KURSUS PENANAMAN, PEMBIAKAN, DAN PEMASARAN BUNGA HIASAN UNTUK KOMUNITI KG. BUNDU TUHAN, RANAU, SABAH RANAU, 11 OKTOBER 2017 – Kursus Penanaman, Pembiakan dan Pemasaran Bunga Hiasan telah diadakan dari 26 – 29 September 2017 bertempat di Kg. Bundu Tuhan, Ranau, Sabah. Kursus ini adalah sebahagian daripada Projek Pakej Penanaman Mutan Tanaman Hiasan di bawah pembiayaan MOSTI Social Innovation (MSI) yang mensasarkan pemindahan hasil penyelidikan serta pakej penanaman dari Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB), Nuklear Malaysia khususnya berkaitan penanaman, pembiakan dan penjagaan pokok orkid dan kekwa kepada komuniti tempatan. Varieti mutan orkid dan kekwa ini dihasilkan oleh kumpulan penyelidik dari Nuklear Malaysia melalui teknologi biak baka mutasi menggunakan sinaran mengion, dan varieti ini berpotensi untuk dikomersialkan oleh nurseri tempatan. Kampung Bundu Tuhan yang terletak berhampiran kawasan pelancongan tanah tinggi Kundasang menjadikannya lokasi yang sesuai untuk penanaman varieti ini selain boleh dijadikan hub pengeluaran bunga keratan dan pokok pasuan bagi negeri Sabah. Aktiviti yang berlangsung selama empat hari ini merangkumi kuliah, latihan praktikal dan juga demonstrasi. Rajah 1: Penyediaan tapak latihan praktikal kursus oleh urus setia dari Nuklear Malaysia. Program pada hari pertama dimulakan dengan pendaftaran peserta dan diikuti dengan ucapan aluan dari wakil pihak kolaborator, Pn. Fisyra Siation dan ucapan pembukaan serta sesi pengenalan kepada penceramah dan peserta oleh wakil Nuklear Malaysia, Dr. Zaiton Ahmad. Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan kuliah pengenalan kepada tanaman hiasan dan latar belakang industri florikultur dan disusuli kuliah asas penanaman tanaman hiasan oleh Dr. Zaiton Ahmad. Selepas waktu rehat, Pn. Sakinah Ariffin memberikan kuliah khusus mengenai orkid serta kaedah pembiakan dan penjagaannya. Program hari pertama diakhiri dengan taklimat oleh Dr. Zaiton Ahmad dan Pn. Sakinah Ariffin mengenai latihan praktikal yang akan diadakan pada hari berikutnya. Rajah 2: Sesi kuliah dan taklimat oleh penyelidik dari Nuklear Malaysia. Pada keesokan harinya, para peserta dilatih mengenai penyediaan keperluan penanaman seperti pasu, arang, batu bata dan tanah melalui latihan praktikal di bawah seliaan Pn. Sakinah dan Dr. Zaiton. Selesai aktiviti praktikal, para peserta didedahkan dengan pengetahuan mengenai pemasaran bunga hiasan dan potensi perniagaan nurseri tanaman di negeri Sabah oleh Pn Rusnani Ahmad, Pegawai Pertanian (Ekonomi), Jabatan Pertanian Sabah dan diikuti dengan ceramah mengenai pengalaman Taman Pertanian Sabah di Tenom dalam mempromosi agro- pelancongan oleh pegawainya, Cik Nur Edna Hasreena Ahlun.