Top Banner
1 Pengenalan Sirah Nabawiyah ialah ilmu mengenai perjalanan (sirah) yang dilalui oleh Rasulullah SAW. Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan dalam ‘Fiqh al-Sirah’ bahawa memahami sirah membolehkan setiap muslim mempunyai tasawwur sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna melalui kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah mengenai Rasulullah : “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.al-Ahzab (3) : 21 Terdapat dua faktor utama dalam penelitian Sirah Nabawiyah yang perlu dipegang. PERTAMA: Sumber rujukan perlulah sumber yang sahih. Sirah Rasulullah perlulah diambil dari sumber yang sahih. Pelbagai riwayat dan sumber yang dhaif dan penuh kepalsuan seperti berunsur Israiliyat dan penyelewengan perlulah dielakkan dengan penelitian yang ketat. Sehubungan dengan itu adalah perlu sumber- sumber sirah diambil dari : Al-Quran Hadith Kitab-kitab muktabar Al-Quran ialah sumber yang paling sahih bagi sejarah Islam kerana ia mutawatir dan dipelihara Allah. Pelbagai asbab al-nuzul berkait dengan sirah nabawiyah. Selepas al- Quran barulah hadith-hadith yang sahih seperti di dalam Sahih al-Bukhari dan hendaklah meninjau martabat setiap hadith berkenaan. Ketiga, kitab-kitab karya Islam yang besar seperti al-Muwatta (Imam Malik) dan kitab Sirah yang cermat bolehlah dirujuk dengan perlunya penelitian yang ketat.
18

Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

Feb 26, 2023

Download

Documents

Welcome message from author
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
Page 1: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

1

Pengenalan

Sirah Nabawiyah ialah ilmu mengenai perjalanan (sirah) yang dilalui oleh

Rasulullah SAW. Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan dalam ‘Fiqh al-Sirah’ bahawa

memahami sirah membolehkan setiap muslim mempunyai tasawwur sebenar tentang

hakikat agama Islam secara sempurna melalui kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah mengenai Rasulullah :

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.”

al-Ahzab (3) : 21

Terdapat dua faktor utama dalam penelitian Sirah Nabawiyah yang perlu dipegang.

PERTAMA: Sumber rujukan perlulah sumber yang sahih.

Sirah Rasulullah perlulah diambil dari sumber yang sahih. Pelbagai riwayat dan sumber

yang dhaif dan penuh kepalsuan seperti berunsur Israiliyat dan penyelewengan perlulah

dielakkan dengan penelitian yang ketat. Sehubungan dengan itu adalah perlu sumber-

sumber sirah diambil dari :

Al-Quran

Hadith

Kitab-kitab muktabar

Al-Quran ialah sumber yang paling sahih bagi sejarah Islam kerana ia mutawatir dan

dipelihara Allah. Pelbagai asbab al-nuzul berkait dengan sirah nabawiyah. Selepas al-

Quran barulah hadith-hadith yang sahih seperti di dalam Sahih al-Bukhari dan

hendaklah meninjau martabat setiap hadith berkenaan. Ketiga, kitab-kitab karya Islam

yang besar seperti al-Muwatta (Imam Malik) dan kitab Sirah yang cermat bolehlah

dirujuk dengan perlunya penelitian yang ketat.

Page 2: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

2

KEDUA: Ilmu dan Asas yang kukuh dalam memahami sirah

Sirah nabawiyah hendaklah diteliti dengan menguasai ilmu yang diperlukan dalam

memahami sirah. Terdapat sekurang-kurangnya tiga jenis ilmu ataupun fiqh yang perlu

dikuasai dalam memahami Sirah iaitu :

Fiqh al-Nas –memahami nas-nas yang berkaitan dengan tepat

Fiqh al-Sirah –mencari dan memahami peristiwa sirah dengan betul

Fiqh al-Waqi’ –memahami realiti, suasana semasa sirah berlaku

Maka penulisan ini sedaya upaya cuba melaksanakan pemilihan sirah nabawiyah

yang tepat dan selayaknya. Segala peristiwa dan maklumat yang ada dibuat rujukan

silang dengan hadith dan al-Quran secara dalam talian bagi menilai kesahihan. Rujukan

hadith secara dalam talian adalah melalui laman web yang dipercayai dan memiliki

kredibiliti yang tinggi.

Kitab-kitab sirah yang dirujuk turut disaring dan keberadaan Buku “Seleksi Sirah

Nabawiyah - Studi Kritis Muhadditsin Terhadap Riwayat Dhaif” (2004) oleh Dr. Akram

Dhiya' Al-Umuri banyak membantu penilaian dan kesahihan fakta yang ditulis dalam

makalah ini. Pelbagai fakta dari kitab-kitab seperti “Sirah Ibn Hisyam” yang tiada

sumber riwayat dan pelik malah berunsur israiliyat telah dikeluarkan dari penulisan

sebagai kecermatan yang perlu dilakukan.

Page 3: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

3

BAB 1

Latarbelakang Masyarakat Arab Pra-Kerasulan

Kedudukan Geografi

Kedudukan Semenanjung Arab yang berada di pertengahan kekuasaan dua

empayar besar sewaktu itu iaitu Empayar Rom di Benua Eropah serta Empayar Parsi di

Benua Asia. Kedua-dua empayar ini mengapit utara semenanjung arab. Namun

kedudukan semenanjung arab yang berada jauh di selatan dan terperosok dari

kawasan perebutan dua empayar menjadikannya sunyi dari campurtangan politik,

kebudayaan dan keagamaan lain.

Peta Semenanjung Arab

Page 4: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

4

Laut Merah yang sempit dan tersekat oleh daratan menjadikan ia tidak strategik bagi

pelayaran kapal dagang dan bukan lokasi pelabuhan utama. Benua Afrika yang

menganjur di barat semenanjung arab merupakan kawasan tandus dan memiliki

ketamadunan yang rendah. Semua ini menjadikan semenanjung arab hampir bebas

dari pengaruh luar yang juga menjadikan ia bukti kukuh bahawa syariat Nabi

Muhammad bukanlah disadur dan diciplak dari mana-mana falsafah atau idea. Bahkan

ia adalah wahyu dari Ilahi yang suci.

Lokasi ini juga merupakan satu faktor yang menyokong kecepatan penyebaran

agama Islam di seluruh dunia ekoran ia berada di pertengahan bumi. Malah tidak

keterlaluan jika dikatakan bahawa semenanjung arab terutamanya lokasi kaa’bah

merupakan pusat bumi dan pusat magnetik dunia. Ini kerana ia berada di pertengahan

tiga benua utama iaitu benua eropah, benua afrika dan benua asia. Lantas ia

merupakan hikmah Ilahi di mana pemilihan lokasi terakhir penurunan wahyu dan syariat

Allah ini menjamin ia tersebar dan tertegak di muka bumi dalam masa singkat.

Penempatan Masyarakat Awal dan Arab Jahiliyah

Semenanjung arab merupakan lokasi gersang dan tandus. Qiblat umat Islam iaitu

Kaa’bah berada disini dan ia merupakan binaan dari Nabi Adam dan kemudiannya

dibangunkan semula oleh Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail oleh petunjuk Ilahi.

Penempatan manusia di sekeliling kaa’bah berkembang dengan penempatan Nabi

Ismail dan ibunya Siti Hajar. Telaga zam-zam sebagai sumber air utama dan asas

merealisasikan ia sebagai pusat tumpuan dan kehidupan.

Penempatan yang dibuka oleh Siti Hajar dan Nabi ismail kemudiannya dikongsi oleh

Suku Jurhum. Penempatan ini kemudian berkembang maju dan ditawan oleh Suku

Khuza’ah. Kuasa suku Khuza’ah semakin lemah ekoran kelemahan pentadbiran,

permulaan kesyirikan dan tertimbusnya telaga zam-zam. Penguasaan kota mekah

kemudiannya beralih ke tangan Suku Quraish oleh Qusai bin Kilab.

Page 5: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

5

Ia dimulai dengan perkahwinan Qusai bin Kilab dengan anak perempuan kepada

ketua suku Khuza’ah dan kepintaran Qusai dalam mengendalikan urusan pentadbiran

kota mekah dan pengurusan haji. Beliau mengasaskan tempat pentadbiran kota mekah

iaitu Dar an-Nadwah sebagai tempat mesyuarat.

Nabi Ibrahim , Kaabah dan Sisa Agama

Kaa’bah dan ajaran agama samawi iaitu tauhid merupakan asas pegangan dalam

masyarakat awal arab. Pembinaan kaa’bah dicatat dalam al-Quran melalui Surah al-

Baqarah (2) ayat 127 :

Dan ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail

(serta berdoa): "Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya

Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui".

Malah asas pegangan agama dan pegangan hidup yang dibangunkan oleh Nabi

Ismail dan Nabi Ibrahim bertunjangkan tauhid pada Allah. Ia kemudian diikuti oleh

mereka yang selepasnya. Ia direkodkan dalam Ali Imran (3) ayat 95 :

Katakanlah: "Benarlah (apa yang difirmankan) Allah". Maka ikutilah agama Ibrahim

yang lurus, dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang musyrik.

Namun ia mulai terpesong dengan penyerapan unsur kesyirikan sedikit demi

sedikit yang mengalihkan tumpuan kepada taa’bud pada Allah kepada pemujaan

selainNya. Individu pertama yang memulakan kesyirikan ialah Amru bin Luhay Bin

Qam’ah bin Khandaf dari suku Khuzaah melalui berhala yang dibawa dari Maab,

daerah Balqa’ oleh Bani Amaliq. Ia merupakan berhala pertama dan dinamakan

“Hubal”. Ia kemudian dituruti dengan penyembahan berhala-berhala lain samada yang

Page 6: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

6

dibuat atau semulajadi seperti berhala Usaf dan Nailah. Sehinggalah hanya sisa

tinggalan agama iaitu wukuf, tawaf dan menghormati Kaabah sahaja masih kekal. Allah

menceritakan kesyirikan masyarakat arab yang dianggap benar melalui surah Az-

Zukhruf (43) ayat 22 :

Bahkan mereka berkata: "Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami menganut

suatu agama, dan Sesungguhnya kami orang-orang yang mendapat petunjuk

dengan (mengikuti) jejak mereka".

Amalan syirik dan pelbagai amalan dan kepercayaan karut mula berkembang.

Dalil dalam Hadith Sahih Muslim Jilid 2 iaitu Hadith Nombor 0883 :

Dari Abu Malik Al Asy'ari r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Ada empat macam kebiasaan jahiliyah terdapat di kalangan umat ku, yang belum ditinggalkan mereka :

(1) Membanggakan turunan, (2) Mencela turunan orang lain, (3) Mempercayai hujan

turun disebabkan bintang-bintang, (4) Meratapi mayat. Sabda beliau, "Jika wanita

peratap itu tidak taubat sebelum dia mati, nanti di hari kiamat dia akan disuruh berdiri,

lalu dipakaikan kepadanya celana terbuat dari minyak tar mendidih, dan baju

berpenyakit kulit."

Begitulah latarbelakang masyarakat arab sebelum kerasulan Nabi Muhammad.

Iaitu bermula dengan dasar tauhid yang berubah kepada kesyirikan dan pemujaan.

Masyarakat arab sebelum kerasulan masih mengamalkan sisa agama samawi maka

tidak hairanlah apabila seruan dakwah dan ibadat yang terkandung dalam syariat Islam

merupakan sesuatu yang tidak asing. Syariat Islam melakukan proses pemurnian atau

penyucian dengan kembali kepada Allah Al-Haq dan Rab sebenar.

Page 7: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

7

BAB 2 Keturunan, Nasab dan Ibubapa Rasulullah

Keturunan Rasulullah

Keturunan Rasulullah adalah dari Bani Hashim iaitu dari Suku Quraisy. Bani

Hashim atau keluarga Hashim ialah keturunan kepada Hasyim bin Abdul Manaf

(Mughirah) bin Qusai. Suku Quraisy adalah suku pimpinan Qusai bin Kilab iaitu pelopor

pentadbiran kota mekah. Bani Hasyim mendapat tugas terhormat dari sukunya untuk

memberi jamuan makan dan minum kepada jemaah haji.

Datuk Rasulullah iaitu Abdul Mutalib bin Hasyim merupakan individu

berpengaruh di Kota Mekah dan dikalangan Suku Quraisy. Ini berikutan beliau telah

melakukan penggalian semula telaga zam-zam melalui 4 mimpi yang diilhamkan

kepadanya. Setelah penggalian telaga zam-zam yang begitu besar kepentingannya

bagi masyarakat maka kedudukan dan kemulian Abdul Mutalib diangkat setingginya.

Abdul Mutalib memiliki sepuluh orang anak lelaki. Beliau bernazar untuk

mengorbankan seorang anaknya jika dikurniakan sepuluh orang anak lelaki. Nazar

berkenaan jatuh kepada Bapa Rasulullah iaitu Abdullah bin Abdul Mutalib. Namun

setelah diberi pandangan, nazar berkenaan diganti dengan undian yang diganti dengan

10 unta bagi setiap undian. Sepuluh undian jatuh kepada Abdullah bin Abdul Mutalib

yang menjadikan 100 ekor unta sebagai ganti. Undian seterusnya sebanyak tiga kali

barulah mengesahkan unta sebagai korban.

Bapa Rasulullah iaitu Abdullah bin Abdul Mutallib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin

Qusai bin Kilab terselamat dari dikorbankan dalam nazar datuk Rasulullah iaitu 5 tahun

sebelum keputeraan Rasulullah. Beliau dikahwinkan dengan Aminah binti Wahab. Ibu Rasulullah ialah Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Hadith

Riwayat Al-Hakim mengenai keturunan Rasulullah seperti berikut;

“Aku adalah anak keturunan dua orang zabihain (orang yang disembelih).

Zabihain iaitu dua orang yang disembelih merujuk kepada Nabi Ismail dan Abdullah

(bapa Nabi) .

Page 8: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

8

BAB 3

Keputeraan Rasulullah

Maklumat mengenai keputeraan atau kelahiran Rasulullah adalah seperti berikut :

Hari : Isnin

Tarikh Islam : 12 Rabiul Awal pada Tahun Gajah

Tahun Masihi: 22 April 570 M.

Dalil Hari Kelahiran Rasulullah ialah Hadith Sahih Muslim Jilid 2 (Nombor 1132) :

Dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang tentang puasa

hari Isnin. Jawab beliau, "Hari Isnin itu hari kelahiranku, dan hari Isnin itu Quran

diturunkan kepada ku."

Tahun Gajah dinamakan sempena peristiwa serangan Abrahah al-Asyram,

seorang Gabenor Yaman yang membangun sebuah rumah ibadat di Shan’a. Serangan

ini berpunca dari kemarahan Abrahah akibat seorang Bani Kinanah telah mengotorkan

rumah ibadat berkenaan. Berikutan peristiwa ini, maka tahun ini dirujuk sebagai tahun

kebesaran atau kemerdekaan bagi masyarakat arab mekah.

Ia dicatatkan dalam Surah Al-Fil (105) ayat 1-5 :

1. Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu Telah bertindak terhadap tentera bergajah?

2. Bukankah dia Telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka'bah) itu sia-sia?

3. Dan dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong,

4. Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar,

5. Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Page 9: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

9

Nama dan Nasab lengkap Rasulullah adalah seperti berikut “Muhammad bin

Abdullah bin Abdul Mutallib (Syaibah al-Hamd) bin Hashim bin Abdul Manaf (Mughirah)

bin Qusai (Zaidan) bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihri bin Malik

bin Nadri bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin

Mu’ad bin Adnan. Adnan adalah cucu-cicit keturunan Nabi Ismail iaitu putera Nabi

Ibrahim.

Dalil Keturunan Rasulullah ialah Hadith Sahih Muslim Jilid 4 (Nombor 2120) :

Dari Watsilah bin Asqa' r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dari anak Ismail, memilih Quraisy dari

Kinanah, memilih Bani Hasyim dari Quraisy, dan memilih ku dari Bani Hasyim."

Semasa Rasulullah dalam kandungan, ibu baginda iaitu Aminah telah beberapa

kali bermimpi melihat cahaya keluar dari dalam kandungan lalu menerangi istana di

Basra. Ia adalah sebagai petanda awal akan kebesaran dan kemulian Rasulullah

sebagai rasul pilihan dan pembawa risalah kebenaran.

Semasa Rasulullah berada dalam kandungan 2 bulan, bapa baginda iaitu

Abdullah bin Abdul Mutalib telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke

Madinah di perkampungan Bani Najar.

Page 10: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

10

BAB 4

Zaman Kanak-Kanak : Rasulullah

Rasulullah telah dipelihara dengan kasih sayang melalui pelbagai individu. Kesemua

penjaga baginda memilihara baginda dalam satu tempoh yang singkat dan saling

berpindah antara satu sama lain ekoran pelbagai peristiwa seperti kematian. Ini

merupakan satu bentuk pengasuhan yang menguatkan jiwa dan memberikan didikan

langsung Allah kkepada Rasulullah sendiri.

Penjagaan oleh Ibu Susuan

Rasulullah telah disusukan oleh dua orang ibu susuan sebagai satu amalan tradisi

masyarakat arab iaitu :

i. Ibu Susuan Pertama : Tsuwaibah (hamba kepada Abu Lahab, Pakcik Rasulullah)

ii. Ibu Susuan Kedua : Halimah as-Saadiyyah bt Zuwaib dari Bani Sa’ad

Dalil Ibu Susuan kepada Tsuwaibah dan adik-beradik sesusuan dengan Hamzah bin

Abdul Thalib ialah Hadith Sahih Bukhari Jilid 3 (Nombor 1231) :

Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda mengenai anak puteri Hamzah: "Ia

tiada halal untuk saya. Haram kerana sesusuan sama dengan haram kerana

seketurunan. Dan ia adalah anak dari saudaraku sesusuan".

Semasa di bawah jagaan ibu susuan kedua iaitu Halimah binti Zuwaib telah

berlaku pelbagai kebesaran dan kemuliaan iaitu kemarau panjang yang berlaku di

perkampungan Bani Sa’ad telah bertukar dengan rahmat dan keberkatan ekoran

pemiliharaan Rasulullah di perkampungan berkenaan.

Semasa Rasulullah berusia 4 tahun, telah berlaku satu peristiwa besar iaitu

‘Peristiwa Pembelahan Dada kali Pertama’ sebagai satu petanda kebesaran dan

kemuliaan Rasulullah.

Page 11: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

11

Dalil peristiwa pembelahan dada ini adalah melalui Hadith Sahih Muslim Jilid 1

(Nombor 0136) :

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Jibril a.s. mendatangi Rasulullah saw. ketika beliau

sedang bermain-main dengan beberapa orang anak (di zaman kanak-kanak). Tiba-tiba

Jibril memegang dan membaringkan beliau, lalu membelah dan mengeluarkan jantung

beliau, kemudian dibuangnya segumpal darah dari jantung itu seraya berkata: Ini

menguntungkan syaitan dari diri mu. Kemudian dibersihkannya dalam sebuah bekas

emas dengan air zamzam. Sesudah itu diletakkannya ditempatnya dan dijahitkannya

kembali. Anak-anak yang menyaksikan peristiwa itu segera lari kepada ibu susu beliau,

mengkhabarkan bahawa Muhammad dibunuh orang. Mereka segera mencarinya, dan

didapatinya Muhammad masih dalam keadaan pucat." Kata Anas, "Aku melihat bekas

jahitan itu di dada Nabi saw."

Peristiwa di atas merupakan salah satu faktor yang menyumbang ke arah penyerahan

semula Rasulullah kepada jagaan keluarga iaitu ibu baginda sendiri.

Penjagaan oleh Ibu Kandung : Aminah

Rasulullah kemudian dipelihara dan dijaga oleh ibu kandung rasulullah iaitu Aminah

binti Wahab bermula usia 4 tahun sehingga 6 tahun. Rasulullah dipelihara ibunya

selama lebih kurang dua tahun sahaja kerana kemudiannya ibu baginda meninggal

dunia di Abwa’ semasa dalam perjalanan pulang dari perkampungan Bani Najar.

Penjagaan oleh Datuk : Abdul Mutalib

Rasulullah kemudian dipelihara dan dijaga oleh datuk sebelah bapanya iaitu Abdul

Mutalib mulai 6 tahun sehingga 8 tahun sahaja. Rasulullah dipelihara datuknya

selama lebih kurang dua tahun sahaja kerana kemudiannya datuk baginda pula

meninggal dunia.

Page 12: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

12

Penjagaan oleh Bapa Saudara : Abu Talib

Rasulullah kemudian dipelihara dan dijaga oleh bapa saudara sebelah bapanya

iaitu Abu Talib mulai 8 tahun sehingga dewasa. Sewaktu dalam penjagaan Abu Talib,

Rasulullah telah melakukan pelbagai pekerjaan bagi membantu bapa saudaranya.

Baginda telah mengambil upah pekerjaan sebagai pengembala kambing dan

peniaga melalui selok-belok yang diajarkan oleh Abu Talib sendiri ketika mengikuti bapa

saudaranya itu berdagang. Dalil Rasulullah pernah melakukan pekerjaan sebagai

Pengembala Kambing dirujuk juga melalui Hadith Sahih Bukhari Jilid 2 (Nombor 1105) :

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw.,sabdanya : "Allah tidak mengutus seorang Nabi,

melainkan orang itu gembala kambing." Para sahabat bertanya: "Dan anda sendiri

bagaimana?" Jawab Nabi. "Ya, aku pernah gembala kambing orang Mekah dengan

(upah) beberapa qirath."

Sewaktu mengikuti rombongan dagang bersama bapa saudaranya, Rasulullah

telah mempelajari teknik perniagaan dengan baik. Sewaktu berusia 12 tahun,

Rasulullah telah mengikuti Abu Talib berdagang ke Syam yang disebut sebagai

‘Perjalanan ke Syam Kali Pertama’. Sebahagian riwayat menyebut bahawa perjalanan

kali ini mempertemukan Abu Talib dan Rasulullah kepada Buhaira iaitu seorang tokoh

agama Nasrani di Basra (namun riwayat ini adalah lemah dan diragui).

Sifat Rasulullah dalam Injil : Baqarah (2) : 146

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Telah kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil)

mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri dan

Sesungguhnya sebahagian diantara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal

mereka Mengetahui.

Page 13: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

13

BAB 5 Zaman Dewasa dan Perkahwinan

Sewaktu Rasulullah berusia 20 tahun, telah berlakunya ‘Perjanjian Hilful Fudhul’ di antara suku Quraisy yang meliputi Bani Hashim, Bani al-Mutalib, Bani Asad,

Bani Zuhrah dan Bani Taim. Perjanjian ini merupakan suatu perjanjian yang didasari

dengan asas keadilan dan kebajikan. Semua bersepakat bagi mewujudkan keadilan di

Mekah meliputi penduduk asal ataupun dari luar. Semua akan saling membela antara

satu sama lain hak golongan yang tertindas dan membalas kezaliman yang berlaku.

Justeru itu, tidak hairanlah Rasulullah telah melibatkan diri bersama-sama

dengan keluarga Bani Hashim mengikat perjanjian ini kerana ia bukan bersifat

perkauman atau asabiyah.

Sewaktu berusia 25 tahun, Rasulullah telah bermusafir untuk kali kedua ke

Syam atas urusan perniagaan barang dagangan milik Khadijah binti Khuwailid al-

Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah, lelaki suruhan Khadijah. Akhlak

dan budi pekerti Rasulullah telah menarik hati Khadijah untuk dipilih sebagai teman

hidup.

Maka berlangsungnya perkahwinan Rasulullah di usia 25 tahun dengan

Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Nama penuh isteri baginda ialah Khadijah bt

Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai bin Kilab bin Luai bin Ghalib. Beliau

merupakan seorang hartawan dan wanita terhormat di kalangan masyarakat. Proses

perkahwinan ini berlaku dengan wakil Khadijah ialah Amru bin Asad meminang

Rasulullah melalui wakil Rasulullah iaitu Abu Talib. Melalui ikatan perkahwinan ini,

Rasulullah dikurniakan sejumlah enam orang anak iaitu Qasim, Abdullah, Fatimah,

Ummu Kalsum, Zainab dan Ruqayyah. Mas kahwin perkahwinan Rasulullah ialah

sebanyak 20 ekor unta. Selesai perkahwinan Nabi Muhammad berpindah ke rumah

Khadijah sebagai pasangan suami isteri.

Page 14: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

14

Sewaktu Rasulullah berusia 35 tahun, berlakunya proses pembaikpulihan dan

pembinaan semula Ka’abah. Ini disebabkan berlaku banjir besar melanda Mekah dan

meruntuhkan sebahagian dinding Ka’abah ditambahkan pula faktor masa yang lama

menyebabkan binaan mulai runtuh dan lemah. Pembinaan semula Ka’abah dilakukan

oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.

Namun perselisihan terjadi ketika sampai perletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ketempat asalnya. Umayyah bin al-Mughirah al-Makhzum mencadangkan agar

keputusan dan persoalan perletakannya diserahkan kepada orang pertama yang

akan mendatangi Kaa’bah melalui pintu masjid. Orang pertama itu Nabi Muhammad

dan dipersetujui semua pihak. Baginda menyelesaikan perebutan perletakan Hajar

Aswad dengan meminta sehelai kain, membentangkannya dan meletakkan Hajar

Aswad ditengah kain dan secara bersama seluruh ketua kabilah mengangkat kain

untuk dibawa ketempatnya.

Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat

asal dan sekaligus meredakan perselisihan masalah meletakkan batu tersebut. Ini juga

merupakan satu titik dimana Rasulullah mulai mendapat tempat dalam kalangan

masyarakat arab Mekah dan disegani semua.

Sesungguhnya pada diri Nabi Muhammad s.a.w. telah terhimpun dalam

kehidupannya berbagai keistimewaan. Baginda terpelihara dari melakukan dosa

seperti minum arak, tidak pernah makan daging binatang yang disembelih atas nama

berhala dan segala perbuatan jahiliyah dan syirik yang lain. Baginda memiliki ketinggian

akhlak, penyantun, paling jujur, paling lemah lembut dan paling baik melayan kaum

miskin dan anak yatim iaitu golongan yang lemah. Baginda juga dipercayai di kalangan

kaumnya sebagai insan yang paling amanah sehingga baginda digelar al-Amin iaitu

‘Yang Dipercayai’.

Page 15: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

15

BAB 6 Kerasulan dan Wahyu Pertama

Rasulullah s.a.w. dipelihara dari melakukan sebarang perbuatan dosa atau

kemaksiatan sejak sebelum kerasulan. Ketika Rasulullah berusia 40 tahun, Baginda

mulai mula menyendiri dan bertahannuts di Gua Hira’. Baginda cuba mencari jawapan

akan kebenaran dan hakikat yang berbeza dari amalan dan kepercayaan agama

masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu yang penuh keji dan syirik. Gua Hira’ berada

sejauh dua farsakh (6 kilometer) di bahagian utara Mekah. Baginda Rasulullah semasa

menyendiri ini melakukan ibadat mengikut syariat Nabi Ibrahim yang terdahulu.

Pada 17 Ramadhan dan tiga belas tahun sebelum tahun hijrah iaitu 6 Ogos

tahun 610 Masihi, Rasulullah mulai diangkat menjadi rasul di sisi Allah melalui wahyu

yang pertama di Gua Hira’. Baginda diangkat menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun.

Wahyu yang pertama berkenaan ialah Al-‘Alaq (96) :1-5

1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,

2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

3. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,

4. yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,

5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Page 16: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

16

Wahyu Pertama

Wahyu pertama tiba semasa Nabi Muhammad sedang lena. Malaikat Jibril

datang dan menyeru kepada baginda dengan ungkapan “Bacalah” dan dijawab oleh

Nabi Muhammad dengan jawapan; “Saya tidak tahu membaca”. Soalan ini ditanyakan

sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga barulah dapat dibacakan oleh baginda dengan

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan” serta ayat-ayat lain dari surah al-

Alaq ayat 1 hingga 5 dengan betul.

Setelah menerima wahyu yang pertama, Nabi Muhammad terus berlari pulang

ke rumahnya (rumah Khadijah) dalam keadaan ketakutan. Setibanya di rumah, Baginda

meminta Khadijah untuk menyelimuti beliau. Perasaan gementar dan ketakutan dialami

oleh Rasulullah dilihat oleh Khadijah lalu dipujuk olehnya agar hati Rasulullah tenteram.

Khadijah kemudiannya memohon penjelasan akan punca perasaan Rasulullah

lalu diceritakan oleh Baginda. Maka setelah mendengar penjelasan, Khadijah

memohon bantuan saudaranya iaitu Waraqah bin Naufal. Waraqah adalah seorang alim

dalam agama Nasrani dan beliau menjelaskan akan peristiwa yang berlaku di Gua Hira’

tersebut kepada Khadijah dan Rasulullah.

Beliau menerangkan bahawa individu yang berada di Gua Hira’ dalam peristiwa

berkenaan ialah Malaikat Jibril dan beliau menyampaikan wahyu kepada Rasulullah

seperti mana rasul-rasul terdahulu. Malah Waraqah bin Naufal turut berpesan agar

Rasulullah mulai tabah dan bersedia menerima ujian yang berat dalam menyampaikan

seruan Ilahi kerana ia adalah sunnah para Rasul.

Page 17: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

17

Rujukan

Akram Dhiya' Al-Umuri (2004), Seleksi Sirah Nabawiyah - Studi Kritis Muhadditsin Terhadap

Riwayat Dhaif, Darul Falah, Jakarta, Indonesia Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam (2009), Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam Jilid 1,

Al-Hidayah Publication, Selangor Muhammad Said Ramadan al-Buti (2008), Fiqh al-Sirah Jilid 1, Dewan Pustaka Fajar, Selangor Johari Yaman (2005), Mengenali Rasulullah SAW, Nadi Minda Sdn Bhd, Selangor Muhammad Husain Haekal (1986), Sejarah Hidup Rasulullah S.A.W, Pustaka Nasional PTE

LTD, Singapura

Page 18: Sirah Nabawi : Kelahiran sehingga Kerasulan

18

KANDUNGAN

PERKARA MUKASURAT

1. Pengenalan 1 - 2

2. Bab 1 – Latarbelakang Masyarakat Arab Pra-Kerasulan 3 - 6

3. Bab 2 – Keturunan, Nasab dan Ibubapa Rasulullah 7

3. Bab 3 – Keputeraan Rasulullah 8 - 9

4. Bab 4 – Zaman Kanak-Kanak : Rasulullah 10 - 12

5. Bab 5 – Zaman Dewasa dan Perkahwinan 13 - 14

8. Bab 6 – Kerasulan dan Wahyu Pertama 15 – 16

8. Kesimpulan & Penutup 17

9. Rujukan 18