Pengadilan Moral Dalam Sejarah
Kalau kita mengamati dan mengkaji mengenai pengadilan moral
dalam sejarah maka kita akan temui dua golongan iaitu satu golongan
yang pro dan satu golongan yang kontra dalam kes pengadilan moral
dalam penulisan sejarah (Hj. Ishak Saat, 2005).
Pertama, ada golongan ahli sejarah yang berpendapat bahawa
pengadilan moral tidak wajar dilakukan kerana seseorang penulis itu
tidak dapat menyelami dan mengetahui keadaan sebenar peristiwa
sejarah itu berlaku. Sebagaimana yang ditegaskan
olehButterfieldiaitu Sarjana sejarah yang mewakili golongan pertama
ini, yang mengatakan bahawa pengadilan moral tidak dianggap penting
dalam penyiasatan sejarah kerana ketidakupayaan atau tidak mampu
ahli sejarah untuk melihat sesuatu peristiwa dari lubuk hati si
pelaku (Hj. Ishak Saat, 2005). Ia menekankan bahawa'we cannot see
inside other people'merupakan faktor penting yang menghalang
seseorang ahli sejarah untuk bersikap objektif dalam menjatuhkan
hukuman moral (Herbert Butterfield, 1959). Hujah beliau ini tidak
saya nafikan memandangkan ia merupakan satu persoalan yang
objektif. Malah timbul pula persoalan-persoalan seperti mengapakah
ahli sejarah perlu memikul tugas sebagai seorang pengadil atau
hakim di dalam mahkamah Sejarah Dunia ? Bukankah persoalan baik dan
buruk dalam sesebuah masyarakat dahulu tidak semestinya baik atau
jahat dari kaca mata masyarakat hari ini ? Ataupun adilkah
seseorang ahli sejarah menghakimi atau menjatuhkan hukuman moral ke
atas pelaku sejarah zaman lampau ? Bukankah nilai moral masyarakat
dahulu amat berbeza dengan nilai moral masyarakat pada hari ini.
Amat tidak wajar kita menghukum mereka berdasarkan pandangan hari
ini. Walau bagaimanapun pada pendapat saya, hal ini boleh di atasi
apabila kita dapat menentukan satu bentuk ukuran yang sejagat untuk
menjatuhkan hukuman moral agar pengadilan moral yang dikenakan ke
atas pelaku-pelaku sejarah lampau itu menjadi amat wajar dan
diterima oleh para pembaca.
Sebagai contoh mengenai kisah Hang Tuah dengan Hang Jebat. Kisah
kesetiaan Hang Tuah yang dianggap membabi buta dan kisah
penderhakaan Hang Jebat yang dianggap wajar dengan situasi yang
berlaku di masa tersebut kerana demi persahabatan beliau sanggup
berkorban dan terkorban demi menuntut keadilan (bela) atas kematian
Hang Tuah. Dalam kes tersebut sememangnya Hang Tuah dianggap
mewakili golongan yang setia tanpa belah-bagi terhadap Raja atau
dengan kata mudah taat setia tanpa bicara. Manakala Hang Jebat
mewakili golongan yang akan mempersoalkan kerasionalan sesuatu
tindakan dahulu sebelum melakukannya. Penilaian kaca mata hari ini,
watak Hang Tuah amat tidak sesuai dengan budaya moden masyarakat
hari ini kerana memberikan ketaatan tanpa mempersoalkan segala
perintah yang diberikan, walaupun perintah tersebut tidak masuk
akal untuk dituruti seperti perintah Raja agar Hang Tuah membunuh
Hang Jebat yang membela atas kematiannya yang difitnah. Bukankah
gambaran taat setia ini dianggap melulu. Berbeza pula dengan Hang
Jebat, kalau menurut kaca mata hari ini beliau dianggap sebagai
Hero kerana sanggup membahayakan diri demi untuk menuntut bela atas
fitnah yang mengorbankan sahabat karib beliau. Malah kata-kata
retorik beliau hingga ke hari ini menjadi sebutan orang iaitu"Raja
Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah". Di sini juga ahli
sejarah harus memperlihatkan tindakan terkutuk Hang Jebat yang
terus-terusan melakukan pembunuhan yang bercanggah dengan nilai
moral serta agama iaitu membunuh orang-orang yang tidak berdosa.
Sekiranya ukuran nilai moral sejagat digunapakai maka tidak sukar
untuk menjatuhkan hukuman moral ke atas Hang Jebat dan Hang
Tuah.
Kedua, golongan pro yang menyatakan bahawa wajar pengadilan
moral dilakukan oleh ahli sejarah seperti apa yang ditegaskan oleh
Qasim Ahmad, si pelaku yang melakukan kejahatan dari segi lahiriah
atau secara luaran walaupun ia berhasrat atau bermotif suci, ia
akan dihukum juga dalam mahkamah dan didakwa melakukan kesalahan
dari segi undang-undang dan moral (Hj. Ishak Saat, 2005).
Dengan kata lain, tindakan lahiriah si pelaku atau individu yang
mencetuskan sesuatu peristiwa menjadi kayu ukur untuk menjatuhkan
hukuman moral. Keadaan ini dilihat bagaimana bumi Palestin yang
dirampas secara haram oleh pihak Yahudi melalui peperangan pada
tahun 1946, tindakan Yahudi ini tiada bezanya dengan tindakan Nazi
di Jerman. Kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh pihak
Yahudi ke atas rakyat Palestin ini amat kejam dan melangkaui
batas-batas kemanusiaan. Malah kekejaman dan kedegilan Yahudi di
bumi Palestin ini berlanjutan sehingga ke hari ini. Kita boleh
lihat pembunuhan beramai-ramai di Settla mahupun di tebing Barat,
kanak-kanak dan orang-orang tidak berdosa dibunuh dengan tanpa
belas kasihan. Begitu juga dengan halnya era Perang Moro dengan
Sepanyol. Sepanyol bertindak kejam dengan muslim di Filipina.
Mereka ditindas dan dipaksa untuk menganut ajaran Kristian. Jika
tidak menuruti kehendak mereka, mereka akan dibunuh. Kalau
kekejaman dan kezaliman Nazi di Jerman dikenakan hukuman moral maka
dalam kes kekejaman Yahudi dan Sepanyol juga mesti dikenakan
hukuman moral yang sama. Begitu juga halnya jika Orang Iranun itu
lanun, maka Orang Bugis, Jawa, Bajao Laut, Cina, Melayu, Dayak dan
Iban juga adalah lanun. Bukankah begitu sejarah harus dipaparkan
kepada pembaca ?
Kesimpulannya, sama ada mahu tidak mahu seseorang ahli sejarah
harus membuat penilaian moral dalam penganalisisan penulisan
sejarah yang dipaparkan. Sikap pro, anti atau neutral dalam
persoalan pengadilan moral sudah pasti mengakibatkan rentetan
peristiwa sejarah seterusnya. Kalau ahli sejarah tidak mahu
menjatuhkan pengadilan moral di atas sesuatu peristiwa sejarah,
tidak mustahil pembaca atau bukan ahli sejarah sudah pasti membuat
pengadilan moral untuk mereka. Pokoknya, jalan keluar daripada
masalah ini bukanlah lari daripadanya tetapi memperlengkapkan lagi
para Ahli Sejarah dengan kemahiran yang berkait. Oleh itu,
pengadilan moral merupakan satu ciri penulisan sejarah yang tidak
boleh diketepikan begitu sahaja. Seandainya unsur pengadilan moral
tidak dimasukkan maka pemaparan karya sejarah akan menjadi kaku
serta tidak menarik untuk ditatap oleh para pembaca. Sepatutnya
sejarah mestilah menjadi suatu bahan bacaan yang menarik kerana di
dalamnya terdapat unsur-unsur pengajaran dan pedoman untuk generasi
yang akan datang. Tanpa mengenali sejarah maka seorang itu amat
sukar untuk maju ke hadapan (Hj. Ishak Saat, 2005).
Rujukan :
Hj. Ishak Saat (2005).Sejarah Sosial Masyarakat Melayu.Selangor
: Karisma Publication Sdn. Bhd
Pengadilan Moral
PENGADILAN MORAL: KES NAZI DI JERMAN
(Sumber:Qasim Ahmad. 1991.Karya Sejarah: Pendekatan dan
Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 35-50.)
Salah satu persoalan yang kerap dibincangkan dalam penulisan
sejarah ialah isu pengadilan moral. Perkara ini selalu menimbulkan
kontroversi yang berpanjangan. Secara kasarnya, terdapat dua sikap
di kalangan ahli sejarah tentang hal ini. Di satu pihak, terdapat
mereka yang mengatakan bahawa pengadilan moral itu tidak patut
dilakukan, kerana di antara si pengkaji sejarah dengan pelaku (atau
masyarakat) yang dikajinya itu, mungkin terdapat sistem nilai yang
berlainan. Dengan kata lain, apabila ahli sejarah itu membuat
pengadilan moral ia mungkin tidak dapat bersikap adil kepada orang
atau masyarakat yang dikaji atau diadilinya.Di pihak yang lain
pula, terdapat para ahli sejarah yang menyokong pengadilan moral di
dalam sejarah. Di antara hujah yang diutarakan bagi mempertahankan
pendirian ini ialah seseorang pelaku di dalam sejarah itu
bertanggungjawab di atas perlakuannya, lantas ia patut
dipersalahkan kalau berlaku salah, dan diakui kebaikannya kalau ia
berlaku baik. Lagipun, kata golongan ini, kalaulah kita katakan
pengadilan moral itu tidak mungkin dikendalikan kerana manusia,
atau masyarakat, mempunyai sistem nilai yang berbeza, maka kita
seolah-olah mengatakan yang manusia tidak mempunyai apa-apa ciri
persamaan. Ini, hujah pihak ini lagi, amatlah sukar diterima.
Kalaulah ketiadaan persamaan itu diterima juga, maka, tanya mereka,
bagaimana mungkin dijelaskan persetujuan yang sudah diiktiraf
(sekurang-kurangnya di dalam pemahaman biasa) tentang apa yang
dimaksudkan dengan "baik", "jahat", "tinggi", "kelabu", dan
sebagainya? Atau apakah manusia terpaksa sentiasa mengemukakan
definisi apabila mereka menggunakan perkataan-perkataan begini?
Lebih penting lagi, barangkali, ialah apakah faktor yang mungkin
mempersatukan manusia dan yang menimbulkan sikap saling memahami
sesama manusia sekiranya persamaan di kalangan manusia terus
dinafikan?
Segala yang di atas inilah yang ingin saya bincangkan seterusnya
dan saya akan gunakan kes Nazi di Jerman sebagai kes rujukan.
Harapan saya ialah agar beberapa aspek dan implikasi daripada isu
ini dapat diperincikan dengan lebih jelas lagi.
Apakah pengadilan moral? Ringkasnya, pengadilan moral ialah
perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun tindakan mengenakan
penilaian tertentu terhadap sesuatu peristiwa sejarah atau kepada
seseorang pelaku di dalam sejarah. Misalnya, di dalam tulisan
seorang ahli sejarah ada dinyatakan sesuatu peristiwa itu tidak
baik, Ketua Negara itu bersalah, masyarakat pada masa itu mundur,
sistem politik ini tidak progresif dan sebagainya. Pendeknya si
penulis atau ahli sejarah itu telah menghukum dan menilai.
Dalam kes Nazi di Jerman, di antara persoalan yang selalu timbul
ialah bagaimana seseorang ahli sejarah boleh menghukum atau
mengadili Adolf Hitler; menilai tindakan Nazi membunuh lebih kurang
enam juta orang Yahudi (tua muda, kecil besar, lelaki wanita) di
Eropah; dan mempertimbangkan reaksi ketua kaum dan orang awam
Yahudi. Bolehkah seseorang itu bersikap berkecuali saja? Apakah
masalah yang terlibat? Kalaulah terdapat kesulitan, bagaimanakah
pula cara mengatasinya?
Lucy Dawidowicz, di dalam bukunya,The War Against the
Jews,dengan tegas mengatakan kes pembunuhan beramai-ramai orang
Yahudi - yang juga dipanggilholocaust(bencana) - tidak membenarkan
sikap berkecuali" di pihak para ahli sejarah.Oleh itu bukunya, kata
Dawidowicz, tidaklah terlerai daripada sistem nilai. Maknanya,
bukunya itu turut menjelaskan ada perkara yang baik, ada yang tidak
baik, ada orang yang bersalah dan ada orang yang tidak bersalah
pada zaman pemerintahan Nazi di Jerman.
Setelah mengetahui pendirian Dawidowicz ini, maka tindakannya
tidak mahu menilai sikap ketua kaum Yahudi yang telah didakwa oleh
sesetengah pihak sebagai telah bersubahat dengan Nazi tentulah
menarik perhatian kita. Kata Dawidowicz,
"Dalam membincangkan perlakuan segolongan kecil pemimpin Yahudi
yang telah dituduh melakukan jenayah oleh mereka yang terselamat
dan para sarjana, saya telah dipengaruhi oleh pendapat Profesor
Herbert Butterfield, yakni ahli sejarah memang tidak mungkin
mengetahui manusia secara batinnya. Perkara ini berlaku sebab ahli
sejarah tidak dapat menyiasat lubuk pemikiran dan hati mereka,
tempat pembentukan akhir niat dan garis tanggungiawab itu"
ditentukan."
Salah seorang sarjana yang dimaksudkan oleh Dawidowicz ialah
Hannah Arendt, seorang sarjana Yahudi Amerika yang terkenal di
Barat. Arendt di dalam bukunyaEichmann In Jerusalem: A Report on
the Banality of Evildengantegas membuat dakwaan seperti yang
dikatakan oleh Dawidowicz. Dakwaan Arendt bukanlah ditujukan kepada
segolongan kecil pemimpin Yahudi tetapi kepada semua mereka "hampir
tanpa pengecualian".
Ekoran dakwaan ini, Arendt menyatakan bahawa sekiranya orang
Yahudi telah betul-betul tidak diurus dan tidak pula mempunyai
pemimpin, maka nasib mereka tidak mungkin menjadi seteruk yang
telah mereka alami. Huru-hara dan kesusahan mungkin berlaku tetapi
mangsagas chamber(kamar gas) Hitler tidak mungkin meningkat di
antara empat setengah hingga enam juta orang. Inilah kebenaran yang
sepenuhnya, tegas Arendt.7Inilah "penyelewengan sejarah", jawab
Dawidowicz.
Terdapat beberapa aspek perbincangan di atas yang wajar diteliti
lebih halus lagi. Salah satu daripadanya ialah dakwaan Dawidowicz
bahawa ia terpengaruh dengan pendapat Butterfield, Dawidowicz tidak
mahu mengadili pemimpin Yahudi yang dikatakan bersubahat atau
membuat kesalahan tidak melakukan sesuatu untuk menentang Nazi.
Prinsip Butterfield yang nampak jelas dipegang oleh Dawidowicz di
sini ialah kita tidak boleh membuat keputusan terhadap sesuatu
kelakuan manusia tanpa mengetahui isi hati si pelaku itu sendiri.
Tetapi, anehnya, Dawidowicz tidak pula terikat dengan pertimbangan
begini dalam mengadili orang Nazi.
Sikap berbeza Dawidowicz dalam kes Nazi ini, bagi saya,
menunjukkan bahawa di dalam keadaan tertentu dalam sejarah, tidak
perlu mengetahui niat seseorang, atau sesuatu kumpulan orang,
sebelum pengadilan diberikan. Ini kerana perbuatan itu mungkin
telah melanggar ciri-ciri hukum moral, sosial dan sebagainya yang
sudah diterima. Andaian di sini ialah adanya satu kayu ukur
pengadilan yang diiktiraf. Apa yang saya maksudkan ialah niat yang
suci murni tidak boleh menukarkan perbuatan salah menjadi perbuatan
yang tidak bersalah. Memang terdapat perbuatan yang bersifat
agakneutral,yakni tidak dengan jelas melanggar ciri-ciri hukum
moral yang diiktiraf, lantas pengadilan terhadapnya bergantung
kepada niat di sebalik pelaksanaan perbuatan itu; dan begitu juga
terdapat perbuatan yang nampak baik lahiriahnya, tetapi boleh
diadili sebagai tidak baik kerana niatnya.
Dalam kedua-dua kes terakhir di atas, pernyataan peri
mustahaknya mengetahui niat adalah munasabah. Berkaitan dengan ini,
pernyataan Butterfield bahawa kebenaran yang hakiki tentang sesuatu
perkara itu "tidak mungkin dihuraikan melainkan pada Hari
Pengadilan jua",dapat dimengerti dan diterima. Manusia bukan Tuhan
dan dia tidak berupaya untuk mengetahui segala sesuatu. Namun
begitu, ketidakupayaan kita untuk mencapai kesempurnaan pengetahuan
ini tidak pula melepaskan kita daripada tanggungjawab membuat
pengadilan. Kita terpaksa melaksanakan keadilan menurut ukuran
lahiriah, setakat yang mampu dibuat oleh manusia. Perbuatan yang
baik secara lahiriah tetap diterima sebagai baik kiranya niat jahat
di sebaliknya tidak dapat dibuktikan; perbuatan jahat secara
lahiriah tetap diadili sebagai jahat, dan hukuman ke atasnya tidak
patut diringankan kalau unsur-unsur tidak sengaja di pihak pelaku
atau para pelaku, tidak dapat dibuktikan. Memang terdapat
kemungkinan sesuatu peristiwa di dalam sejarah itu tidak dapat
diadili kerana ketiadaan bukti yang cukup. Ini serupalah halnya
dengan kes masa kini yang tidak dapat dibawa ke mahkamah kerana
kekurangan bukti. Masalah kekurangan bukti ini biasanya bukan
berkaitan dengan hal untuk menentukan baik buruknya sesuatu
peristiwa, tetapi untuk mencari orang yang bertanggungjawab
terhadap peristiwa itu. Apabila keadaan ini wujud, maka prinsip
yang patut dianuti ialah tidak bersalah melainkan kalau dapat
dibuktikan sebaliknya.
Timbul persoalan mengapa ahli sejarah perlu memikul tugas
sebagai hakim di mahkamah sejarah? Bukankah apa yang baik bagi
masyarakat pada suatu masa tidak semestinya pula baik bagi
masyarakat pada masa yang lain pula? Mungkin dikatakan bahawa agak
keterlaluan bagi ahli sejarah masa kini menghukum tidak baik amalan
masyarakat lain pada masa silam, walhal masyarakat itu sendiri
menganggap amalan itu baik, berperanan dan tidak pun membantahinya
Mengapa ahli sejarah mesti menjaga tepi kain orang? Bukankah
perbuatan ini mencerminkan sikapnya yang mengada-ada, sikap angkuh,
sikap memandang rendah pada per-adaban orang lain dan menganggap
bahawa ia saja yang baik, betul dan bagus?
Saya rasa, persoalan ini dapat dipecahkan jika andaian tentang
hakikat kemanusiaan dapat dijelaskan. Pada hemat saya terdapat dua
andaian iaitu:
Konsep tidak salah, baik, bagus, menggembirakan dan sebagainya
itu adalah mutlak, yakni sama saja sepanjang zaman dan bagi seluruh
insan; dan kalaupun ada pengecualian yang tertentu masih boleh
diberikan garis lingkungan yang nyata; atau konsep tidak salah,
bagus, menggembirakan dan sebagainya itu adalah relatif, yakni
tidak mutlak.
Bagi yang berpegang kepada andaian pertama, maka tuduhan menjaga
tepi kain orang bukanlah merupakan sesuatu yang patut dikesali atau
dimarahi. Baginya, tidak menjaga tepi kain orang bermakna tidak
menghiraukan nasib orang lain, tidak peduli-mempeduli sesama
manusia. Bagi yang berpegang kepada andaian kedua pula maka
pernyataan menjaga tepi kain orang tetaplah tinggal menurut
pengertian biasa dan perbuatan menjaga tepi kain orang jelas
menunjukkan sifat mengada-ada dan segala lain yang tidak baik yang
mungkin boleh dikaitkan dengannya.
Walau bagaimanapun, bagi saya soal keangkuhan, sikap memandang
rendah peradaban orang lain dan anggapan bahawa orang lain semuanya
salah, hanya ia saja yang betul, baik dan bagus, patut dipisahkan
daripada sifat menjaga tepi kain orang. Dengan kata lain, seseorang
yang menjaga, atau mahu menjaga tepi kain orang tidak semestinya
mempunyai sifat tidak baik. Sebaliknya, seseorang yang tidak
menjaga tepi kain orang pula, tidaklah semestinya bebas daripada
sifat ini. Apa yang saya maksudkan di sini ialah peribahasa menjaga
tepi kain orang patutlah digunakan tanpa menyiratkan pengertian
negatif di dalamnya.
Kalau kita amat-amati pembicaraan Butterfield dalam bab
"Pengadilan Moral Di Dalam Sejarah", kita sebenarnya tidak boleh
mengatakan Butterfield sebagai anti-pengadilan moral, Beliau tidak
bersetuju dengan penyalahgunaan tugas pengadilan. Kerapkali juga ia
memperlihatkan sikap semacam tawar hati untuk menjalankan tugas
ini, (atau untuk mengesyorkan pelaksanaannya), disebabkan beberapa
kerumitan yang terlibat. Di antara penyalahgunaan tugas dan juga
masalah yang dikemukakan oleh Butterfield ialah:
-Tiap sudut daripada kehidupan manusia itu tidak dapat
dipisahkan daripada soal moral. Tetapi ahli sejarah tidak dapat
mengadili manusia pada setiap waktu. Oleh itu pengadilan moral yang
dibuat sekali-sekala ke atas sesuatu peristiwa yang dipilih adalah
tidak memadai untuk memenuhi hasrat di sebalik tugas ini.
-Pengadilan sering digunakan sebagai alat untuk mendedahkan
kesalahan lawan dan menutup kesalahan sendiri atau kawan.
-Pengadilan ahli sejarah adalah di peringkat rendah, yakni
pengadilan yang merupakan bukan pengadilan moral tetapi pengadilan
moral setengah masak.
Di dalam kes penyelewengan yang pertama di atas, soal pemilihan
kes sejarah yang hendak diadili memanglah sukar hendak dielakkan,
seperti sukarnya ahli sejarah mengelakkan diri memilih peristiwa
mana dalam sejarah yang mahu ditulisnya, dan peristiwa mana pula
yang tidak mahu disentuh, disentuh sedikit, lebih sedikit atau
sedikit-sedikit saja. Terpulanglah kepada ahli sejarah sendiri
menentukan kes mana yang paling baik untuk diadili atau ditulis
bagi mencapai tujuan yang dianggap sah di dalam penulisan sejarah.
Faktor lain, seperti kekurangan atau ketiadaan bahan yang lengkap
dan penilaian tentang kadar kepentingan peristiwa secara
keseluruhan turut memainkan peranan di dalam hal ini.
Kes kedua dalam senarai di atas menyentuh soal kejujuran,
penelitian dan kesediaan ahli sejarah melihat sesuatu peristiwa
sejarah itu daripada berbagai-bagai aspek dan sudut pandangan,
termasuk kesediaan untuk melihat kelemahan pihak sendiri dan pihak
kawan. Kiranya ada ahli sejarah yang tidak ingin berbuat begitu
dalam melaksanakan pengadilan moral, maka yang patut menjadi
sasaran kritik bukanlah tugas pengadilan moral tetapi ahli sejarah
itu sendiri.
Kes ketiga adalah berkait dengan kes kedua. Cara mengatasi
penyelewengan begini bukanlah dengan melarikan diri daripada tugas
pengadilan moral. Kerumitan yang timbul patutlah diselesaikan
dengan memperlengkapkan lagi ahli sejarah dengan kemahiran yang
diperlukan, agar pengadilan moralnya tidak hanya dan tidak lagi
merupakan pengadilan moral setengah masak.
Sebagai rumusan perbincangan setakat ini, saya ingin menekankan
akibat yang mungkin mengekori sesuatu andaian yang telah disebut
sebelum ini, yakni andaian tentang mutlak atau relatifnya sistem
moral. Saya juga mahu menegaskan bahawa isu yang dibincangkan ini
bukanlah hanya mustahak kepada ahli sejarah sebagai ahli sejarah,
tetapi lebih penting lagi, kepada ahli sejarah sebagai manusia.
Justeru itu, isu ini patut juga dihadapi oleh manusia lain.
Ringkasnya, kiranya manusia memang memiliki ciri-ciri moral mutlak
yang sama secara keseluruhannya, maka mereka yang berpegang kepada
andaian sebaliknya, dan bertindak atau tidak bertindak bertolak
daripada andaian yang berlainan itu sudah tentulah memulakan
rantaian peristiwa yang berasaskan sesuatu yang tidak sepatutnya
menjadi asas. Sekiranya manusia itu memang tidak memiliki ciri-ciri
moral mutlak yang sama secara keseluruhannya, maka seseorang yang
membuat andaian yang sebaliknya pula yang melakukan kesalahan yang
baru sahaja disebutkan tadi.
Apa yang jelas di sini ialah terdapat kemungkinan kerugian pada
kedua-dua andaian itu walaupun dalam masa yang sama, kedua-duanya
kelihatan juga menjanjikan keuntungan. Kalau kita percaya bahawa
salah satu saja daripada dua andaian ini yang boleh dijadikan asas,
maka pemilihan menjadi soal pokok. Penyelesaian soal pokok inilah
yang akan mewarnai penulisan sejarah. Jawapannya akan menentukan
sama ada sejarah boleh membuat pengadilan moral di samping
menentukan di mana dan bagaimana pengadilan itu patut dibuat.
Inilah persoalan yang perlu diselesaikan oleh ahli sejarah sebagai
manusia biasa dan juga oleh bukan ahli sejarah yang juga manusia
biasa. Rantaian perkembangan peristiwa yang akan berlaku, ekoran
daripada pemilihan asas tempat bertolak, merupakan perkembangan
peristiwa yang akan meninggalkan kesan kepada manusia secara
keseluruhannya.
Ahli sejarah dan manusia lain menyelesaikan persoalan ini dari
sudut yang berbeza-beza. Akibatnya rumusan mereka juga
berbeza-beza. Kadangkala, terdapat juga andaian yang sama tetapi
penekanannya pula yang berlainan. Dua orang, misalnya, mungkin
bersetuju tentang adanya ciri-ciri moral mutlak bagi manusia
sejagat, tetapi mereka mungkin pula berbeza pendapat tentang had
persamaan ciri-ciri tersebut, atau tentang jenisnya. Perselisihan
yang beginilah, dan juga perselisihan tentang unsur-unsur idealisme
yang patut ada, atau dilahirkan, di dalam sesuatu masyarakat itu,
yang boleh menyebabkan tumbuhnya perbezaan di dalam pentafsiran.
Perbezaan begini patutlah disedari dan diterima kewujudannya.
Adalah terlalu idealistik bagi sesiapa pun untuk mengharapkan
manusia akan semuanya bersependapat tentang sesuatu perkara, apatah
lagi tentang semua perkara. Walau bagaimanapun, perbezaan
sedemikian ini tidaklah patut dijadikan alasan untuk menafi
kewajaran pengadilan moral di dalam sej arah. Rumusan begitu
tidaklah kena pada tempatnya.
Dawidowicz, melalui bukuThe War Against the Jews,mengatakan
Jerman sebagai sebuah negara telah melanggar perintah"Thou shalt
not murder"(Anda tidak boleh membunuh). Maka mustahil bagi Jerman,
katanya, untuk mengambil sikap berkecuali di dalam hal
ini.Jelaslah, bahawa peraturan atau perintah jangan membunuh itu
telah digunakan oleh Dawidowicz sebagai satu peraturan mutlak yang
tidak boleh dilanggar; dan kerana negara Jerman Nazi dan Hitler
melanggar peraturan ini maka mereka bersalah. Tidak ada bukti untuk
menunjukkan pembunuh-pembunuh yang terlibat itu gila bagi
membolehkan mereka dilepaskan daripada pengadilan dan hukuman.Tidak
ada bukti yang menunjukkan bahawa perbuatan pembunuhan
beramai-ramai orang Yahudi itu dilakukan kerana tidak sengaja bagi
membolehkan bukuman diringankan. Soal kemungkinan perbuatan
membunuh telah memainkan peranan dalam konteks pemikiran, sosial,
politik dan ekonomi Jerman Nazi, dan sama ada perbuatan itu disukai
atau tidak oleh kebanyakan orang Nazi tidak perlu dimasukkan
sebagai unsur penilaian atau pengadilan. Kenapa? Kiranya perbuatan
membunuh itu berperanan, maka keputusan pengadilan ialah: peranan
itu patut dimainkan bukan oleh tindakan pembunuhan, tetapi oleh
perkara atau perbuatan yang lain. Seterusnya, sekiranya orang Nazi
Jerman menyukai dasar itu maka keputusan pengadilan ialah mereka
menyukai sesuatu yang salah dan oleh sebab itu patut dihukum. Di
dalam pembicaraan Nuremberg, salah satu hujah bela ketua-ketua
kanan Nazi yang dibicarakan ialah mereka hanya mentaatiFuhrer,
Ketua Negara mereka.Kesalahan mereka di dalam hal ini ialah
menempatkan perintah Ketua Negara lebih atas daripada peraturan
mutlak moral.
Seterusnya kalaulah dihujahkan bahawa di dalam keseluruhan
sistem Nazi tindakan pembunuhan itu adalah sesuatu tindakan yang
tidak dapat dielakkan, yakni masalah mereka tidak mungkin selesai
tanpa tindakan yang demikian, maka di dalam hal yang sedemikian itu
apa yang patut disalahkan ialah sistem yang mereka anuti sendiri.
Apakah penghukuman ini merupakan satu sikap yang mencerminkan
penilaian tentang adanya satu sistem atau peradaban yang lebih baik
daripada yang lain? Jawabnya ya. Jawapan ini ialah kesimpulan yang
patut lagi munasabab, seandainya kita telah mengakui adanya
ciri-ciri atau peraturan mutlak sejagat. Apakah jawapan ini
memperlihatkan perasaan angkuh, sikap memandang rendah (dalam erti
kata menghina) peradaban orang lain dan memperlihatkan sikap "aku
saja betul, baik dan bagus"? Jawabnya tentu tidak. Seperti yang
telah dijelaskan dalam perbincangan di bahagian awal tadi,
perlakuan menjaga tepi kain orang patutlah dileraikan daripada
pengertian negatif.
Di sini saya ingin sekali lagi merujuk kepada karya Butterfield.
Saya merasa terharu dengan dua kes tentang pengkajian sejarah yang
terdapat di dalam penulisan Butterfield. Kes pertama ialah apabila
ia menegaskan bahawa tugas mengisahkan Hitler paling sesuai sekali
dilakukan oleh ibu Hitler sendiri. Kes kedua ialah apabila ia
mengatakan bahawa peranan para ahli sejarah ialah menceritakan
peristiwa di dalam sejarah itu sejelas yang mungkin. Jadi, segala
keburukan di dalam sesuatu peristiwa yang terkutuk itu patutlah
diterangkan sejelas-jelasnya. Oleh itu, kiranya sesiapa yang
membaca kisah itu mempunyai perasaan perikemanusiaan, mempunyai
peraturan etika, maka dengan sendirinya pembaca akan menghukum
jahat sesiapa yang patut dihukum jahat. Sebaliknya, kalau pembaca
yang berkenaan memang tidak mempunyai kehalusan perasaan, maka
betapa banyak penilaian dan penganalisisan moral yang diutarakan
pun, tidak mungkin akan mengusik hatinya. Demikianlah jalan
penghujahan Butterfield.
Saya terharu dengan contoh pertama kerana menggambarkan
bagaimana telitinya Butterfield dalam menekankan bahawa pengisahan
di dalam sejarah itu patut dibuat berdasarkan sikap simpati, kasih
sayang dan pemahaman yang mendalam tentang seseorang atau sesuatu
peristiwa dan bukannya berasaskan perasaan benci, sikap endah tak
endah dan pemahaman yang cetek.Namun begitu dalam keharuan ini pun
saya masih dapat melihat bahawa Butterfield bukan menentang
pengadilan moral di dalam sejarah tetapi hanya menentang pengadilan
yang tidak baik saja. Soal siapa yang selayaknya mengisahkan
riwayat Hitler adalah soal kedua.
Dalam contoh kedua, saya terharu kerana Butterfield yang, saya
rasa, mahu menjaga rapi unsur keadilan dan kebijaksanaan di dalam
pengadilan moral, mungkin telah melakukan kesalahan kerana bersikap
terlalu rapi - ia begitu rapi sehingga ia hanya mahu menyerahkan
tugas pengadilan itu kepada pembaca saja.Saya bersetuju dengan
sebahagian daripada pendapat Butterfield ini. Memang mungkin
terdapat kes pembaca yang memang arif: terkilat ikan di air sudah
diketahui jantan betinanya. Tetapi tidak semua pembaca berkeupayaan
sebegitu rupa. Oleh itu, kadangkala, misalnya, kalau Si penulis
percaya yang sesuatu pihak di dalam sesuatu peristiwa sejarah itu
patut mendapat simpati daripada Si pembaca, maka ia patut
mengemukakan alasan dan hujahnya dengan jelas. Sekiranya alasan
begitu masih juga tidak meninggalkan kesan di dalam hatiSipendengar
(pembaca) maka Si penulis tidak perlu lagi diburui oleh rasa
bersalah atau kesal kerana sekurang-kurangnya ia telah tidak
menyembunyikan sesuatu. Mungkin juga Si pembaca tidak menyetujui
alasan dan hujah Si penulis atau kedua-dua mereka mempunyai sistem
nilai yang bertentangan di antara satu sama lain. Sekali lagi,
persoalan ini berkisar, pada pokoknya, bukan tentang patut atau
tidak patut pengadilan moral itu dikendalikan, tetapi bagaimana
paling baik persoalan ini boleh dikendalikan. Cara bagaimana paling
baik dan patut dilaksanakan tentulah bergantung pada keadaan yang
wujud pada sesuatu ketika itu.
Sekarang, soalnya ialah bagaimana mungkin seseorang itu
mengadili pencabulan pihak Nazi terhadap orang Yahudi? Dalam hal
ini, dan berhubung dengan peranan yang telah dimainkan oleh para
pemimpin Yahudi sendiri, eloklah kita tinjau pendapat Dawidowicz
dan seorang lagi penulis Yahudi, yakni Hannah Arendt. Jelas
terdapat percanggahan pendapat di antara kedua-dua mereka ini.
Dawidowicz mahu membela para pemimpin Yahudi sementara Arendt
tidak.Pembelaan yang diketengahkan oleh Dawidowicz berkait rapat
dengan masalah niat, yakni persoalan rumit yang telah ditimbulkan
sebelum ini.
Dawidowicz tidak menafikan yang para pemimpin kaum Yahudi
bersubahat dengan orang Nazi. Ia tidak membela mereka dengan
penafian ke atas kebenaran hal itu. Pembelaannya adalah disabitkan
dengan niat mereka berbuat begitu. Menurut Dawidowicz, ketua kaum
Yahudi telah dilanda oleh satu dilema yang besar. Kes
penubuhanJudenrat(Majlis Golongan Tua) di Poland, misalnya,
memperlihatkan masalah ini. Di Poland dan di negara-negara lain
yang dikuasai oleh Nazi, kaum Yahudi telah diarahkan untuk
menubuhkanJudenratsebagai badan hubungan di antara pemerintah
(Nazi) dengan masyarakat Yahudi. Oleh sebab dasar Nazi sudah jelas
anti-Yahudi, ketua kaum Yahudi khuatir bahawa penubuhanJudenratdan
penyertaan mereka akan disifatkan sebagai tanda sokongan mereka
kepada Nazi. Sebaliknya, kalau mereka tidak menubuhkanJudenratserta
turut menjadi ahlinya, maka kepentingan kaum Yahudi mungkin tidak
akan diperhatikan pula, atau orang Yahudi akan diwakili oleh
golongan yang tidak bersimpati langsung dengan Yahudi. Bagi
Dawidowicz, orang Yahudi dan ketua mereka bergading bahu dengan
Nazi, atau tunduk kepada Nazi, semata-mata kerana terpaksa. Mereka
tidak mengharapkan apa-apa keuntungan secara peribadi.
Isu kerjasama Yahudi-Nazi ini juga disentuh oleh Arendt. Arendt
menarik perhatian kita kepada satu peruntukan di dalam Pembicaraan
Nuremberg, yakni Undang-undang (Penghukuman) ke atas Orang Nazi dan
Pembantu Nazi 1950. Bahagian 10 undang-undang ini membolehkan
seseorang yang dituduh itu dibebaskan daripada tuduhan terlibat di
dalam jenayah sekiranya ia telah melakukan tindakannya itu "untuk
menyelamatkan dirinya daripada bahaya maut serta-merta". Bahagian
11 pula membolehkan seseorang membela dirinya sekiranya ia telah
melakukan "apa yang paling terdaya olehnya untuk meringankan akibat
daripada kesalahan", atau kalau ia melakukan kesalahan tertentu
demi "mengelakkan akibat yang lebih berat daripada apa yang
terjadi."Bagi Arendt, "adalah jelas, Bahagian 10 dan 11
undang-undang ini digubal setelah memikirkan penglibatan pembantu
Yahudi dalam keganasan Nazi." Katanya lagi:
"Sonderkommandos"(unit-unit khas) Yahudi telah digunakan di
dalam proses pembunuhan di merata tempat; mereka telah melakukan
perbuatan jenayah untuk menyelamatkan diri daripada bahaya maut
serta-merta, dan ahli-ahli Majlis serta ketua Yahudi telah
bekerjasama kerana mereka fikir mereka boleh "mengelakkan akibat
yang lebih berat daripada apa yang telah terjadi".
Walaupun Arendt jelas menyalahkan pihakJudenratkerana dasar
kerjasama mereka, namun terdapat juga bahagian-bahagian di dalam
bukunya itu yang menerangkan bahawa sebenarnya pendiriannya tidak
jauh berbeza daripada pendirian Dawidowicz. Misalnya, ia menyatakan
di dalam keadaan krisis seperti yang dihadapi orang Yahudi itu"...
tidak ada kumpulan atau orang bukan Yahudi telah bertindak dengan
cara yang berbeza". Inilah "hakikat yang menyedihkan", tambahnya.
Seolah-olah untuk menekankan lagi penegasannya itu, Arendt telah
menyebut peristiwa kebangkitan orang Yahudi di Belanda. Akibatnya,
430 orang Yahudi telah ditangkap dan diseksa berbulan-bulan lamanya
hingga mati. Kata Arendt, ... setiap orang daripada mereka tentunya
telah mencemburui saudaranya (yang mati di kamar-kamar gas) di
Auschwitz dan malahan di Riga dan Minsk juga."Kalau Dawidowicz
tidak menyalahkan orang Yahudi dan ketua mereka, maka siapakah yang
disalahkannya? Pendirian Dawidowicz boleh kita lihat daripada
pernyataannya yang berbunyi:
Masa seluruh Fropah rebah terlantar di bawah kekuasaan Jerman,
orang Yahudi yang dipenjara digheto-ghetomempunyai kesempatan yang
paling tipis untuk menentukan nasib mereka jika dibanding dengan
bangsa atau negara lain".
Dengan kata lain, Dawidowicz seolah-olah berkata: kenapa tidak
disalahkan kuasa-kuasa Eropah lain yang mengetahui akan jenayah
Hitler tetapi tidak bertindak? Apakah Dawidowicz cuba mencari helah
untuk menutup kesalahan... kawan", atau apakah ia mahu mengelakkan
pengadilan moral setengah masak?" Apakah adil bagi Dawidowicz
menyeret masuk kuasa-kuasa Eropah lain untuk diperhisabkan sekali
di dalam kes ini?
Kalau kita bertolak daripada andaian bahawa masyarakat manusia
sejagat memang bertanggungjawab ke atas nasib semua ahlinya, (bukan
saja daripada segi menentang kezaliman tetapi juga daripada segi
menyediakan manusia dan suasana yang tidak mungkin menimbulkan
kezaliman itu), maka tindakan atau sikap Dawidowicz itu memang
boleh disifatkan sebagai wajar. Penerimaan andaian ini penting
dijelaskan sebagaimana penting bagi kita juga menjelaskan
penerimaan andaian bahawa manusia itu bertanggungjawab terhadap
tindakannya sendiri. Tanpa menerima andaian babawa manusia itu
bertanggungjawab terhadap tindakannya sendiri, pengadilan ke atas
tindakan manusia adalah sesuatu yang tidak munasabah. Begitulah
juga pengadilan ke atas negara-negara lain, malah ke atas seluruh
dunia, adalah tidak munasabah kalau kita tidak menerima andaian
tentang hubungan antarabangsa yang disebutkan sebelum ini.
Memang kita sedar bahawa terdapat sebab-sebab negara Eropah
enggan bertindak terhadap pemerintahan Hitler, terutamanya di
peringkat awal. Satu sebab yang sering diketengahkan adalah sama
dengan sebab yang diberi bagi menerangkan kenapa orang Yahudi tidak
menentang Hitler: untuk mengelakkan bencana yang lebih berat.
Apakah di sini kita boleh memaafkan kuasa-kuasa besar Eropah
dengan menggunakan hujah yang telah digunakan oleh Dawidowicz bagi
membela pemimpin Yahudi? Apakah ini membuktikan kebenaran penegasan
Arendt bahawa dalam keadaan krisis seperti yang dihadapi oleh kaum
Yahudi, '... tidak ada kumpulan atau orang bukan Yahudi yang
bertindak dengan cara berlainan?"
Terdapat dua atau lebih individu atau kumpulan yang bertindak
dalam bentuk yang sama tidak semestinya menjadikan tindakan itu
wajar. Semua sekali mungkin bersalah. Dalam hal ini kita terpaksa
kembali kepada perbincangan tentang apa yang kita terima dan tidak
terima sebagai sesuatu yang mutlak; untuk kembali kepada sistem
nilai:
- Kalau kita menganggap bekerjasama dengan kekejaman! musuh,
berkecuali terhadapnya atau lari daripadanya sebagai sesuatu yang
mutlak tidak baik, maka kita akan tetap menyalahkan orang Yahudi,
Jerman, negara Fropah dan sesiapa sahaja yang terlibat seperti yang
disebutkan itu.
-Kalau kita menganggap bahawa bekerjasama dengan
kekejaman/musuh, berkecuali terhadapnya atau lari daripadanya itu
adalah sesuatu yang bukan mutlak tidak baik, tetapi
ketidakbaikannya itu tertakluk kepada beberapa pertimbangan
tertentu, maka kita terpaksa pula menentukan apakah
pertimbangan-pertimbangan tertentu itu.
- Kalau salah satu daripada pertimbangan tertentu kita itu ialah
hal-hal yang dikatakan wajar dilakukan demi mengelakkan bencana
yang lebih buruk maka kita tidak akan menyalahkan kumpulan orang
yang terlibat itu kiranya terbukti niat mereka adalah begitu.
-Kalau pengecualian atau pertimbangan tertentu kita ini
merangkumi juga tindakan yang dilaksana demi menyelamatkan diri dan
negara sendiri, maka lebih banyak lagi orang dan negara yang akan
dikecualikan atau dibebaskan daripada kesalahan dari tuduhan.
Sebaliknya pula, kita mungkin menganggap bahawa berkecuali
terhadap kekejaman/musuh, bekerjasama dengannya atau lari
daripadanya, adalah perkara yang tidak dapat dimaafkan kecuali
perbuatan yang serupa itu di sampingi dengan persediaan, atau usaha
menentang keganasan itu. Maka di dalam kes begini perlulah dicari
bukti bagi menunjukkan adanya persediaan atau usaha ke arah itu.
ini tentu sekali merupakan perkara yang amat rumit. Di dalam
suasana keganasan yang diranjaui pula oleh satu sistem pengintipan
yang menyeluruh, seseorang mungkin mendakwa ia telah sengaja tidak
membuat apa-apa persediaan atau usaha (atau sesuatu yang boleh
ditafsirkan begitu oleh pihak pemerintah) bagi mengelakkan
timbulnya syak wasangka pada pihak pemerintah: Malah, seseorang
mungkinjuga membuat hujah bahawa ia bekerjasama dengan keganasan
(walaupun ia membencinya) dengan tujuan menghapuskan keraguan
pemerintah tentang ketaatsetiaannya kepada kerajaan. Dengan kata
lain, strateginya ialah untuk kekal hidup dan bertenaga sehingga ke
peringkat wujudnya suatu masa dan keadaan yang sesuai untuk
menentang dan menghapuskan keganasan itu. Pada masa itu, barulah ia
akan menunjukkan belangnya. Di mana kita berada sekarang? Bagaimana
akan kita cari garis pemisah yang membezakan apa yang kita panggil
dayus dengan apa yang kita panggil kepintaran? Bagaimana mungkin
kita membuat penghakiman sejarah? Di sinilah pentingnya kita
mengetahui sama ada terdapat atau tidaknya satu-satu penetapan
mutlak tentang bagaimana sesuatu matlamat itu patut atau boleh
diusahakan. Apakah matlamat itu menghalalkan cara, yakni biar apa
pun caranya?
Sebagai rumusan ingin saya jelaskan sekali lagi bagaimana, peri
mustahaknya dibuat penentuan tentang ada atau tidak ukuran mutlak
apabila seseorang itu membuat sesuatu penganalisisan sejarah.
Kepercayaan seseorang tentang ada atau tidaknya apa yang dipanggil
unsur mutlak itu, tanggapan dan juga tindakannya atau ketiadaan
tindakan tentu boleh menimbulkan rantaian peristiwa yang
tersendiri. Maka begitu juga halnya dengan pendirian ahli sejarah
tentang sama ada ia mahu atau tidak mahu mengendalikan pengadilan
moral di dalam penganalisisan sejarahnya. Sikap pro, anti, atau
berkecuali di dalam soal ini boleh mengakibatkan rantaian pemikiran
atau peristiwa yang tersendiri yang seterusnya akan menimbulkan
akibat-akibat lain. Dakwaan ini adalah tidak keterlaluan rasanya,
selagi kita percaya bahawa apa yang dipanggil penyebaban itu memang
ada memainkan peranan di dalam sejarah dan juga kehidupan. Selain
itu, terdapat juga kemungkinan, seperti kata seorang ahli sejarah,
"sekiranya yang pakar, cermat dan terlatih gagal untuk menghasilkan
pengajaran daripada sejarah, maka yang curang dan tidak terlatih
akan melakukannya bagi pihak mereka." Walaupun ahli sejarah patut
mengendalikan pengadilan moral, ia tidak semestinya pula merupakan
seorang yang ahli atau mampu berbuat begitu. Namun, mengaku tidak
mampu tidak semestinya tidak baik. Pengakuan ini memang mungkin
menjadikan seorang itu tawar hati dan mengundurkan diri, tetapi
boleh juga menjadikan seseorang itu lebih bergiat untuk mengatasi
kekurangan, sama ada secara sendirian atau secara berkelompok.
Pokoknya, jalan keluar daripada masalah ini bukanlah lari
daripadanya "tetapi memperlengkapkan lagi para ahli sejarah dengan
kemahiran yang berkait...." Dan masalah ini perlu dihadapi dan
diselesaikan oleh para ahli sejarah sebagai manusia biasa dan juga
oleh bukan ahli sejarah yangjuga manusia biasa"