BINA INSAN GURU FASA 3WAJ 31141.0PENDAHULUANLaporan Bina Insan
Guru (BIG) fasa tiga ini merangkumi laporan mengenai aktiviti
bengkel pengucapan awam serta aktiviti kemasyarakatan di rumah anak
yatim yang mana masing-masing dijalankan pada 1 April 2014 dan 6
April 2014. Seperti yang kita ketahui, aktiviti bengkel pengucapan
awam yang dijalankan adalah bertujuan untuk memberi pengalaman
kepada para pelajar untuk merancang, mengendali dan menghadiri
bengkel yang dijalankan. Pengisian yang terkandung dalam bengkel
ini merangkumi sesi pengucapan awam dan kesantunan berbahasa yang
disampaikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Institut
Pendidikan Guru Kampus Darulaman, iaitu Encik Bukhari Bin Shafie.
Bengkel ini juga menyentuh aspek pengendalian majlis rasmi seperti
susun atur tempat kedudukan, pengacaraan, dan sambutan tetamu.
Etika pemakaian dan tata tertib ketika di meja makan juga turut
dihurai dengan panjang lebarnya oleh penceramah jemputan.
Seterusnya, aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan di rumah anak
yatim pula bertujuan untuk membentuk kesemua bakal-bakal guru yang
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, merapatkan
silaturrahim antara para peserta dengan masyarakat luar serta
membantu untuk memulihara, menceriakan dan membersihkan kawasan
rumah anak yatim. Sehubungan itu, aktiviti kemasyarakatan ini juga
bermatlamat untuk mengembangkan keterampilan diri peserta dalam
menguruskan diri, kumpulan dan masa dengan efektif, mempamerkan
kecaknaan terhadap persekitaran dan komuniti di samping memberi
respons yang positif terhadap keperluan persekitaran yang berbeza
dan memupuk semangat kerjasama antara peserta. Program ini
bermatlamat untuk membina insan guru yang berakhlak mulia,
bersemangat gigih yang tinggi, nilai-nilai kerohanian dan keguruan
yang mapan, mempunyai ketahanan fizikal dan bermanfaat kepada diri,
keluarga, masyarakat serta negara selaras dengan prinsip Rukun
Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan
Guru. Di samping itu, para pelajar juga diharap dapat membina
keyakinan diri dalam menghadapi cabaran semasa, menimbulkan
kesedaran serta keinsafan dalam membentuk jati diri sebagai seorang
bakal guru.
2.0LAPORAN BINA INSAN GURU (BIG) FASA TIGA AKTIVITI
BENGKEL2.1SEBELUM BIG BERLANSUNGSebelum aktiviti BIG ini
berlansung, kesemua wakil daripada sembilan buah kelas daripada
PISMP Semester Tiga telah sama-sama turun pada 20 Februari 2014
pada jam 2.30 p.m yang bertempat di Bilik Mesyuarat Gerko bagi
menjalankan satu perjumpaan untuk melantik Ahli Jawatankuasa (AJK)
bagi BIG aktiviti bengkel ini. Pelantikan AJK pada hari tersebut
telah dilakukan oleh Encik Mohd Nashri Bin Yaakub, iaitu selaku
Ketua Sub Unit BIG pada kali ini. Pelantikan ini disusuli dengan
pengagihan bidang tugas mengikut AJK masing-masing sehingga tamat
pada pukul 4.30 p.m. Sehubungan itu, terdapat juga perjumpaan
susulan yang dilakukan oleh AJK tertinggi BIG bersama dengan
penyelaras BIG semester ini iaitu Puan Sumaiyah pada 3 Mac 2014
bertujuan untuk membincangkan tentang perkembangan mengenai
perancangan pelaksanaan bengkel tersebut mengikut AJK
masing-masing. Perjumpaan tersebut berakhir pada jam 5.00 p.m.
2.2SEMASA BIG BERLANSUNGProgram Bina Insan Guru (BIG) fasa tiga
ini dijalankan di Dewan Ibnu Khaldun pada 1 April 2014 yang bermula
pada pukul 8.00 a.m sehinggalah pukul 1.00 tengah hari. Aktiviti
ini bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang berjiwa merdeka
dan perkasa, mempunyai tahap kerohanian dan akhlak keguruan yang
tinggi serta berakauntabiliti dan amanah dalam melakukan sebarang
pekerjaan. Sehubungan itu, aktiviti ini juga bertujuan untuk
mendorong para pelajar supaya dapat menghayati konsep bekerja
sebagai ibadah serta hidup berbakti yang sesuai dengan portfolio
kita sebagai seorang bakal guru. Walaubagaimanapun, objektif
utamanya adalah lebih tertumpu kepada bidang pengucapan awam dan
kesantunan dalam berbahasa yang ingin diterapkan dalam diri semua
bakal guru ini.
2.1PERJALANAN PROGRAM 7.45 pagi 8.00 pagiPara pelajar melakukan
sesi pendaftaran di meja pendaftaran yang terletak di bahagian
pintu masuk dewan. Pelajar dikehendaki menandatangani borang
kehadiran ke program BIG pada hari tersebut di ruangan yang telah
disediakan.8.00 pagi 8.15 pagi Ketibaan penceramah jemputan iaitu
Encik Bukhari Bin Shafie, pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu
yang diiringi oleh pengerusi BIG bengkel iaitu saudara Muhammad
Fakhrullah Amri.8.15 pagi 8.30 pagiPara pelajar serta penceramah
jemputan dikehendaki menyanyikan lagu Negaraku, lagu Negeri Kedah
serta lagu Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman. 8.30 pagi
8.45 pagi Bacaan doa oleh pelajar dari kelas Bahasa Arab iaitu
saudara Muhammad Aizuddin.8.45 pagi 10.15 pagi Bengkel pertama
iaitu bengkel "Kesantunan Bahasa" dijalankan dengan memaparkan
maklumat yang berkaitan pada layar LCD.10.15 pagi 10.45 pagiRehat.
Para pelajar diberi masa selama 30 minit.10.45 pagi 11.30 pagi
Bengkel Kedua iaitu "Pengucapan Awam ", yang disertai dengan
aktiviti lakonan dalam beberapa situasi yang dipilih.11.30 pagi
12.00 tgh. hari Penyampaian cenderamata kepada tuan penceramah dan
nyanyian lagu Kami Guru Malaysia. Bersurai.
Gambar 1 : Sesi perbincangan untuk persembahan lakonan sedang
dilakukan
Gambar 2 : Persemabahan yang dilakukan oleh kelas Bahasa
Arab
Gambar 3 : Suasana ketika bengkel sedang berlansung
2.3SELEPAS BIG BERLANSUNGPelbagai pengalaman dan pengetahuan
baru yang dapat saya kecapi setelah mengikuti bengkel pengucapan
awam dan kesantunan dalam berbahasa ini. Segala tips dan tatacara
bagi seseorang individu tersebut untuk bercakap di khalayak ramai
turut diberikan dan penggunaan kosa kata, gaya bahasa dan
sebagainya turut diterapkan di dalam bengkel tersebut. Saya berasa
lebih berkeyakinan untuk berucap dalam kalangan audien yang ramai
setelah mengikuti bengkel tersebut. Para pelajar kemudiannya
dikehendaki menyiapkan laporan berkenaan aktiviti BIG yang telah
dijalankan tersebut.
3.0REFLEKSI BIG BENGKEL Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat ilahi dengan
izin dan limpah kurnianya dapat juga saya mengikuti program Bina
Insan Guru (BIG) aktiviti bengkel ini dengan jayanya. Saya amat
bersyukur kerana dapat mengikuti program tersebut serta dapat
menjalani segala aktiviti yang dirancang dengan penuh komitmen
serta bersunguh-sungguh. Jadi, saya berharap agar segala pengalaman
serta pengetahuan yang saya perolehi sepanjang program bengkel ini
dijalankan, akan dapat menambahkan serta memantapkan lagi jati diri
saya sebagai seorang bakal guru.Sepanjang program ini dijalankan,
terdapat beberapa kelemahan serta kelebihan yang dapat saya
perhatikan setelah selama lima jam lamanya berada dalam program
bengkel tersebut. Antara kelemahan yang dapat saya perhatikan ialah
dari segi penyusunan jadual aktiviti yang mana masa ketibaan
penceramah jemputan dilihat terlalu awal pada tentatif yang
disediakan. Perkara ini membuatkan penceramah berasa tidak selesa
kerana terpaksa berkejaran masa untuk sampai awal di Dewan Ibnu
Khaldun pada jam 8.00 a.m. Hal ini kerana, penceramah itu sendiri
menegur pihak pengurusan mengenai susunan tentatif program yang
dilihat kurang sistematik dari segi pengurusan masa. Penceramah
juga menasihatkan kepada ahli jawatankuasa program supaya pada masa
akan datang, mereka perlu memastikan bahawa masa ketibaan
penceramah jemputan tersebut dilewatkan sedikit kepada 8.30 a.m
bagi memberi ruang kepada penceramah untuk tiba di lokasi yang
telah ditetapkan dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa.
Walaubagaimanapun, perjalanan program bengkel pada hari tersebut
berjalan dengan lancar.Selain itu, antara kelebihan yang dapat saya
perhatikan sepanjang program bengkel ini berlangsung ialah dari
segi ketepatan pemilihan penceramah jemputan. Disini, pihak
jawatankuasa program bijak dalam memilih penceramah yang arif dalam
bidang pengucapaan awam dan kesantunan dalam berbahasa. Saya dapat
lihat bagaimana penceramah tersebut mengendalikan program berkenaan
sehingga membuatkan kami semua langsung tidak berasa bosan ketika
program tersebut berlangsung. Hal ini kerana, penceramah tersebut
bijak untuk menarik perhatian para hadirin dengan cara merancang
satu aktiviti yang melibatkan semua pelajar dalam proses untuk
menyiapkan aktiviti tersebut. Aktiviti yang dijalankan ialah, para
pelajar dikehendaki untuk mencipta satu situasi yang menggambarkan
apa-apa peristiwa, kemudian mereka dikehendaki untuk melakonkan
kembali situasi yang diciptakan tersebut. Di sini, kita dapat lihat
akan nilai kerjasama yang ditunjukkan oleh kesemua rakan sekelas
yang turut sama-sama memikirkan idea untuk diterjemahkan dalam
bentuk lakonan. Sehubungan itu, aktiviti yang dijalankan ini juga
bertujuan untuk memupuk perasaan berani untuk berucap secara
spontan yang tidak menggunakan skrip atau teks di hadapan pentas
dalam bentuk lakonan serta ia bertujuan untuk menggalakkan para
pelajar berfikir mengenai satu situasi dalam jangka masa yang
sangat singkat. Perkara-perkara sebegini merupakan pengalaman yang
tidak ternilai kepada diri kami semua sebagai seorang bakal guru,
yang mana segala pengalaman ini akan kami terapkan di sekolah
tempat kami berkhidmat kelak.Kelebihan yang seterusnya ialah dari
segi pengurusan program yang melibatkan penyediaan sarapan dan
makan tengah hari yang dilihat sangat bertepatan dengan etika dalam
menjalankan sesuatu majlis. Seperti yang kita ketahui, di antara
ciri-ciri majlis yang diklasifikasikan sebagai baik dan cemerlang
ialah majlis yang mantap dari segi pengurusan atau perjalanannya
serta dari segi penyediaan jamuan ringan kepada para hadirin.
Penyediaan makanan ini juga sebagai pendorong kepada para pelajar
untuk membuatkan mereka menunggu dan mengikuti program yang
dijalankan tersebut sehingga tamat. Hal ini dapat memastikan semua
pelajar dapat mengikuti program yang dianjurkan tersebut sehingga
ke aktiviti yang terakhir. Perkara ini juga boleh kita amalkan di
sekolah kelak kerana kebanyakan murid amat tertarik dengan ganjaran
yang akan mereka terima terutamanya makanan jika mereka melakukan
sesuatu aktiviti yang diarahkan oleh guru mereka. Jadi, kita
sebagai bakal guru haruslah mengambil inisiatif ini sebagai satu
pengalaman dalam diri kita agar kita dapat praktikkannya apabila
berkhidmat di sekolah kelak.
Sementara itu, kelebihan yang seterusnya ialah dari segi fokus
yang ditunjukkan oleh para pelajar pada hari tersebut. Kesemua
pelajar dilihat dapat memberi perhatian secara total ketika
penceramah tersebut menyampaikan isi ceramahnya dihadapan pentas.
Mereka dapat mendengar dengan setia sehingga ke akhir aktiviti
bengkel tersebut dengan melaksanakan segala aktiviti yang
dianjurkan dalam bengkel tersebut. Perkara ini dilihat sangat baik
untuk memastikan bahawa segala input yang ingin disampaikan oleh
penceramah tersebut dapat dihadam oleh kesemua pelajar yang
terlibat. Sehubungan itu, objektif program ini juga akan dapat
direalisasikan dengan adanya tumpuan dan komitmen yang ditunjukkan
oleh kesemua pelajar yang hadir pada hari tersebut. Hal ini dapat
memupuk budaya atau nilai yang positif yang perlu ada dalam
satu-satu majlis atau program yang memerlukan komitmen dan sokongan
daripada para hadirin bagi memastikan bahawa perjalanan program
pada hari tersebut dapat berjalan dengan lancr tanpa menimbulkan
sebarang permasalahan dan sebagainya, Seterusnya, antara
penambahbaikan yang dapat dilakukan berdasarkan penganjuran program
bengkel ini ialah dari segi perjalanan program yang perlu
diselarikan pengurusan masa yang tepat. Hal ini bagi memudahkan
penceramah jemputan untuk datang ke tempat yang dianjurkan tersebut
dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa bagi mengelakkan berlakunya
sebarang insiden yang tidak diingini. Perkara ini amat perlu
dititikberatkan agar situasi sebegini tidak akan timbul lagi pada
masa akan datang. Hal ini bukan sahaja membuatkan penceramah berasa
kurang senang dengan pengurusan yang dijalankan bahkan mungkin
boleh memburukkan nama institut ini yang dilihat sebagai tidak
cekap dari segi pengurusan dan pengelolaan program. Jadi, tindakan
segera perlu dilakukan agar program-program yang kaan datang dapat
kita perbaiki dan tambahbaik dari segi pengisian dan
pengurusannya.Tuntasnya, pelaksanaan Bengkel Pengucapan Awam dan
Kesantunan dalam Berbahasa ini dapat memberi pelbagai input baru
yang sangat berguna kepada diri kita sebagai seorang bakal guru.
Seperti yang kita ketahui, seseorang guru tersebut sangat perlu
untuk memantapkan kemahiran pengucapannya ketika berhadapan dalam
situasi yang melibatkan penganjuran sesuatu program. Jadi, kita
mestilah menyiapkan diri kita dengan segala kemahiran dan tips-tips
yang berkaitan dengan tatacata dan kaedah untuk berkomunikasi atau
berucap secara betul yang mengikut spesifikasi yang telah
ditetapkan dalam protokkol majlis. Jadi, penganjuran bengkel ini
juga dilhat bertujuan untuk menerapkan nilai kesantunan dalam
berbahasa dalam kalangan bakal guru yang mana sejak akhir-akhir ini
kita dapat lihat terdapat segelintir guru yang kurang sopan dari
segi percakapan yang diucapkan sama ada ketika majlis formal
mahupun ketika sesi perhimpunan pagi. Jadi, pelaksanaan bengkel ini
amat bertepatan dengan kehendak dan keperluan kita sebagai seorang
bakal guru yang akan berhadapan dengan situasi sebegini apabila
ditempatkan di sekolah kelak. Akhir kata, segala yang baik itu
datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu merupakan
kelemahan daripada diri saya sendiri iaitu sebagai seorang manusia
biasa yang tidak mempunyai sebarang kudrat serta sentiasa melakukan
sebarang kesalahan atau kekhilafan. Sekian, terima kasih.
4.0LAPORAN BINA INSAN GURU (BIG) FASA TIGA SIRI SATU AKTIVITI
KHIDMAT MASYARAKAT DI RUMAH ANAK YATIM 4.1SEBELUM BIG KHIDMAT
MASYARAKAT BERLANSUNG Sebelum BIG Khidmat Masyarakat ini diadakan,
terdapat beberapa kali perjumpaan telah dilakukan sama ada di
peringkat AJK tertinggi mahupun sesi perjumpaan yang melibatkan
semua peserta BIG. Kebanyakan agenda yang dibincangkan ketika
perjumpaan tersebut adalah berkaitan dengan perkembangan bagi
setiap AJK yang terlibat dan tindakan yang perlu mereka ambil
setelah kesemua AJK membentangkan perkembangan masing-masing.
4.2SEMASA BIG DIJALANKAN Program Bina Insan Guru (BIG) aktiviti
khidmat masyarakat di rumah anak yatim ini dilaksanakan pada 6
April 2014, iaitu pada hari Ahad yang bertempat di Teratak Rahmat,
Mata Ayer, Perlis. Seramai 64 orang peserta dan empat orang
pensyarah pembimbing yang turut sama mengikuti program ini. Program
ini bertujuan untuk melahirkan insan yang berilmu, beramal,
berketrampilan serta kreatif selaras dengan kehendak Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Pelaksanaan BIG ini adalah berasaskan kepada
kesedaran bahawa profesion keguruan adalah mulia dan insan guru
adalah pembina generasi, pembentuk jati diri dan role model kepada
masyarakat. Justeru, guru harus mampu menyesuaikan diri dalam semua
keadaan dan mampu menangani cabaran era globalisasi yang kian pesat
membangun.Melalui aktiviti yang telah direncanakan, para pelajar
diharap akan dapat mengenali diri mereka sendiri dan mampu
mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh ke arah
membangunkan diri sebagai insan guru seimbang secara berterusan.
Melalui program ini juga, para pelajar didedahkan dengan pelbagai
kefahaman secara syumul berkaitan dengan pembinaan insan guru yang
seimbang bagi meningkatkan akauntabiliti profesionalisme keguruan.
Dengan kata lain, pembelajaran secara konstektual dapat dijalankan
dengan lebih bermakna dan berkesan. Semoga melalui program ini,
para pelajar mampu mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang
diperoleh demi memastikan profesion keguruan ini dilihat lebih
bergerak ke hadapan setanding dengan profesion-profesion lain yang
berada pada tahap profesional.Sementara itu, program ini juga
dilaksanakan dengan harapan dapat membina insan guru yang mempunyai
ketahanan fizikal dan mental serta cemerlang dalam semua aspek,
sesuai dengan profesion perguruan pada masa kini. Dengan adanya
program yang dianjurkan di rumah anak yatim ini, diharapkan para
pelajar dapat membina semangat juang yang tinggi dan sentiasa
bersedia menyumbangkan masa dan tenaga sepenuhnya kepada diri,
keluarga, masyarakat dan bangsa. Selain itu, para pelajar juga
diharapkan dapat membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran
semasa, menimbulkan kesedaran dan keinsafan dalam membentuk jati
diti sebagai seorang guru. Ini bertujuan untuk mencapai cita-cita
murni serta membentuk peribadi seorang insan yang berwawasan
seterusnya membantu merealisasikan wawasan Negara selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
3.1PERJALANAN PROGRAM 9.30 a.m -10.00 a.m Para pelajar berkumpul
di hadapan bangunan Gerko dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Disiplin
mengambil kehadiran para pelajar dan menyerahkan tag nama kepada
pelajar. Sarapan berupa roti dan air mineral disediakan oleh AJK
Makanan untuk semua pelajar sebelum bertolak ke rumah anak yatim
tersebut. 10.00 a.m 11.15 a.m Bas mula bertolak ke Rumah Anak Yatim
di Teratak Rahmat, Mata Ayer, Perlis dan selamat tiba di lokasi
berkenaan pada 11.15 a.m. Perjalanan tersebut mengambil masa selama
satu jam lima belas minit. 11.15 a.m 11. 45 a.m Para pelajar
mengangkut segala barangan makanan serta keperluan yang ingin
diberikan kepada rumah anak yatim tersebut. Sementara itu, AJK
Aktiviti sedang bersedia untuk menyediakan segala kelengkapan untuk
aktiviti yang seterusnya. 11.45 a.m 1.00 tgh. hariAJK Aktiviti
menjalankan aktiviti seperti pembahagian kumpulan mengikut nama
haiwan yang telah dicabut ketika sesi undian dilakukan dengan
menggabungkan pelajar institut dengan adik-adik dari Teratak Rahmat
dalam satu kumpulan. Aktiviti mencipta logo dan bendera negara
mereka sendiri dijalankan dengan penglibatan semua peserta kursus
dan adik-adik dari teratak rahmat. Sesi perbentangan hasil lukisan
bendera negara mereka dijalankan.1.00 tgh. hari 2.00 petangPara
pelajar dan warga Teratak Rahmat diberikan masa untuk berehat dan
makan tengah hari serta mengerjakan solat Zohor secara berjemaah di
dewan tersebut. Solat pada hari tersebut diimamkan oleh salah
seorang adik dari Teratak Rahmat tersebut.2.00 p.m 4.00 p.m
Aktiviti pada sesi petang dijalankan dengan aktiviti mencipta
pakaian beragam yang bertemakan Super Hero dan para peserta
dikehendaki membentangkan hasil mereka tersebut. Selain itu,
aktiviti konduktor muzik juga dijalankan dengan cara semua peserta
dikehendaki menjadi konduktor muzik sambil menutup mata dengan cara
menggayakan tangan mereka mengikut alunan muzik yang
didendangkan.4.00 p.m 5.00 p.mSesi penyampaian cenderamata kepada
pemilik Teratak Rahmat dan sesi penutup yang disusuli dengan ucapan
oleh pengerusi BIG, ucapan pemilik Teratak Rahmat serta ucapan
pensyarah pembimbing. Aktiviti penyampainan hadiah kepada kesemua
pemenang juga dijalankan pada waktu tersebut. Para pelajar
kemudiannya bertolak pulang ke institut.4.3SELEPAS BIG
DIJALANKANSelepas BIG ini dijalankan, pelbagai pengalaman dan
pengetahuan baru yang berkaitan dengan perancangan untuk mengadakan
lawatan ke sesebuah institusi terutamanya ke rumah anak yatim ini
dapat saya pelajari. Pelbagai pahit manis yang dapat saya kumpulkan
sepanjang sehari berkampung di rumah anak yatim tersebut.
5.0REFLEKSI BIG KHIDMAT MASYARAKATAssalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat ilahi dengan
izin dan limpah kurnianya dapat juga saya mengikuti program Bina
Insan Guru (BIG) aktiviti khidmat masyarakat di rumah anak yatim
ini dengan jayanya. Saya amat bersyukur kerana dapat mengikuti
program tersebut serta dapat menjalani segala aktiviti yang
dirancang dengan penuh komitmen serta bersunguh-sungguh. Jadi, saya
berharap agar segala pengalaman serta pengetahuan yang saya
perolehi sepanjang program bengkel ini dijalankan, akan dapat
menambahkan serta memantapkan lagi jati diri saya sebagai seorang
bakal guru.Terdapat pelbagai kelemahan dan kelebihan yang dapat
saya perhatikan sepanjang aktiviti BIG ini dijalankan. Antara
kelemahan yang dapat saya perhatikan ialah dari segi pengurusan
masa ketika hendak bertolak ke rumah anak yatim tersebut. Sebelum
bertolak ke rumah anak yatim tersebut, kami telah diingatkan oleh
saudara pengerusi supaya berkumpul di hadapan bangunan gerko pada
jam 8.00 a.m. Akan tetapi, apabila kesemua pelajar telah berkumpul
di hadapan bangunan gerko tersebut, AJK Pengankutan memaklumkan
bahawa bas hanya akan tiba pada jam 10.00 a.m. Perkara ini
menimbulkan perasaan tidak senang hati dalam diri kami yang perlu
berkejaran masa di awal pagi semata-mata untuk tidak mahu
membuatkan pemandu bas menunggu para pelajar dalam masa lama ketika
hendak bertolak ke lokasi tersebut. Malangnya, perkara sebegini
berlaku yang membuatkan semua pelajar terpaksa menunggu selama dua
jam untuk menaiki bas ke lokasi teersebut. Insiden sebegini
sebenarnya tidak patut berlaku kerana sejak awal lagi dalam
beberapa perjumpaan yang telah dijalankan, pengerusi telah kerap
kali mengingatkan kepada semua pelajar bahawa kita semua akan
bertolak ke rumah anak yatim tersebut tepat pada jam 8.00 a.m.
Jadi, apabila kesemuanya telah berkumpul di hadapan bangunan gerko
tersebut, tiba-tiba sahaja AJK Pengangkutan memaklumkan bahawa bas
akan tiba pada jam 10.00 a.m. Perkara sebegini bukan sahaja
membuatkan semua pihak tidak senang hati dengan pengurusan yang
dijalankan bahkan berkemungkinan boleh menyebabkan perjalanan
sesuatu program tersebut mungkin terbantut.Kelemahan yang
seterusnya ialah dari segi penyediaan makanan kepada pihak Teratak
Rahmat. Ketika waktu rehat untuk makan tengah hari, timbul satu
insiden yang mengatakan bahawa pihak Teratak Rahmat tidak
menyediakan juadah bagi anak-anak yatim tersebut kerana beranggapan
bahawa pihak institut telah menyediakan bekalan makanan kepada
warga Teratak Rahmat untuk makan pada tengah hari tersebut. Jadi,
berlaku satu situasi yang membuatkan seramai lebih kurang 30 orang
peserta BIG yang tidak dapat menjamah makanan pada hari tersebut
kerana makanan tersebut terpaksa diagihkan kepada anak-anak yatim
tersebut. Hal ini sangat memalukan bagi pihak institut yang mana
kita sebagai tetamu kepada mereka seharusnya bertanggungjawab
menyediakan makanan kepada pihak mereka juga lebih-lebih lagi
status mereka sebagai anak yatim yang sangat memerlukan keperluan
untuk menjalani kehidupan mereka di tempat tersebut. Jadi, kita
sebagai pihak yang ingin membuat khidmat masyarakat di tempat
tersebut seharusnya peka kepada situasi ini kerana ia merupakan
tanggungjawab kita untuk menyediakan makanan kepada mereka
berdasarkan adab ketika berkunjung ke tempat orang.Seterusnya,
antara kelebihan yang dapat saya perhatikan sepanjang program ini
berlangsung ialah dari segi penyediaan atau pengelolaan aktiviti
yang ditunjukkan oleh AJK Aktiviti pada BIG kali ini sangatlah
cemerlang. Hal ini kerana, segala aktiviti yang dijalankan oleh
mereka sangatlah membangkitkan suasana sehingga menyebabkan kesemua
peserta terutamanya warga Teratak Rahmat terhibur dengan gelagat
yang ditunjukkan oleh mereka. Segala aktiviti yang dianjurkan
amatlah berkesan dalam memastikan kesemua peserta pada hari
tersebut dapat menjalani segala aktiviti yang dianjurkan dalam
keadaan yang gembira dan seronok. Antara aktiviti yang dianjurkan
pada hari tersebut ialah seperti aktiviti mencipta logo dan bendera
negara mereka sendiri mengikut kreativiti yang ada pada semua
peserta dan warga Teratak Rahmat. Seterusnya, aktiviti mencipta
pakaian beragam yang bertemakan Super Hero yang mana aktiviti ini
sangat membuatkan kanak-kanak daripada Teratak Rahmat ini begitu
terhibur dengan pelaksanaan aktiviti ini yang mana mereka terlibat
secara langsung dalam sesi untuk menyiapkannya. Aktiviti yang
seterusnya ialah aktiviti konduktor muzik yang turut membuatkan
kesemua peserta program ketawa dengan tidak terhenti kerana
aktiviti ini memerlukan semua peserta menggayakan perlakuan seperti
seorang komposer yang mengendalikan sesi nyanyian. Segala aktiviti
yang dijalankan ini mampu membuatkan kesemua peserta terhibur
kerana ia melibatkan komitmen yang tinggi daripada kesemua peserta
program dalam setiap kumpulan.Kelebihan yang seterusnya ialah dari
segi layanan yang ditunjukkan oleh kesemua peserta program kepada
adik-adik dari Teratak Rahmat tersebut yang dilihat sangatlah baik
dan penyayang. Saya sendiri dapat lihat apabila kesemua peserta
dikumpulkan dalam satu kumpulan yang terdiri daripada peserta
program dengan warga Teratak Rahmat, mereka ini sangat menunjukkan
nilai kasih sayang dan prihatin terhadap kanak-kanak tersebut yang
mereka anggap seperti adik mereka sendiri. Jadi, disini kita dapat
lihat bahawa nilai keguruan jelas terpancar dalam diri semua
bakal-bakal guru ini yang mana ia merupakan persediaan kepada
mereka bagi mengalami situasi pekerjaan mereka nanti yang akan
turut terlibat dengan kanak-kanak yang sebegini yang memerlukan
sepenuh perhatian daripada kita. Jadi,pelaksaan aktiviti BIG
khidmat masyarakat pada kali ini amatlah wajar dilaksanakan juga
pada tahun-tahun yang akan datang kerana ia dapat menginsafkan diri
kita dan membandingkan kehidupan kita yang serba mewah ini dengan
keadaan hidup mereka yang serba kekurangan.
Sementara itu, antara penambahbaikan yang dapat dilakukan
sepanjang aktiviti ini dijalankan ialah dari segi pengurusan masa
dalam merencanakan sesuatu aktiviti yang mesti selari dengan
tentatif program seperti yang telah dirancang. Kita tidak mahu isu
kelewatan bertolak ke lokasi aktiviti seperti yang telah berlaku
pada masa lalu akan berulang lagi pada masa akan datang. Hal ini
kerana, kelewatan tiba di lokasi aktiviti akan membuatkan segala
program yang dirancang akan tergendala dan akan mengundang pelbagai
masalah untuk diselesaikan . Jadi, pengurusan masa dan aktiviti
dalam satu-satu program yang akan dianjurkan pada masa akan datang
hendaklah diambil berat terutamanya oleh individu yang
bertanggungjawab dalam mengendalikan tugasnya yang berkaitan dengan
pengangkutan dan disiplin. Hal ini bagi memastikan semua pihak
berpuas hati dengan pengurusan yang ditunjukkan oleh AJK yang
bertanggungjawab dalam melaksanakan program ini.Selain itu,
penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah dari segi penyediaan
makanan kepada pihak yang dikunjungi tertutamanya golongan yang
sangat memerlukan bantuan dan simpati daripada masyarakat di negara
ini seperti warga Teratak Rahmat ini. Kita seharusnya peka dalam
melaksanakan sesuatu program haruslah mengambil kira kebajikan para
pesertanya terutamanya pihak yang perlu kita raikan supaya mereka
tidak berasa terkilan atau berkecil hati dengan tindakan yang kita
lakukan tersebut. Walaupun isu ini dilihat agak remeh, akan tetapi
pandangan orang lain terhadap tindakan yang dilakukan oleh kita
tersebut boleh mencalarkan imej institut serta tanggapan orang
raman terhadap bakal guru yang tidak tahu mengenai adab mengunjungi
tetamu. Jadi, saya berharap agar perkara sebegini tidak akan
berulang lagi pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja dapat
mengundang persepsi yang negatif daripada orang ramai tetapi
kemungkinan juga dapat merencatkan perjalanan program pada hari
tersebut.Natijahnya, pelaksanaan program BIG khidmat masyarakat ini
dapat memberikan pelbagai pengalaman baru kepada kita untuk
sama-sama kita kecapi supaya situasi yang serupa yang mungkin
berlaku pada masa akan datang dapat kita atasi dengan cara yang
profesional. Hal ini kerana, segala pengalaman serta pahit manis
yang telah kita semua lalui sepanjang sehari berprogram bersama
dengan warga Teratak Rahmat ini dapat memberi kesan yang mendalam
dalam diri kita sebagai seorang bakal guru. Kesusahan dan keresahan
yang mereka hadapi ini diharapkan dapat dikurangkan sedikit demi
sedikit dengan adanya program sebegini rupa. Jadi, diharapkan
program ini dapat dijalankan dengan lebih kerap pada masa akan
datang kerana ia merupakan sebuah program yang mampu memberi sinar
kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak Teratak Rahmat ini
apabila setiap kali adanya pengunjung yang datang melawat.Jadi,
pelaksanaan aktiviti khidmat masyarakat di rumah anak yatim ini
amat bertepatan dengan kehendak dan keperluan kita sebagai seorang
bakal guru yang akan berhadapan dengan situasi sebegini apabila
ditempatkan di sekolah kelak. Akhir kata, segala yang baik itu
datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu merupakan
kelemahan daripada diri saya sendiri iaitu sebagai seorang manusia
biasa yang tidak mempunyai sebarang kudrat serta sentiasa melakukan
sebarang kesalahan atau kekhilafan. Sekian, terima kasih.
LAPORAN BERGAMBAR BIG BENGKEL PENGUCAPAN AWAM DAN KESANTUNAN
BERBAHASA
Gambar 1 : Ketika sesi pendaftaran BIG bengkel dijalankan
Gambar 2 : Para pelajar mengambil tempat duduk mengikut
kelas
Gambar 3 : Nyanyian Lagu Negaraku dan Negeri Kedah
Gambar 4 : Penceramah sedang memberi beberapa tips mengenai
pengucapan awam
Gambar 5 : Sesi perbincangan untuk mengadakan aktiviti
lakonan
LAPORAN BERGAMBAR BIG KHIDMAT MASYARAKAT DI RUMAH ANAK YATIM
Gambar 1 : Bergambar Sebelum Bertolak Ke Teratak Rahmat
Gamabar 2 : Tiba Di Teratak Rahmat
Gambar 3 : Barisan Fasilitator Yang Akan Kendalikan Aktiviti
Gambar 4 : Sesi Pembahagian Kumpulan Sedang Berlansung
Gamabar 5 : Sesi Nyanyian Lagu Rasmi Program Big
Gamabar 6 : Sesi Menyiapkan Logo Dan Bendera Negara Sendiri
Gambar 7 : Ketika Persembahan Aktiviti Pakaian Beragam
Dijalankan
25