah 15 tahun. Sarekat Islam telah menuntut hak berkerajaan
sendiri dan ramai golongan nasionalis telah bergabung dengan
Sarekat Islam kerana perjuangannya yang bercorak politik.
Pertubuhan ini juga menuntut penubuhan majlis-majlis daerah dan
perluasan kuasa Volksraad. Mulai tahun 1917, Sarekat Islam mula
memperjuangkan kemerdekaan penuh Indonesia termasuk mengancam akan
menggunakan kekerasan jika perlu. Selain Sarekat Islam,
Muhammadiyah yang ditubuhkan pada 1912 oleh Haji Ahmad Dahlan juga
menggunakan agama Islam sebagai landasan perjuangannya. Pertubuhan
ini memainkan peranan penting dalam gerakan awal nasionalisme
Indonesia dengan mempertahankan kesucian Islam dan menghadapi
ancaman penyebaran agama Kristian dan budaya sekularisme dalam
kalangan penduduk peribumi Indonesia. Pertubuhan ini juga memberi
penekanan kepada usaha meningkatkan kesedaran umat Islam tentang
kemajuan dan pendidikan sebagai cara melepaskan penduduk daripada
belenggu penjajahan Belanda. Pertubuhan ini telah terlibat dalam
menubuhkan sekolah, klinik, masjid dan perpustakaan. Namun begitu
perkembangannya agak lembab akibat tentangan daripada golongan
ortodoks Islam. Walau bagaimanapun kepopularan pertubuhan ini mula
meningkat. Buktinya, bilangan ahlinya hanya 24,000 orang pada tahun
1930 telah meningkat kepada 250,000 orang pada tahun 1938.
Pertubuhan ini juga mula mengambilalih peranan gerakan reformis
Islam daripada Sarekat Islam yang mula merosot pada tahun-tahun
1920an. Nahdatul Ulama ditubuhkan oleh Kiai Hasyim Asjari pada
tahun 1926. Pertubuhan ini berperanan membela dan mempertahankan
keutuhan agama Islam daripada ancaman penyebaran Kristian.
Pertubuhan ini mengendalikan sekolah-sekolah agama Islam yang
bersifat ortodoks, menjalankan kerja-kerja kebajikan dan membantu
memajukan ekonomi ahlinya. Walau bagaimanapun, berbanding dengan
Muhammadiyah, Nahdatul Ulama merupakan pertubuhan yang lebih
ortodoks dan bersikap prejudis terhadap kemajuan dan pendidikan
Barat.B. Myanmar (10m) Gerakan nasionalisme di Myanmar pada
peringkat awalnya lebih bersifat keagamaan. Pertubuhan agama
terawal ialah Sasanadara yang ditubuhkan pada 1897 dan diikuti oleh
Persatuan Agama Maktab Rangoon pada 1904. Gerakan ini semakin
berkembang dengan penubuhan Persatuan Belia Buddha (YMBA ) pada
1906 yang diasaskan oleh U May Oung. Persatuan Belia Buddha
merupakan pertubuhan berorganisasi pertama di Myanmar dengan tujuan
menyatukan nilai-nilai dan tradisi agama Buddha dengan pendidikan
barat. YMBA memainkan peranan penting dalam gerakan nasionalisme
pada tahun-tahun 19016-1920. Persatuan ini terlibat dalam kegiatan
politik disebabkan oleh kesengsaraan ekonomi akibat Perang Dunia
Kedua dan perkembangan pengaruh gerakan kebangsaan di India.
Peranan YMBA dalam gerakan nasionalisme awal di Myanmar dapat
dilihat dalam konflik isu kasut (1916-1918), menuntut sistem
pemerintahan dua lapis (dyarchy) dilaksanakan dan bantahan terhadap
akta universiti. Akibat daripada tekanan tersebut, British terpaksa
menggubal undang-undang yang melarang pemakaian kasut dalam pagoda,
membuat pindaan terhadap akta universiti dan sistem pentadbiran dua
lapis turut dilaksanakan di Myanmar. Kejayaan ini menyebabkan YMBA
semakin popular dalam kalangan rakyat Myanmar. Kejayaan YMBA turut
dipengaruhi oleh kepimpinan nasionalis radikal seperti U Thei Maung
yang bertindakan melakukan pemulauan terhadap kerajaan British.
Golongan Pongyi atau sami-sami Buddha telah memainkan peranan
penting dalam perjuangan kemerdekaan Myanmar sekitar 1916-1935.
Kemerosotan pengaruh Sangha dan sekolah agama Buddha membawa kepada
penglibatan Pongyi dalam mengembalikan pengaruh dan kedudukan agama
Buddha dalam masyarakat. Pongyi turut menyertai dan menyokong YMBA
dalam isu kasut dan mogok pelajar. Walau bagaimanapun, Pongyi
ternyata memainkan peranan penting dalam gerakan nasionalisme
Myanmar terutamanya di kalangan kaum petani . Pongyi turut
menerbitkan akhbar Wunthanu untuk menyebarkan idea-idea
nasionalisme kepada penduduk. Perjuangan Pongyi kemudiannya berubah
menjadi radikal dan agresif dengan kemunculan U Ottama dan U
Wisara. Mereka menuntut pemerintahan sendiri dan menyeru penduduk
menentang polis, mahkamah dan pengutip cukai. Agama Buddha
dijadikan sebagai alat untuk meraih sokongan rakyat. Pada tahun
1922, Pongyi menubuhkan parti politik Sangha Samatggi yang dipimpin
oleh U Ottama dan menyeru rakyat memulaukan pembaharuan British.
Antara tindakan Pongyi termasuklah menghasut petani melancarkan
kempen anti-cukai terhadap British dan menyebabkan petani menyertai
perjuangan menentang British. U Wisara menganjurkan kempen
anti-cukai di Tharawady pada 1926 dan akibatnya beliau telah
ditangkap dan dipenjarakan. Tindakan tersebut telah menyemarakkan
lagi semangat nasionalisme di kalangan rakyat. Peranan Pongyi
semakin memuncak apabila terbentuknya pakatan antara Sangha
Samatggi dengan General Council of Burma Association (GCBA).
Perikatan ini menentang British dan menuntut kemerdekaan. Keputusan
Suruhanjaya Simon mencadangkan pemisahan pentadbiran antara India
dan Myanmar menyebabkan golongan nasionalis Myanmar tidak sepakat
dalam isu ini. Golongan Pongyi telah menyokong kumpulan
anti-pemisahan dengan menubuhkan Liga Anti-pemisahan yang dipimpin
oleh Dr. Ba Maw dan U Khaw Myint. Pongyi menentang pemisahan kerana
bimbang akan melambatkan proses kemerdekaan Myanmar. Peranan Pongyi
jelas dalam Pemberontakan Saya San atau Pemberontakan Tharawaddy
(1930-1931). Pemberontakan yang dipimpin oleh Saya San bertujuan
menggulingkan pentadbiran British di Myanmar dan memulihkan
keagungan agama Buddha serta berusaha mendapatkan semula
tanah-tanah daripada ceti-ceti India. Walaupun pemberontakan ini
gagal setelah Saya San ditangkap dan dihukum mati pada 1931, namun
begitu ia telah menyemarakkan lagi kebangkitan semangat
nasionalisme dalam kalangan penduduk Myanmar.Kesimpulan 2/3m)
Berdasarkan huraian di atas dapatlah dirumuskan bahawa faktor
agama berperanan penting dalam gerakan nasionalisme di Indonesia
dan Myanmar. Di Indonesia, agama Islam menjadi alat penyatuan dalam
gerakan yang diterajui oleh Sarekat Dagang Islam, Sarekat Islam,
Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama. Di Myanmar pula, agama Buddha
ternyata berperanan besar dalam gerakan nasionalisme yang diterajui
oleh YMBA dan Pongyi,
SOALAN 12Huraikan dasar luar India dengan Mynamar dari tahun
1949 hingga 1963
Pendahuluan (3/2m) Dasar luar merupakan instrumen bagi sebuah
negara berinteraksi dengan negara lain. Dasar ini memperlihatkan
pendirian sesebuah negara samada ingin memainkan peranan aktif atau
pasif dalam dunia dan kecenderungan pro barat atau pro komunis.
Dasar luar Myanmar yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1948
mempunyai persamaan dengan negara jirannya India iaitu, mengamalkan
dasar berkecuali. Dasar ini dilaksanakan demi menjaga kepentingan
dan kedaulatan negaranya. Isi
A. Hubungan Luar India selepas merdeka (10m)1.1 Menyertai
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
India telah menjadi anggota PBB sejak tahun 1946 dan
menganggotai banyak agensi PBB. Seorang rakyat India dipilih
menjadi pengarah Agung FAO pada tahun 1956, dan dilantik menjadi
setiausaha ECAFE yang pertama. Selain itu, ibu pejabat UNESCO dan
UNICEF juga terletak di India.
Ibu kota India, New Delhi juga sering menjadi tuan rumah
pelbagai persidangan antarabangsa dan ILO bagi rantau Asia pada
tahun 1957. India juga mengambil bahagian dalam perjanjian damai
antara Korea, Vietnam , Laos dan Kampuchea (Kemboja).
Dalam bidang ketenteraan India pernah menghantar pasukan
pengaman ke Mesir pada tahun 1956, untuk menyertai pasukan
kecemasan PBB. Lebih 700 askar dihantar ke Conggo di bawah panji
PBB untuk mengawasi hospital tentera dan perkhidmatan komunikasi.
Pada tahun 1961 India menghantar 700 tentera ke lebih 24 buah
negara di bawah program bantuan teknikal PBB.
1.2 Hubungan diplomatik dengan negara-negara asing
Hubungan diplomatik India dengan negara asing bertujuan untuk
mengeratkan hubungan perdagangan antarabangsa. Perdagangan luar
India melibatkan eksport bahan mentah dan bahan industri serta
tekstil yang ditukar dengan barangan mesin berat dan peralatan.
Eksport terpenting India termasuklah teh, dan jut yang merupakan
2/3 eksport India. Eksport lain seperti kain kapas, besi keluli ,
peralatan pengangkutan, barangan elektrik, bahan kimia, beras dan
lain-lain. Rakan dagang India yang utama ialah Britain, Amerika
Syarikat, Jerman, Rusia dan lain-lain.
2. Hubungan Luar Myanmar selepas merdeka (10m) Menganggotai
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam Perang Korea, Myanmar turut
memainkan peranan dan bekerjasama dengan PBB, iaitu terlibat secara
tidak langsung dalam Perang Korea. Myanmar telah bekerjasama dengan
PBB untuk mencegah pencerobohan Korea Utara terhadap Korea
Selatan.
Dalam menyelesaikan masalah sempadan dengan China, Myanmar telah
mendapatkan bantuan PBB untuk memindahkan tentera-tentera Kerajaan
Nasionalis China di sempadan Myanmar kembali ke China.
Polisi luar negara Myanmar adalah dasar berkecuali terutama
dalam menghadapi pertelingkahan Blok Barat dengan Blok Komunis dan
telah menolak penyertaan dalam pertubuhan SEATO. Myanmar di bawah
Perdana Menteri U Nu telah menjalinkan hubungan erat dengan banyak
negara terutamanya negara-negara jiran. Myanmar turut mengambil
beberapa langkah perdamaian:
i. Mengakui kedaulatan / mengiktiraf Republik Rakyat China pada
tahun 1949.
ii. Membuat perjanjian persahabatan dengan Indonesia, India dan
Pakistan.iii. Membuat lawatan muhibbah ke Bangkok pada 1954 dan
turut meminta maaf kepada Thailand atas sikap agresif Myanmar pada
masa dahulu.iv. Myanmar turut mengutuk keganasan yang dilakukan
oleh Rusia ke atas Hungary serta serangan sekutu Britain terhadap
Mesir pada tahun 1956 selaras dengan piagam PBB,iaitu memelihara
keamanan sejagat. Menjalinkan hubungan perdagangan dengan Negara
China, India, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia Tenggara.
Sebagai sebuah negara bekas tanah jajahan British, Myanmar turut
menyertai pertubuhan Komanwel.
Kesimpulan (2/3m)Jelaslah bahawa dasar luar India dan Myanmar
menjurus kepada dasar berbaik-baik dengan semua negara bagi menjaga
kepentingan dan keselamatan ekonomi, politik,dan sosial negara
masing-masing. Namun yang jelas dasar luar India banyak dibayangi
oleh isu Kashmir yang membawa persengketaan berpanjangan dengan
jirannya Pakistan dan isu ini menjadi perhatian antarabangsa.
Myanmar pula mula menutup pintunya kepada dunia luar selepas
pentadbiran negara berkenaan dikuasai oleh Junta Tentera. 7