Kajian: Satu Lembangan Saliran Di Sabah
1.0 PENGENALANBumi merupakan satu-satunya planet dalam sistem
solar yang terdiri daripada hampir keseluruhan dengan air di
permukaannya iaitu kira-kira 70 peratus. Tidak dapat dinafikan
bahawa air amat penting dalam kehidupan manusia kerana semua
manusia di dunia memerlukan air untuk terus hidup. Hal ini kerana
manusia memerlukan air sebanyak tiga liter sehari untuk mengekalkan
kesihatan tubuh badan. Jika air yang dibekalkan kepada badan tidak
mencukupi, pelbagai masalah kesihatan yang akan timbul. Bahkan
manusia akan mati jika tidak mendapat bekalan air yang secukupnya.
Hal ini dibuktikan lagi dengan kajian oleh para saintis mengatakan
bahawa badan manusia terdiri daripada 70 peratus air. Oleh itu,
dapat dirumuskan bahawa air adalah elemen terpenting bagi
pembentukan tubuh manusia. Manusia menggunakan air untuk tujuan
domestik, pengangkutan, perindustrian, reakreasi, perniagaan dan
pertanian. Kandungan air dunia kira-kira 265 678.6 X 10 kg
(Clapham, 73). Jumlah air dunia Air di bumi terdiri daripada 97
peratus air masin, dan selebihnya adalah air tawar yang terdiri
daripada litupan ais di kutub dan glasier, air bawah tanah, air
tawar di tasik, , lembapan tanih, wap air di atmosfera dan sungai.
Sumber-sumber air di permukaan bumi seperti air bawah tanah, sungai
dan tasik adalah sumber air yang penting untuk kehidupan seharian
manusia.Graf 1.1.Taburan Air Bumi
(Sumber:
http://ga.water.usgs.gov/edu/graphics/malay/earthwheredistribution.gif)\2.0
KAWASAN KAJIANPenyelidik memilih kawasan kajian amali di lembangan
sungai. Kawasan kajian yang dilakukan oleh penyelidik iaitu di
Sungai Penataran yang merupakan salah satu sungai yang terdapat di
daerah Kota Belud. Jarak kawasan kajian ini dari Bandaraya Kota
Kinabalu ialah lebih kurang 93 km. Sumber air sungai ini mengalir
dari pergunungan Gunung Kinabalu. Purata suhu tahunan Sungai
Penataran ialah 23.3 C - 30 C manakala purata taburan hujannya pula
ialah 1,500-2,000 mm.
Gambar rajah 2.1: Kawasan kajian di Sungai Penataran3.0
LEMBANGAN SALIRAN3.1 Definisi dan KonsepLembangan saliran boleh
didefinisikan sebagai point atau titik terendah yang dikenali
sebagai outlet yang mana semua air hujan yang turun ke dalam
kawasan tersebut akan mengalir ke outlet tersebut. Samaada aliran
air hujan tersebut bergerak sebagai air larian permukaan atau
menyusup ke dalam tanah. Namun begitu, melalui pembacaan tentang
kajian mengenai air atau bidang hidrologi telah wujud banyak
istilah untuk menerangkan maksud Lembangan Saliran. Antaranya ialah
river basin, drainange basin, watershed dan catchment. 1. River
BasinMeliputi keseluruhan kawasan yang menyediakn air larian
permukaan (runoff) dan menampung sebahagian atau keseluruhan aliran
sungai, sungai utama atau cawangan-cawangannya, (Jamaluddin
Md.Jahi, 2000) 2. Watershed atau Drainange BasinDi bentuk atau di
cirikan berdasarkan outletnya yang merupakan kawasan terendah dalam
lembangan. Sempadan biasanya di wakili oleh titik atau garisan yang
bersambungan pada kedudukan tertinggi atau lebih di kenali sebagai
legeh. Dengan andaian semua hujan yang turun akan mengalir dalam
lingkungan garis sempadan yang hasilnya samaada membentuk air
larian, menyusup ke dalam tanah dan keluar ke titik terendah
(outlet) atau hilang di sebabkan sejatpeluhan. 3. CatchmentMerujuk
kepada mana-mana titik dalam sesuatu landskap di mana mana kawasan
tersebut menyediakn air ke point melalui aliran literal di atas
permukaan dan bawah permukaan. Ia di sempadani oleh garis atau
titik tertinggi yang di tentukan berdasarkan topografi permukaan
yang mana air akan mengalir, (Mulligan, M. 2004).
Rajah 3.1(a): Lembangan Saliran(Sumber :
http://geoscape.nrcan.gc.ca/h2o/bowen/images/watershed_e.jpg
Rajah 3.1(b): Lembangan Saliran
(Sumber:
http://www.chescocooler.org/images/watershed_800.jpg)Penjelasan
tentang lembangan yang menggunakan titik atau point
tertinggi/watershed sebagai pengagihan aliran ke outlet dikenali
sebagai pendefinisian secara topografi. Pendefinisian secara
topografi dalam menentukan sempadan pemisah tidak selalunya tepat
bagi menggambarkan proses-proses sebenar. Hal ini kerana pergerakan
dan pengagihan air dalam dalam tanah khususnya di antara batuan
dasar tidak selalunya mengikut garis sempadan topografi (Muligan,
2004 :18, Gregory and Walling, 1973 :41, VICAIRE-a, 2006). Oleh hal
demikian, VICAIRE telah mengelaskan lembangan saliran kepada dua,
iaitu Lembangan Topografi dan Lembangan Realiti. Sempadan Lembangan
topografi merujuk kepada kawasan yang dibahagikan berdasarkan
jaringan point tertinggi sesuatu kawasan (Krenkel and Novotny,
1980). Berdasarkan sempadan lembangan topografi, sesuatu lembangan
dipisahkan oleh puncak bukit tertinggi. Dengan mengandaikan semua
air hujan yang turun akan terus sampai ke outlet kecuali yang
tersejat ke udara. Keadaan ini tidak mengambil kira tentang susupan
yang berlaku atau proses yang berlaku semasa proses susupan.
Manakala Sempadan Realiti pula, penentuan sempadan bergantung
kepada dari lokasi mana air yang mengalir ke outlet diterima. Untuk
menjelaskan keadaan tersebut, tedapat tiga proses yang akan
digunapakai. Pertama ialah apabila semua air hujan yang turun dan
jatuh ke permukaan bumi mengalami proses susupan. Penentuan bagi
keadaan ini adalah bergantung kepada ciri-ciri ketelapan sesuatu
tanih, sudut tegak batuan dan paras air di kawasan tersebut. Air
yang menyusup akan dihalang memasuki outlet kawasan yang sepatutnya
oleh lapisan atas batuan tidak telap air. Air akan bergerak
mengikut kecondongan batuan dan akan memasuki outlet lain dan
proses yang berlaku menjadikan sempadan pemisah antara outlet ialah
batuan tidak telap air. Penjelasan kedua pula melihat kepada proses
air larian permukaan kerana proses susupan tidak berlaku kerana
semua kawasan permukaan telah tepu. Dalam keadaan ini, sempadan
lembangan merujuk kepada sempadan topografi. Manakala keadaan
ketiga merujuk kepada proses susupan dan air larian permukaan
berlaku serentak semasa hujan lebat. Bagi air yang mengalir terus
ke outletnya akan menggunakan sempadan topografi dan bagi susupan
yang berlaku kerana sudut kecondongan batuan akan dijelaskan
berdasarkan bahan tidak telap air (Nordin Sakke et.al. 2008)
4.1 Fungsi Lembangan SaliranLembangan Saliran memainkan peranan
yang amat penting untuk keseimbangan alam sekitar. Ia boleh di
katogerikan kepada tiga iaitu fungsi hidrologi, fungsi ekologi dan
fungsi tindak balas/respon . Secara hidrologi terdapat tiga
karakteristik yang perlu difahami:a) pengumpulan /tadahan
(collection) air daripada jatuhan hujan, pencairan ais dan simpanan
yang akhirnya menjadi air larian.b) simpanan (storage) air dalam
pelbagai jumlah dan dalam tempoh masa yang berbeza.c) luahan
(discharge) air sebagai air larian.Manakala lembangan sebagai
sebuah sistem ekologi pula berfungsi dalam dua cara iaitu :d)
menyediakan kawasan (pathways) persekitaran yang pelbagai
seterusnya membolehkan proses dan tindak balas kimia berlaku.e)
menyediakan habitat untuk flora dan fauna yang menjadi elemen
biologi kepada sesebuah ekosistem.
Hasil gabungan daripada kelima-lima fungsi (a-e) di atas telah
menghasilkan dua bentuk respon semulajadi yang sangat penting
kepada persekitaran akuatik. Dua bentuk respon tersebut adalah:
f) dalam konteks hidrologi, ia memperlahankan/mengurangkan
(attenuates) tenaga daripada kerpasan (hujan dalam konteks
Malaysia) yang turun,g) pergerakan air yang keluar dari pelbagai
kawasan simpanan akan membasuh /memenuhi (flushes) badan air.
Proses ini merupakan sifat universal sistem akuatik yang
membolehkannya menggerakan bahan-bahan kimia serta boleh
mempengaruhi kepekatan, muatan atau ketelarutan bahan di dalam
badan air.(a) Fungsi pengumpulan / tadahanSecara umumnya, lembangan
saliran merupakan kawasan tadahan air hujan yang pertama sebelum
air tersebut menjadi air larian permukaan. Terdapat dua isu yang
biasanya berlaku secara logik. Isu pertama adalah melibatkan
kerpasan yang berlaku mampu disimpan oleh keseluruhan lembangan.
Isu kedua pula melibatkan kerpasan yang mengakibatkan banjir di
satu kawasan kecil di mana-mana bahagian lembangan saliran iaitu di
bahagian hulu, hilir atau tengah. Hal ini kerana faktor yang
mepengaruhi air larian permukaan adalah taburan hujan.(b) Fungsi
penyimpananSecara semulajadinya, penyimpanan merupakan fungsi utama
dalam lembangan saliran. Penyimpanan berlaku setelah berlakunya
proses pengumpulan dan sebelum berlakunya luahan air. Sesetengah
ciri-ciri peyimpanan yang kompleks telah memainkan peranan yang
penting untuk bertindak balas dan berinteraksi antara satu sama
lain dengan fungsi-fungsi yang lain. Beberapa perkara tentang
aliran air bawah tanah terutamanya mengenai aliran kedua bawah
tanah yang dipanggil sebagai lembangan saliran kecil di dalam
tanah. Aliran bawah tanah ini mempunyai ciri yang bertentangan
dengan graviti dan kelajuan luahan air. Pertentangan penyimpanan
ini termasuklah ciri-ciri penyimpanan, sekatan aliran keluar air
dan tempoh masa kepekatan serta perkara yang berlaku antara dua
ciri di atas secara serentak. Pertamanya adalah melihat kepada
kekuatan pegangan air bawah tanah sebagai penentu kestabilan
penahan air dan pengekalan kawasan penyimpanan yang berperanan
sebagai tempat untuk mengekalkan sumber kepada aliran sungai. Kedua
pula adalah melihat kepada sekatan secara fizikal kepada laluan
keluar lembangan saliran seperti kolam,tasik atau tanah lembap
serta kederasan air sungai yang di akibatkan oleh faktor-faktor
seperti puing atau batu tongkol yang berkedudukan berselerak
menyebabkan aliran sungai yang tidak menentu.
Tempoh masa kepekatan adalah melibatkan tindak balas aliran
keluar air dengan suhu dimana ia akan berlaku secara berulang
mengikut musim dan ia berlaku dengan pantas mengikut bekuan air
bawah tanah. (c) Fungsi luahanFungsi terakhir selepas fungsi
pengumpulan dan penyimpanan air. Tindak balas yang berlaku pada
proses penyimpanan dan pengumpulan juga sedikit sebanyak telah
memberi tindak balas kepada proses luahan ini dan ia menjadi lebih
kompleks kepada hidrograf tahunan.Hidrograf merupakan catatan untuk
aliran sungai. Ia menunjukkan carta yang boleh mengenalpasti aliran
air pada lebihan masa yang menggambarkan tindak balas antara sistem
penerimaan proses pemendapan dengan ciri-ciri biofizikal dalam
sistem hidrologi. Daripada proses pengumpulan dan penyimpanan dalam
lembangan dan saliran tasik,kolam dan tanah lembap,kestabilan
luahan air perlulah seimbang. Faktor yang dapat mengekalkan
keseimbagan tanah adalah permukaan dan subpermukaan, kedudukan
kawasan yang berhampiran kawasan pengumpulan atau luahan air dan
tindak balas antara kedua-dua faktor di atas. (d) Fungsi sebagai
medium tindak balas kimiaAir adalah medium utama dalam kebanyakan
tindakbalas kimia yang berlaku. Tindakbalas juga termasuk
pergerakan bahan pencemar dan nutrient yang tidak dikehendaki yang
terdapat di dalam persekitaran akuatik. Molekul semulajadi air
berupaya untuk mengubah tahap keasidan air dengan mengawal luluhawa
batuan, hakisan serta proses-proses lain, melarutkan gas dan
mineral serta menyebarkannya dan seterusnya menyediakan tempat
untuk penggabungan semula, menguatkan dan menyokong hidupan. (e)
Fungsi sebagai habitatHampir semua benda hidup di muka bumi akan
tertumpu di kawasan yang mudah untuk mendapatkan bekalan air.
Terdapat satu teori yang popular mengatakan bahawa banyak organisma
hidup di muka bumi didapati di dalam persekitaran yang berair
(Morgan 1972 dlm Peter 1996). Sejak dari dulu, perkembangan
populasi manusia kebanyakkannya berlaku di persekitaran pinggir
pantai yang mana di kawasan ini pelarut universal (air) membantu
pergerakan nutrien dan menyedia pelbagai bentuk habitat yang
selamat untuk menyokong dan melengkapkan kehidupan manusia yang
sangat kompleks ini. Gangguan manusia ke atas fungsi ekologi ini
mempengaruhi ciri-ciri fizikal dan biologi dan ianya sering menjadi
punca kepada kerosakan ekosistem, serta flora dan fauna yang
tinggal di dalamnya. Contohnya hujan asid, penipisan ozon,
pemanasan global, penyahutanan, pencemaran bekalan air bersih,
sedimentasi dan pengurangan populasi spesies ikan dan hidupan liar
lain adalah disebabkan oleh kelemahan dalam pengurusan atau kesan
langsung daripada proses kimia yang berlaku dalam sesebuah
lembangan. (f) Maklumbalas memperlahankan tenaga (attenuation
respons)Gabungan ketiga-tiga fungsi hidrologi sesuatu lembangan
iaitu pengumpulan, simpanan dan luahan air membentuk maklumbalas
fizikal yang merendahkan atau mengecilkan puncak luahan yang
ekstrem yang ditunjukkan dalam keluk hidrograf banjir. Melalui
pemerhatian yang telah dibuat, menunjukkan bahawa aliran puncak
adalah rendah dan perlahan bagi sesebuah lembangan yang bersaiz
besar.(g) Maklumbalas basuhan berterusan (flushing
respons)Maklumbalas kimia antara kombinasi fungsi ekologi dengan
fungsi hidrologi menjadikan sesuatu lembangan mempunyai sifat
basuhan secara berterusan. Keupayaan air mengangkut dan
menggerakkan bahan-bahan terlarut dan terampai yang berlebihan yang
terdapat di dalamnya dari satu kawasan simpanan ke kawasan simpanan
yang lain bergantung kepada jumlah dan halaju luahan, serta sifat
bahan yang akan diangkut tersebut. Fungsi ini boleh diperhatikan
semasa membuat pemantauan terhadap kepekatan sedimen, nutrien,
bahan buangan atau gas terlarut semasa berlakunya larian permukaan.
Apabila bahan-bahan ini dibawa oleh air larian dari satu tempat ke
satu tempat ia akan mengubah tahap kepekatan bahan tersebut.4.2
Lembangan Saliran Sebagai Sistem Kegunaan ManusiaSelain menjadi
sistem fizikal, Lembangan Saliran juga berperanan sebagai sistem
kegunaan manusia (Jamaluddin Md Jahi, 2000). Keperluan dan kehendak
manusia yang semakin meningkat menyebabkan permintaan terhadap
sumber daripada lembangan saliran turut meningkat. Sistem kegunaan
manusia meliputi semua aktiviti sosial dan ekonomi sama ada sebagai
memenuhi keperluan atau untuk mendapatkan keuntungan. Terdapat
empat proses penting di dalam sistem kegunaan manusia iaitu
persepsi, membuat keputusan, merancang dan tindakan (Jamaluddin Md
Jahi, 2000).Persepsi seseorang individu bergantung kepada tahap
pengetahuannya terhadap alam sekitar dan pada kebiasaannya, sesuatu
keputusan dibuat berdasarkan persepsi tersebut. Jika seseorang
individu mendapati berlaku kepincangan tindakan yang sewajarnya
diambil bagi menangani kepincangan tersebut akan dirancang. Antara
kepentingan yang di perlukan oleh manusia ialah :
(Sumber : Diubahsuai dari Jamaluddin Md.Jahi)4.3 Saling
Interaksi Antara Komponen Lembangan SaliranLembangan Saliran boleh
diklasifikasikan sebagai sistem terbuka kerana sifatnya yang akan
menerima input tenaga dan bahan-bahan dari atmosfera. Keadaan ini
mewujudkan hubungani antara angkubah-angkubah untuk mengekalkan
keseimbangan ekosistem. Hubungan tersebut juga mewujudkan
maklumbalas iaitu merujuk kepada output sesuatu sistem menyebabkan
perubahan positif ataupun negatif. Terhadap komponen yang diukuar
(Pidwirny, 2006). Proses Interaksi Komponen lembangan saliran juga
merujuk kepada hasil tindakan manusia ke atas lembangan saliran
atau sistem fizikal bumi dan kesan yang berlaku hasil tindak-balas
tersebut. Interaksi di antara manusia dan sistem fizikal juga boleh
menghasilkan respon positif ataupun negatiif yang bersifat timbal
balas. Lazimnya aktiviti manusia ke atas sistem akan mengubah
keharmonian sejagat. Bahkan gangguan-gangguan manusia akan
menyebabkan proses penggalak meningkat dan menghasilkan tindakbalas
positif secara berterusan. Keadaan ini akan mengakibatkan perubahan
sistem hidrologi dalam lembangan saliran. Biasanya hasil interaksi
antara manusia dengan lembangan saliran akan membawa kepada tiga
perkara Iaitu perubahan (changes), kesan (effects) dan akibat
(consequences or impacts).Terdapat tiga kumpulan perubahan yang
akan berlaku ke atas sistem lembangan saliran. Pertama merujuk
kepada perubahan litupan tumbuhan (land cover) di mana berlaku
proses membersihkan kawasan hutan sehingga mendedahkan permukaan
tanah di sebabkan aktiviti penebangan hutan, pertanian, perbandaran
dan perlombongan. Kumpulan perubahan kedua pula berhubung-kait
dengan penggunaan dan pengeksploitasian air. Kegunaan air pula amat
di perlukan untuk tujuan kegunaan domestik, pertanian,
perindustrian, pembinaan kawasan tadahan, dan perbandaran. Dan yang
terakhir ialah kumpulan perubahan kumpulan ketiga iaitu merujuk
kepada kerja-kerja pengubahsuaian jaringan alur. Ia meliputi
aktiviti memperdalamkan alur dan kerja-kerja di kawasan dataran
banjir untuk mengelakkan di tenggelami air (Arnel, 2002 :
170-171).Untuk menghuraikan kesan dan akibat yang terjadi hasil
interaksi antara komponen ialah dengan melihat kepada aktiviti yang
telah dilakukan oleh manusia. Misalnya aktiviti perbandaran seperti
perumahan, pengangkutan, perindustrian dan kawasan reakreasi Bandar
telah memberi impak yang amat buruk terhadap lembangan saliran
kerana berlaku perubahan guna tanah secara besar-besaran terhadap
kawasan litupan. Manusia mengubah telah mengubah kawasan telap air
menjadi kawasan yang tidak telap air melalui pembinaan jalan raya,
membina bangunan, kompleks beli-belah, dan kawasan letak kereta.
Hal ini menyebabkan proses susupan tidak dapat di jalankan terutama
semasa hujan. Kesemua air hujan yang turun akan mengalir sebagai
air larian permukaan kerana kawasan permukaan di litupi dengan tar,
simen dan aspalt. Air larian juga akan membawa semua sedimen
seperti sampah-sarap, kelodak, pasir dan hakisan terus ke dalam
alur sungai menyebabkan alur sungai tersumbat dan menjadi cetek.
Akhirnya lama-kelamaan alur sungai yang berfungsi sebagai kawasan
discas air tidak lagi mampu untuk menampung kuantiti air yang
banyak. Keadaan ini menyebabkan kawasan bandar mengalami masalah
banjir. Biasanya banjir yang sering di alami di kawasan Bandar
adalah banjir kilat dan ia berlaku setiap kali hujan lebat.
Daripada rekod yang di peroleh, kawasan Bandar Lembah Klang
merupakan salah satu lokasi banjir kilat yang paling teruk.
Contohnya pada Jun 2007, telah berlaku banjir kilat yang teruk di
sekitar Ibu Kota kerana hujan lebat yang luar biasa turun selama 2
jam. Hal ini menyebabkan Sungai Klang melimpah dan membanjiri
kira-kira 13 buah kawasan seperti Jalan Dang Wangi, Jalan Melayu,
Jalan Pantai Baru, Jalan Tun Sambatahna dan Jalan Melaka. Begitu
juga negeri Johor yang mengalami banjir teruk pada penghujung tahun
2007 disebabkan faktor perbandaran. Selain banjir kesan terhadap
ekosistem lembangan saliran juga menyebabkan kemusnahan habitat,
hakisan dan pelebaran alur, serta perubahan dasar sungai. Ekoran
daripada aktiviti perbandaran, muncul pelbagai kesan negatif yang
terpaksa ditanggung oleh manusia sendiri. Semasa berlakunya banjir,
air larian permukaan membawa sampah sarap dan bahan-bahan yang
tercemar masuk ke dalam alur sungai. Hal ini menyebabkan sungai
terpaksa menerima segala bahan pencemar dan mengubah kualiti dan
kuantiti air. Selain itu, sungai juga akan tercemar kerana buangan
sisa dari kawasan perindustrian dan juga sisa domestik isi rumah.
Air sungai yang telah tercemar akan menimbulkan pelbagai gejala
penyakit dan akan menyerang manusia. Oleh itu, manusia bukan sahaja
menderita kerana masalah kekurangan bekalan air bersih bahkan
terpaksa berhadapan dengan wabak penyakit. Misalnya pada tahun
1997, hanya 20.7 peratus daripada seluruh sungai di Malaysia
dianggap bersih dan selamat untuk digunakan kerana majoritinya
berada dalam tahap Sungai Kelas III. Oleh Masyarakat pada hari ini
tidak mempunyai pilhan kecuali tetap menggunakan air yang
dibekalkan walaupun ia tidak memenuhi piawaian kualiti yang
sepatutnya. Di samping itu juga, masalah kemerosotan simpanan air
bawah tanah turut dihadapi kerana proses susupan tidak berlaku. Hal
ini menyebabkan paras air sungai rendah dan mengakibatkan masalah
kekurangan air. Sekitar tahun 1997 juga Selangor gempar dengan
masalah kekurangan air kerana empangan Durian Tunggal kering dan
catuan air terpaksa dilaksanakan. Selangor juga terpaksa
mendapatkan sumber air dari Pahang untuk menampung keperluan
masyarakatnya. Dan bekalan air pada masa tersebut langsung tidak
terjamin kualitinya.4.0 PENGURUSAN LEMBANGAN4.1 Definisi
Pengurusani. pengurusan merujuk kepada melaksanakan sesuatu melalui
manusia. ii. pengurusan adalah satu proses sosial yang dibentuk,
disusun untuk mewujudkan kerjasama, penyertaan dan penglibatan
ahli-ahli dalam sesebuah organisasi untuk mencapai sesuatu objektif
atau matlamat.iii. pengurusan melibatkan proses kemanusiaan.
Peter E. Black mentakrifkan pengurusan lembangan sebagai
rancangan memanipulasi satu atau lebih faktor gangguan sama ada
secara semulajadi atau tindakan manusia ke atas sesuatu lembangan
untuk mengubah atau mengekalkan keadaan sumber air seperti yang
diingini. Pengurusan lembangan saliran bermula dengan memahami
konsep asas dan kesepakatan semua bahagian yang terlibat sama ada
secara langsung atau tidak dalam membangun dan memelihara fungsi
dan nilai yang terdapat pada lembangan tersebut.Terdapat tiga
prinsip umum dalam pengurusan lembangan saliran yang telah
dikenalpasti (Black, 1970) iaitu ekologi semulajadi lembangan
saliran sebagai satu sistem seimbang yang dinamik, faktor-faktor
yang mempengaruhi air larian dan ketiga adalah taburan air di dalam
ruang hidrosfera yang berkaitan dengan amalan pengurusan lembangan.
Oleh itu, pengurusan sungai merangkumi pelan pengurusan dan
pembangunan koridor sungai, pelan pengurusan dan pemantauan kawasan
tadahan, pelan pembangunan kawasan rekreasi dan pelan pemulihan dan
pemeliharaan sungai.4.2 Objektif Pengurusan LembanganPengurusan
lembangan mempunyai satu objektif utama yang ingin dicapai iaitu
mengembalikan keadaan persekitaran lembangan dan
komponen-komponennya yang telah terganggu kepada keadaan asal, atau
paling tidak dapat mengurangkan kesan negatif ke tahap yang paling
minimum. Sebagai contoh di Malaysia, sungai sungai yang telah
tercemar pada kelas iii dapat dikembalikan sekurang-kurangnya
kepada kelas ii menjelang 2010. Bagi mencapai objektif ini terdapat
tiga aktiviti utama yang menjadi garis panduan iaitu aktiviti
pemulihan dan pemeliharaan, perlindungan dan peningkatan kualiti.
Pertama, pemulihan (rehabilitation) terhadap tanah terbiar ataupun
perubahan secara semulajadi terhadap tanah yang mempunyai sedimen
berlebihan, yang tidak di perlukan semasa proses air larian
berlaku. Pemulihan terbatas kepada kawasan yang kecil sahaja dan
biasanya ia tertumpu kepada bahagian penyimpanan. Hal ini kerana
pemulihan di bahagian penyimpanan lebih baik kerana fungsi utama
adalah di bahagian tersebut.Aktiviti perlindungan (protection)
biasanya dilakukan di bahagian-bahagian sensitif dalam lembangan
saliran. Bahagian ini dilindungi daripada sebarang aktiviti
pemulihan kerana akan menyebabkan perubahan negatif yang mendadak.
Konsep perlindungan sebenarnya bersamaan dengan pemeliharaan
(preservation) yang menghalang terus sebarang aktiviti daripada
dilakukan di kawasan tersebut. Ataupun dengan kata lain,
perlindungan juga dimaksudkan sebagai tiada pengeksploitasian
(exploitation) di mana kawasan tersebut dihalang dan tidak
dibenarkan untuk sebarang pembangunan pada masa hadapan. Apabila
digabungkan kedua-dua aktiviti ini untuk masa kini dan akan datang,
ia amat bermanfaat untuk mengekalkan persekitaran terutama kepada
generasi akan datang dan keadaan ini dipanggil pembangunan mapan
(sustainable development).Aktiviti ketiga pula ialah peningkatan
kualiti (enhancement). Peningkatan kualiti lebih tertumpu kepada
badan air mengikut karakter-karakternya. Keadaan ini boleh
menyempurnakan satu atau lebih sifat lembangan saliran yang
dipengaruhi oleh fungsi hidrologi ataupun kualiti air tersebut.
Daripada tindakan tersebut membolehkan setiap tamadun memainkan
peranan penting untuk membuat kepelbagaian dalam fungsi khusus dan
skema pengurusan lembangan saliran atau membuat pembaharuan dalam
susunan pada peringkat peringkat baru, menentukan hasrat atau
karakter dalam sesebuah lembangan saliran. Ketiga-tiga aktiviti ini
harus dilaksanakan dalam mengklasifikasikan pengurusan. Ia
bersesuaian untuk dilakukan tanpa had. Namun, secara realitinya ia
sangat sukar untuk diklasifikasikan kerana untuk mencapai
ketiga-tiga objektif tersebut, badan-badan yang bertanggungjawab
perlu menemui setiap agensi yang berada di tempat dan masa yang
berlainan semata-mata untuk menerangkan setiap objektif tersebut.
Pengurusan lembangan saliran yang merangkumi pemulihan
(rehabilitation), perlindungan (protection) dan peningkatan kualiti
(enhancement) secara keseluruhannya merupakan pengurusan yang
terbaik (best management practices) BMPs.4.4 Aktiviti Bagi Memenuhi
Objektif4.4.1 Aktiviti Pemulihan (Rehabilitation activity)Pemulihan
dilakukan apabila sesuatu kawasan tersebut telah disalahguna dan
dicerobohi. Aktiviti penggondolan hutan terutama di bahagian cerun
yang bertujuan untuk mendapatkan hasil balak sedikit sebanyak telah
mengganggu kawasan sensitif tersebut. Namun kebanyakan aktiviti
penebangan hutan secara haram tersebut dapat dihidu oleh
badan-badan bertanggungjawab. Oleh kerana kegiatan tersebut semakin
berleluasa ia telah meningkatkan kadar hakisan, pengangkutan
sedimen dan banjir di bahagian hilir. Contohnya aktiviti
penggondolan hutan terbesar di Lembangan Copper (Copper Basin) yang
memiliki keluasan kira-kira 60 ribu ekar persegi. Ia terletak di
daerah Ducktown di wilayah Tennessee. Akibat daripada penggondolan
hutan tersebut telah menghasilkan gas sulfur dioksida di mana ia
merupakan kombinasi antara air dengan asid sulfurik yang
menyebabkan berlakunya hujan asid. Kawasan yang dikhususkan sebagai
kawasan sensitif adalah kawasan yang menerima hujan tahunan yang
tinggi. Kaitan antara kadar hujan yang tinggi dengan kesensitifan
sesuatu kawasan adalah kerana kawasan ini memerlukan tumbuhan
melindunginya daripada berlakunya kadar hakisan yang
tinggi.Program-program yang telah dilakukan untuk melaksanakan
aktiviti pemulihan adalah seperti pemulihan tanah pertanian. Ia
melibatkan galakan, cukai, permit dan mengenakan denda penalti
kepada peladang yang tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan
dalam melaksanakan pemulihan tanah pertanian. Galakan yang
diberikan adalah termasuk pengurangan kadar cukai, pembiayaan kos
(subsidi), ataupun wang yang disalurkan terus kepada
program-program alam sekitar. Cukai yang dikenakan melihat kepada
jenis baja yang digunakan, kekerapan penaburan baja dan kadar
menyerapannya ke dalam tanih. Permit pula boleh didapati melalui
agensi-agensi yang diiktiraf.4.4.2 Aktiviti Perlindungan
(Protection activity)Pengiktirafan diperlukan untuk melindungi
kawasan terbiar daripada berlakunya aktiviti penggondolan hutan
secara haram. Secara umumnya, melindungi kawasan sensitif ini
daripada aktiviti pembangunan adalah lebih baik dari mencari
pelbagai jalan untuk memulihkan keadaan kawasan yang telah
diteroka. Untuk menyempurnakan aktiviti ini, ia memerlukan sokongan
orang ramai dan asas ini telah berjaya meraih cadangan agar
melonggarkan kaedah pengukuran termasuklah BMPs di lapangan
hidrologi untuk mengenalpasti analisis kesan kepada alam
sekitar.Sebagai contohnya, pemulihan dan perlindungan kawasan
tebing sungai yang mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan
peningkatan kualiti lembangan saliran di kawasannya. DeBano dan
Schimdt (1989) mengkelaskan zon tebing sungai di kedua-dua belah
bahagian sungai iaitu bahagian hulu dan bahagian hilir mempunyai
sifat larian air permukaan (runoff) yang berbeza dan pengaplikasian
amalan pengurusan yang spesifik mestilah disesuaikan mengikut
keadaan tersebut (runoff). Melalui pemerhatianmereka, menyatakan
bahawa kawasan tersebut mestilah dilindungi melalui konteks
lembangan saliran. Mereka juga menyatakan bahawa zon di bahagian
hulu sungai yang terletak pada paras ketinggian tertinggi merupakan
sumber bekalan air kepada lembangan manakala zon di bahagian hilir
merupakan sumber kegunaan kepada pengguna sama ada manusia atau
hidupan lain. Tujuan usaha usaha mengawal tebing di kawasan hilir
adalah untuk meningkatkan keadaan sesebuah lembangan, meningkatkan
jangka masa aliran sungai semasa banjir berada pada tahap sederhana
dan menstabilkan liku-liku sungai untuk mengurangkan hakisan
(DeBano & Schimdt, 1989). Tebing sungai merupakan zon yang
paling sensitif dalam lembangan dan memerlukan perhatian khusus
untuk memastikan kestabilan sesebuah lembangan dengan setiap
perancangan pengurusan. Akibatnya sebahagian jenis dan zon
lembangan memerlukan perhatian yang lebih khusus dengan mengambil
kira dan melihat jenis guna tanah yang terdapat disekelilingnya.
4.4.3 Aktiviti Peningkatan Kualiti (Enhancement activity)Program
pengaliran / terusan, pengawalan hakisan tebing sungai, pengairan
kawasan tanah lembap, pemulihan dan perlindungan perikanan dan
program mencantikkan semula sungai telah diletakan di bawah satu
pengkelasan iaitu pembaikan sistem sungai oleh Gillete, 1972 yang
mana menurut beliau program-program ini mendatangkan keuntungan
dari segi ekonomi.
Apabila sesebuah sungai diluruskan dan ditambah dengan suatu
material seperti konkrit atau bahan buatan lain, ia masih boleh
distabilkan sekiranya struktur yang berfungsi untuk mengurangkan
tenaga dimasukkan atau jika aliran tersebut dikawal dari hulu
hingga ke seksyen akhir.Di Belanda misalnya, strategi tebatan
banjir memberi penekanan kepada simbiosis antara aspek kejuruteraan
sungai dan fungsi ekosistem. Kejuruteraan sungai membabitkan
inisiatif peningkatan keupayaan saliran sungai dan sistem
perparitan untuk menampung dan mengalirkan air semasa curahan hujan
maksimum dalam tempoh 100 tahun. Selain itu, fungsi ekosistem perlu
dilestarikan pada tahap terbaik termasuk mengekal bahkan
meningkatkan keluasan kawasan hijau dipenuhi pokok dan tumbuhan
lain untuk mengurangkan impak aliran air permukaan mengalir deras
ke sistem pengairan. Semakin banyak pokok maka semakin tinggi pula
keupayaan penyerapan dan penakungan hujan yang boleh mengurang dan
memperlahankan aliran air permukaan.5.0 KESIMPULANPengurusan
lembangan saliran secara menyeluruh merupakan satu topik alam
sekitar yang sangat penting masa kini. Pengurusan menyeluruh suatu
lembangan memerlukan penglibatan dari pelbagai disiplin ilmu untuk
menyelesaikan masalah-masalah kompleks yang timbul. Setiap
lembangan mempunyai sifat yang unik yang perlu diterokai dan
difahami sebaik-baiknya supaya rancangan pengurusan yang
dibangunkan dapat berfungsi dengan efektif. Dalam usaha untuk
membangunkan rancangan pengurusan lembangan secara menyeluruh,
beberapa langkah mesti diikuti. Perkara yang paling penting adalah
analisis menyeluruh mengenai sifat fizikal sesuatu lembangan mesti
dipantau. Sifat ini termasuklah struktur geologi, tanih, topografi
atau cerun, cabang-cabang sungai, dan kawasan tanah lembap. Selain
aspek fizikal persekitaran semulajadi, aspek sosioekonomi dan
politik yang terdapat di dalam lembangan tersebut perlu diambil
kira dan dianalisis secara individual kemudian digabungkan supaya
matlamat dan objektif yang dirangka dalam pengurusan dapat
dicapai