2.0 Kemahiran Asas Bola Jaring
2.1 Menghantar Dan Menerima
2.1.1 Menghantar
Hantaran merupakan kemahiran asas dalam permainan bola jaring.
Hal ini demikian kerana dalam permainan bola jaring, setiap pemain
perlu menghantar bola tersebut kepada satu sama lain. Penghantaran
dapat dibuat dengan dua cara iaitu dengan menggunakan satu tangan
ataupun dua tangan. Pemain bola jaring perlu mempunyai kemahiran
hantaran yang pelbagai agar terdapat unsur kejutan dalam permainan
mereka dan ini juga dapat membantu mereka dalam memenangi
permainan.2.1.1.1 Kepentingan Hantaran
Hantaran penting dalam permainan bola jaring kerana hantaran
merupakan kemahiran yang paling banyak digunakan dalam permainan.
Dalam satu permainan bola jaring, pasukan akan banyak menghantar
bola kepada penjaring pasukan iaitu penjaring gol dan penyerang
gol. Pasukan bola jaring yang mempunyai kemahiran hantaran yang
baik akan memberi banyak peluang kepada penjaring mereka untuk
menjaringkan bola dan sebaliknya jika pasukan memiliki kemahiran
menghantar yang lemah akan meghalang peluang penjaring pasukan
untuk menjaringkan bola seterusnya menghalang peluang pasukan untuk
menang.
2.1.1.2 Jenis-Jenis Hantaran
Hantaran bola jaring tergolong dalam dua kategori: hantaran dua
tangan dan hantaran satu tangan. Dalam kedua-dua kategori ini pula
terdapat hantaran bola tinggi dan hantaran bola rendah. Kedua-dua
hantaran satu tangan dan dua tangan mempunyai kelebihan yang
tersendiri. Pemain yang mahir dalam teknik-teknik asas hantaran
akan menjadi seorang pemain yang serba boleh dengan pelbagai
hantaran yang akan membuat pasukan lawan terteka-teka.
2.1.1.3 Hantaran Dua Tangan
Hantaran dua tangan merupakan hantaran yang mudah untuk
dipelajari kerana kedua-dua tangan digunakan untuk melakukan
hantaran ini. Kedudukan tangan sama ada di belakang bola atau di
bahagian atas dan bawah bola. Pergelangan tangan dan jari-jari akan
mengarahkan bola manakala siku, lengan dan berat badan akan
mengeluarkan tenaga untuk kelajuan serta jarak kepada hantaran yang
akan dilakukan. Kelebihan hantaran dua tangan ialah ia boleh
diambil semula dengan mudah pada bila-bila masa sebelum ia
dilepaskan berbanding hantaran satu tangan yang sukar untuk diambil
semula apabila aksi hantaran telah dimulakan. Hantaran dua tangan
terdiri daripada hantaran dada, hantaran lantun, hantaran atas
kepala dan hantaran sisi.
2.1.1.4 Hantaran Satu Tangan
Hantaran satu tangan merupakan hantaran yang kuat dalam
permainan bola jaring. Untuk penghantaran satu tangan, bola
dipegang dengan jari-jari tangan balingan dibuka luas manakala
tangan yang sebelah lagi diletak pada bola untuk mengawal atau
menstabilkannya. Berat badan diimbangkan di kaki belakang, kaki
yang bertentangan dengan tangan balingan di hadapan dengan lutut
dibengkokkan sedikit. Semasa bola dilepaskan, pastikan jari-jari
mengawasi bola, lengan dan bahu memberi daya dan kelajuan pada
bola. Contoh hantaran satu tangan terdiri daripada hantaran lantun,
hantaran aras bahu, hantaran lob, hantaran peluru dan hantaran
bawah bahu.
2.1.1.5 Panduan Membuat Hantaran
Pemain yang ingin membuat hantaran tidak bolah panik. Pemain
mempunyai tiga saat untuk mencari arah hantaran. Jangan
tergesa-gesa kerana hantran yang tergesa-gesa mungkin membuatkan
pasukan kehilangan bola. Selain itu, mata hendaklah mencari sasaran
hantaran dan buat hantaran di hadapan rakan yang bergerak. Rajah
2.1 menunjukkan contoh hantaran yang terdapat dalam bola
jaring.
Rajah 2.1: Hantaran
2.1.2 Menerima Hantaran
Kemahiran menerima hantaran merupakan langkah pertama dalam
permainan bola jaring. Ketika menerima bola, jari-jari keluar untuk
menerima bola, menangkap bola dan menarik bola rapat ke dada.
Terdapat dua cara untuk menangkap bola: menggunakan dua tangan dan
menggunakan satu tangan.
2.1.2.1 Menggunakan Dua Tangan
Kedudukan badan hendaklah seimbang di sambil mata melihat pada
bola. Tangan di keluarkan dan bersedia untuk menangkap. Siku
dibengkokkan sedikit manakala jari-jari dibuka. Selepas bola
ditangkap, pemain perlu menarik bola ke arah dada dan bersedia
untuk menghantar atau menjaring. Kelebihan menangkap menggunakan
dua tangan ialah merupakan cara menangkap yang paling selamat dan
membolehkan pemain mendapat kawalan yang lebih baik terhadap
bola.
2.1.2.2 Menggunakan satu tangan.
Menangkap menggunakan satu tangan pula merupakan cara menangkap
yang kurang selamat tetapi memberi kelebihan kepada pemain dari
segi jangkauan ke arah bola. Ketika bersedia untuk menangkap bola
menggunakan satu tangan, pemain perlu menyeimbangkan badan sambil
memerhatikan arah bola dan tangan dihulurkan ke arah bola. Ketika
ingin menangkap pula, pergelangan tangan dibengkokkan, jari-jari
dibuka luas. Setelah bola berada dalam tangkapan, pegang bola
dengan kemas menggunakan jari-jari, tarikkan bola ke badan manakala
tangan yang lagi sebelah digunakan untuk mengawal bola dan bersedia
untuk membuat hantaran atau jaringan. Rajah 2.1.1 menunjukkan
contoh menerima hantaran.
Rajah 2.1.1: Menerima Hantaran
2.2 Hantaran Aras Dada.
Hantaran dada dilakukan menggunakan dua tangan. Melalui hantaran
dada, bola akan bergerak dengan laju dan tepat. Untuk melakukan
hantaran aras dada, bola dipegang dengan kemas menggunakan hujung
jari kedua-dua tangan. Ibu jari diletakkan di belakang bola dan
pergelangan tangan dibengkokkan. Bola dipegang rapat ke dada dan
siku di sisi badan. Gunakan lengan dan berat badan untuk memberi
lebih tenaga dan jarak hantaran. Dengan cara ini, bola akan
bergerak lurus.