Top Banner
1 MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM KUMPULAN PUISI: SALASILAH ZURINAH HASSAN Rohaya Md Ali Abstrak Penulisan karya sastera dengan mengangkat aspek sejarah sebagai sumber pengkaryaan bukanlah sesuatu yang baharu dalam disiplin kesusasteraan tanahair. Sastera merupakan hasil rekaan yang lebih banyak berdasarkan imaginatif, namun fakta dan realiti adalah berdasarkan sumber sejarah; manakala sejarah mengutamakan fakta dan realiti dengan melihat maksud kejadian dan peristiwa lampau yang benar tentang kisah manusia, namun masih bersifat subjektif dan interpretasi sejarah itu masih dapat dipertikaikan. Pemaknaan baharu dalam konteks karya sastera menjelaskan bahawa teks itu difahami mengikut situasi zaman dan keberadaan masyarakat semasa. Sehubungan itu, makalah ini akan menganalisis pemaknaan baharu yang terdapat dalam Kumpulan Puisi: Salasilah hasil karya Sasterawan Negara Zurinah Hassan (2016) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Penelitian secara analisis teks ini menggunakan pendekatan Historisisme Baharu bertujuan mengangkat makna baharu dalam karya melalui pengkisahan semula peristiwa sejarah dalam bentuk puisi. Karya berbentuk historiografi dalam kesusasteraan Melayu memaparkan pemikiran bangsa Melayu tradisional yang merakam peristiwa lampau berkaitan manusia dan kemanusiaan, budaya dan kebudayaan dan seterusnya diberi interpretasi baharu sesuai dengan khalayak masyarakat kini. Pemaknaan baharu dalam karya bersumber sejarah dapat mendedahkan masyarakat kepada ruang kognitif yang lebih luas dalam memahami karya mengikut situasi zaman masyarakat. Kata Kunci: Makna Baharu; Puisi; Historisisme Baharu; Sejarah
24

MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

Oct 04, 2021

Download

Documents

dariahiddleston
Welcome message from author
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
Page 1: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

1

MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU

DALAM KUMPULAN PUISI: SALASILAH ZURINAH HASSAN

Rohaya Md Ali

Abstrak

Penulisan karya sastera dengan mengangkat aspek sejarah sebagai sumber

pengkaryaan bukanlah sesuatu yang baharu dalam disiplin kesusasteraan tanahair.

Sastera merupakan hasil rekaan yang lebih banyak berdasarkan imaginatif, namun

fakta dan realiti adalah berdasarkan sumber sejarah; manakala sejarah mengutamakan

fakta dan realiti dengan melihat maksud kejadian dan peristiwa lampau yang benar

tentang kisah manusia, namun masih bersifat subjektif dan interpretasi sejarah itu

masih dapat dipertikaikan. Pemaknaan baharu dalam konteks karya sastera

menjelaskan bahawa teks itu difahami mengikut situasi zaman dan keberadaan

masyarakat semasa. Sehubungan itu, makalah ini akan menganalisis pemaknaan

baharu yang terdapat dalam Kumpulan Puisi: Salasilah hasil karya Sasterawan Negara

Zurinah Hassan (2016) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Penelitian secara

analisis teks ini menggunakan pendekatan Historisisme Baharu bertujuan mengangkat

makna baharu dalam karya melalui pengkisahan semula peristiwa sejarah dalam

bentuk puisi. Karya berbentuk historiografi dalam kesusasteraan Melayu memaparkan

pemikiran bangsa Melayu tradisional yang merakam peristiwa lampau berkaitan

manusia dan kemanusiaan, budaya dan kebudayaan dan seterusnya diberi interpretasi

baharu sesuai dengan khalayak masyarakat kini. Pemaknaan baharu dalam karya

bersumber sejarah dapat mendedahkan masyarakat kepada ruang kognitif yang lebih

luas dalam memahami karya mengikut situasi zaman masyarakat.

Kata Kunci: Makna Baharu; Puisi; Historisisme Baharu; Sejarah

Page 2: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

2

Pengenalan

Karya kesusasteraan merupakan rakaman sosiobudaya sesebuah masyarakat.

Terkandung di dalamnya segala persoalan berhubung kisah hidup masyarakat dalam

setiap zaman karya sastera itu dibaca dan dinilai. Sejarah yang panjang dalam

perjalanan hidup sesuatu masyarakat itu membawa pelbagai makna dan tafsiran

kepada masyarakat. Pemahaman tentang makna sesebuah karya itu ditanggapi

berdasarkan zaman karya terhasil. Namun jauh dari itu, karya sastera yang bersifat

luwes ini dapat diterjemahkan mengikut konteks situasi semasa masyarakat kini.

Penulisan karya sastera dengan mengangkat aspek sejarah sebagai sumber

pengkaryaan bukanlah sesuatu yang baharu dalam disiplin ilmu kesusasteraan

tanahair. Sastera merupakan hasil rekaan yang lebih banyak berdasarkan imaginatif,

namun fakta dan realiti adalah berdasarkan sumber sejarah; manakala penulisan

sejarah adalah berdasarkan fakta dan realiti dengan melihat maksud kejadian dan

peristiwa lampau yang benar tentang kisah manusia, namun masih dapat ditemui

aspek-aspek yang bersifat subjektif, yang tidak dibuktikan kebenarannya dan

interpretasi sejarah yang diberikan itu masih dapat dipertikaikan. Hal ini kerana semua

sedia maklum bahawa sejarah merupakan penulisan yang harus ditulis kembali, ditulis

secara terus-menerus. Biarpun begitu, kebenaran yang mutlak tidak pernah diperoleh

oleh sebab adanya beberapa hambatan (Hashim Awang, 1994). Hal ini antara lain

disebabkan oleh fakta yang tidak lengkap dan bersifat grafmentarik. Kedua, sejarawan

pada umumnya berlaku selektif dalam pemilihan data, dan ketiga, sejarawan juga

manusia biasa yang mempunyai latar belakang, kecenderungan dan pendirian yang

bersifat subjektif yang berdasarkan kepada pengalaman dan keadaan hidup pada suatu

Page 3: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

3

zaman dan masyarakat yang khusus. Oleh itu secara tidak langsung, penulisan sejarah

juga turut mengandungi unsur imaginatif dan spekulatif, sama seperti karya sastera (A.

Teeuw, 2015).

Historisisme baharu dalam penulisan kesusasteraan menjadikan peristiwa

sejarah lampau sebagai suatu pengkisahan atau pembacaan oleh pengarang sebagai

suatu usaha untuk menguatkan pembangunan jati diri bangsa agar menghargai sejarah

lampau dan mengambil iktibar dan teladan untuk kekuatan negara bangsa hari ini.

Historisisme Baru dalam Kajian Kesusasteraan Penelitian kajian terdahulu oleh para sarjana berkaitan pensejarahan baharu dalam

karya sastera telah banyak dilaksanakan. Antaranya ialah Mohd Syukor Abdullah

(2019) membuat penelitian pensejarahan baharu ke atas novel Ali Jusoh yang berjudul

Antara Dendam dan Perjuangan yang melibatkan perjuangan dalam kalangan tokoh

pejuang tanahair iaitu Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang dalam

menentang penjajahan Inggeris. Aspek sejarah yang terdapat dalam novel telah diberi

intepretasi baharu apabila diperlihatkan tokoh-tokoh sejarah tersebut telah diberi ruang

yang baharu dengan menolak tanggapan negatif yang dibawa dalam peristiwa sejarah

lampau sesuai dengan situasi kini.

Selain itu, Abdul Halim Ali (2012) telah menganalisis pengkisahan semula

sastera Melayu tradisional dari perspektif baharu. Perubahan demi perubahan yang

dialami oleh orang-orang Melayu hingga ke hari ini menunjukkan corak kehidupan dan

pemikiran mereka juga turut berubah. Oleh itu, teks sastera tradisional tidak lagi

mendukung persepsi makna yang sejajar dengan realiti kehidupan orang Melayu kini.

Page 4: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

4

Melalui analisis secara kaedah pengisahan semula ini, teks-teks kesusasteraan Melayu

tradisional yang mempunyai makna negatif tentang dunia orang Melayu dan Islam

dapat dikisahkan semula sejajar dengan pandangan hidup dan makna terkini dunia

orang-orang Melayu dan Islam itu sendiri.

I Wayan Artika (2015), turut menggunakan historisisme baharu sebagai satu

model kaedah pengajaran di sekolah sebagai suatu usaha memudahkan pemahaman

pelajar dalam mempelajari sastera dan sejarah melalui enam kaedah utama iaitu

memilih teks, mempelajari masyarakat, membaca karya sastera, mempelajari teks

bukan sastera atau teks sejarah, menganalisis hubungan antara teks sastera dan teks

bukan sastera secara parallel dan terakhir menyusun dan merencana teknik

pembelajaran.

Historirisme baru juga turut dijadikan penelitian oleh pengkaji Mohd Ali Raden

(2020) melalui kajian yang bertajuk “Muslim Burmat dan Historisisme Baru”. Kajian ini

mengajukan wacana penolakan terhadap kedudukan penjajah iaitu British di

Brunei, sebagaimana yang terhimpun dalam dokumen sejarah. Sebaliknya Muslim

Burmat meyakini tindakan yang dipilih anak bangsa dalam novelnya adalah dalil

bahawa sastera dapat menewaskan ideologi imperialisme dan kolonialisme. Maka

penelitian yang dijalankan mengambil faedah daripada kerangka historisisme baru.

Metode

Penelitian ini menggunakan pendekatan historisisme baru atau disebut sebagai

pensejarahan baru oleh Stephen Greenblatt (1982). Menurut Philip Rice dan Patricia

Waugh (Abdul Halim Ali, 2011), pendekatan historisisme baru merupakan satu kaedah

Page 5: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

5

pembacaan terhadap teks sastera lama yang berunsur sejarah atau pensejarahan dan

menganalisis hasil pembacaan yang mempunyai hubungan makna dengan masa kini.

Secara mudah, historisisme baru merupakan satu pendekatan yang mengkaji sastera

dengan kaca mata sejarah yang baru (Mana Sikana, 2013). Hal ini menjelaskan

bahawa dalam pendekatan historisisme baru, aspek sejarah telah dimasukkan ke

dalam teks sastera sebagai suatu sumber pengkaryaan. Pendekatan ini turut

menjelaskan bahawa bukan sahaja peristiwa sejarah itu disalin semula oleh pengarang,

sebaliknya pengarang turut membina sejarah fiksyen yang diberi makna yang baru

dalam konteks yang lebih terbuka serta mencabar pensejarahan itu sendiri.

Sehubungan itu, perbincangan ini akan menganalisis peristiwa sejarah yang terdapat

dalam teks Kumpulan Puisi: Salasilah oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan serta

memberi interpretasi baru kepada peristiwa sejarah dalam konteks situasi kini.

Menyusur Masa Lalu Menyisir Makna Baharu dalam Kumpulan Puisi: Salasilah Zurinah Hassan

Penelitian ini akan membincangkan aspek pemaknaan baharu pada karya sasterawan

Negara Zurinah Hassan, iaitu Kumpulan Puisi: Salasilah (2016). Buku ini dibahagikan

kepada tiga bahagian yang utama dengan pembawaan tema yang berlainan, iaitu pada

bahagian satu diberi judul ‘Mukadimah Selat Melaka’ yang terkandung di dalamnya

sebanyak 39 sajak, dan keseluruhan puisi adalah berhipogram teks Sulalatus Salatin

(Sejarah Melayu). Bahagian kedua bertajuk “Bergurau Senda” terdiri daripada 17 sajak

yang diangkat peristiwa yang terkandung daripada cerita jenaka Melayu, dan bahagian

ketiga berjudul “Tun Sri Lanang” dengan jumlah sajak sebanyak 42, memperlihatkan

Page 6: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

6

penghasilan sajak yang mengangkat persoalan berkaitan isu semasa yang berlaku

dalam kehidupan masyarakat sehari-hari.

Aspek pemaknaan baharu yang dibincangkan dalam penelitian ini menggunakan

pendekatan historisisme baru atau pensejarahan baharu, iaitu suatu pendekatan atau

kaedah yang berorientasikan sejarah oleh Stephen Greenblatt (Sohaimi Aziz, 2014).

Melalui kaedah ini perbincangan akan menjurus kepada pemaknaan baharu yang

terdapat dalam Kumpulan Puisi: Salasilah oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan.

Memetik kata-kata Zurinah Hassan dalam bahagian kata pengantar buku, beliau

menjelaskan bahawa berdasarkan pembacaannya terhadap buku-buku sejarah bangsa

seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, pelbagai cerita rakyat dan cerita jenaka

telah membenihkan karya-karya yang baharu dan membawa siratan makna yang juga

baharu dalam sajak-sajak yang dihasilkan.

Sehubungan itu, perbincangan berdasarkan pendekatan historisisme baru ini

akan memperkatakan aspek berkaitan empat wacana utama, iaitu pemerintah dan

pemerintahan, subaltern, wanita, dan humor atau jenaka yang terdapat dalam teks

telitian bagi memperlihatkan makna baharu pada karya mengikut kesesuaian zaman

dan budaya masyarakat.

Wacana Pemerintah dan Pemerintahan

Wacana pemerintah dan pemerintahan dalam konteks perbincangan ini menyentuh

aspek raja sebagai pemerintah dan rakyat yang diperintah dalam sistem pentadbiran

sesebuah kerajaan. Selagi sesebuah negara wujud di dunia ini, maka akan wujud

pemerintah sebagai ketua negara dan rakyat yang diperintah yang harus menurut

Page 7: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

7

segala peraturan yang ditetapkan dalam sesebuah kerajaan. Menjadi seorang

pemerintah harus mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi, berlaku adil, dan

bijaksana dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul dalam negara

dan menyelesaikan pergolakan luar negara dengan baik.

Semenjak dari dulu hingga kini, seseorang pemerintah perlu melaksanakan

tanggungjawab dengan sebaiknya dalam pemerintahan. Namun begitu, akibat desakan-

desakan tertentu sama ada dari dalam diri sendiri atau dari luar diri, maka akan lahirlah

pemerintah yang mempunyai sifat dan perlakuan yang bertentangan dengan hakikat

yang sebenarnya. Dalam hal ini, pembacaan ke atas teks Kumpulan Puisi: Salasilah

oleh Zurinah Hassan melalui pendekatan historisisme baru memperlihatkan tentang

wacana mengenai pemerintah dan pemerintahan dipaparkan seperti berikut:

Mimpi Paduka Maharaja

….

Paduka Maharaja menghempas kekesalannya

“Maafkan beta Nadim

Suara rajaku telah menyetujui kekejaman

Suara raja tak semestinya suara hati

Kerana raja juga hamba

Kepada aturan yang merajakannya”.

Aturan yang tegak atas kebodohan

Tak boleh memberi ruang kepada kepintaran.

Betapa aku menyesal membunuh Nadim

Ini dosa kepada bangsa

Menolak akal dan ilmu

Aku sepatutnya mengajar pulau itu

Memberi peluang kepada kepintaran Melayu

(Zurinah Hassan, 2016:19-20)

Page 8: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

8

Pendekatan historisisme baru antara lain menjelaskan tentang interpretasi

semula peristiwa sejarah dengan memberi makna yang baharu sesuai dengan khalayak

dan pembaca yang juga baharu. Sajak “Mimpi Maharaja” memperlihatkan peristiwa

berkaitan Singapura diserang oleh todak yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu.

Berdasarkan peristiwa tersebut, rakyat telah diarahkan menjadi perisai bagi

menghalang serangan todak daripada naik ke darat. Oleh kerana akal cerdik seorang

kanak-kanak bernama Hang Nadim memberi idea menggunakan batang pisang

sebagai perisai telah membuahkan hasil. Akhirnya, serangan todak berjaya diipatahkan.

Namun demikian, Hang Nadim dibunuh oleh raja kerana hasutan pembesar yang

dengki dan iri hati akan kebijakan kanak-kanak tersebut. Namun begitu, dalam sajak

‘Mimpi Maharaja’ yang diberi makna baharu, penulis telah meletakkan satu perasaan

kekesalan kepada Raja Singapura atas tindakan baginda membunuh Hang Nadim. Hal

ini tidak disebut dalam teks Sejarah Melayu. Kekesalan raja dapat dilihat pada bait baris

berikut:

Paduka Maharaja menghempas kekesalannya

“Maafkan beta Nadim

Suara rajaku telah menyetujui kekejaman

Suara raja tak semestinya suara hati

Kerana raja juga hamba

Kepada aturan yang merajakannya”.

Aturan yang tegak atas kebodohan

Tak boleh memberi ruang kepada kepintaran.

(Zurinah Hassan, 2016:19-20)

Penyesalan seorang raja ini diperlihatkan dengan nada rintihan yang melankolik

bagi menggambarkan perasaan yang sangat menyesal dengan segala perbuatan yang

telah dilakukan.

Page 9: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

9

Betapa aku menyesal membunuh Nadim

Ini dosa kepada bangsa

Menolak akal dan ilmu

Aku sepatutnya mengajar pulau itu

Memberi peluang kepada kepintaran Melayu

(Zurinah Hassan, 2016:19-20)

Melalui praktik historisisme baru, penulis membawa pembaca menyelami sejarah

lalu dalam peristiwa yang berlaku dengan membuat satu sudut pandang baru bagi

pihak pemerintah yang diwakili oleh Paduka Maharaja yang suatu ketika dahulu

mendapat persepsi yang negatif daripada kalangan rakyat kerana menjatuhkan

hukuman bunuh kepada seorang kanak-kanak yang tidak bersalah. Penulis

menjernihkan situasi yang berlaku pada sejarah lalu dengan mewujudkan penyesalan

kepada pihak pemerintah kerana apa yang berlaku itu adalah satu kesilapan atas

keangkuhan diri sendiri yang tidak mahu tunduk kepada kecerdikan akal seorang

kanak-kanak. Andainya perkara tersebut tidak berlaku, maka akan lahir lebih ramai

kepintaran dalam kalangan umat Melayu. Penyesalan yang dirintih dengan nada

melankolik ini memberi satu sudut pandang baharu kepada pembaca hari ini bahawa

apa sahaja titah perintah seorang pemimpin itu dikaitkan dengan sifat pemimpin

sebagai manusia biasa yang juga terpengaruh oleh nafsu dan tekanan sekeliling yang

menyebabkan sesuatu tindakan yang diambil itu tidak mengikut fikiran yang waras.

Selain memberi makna baharu pada peristiwa sejarah Singapura dilanggar

Todak, penulis juga turut mewacanakan berkaitan kebijaksanaan seseorang

pemerintah. Menjadi pemerintah memerlukan kebijaksanaan supaya negara yang

diperintah dapat terus kekal bertakhta. Namun begitu, dalam sajak “Alahai Raja Suran”,

kehebatan raja telah dipertikaikan hanya kerana satu peristiwa yang tidak diselidik

Page 10: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

10

dengan baik. Kesan pembacaan ke atas peristiwa sejarah ini telah memperlihatkan

bagaimana seorang raja itu harus memiliki sifat yang bijaksana dalam pemerintahan.

Hal ini dapat dilihat seperti dalam petikan berikut:

Sewaktu dikumpulkan bala tentera

Hendak menyerang negeri China

Datanglah sebuah kapal dari sana

Kapal bermuat orang-orang tua

Jarum-jarum halus dan pohon bidara

Suran menyuruh orang bertanya

Jauhkah lagi negeri mereka?

Pertanyaan itu memang ditunggu

Berkatalah si tua mendayu-dayu

Kami datang semasa muda

Lama belayar lanjutlah usia

Besi-besi yang besar dan berat

Haus menjadi jarum berkarat

Benih yang di tanam di atas pilu

Menjadi pohon berbuah di situ.

Aduhai Raja Suran

Rupa-rupanya langkah masih pendek

Ilmu di dada masih cetek

Mendakwa melihat segala isi darat

Masih tak pasti semua tempat

Tak tahu Timur dan Barat

Tak arif tentang pulau dan benua

Tak faham arah dan hala

Kononnya sudah sampai ke mana-mana

Tak tahu di mana negeri China.

Benarlah kata yang empunya cerita

Sebesar tentera sekuat angkatan

Kalah juga oleh akal fikiran.

Aduhai Raja Suran

Ciptaan Allah terlalu luas

Ilmu manusia amat terbatas.

(Zurinah Hassan, 2016:11-12)

Page 11: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

11

Pemaknaan baharu melalui praktik historisisme baru dalam petikan di atas

menjelaskan tentang kepentingan kebijaksanaan yang perlu ada pada seseorang ketua,

pemimpin, atau sesiapa sahaja yang menerajui sesebuah organisasi, kerajaan atau apa

sahaja yang melibatkan kepemimpinan. Peristiwa sejarah adalah sebagai pegangan

untuk diteladani dan dicontohi. Sajak di atas diambil daripada peristiwa dalam teks

Sejarah Melayu, iaitu ketika Raja Suran dan angkatan tentera sedang bersiap sedia

untuk menyerang negara China atas dasar perluasan kuasa jajahan. Apabila Raja

China mendengar perkhabaran tersebut, mereka segera mencari helah supaya

peperangan tidak berlaku kerana mereka tahu kekuatan angkatan tentera Raja Suran

tidak dapat ditandingi. Oleh itu, helah yang dibuat adalah seperti yang terdapat dalam

sajak iaitu;

Pertanyaan itu memang ditunggu

Berkatalah si tua mendayu-dayu

Kami datang semasa muda

Lama belayar lanjutlah usia

Besi-besi yang besar dan berat

Haus menjadi jarum berkarat

Benih yang di tanam di atas pilu

Menjadi pohon berbuah di situ.

(Zurinah Hassan, 2016:11-12)

Berdasarkan peristiwa sejarah tersebut, penulis membuat satu kritikan halus

kepada sesiapa yang bergelar pemerintah agar lebih bijaksana dalam pemerintahan.

Hal ini dijelaskan seperti dalam baris sajak, iaitu:

Benarlah kata yang empunya cerita

Sebesar tentera sekuat angkatan

Kalah juga oleh akal fikiran.

Page 12: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

12

Aduhai Raja Suran

Ciptaan Allah terlalu luas

Ilmu manusia amat terbatas.

(Zurinah Hassan, 2016:11-12)

Penulis cuba menerapkan pemaknaan baharu melalui kritikan kepada sultan

yang dikatakan hebat dan amat berkuasa tetapi tertipu juga oleh cerdik akal manusia.

Kekuatan kerajaan Melayu Melaka pada ketika itu amat digeruni oleh pihak luar.

Apabila Kerajaan China mendengar Raja suran akan meluaskan jajahan takluknya ke

China, maka dengan segera China membuat satu helah bagi mengelakkan serangan

Raja Suran. Namun begitu, penulis cuba mengajak kahalayak kembali berfikir daripada

pengajaran sejarah lampau, bahawa dalam membangun sebuah negara yang hebat

dan kuat, kekuatan fizikal atau lahiriah bukan menjamin kepada kejayaan sesuatu

perancangan, tetapi sebaliknya akal yang bijaksana sahaja dapat bertahan dalam

menangani sebarang strategi sama ada peperangan, atau sebagainya.

Wacana Subaltern

Subaltern ialah istilah yang digunakan oleh Antonia Gramsci seorang pemikir Marxis

dari Itali. Beliau menggunakan istilah subaltern silih berganti dengan subordinat dengan

merujuk kepada sekumpulan petani yang berada pada peringkat inferior kerana kesan

daripada hegemoni kelas pemerintah. Golongan subaltern ialah kelompok manusia

yang terdiri daripada petani, pekerja dan kumpulan-kumpulan lain yang dinafikan untuk

berada pada tingkat yang lebih tinggi atau dominan hasil daripada penguasaan

kelompok satu lagi yang berkuasa (Gramsci, 2017). Seterusnya Chakravorty Spivak

telah memperluaskan pengertian Subaltern dalam kajian subaltern dengan membawa

Page 13: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

13

masuk wanita sebagai golongan subaltern sama ada wanita di peringkat rendah

ataupun menengah (Sohaimi Abdul Aziz, 2014).

Namun begitu, perbincangan ini melihat wacana subaltern yang terdapat dalam

Kumpulan Puisi: Salasilah oleh Zurinah Hassan melalui kewujudan manusia terpinggir

yang terdapat dalam teks historiografi Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang

menjadi dasar penulisan sajak dengan membawa makna baharu dan sudut pandang

baharu. Kewujudan manusia terpinggir daripada peringkat sosial bawahan atau

manusia yang diperintah ini hanya disebut sepintas lalu dalam teks historiografi Melayu

melalui nama watak-watak tertentu seperti Dang Ratna, Taming Sari, Bonda Sultan

Mahmud, Sang Rajuna Tapa, Dang Wangi dan beberapa nama watak lagi. Zurinah

Hassan, dalam sajak “Rintihan Taming Sari” memperlihatkan wacana subaltern seperti

berikut:

Mengikut cerita yang sering diceritakan

Hang Tuah pahlawan Melaka yang handal itu

Telah mengalahkan Taming Sari pahlawan Majapahit

Yang tidak pernah dikalahkan selama ini.

Tetapi mengikut cerita yang tidak pernah diceritakan

Pada malam sebelum perlawanan

Hang Tuah dan Taming sari

Telah berjumpa secara rahsia

Maka bertangis-tangisanlah mereka

Apalah malangnya nasib kita berdua

Kemungkinan aku akan mati ditanganmu

Rajamu akan tersenyum girang

Dan segala orang Melaka akan bersorak riang

Ketika aku mengelupur kesakitan.

….

Yang kusedihkan

Page 14: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

14

Sejarah tidak menyesali pertikaman ini

Dan, segala rakyat jelata

Terus suka dan leka

Menonton sengketa

Sesungguhnya perlawanan esok hari

Akan berulang lagi

Selagi rakyat Melayu

Tidak sedar-sedarkan diri.

(Zurinah Hassan, 2016:33-34)

Penulis memperkatakan tentang sejarah tokoh lagenda tradisional Melayu iaitu

Hang Tuah. Sejarah pertarungan Hang Tuah dan Taming Sari merupakan kisah yang

sentiasa diperkatakan dalam masyarakat sejak dulu sehingga kini. Tokoh lagenda ini

dikenali di seluruh alam Melayu dan disanjung oleh masyarakat sehingga kini. Namun

begitu, dalam sajak di atas penulis membawa pembaca untuk melihat sudut pandang

daripada watak Taming Sari yang tidak pernah diambil peduli perasaan dan rintihan

jiwa mereka kerana perlu melakukan suatu perkara yang mereka sendiri tidak

merelakannya untuk berlaku atas nama kesetiaan kepada pemerintah. Dalam hal ini,

penulis telah membuat pembaca berfikir dalam horizon yang lebih luas dengan

meletakkan peristiwa sejarah itu pada satu pemikiran baharu berhubung pertarungan

Hang Tuah dan Taming Sari dengan menumpukan kepada rintihan jiwa Taming Sari

selaku pahlawan yang kalah dalam pertarungan melalui petikan sajak berikut:

Tetapi mengikut cerita yang tidak pernah diceritakan

Pada malam sebelum perlawanan

Hang Tuah dan Taming Sari

Telah berjumpa secara rahsia

(Zurinah Hassan, 2016:33-34)

Page 15: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

15

Penulis meletakkan pemaknaan baharu pada sajak di atas melalui penggunaan

baris ‘Tetapi mengikut cerita yang tidak pernah diceritakan’, merujuk kepada suatu

pemikiran baharu yang hendak disampaikan oleh penulis kepada pembaca, iaitu suatu

kisah yang tidak pernah diceritakan dalam sejarah sebenar berkaitan kisah pertarungan

tersebut. Dikatakan bahawa Hang Tuah dan Taming Sari telah bertemu secara rahsia

sebagai satu simbolik hubungan persahabatan antara dua individu dan dua negara

yang terpisah secara tragedi demi memuaskan hati pihak pemerintah.

Pada baris sajak berikut terserlah pemaknaan yang hendak disampaikan oleh

penulis supaya khalayak berfikir dengan lebih jauh tentang hubungan persahabatan,

persengketaan, sikap ambil peduli terhadap orang lain, dan mengambil iktibar daripada

peristiwa sejarah silam.

Maka bertangis-tangisanlah mereka

Apalah malangnya nasib kita berdua

Kemungkinan aku akan mati ditanganmu

Rajamu akan tersenyum girang

Dan segala orang Melaka akan bersorak riang

Ketika aku mengelupur kesakitan.

(Zurinah Hassan, 2016: 33-34)

Penulis turut menyampaikan kritikan secara halus kepada masyarakat kini

melalui baris berikut:

Yang kusedihkan

Sejarah tidak menyesali pertikaman ini

Dan, segala rakyat jelata

Terus suka dan leka

Menonton sengketa.

(Zurinah Hassan, 2016:33-34)

Page 16: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

16

Seharusnya peristiwa daripada sejarah lalu dapat dijadikan sebagai panduan

atau iktibar untuk hari ini, tetapi apa yang dapat diperhatikan ialah masyarakat masih

terus leka dalam memahami makna sengketa tanpa ada sebarang usaha untuk

melakukan penyelesaian. Plato menyebut perkara ini sebagai photographic simulacrum,

iaitu menjadikan sejarah sebagai manfaat dan iktibar (Abdul Halim Ali, 2011).

Wacana Wanita

Wacana berkaitan wanita dalam kesusasteraan Melayu sama ada dalam bentuk

sastera moden atau tradisional sering diperkatakan oleh sarjana dari pelbagai sudut

pandang. Ada yang berbicara mengenai emosi, feminisme, gender, imej dan

sebagainya (Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2013). Namun begitu, dalam pendekatan

Historisisme baru, wacana wanita yang akan disentuh adalah berkaitan dengan tokoh-

tokoh wanita yang memainkan peranan penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu

dan merupakan antara tokoh yang sering disebut sehingga kini. Antara tokoh-tokoh

wanita utama yang terdapat dalam sejarah ialah Tun Fatimah, Tun Kudu, Tun Teja,

dan Puteri Hang Li Po. Nama-nama ini memainkan peranan penting dalam perjalanan

sejarah negeri Melaka bermula di awal pembukaan, perkembangan sehinggalah

kepada kejatuhan kerajaan Melaka.

Wacana wanita melalui praktik historisisme baru memperlihatkan tokoh-tokoh

tersebut berbicara dalam meluahkan isi hati mereka yang dilihat bertentangan dengan

hakikat sejarah yang tertulis. Analisis secara praktik historisisme baru memperlihatkan

penulis memberi suara kepada tokoh wanita dalam sejarah sebagai pemaknaan baharu

kepada khalayak masa kini sama ada berhubung kuasa dan kekuasaan, sebagai iktibar

Page 17: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

17

kepada wanita mahupun sebagai nasihat yang berguna dalam pelbagai situasi

keadaan. Hal ini dapat dilihat seperti contoh berikut:

Setelah Mengahwini Tun Ali

….

Dan Tun Kudu semakin sedar

Keberuntungan bukan sekadar

Disanjung di puncak negeri

Tapi hidup lebih bererti

Sebagai isteri yang berbakti

Dan diperlukan sebagai suri.

Setelah mengahwini Tun Ali

Ikatan diberkati

Lahirlah putera-putera

Yang setelah dewasa

Menjadi orang besar Melaka

Tun Tahir penghulu Bendahari

Dan Tun Mutahir Bendahara Seri Maharaja

Yang terkenal bijaksan

Setelah mengahwini Tun Ali

Tun Kudu mengenang-ngenang

Ditimbang dengan tenang

Mereka semuanya menang.

(Zurinah Hassan, 2016:48)

Sejarah yang tertulis mengenai watak Tun Kudu adalah mengenai konflik politik

yang wujud dalam istana Melaka. Tun Kudu diceraikan oleh Sultan Muzaffar demi

membalas jasa Tun Ali yang menyokongnya ketika dalam buangan serta mengelakkan

pertelagahan antara dua puak dalam istana yang memaksa Tun Ali meletak jawatan.

Sebagai balasan, Tun Ali bersetuju untuk dikahwinkan dengan Tun Kudu walaupun

ramai wanita yang cantik ditunjukkan kepadanya sebelum itu, dan pilihannya ialah Tun

Page 18: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

18

Kudu. Dalam hal ini, penulis telah memberi ruang kepada Tun Kudu yang berkahwin

dengan Tun Ali, seorang bekas bendahara yang tua untuk berbicara melahirkan isi hati

yang sebenar selepas perkahwinannya. Dalam peristiwa sejarah yang sebenar, kisah

selepas perkahwinan tokoh wanita ini tidak dibicarakan sepanjang perkembangan kisah

negeri Melaka. Tanggapan yang diterima oleh masyarakat mengenai perkahwinan yang

tidak sekufu itu sudah pastilah berakhir dengan penderitaan kepada wanita. Sebaliknya,

penulis telah melahirkan satu makna baharu kepada khalayak dengan menzahirkan

rasa hati Tun Kudu selepas perkahwinannya dengan Tun Ali. Beliau diperikan hidup

bahagia bersama Tun Ali. Hal ini diperlihat dalam rangkap berikut:

Dan Tun Kudu semakin sedar

Keberuntungan bukan sekadar

Disanjung di puncak negeri

Tapi hidup lebih bererti

Sebagai isteri yang berbakti

Dan diperlukan sebagai suri.

(Zurinah Hassan, 2016:48)

Pemaknaan baharu dalam wacana wanita berdasarkan peristiwa sejarah di atas

telah memberi penjernihan kepada tokoh utama dalam sejarah yang dilihat sebagai

bahan pertukaran dalam menyelesaikan konflik istana. Penulis cuba memperlihatkan

bahawa kebahagiaan wanita dalam berumahtangga bukan diukur daripada kesenangan

yang melimpah ruah, disanjung sepanjang masa, tetapi sebaliknya erti kebahagiaan

bagi wanita itu adalah apabila dapat menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dengan

sebaik-baiknya. Melalui pendekatan historissime baru ini, penulis menjelaskan

pemaknaan baharu bukan seperti tanggapan umum khalayak ketika berhadapan

dengan peristiwa sejarah lampau.

Page 19: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

19

Wacana Humor/Jenaka

Humor secara umumnya difahami sebagai sesuatu yang lucu dan menghiburkan hati

serta menyebabkan seseorang itu ketawa. Namun begitu humor juga boleh

menyebabkan orang lain tersinggung atau berkecil hati. Merujuk Kamus Dewan (2010),

humor dibahagikan kepada tiga aspek utama, iaitu pertama, keadaan hati sama ada

gembira, sedih, marah, senang hati dan lain-lain; kedua, kebolehan menangkap atau

merasai sesuatu yang menggelikan hati; dan ketiga, sesuatu yang menggelikan atau

melucukan dalam cerita. George Meredith (1980), seorang novelis dan pengkritik

komedi menjelaskan humor secara ringkas melalui petikan yang bernada falsafah iaitu

"Laughter makes us human". Humor juga dapat dimaksudkan sebagai suatu aktiviti

lisan yang dapat menimbulkan rangsangan kognitif dan afektif daripada khalayak dan

humor yang berkesan bergantung kepada konteks dan situasi khalayak (Meyer, 1990).

Namun begitu, persepsi dan tanggapan terhadap humor itu berbeza-beza mengikut

individu, latar masyarakat dan budaya serta berubah perspektif dari semasa ke

semasa.

Genre cerita jenaka dalam kesusasteraan Melayu turut memaparkan kisah

humor sebagai suatu daripada kritikan sosial ke atas masyarakat. Kisah-kisah Pak

Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Si Luncai dan beberapa siri cerita humor yang

terdapat dalam masyarakat Melayu merupakan satu teknik kritikan sosial yang

disampaikan secara halus dalam usaha menyedarkan masyarakat ke atas sesuatu

perkara. Cerita-cerita ini sehingga kini masih lagi popular disampaikan kepada

masyarakat sama ada dalam bentuk nyanyian atau naratif.

Page 20: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

20

Zurinah Hassan melalui sajak-sajak beliau dalam Kumpulan Puisi: Salasilah turut

mengangkat peristiwa humor dan lucu daripada naratif silam sebagai suatu usaha

menyedarkan khalayak tentang isu berkaitan sikap dan tingkah laku manusia. Peristiwa

humor yang diambil daripada kisah jenaka Melayu ini diterjemahkan makna baharu

melalui sajak-sajak seperti “Pesan pak Kaduk”, “Pesan Pak Lebai”, “Menangislah Anak

Pak pandir”, “Pesan Si Luncai” dan “Cerita Sebenar Mat Jenin”. Hal ini dapat dilihat

melalui sajak berikut:

Menangislah Anak Pak Pandir

Akulah anak Pak Pandir

Yang menangis kerana malu

mereka mentertawakan bapaku

mereka mengejek bertalu-talu

“Pak Pandir bodoh dan dungu

Pak Pandir bodoh dan dungu.”

….

Aku menangis meraung-raung

Meminta tolong

Maka datanglah orang-orang kampung

Mereka pun ternganga melihat perbuatan bapa

Tak siapa menghulurkan bantuan

Menyelamatkan aku daripada kematian

Lalu aku mati

Sebagai mangsa kebodohan

Lalu aku mati

Kerana keseronokan bangsa

Mentertawakan kesilapan

Tetapi tidak bertindak

Untuk membetulkan kesilapan.

(Zurinah Hassan, 2016:84-85)

Page 21: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

21

Penulis mengangkat naratif humor dari sejarah silam sebagai usaha memberi

pemaknaan baharu kepada khalayak. Cerita Pak Pandir adalah cerita yang dikenali dan

amat dekat dengan masyarakat Melayu. Pelbagai episod cerita Pak Pandir terus

dihidangkan kepada khalayak sama ada sebagai suatu hiburan atau teladan.

Berdasarkan petikan sajak ‘Menangislah Anak Pak Pandir’, penulis membawa suatu

perspektif baharu dengan mengambil watak anak Pak Pandir sebagai bahan

penceritaan dalam sajak tersebut. Naratif silam melalui cerita Pak Pandir hanya

digambarkan tentang kedunguan watak Pak pandir kerana memandikan anak yang

kecil dengan air panas menggelegak dan akhirnya anak itu mati. Dalam hal ini, penulis

telah mengangkat watak anak Pak Pandir bagi menyuarakan satu kritikan ke atas sikap

masyarakat.

Akulah anak Pak Pandir

Yang menangis kerana malu

mereka mentertawakan bapaku

mereka mengejek bertalu-talu

“Pak Pandir bodoh dan dungu

Pak Pandir bodoh dan dungu.”

(Zurinah Hassan, 2016:84-85)

Secara sinis, penulis menjelaskan bahawa ‘aku’ menangis itu bukanlah

disebabkan kesakitan kerana air panas, tetapi tangisan dan kesedihan itu adalah

kerana malu apabila orang menyebut bapanya sebagai seorang yang dungu dan

bodoh. Kesedihan semakin bertambah apabila melihat orang-orang kampung yang

datang secara beramai-ramai itu bukan bertujuan memberi pertolongan atau kesedaran

kepada Pak Pandir atas perlakuannya yang tidak betul, tetapi sebaliknya

Page 22: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

22

mentertawakan perlakuannya. Sebaliknya, jika orang kampung itu bertindak dengan

cepat, sudah tentu ‘aku’ dapat diselamatkan daripada peristiwa itu.

Aku menangis meraung-raung

Meminta tolong

Maka datanglah orang-orang kampung

Mereka pun ternganga melihat perbuatan bapa

Tak siapa menghulurkan bantuan

Menyelamatkan aku daripada kematian

Lalu aku mati

Sebagai mangsa kebodohan

Lalu aku mati

Kerana keseronokan bangsa

Mentertawakan kesilapan

Tetapi tidak bertindak

Untuk membetulkan kesilapan.

(Zurinah Hassan, 2016:84-85)

Watak Pak Pandir melalui pendekatan historisisme baru ini mengajak khalayak

berfikir dan melihat watak-watak humor yang lahir daripada sejarah silam itu sebagai

suatu pengajaran dan teladan untuk mendepani dunia hari ini. Masyarakat harus

bangun daripada sikap suka menyalahkan orang lain, mentertawakan kesilapan

daripada bertindak membetulkan keadaan. Segala sifat negatif ini akan membawa

kerugian kepada masyarakat keseluruhan. Penulis turut mengungkapkan baris yang

sama berkaitan sikap negatif masyarakat ketika berhadapan dengan sesuatu situasi

seperti rangkap terakhir dalam sajak “Cerita Sebenar Mat Jenin”:

Cerita Sebenar Mat Jenin

Cuma aku berasa terkilan Dan hatiku cukup terluka Bangsaku amat suka mentertawakan kegagalan Dan maut dijadikan bahan jenaka

Page 23: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

23

(Zurinah Hassan, 2016: 105)

Sejarah silam yang menjadi asas sumber pengkaryaan oleh pengarang secara

tidak langsung dapat mengubah pandangan berkaitan keobjektifan yang ada dalam

penulisan sejarah. Melalui pendekatan historisisme baru, makna karya dapat diluaskan

melalui teknik berfikir dan secara tidak langsung turut mengangkat nilai sejarah yang

ada dalam sesebuah masyarakat.

Kesimpulan

Penelitian ini memperlihatkan tentang kepentingan peristiwa sejarah sebagai bahan

pengkaryaan kepada penulis. Peristiwa silam sebagai satu sumber sejarah telah

ditelusuri dengan sebaiknya dengan cara pemaknaan semula kepada sejarah untuk

ditanggapi oleh masyarakat hari ini. Segala keobjektifan yang ada pada sifat sejarah

telah diberi ruang yang lebih luas untuk diinterpretasi makna dengan lebih mendalam

mengikut jurus pandang dunia masa kini. Telaah melalui pendekatan Historisisme baru

telah memberi pemaknaan baharu kepada peristiwa sejarah dalam ruang kognitif yang

lebih luas untuk difikir dan ditafsir oleh khalayak.

Page 24: MENYUSUR MASA LALU MENYISIR MAKNA BAHARU DALAM …

24

Rujukan Abdul Halim Ali, “Sajak ‘Pulang Si Tenggang’ dalam Historisisme Baru” dlm. Jurnal Pengajian

Melayu 2, hlm. 1-17, 2011.

Abdul Halim Ali, “Satu Analisis Pengkisahan Semula Sastera Melayu Tradisional dalam

Perspektif Baharu” dlm. Jurnal Perspektif 4:2, hlm. 16-27, 2012.

Antonio Gramsci, 2017. Sejarah dan Budaya. Yogjakarta: Penerbit Narasi.

A. Teeuw, 2015. Sastera dan Ilmu Sastera. Indonesia: Pustaka Jaya.

Abdul Ahmad (peny.), 1994. Kesusasteraan Bandingan sebagai Satu Disiplin. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana, 2013. Koleksi Teori Sastera: Klasik, Tradisional, Moden, Pascamoden dan

Tempatan. Bangi: Pustaka Karya.

Meredith, G., Bergson, H. dan Wypher, W. 1980. Comedy: An Essay on Comedy. Johns

Hopkins University Press

Meyer, J. Ronald, “Reagan and humor: A Politician’s Velvet Weapon” dlm. Communication

Studies 41, hlm. 76-88, 1990.

Mohd Ali Raden, “Muslim Burmat dan Historisisme Baru” dlm Jurnal Melayu 19:11 hlm. 161-

166, 2020.

Mohd Syukor Abdullah, 2019. Antara Dendam Dengan Perjuangan Daripada Perspektif

Pensejarahan Baharu. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

I Wan Atika, “Pengajaran Sastera dengan Teori New Historicisme” dlm. PRASI 10:20 hlm. 51-

55, 2015.

Sohaimi Abdul Aziz, 2014. Historisime Baharu: Mendekonstruksikan Sejarah. Dalam Teori Dan

Kritikan Sastera Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ungku Maimunah Mohd.Tahir, 2013. Gender dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

W.G. Shellabear, 2016. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zurinah Hassan, 2016. Kumpulan Puisi: Salasilah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.