KEWAJARAN PENGAJARAN KOMSAS DALAM BAHASA MELAYU
PENGENALANKomsas ialah akronim bagi perkataan-perkataan komponen
dan kesusasteraan Melayu. Komsas ialah komponen penting dalam
subjek Bahasa Melayu. Bagi pengajaran dan pembelajaran komsas dalam
subjek Bahasa Melayu, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Tingkatan I hingga V pascatahun
2003 telah memperuntukkan dua waktu dalam seminggu.
Berdasarkan kepada beberapa penyelidikan yang dijalankan
mendapati bahawa umumnya guru Bahasa Melayu kurang memahami
falsafah pengajaran dan pembelajaran komsas dalam subjek Bahasa
Melayu. Sememangnya, komsas yang juga lebih dikenali sebagai s
kecil adalah amat berbeza dengan S besar yang mewakili konsep
kesusasteraan sebagai mata pelajaran atau yang mewakili konsep
pendidikan Kesusasteraan Melayu sebenar, khususnya daripada segi
matlamat, objektif pengajaran dan pembelajaran serta penilaian atau
peperiksaan yang menggunakan kaedah dan metodologi yang tersendiri.
Ada beberapa perkara yang mengelirukan mereka sehingga kajian yang
dijalankan mendapati bahawa ada antara guru yang mengajar komsas
dalam subjek Bahasa Melayu mengajarnya sama seperti mereka mengajar
mata pelajaran Kesusasteraan Melayu tulen. Malah, penyelidikan yang
dijalankan mendapati mereka juga kurang yakin dan cekap dalam usaha
mereka menjalankan tanggungjawab pengajaran komsas di sekolah.
Pertimbangan GuruGuru Bahasa Melayu mestilah mempunyai
pengetahuan tentang komsas, di samping bersedia dengan segala
perancangan, mental dan fizikal untuk melaksanakan tanggungjawab
pengajaran di kelas. Tanpa persediaan yang betul oleh guru,
kemungkinan objektif pengajarannya tidak tercapai sepenuhnya,
lebih-lebih lagi untuk diaplikasikan dalam konteks yang sebenar dan
pelbagai. Oleh itu, peranan guru adalah sangat besar. Malah, guru
Bahasa Melayu bukan sahaja perlu menguasai ilmu yang berkaitan
dengan bidang s kecil dan S besar, persejarahan, variasi bahasa dan
gaya, strategi guru dalam pengajaran bahasa, di samping aspek
bahasa yang lain tetapi mesti senantiasa peka dan berusaha ke arah
merancang pengajaran dan pembelajaran yang baik sebelum tampil ke
dalam bilik darjah dan memastikan bahawa teks-teks komsas yang
ditetapkan bagi setiap tingkatan itu dapat dikuasai oleh setiap
orang murid.. Hal ini bermakna guru bahasa yang dedikasi dan
prihatin tahu bahawa tiada sesiapapun yang dikecualikan daripada
menguasai komsas, dan menjadi tanggungjawabnya untuk memainkan
peranannya agar dirinya bukan sahaja dapat memahami, mengenal pasti
dan mampu untuk menyerapkan komsas dalam pengajaran Bahasa Melayu
tetapi juga mampu dan memiliki keterampilan untuk mengajar komsas
dengan yakin dalam pelbagai keadaan, masa dan konteks.
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2005: 104) antara faktor
yang menjadi sebab mengapa perlunya untuk mencapai fungsi
penggunaan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu di bilik-bilik darjah harus diberi pertimbangan
adalah kerana adanya teks kesusasteraan Melayu yang memiliki
sifat-sifat yang negatif. Antaranya ialah:
i. Wujudnya karya kesusasteraan Melayu yang diklasifikasikan
seperti yang berikut:a). Sebagai karya pop, iaitu karya yang
mengejar sensasi mahajana semata-mata;b). Sebagai karya eotis,
iaitu yang apabila dibaca boleh menghairah pembaca dan
mengkhayalkan darah muda); danc). Sebagai karya picisan, iaitu
rendah mutu seninya. Karya yang sedemikian tidak sesuai untuk
bacaan pelajar sekolah.
ii. Teks deviasi, iaitu ada teks yang digelar sebagai teks
kesusasteraan kerana keseluruhan atau sebahagiannya terkandung
unsur keindahan, iaitu estetik dan artistik. Hal ini kerana ada
antara pengarang yang berusaha dan terdorong untuk mendapatkan
unsur-unsur estetik dan artistik itu, lalu diusahakan apa sahaja
seperti mengeksploitasikan dan memanipulasikan bahasa. Pengarang
sebegitu sanggup untuk melanggari hukum bahasa atau menjadikan
ayat-ayat yang dibinanya itu bersifat tidak gramatis serta
menyimpang tatabahasa dan rumus-rumus bahasa. Sifat yang sedemikian
dalam bidang stilistik dikenali sebagai deviasi.iii. Ada teks yang
digolongkan sebagai karya kreatif memiliki sifat antimoral,
antisosial, antiagama, anticerita dan perbagai anti. Karya-karya
yang dihasil itu bersifat avant-garde dan sukar difahami oleh
pembaca. Malahan, ada pembaca akan mendapati karya yang sedemikian
sukar untuk dihayati isinya.
iv. Ada teks yang bentuk dan gaya bahasanya tidak sesuai untuk
teks kesusasteraan Melayu. Hal ini kerana dalam penelitian
stilistik yang telah dilakukan untuk melihat gaya individualisme,
dan indiosinkrasi pengarang, ada bahasa pengarang yang tidak sesuai
untuk pengajaran kerana adanya pengarang yang ingin mencapai
individualisme itu sanggup melakukan deviasi sama ada penyimpangan
bahasa atau penyimpangan terhadap norma bahasa. Lantaran itu
timbullah polemik bahawa tidak semua bahasa pengarang itu sesuai
untuk menghasilkan karya atau teks kesusasteraan (Abd. Rahman
Hanafiah, 1990).
Di samping itu, kesedaran akan pentingnya penggunaan bahan
kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu kepada murid-murid sekolah dan pelajar IPT memang sudah
dirasakan sejak dari zaman sebelum perang lagi. Bahan-bahan
kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu sama ada sebelum atau selepas semakan kurikulum Bahasa
Melayu yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 itu, digunakan
untuk:
i. Membangkitkan minat dan kesedaran murid tentang bentuk bahasa
yang komunikatif dengan kepelbagaian kosa kata, frasa, ungkapan dan
struktur ayat,ii. Membentuk kepekaan murid tentang kelainan,
keindahan, kekreatifan, kerasionalan, keintelektualan,
kesaintifikan, keunikan atau kebitaraan mutu dan gaya bahasa
kesusasteraan Melayu yang memiliki ciri menghibur atau
sebagainya,iii. Meningkatkan kesedaran dan menghayati nilai-nilai
moral dan etika yang wujud dalam teks kesusasteraan Melayu klasik
dan moden waima yang berbentuk prosa mahupun puisi,iv. Memupuk dan
membangkitkan minat membaca karya-karya lain,v. Memperlihatkan isi
dan mesej yang sesuai dan mudah difahami,vi. Menyedari kepentingan
ilmu pengetahuan dan cerita tentang pelbagai aspek budaya dan
kehidupan masyarakat, danvii. Menguasai bahasa figuratif secara
tersurat dan tersirat baik yang berhubungan dengan aspek fonologi,
morfologi, sintaksis, semantik, pragmatik dan selok-belok bahasa
Melayu yang lain.
Selain itu, bahan kesusasteraan Melayu yang diketengahkan itu
memiliki unsur-unsur:
i. Kemoralan, kemotivasian dan keaspirasian,ii. Keindahan dan
kekreatifan,iii. Kerasionalan dan kesaintifikan,iv. Kebitaraan dan
keunikan,v. Keintelektualan dan keterampilan,vi. Keimanan dan
kerohanian,vii. Keharmonian dan realiti kehidupan,viii. Keikhlasan
dan bertanggungjawab, danix. Kepotensian dan kesejahteraan
diri.
Dengan demikian, segala unsur yang bersifat positif itu amat
bersesuaian untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis,
untuk pembinaan sahsiah dan memperkembang potensi murid-murid
secara menyeluruh dan bersepadu. Unsur-unsur kesusasteraan Melayu
yang cuba diserapkan dalam pendidikan Bahasa Melayu memainkan
peranan yang penting dalam membentuk budi pekerti yang mulia, jati
diri, bertanggungjawab, dan berkeupayaan bagi mencapai
kesejahteraan dan citra diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Hal
seumpama itu pernah dijelaskan oleh para sarjana tempatan dan luar
negara.
Selain itu, antara pandangan yang menarik tentang kepentingan
kesusasteraan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ialah
murid-murid berpeluang untuk membina nilai-nilai murni dan
pembinaan sahsiah yang mulia. Di samping itu, murid-murid yang
gemar dan rajin membaca karya kesusasteraan Melayu atau yang selalu
terdedah dengannya didapati lebih memahami maksud karya
kesusasteraan Melayu yang dibacanya, khususnya tentang realiti
kehidupan. Malahan, dengan membaca karya kesusasteraan Melayu
mereka dapat menghayati dan menyelami perasaan insan lain secara
kreatif dan kritis seperti yang digambarkan dalam karya yang
dibacanya itu, lebih-lebih lagi apabila bentuk, isi dan mesejnya
ialah yang berkaitan dengan perihal masyarakat dan nilai-nilai
kehidupan. Bahkan, jika mereka selalu terdedah dengannya, mereka
akan memperoleh wadah pemikiran, dan erti sebenar sesuatu karya
kesusasteraan Melayu. Dengan demikian, individu yang membacanya
akan timbul perasaan seronok akan sesuatu karya itu. Kesukaan dan
kecintaan yang mendalam terhadap karya kesusasteraan Melayu menjadi
punca utama baginya untuk membaca karya-karya kesusasteraan Melayu
lain seterusnya.
Kelebihan KomsasKesusasteraan Melayu, khususnya komsas boleh
memainkan peranan penting dalam pembentukan emosi kerana
kesusasteraan Melayu yang merupakan wadah fikiran, dan perasaan
yang dijalin oleh bahasa yang indah membenarkan murid-murid atau
kanak-kanak sedar akan perasaan sendiri semasa mereka memikirkan
perasaan orang lain.Kesusasteraan Melayu, seperti karya-karya seni
yang lain bukan sahaja memukau deria rasa dan intelek peminatnya,
bahkan memaparkan kehidupan, menenangkan keadaan huru-hara,
menerangkan yang gelap dan mencadangkan alternatif untuk mengatasi
masalah. Secara singkat hal ini bermakna bahawa unsur-unsur
kesusasteraan Melayu yang dibaca oleh murid-murid dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu berupaya untuk membentuk dirinya agar
menghormati orang lain, membina sahsiah yang elok, dan bersikap
toleransi. Selain itu, nilai-nilai estetik yang diajar dalam
pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dapat
mendidik murid mengamalkan keperibadian yang seimbang. Proses
pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu akan mewujudkan jati diri murid serta
berilmu pengetahuan. Sebagai contoh cerpen Diari Seorang Pengawas
memaparkan secara langsung dunia murid. Pengarang mengemukakan
watak murid yang bertanggungjawab terhadap tugasnya, dan ia
merupakan satu role model yang wajar bagi seorang murid yang
menjadi pengawas di sekolah (Sehijau Warna Daun, 2002: 50).
Di samping itu, proses pengajaran dan pembelajaran komponen
kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu akan dapat
memotivasikan murid untuk belajar melalui bahan-bahan yang dibaca.
Dengan ini, bahan yang dibaca atau yang didengar akan menyalurkan
pemikiran positif, kreatif, dan kritis dalam proses pendidikan
seumur hidup. Bahan-bahan komponen kesusasteraan Melayu akan dapat
menarik perhatian murid terhadap topik yang akan disampaikan.
Keadaan ini akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi
murid dalam proses pembelajaran secara berterusan.
Malahan, semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam dada
setiap murid sekiranya mereka didedahkan dengan pengajaran komponen
kesusasteraan Melayu dalam proses pembelajaran mereka. Melalui
pengajaran komponen kesusasteraan Melayu, murid akan diperkenal
dengan unsur-unsur patriotik, perpaduan negara, dan kebudayaan
kebangsaan. Sebagai contoh sajak Di Ruang Gemanya yang dinyatakan
oleh penyair akan kesetiaannya yang tidak berbelah bagi pada
Malaysia dan cintanya tak perlu disangsikan pada negara (Kerusi,
2002: 13). Di bawah ini dipetik rangkap-rangkap sajak tersebut.
Telah kurangkumkan rebah setiakupada setiap pilu dan
rindumelayang dan mengembangke hayat gemilang. Sejak itutidak
kukesal lagigoda dan dugadi gerimis senja.
Telah kupahatkan lelah umurkupada setiap kerikil dan debudatang
dan menghilangke hujung kenang. Sesudah itutidak kukenal lagihampa
dan deritadi guruh pagi.
Gerimis senja guru pagiadalah titipan mayabakal kukongsikan
hatimengukir tadbir di ruang gemanya.(Kerusi, 2002: 22)
Sebagai contoh, yang kedua ini ialah sajak Negeri Cinta yang
mengemukakan tema patriotik yang berjaya mengungkapkan aspirasi dan
cita-cita murni penyair untuk mewujudkan perpaduan negara. Dengan
nada yang puitis, penyair menyatakan:
Malaysia negeri alam dunia sebelah sininegeri impian, negeri
gemerlapanlindungilah dari keganasan-keganasan modenisasinegeri
cinta, negeri budaya, negeri perpaduan.
(Sehijau Warna Daun, 2002: 11)
Oleh itu, semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam dada
setiap murid, sekiranya murid dengan bantuan guru dapat menilai dan
mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan
Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Malah, dengan demikian
akan meningkatlah rasa cinta mereka kepada tanah air.Satu perkara
lagi yang penting dan menariknya tentang kesusasteraan Melayu dalam
pendidikan Bahasa Melayu yang dikenali sebagai s kecil yang ada
dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah kerana kesusasteraan
Melayu dapat membantu melahirkan manusia yang mempunyai sifat-sifat
yang mulia.
Melalui pembacaan teks-teks atau bahan kesusasteraan Melayu
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, murid dapat meneladani dan
menambahkan ilmu pengetahuan, menyuburkan emosi, membina moral dan
pengajaran, unsur kemasyarakatan dan nilai kemanusiaan, dan
estetik. Hal ini kerana dalam proses pengajaran dan pembelajaran
komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu terdapat
pelbagai gubahan yang menyingkapkan nilai budaya.Bahan-bahan
kesusasteraan Melayu yang bertemakan moral dapat membantu murid
menghayati nilai-nilai murni. Perkara ini disebabkan murid dapat
belajar melalui peniruan watak-watak baik yang ditonjolkan dalam
sesebuah karya kesusasteraan Melayu. Keadaan ini secara tidak
langsung dapat mengurangkan masalah disiplin pada kalangan murid
kerana murid tertarik dengan cerita tersebut, mereka akan
mendengarnya atau membacanya dengan teliti dan tidak mungkin akan
menimbulkan masalah disiplin.
Pertimbangan utama dalam kehidupan bermasyarakat ialah soal
sejauh manakah seseorang itu dapat mengutamakan nilai-nilai murni
dalam tindak-tanduk, perancangan, dan keputusan-keputusannya dalam
kehidupan. Sebagai contoh seorang individu Muslim sentiasa dipandu
oleh nilai-nilai yang sesuai dengan kepercayaan akidah dan akhlak
Islam. Demikianlah halnya dengan yang lain yang sebahagian besar
daripada mereka, terutama yang berpegang kepada agama akan melihat
nilai-nilai yang positif, seperti menghormati hak-hak manusia lain
dan menghargai sebarang hal yang secara universalnya diterima
sebagai baik dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat. Malahan,
Islam memaparkan nilai-nilai murni yang diterima sebagai
bersesuaian dengan semua agama di dunia.
Oleh itu, wajarlah karya-karya kesusasteraan Melayu yang
terpilih perlu memancarkan nilai-nilai murni yang dapat membentuk
konsep-konsep kebaikan, keikhlasan dan kebenaran dalam pemikiran
dan perasaan murid-murid yang mempelajari kesusasteraan Melayu. Hal
sedemikian bersesuaianlah dengan dasar pendidikan kebangsaan, yang
antara tujuan pentingnya adalah untuk menyatupadukan masyarakat
Malaysia yang berbilang kaum. Kadang-kadang, proses pengajaran dan
pembelajaran unsur kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu
sebelum pelaksanaan pada tahun 2000 tidak mencapai objektifnya
kepada murid. Hasil atau bahan kesusasteraan Melayu yang dibaca
oleh murid ada kalanya bukannya hasil kesusasteraan Melayu yang
sesuai dengan kebolehan, tahap atau keupayaan murid, tetapi lebih
berupa cerita semata-mata. Malah kajian yang dijalankan sebelum ini
juga mendapati bahawa buku-buku bacaan kesusasteraan Melayu yang
disenaraikan oleh KPM itu sesetengah daripadanya kurang sesuai
untuk bacaan murid kerana berunsur negatif (Nik Hassan Basri Nik
Ab.Kadir, 1997: 189). Oleh yang demikian, kurikulum baru yang
berorientasikan komponen kesusasteraan Melayu lebih berupaya untuk
mewujudkan individu yang berminat dengan karya-karya yang
bermutu.
Selain itu, penggunaan kesusasteraan Melayu melalui pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Melayu yang berkesan dapat membantu dan
mempercepat proses itu, selari dengan dasarnya, iaitu untuk membina
dan mengukuhkan lagi pengetahuan asas kepada cita rasa warisan
bangsa Melayu supaya lahir kesedaran; rasa hormat kepada
nilai-nilai Melayu, di samping menanamkan bibit-bibit penghayatan
yang dapat melahirkan rasa keinginan untuk menyumbang kepada
khazanah kesusasteraan kebangsaan yang dimiliki bersama itu.
Seterusnya, penggunaan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu yang berkesan juga berupaya untuk
melahirkan sebilangan besar anggota masyarakat yang dapat
menghargai kesusasteraan bangsa. Sekali gus menambahluaskan
bilangan pembaca buku kesusasteraan Melayu. Dalam masa yang sama
akan lahir penilai-penilai, pengkritik-pengkritik,
penghasil-penghasil, dan penerbit-penerbit karya kreatif dan kritis
yang lebih bertanggungjawab kerana fenomena yang seumpama itu dapat
mengangkatkan taraf kesusasteraan Melayu kita kepada tahap
profesional yang tinggi. Di samping itu, pengetahuan tentang konsep
dan teori-teori kesusasteraan yang berhubungan dengan beberapa
pendekatan seperti pendekatan sosiologi sastera yang digunakan oleh
pengarang dalam menganalisis karya-karya kesusasteraan Melayu yang
estetik dapat meluaskan pengetahuan guru. Malah pengetahuan itu
akan dapat menjadi daya penarik kepada murid semasa proses
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Guru Bahasa Melayu yang
terlatih harus sedar akan adanya perbezaan perkembangan antara
sains sosial dan sains kemanusiaan. Bahkan, guru Bahasa Melayu
perlu sentiasa peka bahawa terdapatnya perubahan yang radikal dan
bersifat revolusioner dalam dunia sains kemanusiaan atau dalam
dunia era globalisasi atau dunia tanpa sempadan berbanding dengan
yang lainnya. Apabila seseorang guru itu dapat mengikuti atau
menangani perkembangan dalam ilmu sains kemanusiaan yang cepat
berubah itu, maka, tidaklah pula guru Bahasa Melayu itu akan
ketinggalan zaman. Pandangan tentang fenomena itu sering dikaitkan
oleh cerdik pandai dengan perkembangan kesusasteraan Melayu yang
sentiasa menerima perubahan. Dengan memahami situasi ini, teks atau
sumber kesusasteraan Melayu tidak hanya sebuah cerita tetapi mampu
membawa perubahan terhadap alam pendidikan atau dunia kehidupan itu
sendiri. Tanpa memahami segala hal, komponen kesusasteraan Melayu
tidak akan hidup seperti sepatutnya. Oleh itu, guru Bahasa Melayu
wajar bijak menangani bahawa penggunaan komponen kesusasteraan
Melayu dalam subjek Bahasa Melayu itu bukan sekadar mengajar
bahasa, seni, falsafah, sejarah, peradaban, atau agama, bahkan
mengajar erti atau nilai kehidupan itu sendiri.
Hubungan VertikalKita mesti jelas bahawa Allah s.w.t. ialah
empunya, pemilik, pencita dan penguasa alam dengan segala isinya.
Demikianlah juga dengan hasil kesusasteraan kerana setiap hasil
kesusasteraan ada empunya, pemilik dan penciptanya. Allah s.w.t.
ialah empunya, penguasa, pemilik dan pencipta kesusasteraan yang
paling utama. Kitab suci al-Quran ialah hasil kesusasteraan yang
terlalu tinggi tarafnya kerana tidak ada satu pun karya
kesusasteraan yang ada di dunia ini yang dapat menyaingi kitab suci
al-Quran. Ayat-ayat atau kalimat-kalimat dalam kitab suci al-Quran
cantik sekali. Cantiknya kerana bentuk, isi dan mesej yang
melibatkan susunan bunyi, kata, ungkapan, ayat, wacana, makna dan
gaya bahasa. Tidak ada hidupan, makhluk dan seorang pun manusia
atau pengarang kesusasteraan waima yang dahulu, yang sekarang ini
atau yang pada bila-bila masa pun yang dapat menghasilkan kalimat
atau menandingi keelokan bunyi, kata, ungkapan, ayat, isi, makna,
gaya bahasa, bentuk, mesej dan keindahan wacana al-Quran.Al-Quran
memaparkan ilmu, hikmat dan petunjuk berkenaan dengan kepercayaan,
keibadatan, kemasyarakatan, kepimpinan, hukum, cerita dan berita
untuk pengajaran, pedoman dan bimbingan serta kebenaran. Pendeknya,
isi kitab suci al-Quran itu menyangkut seluruh aspek kehidupan.
Begitulah dari dahulu sampai kini, al-Quran dapat memberikan
bimbingan kepada insan ke arah kemajuan, peradaban dan budaya yang
tinggi yang kini disebut-sebut semula sebagai Islam Hadarah. Malah,
kitab al-Quran berisi nilai pengajaran, petunjuk dan panduan yang
amat berguna untuk umat manusia sepanjang masa dalam menempuh
kehidupan di muka bumi. Sebarang perlakuan atau aktiviti manusia di
atas dunia harus berpandu kepada al-Quran.
Pengarang atau pencipta sebuah karya kesusasteraan lain juga
perlu berlandaskan al-Quran kerana al-Quran ialah suatu petunjuk,
bimbingan, pedoman dalam segala segi dan merupakan panduan utama
agar kegiatan manusia tidak terbabas, tergelincir, terpesong dan
tersesat. Begitu juga dengan kehidupan manusia, dan jika semua
perlakuan, kerja dan kegiatan harian kita berpandukan al-Quran
sudah pasti tiada kepincangan dalam segala segi
kehidupan.Sehubungan dengan itu, selain al-Quran, hasil atau karya
kesusasteraan yang ada sekarang yang dicipta oleh manusia di atas
dunia ini adalah kerana mendapat keizinan, keredaan, kehendak dan
kerestuan daripada Allah s.w.t. Melalui kehendak-Nya, maka
karya-karya kesusasteraan lain dapat kita hasilkan atau yang dapat
dihasilkan oleh pencipta-pencipta karya kesusasteraan yang dikenali
sebagai pengarang karya. Seseorang pengarang karya menghasilkan
sesebuah karya bukan sahaja dipengaruhi oleh masyarakat tetapi juga
sebaliknya. Pengaruh-mempengaruhi mungkin berlaku secara sedar atau
secara tidak sedar.
Berdasarkan pengalaman, pemikiran, daya cipta, imaginasi, dan
realitinya yang kesemua dipengaruhi oleh alam, persekitaran dan
masyarakat sekeliling, seseorang pengarang akan menggunakan teknik
yang melambangkan keperibadian, dan menghasilkan kembali aspek
alam, persekitaran dan kehidupan masyarakatnya. Malah ada pengarang
yang mempersembahkan segala aspek kehidupan itu kepada
masyarakatnya bukan untuk mencipta nama, bermegah-megah, atau bukan
untuk melalaikan dan mengkhayalkan masyarakat, tetapi semata-mata
untuk mencapai empat tujuan yang murni, iaitu: (1) Keimanan dan
kesyukurannya terhadap Allah, (2) Kesaintifikan dan kebenaran, (3)
Kekreatifan dan keindahan, (4) Kemanfaatan dan kepuasan diri.
Selain itu, konsep pencipta juga dapat dikaitkan dengan pengarang
karya teragung. Kesusasteraan amat rapat dengan masyarakat. Malah,
kesusasteraan perlu untuk melengkapkan sesebuah masyarakat kerana
kesusasteraan ialah salah satu unit kebudayaan dalam masyarakat,
terutamanya masyarakat Melayu. Dengan demikian, sewajarnya
pengarang kesusasteraan Melayu sedar bahawa dirinya memiliki dua
wahana hubungan, iaitu hubungan dirinya dengan Allah yang selalu
disebut sebagai hubungan vertikal, dan hubungan dirinya dengan
manusia dan alam yang sering dinamai sebagai hubungan
horizontal.
Hubungan HorizontalMenyedari adanya hubungan yang sedemikian,
maka pengarang kesusasteraan Melayu apabila berkarya, maka karyanya
seharusnya berseni, atau yang bertunggakkan Islam, sama sahaja
seperti beribadah atau berbakti kepada Allah. Dengan demikian,
wajarlah setiap pengarang itu apabila berkarya atau bersastera
meletakkan dirinya mengikut pendekatan Islam, iaitu segala yang
dibuatnya itu wajib dilakukan kerana Allah. Secara singkatnya,
tidak ada yang lain melainkan Allah, tetapi sama seperti beribadah
yang bermacam-macam corak, hikmahnya adalah untuk mahajana.
Kesusasteraan dicipta kerana Allah untuk manusia. Dua ungkapan
kerana Allah dan untuk manusia amat rapat kerana apabila bersastera
kerana Allah, dengan sendirinya kita yakin tanpa berbelah bagi
bahawa setiap yang diperintahkan oleh Allah melalui al-Quran dan
al-sunnah adalah untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup
manusia.
Jika ditelusuri bukti-bukti lama bahawa lebih kurang 400 tahun
sebelum masihi, sudah bermula pemikiran tentang kesusasteraan
apabila seorang ahli falsafah Yunani, membicarakannya. Tokoh yang
dimaksudkan itu tidak lain ialah sarjana agung yang dikenali
sebagai Plato. Beliau yang merupakan ahli falsafah Yunani
membicarakan kesusasteraan sebagai hasil peniruan seniman terhadap
alam semesta. Pendapat Plato itu ada kebenarannya juga, lebih-lebih
lagi jika dikaitkan dengan hasil-hasil kesusasteraan Melayu, baik
yang ada sekarang atau yang sebelumnya sama ada yang berupa lisan
mahupun yang bertulis kerana terdapat banyak hasil kesusasteraan
Melayu yang berkisar tentang alam semesta. Antaranya yang
menggunakan unsur-unsur alam semesta atau yang mengaitkan hal ehwal
alam semesta secara langsung ataupun yang mengisahkan alam semesta
itu sendiri ialah hasil atau karya puisi seperti yang terdapat
dalam pantun, syair dan sajak. Yang berikut ialah contoh-contoh
puisi lama dan baru menggunakan unsur-unsur alam semesta atau yang
mengaitkan dan mengisahkan alam semesta itu sendiri, iaitu:
Pantun Dua Kerat:
Banyak udang banyak garam,Banyak orang banyak ragam.
Secupak padi setahil berangan,Tersepak kaki terkehel
tangan.(Sehijau Warna Daun, 2000: 3)
Pantun Empat Kerat:
Ada kolam ada masjid,Tempat orang sembahyang raya;Tengah malam
bulan terbit,Bintang sebiji membawa cahaya.(Sekalung Budi Sekalung
Bahasa, 2002: 3)
Ayam sabung jangan dipaut,Jika dipaut kalah laganya;Asam di
gunung ikan di laut,Dalam belanga bertemu juga.(Sekalung Budi
Sekalung Bahasa, 2002: 38)
Pantun Enam Kerat:
Penakik pisau raut,Ambil galah sebatang lintabung,Seludang
dijadikan nyiru;Setitik dijadikan laut,Sekepal dijadikan
gunung,Alam terbentang dijadikan guru.(Kerusi, 2002 : 3)
Syair Pembunuhan Angreni:
Setelah sampai ke tepi pantai,Pasirnya putih sangat
permai,Batunya indah bagai dicanai,Ombak memecah di tepi
pantai.(Anak Laut, 2002:5)
Sajak Anak Laut:
Segar angin lautmengembalikan rindunya pada kolekbagai buih
kecil terapung di airmenjaring sedikit rezekidan sisik ikankulit
ketamkepala sotongdankaki udang yang bersimpati.
Seperti kolek terdampar di pasirmenampak urat jalur-jalur
tuaanak laut itu sudah dapat menerkalangkahnya hampir tibapada
muara Pencipta.
Rahimidin ZahariKulesapkan Resah Sepi, 1988.Dewan Bahasa dan
Pustaka.(Anak Laut, 2002: 16)
Perkataan seperti udang, garam, padi, berangan, kolam, malam,
bulan, bintang, cahaya, ayam, asam, gunung, ikan, laut, seludang,
pantai, pasir, batu, ombak, angin, buih, air, sisik ikan, kepala
sotong, kaki udang, dan muara dalam puisi tersebut ialah kata-kata
yang mengisahkan atau yang berunsurkan alam semesta. Selain yang
berunsur alam semesta yang terdapat dalam puisi, latar cerita dalam
sesebuah hikayat juga ada memaparkan unsur alam yang luas dan tidak
terbatas, meliputi alam kayangan, di bumi, negeri dasar laut,
hutan, desa dan gunung-ganang. Unsur-unsur itu ialah yang meliputi
segala macam makhluk alam lain selain manusia yang terdiri daripada
kalangan jin, dewa-dewi, raksasa, binatang dan sebagainya. Misalnya
latar tempat dalam cerita mitos berlaku di dunia luar, di dunia
kayangan, dan di dasar laut. Latar tempat sejarah juga terdapat
dalam cerita mitos. Misalnya, mitos asal usul nama negeri Melaka
sebagaimana yang digambarkan dalam Sejarah Melayu mengambil latar
tempat sejarah. Latar tempat di dasar laut pula melalui mitos
dinasti seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu, iaitu
seorang daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain memasuki dan
melawat negeri bawah laut bernama negeri Dika. Beliau berkahwin dan
mendapat tiga orang anak di negeri bawah laut itu.
Unsur alam semesta juga dapat dilihat daripada watak dalam
cerita. Contohnya yang jelas ialah watak-watak dalam cerita
binatang, seperti watak Sang Kancil dan Pelanduk Jenaka.
Watak-watak itu diberi sifat manusia dan boleh berkata-kata,
berfikir, serta bertindak seperti manusia.Watak-watak yang
digambarkan dalam karya juga merupakan unsur alam semesta.
Umpamanya watak orang biasa, dewa, dan raksasa. Watak-watak itu
mempunyai kesaktian tertentu seperti yang digambarkan dalam cerita
Ramayana. Raja Rawana menjelmakan diri menjadi kijang emas dan
melarikan Sita ke Langka. Berdasarkan sedikit sinopsis atau
ikhtisar Ramayana, dapat diketahui terdapat banyak unsur alam
semesta yang ditonjolkan dalam cerita tersebut. Jelaslah bahawa
kesusasteraan Melayu tidak dapat lari daripada unsur-unsur alam
semesta kerana penceritaannya mesti berdasarkan ciri-ciri tertentu
seperti latar masa, latar tempat, dan watak-watak. Dengan adanya
ciri-ciri tersebut barulah karya kesusasteraan Melayu dikatakan
lengkap.
Sudah banyak dikata orang bahawa kesusasteraan dengan masyarakat
amat rapat sifatnya. Malah, kesusasteraan ialah sebagai bahan yang
perlu untuk melengkapkan sesebuah masyarakat kerana bahan
kesusasteraan merupakan salah satu unsur kebudayaan dalam
masyarakat. Jadi, apabila berbicara tentang kesusasteraan dan
masyarakat, maka secara langsungnya kita meninjau dua cabang utama,
iaitu kesusasteraan yang dihasilkan oleh ahli masyarakat untuk
masyarakat, dan yang keduanya ialah kesusasteraan yang menjadikan
masyarakat sebagai unsur di dalamnya.
Kesusasteraan yang dihasilkan oleh ahli masyarakat untuk
masyarakat bermaksud sesuatu karya atau bahan kesusasteraan yang
dihasilkan itu mesti padan dengan peringkat, kemampuan dan
keupayaan penerimanya serta memiliki nilai yang tinggi bagi
kegunaan mahajana dalam masyarakat itu sendiri. Umpamanya,
kesusasteraan Melayu sebagai salah satu aspek kebudayaan dalam
masyarakat Melayu wajarlah dijadikan bahan utama dalam pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu, patutlah apabila kerajaan
bersetuju bahawa kesusasteraan Melayu dijadikan bahan pengajaran
dan pembelajaran dalam subjek Bahasa Melayu kerana sebelum itu
telah ada cadangan dan saranan daripada pelbagai pihak agar
pengajaran dan pembelajaran bahan kesusasteraan Melayu digunakan
dalam pendidikan di semua peringkat serta hendaklah diwajibkan.
Antaranya ialah Dr. Raja. Mukhtaruddin Raja Dain, matan atau bekas
Pensyarah Ilmu Linguistik di Jabatan Pengajian Melayu Universiti
Malaya, yang pada tahun 1982 telah menyarankan supaya pengajaran
kesusasteraan Melayu di semua peringkat diwajibkan (Berita Harian,
11 Disember, 1982).
Selain itu, bahan-bahan kesusasteraan Melayu yang dipilih untuk
pengajaran bagi setiap tingkatan haruslah dapat dihayati dan
bersesuaian dengan kebolehan, tahap atau keupayaan murid.
Kesesuaian bahan dengan murid telah terbukti apabila bahan
kesusasteraan Melayu atau komsas yang ditetapkan untuk murid
tingkatan 1 adalah lebih mudah dan tidak menuntut murid berfikir
panjang berbanding dengan teks untuk murid tingkatan 4 dan 5.
Contohnya, pemilihan puisi tradisional yang mengandungi pantun dua
kerat, pantun empat kerat dan syair. Puisi tersebut dapat dihayati
dan bersesuaian dengan kebolehan khalayak murid tingkatan 1.
Sebagai contoh di bawah ini diketengahkan pantun dua kerat, pantun
budi, dan pantun kanak-kanak yang dipetik daripada antologi Sehijau
Warna Daun yang menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran murid
tingkatan satu.
Pantun Dua Kerat:
Siakap senohong gelama ikan duri,Bercakap bohong lama-lama
mencuri.
Mengaku dulang paku serpih,Mengata orang dia yang lebih.
Banyak udang banyak garam,Banyak orang banyak ragam.
Mentimum bongkok di balik tiang,Ayam berkokok alamat nak
siang.
Gendang gendut tali kecapi,Kenyang perut suka hati.
Sudah gaharu cendana pula,Sudah tahu bertanya pula.
Dahulu parang sekarang besi,Dahulu sayang sekarang benci.
Tokok takal muka pintu,Orang nakal memang begitu.
Keli masuk ruan keluar,Matahari masuk bulan keluar.
Duduk inding enggag tap,Senduk di dinding, panggang di atap.
Secupak padi, setahil berangan,Tersepak kaki, terkehel
tangan.
Kapal belayar dalam semak,Perut lapar semua lemak.(Sehijau Warna
Daun, 2002: 3)
Pantun Budi:
Tenang-tenang air di laut,Sampan kolek mudik ke tanjung;Hati
terkenang mulut menyebut,Budi sedikit rasa nak junjung.
Pulau pandan jauh ke tengah,Gunung Daik bercabang tiga;Hancur
badan dikandung tanah,Budi yang baik dikenang juga.
Pisang emas dibawa belayar,Masak sebiji di atas peti;Hutang emas
boleh dibayar,Hutang budi dibawa mati.
Tanam serai tanam halia,Tanam juga pokok sengkuang;Orang berbudi
disanjung mulia,Ke mana pergi tiada terbuang.
Kalau ada jarum patah,Jangan disimpan di dalam peti;Kalau ada
silap dan salah,Jangan disimpan di dalam hati.(Sehijau Warna Daun,
2002: 4)
Pantun Kanak-kanak:
Jangan gergaji pokok talas,Nanti lesung dimakan pahat;Jangan
menjadi orang malas,Perut kosong badan tak sihat.
Bintang tujuh sinar berseri,Bulan purnama datang menerpa;Ajaran
guru hendaklah dicari,Apa yang dapat jangan dilupa.
Terang bulan di malam sepi,Cahaya memancar ke pokok kelapa;Hidup
di dunia buatlah bakti,Kepada saudara ibu dan bapa.(Sehijau Warna
Daun, 2002: 5)
Daripada segi pendidikan, baris-baris yang terdapat dalam pantun
dua kerat itu dapat menyumbang ke arah pembinaan peribadi yang
baik. Demikian juga dengan Pantun Budi dan Pantun Kanak-anak.
Pantun-pantun tersebut ialah pantun empat kerat yang tidak juga
menimbulkan masalah pemahaman kepada murid tingkatan 1. Hal ini
bermakna bahawa karya kesusasteraan Melayu yang dihasilkan adalah
untuk masyarakat kerana sesuai dengan tahap dan keupayaan
penggunanya. Selain itu, hasil kesusasteraan Melayu mempunyai nilai
estetik yang tinggi. Nilai estetik di sini bermaksud nilai
keindahan dalam sesebuah karya kesusasteraan. Nilai estetik ini
subjektif sifatnya kerana berkaitan dengan perasaan manusia.
Umpamanya, sajak-sajak Jihaty Abadi sering diiktiraf oleh pembicara
sastera sebagai mengandungi nilai estetik yang tinggi. Contoh sajak
beliau yang mempunyai nilai estetik yang tinggi ialah Merbah.
Di dingin pagikicauan burung di dahan perkaranganmenghantar
pulangusia remaja ke kampung pedalamanberdenak dan bersiulmematikan
rimas bahang panas
Kubawa ke tepian kamarmerbah sepasang di dalam
sangkarsewaktu-waktusuara membuka merduaku terlena dan hanyut
mimpimereguk puas piala madu
Ketika terjagaterasa semakin manishempedu pun menjadi gulaaku
pun diterbangkan ke ruang lupa(Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005
: 122)
Oleh itu, dalam sesebuah karya, aspek teknik serta gaya itulah
yang menentukan nilai estetik. Sesebuah karya yang menarik mampu
menarik perhatian masyarakat dan setiap karya yang dihasilkan
bertujuan untuk dijadikan tatapan masyarakat. Demikianlah dengan
kesusasteraan Melayu tradisional yang mempunyai motif yang sama,
iaitu untuk menghiburkan masyarakat Melayu. Contohnya, fungsi
cerita penglipur lara dan cerita binatang ialah sebagai alat
hiburan, selain dapat juga menjadi kias ibarat. Jelaslah bahawa
bahan kesusasteraan Melayu yang dihasilkan itu adalah untuk
masyarakat dan mempunyai nilai yang tinggi bagi kegunaan masyarakat
itu sendiri.
Manakala kesusasteraan Melayu yang menjadikan masyarakat sebagai
unsur di dalamnya adalah kerana hubungannya dengan masyarakat.
Hakikatnya disebabkan kesusasteraan Melayu merupakan institusi
masyarakat yang menggunakan bahan yang dipunyai oleh masyarakat
berkenaan, bukan perkaitannya dengan bahasa semata-mata yang
menjadikan dekatnya kesusasteraan dengan masyarakat. Pengkarya,
penggubahan, dan bahan ialah sumber daripada masyarakat manusia.
Pengkarya memperoleh bahan yang sebahagian besarnya ialah unsur
kehidupan, hal-hal yang berlaku dalam masyarakat, dan persejarahan.
Malah segala hal yang berlaku dalam masyarakat seharian menjadi
unsur kepada penciptaan kesusasteraan sebenarnya. Hal ini jelas
terbukti kerana pada zaman dahulu, pembelajaran yang berlaku pada
kalangan masyarakat berlangsung secara tidak rasmi, iaitu
dikelolakan oleh masyarakat sendiri. Kanak-kanak pula menerima
pelajaran di rumah, surau atau sekolah pondok di kampung. Kurikulum
yang diajar merangkumi perihal adat resam, perubatan tradisional,
ekonomi, khususnya kemahiran mencari nafkah, bercucuk tanam,
menangkap ikan, dan sebagainya serta hal-hal yang berkaitan dengan
kepahlawanan. Oleh itu, unsur-unsur kesusasteraan Melayu mempunyai
hubungan dengan kehidupan masyarakat.
Apabila dikaitkan dengan masyarakat, karya-karya kesusasteraan
Melayu seperti novel, cerpen, dan sajak seolah-olah mencatat
perihal manusia atau perihal masyarakat. Karya kesusasteraan Melayu
juga cuba menggambar, meniru, dan yang paling utama ialah
menganalisis masyarakat itu sendiri. Karya kesusasteraan
menganalisis segala pergerakan kehidupan masyarakat, segala
rintangan dan halangan, pendidikan, kemajuan, kemiskinan,
kegigihan, dan kejayaan dalam kehidupan. Contohnya dalam sajak
Seorang Guru Tua, penyajak mencatat perihal seorang guru,
mengangkat keperibadian dan kegigihannya yang banyak berjasa
mendidik murid-muridnya sehingga berjaya dalam hidupnya sebagai
menteri dan orang kenamaan, sedangkan guru itu terus berbakti tanpa
jemu:
Guruku yang baikmasih di situmasih memandu kereta lamamasih
menuju sekolah yang samatiada kelihatan jemudari air mukanyatiada
kedengaran bosandari suara bibirnyadia gigih
menggenggamtanggungjawab yang diamanahkan.
(Sehijau Warna Daun, 2002: 12)
Demikian juga apabila kesusasteraan Melayu cuba menggambarkan
realiti kehidupan masyarakat waima kejayaan atau kemiskinan.
Contohnya dalam cerpen Hadiah Hari Guru yang mengisahkan perihal
kemiskinan seorang murid bernama Ramli yang hanya mampu menghadiahi
gurunya pucuk gajus di majlis hari guru kerana tidak mampu memberi
hadiah yang lebih istimewa daripada itu. Perkaitan antara
masyarakat dengan kesusasteraan Melayu dapat diperkuatkan lagi
dengan adanya cerita legenda yang mengisahkan kehidupan dalam
masyarakat tidak kira waima secara fantasi atau kejadian sebenar.
Contohnya ialah cerita tentang Mahsuri, iaitu kisah hidup
masyarakatnya yang menyebarkan fitnah sehingga Mahsuri dijatuhkan
hukuman mati. Hal ini bermakna adanya unsur kemasyarakatan dalam
kesusasteraan Melayu. Walau bagaimanapun, cerita-cerita tentang
masyarakat diceritakan dengan memasukkan unsur-unsur mitos dengan
tujuan untuk membesar-besarkan keistimewaannya sehingga mereka
menjadi kebanggaan masyarakat.Cerita-cerita yang berkaitan dengan
masyarakat tersebut mempunyai tujuan tersendiri. Antaranya adalah
untuk menguatkan kepercayaan anggota masyarakat terhadap sesuatu
peristiwa yang bercorak sejarah atau untuk berbangga, atau untuk
dijadikan teladan dan panduan kepada masyarakat tentang
kepahlawanan dan kegagahan tokoh. Misalnya tokoh Hang Tuah menjadi
kebanggaan bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah, Tak Melayu hilang di
dunia menjadi sebutan masyarakat Melayu hingga sekarang.
Jika disimpulkan kembali, kesusasteraan Melayu amat rapat dengan
masyarakat. Kesusasteraan Melayu adalah perlu untuk melengkapkan
sesebuah masyarakat kerana kesusasteraan Melayu ialah salah satu
unsur daripada kebudayaan, manakala kebudayaan ialah kebulatan
daripada pelbagai unsur. Jadi kebudayaan itu ialah keseluruhan
perbuatan dan hasil usaha manusia yang terbit daripada budi bicara
serta fikiran seseorang untuk memenuhi keperluan hidup. Oleh itu,
unsur daripada kebudayaan masyarakat dalam penghasilan sesebuah
karya kesusasteraan Melayu amat penting. Hal ini kerana berasaskan
tujuan sebenar sesebuah karya kesusasteraan Melayu itu dicipta dan
pengkaryanya. Malah, kesusasteraan Melayu secara keseluruhannya
ialah perbuatan dan hasil usaha manusia yang terbit daripada akal
budi bicara serta fikiran individu untuk memenuhi keperluan hidup.
Motif atau fungsi penting penghasilan karya kesusasteraan Melayu
dalam masyarakat adalah untuk keseronokan, kebajikan, dan sumber
pekerjaan. Dengan demikian, masyarakat akan tetap menjadi pengguna
hasil kesusasteraan Melayu buat selama-lamanya dan kesusasteraan
Melayu juga diterajui oleh masyarakat.
Sejarah kesusasteraan melihat karya kesusasteraan daripada sudut
diakronik kronologi atau perkembangan dari semasa ke semasa.
Kemunculan sesebuah karya merupakan satu peristiwa kesusasteraan.
Karya kesusasteraan yang halus sifatnya dilihat sebagai memiliki
permulaan, dan kehidupan yang kuat dan bertenaga. Bagi karya yang
sedemikian mungkin berlaku proses transformasi, adaptasi, rombakan
semula, ataupun kontroversi terhadap nilainya. Karya klasik
biasanya melalui proses ini. Oleh itu, amat bermaknalah apabila
meletakkan karya sedemikian atas sudut diakronik kronologi. Sudut
diakronik kronologi digunakan bagi menghubungkan peristiwa
kesusasteraan dan perspektif kemajuan pada satu zaman yang panjang,
waima bagi sesebuah genre kesusasteraan, khususnya atau pada
penciptaan kesusasteraan itu sendiri amnya. Di samping itu, ada dua
bidang khusus yang mempunyai panduan pengkajian yang tersendiri.
Kajian kesusasteraan rakyat (folklore) melihat fenomena
kesusasteraan lisan yang terhasil dalam masyarakat biasa yang
memiliki kebudayaan kecil (little culture), serta mengkajinya
berdasarkan teori yang diterima. Manakala kajian kesusasteraan
bandingan pula melihat karya kesusasteraan daripada dua masyarakat
yang berlainan, baik dalam aspek-aspek persamaannya atau
perbezaannya.
Walaupun seseorang pengarang itu tidak memerlukan bidang ilmu
kajian kesusasteraan untuk melahirkan karya yang baik, namun
pengkaji memerlukan cabang-cabang ilmu untuk berbicara tentang
kesusasteraan secara ilmiah. Seseorang pengarang kesusasteraan
boleh menentukan dirinya untuk memilih dan mengkhusus satu-satu
bidang waima yang berkaitan tentang teori, sejarah, atau kritikan.
Namun, bidang-bidang itu ada pertaliannya dengan yang lain. Walau
bagaimanapun, bidang-bidang itu kini menjadi bahan pengajaran dan
pembelajaran di sekolah dan IPT. Dengan itu, semua pihak dapat
menghayati kesusasteraan dengan lebih mendalam lagi.
Selain itu, kesusasteraan sebagai satu fenomena telah
menampakkan dua kegiatan yang selari. Pertama, kegiatan
penghasilan, iaitu proses menghasilkan karya oleh penulis. Kedua,
kegiatan penghayatan, iaitu proses mendengar, atau membaca karya
oleh anggota masyarakat. Dalam konteks masyarakat lama, kedua-dua
aktiviti ini berkaitan, dan tidak melibatkan banyak masalah.
Tetapi, setelah masyarakat berkembang timbul pula fikiran tentang
fenomena ini. Persoalan yang timbul adalah tentang sejarah
penghasilan karya dan tujuan penghasilannya. Semuanya timbul kerana
pemikiran masyarakat.
Dalam usaha mentakrifkan kesusasteraan, kita juga mungkin
menemui unsur-unsur dasar sekiranya kita melihat tujuan sebenar
karya-karya itu dikarang. Mukadimah Hikayat Isma Yatim menjelaskan
tujuan penghasilan karya itu. Setelah membaca hikayat itu pembaca
akan memperoleh manfaat. Karya ini memaparkan contoh dan tradisi
kesusasteraan Islam, misalnya tentang nilai-nilai kerukunan hidup.
Akan tetapi karya-karya yang lebih awal juga tidak kurang
mementingkan unsur manfaat. Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah
Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan berbagai-bagai kisah lain juga
mementingkan sumbangan yang mungkin diberikan oleh pujangga. Hanya
cara penyampaiannya mungkin berlainan dan juga penekanannya
berbeza-beza antara satu sama lain. Di samping itu, kesusasteraan
juga boleh dianggap sebagai gedung ilmu sesuatu bangsa. Karya-karya
lama Melayu mengumpul ilmu pengetahuan terbaik untuk pembaca. Ilmu
ini dikutip daripada berbagai-bagai pujangga, pemikir dan seniman
lalu dibawa ke dalam karya dengan tujuan supaya ilmu ini dapat
membantu pembaca. Dengan itu, masyarakat hari ini boleh membuat
rujukan daripada karya-karya yang dihasilkan. Karya-karya yang
telah dihasilkan banyak memberi pengajaran kepada pembaca. Mesej
yang ingin disampaikan adalah berbeza-beza antara satu karya dengan
karya yang lain. Oleh itu, masyarakat harus pandai memilih karya
sastera yang sesuai sebagai panduan dan penggunaan mereka.
Dari zaman awal sehinggalah sekarang, kita melihat banyak bukti
yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu menuntut pelajaran dan
pengajaran daripada karya-karya kesusasteraan Melayu. Dalam karya
prosa misalnya, waima drama, novel mahupun cerpen terdapat
nilai-nilai murni yang ditonjolkan. Nilai-nilai tersebut dapat
dijadikan panduan kepada pembaca novel atau cerpen tersebut. Namun
begitu, terdapat juga watak-watak yang menunjukkan perwatakan yang
tidak baik pada akhir penceritaan. Biasanya, watak-watak yang tidak
baik ini akan mengalami penyesalan. Oleh itu, masyarakat yang
membacanya dapat menilai sesebuah watak dan perwatakan waima baik
atau sebaliknya. Melalui perwatakan tersebut, masyarakat boleh
menjadikannya sebagai satu pengajaran dan tidak akan mencontohinya
dalam situasi kehidupan mereka. Misalnya dalam novel Konserto
Terakhir, watak Hilmi tidak disenangi oleh Datin Salmah tetapi dia
tabah menjalani kehidupan seharian walaupun terpaksa berdepan
dengan pelbagai hinaan daripada Datin Salmah. Pada akhir
penceritaan, watak Datin Salmah mengalami penyesalan kerana
mengetahui keadaan Hilmi yang jatuh sakit yang juga anak tirinya.
Implikasi cerita itu sudah pasti pembaca akan mendapat pengajaran
daripada sikap yang tidak baik yang ditonjolkan dalam novel
berkenaan. Pembaca mungkin akan menilai watak Datin Salmah yang
seharusnya tidak patut berkelakuan sedemikian kerana Hilmi ialah
manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Penilaian terhadap
diri seseorang juga tidak harus dibuat berasaskan rupa paras,
darjat, kepercayaan, keturunan, pangkat, kedudukan, dan harta
benda. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat sikap
bantu-membantu mesti ada tidak kira waima kepada orang miskin
mahupun orang kaya.
Selain itu, sesebuah karya kesusasteraan waima novel, cerpen,
atau sajak ialah lukisan kehidupan masyarakat. Hal ini kerana karya
kesusasteraan memaparkan penganalisisan aspek-aspek kehidupan
masyarakat dan kehidupan kita sendiri. Pengarang-pengarang karya
yang mempunyai pemikiran yang tajam dapat menganalisisnya sebelum
menjadikannya sebagai sebuah karya. Daripada ragam-ragam hidup
masyarakat yang mengalami pelbagai rintangan dan dugaan hidup
inilah, maka pengarang karya dapat menjadikannya sebagai sebuah
karya. Karya-karya yang telah dihasilkan itu pula akan dibaca juga
oleh masyarakat berkenaan. Maka, di sini dapat dikatakan bahawa
masyarakat membaca cerita mereka sendiri. Sebagai contoh ialah
paparan cerita dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan yang mencatat
kisah kehidupan kaum tani yang serba miskin. Oleh itu, sedikit
sebanyak novel ini dapat memberi pengajaran dan keinsafan kepada
masyarakat. Seperkara lagi ialah sesebuah karya kesusasteraan
mempunyai unsur pengajaran yang dikenali sebagai dedaktisme yang
menekankan aspek nasihat atau tunjuk ajar serta dapat membentuk
sahsiah murid di samping memantapkan penggunaan bahasa agar mereka
berupaya meningkatkan pemikiran kritis. Selain itu, karya
kesusasteraan juga dapat dikaitkan dengan sifat kreatif.
Kekreatifannya dapat dilihat melalui penggunaan kepelbagaian teknik
penceritaan, dan penggunaan plot yang menarik. Contohnya,
drama-drama karya Nordin Hassan seperti drama Anak Tanjung dan
drama Sirih Bertepuk Pinang Menari, plotnya amat menarik dan
terdapat unsur kreatif.
Apabila diteliti daripada sudut bahasa karya-karya
kesusasteraanlah sumber yang paling ideal kerana keluasan dan
kepelbagaian gaya yang sering dilenturkan untuk menyatakan emosi
yang bermacam-macam. Pengarang yang kreatif akan cuba menggunakan
bahasa seluas mungkin meliputi pemilihan ayat, gaya bahasa,
ungkapan-ungkapan khusus, dan meluaskan penggunaan bahasa-bahasa
kiasan untuk mencapai kesan yang mendalam. Oleh itu, pemilihan
karya-karya kesusasteraan yang baik adalah perlu. Karya yang baik
untuk murid ialah karya yang mempunyai unsur pengajaran dan panduan
yang boleh dicontohi. Melalui karya kesusasteraan, masyarakat dapat
menjadikannya sebagai panduan dan pengajaran hidup dalam menghadapi
kehidupan yang serba mencabar.
Unsur-unsur dalam KomsasDasar Pendidikan di Malaysia ialah dasar
pendidikan yang berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK),
iaitu yang merupakan satu usaha yang berterusan dari peringkat awal
pendidikan hingga ke peringkat seterusnya, yang semata-mata ke arah
memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu agar
kemudiannya akan tercapai matlamat untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha
itu mempunyai tujuan yang murni, iaitu untuk melahirkan warganegara
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara. Jika dihalusi secara umumnya,
pernyataan yang terkandung dalam FPK itu menggambarkan bahawa
hasrat pendidikan negara adalah untuk mendidik setiap individu
dalam negara ke arah satu hala tuju, iaitu pembinaan individu yang
mulia yang kemudiannya menjadi rakyat Malaysia yang berkualiti.
Malah dalam FPK juga menjelaskan bahawa pendidikan di negara ini
ialah pendidikan yang bersifat berterusan kerana adanya unsur-unsur
kesinambungan antara pengajaran dan pembelajaran daripada satu
peringkat kepada peringkat yang seterusnya. Selanjutnya, FPK itu
juga bermakna bahawa pendidikan di Malaysia memiliki fungsi untuk
memperkembang bakat dan kemampuan murid waima daripada segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani secara menyeluruh dan bersepadu.
Selain itu, FPK itu menegaskan bahawa kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan hendaklah dijadikan teras dalam pengembangan bakat dan
kemampuan murid, agar tercapai matlamat yang ditetapkan, iaitu
membina murid yang bersahsiah, yang seimbang, dan harmonis daripada
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta menjadi warganegara
yang bersatu padu, berdisiplin, berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkebolehan, berwawasan, dan terlatih
untuk memberi sumbangan terhadap kesejahteraan diri, masyarakat dan
negara.
Asas kepada penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ialah FPK. Falsafah Pendidikan
Kebangsaan menekankan perkembangan individu secara menyeluruh dan
bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan
kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan.
Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji pelaksanaan dasar
pengajaran telah diterbitkan pada tahun 1979. Laporan itu telah
menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan prinsip, nilai dan hala
tuju pendidikan. Ekoran daripadanya, maka KPM mewujudkan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, matlamat Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (KBSM) adalah untuk memperkembang potensi individu
secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu meliputi aspek-aspek
intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang
seimbang, harmonis dan berakhlak mulia. Hal ini bermakna matlamat
KBSM itu bertepatan dan selaras dengan kehendak FPK.
Kesusasteraan Melayu yang diajar dalam subjek Bahasa Melayu yang
dikenali sebagai komsas atau s kecil dalam Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah itu memenuhi cita-cita FPK kerana matlamatnya juga
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek,
emosi, rohani dan jasmani. Hal ini sesuai kerana kesusasteraan
mencerminkan masyarakat dan budaya serta merupakan manifestasi
kesenian melalui media bahasa yang kreatif lagi indah. Justeru,
cara mengenal dan memahami karya kesusasteraan Melayu melalui
pendidikan Bahasa Melayu itu membolehkan murid dapat memahami
manusia di sekitarnya dan membolehkan penyerapan nilai-nilai murni
serta seterusnya membantu matlamat ke arah usaha melahirkan insan
yang seimbang dan harmonis. Di samping mendidik murid menikmati
kehalusan dan keindahan gaya bahasa dalam karya, komsas juga
memberi peluang kepada mereka untuk menguasai sistem dan tatabahasa
Bahasa Melayu dengan baik. Unsur intelek dalam FPK mengandungi
hikmah atau ilmu yang bermatlamatkan kebenaran, iaitu yang
menggambarkan pemikiran logik, analitik, kreatif, kritis,
imaginatif dan naratif untuk diri, keluarga, masyarakat dan
negara.
Jika diteliti bahan-bahan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran
Bahasa Melayu, semua bidang tentang psikologi, moral, falsafah,
agama, sosiologi dan sejarah ada diketengahkan oleh para pengarang
kesusasteraan Melayu. Bahan-bahan kesusasteraan Melayu menggarap
hal-hal tersebut dan banyak lagi. Malah, bahan tersebut sering
diperlakukan sebagai maklumat budaya atau bagi bahan-bahan
tradisional khususnya, teks kesusasteraan Melayu dianggap sebagai
maklumat tuntas atau ensiklopedia bangsa kerana banyaknya ilmu
pengetahuan yang terkandung di dalamnya. Jikalau kita mengharapkan
pengalaman semata-mata memanglah tidak cukup kerana pengalaman yang
dilalui oleh insan hanya mengajar kita tentang kehidupan yang agak
terbatas. Namun, komsas telah membuka dan menambah skop pengalaman
kita kerana komsas menyediakan pengalaman-pengalaman manusia
daripada pelbagai budaya dan dari pelbagai zaman. Lebih-lebih lagi
kerana setiap bahan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa
Melayu, khususnya akan menambah pengetahuan dan pengalaman
individu, seolah-olah kita yang membaca bahan itu akan mengalami
segala yang dialami oleh watak-watak dalam dunia cereka, di samping
mengalami pengalaman daripada pengarangnya. Sebagai contoh, alam
yang segar dan indah di Tasik Biru, Sarawak, telah mempengaruhi
jiwa Kemala untuk menulis sajak Tasik Biru, Bau, Sarawak. Keindahan
tasik itu bukan hanya pada lahiriah sahaja tetapi keindahan itu
dapat menusuk mimpi-mimpi abstraksi dalam dirinya:
apakah warnanya di sebalik lahiriah ini?biru? hijau atau sesuatu
yangbarubukan di depan kenyataan sajatapi jua mimpi-mimpi
abstraksijawapannya terendapdi kamar sutera rohaniwujud
rohmenggamit makna.(Sehijau Warna Daun, 2002: 13)
Sebagai ilmu pengetahuan, komsas mengandungi kebenaran.
Kebenaran tersebut dicapai melalui daya khayal dan gerak hati, atau
lebih tepat disebut sebagai imaginasi dan intuisi. Bahan
kesusasteraan Melayu yang dibaca dalam subjek Bahasa Melayu mungkin
tidak mengetengahkan pernyataannya melalui hujah yang analitis,
tetapi penghayatannya memang boleh membentuk insan itu berfikir
secara kreatif dan kritis. Selalunya konsep kreatif itu merujuk
perihal individu yang terpaksa membentuk semula hal tentang
pemaknaan, penilaian, keilmuan waima yang tersurat mahupun yang
tersirat, serta membuat pertimbangan, kesimpulan, dan keputusan.
Manakala, konsep kritis pula merujuk hal-hal yang berhubungan
dengan penghayatan terhadap bahan kesusasteraan Melayu yang
memerlukan penilaian dan penaakulan. Oleh itu, kesusasteraan Melayu
dalam pengajaran Bahasa Melayu amat penting dalam membina manusia
yang kreatif, dan kritis.
Bahan kesusasteraan Melayu yang dibaca dalam subjek Bahasa
Melayu sering juga disifatkan sebagai bahan yang mempunyai hubungan
dengan pemikiran. Hal ini kerana bahan itu dilihat sebagai suatu
bentuk falsafah yang tersimpan dalam bentuk khusus. Malahan bahan
kesusasteraan Melayu dianggap sebagai dokumen sejarah, pemikiran,
dan falsafah. Lebih-lebih lagi apabila sesetengah bahan
kesusasteraan Melayu yang bernilai, biasanya mendokong pengertian
pemikiran, falsafah dan saintifik. Hal ini dapat dilihat berasaskan
tema, dan persoalan yang dikemukakan. Penghasilan sesebuah karya
dan teknik penyampaian turut membawa kita yang membacanya berfikir,
merenung dan menilai simbol-simbol yang ada. Sebagai contoh yang
dapat dilihat tentang pemikiran dan falsafah yang menyentuh
perkembangan intelek adalah seperti yang terkandung dalam novel
Putera Gunung Tahan. Novel karya Ishak Hj.Muhamad ini secara sinis
menyindir golongan penjajah yang telah merampas hak dan maruah
orang Melayu. Namun, unsur intelek yang terdapat dalam sesebuah
karya itu, secara logiknya bergantung waima kepada cetusan perasaan
dan pengalaman yang dilalui oleh pengarangnya terhadap sesuatu
permasalahan sosial, ekonomi mahupun politik pada kalangan
masyarakat. Dalam proses penghasilan sesebuah karya kreatif,
aspek-aspek struktur seperti tema, watak dan perwatakan, plot, gaya
bahasa, latar, pusat penceritaan, dan perlambangan ialah suatu
usaha untuk melukiskan pernyataan, dan permasalahan masyarakat.
Unsur rohani dalam FPK mengandungi hikmah yang mempunyai
matlamat, iaitu keyakinan kepada Tuhan, kepercayaan beragama,
kemantapan jiwa, menghubungkan nilai murni dengan norma masyarakat,
dan mempunyai sahsiah yang mulia. Sehubungan dengan itu,
kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu itu boleh
disifatkan sebagai menekankan proses pengajaran dan pembelajaran ke
arah memupuk, dan memperkaya kehalusan perasaan, serta memperteguh
rasa penghargaan, dan keindahan terhadap bahan kesusasteraan
Melayu.
Nilai estetik yang ada dalam pelbagai bahan kesusasteraan Melayu
yang dibaca dalam subjek Bahasa Melayu itu menekankan aspek-aspek
pembangunan insan. Hal ini terserlah dalam genre pantun dan sajak
kerana memuatkan nilai moral, kebijaksanaan, budi bahasa, dan
pemikiran-pemikiran masyarakat Melayu. Baris-baris pembayang yang
diketengahkan sering berhubung kait dengan alam kehidupan seharian,
manakala maksudnya adalah tentang psikologi, dan kerohanian
manusia. Demikian juga dengan sajak Burung Tempua misalnya,
menyarankan agar pembaca mengambil iktibar daripada sikap burung
tempua yang tekun dan rajin berusaha.
Tanpa mengenal jemumenganyam rapijerami dan rumputmencipta rumah
tempat berlindungmembina bilik tempat berteduhdari hujan dan
ributsering merempuh.(Sehijau Warna Daun, 2002: 13)
Selain itu, kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu
menekankan pembentukan citra atau imej yang baik untuk khalayaknya.
Imej dalam konteks ini menjurus pembinaan insan. Hal sedemikian
terpapar melalui pelbagai genre kesusasteraan Melayu. Malah, hal
itu sesuai pula dengan disiplin kesusasteraan Melayu itu sendiri,
iaitu untuk mendidik dan membina nilai-nilai akhlak murid. Sebagai
contoh, antara karya kesusasteraan Melayu yang memaparkan unsur
rohani ialah novel Salina kerana dipusatkan nilai-nilai murni
melalui watak utamanya yang memiliki jiwa yang penuh kasih sayang
dan bertanggungjawab, sekalipun watak utamanya ialah seorang
pelacur. Unsur emosi dalam FPK mengandungi hikmah yang mempunyai
matlamat, iaitu keyakinan kepada Tuhan, kepercayaan beragama,
kemantapan jiwa, menghubungkan nilai murni dengan norma masyarakat
dan mempunyai sahsiah yang mulia.
Unsur emosi dan kesusasteraan pernah dihubungkaitkan oleh
Aristotle dengan fungsi catharsis, iaitu untuk mendidik dan memandu
emosi manusia bagi menjadikannya lebih stabil apabila berdepan
dengan sesuatu tragedi, tekanan emosi, dan kemelut hidup.
Sesungguhnya, masyarakat silam telah banyak memanfaatkan
kesusasteraan untuk tujuan tersebut .Dalam sistem pendidikan di
Malaysia, pengajaran kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu ialah
unsur yang paling sesuai bagi menerapkan kecerdasan emosi.
Pengurusan emosi yang betul membolehkan manusia mangawal sikap dan
perasaannya, memahami orang lain, dan seterusnya berjaya pula
menjalinkan hubungan positif sesama insan. Sebagai contoh, dalam
Puisi Buat Mama penyajak melukiskan bagaimana perpisahan yang
terjadi menyebabkan pengorbanan dan nilai kasih sayang seorang ibu
kepada anak tiada dapat diukur dengan kata-kata.
Kali inikita biarkanlah perpisahan inisatu pengorbanan yang
perlukerana hidup ini hanya akan berertibila kita tiba-tiba merasa
kehilangandan diperlukan.(Sehijau Warna Daun, 2002: 12)
Jika diteliti, kesusasteraan Melayu mempunyai sumber yang kaya
dengan nilai dan emosi. Malahan, kesusasteraan Melayu patut
dimanfaatkan untuk membentuk keperibadian generasi muda.
Karya-karya kesusasteraan Melayu yang bermutu tinggi waima yang
berupa novel, cerpen, drama, sajak, syair dan prosa tradisional
bukan sahaja berperanan sebagai wahana tetapi mampu menggilap
potensi diri murid. Seseorang murid yang menghayati watak dan
perwatakan dalam sesebuah karya yang dibacanya dapat memperkembang
emosinya sendiri. Contohnya watak dalam novel Seteguh Karang ada
memperlihatkan emosi seperti simpati, sedih, kecewa, pasrah dan
sebagainya. Dengan itu, pembaca yang menjiwainya akan turut
beremosi dan bersimpati terhadap watak-watak yang terdapat dalam
novel tersebut.
Dalam sistem pendidikan di Malaysia, pengajaran kesusasteraan
Melayu dalam Bahasa Melayu ialah unsur yang paling sesuai bagi
menerapkan kecerdasan jasmani. Perkembangan daripada segi jasmani
boleh diterapkan melalui teknik-teknik yang biasa digunakan oleh
guru yang terlatih seperti teknik penggunaan deria, main peranan,
simulasi, bercerita, lakonan waima secara spontan atau berskrip,
pentomin, boneka, perbincangan, permainan bahasa kesusasteraan, dan
kuiz. Murid-murid yang didedahkan dengan pelbagai teknik dalam
pengajaran kesusasteraan Melayu secara tidak langsung berupaya
dalam pergerakan. Malah mereka akan lebih aktif. Selain itu,
perkembangan daripada segi jasmani ini bukan sahaja melibatkan
aktiviti di dalam bilik darjah, malahan melalui pelbagai aktiviti
di luar kelas. Contohnya apabila pihak sekolah mengadakan aktiviti
seperti pertandingan pementasan drama, teater atau sebagainya yang
melibatkan murid untuk bergiat secara aktif dalam sesuatu aktiviti
yang telah dijalankan.
Teknik sosiodrama, misalnya yang dilaksanakan oleh guru adalah
untuk mewujudkan perhubungan antara insan dan masyarakat. Antara
langkah yang boleh dijalankan adalah dengan meminta murid
mengemukakan sesuatu masalah. Selepas itu, guru akan meminta murid
agar melakonkan permasalahan seperti yang difikirkan oleh mereka.
Kemudiannya, mereka akan berbincang tentang hasil perlakuan
tersebut. Melalui aktiviti ini, murid akan belajar untuk bergerak
secara berkumpulan, tidak kira kumpulan itu besar ataupun kecil,
semata-mata untuk meningkat persefahaman pada kalangan mereka yang
terlibat. Dengan demikian, bakat dan kebolehan murid dapat
dicungkil.
Daripada apa yang telah dibincangan sebelum ini, pendeknya,
pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah bukan sahaja mampu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani seperti yang digariskan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan tetapi juga bertujuan untuk melahirkan murid
yang memiliki keterampilan dalam bahasa, dan menghargai serta
menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Di samping
itu, pendidikan bahasa dipercayai dapat juga dijadikan sebagai
wahana ilmu, fikiran dan perasaan bagi pelbagai bangsa di Malaysia.
Hal ini juga bermakna bahawa Bahasa Melayu yang merupakan mata
pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah tidak
bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam
Akta Pendidikan 1996. Malah, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa perpaduan rakyat di Malaysia serta sebagai
pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi
bersama oleh semua rakyat dalam satu wawasan. Selain itu, bahasa
Melayu yang mempunyai potensi untuk dimartabatkan dan diperluas ke
peringkat antarabangsa menerusi teknologi maklumat dan komunikasi
itu berhasrat membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan
kebitaraan, kerasionalan, keintelektualan, kekreatifan,
kesaintifikan, dan kerohanian rakyat.
Sejajar dengan itu, sesuailah fokus utama pendidikan Bahasa
Melayu sekolah menengah adalah untuk memenuhi hasrat Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Hasrat ini telah digubal
berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk melahirkan
insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Lebih-lebih lagi hakikatnya, pendidikan Bahasa Melayu KBSM
yang meliputi tingkatan satu hingga lima menjanjikan hasrat untuk
terus meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran
mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis
pada kalangan remaja serta memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa
dalam pelbagai keadaan, sistem bahasa dan gaya bahasa yang indah.
Malahan, pendidikan Bahasa Melayu KBSM juga menanam kesedaran
terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh melalui
pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan Melayu (Huraian
Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan V, 1992: vii). Bahkan,
pendidikan Bahasa Melayu KBSM sememangnya sudah lama menjadikan
kesusasteraan Melayu sebagai unsur atau komponen penting dalam
programnya. Selain itu, kesusasteraan disifatkan berupaya untuk
menjadikan seseorang itu lebih peka, lebih prihatin terhadap
pengolahan bahasa, di samping membantunya untuk menghayati
pengalaman, pengamatan, sensitiviti, tafsiran, aliran perasaan dan
daya intelek, dan pemikiran pengarang terhadap berbagai-bagai
fenomena kehidupan di sebalik struktur kata-kata yang indah
itu.
Dalam perpektif tersebut jugalah ternyata bahawa fungsi bahasa
Melayu yang semakin meluas, sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa
rasmi negara dan seperti yang terkandung dalam pendidikan Bahasa
Melayu KBSM menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang
lebih bermutu. Murid-murid bukan sahaja perlu menguasai kecekapan
berbahasa dan ketepatan berkomunikasi, tetapi juga perlu memahami
sistem bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan segala bidang ilmu
dan kegiatan harian selaras dengan peranannya sebagai bahasa
perpaduan rakyat, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu
pengetahuan yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat.
Sehubungan dengan itu, kesusasteraan Melayu disediakan bagi
memenuhi keperluan murid dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu. Rentetan itu, kesusasteraan Melayu telah dijadikan sebagai
komponen wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi menambahkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Pengajaran
dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa
Melayu mencakupi pendedahan apresiasi karya-karya kesusasteraan
Melayu daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, puisi
moden, prosa klasik, drama, cerpen dan novel. Melalui pendedahan
dan penelitian karya-karya seperti itu, murid diharapkan dapat
mengenal dan menikmati karya-karya kesusasteraan Melayu negara.
Selain menggalakkan lagi minat membaca murid, karya tersebut dapat
juga menjadi wahana bagi murid memahami budaya dan cita rasa
masyarakat negara ini. Murid diharapkan juga akan berminat untuk
berkarya bagi melahirkan idea dan cita rasa mereka sendiri.
Justeru, dengan usaha yang demikian akan mempertingkatkan kemahiran
berbahasa murid.
Dengan yang demikian dan seperti yang telah dijelaskan, hasrat
pendidikan yang ingin dicapai melalui FPK ialah pembentukan
individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan
bersepadu daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu diharapkan dapat menyokong teras
pembentukan individu ini, terutamanya daripada segi pemupukan ilmu,
kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan aspek intelek dan emosi.
Penerapan elemen-elemen ini dalam karya kesusasteraan Melayu yang
terpilih mampu menjadikan murid insan yang berfikir tentang
kebaikan, kehalusan budi pekerti, kesantunan berbahasa, kecekalan
hati, keindahan seni dan kebenaran, dan seterusnya menghargai
kehidupan dan nilai kemanusiaan. Oleh itu, keistimewaan unsur atau
komponen kesusasteraan Melayu dan manfaat daripada penggunaannya
dalam pendidikan Bahasa Melayu KBSM tidak dapat diragukan lagi.
PenutupSebagai kesimpulannya, pengajaran kesusasteraan Melayu
dalam subjek Bahasa Melayu penting dalam pembinaan manusia yang
seimbang, matang, prihatin, dan beretika tinggi. Pelajaran
kesusasteraan Melayu atau komsas ini penting kepada pelajar, bukan
setakat menghafal cerita, malah karya komsas yang disenaraikan
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kaya dengan khazanah ilmu,
nilai, budaya, pengalaman, etik dan pelbagai lagi. Bahkan, didapati
di dalamnya terangkum dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak ada
akhirnya yang sekali gus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu
bangsa, termasuk budaya dan evolusi masyarakatnya. Dengan demikian
tidaklah lagi timbul masalah atau perkara yang mengelirukan guru
dan pelajar kerana hakikatnya, pengajaran dan pembelajaran komsas
dapat memperlengkap pengetahuan dan persediaan untuk mengajar dan
belajar subjek Bahasa Melayu dengan yakin.
Bibliografi
Abd. Rahman Hanafiah, 1990. Kesusasteraan dalam Pembelajaran
Bahasa dan Kesusasteraan Sebagai Mata Pelajaran: satu Perbandingan.
Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan
Kesusasteraan dalam Pendidikan Bahasa Malaysia pada 6 dan 7
Oktober, anjuran Peserta Kursus 14 Minggu, IBKL.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 1997. Penggunaan Bahan Sastera
dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Disertasi untuk
ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Moden, Universiti Malaya.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2003. Teori Bahasa: Implikasinya
Terhadap Pengajaran Tatabahasa. Tg.Malim: Penerbit Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005a. Citra Komsas. Tg.Malim:
Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005b. Stilistik Komsas. Tg.
Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005c. Pengajaran Gaya Bahasa
dalam Bahasa Melayu. Jurnal Pengajian Melayu. Kuala Lumpur: Akademi
Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Komsas dan Tatabahasa
Melayu Teras Pegangan Guru. Kuala Lumpur : Icon Region Sdn Bhd.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Komsas Pegangan Teras
Keterampilan. Kuala Lumpur : Icon Region Sdn Bhd.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Pendekatan Pembelajaran
Kontekstual dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.
Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Jilid 3. Tanjong Malim : Jabatan
Bahasa Melayu, UPSI.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir dan Nik Rubiah Nik Mustapha,
2007. Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa
Melayu. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Jilid 3. Tanjong Malim :
Jabatan Bahasa Melayu, UPSI.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir dan Abdul Hamid Mahmood, 2007.
Kemahiran Belajar Cara Belajar. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu
Jilid 3. Tanjong Malim : Jabatan Bahasa Melayu, UPSI