PENGENALANSebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa
dan budaya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai seni
budaya dan kesan tinggalan sejarah yang menarik minat pelancong
datang ke Malaysia. Kepelbagaian adat resam yang terhasil daripada
penduduk bangsa dan etnik menghasilkan pelbagai produk budaya
tradisional yang pelbagai. Kepelbagaian kaum di Malaysia
mencorakkan kepelbagaian dari aspek pakaian tradisional, makanan
tradisi, seni muzik, perayaan, permainan dan lain-lain (Abdul Latif
Abu Bakar, 2011).
Walau bagaimanapun sehingga kini, budaya dan warisan tradisional
bangsa-bangsa di Malaysia masih mampu dipertahankan kerana faktor
agama dan budaya masyarakat itu sendiri. Selain itu ia amat penting
bagi sektor pelancongan. Bangsa-bangsa di Malaysia berbangga dengan
adat budaya mereka sendiri dan berharap ia terus dipertahankan.
Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni
budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai
identiti tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara
hidup pelbagai kaum di negara kita (Abdul Latif Abu Bakar,
2011).
Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni,
permainan dan sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional
negara kita semakin lenyap ditelan arus pemodenan. Amalan budaya
tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita.
Misalnya, keunikan permainan tradisional dari pelbagai kaum yang
merangkumi pelbagai bentuk permainan yang beraneka dan
kepelbagaian. Budaya dan warisan adalah merupakan salah satu aset
negara yang penting dan melambangkan kepada identiti sesebuah
negara (Abdul Latif Abu Bakar, 2011).
Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi pekerti masyarakat
Malaysia. Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara.
Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui
budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini,
kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang
kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat
iktibar. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya
Barat. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri. Untuk
mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada
kekayaan warisan budaya negara. Oleh itu, untuk menjaga warisan
budaya agar tidak ketinggalan zaman langkah pemuliharaan haruslah
dilaksanakan oleh kita sebagai generasi muda yang ingin menjadikan
warisan sebagai satu agenda tradisi yang tidak dilupakan oleh
masyarakat kini (Noriati A. Rashid, 2011).
PENGERTIAN BUDAYAPerkataan budaya dalam bahasa Melayu berasal
daripada perkataan Buddi atau Budayyah dalam bahasa Sanskrit yang
bererti budi dan akal. Sementara itu, kebudayaan atau Culture dalam
bahasa Inggeris berasal daripada perkataan Culure dalam bahasa
Yunani yang bererti mengerjakan tanah. Sesetengah pendapat
mengatakan bahawa dengan mengerjakan tanah, manusia mulai hidup
sebagai pengeluar makanan (food gathering). Oleh yang demikian,
daripada bajak inilah dikatakan wujudnya artifak yang manusia
adalah berbudaya (Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, 2011).
Definisi yang paling tepat dan kebanyakan definisi budaya yang
dikemukakan selepas itu ialah modifikasi daripada definisi yang
dikemukan adalah sesuatu keseluruhan yang kompleks yang meliputi
pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat
resam dan kebiasaan yang diperoleh manusia sebagai anggota
masyarakat. Kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma,
ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan
selain penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri
khas sesebuah masyarakat. Daripada kesemua pengertian ini,
kebudayaan bolehlah disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup
manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan
kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan
hidup sesuatu kelompok masyarakat (Wendy Griswold, 1995).
Kandungan sesuatu kebudayaan itu merangkumi pelbagai unsur yang
semuanya dapat digolongkan kepada dua bahagian iaitu budaya
kebendaan yang merangkumi seluruh hasil ciptaan manusia seperti
rumah, bangunan, perabot, alat perhubungan, pakaian, senjata,
pinggan mangkuk, dan pelbagai alat buatan dan pertukangan manusia.
Contohnya, orang Melayu mempunyai rumah yang berbeza dengan orang
Inggeris atau orang Eskimo (Suhanim Abdullah, 2012).
Kebudayaan bukan kebendaan pula termasuklah seluruh kepercayaan,
dongeng, adat istiadat, idea, ideologi, alat perhubungan, struktur
sosial, bahasa, undang-undang dan peraturan, sistem
politik,ekonomi, falsafah, dan sebagainya. Sebagai contoh, tabu
untuk berkahwin dengan saudara perempuan sendiri adalah sebahagian
daripada budaya bukan kebendaan. Budaya itu dapat dilihat dari
aspek perlakuan dan hasil perlakuan anggota-anggota masyarakat.
Perlakuan manusia didorongkan oleh berbagai-bagai aspek lain,
seperti norma, nilai, peraturan, adat resam, kepercayaan,
undang-undang dan sebagainya. Perlakuan ini adalah hasil dari
berbagai-bagai proses dan ini juga yang melahirkan berbagai
peralatan budaya (Ismail Yusoff, 2012).
PENGERTIAN WARISANMalaysia merupakan sebuah negara yang kaya
dengan pelbagai warisan budaya yang menggambarkan pola kehidupan
masyarakat pelbagai kaum. Keunikan seni budaya di Malaysia seperti
makyong, tarian singa, tarian kathak, tarian bhangra, wayang kulit,
batik serta songket perlu dipertahan dan diperkukuh sebagai warisan
kepada generasi muda. Menurut Jabatan Warisan Negara, warisan ialah
sesuatu yang diterima secara turun temurun daripada satu generasi
ke satu generasi. Sesuatu warisan itu perlu diwarisi dan dikekalkan
kerana warisan tersebut menggambarkan cara hidup dan jati diri
sesuatu bangsa yang pelbagai kaum. Oleh itu, warisan budaya
haruslah dikekalkan agar menjadi satu pengekalan budaya secara
tradisi
(http://www.heritage.gov.my/index.php/ms/kenali-kami/sejarah-penubuhan).
Namun begitu, pendefinisian yang telah digariskan oleh Jabatan
Kebudayaan dan Kesenian Negara sudah cukup untuk menjelaskan betapa
agungnya warisan kebudayaan yang terdapat dalam ruang lingkup
masyarakat di negara ini. Warisan ditafsirkan sebagai sesuatu yang
diwarisi daripada generasi yang terdahulu. Warisan merupakan
khazanah negara yang pernah dan sedang dimiliki oleh seseorang atau
sesuatu kelompok masyarakat dan manusia sejagat yang menjadi
tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan. Oleh itu,
warisan budaya harus dikekalkan bagi mengekalkan keasliannya
(http://www.jkkn.gov.my/ms/sejarah).
Warisan adalah elemen yang erat kaitannya dengan sejarah , di
mana ada warisan di situ ada nilai sejarah di dalamnya. Warisan
juga boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang diwarisi secara
turun-temurun. Menurut kamus dewan, warisan boleh bermaksud dengan
harta peninggalan, harta pusaka, sesuatu yang diwarisi, sesuatu
yang turun-temurun atau peninggalan. Warisan juga adalah sesuatu
yang diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Manakala
menurut UNESCO pula yang bermaksud warisan kebudayaan yang
merangkumi kedua-dua warisan budaya yang kelihatan dan yang tidak
kelihatan. Jelaslah, warisan menunjukkan maksud yang berbeza yang
boleh memberi kefahaman dan penghayatan kepada masyarakat
(http://www.heritage.gov.my/index.php/warisan-tidak-ketara/pengenalan).
PENGERTIAN PEMULIHARAAN BUDAYA DAN WARISANPemuliharaan bermaksud
usaha memulihkan dan memelihara sumber alam semulajadi dengan bijak
dan sistematik supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Pemuliharaan merupakan satu proses menjaga dan mengawasi sesebuah
warisan bersejarah dari dimusnahkan atau dibaikpulih tanpa
perancangan dan pengurusan yang sistematik. Pemuliharaan melibatkan
kerjakerja yang cuba mengekalkan keadaan asal sesebuah warisan
bersejarah seperti mana yang asal dan dapat mengekalkan kepentingan
kebudayaan (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Konsep pemuliharaan warisan yang diterima dan dipraktik oleh
sejagat ialah Keaslian dalam Pemuliharaan Warisan. Keaslian boleh
dianggap sebagai satu aspek estetik manakala proses untuk
mengembalikannya adalah perkara etika. Oleh yang demikian, dalam
pemuliharaan kecantikan bukan menjadi ukuran tetapi bagaimana
mengembalikan warisan seperti yang asal. Proses menjaga termasuklah
pemuliharaan, pembaikan, pembinaan semula dan penyesuaian dan
biasanya lebih daripada salah satu kombinasi diperlukan.Tujuan
utama pemuliharaan ialah untuk menjaga kepentingan budaya dengan
pengekalan fabrik melalui kaedah pemuliharaan yang betul supaya
kerosakan dapat dikurangkan dan kualiti terjaga. Oleh itu,
pemuliharaan warisan haruslah dikekalkan supaya generasi yang akan
datang dapat mengetahui dan melihat sendiri warisan budaya yang ada
di Malaysia
(http://www.heritage.gov.my/index.php/ms/kenali-kami/sejarah-penubuhan).
PEMULIHARAAN WARISAN BUDAYA DI MALAYSIAPemuliharaan bangunan
bersejarah di Malaysia adalah di bawah tanggungjawab Jabatan
Warisan Negara (JWN).Pembangunan dan perkembangan pemuliharaan
bangunan warisan berada pada kepentingan negara apabila Akta
Warisan Kebangssaan 2005 (Akta 645) diluluskan di Parlimen. Akta
ini telah diwartakan pada 31 Disember 2005 dan berkuatkuasa pada
tarikh 1 Mac 2006. Dengan adanya Akta 645 ini maka Akta Benda Purba
1976 (Akta 168) dan Akta Harta Karun 1957 (Akta 542) telah
dimansuhkan. Akta Warisan Kebangsaan 2005 mengadakan peruntukan
bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan
semulajadi, warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara, warisan
kebudayaan bawah air dan perkaraperkara lain yang berkaitan. Pada 1
Mac 2006 juga Jabatan Warisan Negara telah ditubuhkan. Penubuhan
dan penstrukturan fungsi dan tugas di bawah Jabatan Warisan Negara
telah meningkatkan lagi pembangunan bidang pemuliharaan warisan di
Malaysia (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Bangunan Bersejarah Sebagaimana yang kita semua maklum, Malaysia
merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun. Namun begitu,
dicelah-celah arus pembangunan yang pesat ini terdapatnya
bangunan-bangunan yang penuh dengan kesan sejarah yang menarik
disamping mempunyai reka bentuk seni bina yang unik seperti
bangunan pentadbiran kerajaan, stesen keretapi, sekolah, masjid,
istana dan lain-lain lagi. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu
dipulihara dengan sebaik mungkin daripada pupus ditelan arus
pembangunan. Ia merupakan satu bidang yang melibatkan kerja
pemuliharaan, pengekalan, dan penjagaan ke atas bangunan bersejarah
dilakukan bagi memanjangkan usia bangunan berkenaan. Selain itu, ia
bertujuan untuk memastikan bangunan bersejarah yang dipulihara
bebas daripada sebarang masalah kerosakan bangunan dan terpulihara
dari segi reka bentuk seni bina dan bahan binaannya (Syed Zainol
Abidin Idid, 1995).
Sebahagian besar daripada bangunan bersejarah ini tidak
dipulihara dengan baik dan kebanyakan daripadanya berada dalam
keadaan yang buruk disebabkan oleh faktor kerosakan bangunan. Lebih
malang lagi ada di antara bangunan bersejarah ini sedang diancam
kemusnahan kerana diabaikan oleh pemilik asal dan dirobohkan atas
desakan pembangunan serta kurangnya keprihatinan masyarakat dalam
usaha untuk memulihara bangunan bersejarah. Namun begitu, dengan
pengiktirafan dan penyenaraian Bandaraya Melaka dan Georgetown
sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO yang juga dikenali sebagai
The Historic Cities of The Straits of Malacca di bawah kategori
Tapak Warisan Budaya pada 7hb Julai 2008, telah sedikit sebanyak
memberi kesedaran kepada masyarakat umum di Malaysia tentang
kepentingan untuk memulihara dan menghargai warisan yang terdapat
di negara ini terutama sekali bangunan bersejarah
(http://www.heritage.gov.my/sejarah-penubuhan).
Secara umumnya kesedaran terhadap kepentingan untuk memulihara
bangunan bersejarah adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus
dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat dan bukannya
dibebankan ke atas pihak kerajaan semata-mata. Bangunan bersejarah
yang terdapat pada sesebuah negara wajar dipulihara kerana ia
memiliki nilai emosi, budaya dan kegunaan yang tidak ternilai
harganya. Tanpa usaha pemuliharaan yang berterusan, dikhuatiri
bangunan bersejarah ini akan terus lenyap ditelan zaman. Antara
contoh bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia yang wajar
dipulihara adalah seperti Bangunan Stadthuys di Bandar Hilir di
Melaka, Balai Besar di Alor Setar, Kedah dan Muzium Sejarah
Nasional di Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan (Syed Zainol Abidin
Idid, 1995).
Prinsip Asas Pemuliharaan Bangunan BersejarahKejayaan dalam
setiap kerja pemuliharaan bangunan bersejarah menurut pendapat
adalah berdasarkan kepada prinsip asas pemuliharaan itu sendiri
jika ianya dipatuhi. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kerja
pemuliharan bangunan bersejarah dijalankan dengan teknik dan kaedah
pemuliharaan yang betul, maka pemahaman terhadap prinsip asas
pemuliharaan adalah amat penting serta perlu diketahui dan dipatuhi
seterusnya perlu diamalkan (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Prinsip yang perlu dilakukan adalah meminimumkan gangguan
seperti membaik pulih hanya struktur dan fabrik bangunan bersejarah
yang rosak sahaja manakala yang masih elok perlulah dikekalkan
keasliannya. Sesuatu bangunan seharusnya kekal pada tempat asalnya.
Mana-mana perubahan struktur bangunan baru hanya dibenarkan
sekiranya itu merupakan satu-satunya cara untuk menyelamatkan
struktur berkenaan. Oleh itu, bangunan yang ingin diubahsuai
haruslah mempunyai kriteria yang telah ditetapkan (Syed Zainol
Abidin Idid, 1995).
Prinsip am pemuliharaan bangunan juga adalah dengan menjalankan
kajian saintifik dan ujian makmal bagi mengenalpasti kandungan dan
sifat bahan binaan serta tahap kerosakannya. Keputusan kajian
saintifik dan ujian makmal dapat dijadikan bukti sokongan dalam
membuat sebarang keputusan terhadap kerja pemuliharaan yang akan
dilakukan kelak. Dengan melakukan ujian tersebut, bangunan yang
ingin dipulihara akan selamat dan kekal dengan konsep asal bangunan
tersebut (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Prinsip mendokumentasikan kerja pemuliharaan yang menjadi amalan
penting kerana ia dapat digunakan sebagai bahan rujukan terhadap
kerja penyelenggaraan bangunan bersejarah pada masa akan datang.
Prinsip ini memudahkan proses mendokumentasikan maklumat sebelum
membuat pemuliharaan terhadap bangunan tersebut. Oleh itu, jika
berlaku keretakan pada bangunan tersebut ini akan memudahkan bagi
pengkaji menilai kembali struktur asal yang digunakan dan
memudahkan membuat rujukan terhadap proses penyelengaraan bangunan
tersebut (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Prinsip mengaplikasikan kaedah pemuliharaan yang terbukti
berkesan bagi memastikan setiap pendekatan pemuliharaan yang
digunakan semasa kerja pemuliharaan tidak akan mendatangkan
sebarang masalah kepada bangunan bersejarah yang dipulihara. Segala
corak penyusunan bangunan seperti saiz, bentuk, corak binaan, bahan
warna dan perhiasan mempunyai peranan dan memberi kesan imej atau
identiti sesuatu bangunan tidak terjejas (Syed Zainol Abidin Idid,
1995).
Kepentingan Pemuliharaan Bangunan BersejarahSeperti yang kita
sedia maklum, Malaysia wujud daripada ketamadunan silam iaitu
Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan awal, seperti Kerajaan
Langkasuka, Kerajaan Kedah Tua. Sementara itu, beberapa kerajaan
lain di Pantai Timur Semenanjung. Malaysia pernah dijajah selama
446 tahun dan akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Sejarah penubuhan kerajaan ini pastinya banyak meninggalkan
bangunan bersejarah sama ada yang bercirikan tempatan mahupun
Eropah. Sejak UNESCO mengiktiraf bandar Melaka dan Georgetown
sebagai bandar warisan bersejarah atau tapak warisan dan
ketamadunan dunia, barulah timbul kesedaran tentang kepentingan
bangunan-bangunan bersejarah (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Bangunan bersejarah memberi banyak manfaat dari sudut
pelancongan. Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah dapat
menarik pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong
dari luar negara untuk melawat negara kita. Kita sedia maklum
bahawa bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan
pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan kehebatan
bangunan yang moden seperti Menara Berkembar Petronas. Kehalusan
seni bina dan keunikan reka bentuk bangunan tersebut mampu menjadi
tarikan para pelancong untuk berkunjung ke tempat tersebut. Sebagai
contoh, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai unsur
seni yang tiada tolok bandingnya. Di samping itu, pelancong juga
dapat melawat bangunan bersejarah dan menyaksikan monumen-monumen
yang terdapat di lokasi yang dikunjungi di samping menyaksikan
keindahan alam semula jadi dan artifak-artifak di dalam muzium dan
galeri seni lukis. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah
diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat
pelancongan (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Bangunan bersejarah lama dapat memberikan teladan dan iktibar
kepada masyarakat terutamanya golongan remaja. Kita sedia maklum
bahawa remaja pada hari ini kurang mempunyai kesedaran diri
terutamanya berkaitan dengan sejarah Malaysia. Dengan adanya
bangunan bersejarah di negara kita. Sekurang-kurangnya mereka dapat
menjadikannya sebagai panduan hidup mereka. Sebagai contohn, Kota A
Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh
telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka
dapat dijadikan iktibar. Jika kita menghayati sejarah, di sebalik
bangunan tersebut serta mengambil pengajaran daripada peristiwa
yang berlaku maka kita dapat terus mara tanpa mengulangi kesilapan
yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu (Syed Zainol Abidin Idid,
1995).
Salah satu kepentingan bangunan bersejarah ialah dapat dijadikan
sebagai bukti kukuh tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku
kepada generasi akan datang. Kita sedia maklum bahawa bangunan
bersejarah bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati
seseorang tokoh yang telah berjasa atau peristiwa penting yang
pernah berlaku. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama
lebih daripada 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah
kolonial seperti British, Belanda, dan Portugis masih dapat dilihat
dan perlu dijaga serta dilestarikan. Di samping itu, bangunan
bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang
akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah kita dapat
membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh
penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan
bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda semata-mata.
Sebagai contoh, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada
abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu
Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan
Gereja St. Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja
St. Georgetown Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik
sejarah negara yang pernah dijajah pada suatu masa dahulu dan juga
dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British
di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18 (Syed Zainol
Abidin Idid, 1995).
Bangunan bersejarah lama juga turut memainkan peranan yang
penting dalam pendidikan di negara kita khususnya kepada para
pelajar dan penyelidik. Kita sedia maklum bahawa pelbagai ilmu akan
dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen
lama. Sebagai contoh, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan Air
Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan
Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui
bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British
tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan
tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Diraja Selangor dan
Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi
khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah
Melayu pada akhir abad ke-19 (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Pemuliharaan bangunan bersejarah juga dapat mengekalkan keaslian
seni bina sesuatu bangunan. Sebagai contoh, Masjid Ubudiah yang
terletak di Kuala Kangsar yang telah dirasmikan pembukaannya oleh
Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917 masih kekal
bentuknya seperti asal. Masjid berbentuk oktagon ini dipulihara
dengan mengekalkan keaslian seni binanya supaya tidak lapuk dek
hujan tidak lekang dek panas. Menurut sejarah pembinaanya, batu
marmar yang digunakan sebagai bahan binannya telah diimport dari
Itali (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).
Permainan TradisionalKini warisan budaya tradisional menghadapi
ancaman kepupusan. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara
hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian,
makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa
selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya
ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya
melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional
kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, permainan
tradisional pelbagai kaum yang unik dan beraneka ragam. Budaya
tradisional kita juga menunjukkan budi pekerti masyarakat Malaysia
(Wazir Jahan Karim, 1990). Masyarakat berbilang kaum di Malaysia
mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai
keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang
unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga
membentuk kebudayaan masing-masing. Permainan tradisional telah
berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh
nenek moyang masyarakat masing-masing. Asas penting yang menjamin
kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah
keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Namun, permainan
tradisional tidak dimainkan lagi oleh kanak-kanak zaman kini.
Mereka suka kepada permainan moden dan lebih mencabar. Oleh itu,
pengekalan permainan tradisional pelbagai kaum di Malaysia haruslah
dipergiatkan dan tidak dilupakan oleh masyarakat kini (Wazir Jahan
Karim, 1990).
Antara jenis permainan tradisional masyarakat melayu adalah batu
seremban. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sama
ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara
berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. Biasanya ia
menggunakan guli kaca, biji getah dan ketul batu yang kecil.
Seterusnya, permainan congkak. Alatan yang digunakan adalah papan
congkak dan buah congkak. Kadang-kadang sebagai ganti papan
congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji
congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu
kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak hanya boleh dimainkan
oleh dua orang sahaja. Namun terdapat banyak lagi permainan
tradisional melayu iaitu sepak takraw, gasing, dan wau. Permainan
tradisional ini semakin dilupakan oleh masyarakat melayu sendiri,
walaupun mereka tahu ini adalah salah satu budaya yang perlu
diwarisi sejak dari dulu lagi. Mereka menganggap permainan ini
adalah permainan lapuk dek zaman
(http://www.jkkn.gov.my/ms/traditional-games).
Bagi permainan tradisional masyarakat Cina pula ialah mahjong
atau mahjung yang merupakan permainan untuk empat orang yang
berasal dari China. Mahjong membabitkan kemahiran, strategi, dan
pengiraan, termasuk juga satu tahap nasib. Bergantung kepada
variasi yang dimainkan, nasib boleh menjadi isu remeh atau faktor
utama kejayaan. Di Asia, mahjong juga popular sebagai perjudian dan
sebagai permainan komputer. Selain itu, yo-yo cina ialah permainan
dari China yang mempunyai dua cakera yang sama saiz dan panjang.
Yo-yo cina akan sentiasa berpusing pada tali yang diikat pada dua
batang kayu kecil. Pemain akan memegang hujung kedua-dua kayu dan
mengimbangi yo-yo daripada jatuh. Permainan tradisional lain iaitu
Xiang Qi dan Go juga semakin kurang dipermainkan kerana mereka
menganggap permainan tradisional membosankan (Ahmad Zaharuddin Sani
Ahmad Sabri, 2011).
Permainan tradisional masyarakat India ialah Kabadi. Kabadi
ialah sebuah permainan yg dibentuk dalam permainan tradisional
India. Dalam satu permainan, dua pasukan dibentuk yang mana terdiri
daripada tujuh pemain. Satu pasukan akan menghantar penyerang
kepada pasukan pihak lawan, yang mana bertujuan untuk menyentuh
salah seorang daripada pemain pihak lawan sebelum patah balik
kepada pasukannya. Selain itu, permainan permainan tradisional
India adalah Chanturanga. Sejak awal permainan ini sudah
memperkenalkan dua pihak yang bermain, perbezaan buah catur dengan
kekuataan yang berbeza, dan kemenangan bergantung pada buah
terakhir, atau dalam catur moden ditandai dengan tumbangnya sang
raja. Dalam catur kuno, papan catur memiliki 100 kotak atau
lebih(Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, 2011).
Permainan tradisional ini masih diadakan sehingga kini tetapi
terdapat perbezaan antara permainan dahulu dan permainan sekarang.
Permainan-permainan dahulu seperti permainan wau, tarian naga atau
permainan gasing mempunyai ciri-ciri kesenian yang melambangkan
keindahan dan keharmonian rakyat di Malaysia. Aktiviti ini
kebiasaannya akan dilakukan secara berkumpulan dimana mereka
mempunyai minat yang sama. Manakala bagi permainan sekarang,
biasanya adalah permainan komputer yang tidak melambangkan apa-apa
dan tidak perlu dilakukan oleh sekelompok manusia serta tidak dapat
mengeratkan hubungan antara manusia seperti permainan dahulu.
Selain itu, permainan komputer akan menyebabkan ketagihan di
kalangan pemain. Permainan dahulu biasanya bersifat harmoni berbeza
dengan permainan sekarang yang berunsur ganas seperti
permainan-permainan komputer seperti counter strike yang bersifat
ganas yang mendapat sambutan hangat daripada golongan remaja lelaki
(Wazir Jahan Karim, 1990).
Ini jelas terbukti bahawa permainan tradisional di Malaysia kini
semakin kurang mendapat sambutan oleh masyarakat. Masyarakat
merasakan permainan tradisional adalah salah satu permainan kuno
dan membosankan. mereka juga merasakan permainan tradisional adalah
permainan yang tidak memberi cabaran dan aksi yang mencabar dalam
melakukann permainan. Justeru itu, untuk memartabatkan dan
memulihara kembali tradisi zaman nenek moyang yang telah diwarisi
ini, terdapat pelbagai kaedah dan cara bagi memulihkan kembali
permainan ini dari pandangan masyarakat. Ini sekali gus dapat
menonjolkan dan menaikkan lagi permainan tradisional ke peringkat
antarabangsa (Noriati A. Rashid, 2011).
Pemuliharaan Permainan TradisionalArus modenisasi dan
globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan tradisional
sudah semakin dipandang rendah dan disisihkan oleh masyarakat kita
daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada
permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara
kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak
lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Kebanyakan daripada
permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini
membayangkan bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap
ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya
dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Oleh
itu, pemuliharaan permainan tradisional haruslah ditingkatkan
bermula daripada individu itu sendiri (Noriati A. Rashid,
2011).
Langkah awal yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah
kerajaan menyediakan lebih banyak tempat-tempat atau gelanggang
untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan
gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat
untuk bersama-sama menikmati permainan ini. Kekerapan bermain
permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran yang hakiki
terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan
gelanggang yang cukup oleh pihak yang terlibat mampu memberi nafas
baru kepada kesenimbungan permainan warisan budaya ini (Abdul Latif
Abu Bakar, 2011).
Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional
ini sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai
oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan
jenis-jenis permainan tradisional sejak muda lagi dan memahami
kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang dipupuk sejak
awal ini mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang
pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak
sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti
sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar. sekaligus,
permainan tradisional tidak disisihkan oleh semua golongan anak
muda kini (Zuraidah A. Majid, 2011).
Sebagai remaja, mereka perlu menanamkan semangat cinta akan
budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana,
permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak
dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh
generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan
ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara
langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan
memartabatkan permainan tradisional ini (Zuraidah A. Majid,
2011).
Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan
tradisional merupakan satu kaedah yang mampu untuk mempopularkan
permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan
oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan
berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik
seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan
rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan tradisional
di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain
memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu
memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan permainan
tradisional kepada masyarakat dan negara (Noriati A. Rashid,
2011).
Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan. Pihak kerajaan
hendaklah mengadakan pesta permainan tradisional pada setiap tahun.
Setiap negeri mestilah mengambil bahagian untuk memeriahkan pesta
tersebut. Contohnya, Festival Layang-layang di Pasir Gudang, Johor
bukan sahaja disertai oleh rakyat tempatan malahan masyarakat
antarabangsa. Tegasnya, pihak kerajaan haruslah memainkan peranan
dan memastikan permainan tradisional diminati oleh rakyat (Noriati
A. Rashid, 2011).
Remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional
agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di
hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka
golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan
yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan
diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua
golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur.
Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan
menggunakan pelbagai pendekatan sesuai agar permainan tradisional
ini menjadi permainan kegemaran mereka (Noriati A. Rashid,
2011).
KESIMPULANLazimnya warisan budaya atau warisan tradisonal sering
dikaitkan dengan peradaban atau tamadun sesuatu bangsa. Dalam hal
ini budaya tradisional melambangkan sifat majmuk masyarakat kita.
Selain itu, budaya tradisional juga boleh memupuk perpaduan negara.
Hal ini demikian kerana rakyat majmuk di negara kita memiliki
nilai-nilai tradisional yang murni. Akta Warisan Negara 2005 yang
dikuatkuasa pada bulan Mac 2006 akan membolehkan satu pendekatan
pemeliharaan dan pemuliharaan produk warisan negara yang ketara dan
tidak ketara secara lebih selaras dan bersepadu. Akta ini meliputi
langkah penguatkuasaan bagi memastikan amalan pemeliharaan dan
arkeologi mematuhi piawaian dunia (Zuraidah A. Majid, 2011).
Pelaksanaan akta ini akan memudahkan proses mengenalpasti dan
menentukan bangunan, monumen dan tapak yang mempunyai kepentingan
sejarah untuk diwartakan sebagai zon bersejarah. Selain itu,
kemajuan teknologi telah membuatkan hilangnya warisan yang dulunya
sangat dibanggakan. Selain itu, adakah kita sedar yang sebenarnya
permainan tradisional yang kita warisi sejak dulu lagi semakin lama
semakin dilupakan dan hilang bersama dengan peredaran zaman (Syed
Zainol Abidin Idid, 1995).
Banyak faedah yang boleh diperolehi dari permainan tradisional
seperti boleh mengeratkan silaturahim sesama manusia, menyihatkan
badan, kerana mengeluarkan peluh dan dapat memelihara warisan
budaya zaman berzaman. Selain itu, negara dapat mempromosikan
permainan tersebut sebagai salah satu aktiviti yang perlu
diperkenalkan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia.
Ia juga akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sendiri (Wazir
Jahan Karim, 1990).
LAMPIRAN
Bangunan Stadthuys di Bandar Hilir, Melaka (1641)
Balai Besar di Alor Setar, Kedah (1735)
Muzium Sejarah Nasional di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan
(1888)
Congkak Gasing Mahjong Go Kabadi Chanturanga
RUJUKAN
Abdul Latif Abu Bakar. (2011). Adat Melayu Serumpun. Kerajaan
Negeri Melaka Perbadanan Muzium Melaka: Perzim.Ahmad Zaharuddin
Sani Ahmad Sabri. (2011). 3 Ethnics Under One Roof. Managing Ethnic
Relation Malaysian Style: Lambert Academic Publishing.Ismail Yusoff
& Suhanim Abdullah, (2012). Hubungan Etnik. Kuala Lumpur:
Pearson.Noriati A. Rashid & Zuraidah A. Majid. (2011). Budaya
dan Pembelajaran. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar.Syed Zainol
Abidin Idid (1995). Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar. Kuala Lumpur:
Badan Warisan Malaysia.Wazir Jahan Karim. (1990). Emotions Of
Culture A Malay Perspective. Oxford New York: Oxford University
Press.Wendy Griswold. (1994). Cultures and Societies In A Changing
World. London: Pine Forge Press.Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara. Diakses pada 15 April 2015 di
http://www.jkkn.gov.my/ms/Jabatan Warisan Negara. Diakses pada 15
April 2015 di http://www.heritage.gov.my/7