LAPORAN SEMPENA SEMINAR SARANA IBU BAPA & SARANA SEKOLAH 2015 ANJURAN PIBG DUN SUNGAI RAMBAI Pada 8 Ogos 2015 yang lalu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah-sekolah rendah yang berada di DUN Sungai Rambai telah menganjurkan satu seminar mengenai Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah 2015. Seminar ini telah mendapat kerjasama daripada Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia dan JAPERUN Sungai Rambai. Seminar ini telah diadakan di Dewan Kuliah A, Aras 6 UiTM Melaka Kampus Jasin. Antara objektif seminar ini diadakan adalah bertujuan memberikan peluang kepada semua AJK PIBG dari setiap sekolah untuk mendengar sendiri secara jelas berkenaan dengan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah daripada AJK Penggerak Sarana Kebangsaan. Selain itu seminar ini diadakan bagi memberi peluang kepada semua AJK PIBG setiap sekolah berkongsi idea dan pendapat tentang kaedah pelaksanaan sarana ini di sekolah masing-masing. Objektif yang ketiga adalah memberikan pengetahuan tentang apa yang di maksudkan dengan anjakan ke-9 dalam PPPM serta hala tuju yang di hasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Seramai 150 orang peserta terdiri daripada barisan AJK PIBG sekolah-sekolah rendah dalam DUN Sungai Rambai telah menghadiri seminar ini. Semua peserta telah mendengar dua slot ceramah berkenaan dengan sarana ini daripada 2 orang penceramah jemputan iaitu Encik Amza Bin Osman (Jurulatih Utama Penggerak Sarana Kebangsaan) dan Dato’ Hj. Mazlan Bin Mohamad (Head of Project & Special Function) Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia. Alhamdulillah seminar yang dianjurkan ini berjaya dijalankan dengan lancar. PIBG DUN Sungai Rambai telah menjemput YB Datuk Hasan Bin Abd Rahman, EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Sungai Rambai untuk merasmikan penutup seminar ini. Adalah di harapkan setiap ilmu yang diperolehi daripada seminar ini akan dapat digunakan di sekolah masing-masing. Berikut adalah gambar-gambar yang dapat diambil sekitar seminar ini berlangsung.