PROFAIL CAWANGAN SARAWAK
ARTIKEL : 15 TAHUN MKM BERSAMA KOPERASI DI NEGERI SARAWAKMaktab
Koperasi Malaysia, atau nama dulunya Maktab Kerjasama Malaysia
sebelum ditukarkan pada tahun 2009 lebih dikenali dengan nama
ringkasnya MKM telah ditubuhkan pada tahun 1956. MKM ditubuhkan
untuk menyediakan program latihan dan pendidikan kepada gerakan
koperasi di Malaysia, menyediakan khidmat nasihat dan penyelidikan,
serta menerbitkan bahan-bahan bacaan yang berkaitan koperasi. Pada
bulan September 1998, MKM telah mengembangkan sayapnya ke Bumi
Kenyalang. Pada masa itu, MKM terletak di bawah Kementerian Tanah
dan Pembangunan Koperasi. Di samping Cawangan Sarawak, MKM juga
turut membuka cawangannya di Kota Kinabalu, Sabah.
Pejabat MKM Cawangan Sarawak pada awal perkembangannya di
Kuching terletak di Tingkat 1 Bangunan Melor, Satok. Pengurusan MKM
Cawangan Sarawak pada masa itu diuruskan oleh hanya dua orang
pembantu tadbir sementara kursus-kursus yang dijalankan diselia
oleh ibu pejabat MKM di Petaling Jaya, Selangor.
Di atas kesedaran untuk meningkatkan pemahaman terhadap ilmu
perkoperasian di kalangan koperator-koperator di Sarawak, maka pada
tahun 2000, MKM Cawangan Sarawak telah menambah bilangan tenaga
kerja seramai lima orang yang terdiri daripada seorang Ketua Pusat,
dua orang Pegawai Latihan, seorang Penolong Pegawai Tadbir dan
seorang Pemandu di samping dua orang pembantu tadbir sedia ada juga
telah ditetapkan perkhidmatannya. Ini bertujuan bagi memudahkan
kursus-kursus yang lebih efektif dijalankan.
Berikutan kursus-kursus yang dijalankan semakin bertambah, pada
tahun 2001, MKM Cawangan Sarawak telah berpindah ke pejabat baru
yang lebih selesa iaitu di Bangunan Amfinance, Jalan Haji Taha,
Kuching. Di samping itu juga, kakitangan bahagian akademik juga
telah bertambah seramai dua orang pada tahun 2002. Sejak itu, MKM
Cawangan Sarawak mula bergiat lebih aktif dalam melaksanakan
kursus-kursus yang bersesuaian dan relevan kepada gerakan koperasi
di seluruh negeri Sarawak selaras dengan perkembangan semasa. Untuk
meningkatkan lagi kualiti pengurusan dan latihan yang dijalankan,
MKM Cawangan Sarawak dengan kakitangan seramai 16 orang, sekali
lagi telah berpindah ke bangunan baru, iaitu Bangunan Rugayah di
Jalan Song Thian Cheok, Kuching pada bulan Oktober 2006. Dengan
adanya bangunan 4 tingkat yang luas ini, segala aktiviti-aktiviti
kursus dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan efektif di
samping dapat memberikan keselesaan kepada peserta-peserta kursus
serta memenuhi keperluan mereka sepanjang tempoh berkursus.
Selama 15 tahun beroperasi di negeri Sarawak, MKM Cawangan
Sarawak telah mempunyai kekuatan tenaga kerja seramai 18 orang yang
terdiri daripada seorang Pengarah Cawangan, 10 orang kakitangan di
bahagian Pentadbiran serta tujuh orang Pegawai Latihan di bahagian
akademik termasuk tiga orang pegawai latihan yang melapor diri pada
penghujung tahun 2007 dan 2008. Sepanjang tempoh itu juga, MKM
Cawangan Sarawak pernah diketuai oleh seramai 8 orang pengarah.
Pada bulan April 2012 sehingga kini, MKM Cawangan Sarawak diketuai
oleh En. Ngadi bin Robin, anak jati Sarawak pertama yang dilantik
sebagai Pengarah Cawangan.
Pengurusan MKM Cawangan Sarawak terbahagi kepada dua bahagian
utama iaitu, Bahagian Akademik dan Bahagian Pentadbiran. Seramai
tujuh orang pensyarah dari Bahagian Akademik mempunyai pelbagai
bidang kepakaran seperti pentadbiran, perundangan dan kepimpinan
koperasi, perakaunan dan kewangan, pengurusan perniagaan dan
keusahawanan serta teknologi maklumat dan komunikasi. Bahagian
pentadbiran MKM Sarawak pula mempunyai seramai 10 orang kakitangan
yang sentiasa menyokong dan membantu dalam melaksanakan pelbagai
program latihan serta bersama-sama dalam memenuhi misi untuk
melahirkan warga MKM yang komited, berpengetahuan, kreatif,
inovatif dan beretika melalui program pembangunan sumber manusia
yang berkesan.
MKM Sarawak menawarkan kursus-kursus dalam bidang Pentadbiran
dan Pengurusan Koperasi, Kursus Perakaunan dan Kewangan, Teknologi
Maklumat dan Komunikasi. Tidak ketinggalan juga kursus-kursus yang
berkaitan dengan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan. Jangka
masa kursus pendek ini mengambil masa selama dua hingga lima hari
dan terbuka kepada Pengerusi, Bendahari, Setiausaha, Lembaga,
Kakitangan Koperasi dan Anggota Koperasi serta individu atau
usahawan yang berminat dengan koperasi. Mengambil kira faktor
geografi di Sarawak, MKM Sarawak juga telah mengambil inisiatif
menganjurkan kursus-kursus di bahagian-bahagian lain dalam negeri
Sarawak. Ini bagi memberi peluang kepada koperator-koperator yang
tinggal di luar kawasan Kuching untuk menghadiri kursus-kursus yang
dianjurkan. Selain daripada itu, MKM Sarawak juga menawarkan
kursus-kursus wajib khusus untuk Anggota Lembaga Koperasi dan
Jawatankuasa Audit Dalaman bertujuan untuk membekalkan mereka
dengan ilmu asas pentadbiran dan pengurusan koperasi yang berkaitan
dengan bidang tugas masing-masing.
Program-program lain yang ditawarkan oleh MKM Cawangan Sarawak
saban tahun adalah program MKM Bersama Koperasi dan MKM Bersama
Agensi yang menyelia koperasi bagi mewujudkan jalinan dalam
membantu koperasi mencapai objektif asal penubuhannya supaya
selaras dengan hasrat kerajaan. MKM Sarawak juga mengadakan
program-program khas seperti Bicara Eksekutif, Bicara Profesional
dan Seminar yang membincangkan isu-isu semasa berkenaan dengan
gerakan koperasi di samping mewujud dan meningkatkan jaringan
perhubungan antarabangsa bagi melaksanakan latihan bersifat global.
Program ini mengambil masa selama setengah hari sehingga 2
hari.
Untuk merapatkan hubungan dengan koperasi, MKM Cawangan Sarawak
sering mengatur lawatan ke koperasi untuk melihat dengan lebih
dekat aktiviti-aktiviti sesebuah koperasi. MKM Cawangan Sarawak
juga sering melibatkan diri dalam pelbagai program pembangunan yang
dianjurkan oleh kementerian dan kerajaan tempatan. MKM Sarawak akan
sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran pengurusan, usahawan
dan tenaga kerja koperasi melalui program latihan, khidmat nasihat
dan konsultansi.
Bermula pada Februari 2006, MKM Sarawak telah melangkah setapak
lagi ke arah memajukan gerakan koperasi di Sarawak dengan
menganjurkan program Sijil Pengurusan Koperasi khusus untuk
kakitangan pengurusan koperasi. Program yang memakan masa selama 18
bulan ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta
tentang konsep koperasi dan kemahiran berkenaan pengurusan dan
pentadbiran koperasi. Dengan berbekalkan ilmu yang diperolehi dalam
program ini, peserta akan menjadi agen perubahan untuk membantu
koperasi membuat anjakan paradigma selaras dengan hasrat Dasar
Koperasi Negara. Sehingga tahun 2013, sebanyak enam pengambilan
telah dilaksanakan dan telah melahirkan seramai 91 orang graduan.
Pengambilan pertama pada tahun 2006 telah menempatkan seramai 22
orang peserta. Sementara pengambilan sesi kedua pada Oktober 2007
telah menerima seramai 11 penyertaan yang layak daripada pelbagai
koperasi di negeri Sarawak diikuti dengan 22, 48 dan 37 penyertaan,
masing-masing pada tahun 2008, 2009 dan 2010. Pengambilan pada
tahun 2011 pula telah menerima penyertaan daripada 33 orang anggota
koperasi.
Sejajar dengan objektif penubuhannya di Sarawak, MKM akan
sentiasa berdamping rapat dengan gerakan koperasi di dalam usaha
melahirkan komuniti dan usahawan koperasi yang berilmu dan
berintegriti. MKM Sarawak menggapai kecemerlangan di Bumi Kenyalang
melalui program pembangunan modal insan koperasi yang digerakkan
secara terancang bersesuaian dengan kehendak semasa gerakan
koperasi di Sarawak khususnya.Dr. Hjh. Jamilah bt Din
(Januari 2007 Disember 2008)
Tn. Hj. Ramlan b. Kamsin
(Januari 2009 Disember 2010)
Pn. Hjh Hayati bt Md Salleh
(2005 2006)
Yg Mulia Pn. Raja Maimon bt Raja Yusuf
( 2004 2005 )
Pn. Rafiah bt Omar
( 2004 )
Tn. Hj. Idris b. Ismail
( 2000 2004 )
Pn. Noor Zeeta bt Mohd Ramli
(Mei 2011 Mac 2012)
En. Ngadi b. Robin
(April 2012 - sekarang)
Statistik Pelajar SPK bagi setiap pengambilan
Statistik peserta kursus yang dianjurkan oleh MKM Cawangan
Sarawak dari tahun 1998 sehingga 2012
Statistik bilangan kursus yang dijalankan oleh MKM Cawangan
Sarawak dari tahun 1998 sehingga 2013
5