Tanggal November merupakan hari yang menggamit memori setiap
ahli keluarga Wow. Pada semester 4 ini, bagi matapelajaran BMM 3043
E iaitu Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu, pensyarah kami iaitu
Encik Muhaimi Bin Suhaili telah merangka satu aktiviti luar bagi
meningkatkan dan mengukuhkan lagi aura kefahaman kami tentang isi
pelajaran pada semester ini yang berunsurkan penerokaan iaitu
Kembara Bahasa.
Oleh itu, detik ini bermula dengan perbincangan bersama ahli
keluarga Wow. Berdasarkan perbincangan tersebut, terdapat
tugasan-tugasan bagi setiap kumpulan yang perlu kami jayakan semasa
kembara tersebut. Selain itu, kami memutuskan beberapa tempat
sekitar Kuching sebagai stesen untuk menjalankan Kembara Bahasa
ini. Lantaran itu, kumpulan kami yang diberi nama Futuristik
mendapat tugasan di bawah tajuk Prosedur Pengajaran dan Penyediaan
Bahan Bantu Mengajar (BBM). Kami berasa sangat bertuah kerana
tempat yang ditetapkan untuk kami ialah di sebuah kompleks
membeli-belah yang terkenal di sekitar Kuching iaitu Plaza Merdeka
dan kami merupakan stesen terakhir yang perlu dijejaki. Bagi
merangka tugasan tersebut, kami mengadakan beberapa perjumpaan
bersama ahli keluarga Futuristik.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Akhirnya, detik yang
dinanti iaitu Kembara Bahasa pun tiba. Bandaraya Kuching menjadi
saksi penerokaan kami. Penerokaan bermula dengan menjejaki beberapa
stesen yang terhidang dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan
menyeronokkan. Memandangkan kumpulan kami menjalankan aktiviti di
stesen yang terakhir, kami terpaksa menjalankan aktiviti setelah
malam menjengah. Selain itu, kami juga terpaksa mengubah tempat
untuk melaksanakan aktiviti yang telah dirancang iaitu dari Plaza
Merdeka ke Waterfront Kuching. Ini dilakukan atas sebab-sebab
tertentu yang tidak dapat dielakkan.
Namun, rasa bersyukur tetap dirasai ahli keluarga Futuristik
kerana aktiviti kami iaitu di bawah tajuk Prosedur Pengajaran dan
Penyediaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dapat dilaksanakan dengan
jayanya. Secara umumnya, aktiviti yang kami laksanakan melibatkan
kemahiran imlak, ejaan dan mengarang.
Aktiviti kami bermula dengan penyerahan satu sampul kepada
setiap kumpulan yang mengandungi tugasan yang perlu diselesaikan.
Tugasan pertama, setiap kumpulan perlu meneka benda berdasarkan
gambar yang diberikan. Setiap kumpulan diberi gambar yang
berbeza-beza. Contohnya seperti Rajah 1 di bawah.
Rajah 1 : Teka gambarPada malam itu, setiap kumpulan berjaya
meneka gambar yang diberikan. Tugasan pertama ini sebenarnya
berlaku perubahan di saat-saat akhir atas sebab-sebab yang tidak
dapat dielakkan. Pada mulanya, tugasan pertama ini melibatkan
setiap kumpulan pergi ke pasar raya Giant yang terdapat di dalam
Plaza Merdeka untuk membeli barang yang sama seperti dalam gambar
yang diberikan dengan berbekalkan wang RM 3.00 yang disediakan oleh
kumpulan kami. Namun, kita hanya merancang Tuhan juga yang
menentukan, aktiviti ini terpaksa dibatalkan. Walaupun terpaksa
mengubah aktiviti ini, namun ahli keluarga Futuristik tetap
meneruskan perjuangan. Dalam tugasan ini setiap kumpulan berjaya
meneka gambar yang disediakan dengan tepat.
Tugasan kedua pula ialah melibatkan kemahiran imlak dan ejaan,
iaitu semua ahli kumpulan menyebut secara beramai-ramai gambar yang
telah mereka teka. Dengan jawapan yang diberikan, salah seorang
daripada kumpulan kami menyebut kembali perkataan tersebut dan
meminta setiap kumpulan menulis nama makanan atau minuman tersebut
dengan tepat (Rajah 2). Dalam tugasan ini juga setiap kumpulan
berjaya melaksanakannya dengan baik.
Rajah 2 : Imlak (menulis nama makanan)
Seterusnya, tugasan ketiga memfokuskan kemahiran mengarang.
Dalam tugasan ini setiap kumpulan diminta untuk membina ayat mudah
berdasarkan nama makanan atau minuman yang mereka perolehi.
Terdapat pelbagai ayat yang kami temui. Setiap kumpulan menunjukkan
kreativiti mereka dalam membina ayat mudah dengan sangat baik.
Rajah 3 merujuk kepada contoh ayat mudah yang dicipta oleh kumpulan
Eureka.
.
Rajah 3 : Mengarang (menulis ayat mudah)
Setelah selesai tugasan ketiga ini, misi ahli keluarga
Futuristik tercapai dan seterusnya misi penerokaan ahli keluarga
Wow juga berakhir di stesen yang terakhir ini. Konklusinya,
aktiviti yang kami laksanakan dapat mencapai objektif sebenar
penerokaan ini kerana mampu meningkatkan pelbagai kemahiran kepada
murid di sekolah kelak. Jutaan terima kasih kepada semua ahli
keluarga Wow atas kerjasama sepanjang aktiviti di stesen ahli
keluarga Futuristik yang berteraskan kepada laungan tersirat
Futuristik, Futuristik, Bombastik..!NadiahMY