58 WARGA SPR TERIMA ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG Putrajaya, 25 Julai – Seramai 58 orang kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2016 sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang cemerlang. Majlis APC 2016 ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Hashim bin Abdullah, Pengerusi SPR. Penerima anugerah menerima sijil penghargaan dan wang bernilai RM1,000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP), Bank Simpanan Nasional (BSN). Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Seri Mohd Hashim menghargai sumbangan semua warga kerja SPR yang telah bekerja keras dalam memastikan segala perancangan yang dirangka dapat direalisasikan terutamanya pada ketika SPR berhadapan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan kerjasama semua pihak. Turut dinyatakan keperluan untuk setiap kakitangan mempelbagaikan kemahiran diri terutamanya bagi kepimpinan pelapis kerana kelompok inilah yang bakal mewarisi kepimpinan sedia ada untuk meneruskan perjuangan SPR pada masa hadapan. Majlis turut dihadiri oleh Ahli-Ahli SPR, Setiausaha SPR, Pegawai-pegawai Kanan SPR di peringkat Ibupejabat dan Negeri. Dalam majlis tersebut juga, Pengerusi SPR telah menyampaikan sijil kepujian kepada 73 orang penerima. Turut disampaikan adalah Sijil Persaraan kepada 13 orang warga SPR yang telah dan bakal bersara pada tahun ini beserta Sijil Bakti Setia kepada empat orang penerima di atas perkhidmatan yang telah diberikan kepada SPR sepanjang 25 tahun perkhidmatan. Detik-detik kenangan bersama Pengerusi SPR dan penerima APC telah dirakamkan dalam satu sessi bergambar bagi meraikan para penerima. Disediakan Oleh : Unit Komunikasi Korporat SPR