KEMAJUAN BAHASA MELAYUDI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN
ANTARABANGSA:CABARAN DAN PELAN TINDAKAN
Prof. Dr. Awang SariyanMantan Penyandang Pertama Kursi Pengajian
MelayuKerajaan Malaysia di ChinaBeijing Foreign Studies
University
[Kertas kerja yang disampaikan dalam Konvensyen Dunia Melayu
Dunia Islam (DMDI) di Melaka pada 12-14 Oktober 2011 dengan tema
Dunia Melayu Dunia Islam pada Abad Ke-21]
Pendahuluan
Upaya meneliti jejak pemerkasaan bahasa Melayu lebih setengah
abad yang silam di Malaysia, iaitu dengan bertitik tolak dari tahun
kemerdekaan Malaysia (yang sebelum tahun 1963 dikenal sebagai
Persekutuan Tanah Melayu) dan rencana membaharui babak untuk tempoh
yang mendatang berhubungan secara langsung dengan cita-cita dan
ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini
demikian kerana bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan
pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang
dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah asas kontrak sosial
rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam
sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan
Bumiputera (Awang Sariyan, 2006, 2007 dan 2009). Perlembagaan
Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Dengan perkataan lain, pembicaraan tentang perkembangan bahasa
Melayu selama lebih setengah abad silam dan perancangannya untuk
setengah abad mendatang dan seterusnya tidak akan bererti apa-apa
dengan hanya membicarakan perkembangan bahasa tersebut sebagai
wasilah mekanis yang alamiah bagi keperluan komunikasi sekelompok
umat. Maksudnya, perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya
dengan pembinaan bangsa dan negara, tidak cukup sekadar dihuraikan
daripada sudut perkembangan sistem bahasanya (tatabahasa, sistem
ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa), meskipun aspek itu
memang penting dalam hal penentuan sosok bahasa yang menjadi sendi
tamadun. Perkembangan korpus bahasa Melayu itu baru menggambarkan
sebahagian hakikat, sedang perkembangan yang lebih mendasar ialah
yang berkaitan dengan pemenuhan dan pengisian dasar bahasa negara.
Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan yang
langsung dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa
serta dengan cita-cita luhur bangsa dan negara. Sia-sialah
pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu dengan cita-cita
besar membina tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal
pertumbuhan dan perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi
petunjuk dan kayu ukur kemajuan bangsa.
Di peringkat supranasional pula, pembicaraan tentang
perkembangan dan perancangan bahasa Melayu wajarlah pula
dipertalikan dengan cita-cita besar membentuk persatuan umat Melayu
sebagai mahawangsa atau bangsa besar, yang di sisi rencam dengan
kepelbagaian etnik dan budayanya di seluruh alam Melayu, masih
dapat menampilkan keperibadian yang bernaung di bawah
tonggak-tonggak utama tamadun, terutama bahasa Melayu dan agama
Islam.
Bahasa Melayu sebagai Salah Satu Asas Kebangsaan dan
Kenegaraan
Dalam pelbagai wacana lisan dan tulisan tentang sejarah
perjuangan kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan tanah air, telah
dihuraikan bahawa kebangkitan semangat kebangsaan yang berlangsung
di negara ini merupakan kebangkitan semangat yang holistik
sifatnya. Cita-cita membebaskan tanah air bukan terhad pada
pembebasan daripada sudut politik dan ekonomi semata-mata, bahkan
turut merangkum aspek bahasa, pemikiran, pendidikan dan kebudayaan
juga. Maka itu, muncul dalam kosa kata bahasa Melayu frasa
nasionalisme bahasa atau nasionalisme linguistik, dengan pengertian
nasionalisme atau semangat kebangsaan yang berteraskan perjuangan
memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu asas kebangsaan dan
kenegaraan.
Gerakan nasionalisme sebagaimana yang berlangsung dalam kalangan
nasionalis di Maktab Sultan Idris Tanjung Malim (yang ditubuhkan
pada tahun 1922), wartawan, sasterawan, bahasawan dan bahkan
agamawan yang tampak nyata berkobar dalam Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu Pertama (1952), Kongres Bahasa dan Persuratan
Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
(1956) membuktikan penghayatan yang bersepadu tentang erti
kemerdekaan tanah air. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada
tahun 1956 sebagai badan perancangan bahasa Melayu itu pun
merupakan hasil perjuangan rakyat, khususnya melalui Kongres Bahasa
dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun yang sama dengan penubuhan
badan itu.
Pada pihak Kerajaan (yang bertaraf kerajaan sendiri sejak tahun
1955) sebelum memperoleh kemerdekaan pada waktu itu, penubuhan
Jawatankuasa Razak pada tahun 1956 turut memperlihatkan kejelasan
tentang wawasan pembentukan negara yang turut memperhitungkan
peranan bahasa, apabila Laporan Razak menegaskan peranan bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan
negara ini. Pancang yang diasaskan oleh Jawatankuasa Razak dan
kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Rahman Talib (1960) itulah
yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan diperteguh
pernyataannya dalam Akta Pendidikan 1996. Falsafah di baik
penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem
pendidikan negara itu berkaitan rapat dengan agenda perpaduan
kebangsaan, pembangunan yang berasaskan acuan sendiri dan juga
pendemokrasian pendidikan.
Dengan menggunakan bahasa penghantar utama yang sama, iaitu
bahasa Melayu, dicita-citakan berhasilnya pemupukan persefahaman
dan tolak ansur yang membentuk perpaduan kebangsaan. Demikian pula,
kemajuan dalam bidang pendidikan negara berlangsung dalam acuan
sendiri apabila bahasa kebangsaan dijadikan asas untuk membentuk
pemikir, tenaga ilmu dan tenaga kerja dalam pelbagai bidang. Yang
tidak kurang pentingnya ialah penggunaan bahasa Melayu untuk
melaksanakan pendemokrasian pendidikan dalam kalangan semua
keturunan yang pada zaman Inggeris telah ternafi sebahagiannya
apabila bahasa Inggeris menjadi wahana pendidikan kelas atasan dan
golongan elit, sementara pendidikan berbahasa Melayu dan bahasa
vernakular Cina dan Tamil bertaraf pendidikan kelas kedua.
Tempoh babak-babak tertentu dalam lebih setengah abad silam
sebenarnya dapat dikatakan diwarnai oleh kejayaan tertentu dasar
negara dalam hampir semua ranah. Meskipun masih jauh perjalanan
untuk mencapai cita-cita luhur sebagai negara yang benar-benar
bersatu padu rakyatnya, tercapainya keadilan ekonomi yang
sesungguhnya dan jelas sendi kebudayaan kebangsaannya, namun kita
telah bermula dengan perancangan yang bersepadu antara pembangunan
fizikal dengan pembangunan dalaman. Kisah kejayaan negara kita
dalam tempoh setengah abad sebenarnya berkaitan rapat dengan adanya
dasar-dasar kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam soal
bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Negara kita terbentuk atas
landasan kontrak sosial yang jelas.
Prinsip jus soli yang memungkinkan golongan pendatang bukan
Melayu diterima sebagai rakyat negara ini diterima dengan penuh
redha oleh orang Melayu atas kepentingan untuk mencapai kemerdekaan
dan beberapa asas kenegaraan yang berteraskan kemelayuan dan
keperibumian diterima pula oleh orang bukan Melayu sejak zaman
menjelang kemerdekaan lagi (misalnya dalam manifesto pilihan raya
1955) sewaktu negara dalam tahap pemerintahan sendiri sebelum
kemerdekaan diberikan. Kedudukan agama Islam sebagai agama
Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan
Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera
merupakan asas kontrak sosial yang tidak harus dilupakan.
Sebagaimana kata Khoo Kay Kim (2005), hingga tahun 2020, iaitu
tahun sasaran pencapaian negara maju bagi Malaysia, kontrak sosial
tidak mungkin dapat diabaikan begitu sahaja sebagai asas kenegaraan
Malaysia.
Dalam soal bahasa, jelas bahawa penobatan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan
dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas
kenegaraan dan kebangsaan yang penting. Sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti
politik yang dikenal sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati
diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan
menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai
ranah. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi salah satu unsur
penggerak jentera pentadbiran negara, dengan peranannya sebagai
wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan pentadbiran sehingga
kecekapan pentadbiran sebahagiannya bergantung pada kecekapan
bahasa yang ada pada penjawat awam pada pelbagai peringkat.
Sebagai bahasa ilmu pula, khususnya melalui peranannya sebagai
bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, bahasa Melayu
mengisi erti pendemokrasian pendidikan, dengan pengertian bahawa
pelbagai ilmu dapat disampaikan kepada sebahagian besar rakyat
melalui bahasa yang satu, sehingga kemungkinan wujudnya kesenjangan
atau jurang ilmu dan kemahiran, sebagaimana yang berlaku dalam
zaman penjajahan dapat dielakkan kerana kita mempunyai sistem
pendidikan kebangsaan, bukan sistem yang memisah-misahkan empat
aliran (aliran bahasa Inggeris dan tiga aliran vernakular Melayu,
Cina dan India). Penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa
pengembangan ilmu (yang memenuhi fitrah dan disokong oleh sekian
banyak kajian, termasuk diungkapkan dalam piagam UNESCO)
memungkinkan proses pengilmuan masyarakat menjadi lebih berkesan.
Dalam tempoh kira-kira tiga dekad pelaksanaan bahasa Melayu sebagai
bahasa penghantar utama (dengan mengambil tahun 1970 sebagai titik
tolaknya), telah terhasil beberapa juta ahli ilmu, birokrat,
teknokrat, profesional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai
bidang, dengan sebahagian besar mereka terdidik dalam sistem
kebangsaan yang bahasa penghantar utamanya bahasa Melayu,
sekurang-kurangnya sehingga peringkat menengah atas (Tingkatan
Lima).
Aspek yang kurang diperhatikan dan kurang disedari kebanyakan
orang tentang kejayaan sistem pendidikan negara yang berbahasa
penghantar bahasa Melayu ialah terbentuknya kesatuan sikap,
pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa dalam kalangan generasi
muda di Malaysia, selain terbentuknya budaya berbahasa yang relatif
seragam. Orang yang bergerak dalam bidang pendidikan dan
memperhatikan kehidupan di alam persekolahan pasti dapat
menyaksikan bagaimana bahasa Melayu berhasil menjadi wahana yang
membentuk sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa anak
didik di institusi pendidikan. Ternyata bahawa prasangka perkauman
dapat diatasi sebahagiannya oleh faktor bahasa. Pasti menarik
hasilnya jika kajian empiris tentang aspek itu dapat dilakukan.
Cabaran dan Hambatan
Ibu segala masalah yang kita hadapi dalam pelaksanaan dasar
bahasa yang berkaitan erat dengan proses pembinaan negara itu ialah
ketidaktekalan sikap, pendirian dan pelaksanaan, yang sebahagiannya
disebabkan oleh faktor tidak atau kurang memahami peranan bahasa
sebagai salah satu asas pembangunan. Pasti pula ketidakfahaman itu
disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah
pembangunan, yang umumnya lebih dipertalikan sejumlah orang dengan
pembangunan fizikal, sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap
tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan. Malang sekali bahawa
sejumlah yang bersikap demikian ialah orang Melayu yang menjadi
warganegara teras, baik daripada segi jumlah mahupun sejarahnya
sebagai bangsa asal penduduk negara ini.
Dalam pada itu, kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah
di hadapan dalam bidang ekonomi, umumnya ternyata begitu perihatin
terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah
untuk mempertahankannya. Sebilangan orang Melayu yang baru agak
celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan
memandang hina pula akan bahasa dan budayanya.
Andai kata dasar-dasar kenegaraan yang telah diletakkan oleh
kepemimpinan terdahulu, khususnya pada zaman Allahyarham Tun Abdul
Razak, dihayati dan diperkukuh pelaksanaannya, nescaya kita tidak
berhadapan dengan masalah ketidaktentuan dalam pelaksanaan dasar
negara sehingga kita seringkali menjadi tikus yang membaiki labu.
Kita sering membuat diagnosis yang silap dalam usaha menyelesaikan
sesuatu masalah. Sebagai contoh, dalam soal yang dikatakan
kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan
lepasan sekolah serta universiti, diagnosis yang dilakukan ternyata
silap sehingga penyelesaian terhadap masalah itu menjadi silap
juga. Kiasan yang dinyatakan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid, bekas
Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia amat tepat
menggambarkan diagnosis yang silap itu, iaitu Lain yang luka lain
yang dibebat.
Penyakit yang dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris
dalam kalangan lepasan sekolah dan universiti tidak diatasi dengan
pembaikan dalam pengajaran bahasa itu tetapi dengan menjadikan
bahasa Inggeris bahasa penghantar subjek-subjek yang berkaitan
dengan sains dan matematik dan subjek-subjek teknikal. Kajian yang
telah dilakukan (misalnya Juriah Long et al., 2004 dan Norhashimah,
2004) menunjukkan bahawa bukan sahaja pencapaian pelajar dalam
subjek bahasa Inggeris tidak meningkat, bahkan subjek matematik dan
sains merudum dengan nyatanya. Lebih malang lagi, pencapaian dalam
subjek bahasa Melayu pun terkena tempiasnya. Kajian Kementerian
Pelajaran Malaysia sendiri menunjukkan bahawa hanya 4% guru sains
dan matematik yang mengajar dalam bahasa Inggeris sepenuhnya
keputusan UPSR dan PMR 2008 memperlihatkan kemerosotan yang nyata
dalam mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris sebagai
kesan pelaksanaan PPSMI (program pengajaran sains dan matematik
dalam bahasa Inggeris). (Berita Harian, 10 September 2011)
Dengan perkataan lain, sesudah setengah abad merdeka, dapat
dikatakan bahawa upaya membudayakan atau memasyarakatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan
bahasa ranah-ranah lain yang menunjang kehidupan bertamadun belum
sepenuh-penuhnya berhasil. Perlu diakui bahawa ada penjawat awam,
sarjana dan kalangan dalam sektor lain yang memahami erti dan
sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara.
Namun, dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang menurut orang
Indonesia masa bodoh (tidak peduli) akan nasib bahasa Melayu.
Pembinaan sikap bahasa ternyata perlu menjadi salah satu keutamaan
dalam strategi perancangan bahasa kebangsaan untuk setengah abad
mendatang dan seterusnya. Anggota masyarakat perlu disedarkan
bahawa kecukupan sandang pangan (pakaian dan makanan) bukan
satu-satunya matlamat kehidupan kerana ada agenda yang lebih besar
daripada sekadar hidup untuk makan. Sekali lagi kita perlu belajar
daripada sikap perihatin rakyat bukan Melayu yang meskipun mencapai
ekonomi yang baik namun tetap memiliki rasa kepedulian yang tinggi
kepada nasib bahasa dan budaya mereka.
Amat menyedihkan bahawa kian kabur pemahaman dan penghayatan
sesetengah kalangan tentang peranan bahasa Melayu dalam pembentukan
konsep kebangsaan dan kenegaraan negara ini. Kekaburan dan malahan
ketiadaan konsep kebangsaan dan kenegaraan yang berasaskan bahasa
dalam minda sesetengah kalangan itu terpancar dalam bentuk sikap,
pernyataan dan tindakan. Tidaklah sukar mencari contohnya.
Pengutamaan bahasa asing dalam majlis dan urusan tertentu masih
agak leluasa sebagai fenomena yang umum, hatta dalam urusan rasmi
yang menurut Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah
dilaksanakan dengan menggunakan bahasa kebangsaan. Mesyuarat yang
bercampur aduk antara bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan
bahasa asing sehingga menimbulkan fenomena bahasa rojak dalam
urusan rasmi masih belum betul-betul sirna dalam bidang
pentadbiran.Meskipun berlaku perkembangan yang ketara dalam
pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam
sektor pentadbiran negara, namun kajian yang dijalankan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007 memperlihatkan keadaan yang
belum cukup memuaskan. Di sini saya petik rumusan kajian
tersebut:
1. Tahap Penggunaan Bahasa MelayuSecara keseluruhannya, tahap
penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan mencapai
tahap yang memuaskan dengan kebanyakan dokumen ditulis dalam bahasa
Melayu sepenuhnya. Penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi
merupakan peratusan tertinggi, iaitu 93.22%. Ini menunjukkan bahawa
penjawat awam peka dan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu semasa
menulis surat rasmi.
Kepekaan dan pengutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam memo
juga tinggi, iaitu 86.24% menggunakan bahasa Melayu seluruhnya.
Namun, dapatan menunjukkan penggunaan bahasa Melayu lebih rendah
berbanding dengan surat rasmi, mungkin disebabkan tanggapan
sesetengah pegawai bahawa memo dalaman merupakan dokumen yang
kurang rasmi berbanding surat rasmi kerajaan. Oleh yang demikian,
terdapat penggunaan bahasa Inggeris yang lebih ketara. Namun, bagi
dokumen yang lain, tahap penggunaan bahasa Melayunya lebih rendah,
dan yang paling ketara ialah Laporan Tahunan yang hanya mencapai
57.78% dalam penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya, sementara 11.11%
menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dan 31.11% menggunakan
campuran bahasa Melayu-bahasa Inggeris.
Ini menunjukkan bahawa tahap penggunaan bahasa Melayu dalam
dokumen rasmi kerajaan masih perlu diberi perhatian dan tahap
kepekaan serta jati diri penjawat awam perlu ditingkatkan..
Demikian juga, hilangnya penghormatan kepada bahasa Melayu dalam
pelbagai majlis rasmi negara hanya disebabkan adanya sejumlah kecil
orang asing di majlis berkenaan pun masih menjadi fenomena yang
menyebakkan. Di sisi itu, terasa begitu sulit hendak memahamkan
kalangan yang bertanggungjawab tentang citra bandar, pusat
pentadbiran, kawasan perumahan dan tempat awam yang lain tentang
mustahaknya bahasa Melayu diberi tempatnya yang wajar, sehingga
tidak terfikir sama sekali oleh Perbadanan Putrajaya, misalnya,
untuk memberikan citra pusat pentadbiran negara dengan nama yang
berciri kebangsaan, di balik berasa megah denganBoulevard, Parcel,
Presintdan sebagainya. Alangkah janggalnya juga bahawa di
tengah-tengah sekian banyak wisma di bandar pentadbiran Putrajaya
yang diberi nama dalam bahasa Melayu tiba-tiba wujudPalace of
Justice! Syukurlah dalam kalangan pemimpin di Malaysia ada orang
yang prihatin seperti Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri
Kebudayaan, Komunikasi dan Kebudayaan, sehingga suara hati pejuang
bahasa dapat sampai ke nuraninya dan kemudian muncul nama yang
indahIstana Kehakiman.
Peristiwa yang paling besar yang menunjukkan betapa cairnya
penghayatan akan peranan bahasa Melayu dalam pembentukan tamadun
negara menurut acuan sendiri ialah perubahan pelaksanaan bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan
negara, apabila pada tahun 2002 diputuskan pengajaran sains dan
matematik dan subjek-subjek lain yang berkaitan dengan dua subjek
itu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, bermula pada tahun 2003.
Institusi pengajian tinggi awam telah pun mula menyertai institusi
pengajian tinggi swasta dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai
bahasa penghantar utama, khususnya dalam penyampaian kuliah
kursus-kursus sains dan teknologi. Bahkan Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya yang menjadi pusat ilmiah pengajian Melayu pun
telah diarah memulakan pengajaran ehwal bahasa, sastera dan budaya
Melayu dalam bahasa Inggeris, bermula dengan 30% pada tahun 2007
dan beransur-ansur ditingkatkan sehingga menjadi 70%. Syukurlah
bantahan kepada kepemimpinan Universiti Malaya berjaya menghentikan
pelaksanaan arahan tersebut, tetapi soalnya sehingga bila kita
perlu berhadapan dengan situasi berjihad memerangi sikap pelik bin
ajaib seumpama itu!
Atas nama pragmatisme, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu dan bahasa pengucapan intelektual beransur-ansur terhakis
sehingga tidaklah mustahil bahawa akhirnya bahasa Melayu yang
dikenal dan digunakan orang kelak hanya bahasa Melayu untuk tujuan
komunikasi sehari-hari sahaja dan bahasa Melayu tinggi tidak
menjadi citra penting lagi sebagai cerminan tamadun bangsa Melayu.
Hujah bahawa bahasa Melayu akan terus perkasa dan diperkasakan
dalam keadaan bahasa Melayu dinafikan peranannnya sebagai bahasa
ilmu menjadi hujah yang membingungkan dan sekali gus tidak masuk
akal.
Syukurlah bahawa pada tahun 2009 telah diputuskan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah pimpinan Timbalan Perdana
Menteri yang merangkap tugas Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin
Mohd. Yassin bahawa PPSMI dimansuhkan dan digantikan dengan program
MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Meningkatkan Bahasa Inggeris).
Muncul sinar harapan bahawa bahasa Melayu terus menjadi bahasa
penghantar utama sistem pendidikan di peringkat persekolahan.
Sekian banyak peristiwa seumpama itu sebenarnya berpunca
daripada tiada atau kurangnya pengertian bahawa bahasa Melayu
berperanan dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan.
Lebih mendasar daripada itu, masih banyak orang yang tidak dapat
memahami apakah hubungan antara bahasa dengan pembinaan diri,
bangsa dan negara, disebabkan terbelenggu oleh pemahaman bahawa
bahasa tidak lebih daripada suatu kemahiran yang mekanis sebagai
alat komunikasi semata-mata (bahkan lebih buruk lagi apabila yang
difahami dengan peranan bahasa sebagai alat komunikasi itu terbatas
pada komunikasi asas seperti perbualan sehari-hari sahaja, bukan
komunikasi pemikiran dan budaya tinggi). Usaha memberikan pemahaman
yang betul tentang erti bahasa dalam kehidupan bertamadun tampaknya
tidaklah pula mudah kerana hal itu pun tidak begitu jelas
pembudayaannya dalam masyarakat, termasuk dalam sistem
pendidikan.
Pemantapan dan Kemantapan Korpus Bahasa Melayu
Tempoh lebih setengah abad yang lalu turut memperlihatkan
kepesatan usaha memantapkan korpus bahasa Melayu daripada sudut
sistem ejaan, peristilahan, kosa kata umum, sebutan, tatabahasa dan
laras bahasa. Kisah kejayaan perancangan bahasa dalam bidang korpus
itu telah saya rumuskan dalam beberapa tulisan sebelum ini (lihat,
misalnya, makalah saya dalam A. Rahim Bakar dan Awang Sariyan,
2005). Terlepas daripada polemik linguistik dan sosiolinguistik
tentang sistem bahasa yang dimantapkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka dengan dukungan sekian banyak ahli bahasa dan ahli ilmu
dalam pelbagai bidang, dapat dikatakan bahawa bahasa Melayu telah
mencapai kemantapan korpusnya. Kemantapan korpus bahasa Melayu itu
telah dimanafaatkan dengan agak meluas dalam pelbagai ranah.
Pemantapan korpus bahasa Melayu, biarpun dengan pelbagai istilah
dan tafsiran, seperti adanya istilah pembakuan, penstandardan,
penyelarasan atau yang lain, mempunyai erti yang penting juga dalam
rangka pembinaan tamadun bangsa dan negara. Perancangan korpus
bahasa berperanan mengisi erti taraf atau kedudukan bahasa Melayu
yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa
ilmu dan bahasa komunikasi umum. Apatah ertinya taraf bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan (yang bermakna bahasa negara) jika
sistemnya tidak keruan sehingga tidak dapat dikenal sosok bahasa
Melayu yang menjadi bahasa negara itu? Apatah ertinya taraf bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi jika untuk menjadi wahana pelaksanaan
pentadbiran negara bahasa itu tidak mempunyai sistem yang kemas dan
relatif seragam dalam hal ejaan, sebutan, istilah, kosa kata umum,
tatabahasa dan laras bahasanya sehingga tidak dapat menjadi wahana
komunikasi pentadbiran yang cekap dan berkesan? Demikian pula,
apatah eritnya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu jika sistem
bahasanya tidak mencapai tahap teratur, baku atau standard dan
berdaya mengungkapkan hal-hal ilmu?
Dalam kaitannya dengan semua keperluan itulah maka usaha
pemasyarakatan bahasa yang baik, teratur dan santun perlu
terus-menerus dilaksanakan. Mana-mana bangsa yang bertamadun
memiliki ragam bahasa yang baku atau standard, di sisi ragam bahasa
basahan atau bahasa sehari-hari, untuk menjadi wahana penzahiran
idea, ilmu konsep dan budaya tinggi. Sehubungan dengan itu,
pembudayaan berbahasa dengan santun (dengan pengertian berbahasa
menurut peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan
peraturan pragmatik) memerlukan perancangan dan pelaksanaan
strategi yang lebih berkesan, khususnya melalui institusi
pendidikan, pentadbiran dan media massa.
Tempoh lebih setengah abad lalu meskipun memperlihatkan kemajuan
dalam penguasaan sistem bahasa Melayu dalam kalangan pelajar,
penjawat awam dan masyarakat umumnya, ternyata masih belum mencapai
tahap yang cukup memuaskan jika diukur daripada sudut penggunaan
bahasa Melayu tinggi. Dengan tidak bermaksud menafikan peranan
bahasa sehari-hari, tampaknya bahasa Melayu tinggi yang dapat juga
diistilahkan sebagai bahasa terbina (elaborated code menurut
istilah Bernstein), sebagai lawan bahasa terhad (restricted code)
belum membudaya dengan mantap dalam kalangan yang seharusnya
menguasainya. Masih banyak karya ilmiah yang belum mencapai tahap
bahasa Melayu tinggi yang sewajarnya. Masih ketara penggunaan
bahasa Melayu yang tidak baku di tempat awam (iklan, nama tempat,
bangunan, syarikat dan sebagainya). Demikian juga masih menjadi
impian untuk kita menyaksikan pidato, ucapan, syarahan dan
perbahasan yang mencerminkan bahasa Melayu tinggi, dengan
kekecualian sejumlah orang yang masih agak kecil bilangannya.
Seringkali harapan kita untuk menikmati wawancara atau ucapan yang
bermutu penyampaiannya (termasuk dalam hal penggunaan bahasa) tidak
tercapai, malahan perbahasan di Parlimen kadang-kadang tidak pula
mencerminkan kemurnian dan taraf Parlimen itu sendiri, disebabkan
bahasa Melayu tinggi yang seharusnya digunakan bertukar menjadi
bahasa Melayu rendah, kadangkala dengan carutan dan maki hamun.
Dalam pada itu, sebarang langkah berundur daripada ketetapan dan
pelaksanaan yang telah berlangsung disebabkan keraguan yang timbul
dalam diri sendiri tidak membantu keutuhan bahasa Melayu. Sebagai
contoh, pelaksanaan sebutan baku yang bertujuan untuk membentuk
bahasa lisan formal sebagai salah satu cirinya, telah diputuskan
pada tahun 1980-an, dan pelaksanaannya diterapkan dalam Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah (KBSM dan KBSR)
bermula pada tahun 1988. Dengan keputusan Kabinet pada tahun 2000,
sebutan baku dihadkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja,
tidak lagi merentas kurikulum seperti selama 12 tahun sebelumnya
dan badan penyiaran tidak lagi mempunyai suatu piawai sebutan baku
sebagaimana yang telah dilaksanakan selama lebih satu dekad oleh
sekurang-kurangnya sebuah stesen televisyen (TV3).
Dalam perkembangan pelbagai media alternatif kini, terutama
laman sosial seperti Facebook, Twitter, blog, sms dan sembang
internet, fenomena sejumlah pengguna bahasa menggunakan ragam
bahasa yang amat tidak formal dan malahan ragam bahasa ciptaan
baharu kian menghakis ragam bahasa formal. Sistem ejaan, pilihan
kata dan struktur ayat dalam media alternatif itu sudah
memperlihatkan kecenderungan sejumlah pengguna bahasa tidak dapat
membedakan sifat bahasa yang peribadi dengan sifat bahasa yang
berkaitan dengan khalayak yang luas. Daripada segi kemantapan
sistem bahasa Melayu, fenomena ini dikhuatiri menjadi hambatan
kepada perkembangan bahasa Melayu rasmi dan bahasa Melayu tinggi.
Pandangan ini tidak bermaksud menafikan hak seseorang menggunakan
bahasa menurut ideoleknya, tetapi kurangnya perhatian kepada
penggunaan bahasa yang berasaskan sistem bahasa, terutama dalam
menghadapi khalayak yang luas dan berbagai-bagai dibimbangi akan
memberikan kesan kepada kemantapan sistem bahasa Melayu yang
unggul. Demikian juga halnya dengan kian kurangnya kawalan
penggunaan kata dan ungkapan yang memenuhi sistem nilai yang
beradab, santun dan tertib.
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ANTARABANGSADAN UPAYA
PENGANTARABANGSAANNYA
Istilah pengantarabangsaan yang saya gunakan bagi bahasa Melayu
dalam kertas kerja ini barangkali mengundang persoalan: Mengapakah
bahasa Melayu perlu diantarabangsakan, seolah-oleh bahasa tersebut
belum bertaraf antarabangsa? Prof Dr. James T. Collins (1999) dalam
kritiknya terhadap pertanyaan Wajarkah bahasa Melayu
diantarabangsakan yang diajukan oleh seorang wartawan muda akhbar
setempat kepadanya menegaskan bahawa bahasa Melayu tidak perlu
diantarabangsakan kerana bahasa Melayu memang sudah bersifat
(bertaraf) antarabangsa. Bahasa Melayu memang telah mencapai taraf
antarabangsa sejak lebih seribu tiga ratus tahun lalu (Collins
1999), dengan memperhitungkan Kerajaan Sriwijaya sebagai titik
tolak pengantarabangsaan bahasa Melayu. Pada zaman itu bahasa
Melayu telah berinteraksi dengan bahasa Sanskrit yang mewakili
kebudayaan India.
Apabila Islam datang ke alam Melayu pada sekitar abad ke-10
(malah sumber Aceh menyatakan bahawa Islam telah tiba di alam
Melayu pada abad ke-8 lagi), bahasa Melayu mengalami interaksi
dengan satu lagi bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Arab dan di sisi
itu juga kemudian bahasa Parsi. Kegiatan penerjemahan teks daripada
bahasa Arab kepada bahasa Melayu telah berlangsung, seperti usaha
penerjemahan Aqaid al-Nasafi (1590) yang merupakan kitab tertua
dalam bahasa Melayu (al-Attas, 1988). Dengan demikian bahasa Melayu
telah diantarabangsakan daripada sudut kandungan bahasa itu sendiri
dan pada waktu yang sama daripada sudut peranannya juga, iaitu
sebagai bahasa yang digunakan dalam ranah hubungan antarabangsa,
khususnya sebagai bahasa diplomasi. Antaranya termasuklah surat
Sultan Aceh kepada kapitan Inggeris, James Lancester (1601), surat
Sultan Alauddin Shah Aceh kepada Harry Middleton (1602) dan surat
Sultan Aceh kepada raja Inggeris, King James (1612) (Nik Safiah
Karim et al., 1996).
Selain itu, bahasa Melayu telah mula mendapat perhatian sarjana
Barat sehingga seawal abad ke-17 telah terhasil sejumlah buku
tatabahasa dan kamus seperti karya de Houtman (1603), Albert Ruyl
(1611), Casper Wittens dan Sebastian Danckaerts (1623), David Haex
(1631) dan lain-lain.
Interaksi bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa Barat kemudian,
terutama bahasa Inggeris, telah memungkinkan bahasa Melayu menambah
kekayaannya yang sedia ada, baik dalam bidang fonologi, kosa kata,
sintaksis mahupun wacana. Bahasa Melayu telah mencapai tahap saling
terjemah (inter-translatibality) yang tinggi dengan bahasa-bahasa
moden yang lain.
Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya
dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan
beberapa abad berikutnya. Pada masa ini bahasa Melayu belum sampai
ke tahap bahasa antarabangsa yang dominan sebagaimana halnya dengan
bahasa Inggeris yang telah menjadi bahasa ibunda atau bahasa
pertama lebih 45% penduduk 10 buah negara di dunia seperti United
Kingdom, Ireland, Australia, New Zealand, Barbados, Jamaica,
Trinidad, Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana (Fishman et al.,
1977), menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di Botswana,
Cameroon, Fiji, Gambia, Ghana, India, Lesotho, Liberia, Malawai,
Malta, Mauritius, Namibia, Nauru, Nigeria, Filipina, Zimbabwe,
Sierra Leone, Singapura, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania,
Tonga, Uganda, Saomoa Barat dan Zambia (Richards, 1991). Dengan
kedudukannya sebagai bahasa dunia yang dominan dan kini dipercayai
antara bahasa dunia yang berperanan besar dalam proses globalisasi,
perbincangan tentang pengajaran bahasa Inggeris kepada penutur
asing menjadi tema yang mendapat perhatian besar sehingga
perbincangan tentang pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing
mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai kurang relevan.
Namun bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sendiri dalam
perkembangan bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada
keperluan pengajarannya kepada penutur asing meskipun tidak seluas
keperluan pengajaran bahasa Inggeris. Fakta mutakhir yang cukup
memberangsangkan ialah pernyataan tentang perkembangan dan potensi
bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan, antaranya seperti
pernyataan David Graddol, Pengarah The English Company (UK) Ltd
dalam jurnal The Future of Language (27 Februari 2004) bahawa
bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang amat pesat
berkembang. Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa
akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya. Yang penting ialah
bahawa atas dasar adanya keperluan bahasa Melayu diajarkan kepada
dan dipelajari oleh penutur asing itu, perlu ada perencanaan yang
rapi untuk memenuhi keperluan tersebut.
Semangat untuk mengantarabangsaan bahasa Melayu kini sebenarnya
merupakan kesinambungan suatu sejarah gemilang bahasa Melayu yang
telah terbina. Upaya kita kini sebenarnya lebih merupakan salah
satu upaya meningkatkan taraf antarabangsa yang telah dicapai oleh
bahasa Melayu, untuk memenuhi keperluan perkembangan zaman. Hal ini
selaras dengan kenyataan bahawa keantarabangsaan bahasa Melayu kini
jika dibandingkan dengan keantarabangsaannya pada zaman gemilang
tamadun Melayu sebelum datangnya penjajah masih jauh daripada yang
kita dambakan. Meskipun bahasa Melayu tersebar dan dipelajari di
mana-mana bahagian di dunia ini, dan dengan demikian melayakkannya
bertaraf antarabangsa, namun peranannya sebagai wahana kehidupan
moden dalam kalangan masyarakat antarabangsa masih agak samar.
Bahasa Melayu dalam era ini belum dapat dilihat sebagai bahasa
perdagangan, bahasa ekonomi, bahasa ilmu dan bahasa teknologi di
peringkat antarabangsa. Pengajaran bahasa Melayu kepada penutur
asing mudah-mudahan dapat beransur-ansur meningkatkan peranan
bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Potensi besar bahasa Melayu yang menimbulkan keperluan
perencanaan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing ialah
wujudnya pusat-pusat pengajian di seluruh dunia yang mengajarkan
bahasa Melayu (dengan pengertian bahasa Indonesia juga). Bahasa
Melayu diajarkan dan diteliti di puluhan universiti di Eropah, di
Australia, di New Zealand, dan di Amerika Utara, di samping
diajarkan dan diteliti di rantau Asia Tenggara, Asia Timur, dan
Asia Utara.
Di Eropah Barat, kajian tentang bahasa dan sastera
Melayu-Indonesia telah mencapai tahap yang mapan, meskipun harapan
banyak bergantung pada tokoh-tokoh tertentu. Kegiatan
pengajaran-pemelajaran dan penelitian bahasa, sastera dan budaya
Melayu dapat dikatakan meriah di benua tersebut, terutama di
pusat-pusat tradisional pengajian Melayu seperti Leiden, London,
dan Paris. Di Leiden, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Kursi
Pengajian Melayu untuk benua Eropah.
Selain itu, terdapat juga pengajian Melayu di Itali. Di Jerman
pula, sebagai kesan munculnya minat masyarakatnya terhadap
Indonesia, lima buah universiti di negara tersebut mengajarkan
bahasa Melayu-Indonesia. Kelima-limanya itu ialah Universiti
Hamburg, Universiti Cologne, Universiti Bonn, Universiti Frankfurt,
dan Universiti Passau. Di sisi itu, ada juga perhatian kepada Dunia
Melayu, termasuk bahasa Melayu di Universiti Bochum, di Universiti
Kassel, dan di Universiti Giesen. Universiti Frankfurt, di bawah
Pusat Pengajian Asia Tenggara telah mula memperkenalkan bahasa
Melayu varian Malaysia pada tahun 2004 apabila Prof. Emeritus Dr.
Abdullah Hassan dilantik sebagai Profesor Tamu untuk memperkenalkan
dan mengajarkannya kepada pelajar dari seluruh Eropah. Secara
berturut-turut pada tahun 2006 dan 2007, Prof. Dr. Awang Sariyan
pula dilantik menjadi Profesor Tamu untuk memberikan kuliah
intensif kepada sejumlah 20 orang lebih calon Magister (sarjana)
tentang perbandingan bahasa Melayu varian Malaysia dan varian
Indonesia, tatabahasa bahasa Melayu dan sosiolinguistik bahasa
Melayu.
Di bahagian lain benua Eropah, khususnya di Portugal dan di
Skandinavia tampak juga adanya minat terhadap bahasa Melayu. Di
Perancis, telah lama berkembang pengajian Melayu, khususnya
pengajian Indonesia di beberapa buah institusi ilmiah di Paris.
Kemudian mula berkembang pengajaran bahasa dan sastera Melayu di
Universiti La Rochelle di selatan Perancis pada tahun 2002. Sebagai
hasil kerjasama yang terjalin dengan Dewan Bahasa dan Pustaka
melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), pelajar dari
universiti itu telah dihantar ke DBP untuk program latihan industri
pada tahun 2003. Telah ada juga ada ura-ura pembukaan program
pengajian Melayu di Institut Asia dan Afrika Tiblisi, Georgia
(surat Prof. Dr. Guram Chikovani, Rektor TIAA kepada pemakalah,
bertarikh 25 Oktober 2005).
Di Amerika Syarikat, universiti yang mula-mula mengadakan
pengajaran dan penelitian bahasa Melayu-Indonesia ialah Universiti
Yale dan Universiti Cornell. Sesudah itu pengajian bahasa
Melayu-Indonesia dipergiat melalui Program Musim Panas yang
kemudian merangkumkan pelibatan Universiti Hawaii dan Universiti
California-Berkeley. Kini bahasa Melayu diajarkan juga di
Universiti Wisconsin, Universiti Ohio, Universiti Michigan,
Universiti Illinois, dan Universiti Arizona (Ismail Hussein, 1995).
Prof. Dr James Collins, pakar dialektologi Melayu yang selama dua
dekad berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sejak akhir
tahun 2008 telah bertugas sebagai Pengarah Pusat Pengajian Asia
Tenggara yang sebahagiannya mengupayakan pengembangan bahasa Melayu
dalam program ilmiahnya di Amerika Utara.
Di Australia, pengajaran dan penelitian bahasa Melayu terdapat
di Universiti Sydney, di Universiti Melbourne, di Universiti
Kebangsaan Australia, di Universiti La Trobe, dan di Universiti
Monash. Di samping itu, bahasa Melayu diajarkan di Curtin
University of Technology di Perth, di Universiti Australia Selatan,
di Kampus Bendigo Universiti La Trobe, di Universiti Griffith, di
Universiti James Cook, di Universiti Deakin, di Universiti
Flinders, di Universiti Queensland Selatan, di Universiti Murdoch,
di Universiti Tasmania, di Universiti Kolej Wilayah Utara, dan di
Sekolah Bahasa-bahasa Angkatan Udara Diraja. Di Victoria sahaja,
terdapat sejumlah 120,000 orang pelajar bahasa Melayu (khususnya
variasi Indonesia) dari peringkat sekolah rendah hingga universiti
(Awang Sariyan, 2004).
Besarnya minat masyarakat Australia terhadap bahasa dan budaya
Melayu walau bagaimanapun tidak pula menempiaskan minat yang sama
besarnya kepada New Zealand sebagai satu lagi jiran Barat bagi
Asia. Namun demikian bahasa Melayu ada diajarkan di Universiti
Auckland dan di Universiti Victoria, di samping di Kolej Rongitoto.
Malah Kursi Pengajian Melayu yang diusahakan atas kerjasama
kerajaan Malaysia dengan New Zealand ditempatkan di Universiti
Victoria, Wellington. Pada hemat penulis (dan juga penilaian bekas
penyandang Kursi Pengajian Melayu di New Zealand, dalam percakapan
tidak rasmi di Universiti Malaya pada awal 2009), Kursi tersebut
lebih sesuai ditempatkan di Universiti Melbourne di Australia.
Sebagai hasil promosi bahasa Melayu oleh Majlis Antarabangsa
Bahasa Melayu (MABM) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, di
Australia, khususnya di Melbourne, Universiti Deakin telah
memberikan kepercayaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Universiti Putra Malaysia mengendalikan kursus bahasa Melayu kepada
pelajar-pelajarnya yang didatangkan ke Malaysia dalam tempoh
sebulan setengah bermula pada penghujung tahun 2004. Kumpulan kedua
pelajar Universiti Deakin yang dihantar ke Universiti Putra
Malaysia mula mengikuti kursus pada 19 Disember 2005 untuk tempoh
sebulan setengah dan program yang sama diteruskan pada tahun
2006.
Di negara-negara Asia Timur, bahasa Melayu mendapat tempat yang
cukup membanggakan. Di Jepun, pada akhir tahun 1980-an ada lima
buah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai jurusan bahasa
Indonesia, iaitu Universiti Pengajian Asing Osaka, Universiti
Pengajian Asing Tokyo, Universiti Tenri, Universiti Kyoto Sangyu,
dan Universiti Setsunan. Selain itu, ada sebelas universiti yang
ikut mengajarkan bahasa Melayu walaupun tidak mempunyai jabatan
khas bahasa Melayu, iaitu Universiti Kyoto, Universiti Takushoku,
Universiti Nohon, Universiti Sophia, Universiti Ajia, Universiti
Daitobunka, Universiti Senshu, Universiti Tokto, Universiti Tokyo
Nogyo, Universiti Waseda, dan Universiti Pengajian Asing Kota
Kobe.
Di Republik Rakyat China, pengajian bahasa Melayu mencapai
kemantapan di Universiti Peking dan di Universiti Bahasa Asing di
Beijing dan di Universiti Pengajian Asing Guangdong, Guangzhou.
Institusi yang baru memulakan pengajaran bahasa Melayu ialah
Universiti Komunikasi Beijing (2004). Perkembangan mutakhir yang
meyakinkan ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia
di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU)
yang mula diisi pada awal tahun 2008 oleh Prof. Dr. Awang Sariyan.
Peningkatan taraf program bahasa kepada pengajian Melayu di
universiti tersebut yang menjadi asas penubuhan Kursi Pengajian
Melayu telah bermula pada tahun 2005.
Atas usaha Universiti Pengajian Asing Beijing, khususnya
Pengarah Pusat Pengajian Melayu China di BFSU, Prof. Wu Zong Yu,
program bahasa Melayu telah dimulakan di Universiti Peribumi
Guangxi di China Selatan pada bulan September 2008. Pada tahun 2010
pula, Universiti Peribumi Yunnan di kota Kunming telah memulakan
program bahasa Melayu dan maklumat mutakhir yang saya peroleh, bagi
dua kumpulan pelajar tahun 2010 dan 2011, terdapat 79 orang
pelajar. Hingga kini, telah ada tujuh buah universiti di Republik
Rakyat China yang mempunyai program bahasa/pengajian Melayu, iaitu
tiga buah di kota Beijing, sebuah di kota Guangzhou, sebuah di kota
Louyang, sebuah di kota Nanning dan sebuah di kota Kunming. Dengan
peningkatan hubungan dagang, pendidikan dan kebudayaan yang kian
meningkat, dijangka bahawa beberapa buah universiti di
provinsi-provinsi lain akan menubuhkan program bahasa/pengajian
Melayu.Demikian pula di Korea Selatan bahasa Melayu diajarkan di
Universiti Pengajian Asing Hankuk dan di Universiti Pengajian Asing
Busan. Dari Universiti Busan inilah munculnya sarjana pengagum dan
peneliti sejarah tulisan Jawi, iaitu Kang Kyoung Seock. Di Asia
Utara pula, iaitu di Rusia, pengajaran dan pengajian bahasa satu
sastera Melayu sudah sekian lama bertapak di Moskow dan di
Leningrad.
Dengan agak meluasnya perhatian terhadap bahasa Melayu-Indonesia
di pusat-pusat pengajian sedunia, maka memang amat relevan
dibincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Melayu
kepada penutur asing. Meskipun matlamatnya masih lebih tertumpu
pada minat ilmiah dan kebudayaan, dengan sedikit-sedikit pada
peluang pekerjaan, perlu ada perencanaan yang rapi untuk
memungkinkan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing itu
mencapai kesan yang sebaik-baiknya.
DBP pula dalam rangka mengisi agenda pengantarabangsaan bahasa
Melayu telah mengambil langkah menubuhkan Majlis Antarabangsa
Bahasa Melayu (MABM) dengan kelulusan Jemaah Menteri pada tahun
1997 dan memulakan operasinya dalam tahun 2000. Antara bidang yang
ditangani termasuklah pengajaran bahasa Melayu kepada penutur
asing. Di samping mengutus tenaga pengajar (seperti ke Republik
Rakyat Cina, Korea, Eropah, Thailand, Sri Lanka, Kemboja dan
sebagainya), usaha menyusun buku dan modul pengajaran bahasa Melayu
kepada penutur asing telah dimulakan. Pada bulan Ogos dan September
2005, telah diadakan Kursus Bahasa Melayu untuk Munsyi Antarabangsa
dengan pelibatan penatar bahasa Melayu dari Thailand, Kemboja dan
Sri Lanka, iaitu penatar yang sebelumnya telah menerima kurus
bahasa Melayu di negara masing-masing atas usaha DBP.
Merancang untuk Setengah Abad Mendatang dalam Abad Ke-21
Pastilah usaha merancang bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun
bangsa dan negara untuk setengah abad mendatang memerlukan waktu
dan kaedah yang serapi-rapinya. Perlu ada sesi khas untuk sumbang
saran pelbagai pihak dan perlu ada pendokumentasian strategi
perancangan itu. Namun, dalam kertas kerja ini saya sekadar
mencatat beberapa fikiran umum yang mudah-mudahan dapat membantu
sedikit banyaknya perancangan bahasa Melayu dalam tempoh setengah
abad mendatang.
1. Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa
Melayu
i. Peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu
perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Jika
Kerajaan bersedia meminda atau memperluas Akta DBP dalam hal
pemberian kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang
menggunakan bahasa Melayu yang salah di tempat awam, maka tindakan
yang sama hendaklah dikenakan kepada sesiapa jua yang tidak
menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi
dan bahasa ilmu. Mekanisme penguatkuasaan dan tindakan perlu
dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa
kebangsaan dipandang serius oleh semua pihak, sama dengan seriusnya
tindakan kepada orang yang melanggar undang-undang negara yang
lain. Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang
pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu
lintas,misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang
melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan
dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantar utama tidak diberi perhatian sama
sekali.
ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu perlu diperluas ranah
penggunaannya. Mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak
harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain,
misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem
kehakiman. Demikian juga, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang
ekonomi (termasuk perdagangan). Beberapa undang-undang yang
berkaitan dengan bidang perdagangan yang selama ini menyekat
penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu disebabkan akta yang
berkaitan telah luput tarikh (sebilangannya diaktakan sebelum atau
pada awal kemerdekaan) hendaklah segera dipinda dan dimasukkan
unsur penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu ke dalam akta pindaan
itu.
iii. Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar
pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 17(1) Akta
Pendidikan 1996 hendaklah dikuatkuasakan dalam sistem pendidikan
negara. Ketetapan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar
utama dalam sistem pendidikan negara, baik di peringkat
persekolahan mahupun di peringkat pengajian tinggi perlu dipatuhi
dan diisi dengan program yang lebih terancang, dengan tidak menolak
keperluan menguasai bahasa-bahasa asing untuk penguasaan ilmu,
kemahiran dan unsur positif kebudayaan lain. Program penguasaan
bahasa-bahasa asing yang perlu hendaklah dirancang dengan rapi agar
tercapai hasrat untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa
(atau bahasa-bahasa asing) yang penting, tetapi tidak sampai
mengorbankan atau meminggirkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu
sebagai salah satu acuan negara. Kejayaan Universiti Kebangsaan
Malaysia melahirkan puluhan ribu siswazah dan sarjana dalam
pelbagai bidang ilmu dengan berbahasa penghantar bahasa Melayu,
termasuk penulisan tesis doktor falsafah dalam bidang sains dan
teknologi patut dijadikan asas kekuatan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu.
iv. Pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu untuk pelbagai
lapisan khalayak perlu dijadikan agenda negara. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Institut Terjemahan Negara Berhad, Majlis Penerbitan
Ilmiah Malaysia (Mappim) yang menggemblengkan penerbit institusi
pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan dan badan-badan lain
hendaklah menyusun langkah yang lebih strategis agar benar-benar
memenuhi tanggungjawab sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya
ilmu untuk kelompok dewasa, remaja dan kanak-kanak, dalam bentuk
cetakan mahupun elektronik. Perlu ada dana yang khusus untuk
menjayakan agenda memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu
sebagai agenda negara.
v. Perlu ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau
penguatkuasaan dasar bahasa, dalam bidang-bidang utama kenegaraan,
seperti pentadbiran, pendidikan, kehakiman dan media massa
(khususnya media kerajaan). Jabatan ini boleh ditempatkan di bawah
Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertanggungjawab memastikan mutu
perkhidmatan yang baik, termasuk dalam bidang bahasa dan
komunikasi. Dua aspek penting perlu diaudit, iaitu pelaksanaan
dasar bahasa kebangsaan dan mutu bahasa yang digunakan.
vi. Dewan Bahasa dan Pustaka yang diaktakan sebagai badan
perancangan bahasa dan sastera kebangsaan hendaklah diberi wewenang
sebagaimana yang seharusnya. Gangguan terhadap pelaksanaan badan
tersebut sebagai badan yang diberi amanah memajukan dan
mengembangkan bahasa kebangsaan tidak seharusnya wujud. Bidang
kuasa dan tujuan DBP ditubuhkan untuk memajukan dan mengembangkan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa
ilmu tidak harus terganggu oleh arahan semasa yang bertentangan
dengan Akta DBP sendiri. Dalam pada itu, kepemimpinan Dewan Bahasa
dan Pustaka pula perlu berusaha memenuhi tujuan-tujuan badan itu
ditubuhkan sebagaimana yang terkandung dalam Akta Dewan Bahasa dan
Pustaka dengan tidak terlalu terikat atau mengikat dirinya dengan
kehendak semasa pihak tertentu yang bertentangan dengan peranan
DBP. DBP perlu terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya.
2. Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan bahasa Melayu
tinggi
i. Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui semua
kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta perlu
dirancang untuk membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu
tinggi. Langkah Kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai
Murni merupakan langkah positif yang dapat dimanfaatkan untuk turut
membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mudah-mudahan
komponen bahasa Melayu tinggi dapat diintegrasikan dalam
pelaksanaan kempen tersebut. Konsep bahasa sebagai warisan tidak
tampak atau warisan tidak ketara sebagaimana yang ditakrifkan dalam
Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu dikembangkan dan direalisasikan
dalam kehidupan masyarakat.
ii. Media, baik media cetak mahupun media elektronik perlu
meningkatkan peranannya dalam pembudayaan bahasa Melayu tinggi.
Kita barangkali memang tidak dapat membendung fenomena bahasa
rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial
yang ada. Namun, dengan mengupayakan penyajian program-program yang
dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu dapat
bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi. Dengan
demikian tidaklah menular fenomena sekerat ular sekerat belut
(seperti yang diistilahkan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim)
dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi. Yang
sungguh-sungguh kita bimbangi ialah kegagalan masyarakat
menempatkan ragam bahasa yang betul pada konteks dan situasinya.
Sebagaimana kita tidak mengharapkan bahasa yang baku digunakan
dalam komunikasi sehari-hari tidak rasmi, maka tidak harus kita
terima penggunaan bahasa ragam kolokial dalam urusan rasmi dan
ilmiah.
3. Langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
supranasional
Bahasa Melayu perlu dirancang menjadi bahasa supranasional,
iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu yang
gemilang dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu ialah bahasa
yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Oleh itu, dalam upaya
memperkuat bahasa Melayu di peringkat negara, segala upaya
memadukan kerjasama dengan negara-negara berbahasa Melayu yang lain
dan mana-mana sahaja pihak yang dapat membantu melonjakkan citra
dan kedudukan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan. Sekali lagi
kita perlu belajar daripada rakan bukan Melayu kita yang mempunyai
rangkaian yang cukup erat dalam pakatan Cina antarabangsa.
Sekretariat Melayu Antarabangsa perlu digerakkan semula. Kongres
Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) perlu disemarakkan terus. Dewan
Bahasa dan Pustaka yang memperoleh kelulusan Kabinet pada tahun
1997 untuk menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM)
(yang sudah mula beroperasi sejak tahun 2000 perlu mengaktifkan
semula badan antarabangsa itu.
PERTIMBANGAN STRATEGIPertimbangan strategi pengajaran bahasa
Melayu kepada penutur asing bergantung pada beberapa asas. Jack C.
Richards (1991), misalnya, menyebut perkara yang berikut sebagai
asas utama keberkesanan sesuatu program bahasa:
1. Faktor sosiobudaya2. Faktor gaya pengajaran dan pemelajaran3.
Faktor pelajar4. Ciri-ciri program (persediaan pengajar, kesahan
kurikulum dan prosedurpengujian, ragam pelajar, bahan, penyelarasan
tenaga)
Asmah Haji Omar (2003) membincangkan faktor-faktor yang berikut
sebagai asas pengajaran yang berkesan bagi program pengajaran
bahasa kepada penutur asing:
1. Mengenal pasti keperluan pelajar2. Menghadapi kumpulan
pelajar yang keperluannya pelbagai3. Keutamaan: fungsi atau
bentuk?4. Pendedahan kepada fungsi-fungsi bahasa5. Pertimbangan
wacana dan lakuan bahasa6. Pengajaran nahu7. Peraturan Sosial dan
Budaya8. Pemilihan variasi bahasa9. Penyusunan dan pengelolaan
butir-butir pengajaran
Untuk makalah ini, saya memusatkan perhatian pada lima aspek
yang utama, iaitu:
1. Pelajar2. Pengajar3. Kurikulum dan Kaedah4. Sumber/bahan5.
Pengujian dan penilaian
PELAJAR
Aspek pelajar meliputi isu:
1. peringkat, sama ada rendah, menengah, pengajian tinggi atau
asas,pertengahan, maju;2. kelompok,sama ada pelajar insitutusi
pengajian, profesional atau orangawam;3. tujuan dan keperluan
mempelajari bahasa Melayu.
Kedua-dua variabel di atas menentukan pengajar, kurikulum dan
kaedah, sumber atau bahan dan pengujian dan penilaian yang sesuai
dengan peringkat dan kelompok berkenaan. Di Kemboja dan di Sri
Lanka, misalnya, terjadi keadaan kursus bahasa Melayu yang disertai
oleh pelbagai peringkat usia dan latar belakang demografi lain yang
amat berbeda. Sewaktu pemakalah memberikan kursus bahasa Melayu di
Seam Reap, Kemboja, dalam tahun 2003, misalnya, kursus berkenaan
dihadiri oleh peserta semuda 12 tahun dan setua 60 tahun. Di Sri
Lanka, guru bahasa Melayu yang dilantik oleh DBP dan Pesuruhjaya
Tinggi Malaysia di negara itu mengalami masalah berhadapan dengan
pelajar semuda belasan tahun dan setua 70-an dan dengan pelbagai
latar belakang pendidikan dan kerjaya. Masalah yang dihadapi oleh
pengajar dengan mudah dapat diduga, terutama berkaitan dengan bahan
dan kaedah pengajaran dan juga kesan psikologi pada kedua-dua
pihak, iaitu pengajar dan pelajar. Maka itu, sebaik-baiknya pelajar
perlu dikelompokkan menurut sekurang-kurangnya dua variabel yang
pertama itu tadi.
Sebaik-baiknya dikenal pasti juga tujuan dan keperluan pelajar
mempelajari bahasa Melayu. Di Universiti Hankuk, di Universiti
Busan dan di Universiti Pengajian Asing Beijing serta di Universiti
Penyiaran Beijing, ada pelajar yang mempelajari bahasa Melayu untuk
tujuan ilmiah tetapi ada juga yang bertujuan untuk mendapatkan
kerja di sektor pelancongan, penyiaran dan diplomasi. Pengajar
tampaknya perlu berusaha menyeimbangkan pengajaranya untuk memenuhi
dua keperluan itu. Dalam kes yang lain, pengajaran bahasa Melayu
kepada diplomat dan profesional yang lain memerlukan strategi yang
berlainan daripada strategi pengajaran kepada pelajar di institusi
pengajian. Kursus yang dikendalikan oleh Persatuan Linguistik
Malaysia untuk doktor dari Pakistan, anjuran Dewan Bandar Raya
Kuala Lumpur, misalnya, memerlukan pengajar menumpukan perhatian
pada keperluan doktor-doktor berkenaan berkomunikasi dengan
pesakit, di samping komunikasi sosial yang lazim.
Di Universiti Frankfurt, program intensif pengajaran bahasa
Melayu anjuran bersama DBP dan Universiti Frankfurt (2004) selama
sebulan setengah yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Abdullah Hassan
dengan bantuan Prof. Dr. Bern Nothofer dan Prof. Dr. H. Steinhaeur
dan kemudian dikendalikan berturut-turut pada tahun 2006 dan 2007
oleh Prof. Dr Awang Sariyan sebagai Profesor Tamu, berteraskan
keperluan memahami persamaan dan perbedaan antara bahasa Melayu
variasi Malaysia dengan bahasa Melayu variasi Indonesia. Maka
penekanan pengajaran adalah pendedahan aspek kosa kata dan struktur
antara kedua-dua variasi itu, selain aspek sistem bahasa Melayu dan
aspek sosiolinguistiknya.
PENGAJAR
Pengajar bahasa Melayu kepada penutur asing menghadapi cabaran
yang lebih berat daripada pengajar bahasa Melayu kepada penutur
ibunda atau penutur kedua (dalam kes di Malaysia orang Melayu ialah
penutur ibunda dan orang Cina, India dan kumpulan etnik lain
sebagai penutur kedua). Daripada segi linguistik, pengajar perlu
sedikit banyak mempunyai maklumat kontrastif antara bahasa Melayu
dengan bahasa ibunda pelajar. Pengalaman pemakalah memberikan
kursus kepada penatar dari Sri Lanka menunjukkan bahawa mereka
terpengaruh oleh struktur M-D (akibat pengaruh bahasa Tamil dan
Sinhalese).
Pengajar yang berkesan dalam program pengajaran bahasa Melayu
kepada penutur asing ialah pengajar yang bersedia memahami latar
sosiobudaya, sistem nilai dan sistem bahasa ibunda pelajarnya.
Faktor-faktor yang berkaitan dengan pelajar yang dibincangkan
sebelum ini dengan sendirinya harus diperhitungkan oleh
pengajar.
KURIKUKULUM DAN KAEDAH
Kurikulum program bahasa Melayu kepada penutur asing
pertama-tamanya bergantung pada tujuan dan keperluan pelajar itu
sendiri. Pada umumnya semua pelajar perlu diberi pendedahan dan
penguasaan empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur,
membaca dan menulis. Bagaimanapun peringkat, kelompok dan tujuan
akan menentukan pemberatan yang sesuai.
Doktor dari Pakistan yang dilatih oleh Persatuan Linguistik
Malaysia ternyata memerlukan kemahiran mendengar dan bertutur lebih
banyak daripada kemahiran membaca dan menulis, kerana tujuan dan
keperluan mereka belajar bahasa Melayu adalah untuk berkomunikasi
dengan pesakit di Malaysia. Maka kemahiran membaca dan menulis
tidak terlalu dititikberatkan walaupun tetap perlu diberikan.
Pelajar di Universiti Pengajian Asing dan di Universiti Pernyiaran
Beijing, misalnya, mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa formal
untuk tujuan ilmiah dan juga kerjaya. Maka kurikulumnya meliputi
aspek yang menyeluruh. Selain kemahiran mendengar, bertutur,
membaca dan menulis, penguasaan sistem bahasa, terutama tatabahasa
direncanakan dengan agak mendalam. Bahkan tulisan Jawi pun
diajarkan. Di Kemboja, peserta kursus baru mengenal bahasa Melayu
di peringkat yang amat asas; maka tenaga pengajar yang lantik oleh
DBP menyediakan kurikulum yang amat asas dengan menitikberatkan
aspek lisan dan sedikit-sedikit aspek tulisan. Tidak ada sama
sekali pengajaran tatabahasa secara formal.
Pengalaman menunjukkan bahawa untuk kelompok dan untuk tujuan
apapun, pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing lebih sesuai
berteraskan kaedah terus, dengan kadangkala berbantukan kaedah
terjemahan. Hanya di peringkat tertentu, iaitu apabila pelajar
telah menguasai bahasa Melayu, kaedah kod-kognitif yang menekankan
penguasaan rumus mungkin sesuai diterapkan, khususnya untuk pelajar
yang telah sampai pada peringkat analisis linguistik.
SUMBER ATAU BAHAN
Pemilihan dan penyediaan sumber atau bahan pengajaran dan
pemelajaran program pengajaran bahasa kepada penutur asing menjadi
cabaran yang tidak kurat besarnya. Pengajar tidak boleh memilih dan
menyediakan bahan menurut kesukaan dan minat peribadinya. Prinsip
yang paling penting ialah kesesuaian bahan itu untuk peringkat usia
tertentu, untuk peringkat program (permulaan, pertengahan atau
maju), kelompok tertentu (berasaskan kerjaya dan lain-lain).
Dalam hal pemilihan dan penyediaan sumber atau bahan pengajaran
dan pemelajaran inilah pengajar perlu memasukkan unsur-unsur
sosiobudaya yang melatari bahasa Melayu agar penguasaan bahasa
Melayu oleh pelajar asing itu tidak terpisah daripada konteks
sosiobudayanya. Pengalaman pemakalah mengajar pelajar dari
Universiti Deakin, Melbourne, Australia menunjukkan bahawa mereka
perlu diorientasi, dengan pengertian diberi pendedahan kepada
situasi sosiobudaya di Malaysia kerana selama ini mereka
mempelajari bahasa Melayu yang berlatarbelakangkan sosiobudaya di
Indonesia.
Menyepadukan bahan untuk meliputi kemahiran berbahasa
(mendengar, bertutur, membaca dan menulis), sistem bahasa
(tatabahasa, kosa kata dan sebagainya) dan juga kandungan bahasa
(ilmu dan maklumat serta aspek sosiobudaya) merupakan cabaran
terbesar kepada pengajar. Modul yang biasa dianjurkan oleh
pemakalah (dan juga oleh sejumlah pengajar lain) ialah penyediaan
dan penyusunan bahan yang berteraskan tema tertentu, misalnya pada
peringkat asas tema yang berkaitan dengan diri. Selain mengisi tema
itu dengan struktur atau binaan bahasa (kata, frasa, ayat dan
wacana) yang sesuai, tema itu perlu diisi dengan maklumat atau ilmu
yang berkaitan (misalnya nama, usia, pekerjaan atau tahun/bidang
pengajian, hobi dan sebagainya. Aspek sosiobudaya yang dapat
dikaitkan, misalnya, ialah kata ganti nama diri dan bentuk sapaan
yang betul dalam bahasa Melayu apabila merujuk kepada diri sendiri
dan diri orang lain.
Bahan itu pula mestilah berbagai-bagai bentuk dan konteksnya.
Maksudnya pengajar perlu menyediakan bahan berbentuk audio, video,
grafik, lukisan, brosur, iklan dan karya kreatif. Daripada segi
konteksnya, perlu disediakan bahan yang berkaitan dengan pelbagai
aspek kehidupan, daripada yang asas seperti diri kepada keluarga,
masyarakat, kesenian, sukan, rekreasi, reka cipta, dan di peringkat
yang tinggi boleh tentang politik, pemikiran dan sebagainya.
PENGUJIAN DAN PENILAIAN
Pengujian dan penilaian yang dilaksanakan perlu selaras dengan
objektif pengajaran. Bagi pelajar yang mengikuti program pelajaran
bahasa Melayu sebagai mata kuliah atau kursus di insitutusi
pengajian, ujian yang berkaitan dengan kemahiran bahasa yang empat
(mendengar, bertutur, membaca dan menulis) dan sistem bahasa
(tatabahasa dan yang lain-lain) perlu diberikan. Bagi pelajar yang
mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan khusus, seperti doktor dari
negara asing, mereka tidak perlu diberi ujian yang meliputi semua
aspek kemahiran dan sistem bahasa, sebaliknya diuji penguasaan
komunikatifnya sahaja. Yang lebih penting dalam program pengajaran
bahasa Melayu kepada penutur asing ialah instrumen pengujian dan
penilaian yang diagnostik sifatnya, iaitu yang dapat memberikan
maklumat tentang pencapaian pelajar dari waktu ke waktu, bukan
semata-mata pada akhir program yang mungkin tidak bertepatan dengan
pencapaian sebenar pelajar.
ISU VARIASI BAHASA MELAYU: VARIASI MALAYSIA ATAU INDONESIA?
Umumnya ada dua variasi bahasa Melayu yang dominan, iaitu
variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Bahasa Melayu Brunei masih
amat rapat dengan variasi Malaysia jika dibandingkan dengan variasi
Indonesia dan oleh itu dapat dikelompokkan dalam variasi Malaysia.
Fakta menunjukkan bahawa bahasa Melayu yang dipelajari dan
diajarkan kepada penutur asing di sebahagian besar pusat pengajian
di negara asing ialah bahasa Melayu variasi Indonesia yang dikenal
sebagai bahasa Indonesia. Variasi Malaysia baru diperkenalkan di
beberapa pusat pengajian, seperti di Universiti Pengajian Asing
Hankuk dan Universiti Pengajian Asing Busan, kedua-duanya di Korea.
Di Eropah baru sahaja dimulakan usaha memperkenalkan bahasa Melayu
variasi Malaysia apabila Universiti Frankfurt, Jerman mengendalikan
kursus bahasa Melayu yang disertai oleh pelajar dari seluruh Eropah
dan juga Rusia (kali pertama pada tahun 2004 dan kemudian pada
tahun 2006 dan 2007, dengan mendatangkan profesor dari Malaysia).
Universiti Deakin, Australia pun baru setahun memulakan pendedahan
pelajarnya kepada bahasa Melayu variasi Malaysia apabila pelajarnya
dihantar ke Malaysia untuk mengikuti kursus bahasa Melayu di
Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Pada hemat pemakalah, isu ini tidaklah terlalu besar dan tidak
harus dijadikan halangan untuk mengembangkan bahasa Melayu di
peringkat antarabangsa. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM)
telah memutuskan bahawa bahasa Melayu yang didukung oleh majlis
tersebut ialah bahasa Melayu supranasional, yang tidak ditandai
ciri khusus mana-mana negara. Meskipun tampak mudah tetapi rumusan
itu memang kurang realistik, kerana variasi Indonesia dan variasi
Malaysia akan tetap tampak wujudnya. Maka itu, jalan sebaik-baiknya
ialah memperkenalkan kedua-dua variasi itu apabila perlu supaya
pelajar asing memperoleh manfaat untuk destinasi yang berbeda,
iaitu Malaysia dan Indonesia. Terbitnya Kamus Bahasa Melayu
Nusantara (DBP Brunei Darussalam, 2003) yang memasukkan lema
variasi di Malaysia, di Indonesia dan di Brunei Darussalam banyak
membantu pemahaman pelajar asing tentang perbedaan yang wujud,
terutama tentang makna kata yang berbeda.
Daripada sudut ejaan, dapat dikatakan bahawa tidak wujud
perbedaan yang terlalu jauh sehingga pelajar asing tidak akan
menghadapi masalah besar berhadapan dengan teks dalam bahasa Melayu
variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Demikian juga istilah dalam
pelbagai bidang ilmu sebahagian besarnya telah diselaraskan.
Kedua-dua aspek itu, iaitu sistem ejaan dan istilah bagi bahasa
Melayu mencapai keselarasan yang relatif tinggi berkat kerjasama
kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam -
Indonesia - Malaysia (Mabbim) yang telah bermula pada tahun
1972.
KESEDIAAN DAN PERSEDIAAN
Kesediaan dan persediaan yang dimaksudkan oleh pemakalah ialah
bahawa negara-negara berbahasa Melayu, khususnya Malaysia,
Indonesia dan Brunei Darussalam perlu pertama-tamanya mempunyai
kesediaan untuk menggerakkan program pengajaran bahasa Melayu
kepada penutur asing secara bekerjasama dan menjadikannya agenda
negara-negara berbahasa Melayu. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu
(MABM) perlu diaktifkan terus dengan dukungan semua negara
berbahasa Melayu, meskipun inisiatif pembentukannya diupayakan oleh
Malaysia. Perlu ada pemeruntukan dana bersama untuk segala program
kebahasaan dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa. Sebagai
contoh, apabila diadakan Minggu Bahasa dan Persuratan Melayu
(seperti yang pernah diadakan di Australia dan di Eropah), semua
negara berbahasa Melayu perlu ikut serta menjayakannya, daripada
tahap perencanaan, pendanaan dan pengisian program.
Demikian juga, program Bahasa Indonesia untuk Penutur Asing
(BIPA) yang telah lebih maju daripada program pengajaran bahasa
Melayu kepada penutur asing di Malaysia (dan mungkin di Brunei
Darussalam juga) hendaklah dimanfaatkan bersama serta diubahsuaikan
menurut keperluan tertentu. Dengan perkataan lain, perlu ada
perencanaan bersama dalam kalangan negara-negara berbahasa Melayu
untuk menyediakan kurikukulum, menyarankan kaedah, penyusunan bahan
dan ujian tara bagi program bahasa Melayu. Jika untuk bahasa
Inggeris ada British Council, untuk bahasa Perancis ada Alliance
Francaie dan untuk bahasa Jerman ada Institut Goethe, maka untuk
bahasa Melayu perlu ada badan yang diberi amanah mengajarkan bahasa
Melayu di peringkat antarabangsa, dan paduan kerjasama antara
negara-negara berbahasa Melayu akan memungkinkan gagasan itu
berhasil dengan lebih segera. Dengan demikian tidak berlaku
persaingan atas nama negara, sebaliknya berlangsung kolaborasi yang
menguntungkan bahasa Melayu dan negara-negara berbahasa Melayu.
Aspek lain yang perlu diberi perhatian khusus ialah penyediaan
bahan ajar bahasa Melayu melalui internet yang ternyata jauh lebih
berkesan dan meluas khalayaknya serta interaktif pula jika
dibandingkan dengan penyediaan bahan atau modul pelajaran dalam
bentuk bercetak semata-mata. Untuk menjayakan program ini,
diperlukan kepakaran mengolah bahan ajar bahasa Melayu untuk
disalurkan melalui internet.
Penutup
Demikianlah secara ringkas kupasan tentang isu-isu yang
berkaitan dengan bahasa Melayu dalam tempoh lebih setengah abad
yang lalu dan renungan dalam menghadapi setengah abad mendatang
dalam abad ke-21. Saya mengaku bahawa tidak banyak hal yang baharu
dalam kupasan itu kerana isu taraf dan mutu bahasa Melayu memang
senantiasa berulang dalam pola yang sama tampaknya, dari zaman kita
mula merdeka hingga kita mendekati usia setengah abad
kemerdekaan.
Mudah-mudahan segala yang terlanjur silapnya dapat dibaiki dan
tidak diulang. Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan.
Jadilah kita umat yang syukur akan nikmat Allah atas kurnia-Nya
memberikan bahasa yang telah mencapai tingkat bahasa ilmu dan
pemikiran dan juga bahasa antarabangsa pada satu zaman dahulu.
Tanggunjawab kitalah mempertahankan dan mengembalikan kegemilangan
itu. Di sisi memperkukuh kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu di
peringkat kebangsaan, upaya mengembangkan bahasa Melayu di
peringkat antarabangsa perlu dijadikan agenda berterusan, jika kita
hendak menyaksikan kejayaan bahasa Melayu merentas dunia,
sebagaimana Kerajaan Inggeris menngembangkan bahasa Inggeris
melalui British Council atau pemerintah Perancis mengembangkan
bahasa Perancis melalui Alliance de France dan pemerintah Jerman
mengembangkan bahasa Jerman melalui Insitut Goethe. Majlis
Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang telah memperlihatkan
kejayaan membina rangkaian kerjasama sedunia dalam pengembangan
bahasa Melayu perlu dihidupakan semula.
Bibiliografi
Abdullah Hassan (Ed.). 1999. Perancangan Bahasa di Asia
Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Abdullah Hassan
(Ed.). 2006. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi
Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan
Penterjemah Malaysia.Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.).
2005. Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik
Malaysia dan Dawama.Asraf (Ed.). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa
Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Melayu.Awang
Sariyan. 2005. Hakikat Bahasa dan Realisasi Fungsinya dalam
Pembinaan dan Penakatan Tamadun. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik
Malaysia.Awang Sariyan. 2006. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa
Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Awang
Sariyan. 2006. Analisis Beberapa Isu Utama Sosiobudaya Bangsa,
kertas kerja Dialog Susulan Kongres Kepentingan Bangsa Peringkat
Wilayah Persekutuan, Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya (15 April
2006). Terbit dlm. Abdullah Hassan. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan
Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. 2006. Kuala
Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.Awang Sariyan. 2007.
Keunggulan Bahasa, Persuratan dan Tamadun Melayu. Ucap Utama
Kolokium Pasca-Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, anjuran
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), GAPENA, Persatuan Penulis
Pulau Pinang dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (27 Mac
2007) di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang. Terbit dalam Jurnal
Persatuan Linguistik Malaysia 2007.Awang Sariyan. 2009. Mencari
Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Kuala Lumpur: Persatuan
Linguistik Malaysia.GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan
Kertas Kerja Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 (6-8
November 2006).Juriah Long et al. 2004. Laporan Kajian Kesediaan
Guru dan Pelajar dalam Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (tidak
diterbitkan).Hassan Ahmad. 2000. Imbasan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.Norhashimah Jalaluddin. 2006.Penerimaan
Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik
antara Dua Darjat dlm. Abdullah Hassan (Ed.). Mengapa Kami Bantah!
Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik.
Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.Persatuan Linguistik
Malaysia. 2002. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita.
Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.