Page 1
1
BAB I
PENDAHULUAN
1.0 Pengenalan
Seorang ahli psikologi terkenal, Walter Cannon (1920), menyatakan bahawa stres
bermaksud gerak balas lawan atau lari (fight or flight). Malah stres didefinisikan
sebagai satu tekanan atau desakan, usaha, tuntutan ke atas keupayaan fizikal atau
mental. Ini bermaksud stres adalah suatu keadaan dimana kekuatan fizikal, mental
dan emosi seseorang individu teruji melampaui keupayaan tubuh dan mindanya yang
tidak mampu menahan dan menanggungnya lagi. Hans Selye (1963), telah
memberikan maksud yang baru mengenai stress bahawa ia boleh menyebabkan
penyakit seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung, dan stork. Malah stres yang
berlebihan boleh membawa maut kepada manusia.
Sebenarnya stres adalah sebahagian daripada kehidupan setiap insan. Semua
gologan masyarakat tidak mengira usia dan personaliti berisiko untuk mengalami
stres, cuma yang membezakannya adalah samada seseorang itu mengetahui
kehadirannya atau tidak dan cara mengendalikan stres di dalam kehidupan mereka.
Menurut kajian di sebuah ‘Institute Of Stress’ di New York, Amerika,
didapati bahawa 90 peratus daripada lelaki dewasa mengalami stres yang amat tinggi
sekurang-kurangnya dua kali seminggu, manakala 25 peratus mengalami stres setiap
hari. Perangkaan ini menunjukkan bahawa stres dalam kehidupan seseorang individu
menjadi trend semasa.
Kebanyakan dari kita hanya mengetahui atau mengganggap stres dari aspek
yang negatifnya sahaja. Ini termasuklah kecenderungan untuk melakukan keganasan
serta meningkatkan risiko penyakit mental. Tetapi kini dalam kehidupan yang serba
moden dan canggih, stres turut dilihat dari satu aspek yang positif. Sebenarnya, stres
juga membawa kebaikan dalam kehidupan seseorang individu jikalau didorong dan
diberi motivasi yang berterusan.
Page 2
2
1.1 Latar Belakang Masalah
Kini, warga pendidik memainkan peranan penting dan mempunyai tugasan utama
yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dalam proses penerapan dan
penyampaian ilmu kepada anak bangsa. Di era globalisasi ini, guru-guru berusaha
membangunkan diri sama ada secara rela atau tidak dalam bidang pendidikan yang
sering berubah dan mempunyai pembaharuan dari masa ke semasa. Situasi ini secara
umumnya telah mengakibatkan warga pendidik terpaksa berhadapan dengan pelbagai
tugas dan tanggungjawab yang lebih mencabar, lebih berat dan semakin terbeban.
Justeru itu, stres merupakan satu fenomena yang sering dikaitkan dengan tahap
kesihatan mental warga pendidik atau guru-guru.
Dipetik daripada Utusan Online oleh Tajaiyah Ihsan di dalam artikelnya yang
bertajuk “Tekanan melawan atau lari” - Pakar Psikitri Kanak-kanak, Remaja dan
Dewasa, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),
Dr. Subash Kumar berkata:-
"Walaupun stres atau tekanan dikategorikan sebagai penyakit yang serius
tetapi sayangnya ia tidak diberi perhatian. Ini mungkin kerana masyarakat
bertanggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari
bahawa stres boleh menjejaskan seluruh badan dan minda”.
Beliau juga menyatakan bahawa kanak-kanak boleh mengalami stres, lebih
menyedihkan apabila ibu bapa tidak mengambil peduli atau memberikan perhatian
terhadap masalah ini.
Stres warga pendidik boleh didefinisikan sebagai perasaan tidak selesa, emosi
negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari
aspek kerja sebagai seorang guru (Kyriacou & Sutcliffe, 1978).
Setiap insan diciptakan oleh Tuhan ada keistimewaannya yang tersendiri.
Malahan keistimewaan inilah telah menyebabkan tiada insan yang dilahirkan dengan
ciri yang sama. Kamarudin Hj. Hussin (1996, dalam Yong, 1998), tiada seorang pun
termasuk kembar seiras yang benar-benar menyamai antara satu sama lain khasnya
tingkahlaku. Ini menunjukkan bahawa setiap insan mempunyai personaliti yang
tersendiri. Personaliti individu dapat dibayangkan melalui kecenderungannya untuk
bertingkahlaku mengikut cara tertentu. Personaliti adalah sesuatu yang kompleks dan
boleh beubah-ubah mengikut peredaran masa, malahan ianya juga boleh ditentukan
oleh pengaruh luaran dan dalaman.
Page 3
3
Secara umumnya personaliti individu boleh diukur dan dikategorikan kepada
11 aspek utama, iaitu asertif, analitikal, keterbukaan, kritik diri, kepimpinan, jati diri,
prihatin, intelektual, pencapaian, integriti, dan ketidakselarasan. Namun aspek ini
hanya akan dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu jenis A meliputi individu
yang agresif, bertenaga, bercita-cita tinggi dan berdaya saing dan jenis B iaitu bagi
individu yang penyabar, sederhana dan kurang daya saing.
Personaliti dan motivasi memainkan peranan penting bagi seseorang dalam
menangani stres. Ia merupakan satu cara bagi setiap individu khususnya guru untuk
mengekalkan daya kerja disamping mengawal emosi melalui trait personaliti yang
mereka miliki. Biasanya suasana kerja, tindakbalas psikologikal (keletihan dan
kemurungan), fisiologi (penyakit seperti sakit kepala dan darah tinggi) dan sikap
sering diberi perhatian. Sebenarnya trait personaliti juga turut mempengaruhi
seseorang itu terdedah kepada stres yang kritikal atau sukar diatasi. Seterusnya,
faktor stres turut menyumbang kepada suasana kerja yang kurang memuaskan di
ikuti dengan tiada kepuasan bekerja dan keinginan untuk meninggalkan kerjaya guru
semakin meningkat. Akibatnya, guru menjadi agresif, bimbang mengalami
kekecewaan, sifat suka mengelak, tahap kehadiran yang kurang memuaskan dan
prestasi kerjanya juga merosot.
1.2 Penyataan Masalah
Apakah faktor-faktor (hubungan interpersonal, beban tugas dan peraturan sekolah)
yang menjadikan guru stres? Di kalangan tiga faktor ini, apakah faktor yang
manakah paling dominan menyebabkan guru stres? Adakah terdapat perkaitan di
antara jenis personaliti (jenis A atau jenis B) dengan faktor-faktor stres guru?
Adakah perkaitan di antara demografi (jantina, umur, status, kelulusan ikhtisas dan
pengalaman mengajar) dengan faktor-faktor stres guru? Adakah terdapat perkaitan di
antara faktor-faktor stres dengan motivasi guru? Kajian ini akan menyelidik sejauh
mana personaliti individu mempengaruhi stres dan jenis personaliti yang bagaimana
menyebabkan seseorang individu itu mudah terdedah kepada stres, serta samada
motivasi yang diberikan dapat membantu guru menangani stres. Persoalan yang
sering timbul, personaliti yang dimiliki oleh guru mempengaruhi mereka dalam
menghadapi stres.
Page 4
4
Menurut Hans Selye (1963), punca stres berkait rapat dengan masalah
rumahtangga dan juga sosial. Melalui pembacaan pengkaji mendapati tiga faktor
stress yang dominan berlaku di kalangan guru iaitu hubungan interpersonal, beban
tugas dan peraturan sekolah. Apakah faktor ini masih menjadi faktor utama yang
menyebabkan guru stress?
Masalah yang ingin dikaji oleh pengkaji adalah jenis personaliti seperti jenis
A (agresif, bertenaga, bercita-cita tinggi, berdaya saing) dan jenis B (penyabar,
sederhana, kurang daya saing) guru-guru di sekolah menengah di Kemaman, dan
juga mengkaji faktor stres iaitu hubungan interpersonal, beban tugas dan peraturan
sekolah dari aspek jenis personaliti.
Ini berikutan kedudukan sekolah di Kemaman adalah di pinggir bandar dan
memungkinkan fenomena stres berlaku di kalangan guru. Ini ditambah lagi dengan
latarbelakang pelajarnya yang tinggal di asrama. Tambahan pula, bilangan guru yang
tidak mencukupi berbanding dengan nisbah pelajar di dalam sebuah kelas. Secara
amnya bilangan pelajar dalam sebuah kelas di sekolah menengah daerah Kemaman
di antara 36 hingga 39 orang. Ini menyukarkan guru untuk mengurus dan
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara berkesan dan efektif.
Disamping itu, jumlah waktu mengajar guru juga bertambah sekurang-kurangnya 32
waktu seminggu, selain dari menguruskan hal yang berkaitan dengan tugas
pengkeranian, ko-kurikulum termasuklah organisasi dan persatuan. Malahan ketika
musim sukan, guru terpaksa pulang lewat saban hari semata-mata melatih pelajar-
pelajar.
Kajian ini juga diharapkan agar dapat mengesan, memperbaiki serta
memotivasi para guru yang mengalami stres dari aspek personaliti.
1.3 Objektif Kajian
Secara keseluruhannya, kajian ini adalah untuk mengenalpasti faktor-faktor stress,
kaitannya dengan motivasi dan juga stress dari aspek personaliti yang dimiliki oleh
guru di empat buah sekolah menengah (SMK SULTAN ISMAIL, SMK SULTAN
ISMAIL II, SMK CHUKAI dan SMK BINJAI) di daerah Kemaman.
Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk :-
1.3.1 Mengenalpasti jenis personaliti guru di sekolah menengah kajian.
Page 5
5
1.3.2 Mengenalpasti faktor-faktor stress dalam kalangan guru sekolah menengah
kajian.
1.3.3 Mengenalpasti hubungan antara jenis personaliti dengan faktor-faktor stress
dalam kalangan guru sekolah menengah kajian.
1.3.4 Mengenalpasti hubungan antara demografi dengan faktor-faktor stress dalam
kalangan guru sekolah menengah kajian.
1.3.5 Mengenalpasti hubungan antara faktor-faktor stress dengan motivasi dalam
kalangan guru sekolah menengah kajian.
1.4 Persoalan Kajian
Persoalan yang dikemukakan di dalam kajian ini:-
1.4.1 Apakah jenis personaliti (sama ada jenis A - agresif, bertenaga, bercita-cita
tinggi, berdaya saing atau jenis B - penyabar, sederhana, kurang daya saing)
guru sekolah menengah yang dikaji?
1.4.2 Apakah faktor stres yang paling dominan (sama ada hubungan interpersonal,
beban tugas dan peraturan sekolah) dalam kalangan guru sekolah menengah
yang dikaji?
1.4.3 Adakah terdapat perkaitan di antara jenis personaliti (jenis A - agresif,
bertenaga, bercita-cita tinggi, berdaya saing atau jenis B - penyabar,
sederhana, kurang daya saing) dengan faktor-faktor stres (hubungan
interpersonal, beban tugas dan peraturan sekolah) guru?
1.4.4 Adakah terdapat perkaitan di antara demografi (jantina, umur, status,
kelulusan ikhtisas dan pengalaman mengajar) dengan faktor-faktor stres
(hubungan interpersonal, beban tugas dan peraturan sekolah) guru?
1.4.5 Adakah terdapat perkaitan di antara faktor-faktor stres (hubungan
interpersonal, beban tugas dan peraturan sekolah) dengan motivasi guru?
1.5 Batasan Kajian
Kajian ini mempunyai beberapa batasan. Pertama responden kajian ini hanya terbatas
kepada guru-guru yang sedang mengajar di empat buah Sekolah Menengah
Kebangsaan di daerah Kemaman, Terengganu sahaja. Kedua, dapatan kajian ini
tidak digeneralisasi kepada seluruh warga pendidik dan juga tidak dapat
Page 6
6
dirumuskan kepada semua guru di Malaysia. Ini disebabkan kerana tumpuan
kajian ini adalah untuk melihat faktor stres yang paling dominan di kalangan guru
sekolah menengah dan seterusnya melihat adakah terdapat hubungan di antara stres
dari aspek personaliti. Faktor-faktor yang menyebabkan stres guru adalah berbeza di
kalangan individu, sekolah dan kawasan.
1.6 Kepentingan Kajian
Kajian ini adalah penting kepada para guru, pihak pentadbiran sekolah dalam
pendidikan mahupun di peringkat Jabatan Pelajaran. Ia amat penting kepada :
1.6.1 Guru-guru
Ia boleh dijadikan sebagai panduan, maklumat dan motivasi kepada warga guru
tentang jenis personaliti mereka, serta cara menangani stres dengan berkesan
mengikut persekitaran yang dihadapi khususnya mengenai aspek personaliti.
1.6.2 Pihak Pentadbiran Sekolah
Dapatan ini dapat membantu pihak pentadbir sekolah membuat pertimbangan dalam
merancang kem motivasi dan aktiviti-aktiviti staf di sekolah.
1.6.3 Pihak Jabatan Pelajaran
Boleh menggunakan maklumat daripada dapatan kajian ini untuk membantu warga
guru menangani persoalan stres. Selain itu, pihak Jabatan Pelajaran boleh merangka
suatu program secara menyeluruh kepada warga guru dalam menangani stres agar ia
akan dijadikan perangsang serta memberi kesan yang positif dalam memperkasakan
profesion perguruan.
1.7 Definisi Istilah
Terdapat beberapa definisi istilah dalam kajian ini dan akan diperbincangkan:
1.7.1 Guru-guru
Guru boleh ditakrifkan sebagai orang yang mengajar, mendidik, pengajar dan
pengasuh (Noresah Bahrom, 1995:420). Dalam Kajian ini guru yang dimaksudkan
adalah guru sekolah menengah sahaja tidak termasuk Pengetua, Penolong Kanan
Akademik dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
Page 7
7
1.7.2 Stres
Hans Selye (1963) mendefinisikan stres sebagai suatu tindakbalas tubuh kepada
tuntutan dalaman dan luaran terhadap dirinya sehingga melibatkan kadar ’Wear and
tear of the living body’ .Menurutnya lagi, stres merupakan satu komponen kehidupan
yang memberikan kesan positif mahupun sebaliknya terhadap seseorang. Kesan yang
positif disebut sebagai ’ eutress ’ dan kesan negatif pula dipanggil ’ distress ’. Stres
boleh menjadi positif sekiranya dipandang sebagai satu cabaran yang boleh
meningkatkan potensi diri dan produktiviti.
1.7.3 Faktor Stres
Stres dikenali sebagai ’ stressor ’ adalah rangsangan yang bertindak terhadap seorang
individu yang melebihi keupayaannya atau kebolehannya untuk mengawal, menurut
Nariah (1994). Faktor stres individu A mungkin sama atau berbeza dengan individu
B. Tekanan daripada ibu bapa atau pelajar, beban tugas guru selain mengajar,
kenaikan pangkat dan laluan kerjaya, ketidakadilan penilaian prestasi, minat,
infrastruktur dan lokasi sekolah merupakan faktor-faktor stres. Dalam kajian ini,
faktor yang dimaksudkan adalah faktor stres dari aspek hubungan interpersonal,
beban tugas dan peraturan sekolah.
1.7.4 Personaliti
Personaliti biasanya digambarkan sebagai diri individu. Ia berasal daripada perkataan
Latin iaitu ’persona’, yang merujuk kepada topeng yang digunakan oleh pelakon
dalam pementasan. Menurut Allport (1973), beliau mentafsirkan personaliti sebagai
keseluruhan kualiti peribadi yang ada pada seseorang, satu cara penampilan
seseorang pada pandangan orang lain, peranan yang dimainkan oleh seseorang dalam
kehidupan serta kualiti perubahan pada individu. Secara umumnya personaliti
individu boleh diukur dan dikategorikan kepada 11 aspek utama, iaitu asertif,
analitikal, keterbukaan, kritik diri, kepimpinan, jati diri, prihatin, intelektual,
pencapaian, integriti, dan ketidakselarasan. Namun, dalam kajian ini penyelidik
hanya akan mengkaji personaliti jenis A iaitu meliputi individu yang agresif,
bertenaga, bercita-cita tinggi dan berdaya saing dan jenis B iaitu bagi individu yang
penyabar, sederhana dan kurang daya saing.
Page 8
8
1.7.5 Demografi
Demografi yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah latar belakang responden yang
meliputi jantina, umur, status, kelulusan ikhtisas dan pengalaman mengajar.
1.7.6 Motivasi
Motivasi adalah sesuatu yang menggerak dan mengarahtuju seseorang dalam
tindakan-tindakannya samada secara positif atau negatif. Ia juga didefinisikan
sebagai darjah atau tahap kesungguhan dan usaha secara berterusan untuk mencapai
matlamat.Motivasi yang tinggi dan semangat amat diperlukan untuk menjayakan
segala aktiviti kokurikulum dan interaksi di dalam sekolah. Dalam kajian ini,
motivasi guru berkaitan dengan faktor-faktor stres dikaji.
1.8 Penutup
Stres adalah sebahagian daripada kehidupan setiap individu, semua lapisan tidak
mengira usia berisiko untuk mengalami stres. Cuma yang membezakannya ialah
mereka mengetahui atau tidak tentang kehadiran stres di dalam kehidupan mereka.
Kesihatan individu yang mengalami stres pada peringkat awal yang tidak dapat
mengawalnya atau dirawat akan terjejas.Pengkaji berminat untuk mengkaji mengenai
stres dari aspek personaliti di kalangan guru sekolah menengah khususnya untuk
membantu para guru mengenalpasti personaliti mereka terdedah kepada stres atau
tidak dan membantu guru bermotivasi menangani stres.
BAB II
SOROTAN KAJIAN
2.0 Pengenalan
Di dalam bab ini, kajian-kajian yang lalu berkaitan dengan tajuk kajian iaitu faktor
stres, stres dan personaliti akan dibincangkan. Kajian yang berkaitan dengan stres
atau tekanan memang banyak dilaksanakan sama ada di dalam mahupun luar negara.
Malah ianya dibincangkan secara meluas terutamanya stres pekerjaan dan stres
belajar. Kedua-dua cabang stres ini adalah berbeza dari segi situasi.
Walaubagaimanapun, belum ada kajian yang berkaitan tahap stres dari aspek
personaliti dilaksanakan khususnya di kalangan guru sekolah menengah. Tujuan
Page 9
9
utama kajian ini dibuat adalah untuk melihat persamaan, perbezaan dan hubungan
yang akan didapati dari dapatan yang akan dijalankan.
2.1 Kajian-Kajian Lepas Faktor dan Tahap Stres
Terdapat banyak kajian terhadap stres telah dilaksanakan tetapi kebanyakkannya di
luar negara. Menurut Gerhard Vossel (1987), peristiwa kehidupan yang berbeza akan
membawa kepada konsep stres yang berbeza. Bagi membuat perbandingan kajian
yang lepas masalah ini boleh dilihat dari aspek yang terhampir, memandangkan tiada
kajian terhadap stres dari aspek personaliti terhadap guru sekolah menengah.
Borget, et al (1991) telah membuat kajian ke atas 1074 orang guru sekolah
rendah di Malta dan mendapati 32.6 peratus atau 710 responden mengakui pekerjaan
mereka menyebabkan stres yang tinggi kepada diri. Justeru itu, Dodge, D. Dan
Martin (1993) juga telah menggunakan kajian yang sama ke atas guru-guru sekolah
menengah di Malta dan mendapati bahawa 50 peratus responden mengalami tahap
stres yang sederhana, 30.7 peratus pada tahap rendah dan 15 peratus responden
bertanggapan bahawa pekerjaan mereka mendatangkan stres yang tinggi.
Menurut Freeman, Longan dan Mc Coy (1989) telah menyenaraikan bahawa
wanita bekerja sepenuh masa lebih terdedah kepada stres yang lebih tinggi iaitu 90
peratus manakala bagi pekerja lelaki pula hanya 10 peratus. Ini mungkin disebabkan
atau berpunca dari masalah kewangan, keadaan tempat kerja, diskriminasi di tempat
kerja, bidang tugas, “hypertension” dan kesukaran mendapat kepuasan persefahaman
yang sama dengan pasangan.
Tidak dapat dinafikan bahawa stres dan pertukaran perasaan (mood) biasanya
akan berlaku serentak. Ia adalah faktor semulajadi, hanya cara individu
mengawalnya akan menjadikan ianya positif atau sebaliknya. Ini telah disokong oleh
fakta yang dinyatakan oleh WHO bahawa stres merupakan pembunuh terbesar
penduduk dunia. Statistik menunjukkan bahawa stres adalah “penyakit gaya hidup
moden”. Kajian stres dari segi pekerjaan dan staf akademik oleh Kyriacou &
Sutcliffe (1978 &1979) di England telah dijadikan sebagai rujukan. Dari kajian ini
didapati bahawa guru mengalami masalah stres iaitu antara 29.3 peratus hingga 30.7
peratus dan seterusnya mendapati bahawa stres guru wanita lebih tinggi daripada
guru lelaki.
Page 10
10
Fletcherdan Payne (1982) dalam Ahmad Shakri, (1998) telah membuat kajian
terhadap stres di kalangan guru di United Kingdom dan hasilnya didapati bahawa 44
peratus responden mengalami stres dan ianya boleh diatasi sendiri. Manakala 25
peratus mengalami stres dan menyukainya. Dua puluh lima peratus lagi yang
mengalami stres beranggapan ia sebahagian dari kehidupan dan selebihnya enam
peratus menginginkan stres dalam pekerjaan agar tidak bosan.
Donald Meichenbaum dan Matt E. Jaremho (1983), menunjukkan bahawa
punca stres guru yang paling utama ialah beban tugas. Beban tugas pula boleh
dibahagikan kepada dua bahagian iaitu: Tugas Kuantitatif (jumlah banyak kerja
dilakukan) dan Tugas Kualitatif (kurang keupayaan untuk melaksanakan tugas).
Kedua-duanya berbeza tetapi mempunyai perkaitan. Ini bermaksud bahawa jika
seorang guru diberikan tugas yang banyak, kesannya ialah mengalami stres yang
tinggi. Kesannya akan bertambah buruk sekiranya ia berpunca dari daya upaya guru
itu sendiri. Hasilnya stres guru berganda disebabkan guru tidak mampu melakukan
beban tugas untuk dilaksanakan.
Selain itu kajian oleh Mc Cormick & Solmon (1992) di New South Wales,
mendapati bahawa guru-guru yang memegang kelas mempunyai tahap stres lebih
tinggi berbanding guru yang berjawatan pengetua atau penolong kanan. Seterusnya
didapati bahawa guru-guru di sekolah menengah mengalami stres lebih tinggi
berbanding guru-guru di sekolah rendah.
Di Malaysia, kajian mengenai stres telah mula dijalankan walaupun sebelum
ini tidak ramai pengkaji yang berminat. Antaranya Siti Radziah (1982), dalam
kajiannya ke atas 71 orang guru di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati
bahawa guru-guru mengalami stres pada tahap sederhana. Chang Fui Chin (1996)
pula membuat kajian terhadap pentadbir sekolah di George Town dan mendapati 3.2
peratus responden mengalami stres pada tahap amat tinggi, 57.1 peratus alami tahap
stres yang tinggi, 38.1 peratus tahap stres sederhana dan 1.6 peratus tahap rendah.
Majalah Skudai Post (Januari 2000) menyatakan, stres boleh mengawal hati,
perut dan tekanan darah. Stres boleh berlaku disebabkan oleh faktor intrinsik
pekerjaan seperti panas, kebisingan, kemudahan yang tidak lengkap atau kurang
sesuai. Selain itu, struktur organisasi, pembangunan karier / pekerjaan yang
terhalang, peraturan organisasi yang mengongkong dan perhubungan di tempat kerja
boleh menyebabkan stress.
Page 11
11
Steven Bellman, Nick Forster, Leonie, Cary L.Cooper (2002) telah
melakukan kajian terhadap 204 orang pengurus di Australia dan mendapati 55
peratus adalah wanita dengan purata umur 41.4 tahun mempunyai perbezaan stres
dari segi jantina. Selain dari itu, satu kajian yang dilakukan di New York State
(1979) mendapati punca stres yang paling tinggi adalah menangani masalah
kenakalan murid, pengurusan yang tidak cekap dan pengawalan diri apabila marah.
Ini sokong dengan adanya satu lagi kajian yang dibuat di Chicago oleh Cichon dan
Koff (1980), mendapati bahawa antara punca stres yang tertinggi di kalangan guru-
guru di situ ialah perpindahan yang terpaksa, masalah murid yang nakal, dan tiada
kepuasan kerja.
Satu kajian telah dibuat oleh NUTP, pada tahun 2005 mengenai stres di
kalangan kakitangan perguruan. Seramai 9328 guru telah memberikan maklumbalas
terdiri daripada guru kelas, pengetua, pensyarah dan pegawai jabatan pelajaran.
Daripada kajian itu, didapati seramai 69 peratus responden bersetuju bekerja dalam
keadaan stres dan faktor utama yang menyebabkan stres ialah tekanan daripada ibu
bapa dan pelajar yang sering menimbulkan masalah sehingga ada yang ingin
menyaman dan membawa kes kesalahan guru ke mahkamah. Faktor lain seperti
bebanan kerja dan prospek kenaikan pangkat yang tidak mencukupi iaitu daripada
320000 orang guru, hanya 40000 kekosongan sahaja untuk kenaikan pangkat. Oleh
yang demikian, ramai guru yang kecewa sehingga mereka bersara. Ini ditambah lagi
dengan ketidakadilan dalam penilaian kenaikan gaji oleh pengetua sedangkan
prestasi guru cemerlang. Akibatnya stres berpanjangan ketidakpuasan dalam bekerja
menyebabkan guru ingin berhenti kerja atau meluahkan ketidakpuasan melalui
tingkahlaku yang tidak sepatutnya.
Senario yang lain pula bergantung kepada indvidu itu sendiri. Ini telah
disokong oleh ungkapan ucapan Y. Bhg. Dato’ Dr. Abdul Shukor Abdullah (Ketua
Pengarah Pendidikan Malaysia) sempena Hari Guru tahun 1998, yang menyatakan
bahawa :
“.........warga pendidik selaku tunggak yang akan berdepan dengan pelbagai
masalah tentu akan lebih tabah dan yakin apabila seluruh anggota
masyarakat berdiri teguh dibelakangnya. Warga pendidik sebenarnya tidak
perlu bersendirian memperjuangkan nasib anak-anak didiknya kerana
tanggungjawab yang berat itu boleh dipikul bersama bagi melahirkan
Page 12
12
generasi pewaris yang kental daya saingnya, berbudaya ilmu serta berani
mengharungi apa jua gelombang yang melanda........”
Menurut Schafer (1987), stres boleh dikategorikan kepada empat faktor utama iaitu
fizikal, mental (pemikiran), emosi dan tingkahlaku. Fizikal biasanya merujuk kepada
keletihan, kemalasan, pening kepala, sakit pinggang, hilang selera makan dan sakit
perut. Mental atau pemikiran pula berkaitan dengan kesukaran untk memberikan
tumpuan. Emosi merujuk kepada perasaan sedih, bimbang, takut gagal, dan tidak
sabar. Seterusnya, tingkahlaku yang sering dikaitkan dengan suka marah, bergaduh
dan sifat yang agresif.
Dilaporkan oleh Berita Harian 30 Mac 1985, lebih 3 000 orang guru di
sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia telah bersara awal untuk berkhidmat
di sektor swasta di antara tahun 1982 hingga 1985. Ini disebabkan oleh stress
pekerjaan itu sendiri disamping peluang berniaga, masalah keluarga dan kehendak
pasangan. Kesetiaan guru terhadap kerjayanya adalah alat pengukur kepada tahap
stres yang rendah. Manakala dalam satu temuramah bersama Menteri Pendidikan
ketika itu, Dato’ Seri Najib Tun Razak oleh wartawan Berita Harian pada 5 Februari
1998, beliau menyatakan bahawa;
“Kementerian memahami ada guru berasa tertekan (stres) dengan bebanan
tugas yang diberikan terlalu banyak, sehinggakan ianya mengganggu
kelancaran proses pembelajaran di bilik darjah”.
Ini menunjukkan bahawa memang terdapat masalah stres di kalangan guru. Secara
keseluruhnya, stres membawa maksud tindakbalas dan bukan rangsangan. Ini adalah
petunjuk tekanan termasuklah aspek fizikal, psikologi, dan sosial. Tahap tekanan
pula sebagai tahap amaran, tahap penahanan yang maksimum dan tahap tenat. Kesan
negatifnya boleh menyebabkan manusia hilang pertimbangan dan membunuh diri.
Kaedah psikoterapi boleh digunakan untuk mengatasi masalah stres.
Kajian oleh NUTP bagi tahun 2006 pula mendapati bahawa inventori stress
guru telah meningkat walaupun masih berada pada tahap sederhana. Jumlah sampel
yang terlibat 9300 orang guru terdiri daipada pelbagai peringkat termasuk guru besar
dan pengetua. Malah faktor-faktor yang menyebabkan stres juga turut bertambah. Ini
dapat dilihat daripada jadual di bawah:
Page 13
13
Lantaran itu, NUTP telah bekerjasama dengan Pusat Perundingan dan Latihan
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menjalankan satu kursus iaitu “Kursus
Pengurusan Stres dalam Kerjaya Perguruan”, pada Jun 2006 di Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur. Di antara topik yang diperbincangkan adalah
“Pengurusan Stres Dalam Organisasi, Kejuruteraan Semula Sikap Dan Budaya
Dalam Menghadapi Stres, Derita Dalam Diam, Stres: Sejauh Mana Memusnahkan
Kehidupan dan Membina Jati Diri Dalam Menangani Stres”. Seramai 45 orang
pemimpin NUTP telah menyertai kursus ini dan program ini akan dijadikan acara
tahunan serta terbuka kepada ahli NUTP pada tahun berikutnya. Tanggungjawab
Kesatuan (NUTP) untuk membela nasib warga guru masih membara walaupun
menghadapi pelbagai masalah semasa dalam pendidikan.
2.2 Teori Personaliti
Setiap individu mempunyai cara yang berbeza untuk bertindak mengikut situasi yang
dihadapi oleh mereka. Psikologi personaliti telah mengklasifikasikan sikap dan
personaliti manusia kepada beberapa teori dan model. Ianya wujud disebabkan
manusia dan pengkaji terdahulu mempunyai pendapat dan pandangan yang
berlainan. Justeru itu, pengkaji telah mengambil beberapa teori dan model yang
mempunyai kaitan dengan stres dan personaliti bagi melihat hubungan diantara
kedua-duanya.
2.2.1 Teori Personaliti Carl Jung
Page 14
14
Teori ini telah diperkenalkan pada tahun 1971 yang dikenali sebagai personaliti
individu Carl Jung. Ia boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama iaitu ekstrovert,
introvert dan ambivert (Jung, 1971). Pengelasan ini memudahkan untuk diperhati
perkaitannya dalam kehidupan seharian seseorang individu berdasarkan ciri-ciri yang
condong kepada sesuatu kategori yang melampau. Manakala individu yang normal
pula, personaliti dizahirkan dalam keadaan yang biasa dilakukan atau menerusi
pengalaman lampau yang dilaluinya.(Alsagoff, 1984).
2.2.1.1 Personaliti Ekstrovert
Individu yang memiliki personaliti ini biasanya akan menonjolkan ciri-ciri yang
boleh menyesuaikan diri dari aspek sosial dan amat berminat dengan orang lain
(Alsagoff, 1987 dalam Ee Ah Meng, 1995). Ciri-ciri lain yang amat ketara seperti:
lancar pertuturan, bebas daripada risiko, tidak mudah malu, konservatif, mempunyai
minat kepada aktiviti luar, peramah, cepat bertindak dan gemar kepada perubahan.
2.2.1.2 Personaliti Introvert
Merujuk kepada individu yang bersifat introvert yang dikatakan sebagai kurang
berminat dari aspek sosial tetapi berminat kepada perasaan dan dirinya sendiri
(Alsagoff, 1987 dalam Ee Ah Meng, 1995). Ciri-ciri individu introvert pula
cenderung kepada: lebih baik dalam bidang penulisan daripada pertuturan, kurang
berminat bergaul dengan orang atau bersosial, sentiasa berfikir sebelum membuat
keputusan, mudah merasa bimbang, minat membaca majalah dan buku-buku serta
bersifat pemalu, pasif, sensitif dan suka bersendirian.
2.2.1.3 Personaliti Ambivert
Ambivert merujuk kepada personaliti yang menunjukkan bukti berlakunya
perubahan dalam keadaan yang sebenar, sentiasa berubah dan berkemungkinan
seseorang individu itu akan bersikap introvert dan ekstovert pada waktu lain (Crow
& Crow, 1983 dalam Ee Ah Meng 1995). Ini bermaksud individu yang mempunyai
kedua-dua ciri, iaitu introvert dan ekstovert.
2.3 Kajian tentang Personaliti
Holland (1985), melihat faktor keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran
kerja dalam bentuk jenis personaliti seseorang dengan persekitarannya. Jenis
personaliti yang tidak sepadan dengan persekitaran dianggap sebagai punca kepada
sikap tiada minat terhadap kerjaya mahupun perkembangnnya. Faktor-faktor seperti
Page 15
15
tugas yang dilaksanakan, tanggungjawab, kemahiran yang diperlukan, peranan yang
perlu dimainkan, kemudahan-kemudahan yang disediakan dan individu di sekitar
tempat bertugas perlulah bersesuaian dengan ciriciri personaliti yang ada pada diri
seseorang individu.
Individu yang terlibat dalam bidang pendidikan mempunyai personaliti
berbentuk ‘sosial’, menurut Holland (1973). Ini bermaksud warga guru menyukai
aktiviti-aktiviti yang melibatkan memberitahu, memahami, melatih, mengajar dan
membantu orang lain. Tetapi hari ini, tidak semua guru yang ada dalam sistem
pendidikan Malaysia mempunyai personaliti tersebut, malah sebaliknya. Ini
berikutan, warga guru menceburi bidang ini hanya untuk mempunyai sumber
pendapatan yang stabil, dan personaliti mereka tidak sepadan dengan persekitaran
kerja pendidikan. Adalah tidak wajar untuk mengharapkan guru yang tidak berminat
dalam profesionnya untuk memperkembangkan kerjayanya kerana pengembangan
kerjaya memerlukan pengorbanan yang besar.
Kajian yang dilakukan sebelum ini lebih memberi penekanan terhadap trait
personaliti dan ciri personaliti dengan pencapaian akademik. Namun yang demikian,
terdapat pengkaji yang mengambil berat tentang stres guru khususnya dari aspek
personaliti. Satu laporan dari New Straits Times bertarikh 29 Mac 1990 menyatakan
bahawa, seramai 1175 guru-guru bukan siswazah yang kebanyakkannya mengajar di
sekolah rendah dilaporkan mengalami masalah sakit mental (psikosis atau
neourosis). Walaupun bilangannya kecil tetapi jika dilihat daripada sudut nisbah
seorang guru dengan jumlah murid yang diajarnya maka implikasinya adalah sangat
besar dan penting. Guru merupakan model kepada pelajar. Oleh yang demikian,
pemikiran, sikap dan tingkahlakunya mempunyai kesan terhadap muridnya sama ada
secara langsung atau tidak.
Menurut Furhan dan Schaeffer (1984), Albert dan Levina (1990) serta
Noraini (1984), telah mendapati personaliti individu dengan persekitaran kerja akan
menyebabkan keupayaan, bakat dan minat yang dimiliki bukan keupayaan yang
sebenar. Oleh itu, cabaran-cabaran dalam tugas yang terpaksa dilakukan tidak dapat
dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Seterusnya jika individu tersebut
menghadapi masalah kerja ia sukar untuk menanganinya, ini akan menyebabkan
kekecewaan dan tekanan yang tidak terkawal. Faktor ini juga didapati mempunyai
kaitan dengan tindakan berhenti kerja (mengajar).
Page 16
16
2.4 Penutup
Bab ini telah membincangkan kajian stres yang lepas dan kajian tentang kerjaya dari
aspek personaliti. Dari kajian-kajian yang lalu didapati bahawa kebanyakkan guru
mengalami stres dan ianya berpunca dari pelbagai masalah. Antaranya ialah tekanan
daripada ibu bapa, kenakalan murid, ketidakadilan dalam kenaikan pangkat atau
kenaikan gaji, jawatan yang disandang, pengurusan yang tidak cekap, bebanan
kerjaya yang bertambah dan sebagainya. Dalam kajian yang akan dilaksanakan oleh
pengkaji, pengkaji berminat untuk melihat hubungan stress dari aspek personaliti.
BAB III
METODOLOGI KAJIAN
3.0 Pengenalan
Metadologi kajian menunjukkan cara yang paling berkesan untuk mendapatkan
maklumat yang berguna dengan kos yang sangat minimum, bagi mendapatkan
keputusan sesuatu penyelidikan. Ia juga merupakan komponen yang penting dalam
usaha untuk mencapai keputusan yang objektif, jelas, tepat dan boleh dipercayai. Bab
ini membincangkan kaedah yang digunakan dalam menjalankan kajian.Ia
merangkumi aspek reka bentuk kajian, sampel dan populasi, kaedah pengumpulan
data dan instrumen yang digunakan serta kaedah analisis yang akan digunakan.
3.1 Reka Bentuk Kajian
Simon (1978), menyatakan bahawa analisis data yang baik adalah analisis yang dapat
menunjukkan data-data yang penting dalam bentuk yang mudah difahami oleh
pembaca. Kajian ini berbentuk diskriptif iaitu tinjauan. Kajian tinjauan ini adalah
proses pengumpulan data dimana sekumpulan individu yang rela akan menjawab
soalan yang disediakan.
Soal selidik dibina sebagai alat ukur untuk mendapatkan data. Soal selidik
merangkumi aspek yang berhubung dengan latarbelakang responden, tahap stress
(yang meliputi faktor-faktor stres) dan stres dari aspek personaliti. Menurut Mohd
Najib (1999), kajian diskriptif hanya untuk menerangkan keadaan atau perhubungan
antara pembolehubah. Melalui kaedah soal selidik, semua maklumat yang diperolehi
Page 17
17
diklasifikasikan mengikut aspek yang telah ditentukan seterusnya ditafsirkan secara
kuantitatif.
Marshall & Rossman (1995), analisis diskriptif digunakan untuk kajian yang
hanya menjelaskan sesuatu fenomena yang hendak dikaji. Kaedah yang digunakan
dalam kajian ini ialah kaedah korelasi yang menguji hubungan di antara stres dari
aspek personaliti. Pengkaji juga mengkaji faktor stres yang mempengaruhi
personaliti dengan melihat perkaitan/ hubungan.
3.2 Populasi dan Sampel Kajian
Kajian dijalankan di beberapa buah sekolah menengah di Kemaman, Terengganu.
Jumlah populasi ialah 300 orang guru tetapi anggaran saiz sampel kajian seramai 250
orang diatas kerelaan diri masing-masing untuk menjawab soal selidik. Sekolah yang
mempunyai ramai guru maka sampel yang diambil adalah lebih ramai.Kaedah
persampelan yang digunakan bagi kajian ini ialah ‘convinence sampling’.
3.3 Pembentukan Instrumen Kajian
Alat ukur tahap stres ialah Job Related Tension Index dibentuk oleh Khn, Wolfe dan
Resenthel (1964) diterjemah oleh Lem Boon (1981) dengan menggunakan markat
indeks. Alat ukur stres dari aspek personaliti pula dibentuk oleh Friedman, M dan
Rosenman, R.H dan diterjemah oleh Malek Mukamat Said.
3.4 Instrumen Kajian
Instrumen ialah cara atau alat untuk mengumpulkan data. Kaedah yang digunakan
untuk mendapatkan data ialah soal selidik yang terbahagi kepada 3 bahagian: - A, B
dan C.
3.4.1 Bahagian A: Maklumat Peribadi / Demografi
Bahagian ini mengandungi soalan-soalan yang berkaitan dengan maklumat peribadi
atau latarbelakang responden. Antaranya ialah jantina, umur, status dan pengalaman
mengajar.
3.4.2 Bahagian B: Ujian Tahap Stres
Berpandukan kepada Anuar Mohd Som (2000), dengan pengubahsuaian sebanyak 15
item telah dibentuk berkaitan dengan tahap stres. Pengubahsuian dibuat kerana kajian
Page 18
18
yang dibuat oleh pengkaji sebelumnya dijalankan ke atas guru elektrik yang
berkhidmat di sekolah menengah teknik. Semua pengubahsuian item soalan adalah
berdasarkan situasi guru di sekolah menengah yang mungkin berlaku. Semua
responden yang terlibat dikehendaki menjawab semua soalan berdasarkan arahan
yang lengkap telah diberikan di dalam borang soal selidik.
Skala yang digunakan ialah skala likert 5 mata seperti jadual di bawah:
Secara keseluruhannya skala likert yang digunakan mempunyai peranannya sama ada
ia bersifat positif atau negatif. Jika responden merasakan mereka mengalami stres
yang rendah atau sedikit skor 4 atau 5 akan diberikan, tetapi sebaliknya jika
responden merasakan mereka mengalami stres yang serius atau kuat skor 1 atau 2
akan diberikan dan ianya bersifat negatif. Skor 3 pula diberikan sekiranya mereka
tidak pasti sama ada mereka mengalami stres atau tidak.
3.4.3 Bahagian C: Ujian Stres dari aspek Personaliti
Berpandukan kepada Malek Mukamat Said (2004), sebanyak 20 item akan diguna
pakai sebagai alat ukur stres dari aspek personaliti. Tiada pengubahsuian dibuat
kerana kajian yang dibuat oleh pengkaji sebelumnya dikhaskan untuk guru. Semua
responden yang terlibat dikehendaki menjawab semua soalan berdasarkan arahan
yang lengkap telah diberikan di dalam borang soal selidik. Skala yang digunakan
pula telah ditetapkan seperti berikut:
Responden perlu tahu keadaan yang mereka alami dan skor 1 akan diberikan
Page 19
19
sekiranya ia acapkali berlaku (terlalu kerap), skor 2 jika dialami selalu, skor 3 jika
jarang mengalami situasi yang diberikan dan skor 4 bagi tidak pernah mengalaminya.
Cara pemarketan indeks stres dari aspek personaliti telah ditetapkan seperti berikut:
Berdasarkan 20 item yang digunakan untuk mengukur stres dari aspek personaliti
responden akan dikategorikan mengikut skor yang ditetapkan iaitu:
Manakala tret atau ciri personaliti yang dimaksudkan jenis A dan B adalah seperti:
Page 20
20
3.5 Penganalisaan Data
Program Statistical package of Social Science (SPSS) for Window version 17.0 akan
digunakan untuk mendapatkan kekerapaan dan peratusan. Item-item pada bahagian
A diuji berdasarkan ujian statistik frekuensi bagi mendapatkan nilai kekerapan dan
peratusan.Item pada bahagian B pula ia berkaitan dengan tahap stres yang
merangkumi faktor-faktor stres yang telah ditetapkan oleh pengkaji iaitu beban kerja,
masalah interpersonal dan masalah pelajar yang menjadi keutamaan diuji
berdasarkan statistik frekuensi. Pada bahagian C, stres dari aspek personaliti pengkaji
melihat jenis personaliti guru dan mengkategorikannya kepada dua jenis yang utama
yang telah ditetapkan.
3.6 Penutup
Kajian ini dilakukan kepada 300 orang responden di kalangan guru sekolah
menengah di Kemaman, Terengganu. Kajian ini berbentuk diskriptif dan
penganalisian secara berkomputer dengan menggunakan perisian “Statistical Package
Social Science (SPSS) versi 17.0 bagi peratusan data yang diperolehi tepat dan jitu.
Soal selidik yang dijalankan menggunakan mengikut skala yang telah ditetapkan.
Instrumen kajian pernah dijalankan dan diakui kesahannya. Dengan menggunakan
prosedur yang betul dalam kajian ini diharap dapat menepati tujuan penyelidikan dan
menyumbang kepada dunia penyelidikan pada masa hadapan.