PERSEPSI MURID TERHADAP GURU SAINS
1.PENGENALAN
Pendidikan dalam konteks yang lebih luas adalah amat penting
bukan sahaja kerana fungsi akademik bagi memperkembangkan keupayaan
kognitif seseorang tetapi juga fungsi sosial dan peribadi. Justeru
itu, guru mempunyai peranan penting dalam proses pendidikan, iaitu
untuk melaksanakan dengan jayanya pendidikan bersepadu berasaskan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di mana Falsafah Pendidikan
Kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai keyakinan diri serta memberi sokongan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Pembangunan pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia ialah
agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Berdasarkan
agenda penting ini, guru merupakan golongan yang terlibat secara
langsung untuk melaksanakan daya usaha dan pendekatan pengajaran
untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan hasil-hasil
pembelajaran yang maksimum diperoleh pelajar di sekolah. Oleh itu,
guru perlu lebih kreatif dan inovatif untuk memastikan sistem
penyampaian menjadi lebih efektif, menarik, menyeronokkan dan dapat
merangsang minat pelajar untuk belajar.
Guru merupakan ramuan penting di dalam dunia pendidikan. Ia
merupakan elemen utama yang perlu diberi perhatian kerana pengaruh
guru amat besar terhadap prestasi pengajaran dan pembelajaran.
Banyak faktor yang mempengaruhi kualiti pengajaran seseorang guru.
Antaranya intelektual seseorang guru, sifat dan sikap yang di
miliki serta gaya persembahan pengajaran sama ada dapat
menyampaikan maklumat dengan berkesan kepada murid.
Kriteria-kriteria baik yang dimiliki oleh seseorang guru akan
memastikan pembelajaran menjadi lebih efisien dan efektif. Guru
yang berdedikasi, komited pada tugas, berpengetahuan dan
berintegriti dalam pelbagai bidang dapat menyumbang ke arah
kecemerlangan murid.
Menurut Darling-Hammond, L. 2000 mengajar adalah profesion yang
unik. Peranan guru dalam usaha melaksanakan dasar pendidikan negara
dengan berkesan ke arah melahirkan modal insan berprestasi tinggi
sememangnya tidak dapat dinafikan. Masyarakat memberi harapan yang
besar kepada guru untuk mendidik dan mengembangkan potensi pelajar
sejajar dengan matlamat pendidikan yang ditetapkan. Faktor guru
adalah signifikan dalam mempengaruhi minat dan komitmen pelajar
terhadap pelajaran serta berpotensi mengubah sikap dan status
pelajar terhadap sesuatu kurikulum (Salleh 2003; Hattie 2003).
Kebimbangan awam terhadap kualiti pengajaran guru seperti yang
dikemukakan di dalam pernyataan Jemaah Nazir Sekolah (Jemaah Nazir
Sekolah 2001, 24) seharusnya diberi perhatian serius oleh semua
warga pendidik kerana perkara ini secara tidak langsung memberi
gambaran kepada peranan guru dalam pencapaian matlamat pendidikan
negara. Fenomena ini juga boleh dianggap sebagai manifestasi kepada
ketidakpercayaan ibu bapa dan orang awam terhadap mutu dan prestasi
pendidikan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam (Hamzah
2001).
Vallance (2000) mengemukakan empat ciri guru berkualiti, iaitu
pengurusan bilik darjah yang baik, komitmen guru untuk terus
memperbaiki diri mereka, guru yang menyayangi pelajar dan komitmen
guru terhadap para pelajar mereka. Durr (2008) pula melaporkan
bahawa badan yang bertanggungjawab dalam standard pengajaran di
Amerika Syarikat, iaitu National Board for Professional Teaching
Standards (NBPTS) percaya bahawa guru berkualiti merupakan guru
yang komited terhadap pelajar dan pengajaran, berpengetahuan dalam
isi kandungan mata pelajaran dan tahu bagaimana untuk
mengajarkannya kepada pelajar mereka, mengurus dan mengawasi
pembelajaran pelajar, sentiasa merefleksi pengajarannya dan ahli
dalam komuniti pembelajaran.
New Zealand Educational Institute (NZEI 2004) pula menggariskan
profil guru berkualiti sebagai guru yang mempunyai kelayakan
akademik, mempunyai asas pedagogi yang kuat dan faham bagaimana
seseorang pelajar itu belajar, mengenal pasti dan mengoptima
kekuatan pelajar, berkeupayaan untuk menggalakkan pembelajaran
mendalam dan pemikiran berkonsepsi, berpengetahuan dan berkemahiran
dalam kurikulum, seorang yang berfikiran kritikal, mengamalkan
refleksi dan komited terhadap pembelajaran diri sendiri, mempunyai
tahap profesionalisme yang tinggi dan beretika, bekerja secara
kolaboratif dengan guru lain dalam komuniti pembelajaran
profesional, dan mengambil berat tentang pelajarnya. Di Malaysia
pula, pihak urus setia Guru Cemerlang Jemaah Nazir Sekolah (1994)
telah menggariskan lima kriteria guru cemerlang iaitu kecemerlangan
peribadi, kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran, kecemerlangan
kerja, kecemerlangan komunikasi dan kecemerlangan potensi.
Guru akan sentiasa berhadapan dengan kelemahan dan kekurangan
para pelajarnya. Bagaimanapun, guru yang berkualiti tidak akan
membesarkan kelemahan tersebut, sebaliknya memberi fokus kepada
tingkah laku positif para pelajarnya dan menggunakan kekuatan
tersebut untuk menarik minat mereka. Hal ini diakui oleh Arrends
(1994) yang menyatakan guru yang berkesan berupaya mewujudkan
hubungan dengan pelajar di samping memupuk suasana penyayang untuk
memupuk minat pelajar belajar dan menggalakkan perkembangan diri
pelajar. Fredriksen dan Rhodes (2004) menyatakan bahawa hubungan
antara guru dan pelajar boleh memberi kesan terhadap pembelajaran
pelajar dan pencapaian akademik mereka. Mereka berpendapat guru
yang memberi sokongan kepada pelajarnya akan menyemarakkan motivasi
pelajar untuk mengambil bahagian yang aktif dalam mata pelajaran
yang sebelum ini kurang diminatinya. Fleisher (2005) juga
berpendapat bahawa hubungan rapat antara guru dan pelajar memainkan
peranan penting dalam menentukan minat pelajar terhadap pelajaran
yang diajar dan mempengaruhi guru untuk memilih strategi pengajaran
untuk menarik minat dan meningkatkan komitmen pelajar mereka
terhadap pelajaran.
Guru dianggap mempunyai kompetensi tertentu untuk mengembangkan
kemahiran dan pengetahuan pelajar. Pelajar yang pintar lahir
daripada guru yang bijak. Oleh itu adalah wajar setiap guru membuat
persiapan dengan menyiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan
bagi melahirkan murid yang cemerlang di dalam akademik. Terdapat
berbagai-bagai personaliti guru yang boleh mempengaruhi sikap dan
minat pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah. Kemahiran ini merupakan aspek penting kerana ianya
menggambarkan sifat interaksi guru-guru yang berjaya. Ini merupakan
sifat-sifat yang positif, selain pengetahuannya mengenai isi
sesuatu mata pelajaran yang diajar.
Guru-guru yang kurang berjaya kerana mereka terikat kepada
sesuatu prosedur pengajaran dan cara berinteraksi yang ketat.
Mereka ini sangat ketat dalam pengawasan di dalam bilik darjah dan
tidak memberi kebebasan kepada pelajar berinteraksi sesama mereka
dan guru ini juga kurang sensitif kepada keperluan pelajar sebagai
individu.
Manakala menurut Sue Leach (2006) personaliti dan cara
pengendalian kelas boleh mencerminkan keperibadian seseorang guru.
Seseorang guru perlu belajar dari pengalaman sendiri, dari
pengalaman sewaktu bergelar pelajar dan seseorang guru itu perlu
memperuntukkan masa untuk memikirkan strategi pengajaran di antara
guru dan pelajar bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran
berjalan dengan berkesan.
Seseorang yang bergelar guru perlu mempunyai sikap menjadi
seorang pendengar yang baik, berkebolehan berkomunikasi melalui
pandangan mata di antara guru dan pelajar,pengetahuan
perbendaharaan kata bagi memastikan pelajar memahami apa yang ingin
disampaikan oleh guru atau berkemahiran berkomunikasi secara lisan
dan tanpa lisan, berpengetahuan untuk daya memujuk pelajar dengan
tidak terus menghukum pelajar sekiranya melakukan kesalahan dan
berkeyakinan untuk meyakinkan pelajar bahawa guru itu adalah
seorang yang berilmu dan berpengetahuan terhadap apa yang ingin
disampaikan.
2.PERMASALAHAN KAJIAN
Dalam bidang pendidikan sains kini, satu penggunaan yang menjadi
semakin mencabar dan penting ialah berkaitan dengan proses
pengajaran dan pembelajaran di mana seseorang guru dapat mereka
cipta program atau panduan belajar untuk menampung keperluan
pembelajaran pelajarnya. Bagi pelajar peranan utama seseorang guru
adalah mengajar. Lazimnya pelajar memerlukan penerangan yang jelas
dari guru, kenyataan yang jelas tentang masalah pembelajaran serta
bimbingan ke arah penyelesaian masalah. Ini merupakan antara aspek
dalam sikap, komunikasi dan kaedah pengajaran guru semasa proses
pengajaran dan pembelajaran.
Di Malaysia, bidang sains merupakan satu bidang yang mendapat
perhatian yang tinggi. Malah, bidang sains juga dianggap sebagai
satu bidang yang penting bagi mengekalkan pembangunan ekonomi,
memperbaiki mutu hidup dan keselamatan negara. Oleh itu, pelbagai
usaha telah dijalankan agar bidang sains diterima dan menjadi
sebahagian yang penting dalam hidup masyarakat negara ini.
Namun malangnya, setelah sekian lama usaha dilakukan bagi
mencapai hasrat di atas, kemajuan dan kejayaan yang dicapai dalam
bidang sains di negara ini masih belum dapat dibanggakan. Malah,
dalam banyak keadaan, timbul banyak salah faham terhadap bidang
ini. Para pelajar malahan ibu bapa sendiri beranggapan bahawa
bidang atau mata pelajaran sains adalah sukar'. Buktinya, laporan
Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004)
menunjukkan bahawa 42.3% rakyat Malaysia berpendapat bahawa mata
pelajaran sains adalah satu mata pelajaran yang sukar.
Menurut Darling-Hammond, L (2000) berpendapat kualiti
perhubungan antara guru dan pelajar mempunyai kesan terhadap
kesediaan pelajar mengambil bahagian dalam kelas. Jika hubungan
positif wujud antara guru dan pelajar akan membuat pelajar itu
berusaha dan bekerjasama dengan guru.
Arrend, R.I (1994) menyarankan bahawa guru sekolah adalah
dianggap sebagai pakar kepada mata pelajaran yang hendak diajar.
Berketerampilan dalam menyampaikan isi pelajaran merupakan
prasyarat kepada sesuatu pengajaran yang baik. Beliau juga
mengatakan bahawa masalah yang berkaitan dengan kurang keupayaan
mengajar hendaklah diberi perhatian sewajarnya. Dalam konteks
kajian ini, penyampaian isi pelajaran yang dimaksudkan diletakkan
di dalam bahagian kaedah pengajaran guru.
Sikap guru merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan
keberkesanan pengajaran. Di antara sikap guru yang perlu seperti
mempunyai minat dan kebolehan. Minat boleh dianggap sebagai daya
penggerak yang mendorong seseorang supaya memberi perhatian kepada
sesuatu benda atau kegiatan dan ia juga boleh merupakan pengalaman
yang berpengaruh yang telah dirangsang oleh kegiatan itu sendiri
(Salleh Abd Rashid 2003). Apabila seseorang itu mempunyai minat
dalam bidang yang diikuti, maka dia akan memberikan segala
perhatiannya kepada bidang tersebut. Malah Rodiah Ahmad (2008)
mengatakan minat memainkan peranan yang penting dalam kejayaan
sesuatu proses pembelajaran dan ia amat mempengaruhi pencapaian
seseorang dalam pelajaran itu sendiri. Sekiranya seseorang
mempunyai minat dan kebolehan yang tinggi terhadap kerja yang
dilakukan, pasti kerja tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Ini
bermaksud sikap guru dalam aspek minat ini penting untuk mewujudkan
pengajaran yang berkesan.
Tanpa komunikasi yang berkesan sesuatu perhubungan itu pasti
hambar dan tidak mencapai maksud yang diingini. Oleh yang demikian,
ke arah pengajaran yang berkesan seseorang guru perlulah mempunyai
kemahiran komunikasi yang berkesan dengan pelajarnya. Misalnya,
dalam latihan perguruan aspek komunikasi sering ditekankan. Di
antara cara untuk meningkatkan komunikasi dalam latihan perguruan
ialah guru dilatih untuk mempersembahkan hasil kerja mereka dan
perlu berinteraksi dengan rakan sekelas, iaitu latihan interaksi
dengan pelajar. Justeru itu pengkaji ingin mengenal pasti sama ada
terdapat perkaitan di antara sikap guru dan kaedah pengajaran guru
melalui persepsi murid.
3.OBJEKTIF KAJIAN
Di dalam kajian ini dua objektif utama ditetapkan iaitu:a. Untuk
mengetahui persepsi murid terhadap sikap guru sains.b. Untuk
mengetahui persepsi murid terhadap kaedah pengajaran guru sains
semasa mengajar mata pelajaran sains di sekolah.
4.PERSOALAN KAJIAN
Secara khususnya,skop kajian adalah menjurus kepada beberapa
persoalan seperti berikut:a. Adakah terdapat kaitan antara persepsi
murid dengan sikap guru sains.b. Adakah terdapat kaitan antara
persepsi murid dengan kaedah pengajaran guru semasa mengajar mata
pelajaran sains.
5.KEPENTINGAN KAJIAN
Hasil kajian ini di harap dapat memberi manfaat seperti
berikut:a. Diharapkan dapat memberi gambaran kepada guru tentang
persepsi murid terhadap guru sains. Selain itu dapat memberi
gambaran mengenai faktor yang dapat meningkatkan persepsi murid
kepada guru sains ke arah yang lebih positif.b. Membantu
meningkatkan kewibawaan dan keupayaan guru ke arah pengajaran dan
pendidikan yang lebih berkesan.c. Membantu guru untuk mengenal
pasti kaedah pengajaran yang berkesan bagi meningkatkan persepsi
murid terhadap guru sains dan sekali gus dapat menarik minat murid
untuk belajar sains.
6.TINJAUAN LITERATUR
Dalam bab ini penyelidik akan membincangkan dapatan daripada
kajian-kajian yang terdahulu mengenai persepsi murid terhadap guru
sains. Kajian-kajian yang diambil berdasarkan kepada kesesuaian dan
hubung kait dengan tajuk yang dibincangkan.
Teori ekologi telah diperkembangkan oleh Urie Bronfenbrenner
(1917). Teori perkembangan ekologikal adalah teori yang menekankan
pengaruh persekitaran ke atas perkembangan individu. Teori Ekologi
Bronfenbrenner (1979,1989) menjelaskan bahawa perkembangan
kanak-kanak adalah sebagai hasil interaksi antara alam persekitaran
dengan kanak-kanak tersebut. Menurut beliau, persekitaran
perkembangan individu terdiri daripada lima sistem iaitu
Mikrosistem persekitaran yang terdekat di mana kanak-kanak
mempunyai interaksi secara langsung dan menghabiskan paling banyak
masa. Sebagai contoh ibu bapa, adik beradik, rakan, jiran dan guru.
Mesosistem perhubungan antara mikrosistem. Apa yang berlaku dalam
satu mikrosistem boleh mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem
yang lain. Misalnya keadaan di rumah boleh mempengaruhi tingkah
laku individu di sekolah. Sebagai contoh rumah-sekolah,
rumah-jiran, sekolah-jiran. Eksosistem pengalaman dengan
persekitaran yang tidak melibatkan murid secara langsung tetapi
keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan
kepada kanak-kanak atau dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak
tersebut. Contohnya sekolah-pasar raya. Kaedah pengurusan,
kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh tempat
membeli belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan
sosial kanak-kanak tersebut. Makrosistem perkembangan individu
dipengaruhi oleh norma-norma, nilai dan amalan masyarakat. Misalnya
dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan
(Santrock 2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peluang
pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting. Kronosistem
perubahan keadaan dalam suatu tempoh masa. Misalnya kanak-kanak
hari ini lebih berfokus kepada permainan-permainan komputer jika
dibandingkan dengan kanak-kanak dua atau tiga puluh tahun dahulu
yang lebih gemar bermain di persekitaran rumah.
Dalam konteks kajian ini,kanak-kanak adalah murid ataupun
pelajar. Interaksi antara murid-murid dengan persekitaran itu
dipercayai boleh mempengaruhi proses pertumbuhan dan perkembangan
murid. Merujuk kepada sistem di dalam teori ini, murid merupakan
individu yang berada dalam ruang lingkup mikro (berpusat di tengah)
boleh dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Mikro sistem merupakan
interaksi secara langsung dan murid menghabiskan masa paling banyak
masa dengan mereka. Dalam teori ini menyatakan bahawa proses
perkembangan dan pertumbuhan yang terangkum dalam sistem
persekitaran itu mementingkan interaksi antara satu sama lain. Guru
merupakan individu yang berada di dalam sistem ini selain ibu bapa
yang boleh memberi pengaruh yang besar terhadap perkembangan murid.
Oleh itu persepsi murid terhadap gurunya adalah penting dalam
memastikan usaha guru dalam mendidik muridnya akan berjaya. Tingkah
laku guru di dalam dan luar kelas adalah melambangkan keunggulan
mereka sebagai seorang guru dengan mudah dapat diterima oleh
murid-murid (Hussain & Ashraf, 1989)
Guru merupakan salah satu agen penting di dalam institusi
pendidikan. Kualiti tenaga pengajar merupakan aset yang paling
berharga bagi menjamin mutu pendidikan sesebuah negara. Tenaga
pengajar yang berkelayakan dan memiliki personaliti cemerlang
menjadi teras utama kepada pengukuhan dalam bidang pendidikan.
Kriteria utama ke arah keunggulan personaliti seseorang guru ialah
ilmu pengetahuan yang dimiliki, kemahiran dan sikap yang baik serta
mempunyai kredibiliti mengagumkan di dalam pengajaran. Sehubungan
dengan ini juga, bagi melahirkan pelajar-pelajar yang gemilang di
dalam keterampilan diri, akhlak dan etika, peranan guru sangat
dituntut untuk memberikan bimbingan yang betul. Para guru perlu
memikul tanggungjawab yang berat dalam membentuk dan melengkapkan
pelajar supaya menjadi insan yang baik. Di dalam usaha menghasilkan
pelajar yang cemerlang, guru terlebih dahulu perlu berkemampuan
serta berkeupayaan tinggi dalam menjalankan peranan mereka dengan
efektif. Guru diharapkan bukan hanya mengajar atau memindahkan ilmu
pengetahuan tetapi juga mendidik yakni membentuk sikap, nilai dan
akhlak manusia, memberi contoh yang boleh dijadikan ikutan kepada
segenap lapisan masyarakat, melontarkan pandangan-pandangan baru
yang boleh membawa kepada perubahan dan kemajuan atau dengan kata
lain sebagai agen perubahan.
Kajian-kajian yang telah dilakukan di Malaysia membuktikan
bahawa faktor guru adalah signifikan dalam mempengaruhi prestasi
akademik dan pembentukan peribadi pelajar. Kajian How (2007)
misalnya mengemukakan faktor-faktor yang mempengaruhi gejala
ponteng dalam kalangan pelajar tingkatan dua dan empat di daerah
Johor Bahru. Kajian beliau mendapati faktor yang paling dominan
yang mendorong pelajar ponteng sekolah adalah disebabkan oleh
faktor guru. Rodiah (2008) pula mendapati wujudnya hubungan yang
signifikan antara komitmen pelajar dalam pembelajaran bahasa
Malaysia dengan amalan pengajaran guru dalam mata pelajaran
tersebut. Kajian yang dilakukan oleh Haniza (2003) juga mendapati
wujudnya korelasi antara sikap dan motivasi pelajar terhadap bahasa
Inggeris hasil daripada amalan pengajaran guru dengan pencapaian
mereka dalam ujian mata pelajaran tersebut.
Kajian yang dilakukan oleh John Wilkinson dan Malcom Ward (1997)
menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang sinonim di antara
pemilihan tempat belajar, kriteria tenaga pengajar dan latar
belakang pelajar dengan pencapaian seseorang pelajar dalam
pembelajarannya. Berdasarkan hasil kajian ini, cadangan dikemukakan
agar pada peringkat asas lagi para pelajar perlu ditempatkan di
dalam kelas yang mempunyai bilangan pelajar yang tidak terlalu
ramai, diajar oleh tenaga pengajar yang berpengalaman, cekap,
berkredibiliti serta perkhidmatan pembelajaran yang bermutu
tinggi.
Satu Kajian telah dilakukan oleh Wan Zah dan Sharifah (2009)
tentang persepsi pelajar berisiko terhadap iklim pembelajaran.
Daripada kajian ini jelas menunjukkan bahawa iklim bilik darjah
bagi kelas lemah masih berada pada tahap yang belum memuaskan
terutama daripada aspek pengajaran, jangkaan dan layanan guru.
Kajian mencadangkan agar guru perlu turut bertanggungjawab bagi
memastikan iklim yang sihat dalam bilik darjah dapat dicapai.
Kajian-kajian yang dilakukan di luar negara juga menunjukkan
bahawa guru yang berkualiti dapat mempengaruhi perkembangan dan
pencapaian pelajar dalam pelajaran. Hattie (2003) dalam kajiannya
yang melihat perbezaan antara guru pakar dengan guru baru dan guru
berpengalaman membuktikan bahawa guru merupakan faktor kedua utama
yang mempengaruhi perbezaan dalam pencapaian pelajar selepas faktor
diri pelajar itu sendiri. Menurut Hattie, sekolah, pengetua, rakan
sebaya serta sokongan dan dorongan ibu bapa dan keluarga juga
merupakan sumber-sumber lain yang penting dalam mempengaruhi
pencapaian pelajar. Kajian Sanders dan Rivers (1996) tentang nilai
tambah pendidikan di Tennessee menunjukkan bahawa pencapaian yang
berbeza antara pelajar-pelajar yang diajar oleh guru yang
berkualiti tinggi dengan para pelajar yang diajar oleh guru yang
berkualiti rendah untuk tiga tahun berturut-turut. Ini jelas
menunjukkan bahawa kualiti guru yang berbeza memberikan kesan yang
berbeza terhadap pencapaian pelajar.
Slavin (1996) dalam penilaian program Success for All yang
dijalankan terhadap pelajar daripada status sosioekonomi (SSE)
rendah di Baltimore dan Philadelphia, Amerika Syarikat, mendapati
pelajar tanpa mengira jantina, latar belakang sosioekonomi dan
kumpulan etnik, menunjukkan pencapaian yang baik apabila diajar
oleh guru yang benar-benar terlatih, berfokus, bersemangat tinggi
dan sentiasa cergas. Darling-Hammond (2000) dalam kajiannya
berkaitan kesan guru berkualiti terhadap pencapaian pelajar
merumuskan bahawa pengajaran yang berkualiti memberikan kesan yang
jauh lebih besar daripada faktor latar belakang pelajar. Beliau
menyatakan bahawa latar belakang pelajar tidaklah sepenting apa
yang mereka peroleh dari sehari ke sehari di dalam bilik darjah
semasa berinteraksi dengan guru dan pelajar lain dalam mempengaruhi
pencapaian mereka. Kajian-kajian ini telah membuktikan bahawa guru
mempunyai pengaruh dan peranan penting dalam meningkatkan komitmen
pelajar terhadap pelajaran mereka.
Kajian yang dilakukan oleh Wendy Speering dan Leonie Rennie.
(1996), menyatakan bahawa seorang pendidik yang baru melangkah ke
alam pengajaran perlulah mempunyai pengetahuan yang meluas di dalam
bidangnya, mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengenali
pelajarnya, dan mempunyai kemahiran yang kukuh di dalam teknik
mengajar. Sebagai pemudah cara pembelajaran pula, ia seharusnya
mempunyai kredibiliti yang mantap sebagai salah satu faktor penting
kecemerlangan seorang guru. Kredibiliti dilihat dari empat dimensi
utama iaitu "boleh dipercayai', kompetensi, dinamik dan 'perlakuan
semasa'.
Perasaan 'boleh dipercayai' sebagai 'mewujudkan keyakinan pada
diri orang lain'. Elemen ini amat penting di dalam menjalinkan
hubungan yang baik dan sihat di antara seseorang guru dan muridnya.
Guru mestilah bersikap terbuka dan bersedia mengakui kelemahannya
kerana melalui sikap ini dapat mencerminkan kejujuran dan
keikhlasannya. Hasilnya akan mewujudkan rasa yakin pelajar terhadap
seseorang guru tersebut (Brok, P. den, Levy, J., Rodriguez, R.,
& Wubbels, T 2002).
Menurut Brekelmans, M., Holvast, A., & van Tartwijk, J
(1992) guru perlu menggalakkan pembelajaran yang aktif dengan
melibatkan pelajar di dalam sesi perbincangan mengenai isu-isu yang
berkaitan dengan topik yang diajar. Untuk meningkatkan kepercayaan
pelajar kepada guru, Brekelmans, M., Wubbels, T., & Brok, P.
den (2002) mencadangkan semua maklumat yang disampaikan kepada para
pelajar mestilah dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Di samping
itu, guru juga mesti menerangkan analisa, perbahasan dan
bukti-bukti yang kukuh untuk memperkuatkan nilai kepercayaan
pelajar terhadapnya. Sehubungan dengan ini juga, Brok, P. den,
Rickards, T., & Fisher, D. L. (2003, August) mencadangkan para
guru hendaklah mengenal pasti segala kelemahan dan kekuatan sesuatu
maklumat yang disampaikan. Senario ini akan membangkitkan lebih
kepercayaan pelajar kepada pensyarah tersebut. Evans, H., &
Fisher, D. L (2000) merumuskan di antara ciri-ciri yang
melambangkan kebolehpercayaan seseorang guru itu ialah mengotakan
janji, memberikan maklum balas dengan segera kepada pelajar,
memberi penerangan yang rasional terhadap pembahagian markah,
bersikap adil dan saksama terhadap semua pelajar dan bersifat
fleksibel.
Dimensi ke dua yang berkait rapat dengan kredibiliti seseorang
guru ialah kompetensi. Menurut Fisher, D., Henderson, D., &
Fraser, B (1995) kompetensi bukan sahaja melibatkan ilmu
pengetahuan tetapi juga persepsi masyarakat umum mengenai tahap
ilmu yang dimiliki, kebolehan untuk menguasai ilmu tersebut serta
keupayaan untuk menyampaikan ilmu secara berkesan oleh seseorang
guru. Penguasaan ilmu yang tinggi dan penyampaian maklumat secara
efisien daripada seseorang guru boleh meningkatkan lagi persepsi
pelajar terhadap gurunya. Kesan daripada tanggapan positif pelajar
kepada guru boleh mewujudkan situasi pembelajaran yang kondusif
kerana ia menggalakkan penglibatan dan minat mendalam pelajar
terhadap sesuatu pelajaran. Beberapa cadangan telah diutarakan oleh
pakar-pakar pendidikan untuk meningkatkan kompetensi di dalam
pengajaran.
Fisher, D., Fraser, B., & Wubbels, T (1993) mengesyorkan
agar guru menyampaikan maklumat dengan teratur dan sistematik.
Menurut Goh, S. C., & Fraser, B. J (1995, April) guru juga
mesti menyampaikan mesej yang bebas dari segala kesalahan iaitu
dari sudut nahu (sebutan dan pertuturan) di samping mengekalkan
'eye-contact' dengan pelajar. Dalam hal ini Levy, J., Wubbels, T.,
Brekelmans, M., & Morganfield, B (1997) mencadangkan agar guru
seharusnya membuat persediaan yang sempurna dan menyeluruh dan
menguasai topik pengajaran dengan baik dengan mengambil kira
isu-isu utama, sumber-sumber yang relevan, bukti yang kukuh,
bidasan-bidasan yang logik dan perbezaan pandangan mengenai topik
yang dibincangkan. Pandangan ini sekali gus telah disokong
sepenuhnya oleh Goh, S. C., & Fraser, B. J (1995, April).
Selain itu, para guru juga hendaklah menyediakan rancangan
pengajaran yang tersusun dan terperinci di mana sumber ini akan
membantu beliau meningkatkan tahap keyakinan dan penguasaan topik
yang akan diperkatakan. Menceritakan pengalaman yang berkait rapat
dengan pelajaran juga akan dapat mengukuhkan pemahaman pelajar
terhadap mata pelajaran yang diikuti, demikian menurut Levy, J.,
Wubbels, T., & Brekelmans, M (1996, April).
Pendapat beberapa orang tokoh di atas turut disokong oleh
Wubbels, T., Crton, H.A, & Hooymayers, H.P (1987) di mana
beliau telah menerangkan mengenai ciri-ciri kredibiliti seseorang
guru ialah boleh menjelaskan perkara kompleks dengan jelas,
kebolehan memberi contoh kerja yang baik dan memuaskan,
berkomunikasi dengan baik serta berkebolehan menjawab soalan
pelajarDinamik merupakan faktor ketiga yang mempengaruhi
kredibiliti seseorang guru yang cemerlang. Sekumpulan penyelidik
dari Melbourne Australia Waldrip, B. G., & Fisher, D. L. (1999,
December) menghuraikan dinamik sebagai 'meletakkan satu tahap di
kalangan pendengar rasa kagum terhadap keperibadian yang menarik,
cergas dan bertenaga yang dimiliki oleh penceramah'. Ianya berkait
rapat dengan 'karisma' seseorang. Guru yang dinamik dapat menguasai
suasana pembelajaran dan berjaya menyampaikan pengajarannya dengan
penuh bersemangat.
Begitu juga dengan pengendalian bilik darjah, guru mesti mampu
menguasai persekitarannya dengan berupaya memberi 'tenaga' kepada
sekitaran pembelajaran yang kondusif dan sekali gus akan merangsang
proses pengajaran dan pembelajaran. Beberapa perkara telah dikenal
pasti mampu membantu meningkatkan dinamik melalui komunikasi yang
berkesan. Brekelmans, M., Holvast, A., & van Tartwijk, J.
(1992) berpendapat guru seharusnya menggunakan gaya bercakap yang
bersemangat dengan mengaplikasikan nada suara yang berbeza-beza
agar tidak membosankan pelajar keseluruhannya. Brok, P. den,
Rickards, T., & Fisher, D. L. (2003, August) pula menambah
bahawa mempelbagaikan pergerakan badan seperti pergerakan tangan,
mimik wajah, 'eye-contact' dan sebagainya serta mengelakkan dari
menggunakan nada suara yang mendatar dan membosankan dapat
mengatasi masalah rasa jemu pelajar terhadap gurunya. Menurut
beliau lagi, sekiranya guru berjaya mempelbagaikan karakter vokal
seperti kelajuan bertutur, intonasi, nada suara di samping
memberikan contoh-contoh, cerita, penggunaan alat pandang dengar
dan persembahan menarik dalam penyampaian dan lainnya, hasilnya
pengajaran tersebut menjadi lebih bermakna.
Waldrip, B. G., & Fisher, D. L. (1999, December) seterusnya
mengklasifikasikan ciri-ciri Dinamik iaitu seseorang guru itu
bertenaga dan mempamerkan minat ketika mengajar, mempunyai gaya
persembahan yang menarik, mempelbagaikan kaedah atau teknik
mengajar dan tingkatkan 'personaliti' kelas dengan mengadakan
kelainan ketika proses pengajaran dan pembelajaran.
7.METODOLOGI KAJIAN
Bab ini akan membincangkan kaedah yang akan digunakan dalam
kajian ini. Bab ini akan menyatakan metodologi kajian yang
merangkumi populasi kajian, sampel kajian, instrumen yang digunakan
dalam kajian ini dan juga prosedur menjalankan kajian ini.
Metodologi kajian amat penting untuk memastikan kajian dijalankan
mengikut prosedur yang sepatutnya dan dijalankan dengan tersusun
bagi menyumbang kepada kejayaan memperoleh data-data yang
diperlukan. Akhirnya pengkaji akan menyatakan cara data dianalisis
dan juga program yang akan digunakan untuk analisis data.
7.1Reka Bentuk Kajian
Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah bersifat
kuantitatif melalui kaedah tinjauan untuk mengenal pasti Persepsi
murid tahap 2 terhadap guru sains di SK Sungai Buaya Banting
Selangor . Data-data yang diperlukan dalam kajian ini dikumpulkan
melalui borang soal selidik yang telah diubah suai daripada
Instrumen Indeks Persepsi Murid Terhadap Guru penyayang yang di
keluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
7.2 Prosedur KajianSebelum melaksanakan kajian, pengkaji membuat
perancangan yang rapi untuk memastikan kajian dapat dijalankan
dengan lancar dan teratur. Langkah-langkah yang sistematik telah
dirancang sebagai panduan di sepanjang pelaksanaan kajian. Langkah
pertama ialah pengkaji mengenal pasti populasi kajian yang sesuai
berdasarkan tajuk kajian. Soalan yang terkandung dalam borang soal
selidik adalah hasil daripada pengubahsuaian daripada Instrumen
Indeks Persepsi Murid Terhadap Guru penyayang yang di keluarkan
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Selepas diubahsuai mengikut
hasil perbincangan maka borang soal selidik tersebut ditadbirkan
kepada responden. Sebelum borang soal selidik ditadbir oleh
responden, pengkaji memberi penerangan yang ringkas agar mereka
mendapat gambaran yang lebih jelas sebelum menjawab soalan dalam
borang soal selidik tersebut. Masa tidak dihadkan untuk menjawab
soal selidik ini namun purata masa yang akan digunakan oleh
responden ialah kira-kira 5 minit hingga 10 minit sahaja. Soal
selidik yang telah dijawab dengan lengkap akan diproses dan di
analisis secara deskriptif dan inferensi menggunakan aplikasi SPSS.
Akhir sekali pengkaji membuat kesimpulan dan cadangan analisa data
yang di jana melalui aplikasi tersebut.
7.3Lokasi kajian
Pengkaji telah mengenal pasti tempat kajian. Kajian akan
melibatkan murid-murid tahun 6 di SK Sungai Buaya Banting
Selangor.
7.4Populasi
Menurut Noraini Idris (2013) sebelum pemilihan sampel di buat,
adalah penting untuk mengenal pasti populasi yang hendak diselidik.
Secara amnya, populasi ialah kumpulan yang menarik perhatian
penyelidik, yang membolehkan penyelidik membuat generalisasi
melalui dapatan yang diperolehi. Di dalam penyelidikan pendidikan,
Populasi yang ingin diselidiki lazimnya ialah kumpulan individu
seperti pelajar dan guru) yang mempunyai ciri yang ditetapkan malah
populasi boleh juga merangkumi kumpulan kelas, sekolah atau
kemudahan. Populasi yang diambil dalam kajian ini ialah murid SK
Sungai Buaya.
7.5Sampel
Noraini Idris (2013) menyatakan bahawa sampel dalam penyelidikan
ialah kumpulan yang menjadi Penyelidik hendaklah mengenal pasti
populasi yang disasarkan terlebih dahulu, diikuti pemilihan sampel
dan kemudiannya pemungutan data. Pemilihan sampel mestilah mengikut
syarat kebarangkalian, iaitu setiap ahli sampel mewakili ahli
populasi atau mempunyai ciri-ciri yang agak sama dengan populasi
yang lain. Pengkaji memilih sampel menggunakan teknik persampelan
mudah dengan memilih satu sekolah iaitu SK Sungai Buaya. Sampel
yang dipilih oleh pengkaji ialah murid tahun 6 SK Sungai Buaya yang
lebih mengenali guru mereka. Terdapat seramai 90 orang murid tahun
6 di SK Sungai Buaya akan dijadikan sampel untuk mengenal pasti
persepsi mereka terhadap guru sains.
7.6Kaedah Pengumpulan DataData dikumpulkan dan dianalisis secara
prosedur deskriptif dan inferensi. Skor-skor akan di kumpul melalui
borang soal selidik. Data akan di analisa secara deskriptif bagi
mendapatkan taburan kekerapan, min, median dan peratus. Bagi
statistik inferensi, Ujian Korelasi Pearson digunakan untuk menguji
hubungan antara persepsi murid dengan sikap guru, dan kaedah
pengajaran guru sains. Penganalisis data untuk kajian ini dilakukan
dengan menggunakan The Statistical Package For The Sosial Science
(SPSS PC,Version 17.0).
7.7Instrumen Kajian
Instrumen merupakan alat yang digunakan untuk mengukur tingkah
laku manusia dan bukannya dari segi fizikal manusia. Komponen utama
dalam instrumen ialah item-item atau soalan-soalan yang boleh
merangsang atau mendapat maklum balas. Instrumen yang baik haruslah
mempunyai ciri objektif, kesahan, kebolehpercayaan dan
kepenggunaan. Oleh kerana kaedah kajian ini berbentuk kuantitatif
maka pengkaji telah menggunakan soal selidik bagi membolehkan
pengkaji mengumpul data mengenai apa yang ingin di kaji. Chua, Y.P
(2006) berpendapat, bahawa penggunaan borang soal selidik merupakan
antara alat-alat pengumpulan data yang banyak digunakan oleh
pengkaji-pengkaji. kerana borang soal selidik dapat mengumpulkan
data secara terperinci, tersusun dan kepiawaian. Di samping itu,
instrumen ini mudah ditadbir, menjimatkan masa, tenaga, minda dan
wang pengkaji semasa pengumpulan data. Instrumen kajian yang
digunakan dalam kajian ini ialah borang soal selidik bertujuan
untuk melihat persepsi murid terhadap guru sains. Dalam Kajian ini
satu set instrumen soal selidik Persepsi murid terhadap guru sains
akan digunakan sebagai instrumen kajian. Pembinaan instrumen ini di
bangunkan berdasarkan instrumen Indeks Persepsi Murid (IPM)
terhadap guru penyayang yang dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia pada tahun 2012.
7.8Borang soal selidik
Borang soal selidik yang digunakan dalam kajian ini ( rujuk
lampiran 1 ), mengandungi 3 bahagian. Taburan item dan sumber
rujukan binaan kontrak item-item mengikut bahagian ditunjukkan
dalam jadual 1 seperti di bawah:
Jadual 1 : Jadual Penentuan Borang Soal SelidikBahagian Item
Sumber RujukanA. Maklumat Peribadi 1 6Binaan Pengkaji Sendiri B.
Kaedah Pengajaran Guru 1 5Binaan Pengkaji SendiriC. Sikap Guru 1 -
5Binaan Pengkaji
Sendiri______________________________________________________________________Bahagian
A merangkumi soalan-soalan yang berkaitan dengan data peribadi
responden. Ia digunakan untuk mengumpulkan data peribadi seperti
nama, sekolah, umur, jantina dan kaum. Bahagian B pula merangkumi
soalan-soalan yang berkaitan dengan Kaedah pengajaran guru sains
dan bahagian C dibina untuk mendapatkan maklumat mengenai Sikap
guru sains semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku di dalam
kelas.Menurut Noraini Idris (2013),jenis dan bentuk soalan-soalan
dalam satu soal selidik akan menentukan kualiti soal selidik itu.
Salah satu aspek untuk menentukan kualiti soal selidik adalah
kebolehpercayaan dalaman. Kebolehpercayaan dalaman ialah sejauh
manakah ia seragam.
Kebolehpercayaan alat ukur kajian ini dapat dinilai dengan
menganggarkan sejauh manakah item-item dalam ukuran tersebut
menghasilkan dapatan yang sama bagi gagasan yang sama. Dengan kata
lain sejauh manakah dapatan itu konsisten untuk item-item yang
berbeza dalam mengukur fenomena yang sama.
Oleh sebab pengkaji ingin melihat persepsi murid terhadap guru
sains, maka maklum balas responden dapat dinilai menggunakan skala
Likert. Skala Likert adalah terbaik digunakan dalam jenis kajian
ini kerana ia berupaya mengeluarkan tindak balas yang berkaitan
dengan objek, peristiwa dan orang yang dikaji ( Noraini Idris,
2013). Oleh itu, Pengkaji menggunakan skala Likert untuk melihat
sejauh mana responden bersetuju dengan pernyataan- pernyataan
tersebut. Skala Likert dikelaskan untuk menyokong dan tidak
menyokong. Kenyataan menyokong di beri 3 kategori jawapan iaitu
"tidak setuju","tidak pasti" dan " setuju". setiap satu kategori
bernilai 3,2.1.Bagi kenyataan tidak menyokong pula turut
menggunakan 3 kategori tersebut tetapi markah atau nilainya
berbentuk 1,2,3.
Jadual 2 : Skor dan Pemeringkatan Skala Likert Skor
PemeringkatanSimbol 1 Tidak setuju TS 2 Tidak Pasti TP 3 Setuju
S
Kesemua soalan soal-selidik ini diuji menggunakan Pekali
Cronbach Alpha yang diperolehi melalui program Statistical Package
For The Social Science (SPSS) untuk memastikan item-item yang
digunakan mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi di dalam
kajian ini. Menurut Sabitha Marican (2005) menyatakan cronbach
Alpha ialah satu ukuran kebolehpercayaan ketekalan antara item yang
paling sering digunakan oleh pengkaji. Menurut Giilford dan Fructer
(1956) mencadangkan bahawa indeks kebolehpercayaan dalaman sesuatu
ujian adalah paling memuaskan jika bernilai sekitar 0.7. Menurut
Pallant (2001) pula nilai indeks alpha 0.7 atau ke atas adalah baik
untuk skala instrumen yang mempunyai 10 atau lebih item.
Soalan-soalan ini disusun menggunakan skala Likert. Ini bermakna,
kesemua responden bebas memilih tahap skala yang mereka fikir
sesuai dengan pendapat masing-masing.
8.Prosedur Analisis Data
Pengkaji akan mengedarkan borang soal selidik kepada 90 orang
murid tahun 6 di SK Sungai Buaya Banting Selangor. Kesemua data
yang diperoleh dimasukkan ke dalam lembaran program SPSS dan
dianalisis melalui Ujian Korelasi Pearson untuk menguji hubungan
antara persepsi murid dengan sikap dan kaedah pengajaran guru
sains. Manakala borang soal selidik juga dianalisis menggunakan
aplikasi SPSS. Data berkaitan soal selidik dikumpulkan mengikut
kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Kemudian setiap soalan
soal selidik ini diasingkan mengikut aspek sikap guru, komunikasi
guru dan kaedah pengajaran guru. Selepas itu, barulah data soal
selidik ini dianalisis menggunakan analisis deskriptif untuk
mendapatkan nilai min berkaitan persepsi murid terhadap guru
sains.
Bibliografi
Arrend, R.I. 1994. Learning to Teaching. New York: McGraw Hill
Inc.
Brekelmans, M., Holvast, A., & van Tartwijk, J. (1992).
Changes in teacher communication styles during their professional
career. The Journal of Classroom Interaction, 27, 13-22.
Brekelmans, M., Wubbels, T., & Brok, P. den (2002). Teacher
experience and the teacher-student relationship in the classroom
environment. In S. C. Goh & M. S. Khine (Eds.), Studies in
educational learning environments: an international perspective
(pp. 73-100). Singapore: New World Scientific.
Brok, P. den, Levy, J., Rodriguez, R., & Wubbels, T. (2002).
Perceptions of AsianAmerican and Hispanic-American teachers and
their students on interpersonal communication style. Teaching and
Teacher Education, 18, 447-467.
Brok, P. den, Rickards, T., & Fisher, D. L. (2003, August).
What does the Australian teacher look like? An Australian typology
for teacher-student interpersonal behaviour. Paper presented at the
annual meeting of the Western Australian Institute for Educational
Research, Perth.
Chua, Y.P (2006). Kaedah dan statistik penyelidikan: Kaedah
Penyelidikan, Buku 1.Kuala Lumpur: McGraw-Hill
Darling-Hammond, L. 2000. Teacher Quality and Students
Achievement. http://epaa.asu.edu/epaa/v8nl. 25 Januari 2009.
Depdiknas. (2009). Pedoman Pelaksanaan Tugas guru dan Pengawas.
Direktorat Jendral Peningkatan Mutu Pendidik dan Tenaga Pendidikan.
Department Pendidikan Nasional.
Durr, A.J. 2008. Teacher Educations Critical Issues with Teacher
Quality. Paper presented at the Annual Meeting of the MWERA Annual
Meeting, www.allacademic.com/meta/p275298_index. html. 25 November
2008.
Evans, H., & Fisher, D. L. (2000). Cultural differences in
students perceptions of science teachers interpersonal behaviour.
Australian Science Teachers Journal, 46 (2), 9-18.
Fisher, D., Fraser, B., & Wubbels, T. (1993). Associations
between school learning environment and teacher interpersonal
behavior in the classroom. In T. Wubbels & J. Levy (Eds.), Do
you know what you look like? (pp.103-112). London: The Falmer
Press.
Fisher, D., Henderson, D., & Fraser, B. (1995).
Interpersonal behavior in senior high school biology classes.
Research in Science Education, 25, 125-133.Fleisher, S. 2005.
Self-regulation and Teacher-Student Relationships.
www.thefreelibrary.com/Self-regulation+and+
teacher-student+relationships-a014263. 07 Januari 2009.Fredriksen,
K dan Rhodes, J. 2004. The Role of Teacher Relationships in the
Lives of Students. http://
www.interscience.wiley.com/journal/109614153/abstract. 22 Ogos
2008.Goh, S. C., & Fraser, B. J. (1995, April). Learning
environment and student outcomes in primary mathematics classrooms
in Singapore. Paper presented at the annual meeting of the American
Education Research Association, San Francisco.Guilford, J.P. &
Fruchter, B. (1956). Fundamental Statistics in pscyhology and
education. New York, NY: McGraw-HillHamzah Mohamed. 2001.
Memperkasa Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah tidak Jemu Mengajar Tidak
Lesu. www.angelfire.com/ journal2/fakir-zamani/ceramah7.htm 05
September 2008.Haniza Abdul Khalid. 2003. Attitude and Motivation
Toward English as a Medium of Instruction. Kertas Projek Program
Sarjana (Tidak Diterbitkan). Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia.
How, Lee Chan. 2007. Faktor-faktor yang Mempengaruhi Gejala
Ponteng di kalangan Pelajar Sekolah Menengah. Kertas Tesis Sarjana
(Tidak Diterbitkan). Skudai: Universiti Teknologi
Malaysia.Hussain,Syed Sajjad & Ashraf, Syed Ali. 1989. Krisis
Dalam Pendidikan Islam. Terj. Masood Abdul Rashid. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa & Pustaka.Jemaah Nazir Sekolah. 2001. Standard
Kualiti Pendidikan Malaysia. Putrajaya: Kementerian Pendidikan
Malaysia.John Wilkinson, Malcom Ward.(1997). A comparative study of
students' and their teacher's perception of laboratory work in
secondary schools.Reserch in science education. vol 27.issue 4.pp
599-610Levy, J., Wubbels, T., Brekelmans, M., & Morganfield, B.
(1997). Language and cultural factors in students perceptions of
teacher communication style. International Journal of Intercultural
Relationships, 21, 1, 29-56.Noraida Idris (2013). Penyelidikan
Dalam Pendidikan:Selangor: McGraw-Hill
NZEI Te Riu Roa. 2005. Quality Teachers, Quality Teaching. An
NZEI Discussion Paper Presented to Annual Meeting August, 2005.
www.nzei.org.nz/resources publications/documents/ QualTeachFinal
WEB.pdf. 15 Januari 2009.Pallant, J. (2001). SPSS Survival
guide.Australia: Allen & UnwinRodiah Ahmad. 2008. Pengajaran
Guru, Persekitaran Pembelajaran dan Sikap Murid dalam Pembelajaran
KOMSAS. Tesis Program Sarjana Pendidikan (Tidak diterbitkan). Pulau
Pinang, Universiti Sains Malaysia.Sabitha Marican (2005). Kaedah
Penyelidikan Sains Sosial: Kuala Lumpur : Pearson Malaysia Sdn
Bhd
Salleh Abd Rashid. 2003. Pemikiran Profesional Keguruan Terhadap
Kurikulum dan Pengajaran. Dibentangkan di Seminar Pendidikan
MPBL.Slavin, R.E. 1996. Research on Cooperative Learning
Achievement: What we Know, What we Need to Know. Contemporary
Educational Psychology 21: 43-69.Vallance, R. 2000. Excellent
Teachers: Exploring Self Construct, Role and Personal Challenges.
Paper presented at the Australian Association for Research in
Education (AARE) Conference, Sydney. http://www.aare.edu.au. 17
Januari 2008.
Waldrip, B. G., & Fisher, D. L. (1999, December).
Differences in country and metropolitan students' perceptions of
teacher-student interactions and classroom learning environments.
Paper presented at the annual meeting of the Australasian
Association for Research in Education, Melbourne.Wan Zah Wan Ali
dan Sharifah Md Nor. 2009. Persepsi Pelajar Berisiko Terhadap Iklim
Pembelajaran. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1)(2009):17-36Wendy
Speering, Leonie Rennie. (1996). Students' perceptions about
science: The impact of transition from primary to secondary school.
Reserch in science education. Vol 26. Issue 3.pp 283-289
Wubbels, T., Crton, H.A, & Hooymayers, H.P. (1987). A
school-based teacher induction programme. European Journal of
Teacher Education, 10, 81-94.
SOAL SELIDIK LAMPIRAN 1
PERSEPSI MURID TERHADAP GURU SAINS
Bahagian A (Latar belakang responden)
Nama:
________________________________________________________________Sekolah:________________________________________________________________Jantina:
Lelaki PerempuanUmur: 10 tahun 11 tahun 12 tahunKaum: Melayu Cina
India Lain-lain
Arahan1. Semua soalan perlu dijawab.2. Tidak ada jawapan betul,
oleh itu pilih jawapan dengan jujur berdasarkan pendapat anda
sendiri.3. Tandakan ( / ) bagi setiap pernyataan yang sesuai
berdasarkan skala berikutTidak SetujuTidak PastiSetuju
123
Bahagian B ( Kaedah Pengajaran Guru )
ItemPernyataanTidak setuju1Tidak Pasti2Setuju
3
1Pengajaran guru berjaya menarik minat saya terhadap sains.
2Pengajaran guru memudahkan saya fahami sains.
3Bahan bantu mengajar yang digunakan guru menarik.
4Guru sentiasa bersedia sebelum memulakan kelas.
5Guru menggunakan contoh yang jelas dalam pengajaran.
6Guru berjaya wujudkan suasana kelas yang menyeronokkan.
7Guru bertindak sebagai pemudah cara.
8Saya suka cara guru mengajar.
9Penerangan guru tentang sains mudah difahami.
10Soalan guru mudah difahami.
11Arahan guru jelas dan mudah difahami.
Bahagian C ( Sikap Guru )ItemPernyataanTidak setuju1Tidak
Pasti2Setuju
3
1Saya sering diberi perhatian oleh guru.
2Saya sering dilayan dengan baik oleh guru.
3Kejayaan saya dihargai guru.
4Guru saya sentiasa sabar melayan tingkah laku murid.
5Guru memahami minat pelajar.
6Penampilan guru menarik minat saya.
7Sikap guru menarik minat saya terhadap sains.
8Guru saya sentiasa memberi galakan kepada saya.
22