Seterusnya karya-karya konseptualnya Piyadasa yang lain yang berada dalam koleksi di akhir-akhir tahun 1970-an seperti ‘A Matter of Time’, 1977, ‘Entry Point’ , 1978 , ‘Abdul Latiff Mohiden’, 1978 , ‘Model’ 1978 dan ‘To Be Complited’ (for Krishen Jit) 1979 adalah kesinambungan daripada penerokaan beliau dalam pameran ‘Toward of Mystical Reality’. Joseph Tan pula bergerak dengan penghasilan karya minimal catan bidangan terdapat dua karya beliau yang berada dalam koleksi BSVN iaitu ‘Lukisan Siri Satu No. 8 71-72’ pada tahun 1973 dan ‘Siri Terengganu’, 1979. Kedua-dua karya beliau ini diperkembangkan oleh beliau sehingga tahun 1980-an yang lebih berwajah Malaysia. PENGENALAN Balai Seni Visual Negara (BSVN) adalah institusi seni utama negara kita yang menyimpan dan memulihara hasil seni lukis tanah air sejak penubuhannya pada tahun 1958 lagi. Sebagai payung kepada program pembangunan seni lukis di Malaysia sudah tentu ia berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang lebih 50 tahun penubuhannya. Salah satu cabaran yang dilaluinya adalah untuk menjadikan ia sebagai pusat rujukan penting seni lukis moden dan kontemporari Malaysia. Sebagai tempat yang menjadi tumpuan penyelidik dalam mengkaji dan menambahkan lagi teks seni lukis negara, sudah tentu koleksi karya BSVN yang dihimpun selama ini menjadi bahan rujukan dalam melengkapkan dokumentasi penyelidikan. Sehingga kini BSVN bukan sahaja menerima pelanggan ilmu atau pengkaji yang datangnya dari pusat pendidikan seni lukis tempatan malah juga dari universiti-universiti luar negara yang datang untuk menatap, memikir dan menyelongkar khazanah seni lukis negara dalam menyiapkan kertas- kertas kerja atau tesis-tesis peringkat sarjana ataupun doktor falsafah. Dalam visi BSVN untuk menjadi pusat pembangunan dan pengkoleksian seni visual negara, sebagai salah satu daripada warisan kebangsaan, kini BSVN tertakluk kepada akta baru iaitu Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara yang telah diwartakan pada 2011 dalam meluaskan skop operasinya bagi menggantikan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959. Dengan lebih daripada 4000 koleksi yang dinamakan dengan Inventori Himpunan Tetap Seni Visual Negara, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Perolehan Himpunan Tetap, terdiri daripada ahli lembaga BSVN sendiri dalam merangka Cadangan Perolehan Tahunan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perolehan. Terdapat tiga pendekatan dasar pengkoleksian oleh BSVN iaitu melalui pembelian, hadiah dan sumbangan dan juga karya komisen. Untuk itu Strategi Cadangan Perolehan dirangka dalam membuat perolehan melalui sama ada lawatan ke studio dan lawatan ke pameran yang diadakan. Ada beberapa kriteria yang diberikan penekanan dari segi pemilihan untuk perolehan seperti sesuatu karya itu mempunyai maklumat visual dan nilai sejarah yang penting kepada negara dan karya yang amat signifikan dalam sejarah seni di Malaysia. PENGKARYAAN PAHANG DALAM KOLEKSI BALAI SENI VISUAL NEGARA Daripada tinjauan tahun 1960-an sehingga tahun 2010-an atau lebih tepat sehingga tahun 2011 terdapat 61 karya daripada 13 orang pelukis berasal dari Pahang telah didaftarkan di dalam Inventori Himpunan Tetap Seni Visual Negara. Dalam jumlah itu ia boleh dipecahkan kepada beberapa kategori seni utama seperti catan, arca, lukisan, cetakan, bahan campuran dan fotografi. Kebanyakan karya yang diperolehi dari tahun-tahun berkenaan adalah melalui pembelian melalui artis itu sendiri dan galeri yang diwakili oleh artis semasa pameran sedang berlangsung. Apa yang menariknya terdapat dua hasil foto seawal sekitar tahun 1920-an oleh pelukis Pahang Alex Moh yang memberi nafas baru pada awal tahun 2000 dengan menggunakan medium fotografi bertinta yang bertajuk ‘Single’ dan ‘Couple Pair’. BSVN secara rasminya mulai mengumpul karya pelukis Pahang sejak tahun 1960-an lagi. Antara karya terawal adalah Loo Foh Sang bertajuk ‘Kata Terbang’ (Flying Fortress) yang didaftarkan dalam koleksi tahun 1968 iaitu 10 tahun selepas penubuhan BSVN pada 28 Ogos 1958. Sungguhpun begitu terdapat beberapa lagi karya yang boleh dikatakan karya terawal pelukis Pahang bertajuk ‘Terengganu 3’ oleh Redza Piyadasa, ‘Wanita’ dan ‘Love Me In Batik’ oleh Joseph Tan. Ketiga-tiga karya ini juga mempunyai tarikh yang sama dihasilkan pada tahun 1968, cuma didaftarkan dalam tahun yang berbeza. Perkembangan rancak seni lukis negara boleh dikatakan bermula sekembalinya tenaga-tenaga pengajar daripada Maktab Ilmu Khas di Cheras yang dihantar oleh kerajaan untuk mendalami ilmu seni lukis di United Kingdom. Dua pelukis yang berasal dari Pahang iaitu Redza Piyadasa dan Joseph Tan mula memperkenalkan aliran ‘International Stail’ atau Stail Antarabangsa dengan seni konseptual dan seni minimal. Penerapan gaya itu digerakkan oleh Piyadasa dengan beberapa rakan-rakannya yang lain dengan terbentuknya kumpulan ‘New Scene’ atau ‘Pandangan Baru’ yang terbentuk pada akhir 60-an dan awal 70-an. Kebanyakan karya awal konstruktivis oleh Piyadasa adalah daripada pameran-pameran berkumpulan yang diadakan di Kuala Lumpur seperti ‘The Great Malaysia Landscape’ (Pemandangan Malaysia Hebat), 1972 pada pertandingan pameran ‘Landskap Malaysia’. Pelukis Pahang ini juga pernah menimbulkan polimik seni dalam pameran ‘Toward of Mystical Reality’ dengan pasangannya Sulaiman Esa dimana mereka meletakkan objek jumpaan atau ready made object ke dalam konteks galeri. Kedua-dua karya ‘Kanvas Kosong’ atau Empty Canvas dan Sangkar Burung atau Bird Cage kedua-dua tahun 1972 adalah daripada pameran itu yang diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka. KARYA PELUKIS KOLEKSI BALAI SENI VISUAL NEGARA : Satu Tinjauan 1960-an - 2010-an Loo Foh Sang, ‘Kata Terbang - Flying Fortress’, sutera saring, 69 cm x 62.5 cm, 1968, Koleksi BSVN 1968.007 | FOKUS | Redza Piyadasa, ‘Abdul Latiff Mohidin’, campuran, 310 x 126 x 40 cm, 1978, Koleksi BSVN 2001.039 | FAIZAL SIDIK