EDU 3106 KEPIMPINAN GURU
1.0 PENGENALAN1.1 Definisi guru
Dalam dunia pendidikan, guru merupakan salah satu egen
terpenting yang memainkan peranan dalam mencorakkan suasana
institusi pendidikan, pelajar, masyarakat serta dunia pada hari
ini. Tanpa seorang guru, mungkin tidak akan lahirlah seorang
doktor, arkitek, peguam, akauntan dan sebagainya. Oleh itu,
kepimpinan seorang guru dalam mengendalikan proses pendidikan
amatlah dititikberatkan bagi merealisasikan setiap matlamat yang
diinginkan.
Sebelum kita mengupas lebih lanjut mengenai ciri-ciri atau gaya
kepimpinan seorang guru, kita perlulah memahami dengan lebih jelas
tentang apakah dan siapakah yang dikatakan sebagai guru ini.
Menurut Kamus Dewan (2002), guru didefinisikan sebagai orang yang
mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh atau melatih. Dalam hal
ini, mendidik bererti meneruskan dan mengembangkan nilai-nilai
hidup, mengajar pula bermaksud meneruskan dan mengembangkan ilmu
pengetahuan dan melatih bermakna mengembangkan
keterampilan-keterampilan kepada para pelajarnya.
1.2 Kedudukan guru dalam pandangan IslamSalah satu perkara yang
agak menarik dalam ajaran Islam ialah mengenai penghargaan Islam
yang sangat tinggi terhadap guru. Penghargaan kepada guru ini
begitu tinggi sehingga menempatkan kedudukan guru setingkat di
bawah kedudukan nabi dan rasul. Mengapa hal ini dikatakan
sedemikian? Hal ini kerana, guru sangat berkait dengan ilmu
(pengetahuan), sedangkan Islam sangat menghargai pengetahuan.
Di samping itu, kedudukan tinggi guru dalam ajaran Islam
merupakan realisasi ajaran Islam itu sendiri. Islam memuliakan
pengetahuan, pengetahuan itu diperolehi daripada proses belajar dan
mengajar iaitu yang belajar adalah calon guru dan yang mangajar
adalah guru. Maka itu, tidak dapat dinafikan bahawa Islam memang
satu agama yang sangat memuliakan guru. Dalam pada itu, kita tidak
dapat membayangkan bagaimana terjadinya perkembangan ilmu
pengetahuan tanpa adanya seorang guru. Terdapat penyebab khas
mengapa orang Islam amat menghargai guru, iaitu pandangan bahawa
ilmu (pengetahuan) itu semuanya bersumberkan kepada Allah Tuhan
sekelian alam. Hal ini dapat diterangkan berdasarkan kepada
potongan ayat yang berikut:
......... .........
Tidak ada pengetahuan yang kami miliki kecuali yang Engkau
ajarkan kepada kami.Ringkasnya, ilmu itu datang dari Allah, guru
pertama adalah Allah. Dengan itu, orang Islam sedar bahawa ilmu
tidak terpisah daripada Allah, ilmu tidak terpisah daripada guru,
maka kedudukan guru amat tinggi dalam Islam.
1.3 Konsep Kepemimpinan guruMengikut Kamus Dewan (2004),
kepemimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Dalam konteks ini, tugas
kepemimpinan di sesebuah sekolah dapat dimainkan oleh guru yang
berdedikasi, berinovasi dan kreatif. Sehubungan itu, Katzenmeyer
dan Moller (2001) pula mendapati kajian-kajian kini menunjukkan
guru berupaya menjadi pemimpin dalam sekolah. Hal ini kerana,
keupayaan guru dapat memupuk semangat bekerjasama sesama rakan
sekerja dan juga dengan pelajar. Dalam hal ini, guru-guru yang
mempunyai sifat kepemimpinan berupaya menjalankan tugas sebagai
penasihat, mentor, fasilitator, pelatih dan pakar kurikulum dalam
usaha membawa perubahan atau pembaharuan dalam sekolah.
Menurut Abdullah Sani (et.al), dalam buku Guru Sebagai Pemimpin,
kepemimpinan guru dapat dirumuskan sebagai sebagai keupayaan guru
menggantikan kuasa atau kedudukan. Bagi mencapai situasi ini, ia
memerlukan usaha dan tumpuan penuh pihak pengurusan sekolah dalam
menyemai keperibadian guru yang dapat melahirkan perasaan hormat
daripada orang dipengaruhi iaitu pelajar. Manakala guru pula perlu
memperkembangkan personaliti diri bagi menarik perhatian orang yang
ingin dipengaruhi.
Bagi mengekalkan kepemimpinan orang lain terhadap guru,
seseorang guru perlulah sentiasa meningkatkan kebolehannya dalam
bidang yang dipertanggungjawabkan. Dengan itu, pelaksanaan tugasan
melalui kepemimpinan guru memerlukan kriteria-kriteria seperti
berikut:
Keperibadian yang perlu disemai dan dapat melahirkan perasaan
hormat.
Personaliti yang perlu diperkembangkan bagi mewujudkan pertalian
yang dapat menyakinkan pihak sekolah dan staf.
Kedudukan yang perlu dihormati, diteladi dan dipatuhi.
Kebolehan yang mewujudkan kepercayaan dan amanah.
1.4 Konsep-konsep kepemimpinanMenurut Haris dan Muijs (2005),
terdapat dua konsep utama dalam membentuk ciri-ciri kepemimpinan
guru iaitu peranan dan tanggungjawab serta kerjasama. Dalam konsep
pertama, mereka menerangkan bahawa guru tidak hanya
bertanggungjawab dan memainkan peranannya dalam batasan ruang
linkup bilik darjah bagi mempengaruhi pelajar mencapai matlamat
sekolah tetapi tempat memainkan peranan dalam usaha mencapai
matlamat yang yang telah disusun oleh pihak sekolah.
Tambahan itu, guru yang berkepemimpinan memainkan peranannya
sebagai guru yang bukan hanya membimbing pelajarnya memperoleh
pencapaian yang terbaik tetapi juga berupaya memimpin dan
membimbing teman sekerjanya ke arah matlamat yang hendak dituju
iaitu matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah tanpa
arahan atau paksaan daripada pihak atasan. Berdasarkan kepada
perspektif ini, Katzenmeyer dan Moller (2005) menghuraikan tiga
kemahiran kepemimpinan utama yang perlu dimiliki oleh seseorang
guru.
1) Guru yang berkepemimpinan berkebolehan mempengaruhi pelajar
atau rakan lain dan bertindak sebagai fasilitator, mentor, pakar
kurikulum, pembentuk pendekatan baharu yang menerajui kumpulan
pembelajaran dan sebagainya.
2) Mengambil bahagian dalam tugas-tugas operasi sekolah seperti
melibatkan diri menerusi peranannya sebagai ketua bahagian seperti
guru kanan, guru sumber dan lain-lain, menjadi ahli kepada kumpulan
kerja seperti jawatankuasa bertindak sebagai guru disiplin, guru
persatuan dan lain-lain serta bertindak selaras dengan matlamat
yang ditekankan oleh pihak sekolah. Selain itu, guru yang
berkepemimpinan ini juga tidak perlu menunggu arahan daripada pihak
atasan bagi menjalankan tanggungjawab sebagai ahli kumpulan kerja.
Sebaliknya, beliau mengetahui tugas yang perlu dibuat dan bertindak
ke arah matlamat yang hendak dicapai dengan sendirinya.
3) Melalui keahlian jawatankuasa kantin, jawatankuasa PIBG dan
lain-lain, guru yang berkepemimpinan berupaya melakukan perubahan
dengan memberi sumbangan idea yang baik, dapat diterima pakai dan
melakukan tindakan sesudah diberi kuasa sebagai ahli. Contohnya,
memberi idea yang dapat diterima pakai memperbaiki mutu
perkhidmatan pelanggan di kantin sekolah seperti menukar sistem
perkhidmatan kaunter di kantin supaya lebih cepat dan efisien.
Manakala konsep kedua dalam kepemimpinan pula merujuk kepada
konsep kerjasama. Konsep ini penting kerana agak mustahil bagi
individu yang berketerampilan memimpin dan memajukan institusi
tanpa kerjasama daripada individu lain yang mempunyai perkaitan
kerja dengannya.
Menurut Liberman (2000), kepemimpinan ialah individu yang
membantu rakannnya dalam mencuba idea baru dan memberi dorongan
kepada mereka. Kepemimpinan guru bukan sahaja melibatkan kerjasama
antara rakan sejawat di sekolah tetapi turut memastikan kejayaan
sekolah. Justeru itu, kepemimpinan guru perlu menjalinkan kerjasama
antara sekolah dengan masyarakat. Dengan itu, perbincangan dalam
tema kepemimpinan guru akan dibahagikan kepada beberapa subtajuk
kecil. Antaranya, kepemimpinan guru dalam bilik darjah,
kepemimpinan guru menurut pandangan Islam, kompeten kepemimpinan
guru, implikasi kepemimpinan guru dan kepemimpinan guru dalam
pengajaran dan budaya sekolah.
2.0 KEPIMPINAN GURU DALAM BILIK DARJAH 2.1 Definisi Kepimpinan
Bilik DarjahMenurut Hook dan Vass (2000), kepimpinan bilik darjah
merupakan satu set kemahiran di mana guru menggunakan kepimpinannya
untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi dengan yang lain.
Kemahiran ini juga merupakan satu kebolehan untuk mengaitkan
perkara yang berlaku seharian dengan interaksi dua pihak. Di
samping itu kemahiran ini turut dikaitkan dengan kebolehan guru
untuk menyampaikan visi kepada murid-murid dan menyakinkan
pelajar-pelajar tersebut untuk mengikut. Hook dan Vass (2000), juga
menyatakan bahawa kepimpinan dalam bilik darjah wujud dalam keadaan
berikut.
Apabila murid-murid mencapai sesuatu yang mereka tidak jangka
dapat dicapai di setiap bilik darjah.
Setiap kali apabila terdapat pertumbuhan positif walaupun
sedikit dalam personaliti mereka walaupun sedikit.
Setiap kali apabila seorang guru mengangkat tangan semua murid
dalam bilik darjah menjadi senyap; dan
Setiap kali murid-murid mengharapkan panduan atau teladan dari
seorang guru.
Satu pandangan lain mengenai kepimpinan bilik darjah mengatakan
bahawa pemimpin ini tidak terhad kepada guru sahaja malah boleh
diaplikasi kepada murid-murid yang diberi kuasa bersama oleh
seorang guru. Apa yang diperlukan adalah kesanggupan guru
menurunkan kuasa kepada murid. Menurut Wilcox (2005), dalam
kepimpinan bilik darjah terdapat kepelbagaian pemimpin yang boleh
diwujudkan kerana di dalam bilik darjah itu sahaja ada dua jenis
pemimpin iaitu guru kelas atau guru subjek dan juga pelajar yang
diberi kuasa untuk memimpin sama ada guru di dalam kelas ataupun
tidak.
Dalam pada itu, Hook dan Vass (2000) menyatakan kepimpinan bilik
darjah yang berkesan memerlukan memerlukan guru yang memilki
kemahiran-kemahiran berikut:
Boleh mengembangkan keupayaan untuk memahami dan mempunyai
visi;
Mempunyai kemahiran menghasilkan hubungan yang berkesan;
Memahami tingkah laku dan keinginan murid-muridnya;
Memahami bilik darjah adalah satu sistem; dan
Berkebolehan mencari penyelesaian dan menganalisis maklumat.
2.2 Faktor-faktor yang Mempengaruhi Bilik DarjahBagi memastikan
kepimpinan dalam bilik darjah berfungsi seperti yang diharapkan,
faktor-faktor yang mempengaruhi bilik darjah hendaklah diambil kira
oleh guru-guru. Menurut Mak Soon Sang (2008), faktor-faktor yang
boleh mempengaruhi corak dan suasana interaksi di dalam bilik
darjah lazimnya boleh diklasifikan kepada tiga kategori iaitu
faktor fizikal, faktor sosial dan faktor emosi.
Faktor fizikal merujuk kepada segala kemudahan dan peralatan
yang terdapat di sekolah. Kemudahan ini termasuklah bilik darjah,
meja kerusi, papan kenyataan dan sebagainya. Dalam hal ini, bilik
darjah yang kondusif mestilah dilengkapi dengan kemudahan peralatan
asas seperti papan hitam, papan kenyataan, ruang yang selesa, meja,
kerusi untuk guru dan murid, almari yang dihiasi dengan penyediaan
bahan-bahan bacaan dan alat bantuan mengajar serta peralatan
sokongan. Manakala susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah
sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid untuk
mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti
berkumpulan. Keadaan seperti ini akan memudahkan pelajar untuk
berintraksi sesama mereka dan mudah berintraksi dengan guru.
Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu jadual
bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata
pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi, termasuk
kemudahan penggunaan laman web, computer dan CD dan LCD juga akan
mempengaruhi bilik darjah sehingga melahirkan pembudayaan bilik
darjah yang kondusif. Hasilnya terbentuk suasana yang harmonis,
ceria dan semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama
kerana terasa seolah-olah berada dalam rumah sendiri, wujudnya
perasaan kerjasama dan kekitaan serta semangat berdikari, iaitu
berusaha memajukan diri dan kumpulan secara kolektif. .(Haji
Samsudin bin Md Noor, http://www.google.com.my).
Manakala faktor sosial pula merujuk kepada perhubungan dan corak
interaksi di antara murid dengan murid khasnya di dalam bilik
darjah ( Mak Soon Sang, 2008 ). Pelajar di dalam sesebuah bilik
darjah biasanya terdiri daripada latar belakang dan sifat yang
berbeza-beza. Perbezaan ini dapat dilihat kerana terdapat juga
murid yang mempunyai sifat pendiam atau pemalu atau tidak suka
bergaul dengan murid yang lain. Oleh itu guru perlulah bijak
merangsang dan menggalakkan perkembangan sosial murid-murdinya
dengan menunjukkan sikap yang adil semasa melaksanakan peraturan
kelas. Dalam pendekatan memusatkan bahan dalam bilik darjah,
interaksi akan berlaku di antara guru kepada murid yang dikenali
sebagai komunikasi sehala, interaksi guru dengan murid yang di
kenali sebagai komunikasi dua hala, serta interaksi guru dengan
murid, murid dengan guru, dan murid dengan murid, yang dikenali
sebagai komunikasi pelbagai hala.
Selain daripada itu faktor sosial juga dapat dilihat melalui
prosedur ketika menjalankan aktiviti dalam bilik darjah. Dalam hal
ini guru perlu menetapkan perkara atau rutin pergerakan yang murid
boleh atau tidak boleh lakukan dengan sistematik seperti cara murid
memasuki kelas dan keluar seperti ke tandas, cara murid bergerak
untuk melakukan tugasan dalam aktiviti berkumpulan dan tidak
merayau-rayau dalam kelas serta cara untuk mendapatkan bahan-bahan
pembelajaran.
Menurut Mook Soon Sang (2008), faktor emosi pula merujuk kepada
perasaan murid-murid terhadap guru mereka. Suasana emosi ini akan
menimbulkan jenis-jenis tingkah laku murid yang ditentukan oleh
sifat guru dan gaya mengajarnya. Mengikut kajian, suasana emosi
bilik darjah yang kondusif biasanya ditimbulkan oleh guru yang
mempunyai sifat-sifat seperti penyayang, bertimbang rasa, peramah
dan lucu, serta menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan adil,
mengamalkan sikap demokrasi dan tidak memilih kasih.
Faktor emosi ini juga dipengaruhi oleh kepimpinan guru dalam
proses pengajaran dan pembelajaran yang terbahagi kepada tiga jenis
iaitu gaya kepimpinan autokratik, gaya kepimpinan demokratik dan
gaya kepimpinan laisezz-faire. Gaya kepimpinan autokratik meruju
kepada gaya kepimpinan guru yang mengawal murid melalui ganjaran
dan hukuman sehingga mewujudakan suasan yang tertekan dan tidak
menarik serta kurang kondusif. Manakala gaya kepimpinan demokratik
merupakan gaya kepimpinan guru yang bertanggungjawab dengan
memberikan galakan dan bukannya desakan bagi menghasilkan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan.
Gaya kepimpinan laissez-faire pula merujuk kepada gaya kepimpinan
yang memberikan kebesan dalam apa jua aktiviti pembelajaran
sehingga bilik darjah menjadi tidak terurus, kucar kacir dan
menyebabkan perhubungan antara guru dann murid menjadi tidak akrab
dan mesra.
2.3 Kepimpinan guru dalam mempengaruhi iklim Bilik Darjah
Hook dan Vass (2000) telah merujuk budaya bilik darjah yang
efektif dengan cara mengenal pasti beberapa faktor yang
mempengaruhi iklim bilik darjah. Bagi mewujudkan budaya bilik yang
efektif guru-guru perlulah menunjukkan kepimpinan dengan mengambil
beberapa langkah yang bijak. Langkah ini adalah bertujuan membentuk
iklim bilik darjah yang mampu menarik dan membangkitkan minat
pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik
darjah. Menurut Hook dan Vass (2000), sekirannya guru-guru dapat
menunjukkan kepimpinan yang dapat menarik minar pelajar, proses
pengajaran dan pembelajaran akan menjadi menarik dan kondusif.
Antara langkah-langkah tersebut ialah:
2.3.1 Mencari keseimbangan antara dorongan dan teguran
Ketika proses pengajaran dan pembelajaran, iklim bilik darjah
yang mesra dan harmoni perlu dicipta oleh guru. Ini kerana
kebanyakan pelajar adalah suka dipuji dan diberi perhatian. Pelajar
akan merasakan dirinya menjadi penting dalam bilik darjah apabila
selalu dipuji. Kesilapannya mungkin boleh dimaafkan dan diberi
tunjuk ajar dengan sewajarnya. Dalam proses pengajaran dan
pembelajaran pula, sebaik-baik guru boleh berhenti di pertengahan
kandungan kurikulum dan menyelingkan beberapa aktiviti menarik.
Dengan ini, minat pelajar dapat ditarik untuk meneruskan
pembelajaran. Pelajar yang berjaya membuat sesuatu dengan betul
juga hendaklah diberikan penghargaan supaya kepuasan diri dalam
melaksanakan sesuatu aktiviti dapat ditingkatkan. Dalam hal ini,
imej guru juga dapat ditingkatkan malahan pelajar-pelajar akan
sentiasa menantikan kehadiran guru tersebut.
2.3.2 Membangunkan Rapport bersama pelajarDalam hal ini
perhubungan antara guru dan pelajar di dalam bilik darjah perlu
diwujudkan bagi memastikan pembelajaran yang berkesan dapat
diwujudkan. Situasi seperti ini juga akan mendorong para guru
mengamalkan tingkah laku yang lebih efektif dan berkualiti.
Perhubungan yang wujud juga akan membawa kepada percubaan guru
untuk memahami memahami dunia pelajar dengan tujuan untuk
mempengaruhi dan memimpin mereka. Kejayaan memasuki dunia pelajar
dapat menghasilkan persefahaman dengan pelajar khususnya pada taraf
emosi yang mesra. Keadaan ini akan menyebabkan dua pihak yang
saling terlibat akan saling memahami dalam hal berkongsi pengalaman
dan saling berkerjasama lantas membawa kepada iklim bilik darjah
yang cukup kondusif.
2.3.3 Mengaitkan pelajar dengan harapan
Harapan yang tinggi adalah penting bagi pelajar menuju ke arah
pencapaian tugasan dan pembelajaran yang berkesan. Ramai orang
percaya harapan merupakan salah satu cara untuk meningkatkan
motivasi. Oleh itu, para guru hendaklah memberikan perasaan
optimism yang didesak. Keadaan ini adalah penting untuk memastikan
kelangsungan kejayaan pelajar dan mencetuskan iklim bilik darjah
yang sihat.
2.3.4 Mengekalkan hubungan kerja yang sempurna
Menurut Hook dan Vass (2000), mengekalkan hubungan yang sempurna
merupakan proses memperbaiki dan memproses semula. Dalam hal ini
personaliti yang berbeza perlu diambli kira dan ianya boleh
dilakukan dengan dua cara iaitu guru mesti menunjukkan bahawa
beliau tidak menyimpan perasaan dendam tetapi menunjukkan teladan
yang berkualiti. Mengikis perasaan dendam terhadap pelajar yang
melakukan kesalahan mestilah sinonim dengan sikap guru yang
menerima kesilapan yang dilakukan sebagai satu kelainan yang
terdapat pada setiap pelajar. Guru seharusnya menunjukkan teladan
terutamanya menggunakan kuasa yang diperuntukkan dan jelas dalam
pengurusan penyelesaian konflik dalam kalangan pelajar.
2.3.5 Mengambil kira faktor keselamatan dan keyakinan
Aspek keselamatan sangat penting dan perlu diberikan perhatian
utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di
mana-mana kawasan. Kepimpinan guru dalam bilik darjah perlu
menekankan aspek ini. Ini kerana persekitaran yang sihat, bersih
dan selamat akan menjamin proses pengajaran dan pembelajaran bukan
sahaja dalam bilik darjah tetapi melibatkan kesemua tempat
berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran.
2.3.6 Membantu pelajar merasakan dirinya adalah sebahagian
daripada bilik darjahPakar psikologi telah menyatakan hasrat inti
sari manusia adalah menjadi sebahagian daripada alam sosial dan
perasaan intelektual. Oleh itu sebagai pemimpin dalam bilik darjah,
guru hendaklah menggerakkan keinginan pelajar untuk melibatkan diri
dalam suasana bilik darjah mengikut hasrat hati semula jadi. Dalam
hal ini pelajar pada kebiasaannya mengharapkan peranan mereka
dipuji dan diperhatikan oleh guru. Oleh itu interaksi dua hala
antara guru dan pelajar adalah amat diperlukan dalam sesuatu proses
pengajaran dan pembelajaran.
2.3.7 Fokus kepada perkara baikDalam hal ini guru hendaklah
sentiasa merefleks kepada pergerakan dan percakapan diri. Guru juga
harus peka adakah pelajar mengikuti arahan di dalam kelas dan
memastikan diri melakukan aksi yang betul. Pada masa yang sama,
guru harus mengesan perkara baik yang telah dilakukan oleh pelajar
sehingga mencetuskan suasana emosi positif bilik darjah. Sebagai
contoh, guru hendaklah memuji pelajar selepas membantu membersihkan
dan menyusun radas setelah menamatkan sesuatu eksperimen.
2.3.8 Stail guruCara penyampaian dan stail kepimpinan guru di
dalam bilik darjah merupakan aspek utama bagi menghasilkan iklim
pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah. Perkara ini
termasuklah suara guru yang perlu sesuai, lantang dan jelas dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu sikap positif
dan berekspektasi tinggi yang dipaparkan oleh seorang guru akan
membawa pelajar ke arah kecemerlangan dalam aspek emosi, psikomotor
dan afektif. Cara kepimpinan guru demokratik yang menekankan kepada
kerjasama, berinisiatif serta bertoleransi juga mampu membimbing
pelajar kepada nilai-nilai positif. Penggunaan pujian dalam bilik
darjah turut menghasilkan peneguhan positif kerana pelajar yang
sering dipuji akan berasa seronok dan bermotivasi tinggi dalam
sesuatu pelajaran.
2.4 Menjadi pemimpin pengajaran yang berkesan di dalam Bilik
DarjahGlickman (1990), menyatakan bahawa kepimpinan pengajaran
hanya akan dapat dijalankan sekiranya pemimpin atau guru tersebut
memiliki tiga ciri utama iaitu pengetahuan yang mendalam, tugasan
dan keperluan kemahiran. Sebagai contoh, seorang guru yang mengajar
mata pelajaran Sains hendaklah menguasai keperluan yang mendalam
dalam bidang ini untuk memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah berjalan dengan lancar. Apabila
pelajar mengemukakan soalan guru dapat memberi respon yang positif
dan memenuhi keperluan ingin tahu pelajar lantas memupuk keyakinan
dalam diri pelajar. Dalam aspek tugasan pula, guru seharusnya
menekankan matlamat tugasan, manakala para pelajar pula patut
mengetahui prosedur menuntut ilmu dengan penemuan diri.
Bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan
dengan baik guru sebagai pemimpin dalam bilik darjah sewajarnya
memiliki kemahiran interpersonal dan kemahiran teknikal. Kemahiran
interpersonal merupakan keupayaan meneka mood, tujuan motivasi dan
perasaan orang lain. Dalam hal ini, guru yang berada dalam bilik
darjah harus peka kepada air muka, suara dan pergerakan badan
pelajar. Kebolehan dan keprihatinan guru mengecam dan mengenal
sifat pelajar di dalam kelas akan memudahkan guru mengecam dan
mengenal sifat pelajar di dalam kelas lantas memudahkan guru untuk
memupuk suka dalam kalangan pelajarnya.
Kemahiran teknikal pula merujuk kepada keupayaan guru dalam
pengurusan alat bantu mengajar seperti computer, projector LCD,
carta dan sebagainya. Ini kerana proses dengan penggunaan alat
bantu mengajar suasana bosan dan tidak bermaya dapat dielakkan
dalam ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas
sedang berlangsung. Kemahiran guru dalam menggunakan alat bantu ini
juga akan memudahkan lagi dan mampu menimbulkan minat pelajar untuk
belajar.
2.5 Membentuk agenda Bilik DarjahAgenda dalam bilik darjah
adalah sangat penting dalam menentukan implementasi kepimpinan
bilik darjah. Pembentukan agenda bilik darjah yang sesuai adalah
penting untuk membentuk iklim bilik darjah yang sihat untuk
pembangunan akademik dan sosial pelajar. Menurut Hook dan Vass
(2000), terdapat empat kunci utama utama dalam agenda bilik darjah
iaitu hak, tanggungjawab, peraturan dan rutin.
2.5.1 Hak guru dan pelajarKetika mengaplikasi teori kepimpinan
di dalam bilik darjah, guru memerlukan respon yang jelas, yang
boleh disampaikan, yang berkerangka untuk membuat satu keputusan ke
atas tingkah laku pelajar. Kerangka tersebut merupakan kerangka
yang boleh diterima dan difahami oleh pelajar dalam situasi
tertentu. Keputusan yang telah dibuat hendaklah berdasarkan
pertimbangan atas had yang telah disokong atau dilanggar dari segi
empat hak asasi pelajar, iaitu:
Hak pelajar untuk belajar;
Hak guru untuk mengajar;
Hak setiap individu untuk aspek keselamatan ( fizikal dan
psikologi); dan
Hak setiap individu untuk taraf penghormatan dan kemuliaan.
Berdasarkan kepada hak asasi tersebut, pengurusan tingkah laku
dalam kelas adalah terpulang kepada hak guru. Dengan ini guru dapat
mengatasi kekeliruan yang timbul dalam bilik darjah. Dalam pada
itu, guru juga dapat mengatasi tanggungjawab profesionalisme kerana
berkuasa ke atas perlindungan hak individu dalam aspek keselamatan.
Dengan ini pelajar akan berasa lebih selamat sebelum menjalani
proses pengajaran yang berkesan.
2.5.2 Tanggungjawab
Tanggungjawab guru dalam bilik darjah lebih memokuskan kepada
tingkah laku pelajar untuk membuat keputusan atau pemilihan
positif. Sebagai seorang guru, usaha mendorong pelajar untuk
memilih tingkah laku yang bertanggungjawab kea rah kepimpinan bilik
darjah yang berkesan adalah rumit. Oleh itu, guru harus sentiasa
mendorong pelajar supaya bertanggungjawab ke atas kelakuan dan
usaha diri demi mencapai kejayaan yang diingini.
2.5.3 PeraturanSemasa di sekolah guru-guru hendaklah sentiasa
menekankan kepentingan peraturan sekolah. Semasa proses pengajaran
dan pengajaran guru perlu menekankan peraturan-peraturan yang perlu
dipatuhi oleh pelajar. Antara peraturan tersebut;
Mengikuti arahan guru
Menjaga dan memerhatikan tangan, kaki, dan harta benda diri;
dan
Jangan mengantuk, memanggil nama orang lain, bergerak sesuka
hati dan sebagainya.
Peraturan pertama adalah bertujuan untuk memastikan guru dapat
mengajar dan pelajar dapat belajar dalam suasana yang sesuai.
Peraturan kedua pula bertujuan untuk menjamin keselamatan fizikal
dan psikologika dan yang ketiga adalah untuk menjaga hak dari segi
kehormatan dan kemuliaan. Ketiga-tiga peraturan ini sewajarnya
dijadikan panduan oleh para guru. Selain itu, guru juga harus
memastikan para pelajar dapat memahami kehendak peraturan ini.
Kata-kata ini boleh dipaparkan di mana-mana sudut bilik darjah yang
senang dibaca. Akhir sekali guru harus memastikan pelajar mematuhi
peraturan ini demi kepentingan mereka.
2.5.4 RutinRutin merupakan satu perkara yang berbeza dengan
peraturan kerana mengutamakan aspek pentadbiran dan prosedur yang
diperlukan supaya suasana bilik darjah tidak menjadi kacau bilau.
Rutin merupakan satu set perilaku yang perlu dibuat untuk membantu
kejayaan pelajar. Rutin bilik darjah merujuk kepada
aktiviti-aktiviti bilik darjah seperti menanda jadual kedatangan,
menyemak keadaan fizikal bilik darjah, mengedar alat bantu mengajar
mengutip dan memulangkan buku latihan dan sebagainya. Sekiranya
rutin ini dapat diuruskan dengan sistematik, masa dan tenaga dapat
dijimatkan dan disiplin pelajar dapat dipertingkatkan. Rutin yang
teratur ini akan menjamin kepada aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang lebih berkesan.
3.0 KEPIMPINAN DAN PERANAN GURU DALAM PERSPEKTIF ISLAM
3.1 Kepemimpinan dalam IslamMenurut perspektif Islam, kepimpinan
adalah amanah yang wajib ditunaikan. Pemimpin pula ialah orang yang
memandu dan mengajak orang lain ke arah kebahagiaan, mendapat
keredhaan Allah, membuat segala suruhan Allah dan meninggalkan
larangan-Nya (Ibrahim Mamat, 1997:110). Firman Allah s.w.t. dalam
surah Ali Imran ayat 110:
Kamu (wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat dilahirkan bagi
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat baik dan melarang daripada
perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada
Allah (dengan sebenar-benar iman).
Intipati ayat di atas memberikan gambaran yang jelas tentang
kedudukan pendidik sebagai pemimpin. Dalam pada itu, mereka
bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu dan membina perkembangan
manusia sebagai amanah Allah untuk membawa manusia ke jalan
kebenaran. Hal ini dapat kita jelaskan sebagaimana yang berlaku
kepada Rasulullah s.a.w. ketika menerima wahyu pertama, Baginda
telah diajar dan dibimbing oleh malaikat Jibril a.s selaku guru
kepada Baginda.
Sehubungan itu, kepemimpinan dalam Islam sifatnya adalah
bersepadu, iaitu kepemimpinan yang menitikberatkan keseimbangan di
antara roh dan jasad, pembangunan antara spiritual dan material
bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat (Andek
Masnah, 1999). Pendidik yang mempunyai kefahaman yang jelas
terhadap pelaksanaan keperluan insan secara sepadu ini akan
membuahkan hasil ke arah matlamat yang ingin dicapai. Di samping
itu, kewibawaan pemimpin adalah perlu untuk membawa ke arah
kecemerlangan ummah. Dua prinsip kepimpinan yang telah digariskan
oleh Ibn Taimiyyah (1999) iaitu prinsip kepimpinan al-Quwwah
(berwibawa) dan al-Amanah (takut kepada Allah s.w.t.).
Peristiwa dan paparan sejarah telah banyak menampilkan
keunggulan beberapa tokoh kepeimpinan Islam seperti Saidina Abu
Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Usman Ibn Affan,
Umar Ibn Abdul Aziz dan lain-lain. Tokoh-tokoh Islam ini sentiasa
mengamalkan sifat taqwa, amanah, jujur dan ikhlas dalam kepimpinan
mereka. Oleh itu, sifat-sifat inilah yang menjadi qudwah dan contoh
teladan terbaik kepada masyarakat (Kamaruddin Zakaria, 2000).
Sejarah juga telah membuktikan bahawa para sahabat generasi awal
yang taat kepada Allah s.w.t ini telah berjaya membangunkan diri
menjadi individu yang cemerlang sehingga mereka telah diiktiraf
oleh Allah s.w.t sebagai sebaik-baik umat (Nor Hayati Alwi,
2002).
Kenyataan ini membuktikan bahawa kepimpinan Islam amat
mementingkan persoalan akhlak, sifat-sifat mulia, kemampuan dan
kewibawaan dalam memimpin ummah. Menurut Aminuddin Mohd. Yusuf
(1990) pula, pemimpin yang menjadi model kepada yang dipimpin
seharusnya mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam aspek tertentu
untuk melayakkan dirinya sebagai pemimpin yang terbaik dan
berwibawa. Lantaran itu, ilmu pengetahuan adalah aset penting untuk
mamastikan wujudnya kualiti kepimpinan. Seterusnya, pendidik yang
kaya dengan ilmu akan dapat memberi keyakinan kepada pelajar
sehingga martabat pendidik dianggap sebagai ulamak.
Pendapat di atas ini telah diperkukuhkan lagi oleh Zawawi Ahmad
(1991) yang menjelaskan bahawa pendidik berperanan sebagai
pemimpin, pembimbing dan pengajar masyarakat. Mereka diharapkan
dapat memimpin generasi muda ke arah kehidupan yang selamat dan
sejahtera. Menurut beliau, pendidik juga seharusnya melaksanakan
konsep kepimpinan melalui teladan.
Hadari Nawawi (1993) turut menyatakan bahawa kepimpinan pendidik
yang lebih mantap dan efektif adalah melalui beberapa ciri berikut
antaranya:
Sikap dan perilaku pendidik yang baik.
Akhlak yang terpuji dan baik.
Kemampuan menggerak terhadap pimpinannya.
Kemampuan dalam memotivasikan pimpinannya.
Tegasnya, Islam sangat memandang berat terhadap tugas dan
tanggungjawab pendidik sebagai pembimbing dan pemimpin untuk
penyampaian ilmu. Tugas pendidik bukan sahaja mengajar, menimba
ilmu atau memberi ilmu, malah mendidik dan memimpin generasi ke
arah kehidupan yang sejahtera.
Pada dasarnya, kepimpinan pendidikan Islam telah lama wujud
dalam kepimpinan Islam dan telah dipraktikkan oleh Rasullullah
s.a.w. dalam mendidik dan memimpin umat Islam, khususnya para
sahabat. Dengan itu, konsep kepimpinan pendidikan Islam telah
dijadikan model dan platform kepada teori kepimpinan pendidikan
yang dihasilkan oleh pakar-pakar sepanjang zaman. Tambahan itu,
sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. sebagai pembawa
risalah, sekaligus sebagai pendidik dan pemimpin yang unggul.
Kepimpinan Islam dapat dirujuk melalui kepimpinan Rasulullah s.a.w.
sebagai ikutan yang terbaik kerana pada diri Baginda terdapat
segala contoh dan teladan yang baik dalam semua aspek kehidupan
(Ibrahim Mamat 1997:110). Hal ini sesuai dengan sabda Baginda dalam
hadisnya yang bermaksud, Sesungguhnya diutuskan aku untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia (Riwayat al-Bukhari).
Di samping itu, keagungan kepimpinan Rasulullah s.a.w. jelas
terbukti melalui kegemilangan usaha Baginda sebagai pendidik dan
pemimpin yang berjaya membawa umatnya dari kegelapan kepada
kesejahteraan ummah. Meskipun usaha Baginda ini memakan masa selama
23 tahun, namun matlamat untuk membina, mendidik dan melahirkan
generasi Islam yang unggul dapat berkembang sehingga ke hari ini.
Matlamat pendidik Muslim bertepatan dengan ciri kepimpinan
Rasulullah s.a.w. dalam proses mendidik dan memimpin ummah ke arah
ummah yang berilmu dan sejahtera. Para ilmuan terdahulu telah
menjelaskan bahawa kejayaan kepimpinan Rasulullah s.a.w. adalah
dengan melaksanakan pelbagai kaedah dan amalan seperti bersifat
penyabar, prihatin, bersikap adil, tulus dan memimpin secara
praktikal iaitu melalui contoh teladan (Ibrahim Mamat 1997: Ab.
Halim 2002). Oleh yang demikian, ciri-ciri inilah seharusnya
dicontohi oleh setiap pendidik hari ini dalam melaksanakan proses
mendidik untuk melahirkan insan yang mulia.
Berdasarkan kepada kajian kepimpinan pendidikan, golongan
pendidik disarankan agar melaksanakan ciri-ciri kepimpinan yang
baik dan berkualiti seperti yang diamalkan oleh Nabi Muhammad.
Namun, realiti ini masih belum berlaku dalam kalangan pendidik
zaman sekarang. Dalam hal ini, konsep mendidik, membimbing dan
memimpin telah semakin luntur disebabkan terlalu memberi fokus
kepada pemindahan penyampaian ilmu dan maklumat, penekanan prestasi
akademik dan berorientasikan peperiksaan semata-mata (Zainal Abidin
Kadir 1994, Wan Mohd Zahid Nordin 1993, Zahrah Bahran 1997).
Keadaan ini membuktikan bahawa sebahagian pendidik atau guru pada
hari ini masih belum mampu untuk mewujudkan kepemimpinan yang
berwibawa dan berkualiti.
Sehubungan itu, kewibawaan pendidik atau guru Muslim adalah
sangat penting dalam melaksanakan usaha mendidik dan memimpin
pelajar secara lebih berkesan. Misalnya, pendidik haruslah
menerapkan sifat-sifat keunggulan dan keluhuran Rasulullah s.a.w.
dalam diri mereka agar dapar menjadi role model kepada para pelajar
dan dapat membentuk sifat terpuji dalam diri setiap pelajar. Dalam
pada itu, didapati masih ramai pendidik pada hari ini tidak mampu
menjadikan dirinya sebagai role model terbaik kepada pelajar, malah
tidak dapat menerapkan nilai-nilai mulia ke dalam diri pelajar
dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Ab. Halim Tamuri 2000).
Kesannya, Pendidikan Islam gagal untuk dihayati dan diamalkan dalam
kehidupan mereka. Kegagalan pendidik dalam memperkasa nilai-nilai
murni dan sifat mahmudah ke dalam diri pelajar menjadi faktor
krisis akhlak dan disiplin pelajar yang semakin meruncing. Oleh
itu, para pendidik seharusnya menyedari perkara ini dalam membina
kekuatan diri sebagai pendidik dan pemimpin yang terbaik. Tegasnya,
pendidik Muslim hendaklah melaksanakan kepimpinan pendidikan
berteaskan kepada kepimpinan Rasulullah s.a.w. demi kesejahteraan
dan kegemilangan ummah.
Kenyataan di atas membuktikan bahawa pendidik perlu memiliki
ciri dan sifat-sifat keluhuran dan keterampilan diri untuk
dijadikan contoh yang baik kepada pelajar dan masyarakat. Hal ini
kerana, kegagalan menampilkan ciri-ciri tersebut akan membantutkan
keunggulan ummah dan secara tidak langsung akan merendahkan
martabat golongan pendidik agama sebagai golongan ulamak yang
berwibawa. Oleh itu, peranan dan kepimpinan pendidik bukan sekadar
melaksanakan tugas pengajaran dalam kelas atau dewan kuliah, malah
memberi makna yang lebih luas ke arah perubahan yang lebih baik
terhadap individu menurut pandangan Islam. Selain itu, bagi
mempamerkan keunggulan kepimpinan pendidik Muslim, tingkah laku dan
ciri-ciri kemuliaan haruslah diamalkan.
3.2 Definisi guru dalam IslamMenurut Dr. Ahmad Tafsir, dalam
bukunya Ilmu Pendidikan dalam Perspektif Islam, pendidik dalam
Islam ialah sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap
perkembangan anak-anak didiknya. Dalam Islam, orang yang paling
bertanggungjawab ialah ibu bapa kepada anak didiknya. Hal ini
kerana, ibu bapa telah ditakdirkan menjadi orang tua kepada anaknya
dan dipertanggungjawabkan untuk mendidik anaknya. Selain itu, ibu
bapa bertanggungjawab terhadap perkembangan anaknya.
Manakala menurut Dr. Abuddin Nata dalam buku Perspektif Islam
tentang Pola Hubungan Guru-Murid, pendidik dalam Islam ialah Guru.
Dalam bahasa Arab, istilah yang merujuk kepada pengertian guru
lebih banyak lagi seperti al-Alim (jamaknya ulama) atau al-Muallim,
yang bererti orang yang mengetahui. Selain itu, terdapat juga
sebahagian ulama yang menggunkan istilah al-Mudarris yang bermaksud
orang yang mengajar atau orang yang memberi pelajaran. Seterusnya,
terdapat pula istilah ustadz bagi merujuk kepada guru yang khusus
mengajar bidang pengetahuan agama Islam. Secara ringkasnya, guru
yang dimaksudkan di sini ialah pendidik yang memberikan pelajaran
kepada murid dan biasanya guru adalah pendidik yang memegang mata
pelajaran di sekolah.
3.3 Peranan guru sebagai seorang pemimpin dalam IslamDalam
merealisasikan dan melahirkan guru yang mempunyai kepemimpinan
berwibawa dan unggul, beberapa peranan penting haruslah dimainkan
oleh seseorang pendidik terutamanya dalam kalangan pendidik Islam.
Hal ini kerana, Muhammad Uthman el-Muhammady (1991 dalam Ahmad Mohd
Salleh, 1997) mengatakan, walaupun sesuatu sistem pendidikan itu
dikatakan baik, tetapi guru yang mengajar bukan guru yang berkesan
bermakna apa yang disampaikan atau diajar tidak akan difahami oleh
pelajar dan seterusnya matlamat pengajaran sukar untuk dicapai.
Oleh itu, guru-guru khususnya guru pendidikan Islam perlulah
memperkukuhkan lagi peranan mereka dalam merealisasikan hasrat
Falsafah Pendidikan Guru. Peranan guru pendidikan Islam ini
terbahagi kepada lima kategori seperti:
1) Sebagai muallim (Ab. Halim Tamuri et.al., 2004; Ahmad Mohd
Salleh, 1997; al-Shaybani, 1979; Bahagian Pendidikan Guru, 2001;
Zawawi Hj. Ahmad, 1984).
2) Sebagai murabbi (Ab. Halim Tamuri et.al., 2004; Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2001).
3) Sebagai muaddib (Ab. Halim Tamuri et.al., 2004; Ahmad Mohd
Salleh, 1997; Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001).
4) Sebagai mursyid (Ab. Halim Tamuri et.al., 2004; Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2001).
5) Sebagai dai atau pendakwah (Wan Bakar Wan Dagang, 1991).
3.3.1 Guru sebagai MuallimMuallim adalah kata nama yang berasal
dari kata terbitan talim (pengajaran). Menurut Tengku Ghani Tengku
Jusoh (2002), al-talim mempunyai dua pengertian iaitu, yang pertama
ialah mengajar dan yang kedua ialah menjadikan seseorang individu
memiliki ilmu pengetahuan; dan proses tersebut berlaku secara
berperingkat-peringkat. Talim ini juga dikatakan sebagai proses
menguasai ilmu yang meningkatkan manusia daripada taraf haiwan
kepada taraf manusia. Manusia sememangnya memiliki sifat-sifat yang
turut dimiliki oleh haiwan seperti mempunyai hawa nafsu,
bermusuhan, sukakan kebendaan dan pada masa yang sama mereka
mempunyai sifat mereka sendiri seperti berakal, beriman, bijaksana
dan sebagainya (Saedah Siraj, 2001).
Dalam sistem pendidikan yang sedia ada, para guru hendaklah
memperkemaskan peranan mereka dalam memberi ilmu kepada pelajar.
Hal ini kerana, ilmu tersebut sangat penting untuk dijadikan
panduan oleh pelajar dan juga sebagai perisai kehidupan bagi
mengawal unsur-unsur negatif yang ada pada diri seseorang pelajar.
Selain itu, dalam pembangunan bangsa yang berasaskan ilmu, guru
bukan sahaja berperanan membentuk akhlak pelajar, mereka juga
berperanan sebagai muallim yang perlu memberi tumpuan terhadap
penguasaan ilmu pengetahuan (Wan Mohd. Wan Daud, 1991). Dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, guru sewajarnya mempunyai niat
yang ikhlas; mengetahui dasar-dasar pendidikan dan strategi
mengajar yang berkesan; memberi rangsangan motivasi kepada para
pelajar dan memahami kaedah-kaedah pengurusan bilik darjah yang
berkesan untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran sesuai
dengan peranannya sebagai muallim.
Di samping itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru
perlulah mengajar pelajar dengan niat untuk melahirkan atau
membentuk palajar yang beriman dan taat kepada perintah Allah
s.w.t. seterusnya dapat menyelamatkan mereka daripada azab api
neraka. Sebaliknya, mengajar bukan semata-mata kerana ingin
mendapatkan upah atau sebarang ganjaran di dunia, tetapi bertujuan
mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu, guru dalam pandangan
Islam haruslah berusaha meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan;
sentiasa mencari pendekatan pengajaran yang boleh menimbulkan minat
pelajar serta menanam minat dan penghayatan terhadap agama;
cintakan agama; mewujudkan ciri-ciri tamadun Islam di dalam dan di
luar sekolah dan meningkatkan kecekapan ikhtisas (Wan Bakar Wan
Dagang 1991).
3.3.2 Guru sebagai MurabbiMurabbi berasal daripada kata terbitan
tarbiyyah yang bermaksud pendidikan. Menurut Ghani Tengku Jusoh
(2002), tarbiyyah bermaksud mencurahkan kasih sayang, memelihara,
mendidik, mengembangkan, menyuburkan dan membesarkan. Dalam
perspektif Islam, peranan guru sebagai murabbi melibatkan proses
mendidik, memelihara dan membentuk pelajar sehingga wujud perasaan
kasih sayang dan saling percaya mempercayai antara mereka. Antara
ciri guru murabbi adalah seperti menyayangi pelajar dan
memperlakukan mereka seperti anak sendiri; sentiasa menasihati
pelajar dalam segala hal termasuk pembelajaran dan perlakuan
mereka; dan menjaga disiplin pelajar dengan menggunakan pendekatan
mencegah dan menegur secara baik terhadap perlakuan maksiat dan
juga menggalakkan perlakuan makruf secara kasih sayang. Bagi Ahmad
Salleh (1997) pula, antara ciri-ciri guru murabbi adalah seperti
mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar; bersikap adil
terhadap pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga, keupayaan
akademik dan ekonomi; merahsiakan maklumat sulit pelajar kecuali
kepada yang berhak; dan bersedia membimbing pelajar serta
menunjukkan cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku sebagai
contoh yang baik kepada pelajar.
3.3.3 Guru sebagai muaddibSalah satu peranan utama guru adalah
bertindak sebagai muaddib (Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1980;
Zawawi Hj. Ahmad, 1984). Syed Muhammad Naquib al-Attas (1979) lebih
menekankan peranan guru sebagai muaddib berbanding dengan muallim
dan murabbi. Beliau telah menggunakan perkataan tadib untuk
menjelaskan erti pendidikan. Abdul Raof Dalip (1985, 1993) dan
Ulwan (1989) mengatakan guru-guru dalam kategori tadib perlu sedar
dan insaf bahawa mereka sebenarnya menjadi ikutan dan teladan
pelajar dan hendaklah menanamkan kepercayaan yang benar di dalam
jiwa pelajar; mendedahkan dan memahamkan pelajar mengenai
jenis-jenis ibadah yang wajib dilaksanakan; dan menaikkan semangat
pelajar serta menimbulkan minat mereka untuk mempraktikkan ajaran
agama sehingga menjadi kebiasaan kepada mereka.
Menurut Husain Mazhahiri (1993), Ibrahim Amini (1997) dan Ulwan
(1989), sebagai muaddib, guru mestilah memiliki sifat-sifat
terpuji. Antara sifat terpuji yang paling utama adalah zuhud dalam
proses mendidik. Dalam hal ini, guru yang mendidik bukan kerana
inginkan balasan bersifat kebendaan seperti wang, pangkat dan
kehormatan masyarakat, tetapi semata-mata bertujuan untuk mendapat
keredhaan Allah. Walaubagaimanapun, Husain Mazhahiri (1993) dan
Ibrahim Amini (1997) mengatakan dalam soal menerima balasan
kebendaan (upah atau gaji) dalam proses mendidik pelajar, tidak
bermakna guru tidak boleh menerima ganjaran daripada usaha mereka.
Perkara penting yang ditekankan di sini ialah kemuncak matlamat
kerja yang dilakukan seharusnya tidak wajar diukur berdasarkan
kepada pencapaian kebendaan kerana ia akan membahayakan pencapaian
diri sendiri. Hal ini kerana, menyampaikan sesuatu kebenaran atau
ilmu Allah merupakan tugas dan tanggungjawab mereka. Selain itu,
terdapat juga beberapa sifat muaddib yang telah disenaraikan oleh
Husain Mazhahiri (1993) dan Ibrahim Amini (1997). Antaranya adalah
seperti mempunyai jiwa yang bersih daripada segala kekotoran (dosa)
seperti sifat riak, hasad, ujub dan pemarah. Selain itu, guru perlu
memiliki kebersihan lahiriah seperti daripada segi amalan pemakanan
yang bersih dan suci; menjaga kebersihan diri; mamakai pakaian yang
bersih dan berperibadi mulia. Secara ringkasnya, para guru perlu
manjaga kehebatan dan kehormatan diri mereka pada pandangan
masyarakat. Hal ini boleh dilaksanakan dengan menjaga peribadi,
bersikap merendah diri dan tahu mengambil hati orang lain. Guru
juga tidak boleh terlibat dalam suasana yang boleh menjatuhkan
maruahnya sama ada dalam cara berpakaian, perbuatan dan percakapan
(Muhammad Uthmani el-Muhammady, 1991 dalam Ahmad Mohd Salleh,
1997). Oleh itu guru hendaklah menyediakan diri mereka sebagai
qudwah hasanah (model terbaik) kepada pelajar kerana sifat tersebut
merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w.
3.3.4 Guru sebagai mursyidIstilah mursyid sinonim dengan
perkataan ahda yang bermaksud memberi petunjuk. Manakala dalam
Kamus Dewan (2002), mursyid didefinisikan sebagai guru agama,
pemimpin dan taat kepada perintah Allah. Sehubungan itu, guru
mursyid ini juga boleh berperanan sebagai guru yang sedia menjadi
seorang penasihat yang ikhlas. Al-Balabakki (1995) dalam Al-Mawrid
mendefinisikan penasihat yang ikhlas dalam bahasa Inggeris
dipanggil mentor. Oleh itu, beberapa aspek peranan guru mursyid
boleh dilihat dalam layanan seorang mentor kepada
pelajar-pelajarnya. Kajian ke atas konsep mentor oleh Bova dan
Philips yang dirumuskan oleh Saedah Siraj et al. (1996) menunjukkan
mentor memiliki status sebagai seorang yang memiliki status yang
agak tinggi dan sedia memberikan bimbingan sepenuhnya; tokoh
pemindah yang berperanan untuk perkembangan seseorang iaitu
gabungan peranan ibu bapa dan rakan sebaya; model contoh dan
penasihat kepada pelajar; bersifat murah hati, ikhlas, penyayang,
mengambil berat terhadap orang lain, pendengar yang baik dan
mencurahlan rasa hati; bersifat sentiasa menerima dan
bertanggungjawab; berkongsi impian dengan anak didik dan membina
persepsi kendiri yang ceria; dan sebagai orang yang sangat
berpengaruh terhadap anak didiknya.
4.0 KOMPETEN KEPIMPINAN GURU
Dalam membincangkan mengenai kompeten kepimpinan guru ini, Clark
( 1997 ) telah menggariskan 8 intipati yang penting iaitu:
4.1.1 Memiliki ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan
terkini
Ilmu pengetahuan merupakan perkara asas yang seharusnya ada
dalam diri seseorang guru yang akan mengajar di sesebuah sekolah.
Namun walaubagaimanapun jika ilmu pengetahuan yang ada hanyalah
ilmu pengetahuan yang sedikit, ilmu tersebut tidak akan mendatang
apa-apa kelebihan tetapi hanya akan mendatangkan masalah kepada
guru dalam proses pembelajaran. Oleh itu, seseorang guru haruslah
memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas, mendalam
dan terkini sebelum melangkah masuk ke sekolah untuk memulakan sesi
pembelajaran. Kelengkapan ilmu pengetahuan yang mendalam ini adalah
amat penting kerana kekurangan yang ada dalam diri guru akan
mengakibatkan kurangnya keyakinan terhadap diri sendiri dan
sekaligus akan mencacatkan penyampaian maklumat kepada murid. Bagi
pihak murid pula kegagalan penyampaian guru dalam pembelajaran akan
menghilangkan kepercayaan mereka terhadap guru tersebut.
Keadaan sebaliknya akan berlaku jika guru memperlengkapkan diri
dengan ilmu pengetahuan yang luas kerana penguasaan ilmu
pengetahuan oleh guru akan mewujudkan pembelajaran yang berkesan
dan efektif sewaktu berada di dalam kelas. Ini sekaligus akan
meningkatkan keyakinan dalam diri dan juga keyakinan pelajar
terhadap guru mereka. Selain daripada itu, pengetahuan guru
terhadap fizikal dan psikologi pelajar juga amat dititikberatkan
dan penting. Ilmu pengetahuan mengenai teori pedagogi juga amat
penting dan harus dikuasai oleh seseorang guru supaya penyampaian
ilmu pengetahuan kepada murid dapat disampaikan dengan lebih
berkesan dan menarik.
4.1.2 Cekap menggunakan sumber
Peggunaan bahan secara cekap dalam menggunakan segala bahan yang
ada dengan kadar yang optimum perlu ada dalam diri setiap guru.
Kemahiran ini amat penting untuk mendapatkan maklumat, melakukan
analisis, kemahiran dalam perancangan dan mengelolakan sesuatu
rancangan ataupun program serta pengurusan perbelanjaan dan
kewangan supaya tidak berlaku sebarang pembaziran. Sejajar dengan
perkembangan dunia teknologi yang ada pada hari ni harus digunakan
secara meluas oleh setiap guru untuk mengakses maklumat sebagai
pemangkin bagi kaedah pengajaran sewaktu di dalam kelas. Dengan
ini, guru seharusnya merebut peluang sedia ada untuk memajukan dan
melengkapkan diri dalam pengguna ICT agar dapat menggunakan untuk
kepentingan diri dan murid-murid.
4.1.3 Memiliki budaya dan jati diri
Guru yang memiliki budaya dan jati diri penting bagi kepimpinan
guru untuk membolehkannya menghadapi cabaran dalam pengurusan diri
sewaktu dalam proses pengajaran di dalam kelas. Seseorang guru juga
seharusnya mempunyai daya saing, daya tahan, daya juang yang
tinggi, daya saring dan daya tekal. Guru juga harus berani untuk
memikul dan mengambil tanggungjawab pada kehidupan dan juga
kerjaya. Selain itu, guru juga harus mempunyai dan sentiasa
mengekalkan integriti dan etika seorang guru walaupun men$galami
tekanan yang besar. Ini akan menunjukkan lagi piawaian diri bagi
seseorang guru tersebut. Menerima teguran dengan hati yang terbuka
serta bersedia untuk memperbaiki kesilapan dan kelemahan yang ada
dan juga bersedia untuk menerima sebarang tanggungjawab juga
merupakan jati diri yang wajib ada dalam setiap guru. Guru yang
berkepimpinan baik hendaklah sentiasa bercita-cita tinggi dan
berusaha untuk mencapai objektif pembelajaran, segala tugasan yang
diberikan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa
meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan diri.
4.1.4 BerwawasanPada abad ke-21 ini menyaksikan pelbagai cabaran
yang harus dipikul oleh guru-guru dan ini memerlukan kepimpinan
yang tinggi untuk menghadapi setiap cabaran dan dugaan yang datang.
Guru yang mempunyai pandangan yang jauh, mempunyai misi yang jelas,
semangat dan daya saing yang tinggi, mempunyai pemikiran dan
tindakan yang strategik serta keupayaan mengimbangi antara tuntutan
kehidupan dan kerjaya merupakan kriteria kepimpinan seorang guru
yang cemerlang dan amat diperlukan dalam sesebuah sekolah. Selain
daripada itu, seseorang guru tersebut juga harus mempunyai azam dan
komitmen yang tinggi serta bersedia meningkatkan
kemahiran-kemahiran kepimpinan yang diperlukan bagi menghadapi
cabaran-cabaran mendatang sesuai dengan peredaran zaman pada masa
sekarang.
4.1.5 Mengamalkan budaya beretika
Budaya beretika juga harus disemai dalam diri setiap guru yang
akan mengajar di sesebuah sekolah. Amalan etika yang baik seperti
menjaga perpaduan, penyayang, kerja berpasukan, bersopan santun,
berdisiplin, hidup sihat, jujur dan ikhlas merupakan amalan ataupun
etika yang perlu ada dalam diri setiap guru. Dengan adanya etika
seperti ini, kepimpinan guru akan lebih terserlah. Menurut
Leithwood dan Jantzi ( 1998 ), jika seseorang individu mengharapkan
orang lain mengubah sikap, individu itu sendiri juga haruslah
mengubah sikapnya terlebih dahulu. Seseorang guru juga mestilah
mempunyai kemahiran dalam melihat perbezaan budaya sekaligus
bersikap terbuka untuk menilai perbezaan itu secara jujur dan
okjektif.
Kemahiran dalam memahami kepelbagaian budaya ini akan
membolehkan guru sentiasa bersedia untuk berhubung, berinteraksi
serta berkerjasama dengan pengikutnya yang mungkin berasal dari
pelbagai kaum dan bangsa yang perbezaan dari segi budaya antara
satu sama lain. Disamping itu juga, kemahiran dalam mengendalikan
gerak kerja secara berkumpulan perlu dikuasai untuk menunjukkan
sifat kepimpinan yang dimiliki oleh seseorang guru. Penguasaan
kemahiran mengendalikan kerja secara berkumpulan juga akan
membolehkan guru menghadapi cabaran-cabaran yang datang disamping
dapat membentuk suasana persekitaran yang selesa yang akhirnya
menjadi pemangkin kepada usaha untuk mencapai matlamat yang
berkesan.
4.1.6 Mahir berkomunikasi dengan berkesan
Adalah satu kawajipan dalam setiap guru memiliki kemahiran
berkomunikasi. Ini adalah kerana kemahiran berkomunikasi ini
merupakan penentu kepada keberkesanan penyampaian dan penukaran
maklumat kepada pelajar. Kemahiran berkomunikasi ini juga penting
bagi guru untuk meningkatkan kefahaman kepimpinan guru dalam
pelbagai cabaran dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran
berkomunikasi sama ada komunikasi berbentuk formal ataupun
berbentuk informal. Namun begitu, tidak lengkap jika mempunyai
kemahiran berkomunikasi sahaja. Guru juga harus mempelajari cara
untuk menggunakan pelbagai medium komunikasi. Ini merupakan cabaran
bagi guru-guru untuk mengguna alat-alat komunikasi yang moden
terutama dalam arus globalisasi ini.
4.1.7 Sentiasa memantau dan menilai perkembangan setiap program
dan organisasiNathan ( 2001 ), menjelaskan bahawa berlaku perubahan
dari segi kepimpinan sekolah akibat daripada perkembangan dan
kemajuan yang telah dicapai apabila kepimpinan sekolah telah
berubah secara progresif daripada model lama kepada satu model baru
yang turut memberi kawalan kepada guru. Kemahiran memantau dan
menilai perkembangan setiap program dan organisasi juga perlu
dikuasai sejajar dengan kemunculan alaf baru ini. Kefahaman dan
penghayatan dalam pada keluruhan misi dan nilai-nilai organisasi
adalah perlu difahami oleh guru agar dapat memastikan setiap
tindakan yang diambil oleh pelajar sentiasa berada dibawa
pemantauannya. Kefahaman seseorang guru itu juga seharusnya secara
menyeluruh ke atas setiap organisasi yang diwakilinya. Adalah perlu
seseorang guru mempunyai keupayaan dan kemahiran dalam melakukan
tindakan yang strategik untuk memastikan kelansungan, perkembangan
dan pertumbuhan program dan organisasi. Sebagai contoh, ketua
panitia bahasa Melayu perlu turut turun padang untuk memastikan
perjalanan aktiviti Minggu bahasa Melayu berjalan dengan
lancar.
4.1.8 ProduktifGuru juga harus sentiasa mempunyai azam dan
komitmen yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk meningkatkan
kemahiran agar menjadi lebih produktif sesuai dengan cabaran yang
sentiasa memerlukan kepimpinan yang tinggi. Disamping itu juga,
kemahiran-kemahiran lain juga haruslah dikuasai agar dapat
menjadikannya pemimpin yang lebih berkesan dalam kerja-kerja
kepimpinan yang besar skopnya.
4.2 Dimensi Kompeten Kepimpinan GuruDalam membincangkan mengenai
kepimpinan guru, seseorang guru juga hendaklah memiliki keupayaan
untuk melihat sesuatu perkara tersebut melalui sudut dan dimensi
yang berbeza daripada orang lain. Terdapat empat dimensi yang
berbeza bagi guru yang memiliki keupayaan melihat melalui dimensi
yang lain mengikut pengelasan yang digariskan oleh Haris dan Muijs
( 2005 ).
1. Untuk meningkat prestasi sesebuah sekolah itu, seseorang guru
seharusnya memiliki kebolehan untuk menterjemah prinsip-prinsip dan
menggunakan penterjemahan itu untuk dipraktikkan sewaktu berada
didalam bilik darjah.
Contohnya, guru yang memiliki kepimpinan yang baik boleh
mengambil tindakan dengan sentiasa menjaga dan memastikan kelas
yang didudukinya sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan
teratur untuk meningkatkan keceriaan persekitaran sekolah.
2. Dalam pentadbiran sekolah, terdapat perubahan-perubahan
drastik yang akan dilakukan oleh pihak pentadbir. Oleh itu guru
harus mempunyai keupayaan dalam memberi penumpuan ketika turut
serta dalam perubahan yang dilakukan. Sikap positif dalam diri
setiap guru amat diperlukan untuk sama-sama menjayakan sebarang
pembaharuan yang dilakukan oleh pihak sekolah.
3. Adalah satu kewajipan bagi sekoarang guru untuk memiliki
kemahiran dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar sama ada
secara langsung mahupun sebagai orang tengah sahaja. Kepimpinan
seseorang guru tersebut akan terbukti apabila mampu menyampaikan
maklumat-maklumat yang penting dengan tidak mengambil kira maklumat
tersebut adalah yang lama ataupun yang baru dan lebih sensitif
lagi. Akan lebih terbukti lagi jika guru mampu dan sentiasa
mendapatkan maklumat tambahan sama ada melalui bantuan dalam
mendapatkan maklumat yang tepat dan sebagainya.
4. Dalam profesion keguruan, hubungan antara rakan sekerja
amatlah penting dan harus dijaga. Dengan ini, guru mestilah
berkeupayaan untuk sentiasa menjaga dan seterusnya mengekalkan
hubungan yang baik sesama mereka. Ini adalah penting untuk
mendapatkan kerjasama yang baik antara guru dan seterusnya berusaha
bersama-sama meningkatkan prestasi sekolah agar lebih
cemerlang.
4.3 Kompeten Kepimpinan Guru dan Pencapaian Matlamat
SekolahMatlamat sesebuah sekolah untuk muncul sebagai sebuah
sekolah yang cemerlang bukan hanya boleh dicapai dengan adanya
pelajar cemerlang sahaja. Pencapaian matlamat sekolah ini turut
dipengaruhi oleh kepimpinan yang ada pada guru-guru yang ada di
sekolah melalui beberapa intipati yang penting. Tokoh seperti
Hargreaves ( 1991 ), Little ( 1990 ) dan Rosenholz ( 1989 ) telah
mengatakan bahawa jika wujudnya faktor kolaboratif antara guru,
kepimpinan yang ada dalam diri setiap guru akan menjadi lebih
berkesan. Penyataan ini turut diakui dan disokong oleh Teddlie dan
Reynold ( 2000 ) dengan mengeluarkan pendapat bahawa matlamat
sekolah dan kepentingan kepimpinan setiap guru harus dikongsi
kerana ia adalah amat penting agar dapat meningkatkan keberkesanan
untuk mencapai matlamat sekolah yang telah digariskan. Ini juga
bermaksud dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan
sekolah haruslah meminta pendapat setiap guru kerana keputusan yang
dibuat adalah berkait rapat dengan usaha untuk meningkatkan
pencapaian sekolah. Guru-guru seperti guru panitia, guru
matapelajaran dan guru kanan turut berkongsi tanggungjawab dalam
menilai dan membuat keputusan untuk kepentingan dan peningkatan
pencapaian sekolah.
Menurut Hackney dan Henderson ( 2005 ) peningkatan pembelajaran
yang bersifat demokratik sewaktu didalam kelas seperti menggalakkan
pelajar berfungsi secara kritikal dan menjadikan pelajar lebih
berdikari dan bekerjasama antara satu sama lain adalah didorong
oleh kepimpinan guru yang baik dan efektif sewaktu melakukan proses
pembelajaran didalam kelas. Pencapaian sekolah ke tahap yang lebih
tinggi lagi akan mampu dicapai jika hubungan erat sesame guru wujud
di sekolah. Ini adalah kerana, dengan adanya hubungan erat sesama
guru ini, peningkatan dalam penyedian proses pengajaran dan
pembelajaran akan berlaku. Hubungan antara guru dan murid di
sekolah juga secara tidak langsung akan membantu meningkatkan
pencapaian sekolah kerana ini akan membuatkan keyakinan pelajar
semakin bertambah dan tahap pencapaian akan turut meningkat (
Sebring dan Bryk ). Namun walaubagaimanapun, terdapat banyak
kekangan dan halangan yang perlu dihadapi untuk melahirkan guru
yang berkepimpinan ( Katzenmeyer dan Moller, 2001 ).
Masalah-masalah seperti interaksi yang kurang dan sikap guru yang
mengasingkan diri daripada rakan sekerja merupakan masalah yang
cukup besar dan utama dalam melahirkan guru yang berkepimpinan. Ini
sekaligus akan merencatkan dan menjarakkan pencapaian sekolah.
Faktor lain seperti sifat degil yang tidak menerima kepimpinan
orang lain sewaktu dalam perbincangan, pemerhatian dan kerja
berpasukan juga adalah penyebab yang besar. Terdapat beberapa nilai
kepimpinan yang menyumbang kepada peningkatan pencapaian matlamat
sekolah seperti:
4.3.1 Penjana budaya sekolah
Di sekolah guru dan pelajar mempunyai peranan ataupun fungsinya
sendiri iaitu sebagai sebagai sebuah komuniti sekolah. Dalam
pebentukan budaya sekolah, guru menggalas beban utama dengan
menjadi entiti ataupun komuditi manakala pelajar sebagai produk
pendidikan yang merupakan hasil daripada pembentukan budaya yang
dibentuk oleh guru. Adalah satu tanggungjawab sebagai seorang guru
untuk memimpin pelajar ke arah budaya sekolah yang positif. Budaya
sekolah yang positif amat diperlukan kerana budaya inilah yang
menjadi intipati dan ikutan bagi semua pelajar. Dengan adanya
budaya positif ini juga keyakinan dan kepercayaan pelajar terhadap
guru tersebut akan meningkat dan sekaligus akan mewujudkan suasana
pembelajaran dan diri pelajar yang lebih positif. Apa yang
diinginkan melalui pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu
membentuk warga negara yang berketrampilan dan produktif akan
tercapai sejajar dengan matlamat yang disasarkan oleh sekolah.
4.3.2 Menukar kepimpinan
Untuk melahirkan guru yang berkepimpinan dalam sekolah bukan la
satu tugas yang mudah. Seseorang guru itu haruslah memainkan
berfungsi sebagai pakar kurikulum, pembimbing, fasilitator, mentor,
pencipta kaedah baru, dan penggalak pembelajaran berkumpulan.
Selain daripada peranan diatas, guru juga semestinya perlu
memperkasa,merangsang dan meningkatkan kesedaran diri untuk
membolehkan pencapaian sekolah dapat ditingkatkan. Selain itu,
pencapaian peribadi diri juga haruslah sentiasa diperbaiki dari
semasa ke semasa agar sentiasa menjadi lebih baik daripada
sebelumnya. Pendek kata kepimpinan transformasi adalah satu proses
untuk mempengaruhi warga sekolah melalui usaha berterusan oleh
guru-guru.
4.3.3 Kepimpinan pengajaranKepimpinan pengajaran ini bermaksud
keupayaan seseorang guru untuk menterjemah wawasan dalam sistem
pembelajaran formal sewaktu disekolah. Dalam konteks ini, kemahiran
penterjemahan dalam diri guru amat diperlukan. Dengan adanya
kepimpinan pengajaran ini, guru dapat menggunakan segala sumber
yang ada dengan kadar yang optimum. Untuk merealisasikan kepimpinan
pengajaran ini, guru harus mempunyai strategi yang sesuai seperti
mebentuk rancangan pendidikan yang menarik, pemerolehan serta
pengalaman pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan rancangan
pendidikan dapat dilakukan dengan lebih dan terancang mengikut
acuan wawasan yang telah dibina. Usaha, komitmen, kemahiran serta
ketrampilan seseorang individu atau guru amat diperlukan dalam
kepimpinan pengajaran agar prestasi setiap pelajar akan terus
meningkat ke arah kecemerlangan melalui proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah.
4.3.4 Kepimpinan membuat keputusan
Setiap keputusan yang dibuat untuk sekolah amatlah penting. Ini
kerana besar implikasinya terhadap sekolah jika sesuatu keputusan
yang telah dibuat mendatangkan keburukan kepada sekolah. Oleh itu
guru harus bijak dalam menilai setiap aspek yang ada sebelum
melakukan ataupun membuat sebarang keputusan seperti memilih
keahlian pasukan, ahli jawatankuasa bertindak dan persatuan ibu
bapa dan guru. Di samping itu, kemahiran interpersonal yang baik
dalam diri guru juga penting kerana dengan adanya sikap ini, guru
mampu menjalin hubungan ikatan silaturrahim yang erat sesama rakan
sekerja.
4.3.5 Kepimpinan guru dalam mengurus bilik darjah
Untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan positif
kepimpinan guru untuk mengawal dan mengurus bilik darjah adalah
penting kerana kegagalan mengurus bilik darjah akan merencatkan
sistem pembelajaran dengan suasana kelas yang tidak terkawal sepeti
bising, kotor dan sebagainya. Kepimpinan dalam megurus bilik darjah
ini juga termasuk seperti mengurus atau membentuk organisasi bilik
darjah, motivasi dan disiplin. Terdapat banyak kelebihan jika
pengurusan bilik darjah dapat dilaksanakan dengan baik seperti
dapat menjimatkan masa dan tenaga guru dan juga pelajar itu
sendiri. Di samping itu juga akan wujud lebih banyak peluang untuk
guru menjalankan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik dan
berunsurkan pengajaran dan seterusnya menjadikan sistem
pembelajaran yang lebih bermakna.
4.3.6 Kepimpinan guru dan pengupayaan dalam bilik darjahSewaktu
berada dalam bilik darjah, kuasa autonomi guru adalah diperlukan
untuk mengawal dan mengawal keadaan kelas. Kuasa autonomi
dimaksudkan adalah merangkumi aspek penyelesaian masalah, membuat
keputusan dan mengambil tindakan untuk kebaikan dan pencapaian
murid. Pendek kata, pengupayaan sewaktu berada dalam bilik darjah
adalah penggunaan kuasa yang telah diberikan kepada setiap guru
bagi menjalankan tugas yang diarahkan dan dipertanggungjawabkan
disamping mengawal pelajar.
4.3.7 Pembentukan kumpulan kerja dalam bilik darjahDi sekolah,
kerja secara berkumpulan adalah amat penting untuk membina
kerjasama, sikap bersatupadu dan komitmen yang tinggi diantara guru
dan pelajar. Kerjasama yang utuh akan mampu merealisasikan matlamat
dan visi yang telah digariskan oleh sekolah. Selain itu.
Pembentukan kerja secara berkumpulan juga dapat memperkembangkan
dan lebih mendalami matlamat sekolah, mencari penyelasaian yang
lebih efektif, kreatif, motivasi dan seterusnya dapat
mempertajamkan kemahiran yang sedia ada dalam kalangan guru dan
pelajar.
4.3.8 Memperkasa kecerdasan emosi pelajar
Sejajar dengan matlamat yang telah disasarkan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan iaitu dengan menjadikan aspek kecerdasan
emosi sebagai landasan untuk melahirkan dan membentuk insan yang
seimbang daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Telah
banyak tindakan yang dilakukan untuk memperkasa kecerdasan emosi
pelajar agar setaraf dengan kecerdasan intelek termasuklah
mengaplikasikan aspek kecerdasan emosi ini dalam aspek kurikulum
sekolah. Keseimbangan kecerdasan emosi dan intelek ini adalah amat
penting dan haruslah seimbang dalam diri pelajar untuk mencapai
kecemerlangan kerana kecerdasan intelek sahaja tidak mampu
mempersiapkan pelajar untuk menghadapi situasi kehidupan yang
sebenar.
4.3.9 Mengamalkan komunikasi yang efektifAspek komunikasi dalam
pembelajaran adalah penting untuk mewujudkan situasi kelas yang
efektif. Komunikasi yang baik juga dapat menggelakkan pelajar
belajar dalam situasi yang kaku dan bisu. Dalam komunikasi sewaktu
didalam kelas boleh berlaku secara sehala, dua hala dan pelbagai
hala yang melibatkan penyampai mesej ( orang yang bertutur ataupun
menulis ) dan menerima mesej ( pendengar dan pembaca ). Komunikasi
yang baik akan mendatangkan pelbagai kebaikan dan begitu juga
sebaliknya. Kegagalan komunikasi ini akan menimbulkan konflik
kerana berlaku perselisihan ataupun pencanggahan antara dua pihak.
Oleh itu, guru harus mengetahui dan mengamalkan ciri-ciri
komunikasi sewaktu dalam bilik darjah untuk mencapai kecemerlangan
murid dan seterusnya merealisasikan visi dan matlamat sekolah.
5.0 KEPIMPINAN GURU DAN BUDAYA SEKOLAHGuru merupakan pemimpin
yang berperanan sebagai ejen perubahan. Perubahan yang dimaksudkan
adalah melibatkan perubahan ke atas sekolah dan bilik darjah. Guru
juga adalah individu yang menggariskan hala tuju dan membentuk para
pelajar ke arah merealisasikan hala tuju itu dengan nilai-nilai
kepimpinan yang positif.
5.1 Peranan Guru :
1. Pengajar
2. Pembimbing
3. Fasilitator
4. Inventor
5. Pengurus
6. Penghubung
5.1.1 Pengajar
Berusaha untuk memahamkan pelajar berkaitan konsep dengan mudah,
sistematik, seronok dan bermakna. Peranan sebagai pengajar juga
merupakan satu agen untuk mempertingkatkan prestasi pelajaran
pelajar. Di samping itu, ia turut sama berperanan sebagai individu
yang menjadi jambatan rujukan pengetahuan dan maklumat para
pelajar.
5.1.2 Pembimbing
Membimbing pelajar ke arah bersikap rasional, realistik dan
kondusif bagi menghadapi dan menyelesaikan masalah ekoran cabaran
hidup.
5.1.3 Fasilitator
Pemudah cara dan mentor dalam membantu perjalanan harian dalam
dan luar kelas. Guru juga berperanan sebagai mentor ataupun tempat
rujukan pelajar semasa memerlukan pandangan dan tunjuk ajar.
5.1.4 Inventor
Memperkenalkan inovasi daripada aspek inovasi teknik dan sebagai
agen yang membawa perubahan kepada suasana dan persekitaran
pembelajaran pelajar. Hal ini sejajar dengan keperluan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang memfokuskan kepada pembinaan pelajar ke
arah insan yang seimbang, kreatif dan kritis.
5.1.5 Pengurus
Mampu mengurus dengan cekap, sempurna dan otomatis dalam memupuk
disiplin kendiri pelajar. Apabila disiplin pelajar cemerlang, maka
akademik pelajar turut cemerlang. Selain itu, guru berperanan
sebagai pengurus bilik darjah yang sistematik dan teratur bagi
memastikan segala urusan yang berkaitan dengan pembelajaran yang
kondusif dapat disediakan oleh guru.
5.1.6 Penghubung
Menghubungkan pelajar dengan pelajar serta guru dan pelajar ke
konsep universal. Dalam erti kata lain, guru berperanan sebagai
pencetus komunikasi (communication moderator) antara pelajar dan
guru.
5.2 Aspek ikutan
Aspek ikutan yang dapat dijadikan panduan oleh guru bagi menjana
budaya supaya sekolah lebih berkesan: Jon Saphier & Matthew
King (1985).
1. Kesamaan dan kerjasama
2. Mencuba idea baru dan inovatif
3. Harapan yang tinggi
4. Kepercayaan dan keyakinan
5. Sokongan
6. Mendapatkan pengetahuan
7. Penghargaan
8. Penyayang dan humor
9. Melibatkan penyelesaian masalah
10. Tradisi
5.2.1 Kesamaan dan KerjasamaGuru tidak mempunyai sifat prejudis
dan diskriminasi pada pelajar. Semua pelajar perlu diberi perhatian
dan tumpuan yang sama tanpa mengira status atau kedudukan keluarga
pelajar ataupun juga aras pengetahuan dan kecerdikan pelajar.
Budaya seperti ini menjadi nilai positif dan normal yang sihat
supaya para pelajar berasa mereka adalah sama. Dengan hal demikian,
budaya kesamaan ini menghasilkan suasana kerjasama dan pelajar akan
menjadi lebih akrab sesama mereka.
5.2.2 Mencuba Idea Baru dan Inovatif
Guru perlu mempunyai keyakinan dan budaya tinggi daripada aspek
kreativiti dan inovasi dalam proses mengajar. Hal ini menjadikan
pelajar tertarik kepada pengetahuan dan pembelajaran seterusnya
akan membentuk budaya mencintai ilmu dan daya saing dalam kalangan
pelajar. Situasi ini secara tidak langsung menjana pelajar ke arah
kecemerlangan yang nyata dan positif.
5.2.3 Harapan yang Tinggi
Guru perlu meletakkan ekspektasi dan harapan yang tinggi kepada
pelajar daripada segi pencapaian. Harapan ini direalisasikan guru
dengan melakukan peranan sebagai pembimbing, penasihat, pengajar,
fasilitator dan sebagainya dengan ikhlas. Justeru, apabila pelajar
dapat menembusi proses pembelajaran yang kondusif, maka secara
tidak langsung situasi ini menyediakan diri mereka dalam aspek
pencapaian yang baik.
5.2.4 Kepercayaan dan KeyakinanGuru perlu mempamerkan sifat
kepercayaan dan keyakinan yang tinggi apabila memainkan peranan
terutamanya di hadapan pelajar.
Ciri ini memberikan keyakinan pelajar kepada guru dan seterusnya
dapat menyemai sifat-sifat yang sama dalam diri mereka.
5.2.5 SokonganGuru perlu mempamerkan sokongan yang positif
kepada pelajar apabila diperlukan. Guru juga berperanan dalam
menjadi pemangkin pelajar bagi meningkatkan motivasi diri dalam
mengharungi cabaran sebagai pelajar.
Sokongan guru menjadikan pelajar lebih kompeten
(berketerampilan) dan seterusnya bertindak sebagai rakan belajar
yang baik kepada pelajar lain dan meningkatkan proses pembelajaran
kalaboratif dan kerjasama.
5.2.6 Mendapatkan PengetahuanGuru perlu berusaha mendapatkan
pengetahuan yang baru dan terkini serta menarik dalam proses
pengajaran. Hal ini menjadikan pelajar lebih yakin kepada kemampuan
guru sebagai pemudah cara. Kesungguhan guru mendapatkan pengetahuan
menjadikan pelajar didedahkan kepada ilmu yang lebih baik dan
terkini. Secara tidak langsung keadaan ini membantu pelajar ke arah
lebih informatif dan menjana kecemerlangan diri.
5.2.7 PenghargaanGuru perlu selalu mengamalkan sifat menghargai
di atas kemampuan dan kejayaan pelajar. Keadaan ini akan membentuk
keyakinan diri pelajar ke arah yang lebih positif. Sifat ini juga
mampu menjurus kepada pembentukan budaya penyayang dan
prihatin.
5.2.8 Penyayang dan HumorGuru perlu bersifat penyayang dan
mempunyai sifat humor yang baik. Hal ini menjadikan pelajar mesra
dan gembira. Seterusnya, situasi ini menjana pembentukan sekolah
yang bahagia dan seronok serta membentuk budaya yang periang dan
mesra.
5.2.9 Melibatkan Pelajar dalam Penyelesaian Masalah Guru perlu
melibatkan pelajar dalam menyelesaikan masalah dalam kelas atau
yang berkaitan dengan pelajar. Hal ini membentuk budaya sharing
responsibility dalam kalangan pelajar serta bersifat
bertanggungjawab dalam menjamin kesejahteraan sekolah. Proses
bersama ini membentuk pelajar sebagai duta dalam menyebarkan budaya
yang positif bagi menangani masalah dalam kalangan pelajar menerusi
pelajar sendiri.
5.2.10 TradisiGuru perlu menghidupkan perayaan dan
perkara-perkara tradisi atau menjadikan aspek-aspek budaya positif
sebagai tradisi. Contohnya seperti mengucapkan selamat hari jadi
kepada pelajar. Hal ini seterusnya mewujudkan rasa penghargaan dan
kasih sayang kepada guru itu dan seterusnya menjadi satu budaya
dalam kalangan pelajar.
5.3 Kepemimpinan Dalam Pengajaran Guru
Kepemimpinan dalam pengajaran merujuk kepada kebolehan guru
memberi tumpuan kepimpinan, galakan dan sokongan dengan tujuan
mengatasi masalah, memperbaiki dan mempertingkatkan proses
pengajaran dan pembelajaran. Kepemimpinan pengajaran juga dikatakan
berperanan mereka bentuk dan menterjemahkan wawasan ke dalam
kurikulum formal. Ia dilakukan dengan cara mengoptimumkan segala
sumber yang ada melalui strategi rancangan pendidikan, pemerolehan
serta pengalaman pengajaran-pengajaran bagi memastikan rancangan
pendidikan dilaksanakan dengan berkesan berdasarkan wawasan yang
dibawa. Justeru dapat difahami kepimpinan pengajaran adalah proses
yang melibatkan individu yang berperanan mencurahkan segala usaha,
komitmen, kemahiran serta keterampilan bagi meningkatkan prestasi
dan memperbaiki kelemahan para pelajar ke arah kecemerlangan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.
5.4 Keterampilan Kepimpinan Pengajaran
Keterampilan bermaksud kecekapan dan kemampuan yang tinggi dalam
melaksanakan tugasan ataupun menyelesaikan masalah (Kamus Dewan).
Keterampilan kepimpinan pengajaran pula adalah segala usaha,
tindakan dan amalan yang berupa komitmen yang dilakukan guru bagi
menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat empat
keterampilan yang perlu dimiliki oleh kepemimpinan pengajaran guru,
iaitu:
1. Keterampilan teknikal
2. Keterampilan kemanusiaan
3. Keterampilan bekerja di dalam sistem organisasi
4. Keterampilan kejurubinaan
5.4.1 Keterampilan Teknikal * Kemahiran dan pengetahuan dalam
perkembangan kurikulum
* Kemahiran dalam disiplin ilmu
* Pengetahuan bidang genetik dan spesifik
* Pengetahuan dalam asas-asas kurikulum (falsafah, sosiologi,
Psikologi dan Sejarah)
* Pengetahuan Dalam Kaedah Kajian
5.4.2 Keterampilan Kemanusiaan
* Memahami proses dinamika kumpulan
* Cekap mengendalikan keperluan individu pasukan dan
komuniti
* Menyedari keperluan pelajar, guru dan komuniti
* Menyedari teori humanistik dan keperluan
5.4.3 Keterampilan Bekerja Di Dalam Sistem Organisasi
* Mengetahui bagaimana sistem organisasi beroperasi
* Menghayati fungsi organisasi
* Mengetahui cara menyesuaikan diri dalam organisasi
* Mempunyai visi bagaimana prestasi organisasi boleh
dioptimumkan
5.4.4 Keterampilan Kejurubinaan
* Membina satu kerangka peranan dan bubungan dengan manusia di
dalam organisasi untuk menggerakkan sesuatu tugas
5.5 Sumber-sumber Pengaruh Pemimpin1. Kuasa sah
2. Kuasa ganjaran
3. Kuasa paksaan
4. Kuasa pakar
5. Kuasa rujukan
5.5.1 Kuasa Sah
Kuasa ini merujuk kepada pengikut menetapkan bahawa pemimpin
mempunyai hak yang sah untuk mempengaruhinya dan dia sendiri
mempunyai obligasi untuk menerima pengaruh itu atas sebab-sebab
status atau jawatanya yang dilantik secara sah oleh pihak berkuasa
yang lebih tinggi.
5.5.2 Kuasa Ganjaran
Kuasa ini berakar kepada keupayaan seseorang pemimpin memberi
ganjaran kepada pengikutnya. Pengikut akan patuh kepada pemimpin
sekiranya pengikut mengamati bahawa pemimpin berupaya memberi
ganjaran. Misalnya guru memberihadiah kepada pelajar yang cemerlang
(mendapat tempat pertama, kedua, dan ketiga di dalam kelas), Guru
ini akan diamati sebagai mempunyai lebih kuasa ganjarannya.
5.5.3 Kuasa Paksaan Kuasa ini membabitkan kebolehan seseorang
pemimpin mengenakan paksaan. Kuasa ini datang dari jangkaan
pengikut bahawa dia akan dihukum oleh pemimpin jika dia gagal untuk
akur kepada pemimpin hingga menyebabkan orang bawahan cuba
mengelakkan dirinya daripada dikenakan tindakan yang berupa
hukuman. Misalnya, pelajar yang melihat hukuman yang bakal diterima
kerana tidak membuat kerja sekolah sebagai sesuatu yang menyeksakan
akan akur kepada permintaan guru.
5.5.4 Kuasa Pakar Kuasa ini berasaskan kepada kebolehan atau
kepakaran seseorang dalam sesuatu bidang tertentu hingga
menyebabkan orang bawahannya patuh kerana percaya bahawa pemimpin
mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kemahiran konseptual,
perhubungan manusia dan teknikal. Kuasa ini berkesan jika pengikut
memerlukan kepakarannya. Contohnya, guru pakar dalam bidang sejarah
akan diberi perhatian oleh para pelajar untuk mendapatkan ilmu
sejarah.
5.5.5 Kuasa Rujukan
Kuasa ini diasaskan kepada perasaan kesatuan di antara yang
memiliki kuasa dengan yang mengikutinya. kalau seseorang itu
tertarik, kagum dan hormat kerana pemimpin berkenaan adalah model
kepadanya, dia akan mempunyai keinginan untuk dikaitkan dengan
pemimpin itu, dan akan melakukan sesuatu bukan kerana apa-apa
tetapi kerana hormat, tertarik dan kagum, juga supaya dia diterima
oleh pemimpin berkanaan.
5.6 Taktik Pemimpin (guru) Mempengaruhi Orang Bawahan
(pelajar)1. Taktik Pujukan Rasional
2. Taktik Daya Tarikan Yang Memberikan Inspirasi
3. Taktik Perundingan
4. Taktik Berbuat Baik (Ingratiation Tacties)
5. Taktik Daya Tarikan Peribadi
6. Taktik Pertukaran
7. Taktik Gabungan
8. Taktik Sah
9. Taktik Tekanan
5.6.1 Taktik Pujukan Rasional Pemimpin menggunakan hujah-hujah
yang logik dan bukti-bukti nyata untuk memujuk orang bawahan supaya
matlamat yang ditetapkannya tercapai. Untuk menggunakan teknik ini,
pemimpin haruslah mempunyai sifat yang amanah dan boleh dipercayai
serta mempunyai kemahiran berucap.
5.6.2 Taktik Daya Tarikan Yang Memberikan Inspirasi Pemimpin
mempengaruhi orang bawahan dengan membangkitkan semangat dan emosi
orang bawahan hingga mereka berasa mereka adalah penting dan
berupaya menyumbangkan sesuatu kepada organisasi. Untuk menggunakan
taktik ini, pemimpin hendaklah mempunyai kemahiran berkomunikasi
dan menggunakan metafora, simbol dan daya imaginasi yang tinggi
serta mempunyai suara yang menarik dengan gerak-geri yang
menawan.
5.6.3 Taktik Perundingan Taktik ini digunakan dengan mengajak
orang bawahan memberi pendapat, kaedah dan cara-cara melaksanakan
sesuatu untuk mencapai objektif yang ditetapkan oleh pemimpin.
5.6.4 Taktik Berbuat Baik (Ingratiation Tacties) Taktik ini
ialah tingkah laku yang membuatkan seseorang berasa dia dihargai,
misalnya memberitahu orang ketiga bahawa seseorang itu adalah yang
layak melaksanakan tugas. Taktik ini kadang-kadang menjadi satu
cara untuk memanipulasi seseorang, Tetapi apabila seseorang itu
sudah percaya tentang kejujuran pemimpinannya, taktik ini akan
menjadi berkesan.
5.6 5 Taktik Daya Tarikan Peribadi Taktik ini merujuk kepada
pemimpin meminta orang bawahan melaksanakan sesuatu kerana atas
sifat setiakawan atau ketaatan orang bawahan terhadap pemimpin
mereka. Misalnya, guru meminta pelajar menyiapkan kerja sekolah di
rumah. Melalui taktik ini, pelajar akan menyiapkan kerja sekolah
itu kerana taat.
5.6.6 Taktik Pertukaran Taktik ini merujuk kepada pemimpin
membuat tawaran sesuatu ganjaran sama ada secara explisit atau
implisit kepada seseorang yang membuat tugasan yang diminta
olehnya. Taktik ini akan menjadi berkesan jika orang bawahan
mengamati bahawa pemimpin mempunyai kuasa memberi ganjaran kepada
orang bawahannya dan juga jika orang bawahan memerlukan ganjaran
itu.
5.6.7 Taktik Gabungan
Taktik ini adalah mendapatkan orang lain untuk mempengaruhi
orang bawahan kita. orang lain ini mungkin terdiri daripada rakan
sejawatan, orang bawahan, orang atasan atau mungkin orang di luar
organisasi. Contohnya, guru kelas mendapatkan pertolongan guru
kaunseling untuk memberi nasihat kepada pelajar.
5.6.8 Taktik Sah Taktik ini merujuk kepada pemimpin menggunakan
aktiviti, polisi, peraturan, program dan tradisi yang mana semua
orang perlu mematuhinya. Mungkin juga apa yang hendak dilaksanakan
ini diperlukan atau direstui pihak atasan.
5.6.9 Taktik Tekanan
Taktik ini merujuk kepada penggunaan ancaman dan ugutan, amaran,
dan tingkahlaku seruan seperti membuat permintaan dan semakan yang
kerap. Kadang-kadang jika permintaan tidak dipenuhi, orang bawahan
akan dimarahinya. kaedah ini digunakan sebagai satu tindakan
terakhir setelah cara-cara lain gagal.
6.0 IMPLIKASI KEPIMPINAN GURUKepimpinan guru merupakan suatu
nilai positif yang mampu mencambahkan implikasi harmoni dalam
lingkungan komuniti yang besar. Guru adalah individu teladan yang
mampu memberi pengaruh besar terhadap persekitarannya dan
kepimpinan guru yang diimplimentasikan secara berkesan akan membina
pengaruh positif kepada pelajar, bilik darjah, guru, sekolah dan
masyarakat. Kepimpinan guru menyediakan peluang kolaboratif dan
pembelajaran profesional yang mempengaruhi perubahan dalam bilik
darjah dan sekolah (Abdullah Sani, Abdul Rashid dan Abd. Ghani,
2007). Guru yang mempunyai karisma kepimpinan merupakan aset
berharga kepada sekolah kerana tuntutan kontemporari memerlukan
kalangan guru yang memiliki keupayaan untuk mengubah dan membina
hala tuju sekolah daripada tahap yang sedia ada kepada satu
standard yang lebih tinggi.
Di samping itu, kepemimpinan guru akan menjadi lebih mantap dan
terserlah apabila para guru terbabit secara langsung dalam proses
membuat keputusan secara professional di sekolah. Kepimpinan guru
bukan sahaja mampu memberikan implikasi terhadap pembangunan
fizikal komuniti sekolah dan persekitarannya tetapi juga mampu
memberi implikasi terhadap pembangunan psikologi dan sahsiah
individu yang berhubung secara langsung dengan guru terutamanya
pelajar dan ibu bapa. Guru dan kepimpinan boleh diibaratkan seperti
aur dengan tebing kerana tugas guru yang sudah melangkaui batasan
bilik darjah menuntut kemampuan dan kewibawaan seseorang guru itu
untuk menggalas tanggungjawab organisasi yang sedia ada di sekolah
di samping menjalankan tanggungjawab sebagai arkitek dan jurutera
yang berupaya untuk melahirkan insan berjiwa besar dan
bermaruah.
Guru yang duduk di sekolah tanpa keupayaan untuk menggerakkan
atau berkerjasama dalam membangunkan organisasi sekolah bagaikan
sang Singa yang hidup di belantara tebal tanpa taring dan kuku.
Mengajar dengan berpandukan buku teks dan skrip semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran sahaja tidak cukup untuk mencapai
standard sebuah sekolah klauster yang berwibawa dan berintegriti
tetapi kewibawaan dalam kepimpinan seseoang guru di dalam dan luar
bilik darjahlah yang akan memanaskan termometer yang seterusnya
menggerakkan raksa kecemerlangan sesebuah sekolah itu ke tingkat
tertinggi sepertimana yang diharapkan.
6.1 Implikasi terhadap guru sesama guru
Kecemerlangan sesebuah sekolah bergantung kepada pendekatan dan
kesungguhan guru-guru di sekolah tersebut untuk berkerjasama dalam
mendukung hasrat misi dan visi sekolah. Kerjasama dalam kalangan
guru bukan sahaja menyerlahkan profesionalisme keguruan malah turut
menjulang kepimpinan guru. Seorang guru yang berkarisma dalam
memimpin sesuatu organisasi juga berupaya untuk memupuk nilai
kepimpinan dalam diri rakan sejawatnya dan seterusnya mewujudkan
suasana yang fleksibel untuk sebarang bentuk kerjasama antara
mereka. Sekolah yang berjaya dan berkesan biasanya dibantu oleh
penglibatan aktif guru-guru dalam tugas berkumpulan dan lazimnya
wujud kerjasama harmoni dalam kalangan komuniti yang berkesan
seumpama ini.
Interaksi, sokongan dan maklum balas sesama guru menjadi medium
terbaik kepada proses refleksi dalam memantapkan lagi mutu
pengajaran dan memperkasakan nilai kepimpinan guru (Abdullah Sani,
Abdul Rashid dan Abd. Ghani, 2007). Hubungan dua hala dalam
linkungan yang harmoni sesama guru akan mewujudkan kesedaran
positif dalam kalangan mereka terutamanya dalam membina kerangka
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk diimplimentasikan
di dalam bilik darjah mereka. Hakikat ini disokong oleh Yukl, 1989
(dalam Noraini Abdullah, 2010) yang melihat kepimpinan sebagai satu
proses seseorang individu mempengaruhi ahli-ahli kumpulan yang lain
bagi mencapai matlamat tertentu.
Guru yang berpengalaman dan mempunyai daya kepimpinan yang
tinggi boleh membantu guru baru untuk mencapai kualiti terbaik
dalam corak pengajarannya iaitu melalui interaksi dua hala yang
mantap serta melalui semangat kerja berpasukan yang tinggi. Begitu
juga halnya dengan sebuah komuniti guru yang mempunyai kefahaman
terhadap tugas dan bertanggungjawab dalam kepimpinannya berupaya
untuk saling bertukar-tukar idea dan saling memperbaiki melalui
pengaruh bersama yang akhirnya mampu mengubah dan memperbaiki
standard pengajaran yang sedia ada kepada suatu corak pengajaran
yang lebih berkesan hasil daripada interaksi dan pembelajaran
bersama ini.
Implikasi kepemimpinan guru ke atas guru membuka peluang kepada
mereka meneroka aktiviti-aktiviti serta peluang pembangunan
profesion dan menyerlahkan lagi keberkesanan kendiri serta
keyakinan diri. Guru yang berkeyakinan dan berkesan bukan sahaja
memberi kelebihan kepada diri mereka dalam mendepani hidup sebagai
guru dan pemimpin tetapi turut memberi kelebihan terhadap kekuatan
organisasi sesebuah sekolah. Pengetua atau guru besar merupakan
individu perdana dalam mana-mana organisasi sekolah dan kepimpinan
mereka yang berkesan akan membawa implikasi yang positif terhadap
usaha mengukuhkan institusi pendidikan primer mahupun sekuder di
negara ini. Pengetua yang mempunyai hubungan yang akrab dan mesra
dengan guru-guru yang ada di bawahnya lazimnya berupaya untuk
memangkin keupayaan sebenar guru-guru di bawahnya untuk
menghasilkan satu kualiti kerja yang mantap tanpa sebarang persepsi
negatif terhadap tugas yang diamanahkan. Pengetua yang bijak dan
berkarisma lazimnya berupaya menjulang prestasi sekolah dengan
memanfaatkan sepenuhnya kebolehan guru-guru yang duduk sebumbung
dengannya dalam organisasi sekolahnya. Hal ini diulas oleh oleh
Abdullah Sani dan rakan-rakan (2007) dengan menyatakan bahawa
kepimpinan guru adalah berlandaskan prinsip semua guru mempunyai
kemahiran, kebolehan dan bakat yang perlu diasah dan
dipercayai.
6.2 Implikasi terhadap pelajar dan bilik darjah
Pelajar sebagai pembelajar menerima implikasi yang positif
daripada nilai kepimpinan guru dalam bilik darjah terutamanya dalam
proses pembinaan semangat dan penumpuan mereka dalam ruang lingkup
berkenaan. Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan oleh Glover
dan Gary,1976 (dalam Mohd. Daud Hamzah, 1990) terhadap kanak-kanak
gred 4 dan 5 (konteks luar Malaysia) mendapati sikap guru yang
positif terhadap pelajarnya dalam memberikan pengukuhan mampu
meningkatkan kreativiti seseoang pelajar itu. Sikap yang positif
ini menjadi satu kayu ukur terhadap sejauhmana seseorang guru itu
mampu mengimplimentasikan daya kepimpinannya dalam lingkungan bilik
darjah yang terdiri daripada murid dan pelajar yang pelbagai
karenah. Di samping itu, kepimpinan guru juga mampu membawa
implikasi yang positif terhadap moral dan akhlak pelajar di luar
lingkungan bilik darjah mahupun sekolah kerana kepimpinan guru
adalah picagari terbaik untuk menyuntik vitamin motivasi dalam diri
pelajar. Motivasi seumpama ini bukan sahaja mampu mewujudkan
interaksi positif antara guru dengan pelajar tetapi juga menjadi
platform kepada pemurnian jati diri pelajar sebagai manusia yang
bermaruah dan berkeyakinan dalam mendepani cabaran hidup masa
kini.
Persembahan pelajar dalam kurikulum lazimnya menjadi kayu
pengukur kepada kewibawaan seseorang guru. Kepimpinan guru menjadi
faktor yang menyumbang kepada peningkatan persembahan dan kebolehan
pelajar dalam pembelajaran dan sahsiah. Keprihatianan guru adalah
kunci kepada kekuatan daya kepimpinan seseorang guru. Guru yang
mendukung sifat kepemimpinan yang berkesan mampu menjaga kebajikan
pelajar-pelajarnya. Kebajikan pelajar bukan semata-mata ditakrifkan
sebagai keperluan lahiriah sahaja tetapi turut merangkumi penjagaan
kebajikan dalam konteks yang lebih abstrak iaitu menjaga kebajikan
pelajar dari segi rohani dan emosi.
Guru yang bijak mampu mengimplimentasikan kewibawaan
kepemimpinannya tanpa menjejaskan keutuhan rohani dan emosi
pelajarnya malah memberi peneguhan yang mampu mencorak wawasan dan
idealisme mereka sepertimana hasil kajian Glover & Gary (1976)
yang dibincangkan di atas. Di samping itu, guru juga perlu memenuhi
kebajikan pelajarnya di dalam bilik darjah dengan melaksanakan sesi
pembelajaran dan pengajaran secara seimbang yakni mampu diterima
oleh semua lapisan murid yang berbeza kredibiliti mental. Hal ini
boleh dikaitkan dengan teori otak Triune yang yang dikemukakan oleh
Paul Mclean yang menyatakan bahawa setiap individu mempunyai cara
yang tersendiri untuk membina pemahaman dan setiap otak adalah unik
yang membezakannya daripada individu lain (Suppiah Nachiappan dan
rakan-rakan, 2009).
Guru yang mengamalkan kepemimpinan yang baik akan lebih terbuka
dengan persekitarannya dan mereka juga akan lebih mudah untuk
berkerjasama dengan pelajar. Di samping itu, guru yang memiliki
karisma lazimnya akan meletakkan kepercayaan yang positif terhadap
pelajarnya. Hal ini boleh diperhatikan menerusi penyerahan tugas
kepada mereka atas kepercayaan yang jitu. Sebagai contoh, guru
memberi kebebasan kepada pelajar untuk menghiasi, menjaga, dan
menghidupkan bilik darjah mereka sendiri. Penurunan kuasa guru
kepada pelajar seumpama ini mampu memberi impak positif terhadap
jiwa dan minda pelajar yang melihat bahawa keputusan mereka dalam
sesuatu perkara turut dipentingkan dan dititikberatkan demi
keselesaan mereka sendiri. Keyakinan yang positif seseorang guru
terhadap pelajarnya merupakan suatu proses refleksi positif yang
terhasil daripada daya kepimpinan guru tersebut (Abdullah Sani,
Abdul Rashid dan Abd. Ghani, 2007)).
Guru sebagai pemimpin akan lebih positif dalam membimbing
pelajar, terbuka untuk berbincang dengan pelajar dan bertoleransi
untuk mengambil kira pendapat serta keputusan p