JELASKAN KONSEP MAZHAB DALAM PERUNDANGAN ISLAM SERTA BINCANGKAN
KEBAIKAN DAN KEBURUKAN TERIKATNYA DALAM KEHIDUPAN MASYARAKAT
SEKARANG"
1.0 PENGENALAN
Sebelum ditinjau sejarah kemunculan mazhab-mazhab fiqh Islam,
ada baiknya jika kita tinjau terlebih dahulu maksud perkataan
Mazhab. Mazhab () dari sudut bahasa bererti jalan atau the way of.
Dalam Islam, istilah mazhab secara umumnya digunakan untuk dua
tujuan iaitu dari sudut akidah dan dari sudut fiqh. Mazhab akidah
ialah apa yang bersangkut-paut dengan soal keimanan, tauhid, qadar
dan qada, hal ghaib, kerasulan dan sebagainya. Antara contoh
mazhab-mazhab akidah Islam ialah Mazhab Syiah, Mazhab Khawarij,
Mazhab Mutazilah dan Mazhab Ahlal-Sunnah waal-Jamaah. Setiap
daripada kumpulan mazhab akidah ini mempunyai mazhab-mazhab fiqhnya
yang tersendiri.
Mazhab fiqh ialah apa yang berkaitan dengan soal hukum-hakam,
halal-haram dan sebagainya. Contoh Mazhab fiqh bagi Ahl al-Sunnah
wa al-Jamaah ialah Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab al-Syafie
dan Mazhab Hanbali. Mazhab fiqh pula, sebagaimana menurut Huzaemah
Tahido, bererti Jalan fikiran, fahaman dan pendapat daripada
seorang mujtahid dalam menetapkan suatu hukum Islam dari sumber
al-Quran dan al-Sunnah. Ianya juga bererti sejumlah fatwa atau
pendapat-pendapat seorang alim besar yang bergelar Imam dalam
urusan agama, baik dalam masalah ibadah ataupun lainnya.
Contoh imam mazhab ialah Abu Hanifah, Malik bin Anas, al-Syafie
dan Ahmad bin Hanbal. Pengertian mazhab ini kemudiannya beralih
menjadi satu kumpulan ajaran fiqh Islam yang diikuti dan diterima
oleh satu-satu kumpulan umat Islam dalam sesebuah wilayah atau
negara. Ianya menjadi sumber rujukan dan pegangan yang diiktiraf
sebagai ganti atau alternatif kepada ikutan, ijtihad dan analisa
terhadap ajaran asli al-Quran dan al-Sunnah.
1.1 Maksud, Tujuan dan Kepentingan Mazhab
1.1 Maksud, Tujuan dan Kepentingan Bermazhab
Dalam pandangan Islam setiap individu Muslim wajib mentaati
ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Walaubagaimanapun diakui bahawa
tidak semua orang dapat merujuk terus kepada al-Quran dan
al-Sunnah. Ini kerana manusia memiliki kemampuan yang berbeza-beza
yang secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga tahap. Pertama
ialah golongan tidak perlu mazhab dari segi ilmu. Mereka yang dapat
mengkaji dan memahami secara terus nas-nas al-Quran dan al-Sunnah
dan mampu mengeluarkan hukum daripadanya. Bagi seorang yang berada
di tahap yang pertama ini, dia dibolehkan merujuk secara terus
kepada al-Quran dan al-Sunnah. Malah merupakan satu kesalahan bagi
dia untuk menurut sahaja (taqlid buta) sesuatu mazhab kerana
berbuat sedemikian bererti dia menderhakai kelebihan yang diberikan
Allah Subhanahu wa Taala kepadanya.
Kedua ialah golongan yang perlu kepada mazhab. Mereka yang tidak
dapat mengkaji dan tidak mampu mengeluarkan hukum daripadanya.
Tujuan sebenar mazhab-mazhab Islam sejak dari dahulu ialah
memudahkan umat Islam mencapai ketaatan ke-pada al-Quran dan
al-Sun-nah. Setiap ajaran mazhab adalah berdasarkan al-Qur-an dan
al-Sunnah, oleh itu mengikuti mazhab bererti mengikuti al-Quran dan
al-Sunnah. Ketiga ialah golongan di antara dua. Mereka yang berada
di pertengahan antara tahap pertama dan kedua di atas. Bagi seorang
yang berada di tahap kedua dan ketiga, bagi mereka diharuskan
mengikut sesuatu mazhab fiqh Islam. Sememangnya inilah tujuan
sebenar mazhab-mazhab Islam sejak dari dahulu, iaitu memudahkan
umat Islam mencapai ketaatan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Ini kerana setiap ajaran mazhab adalah berdasarkan al-Quran dan
al-Sunnah, oleh itu mengikuti mazhab bererti mengikuti al-Quran dan
al-Sunnah. Mazhab-mazhab fiqh Islam berperanan sebagai jalan bagi
membawa seorang Muslim itu kepada ketaatan terhadap al-Quran dan
al-Sunnah. Ia memudahkan umat yang tidak berkemampuan untuk
mendekati ajaran al-Quran dan al-Sunnah secara terus.Tujuan yang
ingin dicapai oleh para imam mazhab ialah menjelaskan kepada
manusia apa yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T dan apa yang
disabdakan oleh Rasulullah S.A.W dengan menggunakan bahasa yang
mudah difahami oleh masyarakat umum kerana kebanyakan ahli
masyarakat tidak mampu memahami dalil-dalil al-Qur'an dan Hadis
secara langsung.
Namun dalam seseroang itu bermazhab, ia perlu mempunyai fikrah
(pemahaman) yang jelas iaitu beliau mestilah sedar bahawa ketaatan
yang sebenar adalah kepada al-Quran dan al-Sunnah. Mazhab hanya
berperanan memudahkan ketaatan tersebut, bukan
menggantikannya.mengikuti mazhab bukanlah bererti membebaskan diri
daripada sifat belajar dan mengkaji. Ini kerana menuntut ilmu
merupakan salah satu kewajipan agama sebagaimana sabda Rasulullah
S.A.W iaitu menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim. Oleh itu
wajib belajar ajaran fiqh mazhab dengan mengkaji dalil-dalilnya dan
membandingkannya dengan mazhab yang lain atau penelitian semula
oleh tokoh terkemudian.
Hasan al-Banna rahimahullah menasihatkan bagi setiap Muslim yang
belum mencapai tingkat mujtahid terhadap dalil-dalil umum syariat,
dibolehkan baginya untuk mengikut pendapat salah seorang imam agama
(imam mazhab). Namun sangat dianjurkan agar dia berusaha dengan
segenap kemampuannya untuk mempelajari dalil-dalil yang
dipergunakan oleh imam yang diikutinya dan tetap bersedia menerima
kebenaran dari orang lain yang berhak mengemukakannya. Selain itu
dia harus berusaha menyempurnakan segala kekurangan ilmunya jika
dia adalah seorang yang mampu melakukan hal itu sehingga akhirnya
dia dapat mencapai kedudukan sebagai seorang mujtahid.
Bagi orang yang mampu mengkaji secara terus kepada dalil
al-Quran dan al-Sunnah mereka tidak memerlukan mazhab melainkan
sekadar sumber meluaskan skop kajian. Bagi orang yang tidak mampu,
mereka memerlukan mazhab sebagai jalan yang memudahkan ketaatan
kepada al-Quran dan al-Sunnah. Golongan yang pertama tidak boleh
mengecam golongan yang kedua dan begitulah juga sebaliknya.
1.2 Konsep Bermazhab
Huraian konsep bermazhab adalah merupakan huraian konsep taqlid
dalam pengajian Usul al-Fiqh. Istilah bermazhab diguna pakai kerana
ia lebih mudah untuk difahami dalam konteks amalan bermazhab di
negara kita. Setiap individu atau negara dikatakan bermazhab dengan
sesuatu mazhab tertentu kerana ia menerima pakai atau bertaqlid
kepada mazhab tersebut. Oleh itu bermazhab adalah membawa maksud
bertaqlid kepada mazhab yang dipegangi.
Mazhab adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud:
cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam iaitu seperti:
mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali. Manakala perkataan
bermazhab (madhhabiyyah) sebagaimana yang ditakrifkan oleh Saiid
Ramadan al-Buti membawa maksud seseorang awam atau orang yang tidak
sampai ke tahap mujtahid berpegang atau mengikut (taqlid) mana-mana
aliran Imam mujtahid samada dia berpegang dengan seorang mujtahid
sahaja atau berpindah-pindah antara satu mujtahid ke mujtahid yang
lain dalam ikutannya itu.
Takrif ini adalah hampir sama dengan takrif taqlid dalam
pengajian Usul al-Fiqh iaitu mengambil pandangan orang lain tanpa
mengetahui dalil. Terdapat polemik yang popular dalam pengajian
Usul al-Fiqh tentang kedudukan bertaqlid yang boleh dikategorikan
kepada tiga pandangan. Dimaksudkan dengan taqlid di sini ialah
taqlid dalam masalah furu fiqh dan bukannya taqlid dalam masalah
usul atau akidah kerana taqlid dalam dua masalah ini adalah tidak
dibolehkan sama sekali.
Pertama ialah tidak harus bertaqlid sama sekali. Wajib ke atas
setiap mukallaf berijtihad sendiri mengenai urusan agamanya dan
beramal berasaskan ijtihadnya. Ini adalah pandangan golongan
al-Zahiri dan al-Mutazilah. Kedua bertaqlid adalah wajib ke atas
semua mukallaf selepas zaman imam-imam mujtahidin. Ini adalah
pandangan Hasyawiyyah. Manakala ketiga ijtihad adalah tidak
dilarang manakala taqlid adalah haram ke atas para mujtahid.
Manakala orang awam yang tidak berkeahlian berijtihad sekalipun
seorang yang alim adalah wajib bertaqlid. Pandangan ini merupakan
pandangan jumhur ulama dan inilah pandangan yang ditarjihkan oleh
kebanyakan ulama semasa.
Pandangan yang ketiga di atas dilihat adalah pandangan yang
realistik. Bagaimana mungkin untuk meletakkan kewajipan berijtihad
ke atas orang yang tidak mempunyai alat yang cukup untuk
berijtihad. Syariat Islam yang mudah ini tidak mengenakan taklif ke
atas orang yang tidak mampu untuk melaksanakannya. Demi kemudahan
orang awam melaksanakan tuntutan syarak, harus baginya bertaqlid
mana-mana imam mujtahid yang diyakininya. Rentetan dari pandangan
yang ketiga di atas para ulama telah membahagikan taqlid kepada dua
iaitu taqlid yang dipuji iaitu taqlid seorang yang tidak
berkelayakan untuk berijtihad lalu dia bertaqlid kepada mujtahid
dan kedua adalah taqlid yang dicela iaitu taqlid dalam perkara yang
berlawanan dengan syara seperti bertaqlid buta kepada pemimpin atau
orang tua, bertaqlid kepada seorang yang tidak diketahui samada dia
berkelayakan untuk ditaqlidkan dan bertaqlid setelah ternyata dalil
dan hujah baginya bahawa orang yang ditaqlidkan itu adalah
silap.
Menurut Wahbah al-Zuhayli, taqlid dalam kategori kedua di atas
merupakan maksud larangan taqlid sebagaimana yang ada dalam
teks-teks fuqaha yang mencela taqlid seperti larangan para imam
mujtahid dari bertaqlid kepada mereka tanpa hujah. Bertaqlid bagi
orang awam bukanlah suatu yang di luar prinsip syarak tetapi suatu
keperluan baginya yang selaras dengan kehendak syarak. Sebagai
seorang Muslim, tidak semuanya mampu memahami tentang agama. Malah
ia perlu berpandukan kepada para ulama untuk memahami nas-nas
syara. Justeru itulah manusia diwajibkan bermazhab sebagai beramal
dengan ayat Quran yang menyuruh umat Islam bertanya kepada ahl
al-dhikr (orang yang tahu) sekiranya mereka tidak mengetahui.
Muhammad Saiid Ramadan al-Buti menegaskan wajib bagi orang yang
lemah (tidak dapat) berijtihad untuk bertaqlid tetapi bukan secara
fanatik, yang mana harus baginya untuk beriltizam atau tidak.
Keharusan bertaqlid sebagaimana yang dihuraikan di atas mestilah
dalam kerangka yang telah disepakati oleh para ulama sebagaimana
yang dihurai oleh al-Buti iaitu pertamanya dalam persoalan taqlid
tidak ada nas syara yang menyuruh supaya berpegang kepada mazhab
secara berterusan sebagaimana juga tidak ada nas syara yang
melarang berpindah mazhab. Dalam konteks ini al-Buti menegaskan
ketiadaan nas yang menyuruh beriltizam dengan mazhab tertentu bukan
pula bererti haram beriltizam dengan mazhab kerana tidak wajib
bukannya bermaksud haram.
Keduanya ialah apabila ternyata bagi seorang muqallid
dalil-dalil syara dan usul ijtihad wajib baginya melepaskan diri
dari pendapaat imam mazhabnya. Ini yang dinamakan mujtahid mazhab.
Di sini al-Buti menegaskan bahawa ia bukan bermaksud menyuruh orang
jahil supaya tidak bertaqlid dan berpegang terus kepada al-Quran
dan Sunnah. Ketiganya semua para imam mujtahid adalah berada di
atas kebenaran iaitu ijtihad mereka itu tidak dianggap salah di
sisi Allah. Al-Buti menegaskan dari sinilah asasnya bahawa
bertaqlid kepada salah satu imam mazhab adalah bertaqlid di atas
kebenaran. Tidak harus bagi seseorang yang berpegang kepada
satu-satu mazhab untuk menganggap mazhab lain adalah salah. Inilah
prinsip asas bermazhab atau bertaqlid dalam tradisi pengajian fiqh
dan usul fiqh. Sebarang pandangan yang di luar dari kerangka ini
adalah menyalahi konsep bermazhab dan bertegas untuk menyalahi
konsep ini adalah satu sikap fanatik yang dicela.
Berdasarkan huraian di atas mari kita lihat di mana kedudukan
fanatik mazhab. Dalam istilah usul, fanatik dikenali dengan taksub.
Perkataan taksub berasal daripada perkataan Arab yang bererti tidak
menerima kebenaran tentang pandangan dan pendapat orang lain yang
berdasarkan dalil-dalil syari, disebabkan kecenderungan seseorang
kepada aliran tertentu. Perkataan taksub tidak terdapat dalam kamus
Dewan. Apa yang terdapat di dalamnya adalah perkataan fanatik.
Fanatik bererti keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian
berkaitan dengan agama. Pengertian yang hampir sama juga terdapat
pada perkataan eksterim. Kamus Dewan mendefinisikan eksterim
sebagai keterlaluan dan melampau. Ekstremis pula bererti orang yang
sikapnya keterlaluan dan melampau dalam sesuatu hal seperti agama,
politik dan sebagainya.
Mengguna pakai takrif di atas boleh disimpulkan di sini bahawa
amalan bermazhab sebagaimana yang dihuraikan di atas bukanlah
bermaksud fanatik kepada mazhab yang diikut tetapi semata-mata di
atas keperluan bagi orang awam yang tidak mempunyai cukup keahlian
ilmu untuk berijtihad sendiri. Tuduhan bermazhab sebagai fanatik
adalah tuduhan tidak berasas sama sekali berasaskan kepada maksud
bermazhab atau bertaqlid sebagaimana yang diterima dalam pengajian
Usul Fiqh. Realiti yang ada ialah para imam mujtahid telah
meletakkan kaedah dalam berinteraksi dengan nas dan menangani
masalah hukum dan usaha mereka ini telah diikut oleh orang yang
tidak mampu untuk berijtihad yang telah melahirkan golongan yang
berpegang kepada kaedah dan pandangan para mujtahidin tadi yang
dipangil muqallid.
2.0 MAZHAB SYAFII DALAM PERUNDANGAN DAN FATWA
Kedudukan mazhab Syafii di Malaysia diperkukuhkan lagi melalui
peruntukan undang-undang melalui enakmen negeri- negeri. Mengambil
kira sejarah perkembangan mazhab Syafii di Malaysia pihak berkuasa
negeri telah mengambil langkah dengan lebih jelas iaitu menerima
pakai mazhab Syafii dalam fatwa-fatwa negeri. Sebagai contoh Akta
Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993
memperuntukkan dalam Seksyen 39. Pertama dalam mengeluarkan apa-apa
fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di
bawah seksyen 38, mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-
pandangan diterima (qaul muktamad) mazhab Syafii. Kedua jika Mufti
berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad mazhab Syafii akan
membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam,
Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad mazhab Hanafi, Maliki dan
Hanbali.
Ketiganya ialah jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun
qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa
kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti
bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri
tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang
empat itu. Jelas dari peruntukan di atas keutamaan mazhab Syafii
dalam fatwa berbanding dengan mazhab lain. Satu-satunya perkara
yang diambil kira untuk menerima pakai mazhab selain Syafii ialah
kepentingan awam. Ini adalah satu bentuk siyasah syariyyah daripada
pihak pemerintah demi untuk menjaga kemaslahatan keharmonian hidup
beragama di negara kita yang telah sebati dengan mazhab Syafii
dengan pada masa yang sama memberi ruang kepada mazhab lain dalam
fatwa jika ada kepentingan awam.
Kaedah penyeragaman ini sangat perlu diambil perhatian oleh
semua pihak agar keharmonian hidup masyarakat Islam tidak tergugat
dengan pendapat-pendapat yang lain dari mazhab Syafii yang tidak
perlu diketengahkan untuk masyarakat awam. Dalam perkembangan yang
sama Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan telah memutuskan
beberapa ketetapan seperti berikut. Pertamanya ialah semua fatwa
yang diputuskan mestilah berdasarkan kepada qawl yang muktabar
dalam mazhab Syafii. Jika hendak beramal dengan qawl dari mazhab
lain maka perlu mendapat restu daripada Yang Di Pertuan Agong.
Keduanya umat Islam tidak dipaksa beramal dengan mazhab Syafii
bahkan boleh beramal dengan mana-mana mazhab lain yang disukai
dengan syarat mereka tidak boleh menyalahkan orang-orang yang
beramal dengan mazhab Syafii.
Ketiganya ialah mazhab-mazhab lain tidak boleh diajar atau
disyarah secara terbuka di khalayak ramai namun boleh diajar di
majlis- majlis pelajaran. Keempat adalah menjadi satu kesalahan
jika mengajar mazhab lain selain daripada mazhab Syafii secara
terbuka. Kelima jika fatwa telah dikeluarkan berasaskan kepada
mazhab Syafii, maka tiada sesiapa pun boleh membantahnya dengan
menggunakan hujah daripada mazhab yang lain. Selain daripada itu
Jakim telah menerima pakai cadangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Islam agar penyebaran fahaman-fahaman selain mazhab Syafii
hendaklah dikawal bagi tujuan membendung fahaman yang boleh
mengelirukan masyarakat yang tidak terdedah dengan perbezaan
mazhab-mazhab. Cadangan ini telah diperkenan oleh Mesyuarat Majlis
Raja-raja ke 133 (khas) pada 3 Disember 1984. Apa yang jelas dari
peraturan ini ialah untuk menjaga orang awam dari terdedah kepada
kekeliruan aliran mazhab yang berbagai. Dengan kedudukan mazhab
Syafii yang telah sebati dalam kehidupan mereka tentunya akan
timbul kekeliruan jika mazhab lain turut didedahkan kepada
awam.
3.0 SEBAB-SEBAB WUJUDNYA PERBEZAAN PENDAPAT ANTARA PARA IMAM
MAZHAB
Setelah kewafatan baginda s.a.w. dan berakhirnya zaman para
sahabat, ajaran Islam telah berkembang dengan luas ke serata dunia.
Hal ini kerana dakwah Islamiah berkembang dengan pesatnya. Pada
ketika itu muncul pelbagai permasalahan baru yang tidak dijumpai
pada zaman sebelumnya yang menyebabkan wujudnya perbezaan pendapat
antara para imam mazhab.
Para imam mazhab bukan berbeza pendapat terhadap perkara yang
asas bahkan hanyalah perkara-perkara kecil sahaja. Sebenarnya,
perbezaan pendapat terhadap ajaran Islam telah bermula sejak zaman
Rasulullah s.a.w. masih hidup lagi. Akan tetapi, perbezaan tersebut
tidak memperlihatkan sebarang konflik kerana Rasulullah s.a.w masih
bersama-sama dengan umat Islam pada ketika itu boleh menerangkan
dan menjelaskan segala persoalan dan perbezaan dengan lengkap dan
teratur.
Perbezaan pendapat tersebut adalah perkara lumrah kerana ajaran
Islam tidak melarang umat Islam berbahas dan berdebat dengan
mengemukakan pendapat masing-masing dalam sesuatu perkara yang
bersesuaian dengan garis panduan ajaran Islam. Jika seseorang itu
betul-betul memerhatikan ajaran fiqh keempat-empat mazhab Islam
itu, dia tidak akan menemui sebarang perbezaan pendapat atau
perbezaan ajaran dalam konteks prinsip-prinsip asas ajaran Islam
sesama mereka. Perbezaan yang wujud hanyalah berkisarkan
perkara-perkara furu dan bukannya perkara-perkara asas keislaman.
Umumnya, perbezaan ini timbul kerana dua sebab iaitu faktor
kemanusiaan dan faktor sejarah.
Dari segi faktor kemanusiaan, hal ini dapat dilihat melalui
kebolehan manusia yang berbeza-beza sama ada dari segi fizikal
mahupun mental. Hal ini kerana walaupun setiap manusia dikurniakan
akal, kebolehan seseorang itu berbeza dalam menafsir sesuatu dalil
al-Quran dan al-Sunnah untuk mengeluarkan sebuah hukum. Manakala
dari segi faktor sejarah pula dapat dilihat para imam mazhab tidak
hidup sezaman yang sama. Pada zaman para imam mazhab, tidak
terdapat suasana atau kaedah yang memudahkan mereka untuk
memperolehi hadis atau duduk bersama membicarakan sesuatu hal
agama. Para imam mazhab berhijrah ke sana sini di seluruh dunia
Islam untuk mencari hadis-hadis Rasulullah shallallahu alaihi
wasallam. Suasana ini ada hubung-kaitnya dengan hukum yang
dikeluarkan oleh seseorang imam mazhab itu di mana setiap daripada
mereka akan mengeluarkan pendapat berdasarkan hadis-hadis yang
sempat mereka terima sahaja. Kedua-dua faktor di atas akan
dihuraikan dengan lebih terperinci berikut ini:
Pertama: Satu dalil yang mempunyai beberapa maksud.
Ada beberapa perkataan dalam al-Quran dan al-Sunnah yang
mempunyai lebih dari satu maksud. Dalam kaedah usul fiqh, ianya
dikenali sebagai Lafaz Musytarak. Daripada perkataan yang satu ini,
ada yang memahaminya dengan satu maksud manakala ada yang
memahaminya dengan maksud yang lain.
Contoh yang paling banyak dibicarakan ialah perkataan Quru dalam
ayat:
Maksudnya : Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah
menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga
kali suci. [al-Baqarah 2:228].
Quru mempunyai dua erti, iaitu haid atau suci; dan juga tempoh
haid atau tempoh bersih dari haid.. Malik dan al-Syafie berpendapat
bahawa perkataan Quru mewakili tempoh bersih dari haid, manakala
Abu Hanifah berpendapat ianya mewakili tempoh seseorang itu berada
dalam haid. Ahmad dalam pendapatnya yang pertama mengatakan Quru
itu adalah masa suci kemudian dalam pendapatnya yang kedua
mengatakan ia adalah masa dalam keadaan haid. Dalam contoh ini kita
dapat simpulkan bahawa walaupun merujuk kepada satu dalil yang
sama, para imam mazhab mempunyai tafsiran yang berbeza. Hal ini
kerana sifat ayat Allah Azza wa Jalla yang adakalanya mempunyai
makna yang lebih dari satu.
Kedua: Satu dalil yang mempunyai makna hakiki atau kiasan.
Kadang kala sesuatu perkataan itu boleh juga mempunyai dua
makna, satu makna yang sebenar dan satu makna yang tersembunyi atau
kiasan. Dalam kaedah usul fiqh ini digelar sebagai Lafaz Hakiki dan
Lafaz Majazi. Contoh yang selalu dibicarakan ialah hukum batal atau
tidak wudhu apabila bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
Perbicaraan ini merujuk kepada firman Allah Subhanahu wa Taala:
Maksudnya :atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak
mendapat air (al-Maidah 5:06)
Perkataan La-ma-sa boleh difahami secara hakiki iaitu
bersentuhan dan boleh juga difahami secara majazi iaitu bersetubuh
antara lelaki dan perempuan. Hikmah di sebalik penggunaan lafaz
kiasan di dalam ayat ini ialah kerana Allah enggan menggunakan
secara terus-terang perkataan yang mewakili sesuatu perbuatan yang
mengurangkan kesopanan dan kemuliaan bahasa al-Quran.
Abu Hanifah dan al-Syafie berpendapat wudhu seseorang itu batal
apabila bersentuhan antara berlainan jantina berdasarkan ayat di
atas. Malik dan Ahmad berpendapat wudhu seseorang yang bersentuhan
kulit antara berlainan jantina hanya akan menjadi batal apabila
timbulnya perasaan syahwat. Jika tidak timbul syahwat maka wudhu
tidak batal. Di sini kita dapat melihat walaupun berdasarkan kepada
dalil yang sama, para imam mazhab menafsirnya melalui cara berbeza
yang bersesuaian dengan keluasan ilmu masing-masing. Setiap mereka
mempunyai hujahnya yang tersendiri.
Ketiga: Satu dalil yang tidak pasti maksudnya.
Ada segelintir kalimah Arab itu yang bersifat tidak pasti
maksudnya. Contohnya ialah ayat berikut berkenaan wudhu:
Maksudnya :Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak
mengerjakan sembahyang, maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka
kamu, dan kedua belah tangan kamu hingga ke siku..[al-Maidah
5:06]
Perkataan ilaa bermaksud hingga, oleh itu dalam ayat di atas
adakah tangan dibasuh hingga ke siku atau juga termasuk siku. Dalil
yang satu di atas boleh mengeluarkan dua pendapat, membasuh tangan
tidak termasuk siku dan juga membasuh tangan hendaklah termasuk
siku.
Keempat: Penerimaan hadis yang berbeza.
Masalah ini sering berlaku kerana setiap imam mazhab berfatwa
berdasarkan hadis yang sempat mereka temui. Hadis-hadis pada zaman
para imam mazhab masih belum dihimpunkan dan dikumpulkan dengan
sistematik. Para imam mazhab terpaksa mencarinya sendiri dengan
berhijrah ke tempat lain untuk menuntut ilmu. Imam Syafie pernah
bertanya kepada Ahmad bin Hanbal:
Engkau lebih mengetahui akan hadis-hadis daripada aku. Oleh itu
jika ada hadis yang sahih beritahulah aku sama ada hadis itu dari
Kufah, Basrah atau Syria. Beritahulah aku supaya aku dapat
berpegang kepadanya asalkan ianya adalah sahih.
Contoh hadis yang tersebut ialah berkenaan hukum Khamr (arak).
Abu Hanifah berpendapat bahawa yang diharamkan oleh perkataan Khamr
dalam hadis Rasulullah shallahu alaihi wasallam hanyalah minuman
yang diperbuat daripada buah anggur (wine). Akan tetapi setelah
kewafatan beliau, anak muridnya: Abu Yusuf telah menemui sebuah
hadis sahih yang menyatakan bahawa semua minuman yang memabukkan
itu adalah haram. Hadis tersebut berbunyi:
Setiap yang memabukkan itu adalah khamr dan setiap jenis khamr
itu adalah haram.
Maka dengan itu beliau mengeluarkan fatwa baru bagi Mazhab
Hanafi bahawa semua minuman yang memabukkan itu adalah haram tanpa
terhad kepada yang berasal daripada buah anggur (wine).
Kelima: Beza pendapat terhadap kekuatan hadis.
Ada kalanya perbezaan wujud kerana antara para imam mazhab,
mereka berbeza dalam menilai sesuatu hadis itu, sama ada ianya
sahih atau dhaif. Contohnya ialah hukum batal wudhu jika termuntah.
Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal berpendapat muntah itu membatalkan
wudhu. Pendapat ini mereka dasarkan kepada hadis:
Barangsiapa yang muntah, hidung berdarah, atau makanan dari
tenggoroknya keluar lagi atau keluar air madzi; hendaklah dia
meninggalkan solat, mengulangi wudhu dan kemudian menyambung
solatnya di mana dia tertinggal, tanpa bercakap di antaranya.
Walaubagaimanapun Malik dan al-Syafie berpendapat riwayat di
atas tidak sahih. Oleh itu mereka tidak mensyaratkan muntah sebagai
sesuatu yang membatalkan wudhu. Demikian beberapa faktor yang
menyebabkan perbezaan pendapat antara para imam mazhab.
Bagi al-Qaradawi, perbezaan pendapat dalam perkara cabang fiqh,
berlaku dengan sebab perbezaan ijtihad dan kefahaman dalam
menghadapi perbezaan pendapat, tidak mungkin berbagai-bagai mazhab
dapat disatukan. Dalam menjelaskan tentang perbezaan pendapat,
beliau merujuk kepada faktor-faktor yang pernah dijelaskan oleh
Imam Hasan al-Banna iaitu:
a. Perbezaan Daya Intelektual
Wujud perbezaan akal dari segi kekuatan dan kelemahannya di
dalam mengeluarkan hukum. Begitu juga dengan perbezaan kekuatan di
dalam menangani dalil-dalil, menyelami dasar makna dan mengaitkan
sebahagian hakikat dengan hakikat dengan hakikat yang lain. Agama
adalah ayat-ayat, hadis-hadis dan juga nas-nas, yang ditafsirkan
oleh akal dan pendapat dalam ruang lingkup bahasa dan
undang-undangnya. Kemampuan manusia berbeza dalam berbuat demikian,
yang sekaligus mencetuskan perbezaan pendapat.
b. Keluasan dan Kesempitan Ilmu
Kadang-kadang sampai kepada seorang alim, sesuatu hadis yang
tidak sampai kepada orang alim lain. Berdasarkan kepada perkara
inilah, Imam Malik pernah berkata kepada Abu Jafar, ketika Abu
Jafar berusaha mengajak masyarakat supaya beramal dengan kitab
al-Muwatta:Para sahabat Rasulullah S.A.W bertebaran di serata
bandar utama negara Islam. Setiap masyarakat mempunyai ilmunya
sendiri. Jika mereka diajak berpegang dengan satu pendapat sahaja,
akan berlaku fitnah.
c. Perbezaan Persekitaran
Perbezaan persekitaran juga memainkan peranan penting yang
menyebabkan wujudnya perbezaan pendapat dalam perkara cabang fiqh.
Perbezaan ini menyebabkan pelaksanaan berbeza mengikut perbezaan
setiap persekitaran. Imam al-Syafii, misalnya mengeluarkan fatwa
lamanya di negara Iraq, manakala fatwa barunya di Mesir. Di dalam
setiap fatwa itu, beliau berdasarkan kepada dalil-dalil yang sampai
dan jelas kepadanya.
d. Perbezaan Kepuasan Hati Terhadap Riwayat Hadis
Setiap imam berpuas hati dengan riwayat yang disampaikan
kepadanya oleh seseorang imam. Tahap kepuashatian ini pula berbeza
di antara seorang imam dengan seorang imam yang lain. Ada perawi
yang dipercayai oleh seseorang imam dan imam itu merasa berpuas
hati dengannya dan mengambil riwayat yang dikemukakan olehnya,
tetapiada di kalangan imam lain, yang tidak berpuas hati dengan
riwayat tersebut.
e. Perbezaan Penilaian Kandungan Makna Hadis
Perbezaan penilaian kandungan makna yang terdapat di dalam
sesebuah hadis yang menjadi dalil, juga memberi kesan kepada
kewujudan perbezaan pendapat di kalangan imam-imam terdahulu. Ada
imam yang berpendapat amalan orang ramai itu (khabar mutawatir)
didahulukan daripada berita-berita yang disampaikan oleh orang
perseorangan (khabar ahad). Tokoh lain pula tidak berpendapat
demikian. Ada imam yang menerima pakai hadis mursal dan ada juga
yang tidak menerimanya.
4.0 PANDANGAN MENGENAI KEBAIKAN DAN KEBURUKAN BERMAZHAB
Dalam bermazhab, terdapat beberapa golongan yang berpandangan
menyokong dan ada golongan menolak. Golongan yang menyokong terdiri
daripada ilmuan dan agamawan yang memiliki autoriti manakala
golongan yang berpandangan menentang bermazhab ini terdiri daripada
tiga golongan iaitu golongan berfahaman wahabisme, sekularisme dan
liberisme. Kesemua pandangan yang menerima dan menolak bermazhab
ini akan dijelaskan secara lengkap dalam topik ini.
4.1 Pandangan Mengenai Keburukan Bermazhab
Dalam konteks Malaysia semasa, terdapat dua persepsi khusus,
negatif dan positif dalam soal bermazhab. Ianya terdiri daripada
pertamanya golongan yang memandang negatif terhadap institusi
mazhab. Golongan ini terbahagi kepada tiga jenis yang utama.
Pertamanya ialah penganut Wahhabisme yang berpegang kepada
paradigma, mengamalkan backward looking dalam mengemukakan jawapan
terhadap permasalahan umat Islam. Bagi mereka, umat Islam tidak
dibenarkan berpegang kepada sesuatu mazhab khalaf, sebaliknya perlu
berpegang kepada mazhab Salaf yang menjadi amalan penganut Islam
yang awal, yang kononnya terbukti lebih suci pegangan keagamaannya
berbanding dengan umat yang terkemudian. Penganut pandangan ini
(tertutup) yang tidak mahu menerima pandangan yang berasal daripada
luar, lebih-lebih lagi dalam soal keagamaan. Bagi mereka, hanya
pandangan kumpulan mereka sahaja yang paling betul dan menafikan
hal ini kepada golongan lain, lebih-lebih lagi yang mempunyai
kaitan dengan dunia Barat. Mereka mengamalkan pendekatan literalis
dalam memahami ajaran Islam, tanpa merasa perlu melihat konteks
sesuatu ayat Quran dan Sunnah itu diturunkan pada zaman
Rasulullah.
Keduanya ialah penganut fahaman sekularis, merangkumi Jemaah
al-Quran Malaysia dan Sisters in Islam. Golongan ini terlalu
bergantung kepada kerangka paradigma barat dalam usaha memahami
ajaran Islam. Antara lainnya sikap ini boleh diperincikan dengan
melihat kemunduran umat Islam dari segi fizikal dan intelektual
berpunca daripada kesilapan metodologi Islam yang dibangunkan oleh
sarjana Islam silam. Jemaah al-Quran Malaysia secara
terang-terangan mencabar autoriti sistem fiqh yang telah dibina
oleh fuqaha silam. Dalam membuat tafsiran terhadap ajaran Islam,
golongan ini lebih menggunakan kaedah yang longgar dan bertentangan
dengan kaedah sarjana Islam silam. Mereka enggan menerima metode
asas pengetahuan Islam dan prinsip yang ditetapkan oleh sarjana
Islam silam.
Antaranya seperti kepentingan mengetahui bahasa Arab untuk
mendalami kandungan Quran dan Sunnah. Bagi golongan ini, pada masa
sekarang, pemahaman terhadap ajaran Islam boleh dilakukan oleh
sesiapa sahaja yang mampu memahami bahasa Inggeris, khususnya
dengan membaca bahan rujukan ajaran Islam yang dihasilkan oleh
sarjana barat. Kemudiannya menolak hadith Rasulullah sebagai salah
satu sumber hukum Islam yang berautoriti bagi memperincikan
kandungan Quran. Hadith bagi mereka adalah ciptaan ulama Islam pada
abad kedua Hijrah yang dinisbahkan kepada Rasulullah sebagai cara
untuk mendapatkan keabsahan autoritinya. Tindakan ini yang secara
terang-terangan menghina peribadi Rasulullah yang digambarkan
sebagai seorang biasa dan mementingkan hawa nafsu dengan memiliki
ramai isteri dan gundik.
Ketiganya ialah penganut fahaman Liberalis, berasal daripada
Indonesia, yang menyebarkan fahaman mereka kepada penganut Islam di
Malaysia. Walaupun pengaruh fahaman ini belum mendapat dukungan
kuat daripada penganut Islam di Malaysia, terdapat kebimbangan
sesetengah pihak bahawa ianya akan turut dipegang oleh penganut
Islam di Malaysia, berasaskan kepada sumber pemikiran golongan ini
yang amat mudah diperolehi melalui buku import dan internet.
Paradigma golongan ini lebih berupa penggunaan alat analisis
terhadap permasalahan umat Islam semasa, yang secara
terang-terangan mencabar metodologi sarjana Islam silam (pandangan
bermazhab) dan terpengaruh dengan metodologi barat era
pasca-kolonialisme (era globalisasi).
Antara isu yang dibangkitkan dalam penganut fahaman ini ialah
isu penentangan terhadap pendekatan teokrasi, pemusatan kuasa
pemerintahan negara kepada golongan ulamak semata-mata. Seterusnya
isu Islam emansipatoris iaitu Islam patut digunakan untuk membela
masyarakat bawahan yang tertindas oleh pihak pemerintah. Berikutnya
adalah isu penentangan terhadap fahaman ortodoksi yang kononnya
menegaskan bahawa golongan ulama pemerintah yang menguasai dan
memonopoli pentafsiran Islam yang sejati. Antara isu lain adalah
isu teologi pembaharuan iaitu kepentingan mewujudkan fahaman tajdid
Islam baru yang gagal disentuh secara tuntas oleh ulamak Islam
silam, isu cabaran terhadap tafsiran ulamak silam, khususnya dalam
bidang tafsir Quran dan isu pluralisme agama, yang menganggap semua
agama adalah sama di sisi tuhan dan boleh membawa kesejahteraan
kepada umat manusia.
4.2 Pandangan Mengenai Kebaikan Bermazhab
Bertentangan dengan golongan di atas, masih terdapat dalam
kalangan penganut Islam di Malaysia yang mengamalkan sikap positif
dan selektif terhadap amalan bermazhab. Golongan ini kebanyakannya
terdiri daripada kalangan ahli akademik dan pihak autoriti agama.
Golongan ini berpendapat amalan bermazhab dibolehkan kerana
beberapa faktor yang utama.
Pertamanya menetapkan ulama sebagai pentafsir utama kepada
ajaran agama. Hal ini boleh dirujuk sebagai contohnya kepada
keabsahan konsep taqlid dan ijtihad. Dalam konsep taqlid, ianya
mengharuskan masyarakat awam untuk bertaqlid kepada seseorang
mujtahid, berasaskan kepada nisbah ketidakmampuan seseorang awam
untuk memahami ajaran agama Islam secara mendalam. Sikap yang hanya
bergantung sepenuhnya kepada prinsip taqlid ini kemudiannya cuba
dibataskan dengan penerimaan kepada konsep ijtihad dan tajdid.
Keduanya, pendekatan ini ditetapkan bukannya bertujuan untuk
memonopolikan usaha pentafsiran agama kepada golongan ulamak
semata-mata, tetapi ianya dibuat bagi mengelakkan sebarang tindakan
rakus daripada masyarakat awam yang jahil tentang prinsip asas
Islam, melakukan tafsiran melulu dan boleh merosakkan nama baik
Islam itu sendiri. Ketiganya ialah faktor perpaduan dan keseragaman
diperlukan bagi memastikan wujudnya kestabilan hidup sosio-politik
umat Islam. Hal ini kemudiannya bakal memudahkan proses
penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam dijalankan. Hal
ini boleh dikatakan sebagai asas perpaduan umat Melayu sehingga
tidak wujudnya perbalahan dan fanatik mazhab yang menimbulkan
pertumpahan darah seperti mana berlaku di tempat-tempat lain.
Keempatnya, sikap pro mazhab ini bukan bermakna kita perlu
terjebak dengan fenomena fanatik mazhab yang boleh menyumbang
kepada ketertutupan minda, tetapi perlu berpegang kepada kerangka
metodologi (manhaj) usuli sesuatu mazhab yang dilihat terbukti
mampu menyelesaikan masalah hukum umat Islam. Kelimanya, berasaskan
kepada adab keilmuan Islam, kita perlu mengakui sumbangan positif
yang pernah dimainkan oleh fuqaha pelbagai mazhab dalam pembangunan
keilmuan Islam. Keenamnya ialah kita perlu mengamalkan sikap
selektif terhadap pemikiran barat yang kerap menisbahkan penerimaan
amalan bermazhab ini dengan istilah tradisionalisme, suatu nisbah
yang hina. Pandangan sebegini agak keterlaluan dan salah, jika
dilihat dari persepktif yang lebih luas dan holistik.
Mengikut pandangan Islam, tidak semua perkara tradisi ataupun
amalan lama dianggap sebagai buruk dan ketinggalan zaman. Begitu
juga halnya dengan penumpuan matlamat dan komitmen yang kuat untuk
berpegang dengan warisan tradisi Islam yang murni tidak boleh
dianggap sebagai tindakan yang taksub dan fanatik. Kedua-dua
perkara ini dalam kerangka barat telah dianggap sebagai buruk dan
ketinggalan zaman, yang menetapkan semua perkara elemen baru,
perubahan dan usaha meninggalkan amalan tradisi dianggap sebagai
baik dan moden.
5.0 KESIMPULAN
Sebagai rumusan akhir, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa
tindakan berpegang kepada sesuatu mazhab untuk amalan umat Islam
seharian bukanlah sesuatu tindakan yang salah. Ianya perlu difahami
dalam konteks yang lebih luas dengan memahami falsafah sebenar
amalan bermazhab ditetapkan oleh para sarjana Islam. Selama mana
ianya bertepatan dengan world-view tauhid dan tidak mendorong
seseorang itu terjerumus ke dalam semangat fanatik bermazhab,
paradigma bermazhab ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang lumrah
kerana ianya dilakukan berasaskan kepada formula fuqaha Islam.
Dilihat kepada amalan berpegang kepada mazhab Syafii dalam
pengajian Syariah di Malaysia, kita dapat mengesan elemen positif
dan juga negatif sekaligus. Elemen positifnya, boleh disaksikan
daripada sifat terbukaan pengajian Syariah dengan pendekatan tajdid
yang sanggup menjadikan pandangan mazhab lain bersama dengan mazhab
Syafii sebagai alat dan bahan kurikulum pengajian. Manakala elemen
negatifnya pula, pengajian Syariah lebih terdedah kepada pendekatan
simplistik apabila membabitkan penerangan terhadap manhaj usuli
mazhab Syafii. Hal ini seandainya tidak ditanggani dengan berhemah
akan menjejaskan nisbah penguasaan dan kelangsungan mazhab Syafii
di Malaysia.BIBLIOGRAFIAbdul Halim El-Muhammady (1992), Ikhtilaf
And Its Development In Malaysia , dalam International Islamic
University Law Journal, v. 2, no.2.Abu Bakar Hamzah (1981),
Al-Imam: Its Role In Malay Society1906-1908. Kuala Lumpur,.Ahmad
Hidayat Buang (2004), Analisis Fatwa-fatwa Syariah di Malaysia,
dalam Fatwa Di Malaysia Kuala Lumpur: Jabatan Syariah dan
Undang-undang Universiti Malaya.Basri Ibrahim (2010), Perbezaan
Pendapat Dalam Perkara Cabang Fiqh : Analisis Terhadap Pandangan
Al-Qaradawi dalam Jurnal Syariah, Jil. 18, Bil 1.H. Abuddin Nata
(2000), Peta Keragaman Pemikiran Islam Di Indonesia. Jakarta:
Rajawali Pres.
Hafidz Dasuki(1994). Ensiklopidi Islam. PT Ichtiar Baru van
Hoeve, Jakarta.
Huzaemah Tahido(1997). Penghantar Perbandingan Mazhab. Logos
Wacana Ilmu.
Ibrahim Abu Bakar (1994), Islamic Modernism In Malaya, Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Kamus Dewan (2002), ed. 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mahmood Zuhdi (2004), Sejarah Pembinaan Hukum Islam, Penerbit
Universiti Malaya.
Qamus al-Munjid (1994), c. 34, Beirut: Dar al-Masyriq.
Rahimin Affandi Abdul Rahim (2005), Isu Dan Pengaruh
Orientalisme di Malaysia: Satu Analisa, dalam Jurnal Ulum
Islamiyyah, v. 2, no.1.
Saiid Ramadan al-Buti (1985), al La Madhhabiyyah. Damsyiq:
Daral-Farabi.
Wahbah al-Zuhayli (1996), Usul al-Fiqh al-Islami, j. 2. Damsyiq:
Daral-Fikr,.
Wan Zulkifli Wan Hassan (2002), Doktrin Sadd al Dhazara i dan
Pemakainya Dalam Membendung Ajaran Sesat: Satu Kajian di JAKIM,
Disertasi Sarjana, Jabatan Fiqh dan Usul.KONSEP IJTIHAD
1.0 Pendahuluan
Setiap manusia perlukan sesuatu untuk menentukan ketetapan
masing-masing. Ada sesetengahnya berijtihad untuk menentukan
sesuatu pekerjaan atau perbuatan. Di samping itu, ia dilakukan
dengan segala akal pemikiran dan kesungguhan untuk mendapatkan
sesuatu hukum syarak mengenai sesuatu masalah dengan jalan istinbat
daripada Al-Quran dan Hadith. Lapangan ijtihad pula mestilah
kejadian yang tiada nas syarak yang jelas tentang hukumnya.
Manakala mujtahid pula ialah ahli fiqh yang mencurahkan kesungguhan
dan ketekunan untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil
terperinci atau tafsili daripada dalil-dalil syariat.
Kesan perkembangan dan kelahiran tokoh baru telah memberi ruang
yang baik kepada umat Islam, di mana walaupun sesebuah negara telah
menetapkan sesuatu aliran mazhab di negara mereka. Ijtihad
merupakan perkara yang penting di dalam pembinaan hukum. Ijtihad
sentiasa berkembang mengikut kesesuaian masa, keadaan dan tempat.
Oleh itu ijtihad merupakan suatu kehujahan dalam pembinaan hukum
kerana ijmak juga berdasarkan ijtihad dan ijtihad itu sendiri
diharuskan oleh syarak.
Sebenarnya ijtihad adalah suatu cara untuk mengetahui hukum
sesuatu melalui dalil-dalil agama iaitu al-Qur'an dan hadis dengan
jalan istinbat. Dengan kata lain ijtihad merupakan sebuah media
yang sangat besar peranannya dalam hukum-hukum Islam (Fiqh). Tanpa
ijtihad, mungkin saja konstruksi hukum Islam tidak akan pernah
berdiri kukuh seperti sekarang ini serta ajaran Islam tidak akan
bertahan dan tidak akan mampu menjawab tantangan zaman saat ini.
Yang dapat melakukan ijtihad hanyalah seorang mujtahid. Adapun
mujtahid itu ialah ahli fiqh yang menghabiskan atau mengerahkan
seluruh kesanggupannya untuk memperoleh persangkaan kuat terhadap
sesuatu hukum agama. Dalam menentukan atau menetapkan hukum-hukum
ajaran Islam para mujtahid telah berpegang teguh kepada
sumber-sumber ajaran Islam.
2.0 Konsep Ijtihad Menurut Ulama
Ulama telah membahaskan mengenai ijtihad dengan terperinci.
Bahagian ini akan membahaskan mengenai pengertian ijtihad, hukum
ijtihad, jenis-jenis ijtihad, syarat-syarat mujtahid, martabat
mujtahid, hukum yang dibolehkan ijtihad dan hukum tidak dibolehkan
ijtihad.
2.1 Pengertian Ijtihad
Ijtihad dapat didefinisikan kepada dua bahagian iaitu dari segi
bahasa dan istilah. Dari segi bahasa ia muncul dari bahasa Arab
iaitu al-ijtihad yang bermaksud mengerahkan usaha untuk sampai
kepada satu perkara yang susah. Ijtihad dalam definisi yang lain
juga menyebutkan bahawa keupayaan untuk mengerahkan seluruh
kemampuan dan potensi untuk sampai pada suatu perkara ataupun
perbuatan. Ijtihad juga membawa maksud bersungguh-sungguh,
mencurahkan pemikiran, menghabiskan kesanggupan.
Manakala dari segi istilah, ialah mencurahkan kesanggupan yang
ada dalam membahaskan (menyelidik) suatu masalah untuk mendapatkan
suatu hukum yang sulit bertitik-tolak kepada Kitab dan Sunnah. Di
atas ini telah diterangkan bahawa dasar-dasar hukum syara' yang
keempat adalah ijma' para ulama mujtahid. Mereka memeras pemikiran
mereka untuk mendapatkan suatu hukum dalam suatu masalah yang wujud
dan tiada hukum yang jelas yang tercatat dalam al-Quran dan
hadis.
Selain daripada itu, ijtihad juga boleh diertikan sebagai usaha
seseorang mujtahid dengan mengerahkan kemampuan yang ada untuk
memperoleh hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf
melalui cara yang ditetapkan oleh syarak. Berdasarkan pengertian
yang dibahaskan di atas, dapatlah dirumuskan di sini ijtihad yang
dimaksudkan ialah mencurahkan segala akal pemikiran dan kesungguhan
untuk mendapatkan sesuatu hukum syarak mengenai sesuatu masalah
dengan jalan istinbat daripada al-Quran dan hadis. Lapangan ijtihad
pula mestilah kejadian yang tiada nas syarak yang jelas tentang
hukumnya. Manakala mujtahid pula ialah ahli fiqh yang mencurahkan
kesungguhan dan ketekunan untuk mendapatkan hukum syarak daripada
sesuatu dalil terperinci, atau tafsili daripada dalil-dalil
syara.
Menurut sebahagian ulama yang memberi maksud ijtihad, antara Abd
al-Qahab Khallaf mendefinisikan ijtihad sebagai pengerahan daya
usaha untuk mencapai kepada hukum syarak dari dalil yang terperinci
dengan sumber dari dalil-dalil syarak. Manakala menurut Muhammad
Abu Zahrah memberi definisi ijtihad iaitu daya upaya maksimum
mujtahid dalam mengistinbatkan hukum dari dalil-dalil yang
terperinci. Muhammad Musa Tuwana juga memberi definisi ijtihad yang
sama, iaitu pengarahan segala daya usaha mujtahid dalam menggali
hukum syarak dari dalilnya. Al-Baidawi mendefinisikan ijtihad
sebagai Menggunakan sepenuh daya dalam memahami hukum syarak.
Asy-Syaukani pula mendefinisikan ijtihad sebagai kemampuan untuk
mendapatkan hukum syarak yang bersifat praktis dengan menggunakan
metode istinbat. Manakala al-Ghazali pula mendefinisikan ijtihad
sebagai pencurahan segala daya upaya dan kekuatan untuk meraih
sesuatu yang berat dan sulit.Ijtihad telah berlaku pada zaman
Rasulullah s.a.w. tetapi ia adalah bersifat sementara sebelum
turunnya wahyu yang akan menentukan sama ada ijtihad nabi itu betul
atau salah. Sebagai contoh dalam kes tawanan Perang Badar, kes
orang yang menguzurkan diri dari menghadiri Perang Tabuk dan kes
Abdullah Ibn Ubai. Pada zaman sahabat juga telah berlakunya
ijtihad. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w, para sahabat ini sudah
cukup terlatih untuk meneruskan tugas dalam merealisasikan syariah
Islam.Sebagai contoh dalam kes tanah-tanah pertanian yang ditawan
di Iraq dan Parsi. Tradisi para sahabat dalam berijtihad telah
diikuti sepenuhnya oleh para fuqaha zaman tabiin. Kesinambungan ini
mudah dilakukan memandangkan masing-masing para fuqaha tabiin
adalah murid kepada guru-guru mereka daripada generasi sahabat.
Sebagai contoh dalam usaha pengumpulan segala perbendaharaan yang
diwarisi dari generasi terdahulu seperti hadis nabi dan ijtihad
para sahabat. Pada zaman Tabi Tabiin ijtihad telah berlaku secara
meluas kerana berlakunya perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha
sehingga telah muncul kepelbagaian mazhab. Sebagai contoh,
munculnya empat mazhab terkenal iaitu Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi,
Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali.
2.2 Hukum IjtihadUlama bersepakat mengatakan harus berijtihad
dalam mengeluarkan hukum apabila cukup syarat tertentu. Hukum harus
bermula dengan sejarah ijtihad para ulama berdasarkan hadis Muaz
bin Jabal ketika beliau diutuskan menjadi wakil di Yaman.
Sebagaimana hadis yang diriwayat oleh Ahmad dan Abu Daud:a. Dalil
Hadis
() : , : : () , : : . () ( ) Maksudnya: Bagaimanakah nanti
engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu
permasalahan? Muaz menjawab: Saya akan memutuskan hokum berdasarkan
Kitab Allah S.W.T. Nabi bertanya lagi, Sekiranya kamu tidak
mendapati di dalam Kitab Allah? Jawab Muaz. Saya akan memutuskan
berdasarkan Sunnah. Tanya Nabi lagi, Sekiranya engkau tidak menemui
di dalam Sunnah? Muaz menjawab, Saya akan berijtihad dan saya tidak
akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil
bersabda, Segala puji bagi Allah yang telah member taufiq kepada
utusan Rasulullah S.A.W. ke arah sesuatu yang diredhainya.
b. Dalil al-Quran
Dari segi bukti lain, ijtihad semestinya dituntut dalam Islam
untuk memenuhi keperluan tuntutan syarak. Dalil daripada al-Quran
juga menunjukkan tuntutan ini antaranya ialah firman Allah:
(Surah al-Hasyr ayat 2)
Maksudnya: Ambil pengajaranlah wahai orang-orang yang mempunyai
akal.
(Surah al-Nisa' ayat 5)
Maksudnya: "Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka
kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya.
c. Dalil Ijma'
Kesemua mazhab telah sepakat atas keharusan melaksanakan
ijtihad, dan ijtihad ini telah dipraktikkan benar. Di antara hasil
ijtihad ini adalah hukum-hukum fiqh yang telah dihasilkan para
mujtahid sejak dulu sampai sekarang. Akal kita pun mewajibkan untuk
melaksanakan ijtihad kerana sebahagian besar dalil-dalil hukum
syara adalah bersifat zanni memerlukan adanya ijtihad bagi
menentukan pendapatnya yang terkuat. Demikian juga perkara-perkara
yang tidak ada nas menuntut adanya ijtihad agar dapat menjelaskan
hukum syara dengan menggunakan salah satu cara istidlal. Oleh
kerana syariat Islam harus menetapkan semua hukum perbuatan
hamba-hamba Allah S.W.T. maka tidak ada jalan lain selain
ijtihad.
2.3 Jenis-jenis Ijtihad
Berdasarkan dalil di atas, para ulama Para ulama membahagikan
ijtihad kepada empat jenis. Iaitu ijtihad fardu ain, ijtihad fardu
kifayah, ijtihad sunat dan ijtihad haram.
Ijtihad fardu ain adalah ijtihad yang wajib dilakukan oleh
seseorang individu yang mempunyai kemampuan dan kelayakan pada
dirinya untuk berijtihad. Serta tiada orang lain untuk
menyelesaikan masalah dan perkara yang berkaitan dengan masalah
hukum, sama ada masalah dirinya sendiri atau masalah masyarakat.
Ijtihad pada jenis ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian
pertama adalah ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid
terhadap sesuatu hukum dan permasalahan yang diajukan oleh
masyarakat atau individu lain dan tiada orang lain yang layak
berijtihad kecuali dirinya. Maka ketika itu, berijtihad adalah
fardu ain terhadap dirinya. Manakala bahagian kedua ijtihad fardu
ain adalah ijtihad yang dilakukan oleh seorang mujtahid dalam
sesuatu masalah untuk dirinya sendiri tanpa ada pertanyaan daripada
orang lain. Maka dalam keadaan itu berijtihad untuk dirinya adalah
wajib.
Seterusnya ijtihad jenis kedua iaitu ijtihad fardu kifayah
adalah ijtihad yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai
kelayakan untuk berijtihad, namun pada masa yang sama ada individu
lain yang lebih berkelayakan untuk berijtihad bagi menyelesaikan
masalah. Oleh itu, berijtihad ketika ini adalah menjadi fardu
kifayah terhadap dirinya jika dia yakin bahawa ada orang lain lebih
layak dalam melakukan ijtihad. Jenis ijtihad kedua ini juga
mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama adalah apabila seseorang
mujtahid diajukan dan ditanya tentang sesuatu hukum sesuatu
masalah, jika terdapat individu lain yang mampu berijtihad tetapi
tidak menyelesaikannya masalah tersebut, maka berijtihad ketika itu
baginya adalah fardu kifayah. Manakala bahagian kedua ijtihad fardu
kifayah adalah apabila timbul keraguan mujtahid terhadap mujtahid
yang lain dan ia cukup syarat sebagai mujtahid, jika ketika itu
apabila dia berijtihad terhadap sesuatu hukum maka menjadi fardu
kifayah baginya.
Manakala jenis ketiga adalah ijtihad sunat. Ijtihad sunat ialah
ijtihad untuk menyelesaikan masalah hukum hakam yang dilakukan oleh
seseorang yang cukup syarat ijtihad untuk menyelesaikan masalah
yang berlaku. Ijtihad jenis ketiga ini juga mempunyai dua bahagian.
Bahagian pertama ijtihad sunat, adalah seseorang mujtahid yang
melakukan ijtihad dalam menyelesaikan masalah yang diajukan oleh
masyarakat mengenai hukumnya, namun permasalahan yang ditanya itu
belum berlaku dan tidak wujud ketika itu. Manakala bahagian kedua
ijtihad sunat, ialah seseorang mujtahid yang berijtihad tentang
sesuatu masalah dan hokum yang belum berlaku atau tidak berlaku
yang mana ia berijtihad tanpa apa-apa faktor atau sebab.
Bahagian terakhir jenis ijtihad adalah ijtihad haram. Ijtihad
haram adalah ijtihad yang dilakukan seseorang yang mana caranya
bercanggah atau tidak memenuhi syarat mujtahid serta bercanggah
dengan nas.
2.4 Syarat-Syarat Mujtahid
Untuk menjadi seorang mujtahid adalah bukan secara membuat tuli
sahaja. Oleh itu, ijtihad tidak harus dilaksanakan oleh setiap
muslim dan juga tidak terbatas pada beberapa orang sahaja. Ijtihad
dapat dilakukan oleh setiap orang yang berbakat dan mempunyai
kemampuan. pemahaman ini mungkin menjadi garis panduan dan penengah
antara kaum mujaddidin dan kaum taqlidiyyin. Sememangnya untuk
menjadi seorang mujtahid tidaklah mudah. Oleh kerana itu, terdapat
beberapa syarat yang penting bagi seorang mujtahid dalam
melaksanakan Ijtihad mereka. Penulis telah menggariskan beberapa
syarat seorang mujtahid iaitu dari segi syarat asasi, syarat
kesempurnaan dan juga syarat am.
2.4.1 Syarat AsasSeorang yang menjadi mujtahid mestilah
mempunyai syarat asasi untuk mengistinbatkan hukum. Syarat pertama
adalah mesti mengetahui al-Quran al-Karim. Pengetahuan mengenai
al-Quran merangkumi mengetahui tentang khabar dan insya, suruhan
dan larangan tuntutan dan harapan mengetahui makna perkataan dalam
penggunaan bahasa uruf dan syara sama ada perkataan itu berasingan
atau kedudukannya dalam ayat dan tujuan penggunaan perkataan itu
serta sejauh mana tercapai tujuannya itu dalam syara.Mengetahui
juga bahagian perkataan mufrad dan jamak dari segi umum dan khusus
mujmal, mubaiyan, mutlaq, muqayad, zahir, khafiy, mushtarak muawwal
dan lain-lain. Mengetahui pengertian al-Quran secara mantuq dan
mafhum dan pengertian terhadap maksud sesuatu anggapan sama ada
secara terangan dan sindiran, serta mengetahui alasan-alasan yang
mengetahui hukum serta kepentingannya yang dijadikan matlamat
hukum-hukumnya. Mengetahui nasakh dan mansukh dan boleh juga
dirujuk kepada kitab yang diakui sah dalam bidang itu.
Syarat yang kedua dalam syarat asasi adalah mengetahui
al-Sunnah. Al-Sunnah adalah sumber kedua dalam syariat ini dengan
kedudukan di martabat ini mengetahuinya menjadi pasti dalam
ijtihad. Mengetahui Sunnah ertinya mengetahui makna perkataan,
mengetahui ilmu Mustalah al-hadith, susunan gaya bahasanya dan
pengertian dari segi syarak dan sebagainya. Jumlah hadis yang harus
diketahui oleh para mujtahid ada yang mengatakan harus 3000 buah
hadis. Ada pula yang mengatakan harus 1200 buah hadis. Menurut
al-Syawkani harus mengetahui hadis-hadis yang ada dalam kitab-kitab
yang enam dan lain-lain. Tidak disyaratkan menghafalnya. Tentang
hadis selain mengetahui hadis sahih, hasan dan dhaif, harus juga
mengetahui keadaan perawi-perawi hadis yang tercela dan yang
tidak.
Syarat ketiga adalah mengetahui perkara yang diijmakkan.
Disyaratkan ini supaya tidak memberi fatwa berlawanan dengan ijmak,
maksudnya bukanlah menghafal seluruh perkara yang diijmakkan tetapi
cukuplah diketahui bahawa masalah yang dikaji dan fatwanya tidak
bertentangan dengan keputusan ijmak.
Seterusnya syarat keempat adalah mengetahui ilmu Usul al-Fiqh.
Mensyaratkan mengetahui ilmu itu nyata sekali kerana ijtihad
bergantung kepada memahami dalil-dalil syarak untuk mengeluarkan
hukum dan mujtahid hendaklah berpengetahuan luas serta mendalam
kerana ilmu ini adalah asas ijtihad. Kalaulah ia berkemampuan, maka
senanglah merujuk setiap masalah yang dihadapi kepada usulnya,
kalau tidak dia akan menghadapi kesukaran dan kesulitan.
Manakala syarat kelima adalah mengetahui bahasa Arab. Syarat
terpenting yang perlu dilengkapi oleh seseorang sebelum melakukan
ijtihad, seluruh ulamak bersetuju sedemikian kerana inilah bahasa
syariat. Al-Quran di turunkan dalam bahasa Arab dan Sunnah Rasul
juga dalam bahasa Arab. Syarat keenam ialah mengetahui
kaedah-kaedah am fiqh. Pengetahuan ini besar faedahnya. Dengannya
seseorang mujtahid boleh mengetahui fiqh sumbernya, hasilnya,
kemahiran mengingat masalah-masalah fiqh dan mengadakan
perbandingan serta mengeluarkan masalah-masalah baru sepanjang
masa. Dari itu ada ulama mengatakan fiqh sebenarnya mengetahui
persamaan dan pengimbasan.
Seterusnya, mengetahui matlamat syara. Ini adalah semangat
perundangan Islam dan diisyaratkan ini supaya tidak menyeleweng
daripada tujuan asalnya. Matlamat ini diasaskan kepada kepentingan
kemanusiaan mengikut penilaian syara dan justeru itulah diutuskan
segala rasul-rasul. Imam al-Shatibi menganggapkan mengetahui
matlamat syara sebagai syarat asas bagi seseorang yang melakukan
ijtihad. Dengan itu barulah ijtihadnya menjadi sempurna. Dalam
kitabnya al-Muwafaqat beliau menegaskan bahawa martabat ijtihad
tercapai dengan dua perkara. Pertama memahami matlamat syarak iaitu
memahami kepentingan hamba Allah dalam tiga peringkat daruriyyat,
hajiyyat, tahsiniyat (perkara pasti, keperluan dan keperluan
tambahan).
Kemudian mengetahui perkara lain yang menyempurnakan peringkat
tadi. Secara seluruh kaedah am dalam syarak berkhidmat untuk
perkara-perkara disebutkan. Sekiranya seseorang itu faham segala
matlamat syarak dan dihayati matlamat itu dalam setiap masalah fiqh
dari mana-mana bab pun, maka orang itu telah mencapai sebab-sebab
menduduki taraf khalifah kepada rasul di dunia ini dalam memberi
pengajaran, fatwa, dan hukum-hukum sepertimana yang dikehendaki
Allah. Keduanya kemampuannya melaksanakan tugas-tugas ijtihad
kerana kemampuan itu memerlukan pengetahuan syariat dan
matlamatnya.
2.4.2 Syarat Kesempurnaan
Antara syarat kesempurnaan adalah mestilah terlebih dahulu
meneliti nas yang terkandung dalam al-Quran, kemudian meneliti pula
hadis mutawatir dan hadis Ahad dalam penetapan hukum serta
menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Oleh itu, secara tidak
langsung seorang mujtahid perlu mengusai bahasa Arab. Ulama usul
fiqah telah bersepakat bahawa mujtahid disyaratkan harus menguasai
bahasa Arab, kerana Al-Quran diturunkan sebagai sumber syariat
dalam bahasa Arab. Juga Sunnah yang berfungsi sebagai penjelas dari
al-Quran juga tersusun dengan bahasa Arab. Menurut Imam Ghazali
tentang penguasaan bahasa Arab oleh seorang mujtahid, dengan
mengatakan seorang mujtahid harus mampu memahami ucapan orang Arab
dan kebiasaan-kebiasaan yang berlaku dalam pemakaian bahasa Arab di
kalangan mereka. Selain itu, pendapat Ghazali juga menyatakan
bahawa kemampuan seseorang yang hendak menggali hukum dari nas-nas
fiqiyyah itu ditentukan oleh kadar kemampuan dan pemahamannya
terhadap rahsia dan rumitnya bahasa Arab.
Manakala syarat kesempurnaan kedua adalah sekiranya mujtahid
tidak menemui nas yang menjelaskan hukum dalam al-Quran dan hadis,
maka mujtahid mestilah berpegang dan mengambil zahir nas al-Quran
dan Hadis serta apa yang dapat diambil daripada keduanya itu
tentang apa-apa sahaja yang dapat dijadikan pegangan yang berbentuk
mantu dan mafhumnya.
Seterusnya syarat ketiga adalah sekiranya mujtahid tidak menemui
hukum melalui jalan kedua, ia mestilah meneliti dan menilai segala
perbuatan Nabi dan selepas itu taqrir baginda. Selepas itu pula, ia
hendaklah berijtihad melalui jalan penetapan hukum cara qiyas
dengan berdasarkan illah atau sebabnya. Sekiranya jalan dan cara
ketiga juga tidak berhasil sehingga tidak menemui hukum tersebut,
mujtahid mesti berpegang pula dengan baraah asliyyah. Apa yang
dimaksudkan dengan Bara'ah asliyyah maksudnya ialah melihat kepada
keadaan asal.
Selain itu, apabila mujtahid itu menemui dua dalil atau nas yang
bertentangan, maka ia hendaklah terlebih dahulu mencari dan menilai
serta melihat dalil itu dari sudut ia dapat diterima kedua-duanya
sebagai dalil hukum. Ini kerana, dengan berpegang kepada kedua
dalil itu adalah lebih baik daripada meninggalkan salah satu
daripadanya.
2.4.3 Syarat AmSeorang mujtahid juga perlu mempunyai
syarat-syarat am untuk membolehkannya mengistinbatkan hukum.
Antaranya adalah baligh, berakal, mempunyai kefahaman yang mendalam
dan adil. Orang yang belum baligh tidak dikira sempurna akalnya.
Maka pendapatnya tidak diberi penilaian. Ibn Badran berkata
pendapat yang menentang dari kanak-kanak tidak diambil kira dan
tidak memberi sebarang kesan syara, lagipun saksinya tidak
diterima, kecuali riwayatnya.Syarat kedua, disyaratkan mujtahid
berakal. Ini adalah perkara biasa, kerana ijtihad tidak mungkin
dilakukan oleh orang cacat akalnya. Dimaksudkan dengan akal di sini
ialah daya kemampuan pada diri seseorang untuk memahami perkara
yang boleh diketahui. Ada pendapat mengatakan kefahaman itu sendiri
sama ada secara nazariyy (menggunakan tenaga akal) atau daruriyy
(perkara pasti yang difahami tanpa berfikir).
Syarat ketiga ialah seseorang mujtahid juga mestilah mempunyai
daya kefahaman dan pandangan tajam, pernah melahirkan buah fikiran
dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan dan mempunyai
pengetahuan yang luas mengenai keadaan semasa. Tanpa keistimewaan
ini, fikiran dan pengalaman hidup, seseorang itu tidak boleh
menyatakan fatwanya untuk melayan keperluan segera atau akan
datang.
Syarat keempat ialah seseorang yang menjadi mujtahid mestilah
boleh dipercayai, beramanah, tidak bermudah-mudah dalam urusan
agama, mempunyai sifat takwa, tidak terikut-ikut dengan runtutan
hawa nafsu dan memberi jawapan mengikut pengetahuannya tentang
syarak dengan jalan yang betul.2.5 Martabat Ijtihad
Ibnu Qayyim membahagikan ijtihad kepada empat peringkat bahagian
martabat ijtihad, iaitu ijtihad mutlak, ijtihad muntasib, ijtihad
dalam mazhab dan ijtihad dalam fatwa.
Peringkat pertama adalah ijtihad mutlak. Ijtihad ini dianggap
ijtihad peringkat pertama dan paling tinggi di antara ijtihad yang
lain. Ijtihad ini bermaksud ijtihad yang dilakukan seseorang
mujtahid dengan berasaskan sumber dan dalil hukum secara langsung
iaitu al-Quran dan Hadis. Kemudian, mereka membawa dalil hukum furu
melalui Istihsan, Masalih al-Mursalah serta Sadd al-Zarai. Ijtihad
peringkat ini menggunakan segala pendalilan dan istinbat hukum
secara bebas tanpa berpegang kepada mana-mana Imam. Sebagai contoh
para sahabat, Abu Bakar dan Umar, tabii seperti Said dan para
fuqaha mazhab seperti Imam Malik Bin Anas.
Ijtihad peringkat kedua adalah ijtihad muntasib. Ia bermaksud
ijtihad yang dilakukan oleh seseorang dengan berasaskan kepada
pendapat Imam mazhab tertentu. Mujtahid peringkat ini hanya
mengikuti Imam mazhab mereka dalam perkara usul sahaja. Manakala
dalam perkara furuk, mereka berselisihan pendapat dengan Imam yang
mereka ikuti. Contohnya ijtihad Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hasan
daripada pengikut Imam Hanafi.
Seterusnya ijtihad peringkat ketiga adalah ijtihad dalam mazhab.
Ia adalah ijtihad yang dilakukan dengan berasaskan pendapat Imam
Mazhab yang mana mereka ikuti dalam perkara usul dan furu. Dalam
keadaan lain, ijtihad dalam mazhab ini, mujtahid mengetahui dan
menemui dalil yang menjadi pegangan Imam Mazhab dan mereka yang
berkemampuan untuk memilih dan mentakhrijkan atau mengeluarkan
pendapat-pendapat Imam mereka yang pelbagai jenis. Dalam masalah
yang baru lahir, mereka akan berijtihad berasaskan metode imam
mereka.
Manakala yang keempat adalah ijtihad dalam fatwa. Ijtihad ini
adalah ijtihad yang diambil daripada pendapat-pendapat imam mazhab
mana-mana pendapat yang kuat atau rajih dan diambil untuk dijadikan
fatwa. Mereka juga menilai dan mencari mana-mana pendapat Ashab
Imam Mazhab yang berbagai-bagai dan dipilih yang paling sahih
riwayatnya, yang paling kuat atau yang paling hampir kepada sahih
untuk dijadikan fatwa. Mujtahid dan ijtihad mempunyai dia peranan
utama, iaitu takhrij atau mengeluarkan dalil yang digunakan oleh
Ashab Imam Mazhab serta tarjih atau tentukan kedudukan dalil yang
digunakan. Mereka dikira bertindak sebagai murajjih terhadap
pendapat Imamnya yang berbagai-bagai dan berbeza sebelum
mengeluarkan fatwa.
2.6 Tingkatan MujtahidIbnu Abidin telah membahagikan kepada
tujuh tingkatan mujtahid. Tingkatan tersebut adalah seperti
berikut:
a. Mujtahid Muthlaq Mustaqil.
Seorang mujtahid mustaqil memiliki kemampuan untuk membuat
kaedah-kaedah fiqh berdasarkan kesimpulan terhadap perenungan dalil
Al Quran dan Sunah. Selanjutnya, kaedah-kaedah ini digunakan
sebagai landasan dalam membangun pendapatnya. Di antara ulama yang
telah mencapai darjat mujtahid mustaqil adalah para imam mazhab
yang empat. Peringkat ujtahid seperti ini amat jarang kita temukan.
Sepanjang sejarah, jumlah mereka kurang lebih hanya sekitar 10
orang saja. Tidak semua mazhab mereka kekal di atas bumi ini.
Kebanyakannya mati dan hilang begitu saja ditelan sejarah. Ibnu
Abidin menamakan tingkatan ini dengan, tingkatan Mujtahid dari segi
Syariat.
b. Mujtahid Mutlaq Ghairu Mustaqil (Mujtahid Muthlaq yang Tidak
Berijtihad Sendiri)
Mereka adalah orang yang telah memenuhi persyaratan dalam
berijtihad secara bebas, namun mereka belum membangun kaedah
sendiri tetapi hanya mengikuti metode imam mazhab dalam berijtihad.
Mereka memiliki kemampuan menetapkan hukum dari beberapa dalil
sesuai dengan kaedah yang ditetapkan pemimpin mazhab. Mereka
berselisih pendapat dalam beberapa masalah yang terperinci di
bidang fiqh, namun secara prinsip, mereka mengikuti imam mazhab.
Contohnya, para murid imam mazhab, seperti Abu Yusuf dan Muhammad
bin Hasan Asy Syaibani, yang keduanya adalah murid senior Imam Abu
Hanifah.
Kemudian Ibnu Qasim, Al Asyhab, dan Ibnul Majisyun, yang
merupakan ulama mujtahid dalam Mazhab Maliki. Sedangkan mujtahid
mutlaq dari Mazhab Syafii misalnya Al Muzanni dan Yusuf bin Yahya
Al Buwaithi. Sementara, mujtahid mutlaq dari Mazhab Hambali
misalnya Imam Abu Bakr Al Atsram dan Al Marudzi. Inilah yang Ibnu
Abidin namakan, tingkatan Mujtahid dalam Madzhab. Dua tingkatan
mujtahid di atas sudah tidak ada pada zaman sekarang.
c. Mujatahid Muqayyad (Mujtahid Terikat).
Mereka adalah kelompok ulama mujtahid yang memiliki kemampuan
untuk mengkiaskan keterangan-keterangan yang disampaikan oleh imam
mazhab, untuk memecahkan permasalahan baru yang tidak terdapat
dalam keterangan-keterangan ulama mazhab. Pendapat hasil ijtihad
ulama pada tingkatan ini disebut dengan al wajh. Wujud dalam satu
mazhab, para ulama dalam mazhab tersebut berbeza pendapat, sehingga
sering dijumpai dalam penjelasan di buku fiqh, pada suatu
permasalahan terdapat sekian wajh. Ertinya, dalam permasalahan itu
terdapat beberapa pendapat dalam mazhab tersebut.
Di antara ulama yang berada di tingkatan ini adalah adalah Imam
Ath Thahawi, Al Kurkhi, dan As Sarkhasi, yang semuanya merupakan
ulama dari Mazhab Hanafi. Sementara mujtahid muqayyad dari Mazhab
Maliki di antaranya adalah Al Abhari dan Ibnu Abi Zaid Al
Qairuwani. Sedangkan mujtahid dari kalangan Mazhab Syafii adalah
Abu Ishaq Asy Syirazi, Ibnu Khuzaimah, dan Muhammad bin Jarir.
Adapun dari kalangan Mazhab Hambali, di antaranya adalah Al Qadhi
Abu Yala dan Al Qadhi Abu Ali bin Abu Musa rahimahumullah. Mereka
semua disebut para Imam Al-Wujuh, karena mereka dapat meyimpulkan
suatu hukum yang tidak ada nashnya dalam kitab madzhab mereka,
dinamakan Wajhan dalam mazhab (satu segi dalam mazhab) atau satu
pendapat dalam mazhab, mereka berpegang kepada mazhab bukan kepada
Imamnya (gurunya), hal ini tersebar dalam dua mazhab iaitu, Asy
Syafiiyah dan Al Hanabalah. Demikian dikutip dari Seri Fiqih dan
Kehidupan.
d. Mujtahid Takhrij
Jumhur ulama tidak membezakan antara mujtahid muqayyad dengan
mujtahid takhrij, sedangkan Ibnu Abidin meletakkan thabaqat
mujtahid takhrij di tempat keempat setelah mujtahid muqayyad dengan
memberi contoh Ar Razi Al Jashash (meninggal 370 H) dan yang
setingkat dengannya. Mereka adalah deretan ulama yang mentakhrij
beberapa pendapat dalam mazhab. Kemampuan mereka dalam menguasai
prinsip dan pengetahuan mereka dalam memahami landasan mazhab telah
menjadi bekal bagi mereka untuk menguatkan salah satu pendapat.
e. Mujtahid Tarjih
Mereka adalah kelompok mujtahid yang memiliki kemampuan memilih
pendapat yang lebih benar dan lebih kuat, ketika terdapat perbedaan
pendapat, baik perbedaan antara imam mazhab atau perbedaan antara
imam dengan muridnya dalam satu mazhab. Di antara ulama yang
mencapai tingkat ini adalah Imam Al Marghinani dan Abul Hasan Al
Qaduri dari Mazhab Hanafi, Imam Khalil bin Ishaq Al Jundi dari
Mazhab Maliki, Ar Rafii dan An Nawawi dari Mazhab Syafii, serta
Imam Al Mardawi dari kalangan Mazhab Hambali.
f. Mujtahid FatwaMereka adalah para ulama yang memahami pendapat
mazhab, serta menguasai segala penjelasan dan permasalahan dalam
mazhab, sehingga mereka mampu memenentukan mana pendapat yang
paling kuat, agak kuat, dan lemah. Namun, mereka belum memiliki
kemampuan dalam menentukan landasan kias dari mazhab. Di antara
ulama yang menduduki darjat ini adalah para penulis kitab matan
fiqh, seperti Imam An Nasafi (penulis kitab Kanzu Ad Daqaiq), Imam
Al Hasfaki (penulis kitab Ad Durrul Mukhtar), dan Syekh Zadah
(penulis kitab Majma Al Anhar), yang kesemuanya berasal dari
kalangan Mazhab Hanafi. Contoh yang lain adalah Imam Ar Ramli dan
Al Hafizh Ibnu Hajar dari kalangan Mazhab Syafii.
g. Thabaqat Muqallid (Orang Yang Taklid).
Al-Muqallidin adalah orang yang tidak mempunyai kemampuan untuk
membuan perbezaan antara pendapat yang lemah dan yang kuat, serta
tidak dapat membedakan antara yang rajih dan yang marjuh.
2.7 Syarat dan Cara Berijtihad
Seorang yang ingin berijtihad mestilah mengikut syarat dan cara
tertentu supaya ijtihadnya diterima. Pertama mestilah mendahulukan
nas yang terkandung dalam al-Quran, kemudian meneliti hadis
mutawatir dan hadis Ahad dalam menetapkan hukum dan menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Peringkat kedua, sekiranya mujtahid tidak
menemukan nas yang menjelaskan hukum dalam al-Quran dan hadis, maka
ia mestilah berpegang dan mengambil zahir nas al-Quran dan zahir
hadis serta apa yang dapat diambil daripada keduanya. Supaya dapat
dijadikan pegangan yang berbentuk mantuk dan mafhumnya.
Sekiranya mujtahid tidak menemui hukum melalui jalan peringkat
kedua, maka mujtahid mesti meneliti dan menilai segala perbuatan
nabi dan selepas itu taqrir baginda. Kemudian, hendaklah mujtahid
berijtihad melalui jalan penetapan hukum cara qiyas dengan
bersandarkan illah atau sebabnya.
Sekiranya dengan jalan dan cara ketiga tersebut tidak dapat
menemui hukum yang dimaksudkan, maka mujtahid mestilah berpegang
dengan Baraah Asliyah. Selain itu apabila mujtahid itu menemui dua
dalil atau nas yang bertentangan, maka ia hendaklah terlebih dahulu
mencari dan menilai serta melihat dalil itu dari sudut ia dapat
menerima kedua-duanya sebagai dalil hukum. Kerana dengan berpegang
kepada kedua-dua dalil itu lebih baik daripada meninggalkan salah
satu daripadanya. Sekiranya mujtahid tidak mungkin dapat mencari
dan tidak dapat dikumpulkan kedua dalil itu sebagai satu dalil
hukum, maka mujtahid tersebut hendaklah mengeluarkan hukum melalui
tarjih atau menguatkan terhadap salah satu daripada dua nas yang
bertentangan itu.
2.8 Hukum yang Dibolehkan IjtihadIjtihad hanya harus dilakukan
pada perkara tertentu sahaja. Terdapat lima perkara yang dibolehkan
melakukan ijtihad. Pertama adalah perkara yang tidak disebutkan
hukumnya dalam nas al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama. Ijtihad
yang dilakukan padanya ialah dengan mengkaji untuk mengetahui
hukumnya melalui al-Qiyas, masalih al-mursalah, uruf, istishab,
istihsan dan lainnya. Ulama mujtahid berbeza pendapat dalam membuat
dalil dan hujah dengan dalil-dalil tersebut dan berlakulah khilaf
ijtihad. Contohnya ijtihad Umar supaya Abu Bakar mengumpulkan
al-Quran. Pada awalnya Abu Bakar tidak setuju, namun selepas itu ia
bersetuju.Kedua adalah terhadap hal dan kejadian yang terdapat
hukumnya dalam al-Quran atau Hadis Mutawatir, namun dalil kedua-dua
nas tersebut terhadap hukum adalah zanni. Mujtahid mestilah
berusaha untuk mencari erti yang dikehendaki oleh syara daripada
nas tersebut. Terdapat dalam nas al-Quran dan hadis dalam bentuk
mutlak. Oleh itu untuk menetapkan hukum daripada lafaz nas
tersebut, suatu kajian harus dilakukan di kalangan mujtahid.
Sebagaimana contohnya ijtihad terhadap firman Allah:
Surah al-Baqarah (2): 228
Maksudnya: Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri
(menunggu) tiga kali quru'.
Nas al-Quran dan sabit lafaz quru itu adalah qati, tetapi
dilalah hukum daripada maknanya adalah zanni, kerana kemungkinan ia
membawa makna haid atau suci. Untuk itu menunjukkan kepada salah
satu erti lafaz quru itulah zanni. Untuk itu juga ahli mujtahid
melakukan ijtihad untuk mendapat sesuatu erti yang dikehendaki oleh
syarak daripada lafaz quru itu. Hasil daripada ijtihad ulama
Hanafi, lafaz quru membawa erti haid. Menurut mazhab Hanafi
perempuan yang diceraikan oleh suaminya mestilah beriidah selama 3
kali haid. Manakala hasil ijtihad ulama Syafii pula, lafaz quru
ialah bererti suci. Diwajibkan ke atas perempuan yang diceraikan
oleh suaminya beriidah selama 3 kali suci.
Perkara ketiga adalah kajian yang terdapat hukumnya dalam nas
yang sabit secara zanni, tetapi dilalah kepada maknanya adalah
sabit secara qati. Untuk itu bidang ijtihad pada nas tersebut ilah
dengan mengkaji cara-cara dalil itu sampai dan diriwayatkan. Iaitu
dari segi kedudukan perawi, sama ada thiqah, adil dan sebagainya.
Hal tersebut merupakan perkara yang berlainan di antara ahli
mujtahid dalam menentukannya. Contohnya terhadap hadis nabi:
Terjemahan: Pada setiap lima ekor unta diwajibkan zakat seekor
kambing. Berdasarkan nas di atas menunjukkan kepada maknanya adalah
qati. Ini kerana lafaz (syatun) ialah lafaz khas, tetapi sabitnya
adalah zanni disebabkan hadis tersebut tidak bertaraf
mutawatir.
Seterusnya perkara keempat adalah perkara yang terdapat hukumnya
dalam nas dan disabitkan dengan zanni. Begitu juga dilalahnya
disabitkan dengan zanni. Maka harus bagi mujtahid berijtihad dengan
melihat lafaz hadis dan kedudukan rawi dan sanad. Seterusnya
berusaha untuk mengetahui erti dan maksud yang dikehendaki oleh
syarak daripada ertinya yang pelbagai. Contohnya hadis yang
diriwayatkan oleh al-Jemaah:
Terjemahan: Tidak sah sembahyang sesiapa yang tidak membaca
al-Fatihah.
Berdasarkan hadis di atas, hadis tersebut disabitkan secara
zanni begitu juga dengan dilalahnya. Disebabkan ia bukan
diriwayatkan secara mutawatir dan lafaznya memberi dua maksud.
Maksud pertama adalah menafikan sah sembahyang orang yang tidak
membaca al-Fatihah dan maksud kedua adalah menafikan kesempurnaan
sembahyang mereka yang tidak membacanya. Hasil ijtihad ulama, maka
ulama syafii mengatakan bahawa tidak sah sembahyang tanpa membaca
al-Fatihah. Berbeza dengan pendapat ulama Hanafi yang menyatakan
tidak sempurna sembahyang jika tidak membaca al-Fatihah. Manakala
perkara terakhir hukum yang boleh diijtihad adalah dibolehkan
ijtihad mengenai hukum yang tidak mempunyai nas dan ijmak
mengenainya.
2.9 Hukum yang Tidak Boleh Berijtihad
Terdapat juga hukum yang tidak dibolehkan ijtihad, antaranya
hukum kejadian yang terdapat dalam nas yang sabit secara pasti dan
dilalahnya juga adalah qati. Contohnya nas yang menyatakan hukuman
hudud terhadap penuduh zina, iaitu terhadap wanita yang muhasanah.
Sebagaimana firman Allah:
(Surah al-Nur ayat 4)
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik
(berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi,
Maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera.
Berdasarkan ayat 4 surah al-Nur, adalah sabit secara qati dan
lafaz thamanina iaitu lapan puluh dalam ayat tersebut adalah khas.
Di mana ia menunjukkan kepada satu makna sahaja. Makna yang
diterangkan jelas iaitu sebanyak lapan puluh kali maka tiada ruang
untuk dilakukan ijtihad dalam perkara ini. Manakala perkara kedua
adalah tidak boleh berijtihad terhadap hukum yang telah ditafsirkan
oleh Rasulullah dan tidak mungkin berlaku takwil padanya. Contohnya
hukum yang diambil daripada firman Allah:
(Surah an-Nisa ayat 77)
Maksudnya: Dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat!"
Seterusnya perkara ketiga adalah tidak boleh ijtihad terhadap
hadis mutawatir yang mentafsirkan lafaz yang mujmal. Kerana ia
adalah sabit dengan qati dan maksudnya adalah jelas dan tidak
mungkin menunjukkan pelbagai makna. Manakala perkara keempat adalah
tidak boleh berijtihad dalam hukum keseksaan dan kifarah yang
ditetapkan kadarnya oleh syarak seperti kifarat zihar dan sumpah.
Sebagaimana firman Allah S.W.T. tentang zihar:
(Surah Mujadalah ayat 3)
Maksudnya: Orang-orang yang menzihar isteri mereka, Kemudian
mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, Maka (wajib
atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu
bercampur.
Seterusnya yang terakhir adalah tidak boleh berijtihad tentang
hukum-hukum syarak yang telah dimaklumkan. Seperti wajib solat,
puasa, zakat, pengharaman zina dan lain-lain.
3.0 Pandangan al-Qardawi Tentang Ijtihad KontemporariAl-Qardhawi
menegaskan bahawa seruan ke arah ijtihad kontemporari tidak
sekali-kali bererti memperkecilkan nilai warisan berkenaan atau
merendahkan kedudukan para fuqaha terdahulu atau meremehkan
mana-mana aliran pemikiran yang sedia ada. Sebaliknya, kata beliau,
ia adalah suatu pilihan sikap yang amat rasiaonal kerana adalah
tidak rasional dan melampau untuk mengatakan bahawa dalam buku-buku
fikah yang diwarisi itu terdapat semua jawapan kepada segala
persoalan yang baru timbul. Bagi menegaskan pandangan beliau,
al-Qardhawi membangkitkan soal realiti hidup semasa yang memerlukan
pengolahan semasa. Kata beliau, Ulama silam tidak mengetahui
persoalan-persoalan semasa ini. Malah mereka mungkin tidak pernah
terfikir tentang realiti yang ada sekarang dan mungkin
menyifatkannya sebagai perkara-perkara yang mustahil berlaku.Bagi
al-Qardhawi, pandangan beliau ini berasaskan kepada pandangan ulama
silam sendiri yang menegaskan keperluan perubahan hukum akibat
perubahan zaman. Tambah beliau, bagi tujuan penegasan ini para
ulama tersebut telah menulis berbagai-bagai buku dalam
berbagai-bagai aliran bagi memperkatakan tentangnya.Bagaimanapun,
al-Qaradawi tidak bermaksud bahawa ijtihad kontemporari diperlukan
bagi tujuan menjawab persoalan semasa sahaja, tetapi juga mencakupi
permurnian semula hasil ijtihad yang sudah ada termasuk bagi tujuan
menilai perbezaan pendapat yang pernah berlaku dalam kalangan para
fuqaha terdahulu. Malah, kata beliau penilaian semula ini
seharusnya dilakukan bukan sahaja terhadap hukum-hukum yang
diijtihadkan secara akal (aqli) iaitu yang bersandarkan kebiasaan
dan budaya atau kepentingan semasa, tetapi juga perlu merangkumi
hukum-hukum yang berasaskan nas-nas bertaraf zanni, sama ada dari
segi thubut iaitu periwayat atau dari segi dilalah iaitu
pendalilan. Antara contoh nas seperti ini ialah hadis-hadis ahad
dan juga nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang mengandungi pengertian
yang longgar. 3.1 Bentuk ijtihad menurut al-Qardhawii) Ijtihad
intiqai
Ijtihad intiqai ialah melakukan penelitian dan perbandingan
terhadap karya-karya fiqh klasik pelbagai mazhab bagi mengambil
pendapat yang terkuat untuk menetapkan hukum atau fatwa yang
berkaitan dengan masalah semasa. Pendapat ini hendaklah mengambil
kira maqasid shariah dan menegakkan maslahah bersesuaian dengan
keadaan semasa dan setempat. Al-Qaradawi mengingatkan bahawa
perbezaan pendapat dalam fiqh bukanlah sesuatu yang tercela, malah
ia saling membantu dan menampung antara satu sama lain.Sebagai
contoh, dalam masalah radaah (penyusuan) telah mengambil pendapat
Imam al-Laith bin Saad, Dawud Ibn Ali dan beberapa pengikut
al-Zahiriyyah seperti Ibn Hazm (iaitu salah satu pendapat Imam
Ahmad) yang menjadikan pertimbangan bagi pengharaman hubungan
penyusuan dalam al-Quran ialah penyusuan yang terjadi melalui
puting susu seorang wanita dengan disedut oleh bayi dan bukan
sampainya susu ke dalam kerongkong bayi tersebut dengan selain cara
itu. Dengan demikian, al-Qaradawi mengharuskan Bank Susu jika ia
memang diperlukan oleh masyarakat dan sesuai dengan kemaslahatan
umat.Beliau menyatakan terdapat tiga faktor yang mempengaruhi
ijtihad intiqai iaitu perubahan sosial, politik setempat atau
antarabangsa, perkembangan ilmu pengetahuan moden, dan tuntutan
untuk memenuhi keperluan zaman moden.
ii) Ijtihad inshaiIjtihad inshai ialah berijtihad terhadap
permasalahan-permasalahan baru yang tidak pernah dibincangkan oleh
fuqaha terdahulu berpandukan dalil-dalil syariat seperti mana yang
terdapat dalam usul al-fiqh dan kepada kaedah-kaedah umum fiqh
Islam. Sebagai contoh al-Qaradawi telah mewajibkan zakat ke atas
tuan punya tanah yang menyewakan tanahnya kepada petani sebagaimana
diwajibkan ke atas penyewa tanah tersebut. Walau bagaimanapun, jika
perkongsian dibuat secara muzaraah, masing-masing wajib
mengeluarkan zakatnya sendiri. Bentuk ijtihad seperti ini belum
pernah dikemukakan sebelum ini. Cuma sebahagian besar ulama
memfatwakan bahawa zakat pertanian dikenakan kepada penyewa tanah
sahaja.
iii) Ijtihad gabungan antara ijtihad intiqai dan ijtihad
insyaiIjtihad gabungan antara ijtihad intiqai dan ijtihad insyai
ialah dilakukan dengan mentarjih pendapat-pendapat ulama salaf,
dengan menambah unsur-unsur ijtihad baru. Sebagai contoh fatwa yang
dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Kuwait pada 29 September
1984 tentang masalah pengguguran kandungan. Dalam fatwa tersebut,
di samping penapisan dan pentarjihan ke atas pandangan ahli-ahli
fiqh, ditambahkan juga dengan unsur ijtihad insyai yang merupakan
tuntutan kemajuan ilmu perubatan moden.Menurut fatwa tersebut,
doktor adalah dilarang melakukan pengguguran ke atas kandungan yang
berusia 120 hari, kecuali untuk menyelamatkan nyawa si hamil.
Kandungan yang berusia kurang daripada 40 hari, dibolehkan dengan
persetujuan suami isteri. Sementara kandungan yang berusia 40 hari
dan belum mencapai 120 hari tidak boleh digugurkan, kecuali dalam
dua keadaan, iaitu jika kandungan tersebut akan membahayakan
keselamatan ibu dan jika janin yang akan lahir itu mengalami
kecacatan fizikal atau mental yang tidak mungkin dapat
dipulihkan.Pengguguran mesti dilakukan di hospital dan bukan pada
kandungan yang telah berusia 40 hari, kecuali dengan ketetapan
sekurang-kurangnya dua orang doktor pakar. Salah seorang
daripadanya adalah pakar kanak-kanak dan wanita serta dua orang
selain mereka yang dijamin kejujurannya. Ketiga-tiga bentuk ijtihad
yang telah dinyatakan oleh al-Qaradawi ini telah membuktikan bahawa
ijtihad ini masih relevan untuk diguna pakai dalam proses
pembentukan hukum Islam semasa.
4.0 Kesimpulan
Ijtihad ialah usaha seseorang mujtahid dengan mengerahkan
kemampuan yang ada untuk memperoleh hukum syarak yang berkaitan
dengan perbuatan mukallaf melalui cara yang ditetapkan oleh syarak.
Ijtihad merupakan salah satu daripada sumber hukum yang dilakukan
oleh mujtahid, apabila terdapat hukum dalam nas al-Quran dan hadis
atau ijmak ulama dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.
Seseorang individu untuk menjadi mujtahid untuk mengistinbatkan
hukum memerlukan kepada kelayakan dan syarat yang telah diletakkan.
Ijtihad mempunyai beberapa jenis mengikut keadaan dan situasi.
Tidak semua perkara boleh dilakukan ijtihad. Ijtihad hanya
dilakukan kepada perkara yang tiada ditetapkan oleh al-Quran dan
hadis atau ijmak ulama. Mujtahid yang melakukan ijtihad dan
ijtihadnya tepat diberi dua ganjaran, manakala mujtahid yang
melakukan ijtihad tetapi ijtihadnya tidak tepat dimaafkan dan
diberi satu ganjaran. Ijtihad dikira sebagai hujah dalam hukum.
Para ulama berpendapat setiap yang diijtihadkan itu adalah benar.
Sekiranya berlaku pertentangan pendapat di antara mujtahid,
muqallid atau orang yang mengikut itu boleh memilih mana satu
pendapat yang dirasakan lebih tepat untuk diikutinya. Jika ijtihad
yang dilakukan telah diketahui salah, maka wajib mujtahid
membatalkan ijtihad yang dilakukannya dan mestilah berpegang dan
beramal dengan ijtihad baru.
Dalam menentukan ijtihad kita dituntut agar berada di jalan yang
tengah dan bersikap sederhana. Kita tidak perlu bersikap melampau
dalam berijtihad seperti kelompok yang terlalu ketat hingga
menyempitkan peluang dan bidang ijtihad atau sebaliknya menjadi
kelompok terlalu longgar sehingga mementingkan maslahah daripada
nas.KONSEP ISTIHSAN DALAM KAEDAH USUL FIQH
1.0 PENGENALAN
Sumber-sumber perundangan Islam yang menjadi tempat pengambilan
hukum syarak pada asasnya dapat dibahagikan kepada dua bahagian
iaitu sumber-sumber yang disepakati dan sumber-sumber yang tidak
disepakati. sumber yang disepakati atau dipersetujui oleh semua
ulama tanpa dipertikaikan seperti al-Quran dan al-Sunnah sebagai
sumber perundangan Islam disamping ijmak dan qiyas. Sumber
perundangan yang tidak disepakati seperti al-maslahah al-mursalah,
al-urf, sadd al-dharai dan banyak lagi termasuklah juga istihsan.
Istihsan merupakan salah satu daripada sumber hukum perundangan
Islam tetapi ia tergolong dalam sumber hukum yang tidak disepakati.
Ini kerana terdapat ulama yang menerima dan juga menolak istihsan.
Antara ulama yang menerima kehujahan istihsan ialah ulama Mazhab
Hanafi, Imam Malik dan sebahagian ulama Hanbali. Sementara ulama
yang menolak kehujahan istihsan ialah Imam Syafii serta sebahagian
ulama Hanbali.
Kehujahan setiap ulama yang menerima istihsan berpendapat bahawa
adalah istihsan salah satu cara untuk mencari penyelesaian terbaik
bagi kepentingan awam. Manakala, menurut sebahagian ulama yang
menolak kehujahan istihsan, jika istihsan dibenarkan ini boleh
membuka jalan ke arah penggunaan akal fikiran tanpa sekatan yang
membolehkan ia terdedah kepada kesilapan dalam menetapkan hukum.
Ini kerana hukum akan dibuat berdasarkan nafsu dan fikiran
sedangkan yang berhak membuat hukum adalah Allah s.w.t. Setiap
hukum yang telah dikeluarkan berdasarkan kaedah yang telah
dilakukan oleh para mujtahid adalah untuk memudahkan umat Islam
merujuk kepada sesuatu perkara berlandaskan hukum syarak. Mungkin
sumber yang tidak disepakati tersebut perlu diperbaharukan konsep
dan kefahaman istilah yang digunakan berdasarkan kesesuaian semasa
yang sentiasa meningkat maju untuk kegunaan umat Islam sekarang.
Kefahaman istilah juga perlu diperincikan agar tidak menjadi
kekeliruan terhadap umat Islam untuk menggunakan sumber
tersebut.
Oleh itu, perbincangan ini akan dikupas untuk memberikan
keterangan berkaitan al-Istihsan yang termasuk dalam sumber yang
tidak disepakati oleh para ulama dan sejauhmana ketidakterimaan
hujah ulama yang menolak penggunaan al-istihsan dan penerimaan
ulama yang mengguanakan sumber istihsan ini dalam sumber hukum.
1.1 Definisi Istihsan
Perkataan istihsan ini berasal daripada kata dasar Istahsana
yang bermaksud apa yang diingini oleh seseorang sama ada ia adalah
sesuatu atau pengertian sesuatu sekalipun ia tidak disenangi oleh
orang lain. Hal ini menganggap sesuatu itu baik atau sesuatu yang
disukai oleh seseorang serta cenderung ke arahnya sekalipun
dipandang buruk atau tidak disukai oleh orang lain. Akan tetapi
pengertian istihsan yang dimaksudkan sedemikian telah ditolak oleh
kebanyakan ulama kerana ia membawa kepada pengeluaran hukum
berdasarkan nafsu dan kemahuan semata-mata tanpa sebarang sandaran
yang tepat.Sementara istihsan dari segi istilah pula dapat
dibahagikan kepada beberapa pandangan kerana ulama usul telah
berbeza pendapat dalam memberi definisi al-istihsan. Imam Abu
Hanifah menerima pakai istihsan melalui takrif istihsan yang
didefinisikan sebagai suatu penyimpangan daripada qiyas yang nyata
kepada qiyas yang tidak nyata atau kepada suatu kebiasaan yang
lumrah.
Pendapat Imam Abu al-Hasan al-Karkhi salah seorang imam mazhab
Hanafiah, mentakrifkan istihsan sebagai berpaling seseorang
mujtahid dari menghukum suatu masalah menyerupai dengan hukum pada
masalah lain yang sebandingnya, kerana ada suatu pertimbangan yang
lebih utama yang menghendaki perpalingan tersebut. Pendapat beliau
tersebut merupakan definisi terbaik tentang istihsan. Dengan erti
kata lain, penetapan hukum oleh seseorang mujtahid terhadap suatu
masalah yang menyimpang daripada ketetapan hukum yang ditetapkan
pada masalah-masalah yang serupa disebabkan adanya alasan yang
lebih kuat yang menghendaki dilakukan penyimpangan itu.
Sebahagian para ulama usul pula mentakrifkannya sebagai
berpaling seseorang mujtahid daripada mengambil hukum yang
berasaskan qiyas yang nyata kepada mengambil hukum yang berasaskan
dari qiyas yang tersembunyi, atau meninggalkan hukum kulli dan
mengambil hukum pengecualian (istisna) kerana ada dalil yang lebih
kuat pada pandangan mujtahid. Oleh yang demikian, apa yang dapat
disimpulkan di sini berdasarkan penakrifan-penakrifan di atas ialah
al-istihsan merupakan peralihan atau perpindahan daripada suatu
hukum kepada hukum yang lain pada suatu isu yang sama kerana
terdapat alasan ataupun dalil yang lebih kuat.
1.2 Penggunaan Istihsan Terhadap Dalil SyarakWalaupun pada
pengertian tidak dapat diterima dalam penggunaan hukum syarak,
tetapi digunakan dalam penggunaan bahasa yang tidak ada kaitan
dengan hukum. Penggunaan ini diterima oleh ulama dan mereka
mengharuskannya kerana ada sandaran daripada al-Quran dan Sunnah.
Allah s.w.t. berfirman: Surah al-Araf (7): 145
Terjamahannya: Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai
Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang
(serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya).
Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik
(derhaka)
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Terjemahan: apa yang difikirkan oleh orang-orang Islam baik maka
baiklah di sisi Allah s.w.t.
Imam Syafie juga ada menggunakan perkataan ini di dalam
tulisannya, katanya:
Terjemahan: sebaik-baik harga itu sebanyak 30 dirham.
Ulama usul yang menggunakan istihsan sebagai sumber hukum mereka
dilihat dari aspek keutamaan maslahat juzi yang terdapat pada suatu
hukum tertentu. Hal ini kerana nas-nas syariat Islam banyak sekali
menjelaskan tentang kewajipan memelihara maslahat dan menolak
kesempitan. Allah berfirman:
Surah al-Baqarah (2): 185
Terjemahan: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia
tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Allah berfirman lagi
:
Surah al-Hajj (22): 78
Terjemahan: dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu
keberatan dan susah payah.
Allah berfirman lagi:
Surah az-Zumar (39): 17-18
Terjemahan: Oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu yang berusaha
mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka
memilih dan menurut akan ang sebaik-baiknya (pada segi hukum
agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh
Allah dan mereka itulah orang-orang ang berakal sempurna.
Oleh itu, penggunaan biasa terhadap istihsan disepakati
penerimaanya dalam kalangan ulama. Tetapi untuk menjadikannya
sebagai sandaran dan hujah hukum terdapat perbezaan dalam kalangan
ulama usul dari pelbagai aliran. Ulama Hanafi berpendapat bahawa
istihsan boleh dijadikan hujah hukum, manakala ulama Syafie pula
menolaknya untuk dijadikan hujah hukum. Namun dalam kalangan ulama
Hanbali terdapat dua pandangan iaitu sebahagian yang menerimanya
sebagai sumber hukum sebagaimana yang diterima oleh ulama Hanafi
dan sebahagian yang lain tidak menerima sebagai hujah hukum
sebagaimana yang dipegang oleh ulama Syafie.
2.0 PENDAPAT PARA ULAMA TENTANG ISTIHSAN
Para ulama berselisih pendapat tentang kehujahan al-istihsan
sebagai salah satu sumber perundangan Islam. Terdapat dua kelompok
yang memberikan pendapat tentang istihsan ini iaitu kelompok
pertama menerimanya sebagai hujah hukum dan kelompok yang lain
menolaknya sebagai hujah hukum.
2.1 Pendapat Ulama Yang Menerima Istihsan Sebagai Sumber
Hukum
Golongan yang menerima pendapat ini dinisbahkan kepada golongan
Hanafi, Maliki, dan sebahagian daripada ulama Hanbali. Antara hujah
golongan yang menerima ialah al-istihsan adalah sumber hukum yang
dapat menolak kesusahan kepada kesenanganyang merupakan asas dalam
agama seperti firman Allah s.w.t:
Surah al-Baqarah (2): 185