Dasar Pendidikan Negara bertujuan mewujudkan satu bentuk
pendidikan nasional yang bersifat Malaysia dengan bermatlamatkan
pers
Penghargaan
Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada Unit Perkhidmatan Tadbir Jabatan Pulau Pinang kerana telah
memberi peluang kepada kami menghadiri Kursus Induksi SSM bagi
Kumpulan 1 Ambilan 4/ 2004.
Kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih
kepada barisan urusetia yang telah sentiasa membantu kami dalam
menyesuaikan diri di sini. Di samping itu, kami juga ingin
berterima kasih kepada penceramah-penceramah yang telah membantu
kami untuk menyempurnakan tugasan ini. Tidak ketinggalan, kami
ingin berterima kasih kepada ahli keluarga kami yang memberi
semangat kepada kami untuk berjaya mengikuti dan berjaya dalam
kursus ini. Tidak dilupa juga, rakan-rakan seperjuangan yang saling
memberi sokongan dan dorongan sepanjang kursus ini.
Sebagai kesimpulannya, kursus ini sangat bermakna bagi kami. Hal
ini kerana ia dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman bagi
kami.
Sekian, terima kasih.
Dasar Pendidikan Negara bertujuan mewujudkan satu bentuk
pendidikan nasional yang bersifat Malaysia dengan bermatlamatkan
persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum.
Huraikan kaedah-kaedah pelaksanaan dasar tersebut.
A) Pengenalan
Pendidikan merupakan satu proses yang penting dalam pembentukan
diri setiap individu ke arah mengenali diri dan mencapai kehidupan
bermasyarakat yang baik dan sempurna. Pendidikan telah
didefinasikan oleh Prof.Dr. Muhammad Naquib sebagai menanam sesuatu
ke dalam diri manusia.
Pendidikan di Malaysia menjadi satu sistem sosial yang paling
penting bagi perkembangan dan kemajuan negara. Ia juga diiktiraf
sebagai alat untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi
national. Ia disusun di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Dasar Pendidikan Kebangsaan menitikberatkan perpaduan dan
penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta
berasaskan kurikulum, peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang
sama. Ini kerana kerajaan sedar tanpa pendidikan bersepadu dan
perpaduan daripada rakyat, negara tidak akan membangun dengan
maju.
B) Latar BelakangDalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah
timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang
apa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan bagi
menggantikan sistem pendidikan penjajah dan memenuhi kehendak
negara. Atas kesedaran inilah lahirnya satu Dasar Pendidikan Negara
melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran
1957.
Dari segi perpaduan, Penyata Razak 1956 menyatakan :
Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud
hendak menyatakan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri
ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua
bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan
dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan
beransur-ansur.
( Penyata Razak, perenggan 12 )
Dasar Pendidikan Negara ini telah disemak semula pada tahun 1960
dan telah menghasilkan Laporan Rahman Talib pada tahun tersebut.
Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran
1961.
Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan pada
tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara dengan
tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk
melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta
memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan
negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan
pada tahun 1979.
C) Rasional
Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa
pertimbangan kepada keperluan pembangunan, pembinaan identiti
kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem pendidikan berkenaan
mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan
mereka kepada negara asal mereka dan menekan semangat pembangunan
rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok ketika zaman Tanah
Melayu terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah mencapai
kemerdekaan, didapati tidak sesuai lagi. Oleh itu, langkah-langkah
perlu diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang
sesuai untuk negara yang merdeka, berdaulat dan mempunyai matlamat
sendiri.
D) Objektif
Objektif dasar ini adalah dinyatakan dalam Pendahuluan pada Akta
Pelajaran 1961 iaitu :
BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam
Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem
pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan
menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan
politiknya
Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya,
Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956
dan Laporan Rahman Talib 1960 telah mentafsirkan sebagai menyatukan
kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja (
tenaga rakyat , istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa
Kabinet ) bagi keperluan ekonomi.
Seterusnya, objektif ini dikhususkan lagi apabila Jawatankuasa
Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini menunjukkan
bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga
rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek serta melahirkan
masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.
Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta
aspirasi negara dan nyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi
penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak,
seimbang dan harmonis, yang dapat mencapai kesejahteraan diri dan
memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan
negara. Ini menjadi matlamat penting sistem pendidikan
kebangsaan.
E) Penyata-penyata
Di bawah Dasar Pelajaran Kebangsaan, terdapat dua penyata telah
dibentuk khas sebagai satu alat yang amat penting bagi mewujudkan
perpaduan antara rakyat Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai
kaum, iaitu :
1. Penyata Razak 1956
Dasar Pelajaran Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran
1961 adalah berasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman
Talib 1960. Kedua-dua laporan ini menitikberatkan aspek-aspek yang
berkaitan dengan perpaduan negara dan penghasilan tenaga kerja
rakyat. Daripada segi penyatuan kaum ,penyata Razak 1956 telah
menyatakan : -
Tujuan dasar pelajaran ini ialah bermaksud hendak menyatukan
budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan
memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa
penggantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat
dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat
dengan beransur-ansur (Penyata Razak, perenggan 12)Cara yang
dicadangkan oleh Penyata Razak untuk menyatukan kaum-kaum di negara
ini adalah menerusi satu sistem pelajaran yang bercorak seperti
berikut :
Satu daripada umbi kemahuan Dasar Pelajaran Persekutuan Tanah
Melayu ini ialah mengubah corak semua sekolah-sekolah rendah dan
sekolah menengah supaya bercorak Tanah Melayu. Kami berpendapat
bahawa caranya supanya sempurna perkara ini ialah dengan jalan
menyamakan sukatan pelajaran semua sekolah-sekolah (Penyata Razak,
perenggan 115)Jelas bahawa Penyata Razak telah mengutamakan
perpaduan negara dan unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan akan
menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk menjamin
kesejahteraan dan kepentingan masyarakat di Malaysia yang berbilang
bangsa . Konsep perpaduan dalam konteks negara ini perlu difahami
sebagai satu prinsip Rukun Negara . Perpaduan yang diwujudkan
mestilah berupaya menangkis semua gejala yang boleh memecahbelahkan
rakyat, umpamanya semangat perkauman yang tebal dan perasaan
kedaerahan yang melampau.
Untuk mencapai matlamat perpaduan negara melalui sistem
pendidikan. Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib telah
menggariskan tiga asas utama.
Pertama:Sistem Persekolahan yang sama bagi semua
Kedua
:Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama
di semua peringkat persekolahan
Ketiga
:Kurikulum dan peperiksaan sekolah yang sama
kandungan dan bercorak kebangsaan.
a. Menyatakan satu sukatan pelajaran yang sama untuk semua
sekolah
b. Terdapat 2 jenis sekolah rendah :
i. Sekolah Umum
ii. Sekolah Jenis Umum
c. Sekolah Umum menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar
d. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjadi matapelajaran wajib
di semua sekolah.
2. Penyata Rahman Talib 1960
Dalam tahun 1960 Penyata Rahman Talib yang merupakan semakan
semula Penyata Razak 1956, juga telah menitikberatkan perlunya
kurikulum sekolah disesuaikan dengan keadaan dan keperluan negara.
Usaha yang sungguh-sungguh telah dibuat untuk menyemak dan
memperbaharui sukatan-sukatan pelajaran supaya dapat membantu dan
memupuk kepentingan rakyat Malaysia. Di antara mata pelajaran baru
diperkenalkan yang berkaitrapat dengan kehidupan masyarakat ialah
mata pelajaran baru diperkenalkan yang berkait rapat dengan
kehidupan masyarakat ialah mata pelajaran Tatarakyat, Pendidikan
Moral, Sejarah dan Ilmu Alam yang menekan kepada hal ehwal
tempatan, alam sekeliling , keadaan fizikal dan sosial.
a. Pemberian pelajaran seara percuma mulai tahun 1962.b. Umur
berhenti sekolah ditingkatkan dari 12 tahun ke 15 tahun.c. Kursus
Vokasional ditawarkan selama 3 tahun di sekolah pelajaran lanjutan
untuk mereka yang gagal melanjutkan pelajaran akademik.d. Sekolah
Rendah Umum dan Sekolah Rendah Jenis Umum diubahkan kepada Sekolah
Rendah Kebangsaan ( SRK ) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (
SRJK ).F) Kaedah-kaedah Pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara
Beberapa kaedah telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar
Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut :
1. Menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar yang
utama.
a. Penggunaan satu bahasa kebangsaan dapat mengeratkan hubungan
dan persefahaman antara kaum.
b. Mulai tahun 1970, Bahasa Malaysia secara berperingkat telah
menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di
sekolah-sekolah. Semua matapelajaran diajar dalam Bahasa Melayu di
sekolah rendah Inggeris. Geografi dan Sejarah dalam Bahasa Melayu
telah diperkenalkan di darjah 4 sekolah rendah Inggeris.
Kelas-kelas yang menggunakan pengantar Bahasa Melayu dimulakan di
semua sekolah menengah teknik. Pada tahun ini juga, Sabah menerima
dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan mula
melaksanakannya di peringkat darjah 1 sekolah Inggeris.
c. Semua sekolah aliran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil diwajibkan
mengajar Bahasa Malaysia. Penggunaan satu bahasa dapat mengeratkan
lagi perhubungan, persefahaman dan perpaduan antara kaum di negara
ini.
d. Mulai tahun 1983, semua kursus tahun pertama di peringkat
universiti menggunakan Bahasa Malaysia.
2. Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah.
a. Sekolah merupakan ejen sosialisasi yang penting. Kurikulum
yang sesuai dapat membentuk keperibadian dan perwatakan murid yang
diingini bagi memupuk perpaduan.
b. Kurikulum berorientasikan Malaysia yang sama telah
diperkenalkan untuk semua sekolah tanpa mengira bahasa
pengantar.
c. Unsur-unsur pendidikan kewarganegaraan telah diterapkan ke
dalam semua matapelajaran. Pendidikan kewarganegaraan dapat memupuk
semangat kebangsaan dan taat setia kepada negara di kalangan murid
sekolah. Ia juga dapat membentuk sifat toleransi, persefahaman dan
tolak ansur yang perlu bagi melahirkan sebuah masyarakat yang
bersatu padu.
d. Terdapat juga matapelajaran Pendidikan Moral bagi murid-murid
bukan Islam dan Pendidikan Islam bagi murid-murid Islam.
e. Matapelajaran-matapelajaran ini dapat menanamkan nilai-nilai
dan sikap hidup yang baik serta membentuk kelakuan yang bersopan
santun dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
f. Matapelajaran Sejarah pula yang bersifat Malaysian-centric
dapat mewujudkan semangat patriotisme dan perasaan
hormat-menghormati.
g. Pendidikan berunsurkan ketatanegaraan dan cintakan Malaysia
telah diserapkan ke dalam semua matapelajaran. Dengan cara ini,
semangat kebangsaan dan sifat taat setia kepada negara dapat
dipupuk.
h. Oleh sebab penekanan dibuat ke atas keadaan hidup rakyat
Malaysia yang berbilang kaum dan budaya, maka perpaduan dapat
dipupuk.
3. Mewujudkan sistem peperiksaan dan sukatan pelajaran yang
sama.
Jawatankuasa Sukatan Pelajaran Am dan jadual waktu yang
ditubuhkan pada tahun 1956 telah membentuk sukatan pelajaran yang
sama kandungannya bagi semua matapelajaran di semua aliran sekolah.
Sukatan pelajaran dan peraturan kursus pengajian yang telah
ditetapkan mula dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia sejak tahun
1957 dan diikuti oleh Sabah dan Sarawak. Berikut adalah
pelaksanaan-pelaksanaan yang telah dilakukan :
a. Kerajaan telah juga memperkenalkan peperiksaan yang sama bagi
membentuk satu identiti Malaysia. Pada tahun 1957 FMC ( Federation
Of Malaya Certificate of Education) dimulakan dalam mana Bahasa
Kebangsaan menjadi matapelajaran wajib. Manakala kelulusan dalam
Bahasa Kebangsaan diwajibkan dalam Lower Certificate Of Education
dan Federation Of Malaya Certificate Of Education diadakan dalam
Bahasa Melayu.
b. Matapelajaran Sastera diadakan dalam peperiksaan Higher
School Certificate dan buat pertama kalinya Bahasa Melayu turut
dijadikan bahasa pengantar dalam Malaysian Certificate Of
Vocational Education.
c. Peperiksaan yang sama dan seragam telah dimulakan oleh
kerajaan seperti Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ), Sijil Pelajaran
Malaysia ( SPM ), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM ) dan
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR ).
d. Dengan adanya peperiksaan yang seragam dan sama ini, maka
perasaan rendah diri dapat dihindarkan dan satu imej dan identiti
yang sama dan sepadu dapat dibentuk.
4. Menggalakkan aktiviti kokurikulum.
a. Aktiviti kokurikulum dan sukan telah digalakkan oleh kerajaan
di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.
b. Ini adalah untuk memupuk disiplin seperti pasukan-pasukan
kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan
lain-lain.
c. Kegiatan ini dibahagikan kepada 3 kategori iaitu :
i. Aktiviti Berpesatuan
ii. Unit Beruniform
iii. Sukan atau olahraga.
d. Dengan cara ini, usaha melahirkan generasi muda yang
berdisiplin, bersemangat kebangsaan dan bersatupadu akan mudah
dicapai.
e. Kegiatan sukan seperti permainan bola sepak, bola jaring,
hoki dan olahraga memberi peluang kepada murid-murid untuk
bercampur gaul dan memupuk persefahaman serta perpaduan.
5. Memperluaskan pendidikan vokasional dan teknik.
a. Sekolah-sekolah menengah vokasional dan teknik telah
ditubuhkan bagi melatih pelajar-pelajar dengan kemahiran vokasional
dan pengetahuan teknik asas.
b. Pendidikan vokasional dilaksanakan menerusi dua program,
iaitu akademik dan latihan kemahiran.
c. Pelajar yang memilih bidang kemahiran akan diberi latihan
selama dua tahun. Dalam latihan ini, mereka mempelajari banyak
matapelajaran akademik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan
Sijil Peperiksaan Malaysia ( SPM ) dan Sijil Pelajaran Vokasional
Malaysia ( SPVM ) di peringkat tingkatan lima.
d. Selepas menduduki peperiksaan ini, pelajar-pelajar berpeluang
melanjutkan pelajaran mereka ke maktab perguruan, politeknik,
institut teknologi, kolej, institut kemahiran, universiti tempatan
dan universiti luar negeri .
e. Institusi-institusi ini menawarkan pelbagai kursus
profesional di peringkat sijil, diploma dan ijazah.
f. Jika pelajar tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran,
mereka masih berkelayakan untuk menyertai pasaran tenaga
manusia.
6. Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.
a. Untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan
pendidikan, strategi yang akan dilaksanakan meliputi pemantapan
sistem pengurusan dengan meningkatkan autonomi dan desentralisasi
proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, peluasan
penggunaan ICT pada semua peringkat pengurusan Kementerian
Pendidikan Malaysia.b. Kementerian Pendidikan Malaysia memantapkan
sistem pengurusan dan pembangunan personal dengan membangunkan
sistem pengurusan maklumat perkhidmatan dan pembangunan personal
yang cekap serta pemantapan program latihan kemahiran dalam ICT
kepada semua personal Kementerian Pendidikan Malaysia.c.
Membudayakan elemen pembelajaran dan pewacanaan intelektual di
kalangan personal Kementerian Pendidikan Malaysia untuk
menjadikannya sebagai sebuah learning organization dan
mempertingkatkan skim perkhidmatan pendidikan yang lebih baik
dengan memberi insentif dan kebajikan, peluang naik pangkat, gaji
yang kompetitif serta pengiktirafan kelulusan tambahan.d. Sistem
pengurusan maklumat akan dimantapkan dengan pengukuhan sistem
pengaliran maklumat Kementerian Pendidikan Malaysia supaya
kefahaman dasar dan pewujudan dasar pengurusan maklumat yang
menyeluruh dan bersepadu dapat memantapkan sistem penyebaran
maklumat pendidikan pada semua peringkat Kementerian Pendidikan
Malaysia.e. Pengukuhan penyelidikan dan pembangunan ( R & D )
akan dilakukan dengan mengenalpasti bidang-bidang pengurusan
pendidikan yang memerlukan penyelidikan, menggiatkan semula
mekanisme koordinasi dan penyebaran hasil kajian yang sedia ada.f.
Penyediaan peruntukan yang mencukupi bagi aktiviti R & D,
penyebaran peningkatan akses kepada R & D yang dijalankan
disemua institusi pendidikan dan sokongan yang berterusan untuk
aktiviti R & D.7. Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya
dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan
bersepadu.
a. Potensi individu tidak boleh dikembangkan secara
berasingan.
b. Setiap potensi yang dikembangkan itu harus dihubungkait atau
diselaraskan dengan potensi yang lain.
c. Tujuannya adalah supaya perkembangan potensi itu tidak
bertentangan di antara satu dengan lain. Malahan semua potensi akan
berkembang secara bersepadu.
d. Misalnya perkembangan potensi intelek, rohani dan jasmani
dalam permainan atau sukan tidak boleh dipisahkan dari aspek-aspek
sosial seperti memperolehi pengetahuan untuk bermain dengan cara
betul, cekap dan tangkas serta mempunyai semangat kerjasama,
kekitaan dan berbakti terhadap negara.
8. Mengadakan peluang pendidikan asas selama 9 tahun
a. Setiap murid mestilah menerima pelajaran formal
sekurang-kurangnya selama 9 tahun iaitu 6 tahun di peringkat rendah
dan 3 tahun di peringkat menengah rendah.
9. Mendemokrasikan pendidikan
a. Pendidikan didemokrasikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas
kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar
dan pedalaman.
b. Dasar Pendidikan Kebangsaan bermatlamatkan untuk menyediakan
infrastruktur yang sesuai dan mencukupi untuk memberi peluang
kepada pelajar sebagai memberi pendidikan yang wajib.
c. Kerajaan telah mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi
perhatian yang khusus kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan
mengurangkan kadar keciciran.
d. Ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran membaca,
menulis, mengira dan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris dan
Bahasa Melayu.
e. Untuk meningkatkan ekuiti dalam pendidikan, Kementerian
Pendidikan Malaysia telah memenuhi peningkatan pendidikan terhadap
semua sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Teknik dan
Vokasional juga memberi tumpuan kepada sekolah di luar bandar yang
menghadapi masalah pembangunan infrastruktur, ketidakseimbangan
penempatan guru.
f. Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil langkah untuk
membangunkan infrastruktur dan membina sekolah baru, mengoptimumkan
penggunaan sumber pendidikan, meningkatkan kebajikan pelajar miskin
serta pelajar berpenyakit kronik secara berpanjangan.
10. Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR )
a. Sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada
perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah
melahirkan insan yang baik, berdasarkan kepercayaan, keyakinan
serta kepatuhan kepada Tuhan.
b. Pendidikan sekolah rendah merupakan pendidikan yang
menyeluruh dan bersepadu dari segi struktur, kandungan, pendekatan
dan bahan pengajaran dan pembelajaran.
c. Ini adalah untuk membolehkan perkembangan yang menyeluruh dan
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan bakat.
d. Dengan itu, kemahiran, pengetahuan dan nilai adalah
disepadukan dalam semua matapelajaran dalam kurikulum dan aktiviti
kokurikulum.
e. Untuk memastikan perkembangan yang menyeluruh dan seimbang
ini, penekanan di peringkat awal KBSR adalah ditumpukan kepada
penguasaan kemahiran asas 3M, penerapan nilai dan pemupukan minat
dan bakat.
f. Secara khusus, penguasaan kemahiran asas 3M dilakukan melalui
Bidang Komunikasi yang mengandungi matapelajaran bahasa dan
matematik.
11. Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM )
a. KBSM adalah merupakan lanjutan daripada KBSR yang mula
diperkenalkan pada tahun 1982.
b. Ia merupakan satu reformasi penting dalam sejarah pembangunan
pendidikan negara.
c. Penggubalannya adalah berpaksikan hasrat yang terkandung
dalam Falsafah Pendidikan Negara yang bertunjangkan Rukun
Negara.
d. Kurikulum ini bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan
negara dan memastikan wadah berkesan ke arah memenuhi aspirasi
negara.
e. Pada asasnya, KBSM menekankan perkembangan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu selaras dengan usaha untuk
melahirkan generasi yang dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat,
menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan diri serta menyumbang
kepada keharmonian dan kemakmuran negara.
f. Menyedari kepentingan KBSM, satu penilaian yang menyeluruh ke
atas KBSM telah dicadangkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa
Pelaksanaan KBSR/KBSM Bil. 50/90.
g. Pada 1990, iaitu setelah 2 tahun KBSM digubal. Mesyuarat
Jawatankuasa Pelaksanaan KBSR/KBSM Bil. 50/90 telah memutuskan
supaya suatu pasukan yang terdiri daripada pengawai-pengawai
ikhtisas pendidikan dibentuk untuk mengendalikan proses penilaian
tersebut.
h. Berikutan daripada itu, satu jawatankuasa induk diwujudkan
dan telah membuat keputusan untuk melaksanakan penilaian KBSM dalam
beberapa fasa dan peringkat iaitu :
i. Fasa I
Fasa ini bermula dari bulan Januari 1992 sehingga December
1994.
Antara kajian yang telah dibuat ialah Kajian Maklumat Data Asas
KBSM ( Base-line ), Kajian Sekolah Peringkat Menengah Rendah,
Kajian Analisis Item Data Peperiksaan SRP 1992 dalam 6
matapelajaran KBSM, Kajian Kes Peringkat Menengah Rendah dan Kajian
Universiti dan Maktab Perguruan.
ii. Fasa II
Fasa bermula dari Januari 1993 sehingga December 1994.
Antara kajian yang terlaksana ialah Kajian Sekolah Peringkat
Menengah Atas, Kajian Analisis Item Data Ujian Menengah Rendah
dalam 8 matapelajaran KBSM dan Kajian Kes Peringkat Menengah
Atas.
iii. Fasa III
Fasa III telah dilaksanakan bermula pada Januari 1995 sehingga
December 1995.
Fasa ini telah melibatkan kajian tentang analisis kandungan
untuk buku teks untuk sekolah menengah rendah.
i. Setelah 4 tahun dinilai, 9 laporan kajian penilaian terhadap
program KBSM telah dihasilkan.
j. Status kemajuan setiap kajian seterusnya telah dibentangkan
di dalam Mesyuarat Jawatankuasa KBSR/ KBSM.
k. Di samping itu, hasil kajian turut dibentangkan dalam Seminar
Kebangsaan Penilaian KBSM yang menekankan isu dan hala tuju
strategi ke arah abad 21 yang dibuat pada tahun 1996.
l. Seminar ini seterusnya telah menghasilkan satu draf resolusi
yang mengandungi cadangan-cadangan dan strategi-strategi ke arah
pemantapan pelaksanaan KBSM dalam semua bidang dan peringkat.
m. KBSM telah dibentuk dan dilaksanakan berasaskan beberapa
matlamat penting iaitu menyediakan pendidikan umum kepada semua,
menekankan kesepaduan semua unsur-unsur intelek, rohani, emosi dan
jasmani, membolehkan pelajar memanfaatkan ilmu pengetahuan yang
diperolehi melalui disiplin yang pelbagai, melahirkan pelajar yang
mempunyai moral dan estetika yang tinggi dan mantap, membantu
pelajar membina asas yang kukuh untuk pendidikan seumur hidup dan
meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu.
n. Semua matlamat ini telah diterjemahkan ke dalam isi kandungan
kurikulum dan pada amnya konsep kurikulum ini bertujuan menyediakan
pengalaman yang terbaik untuk dipelajari oleh pelajar.
o. Bagi memastikan semua matlamat KBSM dicapai dengan baik,
pendekatan berteraskan pembelajaran bersepadu telah dipilih.
p. Pendekatan ini sangat penting bagi memastikan insan yang
seimbang seperti mana yang diharapkan dalam Falsafah Pendidikan
Negara benar-benar terhasil.
q. Pembelajaran bersepadu yang dipilih bermaksud proses
pembelajaran yang diberikan kepada pelajar perlu mempunyai gabungan
unsur-unsur berikut, iaitu ilmu, kemahiran, nilai dan bahasa,
kesepaduan antara pengalaman pembelajaran pelbagai matapelajaran,
kesepaduan antara teori dan amali dan kesepaduan antara pengalaman
dan kesan pembelajaran dalam bilik darjah dengan persekitaran dan
pengalaman hidup seharian pelajar.
r. Penekanan semua prinsip kesepaduan ini membawa implikasi
terhadap pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah khususnya
dari segi perolehan ilmu pengetahuan, penguasaan kemahiran belajar,
peningkatan daya intelek, pemupukan dan penerapan nilai, penguasaan
dan penggunaan bahasa dan kesepaduan antara matapelajaran.
12. Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan
disiplin.
a. Komponen kerohanian dan moral amat penting bagi pemupukan
nilai Islam dan nilai murni masyarakat berbilang kaum bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang percaya kepada Tuhan, berperibadi
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri, keluarga, masyarakat dan negara.
b. Komponen kerohanian dan moral mengandungi Pendidikan Islam
untuk murid Islam dan Pendidikan Moral untuk murid bukan Islam.
c. Pendidikan Islam memberi fokus kepada penyampaian ilmu,
kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan kepada Al-Quran dan
As-Sunnah.
d. Pendidikan Moral memberi fokus kepada penyampaian ilmu untuk
menjadikan seseorang insan berakhlak mulia dan bermoral.
e. Kurikulum Pendidikan Islam pra sekolah merangkumi aspek
keimanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan ketatanegaraan.
f. Tumpuan kursus kurikulum adalah kepada :
i. Pembentukan akidah dan bimbingan asas Fardhu Ain.
ii. Pemupukan amalan Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah yang dituntut
oleh syariah Islam.
iii. Penyuburan adab dan akhlak Islamiah ke dalam diri
kanak-kanak, berteraskan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh
yang terbaik.
iv. Pengenalan kepada asas bahasa Al-Quran dan surah-surah
pendek dari Juzu Amma.
v. Pengenalan kepada tulisan Jawi.
g. Melalui ilmu, kemahiran dan amalan yang disarankan kurikulum
Pendidikan Islam dapat menyumbangkan ke arah melahirkan murid Islam
yang beriman, berilmu, berakhlak mulia, bertaqwa dan beramal
soleh.
h. Pendidikan Islam prasekolah dapat disampaikan melalui
aktiviti bercerita, tunjuk cara, latihan, amali, nyanyian lagu dan
nasyid, permainan, lakonan, penjelajahan, pemerhatian alam sekitar
dan melihat kegiatan manusia.
i. Sekolah digalakkan mengadakan lawatan di persekitaran
sekolah, kebun bunga, tempat bersejarah dan mengadakan perkelahan
di kawasan pemandangan semula jadi.
j. Penyampaian kandungan kurikulum Pendidikan Islam hendaklah
disepadukan dan diseimbangkan dengan lima komponen kurikulum
prasekolah yang lain semasa pengajaran dan pembelajaran.
k. Penyampaian yang berkesan mampu menanam asas keimanan dan
membentuk murid agar mempunyai cita-cita yang tinggi, daya tahan,
semangat juang, gigih berusaha dan mampu mempertingkatkan harga
diri dan menyumbang kepada asas kemajuan masyarakat, bangsa dan
negara.
13. Menjadikan bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai
matapelajaran yang wajib
a. Kedua-dua bahasa ini diajar di sekolah-sekolah dan memberi
peluang yang sempurna bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti
bahasa Cina dan bahasa Tamil.
b. Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan
strategi-strategi peningkatan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris.
c. Perubahan sistem peperiksaan dengan memberikan pemberatan
kepada penilaian formatif serta menekankan pengukuran perkembangan
JERI ( jasmani, emosi, rohani dan intelek ) pelajar dan mengukuhkan
program bimbingan kerjaya dan kaunseling di semua sekolah.
d. Kementerian Pendidikan Malaysia juga meningkatkan bilangan
guru siswazah terlatih di semua sekolah sehingga mencapai 100%
menjelang tahun 2010 dengan meningkatkan bilangan guru bagi opsyen
mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris.
e. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan perkembangan
profesional guru sekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan
meningkatkan insentif dan menyediakan suasana kerja yang lebih
kondusif.
f. Tindakan ini akan diambil bagi meningkatkan penggunaan bahan
bantu mengajar dan memanfaatkan bahan teknologi pendidikan.
14. Pelajar dididik supaya tahu berbangga, dan menghormati
lambang-lambang kebangsaan.
a. Di setiap sekolah, pengibaran bendara kebangsaan Jalur
Gemilang disertai dengan nyanyian Negaraku perlu diadakan setiap
kali perhimpunan rasmi sekolah.
b. Oleh yang demikian, tindakan seumpama ini akan menimbulkan
rasa kekitaan dan cinta akan negara Malaysia.
G) Kesimpulan
Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung
keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras
dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian
adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan yang sesuai dengan
keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti
pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya.
Oleh itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan ini bukan sahaja dapat
memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari
segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai
rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan
tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan yang mencari kerja.
Pelbagai pendekatan dan strategi yang telah dinilai secara
berterusan dan menyeluruh sememangnya sangat bermakna kepada
kemajuan dan kecemerlangan mutu pendidikan negara, seperti berikut
:
1. Menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar yang
utama.
2. Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah.
3. Mewujudkan sistem peperiksaan dan sukatan pelajaran yang
sama.
4. Menggalakkan aktiviti kokurikulum.
5. Memperluaskan pendidikan vokasional dan teknik.
6. Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.
7. Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan
menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu.
8. Mengadakan Mendemokrasikan pendidikan
9. Peluang pendidikan asas selama 9 tahun
10. Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR )
11. Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM )
12. Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan
disiplin.
13. Menjadikan bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai
matapelajaran yang wajib
14. Pelajar dididik supaya tahu berbangga, dan menghormati
lambang-lambang kebangsaan.
Pendekatan dan strategi yang telah pun dilaksanakan ini
sewajarnya perlu terus dipertingkatkan kesannya bagi menjamin
kecemerlangan yang berterusan. Ini menjamin masa depan dunia
pendidikan untuk membolehkan negara melahirkan warganegara yang
cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bibliografi
1. Abdullah Sanusi Ahmad, Kerajaan dan Pentadbiran Malaysia,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980.
2. Chang Ming Phang, Perkembangan Pelajaran Dalam Masyarakat
Berbilang Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1974.
3. Chew Hock Thye, Masalah Perpaduan Nasional, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1975.
4. Institut Tadbiran Awam Negara, Negara Kita : Sejarah,
Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan, Institut Tadbiran Awam
Negara, Kuala Lumpur, 1986.
5. Kementerian Pelajaran Malaysia, Laporan Jawatankuasa Kabinet
Mengkaji Pelaksaan Dasar Pelajaran 1979, Kuala Lumpur, 1982.
6. Mak Soon Sang dan Lee Shok Mee, Pendidikan di Malaysia,
Kumpulan Budiman Sdn.Bhd, Kuala Lumpur, 1990.
7. Ranjit Singh Malhi, Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Federal
Publications, Kuala Lumpur, 2001.
8. Ranjit Singh Malhi, Peperiksaan Am Kerajaan , Federal
Publications, Kuala Lumpur, 1989.
9. Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia , Malaysia Kita,
International Law Book Services, Selangor Daruh Ehsan, 2002.
10. Sidang Pengarang , Penilaian Tahap Kecekapan ( PTK ),
Penerbit Femina, Petaling Jaya, 2003.PAGE 12