Top Banner
KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Negara Brunei Darussalam [email protected] Abstrak Persoalan halal haramnya sesuatu makanan itu adalah sama pentingnya seperti perkara-perkara dan masalah-masalah keagamaan yang lain. Walau bagaimanapun, masih ada lagi sebahagian daripada masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam yang kurang peka dan prihatin terhadap isu makanan halal ini. Senario ini boleh menjejaskan nama baik negara yang terkenal dengan falsafah MIB dan konsep Negara Zikir. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji konsep makanan halal dalam Islam, mengkaji pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam dan mengenal pasti keprihatinan masyarakat Islam terhadap makanan halal di Negara Brunei Darussalam. Kaedah tinjauan telah digunakan sebagai metod kajian. 380 responden dari bangsa melayu yang beragama Islam di daerah Brunei dan Muara telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Data dikumpul menggunakan soal selidik. Data-data yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian SPSS Windows 16.0. Kajian mendapati agama Islam mengarahkan supaya manusia memakan makanan yang halal dan baik yang telah disediakan oleh Allah Subḥānahu Wata c ālā di darat mahupun di laut. Sesuatu yang boleh dimakan itu adalah halal selama mana tidak terdapat nas-nas yang membuktikan pengharamannya. Di samping, makanan halal ini terbukti mempunyai kelebihan dan keberkatannya yang tersendiri. Begitu juga sebaliknya. Kajian juga mendapati pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berusaha sebaik mungkin dalam menjaga kehalalan makanan di negara ini. Industri makanan halal semakin berkembang maju dengan penguatkuasaan Akta Daging Halal 1998, Akta Kesihatan Awam (Makanan) 1998 serta Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dan perlaksanaan projek Jenama Brunei Halal. Akhir sekali, kajian mendapati secara keseluruhan keprihatinan masyarakat Islam terhadap makanan halal di Negara Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi, namun masih ada beberapa sudut yang perlu diperbaiki dan diberi penekanan. Apabila segala usaha dan pendekatan dipertingkatkan, sudah tentu masyarakat akan lebih faham berkaitan dengan konsep makanan halal dan seterusnya akan menambah keprihatinan, kepekaan serta keyakinan dalam kalangan masyarakat.
16

KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

May 09, 2023

Download

Documents

Welcome message from author
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
Page 1: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL

DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa

Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

Negara Brunei Darussalam

[email protected]

Abstrak

Persoalan halal haramnya sesuatu makanan itu adalah sama pentingnya seperti perkara-perkara dan

masalah-masalah keagamaan yang lain. Walau bagaimanapun, masih ada lagi sebahagian daripada

masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam yang kurang peka dan prihatin terhadap isu makanan

halal ini. Senario ini boleh menjejaskan nama baik negara yang terkenal dengan falsafah MIB dan

konsep Negara Zikir. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji konsep makanan halal dalam

Islam, mengkaji pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam dan mengenal pasti

keprihatinan masyarakat Islam terhadap makanan halal di Negara Brunei Darussalam. Kaedah

tinjauan telah digunakan sebagai metod kajian. 380 responden dari bangsa melayu yang beragama

Islam di daerah Brunei dan Muara telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Data dikumpul

menggunakan soal selidik. Data-data yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian SPSS

Windows 16.0. Kajian mendapati agama Islam mengarahkan supaya manusia memakan makanan

yang halal dan baik yang telah disediakan oleh Allah Subḥānahu Watacālā di darat mahupun di laut.

Sesuatu yang boleh dimakan itu adalah halal selama mana tidak terdapat nas-nas yang membuktikan

pengharamannya. Di samping, makanan halal ini terbukti mempunyai kelebihan dan keberkatannya

yang tersendiri. Begitu juga sebaliknya. Kajian juga mendapati pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang

Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah

berusaha sebaik mungkin dalam menjaga kehalalan makanan di negara ini. Industri makanan halal

semakin berkembang maju dengan penguatkuasaan Akta Daging Halal 1998, Akta Kesihatan Awam

(Makanan) 1998 serta Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dan perlaksanaan projek Jenama

Brunei Halal. Akhir sekali, kajian mendapati secara keseluruhan keprihatinan masyarakat Islam

terhadap makanan halal di Negara Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi, namun masih

ada beberapa sudut yang perlu diperbaiki dan diberi penekanan. Apabila segala usaha dan pendekatan

dipertingkatkan, sudah tentu masyarakat akan lebih faham berkaitan dengan konsep makanan halal

dan seterusnya akan menambah keprihatinan, kepekaan serta keyakinan dalam kalangan masyarakat.

Page 2: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

PENDAHULUAN

Persoalan halal haramnya sesuatu makanan itu adalah sama pentingnya seperti perkara-perkara dan

masalah-masalah keagamaan yang lain. Sesungguhnya yang halal itu menyihatkan dan yang haram itu

memudaratkan. Justeru itu, wajib bagi kita untuk menjaga diri kita, keluarga kita mahu pun

masyarakat kita daripada makanan yang mengandungi keraguan atau syubhah (al-Qarḍāwī 2009: 28-

29).

Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang kecil, aman damai dan kaya

dengan khazanah yang tersendiri. Ia terletak di sebelah utara Pulau Borneo dan diapit oleh Sabah,

Sarawak dan Kalimantan. Rakyatnya hidup dalam keadaan yang permai lagi sentosa di bawah

pimpinan Sultan yang adil lagi bijaksana. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama

Islam sebagai agama rasmi. Dengan adanya komponen keislaman yang telah sebati dengan asam

garam kehidupan di Negara Brunei Darussalam, maka adalah wajib bagi masyarakat Islam di Negara

Brunei Darussalam untuk menjaga elemen keperibadian Islam tersebut. Ini termasuklah dari segi

pemakanan (Abdul Aziz Umar 2001: 25-26).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga tidak

ketinggalan untuk membicarakan isu halal haram makanan dalam titah Baginda sempena ulang tahun

Hari Keputeraan Baginda yang ke-51 tahun pada 15 Julai 1997. Titah itu berbunyi:

Maka di akhir-akhir ini, timbul pula kekhuatiran terhadap makanan dan minuman serta

barang-barang gunaan yang dikhuatiri bercampur dengan bahan-bahan yang haram,

termasuklah kekhuatiran khusus mengenai dengan daging-daging import yang sedang

beredar di pasaran pada masa ini. Dalam konteks ini, sudah tiba masanya bagi pihak-pihak

berkenaan dalam kerajaan untuk mengkaji kemungkinan bagi mengadakan satu badan atau

seumpamanya selaku pihak yang mengawal halal haram bahan-bahan makanan dan,

termasuk segala jenis daging serta lain-lain bahan gunaan di negara ini. Kewajipan ini

menjadi prioriti, kerana kedudukan kita selaku sebuah negara Islam adalah wajib memelihara

agama dan ibadat rakyat serta penduduk yang berada di dalamnya.

Negara Brunei Darussalam amat menitikberatkan berkaitan dengan isu makanan halal ini.

Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) telah ditubuhkan demi menyahut titah Kebawah Duli

Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang

telah disampaikan pada 15 Julai 1997. Seiring dengan penguatkuasaan Akta Daging Halal 1998, Akta

Kesihatan Awam (Makanan) 1998 dan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005, BKMH

bertanggungjawab mengawal dan menangani segala pemakanan halal di negara ini khususnya daging

mentah sama ada tempatan ataupun import (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Bahagian Kawalan

Makanan Halal).

Bagi mencapai matlamat meneroka pasaran eksport, Kementerian Perindustrian dan Sumber-

Sumber Utama dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Majlis

Ugama Islam Brunei (MUIB) telah memperkenalkan projek Jenama Brunei Halal. Antara objektif

projek Jenama Brunei Halal ini ialah menunaikan kewajiban fardu kifayah iaitu kewajipan untuk

memudahkan pembekalan makanan bagi umat Islam di seluruh dunia, mempelbagaikan ekonomi

negara dan sebagai platform bagi memajukan produk tempatan (Jabatan Pertanian 2009: 11-12).

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama (2010: 4), Rancangan Strategik Kementerian Hal

Ehwal Ugama 2010-2014 telah dilancarkan dan antara bidang fokus strategiknya ialah bidang

pemakanan halal. Objektif bidang pemakanan halal itu pula ialah:

1) Mempertingkatkan usaha mengawal dan memastikan pemakanan dan barang-barang gunaan

yang dikeluarkan dan dipasarkan dalam negeri adalah halal dan suci.

2) Meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan halal dan haram dalam pemakanan dan

barang gunaan terhadap ibadat.

3) Menjadikan pensijilan halal dihayati sepenuhnya di Negara Brunei Darussalam dan diiktiraf

di peringkat antarabangsa.

Page 3: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam amat menitikberatkan berkaitan dengan

pentadbiran makanan halal. Walau bagaimanapun, sejauhmanakah masyarakat Islam di Negara Brunei

Darussalam mengambil berat berkaitan dengan makanan halal ini?

Khutbah Jumaat di Negara Brunei Darussalam yang juga berperanan sebagai ‘lidah kerajaan’,

pada 2 April 2010 yang lalu telah menjelaskan bahawa walaupun pihak kerajaan telah membuat

inisiatif memastikan produk-produk makanan yang dijual kepada masyarakat Islam adalah halal dan

bersih, memantau kemasukan bekalan ayam dan daging dari luar negara, menanda tempat-tempat

makan yang bukan tempat makan orang Islam dan sebagainya. Tetapi masih juga terdapat segelintir

masyarakat Islam di negara ini yang menyeludup bekalan ayam dan daging yang diragui

kehalalannya, menyeludup arak dan ada juga yang sengaja makan di tempat-tempat makan yang

bertanda ‘Bukan makanan untuk orang-orang Islam’ (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2010:

Kepentingan Makanan Halal). Sebelum itu, pada 12 Februari 2010, khutbah Jumaat telah menyatakan

bahawa statistik Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada tahun 2009 pula menunjukkan daripada

sejumlah 385 kes penyeludupan arak yang dicatatkan, seramai 167 orang pesalah adalah beragama

Islam (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2010: Pengharaman Arak).

Selain itu, sejak mula Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dikuatkuasakan, hanya 29

buah syarikat produk makanan tempatan dan 36 buah restoran telah mendapatkan Sijil Halal, Permit

Halal dan Label Halal, berdasarkan statistik BKMH dari Januari 2011 hingga April 2012. Terdapat

lebih 1,500 syarikat produk makanan tempatan dan restoran di seluruh negara, tetapi setakat ini yang

memohon dan diluluskan belum pun mencapai lima peratus. Perkara ini tentulah agak

mendukacitakan, walaupun beberapa usaha telah dijalankan di keempat-empat daerah di seluruh

negara seperti jerayawara yang menyeluruh, penerangan-penerangan melalui media massa mahupun

khutbah Jumaat. Pegawai-pegawai yang berkenaan juga telah memberikan tunjuk ajar berkaitan

dengan prosedur-prosedur dalam menghadapkan permohonan tetapi sambutannya masih kurang

menggalakkan (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: MUIB Keluarkan Sijil, Permit Halal).

Apa yang lebih mendukacitakan lagi, hanya dua buah restoran hotel di negara ini yang telah

mendapat Sijil Halal iaitu Jeruton Hotel Sdn. Bhd. yang terletak di Jerudong dan Riviera Cafe &

Restaurant yang terletak di Kuala Belait. Restoran-restoran hotel yang lain nampaknya seolah-olah

tidak berminat untuk memberikan kerjasama mereka kepada pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang

Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam

sama-sama melaksanakan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005. Restoran-restoran hotel selalunya

menjadi tumpuan para pelancong dan biasanya digunakan oleh agensi-agensi Kerajaan Kebawah Duli

Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi

mengadakan persidangan, mesyuarat, seminar, jamuan rasmi serta menjadi tempat penginapan tetamu

kerajaan dari luar negara. Oleh itu, restoran-restoran hotel secara tidak langsung selayaknya patut

menjadi contoh serta pelopor dalam menunaikan tanggungjawab bagi mendapatkan Sijil Halal bagi

restoran masing-masing.

Berdasarkan maklumat ini, nampaknya masih ada lagi sebahagian daripada masyarakat Islam

di Negara Brunei Darussalam yang kurang peka dan prihatin terhadap isu makanan halal ini. Konsep

makanan halal masih tidak disemai sepenuhnya seperti belum memahami sepenuhnya istilah halal

atau hanya mengetahui istilah halal semata-mata tanpa menitikberatkan soal kebersihan ataupun

memilih makanan sesuka hati dengan melihat kelazatannya semata-mata tanpa melihat isi

kandungannya atau ingredients.

Senario ini juga secara tidak langsung dilihat boleh menjejaskan nama baik negara yang

terkenal dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB). Negara Brunei Darussalam memerlukan bangsa

Melayu dan sistem pemerintahan Beraja yang sentiasa melaksanakan ajaran agama Islam yang syumul

dan taat kepada Allah Subḥānahu Watacālā. Konsep MIB yang menjadi falsafah Negara Brunei

Darussalam ini bukan sahaja untuk mempertahankan identiti, malah sebagai inti kehidupan

masyarakat di Negara Brunei Darussalam. Yang paling penting, komponen Islam yang terkandung di

dalamnya hendaklah menjadi ideologi sebagai penentu dan rujukan bagi setiap tindakan (Hashim

Abdul Hamid 2003: 183-186).

Di samping itu, ia juga boleh menjejaskan konsep Negara Zikir yang baru diperkenalkan oleh

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin

Waddaulah. Konsep Negara Zikir merupakan satu pendekatan yang ingin membawa masyarakat Islam

di Negara Brunei Darussalam agar berpegang teguh dengan ajaran Islam, sentiasa taat kepada Allah

Page 4: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Subḥānahu Watacālā dan menjauhi larangan-Nya. Falsafah MIB dan konsep Negara Zikir hendaklah

dikekalkan untuk mencapai sebuah negara Islam yang sebenar dan dominan dalam semua aspek

(Ummi Faizah Abdul Rahman 2011: 75)

KONSEP MAKANAN HALAL DALAM ISLAM

Dari sudut kacamata Islam pula, Allah Subḥānahu Watacālā telah menjadikan dengan iradah-Nya

bahawa setiap manusia mempunyai naluri untuk makan (Aḥmad cAṭā t.th.: 127). Islam mengarahkan

supaya manusia memakan makanan yang halal dan baik yang telah disediakan oleh Allah Subḥānahu

Watacālā di darat mahupun di laut (Tabbārah t.th.: 419-420).

Sebagaimana firman Allah Subḥānahu Watacālā:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal)

yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya

beribadat kepada-Nya (al-Baqarah 2:172).

Kepentingan memilih makanan yang halal lagi bersih sangat dititikberatkan dalam Islam.

Makanan yang haram sudah pasti akan mendatangkan azab kepada sesiapa yang memakannya (al-

Zuḥaylī 1989: 505-507).

Sebagaimana ḥadīth Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam:

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abī Hurayrah, Rasullullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam bersabda:

Akan datang kepada manusia suatu zaman bahawa seseorang itu tidak peduli apa yang diambilnya,

adakah yang diambilnya itu daripada yang halal atau yang diambilnya itu dari yang haram. Razīn

menambah: Jikalau demikian tiadalah dimakbulkan (diterima) permohonan (doa) mereka (al-Bukhārī

t.th.: 2059).

Secara umumnya, sesuatu yang boleh dimakan itu adalah halal selama mana tidak terdapat

nas-nas sama ada dari al-Qur’ān, ḥadīth Rasullullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam, ijmā

c ataupun qiyās

yang membuktikan pengharamannya (Pusat Da’wah Islamiah 2006: 3). Agama Islam juga telah

memberikan prinsip panduan yang jelas berhubung dengan makanan yang haram dimakan. Antara

faktor yang boleh menyebabkan berlakunya hukum pengharaman tersebut ialah kebiasaan dan cara

hidup masyarakat Arab, terdapat kemudaratan padanya mahupun makanan yang bukan hak miliknya

(al-Zuḥaylī 1989: 505-507).

Kebiasaan dan cara hidup masyarakat Arab sejak dari zaman Rasullullah Ṣallallahu cAlaihi

Wasallam lagi turut dinilai sebagai salah satu kaedah dalam mengukur maksud antara bersih dan

kotor. Sesuatu makanan itu dianggap sebagai haram jika ia kotor atau menjijikkan pada selera

masyarakat Arab. Biasanya ia dikaitkan dengan makanan dari jenis binatang. Sesungguhnya,

kebersihan adalah salah satu daripada cabang keimanan dan segala yang kotor itu adalah diharamkan

(al-Aṣfahānī 1993: 342-343).

Page 5: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Sebagaimana firman Allah Subḥānahu Watacālā:

Maksudnya: Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada

mereka segala yang buruk (al-Acrāf 7:157).

Selain itu, semua jenis makanan yang diketahui akan memudaratkan seperti mengandungi

racun, bisa atau kuman adalah dilarang untuk kita memakannya. Begitu juga dengan arak, ia

diharamkan kerana kemudaratannya yang boleh menghilangkan kewarasan akal walaupun sekejap

apabila meminumnya (al-Shayrāzī 2001: 875-880).

Sebagaimana firman Allah Subḥānahu Watacālā:

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah (makanan) Yang dihalalkan

bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu (memakan) lazat-lazat serta baik-

baik (al-Mā’idah 5:4).

Di samping itu juga, pemilikan yang sah dan sempurna ke atas setiap makanan dan minuman

hendaklah dititikberatkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Agama Islam melarang keras perbuatan

mengambil benda yang haram sumbernya dan menegaskan seseorang yang beriman dan beramal soleh

akan hanya mengambil makanan yang benar-benar miliknya sahaja (al-Zuḥaylī 1409H/1989M: 505-

507).

Sebagaimana firman Allah Subḥānahu Watacālā:

Maksudnya: Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi

baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman (al-Mā’idah 5:88).

Dalam hal yang berkaitan, janganlah pula kita terlepas pandang terhadap makanan yang

dianggap syubhah. Islam telah memberi peringatan kepada setiap Muslim supaya meninggalkan

perkara-perkara yang syubhah ini, agar tidak terjerumus kemudiannya kepada perkara-perkara yang

ternyata haramnya. Oleh yang demikian, sesiapa yang berusaha menjauhkan diri daripada syubhah,

dia telah menyelamatkan agamanya, kritikan dan dirinya daripada azab api neraka (al-Qarḍāwī 2009:

20-21).

Sebagaimana ḥadīth Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam:

Maksudnya: Diriwayatkan daripada al-Nucmān ibn Bashīr, katanya: Aku telah mendengar Rasulullah

Ṣallallahu cAlaihi Wasallam: - al-Nu

cmān berkata sambil menghulurkan kedua–dua jari tangannya ke

telinganya (sebagai isyarat bahawa dia benar-benar mendengarnya secara langsung daripada

Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam): Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan

sesungguhnya perkara yang haram jelas. Dan antara keduanya ada perkara-perkara syubhah, yang

diragukan, di mana ramai yang tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa yang menjaga diri daripada

perkara syubhah, sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya. Dan

barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara syubhah, sesungguhnya dia telah terjatuh ke dalam

Page 6: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

perkata haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan,

dikhuatiri dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah, sesungguhnya setiap raja ada

sempadan, dan sesungguhnya sempadan itu ialah perkara-perkara yang diharamkan. Ketahuilah,

sesungguhnya dalam setiap jasad itu ada seketul daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan

jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, sesungguhnya ia adalah hati (Muslim 2006:

4070).

PENTADBIRAN MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Agama Islam telah diberi kedudukan yang istimewa dalam pentadbiran dan hala tuju negara.

Perlembagaan Brunei 1959 telah memperuntukkan bahawa agama rasmi bagi Brunei adalah agama

Islam dan ketua ugama negara adalah Sultan (Jabatan Perdana Menteri 2008: 48). Tafsiran agama

Islam bermaksud agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shāficī (Jabatan

Perdana Menteri 2008: 40).

Wawasan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam yang merdeka lagi

berdaulat dengan jelasnya terkandung dalam titah pemasyhuran kemerdekaan oleh Kebawah Duli

Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah

semasa Permasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984. Titah itu

berbunyi:

Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin dan limpah kurnia Allah Subḥānahu Watacālā,

akan selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka,

berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahli

Sunnah Wal Jamaah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan, dan dengan

petunjuk serta keredhaan Allah Subḥānahu Watacālā jua akan sentiasa berusaha pada

memperolehi ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan bagi rakyat Beta,

dan demikian juga pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atau

dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan

(kukuh) wilayah bagi semua negara yang bebas dan campur tangan dari luar negeri.

Sejarah pentadbiran makanan halal yang sistematik di Negara Brunei Darussalam bermula

apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Mu’izzaddin Waddaulah telah bertitah mengenai usaha untuk menubuhkan sebuah badan yang

bertanggungjawab ke atas kawalan makanan halal di Negara Brunei Darussalam. Titah sempena Hari

Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-51 tahun, pada 15 Julai 1997, itu berbunyi:

Dalam konteks ini, sudah tiba masanya bagi pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan untuk

mengkaji kemungkinan bagi mengadakan satu badan atau seumpamanya selaku pihak yang

mengawal halal haram bahan-bahan makanan dan, termasuk segala jenis daging serta lain-

lain bahan gunaan di negara ini. Kewajipan ini menjadi prioriti, kerana kedudukan kita selaku

sebuah negara Islam adalah wajib memelihara agama dan ibadat rakyat serta penduduk yang

berada di dalamnya.

Demi menyahut titah Baginda itu, sebuah badan yang dikenali sebagai Badan Pengeluar

Permit Import Daging Halal Negara Brunei Darussalam telah ditubuhkan pada 13 Oktober 1997.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama (2011: Garis Panduan Kawalan Makanan Halal),

antara tugas-tugas yang telah ditetapkan ialah:

1) Mengeluarkan permit import kepada pengimport-pengimport berkenaan yang berhajat untuk

membawa masuk daging-daging halal ke negara ini.

2) Meluluskan setiap permohonan yang dihadapkan kepada badan ini dengan segera, dengan

syarat pengimport-pengimport berkenaan memenuhi peraturan-peraturan dan ketetapan-

ketetapan yang telah ditentukan.

Page 7: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

3) Membatalkan dan menarik balik permit yang telah dikeluarkan itu jika pengimport-

pengimport yang berkenaan didapati melanggar ketetapan yang telah ditentukan.

Sejak Badan Pengeluar Permit Import Daging Halal ini ditubuhkan oleh pihak kerajaan, ia

telah mengambil langkah yang sewajarnya dengan membuat pemeriksaan ke atas pusat-pusat

penyembelihan, restoran-restoran, hotel-hotel, gedung-gedung perniagaan mahupun kedai-kedai runcit

bersama dengan agensi-agensi yang berkenaan. Langkah ini telah banyak mendapat penghargaan

daripada orang ramai terutama sekali daripada umat Islam yang mempunyai kesedaran beragama dan

ingin sentiasa memelihara ibadah dan kesucian agama Islam. Kemudian, pada 26 September 1998,

ditubuhkan pula satu lembaga yang dikenali sebagai Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal

(Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Garis Panduan Kawalan Makanan Halal).

Pada 17 April 1999, Akta Daging Halal 1998 telah dikuatkuasakan. Akta ini bertujuan untuk

mengawal kemasukan daging halal ke negara ini termasuk pusat-pusat penyembelihan dalam negera

ini sendiri. Apabila akta ini dikuatkuasakan, ia dapat dijalankan dengan baik dan sempurna. Negara

Brunei Darussalam telah mendapat pujian di atas ketegasan dan ketelitiannya dalam menjalankan

hukum syarak serta aturan yang ditetapkan dalam akta berkenaan. Beberapa syarikat dari luar negara

juga telah berminat untuk mendapatkan pengesahan halal bagi pusat-pusat penyembelihan mereka.

Antaranya, syarikat-syarikat dari Arab Saudi, Australia, India, Indonesia dan Malaysia (Kementerian

Hal Ehwal Ugama 2011: Garis Panduan Kawalan Makanan Halal).

Sejajar dengan penguatkuasaan ini juga, Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal ini

telah ditempatkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama berdasarkan

surat Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Bil: SCRWO/23/59 bertarikh 27

Januari 2000 (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Sejarah Penubuhan Bahagian Kawalan Makanan

Halal Negara Brunei Darussalam).

Seterusnya, pada 15 Julai 2000, sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan yang ke-54 tahun,

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin

Waddaulah telah bertitah mengenai kepentingan kawalan makanan halal. Titah itu berbunyi:

Di samping itu, peranan negara yang tersendiri dalam bidang ekonomi serantau dan

antarabangsa akan semakin menyerlah apabila kita mempunyai kemampuan untuk menjadi

pengeluar barangan dari makanan halal. Pada tahun lalu, kita sudah pun mengadakan akta

yang berkaitan dengannya, bagi menjamin bahawa perbekalan daging dan ayam adalah

benar-benar halal menurut hukum syarak. Beta berharap, langkah ini bukan saja terhad

kepada dua jenis barangan yang disebutkan itu, malahan juga termasuk makanan-makanan

yang sudah diproses. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ajaran-ajaran Islam menjadi

cara hidup, maka kita akan terus bergerak menjalankan ajaran-ajaran yang indah itu dalam

kehidupan kita.

Demi menyahut titah Baginda tersebut, pada 22 Januari 2001, nama Lembaga Mengeluarkan

Permit Import Halal telah diubah menjadi Bahagian Halal Haram, Jabatan Hal Ehwal Syariah,

Kementerian Hal Ehwal Ugama. Bahagian Halal Haram ini telah dikemaskinikan lagi pada 13 Julai

2006 dan dikenali sebagai Bahagian Kawalan Makanan Halal. Selain itu, Akta Kesihatan Awam

(Makanan) 1998 telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2001. Begitu juga dengan Perintah Sijil Halal

dan Label Halal 2005 yang telah dikuatkuasakan pada tahun 1 Ogos 2008. Akta dan perintah ini

secara tidak langsung merupakan satu usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri

Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kehalalan makanan

di negara ini (Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Bahagian Kawalan Makanan Halal).

Bahagian Kawalan Makanan Halal

Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) merupakan sebuah organisasi berwibawa yang mengawal

pemakanan halal di Negara Brunei Darussalam pada masa ini. Bahagian ini ditempatkan di bawah

Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan terletak di Bandar Seri Begawan

(Kementerian Hal Ehwal Ugama 2011: Bahagian Kawalan Makanan Halal).

Page 8: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Menurut Pusat Da’wah Islamiah (2006: 19-20), antara skop tugasan dan tanggungjawab

BKMH ini ialah:

1) Menguatkuasakan Akta Daging Halal 1998.

2) Menguatkuasakan Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005.

3) Mengawal kemasukan daging-daging yang akan dipasarkan di negara ini dan memastikan

ianya bersumberkan dari pusat-pusat penyembelihan yang diiktiraf halal oleh MUIB.

4) Mengawasi dan memerhatikan perjalanan operasi pusat-pusat penyembelihan yang telah

diberi sijil penyembelihan halal oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah.

5) Membantu Kementerian Kesihatan dalam menguatkuasakan Akta Kesihatan Awam

(Makanan) 1998. Bahagian ini bertanggungjawab ke atas pengesahan kehalalan sesuatu

makanan dan penggunaan perkataan ‘halal’ atau ungkapan yang sama maknanya.

Dalam hal ini, BKMH bersama agensi-agensi yang berkaitan mempunyai tanggungjawab

yang berat dalam mengawal dan menangani segala pemakanan halal di negara ini. Usaha pihak

kerajaan ini memerlukan kerjasama semua pihak pemilik ataupun pengurus pusat-pusat

penyembelihan, restoran-restoran, hotel-hotel, gedung-gedung perniagaan mahupun kedai-kedai runcit

bagi memastikan semua makanan yang dihidangkan dan dijual adalah halal, tidak diragui

kehalalannya ataupun mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Pihak-pihak yang berkenaan perlulah

memahami dan mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam akta dan perintah yang telah

dikuatkuasakan dalam mendapatkan pengiktirafan pusat penyembelihan binatang untuk diimport ke

Negara Brunei Darussalam, Sijil Penyembelihan, Lesen Membekal Daging Halal, Sijil Halal, Permit

Halal dan Label Halal.

Jenama Brunei Halal

Jenama Brunei Halal merupakan satu projek utama kerajaan yang dilaksanakan oleh Kementerian

Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian

Hal Ehwal Ugama dan MUIB. Projek Jenama Brunei Halal ini akan memperkenalkan Negara Brunei

Darussalam ke pasaran antarabangsa, menarik pelaburan asing ke Negara Brunei Darussalam dan

memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan (Jabatan Pertanian 2009: 11-12).

Antara objektif projek ini ialah menunaikan kewajipan fardu Kifayah. Ia bermaksud

kewajipan untuk memudahkan umat Islam mendapatkan produk-produk halal. Di samping itu, ia juga

bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan sebagai platform bagi memajukan produk

tempatan. Dalam projek ini, Negara Brunei Darussalam bukan hanya mengiktiraf produk yang

dihasilkan di negara ini, malah juga akan mengiktiraf halal bagi produk-produk daripada luar negara

yang menepati kualiti yang telah ditetapkan dalam piawaian Jenama Brunei Halal. Melalui inisiatif

ini, Negara Brunei Darussalam akan meningkatkan pendapatan melalui bayaran pendaftaran dan

royalty (Jabatan Pertanian 2009: 12).

Pembangunan Jenama Brunei Halal yang diusahakan ini diharap berupaya mendukung

pencapaian sasaran jangkamasa sederhana pengeluaran produk proses tanaman dan ternakan, iaitu

B$340 juta pada tahun 2013. Status pencapaian projek ini pada setakat ini ialah pembentukan sebuah

label halal baru, mengeluarkan produk-produk Jenama Brunei Halal dan melantik pakar-pakar

perunding untuk melaksanakan program-program membina laman web serta penetapan bayaran

pendaftaran dan royalty. Al-Ghanim International Food Corporation Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai

agen pemasaran Jenama Brunei Halal sementara Fusan Enterprise Sdn. Bhd. dan National Trades

Union Congress (NTUC) Fairprice Co-Operative Ltd. telah dilantik sebagai agen pengeluar produk.

Selain itu, beberapa dokumen juga telah diterbitkan bagi mendukung pelaksanaan projek Jenama

Brunei Halal. Antaranya ialah Standard Makanan Halal Negara Brunei Darussalam, Garis Panduan

bagi Pensijilan Halal, Garis Panduan untuk Audit Pematuhan, Garis Panduan untuk Pensijilan

Juruaudit Pematuhan Halal, Garis Panduan untuk Audit pemantauan Halal dan Garis Panduan

Pengilangan dan Pengendalian Produk-Produk Ubat, Ubat Traditional dan Tambahan Kesihatan Halal

Page 9: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Brunei Darussalam (Brunei Halal 2010: Why Choose Brunei Halal Brand). Di samping itu, tiga projek

sokongan juga sedang dijalankan iaitu Pusat Sains Halal, Taman Agro teknologi Brunei dan

Pembesaran Pulau Muara Besar (Jabatan Pertanian t.th.).

Pengharaman Arak

Pengharaman terhadap arak atau minuman keras bagi Negara Brunei Darussalam juga berlaku secara

berperingkat-peringkat. Peringkat pertama, pengharaman daripada Syarikat Penerbangan Diraja

Brunei atau Royal Brunei Airlines (RBA) yang tidak lagi menghidangkan arak dalam sebarang

penerbangannya berkuatkuasa mulai 30 November 1988. Peringkat kedua, pengharaman daripada

kelab-kelab Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkuatkuasa mulai 31 Julai 1990. Peringkat

terakhir, pengharaman secara menyeluruh iaitu menegah kemasukan arak ke Negara Brunei

Darussalam yang berkuatkuasa mulai 1 Disember 1991. Semua permit untuk kemasukan segala jenis

arak yang dikeluarkan sebelum tarikh tersebut adalah dibatalkan dengan serta-merta. Sementara itu,

arak yang sudah dimasukkan atau dibuat dalam negara ini adalah dimansuhkan pada 1 Januari 1991

(Abdul Aziz Juned 1992: 168).

Langkah tegas ini juga diambil berikutan semakin ramainya umat Islam daripada pelbagai

peringkat termasuk kanak-kanak sekolah dan belia-belia terlibat meminum minuman keras. Pihak

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara

Brunei Darussalam hanya membenarkan kemasukan arak bagi kegunaan persendirian orang-orang

bukan Islam. Itupun hanya terhad dalam jumlah yang ditetapkan. Hukuman denda dan penjara boleh

dikenakan ke atas mana-mana orang Islam yang sabit bersalah meminum minuman keras di tempat

awam. Langkah tegas melarang kemasukan segala jenis minuman keras ke Negara Brunei Darussalam

ini mencerminkan kesungguhan kerajaan menyelaraskan nilai dan kehendak hukum Islam yang

berkonsepkan MIB. Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga boleh memastikan segala macam pintu

maksiat ditutup seberapa yang boleh (Pusat Da’wah Islamiah 2011: 37-39).

Pada 22 Mac 2010, dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, berlaku percubaan untuk

membuka ruang kemasukan arak ke Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, Yang

Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin

Haji Serudin menolak dengan tegas cadangan supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk

pelancong bukan Islam di Negara Brunei Darussalam. Beliau berkata:

Selepas itu mungkin akan timbul yang kedua, mengadakan night-night club, mengadakan

cabaret. Selepas itu, timbul nanti ada zon pelacuran dan selepas itu kasino. Semua ini

membawa kerosakan kepada Negara Brunei Darussalam. Yang paling ditakuti ialah

kemurkaan Allah. Kerana maksiat yang berlaku itu mendatangkan kemurkaan Allah.

Kemurkaan Allah bukan sahaja pelakunya yang menerima, bahkan orang lain pun akan

terkena. Eloklah kita kekalkan Brunei Darussalam yang aman sejahtera.

Sepanjang pengharaman minuman keras masuk ke Negara Brunei Darussalam, banyak

percubaan untuk menyeludup masuk minuman tegahan ini tetapi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang

Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Pasukan Polis Diraja Brunei berjaya menghalang sebarang

penyeludupan minuman keras. Kesedaran orang ramai memberikan maklumat berkaitan dengan

sebarang penyeludupan ini juga banyak membantu pencegahan ini (Ahmad Abdussalam Abdul

Rahman 2010:75).

Langkah Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam mengharamkan penjualan, pengedaran

dan sebagainya yang berkaitan dengan arak merupakan satu langkah yang bijak. Di samping

menjalankan hukum yang terdapat dalam al-Qur’ān, ianya juga sebagai langkah untuk menutup segala

ruang untuk terjadinya perkara maksiat yang lain. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri

Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah juga pernah membicarakan berkaitan

dengan pengharaman arak ini dalam titah baginda sempena Sambutan Nuzul al-Quran 1416H/1996

pada 7 Februari 1996. Titah itu berbunyi:

Page 10: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Kalau dahulu arak pernah beredar di negara kita, di daratan mahupun di udara, sekarang

Alhamdulillah, arak sudah menjadi barang terlarang dan haram di negara yang kecil mongel

ini. Namun dalam pada itu pun, Penerbangan RBA masih sahaja tetap laku, dan semua

kalangan dan peringkat.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian yang menggunakan kaedah tinjauan atau survey research telah dijalankan dari Januari 2011

hingga Disember 2011 dan menumpukan kepada keprihatinan masyarakat Islam di Negara Brunei

Darussalam terhadap makanan halal. Soal selidik telah diedarkan sebagai instrumen kajian. Ia

melibatkan wakil setiap rumah dari bangsa Melayu yang beragama Islam di daerah Brunei dan Muara

sahaja sebagai populasi dan sampel kajian. Ini kerana majoriti penduduk Negara Brunei Darussalam

adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Manakala daerah Brunei dan Muara pula merupakan

pusat pentadbiran kerajaan, pusat industri ekonomi negara dan sudah semestinya menjadi pusat

tumpuan segenap lapisan masyarakat. Sampel kajian ditentukan mengikut kaedah persampelan mudah

atau convenience sampling. Seramai 380 orang responden telah dipilih sebagai sampel kajian dengan

menggunakan jadual penentuan saiz sampel Krejce & Morgan.

Soal selidik bagi kajian ini dibina berdasarkan soal selidik yang digunakan oleh pengkaji

terdahulu (Zamzarina et al. 2005: 186-196). Walau bagaimanapun, untuk menyesuaikan dengan kajian

ini, pengkaji telah melakukan sedikit pengubahsuaian serta penyelarasan bahasa sesuai dengan

objektif dan tempat kajian.

Soal selidik meliputi 52 item dan dibahagikan kepada lima bahagian terdiri daripada

bahagian A hingga bahagian E. Item-item Bahagian A bertujuan untuk mengumpul maklumat

berkaitan dengan latar belakang responden yang merangkumi jantina, umur, status perkahwinan, taraf

pendidikan, pekerjaan dan purata pendapatan sebulan. Manakala bahagian B hingga bahagian E

merangkumi item-item yang berkaitan dengan keprihatinan masyarakat Islam terhadap prinsip

makanan halal, keprihatinan masyarakat Islam terhadap kesan makanan halal kepada diri dan

keluarga, keprihatinan masyarakat Islam terhadap pentadbiran makanan halal di Negara Brunei

Darussalam dan keprihatinan masyarakat Islam dalam memilih makanan halal. Respons bahagian B

hingga bahagian E tersebut menggunakan persetujuan dalam bentuk skala Likert 1 hingga 5 iaitu

bermula dari sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju hinggalah kepada sangat setuju.

Data yang telah dikumpulkan melalui soal selidik tersebut dianalisis dengan menggunakan

perisian Statistic Package for Social Science Windows. Kaedah analisis deskriptif digunakan seperti

kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai. Item-item Bahagian A akan menggunakan analisis

kekerapan dan peratusan. Sementara analisis min dan sisihan piawai pula digunakan untuk

menganalisis item-item bahagian B hingga bahagian E. Melalui analisis min, pengkaji

mengkategorikan dan menginterpretasikan nilai min kepada lima tahap iaitu sangat rendah, rendah,

sederhana, tinggi dan sangat tinggi.

DAPATAN KAJIAN

Hasil kajian mendapati responden sangat bersetuju dengan penyataan yang diajukan oleh pengkaji dari

aspek prinsip makanan halal. Hal ini menunjukkan bahawa responden mempunyai kefahaman yang

baik berkaitan dengan prinsip makanan halal. Responden mengetahui bahawa prinsip makanan halal

tidak hanya terhad kepada isi kandungannya sahaja. Makanan halal bukan hanya berfokus kepada

sudut isi kandungannya sahaja, bahkan ia merangkumi skop yang lebih luas. Seperti yang telah

dijelaskan oleh al-Zuḥaylī (1989: 505-507), halal haramnya sesuatu makanan itu boleh dilihat kepada

Page 11: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

beberapa faktor seperti kebiasaan dan cara hidup masyarakat arab, tahap keselamatan makanan

tersebut mahupun status hak milik ke atas makanan tersebut.

Di samping itu, responden juga sangat bersetuju dengan penyataan berkaitan dengan

makanan haram dan syubhah. Ini menunjukkan bahawa tahap kefahaman mengenai perkara tesebut

adalah pada tahap yang sangat tinggi. Ia merupakan satu perkembangan yang sangat baik kerana

responden bersikap sangat optimistik dan positif terhadap setiap penyataan tesebut. Unsur syubhah ini

perlulah diketahui dan diberi perhatian. Seperti yang telah dinyatakan oleh al-Qarḍāwī (2009: 20-21),

kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini, agar tidak terjerumus kemudiannya

kepada perkara-perkara yang ternyata haramnya. Sesiapa yang berusaha menjauhkan diri daripada

syubhah, dia telah menyelamatkan agamanya, kritikan dan dirinya daripada azab api neraka.

Sementara dari aspek kesan makanan halal kepada diri dan keluarga pula, hasil kajian

mendapati responden sangat bersetuju dengan penyataan yang diajukan oleh pengkaji. Hal ini

menunjukkan bahawa responden sangat mengambil berat berkaitan dengan kesan makanan halal

kepada diri dan keluarga masing-masing. Responden sangat bersetuju dengan kepentingan tuntutan

pemakanan halal dalam Islam. Begitu juga dengan pemakanan haram dan syubhah. Responden sangat

bersetuju bahawa amalan pemakanan yang haram dan syubhah memberi impak yang negatif kepada

individu, keluarga serta masyarakat. Seperti yang telah dijelaskan oleh Mohd. Zain Serudin (2002: 6),

makanan yang haram sama ada ia daripada bahan yang dicampur najis ataupun benda bersumberkan

punca yang tidak halal, akan mendatangkan kesan kepada pemakannya. Makanan itu akan

mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga dia lebih gemar membuat kejahatan dan maksiat serta

benci kepada kerja kebajikan dan ketaatan. Sebarang doanya juga tidak akan dimakbulkan oleh Allah

Subḥānahu Watacālā.

Hasil kajian juga menunjukkan responden sangat bersetuju bahawa seseorang individu itu

bertanggungjawab menyediakan makanan halal kepada dirinya mahupun keluarganya sendiri. Selain

itu, sebagaimana maklum balas sebelumnya, responden memberikan pandangan yang sangat positif

terhadap isu-isu lain yang berkaitan dengan kesan pemakanan halal dan haram ke atas diri dan

keluarga. Isu-isu itu merangkumi kesan pemakanan itu terhadap kesihatan fizikal serta mental,

pembentukan akhlak dan perkembangan rohani. Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat Islam harus

sensitif dan peka terhadap kesan setiap makanan yang dinikmati oleh mereka ataupun keluarga

mereka. Makanan yang halal akan mendatangkan berkat sebaliknya makanan yang tidak halal akan

membawa kemudaratan. Ini selari dengan hasil kajian Ruaain Mustari (1994: 1-214) yang menyatakan

bahawa pola pemakanan yang halal, sihat dan bersih haruslah diamalkan untuk mencapai

pembentukan individu muslim yang sihat dan berperibadi mulia.

Bagi aspek pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam pula, hasil kajian

mendapati responden bersetuju dengan penyataan yang diajukan oleh pengkaji. Hal ini menunjukkan

bahawa responden mempunyai pengetahuan yang baik berkaitan dengan perkembangan kawalan

makanan halal di negara ini. Aspek pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam yang

dikemukakan oleh pengkaji meliputi beberapa perkara iaitu prosedur Pensijilan Halal dan Label Halal,

Jenama Brunei Halal, pusat-pusat penyembelihan dalam negara dan luar negara, syarikat-syarikat

produk makanan serta restoran-restoran.

Tidak syak lagi, responden prihatin dengan langkah-langkah kawalan makanan halal yang

telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan

dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Hal ini sekaligus memberi gambaran bahawa

langkah-langkah pihah kerajaan ini dapat diterima oleh masyarakat. Ia selaras dengan hasil kajian

Abdul Tamin Sani (2000: 1-97) yang mendapati kebanyakan orang ramai amat berpuas hati dengan

perlaksanaan undang-undang dan tindakan pihak kerajaan yang mengambil berat berkaitan dengan

penjualan daging dan kemasukan daging ke Negara Brunei Darussalam

Seperti yang telah dijelaskan oleh Aini Yusrina Nayan (2006: 1-150), pihak kerajaan telah

berusaha keras dalam mengawal pemakanan halal di Negara Brunei Darussalam. Sejarah pentadbiran

makanan halal yang sistematik bermula sejak tahun 1997 apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia

Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah bertitah mengenai

usaha untuk menubuhkan sebuah badan yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran makanan halal di

Negara Brunei Darussalam. Pengkaji amat berkeyakinan bahawa sokongan penuh daripada bagindalah

yang memberi sumbangan kepada pentadbiran makanan halal. Ketegasan, keprihatinan dan sifat

kepimpinan yang dimiliki oleh baginda terhadap agama Islam amnya dan pentadbiran makanan halal

Page 12: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

khasnya tidak dapat disangkal lagi. Industri makanan halal semakin berkembang maju dengan

penggubalan Akta Daging Halal 1998, Akta Kesihatan Awam (Makanan) 1998 serta Perintah Sijil

Halal dan Label Halal 2005. Begitu juga dengan pembangunan Jenama Brunei Halal. Semua kejayaan

ini adalah berkat daripada rahmat Allah Subḥānahu Watacālā dan juga kewibawaan Kebawah Duli

Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dalam

pentadbiran Negara Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam akan dapat terus menjadi sebuah negara ‘makanan halal’ jika

pemimpin yang mentadbir terus konsisten ketika menekankan penghayatan dan kepentingan makanan

halal kepada rakyatnya. Pengkaji berharap agar sistem monarki yang diamalkan berabad lamanya di

Negara Brunei Darussalam adalah merupakan wasilah yang terbaik untuk mencapai matlamat, iaitu

sebuah negara Islam yang berlandaskan al-Qur’ān dan sunnah Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi

Wasallam.

Hasil kajian dari aspek pemilihan makanan halal juga mendapati responden bersetuju dengan

penyataan yang diajukan oleh pengkaji. Hal ini menunjukkan bahawa responden berhati-hati dalam

memilih dan membeli makanan halal di persekitaran mereka. Sensitiviti responden dalam pemilihan

makanan halal berada pada tahap yang tinggi. Pengkaji berkeyakinan bahawa keprihatinan responden

dalam memilih makanan halal ini mempunyai hubungan secara langsung dan signifikan dengan tahap

kefahaman dan pengetahuan mereka terhadap makanan halal itu sendiri. Ini sekaligus menunjukkan

responden mempunyai kefahaman yang baik dan memuaskan. Ia selari dengan hasil kajian Ferdaus et

al. (2002: 1-34) yang menyatakan bahawa keprihatinan pengguna dalam pemilihan makanan adalah

bergantung kepada pendidikan dan pengetahuan.

Oleh itu, secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan keprihatinan masyarakat Islam

terhadap makanan halal di Negara Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi. Hasil kajian ini

nampaknya selari dengan hasil kajian Zamzarina et al (2005: 1-202). Hasil kajian yang dijalankan di

Skudai Johor itu juga menunjukkan keprihatianan responden berada pada tahap yang tinggi.

Walaupun keadaan dilihat baik dan memuaskan, namun ia bukanlah satu jaminan untuk kita berpuas

hati berkaitan dengan isu makanan halal. Kita perlulah terus prihatin dan peka terhadap pemilihan

makanan halal. Ia bukan sahaja melibatkan status ‘halal’ nya sahaja, bahkan kesannya kepada diri dan

keluarga perlulah dititikberatkan.

Pengkaji berkeyakinan bahawa apabila segala usaha dan pendekatan dipertingkatkan, sudah

tentu masyarakat akan lebih faham berkaitan dengan konsep makanan halal dan seterusnya akan

menambah keprihatinan, kepekaan serta keyakinan dalam kalangan masyarakat. Ini selaras dengan

hasil kajian Moon dan Balasubraniam (2001) yang menyatakan bahawa keprihatinan pengguna

terhadap makanan mempunyai kaitan dengan persepsi mereka terhadap risiko dan kesan makanan,

pandangan terhadap aspek moral dan etika, pandangan terhadap orang yang dipilih untuk mentadbir,

kepercayaan terhadap pemerintah serta pengetahuan pengguna terhadap makanan itu sendiri. Selain

itu, ia juga selaras dengan kajian Nor Liana Mohd. Noor (2008 : 1-188) yang mendapati keprihatinan

dan keyakinan masyarakat Islam terhadap sesuatu produk makanan halal itu berkait rapat dengan

galakan daripada pihak kerajaan.

Gaya pemakanan yang halal, sempurna, bersih dan berkualiti perlu diamalkan kepada dalam

diri dan keluarga lebih-lebih anak-anak yang masih kecil agar menjadi tabiat yang positif apabila

mereka dewasa kelak. Pengambilan dan cara makan yang teratur serta berdisiplin boleh memaparkan

sikap dan peribadi sebagai seseorang yang berbudi luhur. Lantaran itu, wajarlah diamalkan pola

pemakanan yang dianjurkan oleh agama Islam yang telah sedia mengambil kira kesihatan dari segi

fizikal, rohani dan juga kesejahteraan mental.

Di samping itu, janganlah kita lupa bahawa duit halal ataupun haram turut memberi kesan

kepada status sesuatu makanan. Oleh itu, sumber pendapatan mestilah disalurkan sebagai sedekah

ataupun membayar zakat kerana ia dapat membersihkan harta. Daripada harta itulah, kita

mendapatkan makanan yang akhirnya membentuk darah daging. Keprihatinan terhadap sumber

pendapatan ini merupakan sesuatu yang amat penting. Kurangnya kepekaan kita dalam isu ini boleh

menyebabkan kita mahupun keluarga kita terjerumus dalam perkara yang haram dan syubhah.

Page 13: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KESIMPULAN

Terdapat beberapa perkara penting yang boleh dirumuskan berkaitan dengan kajian ini. Antaranya

ialah hasil kajian mendapati agama Islam mengarahkan supaya manusia memakan makanan yang

halal dan baik yang telah disediakan oleh Allah Subḥānahu Watacālā di darat mahupun di laut.

Sesuatu yang boleh dimakan itu adalah halal selama mana tidak terdapat nas-nas sama ada dari al-

Qur’ān, ḥadīth Rasulullah Ṣallallahu cAlaihi Wasallam, ijmak ataupun qiyas yang membuktikan

pengharamannya. Tidak syak lagi, makanan halal mempunyai kelebihan dan keberkatannya yang

tersendiri. Begitu juga sebaliknya. Islam telah memberikan prinsip panduan yang jelas berhubung

dengan makanan yang haram dimakan. Antara faktor yang boleh menyebabkan berlakunya hukum

pengharaman tersebut ialah kebiasaan dan cara hidup masyarakat Arab, terdapat kemudaratan padanya

mahupun makanan yang bukan hak miliknya.

Pengkaji juga mendapati pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri

Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berusaha sebaik mungkin

dalam menjaga kehalalan makanan di negara ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri

Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah memberi sokongan penuh kepada

pentadbiran makanan halal. Hal ini dibuktikan melalui rangkaian titah baginda yang sentiasa ingin

meningkatkan pembangunan industri makanan halal. Industri makanan halal semakin berkembang

maju dengan penguatkuasaan Akta Daging Halal 1998, Akta Kesihatan Awam (Makanan) 1998 serta

Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dan perlaksanaan projek Jenama Brunei Halal.

Kajian ini juga menunjukkan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam sangat prihatin

terhadap makanan halal dari aspek prinsip makanan halal dan kesan makanan halal kepada diri dan

keluarga. Selain itu, keprihatinan mereka terhadap pentadbiran makanan halal dan juga keprihatinan

mereka dalam memilih makanan halal adalah pada tahap yang tinggi. Walaupun dapatan kajian secara

keseluruhan menunjukkan bahawa keprihatinan masyarakat Islam terhadap makanan halal di Negara

Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi, namun masih ada beberapa sudut yang perlu

diperbaiki dan diberi penekanan. Pengkaji berkeyakinan bahawa apabila segala usaha dan pendekatan

dipertingkatkan, sudah tentu masyarakat akan lebih faham berkaitan dengan konsep makanan halal

dan seterusnya akan menambah keprihatinan, kepekaan serta keyakinan dalam kalangan masyarakat.

Ini bermakna pendekatan dan hala tuju berkaitan dengan makanan halal haruslah sentiasa dirancang

dengan sistematik mengikut kesesuaian peredaran zaman dan masyarakat. Dapatan kajian ini

sekaligus memberi implikasi terhadap pentadbiran makanan halal di Negara Brunei Darussalam.

BKMH sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam mengawal pemakanan halal

di Negara Brunei Darussalam hendaklah terus bertindak efisyen dalam menyampaikan kefahaman

berkaitan dengan konsep makanan halal kepada masyarakat. Bahagian ini juga perlu terus

membuktikan kewibawaan mereka dalam mengawal kemasukan daging-daging yang akan dipasarkan

di negara. Begitu juga dengan pengawasan ke atas perjalanan operasi premis-premis perniagaan,

restoran-restoran dan pusat-pusat penyembelihan dalam dan luar negara. Di samping itu, pengkaji

turut mencadangkan beberapa perkara untuk dilaksanakan. Antara perkara itu ialah:

1) Bengkel, ceramah dan khutbah

2) Jerayawara

3) Penelitian semula ke atas prosedur pensijilan halal dan label halal

4) Penyelidikan ilmiah

5) Pendedahan di sekolah-sekolah

6) Inisiatif masyarakat

Kajian ini telah memberi gambaran yang jelas bahawa masyarakat Islam di Negara Brunei

Darussalam prihatin dan peka terhadap pengambilan makanan halal dalam kehidupan sehari-hari.

Namun ia bukanlah tiket untuk kita bermegah-megah. Biarlah keprihatinan terhadap makanan halal itu

terus bersemadi di jiwa masyarakat.

Page 14: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Dapatan daripada kajian yang dijalankan diharap akan dapat digunakan dalam membantu

pihak-pihak yang berkuasa seperti MUIB, BKMH, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian

Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan Kementerian Kesihatan dalam memantau keprihatinan

masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam terhadap makanan halal.

Pihak-pihak pengusaha makanan di Negara Brunei Darussalam seperti RBC Sdn. Bhd. dan

BMC Food Industries Sdn. Bhd. pula akan dapat menjadikan kajian ini sebagai penanda aras untuk

sama-sama menyumbang di dalam industri halal global yang semakin membesar.

Sementara itu masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam pula diharapkan akan

mendapat pengetahuan dan kefahaman berkaitan dengan makanan halal ini. Sentiasa berhati-hati dan

sentiasa peka terhadap kehalalan setiap makanan yang hendak dimakan. Ini kerana makanan halal

sahajalah yang akan membawa keberkatan. Sebaliknya makanan yang tidak halal dan syubhah itu

boleh sahaja menjauhkan seseorang daripada berbuat kebajikan. Makanan yang tidak halal akan

memberatkan hati untuk melakukan kebajikan serta menjadikannya lupa akan akhirat dan mencintai

dunia semata-mata.

Diharapkan dengan adanya kajian ini, industri makanan halal di Negara Brunei Darussalam

akan bertambah maju dan setanding dengan negara-negara Islam yang lain dan sekaligus akan

mendapat rahmat daripada Allah Subḥānahu Watacālā.

Page 15: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Bibliografi

Abdul Aziz Juned. 1992. Islam di Brunei Zaman Pemerintahan KDYMM Baginda Sultan Haji

Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei

Darussalam. Brunei: Jabatan Pusat Sejarah.

Abdul Aziz Umar. 2001. Melayu Islam Beraja Negara Brunei Darussalam. Dlm. Akademi Pengajian

Brunei. Melayu Islam Beraja. hlm. 2-26. Brunei: Akademi Pengajian Brunei.

Abdul Tamin Sani. 1421H/2000. Mushkilat al-Halal wa al-Haram fi al-Atcimah fi Barunay Dar al-

Salam. Tesis Sarjana Muda Syariah. Universiti Brunei Darussalam.

Ahmad Abdussalam Abdul Rahman. 2010. Brunei Darussalam Negara Zikir: Hasrat Sultan Haji

Hassanal Bolkiah. Proceedings of Annual Conference on Islamic Studies, hlm. 66-84.

Aḥmad cAṭā,

cAbd al-Qādir. t.th. Hazā al-Ḥalāl wa Hazā al- Ḥarām. al-Qāhirah: Dār al-Faḍīlah.

Aini Yusrina Nayan. 1427H/2006. al-Dhaba’ih fi al-Sharicah al-Islamiyyah wa Tatbiqiha fi Barunay

Dar al-Salam. Tesis Sarjana Muda Syariah. Universiti Brunei Darussalam.

al-Aṣfahānī, Aḥmad ibn al-Ḥusīn ibn Aḥmad. 1413H/1993. Matan al-Ghāyah wa al-Taqrīb fī Fiqh al-

Shāficī. Bayrut: Dār Ibn Ḥazm.

Brunei Halal. 2010. Why Choose Brunei Halal Brand. http://www.brunei-

halal.com/index.php?option=com_content&view=article&id=17&Itemid=46 [1 Disember

2011].

al-Bukhārī, Abū cAbd Allah Muḥammad ibn Ismā

cīl. t.th. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. al-Urdun: Bayt al-Afkār

al-Dawliyyah.

Ferdaus Hossain, Benjamin Onyango, Adesoji Adelaja, Brian Schiling & William Hallman. 2002.

Consumer Acceptance of Food Biotechnology: Willingness to buy Genetically Modified

Food, Working Paper at the meetings of the Northeastern Agricultural and Resource

Economics Association. Harrisburg, 9-11 June.

Hashim Abdul Hamid. 2003. Islam di Brunei Darussalam: Satu Analisis Sosio-Budaya. Brunei:

Universiti Brunei Darussalam.

Jabatan Perdana Menteri. 2008. Dokumen-Dokumen Perlembagaan. Brunei: Jabatan Perdana Menteri.

Jabatan Pertanian. 2009. Pelan Strategik Jangka Program Pelaksanaan Jangkamasa Sederhana

(2008-2013). Brunei: Jabatan Pertanian.

Jabatan Pertanian. t.th. Prospektus Jenama Brunei Halal.

Kementerian Hal Ehwal Ugama. 2010. Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2010-

2014. Brunei: Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kementerian Hal Ehwal Ugama. 2010. Kepentingan Makanan Halal. http://www.religious-

affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=396 [1 Disember 2011].

Kementerian Hal Ehwal Ugama. 2010. Pengharaman Arak. http://www.religious-

affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=389 [1 Disember 2011].

Kementerian Hal Ehwal Ugama. 2011. Bahagian Kawalan Makanan Halal. http://www.religious-

affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_about_div&pg=bm_div_syariah&ac=1619 [1 Disember

2011].

Kementerian Hal Ehwal Ugama. 2011. MUIB Keluarkan Sijil, Permit Halal,

http://www.pelitabrunei.gov.bn/news/pelita/11julai11/haluan.htm [1 Disember 2011].

Page 16: KEPRIHATINAN MASYARAKAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Kementerian Hal Ehwal Ugama. 2011. Sejarah Penubuhan Bahagian Kawalan Makanan Halal Negara

Brunei Darussalam. http://www.religious-

affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_about_div&pg=bm_div_heubelait&ac=937 [1 Disember

2011].

Mohd. Zain Serudin. 2002. Pengalaman Negara Brunei bagi Menjamin Daging Halal Sahaja Beredar

di Negara ini. Brunei: Pusat Da’wah Islamiah.

Moon, W. & Balasubramaniam, S.K. 2001. Public Perceptions and Willingness to Pay a Premium for

Non-GM Foods in the US and UK. http://www.agbioforum.org/v4n34/v4n34a10-moon.htm

[1 Disember 2011].

Muslim, Abū al-Ḥusīn Muslim ibn al-Ḥajjaj ibn Muslim al-Qushayrī al-Nisābūrī. 1427H/2006. Ṣaḥīḥ

Muslim. Bayrut: Dār al-Macrifah.

Nor Liana Mohd. Noor. 2008. Sistem Pemasaran Produk Halal. Laporan Projek Sarjana Sains.

Universiti Teknologi Malaysia.

Pusat Da’wah Islamiah. 1427H/2006. Makanan Halal Sumber Pembentukan Syakhsiah Mulia. Brunei:

Pusat Da’wah Islamiah.

Pusat Da’wah Islamiah. 1432H/2011. Negara Sejahtera Tanpa Arak. Brunei: Pusat Da’wah Islamiah.

al-Qarḍāwī, Yūsuf. 2009. Halal dan Haram Menurut Perspektif Islam. Terj. Abu Jabir Muhammad.

Johor: Perniagaan Jahabersa.

Ruuain Mustari. 1994. Kepentingan Penjagaan Makanan dan Pemakanan serta Implikasinya Terhadap

Pembentukan Sahsiah Menurut Perspektif Islam. Tesis Sarjana Pengajian Islam. Universiti

Kebangsaan Malaysia.

al-Shayrāzī, Abū Isḥāq. 1422H/2001. al-Muhadhdhab fī Fiqh al-Imām al-Shāficī. Jil. 2. Damshiq: Dār

al-Qalam.

Tabbārah, cAfīf

cAbd Fattāḥ. t.th. Rūḥ al-Dīn al-Islāmī. Bayrut: Dār al-

cIlm al-Malāyīn.

Ummi Faizah Abdul Rahman. 2011. Konsep Negara Zikir dan Pendekatannya di Negara Brunei

Darussalam: Persepsi Kakitangan Pusat Dakwah Islamiah. Disertasi Sarjana Pengajian Islam.

Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zamzarina Che Mat, Maznah Ali, Zulkifli Haron, Mohd. Nasir Ripin, Kamarul Azmi & Ahmad Kilani

Mohamed. 2005. Kecenderungan Ibubapa Muslim Terhadap Pemakanan Halal: Kajian di

Skudai, Johor Bahru, Johor. Laporan Projek. Universiti Teknologi Malaysia.

al-Zuḥaylī, Wahbah. 1409H/1989. al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuhu. Jil. 3. Damshiq: Dār al-Fikr.