SATU TINJAUAN PELBAGAI ASPEK MEMBACA MURID-MURID TADIKA
LeeLai GuanRahmah bt. HanafiSalihah bt. YusofJabatan
Pendidikan
AbstrakKajian ini bertujuan meninjau pelbagai aspek membaca di
kalangan murid-murid Tadika IPDA iaitu (I) tahap kebolehan membaca
(ii) masalah dalamUjian Membaca dan (iii) peranan ibu bapa dan
persekitaran keluarga. Seramai 18 orang murid dan 7orang ibu bapa
murid telah terlibat dalam kajian ini. Murid kajian telah
ditadbirkan dengan ujian membaca yang dibina oleh penyelidik
sendiri . Ujian membaca yang dimaksudkan terdiri daripada Ujian
Perbendaharaan Kata dan Ujian Bacaan Nyaring. Manakala ibu bapa
murid kajian pula ditemu bual untuk memperoleh maklumat tentang
persekitaran keluarga dalam membantu anak mereka belajar membaca.
Hasil kajian mendapati bahawa kebanyakan murid kajian mempunyai
kebolehan membaca yang baik . Namun perbezaan skor antara murid
yang berpencapaian tinggi dan berpencapaian rendah dalam ujian
membaca adalah ketara. Murid yang berpencapaian rendah dalam ujian
membaca didapati lemah dari segi mendekod (mengeja) perkataan yang
tidak dikenali. Selain dari itu, kebanyakan ibu bapa murid
memainkan peranan yang aktif dalam membantu anak mereka belajar
membaca. Ramai yang membaca kuat kepada anak tetapi tidak kerap.
Buku-buku cerita juga disediakan di rumah untuk anak-anak
mereka.
Pengenalan Metod kajian Keputusan Kajian Perbincangan Cadangan
Kesimpulan Rujukan
Pengenalan
Kebolehan membaca merupakan kemahiran yang penting diperoleh
walaupun kanak-kanak masih di peringkat tadika. Kanak-kanak yang
sudah boleh membaca ayat-ayat mudah dengan lancar dan menguasai
sekumpulan perbendaharaan kata asas serta boleh mengeja perkataan
yang tidak dikenali sebelum memasuki Tahun Satu berada dalam
kedudukan yang lebih selesa dan menyakinkan jika dibandingkan
dengan kanak-kanak yang tidak menguasainya. Memang tidak terlewat
untuk kanak-kanak belajar membaca ketika di Tahun Satu, tetapi
dengan saiz kelas yang besar dan pelbagai kekangan yang dihadapi
oleh pihak guru dan sekolah, akan berlaku bimbingan membaca yang
tidak sempurna . Ini bererti, kanak-kanak yang lemah membaca
mungkin kekal lemah ketika berada di sekolah rendah . Gambaran yang
diketengahkan menegaskan bahawa betapa pentingnya kebolehan membaca
di kalangan kanak-kanak tadika diberikan perhatian yang sewajarnya.
Bertitik tolak daripada pandangan ini, maka satu kajian kes yang
meninjau pelbagai aspek kebolehan membaca di kalangan murid-murid
Tadika IPDA (Institut Perguruan Darulaman) dijalankan. Kajian ini
memberi tumpuan kepada tiga aspek, iaitu
i. tahap kebolehan membaca
ii. masalah yang dihadapi oleh murid dalam ujian membaca dan
iii. peranan ibu bapa dan persekitaran keluarga.
Kami berharap agar dapatan kajian ini boleh membantu guru dan
ibu bapa murid-murid berkenaan membuat refleksi terhadap peranan
masing-masing dalam membantu murid (anak) belajar membaca. Di
samping itu, ia juga diharap berguna untuk pensyarah dan guru
pelatih khasnya pengkhususan Prasekolah untuk memahami dengan lebih
mendalam lagi tentang isu-isu belajar membaca di kalangan
murid-murid tadika.
Soalan KajianKajian ini bertujuan untuk menerokai soalan-soalan
berikut:-
Apakah tahap kebolehan membaca di kalangan murid-murid Tadika
IPDA daripada aspek
a. perbendaharaan kata
b. kebolehan bacaan nyaring.
(ii) Apakah masalah-masalah murid kajian dalam ujian membaca
yang merangkumi
a. Ujian Perbendaharaan Kata
b. Ujian Bacaan Nyaring.
(iii) Apakah peranan ibu bapa murid kajian dan persekitaran
keluarga dalam membantu mereka belajar membaca ?
Batasan kajiani. Dapatan kajian terbatas kepada kumpulan murid
dan ibu bapa yang dikaji. Ia tidak bertujuan untuk
digeneralisasikan kepada kumpulan murid dan ibu bapa yang lain.
ii. Tahap kebolehan membaca yang dimaksudkan terbatas kepada
pencapaian murid kajian dalam Ujian Perbendaharaan Kata dan Ujian
Bacaan Nyaring yang dibina oleh pengkaji sendiri.
Kebolehan membacaKebolehan membaca merupakan satu tingkah laku
manusia yang kompleks. Pada asasnya , ia merupakan satu proses
komun ikasi manusia dengan bahan bercetak . Dalam proses tersebut,
manusia mentafsir dan memberi makna kepada bahan tersebut yang
umumnya bahan bertulis.
Kebolehan membaca yang menjadi fokus kajian ialah kebolehan
bacaan awal . Ia merujuk kepada kebolehan membaca yang dimiliki
oleh kanak-kanak dalam peringkat awal bacaan. Kebolehan bacaan awal
hendaklah dibezakan daripada kebolehan bacaan mahir. Biasanya , ia
dicirikan dengan bacaan yang kurang lancar , penguasaan
perbendaharaan bacaan yang rendah serta tahap automatisiti dari
segi pengenalan perkataan yang rendah (Smith , 1985). Sinclair dan
Papandrapoulau (1984) pula berpendapat bahawa kanak-kanak dalam
peringkat awal bacaan seharusnya boleh membaca ayat-ayat yang mudah
di samping boleh mempergunakan pengetahuan peraturan kesepadanan
grafem fonem untuk mendekod perkataan baru yang tidak
dikenalinya.
Ringkasnya, kebolehan membaca yang seharusnya dimiliki oleh
murid-murid setelah setahun belajar di tadika adalah penguasaan
sekumpulan perbendaharaan kata yang agak memuaskan, boleh membaca
ayat-ayat ringkas dan boleh mengeja dan membatang dengan tepat
apabila berhadapan dengan perkataan yang tidak dikenali.
Peranan ibu bapa dan persekitaran keluarga .Terdapat hubungan
yang rapat antara peranan ibu bapa dan sekitaran rumah dalam
pemerolehan kemahiran membaca di kalangan kanak-kanak.
Kajian Durkin (1966) tentang kanak-kanak yang didapati sudah
cekap membaca walaupun masih di dalam kelas-kelas tadika mendapati
bahawa faktor utama yang mendorong mereka cepat dan lancar membaca
ialah jumlah bahan bacaan yang mencukupi yang disediakan oleh ibu
bapa .
Trelease (1989) berpendapat membaca kuat kepada anak-anak boleh
mendatangkan banyak faedah. Ibu bapa yang membaca kuat kepada anak
bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran membaca anak tetapi
kemahiran-kemahiran lain yang berkaitan dengan kemahiran membaca.
Antara lain, ibu bapa dapat meningkatkan daya mental anak-anak
mereka dengan meluaskan konsep, perbendaharaan kata serta meluaskan
alam pengetahuan dan pemikiran.
Berbincang mengenai perkara yang sama, Safiah (1990) berpendapat
bahawa kanak-kanak yang dalam lingkungan umur 5 atau 6 tahun yang
kerap dibacakan cerita akan mempunyai satu tanggapan yang agak
jelas tentang apa yang dikatakan sebuah cerita. Misalnya, mereka
tahu bahawa setiap cerita ada bahagian permulaan , ada
peristiwa-peristiwa yang terjalin antara satu dengan lain dan ada
pula bahagian penutupnya. Lebih banyak mendengar cerita, lebih
kukuh pemahaman mereka tentang bagaimana cerita diolah. Ringkasnya,
pengetahuan latar tentang cerita atau skema cerita sangat penting
kerana akan membantunya memahami cerita-cerita lain.
Dalam kajiannya, Hansen (1969) telah menggabungkan 4 faktor yang
berkaitan dengan persekitaran rumah. Faktor-faktor itu ialah:-
terdapat atau tidak bahan bacaan yang sesuai di rumah.
ii. masa yang diuntukkan bagi membaca kepada kanak-kanak.
iii. masa yang diuntukkan bagi membimbing dan menggalakkan
kanak-kanak membaca.
iv. sama ada ibu bapa menjadi contoh atau model yang baik kepada
kanak-kanak.
Keempat-empat faktor itu secara bergabung didapati lebih
mempengaruhi sikap kanak-kanak membaca daripada secara berasingan.
Sebagai kesimpulan, faktor peranan ibu bapa dan persekitaran rumah
merupakan faktor utama dalam mempengaruhi sikap kanak-kanak
membaca. Ia merupakan faktor penentu sama ada seseorang kanak-kanak
akan menjadi pembaca yang berjaya atau sebaliknya.
Latar belakang Tadika IPDATadika IPDA ditubuhkan pada Jun 1991
sebagai makmal untuk guru pelatih pengkhususan Prasekolah. Ia
dikelola oleh Institut Perguruan Darulaman dan dibiayai sepenuhnya
oleh kerajaan. Gurunya ialah seorang guru terlatih yang
berpengalaman mengajar di sekolah rendah. Beliau dibantu oleh
seorang pekerja am rendah dalam hal penyediaan makanan untuk
murid-murid serta pengemasan bilik darjah. Kebanyakan murid-murid
tadika ini ialah anak pensyarah dan staf sokongan IPDA. Di samping
itu, sebilangan kecil pegawai kerajaan yang bekerja atau tinggal di
sekitar IPDA juga menghantar anak mereka ke tadika ini.
Tadika IPDA mempunyai kemudahan fizikal yang cukup membanggakan.
Bilik darjahnya luas. Selain daripada kerusi meja , ia juga
dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti buku cerita, alat-alat
permainan, televisyen, vedeo dan radio kaset. Di luar tadika ,
dibina taman permainan kanak-kanak khas untuk murid-murid Tadika
IPDA. Tidak jauh daripada tadika, dalam Pusat Sumber IPDA dibuka
sudut kanak-kanak. Di dalam sudut tersebut , disediakan buku cerita
dan komputer jenis multimedia. Murid-murid Tadika IPDA digalakkan
memanfaatkan kemudahan tersebut.
Bahasa pengantar Tadika IPDA ialah bahasa Melayu. Ia
melaksanakan kurikulum Prasekolah yang dicadangkan oleh Kementerian
Pendidikan sepenuhnya. Kurikulum tersebut merangkumi sembilan
komponen iaitu:-
i. Perkembangan Pendidikan Ketatanegaraan.
ii. Perkembangan Pendidikan Kerohanian dan Moral.
iii. Penggunaan Bahasa Inggeris
iv. Pendidikan Agama Islam.
v. Perkembangan fizikal
vi. Perkembangan sosio-emosi.
vii. Perkembangan kognitif.
viii. Perkembangan bahasa
ix. Perkembangan estetika dan daya kreatif.
Aktiviti membaca merupakan salah satu aktiviti pengajaran
pembelajaran formal dalam jadual waktu. Dalam mengajar membaca,
guru tidak menekankan kaedah mengajar membaca tertentu tetapi
cenderung menggunakan kaedah eklektik. Penyampaian aktiviti membaca
tidak melibatkan penggunaan buku teks. Segala bahan pengajaran
pembelajaran membaca disediakan oleh guru dengan merujuk pelbagai
buku sumber. Tadika IPDA juga mendapat bantuan kepakaran daripada
pensyarah dalam pelbagai aktiviti contohnya kelas komputer untuk
murid, kelas seni lukis dan lain-lain.
METOD KAJIANSubjek KajianSeramai 18 orang murid Melayu (6 orang
lelaki dan 12 orang perempuan) Tadika IPDA Tahun 1997 dan 7 orang
ibu bapa (2 orang ibu dan 5 orang bapa) diambil sebagai subjek
kajian. Semua murid kajian adalah kanak-kanak normal dan boleh
berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan berkesan. Semasa ujian
membaca dijalankan
pada awal Januari 1998, umur purata murid kajian ialah 6 tahun 6
bulan. Pada masa itu, mereka baru berada di Tahun Satu selama dua
minggu. Ini bererti kebolehan membaca yang ditunjukkan oleh murid
semasa ujian dijalankan tidak dipengaruhi oleh kaedah membaca guru
Tahun Satu yang belum lagi memulakan bimbingan membaca. Kebanyakan
murid kajian merupakan anak pensyarah dan staf sokongan IPDA. Latar
belakang subjek kajian mengikut jenis pekerjaan ibu dan bapa boleh
didapati dalam Jadual (1) dan (2).
Jadual (1) : Latar belakang murid kajian mengikut jenis
pekerjaan ibu (N=18)
Jenis PekerjaanPeratusan
Suri rumahtangga40 % (7)
Guru28 % (5)
Pekerjaan Sektor Awam yang lain22 % (4)
Pensyarah IPDA5 % (1)
Guru besar5 % (1)
Jadual (2) : Latar belakang murid kajian mengikut jenis
pekerjaan bapa (N=18)
Jenis PekerjaanPeratusan
Pensyarah (IPDA, Polimas , UUM)55 % (10)
Pekerjaan Sektor Awam yang lain40 % (7)
Guru5 % (1)
Berpandukan Jadual (1) dan (2) , semua bapa murid kajian bekerja
dalam sektor awam dan kebanyakan ibu murid kajian juga pekerja
sektor awam. Selain daripada itu, sebahagian besar ibu bapa murid
kajian berkecimpung dalam sektor pendidikan.
Instrumen KajianKajian ini menggunakan dua alat kajian iaitu
ujian membaca dan temu bual dengan ibu bapa murid kajian. Ujian
membaca terdiri daripada Ujian Perbendaharaan Kata dan Ujian Bacaan
Nyaring. Pengalaman guru Tadika IPDA yang merupakan salah satu
seorang pengkaji dalam kajian ini dimanfaatkan dalam pembinaaan
ujian membaca tersebut. Langkah ini diambil untuk menjamin kesahan
ujian membaca yang dibina.
Ujian Perbendaharaan KataUjian ini mengandungi 20 item aneka
pilihan. Setiap item mempunyai empat pilihan jawapan dan sekeping
gambar . Perkataan yang dipilih adalah dalam lingkungan pengalaman
kanak-kanak berumur 6-7 tahun Setiap item yang dijawab dengan betul
diberi satu markah. Item yang salah atau tidak dijawab diberi 0
markah Ujian dijalankan secara kumpulan . Sebelum murid kajian
menjawab soalan, beberapa contoh cara menjawab soalan diberi.
Kertas ujian diperiksa oleh pengkaji sendiri.
Ujian Bacaan NyaringUjian ini terdiri daripada lima ayat mudah.
Panjang ayat adalah antara 3 hingga 5 patah perkataan. Jumlah
perkataan untuk kesemua lima ayat ialah 20 patah perkataan. Semua
perkataan pernah dipelajari oleh murid kajian. Ujian Bacaan Nyaring
tidak disertakan dengan gambar. Murid kajian dikehendaki menyebut
terus menerus ayat-ayat yang disediakan.Ujian Bacaan Nyaring
dijalankan secara individu di satu bilik yang sunyi untuk
memudahkan rakaman. Sebelum ujian bermula, pengkaji menjelaskan
peraturan ujian kepada murid kajian . Apabila pengkaji berpuas hati
peraturan difahami, ujian pun bermula.
Dalam kajian ini, aspek-aspek bacaan nyaring yang lain seperti
kelancaran dan intonasi tidak diambil kira. Skema pemarkahan yang
diubahsuai daripada Sofiah Hamid (1983) digunakan untuk menilai
bacaan nyaring .
Sesi temu bualDua orang ibu dan lima orang bapa murid kajian
ditemu bual untuk mendapatkan maklumat mengenai peranan mereka dan
sekitaran keluarga dalam membantu anak belajar membaca. Temu bual
dijalankan secara informal dengan menyentuh tiga perkara
utama:-
i. Sikap ibu bapa terhadap pentingnya kebolehan membaca di
kalangan anak-anak mereka.
ii. Usaha ibu bapa dalam membantu anak belajar membaca.
3. Persekitaran rumah yang menggalakkan minat membaca anak.
Sejurus selesai sesi temu bual, hasilnya dicatat dan dirumuskan
untuk memudahkan analisis.
KEPUTUSAN KAJIANJadual (3): Skor Ujian Perbendaharaan Kata,
Ujian Kebolehan
Bacaan Nyaring dan Kebolehan Membaca.
Bilangan MuridBacaan NyaringPerbendaharan KataKebolehan
Membaca
117.81835.8
2201939
310.81525.8
42.21719.2
5201939
613.41225.4
71.81112.8
818.21836.2
917.62037.6
102.446.4
112.479.4
1213.21023.2
1317.81431.8
1412.81729.8
1513.61831.8
1613.61932.6
1717.61835.6
1812.61527.6
Min12.61527.7
Sisihan piawai6.34.510.0
Tahap perbendaharaan kata murid kajian
Berdasarkan skor Ujian Perbendaharaan Kata yang diperoleh,
perbendaharaan kata murid kajian adalah pada tahap yang baik.
Daripada 18 orang murid kajian, 67 % (12) memperoleh skor yang
lebih atau sama dengan min. Min skor ialah 15 dan sisihan piawai
ialah 4.5. Julat skor adalah antara 4 hingga 20. Pola pencapaian
Ujian tersebut memberi implikasi bahawa sebilangan besar murid
kajian menunjukkan tahap penguasaan perbendaharaan kata yang baik
atau cemerlang manakala ada sekumpulan kecil pula terlalu lemah
dalam perbendaharaan kata mereka. Skor-skor Ujian Perbendaharaan
kata murid kajian ditunjukkan dalam Jadual (3)
Tahap kebolehan bacaan nyaringTahap kebolehan bacaan nyaring
murid kajian yang ditunjukkan menerusi Ujian Bacaan Nyaring adalah
hampir sama dengan Ujian Perbendaharaan Kata. Kebanyakan murid
kajian menunjukkan pencapaian yang memuaskan. (Sila rujuk Jadual
(3) ). Min keseluruhan ialah 12.6 dan sisihan piawai ialah 6.3.
Julat skor ialah antara 2.2 hingga 20. 72 % (13) murid kajian
memperoleh skor sama atau melebihi min. Pola pencapaian murid
kajian dalam ujian ini adalah hampir sama dengan Ujian
Perbendaharaan Kata. Ini bererti sebahagian besar murid kajian
menunjukkan kebolehan bacaan nyaring yang baik atau cemerlang dan
sebilangan kecil pula lemah atau sangat lemah dalam membaca
nyaring.
Tahap kebolehan membaca murid kajianTahap kebolehan membaca
tersebut diukur dengan mencantum skor Ujian Perbendaharaan Kata dan
Ujian Bacaan Nyaring. Hasil cantuman skor yang menggambarkan
kebolehan membaca murid kajian boleh didapati dalam Jadual (3). Min
keseluruhan ialah 27.7 dan sisihan piawai ialah 10.0. Julatnya
adalah di antara 6.4-32.6. Daripada 18 orang murid kajian, 56 %
(10) memperoleh skor di atas min manakala 44 % (8) di bawah
min.
Berdasarkan data di atas, dapatlah dirumuskan bahawa tahap
kebolehan membaca murid Tadika IPDA adalah pada tahap yang
memuaskan. Didapati juga ada murid yang menunjukkan pencapaian yang
cemerlang dalam kebolehan membaca manakala ada sebilangan kecil
yang jauh ketinggalan di belakang yang memerlukan bimbingan dan
perhatian khusus.
Masalah murid kajian dalam Ujian Perbendaharaan Kata Dalam
huraian mengenai masalah tersebut, murid kajian dibahagikan kepada
murid berpencapaian tinggi dan berpencapaian rendah. Murid kajian
yang skornya sama atau di atas min dianggap berpencapaian tinggi
dan mereka yang di bawah min dianggap dalam kumpulan berpencapaian
rendah. Pembahagian ini dibuat secara arbitrari dan bertujuan untuk
memudahkan perbincangan.
Masalah murid berpencapaian tinggiTerdapat 12 orang murid kajian
yang skor Ujian Perbendaharaan Katanya sama atau lebih tinggi
daripada min. Analisis jawapan mengikut item menunjukkan pada
keseluruhannya murid kumpulan ini tidak menghadapi masalah dalam
ujian tersebut kecuali dalam item 13 dan 18. Untuk item 13, dua
orang murid tidak menjawab dan seorang lagi memberi jawapan C iaitu
"mesin rumput" (Jawapan betul ialah D - "mesin penggali"). Manakala
untuk item 18 pula, didapati 2 orang murid memilih jawapan C
(stadium). Seorang pula memberi jawapan A (taman) dan seorang lagi
B (padang). Jawapan betul ialah gelanggang (D). Kesalahan tersebut
mungkin disebabkan pendedahan murid kepada penggunaan kata-kata
yang lebih popular dalam bahasa lisan seperti mesin korek, cari
makan untuk item 13 dan stadium untuk item 18.
Masalah murid berpencapaian rendahMurid berpencapaian rendah
dalam Ujian Perbendaharaan Kata ialah mereka yang skornya di bawah
min iaitu 15 markah. Seramai 6 orang murid tergolong dalam kumpulan
ini. Setelah diteliti jawapan yang diberi mengikut item , dan
berdasarkan pemerhatian semasa mereka menjalani ujian, umumnya kami
dapati murid-murid kajian menghadapi masalah-masalah berikut:-
Tidak memahami atau salah tafsir gambar yang disertakan.
Contohnya, bagi item (6), tiga daripada enam orang murid daripada
kumpulan ini memilih (B) raja sebagai jawapan sedangkan jawapan
yang sebenar ialah ( C ) hakim. Begitu juga bagi item (14), empat
daripada enam orang murid memilih ( C ) dinding sebagai jawapan,
manakala jawapan yang betul ialah (D) tingkap.
b. Tidak berupaya membezakan makna perkataan yang wujud dalam
satu ketegori. Contohnya, item 10. Jawapan yang dikehendaki ialah
(A) kapal tetapi jawapan yang dipilih (B) " perahu" dan (C ) "
sampan". Perkara yang sama diperhatikan dalam item 12. Dalam item
tersebut, jawapan yang dikehendaki ialah (D) "traktor" tetapi
jawapan yang dipilih terdiri daripada (B) "lori" (C ) "
kereta".
Masalah murid kajian dalam Ujian Bacaan NyaringSetelah diteliti
rakaman , umumnya masalah bacaan nyaring murid kajian boleh
dikategorikan seperti berikut:
i. Tidak mengenali huruf dan tidak tahu atau salah menyebut
huruf dalam perkatan yang hendak dieja.
ii. Dapat menyebut huruf dengan betul tetapi tidak tahu atau
salah membunyikan suku kata yang dieja.
iii. Bermasalah menyebut perkataan yang mempunyai konsonan
berangkap kerana kurang mahir membahagikannya kepada suku kata
dengan betul.
i. Contoh - tangga - ta - ng - ga *
tan - gga *
bangun - ban - gun *
ba - ng - un *
dengan - den - gan *
de - ng -an *
i. Bermasalah menyebut perkataan yang mempunyai vokal berganding
kerana kurang mahir membahagikannya kepada suku kata dengan
betul.
Contoh - naik - nai - k *
i. Bermasalah menyebut perkataan yang banyak suku kata.
Contohnya, seterika
Masalah (i) dan (ii) dialami oleh mereka yang lemah membaca
nyaring. Semasa menjalani ujian, mereka mengambil masa yang lama
dan teragak-agak untuk menyebut sesuatu huruf , suku kata atau
perkataan. Mereka memerlukan pengesahan pengkaji kerana kurang
yakin terhadap bacaan diri sendiri. Sepanjang ujian, hanya beberapa
perkataan boleh dieja dengan betul dan itu pun setelah dibantu oleh
pengkaji.
Masalah (iii) , (iv) dan (v) biasanya dialami oleh mereka yang
berpencapaian sederhana. Mereka boleh menyebut terus perkataan yang
mudah tanpa mengeja
Contohnya, perkataan - KV - KV seperti saya, rasa, pagi, baju
dan beberapa perkataan. KVKVK yang biasa seperti nenas, sedap,
telur. Tetapi terpaksa mengeja untuk menyebut perkataan yang
mempunyai konsonan berangkap dan vokal ganding. Murid-murid ini
boleh membaca tetapi kurang lancar kerana terpaksa berhenti untuk
mengeja perkataan yang tidak dikenalinya. Murid-murid yang
berpencapaian cemerlang boleh membaca dengan lancar tanpa mengeja.
Ayat-ayat mudah yang disediakan adalah terlalu mudah untuk mereka.
Seramai lapan orang murid kajian boleh digolongkan dalam kategori
tersebut.
Sebagai kesimpulan , masalah murid kajian dalam Ujian
Perbendaharaan Kata dan Ujian Bacaan Nyaring yang dibincangkan di
atas mungkin berpunca daripada :-
Tidak atau kurang mahir mengeja (mendekod) perkataan. Ini
menyebabkan murid idak dapat memanfaatkan perbendaharaan kata lisan
yang dikuasai untuk menjawab item yang disediakan.
ii. Tidak atau kurang menguasai kemahiran asas membaca nyaring
iaitu mengeja dan membatang perkataan dengan betul.
iii. Pengetahuan am yang rendah jika dibandingkan dengan murid
berpencapaian tinggi. Ini mungkin disebabkan pendedahan dan
pengalaman yang terhad dalam kehidupan murid tersebut.
iv. Pengalaman membaca yang terhad menyebabkan penguasaan
perbendaharaan pandang (sight vocabulary) yang rendah jika
dibandingkan dengan murid berpencapaian tinggi.
Peranan ibu bapa dan persekitaran keluarga dalam membantu
anak-anak belajar membacaHasil daripada sesi temubual mendedahkan
beberapa perkara yang berhubung dengan peranan ibu bapa dan
persekitaran keluarga dalam membantu anak belajar membaca.
i. Didapati membaca kuat kepada anak diamalkan oleh kebanyakan
ibu bapa tetapi tidak kerap.
ii. Hampir semua ibu bapa menyediakan buku cerita untuk anak
sama ada menerusi pembelian atau pinjaman.iii. Abang atau kakak
kepada murid kajian yang sudah bersekolah juga memainkan peranan
dalam membantu mereka belajar membaca.
iv. Ibu bapa yang anaknya lancar membaca didapati suka
berbincang tentang pengalamannya dalam membimbing anak membaca dan
berbangga akan kejayaan anaknya.
v. Kebanyakan ibu bapa yang ditemu bual menganggap adalah
penting untuk anak belajar membaca dan boleh membaca , walaupun
masih di peringkat tadika.
vi. Masih ada ibu bapa yang tidak menyediakan buku cerita untuk
anak apatah lagi membaca kuat kepada anak.
Ringkasnya, hasil temu bual mendapati kebanyakan ibu bapa telah
memainkan peranan yang aktif dalam membantu anak mereka belajar.
Namun demikian didapati ada sebilangan kecil yang kurang prihatin
terhadap perkara tersebut.
PERBINCANGAN
Kajian kes ini bertujuan meninjau tahap kebolehan membaca di
kalangan murid-murid Tadika IPDA serta peranan ibu bapa dan
persekitaran keluarga dalam membantu mereka belajar membaca.
Kebolehan membaca diukur dengan mentadbirkan Ujian Perbendaharaan
Kata dan Ujian bacaan nyaring. Kedua-dua Ujian dibina oleh pengkaji
sendiri. Ujian Perbendaharaan Kata berbentuk aneka pilihan. Murid
kajian dikehendaki memilih perkataan yang tepat yang menceritakan
maksud gambar yang disertakan manakala untuk Ujian Bacaan Nyaring
pula, murid dikehendaki membaca kuat lima a
Ayat mudah tanpa ditunjuk sebarang gambar . Bacaan murid kajian
dirakam dan markah diberi berdasarkan ketepatan sebutan. Ini
bererti kebolehan membaca yang diukur terbatas kepada kebolehan
yang diperlukan untuk menjalani ujian-ujian tersebut. Ia tidak
menggambarkan keseluruhan kebolehan membaca yang dimiliki oleh
murid kajian. Selain dari itu, ujian-ujian tersebut seperti ujian
membaca yang lain tidak bebas daripada ralat khasnya Ujian
Perbendaharaan Kata yang berbentuk aneka pilihan. Kemungkinan murid
meneka memang tidak dapat diketepikan. Bagaimanapun, pencapaiaan
murid kajian dalam kedua-dua ujian tersebut telah disahkan oleh
guru tadika mereka yang merupakan salah seorang pengkaji kajian
ini. Beliau mendapati skor-skor yang diperoleh umumnya
menggambarkan pencapaian mereka dalam kelas . Berkaitan dengan
pencapaian murid kajian dalam ujian tersebut, perlu ditegaskan
bahawa skor-skor yang diperoleh hanya menggambarkan tahap kebolehan
membaca pada masa ujan dijalankan. Kebolehan membaca murid kajian
pada masa ini kemungkinan sudah berubah kerana mengikut Searfoss
& Readence (1994) kebolehan membaca kanak-kanak berubah dalam
jangka waktu yang singkat.
Berdasarkan pencapaian dalam ujian tersebut, adalah didapati
pada keseluruhannya, murid-murid Tadika IPDA menunjukkan pencapaian
yang baik. Namun julat skor di antara mereka yang berpencapaian
tinggi dan rendah adalah besar. Mengapakah keadaan demikian timbul
adalah sukar dikenal pasti dengan kajian yang ringkas ini. Apatah
lagi dengan tingkahlaku membaca yang kompleks . Apa yang pasti
adalah ia bukan semata-mata disebabkan oleh faktor pekerjaan ibu
bapa kerana ada anak pensyarah yang berpencapaian tinggi dan pada
masa yang sama terdapat juga anak pensyarah yang berpencapaian
rendah. Berdasarkan data yang dikumpul, faktor yang menyebabkan
perbezaan kebolehan membaca murid kajian kemungkinan besar ialah
kombinasi pelbagai faktor seperti kecerdasan, peranan ibu bapa,
sikap murid kajian terhadap membaca. Pandangan ini selaras dengan
Seafoss & Readence (1994).
Masalah yang dihadapi oleh murid kajian dalam Ujian
Perbendaharaan Kata dan Ujian Bacaan Nyaring khasnya di kalangan
murid yang berpencapaian rendah boleh dikaitkan dengan penguasaan
kemahiran asas yang rendah dalam membaca. Untuk membaca bahasa
abjad seperti bahasa Melayu, kanak-kanak perlu memiliki kemahiran
mendekod iaitu membatang dan membunyikan suku kata. Sekiranya
kemahiran mendekod tidak dikuasai dengan baik, kanak-kanak tidak
dapat memanfaatkan perbendaharaan lisan yang dikuasai untuk
membantunya membaca perkataan yang tidak dikenali. Ini menjelaskan
kenapa murid tidak boleh menyebut perkataan seperti baju, emak,
telur walaupun sudah menguasainya dalam bahasa lisan (Schickedanz,
1982).
Selain dari itu, kemungkinan murid kajian yang berpencapaian
rendah dalam Ujian Perbendaharaan Kata mempunyai pengalaman yang
terhad. Ini menjelaskan masalah sesetengah murid yang tidak dapat
membezakan perkataan seperti lori, van, kereta, traktor. Dengan
pengalaman yang terhad, mereka tidak mampu membezakan jenis-jenis
kenderaan dan mengenal pasti benda yang ditunjukkan dalam
gambar.
Hasil temubual dengan ibu bapa mendapati kebanyakan ada membaca
kuat buku cerita kepada anak tetapi tidak kerap dan kurang
sistematik. Tidak ada masa khas diperuntukkan oleh ibu bapa untuk
membaca buku cerita kepada anak. Ini bererti kebanyakan ibu bapa
sedar pentingnya membaca kuat kepada anak tetapi bermasalah
melaksanakannya dengan tekal. Antara punca masalahnya ialah
kekurangan masa dan kebosanan. Hasil temu bual juga mendapati kakak
dan abang kepada murid kajian yang bersekolah juga memainkan
peranan dalam membimbing adik mereka membaca. Rupanya, selain
daripada ibu bapa, kakak dan abang juga menjadi model kepada adik
dan mempengaruhi sikap adik terhadap membaca.
Ringkasnya, kebanyakan murid Tadika IPDA menunjukkan pencapaian
yang baik dalam ujian membaca. Ini boleh dikaitkan dengan
persekitaran keluarga yang kondusif yang membantu mereka belajar
membaca sebagaimana yang digambarkan dalam sesi temu bual dengan
ibu bapa murid-murid kajian.
CADANGANBerdasarkan dapatan kajian, cadangan-cadangan berikut
dikemukakan:-
i. Maklumat wujudnya perbezaan kebolehan membaca yang ketara di
kalangan murid-murid Tadika IPDA harus disampaikan kepada pihak
sekolah khasnya guru Bahasa Melayu Tahun Satu murid-murid tersebut.
Berpandukan maklumat tersebut, guru boleh menjalankan bimbingan
membaca mengikut kebolehan selaras dengan amalan KBSR. Dengan kata
lain, murid-murid yang boleh membaca dengan lancar tidak perlu
diberi aktiviti pramembaca sebagaimana yang terdapat dalam silabus
Bahasa Melayu Tahun Satu. Sebaliknya, aktiviti membaca yang lebih
mencabar seharusnya diberi. Manakala untuk murid-murid yang lemah
pula, bimbingan pramembaca hendaklah diteruskan .
ii. Amalan memaklumkan tahap kebolehan membaca murid-murid oleh
guru Tadika IPDA kepada pihak sekolah yang menerima murid-muridnya
seharusnya dipertimbangkan untuk menjamin kesinambungan dan mutu
bimbingan membaca.
iii. Kaedah individu ditekankan oleh guru tadika dalam bimbingan
membaca kerana kebolehan membaca dan cara belajar membaca murid
tadika adalah berbeza.
iv. Kemahiran medekod iaitu mengeja dan membatang ditekankan
dalam membimbing murid-murid yang lemah membaca.
v. Guru tadika hendaklah memaklumkan ibu bapa murid tentang
kebolehan membaca anaknya dari semasa ke semasa.
vi. Memandangkan membaca kuat kepada anak sudah terbukti
faedahnya (Kimmel, 1988; Rudman & Pierce, 1988; Trelease,
1989b), maka aktiviti membaca kuat kepada murid patut dimasukkan
dalam jadual waktu tadika dan ibu bapa murid dilibatkan dalam
aktiviti tersebut.
vii. Kesedaran ibu bapa terhadap faedah membaca kuat kepada
anak-anak ditingkatkan menerusi ceramah dan bengkel.
KESIMPULANPada keseluruhannya, murid-murid Tadika IPDA
menunjukkan pencapaian yang baik dalam ujian membaca yang
dijalankan. Namun masih terdapat sekumpulan kecil yang menghadapi
masalah dalam menguasai kemahiran asas membaca khasnya mendekod
perkataan yang tidak dikenali. Murid-murid ini juga mempunyai
pengetahuan am yang terhad. Berhubung dengan peranan ibu bapa dan
persekitaran rumah pula, kebanyakan ibu bapa didapati menyediakan
buku-buku bacaan untuk anak. Namun, ramai yang kurang kerap membaca
kuat kepada anak mereka mungkin tidak menyedari faedahnya .
Akhirnya beberapa cadangan dikemukakan untuk dijadikan bahan
renungan guru, ibu bapa dan pihak-pihak lain yang
berkepentingan.
RUJUKANDurkin, D.R. (1966)Children Who Read Early.New York:
Teachers College Press
Hansen, H.S. (1969). The impact of the home literary environment
on reading attitudeElementary English, 46, 17 24
Kimmel, M.M. & Segal, E. (1998).For Reading out Loud. New
York.: Delacorte.
Rudman, M, & Pierce, A-M (1988). For Love of Reading A
Parents Guide : to Encourage Young Readers from Infancy through
Age5.New York : Consumers Union.
Safiah Osman (1990). Kanak-kanak dan pembacaan Dlm.Membaca :
Satu Pengenalan.
(Safiah Osman , Ed.) ms . 20-45. Kuala Lumpur : Berita
Publishing Sdn . Bhd.
Schickedanz, J.A (1982). The acquisition of written language in
young children.In Handbook of Research in Education(Spodek B. Ed. )
242 - 263. New York : The Free Press.
Searfoss, L.W.Z Readence, J.E. (1994).Helping Children Learn to
Read. Boston : Allyn & Bacon.
Sinclair, A . & Papandropoulou, I . B. (1984) Learning to
read and skilled reading : multiple systems interacting within and
between the readers and the test.In Language Awareness and Learning
to Read(Downing , J. & Valtin, P, eds. ) 79 - 92 .Berlin :
Springer Verlag.
Smith , F . (1985).Reading .Cambridge : Cambridge University
Sofiah Hamid. (1983).Bacaan Bahasa Malaysia di Peringkat Sekolah
Rendah.Kuala Lumpur: Utusan Publication.
Tredease, J. (1989a). Jim Trelease Speaks on Reading Aloud to
children.The Reading Teacher.Disember, 200 - 206.
Trelease. J. (1989b).The New Read Aloud Handbook. New York :
Penguin.