Fikrah Merentasi JamaahADMIN/ SEPTEMBER 15, 2007Teks Ucapan Dr
Mohd Asri Zainul Abidin Sempena Konvesyen Sunnah 2006.FIKRAH
MERENTASI JAMAAH :Tuan Pengerusi, hadirin dan hadirat
sekelian,Tidak ada siapa yang dapat menafikan sumbangan gerakan
Islam dalam memberikan kesedaran umat dalam bidang-bidang yang
mereka fokuskan. Sumbangan itu tidak hanya bersumberkan sebuah
gerakan tertentu semata. Bahkan ia datang dari keperbagaian
gerakan, organisasi dan jamaah. Tidak wajar mana-mana jamaah atau
organisasi mendakwa hanya mereka yang berfungsi menyedarkan umat
dan penyelesai segala krisis, lantas menafikan peranan gerakan atau
jamaah yang lain.Arus tajdid berterima kasih kepada semua gerakan
yang menyelusuri perjalanan mereka bermanhajkan al-Quran dan
al-Sunnah dan bersendikan kefahaman al-Salaf al-Saleh. Arus tajdid
wajar menghargai apa yang telah mereka sumbangkan selama ini,
selagi mana sumbangan itu positif untuk umat. Arus tajdid menolak
sikap ekstrimis yang hanya menganggap jamaah dan kumpulan mereka
sahaja yang syarI, manakala selain mereka secara langsung atau
tidak, dianggap tertolak. Jamaah atau organisasi yang ditubuhkan
hanyalah wasilah (jalan) bukan ghayah (matlamat) bagi Islam itu
sendiri. Matlamat Islam lebih agung dan syumul dari sebarang jamaah
atau harakah. Fikrah Islam yang tulen merentasi kesempitan jamaah.
Melebar luas menyeberangi pagar sebarang organisasi.Arus tajdid
juga harus berterima kasih kepada individu-individu yang memberikan
sumbangan kepada kesedaran Islam; sama ada mereka terlibat dengan
mana-mana jamaah, orginasasi atau tidak terlibat. Bukan syarat sah
sesuatu amalan saleh atau dakwah kepada al-Kitab dan al-Sunnah
seseorang mesti terlibat dengan organisasi atau jamaah tertentu.
Bahkan amalan saleh itu sah apabila memenuhi rukun dan syarat
seperti yang dijelaskan oleh nas-nas Islam iaitu; aqidah yang
murni, niat yang ikhlas dan menepati petunjuk al-Sunnah dalam
mempraktikkan amalan tersebut. Maka dakwaan sesetengah kelompok
yang menganggap sesiapa yang tidak menyertai organisasi atau jamaah
dengan istilah tidak masuk jamaah sebagai tidak berpendirian dan
tidak diiktiraf, adalah perlambangan suatu sikap ghulu atau
melampau.Hadirin & Hadirat!Terima kasih ini merangkumi individu
atau tokoh yang berada di setiap pelusuk dan penjuru, yang bergerak
menyumbang kepada umat ini. Sama ada mereka berada di dalam
organisasi kerajaan atau di luar dari daerah percaturan politik.
Selagi mereka menyumbang kepada umat ini dan memperlihatkan
kejujuran mereka, maka mereka berada dalam perjuangan umat. Dakwaan
yang menganggap golongan agama yang mendekati pemerintah kesemuanya
mencari kepentingan dunia adalah dakwaan yang tidak seimbang dan
bersikap tidak adil. Walaupun ramai bersikap demikian, tapi bukan
kesemuanya. Menghukum mereka secara keseluruhan bercanggahan dengan
sikap yang ditunjukkan oleh RasululLah s.a.w terhadap Najasyi, Raja
Habsyah yang menganut Islam pada zaman baginda. Baginda percaya
kepada keadilannya dan menghantar para sahabah berhijrah ke
negaranya.Apabila Najasyi menganut Islam, Nabi s.a.w tidak
memerintahkan Najasyi meninggalkan kedudukannya sebagai Raja
Habsyah, sekalipun kerajaan yang dipimpinnya bukan kerajaan Islam
dan beliau tidak berhijrah mendapatkan RasululLah s.a.w. Namun
RasululLah s.a.w pula tidak memerintahkan hal itu kepadanya.
Kedudukan Najasyi sebagai raja membolehkan dia melindungi para
sahabah yang berhijrah ke negara dan melaksanakan keadilan dengan
ruang kemampuan yang dimilikinya. Apabila Najasyi meninggal,
RasululLah s.a.w bersabda: Daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda
-ketika kematian Najasyi-: Telah mati pada hari ini seorang lelaki
soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama
Najasyi).Baginda menyifatkan Najasyi sebagai seorang yang soleh.
Baginda menyebut ungkapan akhukum (saudara kamu) yang bermaksud
saudara seislam kamu. Bahkan baginda menyuruh para sahabah
mengadakan solat ghaib untuk jenazah tanda persaudaraan sekalipun
berjauhan. Baginda tidak mengatakan Najasyi berkepentingan atau
enggan menyertai gerakan Islam, atau tidak berprinsip. Bahkan
baginda menghargainya kerana telah zahir dari dirinya iman,
keikhlasan dan keadilan sikap.Maka kita wajar mencontohi hal ini.
Sesiapa yang menyatakan pendirian menyokong usaha kembali kepada
al-Kitab dan al-Sunnah seperti yang difahami oleh generasi awal
Islam, kurun-kurun yang diberkati, golongan al-salaf al-salih serta
berusaha memperbaharui pendekatan al-din dalam wajah kemodenan yang
ada bertunjangkan prinsip salaf maka kita menganggapnya berjuang
bersama dengan arus tajdid ini. Sama ada dia berada dalam kerajaan
atau pembangkang, sama ada dia berjamaah atau bersendirian.Arus
dengan ini menyeru dijauhi sikap ghulu atau melampaui batasan dalam
beragama termasuk dalam urusan dakwah. Firman ALLAH:(maksudnya):
Katakanlah: Wahai ahli Kitab! janganlah kamu melampau dalam ugama
kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu
suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan
banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh)
dari jalan Yang betulDalam sebuah hadith: : Daripada Ibn `Abbas,
katanya: Pada pagi Hari Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w
bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya:
Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah
al-`Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang
kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam
tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah
kamu melampau dalam agama (al-Ghulu), kerana sesungguhnya al-Ghulu
telah membinasakan mereka yang sebelum kamu.Syeikh al-Islam Ibn
Taimiyah (m. 728H) berkata: Sesungguhnya agama ALLAH ini adalah
pertengahan antara yang melampau dan yang meninggalkannya. ALLAH
Ta`ala tidak memerintahkan hamba-hamba-NYA sesuatu melainkan
syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah
yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat (melampaui
batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap
agama). Justeru, Islam adalah agama ALLAH yang tidak boleh diambil
ajarannya daripada sesiapapun selain-NYA. Maka syaitan mengganggu
kebanyakan mereka yang mengaku mengikut ajaran Islam. Sehingga
syaitan berjaya mengeluarkan mereka daripada syariat. Bahkan
syaitan berjaya mengeluarkan banyak puak umat ini yang terdiri
daripada mereka yang kuat beribadah dan warak. Sehingga menjadikan
mereka keluar daripada agama seperti mana melurunya anak panah
daripada busarnya.Penyalahgunaan Nama SalafiMaka Arus Tajdid wajar
membantah kelompok yang menyalahgunakan nama salafi sedangkan dalam
masa yang sama kerja mereka ialah mencerca secara tidak seimbang
tokoh-tokoh penyumbang kepada kebangkitan tajdid; seperti Hasan
al-Banna, Sayyid Qutb, al-Qaradawi, Salman Audah dan berbagai lagi.
Kita tidak menganggap kemaksuman tokoh-tokoh tersebut, namun
mengfokus aktiviti untuk menyerangkan tokoh-tokoh berkenaan dengan
cara yang menyimpang dari metodologi ilmiah adalah sesuatu yang
tidak dapat diterima. Cara sebegini mendekati manhaj khawarij
melebihi manhaj Ahl al-Sunnah.Al-Syeikh Ibn Jibrin salah seorang
tokoh salafi semasa Arab Saudi ketika ditanya hal ini menjawab:
Sesungguhnya Sayyid Qutb dan Hasan al-Banna adalah dari kalangan
ulama kaum Muslimin dan ahli dakwah. Sesungguhnya Allah telah
memanfaatkan dengan mereka berdua dan memberi petunjuk dengan
dakwah mereka ramai manusia. Bagi mereka berdua ada sumbangan yang
tidak dapat dinafikan. Kerana itu, ketika keputusan hukuman mati
dikenakan ke atas Sayyid Qutb dibuat, al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz
memohon diberi pengampunan kepadanya dan beliau merayu dalam
pemohonan itu. Namun ia tidak diterima oleh Presiden Jamal (Abdul
Naser). Allah akan menghukum Jamal apa layak untuknya. Ketika mana
keduanya (Sayyid Qutb dan al-Banna) dibunuh, keduanya digelar
syahid, kerana mereka berdua dibunuh secara zalim. Dan syahid itu
ada yang khas dan yang am. Tersebar perkara ini (syahidnya mereka
berdua) di dalam akhbar dan buku-buku tanpa ada orang yang
mengingkarinya. Kemudian para ulama menerima buku-buku mereka, dan
Allah memberi manfaat kepada mereka dengan buku-buku tersebut,
tiada seorang yang mencela mereka berdua semenjak lebih 20 tahun
yang lalu. Jika ada pada mereka berdua kesilapan yang sedikit pada
takwilan atau yang seumpama dengannya, perkara itu tidak sampai
kepada tahap untuk dikafirkan mereka. Sesungguhnya para ulama yang
awal juga ada kesilapan seperti itu juga, seperti al-Nawawi,
al-Suyuthi, Ibn Jauzi, Ibn Atiyyah, al-Khattabi, al-Qastalani dan
ramai yang lain.Ancaman HizbiyyahDengan menyedari hakikat yang
disebutkan tadi, maka kita menghargai setiap organisasi dan
individu serta tidak menghalang individu muslim untuk menyertai
mana-mana organisasi atau jamaah. Namun, dalam masa yang sama Arus
Tajdid menyeru agar dihapuskan sebarang sikap hizbiyyah yang
dilarang oleh agama. Sikap hizbiyyah ialah sikap kepuakan atau
kepartian yang menilai sesuatu amal islami atau perjuangan berbakti
kepada al-din dengan penilaian kumpulan, atau jamaah atau
organisasi yang didokong. Sikap hizbiyyah ini mengukur betul atau
salah sesuatu perkara dengan pandangan jamaah atau organisasi,
bukan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Dalil-dalil al-Quran dan
al-Sunnah akan ditafsirkan agar seiras dengan kehendak organisasi.
Mana-mana dalil yang menyanggahi jamaah dan organisasi akan diulas
agar seiras dengan tafsiran jamaah, bukan tafsiran ilmiyyah. Hal
ini pernah dibidas oleh Al-Imam Ibn Qaiyyim al-Jauziyyah (w. 751H)
terhadap golongan ektremis mazhab dengan katanya: Yang lebih pelik
dari semua itu ialah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini
jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu,
maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang
kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab
kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang
setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak
akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan
mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian
dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas
al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadith yang sahih bersesuaian
dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata kami ada sabda Nabi
s.a.w. begini dan begitu. Jika kamu dapati seratus atau lebih
hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang
kepadanya, walaupun satu hadith.. .Maka ada sesetengah individu
dalam jamaah tertentu menentang slogan kembali kepada al-Quran dan
al-Sunnah dalam ibadah khususiah, dan mereka juga membantah
penentangan terhadap unsur syirik, tahyul, khurafat dan kebodohan
dalam cara beragama, atas alasan ia menyebabkan perpecahan umat.
Walaupun mereka dalam masa yang sama sanggup berbalahan sesama umat
ketika berkempen kepada soal-soal ekonomi, atau politik yang mereka
sifatkan sebagai lebih islamik. Mereka menghalalkan untuk mereka
dan mengharamkan untuk orang lain. Apakah ibadah khususiah, akidah
dan kejelasan fikrah itu lebih lekeh dari ekonomi dan politik
gagasan mereka?!!Sikap hizbiyyah juga menjadikan seseorang individu
membutakan mata ketika melihat kesalahan kelompoknya dan berkeras
menghukum jika perkara yang sama dilakukan oleh kelompok lain. Ini
jelas dalam sikap kelompok yang menghukum sebahagian masalah
sebagai masalah khilafiyyah tetapi dalam masa yang sama dia
membantah pihak yang berbeza dengannya.Hizbiyyah ini menjadikan
seseorang taksub kepada jamaah sehingga tidak mahu menilai sesuatu
keputusan yang dikeluarkan oleh jamaahnya, betul atau salah dengan
nas-nas agama. Hanya bersandarkan falsafah keputusan jamaah atau
keputusan syura , sekalipun menyanggahi nas, diterima juga.Ini
sikap hizbiyyah atau asabiyyah yang dicela. Di sebut dalam hadith:
(maksudnya) Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah)
dan memisahkan diri daripada al-jamaah lalu dia mati, maka dia mati
jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah immiyyah (bendera
kebutaan) dan menyeru kepada asabiyyah atau marah kerana asabiyyah
maka kematiannya adalah jahiliyyah.Kata al-Sindi (meninggal 1138H)
dalam mensyarahkan hadith-hadith Sunan Ibn Majah: Lafaz (bendera
kebutaan) ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu
perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil .Dalam
riwayat Abu Daud: Daripada Jubair bin Mutim: Bahawa RasululLah
s.a.w bersabda: Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada
asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas asabiyyah, dan bukan
di kalangan kami sesiapa yang mati atas asabiyyah.Dalam menjelaskan
maksud asabiyyah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin
al-Asqa: (maksudnya): Wahai RasululLah! Apakah al-asabiyyat? Sabda
baginda: Kamu menolong kaummu atas kezalimanMaka sikap hizbiyyah
akan menjadikan seseorang memandang lekeh atau cacat individu yang
tidak terlibat dengan jamaah atau organisasi yang dia sertai. Dia
akan menganggap tidak mencukupi syarat perjuangan. Sekalipun
individu berkenaan kelihatan telah melaksanakan tanggungjawab dan
tuntutan Islam. Sikap hizbiyyah melebelkannya sebagai wala tidak
jelas, tidak berani berjuang, ada kepentingan dan
seumpamanya.Firman Allah:(maksudnya) 10. Sebenarnya orang-orang
yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah
supaya kamu beroleh rahmat. 11. Wahai orang-orang yang beriman!
janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak
lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih
baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum
perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana)
harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain;
dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang
lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut
menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah
buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.
dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.Sikap inilah yang
menyelewengkan banyak pihak dari berdakwah kepada inti al-Quran dan
al-Sunnah, bertukar menjadi dakwah menyertai jamaah. Golongan yang
terkena angin hizbiyyah sukar menerima amal islami yang tidak di
bawah arahan jamaahnya. Inilah yang telah menyebabkan sekian lama
organisasi-organisasi Islam berbalah merebut madu atau kerusi
pilihanraya kampus. Padahal jika difikirkan secara lurus, apa
perlunya kita berebut madu?! Tidakkah jika sudah ada yang berdakwah
maka tugasan kita menjadi ringan?! Tidakkah jika sudah ada yang
ingin memikul amanah, maka kita lebih selamat. Apa yang penting
adalah misi dakwah iaitu kembalinya umat kepada Islam yang tulen,
tanpa mengambil pusing siapa pun yang melaksanakannya. Kata
al-Nawawi (meninggal 676H): Sesungguhnya al-Amr bi al-Maruf Dan
al-Nahy an al-Munkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh
sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua
meninggalkannya, maka berdosalah setiap yang mampu melakukannya
dengan tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin
menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang
tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu
mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri
atau anaknya atau hambanya melakukan munkar atau mengurangi makruf
.Namun sikap hizbiyyah menjadikan sebahagian manusia lebih
mementingkan lebel dan jenama kumpulan lebih dari isi kandungan
seruan Islam yang dibawa. Tahap ukhuwwah islamiyyah diukur dengan
jenama berkenaan, apabila berbeza jemaah maka berbezalah tahap
ukhuwwah. Sehingga ada yang bermasam muka kerana berbeza jamaah
atau kumpulan.Bah hingga ada yang sanggup menyelewengkan maksud
hadith: Sesiapa yang keluar dari ketaatan, dan memisahkan diri dari
jamaah, mati dalam jahiliyyahjuga hadith-hadith yang menunjukkan
mereka yang meninggalkan jamaah diperangi, dihukum menanggalkan
Islam dan seumpamanya, lantas mereka merasakan jamaah yang
dimaksudkan dalam hadith-hadith tersebut ialah jamaah mereka lalu
mereka berfikir negatif terhadap sesiapa yang bukan ahli
mereka.Dukacita golongan ini tidak membawa ulasan para ulama
terhadap maksud sebenar jamaah yang terkandung dalam hadith-hadith
tersebut. Maka, atas ketaksuban kumpulan atau aliran perkataan
jamaah ini telah disalahgunakan. Saya bersetuju dengan perkataan
tokoh al-Ikhwan al-Muslimin, Jordan, iaitu Dr. Muhammad Abd
al-Qadir Abu Faris dalam bukunya Mafahim Islamiyyah. Kata beliau:
Sesungguhnya istilah Jamaah al-Muslimin adalah istilah islami.
Rasulullah s.a.w telah menggunakannya. Ia termaktub dalam
kitab-kitab hadith dan sunnah. Para penghurai hadith
membincangkannya. Ulama dan fuqaha muslimin menggunakan istilah ini
sejak dahulu dengan penggunaan yang teliti. Istilah ini masih
disebut oleh kebanyakan ulama semasa dan para pendakwah yang
beramal. Ia masih dibincangkan dalam buku-buku ulama kurun kedua
puluh. Bahkan, kadang-kala ia dibincangkan oleh orang yang kurang
bekalan fekahnya. Dari kalangan mereka yang tidak berkemampuan
memahami agama dan tidak mengambil berat menuntut dan memperolehi
ilmu syarak tergopoh gapah menggunakan istilah ini secara salah.
Tujuannya untuk mencapai natijah yang mereka kehendaki iaitu
menganggap diri mereka ialah jamaah yang syarI, sementara
jamaah-jamaah lain dipertikaikan kesyariannya dan perlu
ditentangsebenarnya, maksud jamaah al-musliminyang diperkatakan
oleh al-Sunnah ialah jamaah yang .beriman dengan Islam sebagai
akidah, syariat, peraturan hidup dan mengakui hukum-hakamnya. Ia
melaksanakan syariat ALLAH dalam kehidupan. Memiliki kekuasaan
politik yang berasingan. Ia dipimpin oleh khalifah yang menjaga
agama dan mentadbir dunia dengan agama. Ini semua berlaku apabila
muslimin memiliki daulah islamiyyah yang menghimpunkan dan
menyatukan mereka. Ditegakkan dalamnya hukum-hukum Islam. Maka,
istilah jamaah al-muslimin di sini bermaksud masyarakat Islami yang
dipimpin oleh hukum Islam dan terbentuk semua badan kekuasaannya di
atas petunjuk al-Quran dan al-Sunnahadapun sekiranya tiada daulah
islamiyyah yang menyatupadukan orang Islamtidak mungkin mana-mana
jamaah mendakwa dirinya sebagai jamaah al-muslimin. Samada mereka
itu Ikhwan, atau tabligh, atau salafiyyah, atau sufiah, atau jamaat
islami Pakistan dan selainnya. Ini kerana dakwaan tersebut bererti
menghukum gerakan-gerakan lain sebagai murtad atau sesat atau
kufur, dan menuduh mereka dengan jenayah yang memboleh dijatuhkan
hukuman yang keras.. .Maka, arus tajdid menyeru agar dipecahkan
benteng-benteng hizbiyyah ini dan mengukurkan muslim dengan kadar
pegangan serta fikrahnya dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah
tanpa mengira dari mana organisasi atau jamaah pun dia. Arus tajdid
menyeru semua pihak berpegang kepada fikrah sahihah lebih utama
dari jamaah. Seseorang boleh memilih mana-mana jamaah selagi tidak
menyanggahi al-Kitab dan al-Sunnah. Jamaah hanyalah alat, bukan
matlamat. Bahkan seseorang mungkin sahaja untuk tidak menyertai
mana-mana jamaah berdaftar, sebaliknya bersama kaum muslimin secara
keseluruhan, tolong-menolong dalam urusan agama. Penyertaan ke
dalam mana-mana jamaah hanya soal ijtihad. Tiada sebarang dalil
sarih tentang kewajipan menyertai jamaah tertentu. Entah berapa
ramai para ulama besar pada zaman ini pun, tidak menyertai
mana-mana jamaah. Namun sumbangan mereka lebih besar dari sebarang
jamaah dan umat berada di balakang mereka.Mungkin ada benarnya
rumusan seorang penulis Syria, al-Buti yang menulis tentang
(Perbezaan antara gerakan Islam dan dakwah kepada ALLAH), antaranya
beliau menyebut: sesungguhnya dakwah yang difahami dan diamalkan
oleh kebanyakan jemaah islamiah hari ini tidak lebih dari sekadar
aktiviti yang berkisar sekadar anggota kumpulan mereka semata
.Seruan TajdidArus Tajdid mengajak penyertaan saudara-saudari ke
dalam satu gerak kerja yang lebih besar daripada sebarang jamaah
dan organisasi. Penyertaan ke dalam arus ini tidak menuntut untuk
saudara-saudari meninggalkan jamaah atau organisasi yang telah
disertai. Saudara-saudari boleh kekal dalam organisasi
masing-masing, dengan syarat organisasi itu tidak menyanggahi
al-Quran dan al-Sunnah, serta saudara-saudari pula bekerja ke
tajdid dan islah, PEMBAHARUAN DAN PEMBAIKIAN.Pembaharuan itu ialah
dengan kembali melihat keserasian segala pegangan dan amalan Islam
berdasarkan fakta al-Quran dan al-Sunnah, lantas mengeluarkan umat
dari daerah kejumudan, agama rekaan, khurafat, kebodohan fikiran
dan kesempitan mazhab dan hukum kepada kemudahan dan keluasannya.
Ini bersesuaian dengan ruh Islam tulen dan tuntutan zaman. Seru
atau dakwah setiap muslim ke arah ini di mana sahaja
saudara-saudari berada. Tidak menjadi syarat menyertai aliran
tajdid berdaftar atau berkenalan dengan mereka yang aktif. Fahami
fikrah tajdid, dan serulah kepadanya di mana sahaja saudara
berada.Ini selaras dengan tanggungjawab yang al-Rasul letakkan di
atas bahu golongan terpilih, dengan sabda baginda: :
Maksudnya:Sentiasa membawa ilmu ini mereka yang adil dari para
penyambung (dari setiap generasi). Mereka menafikan (menentang)
penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong
golongan yang bathil (sesat) dan takwilan golongan jahil.Inilah
tiga tanggungjawab tajdid dan islah yang mesti dipikul dalam usaha
kembali membawa Islam yang tulen dan tepat. Arus Tajdid mengajak
saudara-saudari menyokong usaha ini. Al-Syeikh Nasir al-Din
al-Albani r.h pernah menyebut: Bilamana menjadi sesuatu yang putus
bahawa Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam, maka
sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki
Allah melainkan dengan perantaraan RasululLah. Sesungguhnya tiada
jalan kita sampai kepada baginda melainkan melalui pengetahuan
mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada sunnah baginda
melainkan dengan ilmu hadith. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas
kaum muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang
didakwah, beriman bersama kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa
yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan keadilan dan keamanan,
menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan berdakwah
kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin
dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan
manusia, pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan
kepartian. Itu semua menjadikan umat semakin berpecah dan jauh dari
matlamat yang dituju .Semoga ALLAH merahmati kita dan membantu usah
ini. Pengerusi dan hadirin terima kasih atas kesudian
menyertai.
Hukum Memerangi Pemerintah MuslimADMIN/ JUNE 24, 2010Soalan:Dr
Asri, sekarang ini heboh isu keganasan. Persoalan saya, apakah
hukumnya dalam Islam jika ada pihak yang membantah kerajaan orang
islam yang zalim secara kekerasan. Apakah ini termasuk dalam jihad
yang diperintahkan agama atau tidak. Tidakkah menentang kerajaan
itu diharamkan oleh Islam?Imran, Kuala Terengganu.Jawapan DR
MAZA:Saudara, banyak isu keganasan yang cuba dikaitkan dengan umat
Islam atau tokoh-tokoh Islam adalah mainan jahat pihak-pihak
tertentu. Mereka ini samada mempunyai agenda politik tertentu,
ataupun berkerja bagi pihak musuh umat Islam bagi mencemarkan imej
Islam. Sebahagian pihak menggunakan isu ini untuk tujuan politik
seperti menghapuskan gerakan Islam yang dilihat mengancam kedudukan
politik mereka. Namun begitu, tidak dinafikan kemungkinan ada
sesetengah kelompok yang telah salah tindakan dalam hal ini
sehingga mencetuskan keganasan. Berhubung dengan pendekatan keras
terhadap pemerintah yang zalim dan menyeleweng, maka ini fahami
perkara berikut;1. Perkara asas dalam hal ini boleh difahami
daripada ingatan Nabi s.a.w.:Akan dilantik para pemimpin yang kamu
setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan
membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang
membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa
yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa)
sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar). Sahabah
bertanya: Tidakkah boleh kami perangi mereka? Jawab baginda: Tidak!
selagi mana mereka bersolat(Riwayat Muslim).2. Daripada hadis di
atas dapat kita fahami bahawa bertegas dalam membenci dan membantah
kemungkaran dan kezaliman pemerintah itu adalah tuntutan agama.
Namun, Nabi s.a.w tidak membenarkan rakyat memerangi pemerintah
muslim dengan senjata selagi mereka itu bersolat. Solat menjadi
petunjuk bahawa pemerintah tersebut masih berpegang dengan ajaran
Islam dalam kehidupan. Keluar memerangi pemerintah dengan senjata
hanya akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar.3. Juga,
perhitungan tindakan dalam Islam adalah di sudut kadar manfaat dan
mudarat. Menumpaskan pemerintah zalim dengan senjata biasanya
mengundang mudarat yang jauh lebih bahaya dibandingkan manfaat yang
hendak dicapai. Sebab itu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H)
menyebut:kata ulama: alasan seseorang pemerintah tidak dipecat,
atau pengharaman memeranginya kerana menyebab fitnah, penumpahan
darah dan kerosakan yang nyata (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim
12/40)4. Juga, kebencian atau bantahan terhadap kemungkaran
pemerintah tidak membolehkan rakyat menderhakai mereka dalam
perkara yang baik atau makruf. Ini seperti yang ditegaskan oleh
hadis. Sabda Nabi:Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu
cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka,
mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu
benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka,
mereka juga melaknati kamu. Baginda ditanya: Tidak bolehkah kami
perangi mereka dengan pedang? Jawab baginda: Tidak, selagi mana
mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa
berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat
kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun
jangan dia mencabut tangan dari ketaatan (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).5. Ini kerana setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan
atau dosa yang dilakukan. Jika setiap kali pemerintah bersalah atau
melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan
masyarakat dan negara. Maka justeru itu, kita menentang kemungkaran
pemerintah, tetapi tidak akan memeranginya dengan senjata.6. Ini
kerana antara tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan
keadilan, keamanan dan hak rakyat. Peperangan saudara dalam negara
hanya akan menghancurkan perkara-perkara tersebut.7. Arahan
pemerintah yang zalim atau mungkar dalam perkara-perkara kebaikan
tetap wajib ditaati. Kata al-Khattabi (meninggal 388H):Sesungguhnya
jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim,
sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka
tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad.
Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya
(al-Khattabi, Maalim al-Sunan, 2/ 357.)Pendapat ini bersesuaian
dengan sabda Nabi s.a.w :Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah
kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau
benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila
dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan
taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).8. Sekalipun kita dilarang
memerang pemerintah dengan senjata, tetapi kita tetap disuruh untuk
menasihati mereka dan mencegah kemunkaran mereka dengan perkataan
atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti
undi dalam pilihanraya. RasuluLah s.a.w bersabda:Sesungguhnya Allah
meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia
meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak
menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan
tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah
jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak
bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak
bertanya (Riwayat Malik).Juga sabda Nabi s.a.w:Sebaik-baik jihad
ialah perkataan yang adil dalam riwayat yang lain: yang benar- di
sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim. (Riwayat
al-Nasai, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh
al-Albani).9. Nabi s.a.w juga memberi amaran kepada sesiapa yang
mengampu atau mengiyakan kezaliman pemerintah dengan sabda
baginda:Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang
melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka
lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka
maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan
mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar
pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia
dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi
telaga (di syurga). Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi.
Hadith ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.10. Pengkaji
politik Islam tidak boleh terlalu literalist. Politik bukanlah
ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah
tambah. Politik soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan
keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan
prinsip-prinsip umum Islam. Kaedah membantah atau menukar
pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai. Para
ulama dahulu mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas
alasan bimbangkan penumpahan darah.Namun, dalam dunia hari ini
sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar, atau
ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem
demokrasi pilihanraya. Maka dengan itu penyertaan parti-parti
politik dalam demokrasi pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai
melanggar kaedah Islam atau sebagai keganasan kerana sistem
tersebut tidak sepatutnya menumpahkan darah.
Elakkan Kafir-Mengkafir Sesama MuslimADMIN/ JULY 8,
2010Soalan:Dr Asri, kita baca dalam surat orang Islam mula tuduh
menuduh dengan antara satu sama lain sebagai sesat la, kafir la dan
bermacam-macam lagi. Boleh tak Dr Asri ulas sedikit perkara ini
dalam ruang soal-jawab Dr Asri dalam Sinar Harian?Aida,
Penang.Jawapan Dr MAZA:Terima kasih Aida. Semoga Allah memelihara
lidah kita semua dari kecenderungan cepat mengkafirkan atau
menghukum sesat orang lain tanpa alasan yang kukuh. Persoalan kafir
dan sesat bukanlah persoalan kecil, ia membabitkan hukuman terhadap
akidah seseorang. Walaupun sesat, bukan semestinya menjadi kafir,
tetapi itu pun tetap berat di sisi Allah. Berikut beberapa ulasan
saya dalam hal ini;1. Seseorang yang zahirnya muslim hendaklah
dianggap kekal atas keislamannya sehingga terbukti secara yakin
bahawa telah terbatal akidahnya. Ini atas kaedah syarakPerkara yang
yakin tidak boleh dihilangkan oleh syak. Dalam ertikata lain, syak
tidak boleh menghapuskan yakin. Oleh kerana pada keyakinan asal
kita seseorang itu muslim, maka dia dianggap muslim dan tidak boleh
keislamannya dibatalkan disebabkan hanya sesuatu perkara yang tidak
pasti atau syak.2. Menuduh orang lain dengan tuduhan kafir atau
sesat adalah dosa yang besar. Jika kita tahu bahawa seseorang tidak
kafir atau sesat atau fasik, tetapi kita sengaja menuduh imannya
yang sah itu sebagai kafir atau sesat, atau menuduh dirinya yang
tidak fasik itu sebagai fasik, maka tuduhan itu kembali kepada yang
menuduh. Sabda Nabi s.a.w:Sesiapa yang memanggil orang lain dengan
kafir atau musuh Allah sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu
kembali kepadanya (penuduh). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).3.
Namun begitu, kita juga hendaklah sedar, di sana ada batas-batas
iman dan kufur. Ini seperti sesiapa yang dengan jelas tanpa
sebarang andaian lagi menghina Allah dan RasulNya, maka dia
terkeluar dari Islam. Demikian juga jika dia menentang secara jelas
tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan
jelasnya seperti pegharaman arak, judi, zina dan seumpamanya.
Sesiapa yang menghalalkan perkara-perkara tersebut atau menentang
pengharaman perkara-perkara tersebut dari segi hukum agama, dalam
keadaan sedar dan faham maka dia terkeluar dari Islam.4. Namun,
kita hendaklah berhati-hati apabila menghukum seseorang dengan
hukuman murtad atau kufur atau sesat atau seumpamanya. Ini kerana,
hukuman umum tidak sama dengan hukuman khusus. Hukum umum menghina
hukum Islam yang jelas seperti azan membawa murtad, tetapi individu
tertentu yang menghina tidak boleh terus dihukum murtad. Hendaklah
dilihat keadaannya, maksud ucapannya, kefahamannya dan berbagai
latar yang lain. Mungkin dia tidak bermaksud, mungkin dia tersasul,
mungkin dia jahil dan seumpamanya. Kata Syeikh al-Islam Ibn
Taimiyyah (meninggal 728H)Sesungguhnya ucapan yang menjadikan
seseorang itu kufur ialah seperti mengingkari kewajipan solat,
zakat, puasa dan haji. Namun, pengucapan itu mungkin kerana khitab
(ajaran yang betul dalam perkara tersebut) tidak sampai kepadanya.
Jika perkara itu berlaku, dia tidak dianggap kafir. Contohnya,
golongan yang baru menganut Islam dan hidup di daerah pedalaman
yang jauh sehinggakan syariat Islam tidak sampai kepadanya.
(Majmuat al-Fatawa, jil: 2, ms: 220.)5. Maka, tidak boleh
dikafirkan seseorang melainkan setengah berlakunya iqamah al-Hujjah
iaitu penegakan hujah atau dalil. Setelah didapati dia melanggar
batasan Iman dan Islam, hendaklah dijelaskan hakikat ilmu yang
sebenarnya dan ditegakkan dalil-dalil yang kukuh kepadanya sehingga
dia jelas. Selepas itu, jika dia masih berdegil, dan perkataan atau
perbuatan tidak boleh ditafsirkan lagi melainkan membawa kekufuran
barulah hukum tersebut boleh dijatuhkan kepadanya. Kata Dr Yusuf
al-Qaradawi:Hendaklah diberikan perhatian pada apa yang telah
diputuskan oleh para ulama muhaqqiqun (penganalisa) mengenai
kewajipan membezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir
(kafir mengkafir sesama muslim). Ini bermaksud, sebagai contoh,
kita mengatakan golongan komunis kafir, para pemerintah sekular
yang membantah hukum syarak atau sesiapa yang menyatakan begini
atau menyeru kepada ini, maka dia kafir. Ini semua termasuk hukuman
pada jenis.Adapun berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan
peribadi seseorang yang dituduh dengan sesuatu, wajib mengambil
masa untuk membuat kepastian dan kesabitan tentang hakikat sebenar
pendiriannya. Hal ini dilakukan dengan cara menyoal atau berbincang
dengannya sehingga ditegakkan hujah, tiada lagi unsur syubhat
(keraguan) dan tiada lagi keuzuran untuknya. Syeikh al-Islam Ibn
Taimiyah pernah menyebut bahawa perkataan juga boleh menyebabkan
kekufuran. Secara umum, orang yang mengucapkannya dihukum kafir.
Dengan berkata, sesiapa yang mengucap sekian (sesuatu ucapan yang
membawa kepada kufur), maka dia kafir. Tetapi, individu yang
mengucapkannya tidak dikafirkan sehingga dibuktikan kekufurannya.
(Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, ms: 26-27).6. Dalam
hadis Saidina Ali menceritakan :Rasulullah telah mengutuskan aku,
Abu Martsad dan al-Zubair (kami semua adalah penunggang kuda).
Baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah
Khakh. Sesungguhnya di sana ada seorang wanita dari kalangan
musyrikin. Dia membawa bersamanya surat daripada Hatib bin Abi
Balta`ah kepada musyrikin.Maka kami pun mengejarnya. Dia menaiki
unta seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kami berkata
kepadanya: Serahkan surat! Dia menjawab: Kami tidak membawa
sebarang surat. Maka kami pun mendudukkan dan memeriksa wanita itu.
Namun, kami tidak jumpa sebarang surat. Kami berkata: Rasulullah
tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut
atau kami akan telanjangkan engkau!Apabila dia melihat kesungguhan
kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun
mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu
kepada Rasulullah s.a.w. Kata Umar: Wahai Rasulullah, sesungguhnya
dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA
dan orang-orang mukmin. Biarkan aku pancung kepalanya!Baginda
bersabda (kepada Hatib): Apa yang mendorong tindakanmu? Kata Hatib:
Demi ALLAH, bukan aku tidak beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA
s.a.w. Tetapi aku ingin mendapatkan bantuan daripada kaum
(Quraisy). Dengannya ALLAH akan menyelamatkan keluarga dan hartaku.
Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu yang tidak mempunyai
kaum kerabat di sana di mana dengannya ALLAH selamatkan keluarga
dan hartanya.Sabda baginda: Dia benar! Janganlah kamu berkata
kepadanya melainkan yang baik. Umar berkata: Sesungguhnya dia telah
mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin, biar aku
pancung kepalanya. Baginda bersabda: Bukankah dia di kalangan
anggota Perang Badar? Sabdanya lagi: Mudah-mudahan ALLAH melihat
pada ahli Perang Badar dan berfirman buatlah apa yang kamu suka.
Sesungguhnya telah dijamin untuk kamu syurga atau AKU telah ampuni
kamu semua. Maka menangislah Umar seraya berkata: ALLAH dan
Rasul-NYA lebih mengetahui. (Riwayat al-Bukhari).Lihatlah bagaimana
baginda masih bertoleransi dengan keadaan terdesak yang dihadapi
oleh Hatib. Baginda tidak terus menghukum sebelum mengetahui
keadaannya. Sikap umpama itulah yang dilakukan oleh baginda dalam
kes-kes lain.7. Kita hendaklah warak dalam masalah ini. Jangan
terpengaruh dengan golongan yang fanatik yang suka menghukum orang
lain dengan hukuman kafir dan sesat atas kepentingan tertentu.
Hukum Ucapan Sempena Perayaan Agama LainADMIN/ DECEMBER 16,
2010Soalan:Dr MAZA, kita negara yang berbilang agama. Ramai yang
mempunyai kawan pejabat, jiran dan lain-lain yang bukan muslim.
Apabila tiba hari raya kita mereka mengucapkan selamat hariraya.
Masalahnya, apabila tiba giliran hari raya agama mereka pulak, kita
rasa macam serba salah. Bolehkah seorang muslim berikan ucapan
selamat hari raya agama lain. Saya takut rosak akidah, tapi ramai
pemimpin dan kawan-kawan muslim yang lain ucapkan. Saya pun risau
juga kawan-kawan bukan muslim kecil hati, tapi saya pun nak jaga
akidah saya. Bolehkah Dr Asri berikan pandangan?Munif,
Putrajaya.Jawapan Dr MAZA:Saudara Munif, Alhamdulillah saudara
prihatin dengan keadaan akidah saudara di kala ramai yang tidak
mempedulikan lagi kebersihan akidah mereka. Akidah adalah pembeza
utama antara seorang mukmin dan bukan mukmin. Seseorang bagaimana
banyak amalannya pun, tetapi jika akidahnya rosak, maka amalannya
ditolak. Maka penting untuk kita mempertahankan akidah dan
kesuciannya. Mengenai soalan saudara, ada beberapa perkara yang
wajar difahami;1. Islam mengharamkan seseorang muslim membuat
apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau
kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan
mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran,
atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau
menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa
kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan
dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang
dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman
Allah: (maksudnya)Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman
(maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa
(melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan
iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka
atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh
azab yang besar. (Surah al-Nahl, ayat 106).2. Dalam masa yang sama,
Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam
menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak
memusuhi kita kerana agama kita. Firman Allah (maksudnya):Allah
tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan
harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama
(kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman
rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang
lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan
mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Surah al-Mumtahah, 8-9)3. Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan
ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik
kepada kita. Firman Allah: (maksudnya):Dan apabila kamu diberikan
penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah
dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung
tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Nisa, 86).Inilah adab Islami yang
tinggi. Ia merangkumi sesama muslim atau kepada bukan muslim.
Sehingga Ibn Abbas r.a menyebut:Jika Firaun berkata kepadaku semoga
Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab untuk engkau juga (Riwayat
al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).Maka sudah pasti mereka yang
tidak sejahat Firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk
menerima ucapan balas.4. Oleh kerana dalam masalah mengucapkan
tahniah ataupuncongratulatingsempena perayaan agama lain mempunyai
unsur seakan mengakui agama lain secara langsung atau tidak
langsung-, dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik
kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama
berkhilaf pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur
mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan
agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur
mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar
melakukanbarrataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak
memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini
mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.5. Tidak
boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-Sunnah
sebagai asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi
para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini. Kitab-kitab yang
ditulis pada persekitaran muslim begitu dominan dan tiada keperluan
untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan keras dan mengharamkan
ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara, ramai juga sarjana
terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan
keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan
Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan
syarat-syarat tertentu.6. Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h.
(meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan
muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H)
dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal
ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam
mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan
tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama
mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada
upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam
yang mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh
sesetengah para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk
muslim seperti Arab Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi
mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain.7.
Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and
Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan
muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan
mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini
lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa
perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang
kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim
menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena
perayaan.8. Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena
perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr
Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang
digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi
s.a.w:Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah,
lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada
baginda: Itu jenazah seorang yahudi. Baginda bersabda: Tidakkah ia
juga jiwa (insan)? (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Zarqa:
Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan,
tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut (Fatawa Mustafa
al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).Ertinya, beliau
membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain
kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.9.
Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hariraya
kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat
ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur
seperti menyebutanak Allahatau tuhan selain Allah. Maka, memadai
sekadarselamat harirayaatauselamat bergembiraatau seumpamanya. Hal
ini lebih dituntut jika semasa hariraya Islam mereka
mengucapkannya.10. Namun, seorang muslim tidak boleh turut
merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan
upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan
hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan
muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan,
berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.11. Apa yang
penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai
tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan
baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah
kita.
Maksud Hadis Sesiapa Menyerupai Sesuatu Kaum..ADMIN/ DECEMBER
16, 2010MAKSUD HADIS SESIAPA MENYERUPAI SESUATU KAUM..Prof Madya Dr
Mohd Asri bin Zainul AbidinSoalan:Dr Asri, saya ada seorang kawan
yang sentiasa berhujah dengan hadis Sesiapa yang menyerupai sesuatu
kaum, maka dia dalam kalangan mereka. Dengan hadis itu beliau
selalu macam kata orang lain tidak islamik sebab berpakaian
ala-Barat atau makan dengan sudu tidak dengan tangan dan lain-lain
lagi. Saya beritahu itu boleh sebab tiada dalil yang melarangnya,
tapi beliau sering berdalil Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum,
maka dia dalam kalangan mereka. Sejauh manakah penafsiran hadis ini
?Nurdin, Pasir Tumbuh, Kelantan.Jawapan:Saudara, sebagai ingat;
dalam penghujahan menggunakan sesuatu hadis, terlebih dahulu
hendaklah kita semak kedudukan atau status hadis tersebut di sisi
muhaddithin (ahli hadis). Jika hadis itu didapati sabit iaitu
berada pada kedudukan (nilaian) sahih atau hasan, maka ia boleh
dijadikan hujah dalam agama. Setelah perkara tersebut dipastikan,
barulah ke peringkat seterusnya iaitu mengkaji maksud matan (teks)
hadis tersebut. Bagi menjawab persoalan yang dikemukan maka di sini
disebut beberapa perkara;1. HadisSesiapa yang menyerupai sesuatu
kaum, maka dia dalam kalangan merekadiriwayatkan daripada beberapa
orang sahabat; AbdulLah bin Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas
bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud,
Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis
dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w.
806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H)
menyatakan ia hasan dan demikian juga al-Albani.2. Hadis ini secara
umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang
menyerupai sesuatu kaum atau puak yang baik atau terpuji maka dia
termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik
dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang
buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.3.
Perkataanman tasyabbaha(sesiapa yang menyerupai)
iaitutasyabbuh(menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu
perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika
seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan
dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas
untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas
untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama
tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika
perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak
termasuk. Kata al-Imam al-Sonani (w. 1182H):Hadis menjadi dalil
bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau
ahli bidah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada
dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam
kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus)
dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur.
Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah)
berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur
kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan
tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah). (al-Sonani,
Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).4. Ertinya,
menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai
salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus
agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah
perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti
mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar
suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut
tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang
menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi
berdosa.
Gambar contoh pakaian khusus bagi agama tertentu.5. Saya
menyokong pendapat yang menyatakan sekiranya menyerupai golongan
kufur tetapi tidak beriktikad kufur perbuatan tersebut berdosa
tetapi tidak terkeluar dari agama. Namun, jika dia menyerupai
mereka secara penyerupaan zahir dan juga batin iaitu dengan iktikad
yang sama, maka dia menjadi kufur. Kadar dosa menyerupai itu
berdasarkan kadar perkara yang ditiru atau diserupai.6. Sekali lagi
hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini
adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu
puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk mereka,
maka hadis ini tidak berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak
unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti
pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus
untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa
yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka
yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau
khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat
tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah
ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.7. Dalam
hadisSesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom dalam sebahagian
hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan
bajunya (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan
lain-lain).Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian.
Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi
menganut Islam, tetapi Nabi s.a.w memakai pakaian mereka. Ini
kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.Syeikhul Islam Ibn
Taimiyyah r.a (meninggal 728H):Rasululah s.a.w itu pernah memakai
gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung
dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda
pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua
tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu
dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir.
Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya.
Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga
memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti
sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai
pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya.
Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri
(Ibn Taimiyyah, Majmuah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab
al-Abikan).8. Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia
berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatahlagi jika
perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik
dan bermanfaat. Daripada Anas bin Malik, katanya:Apabila Nabi s.a.w
ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka
itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda
membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat
kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad
RasululLah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Hadis ini jelas
menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai
kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.9.
Berdasarkan hadisSesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia
dalam kalangan merekamaka muslim dilarang untuk meniru gaya atau
kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang
boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang
menyerupai tersebut. Kata al-Imam al-Munawi:Jika puak fasik atau
kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk
seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang
tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik
dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang
disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut (al-Munawi,
Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-Ilmiyyah).Maka,
perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya
artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu
menyumbang kepada dosa.10. Manusia ini cenderung menyerupai pihak
yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara
orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk
meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa
yang tersirat dalam jiwa kita.11. Kesimpulannya; kita dilarang
meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa
yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai
yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus
untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian
meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan
muslim.