-
Kursus “Pengurusan Harta Keluarga Siri 2020’ pada 8-9 September
2020 di IKIM
ISU-ISU BERKENAAN MAFQUD DAN PENYELESAIANNYA
Oleh Tan Sri Dr. Ibrahim bin Lembut
Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
Dan Datuk Seri Dr. Md Zabid bin Hj Abd Rashid
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak
1.0 PENGENALAN
Al-Mafqud, atau orang yang hilang merupakan suatu keadaan di
mana seseorang itu telah hilang dari tempat asalnya, terputus
hubungan dan tidak diketahui akan nasibnya, sama ada masih hidup
atau telah meninggal dunia. Isu perbincangan yang biasa menyentuh
mengenai Al-Mafqud ini adalah berkaitan dengan pewarisan harta
pusaka serta status perkahwinan bagi waris yang ditinggalkan. Bab
pertama ini akan membincangkan mengenai definisi bagi Al-Mafqud
berdasarkan pandangan para ulama, jenis-jenis Al-Mafqud serta sebab
berlakunya orang yang hilang ini.
Secara keseluruhannya, istilah Al-Mafqud ini merujuk kepada
seseorang individu yang telah lama meninggalkan tempat tinggalnya,
terputus beritanya untuk suatu tempoh yang lama dan tidak diketahui
di manakah tempat tinggalnya, malah tidak diketahui sama ada dia
masih hidup atau telah meninggal dunia.
Jenis-Jenis ‘Orang Yang Hilang’
Dalam membincangkan perkara berkaitan dengan orang yang hilang
atau Al-Mafqud ini, terdapat beberapa jenis atau kategori yang
boleh dikaitkan dengan keadaan ini. Berdasarkan mazhab Syafie dan
Hanafi, jenis-jenis Al-Mafqud ini terbahagi kepada satu kategori
sahaja. Manakala bagi mazhab Maliki, Al-Mafqud ini boleh dikelaskan
kepada empat jenis (Ahmad Tarmizi & Shahrul Ridhwan, 2013),
iaitu:
1. Al-Mafqud di negara Islam, iaitu keadaan orang yang hilang
ketika situasi wabak penyakit dan perkara-perkara lain.
2. Al-Mafqud di negara bukan Islam. 3. Al-Mafqud ketika
peperangan antara orang Islam dengan orang kafir. 4. Al-Mafqud
ketika peperangan sesama orang Islam.
Perkara yang paling penting dalam Al-Mafqud ini adalah bagaimana
seseorang yang hilang itu boleh dikelaskan sebagai mati bagi
menyelesaikan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti pewarisan
harta pusaka dan status perkahwinan. Terdapat tiga jenis kematian
yang utama yang telah ditetapkan oleh para ulama fekah (Mohd Muslim
& Siti Mashitoh, 2016), iaitu:
1. Mati hakiki (kematian yang sebenarnya) 2. Mati hukmi
(anggapan kematian berdasarkan keputusan hakim) 3. Mati takdiri
(mati mengikut dugaan)
-
2
Orang yang hilang ini sebenarnya mempunyai dua keadaan yang
utama, iaitu masih hidup, atau telah meninggal dunia. Kedua-dua
keadaan ini adalah penting bagi menentukan hukum-hukum yang
berkaitan dengannya seperti untuk pewarisan harta
dan status perkahwinan. Oleh itu, sekiranya seseorang itu tidak
dapat dipastikan sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia,
maka penentuan jangka masa waktu untuk mencarinya haruslah
ditetapkan oleh ijtihad hakim (Mohamed Hadi, 2014). Sekiranya
seseorang yang hilang itu telah diberi suatu anggapan kematian
(mati hukmi) berdasarkan keputusan hakim mahkamah, maka ia akan
membenarkan urusan-urusan lain yang berkaitan dengannya untuk
diselesaikan.
Sebab Berlakunya ‘Orang Yang Hilang’
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada situasi orang yang
hilang ini. Berdasarkan hasil tulisan Victoria Gregory (2008) dalam
artikelnya, iaitu Types of Missing Persons Cases, sebab-sebab ini
boleh dikelaskan kepada empat kategori utama, iaitu:
1. Lari dari rumah 2. Hilang perhubungan (terputus hubungan
dengan keluarga) 3. Penyakit mental 4. Jenayah
Sementara itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula telah
menyatakan pelbagai sebab serta faktor yang boleh membawa kepada
keadaan orang yang hilang ini. Antara sebab yang disenaraikan
ialah:
1. Penganiayaan secara fizikal 2. Keluar mencari pekerjaan 3.
Pengaruh kawan rapat 4. Perselisihan dalam keluarga 5. Tidak
waras/penyakit mental 6. Diculik 7. Malu kepada masyarakat 8.
Hilang di laut/hutan
Antara contoh mafqud yang berlaku adalah Tragedi MH370 dan
Tragedi Terowong Al-Muassim
2.0 ‘ORANG YANG HILANG’ DAN UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA
Umumnya, di Malaysia, terdapat dua jenis undang-undang
berasingan, iaitu undang-undang sivil dan undang-undang syariah
yang membicarakan mengenai soal anggapan kematian (presumption of
death) terhadap kes orang yang hilang ini. Perbezaan ketara yang
memisahkan antara kedua-dua undang-undang ini adalah tempoh masa
yang diperlukan bagi membentuk anggapan bahawa Al-Mafqud atau orang
yang hilang itu telah meninggal dunia (Mohamed Hadi, 2014).
-
3
Undang-Undang Sivil
Dalam undang-undang sivil, kedudukan orang yang hilang atau
Al-Mafqud ini telah diletakkan di bawah Seksyen 108, Akta
Keterangan 1950 (Akta 56), di mana ia memperuntukkan bahawa:
“Apabila soalnya ialah sama ada seseorang itu masih hidup atau
telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa khabar berita telah
didengar mengenainya selama tujuh tahun oleh orang yang sepatutnya
mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, beban
membuktikan bahawa dia masih hidup beralih kepada orang yang
menegaskannya.”
Secara keseluruhannya, berdasarkan peruntukan tersebut,
undang-undang sivil ini telah menetapkan bahawa waris atau
rakan-rakan (iaitu orang yang mungkin dan sepatutnya mendengar
khabar mengenai orang hilang itu sekiranya dia masih hidup) kepada
orang yang hilang atau Al-Mafqud ini memerlukan tempoh sehingga
tujuh tahun untuk membentuk anggapan bahawa Al-Mafqud telah
meninggal dunia. Sekiranya tempoh tujuh tahun telah berlalu dan
orang yang hilang tersebut masih tidak dapat ditemui, maka anggapan
kematian (presumption of death) boleh dilakukan dan permohonan
anggapan kematian juga boleh disahkan oleh pihak mahkamah (Muhammad
Azwan & Wan Zahari, 2015).
Undang-undang Syariah Pada dasarnya, undang-undang syariah amat
penting dalam memberikan anggapan kematian bagi orang yang hilang
di mana ia bertujuan untuk menyelesaikan masalah-masalah lain
seperti masalah pewarisan harta dan penyelesaian bagi status
perkahwinan. Malah, bidang kuasa undang-undang syariah ini tidak
bercampur dengan undang-undang sivil, sepertimana yang disebutkan
dalam Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan
bahawa:
‘Mahkamah Tinggi Sivil tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa
berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah
Syariah’.
Bagi kes orang yang hilang, pengisytiharan anggapan kematian
oleh pihak Mahkamah Syariah berdasarkan undang-undang syariah
adalah sangat penting bagi menyelesaikan perkara yang berkaitan
dengan status perkahwinan dan perceraian. Hal ini hanya terhad
kepada penyelesaian berkaitan dengan status perceraian sahaja dan
tidak melibatkan hal berkaitan pewarisan harta (Wan Noraini,
2012).
Secara keseluruhannya, berdasarkan peruntukan-peruntukan yang
telah ditetapkan, kita dapat melihat bahawa undang-undang pusaka
orang Islam (faraid) adalah terletak di bawah bidang kuasa
negeri-negeri, manakala pentadbiran keadilan termasuk pentadbiran
pusaka bagi orang Islam adalah terletak di bawah bidang kuasa
kerajaan Persekutuan. Dalam hal ini, Mahkamah Syariah hanya diberi
kuasa untuk memperakukan dan mengesahkan bahagian-bahagian yang
akan diperoleh oleh waris-waris (benefisiari) dalam bentuk Sijil
Faraid atau perakuan ahli waris.
Anggapan Kematian Bagi Orang Yang Hilang Secara asasnya,
peruntukan yang disebutkan dalam Seksyen 108, Akta Keterangan 1950
(Akta 56) seperti dalam undang-undang sivil iaitu berkaitan dengan
kedudukan orang yang hilang turut digunakan dalam peruntukan
enakmen atau akta-akta negeri
-
4
(Mohamed Hadi, 2014), contohnya seperti undang-undang syariah
dan turut menggunakan struktur ayat yang serupa.
Perkara yang paling penting dalam penggunaan undang-undang
syariah bagi proses penentuan status orang yang hilang ini seperti
mana yang disebutkan dalam melalui Seksyen 53(1), Akta
Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984
(Akta 303) di atas adalah khusus bagi membolehkan seseorang wanita
itu untuk berkahwin semula setelah status perkahwinannya
dibubarkan. Maka, keputusan anggapan kematian yang dikeluarkan oleh
pihak Mahkamah Syariah hanya terpakai bagi kes-kes berkaitan
pembubaran perkahwinan tersebut sahaja. Seandainya keputusan
anggapan kematian dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil, maka
pengisytiharan yang telah dibuat itu tidak boleh digunakan oleh
seseorang wanita dalam proses pembubaran perkahwinannya.
Perkara utama yang membezakan peruntukan undang-undang sivil
dengan undang-undang syariah bagi kes orang yang hilang ini,
hanyalah tempoh masa yang perlu ditunggu oleh pihak waris sebelum
sesuatu anggapan kematian terhadap orang yang hilang itu dibuat.
Jika undang-undang sivil menetapkan tempoh masa selama tujuh tahun
bagi para waris, undang-undang syariah pula memberi ketetapan
tempoh masa selama empat tahun sebelum sesuatu anggapan kematian
terhadap orang yang hilang dapat dikeluarkan (Ahmad Tarmizi &
Shahrul Ridhwan, 2013). Tempoh masa selama empat tahun ini telah
digunapakai oleh kesemua Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah
negeri-negeri di Malaysia.
Penggunaan tempoh empat tahun yang ditetapkan dalam
undang-undang syariah ini adalah berdasarkan kepada pandangan para
ulama dan fuqaha yang terdahulu dalam memberikan penyelesaian
terhadap isu orang yang hilang ini. Secara umumnya, tiada nas
syarak yang menetapkan tempoh masa yang tertentu, dan ia merupakan
suatu perkara ijtihadiyyah dalam kalangan ulama Islam.
Dalam mazhab Syafie, pandangan yang paling sahih dalam kes orang
yang hilang ini ialah ia terserah kepada ijtihad para hakim dalam
menentukannya. Tetapi, terdapat juga pandangan-pandangan lain yang
turut diterima dalam mazhab Syafie, iaitu yang menyatakan bahawa ia
ditentukan selepas 68 tahun, 70 tahun, 80 tahun, 100 tahun dan 120
tahun.
Keputusan anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah
Syariah ini hanya akan diakui oleh pihak Pendaftar Nikah Cerai bagi
membolehkan seseorang isteri itu berkahwin lagi, namun tidak bagi
maksud pembahagian harta pusaka dan pewarisan harta (Hasbullah,
Zakaria, & Musa, 2016). Hal ini adalah kerana Unit Pembahagian
Pusaka, Pejabat Tanah dan Galian Negeri yang bertanggungjawab
menyelesaikan harta orang Islam yang hilang, hanya akan menerima
anggapan kematian bagi orang hilang yang dikeluarkan oleh pihak
Mahkamah Tinggi sahaja. Keadaan ini sebenarnya adalah mengikut
kepada peruntukan mengikut Seksyen 108, Akta Keterangan 1950
(disemak pada 1971).
Secara kesimpulannya, pihak isteri dan waris kepada orang yang
hilang ini harus menerima dua perintah pembuktian kematian,
iaitu:
1. Anggapan kematian/pembuktian kematian dari Mahkamah Syariah:
Ini diperlukan bagi membolehkan penentuan cerai secara mati dibuat,
dan seterusnya membolehkan seseorang isteri untuk berkahwin
semula.
2. Anggapan kematian/pembuktian kematian dari Mahkamah
Sivil:
-
5
Ini diperlukan oleh ahli-ahli waris bagi orang yang hilang untuk
menyelesaikan masalah pembahagian harta pusaka dan pewarisan
harta.
Terdapat dua pertimbangan utama yang diberi perhatian dalam
bidang undang-undang sebelum perintah anggapan kematian terhadap
Al-Mafqud ini dikeluarkan (Ahmad Tarmizi & Shahrul Ridhwan,
2013), iaitu:
1. Berdasarkan bukti-bukti yang kukuh yang dibenarkan oleh
syariat, 2. Berdasarkan tempoh atau jangkamasa lamanya orang yang
hilang itu telah pergi,
STATUS PERKAHWINAN BAGI ‘ORANG YANG HILANG’
Penyelesaian Bagi Status Perkahwinan Bagaimana untuk
menyelesaikan status perkahwinan bagi Al-Mafqud ini? Seperti mana
yang telah dijelaskan, setiap negeri di Malaysia mempunyai bidang
kuasa enakmen dan seksyen mereka yang tersendiri dalam menyediakan
perintah dan undang-undang bagi pembubaran perkahwinan untuk orang
yang hilang.
Tempoh empat tahun merupakan tempoh yang telah ditetapkan
sebelum sesuatu anggapan kematian oleh Mahkamah Syariah
dikeluarkan. Dalam hal ini, tempoh masa yang ditetapkan ini
dianggap sebagai lebih munasabah dan lebih singkat berbanding
dengan tempoh tujuh tahun seperti yang ditetapkan melalui Akta
Keterangan 1950 (Akta 56). Perakuan dan pengisytiharan bagi
anggapan kematian seseorang yang hilang ini juga akan dikeluarkan
setelah mengambil kira bukti-bukti kukuh yang dikemukakan oleh para
waris. Perakuan anggapan kematian yang dikeluarkan oleh pihak hakim
ini sebenarnya bukan sahaja memberi kesan kepada status
perkahwinan, malah turut mempengaruhi proses pembahagian harta
sepencarian, harta pusaka, wasiat dan lain-lain perkara.
Menurut pandangan pakar undang-undang, seseorang isteri yang
suaminya telah hilang untuk suatu tempoh masa tertentu dan tidak
dapat ditentukan sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia
mempunyai dua pilihan dalam proses pembubaran perkahwinannya.
Pertamanya ialah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh dan memohon
untuk perakuan bagi anggapan kematian setelah menunggu selama empat
tahun atau lebih.
Cara yang kedua pula ialah sekiranya seseorang isteri itu tidak
berhajat untuk membuat permohonan bagi anggapan kematian, tetapi
ingin memohon perceraian, maka isteri berkenaan boleh memohon
pembubaran perkahwinan secara fasakh.
Tempoh iddah seorang isteri yang ditetapkan dalam kes orang yang
hilang ini ialah selama empat bulan sepuluh hari. Dalam hal ini, ia
adalah terpakai bagi seseorang isteri yang telah menunggu selama
empat tahun dan selepas tempoh tersebut, isteri wajib pula beriddah
dengan iddah kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. Bagi
wanita yang beriddah kerana kematian suami, Islam telah
menggariskan cara-cara tertentu sepanjang mereka berada dalam
tempoh tersebut. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh
mereka ialah (Mukhtar, 2017):
Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi.
Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali
dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.
-
6
Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi
kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan.
Pewarisan Isteri Bagi Harta Al-Mafqud
Dalam konteks pewarisan harta bagi isteri Al-Mafqud, para fuqaha
telah berselisih pendapat dengannya. Imam Sya’bi yang bermazhab
Hanafi berpandangan bahawa jika isteri Al-Mafqud itu telah
berkahwin, kemudian disahkan Al-Mafqud telah meninggal dunia, maka
dia hendaklah beriddah dan kemudian mewarisi harta Al-Mafqud.
Bagi mazhab Maliki pula, sekiranya orang yang hilang itu telah
disahkan sebagai meninggal dunia dan isterinya belum berkahwin
lain, maka isterinya berhak mewarisi harta tersebut. Sekiranya
isterinya itu telah berkahwin lain dan belum disetubuhi kemudian
didapati bahawa suaminya yang hilang telah meninggal dunia, maka
dia masih lagi mewarisi harta tersebut dan terpisah isteri
Al-Mafqud dengan suaminya kedua dan hendaklah dia menyempurnakan
iddah bermula daripada hari kematian. Sebaliknya, jika dia telah
disetubuhi oleh suaminya kedua, maka isteri orang yang hilang itu
tidak boleh mewarisi hartanya dan dia tidak terpisah dengan
suaminya kedua. Namun, jika perkahwinan dengan suami kedua itu
berlaku ketika dalam iddah kematian suami pertama (Al-Mafqud) maka
dia tetap mewarisi harta suami pertamanya, namun hubungannya dengan
suami kedua akan terpisah (Ahmad Tarmizi & Shahrul Ridhwan,
2013).
Mazhab Hanbali pula menetapkan bahawa isteri Al-Mafqud mewarisi
hartanya apabila dia disahkan meninggal dunia selagi mana dia tidak
berkahwin dengan lelaki lain. Namun jika dia telah berkahwin dan
belum lagi disetubuhi oleh suaminya kedua, dia tidak akan mewarisi
harta tersebut. Apabila isteri itu telah disetubuhi oleh suaminya
kedua, kemudian muncul suami Al-Mafqud dan memilihnya kemudian
meninggal dunia, maka dia mewarisi hartanya dan begitulah
sebaliknya. Sebaliknya, jika salah seorang daripada suami berkenaan
meninggal dunia sebelum isteri tersebut membuat pilihannya, maka
isteri itu hanya boleh mewarisi harta daripada suami keduanya
sahaja dan tidak boleh mewarisi harta daripada suami Al-Mafqud
(Ahmad Tarmizi & Shahrul Ridhwan, 2013).
3.0 PEWARISAN HARTA BAGI ‘ORANG YANG HILANG’
Pengurusan dan Pentabiran Harta Pusaka Harta yang dimaksudkan
ini ialah segala harta peninggalan si mati yang meliputi harta alih
dan harta tak alih setelah ditolak segala hutang dan kewajipan yang
perlu diberikan kepada pihak-pihak yang berhak menurut
undang-undang. Harta pusaka ini juga boleh disebut sebagai ‘harta
warisan’, yang mana berdasarkan Seksyen 2, Enakmen Wasiat Orang
Islam (Selangor) 1999, telah mendefinisikan harta pusaka sebagai
“termasuk harta alih dan tak alih, ialah apa- apa manfaat dalam
harta alih atau tak alih, hak, hak milik, tuntutan, hak dalam
tindakan, sama ada pada masa sekarang atau pada masa hadapan, atau
yang selainnya mempunyai nilai menurut hukum syarak” (Resali,
2016).
-
7
Kaedah ‘Orang Yang Hilang’ Mewariskan Harta Secara dasarnya,
para fuqaha telah bersepakat bahawa orang yang hilang (Al-Mafqud)
tidak dianggap sebagai mati kerana asalnya adalah hidup kecuali
adanya bukti-bukti yang menunjukkan orang yang hilang itu telah
mati, atau telah sampai tempoh pada kebiasaan secara Ẓannī bahawa
dia (Al-Mafqūd) tidak dapat hidup lebih daripada usia tersebut
(Mohamed Hadi, 2014). Oleh itu, orang yang hilang tidak boleh
dianggap sebagai telah meninggal dunia terus apabila ia hilang, dan
hartanya tidak boleh dijadikan sebagai harta pusaka. Ini adalah
kerana syarat mewarisi harta pusaka terdiri daripada tiga syarat
iaitu: mati pemilik harta (Mautul Muwarrith), waris hidup ketika
pemilik harta mati (Hayātul Wārith Waqtu Mauti al-Muwarrith) dan
mengetahui salasilah ahli waris (al-‘Ilmu Bi Jihati al-Irthi) (Mohd
Muslim, 2016).
Ini bermakna, segala harta alih atau tidak alih hak milik orang
yang hilang tidak boleh dijadikan sebagai harta pusaka, dan tidak
boleh dibelanjakan atau dibinasakan harta tersebut, kerana harta
tersebut masih kekal menjadi hak milik orang yang hilang itu
sehinggalah ditetapkan oleh hakim atau pihak yang berkewajipan
bahawa dia telah mati atau dikira sebagai mati hukmi. Kaedah ini
telah digunapakai di Malaysia dalam proses pembahagian harta pusaka
iaitu syaratnya ialah dengan memperoleh surat pengisytiharan
anggapan kematian daripada Mahkamah Tinggi Malaysia sebelum harta
tersebut dapat dibahagikan kepada para waris yang berhak
Dalam hal pengisytiharan anggapan kematian ini, sekiranya
seseorang yang hilang itu disahkan telah meninggal dunia
berdasarkan bukti-bukti yang diakui oleh syarak, maka keputusan
yang dibuat oleh hakim berkaitan dengan pengisytiharan kematian
tersebut adalah bersandarkan kepada tarikh yang ditentukan oleh
bukti-bukti itu. Manakala, para waris kepada orang yang hilang itu
pula akan mewarisi hartanya bermula pada tarikh tersebut (Ahmad
Tarmizi & Shahrul Ridhwan, 2013).
Namun begitu, sekiranya tidak terdapat sebarang bukti-bukti
kukuh yang dikemukakan bagi membuat pengisytiharan anggapan
kematian terhadap orang yang hilang tersebut, keputusan anggapan
kematian akan dibuat berdasarkan kepada ijtihad hakim (bukan
berasaskan bukti yang syarie). (Ahmad Tarmizi & Shahrul
Ridhwan, 2013).
Pewarisan Harta Orang Yang Hilang Secara Serentak (Suami
Isteri)
Terdapat juga situasi dan keadaan di mana berlakunya kehilangan
secara serentak pasangan suami isteri, seperti peristiwa tsunami di
Acheh pada tahun 2004 serta di Jepun pada tahun 2011. Bagi keadaan
ini, kedua-dua suami isteri boleh diberi anggapan sebagai mati
secara serentak dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih
dahulu. Jumhur ulama, kecuali bagi Mazhab Hanbali telah memberikan
pandangan bahawa suami isteri yang mati secara serentak ini tidak
akan mewarisi harta satu sama lain kerana syarat bagi pewarisan
harta itu ialah waris haruslah masih hidup ketika kematian orang
yang mewariskan harta kepadanya.
Perkara ini telah dijelaskan melalui Keputusan Jawatankuasa
Muzakarah Fatwa Kebangsaan Ke-83, yang bersidang pada 22 hingga 24
Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan, yang telah memutuskan hukum
pewarisan harta kes kematian serentak sebagai:
“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang
dikemukakan, Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana ahli
keluarga yang meninggal dunia secara serentak dalam kejadian yang
sama atau sebaliknya dan tidak dapat
-
8
ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak
pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama
lain, kerana berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith)
hendaklah masih hidup ketika kematian orang yang mewariskan
(al-muwarith). Oleh itu, harta warisan si mati akan dibahagikan
kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli
keluarga yang mati bersamanya. Bagi merekodkan waktu kematian,
perakuan pakar perubatan hendaklah diterima pakai dan dicatatkan di
dalam sijil kematian.” (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,
2008)
Cara Pembahagian Harta Pusaka Orang Yang Hilang (Al-Mafqud)
Persoalan mengenai pembahagian harta pusaka orang yang hilang
ini boleh disegerakan bagi pengurusan oleh ahli warisnya melalui
teori al-Taqdīr, iaitu diagihkan harta pusaka tersebut kepada ahli
waris yang layak menerimanya dengan kadar yang paling minimum.
Dalam hal ini, Al-Mafqud itu dianggapkan kepada dua keadaan iaitu
mati dan hidup, sekiranya ada perbezaan kadar di antara anggap mati
atau anggap hidup maka harta pusaka itu diagihkan kepada ahli waris
dalam kadar yang paling sedikit bahagiannya (Mohd Muslim,
2016).
Berdasarkan teori al-Taqdīr ini, orang yang hilang itu diberi
dua anggapan, iaitu pertamanya, pengiraan pembahagian dengan
anggapan bahawa dia telah meninggal dunia dan kedua, pengiraan
pembahagian dengan anggapan bahawa dia masih hidup. Setelah itu
dibuat pengiraan al-Jam’u iaitu digabungkan di antara pengiraan
anggapan hidup dengan pengiraan anggapan mati, dan dipilih kadar
yang paling sikit bahagiannya yang ahli waris dapat di antara dua
anggapan tersebut. Sekiranya ada bahagian yang lebih, ia akan
disimpan sehingga status orang yang hilang tersebut tersebut
diputuskan oleh mahkamah sama ada hidup atau mati, seterusnya
barulah diagihkan bahagian yang disimpan tersebut kepada ahli waris
yang layak setelah diputuskan status orang yang hilang berkenaan
(Mohd Muslim, 2016).
Rajah 4.1 Kaedah pengiraan mengikut teori al-Taqdīr (Mohd
Muslim, Nasrul Hisyam, & Ezwan Rafiq, 2017).
Orang Yang Hilang Sebagai Waris (Muwaris)
Setelah melihat kepada situasi di mana orang yang hilang atau
Al-Mafqud ini sebagai pewaris kepada harta peninggalannya, kita
akan meneliti pula kepada situasi di mana orang yang hilang ini
sebagai waris kepada harta yang ditinggalkan. Hukum bagi
-
9
orang yang hilang adalah seperti yang dinyatakan dalam
perbincangan sebelum ini, yang mana orang yang hilang itu dikira
masih hidup sehinggalah ada bukti yang menunjukkan bahawa orang
yang hilang itu telah mati, atau telah melalui suatu tempoh yang
membolehkannya dianggap telah mati. Oleh itu, orang yang hilang
adalah berhak mewarisi pusaka selagi tidak disabitkan sebagai telah
mati atau selagi tidak disabitkan telah mati oleh hakim melalui
anggapan kematian (Wan Abdul Halim, 2006).
Kelayakan dan syarat bagi seseorang ahli waris untuk mewarisi
harta pusaka adalah waris masih hidup ketika matinya pemilik harta,
dan dalam hal ini, orang yang hilang masih dikira sebagai ahli
waris yang masih hidup selagi mana belum disabitkan sebagai mati
hukmi. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan pendapat
antara ulama berkaitan dengan penetapan hak orang yang hilang dalam
mewarisi harta pusaka (Mohd Muslim & Siti Mashitoh, 2016),
iaitu:
1. Orang yang hilang tiada hak dalam mewarisi harta pusaka 2.
Orang yang hilang berhak mewarisi harta pusaka
Bagi keadaan di mana orang yang hilang (Al-Mafqud) mewarisi
harta daripada seseorang yang telah meninggal dunia, sebelum
kematian orang yang hilang itu disahkan atau disabitkan, ia boleh
berlaku dalam dua situasi, iaitu:
1. Situasi pertama: Orang yang hilang tersebut merupakan waris
tunggal kepada si mati, ataupun beliau merupakan pendinding (hajib)
kepada waris-waris yang lain. Dalam situasi ini, ditangguhkan
segala pembahagian harta si mati sehingga jelas keadaan orang
hilang tersebut atau setelah hakim mengesahkan kematian orang yang
hilang tersebut (Mushaddad, Mohamad Zaharuddin, & Zahari,
2016).
2. Situasi kedua: Terdapat ahli waris lain yang turut berkongsi
bahagian harta bersama orang yang hilang tersebut, di mana dalam
keadaan ini para ulama berselisih pendapat kepada tiga pandangan
utama, iaitu:
Pandangan pertama: Jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab
Hanafi,
Maliki, dan Syafie dalam pandangan yang paling sahih serta
Mazhab Hanbali. Mereka berpandangan bahawa waris tersebut diberikan
bahagian yang paling yakin iaitu bahagian yang paling rendah antara
dua keadaan iaitu antara bahagian yang mereka perolehi sekiranya
orang yang hilang tersebut masih hidup ataupun bahagian yang
diperoleh seandainya orang yang hilang tersebut meninggal dunia.
Manakala baki daripada pembahagian tersebut hendaklah ditangguhkan
pembahagiannya sehingga mendapat kepastian keadaan sebenar orang
yang hilang tersebut. Keadaan ini adalah kerana bahagian yang
paling rendah itu adalah bahagian yang paling meyakinkan dan apa
yang lebih daripada jumlah berkenaan adalah meragukan untuk
diberikan kepada waris tersebut (Mushaddad et al., 2016).
Pandangan kedua: Para ulama mazhab Syafie dalam pandangan
yang
kedua menyatakan bahawa masalah tersebut perlu diselesaikan
dengan menganggap orang yang hilang tersebut telah meninggal dunia
untuk kemaslahatan dan kesenangan semua ahli waris kerana hak
mereka terhadap harta tersebut adalah pasti manakala hak orang
hilang terhadap
-
10
harta tersebut masih lagi diragui, namun sekiranya keputusan
tersebut bercanggah dengan keadaan yang sebenar, maka hukum
tersebut akan diubah mengikut keadaan yang sebenar. Pendapat ini
juga merupakan pendapat kedua di sisi Mazhab Hanbali (Mushaddad et
al., 2016).
Pandangan ketiga: Para ulama dalam mazhab Syafie menyatakan
bahawa
harta tersebut hendak dibahagikan kepada semua waris yang berhak
berdasarkan anggapan bahawa orang yang hilang tersebut masih hidup.
Ini kerana berdasarkan hukum asal, orang yang hilang tersebut
dikira masih hidup, dan sekiranya berlaku kesilapan maka hukum
tersebut akan berubah berdasarkan situasi sebenar (Mushaddad et
al., 2016).
Secara asasnya, pandangan yang paling kuat di antara ketiga-tiga
pandangan ini ialah pandangan yang pertama, iaitu pendapat jumhur
ulama yang membenarkan pembahagian harta kepada waris berdasarkan
bahagian yang paling rendah antara dua keadaan, iaitu sama ada
dengan kebarangkalian orang yang hilang tersebut masih hidup
ataupun telah meninggal dunia.
Pewarisan Harta Bagi Orang Yang Hilang Yang Kembali Setelah
Disabitkan Sebagai Mati
Apabila hakim telah mensabitkan serta memutuskan bahawa
seseorang yang hilang itu telah meninggal dunia kerana melebihi
tempoh tertentu dan mengeluarkan surat anggapan kematian, maka
segala harta dan haknya telah dijadikan sebagai harta pusaka.
Namun, bagaimanakah keadaannya seandainya orang yang hilang
tersebut kembali semula selepas itu dan masih hidup, sedangkan
harta dan haknya telah dijadikan sebagai harta pusaka. Adakah orang
hilang yang kembali semula ini masih dianggap sebagai telah mati
dan bagaimana pula dengan hak dan hartanya?
Dalam hal ini, para ulama sepakat bahawa orang yang hilang itu
atau ahli warisnya boleh tampil ke mahkamah untuk menuntut kembali
haknya sebagai suami atau pemilik kepada harta tersebut. Perkara
ini turut telah dijelaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Johor
Bahru, iaitu Yang Arif Muhammad Khaldun Bin Mohamad Sharif, yang
menyatakan bahawa (Mohd Muslim & Siti Mashitoh, 2016):
“Mahkamah dah memutuskan kes dia (Mafqūd) telah mati tiba-tiba
dia (Mafqūd) masih hidupkan a.. yang pertama yang mengikut prosedur
mal kita biasanya mana perintah tiba- tiba berubah matannya maka
pihak-pihak boleh memohon mengubah perintah mahkamah, perintah
mahkamah itu sendiri tiada masalah, pihak-pihak untuk rujuk kembali
ke mahkamah bagi pungutan permohonan mengubah perintah terdahulu
itu tiada masalah, jadi sebarang perubahan tu berlaku.”
Oleh itu, jelaslah bahawa sekiraanya orang yang hilang yang
dianggap mati itu muncul kembali, maka hartanya harus dipulangkan
kembali kepada dirinya. Sekiranya dia menjadi salah seorang ahli
waris, atau penerima pusaka, maka dia juga berhak menerima
bahagiannya daripada pembahagian pusaka tersebut (Mohd Muslim &
Siti Mashitoh, 2016).
Penyelesaian Hutang ‘Orang Yang Hilang’
Seperti yang diterangkan dalam jumhur ulama, yang merangkumi
mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie, hak-hak yang berkaitan dengan
harta pusaka atau harta warisan ini termasuklah hak-hak barangan,
hak bagi persiapan untuk pengurusan jenazah si mati,
-
11
hak untuk melangsaikan hutang piutang si mati, hak untuk
melaksanakan wasiat si mati serta hak untuk membahagikan harta
peninggalan yang masih berbaki kepada para waris yang berhak
mengikut kedudukan mereka (Ibrahim, 2012). Bagi kes orang yang
hilang, hak-hak yang termaktub ini juga adalah sama untuk mereka
setelah orang yang hilang ini disabitkan atau dihukumkan sebagai
telah meninggal dunia.
Dalam hal penyelesaian hutang, bagi seseorang yang telah
disabitkan sebagai meninggal dunia, maka hutangnya juga harus
dilunaskan dengan secepat mungkin setelah selesai urusan haknya
yang lain seperti pengurusan jenazahnya. Hal ini adalah berpandukan
kepada firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa’, ayat 12, yang
bermaksud:
“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh
isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika
mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta
yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka
wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya dan bagi mereka
(isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan,
jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak
maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari
harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu
wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutang kamu dan jika si mati yang
diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak
atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau
saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya
ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu
itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga
(dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah
ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah
dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak
mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum
itu) ialah ketetapan dari Allah dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Penyabar.”
Berdasarkan ayat ini, kita dapat melihat bahawa penyelesaian
hutang bagi orang yang telah meninggal dunia itu adalah lebih utama
berbanding dengan urusan pembahagian harta pusaka mereka. Malah,
situasi mendahulukan pelunasan hutang ini juga adalah terpakai buat
kes orang yang hilang yang telah disabitkan sebagai meninggal
dunia. Hutang ini boleh terbahagi kepada dua, iaitu sama ada hutang
kepada Allah S.W.T. atau hutang kepada manusia. Hutang kepada Allah
S.W.T ini adalah seperti nazar, kafarah, zakat dan menunaikan fardu
haji, manakala bagi hutang sesama manusia pula ia merangkumi hutang
berkaitan barang-barang peninggalan sebelum terjadinya kematian
serta hutang yang tidak berkaitan dengan harta daripada harta
peninggalan si mati (Ibrahim, 2012).
Pelaksanaan Wasiat ‘Orang Yang Hilang’ Selain daripada
melunaskan hutang, proses melaksanakan wasiat yang ditinggalkan
oleh orang yang meninggal dunia juga harus disempurnakan oleh
warisnya. Wasiat ini adalah pemberian harta, hak atau manfaat oleh
seseorang kepada seseorang semasa hayatnya tanpa apa-apa balasan
dan berkuatkuasa selepas kematiannya. Wasiat itu hendaklah bukan
kepada ahli warisnya dan tidak melebihi kadar satu pertiga daripada
keseluruhan hartanya (Mukhtar, 2018). Firman Allah dalam Surah
Al-Maidah, ayat 106 turut menyatakan akan kepentingan berwasiat
bagi orang Islam, yang bermaksud:
-
12
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu
menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah
(wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu,
atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam
perjalanan di muka bumi, lalu kamu ditimpa bahaya kematian.”
Bagi orang yang hilang yang telah dihukumkan sebagai meninggal
dunia, sekiranya dia ada membuat wasiat sebelum hilang dan disahkan
sebagai meninggal dunia, maka pelaksanaan wasiatnya perlu
diselesaikan dengan secepat mungkin. Dalam hal ini, sekiranya
wasiat tersebut meliputi satu pertiga daripada harta yang
dimilikinya, maka ia boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kepada
persetujuan dan izin daripada ahli waris yang lain. Sebaliknya,
sekiranya wasiat yang ditinggalkan tersebut adalah melebihi
daripada satu pertiga daripada hartanya yang berbaki (setelah
ditolak pengurusan jenazah dan hutangnya), maka wasiat yang harus
dilaksanakan hanyalah yang meliputi setakat satu pertiga sahaja.
Manakala, selebihnya perlu mendapat izin serta persetujuan daripada
ahli waris yang lain. Jika ahli waris bersetuju, maka wasiat
tersebut boleh dilaksanakan mengikut jumlah yang dibuat, dan jika
ahli waris tidak bersetuju, maka wasiat yang boleh ditunaikan
hanyalah setakat satu pertiga daripada harta tersebut sahaja
(Mukhtar, 2018).
Situasi ini juga meliputi sekiranya dalam wasiat orang yang
meninggal dunia itu menyebut mengenai arahan bagi mewakafkan
hartanya, sama ada wakaf umum atau wakaf khusus, maka jumlah harta
yang boleh diwakafkan hanyaalah setakat satu pertiga sahaja. Walau
bagaimanapun, jika terdapat keizinan daripada waris, ia boleh
dilaksanakan dalam kadar melebihi satu pertiga tersebut (Ibrahim,
2012).
4.0 RUJUKAN
Abdul Monir, Y. (2009). Perlaksanaan Perundangan Islam di
Malaysia: Satu Penilaian. Journal of Fiqh, 6, 1–20.
Ahmad Tarmizi, M., & Shahrul Ridhwan, S. A. (2013). Harta
Al-Mafqud: Satu Analisis Menurut Perspektif Syariah Dan
Undang-Undang. Jurnal Muamalat, 6, 1–24.
Alias, A., Mohammad Azam, H., Muhammad Hafiz, B., & Fauziah,
M. N. (2014). Pengurusan Harta Dalam Islam: Perspektif Hibah Di
Malaysia. Journal of Human Development and Communication, 3,
115–128.
Bibi Nur Adila, Z., & Md Yazid, A. (2016). Kekangan dan
Penyelesaian Kelewatan Pengurusan Aset Pusaka Tak Alih Orang Islam
di Malaysia. Islamiyyat, 38(1), 53–63.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Terengganu (2017).
Retrieved February 20, 2019, from
http://syariah.terengganu.gov.my/doc/Enakmen UUKI (2017)
(BM).pdf
Ghazali, I. (2011). RM42 Billion Pusaka Belum Dituntut? Kuala
Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd.
Halimatun Sa’adiah, M. M. (2012). Permohonan Anggapan Mati Dari
Aspek Kekeluargaan Islam: Kajian di Mahkamah Syariah di Malaysia.
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
-
13
Hasbullah, M., Zakaria, M. Z., & Musa, Z. M. (2016).
Pewarisan Harta Orang Hilang (Al-Mafqud), 4(November 2014),
1–12.
Ibrahim, L. (2012). Al-Mafqud: Problematika dan Penyelesaian
Menurut Perundangan Syariah di Malaysia. Universitas Islam Negeri
Sultan Syarif Kasim, Riau.
Lukman, A. M., Zulfaqar, M., Wan Abdul Fattah, W. I., Syahirah,
A. S., & Hasnizam, H. (2018). Langkau Wali: Punca, Kesan dan
Penyelesaiannya Kepada Perkahwinan Menurut Fiqh dan Perundangan di
Negeri Sembilan. In 4th Muzakarah Fiqh & International Fiqh
Conference (MFIFC 2018) (pp. 113–127).
Mariyatul Qibtiyah, M., & Noralfishah, S. (2015). Isu Dalam
Menguruskan Harta Al-Mafqud di Malaysia. In International
Conference and Ph.D. Colloquium on Islamic Economics and Finance
2015 (pp. 1–9). Mataram, Indonesia.
Mohamed Hadi, A. H. (2014). Anggapan Kematian Al-Mafqud Menurut
Undang-Undang Sivil dan Syariah: Satu Penilaian Semasa. Kanun, Jun,
26–37.
Mohd Khairy, K., & Azwan, A. (2016). Amalan pembahagian
faraid di Malaysia. Journal of Global Business and Social
Entrepreneurship, 2(3), 11–19.
Mohd Muslim, S. (2016). Hukum dan pelaksanaan agihan harta
pusaka dalam kes mafqūd, munāsakhāt dan ḥaml. Universiti Teknologi
Malaysia.
Mohd Muslim, S., & Siti Mashitoh, M. (2016). Konsep Hukum
Dan Perundangan Serta Model Penyelesaian Bagi Kes Al-Mafqūd Dalam
Pentadbiran Harta Pusaka. Proceeding International Conference on
Islamic Jurisprudence (ICIJ) 2016, 216–231. Retrieved from
http://ukmsyariah.org/terbitan/index.php
Mohd Muslim, S., Nasrul Hisyam, N. M., & Ezwan Rafiq, H.
(2017). Penyelesaian Harta Pusaka Mafqud Menurut Perspektif
Undang-Undang Islam. International Journal of Islamic and
Civilizational Studies, 04, 41–55.
Muhammad Azwan, S., & Wan Zahari, W. Y. (2015). Management
of Missing Person’s Property : In Malaysia Civil and Shariah Law
Prospective. Proceedings of the Second Asia-Pacific Conference on
Global Business, Economics, Finance and Social Sciences
(AP15Vietnam Conference), (July), 10–12.
Mukhtar, A. (2018). Tuntutan Wasiat di Mahkamah Syariah di
Malaysia. Kuala Terengganu: Sky Global Printing.
Musa, A. (2014). Merungkai status orang hilang. Retrieved
January 28, 2019, from
https://peguamsyariemalaysia.blogspot.com/2014/07/merungkai-status-orang-hilang.html
Mushaddad, H., Mohamad Zaharuddin, Z., & Zahari, M. M.
(2016). Pewarisan Harta Orang Hilang (Al-Mafqud). Malaysian Journal
of Syariah and Law, 4, 1–12.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (2008). Hukum Pewaris
Bagi Kes Kematian Serentak.
Nik Rahim, N. W., Lukman, A. M., Azman, A. R., Mualimin, M. S.,
Nik Salida Suhaila, N. S., Mohd Hazmi, M. R., … Atiq Syamimi, A.
(2018). Harta Tidak Dituntut: Punca dan Kaedah Penyelesaiannya.
Malaysian Journal of Syariah and Law, 7(June), 129–141.
Noorizan, M. H., Hairunnizam, W., Mohd Zamro, M., & Mohd
Yassin, M. Y. (2017). Pindaan Akta GSA (2002) dan Cadangan Model
Pembahagian Harta Pusaka
-
14
Tanah Rancangan Felda. In Prosiding PERKEM 12 (pp. 1172–1180).
Selangor: Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
UKM.
Rabiatul Hasanah, M., Nazifah, M., Latifa Bibi, M. H., &
Norhanizah, J. (2017). Pengurusan Wakaf Di Malaysia: Isu Dan
Cabaran. In Proceeding of the 4th International Conference on
Management and Muamalah 2017 (pp. 43–51). Selangor.
Resali, M. (2016). Harta Pusaka Islam di Malaysia: Antara
Perundangan dan Pentadbiran. Malaysian Journal of Syariah and Law,
4, 1–10.
Rusnadewi, A. R., & Noor Inayah, Y. (2010). Masalah
Kegagalan dan Kelewatan Pengagihan Harta Pusaka di Malaysia.
Rusnadewi, A. R., & Nor Hisyam, A. (2013). Pengurusan Harta
Melalui Hibah: Kepentingan dan Manfaat Dari Pelbagai Aspek Untuk
Kemajuan Ummah. Jurnal Hadhari, 5(1), 91–104.
Ruzman, M. N., & Mohd Istajib, M. (2011). Ulasan Kes Dari
Aspek Pembuktian : Rosmah Binti Suly & Seorang Yang Lain Lwn
Ismail bin Mohamad & Seorang Yang Lain (JH 32/2, Jun 2011,
223). Kanun, 26, 130–146.
Suhaizad, S., Ruzian, M., & Mohd Munzil, M. (2019). Kaedah
Pembuktian Dalam Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah dan
Mahkamah Sivil di Malaysia: Suatu Kajian Perbandingan. Kanun,
31(January), 1–35.
Sulaiman, M. A., Wan Yusoff, W. Z., Al-Edrus, S. M. D., &
Shafie, F. (2017). Management Of Missing Person’s Properties In
Maqasid Syariah Dimension. Sains Humanika, 9(1–4), 9–13.
https://doi.org/10.11113/sh.v9n1-4.1117
Wan Abdul Halim, W. H. (2006). Pengurusan dan Pembahagian Harta
Pusaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Noraini, M. S. (2012). Islamic Law of Succession: A
Practical Guide to the Laws of Faraid. Ampang, Kuala Lumpur: The
Malaysian Current Law Journal Sdn Bhd.
Zaain, Z. (2013). RM66 bilion tidak dituntut. Retrieved January
29, 2019, from
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130911/dn_15/RM66-bilion-tidak-dituntut