MAJLIS AMANAH RAKYAT Permohonan Dibuka Pada Hari Keputusan UPSR 2014 Diumumkan Agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah MRSM menyediakan sistem pendidikan yang berteraskan ilmu, teknologi dan nilai-nilai keusahawanan bagi melahirkan insan cemerlang yang holistik dan berintegriti. MARA mempelawa pelajar TAHUN ENAM 2014 berpotensi yang berminat dan cemerlang dalam sahsiah diri serta akademik untuk kemasukan ke MRSM tingkatan satu pada tahun 2015 di Semenanjung Malaysia. MARA memberi keutamaan kepada pemohon daripada keluarga miskin bandar dan luar bandar. Pemohon hendaklah mempunyai ciri-ciri keperibadian yang unggul dan memenuhi syarat seperti yang dinyatakan di bawah: Amanah, rajin, berdikari, bersyukur, patriotik dan self driven. Berbudi pekerti dan hormat-menghormati hak sesama pelajar dan orang lain. Bersedia menerima serta mematuhi arahan dan peraturan dengan penuh disiplin. Sihat tubuh badan. Bersedia menjalani program latihan kecergasan fizikal. Kesanggupan mengikuti pelbagai program yang dianjurkan. Bersedia untuk tinggal di asrama sepanjang tempoh pengajian. Sentiasa menjaga nama baik keluarga, MRSM dan MARA. Terdapat tiga program utama yang dilaksanakan di MRSM. Program-program tersebut adalah seperti berikut: MRSM Program ’Sistem Pendidikan MRSM’ (SPMRSM) Program ini melaksanakan Sistem Pendidikan Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia serta menggabungjalinkan prinsip pendidikan pintar-cerdas dan pembudayaan nilai-nilai keusahawanan. MRSM Program Ulul Albab Sebagai tambahan, sistem pendidikan MRSM Program Ulul Albab ini merangkumi Pengajian Al-Quran (Hafazan), Bahasa Arab dan bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Jepun selain subjek teras seperti yang sedia ada di MRSM. MRSM Program Dwisijil SPM IGCSE Program Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) diperkenalkan untuk menambah nilai (value-add) SPMRSM sedia ada yang menawarkan pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). A. CARA MEMOHON MELALUI ONLINE : Sila rujuk Lampiran 1. Pemohon boleh mendapatkan kata laluan dengan percuma di semua Pejabat MARA Negeri, Pejabat MARA Daerah atau MRSM yang berdekatan pada waktu pejabat bermula pada hari keputusan UPSR 2014 diumumkan secara rasmi. Pemohon hendaklah membawa salinan MyKid dan salinan Keputusan UPSR 2014 yang telah disahkan semasa mendapatkan kata laluan. Pemohon mestilah mengisi semua maklumat yang diperlukan di dalam borang permohonan online dan memastikan borang tersebut dihantar secara online. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web MARA di alamat : http://www.mara.gov.my Pemohon mestilah memilih MRSM yang dinyatakan mengikut program sebagai pilihan pertama semasa mengisi borang permohonan secara online untuk menduduki ujian dan temu duga. Pemohon mestilah membawa cetakan borang serta dokumen berkaitan yang telah disahkan ke pusat ujian yang dipilih. B. TARIKH TUTUP Tarikh akhir permohonan secara online ialah pada 5 Disember 2014. C. MAKLUMAT TAMBAHAN Hanya permohonan yang memenuhi syarat kelayakan sahaja akan dipertimbangkan. Permohonan yang tidak lengkap seperti tidak menghantar secara online dan cetakan borang tidak akan dipertimbangkan. Selain syarat kelayakan, keutamaan akan diberikan kepada calon seperti yang berikut : Bergiat aktif dalam bidang kepimpinan, sukan/permainan, kelab dan persatuan serta pasukan pakaian seragam. Berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dari sekolah pedalaman dan luar bandar. Pemohon yang berjaya sahaja akan dihubungi. Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang jawapan sehingga 30 April 2015, permohonan dianggap tidak berjaya. Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di MRSM yang bersesuaian mengikut kriteria yang ditetapkan oleh MARA. Pemohon yang ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kementerian Pendidikan Malaysia tidak akan ditawarkan ke MRSM. Keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pengambilan Pelajar MRSM adalah muktamad. BAHAGIAN PENDIDIKAN MENENGAH MARA