Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 17
Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 17. 08. 2000 / 17
Jamadil Awal 1421)
ANTARA WIRID DAN WARID
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan setengah daripada yang terlebih besar pekerjaan jahat adab
itu [ialah] menceraikan(membeza-bezakan) antara segala Maqam dan
hukum atas ahlinya(ahli maqam) dengan sebab memandang segala
halnya. Maka kerana demikian berkata Mualif.........
Keterangan Suluk
Keterangan di atas adalah pengakhir bicara yang bersangkutan
dengan kejahilan dan jahat adab seorang hamba atau seorang Salik
yang telah dibincangkan dalam pengajian sebelum ini. Jika dalam
pengajian sebelum ini kita didedahkan dengan antara jahil dan jahat
adab seorang hamba seperti
Terpedayanya pada zhohir barang yang berlaku atasnya daripada
TolongNya dengan sangkaannya;
Baik sangkanya pada dirinya pada hal tasarufnya;
Menolong kesalahannya dengan membukakan pintu ta'wil.
Diperdayakan dengan dia segala Wali akan segala karamat dan
tiada Makri di atas ini.
Berpaling aku atasnya(Allah) atas hukum
Cenderung ia kepada orang ahli dunia dan hampir ia kepadanya dan
bersahabat ia dengannya
maka keterangan yang berikutnya ialah mengetangahkan pula antara
sebesar-besar jahat adab di samping yang lain-lain itu ialah
menceraikan antara segala Maqam dan hukum atas ahlinya(ahli maqam)
yakni membeza-bezakan berkenaan dengan maqam-maqam dan ketetapan
ahli-ahli yang menduduki sesuatu maqam. Pandangan mereka yang
membeza-bezakan ketetapan ahli-ahli maqam ini adalah berdasarkan
tilik mereka kepada berbezanya hal-ahwal ahli-ahli Maqam tersebut.
Seolah-seolah di sisi mereka;
Orang yang berupaya menembus pandangan kepada perkara-perkara
yang ghaib lebih tinggi kedudukannya daripada mereka yang masih
tidak terbuka sesuatu pada mereka;
Orang yang boleh membaca lintasan hati seorang yang lain lebih
tinggi kedudukannya daripada mereka yang masih terhijab dengan alam
benda itu,
Orang yang maqam zuhud lebih baik daripada mereka yang abid yang
asyik dengan ibadat mereka;
Dan berbagai-bagai lagi pandangan atau tilikan mereka sehingga
terluncur keluar antara kata-kata seperti berikut;
Dia tu bukan ada apa-apa, perkara-perkara yang ghaibpun
sedikitpun tidak tahu
Mana boleh dia seorang jadi seorang sufi, sedangkan aku nampak
beliau masih kalut dengan usaha kasab;
Dia tu asyik wirid sahaja bertahun-tahun, sedangkan abuk
makrifatpun tak ada kerana tak pernah dengarpun beliau bercakap
sesuatu mengenainya.
Tidak zhohir sepatahpun kalam kecintaannya terhadap Allah.
Inilah antara kejahilan dan sebesar-besar jahat adab seorang
salik yang suka menilai seseorang itu sekadar kapada sesuatu yang
istimewa dan karamat sahaja sedangkan yang masih tidak zhohir
tanda-tanda tersebut dianggap sepi dan rendah sahaja.
Keterangan yang berkaitan dengan inilah yang menjadi sebahagian
daripada bicara dan perbincangan kalam hikmah Sheikh Ibnu Atoillah
selanjutnya sebagaimana yang diterjemahkan oleh Tok Pulau
Manis.............
Apabila telah engkau lihat akan seorang hamba telah mendirikan
Allah akan dia dengan mengerjakan segala Aurad iaitu mendirikan
segala amal dengan sekira-kira segala waktunya dan segala halnya
dan mengekalkan Allah akan dia atasnya serta berlanjutan segala
tolong seperti meluaskan rezekinya, maka jangan engkau hinakan akan
yang telah dianugerahkan oleh Tuhannya akan dia kerana bahawasanya
engkau itu tiada engkau lihat atasnya segala alamat segala orang
yang Arif dan tiada kebajikan segala orang yang kasih akan Allah.
Maka jikalau tiada Warid Ilahi nescaya tiada hasil Wirid itu.
Keterangan Suluk
Untuk memudahkan kefahaman kita berkenaan kalam hikmah di atas,
tidak salah rasanya kita rumuskan dalam bahasa yang lebih mudah
akan terjemahan Tok Pulau Manis di atas sebagaimana berikut;
Jika kau melihat seorang yang ditetapkan oleh Allah dalam
menjaga wirid-wiridnya; dan sampai lama tidak juga menerima
Kurnia(Keistimewaan) dari Allah, maka jangan engkau remehkan
pemberian Allah(dapat mengekali wirid-wirid tersebut) kerana belum
terlihat padanya tanda-tanda orang Arif atau Keindahan cinta pada
Allah, sebab sekiranya tidak ada WARID(Kurnia Allah), nescaya tiada
WIRID dari hamba tersebut.
Wah sekarang....kita sedang berdepan dengan satu bicara yang
berkaitan dengan rahsia Wirid dan Warid yang menjadi intipati Ilmu
Kaum Sufi.
Yang dimaksudkan dengan wirid mereka ialah apa sahaja
perbuatan/pekerjaan yang ditujukan kerana Allah mengikut apa yang
dituntut dan digalakkan oleh syarak. Tidaklah ianya semata-mata
ditujukan kepada mereka yang mengamalkan zikir-zikir yang
khususiyah dengan kadar dan bilangan yang tertentu atau dengan
tertib masa dan ketikanya. Tetapi bahkan, Wirid boleh muncul dalam
pelbagai wajah dan bentuk.
Mengekalkan sembahyang sunat di waktu siang atau malam
Mengekali puasa pada umpamanya setiap hari Isnin dan Khamis,
Mengekali membaca al-Qur'an
Mengekali bertasbih, berzikir, bertahmid dan beristigfar pada
waktu-waktu yang khusus atau di mana-mana sahaja
Mengekali menuntut ilmu akhirat,
Mengekali Mentelaah Kitab-kitab Ilmu
Mengekali Takafur dan Muhasabah
Mengekali membuat kebaikan dan kebajikan kepada manusia lain
seperti,
Suka membersihkan tandas dan kawasan surau tanpa disuruh atau
upahan
Membuang sampah dan sesuatu yang membahayakan di jalan-jalan
yang dilalui oleh orang ramai
Sedia menghulurkan bantuan tenaga dan fikiran apabila
dipinta;
Banyak memberi dan sedikit meminta;
dan pelbagai sifat-sifat baik perangai lain sebagaimana yang
tercermin pada diri orang-orang Sholeh, Aulia, Ambiya dan
Mursalin.
Adapan yang dikatakan Warid itu ialah sesuatu yang berupa bentuk
limpah kurnia Allah Taala yang dicampakkan ke dalam hati seorang
hamba dengan berbagai-bagai perasaan seperti;
suka dan seronok dalam berbuat ibadat, atau
merasai manis dan lazat untuk sentiasa beribadat atau
perasaan kecut atau takut dengan Kekuasaan Allah atau
diberikan kemudahan untuk memahami sesuatu Ilmu yang
tinggi-tinggi dan yang susah bagi kebanyakan orang, atau
didatangi perasaan Kasih dan Cinta kepada Allah yang amat
sangat.
Inilah antara contoh-contoh rupa Warid yang jatuh ke atas hati
seorang hamba yang dikehendaki Allah. Banyak lagi contoh-contoh
lain mengenai Warid ini yang boleh anda dapati di bawah tajuk Warid
Makrifat Rabbaniyah
Jika kita telah benar-benar fahami apa yang dimaksudkan dengan
Wirid dan Warid ini, maka akan jelaslah pada kita bentuk hubungan
antara kedua-duanya dan faham lah kita berkenaan keterangan Maka
jikalau tiada Warid Ilahi nescaya tiada hasil Wirid itu yakni jika
tidak ada limpah Kurnia Allah dengan pelbagai kecenderungan
rasa(Warid), maka tidak zhohirlah pelbagai hal-hal ibadat(Wirid)
dari seorang hamba.
Dengan Warid inilah timbulnya pelbagai hal dan maqam seseorang
hamba yang terjelma melalui Wirid-Wirid(Aurad) yang dikerjakan
mereka.
Dan tidaklah semestinya Warid yang membolehkan membukakan
sesuatu ghaib sahaja semata-mata sebagai Warid yang tinggi dan
terpuji dan
tidaklah semestinya yang bisa mengetahui secara terus apa-apa
yang dijahilkan sahaja yang boleh diiktiraf sebagai seorang yang
ada Warid.
Demikian pulalah Warid itu semata-mata wujud dengan lahirnya
keramat dan pelbagai keistimewa yang mencarik adat pada seorang
hamba.
Tetapi bahkan ia boleh muncul dan menjelma dalam pelbagai bentuk
yang menjadikan ianya disebut sebagai hal ataupun maqam.
Dengan ini seorang yang dapat mengistiqamahkan auradnya iaitu
dengan mengekali mengerjakan pelbagai amal ibadat dan kebaikan
seperti sholat-sholat sunat, berzikir, bertasbih, berselawat dan
sebagainya nanti sehinggakan amalan-amalan tersebut menjadi rutin
dan sebagai satu kebiasaan dirinya dengan diberikan keluasan rezeki
sama ada dunia, atau dimudahkan segala urusan akhirat mahupun
ruhnya adalah seorang yang telah mendirikan haq Allah yang terjelma
melalui Wirid-wirid tersebut.
Orang yang begini maka jangan engkau hinakan akan yang telah
dianugerahkan oleh Tuhannya akan dia yakni jangan diremehkan dan
diperkecilkan Warid Anugerah Allah ini. Jangan engkau hinakan
mereka hanya kerana
bahawasanya engkau itu tiada engkau lihat atasnya segala alamat
segala orang yang Arif dan
tiada kebajikan segala orang yang kasih akan Allah.
yakni jangan dihinakan mereka walaupun tidak zhohir dan ternyata
tanda-tanda orang-orang arif yang Ahli Makrifat, Musyahadah dan
Mukasyafah. Jangan direndahkan mereka walaupun,
Tidak tersohor namanya;
Tidak ramai pengikut-pengikutnya
Tidak punya milik
Tidak punya apa-apa keistimewaan yang nyata
Walaupun engkau melihat tidak zhohirnya tanda-tanda orang yang
asyik ma'syuk dengan Mahabbah Allah, jangan dilekehkan hal-ahwal
mereka. Jangan dihina walaupun mereka nampak;
bengis,
aktif,
sibuk dengan asbab.
Ini adalah kerana Maka jikalau tiada Warid Ilahi nescaya tiada
hasil Warid itu yakni jikalau tidak pelbagai limpah kurnia dari
Allah Taala itu, maka tidaklah mereka itu akan sibuk dengan urusan
Wirid-wirid harian mereka itu.
Tegasnya, apa yang lebih penting dan utama ialah
mengistiqamahkan sesuatu wirid itu, biarpun sekadar yang sedikit
cuma. Maka ingatlah wahai diriku, membeza-bezakan seorang itu
dengan berdasarkan ada tiadanya tanda-tanda orang arif atau yang
sedang mabuk Fana adalah setengah daripada jahat adab yang perlu
dijauhi.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Bermula segala hamba Allah yang makhsus itu terbahagi atas dua
bahagi;
Pertama, segala orang yang Muqarrab(hampir) dan
Kedua, segala orang yang Abrar(sentiasa buat amal dengan tertib
dan teratur).
Keterangan Suluk
Melanjutkan lagi huraian berkaitan hal-ahwal dan maqam-maqam
yang terhasil dari wujudnya Warid Ilahi di atas, maka hendaklah
diketahui bahawa segala hamba Allah yang khusus dan terpilih untuk
mendapat menerima Warid itu terbahagi kepada dua golongan yakni
Muqarrab dan Abrar.
Maka segala orang yang Muqarrab itu mereka itulah yang telah
diambil(diangkat oleh Allah) mereka itu daripada bahagian nafsu
mereka itu dan daripada iradat(kehendak) mereka itu dan mengerjakan
mereka itu dalam mendirikan segala haq Tuhan mereka itu padahal
Ubudiyah bagiNya dan menuntut Kurnia padaNya. Maka sekelian mereka
itu lah segala orang Arif dan orang yang Kasih.
Maka adalah segala orang-orang Yang Muqarrab itu ialah satu
golongan hamba yang dipilih khusus oleh Allah Taala
sebagai seorang yang telah dibebaskan dari rantai dan belenggu
hawa nafsu;(yang telah diambil(diangkat oleh Allah) mereka itu
daripada bahagian nafsu mereka itu)
sebagai seorang yang lepas bebas dari mengikut kehendak diri dan
pengaruh basyariyah (daripada iradat(kehendak) mereka itu)
sebagai seorang yang yang sentiasa melaksanakan kesempurnaan
amal-ibadat yang zhohir dan batin
padahal dilaksanakan segala perintah dan dijauhkan segala
tegahan itu dengan semata-mata kerana melaksanakan Hak Kehambaan
bagi menyempurnakan Hak KetuhananNya dengan sentiasa mengharapkan
limpah kurnia dari Allah Taala kerana nyatanya dirinya Fakir, Hina,
Dhoif, Lemah, Jahil lagi Haqir.
Maka sekelian mereka yang bersifat seperti di atas adalah
terdiri dari golongan orang-orang Arif dan Yang Mahabbah kepada
Allah Taala.
Dan segala orang yang Abrar itu iaitu segala orang yang lagi
tinggal serta bahagian nafsu mereka itu dan iradat mereka itu dan
mendatangkan mereka itu dalam segala amal dan taat supaya dibalas
mereka itu atasnya dengan meninggikan segala darjat dalam segala
kebajikan dan mereka itulah segala orang Zahid yang 'Abid.
Golongan yang kedua yakni yang digelar sebagai orang Abrar
adalah mereka dalam melaksanakan Hak Kehambaan;
masih cenderung kepada bahagian nafsu mereka;
masih cenderung untuk mengikut kehendak dan pilihan diri
masih mengharapkan balasan dari amal-ibadat dan taat mereka
dengan
mengharapkan balasan darjat yang tinggi-tinggi dan mulia dalam
setiap kebajikan yang dilaksanakan.
Harapkan kedudukan yang tinggi
Harapkan sanjungan dan pujian manusia
Harapkan pengiktirafan sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Sifat dan peribadi sebegini adalah hal-ahwal golongan Abrar yang
terdiri daripada orang-orang Yang Zahid dan Yang Abid. Orang-orang
Abrar adalah mereka yang mengerjakan amal dengan tertib dan teratur
secara rutin dan berkekalan.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan tiap-tiap seorang daripada mereka itu dikurniai dalam
Maqamnya yang dikehendaki daripada mereka itu akan mendirikan pada
segala haq Maqam mereka itu bersalah-salahan.
Keterangan Suluk
Dengan huraian dan perbincangan yang telah dibuat di atas, maka
yang jelasnya bagi tiap-tiap hamba itu ada KurniaNya yang
tersendiri. Berbagai-bagai bentuk Kurnia ini menjadikan mereka
berada pada Maqam-maqam sebagaimana yang diKehendaki Allah. Maka
berdirilah ahli-ahli Maqam tersebut dengan menunaikan hal-ahwal,
adab-adab dan hak-hak mengikut kepelbagaian Maqam tersebut.
Untuk itu mengapa ada yang sampai tolol dan rakus sekali
menghina-hina/melekeh-lekehkan sebahagian mereka dan
melebih-lebihkan sebahagian yang lain; sedangkan itu adalah
tanda-tanda yang menunjukkan betapa indah, betapa kaya, betapa
kreatifnya dan betapa berhikmahnya Pemerintahan Allah. Renungilah
firman Allah;
"Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah,
diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha
Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. (Al-Imran:
73)
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi
berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan
jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar yang berumpun dan yang
tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami
lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk,
rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir
serta memahaminya.(Al-Rad:4)
Untuk itu janganlah dihinakan mereka sebagaimana yang ditegaskan
lagi sekali dari......
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Maka apabila engkau lihat seorang hamba
telah mendirikan Allah akan dia dalam segala amal kebajikan
dan taat yang zhohir
dan mengekalkan segala Aurad-aurad
dan ditolong dalam demikian itu dengan TolongNya
dan dimudahkannya,
maka demikian itu daripada Ikhtiar(Pilihan) Allah Taala
baginya;
Maka jangan engkau hinakan demikian itu kerana
tiada engkau lihat atasnya alamat segala orang yang Arif
daripada meninggalkan segala ikhtiarnya
dan tiada lepas daripada segala nafsunya dan segala
iradatnya
dan tiada[nyata) kebajikan segala orang yang kasih daripada
sangat kasihnya pada segala keredhoan yang dikasih mereka itu
dan beroleh kekalnya dan petunjuk antara kekasih mereka itu.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Maka jikalau tiada Warid dikeluarkan oleh Ilahi atasnya, nescaya
tiada berdiri ia atasnya dan Wiridnya(tidak akan zhohir amal taat
itu). Maka iaitu tiada keluar ia daripada daerah TolongNya dan
Hithoh(lingkungan) PeliharaNya.
Keterangan Suluk
Jika difahami intipati perbincangan dan huraian di atas, maka
jelaslah bagi kita seorang yang dapat mendirikan dan melaksanakan
pelbagai jenis Wirid secara rutin dan berkekalan adalah seorang
yang telah mendapat anugerah limpah kurnia Warid Ilahiyah. Ini
adalah jika tiada Warid itu, nescaya tidak akan zhohirlah
wirid-wirid yang dikerjakan oleh hamba itu.
Dengan itu adalah seseorang hamba itu akan sentiasa berada dalam
daerah lingkungan Pertolongan dan Pemeliharaan Allah Taala.
Sesungguhnya dalam apa jua jelmaan taat dan ibadat itu menunjukkan
bahawa tidak sekali-kali terkeluar seorang hamba itu daripada
daerah TolongNya dan Hithoh(lingkungan) PeliharaNya.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan ketahui olehmu bahawasanya Wilayah itu dua perkara; Pertama,
Wilayah Umum dan Kedua, Wilayah Khusus.
Keterangan Suluk
Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk
Pembahagian Wilayah
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 24. 08. 2000
/ 24Jamadil Awal 1421)
PEMBAHAGIAN WILAYAH
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan ketahui olehmu bahawasanya Wilayah itu dua perkara;
Pertama, Wilayah Umum dan
Kedua, Wilayah Khusus.
Maka yang pertama itu bagi segala orang yang Mujahadah dan yang
khidmat; dan yang kedua itu bagi segala orang yang Mahabbah dan
Minnah(bangkit syukur kepada Allah).
Keterangan Suluk
Istilah Wilayah merupakan salah satu komponen di samping yang
lain-lainnya yang bersangkutan dengan Ilmu dan hal-ahwal kaum
Sufiah. Pembahagian Wilayah kepada dua perkara di atas adalah
merujuk kepada dua golongan/martabat yang sememangnya telah
ditetapkan dan ditentuak oleh Allah Taala. Ditetapkan dan
ditentukan masing-masing mengikut takluk Ilmu Allah Yang Qadim
sebelum daripada dizhohirkan mereka di alam ini. Masing-masing
golongan mempunyai peranan dan hal-ahwalnya mengikut kententuan
yang tersendiri.
Golongan Wilayah Umum adalah merujuk kepada mereka yang ahli
Mujahadah dan Ahli Al-Khidmat. yang berjuang dengan masa, harta dan
tenaga mereka untuk membersihkan jiwa dari nafsu-nafsu yang rendah
dengan pelbagai wirid, amal dan taat dalam mendapat keredhoaan dari
Allah..
Golongan Wilayah Khusus pula terdiri daripada mereka yang
dipilih dan dikurniakan rasa kasih dan kecintaan kepada Allah
Taala. Mereka berdampingan diri dengan Allah Taala dengan limpahan
cahaya MakrifatNya yang sentiasa membangkitkan syuhud mereka
sehingga tenggelam dalam lautan kesyukuran kepada Allah.
Kepada inilah diisyaratkan Mualif(Sheikh Ibnu Athoillah
As-Kandari ra) dengan katanya;
Bermula segala hamba itu atas dua bahagi.
Satu kaum yang didirikan Haq Taala akan mereka itu berbuat
khidmat akan Dia; dan
kedua kaum yang dituntut Haq Taala akan mereka itu mengasih
Dia(Makrifat)
Firman Allah; "Tiap-tiap mereka itu kami tolong sekelian mereka
itu; dan adalah tolong akan sekelian mereka itu daripada Anugerah
Tuhanmu, Ya Muhammad dan tiada ada anugerah TuhanMu tertegah.
Keterangan Suluk
Sebelum kita menjelujur pada keterangan dan huraian Tok Pulau
Manis berkenaan dengan Kalam Hikmah di atas, ada baik rasanya kita
terlebih memahami akan dasar dan asas kepada pembahagian Wilayah
ini.
Asas yang menjadi dasar pembahagian tersebut adalah berdasarkan
adalah tolong akan sekelian mereka itu daripada Anugerah Tuhanmu
yang antara maksudnya telah ditentukan dan dikadarkan dari azali
lagi menurut apa yang terpendam dalam takluk Ilmu Allah Yang Qadim.
Segala sesuatu yang terzhohir di alam ini tidak sedikitpun berubah
atau lari dari ketentuan dan ketetapan Allah yang Qadim itu.
Termasuklah kadar rezeki dan kedudukan serta hal-ahwal
hamba-hambanya. Masing-masing ada habuannya dan kedudukan tempat
tegaknya tersendiri. Dan sememangnya tiada ada anugerah TuhanMu
tertegah yakni kedudukan dan ketetapan untuk seseorang hamba itu
tidak akan berubah-ubah lagi biarpun setinggi mana cita-cita
seorang hamba sekuat mana usaha untuk merubahnya.
Huraian dan Keterangan Kalam Hikmah Tok Pulau Manis
Maka yang satu kaum itu telah didirikan Ha Taala akan mereka itu
bagi berbuat khidmat akan Dia hingga patut mereka itu SyurgaNya.
Dan mereka itulah segala orang yang Zahid dan segala orang
Abid.
Keterangan Suluk
Dalam menyatakan Indahnya Manifestasi Jamal Tuhan dan betapa
Agung KeesaanNya, maka telah ditentu olehNya satu golongan
hamba-hambanya untuk sentiasa Mengagungkan dan Memulia Zat Rabbul
Jalil itu dengan dislutkan pakaian dan perhiasan hamba yang
sentiasa berbuat khidmat kepadaNya. Ditentukan mereka untuk
sentiasa gemar dan berlazat-lazat dengan pelbagai amal-ibadat dan
taat di samping ada pula yang sampai dingin hati kepada dunia,
bersifat zuhud dengannya dengan merasa kaya dengan Allah. Mereka
ini adalah golongan yang telah ditetapkan dan ditentukan untuk
menjadi seorang yang Zahid dan orang yang Abid. Mereka adalah
golongan bertuah yang mendapat limpah anugerah persalinan
Al-Khidmat ini sehingga melayakkan mereka untuk masuk ke Syurga
Allah
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan yang satu kaum itu telah ditentukan Haq Taala akan mereka
itu bagi mengasih akan Dia hingga patut mereka itu hampir akan Dia
dan masuk HadratNya. Dan mereka itulah segala orang yang Arif dan
segala orang yang Ulama.
Keterangan Suluk
Manakala ada lagi satu golongan hambanya yang telah terpilih
dari Azali lagi untuk menjadi kekasihNya, yang mengasihi diriNya
dengan rindu dendam dan asyik ma'syuk. Hamba yang terpilih ini
adalah mereka yang disimbahkan dengan MakrifatuLlah sehingga
dikenalnya Allah dengan sebenar-benar kenal sehingga menenggelamkan
mereka dalam lautan Kasih Sayang Allah. Mereka itulah yang
diumpamakan "orang istana" yang patut untuk mendampingi TuhanNya
dan layak untuk masuk ke HadratNya untuk mengenali(makrifat) antara
yang haq dengan yang batil. Mereka ini adalah golongan orang Arif
dan Ulama Tauhid
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan sekelian mereka itu dalam taatnya. Maka barangsiapa
disyughulkan dengan ibadatnya, maka iaitu dalam keredhoaanNya dan
KurniaNya. Dan barangsiapa dituntutkanNya dengan KasihNya, maka
iaitu dalam Fadhol AnugerahNya.
Keterangan Suluk
Adalah hal-keadaannya sekelian mereka itu yakni orang yang Zuhud
dan Abid; ArifbiLlah dan Ulama Tauhid sentiasa berada dan amal
taatnya yang tersendiri. Berbeza-beza antara satu sama lain
mengikut bezanya golongan dan bahkan berbeza pula antara sesama
satu golongan.
Maka barangsiapa disyughulkan dengan ibadatnya yakni sesiapa
yang ditentukan untuk sentiasa berbimbang dan berjinak-jinak dengan
pelbagai wirid dan amal, maka iaitu dalam keredhoaanNya dan
KurniaNya.
Dan barangsiapa dituntutkanNya dengan KasihNya yakni yang
dipilih khas untuk mendapat MahabbahNya maka iaitu dalam Fadhol
AnugerahNya. yakni mereka yang mendapat limpah anugerah Kurnia
Allah Taala
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Maka inilah iktibar bagi tiap-tiap kadarnya tetapi orang yang
Mahabbah dan Makrifat itu terlebih tinggi Maqamnya kerana
bahawasanya Maqam ibadat itu bidayah dan Maqam Mahabbah itu Hidayah
dan Maqam Makrifat itu Nihayah.
Keterangan Suluk
Maka keterangan di atas adalah satu wajah memperincikan bagi
tiap-tiap kadar Iradat Tuhan Yang Qadim itu. Ada yang jauh, ada
yang hampir, ada yang di luar, ada yang di dalam, ada yang rendah
dan ada yang tinggi. Namun untuk semua maqam-maqam yang ditempatkan
itu, ditegaskan oleh aulia Allah ini bahawa Ahli Mahbbah dan
Makrifat itu lebih tinggi kedudukannya berbanding dengan ahli Maqam
ibadat. Ini adalah kerana mengikut pengkelasan para sufi,
Maqam ibadat itu bidayah yakni permulaan perjalanan keruhanian
dan
Maqam Mahabbah itu Hidayah yakni yang mendapat tunjukkan dari
Allah dan
Maqam Makrifat itu Nihayah yakni kesudahan atau sut apa yang
diistilahkan sebagai "kehampiran" dengan Allah Taala.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan jikalau engkau kehendaki[maka boleh] engkau kata Maqam
Ibadat itu Maqam orang yang berkehendak dan Maqam Mahabbah itu
Maqam orang yang Dikehendaki dan Maqam Makrifat itu orang yang
sempurna daripada segala hambanya.
Keterangan Suluk
Berkenaan dengan berbezanya tingkatan maqam-maqam tersebut, maka
dengan lain perkataan atau lain fahaman bolehlah kita katakan
bahawa;
Maqam ibadat itu adalah merujuk kepada hal-ahwal orang yang
berkehendak yakni yang menuntut sesuatu yang terhasil dari amal
ibadatnya. Biasanya mereka ingin mendapat balasan syurga dan nikmat
di atas perbuatan amal taatnya.
Maqam Mahabbah itu pula adalah orang yang Dikehendaki yakni yang
dipilih dan ditarik oleh Allah tanpa dikeranakan sesuatu kerena
untuk menjadi hamba pilihanNya yang sentiasa memuja dan
memujiNya.
Dan Maqam Makrifat itulah sehingga-hingga maqam di mana
disempurnakan limpah kurniaNya yang besar, mulia lagi Agung. Mereka
inilah orang yang sempurna daripada segala hambanya.
Dan untuk lebih detail dan terperincinya berkenaan dengan kadar
pembahagian maqam ini, kita ikuti seterusnya............
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Maka adalah orang yang mengerjakan amal itu dengan mentahqiqkan
amalnya kerana qasad menghasilkan angan-angannya;
Dan orang yang zahid itu orang yang lari daripada makhluk supaya
bersuatu hemahnya bagi TuhanNya;
Dan orang yang Mahabbah itu orang yang melihat akan Dia(Allah)
atastiap-tiap sesuatu;
Dan orang yang Arif(Makrifat) itu orang yang memandang akan
Dia(Allah) dalam tiap-tiap sesuatu;
Dan orang yang Wasil itu orang yang telah fana ia dengan
Dia(Allah) daripada tiap-tiap sesuatu.
Keterangan Suluk
Adapun seseorang yang mengerjakan pelbagai wirid atau
amalan-amalan am dan khususiyah dengan sentiasa menyempurnakan
adab-adabnya dan berkeyakinan akan mendapat balasan dari Allah
Taala adalah terdiri dari mereka yang bertujuan memaksudkan
angan-angannya. Kaum ini memutuskan segala padang, hutan dan gua
untuk Qiyamullail dan puasa di siang hari. Mereka melakukan
pelbagai ibadat dan khidmat semata-mata kerana Allah. Sungguhpun,
mereka ingin agar terhasil beberapa faedah yang dicita-citakan oleh
dirinya;
Mereka berangan-angan untuk mendapat sesuatu keistimewaan yang
boleh mentahqiqkan lagi wirid-wirid atau amal taatnya.
Mereka berangan-angan untuk dibukakan baginya pintu-pintu alam
ghaib sebagimana yang diheboh-hebohkan berkenaani Alam Malakut,
Alam Jabarut dan Alam Laahut. Jika dapat sedikit pun, pembukaan
tersebut akan mentahqiqkan lagi wirid-wirid mereka yang dawam
itu.
Dan berbagai-bagai angan-angan lagi yang berkepentingan untuk
membahagiakan dirinya.
Inilah sebahagian daripada Wilayah yang telah Ditetapkan Allah
untuk mereka.
Adalah orang Maqam Zahid pula, orang yang beruzlah mengasingkan
diri dari manusia yang lalai di samping menjauhkan diri daripada
tipu daya dunia. Tujuan mereka adalah meninggikan dan membulatkan
hemahnya dengan TuhanNya semata-mata tanpa ada kecenderungan kepada
yang lain. Mereka akan melarikan diri daripada apa-apa sahaja yang
menjadi kecenderungan nafsunya.
Mereka zuhud daripada berkecenderungan untuk mendapat perhatian
manusia; Pujian, penghormatan dan kemuliaan seakan racun yang akan
melumpuhkan hemahnya dengan Tuhan.
Apalah mengharapkan pujian dan perhatian manusia kerana ada
sedikit kelebihan ilmu dan makrifat, sedangkan kelebihan itu
semata-mata kurnia dari Allah.
Mereka zuhud daripada mengambil dunia ini bagi tujuan
mendapatkan kesenangan, keselesaan dan kebahagiaan diri. Diambilnya
sekadar untuk menyempurnakan ibadatnya semata-mata.
Inilah sebahagian daripada Wilayah yang telah Ditetapkan Allah
untuk mereka.
Maqam seterusnya Mahabbah iaitu mereka yang melihat akan
Dia(Allah) atas tiap-tiap sesuatu; yakni memandang dalam Musyahadah
mereka bahawa Kehendak, Kekuasaan, dan Limpah Kurnia Kasih Sayang
Allah Taala itu terdahulu daripada berhajatnya sesuatu
kepadaNya.
Dalam taat ibadatnya mereka dapat melihat bahawa Kasih Sayang
Allahlah yang menganugerahkan nikmat manis dan lazat
bermunajat.
Dalam timpaan bala dan sengsara hidup dilihatnya betapa Kasih
Sayang Allahlah mereka dihampirkan kedudukan mereka yang mencapai
"kehampiran" dengan Allah.
Dalam menerima nikmat, dipandangnya Kasih Sayang Allahlah yang
memilih mereka untuk mendapatkannya.
Mereka asyik dengan memandang Kasih Sayang Allah itu di atas
tiap-tiap sesuatu pada dirinya dan pada makhluk sehingga menjadikan
mereka orang-orang sentiasa memuja dan memuji TuhanNya dengan
perasaan yang asyik ma'syuk.
Rindu dan asyik seorang kekasih(Habib) untuk bertemu muka dengan
Yang diKasih(Mahbub) menjadikan wajah kekasih itu sentiasa muncul
di atas tiap-tiap sesuatu.
Dan orang yang Arif(Makrifat) itu orang yang memandang akan
Dia(Allah) dalam tiap-tiap sesuatu; yakni mereka yang telah
dipenuhi jiwa mereka dengan cahaya makrifat Allah yang membolehkan
mereka untuk melihat Allah dalam tiap-tiap sesuatu. Mereka adalah
golongan terpilih yang tahu untuk meletakkan sesuatu perkara yang
dilihat dan dirasa itu pada tempatnya. Memandang Allah dalam
tiap-tiap sesuatu bukanlah melenyapkan terus pandangan terhadap
sesuatu sehingga segala-galanya adalah Allah.
Ada golongan ahli dakwa yang keliru di sini di mana apabila
mereka ingin menunjukkan bahawa mereka adalah Ahli Makrifat lantas
mereka akan berkata;
Aku lihat Allah menyapu sampah
Aku lihat Allah sedang makan rumput di padang
dan lain-lain ucapan yang bukan sahaja merosakkan dirinya malah
boleh mengelirukan orang lain.
Adapun memandang Allah dalam sesuatu itu mewajibkan hukum farqi
dan jami'.
Pada zhohirnya yang makhluk itu makhluk(farqi) dan
pada hakikatnya tidak terpisah makhluk itu dengan
Allah(jami')
Mereka adalah golongan yang berada dan bercampur dengan manusia
ramai, memberi dan mengambil, berurusan dengan mereka, tetapi tidak
pernah memandang kepada asbab, ikhtiar dan kerenah. Mereka arif
kerena tahu meletakkan sesuatu itu pada tempat yang haq.
Dan orang yang Wasil itu orang yang telah fana ia dengan
Dia(Allah) daripada tiap-tiap sesuatu. Maqam yang terakhir sekali
ialah yang telah sampai dan mencapai kepada hakikat "kehampiran"
dengan Allah. Seumpama seorang yang sebelum ini mengenali
kekasihnya atau Rajanya melalui tanda-tanda dan cerita orang-orang
yang hampir dengannya, dan kini berhadapan dan berpandangan muka,
maka hilanglah segala pandangannya daripada tanda-tanda dan
cerita-cerita tersebut dengan sebab asyik dan mabuk dengan wajah
pujaannya.
Demikianlah kiasan bagi yang fana, sehingga diri sendiri(diri
yang memandang)pun hilang lenyap seumpama lenyapnya setitis air
dalam sebuah lautan.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Maka apabila memandang hamba itu kepada sendiri Haq Taala dengan
Ia mendirikan itu, maka ditegahkan demikian itu daripada
menghinakan. Dan serahkannya(hamba) pekerjaannya(hal-ahwal)
bagiNya(Allah) Tadbir dan Iktiar(Pilihan).
Keterangan Suluk
Keterangan di atas adalah sebagai rumusan kepada huraian dan
perbincangan yang telah dibuat sepanjang pengajian ini serta yang
sebelumnya yang berkaitan dengan kalam hikmah
jangan engkau remehkan pemberian Allah(dapat mengekali
wirid-wirid tersebut) kerana belum terlihat padanya tanda-tanda
orang Arif atau Keindahan cinta pada Allah, sebab sekiranya tidak
ada WARID(Kurnia Allah), nescaya tiada WIRID dari hamba
tersebut.
Jika difahami maksud dan tujuan perbincangan di atas berkenaan
pelbagai jenis Warid dan Wirid mengikut pembahagian Wilayah-Wilayah
yang tertentu, maka.... sewajar dan semestinyalah seorang yang tahu
menjaga dan memelihara adab-adab dalam Ilmu kaun sufi menjauhkan
diri daripada berkecenderungan untuk membeza-bezakan dan
meremeh-remehkan kedudukan orang lain. Ini jahat adab namanya.
Jahat adab dengan TuhanNya.
Adalah tidak menjadi haknya untuk menentukan dan menilai serta
membeza-membezakan yang itu kurang dan yang ini baik, malah
hendaklah difahami dan disedari bahawa sendiri Haq Taala dengan Ia
mendirikan itu yakni bersendirian Allah dalam menentukan dan
mengkadarkan rezeki dan kedudukan seseorang hamba tanpa sebarang
asbab dan campurtangan pilihan hambanya; maka jangan sekali-kali
dihina-hinakan dan dilekeh-lekehkan ahli maqam lain.
Ingin ditegaskan lagi sekali....jangan dihinakan dan
diperlekehkan jalan-jalan yang dilalui oleh orang lain hanya dengan
sebab kerana kita... Ahli Ilmu yang asyik dan leka dengan
penggalian ilmu Ahli ibadat dan bermasghul dengan wirid dan taat
Ahli Thoriqat yang bersalsilahkan Masyayeikh yang Mursyid.
Ingatlah! Fahamkanlah! dan Sedarilah bahawa Allah itu dari
dahulu lagi(A'yan Sabiyah) SendiriNya dalam menentukan dan
mengkadarkan sesuatu itu.
Belajarlah dan belajarlah lagi terutamanya kaifiat-kaifiat
seorang pengembara kerana Imam Ghazali pernah berpesan;
Ketahuilah .....Hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula
kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang
diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata
suatu jalan yang amat sukar, banyak
tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh
perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya
dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa,
banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.
Sentiasaku ingatkan diri ini;
Samar di mana tempat celaka dan akan binasa Samar di mana tempat
celaka dan akan binasa Samar di mana tempat celaka dan akan
binasa
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Abu Yazid r.a.;
Telah menyatakan Allah Subhanahuwa Taala atas hati segala
kekasihNya. Maka setengah mereka itu orang yang tiada patut ia bagi
menanggung Makrifat, maka disyughulkan mereka dengan ibadat.
Keterangan Suluk
Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk Kadar
Untuk Seorang Hamba
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 31. 08. 2000
/ 02Jamadil Akhir 1421)
KADAR UNTUK SEORANG HAMBA
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Abu Yazid r.a.;
Telah menyatakan Allah Subhanahuwa Taala atas hati segala
kekasihNya. Maka setengah mereka itu orang yang tiada patut ia bagi
menanggung Makrifat, maka disyughulkan mereka dengan ibadat.
Keterangan Suluk
Hati seorang yang menjadi Kekasih Allah adalah yang terpilih. Ia
adalah yang suci dan bersih daripada gangguan Agyar dan Akdar. Hati
yang asyik mak'syuk dengan Allah ini sememang sentiasa mendapat
KemurahanNya untuk menerima Tajali atau kenyataan sesuatu hakikat
dari Allah Taala. Tajali yang dilimpahkan ke atas hati kekasihNya
ini datang secara tiba-tiba dan tanpa disangka-sangka. Pun
demikian, tidak semua yang mampu menanggung kesan dari simbahan
MakrifatuLlah ini
Dengan itu adalah menjadi satu ketetapan Allah hanya yang kuat
dan bersedia sahaja yang mampu menanggung Rahsia-rahsia Ketuhanan
dari pancaran Makrifat. Dan setengah daripada hamba-hambaNya yang
lain pula akan disyughulkan(dibimbangkan) diri untuk sentiasa taat
beribadat kepadaNya dengan berbagai-bagai khidmat. Walaupun mereka
kurang tahu dan merasai berkenaan dengan Makrifat dan Rahsia-Rahsia
Ketuhanan, tetapi adalah golongan yang dipuji dan dimuliakan oleh
Allah dengan nikmat-nikmat yang berkekalan kerana adanya persalinan
Al-Khidmat itu.
Keterangan di atas tidak jauh bezanya dengan pandangan yang
diberikan oleh......
Dan kata Abu Al-Abbas Al-Diinuri r.a;
Bahawasanya bagi Allah itu hamba tiada dipatutkan mereka itu
bagi MakfiratNya. Maka disyughulkan mereka itu dengan khidmatnya;
dan baginya hamba tiada dipatutkan mereka itu bagi khidmatNya, maka
diahlikan mereka itu bagi MakrifatNya.
Keterangan Suluk
Yang berbezanya dari keterangan di atas ialah ditegaskan
berkenaan dengan perbezaan keupayaan dan kemampuan seorang hamba.
Semunya telah diqada dan diqadarkan sedari azali lagi. Menjadi
kehendak dan ketetapan Allah yang Mutlak bahawa ada setengah
daripada mereka ditegah daripada mendapat pancaran MakrifatuLlah.
Mereka hanya layak untuk berbimbang dan menumpukan perhatian dengan
taat dan ibadat semata-mata. Mereka mendapat bahagian keredhoaan
Allah dengan KemuliaanNya Yang Sempurna.
Sungguhpun begitu, ada juga kedapatan seorang hamba yang tidak
dipatutkan; dan tidak sesuai sebagai seorang yang ahli taat dan
ibadat semata-mata(Ahli Khidmat) semata-mata, tetapi bahkan apa
yang patut dan selayaknya untuk mereka; ialah menjadi kekasihNya
yang dikurniakan Makrifat. Maka hamba yang sebegini diahlikan
sebagai golongan Ahli Makrifat yang mengenal TuhanNya dengan
sebenar-benar kenal.
Kita amat bersimpati dengan beberapa saudara kita, Ilmu
Kesufian(Perjalanan Keruhanian) yang terlalu ghairah dengan halnya
sehingga secara tidak sengaja(mungkin) mendakwa dan berlagak
sebagai Ahli Makrifat sedangkan dalam masa yang sama sering sahaja
meletakkan sesuatu itu bukan pada tempat yang haq. Kita harus ingat
dan punya kesedaran yang tinggi; biasanya Ahli Makrifat tulen ialah
seseorang yang telah pun arif tentang mana yang batil(tidak
sebenar) dan mana pula yang haq(sebenar).
Mereka tidak akan ada perasaan apatah lagi ucapan yang
menunjukkan kekeliruan sehingga;
sanggup membeza-bezakan kedudukan dan ketetapan buat seorang
hamba
mengagungkan kelebihan jalannya(thoriq) dengan melekehkan
thoriq-thoriq yang lain
Melebih-lebihkan pujian kepada makhluk(guru mereka) dengan
memandang sepi guru-guru yang lain
Melebihbaikkan wirid-wiridnya berbanding wirid orang lain.
Dikhayalkan dengan limpahan Warid sehingga menghijabkan mereka
dengan pelbagai pembukaan yang ajaib-ajaib sehingga mendakwa yang
a'jib-a'jib.
Terjelma sifat-sifat yang rendah seperti ujub, riya dan takkabur
pada dirinya tanpa disedari. Maklumlah, seekor semut yang merayap
pada batu yang hitam di waktu malam yang pekat. Sesuatu yang hanya
boleh dilihat dengan cahaya Makrifat.
Asyik membilang-bilang manis buah-buah orang lain sedangkan
pokok sendiri tidak pernah berbuah.
Sesungguhnya di sisi orang yang Ahli Makrifat ini, tidak akan
ada kekeliruan malahan jauh sekali bersifat terburu-buru sehinga
sanggup membeza-bezakan sesuatu Semuanya sama taraf sebagai seorang
hamba. Dipandang dirinya dan semua makhluk yang lain hatta seorang
anjing kurap pun tidak berbeza tarafnya sebagai seorang hamba di
sisi TuhanNya. Jika ada nampak lebih pun....itu adalah limpahan dan
kemuharan Zat itu. Sendiri Ia(Allah) mengatur dan mengqadarkan
sesuatu mengikut ZatNya Yang Qadim.
"Allah melebihkan rezeki antara seorang kamu dengan yang lain"
(Surah An-Nahl:71)
Berhati-hatilah "diriku" kerana Takrif Tasauf itu ialah;
"Menghilangkan dakwa" dan "menyembunyikan Maani"(rahsia)
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan ketahui olehmu bahawasanya Mahabbah itu terlebih tinggi
Maqam; dan daripada alamatnya itu Fana daripada tiap-tiap barang
yang lain daripada Yang DiKasih(Allah).
Keterangan Suluk
Lagi sekali ditegaskan bahawa Maqam Mahabbah itu terlebih tinggi
daripada Maqam-maqam yang lain. Antaranya Maqam Khauf, Maqam Redho,
Maqam Zuhud, Maqam Tawakkal dan lain-lain lagi.
Orang Mahabbah ini ada tanda-tanda dan alamatnya untuk dikenali.
Apabila mereka telah Fana daripada tiap-tiap sesuatu dengan kerana
tenggelam dalam Lautan Musyahadah Allah, pandangan mereka tersyuhud
semata-mata kepada Allah sehingga
Tidak wujud lagi pandangan kepada yang lain;
Tidak wujud kepada yang mengkhayal perbezaan,
Tidak wujud kepada yang terpisah dengan masa dan
Tidak wujud kepada yang dilingkungi dimensi
malah segala-galanya hancur hatta dirinya sendiri lebur dalam
AgungNya Keesaan itu.
Dan barangsiapa Fana daripada tiap-tiap yang lain, nescaya
adalah diAnugerahi seperti firman Allah Taala atas lisan Nabi
Muhammad 'alaihissalamtu wassalam;
"Sentiasa hamba itu menghampirkan ia akan Daku dengan Nawafil
hingga Kasih Aku akan dia. Apabila Kasih Aku akan dia, maka adalah
Aku pendengaran yang mendengari ia dengan Dia; dan penglihatan yang
melihat ia dengan Dia; dan lisannya yang berkata ia dengan Dia; dan
tangannya yang memalu ia dengan Dia".
Keterangan Suluk
Hasil dari fananya seseorang yang Mahabbah ini, maka mereka akan
dianugerahkan pula dengan limpah kurnia daripada Allah Taala
sebagaimana firmanNya dari Hadis Qudsi Rasululllah SAW seperti di
atas.
Tafsir dan hurian Hadis Qudsi ini boleh diambil kefahaman
daripada pelbagai sudut. Antaranya ialah sebagaimana yang terdapat
di bawah bicara Allah dan Manusia
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Sekelian mereka itu syuhud mereka itu dengan Qalbun dan
Nazhor(tilik) mereka itu dengan Basyirah(mata hati) dan sama'
mereka itu dengan kashaf dan Natqun(bertutur) mereka itu dengan
hikam(hikmah); dan sekelian mereka itu datang atas hati mereka itu
segala Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.
Keterangan Suluk
Adalah hal-ahwal orang Mahabbah yang telah fana ini ialah
sentiasa Qalbun(Hati)nya berMusyahadah dengan Allah Taala
sentiasa Nazhor(tilikan)nya dengan Ainul Basyirah
sentiasa Sama'(Mendengar) dengan kashaf(pembukaan kepada alam
ghaib)
sentiasa berhikmah(membimbing dan menyedarkan) dengan
Natqun(Ucapan Ilmu mereka)
Dan apa yang dipelajari dari Kalam-Kalam Hikmah Kitab "Hikam"
Ibnu Atoillah contoh yang paling dekat menjelaskan berkenaan Natqun
atau ucapan berhikmah dari Ilmu mereka(Laduni). Dan yang meyakinkan
kita lagi ialah kerana ia disyarahkan oleh yang juga seorang Aulia
Allah.
Dengan sebab itu, tumpuan kefahaman hendaklah ditujukan kepada
Kalam Hikmah dan keterangan Tok Pulau sebagaimana yang "diboldkan".
Fakir Suluk hanya sekadar cuba berusaha untuk memudahkan aturan
kefahaman pembaca dengan contoh-contoh semasa yang agak relevan.
Tidak lebih dari itu, apa yang lebihnya ialah bersama-sama berusaha
untuk mendapat sedikit pengertian dan kefahaman di sebalik
isyarat-isyarat yang dipancarkan oleh dua orang Kekasih Allah ini,
bukannya kepada keterangan Suluk..
Tidak hairanlah sedemikian rupa hal-ahwalnya kerana sememangnya
sekelian Ahli Mahabbah yang fana ini didatangi atas Hati Mereka itu
segala Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.
Berkenaan dengan dua perkara inilah, menjadi kandungan syarah
Tok Pulau Manis yang selanjutnya sebagaimana berikut
Dan kata Sheikh(Ibnu Atoillah As-Kandari)
Sedikit tiada ada Waridat Ilahiyyah itu melainkan dengan
terkejut, kerana memeliharakan baginya daripada mendakwa akan dia
segala hamba dengan sebab diperoleh sanggarahanya
Keterangan Suluk
Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk
Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 07. 09. 2000
/ 08 Rejab 1421)
WARIDAT RUHANIYYAH DAN NAFHATUL ILAHIYYAH
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Sheikh(Ibnu Atoillah As-Kandari)
Sedikit tiada ada Waridat Ilahiyyah itu melainkan dengan
terkejut, kerana memeliharakan baginya daripada mendakwa akan dia
segala hamba dengan sebab diperoleh sanggarahanya
Keterangan Suluk
Untuk memudahkan kefahaman kita, elok rasanya kita susun kembali
kalam hikmah di atas menjadi;
Tidak akan terjadi sesuatu yang dikatakan Waridat Ilahiyyah itu
melainkan dengan terkejut yakni secara tiba-tiba atau secara
mendadak. Kedatangan Warid secara tanpa di sangka-sangka ini adalah
bertujuan untuk memelihara daripada mendakwa hamba-hambaNya kerana
telah bersungguh-sungguh mengadakan persiapan(sanggarahanya) bagi
menerima sesuatu Warid.
Secara kasarnya dapatlah kita fahami kalam hikmah di atas adalah
ditujukan kepada sesuatu yang berkaitan kehaibatan kedatangan
sesuatu Kurnia Allah Taala yang disebutkan sebagai Warid sehingga
langsungnya boleh menghapuskan pelbagai sangkaan dan khayalan
sehingga menyanggah dakwaan seseorang hamba.
Apakah yang dimaksudkan dengan Waridat Ilahiyyah atau di tempat
lainnya disebut sebagai Warid Ilahi ini? Apakah pula kehaibatan dan
keistimewaannya sehingga menafikan campur tangan dari
hamba-hambaNya?..
Bagi mengetahuinya, kita lanjutkan perbincangan ini dengan
mengikuti.........
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Bermula segala Waridat Ilahiyyah itu hadiah daripada Allah Taala
dan Tuhfatun(Kurnia Pembukaan) Keramat; dipermuliakan dengan dia
akan segala hambaNya. Maka tiada ada ia pada gholibnya melainkan
dengan terkejut supaya jangan mendakwa akan dia dan melihat akan
diri mereka itu ahli baginya kerana wujud segala Warid mereka
itu.
Keterangan Suluk
Waridat Ilahiyyah itu ialah satu hadiah Kurniaan Allah Taala
yang bangsa Ketuhanan yang juga sesuatu Kurnia Pembukaan Keramat
yang datang dan melimpah ke atas hati/jiwa seorang hamba yang
dipilihNya tanpa sesuatu kerana atau sebab. Ia datang bukan untuk
meluluskan kehendak hamba dan kehadirannya pula cara datangnya ia
dengan tiba-tiba . Datang secara mengejut dan tidak disangka-kan;
itulah gholib atau kebiasaannya. Kekuatannya sehingga meluluskan
sesuatu yang mencarik adat atau terkeluar daripada jalan yang
teradat oleh akal. Semata-mata sebagai satu Manifestasi AgungNya,
MuliaNya dan EsaNya Zat itu untuk dilimpahkan kepada "kekasih"Nya.
Ianya merupakan satu hadiah kurniaan untuk mempermuliakan seorang
hamba di sisiNya. Sedikitpun tidak bertalian atau berhubungan
dengan pilihan, kehendak dan usaha dari seorang hambaNya. Yang
Menjadi milik MutlaqNya; dan beruntunglah mereka-mereka yang berada
di bahagian ini.
Antara hal Waridat Ilhaiyyah ini ialah seumpama tarikan yang
langsung dari Allah Taala yang mencabut pandangan mata hati seorang
hamba daripada lalai menilik akuan (benda-benda alam dan kejadian
alam) kepada Memandang(Syuhud) kepada Yang Mengatur Segala Urusan
atau lain-lain pembukaan Nama(Asma), atau lain Sifat-SifatNya Yang
Maha Tinggi.
Demikianlah sebahagiannya; bagaimana Allah Taala
memperkenalkan(Menzhohirkan dan Membatinkan) DiriNya kepada
hamba-hamba pilihanNya. Ada ulama yang mengatakan proses ini
dinamakan Pengalaman Hakikat yang menghasilkan Makrifat. Dinamakan
juga sebagai Ilmu Rabbani (ilmu yang dinisbahkan kepada Ketuhanan)
atau Ilmu laduni (ilmu yang diterima secara langsung dari Allah),
tidak didapati dengan belajar atau dengan beramal. Tidak ada jalan
atau persiapan yang boleh memastikan seseorang akan
memperolehinya
Maka anugerah besar ini pada gholib atau kebiasaannya akan
datang secara mendadak tanpa disentuh oleh apa-apa persiapan
seorang hamba. Bila tiba-tiba datangnya, maka terjauhlah hamba yang
berkenaan dari wujudnya lagi pelbagai dakwaan palsu. Tidak akan ada
sama sekali dakwaan-dakwaan seperti
kerana kuatnya Mujahadah dan amal-taatku;
kerana hatiku memang bersih dan bersedia untuk menerimanya;
kerana hal-ahwalku sudah melayakkan aku menjadi ahli-ahli yang
memiliki Warid itu
kerana tidak kerana istimewanya aku, maka mana mungkin Warid itu
dikurniakan padaku.
Wajah-wajah dakwaan ini pula tidaklah semestinya secara terang
dan nyata terluncur dari lisan seseorang, tetapi bahkan boleh
muncul dari dalam tilikan dan kecenderungan hati hamba.
Jadi....jika difahami antara maksud kalam hikmah di atas,
seseorang yang mengaku bahawa mereka telah mendapat anugerah Warid
Ilahiyyah ini dengan punya pelbagai kelebihan dan keistimewaan,
maka camkanlah yang mereka-mereka ini adalah adalah dakwa yang
tertipu dengan sangkaan dan khayalan mereka.
Tegasnya hamba yang menerima kehadiran Warid yang tiba-tiba ini,
adalah seorang yang telah siap terpelihara daripada sebarang
dakwaan itu dan ini kerana;
"Apabila terbit matahari Makrifat di bumi hatimmu, maka
hilanglah bintang-bintang Petunjuk, hilanglah
Ulum-ulum(Pengetahuan) dan hancurlah sesuatu yang tidak
hancur".
Ingin ditegaskan lagi sekali;
"Apabila terbit matahari Makrifat di bumi hatimmu, maka
hilanglah bintang-bintang Petunjuk, hilanglah
Ulum-ulum(Pengetahuan) dan hancurlah sesuatu yang tidak
hancur".
Melanjutkan lagi perihal ini, kita ikuti
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis yang selanjutnya;
Dan adalah segala Tuhfatun Allah Taala dan HadiahNya itu Maha
Suci daripada dikeranakan dengan sesuatu pekerjaan dan
dimuqabalahkan(dihadapkan) dengan segala amal; tetapi iaitu
semata-mata KaramNya dan FadholNya daripada RahmatNya pada segala
hambanya supaya jangan sebut mereka itu.
Keterangan Suluk
Perlu disedari adalah segala jenis Tuhfatun Allah atau Kurnian
Pembukaan Ketuhanan ini adalah merupakan satu keramat atau
keistemewaan yang boleh mencarik adat.
Bukan kerana diajar atau belajar
Bukan kerana kecerdikan dan kepintaran
Bukan kerana banyaknya zikir
Bukan kerana sempurnanya amal taat
Bukan kerana itu atau ini
Bahkan HadiahNya itu Maha Suci daripada dikeranakan dengan
sesuatu pekerjaan dan dimuqabalahkan(dihadapkan) dengan segala
amal. yakni Kurnia Allah Taala itu Maha Suci daripada sesuatu sebab
atau kerana atau apa-apa persembahan dari hamba.
Pembukaan bangsa Ketuhanan yang melimpahkan mereka dengan cahaya
hakiki yang menjadikan mereka sebagai ahli Makrifat dengan TuhanNya
adalah semata-mata KaramNya dan FadholNya daripada RahmatNya yakni
semata-mata kerana KemurahanNya dan Limpah KurniaNya daripada
Rahmat Kasih SayangNya untuk seorang hamba. Semata-mata bertujuan
supaya jangan sebut mereka itu yakni menjauhkan hamba-hambaNya
daripada mendakwakan sesuatu dengan dirinya.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan kerana inilah kata Kailani r.a;
Bermula Warid Ilahi itu
tiada datang ia dengan didakwa;
dan tiada datang atas suatu perkara;
dan tiada datang atas suatu waktu yang makhsus(tertentu);
dan tiada hilang dengan suatu sebab(dosa maksiat);
bersalahan dengan segala jalan Syaithoni(mencarik syara').
Keterangan Suluk
Menurut keterangan Ahli sufi di atas, Warid Ilahi itu ialah;
tiada datang ia dengan didakwa yakni Yang datang tanpa didakwa
oleh yang menerimanya. Jika ada dakwa-dakwaan, maka itu bukanlah
Warid Ilahi yang sebenar. Bersih daripada sebarang pandangan.
tiada datang atas suatu perkara yakni Yang datang kerana adanya
sesuatu perkara seperti segala persiapan seperti amalan atau
ibadat-ibadat yang tertentu atau kerana sesuatu hal-ahwal seseorang
hamba. Ia boleh datang kepada seorang pelacur, penjenayah, pembunuh
atau kepada seorang abid atau seorang murid atau seorang guru atau
sesiapa sahaja.
tiada datang atas suatu waktu yang makhsus yakni Yang tidak akan
datang mengikut sesuatu tempoh waktu yang tertentu mengikut
sebarang jangkaan dan kiraan seseorang hamba. Ia boleh hadir
sewaktu maksiat, sewaktu bala, sewaktu taat atau sewaktu nikmat.
Lebih umum lagi ia boleh datang pada waktu sedar, pada waktu tidur,
pada waktu berjalan, berlari atau bila-bila masa sahaja Yang
DikehendakiNya.
tiada hilang dengan suatu sebab yakni Yang tidak akan hilang
dengan sebab sesuatu dosa atau maksiat, aib, atau cela atau
kecuaian seorang hamba.
Tegasnya Warid Ilahi ini ada kehebatan dan keistmewaan yang
tersendiri sebagaimana di atas. Dan ianya tidak sama dan
bersalalahan sekali dengan jalan-jalan Syathoni. Boleh datang dalam
keadaan yang mencarik adat dan bertentangan dengan kebiasaan hukum
adat.
Pada seorang Salik, mereka sepatutnya memerhati dan betul-betul
memahami jalan-jalan Warid itu, agar dapat dibezakan mana yang baik
dan mana yang jahat, yang mempedayakan dan menyesatkan. Untuk itu,
marilah sama-sama kita jelujuri pula berkenaan dengan jenis-jenis
Warid yang ada mengikut pengkelasan ulama Sufiah.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Maka segala Warid itu empat perkara;
Pertama, Warid Ilahi
[Kedua, Warid] Malaki
[Ketiga, Warid] Nafsani dan
[Keempat, Warid] Syaithoni.
Keterangan Suluk
Maka Warid Ilahi itu iaitu datang daripada Hadirat Al-Ghaib.
Maka tiada ia melainkan dengan terkejut iaitu tiada tersalah ia
selama-lamanya
Warid jenis yang pertama ini ialah sebagaimana yang sedang kita
bincangkan seperti di atas. Ia datang daripada Hadirat Al-Ghaib
yakni tanpa sebarang wasitah atau sesuatu sebab yang menengahinya.
Semata-mata dari limpah kurniaan Ilahi. Dalam keterangan di atas,
disebut bahawa Warid yang datang dengan tiba-tiba ini tidak akan
tersalah selama-lamanya yakni menyentak atau menarik si penerima
kepada bimbingan dan petunjuk ke arah jalan "kebenaran" jalan yang
Haq dan kepada kesempurnaan Agama dan Tauhidnya. Warid ini akan
menyingkirkan si hamba daripada pandangan yang rendah dan sebarang
persekutuan sehingga membersihkan mereka daripada sifat berjahat
adab daripada sebarang dakwaan hamba.
Dan [Warid] Malaki itu iaitu tiap-tiap barang yang dalamnya
kebajikan. Dan dinamai ia akan Ilham.
Warid jenis yang kedua ini pula merujuk kepada apa yang
dikatakan sebagai Ilham atau Ilmu Laduni. Warid Malaki atau Ilham
atau Ilmu Laduni ini adalah yang juga datang secara terus dari
Allah, tanpa kerana sesuatu sebab dari hamba. Dikurniakan kepada
hamba-hambaNya yang terpilih yang terdiri daripada para Aulia dan
Sholihin. Warid jenis ini akan memberikan kekayaan Ilmu kepada yang
menerimanya. Segala kemusykilan yang didatangkan kepadanya dapat
dijawab dan dihurai dengan jelas tanpa menimbulkan sebarang
keraguan lagi; sedangkan dirinya tidak pernah belajar atau diajar
mengenai perkara-perkara tersebut. Tidakkah ini boleh kita katakan
inilah sebenar-benarnya ahli ilmu atau Ulama kerana mereka mendapat
Ilmu Secara Terus dari Allah?
Dengan kerana ini, Kehadiran Warid Malaki ini membawa pelbagai
kebajikan untuk hamba yang menerimanya; bahkan kepada mereka yang
hampir dan mereka yang meyakini tindak-tanduk dan perkataan
mereka.
Dilimpahkan dengan pelbagai petunjuk yang mampu menghuraikan
teka-teki dan kesamaran lautan hikmah dan makna di sebalik Kalam
Allah dan Hadis Rasulullah SAW.
Menyedarkan dirinya dan yang lain dari mabuk dunia dan kurungan
dirinya kepada mengingati dan mengenali TuhanNya.
Mengajak dan membimbing manusia daripada Persekutuan dalam
Pegangan dan Pandangan.
Semata-mata kebajikan; tiada lainnya. Warid Malaki ini datang
dengan membawa semata-mata kebajikan untuk hamba-hambaNya yang
terpilih sebagai satu Rahmat untuk Semesta Alam..
Dan [Warid] Nafsani itu iaitu barang yang di dalamnya bahagian
nafsu dan dinamakan ia Haajis(lintasan)
Warid Nafsani itu ialah sesuatu yang terdapat di dalamnya
unsur-unsur nafsu yang berkecenderungan kepada ghairuLlah yakni
sesuatu selain daripada Allah. Kesannya Warid jenis ini ialah
membawa seseorang kepada pelbagai sangkaan dan khayalan. Sebab
itulah dinamakannya sebagai Haajis atau lintasan(khotir).
Pemerhatian dan tumpuannya kepada sesuatu yang batil seperti
mengharapkan terbuka sesuatu yang ghaib atau mendapat
keistemewaan-keistimewaan tertentu atau mencari harga bagi
hal-ahwalnya akan mengundangkan pelbagai lintasan yang terdiri
daripada pelbagai sangkaan atau khayalan yang tidak sebenar.
Disangkakan dirinya dekat dengan Allah tetapi sebenarnya
jauh
Disangkakan amal-taatnya sudah sempurna tetapi sebenarnya
terlalu banyak aib, cacat dan celanya.
Disangkakan telah mendapat makrifat tetapi sebenarnya jahil
Disangkakan dirinya telah menyempurnakan pelbagai adab tetapi
jahat adab sebenarnya
Disangkakan telah Wushul ilaLlah(sampai kepada Allah) tetapi
sebenarnya hanyalah khayalannya semata.
Dan lain-lain sangkaan yang merujuk kepada adanya harga amal dan
dirinya.
Sama-samalah memohon perlindungan dengan Allah dari dibayangi
oleh lintasan-lintasan dan tipu daya yang susah untuk dikenali ini.
Memang seronok dan menggembirakan kerana salah satu daripada
sifat-sifat nafsu ialah berseronok dengan pelbagai khayalan
dirinya.
Dan [Warid] Syaithoni itu iaitu barang yang membawa kepada
segala jalan yang menyalah Haq Taala. Dan dinamakan dia Waswas.
Yang keempat ini lagi teruk. Dinamakan Warid Syaithoni kerana
semata-mata mengheret seseorang kepada jalan yang sesat atau yang
menyalah Haq Allah Taala. Hasilnya tidak lain; semata-mata
meletakkan pemikiran dan kepercayaan seseorang di dalam kaedaan
yang ragu-ragu. Melumpuhkan keyakinan kepada Yang Haq dan mengheret
seseorang untuk sama-sama sesat dengan mereka(Syaithon). Sebab itu
ianya dinamakan Waswas kerana bersimpang-siurnya bisikan dan
bujukan syaitan dan iblis yang sentiasa mencari peluang untuk
menyesatkan seseorang hamba.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan tatkala ada memeliharakan Waridat itu daripada segala wajah
hikmah, maka memeliharakan dia(Warid) atas orang yang Ahli
al-Khidmat.
Keterangan Suluk
Apabila seseorang hamba yang sedar dan faham akan tiap-tiap
hikmah yang terdapat di sebalik keadatangan Warid itu yakni tidak
mendakwakan dirinya atau menyempurnakan segala kebajikan untuk
dirinya dan hamba-hamba Allah yang lain, maka mereka itu adalah
yang terdiri daripada hamba-hambaNya yang menyempurnakan adab dan
yang tahu menjaga adab-adab Warid Ketuhanan.
Hasilnya, mereka akan dipeliharakan pula oleh Warid kurnia Allah
Taala itu sebagai seorang yang disempurnakan(diahlikan) dirinya
sebagai ahli al-Khidmat.
Ada yang dipelihara untuk tetap sebagai seorang yang
mengistiqamahkan segala sholat-sholat sunat di sebalik yang
fardu.
Ada yang dipelihara untuk tetap sebagai yang sentiasa berpuasa
di siang hari.
Ada yang dipelihara untuk tetap kepada kedua-duanya sekali iaitu
yang berpuasa di siang hari dan Qiyam di waktu malam;
Ada yang dipelihara untuk sentiasa basah lisannya dengan
pelbagai bacaan al-Qur'an, zikir dan wirid.
Ada yang dipelihara untuk tetap duduk sebagai seorang alim ulama
yang membimbing manusia ke arah beragama sebagaimana
semestinya;
Ada pula dipelihara untuk tetap sebagai seorang pejuang dan
penegak agama menentang kaum kafir
Ada pula yang dipelihara untuk menjadi seorang yang berakhlak
mulia yang sedia membantu dan menolong saudara-saudaranya dengan
melupakan kepentingan diri.
Dan yang lain-lain lagi sebagaimana yang terzhohir dari peribadi
abid, zahid dan lain-lainnya. Apa yang perlu difahami, mereka
adalah ahli-ahli Al-Khidmat yang berkhidmat kepada Allah mengikut
kedudukan dan ketetapan dan cara masing-masing.
Ini perlu diingat.....kerana mereka ada keistimewaan dan ada
kedudukannya yang tersendiri di sisi Allah.
Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan tertentulah bahawasanya orang yang mengharuskan akan
dia(Warid) itu, maka sungguhnya telah membinasakan hurmat[Warid
yang dikurniakan itu]. Maka kerana demikian, kata Muallif; (Sheikh
Ibnu Atoillah As-Kandari)
Jika dari keterangan sebelumnya, dihuraikan bagaimana seorang
yang tahu menjaga hikmah-hikmah kedatangan sesuatu Warid sehingga
membolehkan mereka diahlikan sebagai Ahli Al-Khidmat, maka
keterangan yang berikutnya adalah berkenaan dengan yang
sebaliknya.
orang yang mengharuskan akan dia(Warid) itu ialah merujuk kepada
mereka yang "tidak memperwajibkan" diri mereka untuk menjaga
adab-adab dan hikmah yang ada di sebalik sesuatu Warid. Orang yang
tidak menjaga dan memelihara(yakni tidak memperwajibkan dirinya)
sesuatu Warid yang dikurniakan itu sesungguhnya telah membinasakan
hurmat atau adab-adab sebagai seorang yang mendapat Warid.
Perkara inilah yang akan menjadi intipati perbincangan dalam
pengajian yang seterusnya sebagaimana yang disebut olehTok Pulau
Manis sebagaimana berikut:
Maka kerana demikian, kata Muallif; (Sheikh Ibnu Atoillah
As-Kandari)
Barangsiapa engkau lihat akan dia memberi jawab daripada
tiap-tiap yang ditanyai daripadanya daripada Makrifat dan Tauhid;
dan mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang daripada Sir
dan Kashaf dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui daripada
ghaib, maka engkau mengambil dalil dengan demikian itu akan
diperoleh jahilnya akan Haq TuhanNya dan akan hikmatnya pada
makhluk.
Bersambung dalam pengajian berikutnya di bawah tajuk Kejahilan
Ahli Jawab
Insya Allah.....jika direzekikan lagi
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 14. 09. 2000
/ 15 Rejab 1421)
KEJAHILAN AHLI ILMU
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu
Petikan Huraian Pengajian Terdahulu
orang yang mengharuskan akan dia(Warid) itu ialah merujuk kepada
mereka yang "tidak memperwajibkan" diri mereka untuk menjaga
adab-adab dan hikmah yang ada di sebalik sesuatu Warid. Warid itu
adalah amanah Tuhan, Orang yang tidak menjaga dan memelihara(yakni
tidak memperwajibkan dirinya) sesuatu Warid yang dikurniakan itu
sesungguhnya telah membinasakan hurmat atau adab-adab sebagai
seorang yang mendapat Warid.
Perkara inilah yang akan menjadi intipati perbincangan dalam
pengajian yang seterusnya sebagaimana yang disebut olehTok Pulau
Manis sebagaimana berikut:
Barangsiapa engkau lihat akan dia memberi jawab daripada
tiap-tiap yang ditanyai daripadanya daripada Makrifat dan Tauhid;
dan mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang daripada Sir
dan Kashaf dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui daripada
ghaib, maka engkau mengambil dalil dengan demikian itu akan
diperoleh jahilnya akan Haq TuhanNya dan akan hikmatnya pada
makhluk.
Keterangan Suluk
Kalam Hikmah di atas membawa kita untuk mengenali antara wajah
atau rupa perihal orang-orang tidak tahu menjaga adab-adab
kedatangan Waridat Ilahiyyah. sehingga membinasakan hurmatnya.
Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Sama-sama kita perhalusi
dalam Pengajian ini mengikut Syarah oleh Tok Pulau Manis;.
Bermula memberi jawab daripada tiap-tiap tanya dan mengibaratkan
bagi tiap-tiap yang dipandang dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang
diketahui, itu alamat atas wujud jahil orang yang bersifat dengan
dia seperti yang telah dikata Muallif.
Keterangan Suluk
Terdapat tiga isyarat utama yang ingin diketengahkan sebagai
menyatakan alamat atau tanda-tanda yang menunjukkan wujudnya
kejahilan seorang hamba dalam menyambut sesuatu Waridat Ilahiyyah
yang mendatang. Mereka jahil kerena;
1. memberi jawab daripada tiap-tiap tanya [berkenaan Makrifat
dan Tauhid] yakni Orang yang sentiasa memberi jawab kepada setiap
pertanyaan dan kemusykilan yang diajukan kepadanya menunjukkan
tanda-tanda sememangnya seorang yang JAHIL. Wujud jahilnya kerana
terlalu suka pada menjawab soalan-soalan yang dikemukakan
kepadanya. Tanyalah apa-apa bab atau rahsia yang seni-seni, mereka
akan cuba menjawab dengan sebaiknya.
Bab Ketuhanan, bab makrifat, bab maqam, bab hal, bab musyahadah,
bab mukasyafah, muroqabah, rahsia diri, nur muhammad, martabat
tujuh, hakikat itu hakikat atau hakikat ini dan sebagainya lagi,
yang ajib-ajib, yang pelik, yang ganjil, yang qhaib-ghaib, yang
keramat dan entah apa-apa lagi. Tanya apa sahaja berkenaan mana
yang di atas, pasti orang yang Jahil itu akan cuba menjawab dengan
terbaiknya. Orang yang jahil akan memberi jawab daripada tiap-tiap
tanya yang dikemukakan kepadanya.
2. mengibaratkan bagi tiap-tiap yang dipandang yakni sesorang
yang membukakan rahsia-rahsia Ketuhanan yang wajib disembunyikan.
Wujud jahilnya kerana tidak tahu menjaga amanah Allah. Mereka
berlagak sebagai seorang ahli tahqiq dengan bermain-main dengan
kata-kata dan ibarat berkenaan rahsia-rahsia yang wajib
disembunyikan. Jahilnya mereka sehingga sengaja mengungkapkan
kata-kata seperti;
Aku lihat Allah di tengah jalan tadi,
Bukan aku yang makan, tetapi Allah yang makan
dan banyak lagi yang lain-lainnya
3. menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui yakni menyebutkan
apa sahaja yang tinggi-tinggi dengan tidak mengira masa, tempat dan
keperluan dan orang yang menerimanya.. Perbuatan ini seolah-olah
ingin menafikan keluasaan Ilmu Allah yang tiada terhad dan
bersempadan itu. Satu juzuk dari titisan air manakan sama dengan
lautan air itu. Manakan mungkin yang terhad itu dapat memperihalkan
tentang yang tidak terhad? Semata-mata kerana wujudnya kejahilan
orang-orang yang menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui berlagak
pandai.....tetapi jahil,
Untuk huraian dan keterangan yang lebih terperinci berkenaan
tanda-tanda atau alamat seorang yang Jahil yang mendakwa dirinya
sebagai seorang Ahli Ilmu, atau Ahli Kasyaf atau Yang Serba Tahu,
sama-samalah kita jelujuriKeterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau
Manis;
Adapun menjawab bagi tiap-tiap tanya itu, maka dari kerana
menghendaki akan dia daripada mengliputi pada sekelian
maklumat(alamat ada wujud riya dan penyakit dalam hati); dan
demikian itu Muhal(mustahil) dalam haknya(hamba) seperti firman
Allah; "dan tiada didatangkan akan kamu daripada Ilmu melainkan
sedikit jua" dan betapa tasawwur(terupa) daripadanya(hamba)
menjawab daripada tiap-tiap tanya itu jikalau tida wujud
jahilnya.
Keterangan Suluk
Adapun menjawab tiap-tiap soalan yang dihadapkan adalah kerana
cenderung kepada keinginan untuk menyatakan dirinya tahu akan
serba-serbi dalam segala ilmu. Tidakkah disedari bahawa perkara ini
adalah mustahil pada haq seorang hamba???. Mana mungkin hamba yang
terhad ini boleh mencapai sesuatu yang tidak terhad!!!. Bukankah
ini menunjukkan wujudnya hama-hama "Sombong" "Ujub", "Suma'ah" dan
pelbagai penyakit dalam hatinya!!!.
Hendaklah disedari kenyataan ini telah diperingatkan oleh Allah
Taala dalam firmanNya yang bermaksud; "dan tiada didatangkan akan
kamu daripada Ilmu melainkan sedikit jua" . Tidak banyak yang dia
ada, seumpama setitik air dari sebuah lautan yang tidak bertepi.
Cuma sedikit jua. Itu yang perlu disedari dan sentiasa
diingat-ingatkan selalu di sisi orang yang merasakan dia berilmu
dan boleh menjawab semua soalan. Cuma sedikit jua, malah lebih
sedikit dari yang sedikit itu.
dan betapa tasawwur(terupa) daripadanya(hamba) menjawab daripada
tiap-tiap tanya itu jikalau tida wujud jahilnya. yakni; Jadi
bagaimana mungkin tidak jahilnya (yakni tentu sekali jahil) seorang
yang suka menjawab tiap-tiap soalan yang diajukan kepadanya.
Hairan ya!. Tahu menjawab setiap soalan tetapi dikatakan Jahil?.
Semestinya begitu, kerana orang yang suka menjawab tiap-tiap soalan
yang diajukan kepadanya membuktikan mereka itu Jahil.
Mereka jahil tentang ilmu-ilmu lain yang ada.
Mereka jahil tentang ilmu-ilmu di tangan yang lain
Mereka jahil tentang keluasan ilmu Allah Taala yang tiada
Kehinggaan.
Mereka jahil tentang adab-adab ahli ilmu.
Mereka jahil tentang Kesempurnaan Hakikat itu.
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan lagi pula, bahawasanya wajib atasnya memelihara hal yang
bertanya daripada ahlinya bagi barang yang ditanya daripadanya.
Maka tertegah daripada menjawab bagi orang yang tiada ahlinya
dalamnya.
Keterangan Suluk
Di samping wujudnya jahil-jahil yang disebutkan di atas, mereka
ini jahil pula berkenaan adab-adab dalam memelihara Hurmat
Ketuhanan. Mereka perlu sedar darjah dan tingkat-tingkat ilmu yang
diberikan kepada mereka hendaklah sentiasa dijaga hak-hak dan
adab-adabnya. Antaranya ialah;
Melayani setiap pertanyaan tersebut dengan taraf kefahaman
seseorang yang bertanya;
Menjawab hanya mengikut keperluan dan kedudukan orang yang
bertanya dan
Ditegahkan daripada menghuraikan sesuatu ilmu-ilmu keruhanian
dan ketuhanan kepada orang yang tidak ahli dalamnya.
Sebab itu, selalu ditegaskan dan diingatkan dalam webpage suluk
ini, bahawa bagi tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya. Jika terdapat
kekeliruan dalam memahaminya, dan jika ada kemusykilan yang
bersarang dan jika mahu perincian yang lebih detail, hendaklah
dirujuk kepada ahli-ahlinya. Secara mengadap, bersua muka dan
berhadapan dengan yang ahli. Bukan dengan membina kefahaman sendiri
yang kelaknya terjerumus dalam lembah tipu daya atau melatah
menyatakan sesuatu yang bukan dalam bidang keahlian kita.
Perlu diingatkan. tulisan catatan pengajian suluk ini adalah
semata-mata perkongsian maklumat untuk saudara-saudara yang mungkin
tidak pernah berdepan dengan Pengajian Kitab Tua. Semoga berputik
minat dan kecenderungan untuk mengambil manfaat dari kitab-kitab
tua. Seperkara lagi; Kefahaman dan ilmu sebenarnya bukan pada
tulisan-tulisan di sini, tetapi ianya perlu ditalkinkan oleh
seorang guru yang ahli. Dan bagi yang sudah melalui kitab ini,
sekurang-kurang boleh menambah beberapa sudut pandangan yang
mungkin dipinggirkan dari kefahaman sebelum ini.
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan adapun mengibaratkan bagi tiap-tiap yang dipandang itu, maka
iaitu membukakan sir yang wajib mensembunyikan dia.
Keterangan Suluk
Pelanggaran adab-adab dalam mengibaratkan(membukakan) sentuhan
pengalaman hakikat mereka itu ialah dengan kerena mereka
mendedahkan sesuatu yang wajib disembunyikan untuk dirinya
semata-mata. Jadi... dengan ini, orang yang membukakan sesuatu
rahsia pengalaman hakikatnya kepada umum adalah seorang yang jahil
tentang hakikat, malahan adalah seorang seorang yang kotor , cemar
hati dan banyak aibnya.
Hanya yang bersih dan yang suci sahaja yang dapat menyimpan
rahsia-rahsia ini sebagaimana
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan kata mereka itu(Sufiah);
Bermula segala hati-hati orang yang telah suci itu tempat
menanam segala rahsia.
Dan Sir itu amanah Allah Taala kepada hamba.
Maka mengisyaratkan dengan ibarat daripadanya itu khiyanat.
Dan bahawasanya Allah Subhanahuwa Taala itu tiada suka bagi
segala orang khianat kerana bahawasanya segala pekerjaan yang
zauqiyah itu mustahil didapat Haqaiq dengan segala ibarat
Nutqiyah(pertuturan).
Maka membawa demikian itu kepada ingkar dan memberi kecelaan
dalam Ilmu orang yang telah merdeka Maqamnya.
Keterangan Suluk
Bermula segala hati-hati orang yang telah suci itu tempat
menanam segala rahsia. yakni rahsia-rahsia ketuhanan dan pengalaman
hakikat tempat tetapnya ialah pada hari-hati Ahli Makrifat yang
telah suci hatinya daripada jahat-jahat adab. Di hati yakni pada
Sir merekalah Tajalli Allah mencurah-curah datang menutupi buminya
yang menumbuhkan pelbagai pohon-pohon rahsia ketuhanan. Ini adalah
untuk mereka dan menjadi bahagian khusus untuk mereka. Tidak dapat
untuk dikongsi dengan saudara-saudaranya yang lain hatta yang
paling dekat dengannya sekalipun. Sebabnya hati ini pandai menjaga
Sir mereka Dan itu amanah Allah Taala kepada hamba. yakni sedar dan
tahu untuk menjaga Amanah Allah yang dikhususkan buat mereka.
Maka mengisyaratkan dengan ibarat daripadanya itu khiyanat.
yakni dengan kerana rahsia itu adalah amanah, maka jika seseorang
ahli yang menerimanya jika cuba memperihalkan pengalaman hakikatnya
dengan berbagai-bagai kiasan atau bandingan atau pertuturan, mereka
itu telah jatuh dalam khianat dengan TuhanNya. Mereka khianat,
sedangkan Allah Subhanahuwa Taala itu tiada suka bagi segala orang
khianat yakni Allah memurkainya. Memang sepatutnya mereka dimurkai
kerana mereka seakan-akan cuba untuk memperihalkan segala pekerjaan
yang zauqiyah itu dengan bahasa pertuturan sedangkan ianya adalah
mustahil sema sekali. Manakan mungkin yakni mustahil didapat Haqaiq
dengan segala ibarat Nutqiyah(pertuturan). yakni yang membawa
maksud pekerjaan hakikat itu tidak akan didapati dari isyarat,
kiasan, bandingan atau ilmu. Tegasnya pengalaman hakikat itu adalah
sesuatu yang sudah melewati bidang rasa, bukan lagi bidang tahu dan
lihat atau dengar. Rasa yang hasil dari Zauq dan Wujdan. Maka
membawa demikian itu kepada ingkar yakni kepada ketetapan dan
ketentuan Tuhan dan memberi kecelaan dalam Ilmu orang yang telah
merdeka Maqamnya yakni kejahilan seorang yang tidak amanah ini
menjadi sesuatu yang tercela di sisi ahli Ilmu yang telah bebas
dari kurungan hissi(perasaannya).
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan adapun menyebutkan bagi tiap-tiap maklumat itu, maka dari
kerana ketiadaan bercerainya antara segala maklumat.
Maka kerana inilah
menjawab daripada tiap-tiap tanya dan
mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang dan
menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui
itu jahil kepada seorang yang ahli Al-Kamil.
Keterangan Suluk
Melanjutkan lagi keterangan berkaitan dengan kenapa tidak
bolehnya sesuatu rahsia itu dibukakan kepada orang lain, Tok Pulau
Manis mendatangkan keterangan sebagaimana di atas.
Apabila seseorang cuba untuk menyatakan tiap-tiap maklumat yang
diketahui dan dirasai itu seakan-akan menunjukkan sedikitnya Ilmu
Allah ini. Seakan ketiadaan pecahan-pecahan yang lain, tiada pada
orang lain atau di tempat lain yang mana ianya seperti menafikan
jenis-jenis Ilmu Allah yang tiada kehinggaan itu.
Maka,......dengan kerana tidak sedikitnya Ilmu Allah; bahkan
tidak terhad adanya,
menjawab daripada tiap-tiap tanya dan
mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang dan
menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui
adalah jahil mengikut pandangan mereka yang ahli Al-Kamil yakni
HambaNya yang sempurna.
Hanya hamba yang Kamil sahaja yang tahu beradab dan tahu kaifiat
berkata-kata dengan ilmunya sebagaiamana dalamKeterangan
Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan kata Sheikh Junaid r.a;
Bermula jawab itu atas kadar yang bertanya, tiada atas kadar
yang ditanyakan.
Keterangan Suluk
Lihat dulu kepada kedudukan dan pengetahuan orang yang bertanya.
Lihat dulu hal-ahwal/peribadinya yang bersangkutan dengan syariat
dan aqidahnya. Jangan dipedulikan kepada kadar ilmu atau
jenis-jenis soalan yang ingin diketahuinya. Jika seorang ahli dunia
yang lalai bertanyakan berkaitan hakikat atau makrifat, maka
jawablah mengikut kedudukannya sebagai ahl ghaflah dengan
disembunyikan kehendak soalan-soalannya. Menyembunyikan ilmu ini
adalah tidak salah, malah adalah amat wajar sekali dilakukan kepada
yang tidak ahli sebagaimanaKeterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau
Manis;
Dan telah ditanyai setengah ulama daripada suatu[ilmu]. Maka
tiada menjawab ia. Maka kata yang bertanya; "Tiadakah engkau
ketahui bahawasanya Rasulullah SAW. telah bersabda; Barangsiapa
ditanyai daripada ilmu maka disembunyikan, nescaya diganggang Allah
akan dia pada hari kiamat dengan kekang daripada api neraka". Maka
katanya(ulama); "Iaitu bagi orang yang mustahak akan dia".
Keterangan Suluk
Mereka yang ahli al-Kamil ini memahami maksud hadis Rasulullah
SAW di atas kepada mereka yang menyembunyikan sesuatu ilmu itu
kepada yang sangat-sangat memerlukannya dari kalangan ahlinya.
Bukan untuk dibawa berbual-bual di warung kopi atau di tepi jalan.
Jika syariat masih tunggang-langgang bagaimana seorang yang
benar-benar faham akan menjawab soalan-soalan hakikat yang
tinggi-tinggi dan halus-halus.
Menjawab kepada orang yang sebegini bukanlah menjadi tuntutan
malah hendaklah dielakkan dengan apa cara sekali pun. Sesuatu yang
suci, halus dan mulia hanya layak untuk yang suci, berjiwa halus
dan mulia juga. Kenyataan ini tidak bertentangan
dengan.......Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan kata Isa alaihissalam bagi segala sahabatnya;
Dengan sebenar-benar kataku bagi kamu, jangan kamu gantungkan
mutiara dalam segala binatang leher babi.
Keterangan Suluk
Menjawab soalan-soalan ahli syariat yang jahil hakikat, atau
ahli bidaah yang lalai adalah merosakkan kemurnian dan kesucian
ilmu-ilmu Ketuhanan ini.
Bukan setakat itu sahaja, jika diberikan kepada kepada si bodoh
yang singkat akalnya akan menyebabkan mereka teraniya terkial-kial
dalam cuba memahami maksud-maksud di sebalik jawaban yang
dikehendaki. Kenyataan ini boleh didapati dari ......Keterangan
Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan dalam khabar daripada Nabi kita Assolatuwassam;
Jangan kamu datangkan hikmat lain daripada ahlinya, maka aniyai
kamu akan dia;
dan jangan kamu tegahkan akan dia bagi ahlinya, maka aniyai kamu
akan dia.
Keterangan Suluk
Dengan kata lain, jika ingin memberi, hulurkan kepada yang
berhak; dan jika ingin menahan pemberian, sembunyikannya daripada
yang bukan ahli baginya.
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan ketahui olehmu bahawasanya sekalian Musyahadah itu dan ahwal
itu tiada sempurna Haqaiqnya melainkan dalam negeri akhirat kerana
bahawasanya negeri akhirat itu tempat balas yang sempurna; dan
negeri dunia itu tempat Sitrun dan takhlif dan amal; dan akhirat
itu negeri kashaf jaza' dan fadhol.
Bersambung dalam catatan pengajian yang selanjut.
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 28. 09. 2000
/ 29 Rejab 1421)
KESEMPURNAAN PEMBALASAN ALLAH
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu
Petikan Huraian Pengajian Terdahulu
Dan ketahui olehmu bahawasanya sekalian Musyahadah itu dan ahwal
itu tiada sempurna Haqaiqnya melainkan dalam negeri akhirat kerana
bahawasanya negeri akhirat itu tempat balas yang sempurna; dan
negeri dunia itu tempat Sitrun dan takhlif dan amal; dan akhirat
itu negeri kashaf dan jaza' dan fadhol.
Keterangan Suluk
Perlu diketahui oleh seorang yang ada cita-cita untuk sampai
kepada TuhanNya, bahawasanya sekelian Musyahadah,
sama ada Syuhud Af'al, Asma, Sifat atau Zat;
atau samada Syuhuudul Kasrah Fil Wahdah atau Syuhuudul Wahdah
Fil Kasrah,
sama ada pada A'yan Saabitah atau A'yan Khorijah
serta yang lain-lain lagi;
adalah tidak sempurna Haqaiqnya. Demikian juga segala hal-ahwal
hamba-hamba PilihanNya seperti;
Khouf,
Tawakkal,
Zuhud,
Wara',
Zauq dan Wujdan
Fana
Baqa
Mahabbah dan
yang lain-lain lagi.
Sekelian Musyahadah dan ahwal seperti yang disebutkan di atas,
tidak sempurna hakikatnya melainkan di dalam negeri Akhirat
Nanti.
Ini adalah kerana negeri akhirat itu dijadikan tempat untuk
menyempurnakan segala nikmat dan balasan Allah Taala untuk
hamba-hambaNya yang mu'min. Hanya di akhirat nanti akan
disempurnakan nikmat Allah yang benar-benar hakiki.
Tambahan pula dunia ini adalah Sitrun dan takhlif yakni tempat
untuk kita diam(taat dan patuh) dan tetap(yakin) untuk menerima
segala apa yang diperintahkan oleh Taala. Dunia ini adalah tempat
untuk kita berbuat sebanyak mungkin amal dan ibadat terhadap Allah
dengan penuh ketaatan dan kepatuhan dan keyakinan.
Berlainan sekali dengan negeri akhirat. Ianya adalah negeri
negeri kashaf yakni tempat di mana terbukanya segala yang sesuatu
yang sebelumnya tertutup, yang menjadi rahsia dan yang tersembunyi.
Negeri di mana menunjukkan tidak ada nikmat yang lebih sempurna
daripada melihat Wajah Allah di dalam Syurga. Ini adalah kerana
negeri akhirat itu adalah tempat jaza' dan fadhol yakni menerima
balasan dan nikmat yang sempurna.
Berkenaan dengan pembalasan Allah di akhirat inilah, yang
menjadi isi perbincangan dari Kalam Hikmah Sheikh Ibn Atoillah yang
selanjutnya mengikutKeterangan dan Huraian oleh Tok Pulau
Manis;
Hanya sungguhnya dijadikan Allah Taala negeri akhirat akan
tempat bagi membalas segala hambaNya yang mu'min kerana
bahawasanya;
negeri dunia ini tiada lulus yang dikehendakiNya Mengurniai akan
mereka itu;
dan dari kerana ia membesarkan kadar mereka itu daripada
membalas mereka itu dalam negeri yang tiada kekal baginya;
padahal memuliakan bagi mereka itu dan membesarkan pada kadar
mereka itu;
kerana negeri dunia itu negeri fana tiada kekal baginya dan
negeri akhirat itu negeri kekal tiada fana dalamnya.
Maka membalas bagi segala hambaNya yang mu'min dalam negeri yang
kekal daripada terlebih sempurna nikmat dan terlebih mulia
pembalasan bagi mereka itu.
Keterangan Suluk
Sesungguhnya telah dijadikan oleh Allah Taala akan negeri
akhirat nanti sebagai tempat untuk menyempurnakan nikmat
pembalasanNya terhadap hamba-hambaNya yang mu'min kerana;
Dunia ini terlalu sempit dan terhad untuk disempurnakan keluasan
nikmat Allah yang tiada kehinggaan;
Ingin membesarkan kadar nikmat dengan sesuatu yang tidak binasa
dan kekal selama-lamanya.
Inilah kelebihan dan kesempurnaan negeri akhirat.
Bahasan lanjut, elok kita jelujuri .............
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan hanya sungguhnya dijadikan membalas segala mu'min dalam
negeri akhirat itu kerana dua perkara; Pertama; bahawasanya negeri
dunia itu tiada lulus yang dikehendakiNya Mengurniai mereka itu
daripada segala bahagi(bagai) nikmat pada hissi atau pada
ma'ani.
Keterangan Suluk
Telah ditegaskan lagi sekali, sesungguhnya dijadikan akhirat itu
tempat untuk membalas hamba-hambaNya yang mu'min adalah kerana dua
sebab. Yang pertamanya ialah, dunia ini terlalu sempit dan tidak
berupaya untuk meluluskan kadar kurniaan nikmat yang luas tiada
kehinggaan dengan berbagai-bagai nikmat yang hissi yakni atau
ma'ani .
Apakah itu nikmat hissi dan nikmat maani ini?. Kita
ikuti..........
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Adapun yang pada hissi itu maka dari kerana dunia itu hampir
perjalanannya, picik daerahnya dan dikurniai Allah Taala dalam
negeri akhirat bagi salah suatu daripada mu'min itu dalam satu
milik daripada mereka itu seperti yang datang dalam khabar;
"Perjalanan 700 tahun". Maka apa sangkamu kepada yang khowas mereka
itu. Maka piciklah dunia daripada sekelian balas mereka itu dari
kerena terlebih besar kadar mereka itu daripada membalas mereka itu
dalam negeri yang tiada kekal baginya.
Keterangan Suluk
Nikmat pada hissi Allah Taala teramat besar; sedangkan negeri
dunia ini terlalu sempit dan picik serta terhad daerahnya.
Bagaimana dunia ini boleh menyempurnakan keluasan dan kebesaran
nikmat Allah ini sekiranya seorang hamba dikurniakan daerahnya
sejauh 700 tahun perjalanan sebagaimana yang pernah disabdakan oleh
Rasulullah SAW. Mana mungkin dunia kecil yang kita duduki sekarang
ini dapat menempatkan kesemua hamba-hambaNya yang mu'min sekiranya
untuk seorang hamba pun tidak dapat dimuatkan. Bagaimana pula hal
keadaannya pula bagi yang yang khusus dan terpilih untuk mendapat
kebesaran nikmat yang lebih berkali-ganda lagi?
Maka dengan itu, terlalu sempitlah dunia ini jika hendak
dibandingkan dengan kadar nikmat balasan Allah yang lebih besar
kadarnya. Tidaklah mungkin dapat disempurnakan nikmat Allah yang
besar itu di negeri dunia yang sempit dan akan binasa ini. Di
akhirat jualah dapat disempurnakan nikmat-nikmat Allah pada hissi
ini.
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan adapun yang pada Ma'ani itu maka dari kerana dunia itu
tempat hina dan kurang dan keji; dan tiap-tiap suatu yang memberi
kesukaan dalam syurga itu terlebih mulia dan terlebih tinggi
seperti yang datang dalam khabar bahawasanya "cahaya segala pakaian
Huuru'ain itu memadamkan cahaya matahari" dan tiadalah
seumpamanya.
Keterangan Suluk
Adapun kenapa dunia ini tidak dapat meluluskan nikmat pada
Ma'ani pula dari kerana dunia ini adalah tempat yang hina, yang
kurang lagi yang keji. Termasuklah apa-apa sahaja yang hodoh, yang
cacat, yang lekeh, yang remeh dan apa sahaja yang menunjukkan
ketidaksempurnaannya.
Sedangkan tiap-tiap sesuatu yang menjadi kesukaan dan kenikmatan
dalam syurga dalam negeri akhirat nanti terlalu mulia, terlebih
tinggi dan terlebih sempurna sehinggakan hanya dengan pakaian
seorang bidadari sahaja boleh memadamkan terus cahaya matahari yang
begitu kuat dan teguh. Tentu sekali tak dapat nak dibayangkan
bagaimana pula apabila melihat wajah bidadari itu. Benarlah apa
yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW. melalui hadis Qudsi
sebagaimana..........Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau
Manis;
Dan sabda Nabi SAW. pada yang dikhabarkan dari TuhanNya
'Azzawajalla; Telah Kusanggarahakan(sediakan) bagi segala hambaKu
yang sholeh yang
tiada mata mereka itu;
dan tiada telinga mendengar;
dan tiada khotir atas hati manusia.
Bagaimana layak dunia yang hina ini menyempurnakan nikmat maani
Allah Taala yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna???
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan kepada Allah Subhanahuwa Taala membesarkan kadar segala
hambaNya mu'min. Maka tiada dijadikan mereka itu balas atas taat
mereka itu dalam negeri Faniyyah(yang binasa), tetapi diAnugerahi
mereka itu kekal dalam ni'mat. Maka dinamai akan Dia dengan NamaNya
Yang Karim iaitu Yang Hidup Yang Tiada Mati.
Keterangan Suluk
Sesungguhnya Allah Taala sentiasa ingin membesarkan dan
memuliakan kadar kurnia untuk hamba-hambaNya yang mu'min. Maka
kerana itulah tidak dibalaskan lagi amal taatnya dalam negeri yang
fana dan akan hancur binasa ini; dan kerena anugerah Allah kepada
mereka itu adalah kekal selama-lamanya; kekal dalam nikmatnya yang
tidak ada akhirnya.
Segala puji dan kesyukuran itu kepada Allah Taala, Zat Yang
Karim iaitu Yang Hidup dan Yang Tiada Mati. Siapakah lagi selaian
daripadaNya yang memiliki kebaikan yang sempurna.
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan kata Muhammad bin Al-Hanafiah ra;
Tiada bagi segala badan kamu itu harga melainkan Syurga. Maka
jangan kamu jual akan dia melainkan dengan Syurga; dan tiada mulia
atas diri hamba jual akan dia melainkan dengan Syurga; dan tiada
mulia atas diri hamba itu melainkan hina atasnya segala
syahwatnya.
Keterangan Suluk
Nilai bagi diri kamu itu ialah dengan harga Syurga.
Bukan dengan wang-ringgit,
bukan dengan pangkat,
bukan dengan kedudukan dan kemulian,
bukan dengan sekeping sijil atau sekalung bintang atau
pingat.
Demikian juga nilai bagi diri kamu itu
bukan dengan maqam,
keramat,
musyahadah atau
mukasyafah,
bahkan nilainya adalah dengan syurga yang kekal abadi.
Diri kamu itu adalah diri yang mulia, yang suci, yang layak
untuk menerima kesempurnaan kebaikan itu. Jangan dilekehkan dirimu
yang mulia itu dengan dijual kepada sesuatu selain daripada Syurga.
Hanya dengan syurga sahaja yang layak bagi kemulian yang kau miliki
itu.
Janganlah dijualkan dunia yang hina dan lekeh ini.
Janganlah dijualkan kepada maqam atau karamat.
Janganlah dijualkan melainkan dengan syurga.
Kemuliaan dirimu itu akan bertukar menjadi sesuatu yang hina
kiranya tidak dipeliharakan fitrah diri yang dimuliakan. Hinanya
engkau kerena terbelanggu dan menjadi hamba kepada syahwatmu.
Di manakan lagi ada kemuliaan dirimu itu jika asyik berkeinginan
kepada sesuatu yang hina?
Dunia, harta, pangkat, kekayaan, kemuliaan, kekuasaan yang apa
sahaja yang bersifat keduniaan.
Di manakan lagi ada kemuliaan dirimu itu jika masih
berkecenderungan kepada sesuatu yang lekeh?
Terbuka yang ghaib, maqam, keramat dan berbagai-bagai pembukaan
yang lain.
Di manakan lagi ada kemuliaan dirimu itu jika mudah terpedaya
kepada sesuatu yang tidak hakiki? Menilik wujud diri sehingga lalai
dari Wujud yang Hakiki
Sesungguhnya tiada kemuliaan di atas dirimu itu melainkan hina
semata-mata jika dituruti syahwatmu yang nyata dan syhawatmu yang
tersembunyi itu.
Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;
Maka adalah balas dalam negeri akhirat itu baginya alamat dalam
negeri dunia sebagaimana iaitu....(Kalam Hikmah Sheikh Ibnu
Atoillah yang selanjutnya);
Barangsiapa diperolehnya akan buah amalnya pada sekarang, maka
demikian itu menunjukkan atas diperoleh Qabul dengan Anugerah Allah
Taala
Bersambung dalam catatan pengajian yang selanjut di bawah tajuk
Tanda Dan Alamat Diterima AmalanPengajian Kitab Hikam Kuliah
Maghrib Hari Khamis ( 05. 10. 2000 / 02 Sya'ban 1421)
TANDA & ALAMAT DITERIMA AMALAN
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu
Petikan Huraian Pengajian Terdahulu
Maka adalah balas dalam negeri akhirat itu baginya alamat dalam
negeri dunia sebagaimana iaitu....Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Atoillah
yang selanjutnya;
Barangsiapa diperolehnya akan buah amalnya pada sekarang, maka
demikian itu menunjukkan atas diperoleh Qabul dengan Anugerah Allah
Taala
Keterangan Suluk
Sebelum ini kita telah diperihalkan berkenaan dengan
kesempurnaan pembalasan yang hanya akan ada di negeri akhirat.
Tidak ada lain tempat lagi yang seumpamanya yang dapat meluluskan
kesempurnaan balasan Allah Taala. Semata-mata di akhirat sahajalah
tempat yang layak untuk dibalasi hamba-hambaNya yang mu'min dengan
balasan yang mulia, kekal lagi sempurna itu.
Namun demikian, bagi yang mengetahui dan yang memahaminya,
mereka dapat merasakan wujudnya tanda-tanda atau alamat di negeri
dunia ini lagi. Hanya yang merasainya sahaja yang dapat mengenali
tanda-tanda itu dunia ini lagi.
Mereka itu adalah terdiri dari sesiapa yang beramal dengan
pelbagai taat dan ibadat sehingga memperolehi buahnya sekarang.
Dengan adanya buah pada amalan itu, maka itu menunjukkan atas
diterima dan diredhoi Allah dengan telahpun mendapat limpah kurnia
anugerah Allah Taala.
Apakah yang dimaksudkan dengan buah yang terbit dari amalan
itu?,
Apakah kaitannya dengan tanda-tanda atau alamat orang yang telah
diterima amalannya dengan mendapat anugerah yang besar?
Sama-samalah kita jelujuriHuraian dan Keterangan oleh Tok Pulau
Manis;
Maka buah amal itu iaitu diperoleh manis dalamnya(amal) dan
lazat dengan dia(amal); dan didapat demikian itu dalam membanyakkan
dia amal dengan menetapkan atasnya.
Keterangan Suluk
Bertemulah kita dengan apakah yang dimaksudkan dengan buah amal
itu.