GAGASAN RAHMATAN LIL ALAMIN DALAM MALAYSIA BAHARU* 1 Oleh: YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Apabila kita membuka mushaf al-Quran, kita akan menemui surah pertama yang mengandungi perkataan al-Rahman dan al-Rahim diulang sebanyak dua kali. Perkataan al- Rahman yang merupakan salah satu daripada nama-nama Allah yang paling mulia (al-Asmaa al-Husna) juga berasal daripada rahmah. Al-Rahman adalah sifat yang berdiri pada zat Allah SWT. Al-Rahim pula adalah menunjukkan al-Rahmah itu sifat khusus bagi Allah SWT. Al- Rahim juga menunjukkan Dia menyayangi makhlukNya dengan rahmahNya. Untuk lebih memahami, perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud “dan adalah Dia sangat menyayangi orang-orang beriman” (Surah al-Ahzab: 43) dan “sesungguhnya Dia sangat Rauf (lembut) dan Rahim (sayang) terhadap mereka (orang-orang beriman)” (Surah al-Tawbah: 117). Oleh kerana tidak ada ayat al-Quran yang menyebut “Rahman bihim”, maka difahami bahawa al-Rahman itu adalah mawsuf atau tempat berdirinya sifat al-Rahim, iaitu yang menyayangi dengan rahmahNya (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, 2008) Sungguh menakjubkan apabila surah yang menyebutkan dua kali sifat al-Rahman dan al- Rahim ini menjadi rukun dalam setiap rakaat solat fardhu atau solat sunat. Basmalah yang mengandungi sebutan al-Rahman dan al-Rahim itu pula mengawali setiap surah daripada 114 surah al-Quran, kecuali surah Baraah. Namun begitu, ia digantikan dengan satu ayat dalam surah al-Naml iaitu ayat 30: Maksudnya: "Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Terdapat lebih daripada 300 kali perkataan rahmah atau pecahannya dalam al-Quran. Jika dicampur perkataan-perkataan lain yang sinonim atau semakna, ia berjumlah lebih daripada 1000 kali atau hampir satu perenam ayat al-Quran (Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, 2017) Dengan tadabbur ini, sudah tentu di sana ada maksud yang ingin Allah SWT sampaikan kepada kita sebagai hamba yang membaca kitabNya, mendirikan solat lima waktu dan solat- * 1 Dibentangkan di seminar Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah, MITC Ayer Keroh Melaka pada 20 Julai 2019
20
Embed
GAGASAN RAHMATAN LIL ALAMIN DALAM MALAYSIA BAHARU* · Rahman yang merupakan salah satu daripada nama-nama Allah yang paling mulia (al-Asmaa al-Husna) juga berasal daripada rahmah.
This document is posted to help you gain knowledge. Please leave a comment to let me know what you think about it! Share it to your friends and learn new things together.
Transcript
GAGASAN RAHMATAN LIL ALAMIN DALAM MALAYSIA BAHARU*1 Oleh: YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Apabila kita membuka mushaf al-Quran, kita akan menemui surah pertama yang
mengandungi perkataan al-Rahman dan al-Rahim diulang sebanyak dua kali. Perkataan al-
Rahman yang merupakan salah satu daripada nama-nama Allah yang paling mulia (al-Asmaa
al-Husna) juga berasal daripada rahmah. Al-Rahman adalah sifat yang berdiri pada zat Allah
SWT. Al-Rahim pula adalah menunjukkan al-Rahmah itu sifat khusus bagi Allah SWT. Al-
Rahim juga menunjukkan Dia menyayangi makhlukNya dengan rahmahNya. Untuk lebih
memahami, perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud “dan adalah Dia sangat
menyayangi orang-orang beriman” (Surah al-Ahzab: 43) dan “sesungguhnya Dia sangat Rauf
(lembut) dan Rahim (sayang) terhadap mereka (orang-orang beriman)” (Surah al-Tawbah:
117). Oleh kerana tidak ada ayat al-Quran yang menyebut “Rahman bihim”, maka difahami
bahawa al-Rahman itu adalah mawsuf atau tempat berdirinya sifat al-Rahim, iaitu yang
menyayangi dengan rahmahNya (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, 2008)
Sungguh menakjubkan apabila surah yang menyebutkan dua kali sifat al-Rahman dan al-
Rahim ini menjadi rukun dalam setiap rakaat solat fardhu atau solat sunat. Basmalah yang
mengandungi sebutan al-Rahman dan al-Rahim itu pula mengawali setiap surah daripada
114 surah al-Quran, kecuali surah Baraah. Namun begitu, ia digantikan dengan satu ayat
dalam surah al-Naml iaitu ayat 30:
Maksudnya: "Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti
berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Terdapat lebih daripada 300 kali perkataan rahmah atau pecahannya dalam al-Quran. Jika
dicampur perkataan-perkataan lain yang sinonim atau semakna, ia berjumlah lebih daripada
1000 kali atau hampir satu perenam ayat al-Quran (Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, 2017)
Dengan tadabbur ini, sudah tentu di sana ada maksud yang ingin Allah SWT sampaikan
kepada kita sebagai hamba yang membaca kitabNya, mendirikan solat lima waktu dan solat-
*1 Dibentangkan di seminar Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah, MITC Ayer Keroh Melaka pada 20 Julai 2019
solat sunat, iaitu Allah mahu kita mengenaliNya sebagai Tuhan yang sangat rahmah,
mengasihi dan menyayangi. Dia bukan Tuhan yang keras, ganas, suka menghukum atau
membunuh. AjaranNya pula pastilah ajaran Rahmatan Lil Alamin.
Islam Menjamin Kebebasan Beragama
Menurut Dr. Muhammad ‘Imarah (2010, 19), dalam menerapkan dasar kesatuan mazhab
dalam agama Kristian terhadap ketuhanan Isa al-Maseh, Maharaja Hercules telah
menetapkan semua orang Kristian mesti bermazhab Kristian Roman Katholik. Dasar itu
dibantah oleh umat Kristian Coptic Mesir. Hal ini membawa kepada penindasan Kristian
Roman Katholik ke atas Kristian Coptic Mesir menyebabkan penganut mazhab Coptic Mesir
melarikan diri ke sahara, gurun dan gua. Fenomena pertarungan yang paling sengit sesama
penganut agama Kristian Katholik Rom dan Kristian Coptic Mesir ini berlaku pada kurun
keenam dan ketujuh Masehi. Masing-masing mengkafirkan pengikut berlainan mazhab.
Percubaan Maharaja Hercules (610 – 641M) untuk menyatukan pelbagai mazhab Kristian ini
ditentang oleh pengikut Kristian Coptic Mesir. Penentangan itu membawa kepada
penderaan yang dahsyat selama sepuluh tahun. Ketua Gereja Coptic Patriach Benjamin
(memimpin mazhab Coptic di antara tahun 623 – 662M) telah melarikan diri selama tiga
belas tahun sehingga beliau dipanggil balik, diberi jaminan keamanan, dimuliakan dan
gerejanya dibebaskan oleh panglima Islam ‘Amru bin al’As (574 – 664M) yang datang
membuka Mesir. Demikianlah faham rahmah dalam menjaga kebebasan beragama yang
difahami dan diamalkan oleh Sahabah yang bernama ‘Amru bin al-‘As.
Rahmah Islam Memberi Peluang Memperbaiki Diri
Manusia tidak dapat lari daripada kesilapan dan dosa. Dosa-dosa yang banyak lama
kelamaan akan menutup hatinya daripada cahaya kebenaran. Tanpa amalan taubat dan
membersihkan diri daripada dosa, hati manusia itu akan dipenuhi titik-titik hitam. Hati yang
penuh kotoran tidak akan dapat melihat kebenaran dan akan terus terpesong serta
mendorong tuannya melakukan kejahatan, maksiat dan kezaliman. Untuk tujuan
membersihkan diri daripada dosa-dosa itulah manusia diperintahkan solat lima waktu.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Apa pandangan kamu jika di depan pintu rumah salah seorang daripada kamu ada
sebatang sungai yang dia mandi di dalamnya lima kali sehari? Adakah akan tinggal lagi
kotoran di badannya?” Para Sahabah berkata: “Sudah tentu tiada lagi kotoran yang tinggal
di badannya”. Baginda bersabda: “Demikianlah perumpamaan solat lima waktu, dengannya
Allah menghapuskan dosa-dosa.” (Al-Bukhari, Kitab Mawaqit al-Solah, no. 514; Muslim no.
667)
Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Nabi Allah, aku telah
mengambil seorang perempuan (dan membawanya) ke kebun. Aku buat semua perkara
dengannya, cuma aku tidak menyetubuhinya. Aku telah mencium dan merapatinya, tetapi
aku tidak melakukan lebih daripada itu. Maka sekarang jatuhkanlah apa sahaja hukuman ke
atasku”. Rasulullah tidak berkata apa-apa kepadanya. Lelaki itu pun berlalu pergi. ‘Umar
berkata: “Allah telah menutup keaibannya, alangkah elok jika dia menutup keaiban dirinya”.
Rasulullah mengikuti pandangan mata ‘Umar yang memandang lelaki itu. Sabda Rasulullah
SAW: “Bawakan dia ke sini semula”, lalu Sahabah pun membawa lelaki itu bertemu
Rasulullah semula. Lantas Rasulullah membacakan ayat 114 daripada Surah Hud:
Yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang)
dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya
amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan (dosa). Perintah-
perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu
beringat”. Lalu Mu’adz bin Jabal bertanya: “Wahai Nabi Allah, adakah ia (ayat itu) khusus
untuk lelaki itu seorang ataupun untuk semua orang?” Jawab baginda: “Bahkan untuk
semua manusia seluruhnya.” (Musnad Ahmad, 6/143 dengan sanad sahih)
Dalam konteks Malaysia Baharu, kita berdakwah dengan ramah, bukan marah. Rahmah
kepada orang yang melakukan maksiat dan kesalahan ialah menegur dan membetulkannya
dengan hikmah, bukan mengecam, membesarkan kesalahannya atau mengaibkannya di
khalayak ramai. Kita membenci maksiat, tetapi kita mesti rahmah dan sayang kepada orang
yang melakukan maksiat, kerana bimbang dia akan terus sesat dan mati dalam maksiat.
Oleh kerana itu, kita dekati mereka supaya mereka percaya bahawa kita memang sayangkan
mereka. Demikianlah sunnah Rasulullah SAW yang sebenar dalam berhadapan dengan
orang yang melakukan maksiat. Mereka tidak dimarahi sehingga mereka menjauhkan diri,
sebaliknya mereka didekati dan diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri.
Islam menolak ekstrimisme dalam beribadah
Kadang-kadang ada orang terlalu asyik dengan amal ibadat untuk mendapat keredhaan
Tuhannya. Keasyikannya itu membawa kepada pemaksaan diri dan berlebih-lebihan dalam
beragama. Hal ini tidak dibenarkan dalam agama yang rahmah dan penuh kesederhanaan
ini. Islam tidak membenarkan umatnya menjadi pendita di rumah ibadat, kerana dalam
Islam semua amal dan pekerjaan yang halal adalah ibadah.
Satu ketika Rasulullah SAW masuk ke masjid dan mendapati seutas tali melintang di antara
dua tiang masjid. Lalu baginda bertanya: “Tali apa ini?” Sahabah berkata: “Itu adalah tali
yang digunakan Zainab. Apabila dia kepenatan (dalam beribadah) dia akan bergantung
(pada tali itu). Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Jangan (buat begitu) dan leraikan tali itu.
Seseorang kamu hendaklah solat menurut kemampuannya. Apabila dia rasa letih hendaklah
dia tidur” (Riwayat al-Bukhari no 1150)
Ibadah dan hubungan dengan Allah yang ingin dibina tidak harus mencuaikan hubungan
dengan manusia, apatah lagi hubungan dalam bentuk tanggungjawab. Segolongan Sahabah
RA bertanya para isteri Nabi SAW tentang amal ibadah baginda yang tidak diketahui orang
ramai. (Apabila mereka diberitahu amalan baginda) sebahagian mereka berkata: “Aku tak
mahu mengahwini wanita”, sebahagian lagi berkata: “Aku tak mahu makan daging”,
sebahagian lagi berkata: “Aku tak mahu tidur di atas hamparan”, sebahagian lagi berkata:
“Aku akan terus berpuasa setiap hari tanpa berbuka”. Lalu baginda keluar dan bertahmid
memuji Allah seraya berkata: “Apa halnya kaum-kaum ini berkata begitu dan begini?
Sesungguhnya aku ini solat dan aku juga tidur, aku berpuasa tetapi aku juga berbuka dan
aku juga mengahwini wanita. Maka sesiapa yang berpaling daripada sunnahku, dia bukanlah
dari kalanganku” (Riwayat Muslim no. 1401 dan al-Nasaie no. 3217 )
Ringkasnya, di antara ciri rahmah agama Islam ialah menolak kemelampauan dalam
beragama dan beribadah kepada Tuhan sebagaimana yang berlaku pada penganut
sesetengah agama lain. Tiada rahbaniyyah (kependitaan) dalam Islam. Tujuan penciptaan
manusia bukan hanya untuk duduk di atas sejadah menjadi ‘abid, sebaliknya tugas manusia
ialah menjadi khalifah, iaitu mentadbir dan mengurus hal ehwal kehidupan di dunia ini
dengan ketaatan kepada Allah SWT.
Rahmah Sesama Manusia
Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah atau pentadbir yang menggantikan
golongan jin yang terlebih dahulu mendiami bumi ini. Firman Allah (Surah al-Baqarah: 30):
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan
Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu
orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),
padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Tanggungjawab sebagai khalifah tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jaya tanpa
mengadakan hubungan yang baik sesama manusia secara adil dan rahmah.
Hubungan yang pertama sesama manusia yang wajib dipelihara ialah hubungan dengan ibu
bapa. Arahan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa datangnya secara langsung
selepas arahan supaya menyembah dan mentauhidkan Allah SWT. Firman Allah (Surah al-
Israa ayat 23):
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan
kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah
seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan
dan peliharaanMu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
tetapi katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).
Perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa ini termasuklah kepada ibu bapa yang bukan
Islam. Islam memuliakan jasa ibu yang melahirkan dan bapa yang menjaga anak, walaupun
ibu bapa itu seorang bukan Islam. Lantas Islam mewajibkan supaya seorang anak berbakti
kepada kedua ibu bapanya, walaupun apa status atau kepercayaan mereka. Pengecualian
daripada mentaati ibu bapa hanyalah apabila ibu bapa itu menyuruh melakukan perkara
syirik.
Selepas berbuat baik kepada ibu bapa, Islam memerintahkan umatnya memelihara
hubungan kekeluargaan dan silaturrahim sesama kaum kerabat. Firman Allah (Surah al-
Nisaa ayat 36):
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan
Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan
kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat,
dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga
hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong
takbur dan membangga-banggakan diri.”
Bahkan jauh melangkaui hubungan kekeluargaan, Islam memerintahkan umat Islam
menjaga semua segmen manusia khususnya golongan yang lemah dan perlu bantuan. Selain
daripada suruhan berbuat ihsan kepada kedua-dua ibu bapa, umat Islam juga diperintah
melakukan kebaikan kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang
dekat, jiran yang jauh, rakan sejawat, orang-orang yang dalam perjalanan atau musafir yang
terputus bekalan dan hamba sahaya yang dimiliki. Suruhan dalam ayat ini tidak
membezakan di antara mereka yang muslim atau bukan muslim. Dalam erti kata lain, jika
ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat, jiran yang
jauh, orang yang dalam perjalanan dan hamba sahaya itu bukan beragama Islam sekalipun,
mereka juga termasuk dalam suruhan agar seseorang muslim itu berbuat baik atau ihsan.
Hal ini kerana seluruh manusia di sisi Allah SWT adalah bertaraf mulia berbanding
makhlukNya yang lain. Firmannya (Surah al-Israa ayat 70):
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah
beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah
memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah
lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami
ciptakan.”
Islam tidak membezakan sasaran untuk berbuat baik dan ihsan, sama ada orang itu orang
Islam dan orang bukan Islam. Di sinilah tertegaknya makna rahmah Islam untuk semua atau
Rahmatan Lil ‘Alamin.
Rahmah Islam meliputi semua golongan manusia kerana asalnya agama Islam itu adalah
untuk didakwahkan kepada semua manusia. Bagaimana Islam boleh didakwahkan kepada
orang bukan Islam jika orang Islam memilih bulu untuk berbuat baik sesama orang Islam
sahaja? Ajaran sedemikian tidak ada dalam Islam, sebaliknya amalan membezakan agama
untuk melakukan kebaikan adalah ajaran Yahudi kerana mereka berpegang kepada
kepercayaan kononnya mereka adalah bangsa Tuhan yang terpilih (The Chosen People of
God).
Dalam konteks Malaysia Baharu, seharusnya kita tidak ragu-ragu lagi untuk mengadakan
hubungan damai dengan semua penganut agama dan kaum. Tidak timbul lagi persoalan
bolehkah menjemput jiran bukan Islam untuk hadir kenduri perkahwinan, kurban atau
akikah. Berbuat ihsan dan adil adalah suruhan agama yang berbentuk umum merangkumi
sasaran orang Islam dan bukan Islam.
Islam hanya melarang umatnya berbuat baik dan berkasih sayang dengan orang bukan Islam
yang telah memerangi umat Islam dan menghalau orang Islam dari negeri mereka sahaja.
Orang bukan Islam yang tidak memerangi Islam dan tidak menghalau orang Islam dari negeri
mereka hendaklah diperlakukan dengan baik dan adil. Ini adalah arahan Allah SWT dalam
firmanNya (Surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9):
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan
kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman
rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu
dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan
(ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang
yang zalim.”
Allah berfirman (Surah al-Hujurat ayat 13):
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada
lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara
kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
Sudah jelas daripada ayat di atas bahawa kepelbagaian manusia dari segi jantina, keturunan,
bangsa, warna kulit, bahasa dan cara berfikir adalah untuk tujuan mereka saling kenal
mengenal (Li ta’aarafu). Dengan kenal mengenal, manusia boleh bertukar-tukar fikiran, ilmu
dan pengalaman masing-masing dalam kerangka membina tamadun yang boleh dinikmati
bersama.
Kerana prinsip Li ta’aarafu ini maka umat Islam Arab di zaman silam menuntut ilmu
daripada bangsa lain yang lebih maju ketika itu seperti Greek Yunani dan India. Setelah umat
Islam maju dan berada di puncak ketika zaman Abbasiah di Baghdad dan Umawiyah di
Andalus, mereka berkongsi kemajuan yang mereka capai itu dengan bangsa-bangsa lain
pula. Hal ini dirakam oleh para sejarawan timur dan barat, seperti orientalis Dr. Sigrid Hunke
dengan karya ulungnya yang menggemparkan Eropah pada tahun penghujung tahun
1950an. Karya beliau dalam bahasa Jerman bertajuk Allahs Sonne Uber Dem Abendland
Unser Arabisches Erbe yang diterjemahkan ke bahasa Arab dengan tajuk Shams al-’Arab
Tastu’ ‘ala al-Gharbi (Mentari Arab Menyinari Barat).
Perbezaan dan kepelbagaian manusia adalah salah satu daripada sunnah atau aturan Allah
yang memutuskan bahawa perbezaan agama, mazhab dan pemikiran adalah satu
kemestian. Seiringan dengan fitrah kepelbagaian manusia, alam semula jadi dan warna-
warni juga adalah pelbagai. Demikianlah sunnah aturan kejadian Allah SWT. Firman Allah
SWT (Surah al-Maidah ayat 48):
Maksudnya: “Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang
bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa
yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat
kebaikan (beriman dan beramal soleh), kepada Allah jualah tempat kembali kamu
semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
Seperti ayat 13 Surah al-Hujurat, ayat ini juga menganjurkan umat Islam supaya mengambil
manfaat daripada perbezaan dan menyuruh mereka berlumba-lumba mengejar kebaikan.
Lebih jelas lagi, menurut Syeikh Ali al-Qaradaghi, (2004: 13) Allah SWT juga menjadikan
perbezaan agama, kepercayaan dan mazhab sebagai sunnah atau aturan kejadianNya.
FirmanNya (Surah Hud ayat 118 dan 119):
Maksudnya: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia
menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (tetapi Dia tidak berbuat
demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang
telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk
(perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian
sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan
sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".
Lantaran itu, sesiapa yang tidak senang dengan kepelbagaian, memusuhi perbezaan dan
merasa terancam dengan kewujudan orang lain adalah mereka yang cuba melawan fitrah
dan sunnah Allah SWT di alam ini. Adakah akan menang sesiapa yang melawan fitrah?
Rahmah Islam Untuk Semua
Telah timbul persoalan panjang atau polemik dalam masyarakat Melayu Islam khususnya
tentang persoalan adakah rahmah Islam hanya untuk umat Islam sahaja atau meliputi umat
selain Islam. Berdasarkan rujukan terhadap tafsiran ayat 107 Surah al-Anbiyaa:
(yang bermaksud: “Tidaklah Aku –Allah- mengutuskan engkau –Muhammad- melainkan
untuk memberi rahmah kepada sekalian alam”), ulama tafsir sepakat mentafsirkan
Rahmatan Lil Alamin itu sebagai rahmah untuk semua, seluruh alam termasuk manusia dan
jin, di dunia dan di akhirat.
Hal ini boleh dirujuk kepada al-Zamakhsyari (meninggal 1144M) dalam kitab tafsirnya
bernama al-Kasyaf ‘an Haqaiq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil fi Wujuh al-Ta’wil (3/22-23), al-
Qurtubi (meninggal 1273M) dalam kitabnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (7/4390), al-Hafidz
Ibn Kathir (meninggal 1394M) dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Adzim (5/380), Syeikh
Jamaluddin al-Qasimi (meninggal 1935M) dalam kitabnya Tafsir al-Qasimi atau Mahasin al-
Ta’wil (11/297-298), Syed Qutb (meninggal 1966M) dalam kitabnya Fi Dzilal al-Quran
(4/2401), dan kitab tafsir terkini Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily (meninggal 2015) yang
bernama al-Tafsir al-Munir (17/44).
Syeikh Rasyid Ridha (meninggal 1935) pula berkata dalam kitabnya ketika mentafsirkan ayat
156 Surah al-A’raf yang bermaksud “Dan rahmahKu meliputi segala perkara...”: “Iaitu di
antara bukti rahmahKu (Allah) mendahului murkaKu ialah Aku menjadikan azabKu hanyalah
khusus untuk sesiapa yang Aku ingini dari kalangan orang kafir, ahli maksiat dan penjahat
sahaja. Adapun rahmahKu, maka ia merangkumi setiap perkara seluruh alam, ia adalah
sifatKu yang azali semenjak Aku menciptakan alam. Azab pula bukanlah sifatKu, sebaliknya
ia cuma satu perbuatan Aku yang datang menuruti sifat adilKu... Inilah dia rahmah yang
merupakan rahmah yang umum melimpahi segala makhluk. Kalau tidak kerananya, sudah
tentu setiap yang kafir dan melakukan maksiat akan hancur sebaik sahaja kekufuran dan
kemaksiatannya...” (Tafsir al-Manar: 9/222)
Tidak dinafikan bahawa al-Qurtubi ada menyatakan bahawa Ibn Zaid berkata maksud al-
‘Alamin itu ialah orang-orang beriman secara khusus. Namun pendapat ini adalah syaz
(janggal, terpencil) dari segi bahasa dan perbandingan dengan pendapat para mufassirin
yang lain. Pendapat yang syaz wajib ditolak seperti pendapat yang mentafsirkan keharusan
poligami dengan sembilan orang wanita serentak berdasarkan tafsiran songsang terhadap
ayat 3 Surah al-Nisaa.
Bahkan al-Hafidz Ibn Kathir ketika menghuraikan tafsiran ayat 107 al-Anbiyaa itu beliau
membawa hadis Rasulullah SAW diminta supaya mendoakan laknat dan kemusnahan ke
atas orang-orang musyrikin. Baginda menjawab: “Aku tidak diutuskan untuk mendoakan
laknat, sebaliknya aku diutuskan sebagai rahmah (Riwayat Muslim, Kitab al-Bir wa al-Silah
wa al-Adab no 4710).
Dalam hadis lain baginda bersabda: “Aku hanyalah rahmah yang dihadiahkan (untuk
manusia seluruhnya)” (Al-Albani, al-Silsilah al-Sahihah, no. 490)
Sebenarnya ajaran rahmah untuk semua itu meliputi seluruh alam, seluruh manusia dan
seluruh ciptaan Allah SWT bukanlah berdasarkan satu ayat 107 Surah al-Anbiya itu sahaja.
Sebaliknya ia adalah konsep atau kefahaman yang lahir daripada himpunan seluruh ayat
berkaitan rahmah yang merangkumi semua, seperti dalil-dalil berikut:
1. Surah al-Fatihah: 2:
Maksudnya: Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam.
2. Surah al-A’raf: 156:
Maksudnya: "Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat,
sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku
timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu;
maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat,
serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami.
3. Surah al-A’raf: 158:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku
adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) Yang Menguasai langit
dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; yang menghidupkan dan
mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, nabi yang ummi yang
beriman kepada Allah dan kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya
kamu beroleh hidayah petunjuk".
4. Surah Ghafir atau al-Mu’min: 7:
Maksudnya: “Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya,
bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepadanya; serta mereka memohon ampun bagi
orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami, rahmatMu dan
IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat
serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
5. Surah Al-Rahman: 10:
Maksudnya: Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-
makhlukNya yang lain:
6. Surah Al-Mumtahanah: 8 dan 9:
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan
kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman
rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu
dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan
(ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang
Yang zalim.
7. Surah Saba’: 28:
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat
manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang
beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”
8. Surah Al-Furqan: 1:
Maksudnya: “Maha berkat Tuhan Yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya
(Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.”
9. Surah Yusuf: 104:
Maksudnya: “Padahal engkau (Muhammad) tidak meminta kepada mereka sebarang upah
tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran
dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.
Bermula dengan surah pembukaan iaitu Surah al-Fatihah itu dengan jelas memberitahu kita
bahawa Allah itu Tuhan yang memiliki, menjaga dan memelihara sekalian alam (Rabb al-
‘Alamin), bukan Tuhan untuk orang Islam sahaja, ia ditegaskan berulang-ulang tentang sifat
universal ajaran rahmah Islam dalam banyak lagi surah yang lain.
Dari segi praktik Rasulullah SAW terhadap ajaran rahmah itu pula terdapat riwayat hadis
sahih yang banyak. Di antaranya hadis:
ولكنَّها صاِحَبه أحدِكم ِبَرِْحَةِ ليس إنه :قال .رحيم ُكلُّنا اللِ رسولَ يا :قالوا ،تُ رَاِِحُْوا حىت تُ ْؤِمنوا لن
العامَّةِ رِحةُ الناسِ رِحةُ
“Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabah
berkata: Wahai utusan Allah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda:
“(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi
rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah kepada semua” (Riwayat al-
Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai
Hasan oleh al-Albaniy dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)
Rahmah Islam juga meliputi rahmah kepada manusia yang telah mati walaupun mati dalam
beragama lain. Suatu hari satu jenazah telah dibawa lalu di depan Rasulullah SAW. Baginda
bangun berdiri sebagai penghormatan, lalu diberitahu kepada baginda bahawa itu adalah
jenazah Yahudi. Baginda bertanya: Bukankah dia juga seorang manusia?” (Riwayat al-
Bukhari 1312 dan Muslim 2181)
Dalam akhlak pula, Islam tidak membezakan akhlak berkata-kata sesama orang Islam dan
akhlak kepada orang bukan Islam. Bahkan al-Quran memerintahkan supaya umat Islam
mengeluarkan kata-kata yang baik kepada seluruh manusia. Firman Allah (Surah al-Baqarah:
83):
Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia
dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan
berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta
orang-orang miskin; dan ucapkanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang
baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". kemudian kamu berpaling
membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan
sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.”
Dengan lambakan dalil yang nyata tentang rahmah Islam yang universal ini, adakah kita
masih lagi ingin menutup kebenaran dengan ketaksuban? Dalam konteks Malaysia sekarang,
sesungguhnya tiada orang bukan Islam yang boleh dianggap kafir harbi yang halal darah dan
hartanya bagi umat Islam. Hal ini kerana tiada peperangan yang dilancarkan oleh orang
bukan Islam terhadap Islam di Malaysia. Walaupun kerap dikatakan DAP itu kafir harbi
kerana menentang hudud, tetapi sokongan speaker Dewan Rakyat daripada DAP dan Ahli-
ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang ketika pembentangan dan perbahasan
RUU Profesian Guaman Syarie 2019 dan RUU Pentadbiran Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) (Pindaan) (No. 2) 2019 baru-baru ini adalah bukti nyata DAP tidak memerangi
Islam. Bahkan mereka juga adalah penyokong kepada RUU Pentadbiran Islam yang lebih
mapan.
Maka tuduhan selama ini DAP memusuhi Islam dan Islam terancam di Malaysia kerana
kononnya PH dimonopoli DAP adalah tuduhan bermotif politik kotor semata-mata.
Pembangkang yang kekeringan modal terpaksa mencipta musuh seperti harimau kertas
untuk menakut-nakutkan orang Melayu daripada PH. Adalah satu perkara yang sangat
mudah dicongak bahawa jika pembangkang tidak mencipta musuh buatan bernama DAP,
nescaya jangka hayat mereka tidak akan lama.
Kesimpulan
Gagasan Rahmatan Lil Alamin adalah satu alternatif baru untuk mengubah cara fikir yang
selama ini didominasi oleh pemikiran konservatif agama. Sikap konservatif yang menjadi
Islam sebagai agama yang sangat eksklusif kepada orang orang Melayu sahaja amat
merugikan Islam dan umat Islam. Lebih parah lagi, kemurnian ajaran Islam tidak dapat
dilihat oleh orang bukan Islam akibat daripada pandangan yang terlalu eksklusif. Justeru
tiada jalan lain melainkan kita kembali kepada nas-nas al-Quran dan sunnah yang sebenar
dalam menterjemahkan fahaman Rahmatan Lil Alamin ini dalam naratif Malaysia Baharu.
Untuk membersihkan kemurniaan fahaman dan fikrah ini daripada segala kekeruhan fanatik
perkauman dan konservatif agama, kita sedia berhadapan dengan sesiapa sahaja untuk
berdialog dan bermuzakarah. Hal ini tidak lain tidak bukan, melainkan untuk
mempertahankan fikrah Islam yang sebenar lagi tulen daripada Rasulullah SAW dan para
Salafussoleh ridhwanuLlahi ‘alaihim. Dakwah kita adalah da’wah ‘ala bashirah, bukan
dakwah ikut-ikutan atau taqlid:
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku,
menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti
yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan
syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang
lain." (Yusuf: 108)
RUJUKAN
Mushaf al-Quran al-Karim
Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din (1994). Al-Silsilah al-Sahihah. Maktabah al-Ma’arif.
Riyadh
Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din (1994). Sahih al-Targhib wa al-Tarhib. Maktabah al-
Ma’arif. Riyadh
Al-Hakim, Abu ‘Abd Allah (al-Hafidz). (t.t.). al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn. Dar al-Ma’rifah.
Beirut
al-Haythami, Nur al-Din ‘Ali bin Abi Bakr (al-hafidz). (1994). Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-
Fawaid. Maktabah al-Qudsi. Kaherah
Al-Munziri, Zaki al-Din ‘Abd al-‘Aziz (Al-Hafidz). (2003). Mukhtasar Sahih Muslim. Markaz Fajr
li al-Tiba’ah. Arab Saudi
Al-Nadawi, Abu al-Hasan ‘Ali al-Hasani, (t.t.). Madza Khasira al-‘Alam bi Inhitati al-Muslimin,
Maktabah al-Iman, Mansoura, Mesir,
Al-Qaradaghi, ‘Ali Muhyi al-Din (Dr.), (2004). Nahnu wa al-Akhar, Lajnah al-Ta’lif wa al-
Tarjamah, al-Ittihad al’Alami li Ulama al-Muslimin, Doha, Qatar.
Al-Qaradaghi, ‘Ali Muhyi al-Din (Dr.), (2017). Islam Agama Rahmah (Terj. Furqan Abdullah)
Al-Qasimi, Muhammad bin Jamal al-Din (Syeikh). (t.t.). Tafsir al-Qasimi atau Mahasin al-
Ta’wil, Dar al-Fikr, Beirut
Al-Qurtubi, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad al-Ansariy. (t.t.). al-Jami’ li Ahkam al-
Quran, Dar al-Rayyan li al-Turath, Kaherah
Al-Syaukani, Muhammad bin ‘Ali. (t.t.). Nayl al-Awtor min Hadith Sayyid al-Akhyar.
Maktabah dar al-Turath. Kaherah
Al-Zabidi, Ahmad bin ‘Abd al-Latif. (2003). Mukhtasar Sahih al-Bukhari. Markaz Fajr li al-
Tiba’ah. Arab Saudi
Al-Zamakhsyari, Abu al-Qasim Jar Allah Mahmud bin ‘Umar. (t.t.). al-Kasyaf ‘an Haqaiq al-
Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil fi Wujuh al-Ta’wil, Dar ‘Alam al-Ma’rifah, Beirut,