Page 1
Metodologi Imam al-Ghazali Terhadap Penghayatan Tilawah dalam Pendidikan al-Qur’an
Imam al-Ghazali's Methodologies Towards Internalizing of al-Quran Recitation in Quranic
Education
Mohd Abdul Nasir Abd Latif, Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi, Muhammad Hasbi Abd. Rahman, Mazdi Marzuki
Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris 0133304115
[email protected]
ABSTRAK
Kertas kerja ini merupakan sorotan semula kepada metodologi Imam al-Ghazali terhadap penghayatan tilawah dalam Pendidikan al-Qur’an. Beliau telah mengemukakan sepuluh elemen dalam metodologi tersebut. Sepuluh elemen tersebut adalah memahami keagungan dan ketinggian firman, mengagungkan Mutakallim, kehadiran hati dan meninggalkan bisikan jiwa, Tadabbur, Tafahhum (memahami secara mendalam), meninggalkan perkara yang menghalang pemahaman, Takhsis, Ta’aththur dan Tabarriy. Elemen-elemen yang dikemukakan berbentuk taksonomi yang perlu disertai dengan strategi yang berkesan agar penghayatan al-Qur’an dapat dijelmakan dalam tilawah al-Qur’an.
ABSTRACT
This paperwork is a review on Imam al -Ghazali 's methodologies towards internalizing of al Quran recitation in Quranic education. He introduced ten elements in Quranic education 's methodology. Those elements are understanding the greatness and highiest of God's Words, appreciating the Theologians, heart's togetherness and forbiding evil, Tadabbur, Tafahhum (deep understanding), avoid something that deviate our understanding, Takhsis, Ta’aththur and Tabarriy. These elements came with in the form of taxonomy which are to be combined with a proper startegy so that the internalizing of the Al Quran can be achived through it's recitation.
Page 2
PENDAHULUAN
Pendidikan al-Qur’an merupakan pendidikan tertua dalam sejarah Islam. Ia bermula serentak
dengan penurunan wahyu kepada Rasulullah saw. Kedatangan Jibril a.s ketika Rasulullah saw
bersendirian di gua Hira’ merupakan titik mula sebuah pendidikan yang agung. Pendidikan ini
tidak lahir dari perencanaan manusia bahkan ia lahir dari perencanaan Allah swt kepada
hambanya. Oleh itu sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah saw kembali ke pangkuan isterinya
Khadijah binti Khuwailid dalam keadaan ketakutan dan bukannya dengan kegembiraan
sebagaimana naluri manusia biasa yang bergembira apabila berhasil mendapatkan sesuatu
yang besar. Al-Bukhari (2000) meriwayatkan; “maka Rasulullah saw kembali (dengan wahyu
pertama) dengan hati yang gementar ketakutan. Baginda pergi ke pangkuan Khadijah r.a dan
meminta kepadanya; Selutkan aku! Selimutkan aku!. Khadijah menyelimutkan baginda
sehingga hilang rasa takut tersebut”.
Dalam konteks sejarah penurunan wahyu, proses dialog antara Jibril a.s dengan
Rasulullah s.a.w merupakan titik mula penting pendidikan al-Qur’an sebelum Baginda s.a.w
menerima wahyu yang pertama. Aishah r.ah. dalam hadis yang panjang menceritakan dialog
yang berlaku antara Nabi s.a.w dengan Jibril a.s sebagai detik-detik awal penerimaan wahyu
tersebut oleh baginda s.a.w. al-Bukhari (2000) meriwayatkan; “Dari Aishah r.ah umm al-
Mukminin, bahawa sesungguhnya ia berkata; Bermulanya Rasulullah s.a.w menerima wahyu
adalah dengan mimpi yang benar dalam tidur. Baginda tidak melihat mimpi tersebut melainkan
ia datang seperti pancaran cahaya waktu subuh. Kemudian baginda mula suka bersendirian di
gua Hirā’ dan beribadat di dalamnya. Baginda beribadat dalam beberapa malam dan
kemudiannya balik ke keluarganya dan berbekal untuk itu. Kemudian baginda kembali semula
kepada Khadijah dan berbekal seperti biasa sehinggalah datangnya kepada baginda kebenaran
ketika baginda berada di dalam gua Hirā’. Maka datang kepadanya malaikat dan berkata
kepadanya; “Bacalah!” Jawab baginda; “Aku bukan orang yang boleh membaca”. Maka
malaikat tersebut datang kepadaku dan memelukku sehingga aku terasa kekuatannya.
Kemudian ia melepaskan aku dan berkata; “Bacalah!” Aku menjawab; “Aku bukan orang yang
boleh membaca”. Kemudian ia datang kepadaku dan memelukku untuk kali yang kedua
Page 3
sehingga aku merasa kekuatannya. Kemudian ia melepaskan aku, maka ia berkata; “Bacalah!”
Aku menjawab; “Aku bukan orang yang membaca”. Maka ia datang kepadaku dan memelukku
untuk kali yang ketiga. Kemudian ia melepaskan diriku. Maka berkata malaikat tersebut;
“Bacalah dengan nama Tuhan-mu yang telah mencipta. Dia telah mencipta manusia dari
segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-mu yang Maha Mulia”.
Sejurus selepas peristiwa penurunan tersebut, maka bermulalah episod-episod gerakan
pemikiran yang dihiasi dengan ilmu dan pengetahuan dalam kalangan orang Arab. Gaya bahasa
al-Qur’an menjadikan mereka kembali meneliti gaya bahasa al-bayan dan al-ta’bir dalam
bahasa mereka. Ini kerana cara penyampaian al-Qur’an terlalu luar biasa dan di luar
kebijaksanaan bahasa yang dihasilkan oleh sasterawan mereka. Al-‘Ak (1994) mencatatkan Ibn
Qutaybah merakamkan dalam penulisannya al-Rasa’il soalan yang diajukan kepada Rasululullah
s.a.w. Mereka berkata; “Wahai Rasulullah, seseungguhnya engkau telah bawakan kepada kami
suatu kata-kata berbahasa Arab akan tetapi kami tidak mengetahui mengenainya sedangkan
kami orang Arab”. Maka Rasulullah s.a.w menjawab; “Sesungguhnya Tuhanku yang mengajar
aku dan aku mempelajarinya”.
Rasulullah kemudiannya mengajar para sahabat al-Qur’an. Pengajaran ini meliputi dua perkara
asas iaitu cara bacaan dan tafsir al-Qur’an. Pengajaran dua aspek ini secara asasnya berlaku
secara serentak. Ibn Taymiyah (2002) dalam pendahuluan penulisannya Muqaddimah Fi Usul al-
Tafsir telah menukilkan satu riwayat bersumberkan Abu Abd. Rahman al-Sulami. Beliau
menyatakan; “Mereka yang mengajar kami al-Qur’an seperti Uthman bin Affan, Abdullah bin
Mas’ud dan selain dari mereka, mereka mempelajari dari Rasulullah s.a.w sekadar sepuluh ayat
dan tidak lebih dari itu. Mereka mempelajari membaca al-Qur’an, ilmu-ilmu al-Qur’an dan
beramal dengan al-Qu’ran”.
METODOLOGI DAN TILAWAH DALAM PENDIDIKAN AL-QUR’AN
Metodologi pendidikan al-Qur’an merupakan istilah yang yang meliputi tiga perkara utama iaitu
metodologi, pendidikan dan al-Qur’an. Dalam konteks al-Qur’an, metodologi merujuk kepada
Page 4
istilah ‘minhaj’ dalam surah al-Ma’idah ayat 48. Firman Allah; “Bagi tiap-tiap umat yang ada di
antara kamu kami tetapkan syir’ah dan minhaj”. Ibn Abbas yang menyatakan maksud “syir’ah “
dan “minhaj” dalam ayat di atas bermaksud sabil (jalan) dan sunnah. Pandangan yang sama
dikemukakan oleh Mujahid sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Tabari (2000). Al-Ayni
mengutip pandangan Muhammad bin Yazid yang berpandangan bahawa al-Minhaj adalah al-
Tariq al-Mustamir (jalan yang berterusan) (al-Ayni, 2001).
Tilawah bermaksud bacaan. Bagi menyingkap maksud tilawah dalam konteks pendidikan al-
Qur’an, ayat 121 dari surah al-Baqarah wajar diteliti huraiannya. Firman Allah: “Mereka telah
Kami datangkan kepada mereka al-Kitab, mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan,
merekalah orang-orang yang benar-benar beriman dengan kitab tersebut, dan sesiapa yang
kufur dengannya maka merekalah orang-orang yang rugi”.
Menerusi ayat ini, al-Sabuni (1985) telah menyatakan bahawa tilawah dalam pendidikan al-
Qur’an sebenarnya merangkumi aspek-aspek berikut:
i. Tilawah: iaitu boleh membaca al-Qur’an dengan baik dan fasih.
ii. Tafahhum dan Tafsir: iaitu mengetahui makna dan faham maksud ayat-ayat yang
dibaca.
iii. Tatbiq: bermaksud menghayati atau merealisasikan ajaran al-Qur’an dalam
hidupnya dengan sepenuh hati dalam semua aspek kehidupan.
iv. Tahfiz: Yakni menghafaz ayat-ayat tertentu dari al-Qur’an untuk amalan, bacaan
dalam solat dan wirid-wirid. Jika mampu menghafaz secara keseluruhannya
adalah sangat baik.
v. Tarannum: iaitu bermaksud membaca al-Qur’an dengan suara yang baik dan
merdu serta dengan lagu yang sesuai.
vi. Ta’lim: Kalimah ini memberi maksud mengajar, iaitu berusaha untuk belajar
hingga berkemampuan untuk mengajar orang lain. Dengan cara ini al-Qur’an
boleh berkembang dari satu masyarakat ke satu masyarakat dan dari satu
generasi kepada generasi yang lain.
Page 5
IMAM AL-GHAZALI
Nama penuh Abū Hamīd Muhamad bin Muhamad bin Muhamad bin Ahmād al-Ghazālī al-Tūsi
al-Shāfi’e. Nama asalnya Muhamad sahaja. Beliau dikenali sebagai Abū Hamīd kerana
mempunyai anak lelaki bernama Hamīd yang meninggal ketika masih bayi. Ada pendapat
menyatakan bahawa panggilan seperti Abu Hamid sebagai satu gelaran sahaja kerana beliau
tidak memiliki anak lelaki (Abu Sway, 1996). Namun begitu pandangan ini agak ganjil kerana
tokoh ilmuan tersohor pada kebiasaannya mempunyai silsilah keluarga yang jelas samada dari
sebelah bapa mahupun keturunan yang lahir dari beliau.
Beliau lebih dikenali dengan gelaran al-Ghazālī. Terdapat dua bentuk ejaan bagi gelaran ini iaitu
dengan baris tashdid pada huruf zai dan tanpa tashdid (dalam ejaan rumi dengan memakai satu
huruf Z ataupun dua huruf Z). al-Ghazālī dengan huruf zai berbaris atas tanpa tahsdid merujuk
kepada nama daerah tempat lahirnya iaitu Gazalah. Manakala al-Ghazzālī pula merujuk kepada
pekerjaan harian bapa beliau sebagai seorang penenun dan penjual kain tenun. Pekerjaan ini
dinamakan “Gazzal” dan sebutannya al-Ghazzālī sebagai satu gelaran penduduk Khurasan
kepadanya. Walaubagaimanapun pemakaian perkataan al-Ghazālī (dieja dengan satu “z”)
bersempena nama kampung beliau dilahirkan lebih meluas diguna pakai. Beliau dilahirkan pada
tahun 450 Hijrah / 1058Masihi, di sebuah kampung bernama ‘Ghazālah’ yang terletak di pinggir
kota kecil bernama “Tus” berhampiran bandar Meshad di wilayah Khurasan (Mohamad, 1993).
Beliau yang dikenal sebagai al-Ghazālī itu merupakan tokoh yang muncul tepat tiga ratus tahun
sesudah Imam Syafie lahir iaitu tahun 150Hijrah / 730Masihi.
METODOLOGI PENGHAYATAN TILAWAH IMAM GHAZALI
Imam al-Ghazali telah mengemukakan 10 elemen asas dalam metodologi penghayatan tilawah
al-Qur’an seperti berikut;
a. Memahami keagungan dan ketinggian firman.
Page 6
Perkara asas yang perlu dihayati dalam pendidikan al-Qur’an adalah memahami kedudukan al-
Qur’an itu sendiri. Penghayatan ini penting bagi membezakan antara al-Qur’an dan bahan-
bahan bacaan lain. Al-Ghazali menyatakan bahawa al-Qur’an ini merupakan kurniaan Allah dari
Arash kemuliaannya yang dituurnkan sehingga ke darjah kedudukan pemahaman makhluknya
(al-Ghazali, 1992). Penerapan penghayatan ini menjadikan penelitian terhadap ayat-ayat al-
Qur’an perlu berbeza dan dibezakan dengan penilitian terhadap bahan-bahan bagi ilmu-ilmu
yang lain.
Implikasi terhadap tahap ini adalah, seorang penuntut perlu sedari bahawa huruf-huruf yang
dieja, perkataan-perkataan yang dilafaz dan fizikal tulisan yang ditatap bukan sebaris dengan
tulisan-tulisan yang lain hasil dari buah fikiran manusia. Atas dasar ini, takrif al-Qur’an itu
sendiri perlulah disingkap dari aspek ketinggian firman dalam al-Qur’an yang dipelajari dan
bukan sekadar memperincikan definisi al-Qur’an.
b. Mengagungkan Mutakallim
Al-Mutakallim bermaksud yang berkata-kata. Ia merujuk kepada Allah s.w.t yang berkata-kata.
Al-Ghazali (1992) menyatakan seorang pembaca harus menghadirkan di dalam hatinya
keagungan Allah (al-Mutakallim) dan mengetahui bahawa apa yang dibacanya bukanlah
pembicaraan manusia dan bahwa kalam Allah sangat penting kerana Dia telah menyatakan;
“Tidak menyentuhnya melainkan mereka yang disucikan” (al-Waqi’ah: 79).
Proses mengagungkan al-Mutakallim boleh dicapai menerusi proses berfikir tentang sifat-sifat
Allah. Penerapan dan penghayatan tentang sifat-sifat Allah perlu dijelmakan apabila
berhadapan dengan al-Qur’an. Penghayatan ini meliputi segala sifat kesempurnaan, kagungan
dan kesaan Allah. Al-Ghazali (1992) menyatakan dengan memikirkan hal-hal seperti ini maka
akan terhadirlah pengagungan Mutakallim dan pengagungan firman secara serentak.
Page 7
c. Kehadiran Hati dan Meninggalkan Bisikan Jiwa
Menghadirkan hati dan meninggalkan bisikan jiwa bermaksud al-Qur’an ini perlulah dipelajari
secara serius. Tingkah laku ini bertepatan dengan firman Allah; Wahai Yahya, ambillah kitab ini
dengan kekuatan” (Maryam: 12). Arahan ini bermaksud al-Kitab itu perlulah diberikan
kosentrasi dan berusaha untuk mengarahkan perhatian terhadapnya. Para ulama salaf
berpegangbteguh dengan disiplin ini sehingga diberitakan bahawa apabila mereka membaca
satu ayat tetapi hati mereka tidak bersama dengan ayat tersebut maka mereka akan
mengulanginya semula (al-Ghazali, 1992).
d. Tadabbur
al-Ghazali (1992) menyatakan Tadabbur adalah satu tahap yang melewati kehadiran hati.
Kehadiran hati mungkin menjadikan seseorang itu hanya sekadar mendengar al-Qur’an edari
dirinya sendiri atau daripada orang lain. Tujuan utama dalam membaca al-Qur’an adalah
mentadabbur ayat-ayatnya. Oleh itu, bacaan al-Qur’an perlulah dilakukan secara tartil
sebagaimana firman Allah; “Dan bacalah al-Qur’an secara tartil” (al-Muzzammil : 4). Imam Ali
r.a menyatakan bahawa bacaan tartil merujuk kepada proses mengelokkan sebutan huruf dan
pengetahuan untuk berhenti pada waqaf-waqaf yang sesuai (al-Qirsh 1421H). Oleh itu tidak ada
kebaikan pada ibadah tanpa pemahaman di dalamnya, dan tidak ada kebaikan pada bacaan
tanpa tadabbur di dalamnya (al-Ghazali, 1992).
Tadabbur al-Qur’an mempunyai pelbagai tingkatan. Abu Dzar menceritakan bahawa Rasulullah
s.a.w pada suatu malam mengimami kami lalu baginda membaca satu ayat berulang-ulang iaitu
firman Allah; “Jika engkau menyiksa mereka maka sesungguhnya mereka adalah hamba-
hambaMu” (al-Jathiyyah : 21). Sulaiman al-Darani berkata; sesungguhnya aku tertambat
membaca satu ayat selama empat atau lima malam, seandainya aku tidak memutuskan
perenungannya nescaya aku tidak mampu beralih kepada ayat lain. Juga diberitakan
sebahagian kaum salaf berada pada surah Hud selama enam bulan. Mereka mengulang-ulang
surah tersebut namun tidak selesai jua mentadabburnya (al-Ghazali, 1992)
Page 8
e. Tafahhum (memahami secara mendalam)
Tafahhum merujuk kepada proses mencari kejelasan dari setiap ayat secara tepat. Ini kerana al-
Qur’an meliputi berbagai tema yang meliputi antara lainnya sifat-sifat dan perbuatan Allah,
kisah para nabi dan rasul, perintah dan larangan Allah dan juga syurga dan neraka. Ini semua
berkait rapat dengan kehidupan manusia hingga ke akhirat sana. Oleh itu menjadi satu
keperluan untuk berusaha mencari pemahaman tersebut. Ibn Mas’ud berkata; “Barangsiapa
mengkehendaki ilmu orang-orang terdahulu dan orang-orang kemudian, maka hendaklah ia
mendalami al-Qur’an. Ilmu al-Qur’an yang paling agung berada di bawah nama-nama dan
sifatnya” (al-Ghazali, 1992)
Al-Ghazali (1992) menyatakan; “Perbuatan-perbuatan Allah seperti mencipta langit dan bumi
serta selainnya. Daripada perbuatan tersebut, pembaca al-Qur’an perlulah memahami
perbuatan tersebut berdasarkan sifat-sifat Allah. Ini kerana perbuatan tersebut menunjukkan
sifat Pelakunya (Allah). Ini akan membantu pembaca mengenal Allah. Apabila
pembacamengenal Allah, maka ia akan melihat kebesaran Allah dalam setiap sesuatu kerana ia
faham bahawa setiap sesuatu berasal dariNya, kembali kepadaNya dan untukNya”.
f. Meninggalkan perkara yang menghalang pemahaman
Al-Ghazali (1992) menyatakan bahawa terdapat empat perkara yang menghalang seseorang itu
daripada pemahaman al-Qur’an. Pertama perhatiannya hanya tertumpu kepada proses
menyempurnakan bacaan-bacaan huruf sahaja. Ini menjadikan renungannya terbatas kepada
makhraj-makhraj huruf sahaja. Jika ini berlaku bagaimana mungkin ia mampumengungkap
makna-makna al-Qur’an. Kedua taqlid kepada mazhab yang didengarnya sehingga ia fanatik dan
hanya mengikuti sahaja apa yang didengarinya tanpa berusaha memahaminya dengan basirah
dan musyahadah.
Ketiga berterusan dalam melakukan sesuatu dosa atau sikap sombong. Ia juga boleh berlaku
disebabkan hawa nafsu kepada dunia yang diperturutkan. Situasi ini boleh menyebabkan
timbulnya kegelapan dan karat hati. Keempat kerana membaca tafsir al-Qur’an secara zahir dan
menyakini tidak ada makna lain dari al-Qur’an selain dari yang dinukilkan oleh Ibn Abbas,
Page 9
mujahid dan tokoh-tokoh yang lain. Tafsir-tafsir yang tidak merujuk kepada tokoh-tokoh
tertentu dikira sebagai tafsir yang sesat. Namun begitu bukan bermaksud menjadikan al-Qur’an
bebas untuk ditafsirkan. Penafsiran mestilah berdasarkan kaedah-kaedah bahasa dan disiplin
yang telah disepakatkan.
g. Takhsis
al-Ghazali (1992) menyatakan Takhsis merujuk kepada kesedaran bahawa diri pembaca
merupakan sasaran bagi setiap ayat yang dibaca dalam al-Qur’an. Jika membaca suatu perintah
atau larangan maka ia memahami bahawa perintah atau larangan itu ditujukan kepadanya.
Demikian juga jika sekiranya ia mendengar ayat-ayat berkaitan janji dan ancaman. Jika ia
mendengar kisah-kisah orang terdahulu dan para nabi maka ia mengetahui bahawa kisah itu
tidak dimaksudkan sebagai bahan cerita semata-mata tetapi perlu diambil pelajaran dan bekal-
bekal yang diperlukannya. Kesedaran ini menjadikan pembaca merasa kuat dan teguh terhadap
Allah. Konsep ini menepati firman Allah; “Yang dengannya Kami teguhkan hatimu” (Hud : 20).
Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubhi berkata; “Orang yang telah sampai al-Qur’an kepadanya
sama dengan orang yang diajar bicara oleh Allah”.
h. Ta’aththur
Ta’aththur bermaksud terkesan di hati. Pada tahap ini, hati terkesan dengan dengan pelbagai
rasa sesuai dengan ayat yang di baca sesuai dengan tahap pemahaman yang dirasa. Al-Ghazali
menyatakan jika makrifat seseorang itu baik maka rasa takut akan mendominasi hatinya. Ini
kerana kebanyakan ayat al-Qur’an yang menceritakan tentang sesuatu anugerah akan disusuli
pula dengan syarat-syarat tertentu untuk mencapai anugerah tersebut ( al-Ghazali, 1992)
Sebagai contoh dalam surah Taha : 82, Allah s.w.t berfirman; “Bahawasanya Aku Maha
Pengampun”. Ia kemudiannya disusuli dengan empat syarat bagi meraih sifat Allah yang Maha
Pengampun tersebut iaitu kepada; “bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal salih,
kemudian tetap di jalan yang benar”. Demikian juga dapat dilihat dalam surah al-Asr; 1-3.
Hanya orang-orang yang beriman sahaja yang tidak berada dalam kerugian. Namun bukan
Page 10
kepada semua orang yang beriman. Orang beriman yang dimaksudkan adalah yang
mengerjakan amalan salih. Mereka sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-
pesan dengan kesabaran.
i. al-Taraqqi
al-Taraqqi bermaksud meningkatkan penghayatan sampai ke peringkat mendengar kalam Allah
bukan lagi dari diri sendiri (al-Ghazali, 1992). Ini bermaksud kalam yang dialunkan walaupun
dengan suara sendiri pada hakikatnya ia tidak dirasai sedemikian. Ini kerana kalam itu kalam
Allah. Dalam hal ini al-Ghazali membahagikan bacaan al-Qur’an terbahagi kepada tiga tahap.
Tahap pertama tahap yang paling rendah. Tahap dimana seorang hamba merasakan
seolah-olah dia membacanya kepada Allah berdiri dihadapanNya dan Allah menyaksikannya
dan mendengar bacaannya. Dalam situasi ini, ia seperti dalam posisi selalu memohon, merayu,
merendahkan diri dan berdoa. Tahap kedua adalah tahap ashab al-Yamin. Pada tahap ini
seorang hamba merasakan seolah-oleh Allah melihatnya dan mengajaknya berbicara dengan
berbagai taufiqNya, memanggilnya dengan berbagai nikmat dan kebaikan dariNya sehingga ia
berada pada posisi malu, mengagungkan Allah, mendengar dan memahami. Tahap ketiga pula
adalah tahap Muqarrabun (orang-orang yang dekat). Golongan ini merasai Allah sebagai yang
berfirman dalam setiap kalam yang dibaca, melihat sifat-sifatNya dalam kalimat yang ada,
sehingga ia tidak lagi melihat dirinya dan bacaanya. Seluruh perhatiannya hanya kepada Allah
yang berfirman. Ja’far Muhammad al-Sadiq berkata; “Demi Allah, Allah telah menunjukkan
zatNya kepada makhlukNya dalam kalamNya tetapi mereka tidak melihatNya” (al-Ghazali,
1992).
j. Tabarriy
Tabarriy merujuk kepada melepaskn diri dari daya dan kekuatannya dan memandang kepada
dirinyadengan pandangan redha dan ketulusan. Dalam situasi ini, apabila seseorang itu
membaca ayat al-Qur’an berkaitan janji dan sanjungan terhadap orang-orang yang soleh, maka
dia merasakan dirinya tidak termasuk dalam golongan tersebut. Namun begitu ia merindui
Page 11
untuk bersama-sama dengan golongan yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat berkaitan.
Apabila dibacakan ayat-ayat yang berkaitan dengan kecaman terhadap golongan yang engkar,
ia merasakan kecaman tersebut kepada dirinya lantas ia berasa takut dan cemas (al-Ghazali,
1992)
Ibn Umar telah berdoa; “Ya Allah, aku bermohon keampunan kepadaMu atas kezaliman dan
kekufuranku”. Beliau kemudiannya ditanya; “Kami mengerti tentang kezaliman tetapi kenapa
kamu berdoa memohon ampun atas kekufuran?. Ibn Umar kemudian membaca ayat;
“Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan kufur” (Ibrahim : 34).
PENUTUP
Perbincangan di atas telah mengemukakan sepuluh elemen yang menjadi asas terhadap
metodologi penghayatan al-Qur’an oleh al-Ghazali. Secara keseluruhannya, elemen-elemen
yang dikemukakan itu merupakan nukilan penghayatan yang pernah ditempuhi oleh para salaf
yang soleh dalam berinteraksi dengan al-Qur’an. Elemen-elemen yang dikemukakan berbentuk
taksonomi yang perlu disertai dengan strategi yang berkesan agar penghayatan al-Qur’an dapat
dijelmakan dalam kehidupan.
Page 12
RUJUKAN
Al-Qur’an al-Karim
Murtadā al-Zubaidī, Ithāf al-Sādah al-Mutaqīn bi-Sharh Asrār Ihyā ‘Ulumal-Dīin,Beirut: Dar
Ihya’Al-Turath al-Arabiyy.
Mustafa Abu Sway (1996), Al-Ghazzaliy: A Study In Islamic Epistemology. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Mohamad bin Mohamad, 1993. Al-Munqidh min al-Dhalāl wal Mufsih bil Ahwāl. Beirut: Dārul
Fikr Al-Lubnāni.
Mahmud bin ahmad al-ayni (2001), Umdah Al-Qari’ Sharh al-Sahih al-Bukhari, Abdullah
Mahmud Muhammad umar (ed), Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
al-Tabari, Muhammad bin Jarir (2000), Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, Ahmad Muhammad
Shakir (ed), Beirut: Mu’assasah al-Risalah.
Al-Sabuni, Muhammad Ali (1985). al-Tibyan Fi Ulum al-Qur’an, Beirut: a’lam al-Kutub.
Al-‘Ak, Khalid Abd Rahman (1994), Usul al-tafsir wa Qwa’iduh, Beirut : Dar al-Nafa’is.
Ibn Taymiyah (2002), Muqaddimah Fi Usul al-Tafsir, Beirut : Mu’assasah al-Rayyan.
Al-Ghazali, Abu Hamid, Muhammad bin Muhammad (1992), Ihya’ Ulum al-Din, Beirut: Dar al-
Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Qirsh, Jamaluddin bin Ibrahim (1421H), Zad al-Muqri’in Athna’ Tilawah al-Kitab al-Mubin,
Tanta: Dar al-Dhiya’.