MyKad – Lebih Daripada Sekadar Kad Pengenalan Laluan kepada Keistimewaan bagi semua warga Malaysia PUTRAJAYA – Berbekalkan satu sahaja nombor MyKad sebagai rujukan, warga Malaysia kini boleh mengakses pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi Kerajaan baik di peringkat persekutuan mahupun negeri. Daya usaha “1 Nombor untuk semua Transaksi” (MyID) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 18 Januari 2010 dan diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan konsep Rakyat Didahulukan, menunjukkan transformasi pada pencapaian kad pengenalan. Bermula sebagai suatu langkah keselamatan pada 1948 untuk membendung ancaman komunis telah berubah menjadi satu kad pengenalan berteknologi tinggi. Perubahan ini memberi semua warga Malaysia laluan kepada pelbagai perkhidmatan dan keistimewaan. Di samping itu, dengan 1 Nombor untuk Semua Transaksi ini, MyKad memungkinkan penyampaian semua keistimewaan ini berlaku dengan lebih pantas. Ketika negara-negara lain sedang mengkaji bagaimana memperbaiki sistem pengenalan diri rakyat mereka, Malaysia sudah mendahului dengan memperkenalkan MyKad pada 5 September, 2001. MyKad merupkan salah satu daripada 7 aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia (MSC). MyKad telah melonjakkan Malaysia ke garisan hadapan teknologi inovatif bertaraf dunia. Malaysia menjadi negara pertama di dunia menggunakan kad pengenalan yang merangkumi gambar serta data biometrrik cap jari pada cip komputer yang terbina dalam sekeping plastik. Lebih daripada sekadar Kad Pengenalan MyKad 64K telah direka dengan ciri-ciri yang berupaya melaksanakan pelbagai fungsi seperti lesen memandu, Touch n Go, MEPS dan kad ATM. Kad ini juga boleh menyimpan maklumat pasport, maklumat kesihatan, Prasarana Kekunci Awam dan kad pengembara kerap. Selain berperanan sebagai kad pengenalan, MyKad juga digunakan sebagai aplikasi off card iaitu pengesahan untuk mengenal pasti pemilik MyKad. Antara aplikasi off card tersebut adalah: Penyata dalam talian bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Sistem Pemantauan Mikrokewangan di bawah MARA, Sistem Pengurusan Data Pelawat, Pembaharuan Pasport, Program Kesetiaan dan sebagai Kad Diskaun. Di masa hadapan Mykad akan mendapat lebih banyak keistimewaan dan warganegara Malaysia tidak seharusnya melepaskan segala keistimewaan ini hanya kerana tidak memiliki Mykad. Selain itu pemegang MyKad digalakkan memeriksa MyKad mereka dari semasa ke semasa. Disebabkan kecanggihan ciri-ciri cip pintarnya, kad ini amat sensitif dan mudah rosak jika diperlakukan secara kasar. MyKad juga boleh disemak di semua cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sila rujuk kepada laman web JPN di www.jpn.gov.my untuk mendapatkan senarai pejabat cawangan JPN.