1 Diterbitkan dalam Tajularipin Sulaiman (2008) Memperkasakan Pendidikan Negara: Isu dan Cabaran. Muka surat 1 – 15. Serdang: Penerbit UPM. BAB 1 MEMAHAMI DASAR PENDIDIKAN Mohd. Majid Konting PENGENALAN Seringkali kita diperkenalkan dengan dasar baharu. Dalam bidang pendidikan, kita diingatkan dengan dasar penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Kita juga diajukan dengan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. Malah, banyak lagi dasar yang berkait dengan pendidikan yang diperkenalkan dari semasa ke semasa seperti dasar menyediakan peluang pendidikan dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, dasar kemasukan ke sekolah berasrama penuh, dasar pinjaman buku teks percuma dan dasar yuran sekolah. Apa yang biasanya menjadi persoalan, masalah dan isu, malah kadang-kadang kegelisahan dan igauan adalah kesan pengenalan sesuatu dasar terhadap kehidupan seharian masyarakat khususnya pendidik. Pengenalan sesuatu dasar baharu boleh menyebabkan sesetengah daripada kita berasa terkejut, bangga, risau dan kecewa kerana segala kepercayaan, amalan dan usaha yang kita lakukan saban hari selama ini, yang sebahagiannya terbukti mendatangkan kejayaan, sudah menjadi tidak relevan lagi dan tidak dihargai. Kejayaan para guru sains dan matematik mendidik para pelajar sehingga ramai antara mereka menjadi saintis, doktor, penyelidik, malah menteri dan angkasawan yang berjaya dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan lebih 30 tahun lalu dianggap tidak lagi relevan masa kini. Satu keperitan dalam kehidupan seseorang ialah adanya idea baharu. Idea baharu, apatah lagi suatu dasar, mungkin mengejutkan seseorang
22
Embed
MEMAHAMI DASAR PENDIDIKAN - vodppl.upm.edu.myvodppl.upm.edu.my/uploads/docs/edu5810_1296808603.pdf · kepada keputusan pengurusan, panduan amalan, kata putus ketua organisasi atau
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
1
Diterbitkan dalam Tajularipin Sulaiman (2008) Memperkasakan Pendidikan Negara: Isu
dan Cabaran. Muka surat 1 – 15. Serdang: Penerbit UPM.
BAB 1
MEMAHAMI DASAR PENDIDIKAN
Mohd. Majid Konting
PENGENALAN
Seringkali kita diperkenalkan dengan dasar baharu. Dalam bidang pendidikan, kita diingatkan
dengan dasar penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan
institusi pengajian tinggi. Kita juga diajukan dengan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam
pengajaran sains dan matematik. Malah, banyak lagi dasar yang berkait dengan pendidikan yang
diperkenalkan dari semasa ke semasa seperti dasar menyediakan peluang pendidikan dari
sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, dasar kemasukan ke sekolah berasrama
penuh, dasar pinjaman buku teks percuma dan dasar yuran sekolah.
Apa yang biasanya menjadi persoalan, masalah dan isu, malah kadang-kadang kegelisahan dan
igauan adalah kesan pengenalan sesuatu dasar terhadap kehidupan seharian masyarakat
khususnya pendidik. Pengenalan sesuatu dasar baharu boleh menyebabkan sesetengah daripada
kita berasa terkejut, bangga, risau dan kecewa kerana segala kepercayaan, amalan dan usaha
yang kita lakukan saban hari selama ini, yang sebahagiannya terbukti mendatangkan kejayaan,
sudah menjadi tidak relevan lagi dan tidak dihargai. Kejayaan para guru sains dan matematik
mendidik para pelajar sehingga ramai antara mereka menjadi saintis, doktor, penyelidik, malah
menteri dan angkasawan yang berjaya dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan lebih 30 tahun
lalu dianggap tidak lagi relevan masa kini. Satu keperitan dalam kehidupan seseorang ialah
adanya idea baharu. Idea baharu, apatah lagi suatu dasar, mungkin mengejutkan seseorang
2
kerana apa yang kita percayai selama ini rupa-rupanya salah dan apa yang kita amalkan rupa-
rupanya sia-sia.
Pengenalan sesuatu dasar tidak dapat dielakkan kerana dasar adalah sebahagian daripada usaha
kita untuk membina kehidupan yang lebih baik. Untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan
mapan, kita perlu berhadapan dengan cabaran keadaan semasa seperti cabaran globalisasi dan
persekitaran. Kegagalan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran boleh menyebabkan
kita kecewa dan murung. Bagi mengurangkan keperitan yang mungkin terhasil daripada
pengenalan sesuatu dasar, kita perlu memahami dasar berkenaan. Pemahaman kita terhadap
sesuatu dasar pendidikan penting supaya kita jelas mengapa sesuatu dasar itu perlu digubal. Kita
juga boleh seterusnya mengenal pasti apakah yang boleh kita lakukan bagi memastikan dasar
berkenaan dilaksanakan tanpa keperitan dan kesedihan. Bab ini cuba membantu dan
meningkatkan kefahaman kita tentang dasar pendidikan. Ia dimulakan dengan perbincangan
tentang definisi dan kepentingan dasar pendidikan. Ruang lingkup definisi dan kepelbagaiannya
dibincangkan agar kita jelas apakah yang dimaksudkan dengan dasar pendidikan. Kepentingan
sesuatu dasar juga dibincangkan agar kita faham mengapa ianya perlu untuk diperkenalkan. Bab
ini kemudiannya membincangkan bagaimana sesuatu dasar digubal. Penggubalan sesuatu dasar
biasanya melibatkan tiga tahap utama iaitu analisis dasar, pembentukan dasar dan keputusan
dasar sehingga ianya membentuk pernyataan dasar. Penggubalan sesuatu dasar dianggap kritikal
kerana ianya melibatkan keputusan politik. Seterusnya, Bab ini membincangkan pelaksanaan
sesuatu dasar. Kebanyakan masalah berkait dengan dasar pendidikan timbul di peringkat
pelaksanaan terutamanya apabila kita menggunakan pendekatan berpusat atas ke bawah dalam
penyampaian dasar pendidikan. Bab ini akhirnya membincangkan bagaimana kita boleh
3
menghadapi perubahan dan tekanan akibat daripada pengenalan sesuatu dasar baharu dalam
bidang pendidikan.
DEFINISI DASAR
Dasar boleh didefinisikan dalam pelbagai bentuk dan cara berdasarkan kegunaannya.
Pendefinisian sesuatu dasar seringkali mengelirukan kerana ianya dilakukan dengan merujuk
kepada keputusan pengurusan, panduan amalan, kata putus ketua organisasi atau peraturan yang
termaktub dalam undang-undang. Definisi dasar juga berbeza antara dasar asas seperti
penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan dasar
prosedur seperti pengurusan kewangan sekolah. Perbezaan definisi dasar juga dapat dilihat antara
dasar preskriptif seperti dasar persekolahan yang menghendaki kanak-kanak perlu menghadiri
sekolah apabila mencapai usaha enam tahun dan dasar permisif seperti dasar kelayakan
mendapat bantuan makanan dalam Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Selain itu,
definisi dasar juga berbeza antara dasar yang menyatakan keperluan piawaian dalam pentadbiran
seperti “Kakitangan dihendaklah merekodkan kedatangan ke pejabat sebelum jam 8:30 pagi”
dengan dasar peribadi yang biasa kita amalkan seperti “Jangan ganggu saya selepas jam 11
malam”. Walaupun kesemua contoh di atas boleh dianggap sebagai satu dasar, ianya mempunyai
maksud dan tujuan yang berbeza. Kita akan lebih mendekati definisi dasar sekiranya kita boleh
membezakan antara apa yang dikenali sebagai dasar awam yang digubal untuk kepentingan
awam dengan apa yang dikenali sebagai dasar peribadi yang dipercayai dapat membahagiakan
seseorang (Howlett dan Ramesh, 1995).
4
First (1992) secara ringkasnya mendefinisikan dasar sebagai satu visi arah yang hendak dituju
dan garis panduan untuk mencapainya. Stone (1997) pula mendefinisikan dasar sebagai satu
cubaan berasional untuk mendapatkan objektif. Malah suatu dasar adalah satu set objektif yang
secara perundangan mengiktiraf nilai, kepercayaan dan pandangan penggubalnya (Prunty, 1985).
Pada asasnya sesuatu dasar boleh didefinisikan sebagai satu tuntutan bagi tindakan kekal yang
adil, tetapi boleh diubah suai, bertujuan untuk memastikan pengubahsuaian yang optima antara
kebaikan yang berlainan yang semuanya perlu diperoleh meskipun kesemuanya tidak boleh
dimaksimumkan (Green, 1994). Dalam keadaan semua pilihan yang kita ada mempunyai
kebaikan, walaupun bertentangan, kita perlu membuat keputusan memilih pilihan yang
mempunyai lebih banyak kebaikan secara relatif berbanding dengan pilihan yang lain dengan
tujuan untuk mengurangkan risiko dan konflik yang mungkin timbul. Kita katakan keputusan
pilihan kita sebagai dasar.
Justeru, kita tidak akan ada pernyataan dasar yang lengkap sehingga kita dapat menyatakan nilai
atau kebaikan daripada mana sesuatu persoalan atau masalah timbul. Sebagai contoh, persoalan
kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Persoalan, masalah dan isu
berkenaan boleh dijelaskan dalam satu set nilai atau kebaikan pilihan yang tidak serasi seperti
berikut:
Memandangkan bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu, ekonomi dan perdagangan antarabangsa
masa kini, kita perlu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
Justeru, kita perlu menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran sains dan
matematik dari peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.
5
Bagi menyatu padukan rakyat daripada pelbagai kaum dan keturunan serta membina jati diri
dalam kalangan mereka, kita perlu menggunakan satu bahasa iaitu Bahasa Kebangsaan.
Justeru, kita perlu menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam pengajaran semua mata
pelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Dalam keadaan terdapat pelbagai pilihan yang semuanya mempunyai kebaikan tetapi tidak serasi
antara satu sama yang lainnya, kita perlu membuat keputusan pilihan yang manakah yang perlu
diambil. Tanpa keputusan yang dikenali sebagai dasar, kita akan berhadapan dengan konflik
kerana pilihan yang kita ada semuanya mempunyai kebaikan (Kingdon, 1994; Levin 1998).
Misalnya, sekiranya kita memaksimumkan salah satu daripada kedua-dua kebaikan pilihan di
atas, tindakan kita akan mengekang atau menghalang kemajuan kebaikan pilihan yang satu lagi.
Masalah ketiadaan dasar yang jelas akan berakhir dengan konflik kerana kita menerima kesemua
matlamat kebaikan pilihan yang kita ada, tetapi kita tidak boleh memaksimumkan kebaikan
kesemuanya. Jika diteliti, semua isu awam termasuk isu pendidikan, malah isu peribadi,
mempunyai ciri ini. Ciri-ciri nilai dan kebaikan pilihan ini tergolong dalam satu set kebaikan
sosial yang kesemuanya perlu diambil kira, akan tetapi jika diambil kesemuanya yang saling
tidak serasi, kita akan berhadapan dengan konflik.
KEPENTINGAN DASAR
Dasar diperlukan bagi memastikan kita memaksimumkan kebaikan sesuatu pilihan berbanding
dengan kebaikan pilihan yang lain bagi mengelakkan konflik yang mungkin timbul. Dasar sering
diperkenalkan daripada semasa ke semasa disebabkan banyak faktor. Antara tiga faktor utama
6
mengapa sesuatu dasar pendidikan diperkenalkan adalah kerana sistem dan aktiviti pendidikan
yang sedia ada sudah ketinggalan dan semakin rumit, desakan akibat pertambahan penduduk dan
perubahan aspirasi penduduk serta keterbatasan sumber pendidikan (Farrell, 1997).
Perubahan sering berlaku dalam kehidupan kita. Perubahan berlaku sama ada secara semula jadi
atau dirancang (Mohd. Majid, 2003). Sama ada kita suka atau tidak, perubahan biologi seperti
ketuaan tetap berlaku. Sebahagian besar perubahan semula jadi tidak boleh dielak, tetapi kita
boleh mengurangkan risikonya. Kita tidak boleh menahan hujan daripada turun dengan lebat dan
berterusan, namun kita boleh berusaha mengurangkan risiko banjir dengan membina empangan
seperti Empangan Sultan Mahmud, Tasik Kenyir di Terengganu atau menyediakan saliran air
yang canggih seperti terowong SMART di Kuala Lumpur. Seseorang secara semula jadi boleh
belajar untuk mendapat pengetahuan dan kemahiran daripada persekitarannya sepanjang mereka
membesar daripada peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa dan tua, namun kita
boleh merancang agar pendidikan seseorang itu lebih menyeluruh dan sempurna sebagaimana
yang kita hasratkan.
Justeru, penggubalan dasar dan perancangan pendidikan telah dilakukan sejak dahulu kala.
Penggubalan dasar dan perancangan pendidikan dikatakan semakin rancak sejak negara kita,
malah negara lain di benua Afrika dan Asia, mencapai kemerdekaan. Hatta negara maju seperti
Amerika Syarikat dan England juga memperkenalkan banyak dasar pendidikan terutama selepas
kerosakan dan kemusnahan akibat Perang Dunia Kedua (Farrell, 1997). Selepas merdeka, kita
memperkenalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang matlamat utamanya adalah untuk menyatu
padukan rakyat berbilang bangsa dan agama dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai
7
bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan. Pelbagai dasar, peraturan, strategi,
kaedah dan aktiviti diperkenalkan dari semasa ke semasa selepas itu yang bertujuan untuk
menyesuaikan sistem pendidikan dengan keadaan dan keperluan semasa, termasuk
memperkenalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik (KPM,
2001, 2007; Kerajaan Malaysia, 2006; KPT, 2007).
Kerumitan Sistem Pendidikan
Pengenalan dasar baharu yang sesuai dengan keperluan semasa mungkin bersaing, malah
mungkin bertentangan dengan dasar, peraturan, strategi, kaedah dan aktiviti pendidikan semasa
yang diamalkan. Pengenalan dasar baharu seringkali menuntut perubahan, tuntutan, anjakan atau
penyimpangan dalam amalan pendidikan sedia ada. Hal ini boleh menyebabkan aktiviti
pendidikan yang sedia ada diamalkan ketinggalan dan sistem pendidikan yang diguna pakai
semakin rumit. Dasar pemberian pinjaman buku teks kepada seluruh murid sekolah mulai tahun
2008 mungkin menuntut perubahan yang semakin rumit terhadap prasarana, kemudahan,
penerbitan, pengangkutan, penyimpanan serta amalan pengurusan dan pengendalian buku teks
sedia ada disebabkan bilangan buku yang semakin bertambah bilangannya daripada dasar
memberi buku teks kepada murid yang layak sahaja sebagaimana yang diamalkan selama ini.
Pertambahan dan Perubahan Aspirasi
Sebagai sebuah institusi sosial, institusi pendidikan dituntut untuk memenuhi keperluan dan
harapan masyarakat. Institusi pendidikan seharusnya dapat memenuhi cita-cita dan aspirasi
masyarakat pada mana sistem itu diwujudkan. Justeru, institusi pendidikan perlu berubah
mengikut perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Pertambahan penduduk yang mendadak,
8
khususnya selepas Perang Dua Kedua menuntut penyediaan peluang dan ruang pendidikan yang
lebih luas bagi pendidikan formal. Penghijrahan penduduk dalam atau luar negara juga menuntut
kepada penyediaan prasarana, kemudahan, pendekatan dan aktiviti pendidikan yang baharu.
Senario penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar besar menyebabkan tuntutan kepada
kemudahan pendidikan di bandar semakin tinggi.
Tuntutan terhadap institusi pendidikan semakin bertambah rumit apabila aspirasi masyarakat
berubah dengan cepat. Belum pun sempat sistem pendidikan menyedia prasarana untuk
memenuhi aspirasi baharu masyarakat, aspirasi mereka berubah lagi. Perubahan aspirasi yang
pantas mutakhir ini dikatakan berpunca daripada kecanggihan dan kepantasan teknologi
maklumat dan komunikasi. Suatu ketika dahulu ramai daripada kalangan ibu bapa sudah
berterima kasih sekiranya anak-anak mereka dapat bersekolah rendah atau dapat memasuki
Sekolah Berasrama Penuh. Kini, ibu bapa masih tidak berpuas hati seandainya anak mereka tidak
dapat memasuki institusi pengajian tinggi. Malah ramai antara ibu bapa yang akan kecewa
sekiranya anak-anak mereka yang berkelulusan universiti dengan ijazah kepujian masih tidak
mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka bergraduat.
Perubahan aspirasi ini menuntut perubahan dasar. Misalnya, dasar dan fungsi universiti yang
secara tradisinya sebagai gedung penjana ilmu melalui penyelidikan terpaksa dikaji semula
dengan menyediakan program pengajian akademik yang cuba memenuhi keperluan dan
permintaan majikan dan industri (Nik Mustapha, 2007; Rafiah Salim, 2007; Sharifah Habsah,
2007). Senario perubahan seperti ini kemudiannya menuntut agar dasar dan cara baharu
digunakan bagi menyediakan program pengajian, penyampaian dan penaksirannya yang relevan
9
berasaskan hasil pembelajaran dan kemahiran insaniah (Mohd. Majid dan Zakaria, 2007; Zakaria
dan Mohd. Majid 2007). Bagi memastikan program yang ditawarkan setanding dengan program
yang serupa di peringkat antarabangsa, program tersebut perlulah memenuhi Kerangka
Kelayakan Malaysia (Zita, 2007). Keghairahan terhadap pendidikan tinggi juga menuntut
pendemokrasian pendidikan dan penyediaan peluang pendidikan yang lebih luas dan terbuka
termasuk menggunakan penggunaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi dalam
penyampaian pendidikan (Asirvatham, 2007; Anuar Ali, 2007). Rentetannya juga menyebabkan
dasar tadbir urus pendidikan tinggi diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (Hassan
Said, 2007).
Keterbatasan Sumber
Keperluan baharu terhadap kepercayaan dan amalan pendidikan memerlukan sumber-sumber
pendidikan yang sedia terbatas. Keperluan pengajaran berpusatkan pelajar di institusi pengajian
tinggi memerlukan bukan sahaja prasarana, kemudahan dan peralatan baharu yang canggih dan
sesuai, malah menuntut agar kepercayaan dan pegangan pengajaran dan pembelajaran lama
pensyarah, pentadbir, staf sokongan dan pengurusan utama universiti ditinggalkan, walaupun
sebahagiannya terbukti berjaya. Pengenalan dasar baharu memerlukan penerokaan dan
penghayatan terhadap kepercayaan dan amalan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran
berpusatkan pelajar (Mohd. Majid dan Zakaria, 2007). Isu keterbatasan sumber biasanya semakin
genting disebabkan sumber-sumber baharu yang diperlukan belum atau tidak dapat disediakan
dengan segera sedangkan sumber-sumber lama yang tersedia tidak dapat digunakan bagi
melaksanakan dasar baharu (Fullan, 2003; Mohd. Majid, 2003).
10
PENGGUBALAN DASAR
Pada asasnya penggubalan dasar dibuat secara demokrasi yang mana mereka yang ditadbir boleh
mengambil bahagian dalam kerajaan (Ball, 1990; Dahl, 1998). Meskipun penggubalan sesuatu
dasar termasuk dasar pendidikan dikatakan proses yang tidak rasional, terdapat teori yang boleh
menjelaskan pengaruh dan mekanisme yang menentukan sesuatu dasar (Theodoulou dan Cahn,