Page 1
Halaman 1 daripada 42
Pendakwa Syarie Negeri Selangor
Lwn.
Khalid bin Abdul Samad
[Mahkamah Rendah Syariah Selangor di Klang, Selangor Darul Ehsan. Kes Jenayah No: 10003-
137-0105-2013 (Tuan Mohd Hairuddin bin Ab Rahim, HMRS)]
[20 Rabiulakhir 1438H bersamaan 19 Januari 2017M]
Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam – Mengajar Perkara-Perkara Tentang Agama
Islam Tanpa Tauliah – Tafsiran ‘mengajar’ dan ‘tauliah’ - Seksyen 118, 119 dan 121 Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Peraturan 2 dan 10 Peraturan –Peraturan
Tauliah (Negeri Selangor) 2008 serta Peraturan 2 dan 10 Peraturan –Peraturan Tauliah (Negeri
Selangor) (Pindaan) 2013.
Undang-Undang Tatacara Jenayah – Pertuduhan Cacat – Takat Kuasa Hakim Menjatuhkan
Hukuman – Seksyen 78, 79, 80, 82 dan 129 Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah
(Negeri Selangor) 2003.
Undang-Undang Jenayah Syariah – Kekecualian Am – Perbuatan Yang Dilakukan Oleh
Seseorang Yang Mempunyai Justifikasi Di sisi Undang-Undang – Seksyen 41 Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995.
A. FAKTA KES
1. Dalam kes ini, tertuduh telah dipertuduhkan seperti berikut:
“Bahawa kamu, pada 16 Ogos 2011, pada antara jam 10.00 hingga 11.30 malam, telah
mengajar perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah di dalam sebuah surau Taman
Seri Sementa, Jalan Taman Seri Sementa, 42100, Daerah Klang dalam Negeri Selangor.
Maka dengan itu, kamu dituduh melakukan kesalahan mengajar tanpa tauliah di bawah
seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan jika
Page 2
Halaman 2 daripada 42
disabikan kesalahan boleh dihukum dendan tidak melebihi RM3000.00 atau dipenjarakan
selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah seksyen dan enakmen yang
sama.”.
2. Peruntukan seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
(selepas ini dirujuk sebagai “EPAIS 2003”) adalah seperti berikut:
Seksyen 119. Kesalahan mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang
agama Islam tanpa tauliah.
(1) Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama
Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 118 adalah melakukan suatu
kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
3. Setelah pertuduhan dibacakan, tertuduh telah mengaku tidak bersalah dan meminta untuk
dibicarakan. Tertuduh telah diwakili oleh Tuan Haji Muhammad bin Burok (Allahyarham)
daripada Tetuan Muhammad & Co. Walau bagaimanapun Peguam Syarie tertuduh telah
meninggal dunia setelah kes pembelaan tertuduh selesai sebelum pemfailan hujah di akhir
kes pembelaan. Selanjutnya tertuduh telah melantik Tuan Dr. Zulqarnain bin Lukman
daripada Tetuan Asri Muda & Co bagi memfailkan penghujahan tertuduh diperingkat
pembelaan kes.
4. Pendengaran kes di peringkat kes pendakwaan (kes prima facie) telah dibuat di hadapan
Tuan Hakim Tuan Norafizi Fitri bin Ab Manaf. Namun demikian atas persetujuan pihak-pihak
kes ini telah disambung pendengaran di peringkat kes pembelaan tertuduh di hadapan
Mahkamah ini berikutan hakim terdahulu berpindah.
Diputuskan
SETELAH Mahkamah berpuas hati dengan pensabitan terhadap tertuduh, dan setelah
Mahkamah mempertimbangkan hujahan mitigasi tertuduh serta hujahan pemberatan Pendakwa
Syarie berkaitan hukuman, serta setelah memberikan pertimbangan kepada alasan-alasan
Page 3
Halaman 3 daripada 42
penghakiman Mahkamah, maka dengan ini MAHKAMAH MEMUTUSKAN DAN
MENGHUKUMKAN seperti berikut :
1) Mahkamah perintahkan kamu Khalid bin Abdul Samad dijatuhkan hukuman dendaan
sebanyak RM2900.00 atau dipenjara tiga (3) bulan sekiranya gagal membayar denda pada
hari ini.
Peguam Syarie
Pendakwa Syarie: dari Bahagian Pendakwaan JAIS
Tertuduh 1 & 2 : diwakili oleh Tuan Haji Muhammad bin Burok (Allahyarham) daripada Tetuan
Muhammad & Co. dan Tuan Dr. Zulqarnain bin Lukman daripada Tetuan Asri Muda & Co
Kitab Yang Dirujuk
1. Abdul Rahman Ibrahim Abdul Aziz Al Hamidi, Al-Qadha’ Wa Nizamuhu Fi Al Kitab Wa
Al Sunnah.
2. Al-Syeikh Dr. Muhammad Sidqi Al-Burnu, موسوعة القواعد الفقهية, Jilid 8.
3. Dr Abdul Qadir Audah, At Tasyri’ Al jinaaiy, Juzuk 1.
4. Dr. Ahmad Fathi Bahansi, Al-Uqbah Fi Al Fiqh Al Islami.
5. Dr. Mahmood Muhamad Nasir Barakat, إعالم الموقعين عن رب العالمين, karangan Syeikh
Ibnul Qayyim Al-Jawziyyah.
6. Y.A.A. Tan Sri Syeikh Ghazali bin Hj. Abdul Rahman , Proses Penghakiman dan
menjatuhkan keputusan di Mahkamah Syariah : Satu penilaian, Jurnal Hukum, Jld 7
Bhg. 1.
Undang –Undang Yang Dirujuk
1. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 - s.118, s.118 (1),
s.118 (3), s.119 (1) dan s.121.
2. Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) Tahun 1995 – s.41 dan s.80.
Page 4
Halaman 4 daripada 42
3. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 - s.3
4. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) Tahun 2003 – s.78, s.78(5), s.79, s.
80, s.81, s.82, s.129 dan s.129(1).
5. Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 – Peraturan 2, Peraturan 10
dan s.10 (b)
Kes –Kes Yang Dirujuk
1. Abdul Kahar bin Ahmad lwn. Ketua Pendakwa Syarie Selangor.
2. Abdul Razak Othman lwn. Ketua Pendakwa Syarie Negeri Melaka, JH 23 (2).
3. Amran Bin Ahmad lwn. Pendakwa Raya, [2006] 5 MLJ 486.
4. Arulpragasan Sandaraju vs. Public Prosecutor (1996) 4 CLJ 597.
5. Fathul Bari Mat Jahya & Anor v. Majlis Agama Islam Negeri Sembilan & Ors [2012]
CLJ JT (2).
6. Ketua Pendakwa Syarie lwn. Ahmad bin Rashid dan seorang lagi JH November 1995
Jld. X Bhg. 1.
7. Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan lwn. Junaizulnizam b. Juhari dan
Seorang lagi, Jurnal Hukum Jld. 35 Bhg. 2 (Disember 2012) .
8. Khoo Hi Chiang vs. Public Prosecutor and another appeal (1994) 1 MLJ 265.
9. Mat v. Public Prosecutor [1963] 29 MLJ 263.
10. Mohamad Radhi Bin Yaakob v. Public Prosecutor (1991) 3 CLJ 2073.
11. Mr Losali vs. Public Prosecutor (2011) 4 MLJ 694.
12. Nagappan Kuppusamy v. Public Prosecutor [1988] 1 CLJ 283.
13. Noralisham Bin Ramli lwn. Ketua Pendakwa Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan,
JH XV (11).
14. Pendakwa Raya lwn. Zulkifle bin Mohamad (2016) MLJU 399.
15. Positive Well Marketing Sdn. Bhd. v. Oka Concrete Industries Sdn. Bhd.
[2011] 1 LNS 836.
16. Public Prosecutor v. Che Saufi Kadir [2005] 8 CLJ 455.
17. Public Prosecutor v. Saimin [1971] 1 LNS 115).
18. Public Prosecutor v. The Eng Wah [1999] 8 CLJ 451.
19. Sulaiman bin Takrib vs. Kerajaan Negeri Terengganu (2010) 2 SHLR 73.
20. Saminathan v. Public Prosecutor (1955) 21 MLJ 121
Page 5
Halaman 5 daripada 42
21. Shah Ruzan b. Hamdan lwn. KPS Wilayah Persekutuan, Jurnal Hukum Jld 36 Bhg. 2
(Mei 2013).
22. Yau Heng Fang v. Public Prosecutor (1985) 2 CLJ 22.
B. KES DI PERINGKAT PENDAKWAAN
5. Dalam membuktikan kes pendakwaan, pihak pendakwaan telah memanggil 4 orang saksi
yang terdiri daripada 3 Pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Agama Jabatan Agama
Islam Selangor (JAIS) dan seorang pegawai Bahagian Dakwah JAIS. Saksi-saksi
pendakwaan ialah seperti berikut:
5.1. Mohd Hafidz Bin Ahman sebagai pegawai penyiasat (SP1);
5.2. Mohd Radzi Bin Saliman sebagai pegawai penyiasat (SP2);
5.3. Jamilah Binti Mohd Jamil sebagai urusetia Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam
Selangor (SP3); dan
5.4. Ahmad Tarmizi Bin Mohd Nolin sebagai pegawai penyiasat (SP4).
6. Berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi Pendakwa, fakta kes pendakawaan
diringkaskan seperti berikut:
6.1. Pada 16hb Ogos 2011 sekitar jam 6.45 petang dalam perjalanan pulang SP1 telah
dihubungi oleh pegawainya En Zaaba Bin Zakaria berkenaan untuk mengesahkan satu
maklumat yang diterimanya berkenaan satu ceramah yang tiada tauliah yang akan
disampaikan oleh tertuduh.
6.2. Sekitar jam 9.35 malam SP1, SP2 bersama 2 orang anggota penguatkuasa agama iaitu
Zulhusham bin Zakaria dan Mohd Khairi bergerak ke tempat kejadian di Surau Taman
Sri Sementa Klang. Sampai di lokasi jam 10.05 malam. Setiba di surau tersebut, SP1,
SP2 dan 2 anggota lain melihat tertuduh sedang duduk di sebuah kerusi dan di
hadapannya ada sebuah meja dengan berpakaian baju putih dan berkopiah hitam di
dewan solat surau tersebut.
Page 6
Halaman 6 daripada 42
6.3. SP 1, SP2 dan 2 anggota penguakuasa tersebut mendengar ceramah yang diberikan
oleh tertuduh. SP1 dan SP2 dalam keterangan mereka menyatakan ceramah yag
diberikan oleh tertuduh adalah berkenaan perkara-perkara berikut:
a. Tertuduh menceritakan pengalamannya berhubung pergolakan politik dan
kesungguhan rakyat Palestin serta menyeru orang Islam di Malaysia membantu
meringankan beban penderitaan rakyat palestin.
b. Tertuduh memberi ceramah berkaitan keadilan dan ketaqwaan dengan
menceritakan kisah Saidina Ali yang kehilangan baju besi sewaktu dalam perjalanan
hendak pergi berperang di Siffin sebagai teladan bagi menunjukkan keadilan dan
keindahan syariat Islam.
c. Tertuduh telah mengupas ayat ke 9 surah al-Hujurat berkaitan sekiranya terdapat
dua golongan mukmin berperang maka damaikanlah kedua-duanya. Jika salah satu
golongan itu menzalimi yang lain, maka perangilah golongan itu sehingga kembali
taat kepada perintah Allah swt. Sekiranya mereka telah kembali taat kepada Allah
swt, maka damaikanlah kedua-duanya seadilnya.
d. Tertuduh memberi ceramah tentang isu-isu semasa yang mana baik untuk jemaah
yang hadir seperti keadilan yang perlu diketengahkan dan menyeru supaya orang
islam bersatu serta jangan sampai berpecah belah.
6.4. SP2 merakam ceramah tertuduh dengan kamera rakaman video. Tiada tangkapan atau
tegahan dilakukan semasa kejadian berlangsung.
6.5. Berdasarkan keterangan SP3, tertuduh pernah membuat permohonan untuk
mendapatkan tauliah mengajar/berceramah pada Mei 2011. Namun permohonan
tertuduh telah ditolak oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor. Tertuduh
juga tidak termasuk dalam orang yang dikecualikan untuk mendapatkan tauliah
mengajar. Tertuduh tidak disenaraikan sebagai orang yang diberikan tauliah mengajar
atau berceramah.
Page 7
Halaman 7 daripada 42
6.6. Selain itu, pendakwa juga telah menandakan dokumen-dokumen berikut di Mahkamah:
a. Borang 5 sebagai ekshibit P1;
b. Kamera perakam video “handycam-sony-model no HDR-XR150E sebagai ekshibit
P2;
c. Tulisan taip rakaman video oleh SP2 sebagai ekshibit P3;
d. Borang bongkaran sebagai ekshibit P4;
e. Kandungan rakaman video sebagai ekshibit P5;
f. Surat semakan senarai pemohon tauliah megajar/berceramah di negeri Selangor
dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebagai ekshibit P6;
g. Surat mohon tauliah mengajar/berceramah di negeri Selangor Darul Ehsan dari
Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor sebagai ekshibit P7;
h. Surat mohon dipertimbangkan semula kelulusan tauliah berceramah di negeri
Selangor dari tertuduh sebagai ekshibit P8;
i. Surat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor kepada tertuduh sebagai
ekshibit P9;
j. Surat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor kepada pihak Istana
mengenai permohonan rayuan tertuduh bagi mendapatkan tauliah
mengajar/berceramah di negeri Selangor sebagai ekshibit P10;
k. Surat maklum balas pihak Istana mengenai permohonan rayuan tertuduh bagi
mendapatkan tauliah mengajar/berceramah di negeri Selangor kepada
Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor sebagai ekshibit P11; dan
l. Surat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor kepada tertuduh
mengenai permohonan rayuan tertuduh bagi mendapatkan tauliah
mengajar/berceramah di negeri Selangor sebagai ekshibit P12.
C. KEPUTUSAN DI AKHIR KES PENDAKWAAN
7. Mahkamah bersetuju dengan hujahan PS tertuduh bahawa bagi setiap kes di akhir
pendakwaan sebelum tertuduh di panggil untuk membela diri, Mahkamah perlu membuat
penilaian maksima terhadap keterangan pihak pendakwa [Sila lihat kes Khoo Hi Chiang vs.
Public Prosecutor and another appeal (1994) 1 MLJ 265; lihat juga kes Arulpragasan
Sandaraju vs. Public Prosecutor (1996) 4 CLJ 597].
Page 8
Halaman 8 daripada 42
8. Berdasarkan kepada pertuduhan dan peruntukan subseksyen 119 (1) EPAIS 2003, elemen-
elemen bagi kesalahan yang dipertuduhkanan ke atas tertuduh ialah seperti berikut:
8.1. Elemen tertuduh mengajar perkara-perkara tentang Agama Islam
8.2. Elemen tertuduh mengajar tanpa tauliah
Elemen pertama: Tertuduh Mengajar Perkara-Perkara Tentang Agama Islam.
9. Secara ringkasnya Pendakwa menghujahkan bahawa ceramah yang disampaikan oleh
tertuduh pada 16 Ogos 2011 dari jam 10.00 malam sehingga jam 11.30 malam di Surau
tersebut adalah ‘mengajar perkara-perkara tentang Agama Islam’ di atas fakta berikut:
9.1. Keadaan tertuduh yang menyampaikan ceramahnya di surau tersebut di atas kerusi
dengan di hadapannya sebuah meja dan terdapat pembesar suara (mikrofon) dengan
kehadiran jemaah seramai lebih kurang 100 orang. Pendakwa menghujahkan keadaan
tertuduh tersebut ialah suatu keadaan yang telah menjadi adat atau kebiasaan dalam
suatu majlis penyampaian ilmu. Keadaan tersebut boleh diterima sebagai suatu qarinah
bahawa tertuduh pada tarikh dan masa tersebut sedang mengajar perkara-perkara
tentang agama Islam.
9.2. Pendakwa menghujahkan intipati ceramah yang disampaikan oleh tertuduh tersebut
termasuk dalam maksud mengajar perkara-perkara tentang agama Islam. Bagi
menyokong hujahnya Pendakwa telah merujuk kepada kes Sulaiman bin Takrib vs.
Kerajaan Negeri Terengganu (2010) 2 SHLR 73. Pendakwa juga merujuk tafsiran
perkataan ‘mengajar’ dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2007
yang membawa maksud menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dan sebagainya)
kepada orang lain. Manakala perkataan ‘berceramah’ ialah memberikan
(menyampaikan) ceramah yang mana kedua-dua perkataan tersebut memberi maksud
menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan atau seumpamanya kepada orang lain
Page 9
Halaman 9 daripada 42
10. Manakala PS tertuduh menghujahkan seperti berikut:
10.1. Subseksyen 119 (1) EPAIS 2003 tidak memberikan sebarang takrifan berkenaan
perkataan ‘mengajar’ yang memerlukan tauliah. PS tertuduh juga menghujahkan
intipati ucapan tertuduh tidak termasuk dalam maksud ‘mengajar agama Islam’. Apa
yang dimaksudkan dengan ‘mengajar agama Islam’ ialah apabila seseorang mengajar
agama Islam menggunakan kitab dengan merujuk kepada seksyen 10 (b) Peraturan-
peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 (selepas ini disebut ‘Peraturan Tauliah”).
Oleh yang demikian, intipati ceramah tertuduh bukanlah menjadi suatu kesalahan di
bawah seksyen 119 (1) EPAIS 2003 kerana tertuduh tidak langsung menggunakan
sebarang kitab.
10.2. Saksi-saksi pendakwa hanya memberi penerangan berkenaan lawatan tertuduh ke
Gaza dan bukannya tertuduh mengajar agama.
10.3. Pendakwa gagal memanggil seorangpun dari mereka yang hadir mendengar ceramah
tertuduh bagi mengesahkan keberadaan tertuduh di tempat berkenaan dan tertuduh
mengajar agama.
10.4. Rakaman video yang ditandakan sebagai ID 5 tidak dikemukakan oleh pembuatnya
serta tiada sebarang laporan forensik daripada Digital Forensics Department Cyber
Security Malaysia. Oleh yang demikian rakaman video tersebut tidak boleh diterima
sebagai bahan keterangan pendakwa.
10.5. Rakaman video tersebut terlalu kabur, gelap dan hanya merakam gambar-gambar para
hadirin dari belakang menyebabkan kesukaran untuk pengecaman.
11. Selanjutnya Pendakwa dalam hujahan balasnya telah menghujahkan seperti berikut:
11.1. Saksi-saksi awam tidak perlu dipanggil berikutan keterangan saksi pendakwaan telah
mencukupi untuk membukti elemen pertuduhan.
Page 10
Halaman 10 daripada 42
11.2. Rakaman video ID 5 tersebut telah disahkan oleh oleh pembuatnya iaitu SP2.
Mahkamah telah menerima rakaman video ID5 tersebut sebagai bahan bukti
pendakwaan yang ditandakan sebagai P5.
11.3. Pendakwa menghujahkan tiada keperluan undang-undang untuk mendapatkan laporan
daripada Digital Forensics Department Cyber Security Malaysia. Kandungan rakaman
video tersebut telah disahkan oleh SP1 dan SP2 yang hadir sendiri mendengar sendiri
tertuduh mengajar agama islam tanpa tauliah.
Dapatan Mahkamah
12. Bagi memberikan pertimbangan kepada hujah pendakwaan dan tertuduh, Mahkamah
merujuk kepada seksyen 119 (1) EPAIS 2003 yang memperuntukkan “Mana-mana orang
yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah...”.
Berdasarkan kepada peruntukan tersebut, terdapat dua perkara yang perlu dipertimbangkan
oleh Mahkamah. Iaitu apakah yang dimaksudkan dengan “mengajar” dan dan apakah yang
dimaksudkan dengan “perkara-perkara tentang agama Islam”.
13. Berhubung dengan perkataan “mengajar”, Mahkamah membuat rujukan Kamus Dewan Edisi
Keempat Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2007 bagi perkataan ‘mengajar’ ialah
menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dan sebagainya) kepada orang lain. Manakala
perkataan ‘berceramah’ ialah memberikan (menyampaikan) ceramah yang mana kedua-dua
perkataan tersebut memberi maksud menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan atau
seumpamanya kepada orang lain. Oleh itu, Mahkamah bersetuju dengan hujah pendakwa
bahawa mengajar memberi maksud yang sama dengan berceramah.
14. Berdasarkan kepada peruntukan tersebut juga, terdapat dua bentuk pengajaran, iaitu
“mengajar agama Islam” atau “mengajar perkara-perkara tentang agama Islam”. Dalam kes
ini, tertuduh telah didakwa atas kesalahan ‘mengajar perkara-perkara tentang agama Islam’
bukannya ‘mengajar agama Islam’ yang mana Mahkamah ini percaya mempunyai dua
maksud dan kesan yang tidak sama.
Page 11
Halaman 11 daripada 42
15. Bagi menilai hujah pendakwa dan PS tertuduh tersebut, Mahkamah merujuk peraturan 10
Peraturan Tauliah tersebut seperti berikut:
“Tertakluk kepada peraturan 11, Jawatankuasa boleh meluluskan dan mengeluarkan
Tauliah kepada seseorang warganegara, mengikut mana berkenaan, satu atau lebih
kategori Tauliah yang berikut:
(a) Tauliah Ceramah Umum yang membenarkan pemegangnya memberi ceramah
umum berhubung dengan apa-apa aspek agama Islam di mana-mana tempat dan dengan
apa-apa jua cara selain dari mengajar agama Islam secara berkala;
(b) Tauliah Mengajar Agama Islam berkitab yang membenarkan pemegangnya
mengajar agama Islam secara berkala di mana-mana tempat;
(c) Tauliah Khas yang membenarkan seseorang yang bukan warganegara yang
dijemput khas oleh kerajaan Negeri, jabatan atau agensinya memberi ceramah umum
berhubung dengan apa-apa aspek Agama Islam dalam program tertentu;
(d) Tauliah mengajar Al-Quran yang membenarkan pemegangnya mengajar al-Quran
di mana-mana premis; atau
(e) Tauliah khas bagi individu yang tidak memiliki kelayakan seperti yang ditetapkan
dalam perenggan 11 (1) (f) untuk mengajar bidang tertentu.
16. Berdasarkan kepada peruntukan peraturan 10 Peraturan Tauliah tersebut, Mahkamah
mendapati keperluan mengajar agama atau perkara-perkara tentang agama Islam tidak
terhad hanya kepada mengajar agama Islam secara berkitab sahaja. Bahkan peraturan 10
dengan jelas mengesahkan apa-apa ceramah umum yang berhubung dengan apa-apa aspek
agama Islam, mengajar agama berkitab dan mengajar al-quran juga termasuk salah satu
pengajaran agama islam atau perkara-perkara tentang agama Islam yang memerlukan
tauliah mengikut Peraturan Tauliah tersebut.
17. Selanjutnya berhubung rujukan pendakwa kes Sulaiman bin Takrib lwn. Kerajaan Negeri
Terengganu dan Lain-lain bahawa perkataan “precepts of Islam” atau ‘perintah agama Islam’
hendaklah ditafsirkan dengan lebih meluas yang merangkumi aqidah, syariah dan akhlak dan
termasuklah ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Walaupun perkataan yang digunakan dalam
Page 12
Halaman 12 daripada 42
perlembagaan persekutuan adalah ‘perintah agama Islam’ dan bukannya ‘perkara-perkara
tentang agama Islam’ sebagaimana peruntukan di bawah subseksyen 119 (1) EPAIS 2003
ini, namun demikian, Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut telah memberikan tafsiran
yang luas berhubung perkara yang berkaitan agama Islam yang pada pandangan Mahkamah
juga sewajarnya tafsiran yang sama diberikan dalam kes ini.
18. Dapatan Mahkamah tersebut adalah berdasarkan kepada peruntukan di bawah peraturan 10
Peraturan Tauliah tersebut sendiri. Jika diamati, peruntukan peraturan 10 tersebut
menggunakan perkataan-perkataan “berhubung dengan apa-apa aspek agama Islam” bagi
kategori ceramah umum, manakala bagi mengajar agama secara berkitab menggunakan
perkataan-perkataan “mengajar agama Islam”. Ayat yang digunakan dalam peraturan 10
Peraturan Tauliah tersebut jelas merujuk kepada peruntukan subseksyen 119 (1) EPAIS 2003
iaitu “mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam”.
19. Sehubungan dengan itu, Mahkamah bersetuju dengan hujah pendakwa bahawa mengajar
yang memerlukan tauliah tidak terhad kepada mengajar agama islam secara berkitab sahaja
bahkan apa-apa pengajaran dalam bentuk ceramah umum berhubung dengan apa-apa aspek
agama Islam termasuk dalam tafsiran mengajar perkara-perkara tentang agama Islam
sebagaimana peruntukan subseksyen 119 (1) EPAIS 2003.
20. Mahkamah selanjutnya merujuk kepada hujah PS tertuduh berhubung rakaman video yang
ditandakan sebagai ID5 atau P5. PS tertuduh menghujahkan bahawa Mahkamah tidak boleh
menerima rakaman video tersebut sebagai bukti yang sah berikutan rakaman tersebut tidak
dikemukakan oleh pembuat / orang yang merakam kejadian tersebut serta serta tidak
mendapat Digital Forensics Department Case Report terlebih dahulu daripada Digital
Forensics Department Cyber Security sebelum dijadikan bahan bukti di Mahkamah ini.
21. Bagi mempertimbangkan perkara ini Mahkamah merujuk kepada catatan keterangan
Mahkamah. Mahkamah mendapati walaupun pada awalnya ada bantahan daripada pihak
tertuduh yang menyebabkan rakaman video tersebut ditandakan sebagai ID5 terlebih dahulu,
Page 13
Halaman 13 daripada 42
namun demikian Mahkamah telah menolak bantahan tersebut dan telah menerima masuk
rakaman video tersebut sebagai keterangan yang ditandakan sebagai P5 atas alasan:
21.1. Rakaman tersebut telah disahkan oleh SP2 iaitu orang yang bertanggungjawab
membuat rakaman tersebut;
21.2. SP2 juga mengesahkan, under oath, bahawa kamera dan rakaman percakapan yang
digunakan berfungsi dengan baik dan di bawah seliaannya; dan
21.3. SP4 juga mengesahkan bahawa rakaman tersebut telah dibuat oleh SP2 pada tarikh
dan masa kejadian di Surau tersebut.
22. Berhubung dengan penerimaan rakaman video tersebut sebagai keterangan di Mahkamah,
Mahkamah merujuk dapatan Hakim Hanipah Farikullah di dalam kes Positive Well Marketing
Sdn. Bhd. v. Oka Concrete Industries Sdn. Bhd. [2011] 1 LNS 836 yang menyatakan:
“…in today's modern society where digital technology is vastly used, it is almost impossible to
suggest that memory cards must be provided in court in all circumstances as primary
evidence. Digital photographs in general should be admitted as evidence provided that the
maker of the photographs is able to attend court to confirm their authenticity under oath. In R
v. Tolson [1864] F&F 103, the court held that: - "Photographs properly verified on oath by a
person able to speak to their accuracy are generally admissible." Similarly in Re Stephens LR
9 CP 187, the court held that: - "Photographs of non-removable records were received, but
the accuracy of a photographic copy, particularly of external objects, must be established on
oath, to the satisfaction of the judge, either by the photographer or someone who can speak
to its correctness."
23. Oleh yang demikian, Mahkamah berpuas hati bahawa tiada apa-apa sebab untuk Mahkamah
ini tidak menerima rakaman video yang ditandakan sebagai P5 tersebut sebagai bahan bukti
pendakwa dalam kes ini.
24. PS tertuduh selanjutnya menghujahkan bahawa saksi-saksi pendakwa hanya memberi
penerangan berkenaan lawatan tertuduh ke Gaza dan bukannya tertuduh mengajar agama
serta kegagalan pendakwa memanggil orang awam yang hadir mendengar ceramah tertuduh
Page 14
Halaman 14 daripada 42
bagi mengesahkan keberadaan tertuduh di tempat berkenaan dan tertuduh mengajar agama
telah mencacatkan kes pendakwa. Dengan penuh hormatnya, Mahkamah tidak bersetuju
dengan hujahan PS tertuduh tersebut. Mahkamah mendapati berdasarkan rekod keterangan
SP1 dan SP2, ekshibit P3 dan P5 jelas menyatakan bahawa tertuduh bukan sahaja
memberikan ‘penerangan’ berkenaan lawatan tertuduh ke Gaza, bahkan turut memberikan
ceramah berhubung perkara-perkara tentang agama Islam.
25. Manakala berhubung dengan keperluan memanggil saksi awam yang hadir dalam majlis
tersebut, Mahkamah mendapati ia bukanlah suatu yang mandatori. Sekiranya pendakwa
mendapati bahawa keterangan saksi pendakwa yang telah dipanggil mencukupi untuk
membukti elemen-elemen kesalahan, pendakwa tidak perlu lagi memanggil saksi-saksi yang
lain. Tambahan pula, SP1 dan SP2 juga adalah pihak yang turut hadir dalam majlis tersebut
dan telah membuat pengesahan berhubung keberadaan tertuduh dan intipati ceramah
tertuduh.
26. Oleh yang demikian berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi pendakwaan dan rakaman
ceramah tertuduh yang ditandakan sebagai ekshibit P5 serta catatan bertulis rakaman video
yang ditandakan sebagai P3 di Mahkamah ini, Mahkamah berpuas hati bahawa intipati
ceramah / pengajaran tertuduh pada antara jam 10.00 hingga 11.30 malam di dalam surau
Taman Seri Sementa, Jalan Taman Seri Sementa, 42100, Klang adalah termasuk dalam
maksud “mengajar perkara-perkara tentang Agama Islam”.
Elemen Kedua: Tertuduh mengajar tanpa tauliah
27. Pendakwa telah mengemukakan seorang saksi iaitu SP3, pegawai di Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Negeri Selangor yang merupakan urusetia kepada Jawatankuasa
Tauliah Majlis Agama Islam Negeri Selangor. SP3 adalah orang yang menguruskan rekod-
rekod berkaitan tauliah mengajar / berceramah di negeri Selangor. Keterangan SP3 adalah
seperti berikut:
27.1. Permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar hendaklah dibuat melalui suatu
permohonan di masukkan ke Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor.
Page 15
Halaman 15 daripada 42
27.2. Tauliah mengajar dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu ceramah, mengajar
berkitab, mengajar al-Quran dan ceramah motivasi ke arah Islam.
27.3. Tertuduh pernah memohon tauliah mengajar namun demikian telah ditolak oleh
Jawatankuasa Tauliah. Tertuduh telah membuat rayuan untuk mempertimbangkan
semula permohonannya untuk mendapatkan tauliah mengajar sehingga ke peringkat
Istana Negeri Selangor. Namun demikian, rayuan tertuduh telah ditolak dan tertuduh
tidak diberikan tauliah mengajar di negeri Selangor.
28. Bagi menyokong keterangan SP3 tersebut, pendakwa juga telah menandakan beberapa
dokumen tersebut di Mahkamah:
28.1. Surat makluman daripada IPK Shah Alam yang ditandakan sebagai ekshibit P6;
28.2. Surat daripada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tauliah yang menolak permohonan
tertuduh yang ditandakan sebagai ekshibit P7;
28.3. Surat rayuan tertuduh untuk dipertimbangkan semula permohonan tauliah yang
ditandakan sebagai ekshibit P8;
28.4. Surat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor kepada tertuduh sebagai
ekshibit P9;
28.5. Surat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor kepada pihak Istana
mengenai permohonan rayuan tertuduh bagi mendapatkan tauliah
mengajar/berceramah di negeri Selangor sebagai ekshibit P10;
28.6. Surat maklum balas pihak Istana mengenai permohonan rayuan tertuduh bagi
mendapatkan tauliah mengajar/berceramah di negeri Selangor kepada Jawatankuasa
Tauliah Majlis Agama Islam Selangor sebagai ekshibit P11; dan
Page 16
Halaman 16 daripada 42
28.7. Surat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor kepada tertuduh mengenai
permohonan rayuan tertuduh bagi mendapatkan tauliah mengajar/berceramah di negeri
Selangor sebagai ekshibit P12
29. Pendakwa menghujahkan bahawa tertuduh tidak mempunyai tauliah mengajar atau
berceramah apa-apa perkara berkaitan agama Islam termasuklah pada tarikh 16 Ogos 2011
di mana tertuduh didakwa atas kesalahan tersebut.
30. Setelah Mahkamah menelusuri hujah PS tertuduh, Mahkamah mendapati PS tertuduh tidak
membantah fakta bahawa tertuduh tidak mempunyai tauliah mengajar di Negeri Selangor.
Namun PS tertuduh hanya menghujahkan bahawa intipati ucapan tertuduh tidak termasuk
dalam maksud ‘mengajar agama Islam’. Apa yang dimaksudkan dengan ‘mengajar agama
Islam’ ialah apabila seseorang mengajar agama Islam menggunakan kitab dengan merujuk
kepada seksyen 10 (b) Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008. Oleh yang
demikian, ceramah tertuduh bukanlah menjadi suatu kesalahan di bawah seksyen 119 (1)
EPAIS 2003 kerana tertuduh tidak langsung menggunakan sebarang kitab.
31. Al-Syeikh Dr. Muhammad Sidqi Al-Burnu juga ada menukilkan satu maxim
perundangan berkaitan isu ini di dalam kitabnya, موسوعة القواعد الفقهية, Jilid 8, m/s 122:
القاضي مأمور باتباع الظاهر
32. Manakala Dr. Mahmood Muhamad Nasir Barakat, juga ada mengungkap satu
maxim yang dipetiknya daripada kitab إعالالالالم المالالالوقعين عالالالن رب العالالالالمين karangan Syeikh
Ibnul Qayyim Al-Jawziyyah:
األحكام تجري على الظواهر
33. Mahkamah selanjutnya merujuk penghakiman Hakim VT Singham dalam kes Public
Prosecutor v. Che Saufi Kadir [2005] 8 CLJ 455 seperti berikut:
“The requirement of strict proof in a criminal case cannot be relaxed to bridge any material
gap in the prosecution evidence. Irrespective of whether the court is otherwise convinced in
its own mind of the guilt or innocence of an accused, its decision must be based on the
evidence adduced and nothing else.”.
Page 17
Halaman 17 daripada 42
34. Oleh yang demikian, dengan keterangan SP3 dan dokumen yang ditandakan sebagai P6, P7,
P8, P9, P10, P11 dan P12 tersebut dan berdasarkan dapatan Mahkamah berhubung tafsiran
mengajar perkara-perkara tentang Agama Islam, Mahkamah berpuas hati bahawa pada 16
Ogos 2011 pada antara jam 10.00 malam sehingga jan 11.30 malam tertuduh telah
berceramah perkara-perkara tentang agama Islam dan tertuduh tidak mempunyai tauliah
mengajar sebagaimana kehendak keperluan seksyen 118 EPAIS 2003 yang menjadi suatu
kesalahan di bawak subseksyen 119 (1) EPAIS 2003.
35. Sehubungan dengan itu, dengan dapatan-dapatan Mahkamah tersebut, Mahkamah berpuas
hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan setiap elemen dalam pertuduhan
dan peruntukan subseksyen 119 (1) EPAIS 2003; dan seterusnya Mahkamah mendapati
pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan wujud kes terhadap tertuduh (prima facie)
yang jika tak dipatahkan akan mewajarkan sabitan terhadap tertuduh.
36. Berdasarkan kepada dapatan tersebut, Mahkamah dengan ini memerintahkan tertuduh
dipanggil untuk membela diri.
D. KES DI PERINGKAT PEMBELAAN
37. Mahkamah telah memerintahkan tertuduh untuk membela diri dan membawa keterangannya.
Tertuduh melalui PS tertuduh telah memilih untuk memberikan keterangan dengan
bersumpah dari kandang saksi.
38. Keterangan bersumpah tertuduh dalam kandang saksi adalah seperti berikut:
38.1. Tertuduh bukan mengajar berhubung agama Islam tetapi hanya menceritakan
mengenai lawatannya ke Gaza dan melaksanakan pesanan Presiden Gaza untuk
menyampaikan pesanannya kepada rakyat Malaysia.
Page 18
Halaman 18 daripada 42
38.2. Pihak Surau tersebut yang menjemput tertuduh untuk menjelaskan perjalanan tertuduh
ke Gaza.
38.3. Tertuduh memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya sebagai Ahli Parlimen
berhubung serbuan JAIS ke atas DUMC.
38.4. Tertuduh memetik ayat al-Quran surah al-Hujurat ayat 9 dan kisah Saidina Ali adalah
bagi menjelaskan pendirian tertuduh berhubung isu yang dibangkitkan dan bukan
mengajar agama. Tertuduh tidak mengupas ayat al-Quran dengan menggunakan kitab
tafsir dan hanya mengambil maksud umum sebagai penjelasan terhadap pendirian
tertuduh.
38.5. Tertuduh tidak menggunakan apa-apa kitab sebagai rujukan.
38.6. Sebagai seorang islam tertuduh merujuk apa yang difahaminya dari al-Quran dan hadis
bagi menjelaskan sikap dan pendiriannya.
38.7. Wujud perbezaan antara mengajar, menyampaikan dan menyeru. Tertuduh tidak
mengajar tetapi hanya ‘menyampaikan’ sebagai kewajipan setiap muslim dan ‘menyeru’
ke arah kebaikan dan ketaatan kepada Allah.
38.8. Tertuduh menganggap apa yang dilakukannya tidak salah di sisi undang-undang
berikutan pegawai JAIS yang hadir tidak menghalang tertuduh memberikan ucapan.
39. Tertuduh tidak memanggil mana-mana saksi atau mengemukakan apa-apa dokumen atau
bahan bukti di Mahkamah bagi menyokong keterangannya.
Page 19
Halaman 19 daripada 42
E. KEPUTUSAN KES DI PERINGKAT PEMBELAAN
40. Bagi menyokong keterangan pembelaan tertuduh, PS tertuduh dalam penghujahannya telah
menghujahkan seperti berikut:
40.1. Pertuduhan ke atas tertuduh cacat dan memprejudiskan tertuduh atas alasan seperti
berikut:
a. Pertuduhan ke atas tertuduh adalah cacat kerana terdapat butiran yang tidak jelas
mengenai perkataan ‘mengajar’ dan ‘tauliah’ yang mana telah gagal memenuhi
kehendak seksyen 78 (5) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor)
2003 (selepas ini disebut ‘ETJS 2003’).
b. Pertuduhan tidak memasukkan rujukan kepada seksyen 118 EPAIS 2003 yang
mengelirukan perkataan ‘tauliah’.
c. Pertuduhan memprejudiskan tertuduh kerana terpaksa bergantung kepada maksud
mengajar tanpa tauliah secara umum yang skopnya lebih luas daripada skop yang
disebutkan dalam seksyen 118 EPAIS 2003.
d. Kesalahan mengajar tanpa tauliah hanya berlaku jika mengajar tanpa tauliah yang
diberikan di bawah seksyen 118 EPAIS 2003.
e. Tertuduh memohon Mahkamah membebaskan tertuduh dari pertuduhan dengan
merujuk kepada kes Ketua Pendakwa Syarie lwn. Ahmad bin Rashid dan seorang
lagi JH November 1995 Jld. X Bhg. 1, hlm. 113-120.
40.2. Tertuduh tidak dikehendaki untuk memohon apa-apa tauliah kerana ucapan tertuduh
tidak termasuk dalam makna mengajar sebagaimana peruntukan subseksyen 118 (1)
EPAIS 2003. Hujahan tertuduh adalah seperti berikut:
a. EPAIS 2003 dan Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) tidak memberikan
sebarang definisi ke atas perkataan ‘mengajar’.
Page 20
Halaman 20 daripada 42
b. Definisi ‘mengajar’ hanya diberikan dalam Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri
Selangor) (Pindaan) 2013 Sel. P.U 61/2013 (selepas ini disebut “Peraturan Tauliah
2013”) yang didefinisikan sebagai “menyampaikan sebarang maklumat yang
berkaitan agama Islam melalui ceramah, forum, pengkisahan, motivasi, taklimat.
Tazkirah, pembentangan kertas kerja, kuliah, audio visual atau cara lain
sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa.”. Peraturan Tauliah 2013 hanya
dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2011, sedangkan tertuduh dituduh melakukan
perbuatan mengajar tanpa tauliah pada 18 Ogos 2011. Oleh yang demikian tertuduh
tidak boleh dianggap menyalahi undang-undang kerana Peraturan Tauliah tersebut
tidak memberikan definisi perkataan ‘mengajar’.
c. Pendakwa gagal memperincikan kesalahan mengajar dalam pertuduhan
sebagaimana kehendak seksyen 80 ETJS 2003 yang menyebabkan tertuduh
terkeliru apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan mengajar.
40.3. Tertuduh percaya bahawa beliau mempunyai justifikasi dari segi hukum syarak
mengenai kewajipannya untuk menyampaikan pengalamannya di Gaza serta sebagai
Ahli Parlimen, tertuduh mempunyai obligasi untuk menyatakan pendiriannya terhadap
sesuatu isu yang dibangkitkan. Tertuduh menghujahkan perlakuannya tersebut
termasuk dalam prinsip kekecualian am di bawah seksyen 41 Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995 – perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai
justifikasi di sisi undang-undang.
41. Selanjutnya bagi menjawab hujahan PS tertuduh, Pendakwa pula menghujahkan seperti
berikut:
41.1. PS tertuduh tidak pernah membantah pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh
sepanjang prosiding kes pendakwaan ataupun pembelaannya menunjukkan tertuduh
telah faham pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas dirinya dan telah memenuhi
kehendak seksyen 78 dan 79 ETJS 2003.
Page 21
Halaman 21 daripada 42
41.2. Keperluan tauliah telah dengan jelas diperuntukkan oleh subseksyen 119 (1) EPAIS
2003 dan tertuduh tidak termasuk dalam orang yang dikecualikan dari tauliah
sebagaimana perutukan seksyen 121 EPAIS 2003.
41.3. Ketiadaan tafsiran terhadap perkataan ‘tauliah’ tidak menjejaskan pertuduhan berikutan
perkataan ‘tauliah’ telah jelas diperuntukkan dalam subseksyen 118 (3) EPAIS 2003
iaitu tauliah mengajar agama Islam atau mengajar perkara-perkara tentang agama
Islam yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah.
41.4. Ketiadaan definisi perkataan ‘mengajar’ tidak menjejaskan kuasa Mahkamah untuk
membuat tafsiran perkataan ‘mengajar’ tersebut. Walaupun Peraturan Tauliah 2013
berkuatkuasa selepas kejadian tertuduh mengajar perkara tentang agama Islam, tidak
menjejaskan pendakwa merujuk Peraturan Tauliah 2013 berhubung definisi mengajar
tersebut.
41.5. Pendakwa juga merujuk definisi mengajar dan berceramah dalam Kamus Dewan Edisi
Keempat Dewan Bahasa dan Pustaka yang mentafsirkan perkataan ‘mengajar’ dan
perkataan ‘ceramah’ membawa maksud yang sama iaitu menyampaikan sesuatu sama
ada tentang agama atau perkara lain.
41.6. Tiada keperluan untuk memperincikan kategori tauliah dalam pertuduhan kerana
tertuduh tidak memiliki apa-apa kategori tauliah mengikut Peraturan Tauliah tersebut
dan fakta tersebut adalah fakta yang tidak pernah disangkal oleh tertuduh.
41.7. Intipati ceramah tertuduh berhubung pergolakan di Gaza, kisah Saidina Ali yang
dikaitkan dengan keadilan perundangan Islam dan ulasan ayat 9 surah al-Hujurat
adalah dalam lingkungan perkara-perkara berkaitan dengan ajaran Islam.
41.8. Peruntukan seksyen 41 ETJS 2003 adalah peruntukan umum yang hendaklah dibaca
bersama peruntukan khusus. Seksyen 121 EPAIS 2003 dan peraturan 22 Peraturan
Tauliah tersebut tidak mengecualikan seorang Ahli Parlimen untuk mengajar perkara-
perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.
Page 22
Halaman 22 daripada 42
41.9. Keterangan pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata yang
bertentangan dengan keterangan saksi pendakwa dan bahan bukti pendakwa yang
dikemukakan di Mahkamah. Oleh yang demikian, tertuduh telah gagal menimbulkan
keraguan yang munasabah. Pendakwa merujuk kes Pendakwa Raya lwn. Zulkifle bin
Mohamad (2016) MLJU 399 dan Mr Losali vs. Public Prosecutor (2011) 4 MLJ 694.
41.10. Ekshibit P8, P9, P10, P11 dan P12 menunjukkan hasrat tertuduh untuk mendapatkan
tauliah bagi membolehkan tertuduh menjadi penceramah untuk mengajar agama
Islam.
Dapatan Mahkamah
42. Adalah undang-undang yang mantap bahawa beban pembuktian di dalam kes jenayah
secara keseluruhannya terletak di atas bahu pihak pendakwaan bagi membuktikan
melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh bersalah atas kesalahan yang
dipertuduhkan ke atasnya. Manakala tiada beban atas tertuduh bagi membuktikan tertuduh
tidak bersalah. Tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Tugas ke
atas tertuduh adalah untuk menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes
pendakwaan. [Sila rujuk kes Mohamad Radhi Bin Yaakob v. Public Prosecutor (1991) 3 CLJ
2073, Saminathan v. Public Prosecutor (1955) 21 MLJ 121 dan Yau Heng Fang v. Public
Prosecutor (1985) 2 CLJ 22.]
43. Tugas mahkamah di akhir kes pembelaan adalah seperti yang dinyatakan di dalam kes Mat
v. Public Prosecutor [1963] 29 MLJ 263, di mana satu ujian yang mantap telah digariskan.
Untuk melepasi ujian-ujian tersebut Mahkamah hendaklah memberikan pertimbangan yang
sewajarnya kepada kes pembelaan. Kemudian selepas itu Mahkamah akan kembali untuk
meneliti keseluruhan kes pendakwaan bagi memenuhi prinsip utama mengenai beban
pembuktian yang masih terletak di atas bahu pendakwaan sepanjang kes berlangsung, (lihat
kes Nagappan Kuppusamy v. Public Prosecutor [1988] 1 CLJ 283).
Page 23
Halaman 23 daripada 42
44. Persoalan sekarang adalah adakah melalui keterangan bersumpah tertuduh, tertuduh telah
berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan? Setelah
Mahkamah meneliti hujah PS tertuduh, Mahkamah menyimpulkan pembelaan tertuduh
seperti berikut:
44.1. Pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh cacat, mengelirukan dan
memprejudiskan tertuduh. Oleh yang demikian, Mahkamah hendaklah membebaskan
tertuduh.
44.2. Perbuatan tertuduh tidak termasuk dalam definisi atau maksud mengajar agama Islam
atau mengajar perkara-perkara tentang agama Islam di bawah subseksyen 119 (1)
EPAIS 2003.
44.3. Perbuatan tertuduh termasuk di bawah prinsip kekecualian am di bawah seksyen 41
EJS 1995.
Isu Pertama: Sama ada pertuduhan cacat, mengelirukan dan memprejudiskan tertuduh
45. Persoalan pertama, adakah benar terdapat kecacatan terhadap pertuduhan ke atas tertuduh
dan sekiranya ada kecacatan adakah kecacatan tersebut suatu yang material sehingga
menyebabkan tertuduh terkeliru dengan pertuduhan? Bagi mempertimbangkan isu ini,
Mahkamah merujuk seksyen 82 ETJS 2003 seperti berikut:
“Tiada kesilapan dalam menyatakan sama ada kesalahan atau butir-butir yang dikehendaki
dinyatakan dalam pertuduhan itu, dan tiada peninggalan untuk menyatakan kesalahan atau
butir-butir itu, boleh dikira, pada mana-mana peringkat kes itu, sebagai material melainkan
jika tertuduh sebenarnya telah terkeliru oleh sebab kesilapan atau peninggalan itu.”.
46. Berdasarkan kepada peruntukan tersebut, adalah menjadi dapatan Mahkamah, walau
apapun peruntukan seksyen 78, 79, 80 dan 81 ETJS 2003 tersebut, apa yang lebih penting
ialah sama ada pertuduhan silap atau tidak, pertuduhan hendaklah tidak menyebabkan
Page 24
Halaman 24 daripada 42
tertuduh terkeliru dengan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Dengan kata lain,
sekiranya didapati bahawa pertuduhan cacat atau terdapat tinggalan sekalipun, kesilapan
atau kecacatan tersebut tidak boleh dikira sebagai material kecuali kesilapan atau kecacatan
tersebut telah menyebabkan tertuduh telah terkeliru dengan pertuduhan yang dikenakan ke
atasnya.
47. PS tertuduh telah menghujahkan tertuduh telah terkeliru dengan pertuduhan tersebut
berikutan tiada definisi perkataan ‘mengajar’ yang tidak difahami oleh tertuduh dan maksud
ketiadaan tauliah tersebut adalah merujuk kepada tauliah yang diberikan di bawah seksyen
118 EPAIS 2003.
48. Persoalannya apakah yang dimaksudkan dengan frasa “...melainkan jika tertuduh
sebenarnya telah terkeliru...” dalam peruntukan seksyen 82 ETJS 2003 tersebut? Adakah
terkeliru memahami peruntukan undang-undang semasa perlakuan yang dipertuduhkan
dilakukan, berikutan tiada definisi khusus dalam mana-mana undang-undang, sebagaimana
dihujahkan oleh PS tertuduh atau terkeliru dengan pertuduhan yang dibentuk oleh pendakwa
dan dikenakan ke atas tertuduh? Pada pandangan Mahkamah, berdasarkan kepada seksyen
82 ETJS 2003 tersebut, perkataan terkeliru yag dimaksudkan ialah terkeliru dengan
pertuduhan yang dibentuk dan dipertuduhkan ke atas tertuduh di Mahkamah ini.
49. Mahkamah mendapati sejak pertuduhan kali pertama dibacakan kepada tertuduh, tertuduh
telah memilih untuk dibicarakan dan kemudian sepanjang kes pendakwaan dan sepanjang
kes pembelaan, tertuduh tidak pernah membantah pertuduhan tersebut. Tertuduh juga
sepanjang prosiding kes ini berjalan tidak menunjukkan bahawa tertuduh telah terkeliru
dengan pertuduhan tersebut.
50. Dakwaan tertuduh telah terkeliru hendaklah bukan dengan hanya membangkitkan isu
kecacatan pertuduhan ini diperingkat penghujahan kes pembelaan tertuduh sahaja, tetapi
hendaklah ditunjukkan keadaan yang tertuduh telah terkeliru dan selari dengan tindak tanduk
tertuduh serta respon tertuduh terhadap pertuduhan sepanjang kes didengar di Mahkamah
ini. Namun demikian Mahkamah mendapati berdasarkan rekod dan pemerhatian Mahkamah,
Page 25
Halaman 25 daripada 42
sepanjang prosiding kes ini berjalan tertuduh telah menunjukkan bahawa tertuduh faham
dengan pertuduhan yang dipertuduhkan ke atasnya.
51. Merujuk kepada kes Ketua Pendakwa Syarie lwn. Ahmad Rashid dan seorang lagi [JH
November 1995 Jld. X Bhg. 1, hlm. 113-120 yang dirujuk oleh PS tertuduh, Mahkamah
dengan penuh hormatnya tidak bersetuju dengan dapatan PS tertuduh tersebut. Mahkamah
mendapati walaupun benar Pengerusi JK Rayuan kes tersebut ada menegur dan mengulas
berhubung kecacatan pertuduhan terhadap OKT, tetapi untuk membuat kesimpulan dalam
kes tersebut bahawa OKT telah dibebaskan atas dasar kecacatan pertuduhan semata-mata
adalah tidak tepat. Ini kerana dalam kes tersebut, Pengerusi JK Rayuan juga telah mendapati
keterangan di peringkat pendakwaan yang bercanggah dan tidak mencapai tahap pembuktian
yang ditetapkan.
52. Sehubungan itu, berdasarkan kepada dapatan Mahkamah tersebut, Mahkamah dengan
hormat tidak dapat menerima hujahan PS tertuduh bahawa pertuduhan yang dikenakan ke
atas tertuduh adalah cacat sehingga menyebabkan tertuduh telah terkeliru dan Mahkamah
hendaklah membebaskan tertuduh.
Isu Kedua: Sama ada perbuatan tertuduh tidak termasuk dalam definisi atau maksud
mengajar agama Islam atau mengajar perkara-perkara tentang agama Islam di bawah
subseksyen 119 (1) EPAIS 2003
53. Secara faktanya kes ini dipertuduhkan di bawah subseksyen 119 (1) EPAIS 2003. Seksyen
tersebut tidak mendefinisikan maksud perkataan ‘mengajar’. Seksyen 119 (1) EPAIS 2003
tersebut dilengkapkan dengan Peraturan Tauliah Negeri Selangor (2008) yang juga tidak
menyatakan definisi mengajar secara khusus.
54. Definisi mengajar hanya diperuntukan dalam Peraturan Tauliah Negeri Selangor (Pindaan)
2013 yang mana hanya berkuat kuasa selepas perlakuan tertuduh yang dipertuduhkan di
Mahkamah ini. Persoalannya, adakah disebabkan ketiadaan definisi tersebut menyebabkan
peruntukan subseksyen 119(1) EPAIS 2003 tersebut tidak dapat dikuatkuasakan? Adakah
Mahkamah ini tidak boleh berperanan untuk mentafsir kehendak subseksyen 119(1) EPAIS
Page 26
Halaman 26 daripada 42
2003 tersebut? Bukankah sudah menjadi tanggungjawab Mahkamah ini untuk mentafsirkan
undang-undang?
55. Dalam mentafsir undang-undang, Mahkamah boleh menggunakan kaedah literal perkataan
yag digunakan atau pendekatan matlamat penggubal undang-undang. Mahkamah juga boleh
merujuk kepada mana-mana undang-undang lain seperti Peraturan-Peraturan Tauliah
(Negeri Selangor) (pindaan) 2013 yang berkuatkuasa pada masa ini.
56. PS tertuduh menghujahkan tertuduh tidak mengajar agama, tetapi hanya menyampaikan dan
menyeru ke arah kebaikan bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim.
Mahkamah bersetuju bahawa tertuduh sememangnya menyampaikan atau menyeru kepada
kebaikan dan ketaatan kepada Allah. Namun persoalannya bagaimanakan cara penyampaian
dan seruan tersebut dilaksanakan oleh tertuduh? Adakah tertuduh menyampaikan dan
menyeru ke arah kebaikan dan ketaatan tersebut kepada ahli keluarganya di rumahnya atau
tertuduh menyampaikan dan menyeru ke arah kebaikan dan ketaatan dengan cara ceramah
umum kepada seramai lebih kurang 100 orang jemaah di dewan solat utama sebuah surau?
57. Bagaimana bentuk dan cara penyampaian dan seruan ke arah kebaikan dan ketaatan kepada
Allah yang merupakan perkara-perkara berkaitan agama Islam akan menentukan
penyampaian dan seruan tersebut adalah suatu kesalahan dibawah subseksyen 119 (1)
EPAIS 2003 tersebut atau tidak.
58. Oleh kerana definisi mengajar tidak diperuntukkan oleh EPAIS 2003 mahupun Akta 388,
Mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwa dengan merujuk maksud mengajar melalui
Kamus Dewan Edisi Keempat Dewan Bahasa dan Pustaka yang mana maksud ‘mengajar’
ialah menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dsb) kepada orang lain; membaiki
kelakuan dengan memberi nasihat dsb. Manakala perkataan ‘ceramah’ bermaksud ucapan
membicarakan sesuatu (spt bahasa, politik, dll), syarahan. Manakala perkataan ‘berceramah’
bermaksud memberi (menyampaikan) ceramah.
59. Selanjutnya sebagai panduan, Mahkamah merujuk kepada Peraturan Tauliah 2013 yang
mendefinisikan perkataan ‘mengajar’ sebagai “menyampaikan sebarang maklumat yang
berkaitan agama Islam melalui ceramah, forum, pengkisahan, motivasi, taklimat, tazkirah,
Page 27
Halaman 27 daripada 42
pembentangan kertas kerja, kuliah, audio visual atau cara lain sebagaimana yang ditentukan
oleh Jawatankuasa.”. Mahkamah bersetuju dengan tafsiran tersebut yang mana hendaklah
juga digunapakai bagi memahami kehendak peruntukan subseksyen 119 (1) EPAIS 2003
tersebut.
60. Selanjutnya PS tertuduh juga menghujahkan berikutan ketiadaan definisi ‘tauliah’ dalam
EPAIS 2003 mahupun Akta 388 menyebabkan tertuduh terkeliru memahami maksud
kehendak undang-undang semasa perlakuan perbuatan yang dipertuduhkan ke atas
pertuduhkan ke atas tertuduh. Bagi memutuskan isu ini, Mahkamah mendapati terdapat dua
perkara yang perlu di jawab oleh Mahkamah. Pertama, adakah benar ketiadaan definisi
khusus perkataan ‘tauliah’ dalam EPAIS menyebabkan perkataan ‘tauliah’ tersebut tidak
dapat difahami?. Kedua, adakah kekeliruan tertuduh memahami kehendak undang-undang
boleh diterima sebagai pembelaan tertuduh?
61. Pendakwa dalam hujahnya mengatakan walaupun tiada definisi khas perkataan ‘tauliah’
dalam EPAIS 2003, namun peruntukan subseksyen 119 (1) EPAIS telah dengan jelas
menyatakan bahawa keperluan tauliah tersebut ialah tauliah mengajar agama Islam atau
mengajar perkara-perkara tentang agama Islam. Pendakwa juga merujuk kepada subseksyen
118 (3) EPAIS 2003 yang juga dengan jelas memperuntukkan tauliah yang dimaksudkan
adalah tauliah yang diberikan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor.
Mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwa tersebut.
62. Walaupun tiada peruntukan khas yang mendefinisikan perkataan ‘tauliah’ tetapi peruntukan
seksyen 118 dan 119 EPAIS 2003 tersebut dengan jelas memberikan maksud perkataan
‘tauliah’ tersebut ialah tauliah bagi mengajar agama Islam atau tauliah mengajar perkara-
perkara tentang agama Islam, yang diberikan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam
Selangor. Tiada apa-apa ruang yang boleh difahami maksud yang lain selain daripada
maksud itu. Sehubungan dengan itu, Mahkamah dengan penuh hormat tidak bersetuju
dengan hujahan PS tertuduh yang terpelajar.
63. Berhubung dengan isu sama ada kekeliruan tertuduh memahami kehendak undang-undang
boleh diterima sebagai pembelaan tertuduh, PS tertuduh telah menghujahkan bahawa
Page 28
Halaman 28 daripada 42
kesalahan mengajar tanpa tauliah adalah kesalahan yang berbentuk ta’zir dan diwujudkan
atas tujuan siyasah al-syariyyah dan bukan jenis kesalahan yang diketahui wujud di dalam
hukum syarak yang dikategorikan sebagai ‘ma’lum min al-deen bi al-dharurah’ seperti
kesalahan berjudi atau minum arak. Pendakwa pula menghujahkan bahawa kesalahan
mengajar tanpa tauliah ini telah diwartakan sebagai sebahagian dri undang-undang yang
perlu dipatuhi oleh masyarakat.
64. Setelah Mahkamah menekuni penghujahan PS tertuduh, Mahkamah mendapati PS tertuduh
merujuk kepada peruntukan seksyen 82 ETJS 2003 dan kemudiannya menghujahkan
kekeliruan tertuduh memahami maksud mengajar perkara tentang agama Islam dan
keperluan tauliah. Apa yang dapat difahami oleh Mahkamah, PS tertuduh membangkit isu
tertuduh keliru dan gagal memahami undang-undang ini pada 2 peringkat. Pertama tertuduh
keliru dengan pertuduhan akibat daripada pertuduhan yang dihujahkan sebagai cacat dan
kedua tertuduh keliru semasa perlakuan yang dipertuduhkan dilakukan oleh tertuduh.
65. Sebagaimana dapatan Mahkamah sebelum ini, seksyen 82 ETJS 2003 adalah secara khusus
kepada pertuduhan. Suatu kesilapan dan / atau tinggalan satu pertuduhan memenuhi
peruntukan seksyen 78, 79 dan 80 ETJS 2003 adalah tidak boleh dikira sebagai material
melainkan telah menyebabkan tertuduh terkeliru dengan pertuduhan tersebut. Perkara
tersebut telah diputuskan oleh Mahkamah ini. Peruntukan seksyen 82 ETJS 2003 tidak
menjustifikasikan kekeliruan dan kegagalan tertuduh memahami kehendak undang-undang
semasa tertuduh melakukan perlakuan yang dipertuduhkan.
66. Kekeliruan tertuduh memahami maksud dan kehendak peruntukan undang-undang semasa
perlakuan yang dipertuduhkan dalam kes ini tidak boleh dijadikan dalihan yang boleh diterima
oleh Mahkamah sebagaimana dapatan Mahkamah sebelum ini berhubung kesan ketiadaan
definisi khusus terhadap perkataan ‘mengajar’ dan ‘tauliah’ dalam EPAIS 2003 atau Akta 388.
Mahkamah juga mendapati penghujahan PS tertuduh juga tidak selari dengan tindakan dan
perlakuan tertuduh sebelum perlakuan yang dipertuduhkan dilakukan. Walaupun Mahkamah
bersetuju dengan hujahan PS tertuduh bahawa tindakan tertuduh membuat permohonan
tauliah sebagaimana dibuktikan oleh pendakwa melalui dokumen yang ditandakan sebagai
P8, P9, P10, P11 dan P12 tidak membuktikan bahawa tertuduh telah melanggar seksyen 119
Page 29
Halaman 29 daripada 42
EPAIS 2003, namun Mahkamah berpuas hati bahawa keterangan saksi-saksi pendakwa dan
keterangan dokumentar tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa tertuduh tidak pernah
terkeliru atau tidak memahami kehendak sebenar peruntukan seksyen 119 EPAIS 2003
tersebut.
67. Tertuduh begitu bersungguh-sungguh membuat permohonan untuk Jawatankuasa Tauliah
memberikan tauliah mengajar agama Islam atau mengajar perkara-perkara tentang agama
Islam. Walaupun permohonan tertuduh tidak diluluskan tetapi tertuduh tetap berusaha
bersungguh-sungguh merayu untuk mendapatkan tauliah mengajar tersebut. Tindakan dan
perilaku tertuduh tersebut adalah suatu keterangan secara qarinah yang kuat dan jelas
menunjukkan tertuduh begitu faham akan keperluan tauliah diperolehi terlebih dahulu
daripada Jawatankuasa Tauliah sebelum tertuduh menjalan aktiviti berbentuk pengajaran
atau ceramah perkara-perkara berkaitan agama Islam di negeri Selangor yang mana tidak
selari dengan apa yang dihujahkan oleh PS tertuduh di sini.
68. Sehubungan itu, Mahkamah sekali lagi dengan penuh hormat tidak dapat bersetuju dengan
hujahan PS tertuduh bagi isu ini.
Isu Ketiga: Sama ada perbuatan tertuduh termasuk di bawah prinsip kekecualian am di
bawah seksyen 41 EJS 1995.
69. PS Tertuduh menghujahkan bahawa bahawa tertuduh mempunyai justifikasi dari segi hukum
syarak mengenai kewajipannya untuk menyampaikan pengalamannya di Gaza serta sebagai
Ahli Parlimen, tertuduh mempunyai obligasi untuk menyatakan pendiriannya terhadap
sesuatu isu yang dibangkitkan. PS Tertuduh menghujahkan perlakuannya tersebut termasuk
dalam prinsip kekecualian am di bawah seksyen 41 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)
1995 – perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai justifikasi di sisi undang-
undang.
70. Manakala pendakwa pula menghujahkan seksyen 41 EJS 1995 adalah peruntukan umum
yang hendaklah dibaca bersama peruntukan khusus. Seksyen 121 EPAIS 2003 dan
Page 30
Halaman 30 daripada 42
peraturan 22 Peraturan Tauliah tersebut tidak mengecualikan seorang Ahli Parlimen untuk
mengajar perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.
71. Bagi membuat pertimbangan berhubung pembelaan tertuduh tersebut, Mahkamah perlu
membuat penilaian teliti terhadap peruntukan seksyen 41 EJS 1995 tersebut. Pada hemat
Mahkamah, pemakaian seksyen 41 EJS 1995 tersebut tidak boleh digunapakai secara
terbuka dan luas. Sekiranya peruntukan seksyen 41 EJS 1995 tersebut ditafsir secara terbuka
dan luas, sudah semestinya akan membuka ruang kepada orang awam untuk menggunakan
kekecualian tersebut atas alasan mempunyai justifikasi undang-undang.
72. Mahkamah juga perlu menilai sama ada adakah benar tertuduh mempunyai justifikasi
undang-undang terhadap perlakuannya yang dipertuduhkan di sini. Tertuduh menghujahkan
tertuduh mempunyai justifikasi undang-undang di bawah Perkara 10 Perlembagaan
Persekutuan dan status tertuduh sebagai Ahli Parlimen.
73. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan kebebasan bercakap, berhimpun
dan berpersatuan. Persoalannya adakah peruntukan seksyen 119 (1) EPAIS 2003 ini
bercanggah atau tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan sehinggakan tertuduh boleh
membuat justifikasi bahawa walaupun terdapat peraturan yang menghadkan hak untuk
bercakap melalui seksyen 118 dan 119 EPAIS 2003 ini, tertuduh masih boleh ‘bercakap’ atau
menyampaikan ucapannya tanpa mengikut undang-undang yang berkuatkuasa, khususnya
seksyen 118 dan 119 EPAIS 2003 ini? Bagi perkara ini, Mahkamah merujuk kepada kes
Fathul Bari Mat Jahya & Anor v. Majlis Agama Islam Negeri Sembilan & Ors [2012] CLJ JT
(2). Dalam kes ini, Ketua Hakim Negara memutuskan bahawa peruntukan 53(1) Enakmen
Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, iaitu peruntukan bagi kesalahan mengajar tanpa
tauliah di Negeri Sembilan adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan.
74. Manakala berhubung anggapan tertuduh mempunyai justifikasi di sisi undang-undang
berikutan ‘kekeliruan’ tertuduh dengan peruntukan undang-undang, telah diputuskan oleh
Mahkamah terlebih dahulu dari ini. Mahkamah telah membuat dapatan bahawa tertuduh telah
faham dan sedar akan keperluan tertuduh untuk mendapatkan tauliah mengajar atau
berceramah daripada Jawatankuasa Tauliah terlebih dahulu.
Page 31
Halaman 31 daripada 42
75. Selanjutnya Mahkamah juga perlu melihat sama ada perbuatan yang dipertuduhkan pada hari
ini adalah termasuk di bawah tugasan khas tertuduh sebagai Ahli Parlimen atau tidak?
Mahkamah juga perlu membuat pertimbangan kepada tujuan atau matlamat penganjur
program atau majlis tersebut, sama ada tertuduh dijemput untuk menyampaikan ucapannya
atas jawatannya sebagai Ahli Parlimen atau tidak?. Namun demikian, Mahkamah mendapati
perkara ini tidak dibangkitkan dengan tuntas oleh PS tertuduh dalam keterangan secara
bersumpahnya atau penghujahan PS tertuduh.
76. PS tertuduh hanya menghujahkan, tertuduh sebagai seorang Ahli Parlimen perlu menyatakan
pendiriannya berkaitan isu-isu semasa. Mahkamah bersetuju dengan hujahan tersebut.
Namun demikian, persoalannya adakah ceramah yang dibuat oleh tertuduh pada 16 Ogos
2011 di Surau tersebut adalah di atas kapasitinya sebagai seorang Ahli Parlimen atau di atas
kapasiti sebagai seorang Islam yang ingin menyampaikan dan menyeru umat Islam ke arah
kebaikan dan ketaatan kepada Allah swt yang merupakan perkara-perkara tentang agama
Islam?
77. Tertuduh tidak memanggil sebarang saksi, khususnya penganjur majlis tersebut, walaupun
telah ditawarkan oleh pendakwa. Tertuduh juga tidak mengemukakan apa-apa dokumen yang
menunjukkan bahawa tertuduh dijemput oleh penganjur ke majlis tersebut sebagai seorang
Ahli Parlimen.
78. Selain itu, Mahkamah juga bersetuju dengan hujahan pendakwa bahawa peruntukan seksyen
41 EJS 1995 adalah peruntukan umum yang hendaklah dibaca bersama peruntukan khusus
iaitu peruntukan seksyen 121 EPAIS 2003 serta peraturan 22 Peraturan Tauliah tersebut.
Peruntukan tersebut tidak mengecualikan seorang Ahli Parlimen untuk mengajar perkara-
perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.
79. Oleh yang demikian, Makamah tidak dapat membuat dapatan yang positif terhadap
penghujahan PS tertuduh bahawa perbuatan tertuduh tersebut adalah jatuh di bawah
kekecualian am di bawah seksyen 41 EJS 1995 tersebut.
Page 32
Halaman 32 daripada 42
80. Dalam kes ini pendakwaan telah mengemukakan 4 orang saksi yang mana keterangan yang
diberikan adalah selari dan saling sokong menyokong antara satu sama lain. Pendakwa juga
telah mengemukakan 12 jenis dokumen-dokumen dan bahan bukti di Mahkamah ini yang
juga jelas menyokong kes pendakwaan. Manakala tertuduh setelah memilih untuk
memberikan keterangan bersumpah dalam kandang saksi telah menceritakan kembali
keseluruhan intipati ucapan tertuduh pada malam kejadian dengan dengan versi dan sudut
pandang yang berbeza, tetapi intipati ucapan adalah sama dengan keterangan pihak
pendakwaan tanpa mengemukakan sebarang bukti dan keterangan sokongan yang lain.
81. Amalan di Mahkamah Awam, tertuduh adalah salah seorang saksi yang mana keterangannya
secara bersumpah dalam Mahkamah mempunyai berat timbangan (evidentiary weight).
Namun di Mahkamah Syariah, prinsip yang berbeza digunapakai. Sebagaimana peruntukan
seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang
mendefinisikan “saksi” tidak termasuk plaintif, defendan dan orang tertuduh. Tertuduh tidak
dianggap sebagai salah seorang saksi walaupun tertuduh memilih untuk memberikan
keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi.
82. Oleh yang demikian, adakah dengan semata-mata keterangan bersumpah tertuduh yang
memberikan versi yang berbeza boleh mematahkan kes pendakwaan yang dibuktikan
dengan keterangan 4 orang saksi dan 12 dokumen dan bahan bukti yang dikemukakan dan
diterima di Mahkamah.
83. Telah menjadi suatu undang-undang yang mantap bahawa keraguan yang perlu ditimbulkan
oleh pihak pembelaan untuk mewajarkan pembebasan adalah keraguan yang benar-benar
munasabah dan bukan keraguan yang direka-reka bagi mengelirukan mahkamah. A
reasonable doubt must be a doubt arising from evidence and cannot be an imaginary doubt
or conjecture unrelated to evidence (Public Prosecutor v. Saimin [1971] 1 LNS 115). A
reasonable doubt is where the evidence is credible, probable, plausible or logical (Public
Prosecutor v. The Eng Wah [1999] 8 CLJ 451). Lihat juga kes Pendakwa Raya v Zulkifle bin
Mohamad [2016] MLJU 399 dan Mr. Losali v. Public Prosecutor [2011] 4 MLJ 694.
Page 33
Halaman 33 daripada 42
F. KESIMPULAN / SABITAN
84. Setelah Mahkamah menghalusi dan menekuni intipati versi pembelaan tertuduh, Mahkamah
dengan penuh hormat, mendapati versi pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian dan
tanpa sokongan bukti (afterthought, bare denial and of no evidentiary weight). Sehubungan
itu, Mahkamah mendapati secara keseluruhan pembelaan tertuduh tidak berjaya
menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas keterangan-keterangan
pendakwaan.
85. Oleh yang demikian, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan
kesnya tanpa sebarang keraguan yang munasabah bagi pertuduhan yang dikenakan ke atas
tertuduh.
86. Berdasarkan kepada dapatan-dapatan Mahkamah tersebut, Mahkamah telah berpuas hati
dan dengan ini, Mahkamah mensabitkan tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah
seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
G. MITIGASI
87. Mahkamah mensabitkan tertuduh di bawah peruntukan seksyen 119 (1) EPAIS 2003 pada
19 Disember 2016. Namun demikian, Mahkamah telah menangguhkan penetapan hukuman
terhadap tertuduh dengan memberi peluang kepada PS tertuduh dan pendakwa membuat
hujahan peringanan hukuman atau pemberatan hukuman. PS tertuduh telah memfailkan
hujah mitgasinya pada 5 Januari 2017 manakala Pendakwa Syarie hanya memfailkan
hujahan pemberatan hukuman pada 18 Januari 2017 dan hari ini ditetapkan untuk keputusan
hukuman terhadap tertuduh.
88. Secara keseluruhannya hujahan mitigasi tertuduh boleh disimpulkan seperti berikut:
88.1. Tertuduh adalah pesalah kali pertama yang mana Mahkamah hendaklah
menggunapakai peruntukan seksyen 129 (1) ETJS 2003 yang mana Mahkamah
Page 34
Halaman 34 daripada 42
hendaklah mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental
pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal
keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan.
a. Tertuduh seorang yang berwatakan soleh.
b. Tertuduh berumur 59 tahun 5 bulan
c. Tertuduh mengalami masalah sakit jantung
d. Tertuduh seorang Ahli Parlimen Shah Alam, Pengarah Komunikasi Parti Amanah
Negara
e. Tertuduh aktif dalam kerja-kerja kebajikan
f. Kesalahan dilakukan akibat daripada tertuduh silap memahami maksud mengajar
tanpa tauliah
g. Kesalahan yang disabitkan adalah kesalahan takzir dan kesalahan yang ringan.
h. Tertuduh telah tidak mengulangi kesalahan mengajar tanpa tauliah sejak
dipertuduhkan sehingga sekarang.
88.2. Tertuduh mohon Mahkamah melepaskan tertuduh dengan cubaan akhlak berkelakuan
baik atau jika dikenakan hukuman, dihukum dengan dendaan sahaja tidak melebihi
RM2000.00.
88.3. Sekiranya dihukum dengan dendaan melebihi RM2000.00, tertuduh boleh hilang
jawatan sebagai Ahli Parlimen Shah Alam dan memudharatkan diri tertuduh dan
masyarakat.
89. Manakala Pendakwa Syarie dalam hujahan bagi menjawab hujahan mitigasi menghujahkan
seperti berikut:
89.1. Alasan pesalah kali pertama adalah tidak kukuh dan bukanlah suatu yang mandatori
sebagai peringanan hukuman.
89.2. Mahkamah perlu bertegas dengan hukuman agar undang-undang tidak dipandang
remeh oleh tertuduh dan masyarakat. Hujahan tertuduh hanya bersifat kepentingan
peribadi dan bukan maslahah undang-undang.
Page 35
Halaman 35 daripada 42
89.3. Kesalahan takzir tidak menyebabkan kesalahan dipandang ringan, hendaklah melihat
kepada hal keadaan tertuduh dan kesan kesalahan terhadap sistem kehidupan yang
ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak. Mengajar agama tanpa tauliah
boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan membawa kepada perselisihan faham
yang serius dan negara akan menjadi goyah.
89.4. Kesan sekiranya tertuduh dihukum dengan dendaan melebihi daripada RM2000.00
adalah akibat daripada kesalahan yang dilakukannya sendiri. Mahkamah tidak
sepatutnya terikat dengan bebanan yang akan dihadapi oleh tertuduh. Tertuduh
sepatutnya memikirkan kesan kesalahan tersebut sebelum daripada melakukan
kesalahan ini dan bukannya menggunakan alasan kesan dan akibat sebagai sebab
tidak dihukum sewajarnya.
89.5. Tertuduh sebagai seorang Ahli Palimen sepatutnya lebih menghormati undang-undang
dan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.
89.6. Tertuduh melanggar undang-undang dengan keadaan sedar dan berpengetahuan.
90. Keperluan memberikan pertimbangan kepada pesalah kali pertama ini telah diperuntukkan
dalam seksyen 129 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang
mana Mahkamah hendaklah ”...mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau
keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada
apa-apa hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan ..”
91. Prinsip pertimbangan kepada pesalah kali pertama bagi peringanan hukuman ini juga diulas
oleh Y.A.A Dato’ Hussin Bin Hj. Harun dalam kes Noralisham Bin Ramli lwn. Ketua
Pendakwa Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, JH XV (11), hlm. 165, yang menyatakan:
“Kesalahan pertama yang dilakukan oleh Perayu juga wajar diambilkira sebagai qarinah
sebagai Perayu mahu kembali ke pangkal jalan dan tidak mengulangi kesalahannya buat
kali kedua. Oleh itu, isu kesalahan kali pertama Perayu wajar diambilkira oleh Mahkamah
ini dalam mendengar rayuan Perayu. Perayu tidak pernah disabitkan atau didakwa di bawah
mana-mana kesalahan undang-undang yang berkuatkuasa mengenai agama Islam
sebelum ini dan setelah dijatuhi hukuman “
Page 36
Halaman 36 daripada 42
92. Namun demikian, faktor tertuduh adalah pesalah kali pertama bukanlah faktor yang patut
diberikan keutamaan berbanding faktor lain seperti jenis dan akibat kesalahan serta
kepentingan awam sbagaimana yang diulas oleh Hakim Ahmad Maarop dalam kes Amran
Bin Ahmad lwn. Pendakwa Raya, [2006] 5 MLJ 486. Prinsip yang sama juga di pakai dalam
kes Abdul Razak Othman lwn. Ketua Pendakwa Syarie Negeri Melaka, JH 23 (2), yang
mana di dalam kes ini, faktor kesalahan kali pertama dan pengakuan salah diambilkira
sebelum hukuman dijatuhkan. Namun begitu Mahkamah Rayuan Syariah tidak menyatakan
ia merupakan suatu faktor utama dalam pertimbangan menjatuhkan hukuman.
93. Sehubungan dengan itu, menjadi suatu dapatan Mahkamah ini bahawa kesalahan kali
pertama bukan menjadi faktor utama yang menyebabkan peringanan hukuman diberikan
secara otomatik. Bahkan, Mahkamah hendaklah juga memberikan pertimbangan kepada
faktor-faktor lain yang lebih utama bagi mencapai matlamat penghukuman yang diberikan
oleh Mahkamah memenuhi maqasid ‘uqubah (matlamat hukuman) dalam Islam.
94. Walaupun, Mahkamah bersetuju dengan hujahan mitigasi PS tertuduh bahawa Mahkamah
hendaklah mengambil kira latar belakang tertuduh yang telah berumur hampir 60 tahun,
mempunyai masalah sakit jantung dan telah banyak menyumbang kepada aktiviti sosial
dan kebajikan kepada masyarakat hendaklah diberikan pertimbangan, tetapi perkara-
perkara tersebut hendaklah diimbangi dengan “faktor lain seperti jenis dan akibat kesalahan
serta kepentingan awam”
95. Selanjutnya Mahkamah merujuk hujahan PS tertuduh berhubung keadaan berat ringan
kesalahan ini memandangkan ia adalah kesalahan takzir dan menghujahkan Mahkamah
hendaklah memberikan hukuman yang ringan kepada tertuduh sehingga boleh dilepaskan
dengan cubaan akhlak berkelakuan baik.
96. Hukuman ta’zir ialah hukuman dera ke atas pesalah-pesalah yang telah sabit kesalahannya
dalam Mahkamah selain daripada kesalahan hudud dan qisas. Jenis, kadar atau bentuk
hukuman ta’zir adalah terserah kepada pemerintah yang bertujuan untuk menghalang
Page 37
Halaman 37 daripada 42
pesalah mengulangi kesalahan dan sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk tidak
melakukan kesalahan yang sama.
97. Abdul Rahman Ibrahim Abdul Aziz al-Hamidi dalam kitabnya al-Qadha’ wa Nizamuhu Fi al-
Kitab wa al-Sunnah menyatakan:
“Matlamat hukuman-hukuman dalam perundangan Islam bertujuan menimbulkan kesan
psikologi dan kegerunan kepada masyarakat. Perlaksanaan hukuman-hukuman dalam Islam
tidak bertujuan untuk menyeksa atau mengazab para pesalah, bahkan ianya untuk
mengembalikan kestabilan sosial, politik dan keamanan dalam masyarakat.”.
98. Dr. Abdul Qadir Audah dalam kitabnya Al-Tasyri’ al-Jinaaiy al-Islamiy, Juz 1, hlm 615
menyatakan bahawa :
“...adapun bagi kesalahan-kesalahan takzir, syariat memberi kebebasan kepada hakim di
dalam memilih hukuman yang sesuai di antara sekumpulan hukuman. Sebagaimana juga
diberikan kebebasan kepada hakim di dalam menetapkan kadar hukuman dan kebebasan
menentukan pemilihan hal keadaan jenayah dan hal keadaan penjenayah (dalam persoalan
meringan atau memberatkan hukuman). Sekiranya hakim berpendapat bahawa hal keadaan
jenayah dan hal keadaan penjenayah tidak menghendaki peringanan, maka hakim
hendaklah menghukum penjenayah mengikut hukuman yang selayaknya dengan jenayah
yang dilakukannya. Sekiranya hakim berpendapat hal keadaan penjenayah menghendaki
peringanan hukuman, maka hakim hendaklah menghukum dengan hukuman yang sesuai
dengan keperibadiannya, hal keadaannya dan hal keadaan kehidupannya serta akhlaknya.
Sekiranya pula bahawa hal keadaan jenayah menghendaki pemberatan hukuman,
sedangkan hal keadaan penjenayah menghendaki ia diringankan, maka hakim hendaklah
menghukum dengan hukuman pertengahan, dia tidak boleh memberatkan hukuman dan tidak
juga boleh meringankannya.”.
99. Y.A.A. Tan Sri Syeikh Ghazali bin Hj. Abdul Rahman dalam penulisannya bertajuk ‘Proses
Penghakiman dan menjatuhkan keputusan di Mahkamah Syariah : Satu penilaian’ Jurnal
Hukum Jld 7 Bhg. 1 hlm. 5. Beliau menyatakan antaranya:
Page 38
Halaman 38 daripada 42
“...biasanya sebelum hukuman dijatuhkan terutama dalam kes jenayah syariah, Hakim
Syarie akan memerhatikan faktor yang memberatkan hukuman dan faktor yang
meringankan hukuman. Setelah kedua-dua faktor itu diambil kira dan ditimbangkan, barulah
hukuman dijatuhkan. Secara tersuratnya, inilah asas pertimbangan Hakim-hakim Syarie
sebelum hukuman dijatuhkan. Selalunya antara faktor yang boleh meringankan hukuman
ialah pengakuan bersalah dan pernyataan taubat, pesalah bawah umur, rekod peribadi
yang baik, kesan hukuman terhadap kesihatan pesalah dan kesalahan pertama kali
dilakukannya. Manakala faktor-faktor yang boleh memberatkan hukuman pula ialah rekod
buruk pesalah, taraf perkahwinan, taraf pesalah di dalam masyarakat dan kedudukannya
yang tinggi, kekerapan kesalahan dilakukan dan penggunaan kekerasan dan keganasan
semasa melakukan kesalahan.”.
100. Berdasarkan kepada otoriti-otoriti tersebut, Mahkamah ini menyimpulkan bahawa matlamat
hukuman dalam perundangan islam adalah bagi memberikan pengajaran kepada pesalah
dan masyarakat sebagai suatu langkah pencegahan kepada masyarakat untuk tidak
melakukan kesalahan yang sama. Dalam menentukan takat hukuman, hakim mempunyai
budibicara untuk memilih hukuman yang bersesuaian dengan keseriusan kesalahan
dengan mengambil kira cara pensabitan, kesalahan kali pertama atau kesalahan berulang,
hal keadaan pesalah merangkumi umur pesalah, kedudukan pesalah dalam masyarakat,
kesan hukuman terhadap pesalah, rekod peribadi dan pernyataan taubat pesalah.
101. Mahkamah juga bersetuju dengan hujahan PS tertuduh berhubung rujukan kes Ketua
Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan lwn. Junaizulnizam b. Juhari dan Seorang lagi,
Jurnal Hukum Jld. 35 Bhg. 2 (Disember 2012) dan kes Shah Ruzan b. Hamdan lwn. KPS
Wilayah Persekutuan, Jurnal Hukum Jld 36 Bhg. 2 (Mei 2013) hlmn 119 yang menggunakan
prinsip:
”Dalam menimbangkan sesuatu hukuman, antara prinsip dan faktor yang utama adalah
kepentingan umum atau maslahan ’ammah dan bergantung kepada beratnya kesalahan
yang dilakukan oleh tertuduh”.
Page 39
Halaman 39 daripada 42
102. Pihak pendakawaan juga menghujahkan perkara yang sama dengan rujukan kepada kes
Abdul Kahar bin Ahmad lwn. Ketua Pendakwa Syarie Selangor, namun memberikan
intreperatasi yang berbeza berhubung maslahah peribadi dan maslahah ’ammah.
103. Pada pandangan Mahkamah, maslahah peribadi adalah jelas, iaitu berhubung kepentingan
yang bersangkut paut secara peribadi kepada tertuduh seperti kesan kepada kebebasan
diri tertuduh, kesihatan, kewangan, pekerjaan, keluarga dan lain-lain. Namun demikian,
apakah maslahah ’ammah yang perlu Mahkamah pertimbangkan dalam kes ini yang mana
hendaklah diutamakan daripada maslahah peribadi tertuduh?. Dihujahkan oleh PS tertuduh
ialah, maslahah ’ammah ialah maslahah masyarakat kawasan Parlimen Shah Alam yang
akan kehilangan ahli parlimennya dan maslahah masyarakat yang akan hilang keupayaan
tertuduh untuk berbakti kepada masyarakat.
104. Pada hemat Mahkamah, hujahan mitigasi tersebut adalah tidak tepat dengan apa yang
dimaksudkan oleh YA Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan yang dirujuk oleh PS tertuduh dan
Pendakwa Syarie. Apa yang dimaksudkan dengan maslahah ’ammah tersebut adalah
maslahah ’ammah yang ingin dijaga oleh peruntukan undang-undang yang digubal dan
dikuatkuasakan dalam negeri Selangor ini. Dalam kes ini adalah berkaitan pengawalan
pengajaran agama Islam kepada masyarakat negeri selangor agar tidak berlaku
penyebaran agama yang menyeleweng dan menimbulkan perpecahan dan mengganggu
keharmonian dalam masyarakat [sila lihat kes Fathul Bari Mat Jahya & Anor v. Majlis Agama
Islam Negeri Sembilan & Ors [2012] CLJ JT (2)]
105. Adalah ditegaskan juga bahawa, sepanjang prosiding ini, Mahkamah ini tidak membuat
apa-apa dapatan berhubung sama ada ucapan atau apa yang disampaikan oleh tertuduh
adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar atau tidak. Mahkamah juga tidak
membuat apa-apa dapatan berhubung sama ada apa yang disampaikan oleh tertuduh pada
18 Ogos 2011 di Surau Seri Sementa, Klang tersebut boleh membawa kepada perpecahan
dan / atau menggangu keharmonian masyarakat. Ini kerana perkara-perkara tersebut tidak
menjadi elemen kepada kewujudan kepada kesalahan yang disabitkan oleh Mahkamah ini.
Pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh adalah melakukan kesalahan mengajar
tanpa tauliah dan bukannya kesalahan mengajar ajaran salah.
Page 40
Halaman 40 daripada 42
106. Mahkamah merujuk kepada kitab Al-Uqubah Fi Al-Fiqhi Al-Islami, hlm. 135, karangan Dr.
Ahmad Fathi Bahansiy, menyatakan:
أن مقدارالتعزيز بحسب المصلحة وعلى قدر الجريمة
“Sesungguhnya kadar ta’zir yang dijatuhkan hukum kepada pesalah ta’zir adalah mengikut
kemaslahatan dan juga tahap jenayah yang telah dilakukan”
107. Matlamat hukuman (maqasid ‘uqubah) bukanlah bertujuan untuk menyeksa atau mengazab
pesalah sebagaimana yang disebutkan oleh Abdul Rahman Ibrahim Abdul Aziz al-Hamidi
dalam kitabnya al-Qadha’ wa Nizamuhu Fi al-Kitab wa al-Sunnah:
“Matlamat hukuman-hukuman dalam perundangan Islam bertujuan menimbulkan kesan
psikologi dan kegerunan kepada masyarakat. Perlaksanaan hukuman-hukuman dalam
Islam tidak bertujuan untuk menyiksa atau mengazab para pesalah, bahkan ianya untuk
mengembalikan kestabilan sosial, politik dan keamanan dalam masyarakat”
108. Ahmad Fathi al-Bahnasi dalam kitabnya al-‘Uqubah fi al-Fiqh al-Islami, Dar al-Kitab al-
‘Arabi, 1958, hlm. 11 menyimpulkan bahawa penghukuman mempunyai dua tujuan yang
boleh dilihat secara jangka pendek dan jangka panjang. Tujuan jangka pendek ialah bagi
memulih serta menghalang pesalah daripada mengulangi kesalahan itu dan seterusnya
mencegah orang lain daripada melakukan perkara yang sama. Manakala tujuan jangka
panjang ialah untuk menjaga kemaslahatan masyarakat awam.
109. Objektif penghukuman secara umumnya berkisar tentang dua perkara iaitu pertama
menghukum pesalah di atas kesalahan yang dilakukannya dan kedua mencegah orang lain
dari melakukannya. Oleh yang demikian, perkara yang paling penting dalam perlaksanaan
hukuman ta’zir ini adalah sebagai bentuk pencegahan, pembalasan, dan pemulihan (ta’dib).
Page 41
Halaman 41 daripada 42
110. Mahkamah berpendapat bahawa Mahkamah ini diberikan kuasa budibicara di dalam
menentukan setiap hukuman yang dikenakan bagi sesuatu kesalahan itu sama ada dimulai
dengan perkataan “hendaklah dihukum” atau “bolehlah dihukum” sebagaimana yang
disebutkan oleh Dr. Abdul Qadir Audah dalam kitabnya Al-Tasyri’ Al-Jinaie Al-Islamie,
sebagaimana yang dinukilkan sebelum ini.
111. Sehubungan dengan itu, Mahkamah ini berpendapat bagi memastikan hukuman yang
dijatuhkan oleh Mahkamah memenuhi maqasid penghukuman, hukuman tersebut
hendaklah sekurang-kurangnya dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh dan
masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama di masa-masa akan datang.
112. Berdasarkan kepada hujahan mitigasi PS tertuduh, hujahan pemberatan tertuduh,
Mahkamah mendapati terdapat hal keadaan tertuduh yang menghendaki peringanan
kepada hukuman dan dalam masa yang sama juga terdapat hal keadaan tertuduh
menghendaki pemberatan hukuman. Oleh yang demikian, Mahkamah berpuas hati bahawa
dalam kes ini sewajarnya hukuman diberikan tidaklah berat dan juga tidaklah ringan.
Dengan kata lain hukuman pertengahan. Selanjutnya adalah dinyatakan juga hukuman
MAKSIMUM bagi kesalahan ini sebagaimana yang diperuntukkan seksyen 119 (1) EPAIS
2003 adalah dendaan sebanyak RM3000.00 DAN dipenjara selama tempoh tidak melebihi
2 tahun.
113. Hukuman pemenjaraan adalah hukuman yang berat. Oleh yang demikian adalah tidak
wajar dan tidak sesuai bagi kesalahan tertuduh dan fakta kes tertuduh.
114. Selain itu, Mahkamah juga mengambil kira proses pensabitan bagi kesalahan terhadap
tertuduh bukanlah dibuat melalui pengakuan salah, tetapi telah melalui proses perbicaraan
yang panjang sejak 2013 lagi. Proses perbicaraan yang panjang tersebut sudah semestinya
telah banyak mengambil masa banyak pihak dan telah menghabiskan banyak kos. Oleh
yang demikian, hukuman dendaan kurang daripada RM2000.00 sebagaimana yang dirayu
oleh tertuduh juga adalah terlalu ringan.
Page 42
Halaman 42 daripada 42
H. KEPUTUSAN / HUKUMAN
SETELAH Mahkamah berpuas hati dengan pensabitan terhadap tertuduh, dan setelah
Mahkamah mempertimbangkan hujahan mitigasi tertuduh serta hujahan pemberatan Pendakwa
Syarie berkaitan hukuman, serta setelah memberikan pertimbangan kepada alasan-alasan
penghakiman Mahkamah, maka dengan ini MAHKAMAH MEMUTUSKAN DAN
MENGHUKUMKAN seperti berikut :
1) Mahkamah perintahkan kamu Khalid bin Abdul Samad dijatuhkan hukuman dendaan
sebanyak RM2900.00 atau dipenjara tiga (3) bulan sekiranya gagal membayar denda
pada hari ini.