Rawatan bekam ketika berpuasaBERBEKAM ketika berpuasa paling
sesuai dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi.
BOLEH ke berbekam ketika puasa? Tak batal puasa ke?, tanya
seorang rakan kepada penulis ketika menyatakan hasrat untuk
berbekam. Pada awalnya penulis juga ragu-ragu dan mempunyai
persepsi yang sama.Perkara yang dibimbangi mungkin rawatan itu akan
menjejaskan ibadah puasa kerana darah akan keluar menerusi
titik-titik rawatan itu.Persepsi itu sememangnya sering berlaku dan
dibangkitkan kebanyakan orang yang ingin mendapatkan rawatan bekam
kerana tidak mengetahui kebaikannya, menurut Pemilik Pusat Terapi
Bekam Sunah Saujana Utama, Sungai Buloh, Suhaimi Abdul Karim.Ini
kerana rawatan sunah itu masih belum meluas dalam kalangan
masyarakat hingga membuatkan pelbagai persepsi timbul."Rawatan
bekam tidak akan membatalkan puasa kerana rawatan bekam bukannya
memasukkan sesuatu dalam anggota badan, sebaliknya hanya
mengeluarkan darah kotor pada sel-sel kulit," katanya menjelaskan
perkara itu.HukumHukumnya adalah sama seperti melakukan rawatan
mencabut gigi, menderma darah mahupun mendapat suntikan yang tidak
membatalkan puasa.Jelasnya, rawatan bekam yang dilakukan ketika
berpuasa mempunyai kesan yang lebih baik berbanding tidak berpuasa
kerana dapat mengeluarkan toksin dalam darah mati secara lebih
aktif.Ia terjadi kerana ketika perut kosong setelah bersahur pada
awal pagi akan menjadikan darah dalam keadaan lebih rehat untuk
memudahkan proses pengeluaran toksin-toksin yang berkumpul dalam
sel darah mati."Biasanya jika tidak puasa, kita akan makan
bermacam-macam benda. Badan kita akan stres dan menyebabkan toksin
dalam darah tidak dapat keluar sepenuhnya."Apabila berbekam dalam
keadaan perut kosong, yang keluar hanya darah gelap yang
mengandungi toksin di badan jika tidak dikeluarkan boleh mengundang
pelbagai penyakit. Jadi, ia memberi lebih manfaat kepada
kesihatan," katanya kepada Bernama.Suhaimi memberitahu, waktu
paling sesuai untuk berbekam ketika berpuasa ialah pada waktu pagi
bermula pukul 7 pagi hingga 11 pagi. Tidak digalakkan berbekam
selepas pukul 12 tengah hari bagi mengelakkan risiko terutama
pengsan."Selepas tengah hari, kandungan gula dalam darah akan
menurun. Darah yang keluar banyak ketika rawatan itu boleh
mengundang risiko pitam atau pengsan."Namun, kadar risiko pengsan
mereka yang melakukan rawatan bekam lebih rendah berbanding mereka
yang menderma darah. Disebabkan itu, bagi mereka yang berpuasa
menderma darah dilakukan pada waktu malam," katanya.
BERBEKAM tidak membatalkan puasa kerana rawatan yang dilakukan
bukannya memasukkan sesuatu dalam anggota badan. - Gambar
hiasan
Paling sesuaiBagaimanapun, ada juga yang tetap ingin melakukan
rawatan bekam pada waktu petang. Ini kerana menurut Ibnu Sina yang
merupakan pakar sains Islam, rawatan bekam yang paling sesuai
dilakukan adalah sekitar pukul 3 petang kerana ketika itu cuaca
panas dan saluran darah akan mengembang, sekali gus memudahkan
untuk mengeluarkan darah pada urat-urat kecil di bawah kulit
berbanding waktu pagi.Namun katanya, bagi mengelakkan risiko,
beliau akan mengurangkan cucukan jarum pada setiap titik bekam
daripada 30 cucukan kepada antara 10 dan 15 sahaja.Osman Sulaiman,
64, antara individu yang kerap berbekam ketika berpuasa ekoran
menghadapi masalah kaki bengkak dan badan lesu.Pada awalnya, beliau
turut ragu-ragu untuk berbekam pada bulan puasa kerana bimbang
puasanya terbatal."Setelah membaca hukum yang diputuskan tentang
amalan berbekam, baru saya tahu dan yakin untuk berbekam,"
katanya.Beliau berbekam setiap tiga bulan, sejak tahun lepas
setelah diberitahu oleh rakannya kebaikan perubatan tersebut yang
mampu mencegah pelbagai penyakit kronik."Bila sekali cuba, terasa
badan ringan dan sihat. Jika bulan puasa saya lakukan pada waktu
pagi sekitar pukul 10 pagi. Tidak ada perbezaan berbekam ketika
berpuasa atau tidak berpuasa."Alhamdulillah bengkak pada kaki saya
juga semakin sembuh dan mudah untuk saya beribadat ketika bulan
Ramadan," katanya.Menjelaskan kebaikan rawatan bekam, Suhaimi
berkata, selepas 80 hingga 120 hari, sel-sel darah merah di dalam
tubuh kita akan mati dan akan dibuang oleh hati. Namun, tidak semua
darah itu dapat dikeluarkan.Disebabkan sifatnya yang melekit dan
tidak berfungsi, lama-kelamaan darah mati akan memenuhi ruang-ruang
urat kecil yang dipanggil kapilari, sama ada di sekeliling
organ-organ penting dan di bawah kulit.Ia kemudian akan dibawa oleh
arus perjalanan darah yang laju ke semua bahagian tubuh dari kepala
hinggalah ke kaki dan akan melekat antara satu sama lain serta
bercampur dengan asid urik, urea dan toksin.Apabila sel-sel darah
mati tertinggal di dalam sistem perjalanan darah, ia akan menjadi
faktor utama tersumbatnya urat kapilari yang akan mengganggu sistem
fungsi organ seperti limpa, ginjal dan hati hingga menyebabkan
pelbagai penyakit kronik.Gejala-gejala awal menunjukkan tubuh
dipenuhi darah kotor yang tersumbat apabila badan menjadi lesu,
letih, kebas, pening dan mengantuk, katanya.Kebaikan berbekam sejak
ribuan tahun dahulu semakin diterima dalam masyarakat Malaysia
bukan sahaja umat Islam tetapi juga kaum lain."Ramai pesakit saya
yang datang terdiri daripada kaum India dan Cina. Ia bukan untuk
orang Islam sahaja. Semua orang boleh mendapatkan rawatan yang
dibawa oleh Nabi Muhammad SAW untuk seluruh umat," ujar Suhaimi
yang berharap rawatan bekam akan diterima lebih meluas lagi dalam
masyarakat Malaysia. - Bernama
Artikel
Penuh:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz38NE4RL1QHakcipta
terpelihara